Faisal Tehrani's Blog, page 10

February 17, 2011

Tentera Bahrain Membunuh Kanak-Kanak di Bulatan Mutiara


Khamis lalu, tentera Saudi dan polis Bahrain menyerbu penunjuk perasaan yang berkampung di Bulatan Mutiara tengah Manama dalam usaha meniru 'gaya revolusi' di Tunisia dan Mesir. Demonstran yang membawa kanak-kanak bersama tidak menyangka pihak berkuasa Bahrain tergamak menembak gas pemedih mata sebelum menembak membabi buta ke arah penunjuk perasaan pada pukul 3 pagi.

Lebih 15 orang terkorban syahid termasuk lima orang kanak-kanak, menjadikan jumlah korban kepada tujuh orang sejak Isnin lalu. Adalah amat menyayat hati apabila tentera menghalang pasukan perubatan yang cuba menyelamatkan mangsa-mangsa yang rebah-rempah dibunuh. Ekoran dari kecelakaan tersebut lima menteri kabinet Bahrain meletakkan jawatan tanda membantah keganasan polis.

Bahrain merupakan penempatan armada tentera laut Amerika di Teluk Parsi dan amat strategik dalam mengawasi Republik Islam Iran.

Tontoni video pendek mangsa keganasan
pemerintah wahabi zalim di Bahrain ini:



Tontoni video korban Dataran Mutiara ketika dibawa ke Hospital di Manama, jelas kelihatan jumlah penunjuk perasaan amat ramai:


Sumber di sini.
Mampus Terhadap Diktator! Mampus Terhadap Penindas!
Mampus Terhadap Penzalim!


* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 17, 2011 14:54

Tidak Jelas Apa Hendak Dituduh, Pendakwaan Tangguh

Hujjatul Islam Kamil Zuhairi Abd Aziz, wakil minoriti Syiah di Malaysia.
Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) KLIK SINI - Dua ulama Syiah Hujjatul Islam Kamil Zuhairi dan Hujjatul Islam Mohsen Radmard telah dihadapkan di Mahkamah Syariah Gombak Utara, Kuang di bawah Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan kesalahan menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan arahan-arahan yang dinyatakan dan diberikan fatwa oleh pihak berkuasa agama.

Kamil Zuhairi diwakili peguamnya Muhammad Burok manakala Mohsen Radmard diwakili peguam Abdul Halim Bahari.

Di awal persidangan mahkamah, Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor, Umar bin Manaf memohon kes ini ditunda ke tarikh 31 Mac 2011 kerana kertas siasatan gagal disiapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pihak JAIS meminta perjanjian jaminan kedua mereka iaitu Hujjatul Islam Kamil Zuhairi dan Hujjatul Islam Mohsen Rarmard dipanjangkan sampai kertas siasatan JAIS lengkap.

Peguam Syar'i untuk Hujjatul Islam Kamil Zuhairi iaitu Muhammad Burok memberikan hujjah bahawa tidak ada sebarang tuduhan yang jelas terhadap anak guamnya. Sementara itu siasatan yang dijalankan melampaui kebiasaan sampai boleh melebihi 4 bulan.

Sebagai pembelaan, kedua-dua peguam mempertikaikan kelayakan Penguatkuasa JAIS, Umar bin Manaf yang bertindak sebagai Pendakwaraya untuk mewakili pihak pendakwaan padahal martabat beliau hanya penguatkuasa JAIS. Haji Muhammad Burok turut menegur penggunaan terma kata 'yang tertuduh' kepada kedua-dua ulama tersebut sedangkan pertuduhan masih belum dibacakan. Penguatkuasa JAIS kemudian menukar ungkapan tersebut kepada 'yang disyaki'.

Pertuduhan tidak dapat dibaca meskipun JAIS mendakwa
mereka sudah memantau kegiatan Syiah selama 2 tahun
Berikutan tiada tuduhan dibaca, kedua-dua peguam enggan menerima bon jaminan yang dikeluarkan mahkamah dan Abdul Halim Bahari selaku peguam Mohsen Radmard menuntut pasport ulama itu kerana JAIS tidak mempunyai hak sedikitpun menahan pasport beliau. Menahan pasport ulama ini seolah-olah menjatuhkan hukuman.

