Roslan Hamid's Blog, page 42
October 1, 2021
Safar 25, 1443: Belajarlah menikmati bukan memiliki...(U)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
SEMASA budak-budak dulu salah sebuah cerita yang menarik perhatian saya adalah kisah seorang kaya kurus dan jirannya yang miskin tetapi gagah perkasa. Puas sudah si kaya memikirkan bagaimana dia tetap kurus dan kurang sihat sekalipun makanan dihidangkan kepadanya sedap-sedap belaka sedangkan si jiran makan seadanya.
Suatu hari sedang si kaya duduk-duduk di beranda rumahnya, terbau masakan sungguh menyelerakan dari dapur. Tukang masaknya sedang menyediakan makanan paling sedap. Tiba-tiba dia terpandang sosok si miskin di depan rumahnya. Timbul perasaan jahat di hatinya. Mungkin si miskin segar bugar kerana dia mencuri makananku; iaitu baunya. Lantas si kaya menyaman si miskin.
Di mahkamah, selepas mendengar dakwaan si kaya dan keterangan si miskin, hakim memutuskan bahawa si miskin bersalah. Si hakim bertanya si kaya nilaian ganti rugi dituntutnya. Dia berkata 100 keping emas. Hakim memerintahkan dibawa kepingan emas itu dan kemudian beliau memisahkan si kaya dan si miskin dengan sehelai tabir.
Hakim kemudian memerintahkan si miskin menjatuhkan kepingan emas itu satu persatu dan menyuruh si kaya dan miskin mengiranya kuat-kuat. Selepas kiraan ke-100, hakim memerintahkan kepingan emas itu disimpan balik dan berkata kepada si kaya dan si miskin bahawa kes itu sudah selesai.
Si kaya terkejut, lantas bertanya, "Mana wang saya?" Jawab hakim; "Jiran kamu hanya menikmati bau makanan kamu; sebentar tadi bukankah kamu sudah mendengar bunyi wang kamu? Kes selesai, pulanglah kamu berdua!"
Demikianlah, si miskin boleh 'menikmati' tetapi tidak 'memiliki'. Hari ini boleh dikatakan hampir semua anggota masyarakat kita gila memiliki harta dan segala perkara bersangkutan dunia tetapi gagal menikmati kehidupan.
Kita juga biasa dengan cerita bagaimana si miskin dapat tidur lelap berdengkur sedangkan si kaya yang tidur dengan tilam empok Maya Karin dan bilik 'air-cond' tidak dapat melelapkan mata. Ya, peralatan 'kesedapan' seperti tilam gebu boleh dibeli tetapi tidur iaitu sebahagiaan daripada kenikmatan dunia tidak boleh dibeli hatta dengan emas seluruh dunia!
Perhatikan rumah tangga moden hari ini, saban hari sang suami dan isteri bekerja 'macam nak mati', mengumpulkan wang ringgit. Esoknya sama juga, lusa pun macam itu. Minggu bertukar bulan, bulan bertukar tahun. Mungkin duit mereka banyak tetapi mereka tidak ada masa menikmati wang itu. Mungkin untuk makan dan bermesra dengan anak-anak pun mereka tidak ada masa apatah lagi pergi bercuti.
Pada era kos hidup tinggi sekarang ini, makin ramai orang bekerja 'macam nak mati'. Bukan saja suami isteri bekerja, bagi mereka satu kerja tak cukup. Mereka buat dua atau tiga kerja ditambah pula dengan bisnes 'online'. Hampir 24 jam mereka bekerja, jadi pada masa bila mereka hendak menikmati hidup ini?
Pada pendapat saya yang 'naif' ini, untuk menikmati kehidupan kita perlu perlahankan rentak (slow down) hidup kita. Tidak perlulah kita bekerja 'macam nak mati'. Subhanallah, kalau betul-betul kita mati, orang lain pula akan menikmati wang dan harta yang kita kumpulkan macam nak mati.
Salah satu cara untuk kita menikmati kehidupan ini adalah dengan mensyukuri apa saja yang ada lantas mengaitkannya dengan kehebatan Illahi di samping menjalani kehidupan secara berjemaah. Misalnya kita tidak perlu memiliki sendiri sebuah taman bunga yang indah di rumah kita sebaliknya keindahan ciptaan Allah di dunia ini termasuk taman-taman awam sudah dapat 'membungakan' hati kita.
Dari segi kehidupan berjemaah pula, sebagai contoh kita tidak perlu memiliki penghawa dingin sebaliknya dengan pergi ke masjid untuk solat berjemaah lima kali sehari kita dapat menikmati kedinginan 'air-cond'. Di masjid pun kita boleh nikmati 'karpet tebal terbenam kaki', air 'water cooler' yang dingin dan banyak kemudahan lain.
Kita juga tidak perlu memiliki surat khabar, majalah dan buku tetapi boleh menikmatinya dengan pergi ke perpustakaan. Ini sebagai contoh saja, sebenarnya ada banyak perkara yang kita tidak perlu memiliki tetapi boleh menikmatinya.
Mengenai menikmati dan memiliki ini, saya ada terbaca sebuah artikel dari seberang (Indonesia) yang antara lain penulisnya mengungkapkan (ejaan dan istilahnya dikekalkan): "Banyak orang salah kaprah dan beranggapan bahwa memiliki itu jauh lebih penting. Karenanya, mereka berusaha mendapatkan harta lebih banyak dan lebih banyak lagi. Padahal, harta yang banyak itu membuat mereka senantiasa diliputi rasa takut. Akibatnya, mereka tak bisa lagi menikmati hidup yang aman, damai dan sejahtera.
