Faisal Tehrani's Blog, page 17

December 15, 2010

LRT











Hairan, Iran disekat ekonominya oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, tetapi ia tetap membangun dan maju dengan penuh gaya. Foto-foto LRT di Tehran.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 15, 2010 10:09

Ali Asghar

"Hai para pengikut keluarga Abu Sufyan, jika kalian menganggapku sebagai pendosa kerana tidak mahu menerima pemerintahan Yazid yang maksiat itu, lantas dosa apakah yang dibuat oleh bayi ini sehingga setitis air pun tidak kalian berikan untuknya yang sedang mengerang kehausan.

* Petikan adegan pembunuhan Ali Asghar, anak Saidina Husin yang baru berusia 6 bulan
dari naskah drama Karbala oleh Faisal Tehrani, 2008.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 15, 2010 05:16

December 14, 2010

Menangislah, Ia Sunnah Nabi (Bahagian Akhir)

Rasulullah saw menangisi dan meratapi puteranya Ibrahim, seperti yang diriwayatkan oleh Abdurrahman bin 'Auf, dia berkata : "Dan Anda Ya.. Rasulullah?" dan bersabda : "Wahai Ibn 'Auf sesungguhnya (tangisan itu) adalah rahmah" dalam sabda lainnya beliau menjelaskan:

إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ ، وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ ، وَلاَ نَقُولُ إِلاَّ مَا يَرْضَى رَبُّنَا ، وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ

"Sesungguhnya mata itu mencucurkan air mata, dan hati bersedih, dan kita tidak mengatakan (memerintahkan/meyakini) kecuali apa-apa yang menjadi keredhaan Allah, dan sesungguhnya aku adalah orang yang bersedih dikeranakan perpisahanku dengan Ibrahim (puteraku)."

Lihat Shahih Bukhari Bab Janaiz no 1303 (Shamilah), atau Shahih Bukhari jilid II, hlm 85 Darul Fikr, Beirut.

Dalam Musnad Ahmad bin Hanbal diperikan bahawa ketika kembalinya Rasulullah saw dari Perang uhud dan beliau melihat para wanita Ansar menangisi suaminya yang terbunuh di perang Uhud, lalu bersabdalah Rasulullah saw : وَلَكِنْ حَمْزَةُ لَا بَوَاكِيَ لَهُ

[Akan tetapi tak ada (seorangpun) tangisan buat Hamzah (bapa saudara Rasulullah saw) yang setia dalam setiap perjuangan)] setelah itu mereka terdiam kemudian mereka menangis lagi, dan tangisan itu adalah untuk meratapi Hamzah (bukan yang lainnya).

Kalimat وَلَكِنْ حَمْزَةُ لَا بَوَاكِيَ لَهُ mengandungi erti lain juga iaitu "jangan lupa juga menangisi Hamzah" dan di sini secara tidak langsung ia menyarankan kita untuk menangisi pejuang Islam serta celaan bagi yang meninggalkannya.

Seperti halnya tangisan Saidatina Fatimah Zahra atas kematian Ja'far ra (manusia mulia), sehingga Nabi saw bersabda:

على مثل جعفر فلتبك البواكي

Disini, kita boleh melihat kemuliaan Ja'far sehingga Fatimah Zahra permaisuri di syurga pun menangisinya.

Lihat Musnad Ahmad no. 4984 (Shamila), Atau Musnad Ahmad jilid ke-2 hlm ke-40, Darul Fikri, Beirut. Juga Istii'ab fi Ma'rifat Al-Ashhab jilid ke-1, hlm. 243.

Ummul Mukminin Aisyah meratapi pemergian ayahandanya, Khalifah Abu Bakar. Tarikh Tabhari disanadkan daripada Sa'id dikatakan bahawa: Ketika wafatnya khalifah pertama Abu Bakar, 'Aisyah meratapi dan menangisi pemergian ayahnya itu, setelah itu datanglah khaliah kedua Umar bin Khatab dan melarang mereka (para wanita) yang ikut menangisi kewafatan Abu Bakar. Mereka tidak mempedulikannya lalu mereka berhenti, lalu berkatalah Umar kepada Hisyam Ibnu Al-Walid: "Masuklah (Ibnu Hisyam) dan keluarlah (menghadapku) Puteri Abi Qahafah". Dan 'Aisyah berkata terhadap Hisyam setelah mendengar ucapan Umar: "Sesugguhnya saya melarang kamu memasuki rumahku", Lalu berkata Umar kepada Hisyam: "Masuklah saya mengizinkanmu (untuk masuk)", lalu masuklah Hisyam dan keluarlah Ummu Farwah saudara Abu Bakar menuju Umar, dan memukulnya, berkali-kali, dan tercerai-berailah orang-orang yang menangisinya itu. Dan hal ini berkait dengan taqrir Nabi saw ketika wanita Anshar menangisi para suaminya yang syahid di perang Uhud ketika Rasul saw bersabda: وَلَكِنْ حَمْزَةُ لَا بَوَاكِيَ لَهُ dan juga ketika meninggalnya Ja'far ra serta menangisnya para wanita termasuk Sayyidah Zahra r.a dengan sabdanya:

على مثل جعفر فلتبك البواكي disertai dengan ، وَإِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ ketika meninggalnya salah seorang puteri kesayangannya.