Kedua peguam juga meminta bon jaminan bernilai RM2000 dipulangkan kepada kedua-dua ulama itu.

Hakim Shahrudin bin Selamat mengarahkan pasport Hujjatul Islam Mohsen Rarmard dipulangkan namun menerima permohonan JAIS supaya bon jaminan dikekalkan. Dengan persetujuan hakim Shahrudin, kes ini dan pertuduhan ditangguhkan ke tarikh 31 Mac 2011.


15 Disember lalu seluruh dunia Islam dikejutkan dengan pencabulan hak asasi terhadap minoriti Syiah di Malaysia apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu dan menahan 200 orang penganut Syiah Imamiyyah yang sedang berkabung mengingati kesyahidan Imam Husin (a.s) di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves yang dikenali sebagai Hauzah Ar Ridha Alaihissalam.

Pengarah JAIS ketika itu Datuk Muhammed Khusrin Munawi menfitnah pengikut mazhab Syiah kononnya mazhab ini mengkafirkan dan menghalalkan darah penganut Islam mazhab lain.

Minoriti Syiah kemudiannya mengadukan penindasan yang mereka alami sejak zaman berzaman kepada Suhakam dalam satu sesi penyerahan memorandum bermula pada tahun 2001, 27 Disember 2010 dan pada 14 Februari 2011 yang lalu satu pertemuan meja bundar yang berlangsung dengan Pesuruhjaya SUHAKAM, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi.

Peristiwa serbuan 9 Muharram tersebut telah menarik tumpuan antarabangsa apabila media asing mulai membuat liputan tentang hak-hak asasi minoriti Syiah Malaysia yang teraniaya. Peristiwa itu juga mendapat perhatian badan-badan hak asasi manusia yang mulai melobi dan berkempen bagi pihak mereka. Sebuah laman http://justiceformalayshia.org/ turut dilancarkan berpangkalan di London. Hubungan Malaysia dan Republik Islam Iran juga berada dalam keadaan tidak selesa apabila Komisi Hak Asasi Manusia Parlimen Iran menghantar surat kepada kerajaan Malaysia (lihat sini: http://english.farsnews.com/newstext....). Para ulama Iran seperti Ayatullah Tashkiri, dan Ayatullah Jaafar Hadi menyatakan kekesalan terhadap situasi tersebut dan meminta supaya fitnah terhadap mazhab Syiah dihentikan sementara dialog dianjurkan demi menjaga perpaduan ummah.

Kemungkinan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam moderat akan terjejas sekiranya kes ini diteruskan.


* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 17, 2011 05:27

February 16, 2011

Kes Tokoh Syiah Malaysia Ditangguhkan






Pendakwaan ke atas dua orang lelaki di Mahkamah Syariah Gombak Barat yang dijadualkan hari ini berhubung dakwaan melibatkan fahaman Syiah, telah ditangguhkan.

Jurucakap kumpulan Syiah itu, Kamil Zuhairi Abdul Aziz berkata, ia telah ditangguhkan kepada 31 Mac.

Katanya, kedua-dua lelaki tersebut yang hadir di mahkamah itu hari ini, diwakili peguam syarie Datuk Muhammad Burok (nota saya: dan Abdul Halim Bahari).

Tambahnya, peguam juga telah mengemukakan bantahan kerana Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diwakili oleh penguatkuasa dan bukannya pegawai pendakwa (sini)


* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 16, 2011 22:59

Ya, Berkampunglah Di Situ Meski...

Tidak seperti 'revolusi Mesir' yang antara lain dihiasi oleh 'gitar dan tarian', kebangkitan rakyat di Bahrain sudah bermula dengan pertumpahan darah. Jika kebangkitan rakyat Mesir menjatuhkan Hosni Mubarak dicetuskan oleh eksekutif Google, Wael Ghonim, nampaknya kebangkitan rakyat Bahrain disemarakkan oleh seorang ulama, Ayatollah Sheikh Isa Qasim.


Beribu-ribu rakyat Bahrain keluar bagi menyatakan protes ekoran kesyahidan Fadhel Al-Matrook, yang dibunuh pihak berkuasa Bahrain ketika majlis perkabungan kesyahidan demonstran pertama, Ali Mushaima. Demonstran berarak dari Hospital Salmaniya ke tanah perkuburan Sheikh Maytham di Mahooz, Manama (sini).