"Banyak orang yang memiliki, tapi tak sempat menikmati. Sebaliknya, banyak juga orang yang tak memiliki tapi bisa menikmati. Cobalah lihat vila-vila yang kini menjamur di kawasan Puncak. Siapakah yang memiliki vila tersebut? Namun, siapakah sebenarnya yang selalu menikmatinya? Bukankah si pembantu rumah yang selalu di situ sedangkan pemiliknya ke sana sini berbisnes?
"Ada juga cerita mengenai seorang pengacara terkenal yang suatu ketika mengunjungi pameran mebel. Ia tertarik dengan meja makan berharga ratusan juta dan tanpa pikir panjang langsung membelinya. Yang menarik, setelah meja tersebut dikirim ke rumahnya, ia menjadi kebingungan. Perabot di rumahnya sudah sangat banyak dan tak ada lagi tempat tersisa. Inilah contoh dari memiliki tetapi tidak menikmati.
"Kunci kebahagiaan kita sebenarnya tidak terletak pada apa yang kita miliki, tetapi pada apa yang kita nikmati. Bahkan, orang yang kaya dalam arti yang sesungguhnya bukanlah orang yang memiliki banyak hal, tetapi orang yang dapat menikmati apa pun yang ia miliki."
September 30, 2021
Safar 24, 1443: Kaya, kacak, cantik semuanya akan hancur...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
PADA usia 'tak berapa muda' ini, suatu hari saya terjumpa sebuah buku lama - 'Kesah Sa-ribu Satu Malam' - Penggal X (buku ini menggunakan ejaan lama). Saya pernah membacanya pada zaman kanak-kanak dulu; mengulang membacanya kali ini membawa pengertian baharu.
Kisah pertama adalah mengenai Saudagar Masror dan Zainul Mawasif. Diceritakan betapa cantiknya Zainul Mawasif sehingga Saudagar Masror sanggup berbuat apa saja untuk memilikinya. Harta,pangkat, kedudukan semuanya digadaikan untuk memenangi Zainul Mawasif. Hatta dia sanggup menjadi hamba Zainul Mawasif asalkan dia dapat menatap wajah si jelita itu sepanjang masa.
Zaman muda dulu saya membaca kisah ini dengan penuh perasaan dan perasan - akulah Saudagar Masror alangkah bagusnya jika aku berjaya dapat menakluk wanita cantik seperti Zainul Mawasif. Kisah ini terbawa-bawa dalam kehidupan, kita bagaikan terawang-awangan di alam fantasi dengan segala 'syok sendiri' dan 'mahysuk'nya.
Tetapi membacanya pada ketika usia 'tak berapa muda' ini - 'saya menjadi tak berapa suka'. Kisah-kisah seperti ini 'auta' saja - tak berpijak di alam nyata, fikir saya. Ia menghabiskan waktu saya yang amat berharga itu. Umur semakin 'suntuk', tak ada masa lagi untuk melayan 'kisah angau' seperti ini. Tak ada masa untuk layan kisah 'cintan-cintan sebegitu rupa'. Lantas saya 'mencampakkan' buku 1,001 malam itu, tidak melihatnya lagi sehinggalah saya menulis celoteh ini bagi menjadikannya sebagai rujukan.
Dulu masa muda, saya 'syok' dengan kisah-kisah 'merapu' ini, sebahagiannya disebabkankan kurang ilmu. Mengisafi kejahilan diri, membawa saya menadah ilmu di surau, masjid dan di mana dan ketika saja jika ada kesempatan.
Ya, suatu malam ketika membicarakan satu bab dalam kitab 'Hikam', terpegun saya apabila Tuan Guru bersyarah, menyatakan tiada sesuatu yang baru boleh kekal, semuanya akan musnah. Perkara baru dimaksudkan di sini seluruh alam ini (selain daripada Allah SWT). Jadi kaya, kacak, tampan, cantik, lawa, 'cun' - semuanya akan berakhir dan musnah...untuk apa dikejar bagai nak gila akan hal-hal yang akan musnah ini.
Tersentak saya daripada tidur yang panjang apabila Tuan Guru berkata, orang berakal tidak melihat pada apa-apa yang bersifat kebendaan, semuanya tidak kekal, semuanya akan hancur, semuanya akan musnah. Hanya orang tidak berakal yang menyanjung kehebatan kebendaan, memikirkannya tidak akan musnah, mahukan ia kekal dan terus kekal.
Bukan individu dan hal berkaitan dengannya seperti kecantikan, kekayaan dan sebagainya akan musnah, sesebuah kerajaan hatta sebuah empayar pun akan musnah apabila sampai waktunya.
Dalam al-Quran ada kisah kaum-kaum hebat, yang membina bangunan dan tamadun tinggi tetapi musnah akhirnya. Kaum Tsamud begitu hebat, mengukir bangunan dalam batu gunung akhirnya lebur juga. Demikian juga kerajaan Sabak di Yaman, begitu hebat projek pembangunannya termasuk membina empangan Ma'rib yang masyhur itu, akhirnya musnah.
Firaun dan Haman yang mendakwa diri hebat itu akhirnya musnah juga. Demikian juga Qarun, Abu Jahal dan sebagainya. Bagi yang cantik dan perasan cantik seperti Cleopatra, Helen of Troy, Marilyn Monroe dan Puteri Diana menjadi mayat, busuk dan hancur.