Lihat Tarikh Tabhari, hlm 348-349, juz 2 (Shamila), atau juz 2, hlm 614 (Zikr Wafat Abu Bakar), Beirut Al-A'lami.

As-Syafi'e di dalam bab indzar An-nabi saw dan selanjutnya di dalam kitabnya A'laamu an-Nubuwwah daripada 'Urwah daripada 'Aisyah berkata: Ketika itu Al-Husein menemui nendanya Rasul saw dan datang Jibrail menyampaikan khabar kepada rasul saw:

"Sesungguhnya umatmu akan tercerai berai setelahmu dan mereka akan membunuh puteramu yang ini (Al-Husein) peristiwa tersebut akan terjadi setelah engkau meninggal dunia, kemudian Jibrail as menghulurkan tangannya dan memberikan tanah putih, dan malaikat bersabda: Di tanah ini lah akan terbunuh puteramu (Al-Husein). Dan nama tanah itu adalah tanah "الطف "(Karbala yakni di tepi sungai).

Setelah itu 'Aisyah ra melanjutkan : setelah Jibrail as pergi lalu keluarlah Rasul saw menuju sahabat-sahabatnya dengan membawa tanah di tangannya, pada saat itu yang hadir Abu Bakar, Umar, Ali, Hudzaifah, Usman, Abu Dzar, dan Rasulullan saw dalam keadaan menangis, dan bertanyalah para sahabat : Apa yang kau tangisi wahai Rasulullah saw? Dan bersabda Rasul:

"Jibrail telah mengkhabarkan kepadaku bahawa puteraku Al-Husein akan terbunuh setelah kewafatanku dengan tanah yang bernama" الطف "(Karbala-yakni di tepi sungai), dan Jibrail datang memberiku tanah ini dan mengkhabarkanku bahawa kejadian itu di dekat muara sungai.

Bahkan di halaman selepasnya diceritakan bahawa Rasul mengisyaratkan kepada 'Aisyah ketika terbunuhnya Al-Husein di Karbala maka tanah itu akan memerah.

At-Tirmidzi juga menuliskan hadis tersebut dalam sunannya bahawa pada saat itu Ummu Salamah ra melihat Nabi saw menangis dalam keadaan tidur di mana pada kepala dan janggutnya terdapat tanah dan berkata : "Al-Husein akan terbunuh yang tak ada kejadian sebelumnya."

Lihat A'lam An-Nubuwwah, bab ke-12, hlm. 23. Mu'jam Al-Kabir jilid III, hlm. 107, hadis ke 2814 dan 2815 (Shamila), Al-Haisyami di dalam Majma' Az-Zawaid jilid 9, hlm. 188.Sunan At-Tirmidzi, Jilid 5, hlm 223, hadis ke-3860; Al-Bukhari dalam Tarikh Al-Kabir jilid III hlm. 324, hadis 1098; Al-Mustadrak Al-Hakim jilid IV, hlm 19juga pada Musnad Ahmad juz I , hlm. 283
Di dalam kitab Al-Mu'jam Al-Kabir, Rasulullah saw telah bersabda:
حسين مني و أنا من حسين أحب الله من أحب حسينا حسين سبط من الأسباط
Husin daripadaku dan aku pula daripada Husin, Allah mencintai siapa saja yang mencintai al-Husin adapun al-Husin adalah keturunanku putera puteriku (az-Zahra).

Lihat Al-Mu'jam Al-Kabir juz 22, hlm 274, hadis ke 702

Tentunya tangis dan ratap Nabi tersebut satu institusi, malah budaya. Kerana Nabi tidaklah pernah melaksanakan sesuatu baik itu ucapan, apa yang dilihat dan dilakukannya serta yang didengarnya (baik tangisan ataupun kegembiraan) selain dari pada izin dan keredhaan Allah SWT, seperti yang difirmankan Allah SWT :

وَما يَنْطِقُ عَنِ الْهَوى "dan dia tidak berbicara menurut kemahuan hawa nafsunya"
إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوحى "Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)"
ما كَذَبَ الْفُؤادُ ما رَأى "Hatinya (yang bersih) tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya"
لَقَدْ كانَ لَكُمْ في‏ رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ "Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu terdapat suri teladan yang baik bagimu"


Kesedihan dan kejutan itu fitrah dan sangat spontan sifatnya. Bukankah sesuatu yang mengejutkan, malah mendukacitakan apa yang menimpa cucunda Nabi Muhammad saw itu? Bukankah ia perlakuan yang dirakam al-Quran dan merupakan aksi isteri seorang rasul (merujuk perihal Siti Sarah)? Jika gembira dan teruja diizin untuk beraksi sedemikian, apatah lagi tatkala duka dan sebak pilu melanda kalbu?