Penunjuk perasaan yang berhasrat menggulingkan Raja Hamad bin Isa al-Khalifa mulai berkampung di 'Bulatan Mutiara' (sini) dan (sini).



18 orang ahli parlimen pembangkang turut menyertai mereka.

Dalam perkembangan lain tentera Saudi sudah siap menyeberangi Jambatan Raja Fahad untuk membantu kerajaan Wahabi Bahrain dari jatuh (sini). Ini adalah demi menjamin kesejahteraan pangkalan tentera laut Amerika di negara Teluk tersebut.

* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.



 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 16, 2011 21:16

February 15, 2011

Pertemuan dengan Badan Hak Asasi Manusia

Jika penindasan terhadap masyarakat Syiah menjadi petanda, rekod hak asasi Malaysia dijangka bertambah merosot tahun ini. Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, 13 Mei 2010, memperihalkan dalam satu laporan The UN General Assembly (SFC, 5/14/10, p.A2) pelbagai badan hak asasi manusia meletakkan 7 negara anggota Human Rights Council memiliki rekod hak asasi yang rendah. 7 negara tersebut ialah: Angola, Libya, Malaysia, Mauritania, Qatar, Thailand and Uganda (sini). Sejak kejadian 9 Muharram lalu media asing memberi perhatian kepada keadaan hak asasi minoriti Syiah di Malaysia (lihat sini dan sini). Phil Robertson, Timbalan Pengarah rantau Asia untuk Human Rights Watch mengatakan; "The Malaysian government is all talk and no action when it comes to human rights," (klik sini)

Sebagai seorang pengarang, saya meyakini tugas saya bukan sekadar menjadi pencerita. Tukang sampai cerita sudah ramai. Saya lebih cenderung menjadi pengarang yang menjadi pengimbang dan pembenih kebenaran dalam masyarakat. Cerita hanyalah kenderaan kepada mesej hak asasi. Oleh kerana itu undangan bertemu Massoud Shadjareh dari London, Pengerusi kepada Islamic Human Rights Commission (IHRC) adalah satu kerja yang harus saya isi meskipun di tengah-tengah sibuk mengejar tarikh akhir beberapa karangan.

Perbincangan kami menganjur tiga jam membincangkan pelbagai persoalan hak asasi di pelbagai negara. IHRC meminta saya berperanan lebih dalam mempromosi hak asasi kumpulan yang relevan menerusi karya-karya saya. Anjuran itu saya sambut dengan baik sekali. Malah saya memaklumkan kepada beliau yang saya ada menulis mengenai keadaan orang asli di Malaysia (klik sini) serta sedang menggarap sebuah novel tentang isu yang beliau bangkitkan, sebagai 'my most ambitious work to date'.

Saya dimaklumkan oleh Pengerusi IHRC tersebut bahawa badan-badan hak asasi manusia sedang memantau kes terhadap Syiah di negara ini. Penganiayaan terhadap minoriti Syiah tempatan telah turut mendapat perhatian aktivis hak asasi seperti Dr Chandra Muzaffar (klik sini) dan S.M Idris (Persatuan Pengguna Pulau Pinang/Citizens International: klik sini). Tindakan segelintir kuarters dalam pentadbiran kerajaan yang tidak memahami komitmen Perdana Menteri Malaysia untuk melaksanakan 1Malaysia juga meletakkan hubungan negara dengan Republik Islam Iran dalam keadaan kurang selesa, klik sini dan sini.

Esok, buat pertama kalinya perhatian badan hak asasi akan dihalakan kepada nasib minoriti mazhab. Antara kempen di peringkat antarabangsa yang jelas mengenai hal ini ialah seperti terlihat di laman Committee For Justice For Malay Shia yang berkempen bagi pihak minoriti tersebut, klik sini.

Malahan, yang lebih mengejutkan, penindasan pencabulan dan penganiayaan terhadap minoriti Syiah di negara ini adalah bertentangan dengan deklarasi OIC yang ditandatangani oleh Malaysia sendiri pada tahun 2007. Butiran tersebut terkandung pada halaman 91- 93: RESOLUTION NO. 28/34-POL ON STRENGTHENING THE ISLAMIC UNITY. Didokumentasikan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu: file A/61/981 S/2007./656. Ini bermakna apa yang berlaku terhadap minoriti Syiah Malaysia adalah bertentangan dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa.


** Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
 •  1 comment  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2011 15:39

February 14, 2011

Menjangkit Ke Bahrain

Saya pernah ke Manama, Bahrain dalam tahun 2002. Manama memang indah, saya hanya sempat berkitar di bandar selama dua hari. Saya mengesani ramai pekerja atau buruh berbangsa India. Seorang dua rakyat Bahrain nampaknya tidak cukup mesra untuk saya kesani detak nubari mereka. Mereka lebih suka menjauhi orang asing. Atau mereka menyangka saya adalah seorang Filipino.

Kelmarin, Bahrain ingin ikut bangkit seperti rakyat Tunisia dan Mesir. Saya mendoakan kejayaan mereka kerana Raja Hamad bin Isa Al Khalifa ini adalah seorang lagi hamba Amerika Syarikat yang totok. Bahrain sangat strategik untuk Amerika kerana ia menempatkan pangkalan tentera laut Amerika (U.S. Navy's Fifth Fleet). Minggu lalu dalam usaha mengekang kebangkitan rakyat, Raja Bahrain dilaporkan memberi setiap keluarga di negara tersebut $2500.

Akan tetapi tuan-tuan, bukan semua manusia memilih mengembungkan poket buat sementara berbanding kemerdekaan menggunakan akal sihat buat selamanya. Manusia menjadi terhormat kerana diizin memilih kebenaran.

Semoga gerakan kebangkitan rakyat akan terus memarak di Timur Tengah, kerana sesungguhnya seperti yang ditulis oleh ROBERT H. REID, Associated Press (klik sini), Revolusi Iran menempatkan rakyat Iran 32 tahun lebih awal dari jiran-jiran bangsa Arabnya. Dan tuan-tuan, Revolusi Islam tersebut tidak dicetuskan oleh Wael Ghonim seoang eksekutif Google, ia dicetuskan oleh ulama. Dan meminjam kata-kata H Reid, 'no such technological wonders were available' ketika itu.


* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 14, 2011 18:16

Adakah Pria Syiah Kuat Kerana Makjun Tongkat Ali















Pertandingan lelaki tergagah dianjurkan di pulau Qeshm, Teluk Parsi baru-baru ini. Rouhollah Dadadhi dari Iran menjuarai pertandingan dengan 125 poin. Moslem Darabi, juga dari Iran dan Krzysztof Radzikowski dari Poland mendapat tempat ke-2 dan ke-3 dengan markah terkumpul 123 dan 117.

Sebenarnya dalam kalangan Syiah, terdapat paling-paling dua lelaki gagah yang sering mereka rujuk. Iaitu Saidina Ali yang diyakini telah mencabut pintu kota Khaibar dengan sebelah tangan, lalu merobohkan benteng Na'im. Dan tentu yang sangat-sangat tersohor anakanda Saidina Ali, rembulan Bani Hashim - Abal Fadhil Abbas. Saya difahamkan ada doa khusus dibaca oleh orang Syiah untuk menjadi gagah. Maksud saya, emmm betul-betul gagah!


* Semua lelaki gagah dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Boleh menekan punat seberapa yang anda sukai malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali jika mahu. Tetapi ingat, segagah mana hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak dan ditanyai setiap kita lakukan.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 14, 2011 05:57

February 13, 2011

"Syiah Seekor" Ini Mesti Dihalang

Selepas menyiarkan entri Kerajaan Wajib Halang Mohsen Namjoo (klik sini), saya berusaha untuk membawa isu ini ke tengah. Penarik Beca menyambutnya dengan entri Janji Melayu Hina Islam Tak Pa (klik sini). Dan "guru tidak rasmi" saya saudara Ahmad Lutfi Othman segera membawa isu tersebut di dada Harakah Daily edisi Inggeris dengan posting ini, (baca di sini).
Bantahan saya juga mendapat liputan akbar di Indonesia (baca di bawah ini). Akhirnya semalam barulah Utusan Malaysia membuat heboh. Tidak mengapalah, masih belum terlambat, masih ada beberapa hari untuk menegah penyanyi ini menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Pun saya berterima kasih dengan Ahli Parlimen Bebas YB Zulkifli Noordin. Saya mengharapkan Ahli Parlimen PAS yang melakukan yang seumpamanya kerana PAS adalah Parti Islam Semalaysia, tetapi tak mengapalah, kita berbahagi kerja namanya. Ini bukan hal kepartian. Ini hal mempertahankan maruah agama. Saya ingin berpesan, kita bukan sahaja perlu menghalang Syiah tak guna penghina Islam seperti Namjoo ini, kita juga perlu menghalang Sunni atau Wahabi tak guna jika mereka menghina Islam. Syiah yang bertahlil untuk Saidina Husin janganlah diserbu, Syiah murtad seperti Namjoo ini eloklah diajar.