Ya, Zainul Masawif (heroin dalam 1,001 Malam) yang cantik jelita itu juga akan tua kerepot,seterusnya mati. Jadi apa nak 'disyokkan' sangat dengan Zainul Masawif ini seperti ditunjukkan Saudagar Masror.
Dunia akan hancur, apa nak dihairankan, kata Tuan Guru. Semua barang berharga atau tidak berharga, akan hancur, akan rosak.
Orang ada akal, kata Tuan Guru akan mengejar akhirat. Ini kerana semua yang ada di dunia akan rosak. Semua kehebatan dunia akan hancur. Bangunan akan hancur, Mercedes yang kita sayangi akan binasa, tiada apa yang akan tinggal. Bini kita yang 'cun melecun' itu pun akan menjadi tua kerepot malah kita yang 'handsome' ini juga akan masuk tanah, di makan ulat.
Orang yang sempurna akal, kata Tuan Guru tidak menganggap dirinya warga dunia. Dia rindu menjadi warga akhirat. Dia siapkan dirinya untuk menjadi warga akhirat. Orang paling rugi dan tak berakal adalah yang tidak menyiapkan bekalannya ke akhirat, asyik dan gila dengan kelazatan dunia yang akan musnah. Oleh itu tiada ertinya gila Saudagar Masror kepada Zainul Masawif...membaca kisah ini membuang masa saja!
September 29, 2021
Safar 23, 1443: Batu bergolek tak kumpul lumut...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
NAMA masjid kampung saya Al-Abrar. Masjid orang baik-baik. Tidak lama dahulu kuliah subuhnya menampilkan Ustaz Zul Ramli, seorang pendakwah terkenal yang sering muncul di Radio IKIM dan program Tanyalah Ustaz TV9.
Antara pesanan sang ustaz ini yang 'cukup melekat' di hati saya adalah sebagai insan tidak cukup untuk kita menjadi orang baik-baik. Alhamdulillah jika kita orang baik-baik, teruslah berusaha sepenuh tenaga, jiwa dan hati serta berdoalah semaksimum mungkin untuk kita mengakhiri hidup kita sebagai orang baik-baik. Mati dalam husnul khatimah. Mengakhiri hidup sebagai orang baik-baik itulah yang didambakan sebelum kita menemui Tuhan kita.
Apa itu husnul khatimah? Seorang ulama menukilkan: Husnul khatimah merupakan suatu kondisi yang mana seorang hamba diberi taufik oleh Allah Ta'ala sebelum datangnya kematian untuk meninggalkan segala macam perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah Ta'ala, dan dia diberi taufik oleh Allah Ta'ala untuk bertaubat daripada segala dosa dan maksiat dan bersegera melakukan ketaatan dan perbuatan baik, kemudian dia menutup usianya di atas kebaikan.
Anas bin Malik r.a., berkata: Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka Allah akan mempekerjakannya. Para sahabat bertanya: Bagaimana Allah akan mempekerjakannya? Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah akan memberikan taufik kepadanya untuk beramal salih sebelum dia meninggal dunia.” (HR. Ahmad (12036) dan Thirmidzi (2142) dan disahihkan oleh Al-Hakim, Dhiya' Al-Maqdisi, Al-Arna'ut dan Al-Albani)
Ustaz Zul Ramli mengingatkan pengakhiran yang baik adalah kemuncak daripada perjuangan kita dalam menjadi orang baik-baik. Pengakhiran itulah penentunya - misalnya apa erti jika kita memasuki perlumbaan lumba lari seperti 400 meter; kita bermula dengan pantas dan mengekalkannya pada sepanjang larian tetapi pada 10 meter terakhir kita tidak dapat menamatkannya?
Lantas beliau mengingatkan hadirin sebuah hadis yang secara ringkasnya bermaksud ada orang berbuat baik (ketaatan) sepanjang hayatnya tetapi apabila tinggal sedepa lagi untuk dia memasuki syurga dia terjebak dalam amalan jahat menyebabkan dia dicampakkan ke dalam nereka manakala ada orang yang hampir seumur hidupnya berbuat kejahatan tetapi pada 'last minute' (minit terakhir) dia berbuat kebajikan lantas dia dimasukkan ke dalam syurga.
Orang salih (baik-baik) amat takut dengan ancaman ini. Mereka berterusan berdoa kepada Allah SWT agar dimatikan sebagai orang baik-baik. Selain pasrah kepada Allah SWT, mereka juga memerhatikan amalan mereka. Salah satu jalan adalah 'mengistiqamahkan' diri di jalan Allah.
Istiqamah boleh dimaksudkan sebagai berdiri teguh ataupun tetap pendirian sepanjang masa atas dasar kebenaran dan petunjuk tanpa ragu-ragu. Istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh seseorang itu, tetapi tidak mustahil untuk dilakukan sekiranya keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah cukup teguh.
Jadi kepada diri saya dan semua, beristiqamahlah dalam kehidupan (perjuangan)...jangan lari. Alhamdulillah, di negara kita, orang Melayu yang amat rapat dengan Islam dapat menterjemah 'istiqamah' ini dalam mereka melayari kehidupan. Mungkin peribahasa-peribahasa Melayu ini dapat memberi serba sedikit kefahaman kepada kita.