(Mendengarkan berita yang mengembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: "Aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?" - Az zariyat ayat 29.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 14, 2010 09:30

December 13, 2010

Menangislah, Ia Sunnah Nabi (Bahagian 2)

Menangis demi menegakkan kebenaran adalah perilaku orang-orang beriman:

Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w) - Al Maa'idah ayat 83.


Jihad Saidina Husin di Karbala adalah jihad yang agung. Tangisan dengan sebab untuk menakutkan lawan dan mengenang kesyahidan tentulah sebuah tuntutan. Menangis dapat menjadi satu penyataan jihad yang amat meruntun perasaan. Sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW sendiri menangis:

Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah) - At Taubah, ayat 9.

Menangisi pengorbanan Saidina Husin dalam menegakkan agama Islam yang dibawa nendanya tentulah sesuatu yang tidak ada keraguan padanya. Tangisan adalah puncak penyataan politik kita kepada orang munafik:

Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: "Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini". Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan - At Taubah 82-83.

Tangisan ada banyak fungsinya. Klik sini dan sini.Tidak ada salahnya meratap menangis, Allah berfirman 'Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.' - an Najm, 43.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 13, 2010 16:20

Menangislah, Ia Sunnah Nabi (Bahagian 1)

Sesungguhnya wajar menangisi kesyahidan Saidina Husin sebagai satu aduan kepada Allah swt, bahawa sungguh kejam dan zalim mereka membunuh cucunda Nabi Muhammad saw. Salah apakah menangis? Sedangkan Nabi Yaakub a.s sendiri menangis santak buta dan tidak ditegah Allah. Ketahuilah tangisan Yaakub a.s itu juga adalah protes kepada anak-anak derhakanya:

'Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.

Mereka berkata: "Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa".

(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.' - Yusuf ayat 84-86.

* Klik sini dan sini juga di sini; untuk memahami sedikit tentang apa yang ditangisi.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 13, 2010 06:00

December 12, 2010

Wikileaks: Rupa-Rupanya Aisyah Pun Meratap!

Semalam sedang saya membelek kitab-kitab yang ada, saya menyedari sesuatu: Aisyah, isteri baginda Rasulullah saw sendiri meratap dan meraung.

Bahawa Aisyah setelah wafatnya Rasulullah saw berasa sugul dan bersedih lalu menampar mukanya bersama kumpulan wanita lain yang hadir saat kewafatan Rasulullah saw itu. Ia diisytihar sebagai 'hasan'. Terkandung dalam Sirah Ibn Ishaq halaman 713 (sila klik imej untuk lebih jelas):


Juga dalam Sirah Ibnu Hisyam halaman 655:

Sebenarnya, peristiwa ini turut termuat dalam Bidayah wa al Nihayah oleh Ibnu Katsir. Maka, saya terfikir; mengapakah kita tidak putus-putus menuduh pengikut syiah sebagai sesat apabila mereka meratap dan meraung menangisi kesyahidan Saidina Husin (cucu Rasulullah saw)? Sedangkan perbuatan tersebut ada dalam tradisi sunni kita sendiri.

Saya juga diberitahu oleh seorang sahabat yang sedang membuat PhD dalam bidang hadis bahawa, sahabat Rasulullah saw bernama Abdur Rahman bin Auf, pernah satu hari dijamu makanan lazat. Tiba-tiba di hadapan hidangan beliau menangis. Apabila ditanyakan apakah sebab musababnya ia menangis, beliau memberitahu, 'Adalah aku teringat akan sahabat kita Mus'ab bin Umair yang telah terkorban sebagai syahid. Dia ternyata lebih baik daripadaku. Walaupun demikian apabila dia terbunuh dalam perang Uhud itu tiada kain kapan yang cukup untuk menutupinya. Apabila ditutup kepalanya kedua kakinya akan terdedah dan apabila ditutup kakinya, wajahnya pula akan terdedah. Aku bimbang segala nikmat dunia yang dianugerahkan ini merupakan suatu yang telah disegerakan oleh Allah untuk dunia kita. Dan di akhirat kelak, kita tidak akan memperolehi lagi nikmat-nikmat. Lantas semua yang hadir menangis bersama-sama dengannya. (Riwayat Muslim)

Di mana sesatnya saudara-saudara kita syiah, katakan, Presiden Ahmadinejad tatkala ia menangis mengenang peristiwa terkorbannya Saidina Husin di Karbala? Tidakkah peristiwa itu lebih memilukan berbanding kesyahidan Mus'ab bin Umair?

Hari ini sedang saya membelek kitab-kitab yang ada, saya menyedari sesuatu. Tuan-tuan, kita, sunni, telah berlaku tidak adil kepada saudara-saudara kita syiah. Selama ini kita telah 'menzalimi' mereka kerana kejahilan kita.

Lihatlah apa yang berlaku apabila kita membiarkan kejahilan dihormati. Akibat dari perbuatan tersebut mereka telah tertindas.

Dan ekoran dari itu juga musuh-musuh Islam telah mendapat manfaat.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 12, 2010 19:00

December 10, 2010

Saya Bocorkan Rahsianya, Bagaimana Pengaruh Syiah Boleh Dimusnahkan?