REPUBLIKA.CO.ID

Penghina Al Quran Gelar Konser di Kuala Lumpur

Mohsen Namjoo, penyanyi kontroversial asal Iran, menggelar konser di Kuala Lumpur. Feisal Tehrani, budayawan asal Malaysia, menyatakan bahwa konser penyanyi harus digagalkan. Menurut rencana, Namjoo akan tampil di Kuala Lumpur pada tanggal 18 Februari 2011 di KLCC Convention Centre.

Namjoo adalah penyanyi yang menghina Al-Quran dalam lagu-lagunya. Pemerintah Iran juga menjatuhkan hukuman padanya, bahkan penyanyi ini menjadi buruan negara ini. Pengadilan Iran menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas penyanyi ini.

Sebelumnya, Namjoo menyatakan minta maaf atas tidakannya. Akan tetapi penyanyi kontroversial itu kemudian mencabut penyataan maafnya dan mengulangi kembali tindakannya ini. Selain itu, Namjo juga mendendangkan lagu-lagu cabul, erotik, dan tidak sopan.

Feisal Tehrani kepada wartawan IRIB mengatakan, "Sangat disesalkan, tidak ada media-media lokal yang menentang konser penyanyi Iran yang terang-terangan menghina Al-Quran dan mendendangkan lagu tak sopan. Media-media Malaysia sudah seharusnya sensitif atas kasus ini."

Sumber di sini.

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini membuat laporan polis bagi meminta siasatan dilakukan terhadap pengeluaran permit konsert seorang penyanyi kontroversi dari Iran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Jumaat ini.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pukul 5 petang ini.

Menurut Zulkifli, beliau hairan bagaimana Mohsen Namjoo yang didakwa menghina kesucian agama Islam dan memperlekehkan al- Quran dalam lagunya di Iran, dibenarkan mengadakan konsert di negara ini.

Katanya, malah penyanyi yang difahamkan beragama Islam itu juga telah diperintahkan Mahkamah Iran agar dipenjarakan lima tahun bermula 9 Jun 2009.

Tambahnya, namun hukuman demikian tidak terlaksana kerana Mohsen melarikan diri dan menetap Eropah.

"Saya hairan mengapa ada pihak di sini beri permit untuk menganjurkan konsert penyanyi itu di KLCC ketika sambutan Maulidur Rasul sedang diraikan.

"Saya mendapat panggilan orang ramai berhubung penganjuran itu dan setelah menyiasat mendapati ada kebenaran.

"Pada saya tindakan membenarkan pertunjukan itu jelas satu penghinaan kepada sambutan Maulidur Rasul," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan itu di sini hari ini.

Mingguan Malaysia menerusi ruangan Siti Jarum hari ini turut mempertikaikan kemunculan Mohsen di negara ini, kerana lagu-lagu penyanyi yang menjadi kebanggaan Barat itu penuh dengan elemen cabul, seks, mengejek Islam dan mempermain-mainkan al-Quran

Dalam laman web rasmi penyanyi yang digelar Bob Dylan Iran itu turut menghebahkan tentang konsert Namjoo in A Minor Live in Malaysia.

Tambah Zulkifli, sehingga kini beliau tidak mengetahui penganjur konsert terbabit.

"Oleh itu, saya meminta pihak polis melakukan siasatan. Mungkin jika tiada sebarang tindakan dalam masa 48 jam selepas laporan polis ini dibuat, kita akan lakukan sesuatu termasuklah bantahan terhadap konsert itu," katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, beliau turut menghantar nota bantahan kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Islam) untuk tindakan lanjut.

Sumber di sini.