Misalnya, orang tua-tua menjelaskan bahawa batu yang bergolek tidak akan mengumpulkan lumut. Kita disyorkan bahawa 'alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan' atau genggam bara biar sampai jadi arang. Mandi biar basah, makan biar kencang; ya mungkin tidak ada gunanya atau tidak membawa hasil yang bagus jika kita sekalipun bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan tetapi tidak dapat melakukan 'finishing'-nya (penamat yang sempurna). Misalnya, kita mengecat rumah, tetapi apabila tinggal berbaki 10 peratus lagi, kita 'give up' (berputus asa misalnya kerana penat) jadi apakah bentuk hasil yang kita dapati?
Realitinya dalam kehidupan, ramai yang tidak istiqamah...ramai yang melarikan diri daripada terus berada di atas rel kebenaran, ya kita tak tahan pancaroba serta ujian kehidupan. Jadi akuilah bahawa sebenarnya kita perlu istiqamah dalam kehidupan ini. Ingatlah pesanan bijak pandai Melayu itu - batu yang bergolek tidak akan mengumpulkan lumut. Kalau kita melompat ke sana ke sini, tidak banyak manfaat dapat kita kumpulkan dalam hidup kita.
Mungkin ada orang berkata, jika di sesuatu tempat itu tidak lagi kondusif untuk kita, maka langkah terbaik adalah berhijrah. Ya, berhijrahlah (tetapi jangan lari kerana ada perbezaan besar antara kedua-duanya), tiada siapa yang menghalangnya; tetapi kita mesti ingat ada pepatah Melayu berbunyi - tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain.
Nabi kita Muhammad s.a.w. adalah contoh ikutan terbaik - baginda s.a.w. berhijrah ke Madinah selepas 13 tahun berdakwah di Makkah tanpa hasil memberangsangkan tetapi selepas 10 tahun di Madinah, baginda s.a.w. kembali semula ke tanah airnya yang tercinta, Makkah...lokasi dakwah berbeza tetapi perjuangan baginda tetap sama...iaitu meletakkan seluruh manusia tunduk hanya kepada Yang Maha Kuasa! Baginda Nabi s.a.w. istiqamah dalam perjuangan...bagaimana diri kita?
September 28, 2021
Safar 22, 1443: Apakah kita mahu gembira saja (U)
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
APAKAH usaha kita untuk mendekati Yang Maha Kuasa?
Sebagai makhluk-Nya yang lemah, ada kehendak dan impian kita tercapai dan ada yang tidak. Ya, betapa banyak azam kita tidak tercapai-capai jua. Kita merancang, yang menentukannya Allah SWT.
Tidak lama dulu, ketika tertonton 'highlight' (babak menarik) sebuah drama Cina di televisyen, tersentak hati saya sebentar ketika mendengar perbualan dua gadis. Seorang daripadanya merungut-rungut kerana banyak kehendaknya tidak tercapai. Jawapan si temannya mengejut dan menyentak jiwa saya. Antara lain katanya, "kalau kamu mahu semua kehendak kamu dipenuhi kamu jadilah tuhan!"
Ya, Allah-lah Yang Berkuasa, kita tidak ada (punya) apa-apa. Tidak semena-mena saya menjadi insaf...sekalipun kata-kata ini diucapkan oleh seorang gadis Cina tanpa tauhid, terasa terpukul diri ini bahawa kita ini hanya HAMBANYA; Namun kita 'berlagak', berperasan kita boleh buat itu dan ini, berperasan kita berjaya kerana usaha kita.
Kita terlupa Allah SWT-lah penentu segala-galanya. Dia boleh memberi kita berjaya atau tidak, Dia juga penentu sama ada kita boleh mendapatkan sesuatu atau tidak. Semuanya terletak pada-Nya...namun kita selalu terlupa. Kita nakkan berjaya saja, tak dapat terima gagal atau segala perkara yang dianggap negatif lain seperti jatuh sakit, dibuang kerja dan hilang pangkat dan jawatan.
Adakah dalam hidup ini kita mahu terima yang 'best' (baik-baik saja)? Benarkah kehidupan di dunia ini ada bahagia selama-lamanya? Semakin tuanya diri ini, semakin sedarlah saya bahawa kehidupan ini sebenarnya dilalui secara pergiliran - ada kehendak kita dipenuhi ada yang tidak; ada bahagia ada derita, ada senang ada susah, ada masa gembira dan ada masa berduka - semuanya berlangsung silih berganti ibarat siang dan malam; gelap dan terang.
Pemikir Melayu-Islam yang tersohor di Nusantara, Allahyarham Buya Hamka dalam salah sebuah buku yang pernah saya baca (tak ingat lagi tajuknya) ada mengungkapkan bahawa jika kita melihat istana yang tersergam indah; janganlah ingat di dalamnya penghuninya sentiasa hidup berbahagia dan bersukaria - di sana juga ada derita dan air mata! Jadi janganlah kita tertipu dengan apa yang kita lihat.
Hidup adalah satu perjalanan menuju noktahnya, kematian. Masalahnya kita tidak tahu bila dan bagaimanakah noktah itu. Apa saja boleh berlaku dalam perjalanannya;ada ulama mengkategorikan kehidupan seperti berikut: kita bermula dengan baik tetapi bertukar buruk dan akhirnya mati dalam kejelekan (su'ul khatimah); kita bermula dengan buruk tetapi hujung hayat menjadi baik dan mati dalam kebaikan (husnul khatimah); kita bermula dengan baik dan mati dalam baik (inilah yang terbaik) dan kita bermula dengan buruk dan mati pun dalam keadaan buruk (ini paling teruk).