Tahukah anda, orang-orang syiah jika mereka bersengketa dan bergaduh seburuk mana sekalipun, mereka akan bersatu dalam satu hal. Dan satu hal inilah yang menjadi tali pengikat yang sampai kini mustahil digunting ceraikan.

Tali pengikat itu adalah menangis demi Husin.

Dr. Michael Brant, seorang ejen CIA menawarkan penyelesaiannya dalam laporan bertulis A Plan to Divide and Destroy The Theology. Kesimpulan beliau, hentikan syiah dari menangis. Kekuatan mereka akan luntur dan mudahlah Islam seluruhnya diluluh. Untuk makluman, CIA kurang mempedulikan kita orang-orang sunni. Ini kerana 1) kita tidak bersatu. Kita sunni tidak seperti syiah yang bersatu di bawah kepimpinan seorang ketua. Orang syiah bersatu di sebalik Aketua mereka, Ayatullah al Uzma Ali Khamenei. Juga kerana 2) oleh kerana kita , sunni, bercempera maka mudahlah mereka melantak kita. Sebagai contoh, belum ada gerakan sunni yang berjaya melawan kuasa barat dan tirani di dunia moden ini.

Akan tetapi syiah nampaknya lain. Meski mereka kadang-kala bergaduh dan berbalah; setahun sekali, apabila Muharam tiba mereka akan bersatu dalam tangisan.

Ramai orang menyangka penganut syiah menangis kerana mereka kaki meratap seperti orang gila. Berdasarkan kajian saya, ini adalah tidak benar. Orang syiah percaya, menangis membuktikan ketinggian kedudukan rohani seseorang itu. Kita sunni pun percaya perkara ini. Kitakan sudah pernah mendengar kata-kata, gelak ketawa mematikan hati sedang tangis sedih menyuburkan hati (kerana mengenangkan amal yang masih kurang.)

Baik, berbalik kepada perangai orang syiah yang suka menangis.

Menurut seorang ulama syiah, Ayatullah Taqi Misbah Yazdi, (foto) orang syiah menangis untuk menuju empat tingkatan spiritual. 1) Mereka berusaha mencapai keredhaan (ar-rida'), 2) Mereka berkehendak kepada kebenaran (ash-shidiq), 3) Mereka menangis memohon petunjuk (al-hidayah) dan 4) Orang syiah menangis dalam proses pemilihan (al-isthifa'). Ayatullah Taqi Misbah Yazdi seterusnya menghuraikan para nabi-nabi telah mencapai empat tingkatan spiritual yang tinggi ini. Ini berdasarkan ayat al-Quran, "Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al-Qur'an al-Karim dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud, dan mereka berkata, 'Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi.' Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." (Al-Isra': 107-109). Melalui ayat ini, Ayatullah Taqi Misbah Yazdi menegaskan orang syiah menangis bukan kerana mereka tiada kerja lain. Akan tetapi mereka menangis kerana ilmu dan makrifat. Bahawa ilmu dan makrifat itulah penyebab timbulnya tangisan. Sebagai contoh ketika orang syiah mengenang akan kesyahidan Saidina Husin, setiap mereka akan mengetahui hakikat sesuatu meski berbeza-beza dapatannya, dengan itu mereka pun mengetahui hakikat kenabian Rasulullah SAW dan seterusnya mengetahui hakikat kesyahidan Imam Husin. Tiap kali mereka berasa terketuk hati oleh pengetahuan seperti yang terjelma dalam surah al Isra' maka hati mereka menjadi peka, dilanda emosi dan mata mereka pun mulai mengucurkan tangisan.

Bukankah Rasulullah ada bersabda, "Seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis." Di ayat lain Allah berfirman, "Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul, kamu melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran yang telah mereka ketahui (Al-Maidah: 83).

Orang syiah juga percaya falsafah tangisan ada pada ayat ini: 'Apakah kamu merasa heran terhadap pemberitaan ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis?' (An-Najm: 59-60)

Orang syiah berbeza daripada kita sunni, kerana selepas al-Quran dan hadis; mereka merujuk ahlul bait sebagai sumber asas ajaran mereka. Oleh itu jika kita membandingkan mereka dengan kita tentulah kurang tepat, kerana memang mereka berbeza dari segi rujukan.

Menurut rujukan syiah, cucunda Rasulullah saw, bernama Zainab (setelah kesyahidan saudaranya Husin dengan cara yang kejam) telah bertindak menyatakan protes dalam senyap yang berkesan iaitu dengan menangis sambil menghantukkan kepalanya kepada tiang penyangga yang digunakan untuk menawan dan mengurung beliau. Tindakan beliau itu menyebabkan pendarahan yang banyak di kepala serentak dengan perarakan masuk membawa kepala Saidina Husin yang telah dipenggal ke dalam kota Kufah. Perbuatan itu menjadi ikutan orang di Kufah yang kesal kerana gagal mempertahankan Saidina Husin dari dibunuh. Zainab terus melakukan perkara yang sama tatkala rombongan beliau yang ditawan itu digiring ke Damsyik untuk menghadap Yazid. Saya difahamkan bahawa aksi Zainab ini menurut sumber rujukan syiah adalah dikira sahih seperti yang diriwayatkan oleh 'Allamah al-Majlisi dan Sheikh al-Shari'ah al-Isfahani. Riwayat ini misalnya dilaporkan dalam Bihaar al-Anwaar jilid 45, halaman 114. Dan dalam Jalaa' al-'Oyun; jilid 2, halaman 238, Zaynab al-Kubra; halaman 112, Asraar al-Shahadah; halaman 474, Al-Muntakhab; jilid 2, halaman 478, dan dalam Nusrat-ul-Madhlum; halaman 18.