Siapa Mohsen Namjoo?

SitiJarum

PADA 18 Februari ini penyanyi Iran Mohsen Namjoo akan mengadakan konsert di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Kerajaan masih ada lima hari lagi untuk menunjukkan ketegasan dan kewarasan menghalang penyanyi biadap ini daripada membuat persembahan.

Kalau tidak ada tindakan tegas iaitu menarik permit konsert ini, nampaknya Malaysia sudah mencapai taraf "dunia" dalam kelompok negara yang mengizinkan penyanyi yang mempermain-mainkan al Quran ini mengadakan konsertnya. Negara-negara bukan Islam dan sekular mengalu-alukan kehadiran Mohsen Namjoo.

Lagu-lagu penyanyi yang menjadi kebanggaan Barat ini penuh dengan elemen cabul, seks, mengejek Islam dan mempermain-mainkan al Quran. Kerajaan Iran pernah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada penyanyi biadap ini kerana menghina Islam dan al Quran.

Bagaimanapun dibebaskan selepas dia meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perangai buruk itu. Bagaimanapun dalam konsertnya di Berlin selepas itu, dia mengulangi kecenderungan mengejek Islam dan melontarkan kata-kata kasar, biadap dan seks. Barat menerima ini sebagai tamadun baru yang wajar dipertahankan.

Kenapa kita mengundang dia? Ah, itu bukan soalannya. Sebaliknya soalan yang baik adalah kenapa kita yakni Kementerian Dalam Negeri membenarkannya? Siti fikir bahagian yang bertanggungjawab atas kemasukan artis luar patut mengenali siapa Mohsen Namjoo.

Seperti biasa tentu ada pihak yang mempertahankan kehadiran penyanyi ini. Salah satu alasannya Mohsen Namjoo seorang yang kreatif mengadunkan muzik dan bijak menghasilkan lirik. Itu adalah dari sudut pandangan Barat yang sekular untuk mewajarkan segala kebiadapan kepada Islam.

Orang yang macam Siti yang menentang konsert ini tentu dianggap kolot dan tidak faham seni. Biarlah apa pun anggapan mereka. Tak perlulah Siti menjadi orang yang kononnya berfikiran terbuka sedangkan Siti tahu yang kita nak buka itu adalah makhluk perosak.

Mungkin ada yang mempertikaikan Siti, kenapa Siti tak menentang penyanyi Barat yang rosak akhlak membuat konsert di negara ini. Hujah Siti senang saja, penyanyi-penyanyi itu kita sudah tahu dia rosak dan menjadi perosak. Tapi penyanyi Iran ini membawa label Islam kononnya pembangun ummah. Bagaimanapun di sebalik label Islam itu dia menyelitkan ejekan kepada Islam.

Barat menganggap Mohsen Namjoo hebat kerana melanggar dan menembusi lingkaran tabu dalam masyarakat Iran. Sebenarnya bukan tabu di Iran tapi melanggar tata susila yang berkaitan dengan Islam.

Sekali lagi Kementerian Dalam Negeri masih mempunyai masa lima hari untuk membuat keputusan. Kerajaan tidak akan rugi apa-apa kalau membatalkan konsert ini. Begitu juga tidak akan untung apa-apa kalau membenarkannya. Yang untung adalah mereka yang membawa anasir pembudayaan untuk meruntuhkan tunggak bangsa dan agama di negara ini. Buatlah keputusan yang bijak ketika sampan dan pendayung di tangan kita. Sekali lagi, kita bukan kolot kerana kita tahu apa yang kita buat. Mesti tunjuk yang kita kenal siapa dia.

Sumber di sini

* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2011 20:17

(Kalau) Mubarak Jatuh dan Raja Abdullah Saudi Tiada

OLEH DR FAISAL TEHRANI

* Rencana ini ditulis enam jam sebelum Mubarak melarikan diri. Terbit di Harakah edisi 14-17 Februari 2011.

DALAM masa terdekat, sebaik sahaja Hosni Mubarak jatuh dan Raja Arab Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz meninggal dunia di usia 86 tahun; rantau Timur Tengah akan mengalami satu perubahan lanskap politik yang pasti melongokan kelak.