Kemudian ada sebuah hadis menyebut: Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: beliau diberitahukan Rasulullah s.a.w. bersabda: "...Sesungguhnya salah seorang antara kamu beramal amalan ahli syurga sampai antara dia dengan syurga tinggal sejengkal, kemudian didahului ketentuan sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka dan masuklah ia ke dalam neraka; dan salah seorang kamu melakukan amalan ahli neraka sampai antara dia dan neraka tinggal sejengkal, kemudian didahului ketetapan, sehingga dia melakukan amalan ahli syurga sehingga dia masuk ke dalam syurga.“ - Imam Bukhari
Ya, wahai pembaca, kita tidak tahu nasib kita pada masa depan; jadi pada kesempatan ini inginlah saya yang daif ini mengingatkan diri sendiri dan pembaca usahlah kita berlagak sombong mengecop seseorang itu banyak dosalah; dia, hatta bekas mayat dia pun tidak layak dibawa pulang dan sebagainya kerana sebagai insan serba lemah kita tidak tahu hakikat seseorang termasuk dia sudah beriman atau tidak; yang tahu hanya dia dan Allah SWT saja.
Bukankah kita sudah biasa mendengar taubat seorang penjahat yang telah membunuh 99 orang; kemudian melengkapkannya menjadi 100 orang; tetapi taubatnya diterima Allah SWT dan dia dimasukkan ke dalam syurga; jadi apakah kelayakan kita untuk berkata itu dan ini mengenai seseorang itu sedangkan dosa kita sendiri bertimbun; sekarang ini Allah SWT 'sembunyikannya' jika Dia 'mendedahkannya' habislah kita! Kemudian kita juga tahu ada 'ahli syahid' yang dihumbankan ke neraka!
Kita perlu sedar dunia dan segala isinya sentiasa berubah. Ada pasangan yang bahagia pada awal perkahwinan, kemudian kerap berlaku 'perang Teluk' yang membawa kepada perceraian. Pasangan yang kekal ke akhir hayat pun bukan sentiasa 'happy' saja; ada masa bahagia ada masa derita - bukanlah peribahasa Melayu ada menyebut "sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri..."
Ya, dunia sentiasa berubah dan sejarah (dunia) biasanya dirakamkan oleh pihak yang menang (berkuasa). Ada sebuah peribahasa Afrika berbunyi: “Until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters” (sehinggalah sang singa mempunyai penulis sejarah, kisah perburuan akan hanya menggambarkan kehebatan si pemburu).
Kini kita digembar-gemburkan segala yang muluk-muluk mengenai si pemburu; singa di hutan siapa peduli? Pemburu berlagak 'hero' sedangkan di hutan tadi, dia lari lintang pukang menyematkan diri hanya selepas mendengar bunyi 'deheman' raja rimba. Tetapi di kampung, dia berlagak, bercerita dia telah menikam sang singa!
September 27, 2021
Safar 21, 1443: Semarakkan lagi semangat Ali, Ah Kau, Muthu... (U)
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
RENUNGAN
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)
TIDAK lama dahulu saya sekeluarga pergi bercuti; alhamdulillah kami dapat menginap di sebuah rumah inap (homestay) di Sekinchan, Selangor. Kediaman ini terletak di lokasi 'lain daripada biasa' iaitu di tengah-tengah sawah; jadi banyaklah pengalaman termasuk yang mencuit hati dapat dirakam dan dicatatkan.
Suatu awal pagi selepas solat subuh, saya berjalan bersendirian berkilometer jauhnya...menyaksikan keindahan alam ciptaan Yang Maha Kuasa terutama sang mentari yang mula menyinar. Pemandangan sawah padi yang luas terbentang dengan barisan rimpunan pokok padi sedang 'membunting' dan ada yang 'menerbitkan hasil', begitu mempersonakan.
Penanaman padi di Sekinchan ini begitu sistematik sekali - saya perhatikan ada papan tanda nama pada sejumlah petak padi termasuk disertakan nama petani, jenis padi dan tarikh padi mula ditanam. Hampir semua nama petani adalah orang Tionghua manakala bakinya adalah syarikat-syarikat.
Ya, hebat petani Cina Sekinchan menanam padi. Kesungguhan mereka dapat dirasai apabila saya melihat ada tali air (terusan) yang turut ditanam pohon padi. Kelihatan barisan panjang pohon padi sejajar dengan tebing terusan. Pendeknya petani memanfaatkan sepenuhnya kawasan bagi mendapatkan hasil yang banyak dan terbaik. Syabas petani-petani Cina Sekinchan!
Terfikir di benak saya, alangkah bagus jika bangsa-bangsa yang ada di tanah air kita dapat memanfaatkan (berkongsi) pengetahuan dan pengalaman...di sini pesawah Melayu mungkin dapat belajar sesuatu daripada petani Cina di Sekinchan iaitu bagaimana menghasilkan padi bermutu tinggi dan banyak pula secara sistematik. Saya tidak bermaksud pesawah Melayu 'tidak bagus' (di Kedah sawah petani Melayu adalah lebih besar saiznya) tetapi, ya tak salahkan untuk saling belajar dan mengajar...
Demikianlah...dengan wujudnya pelbagai bangsa di tanah air kita apatah lagi pada era sekarang ini, setiap kaum perlu membuka hati dan minda untuk menghebat atau menyemarakkan lagi semangat 'kekitaan kita' sebagai rakyat Malaysia. Alangkah indahnya jika Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain dapat saling tolong menolong dalam memajukan negara.
