Mawar Safei's Blog, page 81
August 30, 2018
Fakulti sudah mula riuh kembali bermula petang ...

Fakulti sudah mula riuh kembali bermula petang ini. Kami bakal menyambut kumpulan mahasiswa baru hujung minggu ini. Maka banyak persediaan sedang dilakukan. Mungkin juga dengan kibaran semangat Sayangi Malaysiaku, semuanya jadi meriah. Saya tidak tahu apa perasaan saya pada petang hari kemerdekaan ini. Melihat di hujung langit kampus yang masih silau dengan hangat suasana politik dan polemik, saya seperti mahu menjadi rumput dalam puisi SDD, Kemerdekaan Itu, yang tugasnya hanya tumbuh, tak soal apa pun musimnya, tak pernah bertanya mengapa ia di sana.
Published on August 30, 2018 02:56
August 27, 2018
Pagi tadi saya singgah hadir acara pelancaran Sambutan Bu...

Pagi tadi saya singgah hadir acara pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan untuk peringkat kampus. Menarik sekali Pendaftar kami membacakan puisi Kemerdekaan Itu, gubahan penyair Indonesia yang saya hormati, SDD. Kebetulan saja saya baru dititip SDD video puisi berkenaan pada tanggal 17 Ogos lalu. Saya senang membaca pembukaan rangkap pertamanya,
Kemerdekaan ituAnak-anak kita yang pada musim kemarau bermain layang-layangMenarik, mengulur dan mengadunnya tanpa memasalahkan kenapa harus ada yang putusTanpa memperhatikan awan-awan yang suka berarak nun jauh di sana. Dan tak pernah terlintas dalam benak mereka untuk bertanyaApakah langit yang merupakan kerajaan layang-layang mereka itu ada batasnya.
Published on August 27, 2018 06:55
August 26, 2018
Saya mengenali karya almarhum lebih awal sebelum bertemu ...

Saya mengenali karya almarhum lebih awal sebelum bertemu di Horison pada 1999 bersama-sama sahabat MASTERA lainnya, Hizairi O, FT, dan Jasni ML. Almarhum antara banyak sasterawan Indonesia yang saya senang sekali membaca karya mereka. Selebihnya saya banyak belajar kerendahan hati dan berbahasa yang cantik dari tuntunan mereka. Almarhum Hamsad Rangkuti, sasterawan Indonesia yang berpulang pada 26 Ogos 2018. Al Fatehah.
Published on August 26, 2018 06:42
August 23, 2018
Setiap kali pulang daripada berpergian, satu perihal yang...

Setiap kali pulang daripada berpergian, satu perihal yang masih saya temukan adalah melihat semula jalan datang. Ya, ditemui semula jalan datang saat menghitung jarak pulang. Maka pulang itu mengembalikan apa yang sebelumnya. Ia imbas kembali. Ia de javu. Ia kenangan juga. Menarik sekali, menjalani arah datang ini ada beberapa titik khas yang ditanggapi dengan mata dan rasa yang berbeda.
Published on August 23, 2018 19:18
August 18, 2018
Saat mahu kembali dan mengikat tali sebelum nantinya cepa...

Saat mahu kembali dan mengikat tali sebelum nantinya cepat pergi lagi, saya seperti mahu menurunkan baris-baris ini. Dan saya tidak fikir ia adalah puisi.
Narasi satu pekan iniBerselang hangat
antara rindu yang liar
dengan hawa kota yang meresah.
Mahu membaca surat takdir
Yang entah bagaimana
hitungan baris
dengung rasa
atau penggalan kata
mengaksarakan getar yang tak sudah.
Atau nantinya
Kita diajak berdamai
dengan semua
agar berdiam.
Menikmati
daun yang masih hijau
bunga yang masih wangi
satwa yang masih bersahabat
atau sekawanan burung yang sering mengubat.
Dan ternyata itu lebih membijakkan.
Published on August 18, 2018 18:58
August 13, 2018
Saat terbang lagi dan melayah , selain membawa sama kenan...