Berdasarkan kajian saya, dalil perkabungan untuk mengenang Saidina Husin juga ada dalam tradisi sunni kita. Lihat Sahih Tirmidzi hadis bernombor 3860. Terdapat hadis menggambarkan kedukaan Rasulullah saw sehingga kepala dan muka baginda dipenuhi debu. Saya telah mengemukakan pun hadis penuh tersebut dalam entri sebelum ini. Namun untuk kepuasan merujuk, saya turunkan sekali lagi: Abu Said al-Asyajj menceritakan kepada kami, Abu Khalid al-Ahmar memberitahukan kepada kami, Razin memberitahukan kepada kami, dia berkata Salam menceritakan kepada kami, dia berkata: Aku masuk menghadap Ummu Salamah sedangkan dia tengah menangis lalu aku berkata: Apa yang membuat kamu menangis? Dia berkata: Aku bermimpi melihat Rasulullah SAW, sedangkan di atas kepala dan janggut beliau terdapat debu. Lalu aku bertanya: Apa yang terjadi pada engkau Wahai Rasulullah. Beliau bersabda: "Aku baru saja menyaksikan pembunuhan Al-Husin."

Selain itu, sumber sunni dan syiah kedua-duanya menceritakan perihal sahabat Rasulullah saw bernama Uwais al-Qarni yang sangat mencintai baginda Nabi Muhammad saw. Sebaik sahaja berita Rasullullah cedera serta patah 2 gigi di medan Uhud tiba di telinga beliau (Uwais tinggal di Yaman), Uwais serta merta mencabut satu demi satu giginya merasakan ia tidak memadai, beliau mencabut semua giginya sebagai aksi kesedihan mengenangkan kecederaan baginda Rasul. Apabila Rasulullah saw kemudian dimaklumkan tentang insiden ini, baginda Rasulullah saw mengisytiharkan Uwais adalah sahabatnya yang setia. Kisah ini dapat ditemukan dalam 'Sirat Halbia' jilid II, halaman 295. Untuk makluman tuan-tuan, Uwais adalah sahabat Rasulullah saw yang diiktiraf sahabat meskipun beliau tidak pernah menemui baginda secara fizikalnya. Ini kerana Uwais tinggal berjauhan dari Madinah.

Ulama Sunni terkemuka, Farid al Din Attaar dalam 'Tadhkhirah tul Awliya' melaporkan apabila Uwais kemudiannya bertemu dengan Umar Khattab, beliau mengatakan kepada Umar:

"Jika kau benar-benar sahabat kepada Rasulullah maka mengapa pada hari patahnya gigi Rasulullah kau tidak mematahkan gigimu sebagai satu penyataan persahabatan? Kerana itulah bukti persahabatan. Uwais menunjukkan giginya. Aku mencabut seluruh gigiku walaupun aku tidak pernah menemuimu wahai Rasulullah saw dan bersahabat denganmu secara ghaib. Aku mencabut sebatang gigiku tetapi aku tidak dapat memuaskan hatiku maka aku mencabut satu demi satu sehingga tertanggal semuanya."

Saya mendapati insiden Uwais yang 'ekstrim' ini merupakan satu hujah yang menarik. Pertama, Uwais tidak pernah menemui Rasulullah saw secara sedar. Kedua, Uwais melakukan perbuatan mencederakan diri secara sengaja dengan sedar. Ketiga, secara sedar juga apabila insiden ini dimaklumkan kepada Nabi Muhammad saw, baginda telah memberi 'reward' kepada Uwais iaitu memberikan beliau gelar 'sahabat' yang hanya diperolehi oleh mereka yang hidup bersama Rasulullah saw sahaja.

Walaupun begitu, sila beri perhatian, terdapat banyak bentuk perkabungan dalam kalangan orang syiah. Di Iran dan Lubnan, perkabungan yang lazim dan dibenarkan oleh para ulama terkemuka mereka ialah - sekadar menangis dan meratap - sandarannya adalah Rasulullah saw sendiri menangisi Husin seperti yang telah ditunjukkan menerusi hadis Ummu Salamah (dari rujukan sunni, Tirmidzi, yang terdapat di atas). Kadang kala mereka menjadi lebih kreatif dalam perkabungan dengan melakukan pementasan dan perarakan (semacam reenactment peristiwa di Karbala). Tuan-tuan perlu memahami reenactment kejadian Karbala ini menjadi satu tools pendidikan sangat berkesan buat generasi muda mereka (lihat foto di atas).