Saya tidak mahu mengulas perihal Hosni Mubarak memandangkan sudah banyak analisis dilakukan. Akan tetapi saya mahu mengulas perihal Raja Abdullah Saudi yang kesihatannya sedang tidak menentu. Seandainya Raja Abdullah meninggal dunia di tengah-tengah kemelut Mesir, Amerika Syarikat dan Zionis akan berada dalam kedudukan panik yang luar biasa.

Putera Mahkota Arab Saudi adalah Sultan bin Abdul Aziz, beliau disifatkan sebagai seorang pemimpin yang lemah dan dijangka tidak dapat menahan diri dari terheret ke dalam perang suku. Sistem politik di Arab Saudi adalah berasaskan kesukuan. Ini bermakna kunci kuasa digilirkan antara anggota suku yang dekat dengan pemerintah Bani Saud. Antara suku-suku yang hampir dengan istana Saud ialah al-Shammar, Sudairy, Bani Khalid, Bani Tamim, Anza, dan suku Al-Ajman. Marga-marga ini berbahagi kuasa sesama sendiri dalam pelbagai bidang antaranya keselamatan, politik, kewangan dan ketenteraan di Arab Saudi.

Suku Sudairy adalah yang paling dominan saat ini, khususnya, menguasai strukur agama (Haramain), ketenteraan, selain memegang kekuasaan dalam negeri. Suku Shammar saingannya lebih banyak mengendalikan ekonomi, kekayaan minyak Saudi sementara puak-puak yang lain didiamkan dengan kekayaan dalam pelbagai bidang niaga dan kewangan. Suku Sudairy rata-rata menganuti faham Wahabi. Suku Sudairy, yang merupakan saingan Al Shammar, dekat Putera Mahkota Saudi yang sedang uzur iaitu Putera Sultan bin Abdul Aziz.

Kekanda Raja Abdullah iaitu Raja Fahd juga mempunyai kemesraan terlampau dengan Amerika, kelihatan kedua-duanya asyik menari mengikut rentak irama padang pasir pada tahun 1981.

Ibu Putera Mahkota Arab Saudi, Sultan bin Abdul Aziz adalah Hessa binti Ahmad Al Sudair, dianggap salah seorang isteri Raja Abdul Aziz yang paling berpengaruh. Hessa adalah juga ibu kepada Raja Fahd dan Putera Abd al-Rahman, Putera Nayyef (orang ketiga berkuasa di Arab Saudi), , Turki, Salman, dan Ahmed. Suku Sudairy seperti telah disebutkan memegang penuh pusat-pusat keagamaan di Arab Saudi (merujuk kepada Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi) dan mengendalikan segala urusan berkenaannya sejak Jun 1982 iaitu sejak Raja Fahd, raja kelima dari Dinasti Al Saud, beroleh takhta.

Kedudukan Sudairy sangat utuh apatah lagi marga ini menguasai Jabatan Pertahanan, Rejimen Pengawal Raja, pihak polis Arab Saudi, dan banyak kedutaan besar Arab saudi di seluruh dunia dibanjiri oleh klan Sudairy.

Sementara itu, marga Shammar dilihat lebih dekat dengan faham Syiah. Terdapat 15 peratus penganut faham Syiah di Arab Saudi dari sejumlah 25 juta rakyatnya. Terdapat khabar angin mendakwa ibu Raja Abdullah, Fahda, yang memang diketahui berasal dari keturunan suku Shammar (Fahda adalah puteri ketua marga Shammar, Asi Shuraim) adalah penganut faham Syiah. Raja Abdul Aziz telah mengahwini empat perempuan dari Al Shammar untuk meredakan segala kemungkinan suku yang rapat dengan Syiah ini menuntut kekuasaan. Akan tetapi, itu juga memberi kelebihan buat al Shammar hari ini. Ini kerana sistem politik Arab Saudi bergantung rapat dengan kekuatan sesebuah suku atau klan dengan raja dan keluarganya. Ekoran dari itu suku Shammar telah menampakkan taringnya sejak 2005, iaitu ketika Raja Abdullah menaiki takhta.

Perlu diketahui, bekas Raja Arab Saudi, Raja Abdul Aziz mempunyai 32 orang isteri dari suku Saudi yang berpengaruh dan dikurniai tujuh orang puluh anak.