Saat terbang lagi dan melayah , selain membawa sama kenangan sebagai bekalan, rupa-rupanya saya juga digiring antara ingatan dengan harapan. Ingatan yang tidak mahu ditinggalkan. Harapan yang mahu ikut melayang.
Published on August 13, 2018 16:17
August 5, 2018
Mendengar khabar gegarnya kali kedua, saya segera menging...

Mendengar khabar gegarnya kali kedua, saya segera mengingat Kartini dan Hanafi yang saya bawakan hidup mereka dengan seluruh cinta di pulau indah ini. Ternyata mereka sudah hampir satu dekad saya biarkan kedua-duanya di sana, di Pulau Seribu Kubah. Bagaimana putera mereka si Timoer. Bagaimana Kartini, perempuan Tanah Semenanjung yang dibawa lari hatinya oleh Hanafi, pakar ekonomi Mataram itu. Aduhai, ini kenangan intertekstual yang begitu menganjur saya untuk mengambil Merpati dan terbang lagi dari Pulau Dewata. Sengaja saya mahu nantinya menjejaki peta lama itu. Benar hampir satu dekad saya merakam Pantai Senggigi ini. Bagaimana mungkin saya memadam segalanya tentang dia, walau antara hijab, walau antara bingung, walau antara jauh daripada nyata.
Published on August 05, 2018 12:36
August 1, 2018
Saya fikir berjarak itu baik. Ia menyediakan ruang berdia...

Saya fikir berjarak itu baik. Ia menyediakan ruang berdiam. Mena'akul. Kenal diri. Sadar diri. Menyitir Ibn Hazm: betapa banyak kita saksikan orang yang dibinasakan ucapannya sendiri, dan belum pernah kita menyaksikan sama sekali bahawa ada orang dibinasakan kerana diamnya. Maka janganlah kita berbicara kecuali dengan sesuatu yang dapat mendekatkan kepada Pencipta. Jauh juga merupakan ajaran untuk saya bersedia apabila detiknya tiba. Biar saya, si gembeng ini belajar jadi sendiri. Biarlah, jika jauh ini begitu kaedah didikannya.
Published on August 01, 2018 21:00
Membaca puisi dan takdirnyaadalah melihat bulan penuh mem...

Membaca puisi dan takdirnyaadalah melihat bulan penuh membawa ke ruang diam terkadang percaya, dalam senyaplah bicara rahsia tersibak dalam sepi dituntun untuk lebih mengerti misteri nuraniya, sekian kali dipilih jalan ini, menuju Negeri Sunyi.
Saya sedang belajar menulis puisi!
Published on August 01, 2018 02:59
July 28, 2018
Mahasiswa semester lalu mula menghubungi saya. Sama ada g...

Mahasiswa semester lalu mula menghubungi saya. Sama ada gembira dan berterima kasih dengan gred yang bagus atau ada yang mengirim ikon dengan airmata kerana hampir kandas. Saya mengharap mahasiswa saya terus belajar. Mereka harus berani menerima kelemahan diri, dan sedia memperbaiki. Mereka juga harus faham, setiap usaha perlu disertai doa, keyakinan untuk berjaya dan percaya Allah mengatur setiap satunya. Saat memperolehi keputusan peperiksaan bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan kertas yang bersusun gred. Memegang keputusan peperiksaan adalah menyerupai berdiri di sebuah tikungan. Sama ada kita memilih jalan syukur atau belukan ke simpang yang mengheret kita kepada keangkuhan. Benar, ia sekeping kertas yang sangat menguji keyakinan dan kepercayaan yang kita anuti selama ini.
Published on July 28, 2018 01:12
Mawar Safei's Blog
- Mawar Safei's profile
- 15 followers
Mawar Safei isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