Berkenaan perkara ini, teringat saya akan buku-buku teks sekolah saya pada tahun 1960-an dan 1970-an yang kerap memaparkan watak Ali, Ah Kau dan Muthu sebagai lambang perpaduan kaum. 'Semangat' Ali, Ah Kau dan Muthu boleh di-'upgrade'-kan ke peringkat lebih hebat agar Malaysia menjadi negara yang rakyatnya dikagumi di persada antarabangsa.
Saya juga teringat akan novel Melayu pertama ditulis oleh orang Tionghua. Ya novel 'Hidup Antara Duri' yang ditulis oleh Chong Chee Seong pada 1969 adalah lambang kerukunan hidup orang Melayu-Cina
Watak-watak utama dalam novel ini menujukkan kerukunan kehidupan Melayu dan Cina, sekali gus mengangkat karya ini ke depan sekalipun dihasilkan 50 tahun lalu.
Ketika menulis novel ini, Chong adalah Naib Yang Dipertua Persatuan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Kerana cintanya terhadap bahasa Malaysia, Chong bersusah payah menulis novel dalam bahasa Melayu ini. Chong yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Straits Times, turut menyumbangkan rencana di Berita Harian dan menurut beliau, pengarang berpengaruh Kumpulan New Straits Times, A Samad Ismail banyak membantu beliau dalam menyiapkan novel ini.
'Hidup Antara Duri' mengisahkan kehidupan di sebuah perkampungan nelayan. Melalui novel ini, Chong cuba menggambarkan bagaimana golongan nelayan pelbagai kaum saling bantu membantu dalam menjalani kehidupan. Semangat kerjasama antara mereka terbukti apabila mereka menghadapi ancaman lanun di perairan berhampiran perkampungan mereka.
Mengikut cerita watak utama, Ang Chow dijadikan tebusan oleh lanun. Mereka meminta tebusan $3,000 (ketika itu RM belum dipakai) yang mesti diserahkan dalam masa seminggu daripada rakan Ang Chow, seorang nelayan Melayu bernama Hitam. Nelayan kampung yang diketuai oleh Penghulu Samad melancarkan derma kilat dan berjaya mengumpul wang sebanyak yang dikehendaki itu.
Selepas dibebaskan, Ang Chow bekerjasama dengan polis untuk menghancurkan kegiatan lanun-lanun itu. Novel ini cuba membuktikan bahawa masyarakat pelbagai kaum di negara ini dapat hidup dengan aman jika mereka saling faham memahami antara satu sama lain. Antara contohnya, Penghulu Samad mengadakan majlis kesyukuran selepas Ang Chow diselamatkan. Semua keluarga nelayan daripada pelbagai kaum di kampung itu menghadirinya.
Demikianlah Chong telah melihat ke depan akan pentingnya kerukunan hidup semua bangsa yang hasilnya sedang dan insya-Allah akan dinikmati dan tuai dengan lebih baik lagi pada masa depan. Hari ini tanah air kita memerlukan seramai mungkin Ang Chow, Hitam dan Pak Samad (Ali, Ah Kau dan Muthu) bergandingan tangan bagi melonjakkan negara ke tahap tertinggi!
September 26, 2021
Safar 20, 1443: Ikan busuk daripada kepalanya...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit itu adalah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)
ADA pepatah Cina berbunyi 'ikan busuk biasanya daripada kepalanya'. Jika bahagian lain busuk, hampir pasti kepalanya sudah busuk. Jika pemimpin tertinggi busuk hampir pasti rakyatnya juga busuk. Namun harap-haraplah tidaklah begitu!
Jika pemimpin tertinggi bersih, yang di bawahnya insya-Allah akan mengikuti. Jika pemimpin tertinggi tidak bercakap sesuatu yang buruk mengenai 'kepala', insya-Allah rakyat juga tidak akan bercakap mengenainya.
Mengenai memburukkan 'kepala' ini, ada hadis menyebut menghina bapa orang lain termasuk dosa besar. Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id telah menceritakan kepada kami al-Laits daripada Ibnu al-Had dari Sa’ad bin Ibrahim dari Humaid bin Abdurrahman dari Abdullah bin Amru bin al-Ash bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Antara dosa besar adalah seorang laki-laki mencela kedua-dua orang tuanya. Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, ‘Apakah (mungkin) seorang laki-laki mencela orang tuanya?‘ Baginda menjawab: 'Ya. Dia mencela bapa seseorang lalu orang tersebut (membalas) mencela bapanya, lalu dia mencela ibunya, lalu orang tersebut (membalas) mencela ibunya'. - Hadis diriwayatkan Imam Muslim
Wahai semua, sedarlah bagaimana sikap dan perlakuan pemimpin, begitulah tindak tanduk rakyat terutama generasi muda. Jika pemimpin tergamak bercakap kotor, anak muda akan lebih dahsyat lagi. Pepatah Melayu ada menyatakan 'jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari...'
Ya, kita berharapkan pemimpin kencing duduk (hakikatnya kencing bertinggung), maka rakyat pun kencing duduk. Syukur, jika guru kencing duduk, anak murid pun kencing duduk. Baik pemimpin, baiklah rakyat; jahat pemimpin jahatlah rakyat.
Ada sebuah hadis diriwayatkan oleh Ibnul Abdul Barr dan Abu Naim bermaksud: "Telah bersabda Rasulullah SAW; 'Dua golongan daripada umatku, apabila mereka baik, baiklah manusia dan apabila mereka rosak, rosaklah manusia. Itulah dia pemimpin dan ahli fiqh (ulama)'.”
