Latar






Berikut adalah petikan Latar dari Tiga Kali Seminggu. Dapatkan di kedai buku berdekatan:

Aku angguk. Tuduhan dan dakwaan yang menimpaku saat ingin menjambatani antara pelbagai sekolah pemikiran dalam Islam amat perit.

Namun aku sudah terlanjur mengharungi. Aku tidak akan berpatah balik. Dunia Islam pernah belajar banyak daripada seorang tokoh syiah. Namanya Jamaluddin el-Afghani. Dan terlalu ramai muridnya el-Afghani dalam kalangan sunni. Persamaannya dengan Imam Khomeini ialah mereka berdua menolak imperalisme Barat. Dua perjuangan lain latar zaman dengan satu tema; menolak kekerasan.

"El-Afghani – pada masa mudanya ia mendapat pendidikan di Iran, dan di beberapa kota suci syiah di Iraq dengan minat mendalam terhadap falsafah Islam. Juga penelitian khasnya dalam syiah jurusan syaikhi, yang merupakan ragam syiah yang sangat filosofikal pada abad ke-18 dan ke-19. Saat itu di dunia Arab dan Turki, falsafah telah dijauhi oleh umat kerana dianggap menyimpang dari Islam. Ini tidak terjadi di Iran bahkan tradisi pengajian falsafah terus berlangsung. Kitab karya Ibn Sina misalnya tidak basi dan diajarkan di sekolah keagamaan."

Kami berjalan santai. Medan Tajrish masih sunyi.

Fikiranku mengelamun. Ketika Afghani ke Istanbul, antara tahun-tahun 1869dan 1870, dia telah mengemukakan gagasan yang berasal dari falsafah inilah. Saat berada di Mesir pada 1870-an, dia mengajar murid-murid mudanya tentang ajaran falsafah yang pernah digalinya di Iran. Aku ingin belajar daripada Imam Khomeini. Seperti mana aku ingin mempelajari daripada el-Afghani.A ku ingin melawan kekerasan seperti yang mereka pernah tunjukkan. Seperti yang mereka pernah terokai. Dan kalau ada seorang dua ulama garis keras melawanku, itu sudah dijangka tentu. Banyak yang harus dipelajari.

Aku tiba-tiba berbicara semacam mengeluh sendirian, "Kembara panjang dalam hidup Afghani dilalui dengan berdakwah di pelbagai negara. Dalam usia 20 tahun, Afghani sudah ke India menyebar api supaya umat Islam bangun berjuang untuk mengusir pemerintahan Inggeris dari bumi India. Di mana sahaja ia beradaia membangkitkan pertanyaan, mengajak manusia kembali berfikir untuk kembali kepada Islam sebenar yang ditinggalkan oleh Nabi kita.

Setelah meninggalkan India, Afghani mengerjakan haji di Makkah, sambil melintasi kota-kota suci syiah. Beliau turut ke Afghanistan menerusi Iran. Di Afghanistan dia kekal menyalakan api, serbuk bedilnya sungguh panas. Dia diusir Inggeris pada Disember 1868.

"Pada tahun 1870, Afghani telah dilantik mengetuai Dewan Pendidikan Kerajaan Utsmaniah dan dia menyebarkan idea perpaduan dari sini. Idea menentang penjajah. Sayang, orang keras yang merasa benar lebih ramai. Kuliah-kuliah umum el-Afghani menimbulkan bantahan keras para mufti, kerana dia dianggap menyimpang dari agama. Akibatnya Afghani diusir dari Istanbul."

Tse hanya diam, mungkin lebih enak mendengar." Setelah itu Afghani ke Kaherah. Di sini dia menubuhkan media yang membahas isu-isu politik semasa. Dan seperti yang kita tahu, Mesir di bawah pemerintahan yang pro-Inggeris berasa bahangnya lantas Afghani akhirnya diusir dari Mesir. Bagai sudah nasibnya, dia kembali ke India, kali ini di Hyderabad di mana dia turut diusir. Dari sini Afghani langsung ke London, dan kemudian pada tahun 1883 berada di Paris. Di Paris inilah Afghani bersama dengan Muhammad Abduh, muridnya, seorang sunni. Mereka berdua menerbitkan akhbar berbahasa Arab, Al-Urwah Al-Wutaqa yang mendapat tajaan dari sejumlah pengkagum. Sebelum meninggal pada tahun 1887 di Iran, Afghani sempat juga pergi ke Rusia, Eropah dan Iraq. Ke mana sahaja dia pergi, jejaknya melawan kekerasan bertebaran."

Tse menggetap bibir, cuba memahami resahku. Gelisah yang menyesakku selama ini. Ombak dalam dadaku yang kurang difahami orang jahil atau mereka yang suka menghukum. Terlalu ramai yang melompat untuk melabel.

Tse bersuara, "Afghani merupakan tokoh besar dalam sejarah moden dunia Islam. Dia meminta kita kembali kepada Islam sebagai kekuatan yang sangat penting untuk mendepani Barat. Sambil itu dia bekerja keras meningkatkan perpaduan kaum Muslimin."

Aku melayani fikiran sendiri. Kedai-kedai di Tajrish kembali dibuka. Dalam benakku menimbang-nimbang persamaan seruan Imam Khomeini dan Jamaluddin el-Afghani; supaya ada pembaharuan dan perubahan di dalam sistem politik negara umat Islam. Juga kritikan keras el-Afghani terhadap mereka yang memihak imperialisme Barat dan kumpulan yang memecah-belahkan umat Islam.

"Enta , err… enta O.K?" Tanya Tse melihat aku bagai dirundung duka.

Aku geleng. Mungkin aku patut mengangguk. Musuh Islam begitu ramai, termasuk mereka yang tidak menyangka dirinya sedang memusuhi Islam kerana ditutup ilmu yang tidak diamalkan.

"Mungkin O.K, mungkin tidak O.K. Tse, laluan jauh dan penuh kerikil ditempuh dua tokoh inilah yang ingin ana pelajari. Dengan rendah diri ana belajar dari latar. Kerana latar dapat mengajar."

Tse menepuk bahuku, "Ana bersama enta. Dan ramai lagi akan menyertai. Tentu kita akan dimusuhi dari dalam, itu sudah dirasai oleh el-Afghani, bukan? Waktu enta bermula enta sudah tahu ini akan ditempuhi, bukan?"

Aku tidak membalas pertanyaan.
Latar turut dimuatkan dalam Tiga Kali Seminggu.

** Foto-foto di atas, kelmarin darah Syiah terus dihalalkan oleh mereka, nak tahu siapa duri dalam daging tersebut?
Klik sini dan sini.

*** Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 22, 2011 05:34
No comments have been added yet.


Faisal Tehrani's Blog

Faisal Tehrani
Faisal Tehrani isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Faisal Tehrani's blog with rss.