Namun, umat syiah di Iraq, Pakistan, Afghanistan dan India memilih untuk berpegang kepada insiden Zainab al Kubra dan Uwais al Qarni seperti yang telah saya nukilkan di atas. Justeru kita akan melihat beberapa aksi yang ekstrim daripada mereka. Saya tidak nafikan, saya sendiri sebagai pengkaji berasa gerun.

Pada pandangan saya, sementelahan mereka berbeza, dan selagi mereka mempunyai dalil untuk berpegang, serta masih berpaut dan mengikat diri dengan Allah dan Rasulullah saw (akidah yang sama dengan kita, sunni); maka tidak wajar untuk kita melenting menghukum tanpa mengkaji terlebih dahulu. Mereka mendakwa mereka mencederakan diri demi kecintaan kepada Saidina Husin, maka biarlah Saidina Husin yang menerima atau menolak aksi mereka itu. Tidak usahlah kita yang bukan sesiapa ini menghukum pula. Sudahlah kita tidak berkabung mengenangkan Saidina Husin, kita malah tidak mengenal pun sejarah baginda.

Tuan-tuan, azadari atau perkabungan inilah rahsianya pengaruh syiah. Dan inilah yang ingin dimusnahkan oleh CIA.

Nah, Dr. Michael Brant, ejen CIA yang mengkaji dan menekuni kekuatan syiah berbanding sunni dalam laporannya "A Plan to Divide and Destroy the Theology" menemukan satu 'gunting' untuk memutuskan orang-orang syiah yang kuat menangis ini.

Menurut kajiannya, orang syiah tanpa mengira fahaman politik, kawan seteru, kelas dan keturunan akan selalu berhimpun untuk mengingati tragedi Karbala. Dalam majlis peringatan itu, biasanya seseorang akan berceramah dan menukilkan kembali sejarah tragedi Karbala, sambil hadirin pun mendengarkannya. Pada saat itu, menurut Dr Brant lagi, orang syiah akan dirasuk kesedihan (kita telah menghuraikan kenapa mereka melakukan begitu dalam perenggan-perenggan di atas) lalu spontan memukul dada dan melakukan 'upacara kesedihan' (seperti yang sebutkan, dalam tradisi mereka dipanggil, azadari).

Dr Brant memutuskan, penceramah dan para pendengar ini sangat penting untuk 'dicemarkan'. Ini kerana, azadari seperti inilah yang selalu menciptakan semangat dan gelora penganut syiah justeru mendorong mereka untuk selalu siap memerangi kebatilan demi menegakkan kebenaran. Hal ini telah saya sentuh secara ringkas dalam entri ini, klik sini.

Maka pelan CIA hasil saranan Dr Brant ialah sembilan perkara:

1. Amerika harus mencari tokoh syiah yang ada sifat materialistik dan memiliki tunjang akidah yang lemah. Bagaimanapun tokoh ini tetap memiliki kemasyhuran dan kata-kata yang berpengaruh. Menerusi tokoh-tokoh inilah CIA berharap dapat menyusupi upacara-upacara azadari (wafat para Imam Ahlul Bait).

2. Daya eksternal yakni Amerika harus menaja dan mendana terus para penceramah dan agamawan sunni yang tidak begitu banyak mengetahui akidah syiah supaya dapat menimbulkan bibit rasa tidak senang sunni terhadap mereka.

3. Daya internal yakni CIA mesti mencari sejumlah orang syiah yang memerlukan duit segera, lalu memanfaatkan mereka dalam kempen anti-syiah. Orang syiah yang akan diajar berkhianat ini akan melemahkan dasar-dasar doktrin syiah sambil melemparkan kesalahan kepada para Marja (ulama rujukan masyarakat Syiah).

4. Orang syiah yang memerlukan wang ini harus diajar dan disuntikkan dalam fikiran mereka bahawa praktik azadari adalah tidak sesuai, dan bertentangan dengan ajaran syiah yang sebenarnya. Hal ini akan dibantu oleh daya eksternal di mana sesetengah orang syiah akan berasa rendah diri, malu atau terpukul ekoran ulama sunni yang mengecam perlakuan azadari mereka.

5. CIA harus membesar-besarkan keburukan aksi azadari sehingga muncul kesan bahwa orang syiah ini adalah kelompok manusia bongok, penuh khurafat, tahyul-sesat di mana pada bulan Muharram melakukan hal-hal yang mengganggu orang lain.

6. Untuk itu, CIA perlu disediakan dana besar, supaya dapat membiayai penceramah baik dari sunni mahupun syiah yang dapat menistakan praktik azadari. Ini supaya mazhab syiah yang logika menjadi sumber keempatnya selepas al-Quran, hadis dan sunnah ahlul bait dapat ditampilkan sebagai suatu mazhab yang sebenarnya tidak logis, palsu dan mengelirukan. Hal ini akan menjelmakan perpecahan di antara mereka dengan sendirinya.