Anak-anak muda yang rosak akhlaknya, secara tidak langsung menggambarkan perihal pemimpinnya. Mereka cerminan pemimpin. 'Bapa borek anak rintik'; 'bagaimana acuan begitulah kuihnya', 'apa yang disemai itulah yang dituai'.
Dewasa ini terserlah ramai pemimpin pandai cakap tetapi tak pandai bikin (tak praktikkan apa yang mereka syarahkan). Misalnya, mereka mengesyorkan rakyat hidup secara wasatiyyah (sederhana) tetapi mereka hidup boros, termasuk 'menghanguskan' wang kerajaan bagaikan harta milik sendiri.
Apabila pemimpin cakap tak serupa bikin, rakyat pun cakap tak serupa bikin; jika pemimpin zalim, rakyat pun zalim kepada orang bawahan; apabila pemimpin berbohong rakyat pun jadi pembohong; dan apabila pemimpin pecah amanah dengan mengamalkan rasuah, rakyat pun terikut sama.
Jika pemimpin melakukan pembunuhan; pembunuhan pun akan berleluasa dalam negara. Jika pemimpin kaki rasuah, rakyat juga gemarkan rasuah. Jika pemimpin kaki judi, kaki betina, rakyat pun mempunyai kecenderungan sama.
Jika pemimpin negara dan politik tidak dapat menunjukkan contoh baik, bagaimana golongan muda dapat diharapkan menjadi warga baik pada masa depan. Jika pemimpin 'main kotor', maka anak muda pun belajar 'main kotor'. Jika pemimpin berdusta melalui media massa pengampu, rakyat juga akan berdusta melalui media sosial yang berlambak sekarang ini.
Jadi, ingatlah wahai diri sendiri dan semua terutama pemimpin, jika guru (pemimpin) kencing berdiri, anak murid (rakyat) kencing berlari, jika pemimpin kencing 'duduk' (bertinggung), insya-Allah, rakyat termasuklah generasi muda akan juga kencing duduk.
Berdasarkan perkembangan politik semasa, kita berasa sedih dan jijik dengan perlakuan sesetengah pemimpin politik. Mereka seolah-olah mengesahkan tanggapan bahawa politik itu kotor; untuk berkuasa seseorang itu perlu bijak mencuri peluang sekalipun haram kerana matlamat menghalalkan cara (Machiavelli). Matlamat tidak menghalalkan cara. Buatlah apa sekalipun, yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil. Yang haram tetap haram, yang halal tetap halal.
Jika pemimpin 'main kotor', maka anak muda pun mula 'main kotor'. Jadi anak muda bercakap kotor termasuk membabitkan 'hal kepala' jangan hanya salahkan mereka. Mereka adalah cerminan pemimpin - jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari!
September 25, 2021
Safar 19, 1443: First Lady' bantulah suami ke jalan benar...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)
ADA bijak pandai mengatakan di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita di belakang atau sisinya. Wanita itu kemungkinan besar ibu, isteri atau kedua-duanya sekali.
Cendekiawan juga ada mengungkapkan kehancuran sesetengah lelaki adalah disebabkan wanita di sisinya - namun hampir tidak mungkin seorang ibu 'melingkupkan' anaknya tetapi jika hal itu disebabkan isterinya, ia ada kebenarannya.
Jika kita meneliti kisah Nabi Adam a.s. iaitu bapa kepada semua manusia, ada yang mendakwa baginda 'terpelanting' dari syurga disebabkan memakan buah kuldi (larangan) hasil rayuan isteri tercinta Hawa...jadi sepanjang sejarah manusia betapa ramai suami termasuk tokoh-tokoh dunia kecundang kerana mengikut pesona rayuan sang isteri.
Negara kita turut menyaksikan pemimpin hanyut dan rebah ke lembah kehinaan gara-gara faktor antara lain terlalu mengikut kehendak nafsu buas keduniaan sang isteri...ya sang suami berwaspadalah dan wahai isteri jangan 'disesakkan' suami anda dengan meminta itu dan ini yang akhirnya bukan saja menyebabkan sang suami meringkuk dalam penjara tetapi anda juga tak senang duduk antara lain 'disiasat dari pagi sampai malam' dan mungkin juga turut ke penjara.
Menurut ulama, adalah amat penting untuk isteri mendoakan suami berada di jalan lurus termasuk membawa pulang rezeki halal lagi baik...ya bantulah dia ke jalan lurus; di sini adalah bermanfaat kita 'mengorek' kisah daripada lembayung sejarah wanita-wanita salihah ini yang insya-Allah, kalau boleh kita adaptasi dalam kehidupan kita.
Berdasarkan ini, kita mengharapkan sesiapa pun termasuk yang mendakwa sebagai wanita pertama, supaya menjenguk kisah-kisah teladan wanita pertama masa lampau untuk dijadikan iktibar dalam mengharungi hidup sebagai suri ketua negara atau kerajaan.
Kita akan membawakan dua watak saja iaitu Siti Zubaidah binti Jaafar iaitu permaisuri kepada Khalifah Bani Abasiyah paling hebat, Harun Al-Rashid (memerintah 786-803 Masihi) dan Siti Zubaidah permaisuri kepada Sultan Zainal Abidin dari kerajaan Kembayat Negara bagi menjadi contoh mithali wanita pertama di Alam Melayu.