Kematian Raja Fahd bin Abdul Aziz pada bulan Ogos 2005 membolehkan suku Shammar membuat percaturan yang lebih penting dalam menempatkan setiap warga sukunya di pangkalan kekuasaan Arab Saudi. Oleh kerana sistem politik suku ditentukan oleh pengaruh suku berdasarkan jumlah laki-laki serta jumlah kerabat yang terhasil dari perkahwinan dengan anggota suku yang lain; Shammar dan Sudairy menjadi dua suku yang paling berpengaruh. Ini kerana bekas Raja Saudi telah memilih sebahagian besar isteri-isterinya daripada kedua-dua puak tadi.

Rapatnya Putera Bandar Saudi dengan George Bush
menyebabkan beliau diberi jolokan 'Bandar Bush'.
Salah seorang kerabat Raja Arab Saudi, Putera Bandar bin Sultan ibunya pula adalah seorang etnik Afrika yang asalnya bekerja dengan keluarga kerajaan Saudi. Putera Bandar inilah yang mempunyai hubungan rapat dengan Parti Republikan di Amerika Syarikat. Beliau juga adalah Ketua Majlis Keselamatan Nasional Arab Saudi sehingga tahun 2005, merupakan Duta Besar Saudi untuk Amerika S yarikat selama dua puluh dua tahun dan salah seorang sosok paling berpengaruh dalam dinasti Al-Saud. Adalah diketahui Putera Bandar dan keluarga Bush merupakan rakan kongsi perniagaan dalam industri minyak Texas yang bernilai lebih 500 juta dollar. Putera Bandar dikatakan membiayai kempen pemilihan George W. Bush selama dua penggal. Yang mengakibatkan George W. Bush berasa sangat terhutang budi kepada dinasti Saudi.

Menekuni sistem suku Dinasti Saud yang menebarkan lebih enam ribu ahli keluarga diraja pelbagai suku kepada pelbagai pos penting, ada kemungkinan kematian Raja Abdullah kelak boleh mengakibatkan satu perebutan kuasa yang dahsyat (secara senyap mahupun terang-terangan).

Untuk berdepan dengan kemungkinan suku Shammar yang lunak dengan Syiah mengambil alih peranan di Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Zionis sedang melobi Putera Nayef yang berumur 77 tahun iaitu Timbalan Perdana Menteri II dan bekas Menteri Dalam Negeri sebagai pengganti Raja Abdullah. Nayef dianggap paling selamat memandangkan sedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam pelbagai urusan. Menteri Luar Negeri Saudi, Saud al-Faisal misalnya dijangkiti penyakit Parkinson, sementara Putera Bandar yang digemari Washington itu sedang menderitai kanser.

Nah, sekiranya Omar Suleiman berjaya dinaikkan menggantikan Hosni Mubarak di Mesir dan Putera Nayyef dapat ditabalkan sebagai Raja baharu Arab Saudi, pengaruh Amerika Syarikat dan Zionis akan dapat dikekalkan di Timur Tengah untuk satu lagi tempoh. Akan tetapi sekiranya Hosni Mubarak dijatuhkan dan rakyat Mesir menolak Omar Suleiman sebagai pengganti, dalam masa yang sama pula Raja Abdullah di Saudi meninggal dunia secara mengejut tanpa dapat digantikan dengan Putera Nayyef, Amerika Syarikat dan Zionis berdepan dengan masalah.

Maksud saya, masalah yang sangat besar.

Boneka Amerika beratur.

* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2011 14:11

February 11, 2011

Mesir: Sekejap, Belum Lagilah Kawan-Kawan

19 Mei 2008, Hosni Mubarak berjabat dengan tangan berlumuran darah, Menteri Pertahanan Zionis, Ehud Barak sambil ditemani Menteri Pertahanan Mesir Mohammed Hussein Tantawi di Sharm el-Sheikh.

Mubarak ke mana? Tidak ke mana-mana. Masih di situ juga. Kuasa Mubarak sebagai Presiden dipindahkan kepada Supreme Council of the Egyptian Armed Forces, yang diketuai oleh Jeneral Mohammed Tantawi (foto di atas).

Apa yang berubah? Apa yang revolusinya?

Siapa selepas dikau?



* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 11, 2011 20:54

Faisal Tehrani's Blog

Faisal Tehrani
Faisal Tehrani isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Faisal Tehrani's blog with rss.