7. Apabila kesatuan mereka sudah genting, sediakanlah gunting iaitu sedikit daya ketenteraan dan perisikan.

8. Kerja perisikan CIA akan bertugas untuk mengucurkan dana besar bagi membaja dan mempropagandakan informasi palsu. Misalnya akan ada laman tertentu memburukkan Ayatullah Ali Khamenei.

9. Akhir sekali berbagai subjek anti-Marjaiyah (anti ulama syiah) harus disusun untuk syiah dan sunni, lalu disebarkan kepada masyarakat secara meluas. Biarkan, maklumat jahat itu akan beredar sendirinya sebagai contoh di alam maya. Marjaiyah (kepimpinan ulama) yang merupakan pusat kekuatan Syiah, dengan itu akan dimusnahkan. Akibatnya, para pengikut syiah akan bertebaran tanpa arah, menjadi seperti saudara mereka sunni lalu mudah untuk CIA menghancurkan mereka.

Tulisan saya ini tidaklah bermaksud membela syiah. Sudah masanya kita memahami satu sama lain. Mereka nampaknya berpegang kepada dalil sendiri. Sebagai ahli akademik adalah menjadi tugas saya mengkaji dan menulis dapatan tersebut buat manfaat keilmuan. Sebarang baik dan buruk terletak di dalam benak dan kalbu tuan-tuan untuk menilainya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 10, 2010 20:31

Siapa Menabur Debu di Kepala Rasulullah SAW?

"Dalam Sahih Tirmidzi hadis bernombor 3860: Abu Said al-Asyajj menceritakan kepada kami, Abu Khalid al-Ahmar memberitahukan kepada kami, Razin memberitahukan kepada kami, dia berkata Salam menceritakan kepada kami, dia berkata: Aku masuk menghadap Ummu Salamah sedangkan dia tengah menangis lalu aku berkata: Apa yang membuat kamu menangis? Dia berkata: Aku bermimpi melihat Rasulullah SAW, sedangkan di atas kepala dan janggut beliau terdapat debu. Lalu aku bertanya: Apa yang terjadi pada engkau Wahai Rasulullah. Beliau bersabda: "Aku baru saja menyaksikan pembunuhan Al-Husin."
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 10, 2010 08:08

December 9, 2010

Kekuatan Kita Poco-Poco, Kekuatan Mereka Tangisan

Jika ada pemimpin negara kita galak menari poco-poco, isterinya pula menyanyi lagu-lagu retro, anak-anaknya pula berpeleseran di barat dunia, sambil pengikutnya menjadi model catwalk show; apakah bakal diharapkan pada sebuah masyarakat dan umat sebegini?

Berhenti sekejap.

Merenung.

Kita tidak akan ke mana.

Kita sedang tidak menentu hala.

Apakah rahsia kekuatan Iran.

Beberapa bulan ini saya mengenengahkan buat kalian kekuatan Iran dalam segenap bidang. Sehingga ia menjadi kuasa besar yang menggerunkan dan dihormati. Apakah rahsia kesederhanaan pemimpinnya, iaitu Dr Ahmadinejad?

Saya akan memberitahu anda sejarah dan falsafahnya.

Rahsia mereka ialah tangisan.

Tangisan dan ratapan menjadi sesuatu yang sangat sentral dalam politik dalaman mahupun luar, Republik Islam Iran. Mereka menangis samada kerana ditindas oleh kuasa luar dan kerana mazhab anutan mereka menekankan bahawa tangisan adalah sumber kekuatan. Kerana orang yang menangis dan meratap akan selalunya bangkit.

Dalam sejarah, Naser al-Din Shah Qajar telah ke Karbala dan sebelum menjejaki makam Saidina Husin, beliau bertitah kepada Perdana Menterinya (he was the type of perdana menteri that does not dance poco-poco in his leisure time for sure). Titah Naser al-Din Shah Qajar, 'Carikan aku seseorang yang dapat menceritakan kembali sejarah Karbala supaya aku dapat menangis.'

Perdana Menteri telah mencarikan beberapa orang tukang khabar. Setiap seorang menceritakan kembali tragedi Karbala dan peristiwa syahidnya Saidina Husin cucunda Rasulullah SAW.

Akan tetapi Shah tidak menangis. Tidak seorang pun tukang khabar dapat membuatkan baginda menangis.

Perdana Menteri menjadi bimbang dan takut. Ia memberitahu tukang khabar, 'Jika tiada sesiapa yang dapat melunasi kehendak baginda tentulah baginda akan murka.'

Waktu itu kemurkaan raja tidak akan berakhir dengan wawancara, titah amaran atau pelucutan gelaran sahaja; natijahnya jauh lebih buruk.

Penduduk Karbala memberitahu Perdana Menteri, 'Bahawa ada seorang lelaki tua yang kurang terkenal. Akan tetapi lelaki tua ini berpengalaman dan bijak.'

Lelaki misteri ini kemudian menenangkan Perdana Menteri, 'Jangan gusar, aku akan membuatkan Shah menangis.'

Sebaik sahaja lelaki tua menghadap Shah, beliau pun berpaling ke jihat makam Saidina Husin lalu bersuara dengan keras,

"Duhai Husin, tatkala engkau kehilangan semua sahabat dan ahli keluargamu lalu berdiri sendirian di tengah gurun Karbala, engkau telah berteriak, 'Adakah seorang naser [penolong dalam bahasa Arab] yang akan membantu diriku?. Aduh Husin, sekarang seorang Naser datang [nama Shah tersebut] akan tetapi duhai kekasihku Husin, dia sudah terlambat, dan engkau Husin telah pun dibunuh!"

Sebaik sahaja mendengar ucapan lelaki tua ini, shah tersebut meledak menangis bercucuran air mata. Langsung teresak-esak. Duhai betapa benar wahai Husin, engkau terkapar dibunuh sedemikian kejam dan umat Muhammad tidak bersamamu pada waktu itu. Mereka sedang ditimbus harta rampasan perang, kekayaan tanah taklukan, lalu melupakan agama ajaran nendamu.

Setelah Revolusi Islam Iran, tangisan menjadi sangat sentral dalam politik dan kepimpinan. Saat Imam Khomeini menamatkan perang Iran-Iraq, ramai pegawai beliau menangis senyap membantah keputusan beliau. Akan tetapi suara Imam adalah suara keramat.

Di hari Imam Khomeini melucutkan Ayatullah Hossein Ali Montazeri sebagai pengganti beliau; menurut Ayatullah Hamid Rohani, al-Marhum Imam menangis tiga kali dengan penuh sedu-sedan. Ketahuilah, setiap kali Imam Khomeini akan membuka mulutnya untuk berucap, khayalak akan menangis.

Ketika rusuhan politik mengganas di Iran setelah lantikan Ahmadinejad dipertikaikan; rahbar, atau pemimpin agung Iran saat ini, Ayatullah Ali Khamenei menangis di dalam khutbah Jumaat monumentalnya, dan semua khayalak ikut menangis.

Tangisan mereka meredakan rusuhan yang didalangi barat dan zionis tersebut.

Kenapa mereka menangis begitu?

Tidak, mereka bukan gila. Tentu mereka tidak disumpah. Mereka percaya tangisan adalah aset orang beriman (saya akan datangkan dalil dalam entri lain kelak). Tangisan inilah juga yang menjadi sumbu kekuatan Hezbullah dalam mendepani zionis Israel.

Tangisan yang saya maksudkan bukanlah bentuk tangisan ala chedet atau nek dah. Jika tangisan sahaja memadai untuk menjadi hebat, maka saya boleh senaraikan pelajar-pelajar kursus lakonan ASWARA yang mahir menangis dengan jayanya.

Tangisan yang dimaksudkan adalah tangisan berbumbukan agama. Mereka menangisi pilihan tragis cucunda Nabi.

Kita? Kita benar-benar ketandusan pemimpin. Juga pembimbing. Dua tiga kerat agamawan yang rajin; kerjanya tidak mencari ubat kepada masalah umat tetapi segar melabel dan menghunjam orang lain dengan batu kesesatan.

Harapan kepada sebuah masyarakat madani juga musnah; kerana kelompok yang memperjuangkannya dilumuti korupsi, kekejian moral, dan tetap percaya bahawa 'ini adalah anugerah tuhan'.

Saya kira menangis mempunyai banyak kebaikannya dalam Islam (Insya-Allah edisi entri akan datang bakal membongkar lebih lanjut persoalan ini), ia malah sunnah Rasulullah, sahabat baginda dan para anbiya. Saya dan anda tahu, walau kita simpan dalam hati akan kebenaran hal tersebut. Seperti mana kita juga tahu bahawa poco-poco adalah bid'ah yang memang tidak dilakukan oleh Rasulullah, sahabat baginda dan para anbiya.

Kalian tentu mahukan pemimpin yang banyak menangis berbanding pemimpin yang banyak menari dan menyanyi, bukan begitu?
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 09, 2010 22:03

Siapa Menonggeng Di Hadapan Ahmadinejad?

Cettt, sunni mana yang sanggup
tertonggeng demi Ahmadinejad sampai begini sekali?
Tak tahu ke Ahmadinejad itu sesat?
* Presiden Republik Islam Iran bersolat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 3 Mac 2006. Antara yang boleh dikesani dalam foto ialah Dato' Sri Dr. Jamaludin bin Dato' Mohd. Jarjis selaku Menteri Pengiring waktu itu, Ketua Pengarah JAKIM, Dato' Mustafa Abd. Rahman, Pengarah JAWI, Haji Che Mat Che Ali, dan Imam Besar Masjid Wilayah, Haji Mohamad b. Mohamad Zin dan Duta Besar Iran ke Malaysia pada tahun 2006. Jika mereka ini bukan Islam mengapakah mengizinkan pemimpin Iran ini menjejaki masjid kita?
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 09, 2010 15:08

Faisal Tehrani's Blog

Faisal Tehrani
Faisal Tehrani isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Faisal Tehrani's blog with rss.