Siti Zubaidah Jaafar sekalipun begitu kaya raya, telah membelanjakan sebahagian besar wang beliau sendiri untuk membiayai projek-projek berkepentingan rakyat, yang paling masyhur adalah ‘Ain Zubaidah, sebuah terusan paling hebat pada zamannya.
Ia bagi mengalirkan air ratusan kilometer jauhnya dari gunung-gunung yang mempunyai mata air di Makkah (ada mencatatkannya dari Taif) bagi kemudahan jemaah haji di Mina dan Arafah. Ahli sejarah mencatatkan kos pembinaan terusan itu adalah 1,700,000 dinar. Sekalipun dibina 1,400 tahun lalu, terusan itu masih boleh dilihat.
Selain itu Siti Zubaidah juga telah mengeluarkan belanja yang sangat besar bagi memperbaiki jalan di antara Baghdad ke Makkah. Di sepanjang jalan dibina perigi-perigi dan rumah-rumah persinggahan untuk memudahkan orang ramai terutama jemaah haji dan ahli peniagaan. Di Baghdad sendiri terdapat sebuah masjid terkenal dan dinamakan Masjid Siti Zubaidah kerana dialah yang bertanggungjawab membinanya.
Tentunya dunia Islam tidak mengingati Siti Zubaidah sebagai wanita pertama kerana dia permaisuri khalifah tetapi jasa-jasa besar yang ditinggalkannya kepada rakyat. Ahli sejarah mengungkapkan walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan, wanita ini sentiasa memastikan dia tidak termakan dengan pujukan syaitan.
Siti Zubaidah beranggapan kekayaan di dunia cuma sementara dan sekiranya dilaburkan mengikut cara yang betul akan mendapat keberkatan di akhirat kelak, manakala kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal, indah dan terlalu manis. Keindahan dan kemanisan itulah yang dicarinya, bukan mengejar glamor dan kemasyhuran dunia.
Sementara itu Siti Zubaidah alam Melayu melalui Syiar Siti Zubaidah pula memaparkan perjuangan permaisuri seorang raja (tentunya dia wanita pertama) untuk membebaskan suaminya daripada penjara dan cengkaman musuh. Siti Zubaidah sanggup menyamar sebagai pahlawan lelaki dan dalam perjuangannya menghadapi pelbagai penderitaan tetapi berkat kesabaran akhirnya suaminya dapat dibebaskan.
Alhamdulillah, pada hari ini ada sejumlah 'Siti Zubaidah' di kalangan wanita-wanita kita. Hanya 'jauhari yang mengenal menikam' - sewajarnya wanita-wanita ini diangkat untuk dijadikan suri teladan. Bagi yang tidak mengerti, berusahalah membersihkan hati, insya-Allah lambat-laun anda akan kenal juga mereka itu!
Bagi mereka yang 'terang hatinya', kedua-dua Siti Zubaidah adalah ikon yang sewajarnya menjadi teladan bukan saja kepada ‘First Lady’ tetapi juga semua wanita terutama yang berstatus isteri. Kedua-duanya bersemangat kental bagi meraih bahagia dunia dan akhirat.
September 24, 2021
Safar 18, 1443: Akibat tak takut 'Tuhan Alla' (U)
Dengan nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
JANGAN BERSUMPAH SEMBARANGAN: Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah kalian bersumpah dengan nama-nama ayah-ayahmu, dengan nama ibu-ibu, juga janganlah kamu bersumpah dengan nama-nama dewa. Dan janganlah kamu bersumpah dengan nama Allah, kecuali kalian orang-orang yang benar." (HR. Abu Daud dan Nasa'i)
TIDAK lama dahulu saya ke sebuah bengkel kereta. Ada ramai pelanggan, terpaksalah sabar menunggu. Salah satu cara mengisi masa terluang ialah berbual dengan pelanggan lain.
Banyaklah perkara dibualkan tetapi yang paling hangat ialah berkaitan kenderaan yang diservis itu. Maklumlah perkara ini ada hubungan dengan pengalaman masing-masing.
Seorang lelaki Cina membuka cerita mengenai keburukan pegawai penguat kuasa undang-undang jalan raya. Soal rasuah adalah perkara biasa, dakwanya.
"Dia orang tak tahukah, 'Tuhan Alla' (Tuhan Allah) nampak dia orang punya kerja," kata lelaki Cina itu membuatkan muka saya tebal. Untuk menyembunyikan rasa malu itu, saya buat-buat ketawa.
Demikianlah betapa segelintir orang Islam mempamerkan wajah dan perlakuan tidak Islamik menyebabkan orang bukan Islam tidak tertarik kepada Islam.
Kepada sesetengah orang bukan Islam, Islam dilihat berdasarkan keadaan umatnya. Jika kehidupan orang Islam susah dan perlakuan mereka buruk, bagaimana mereka boleh tertarik untuk mengenal seterusnya mendekati Islam?
Perkembangan kurang sihat ini turut diperkatakan oleh seorang penceramah 'saudara baharu' tidak lama dulu.
Beliau menceritakan bagaimana sebuah keluarga miskin di Klang yang tinggal berhampiran masjid tetapi tidak diambil peduli oleh masyarakat Islam di situ termasuklah jawatankuasa masjid.
Khabarnya, kumpulan Kristian mendekati keluarga berkenaan dan perkembangan ini tentulah tidak memberi gambaran baik mengenai Islam. Hakikatnya yang tidak baik itu bukanlah Islam tetapi umatnya yang mempamerkan perlakuan yang bertentangan dengan nilai murni penghidupan.
Seorang teman saya yang bertugas sebagai guru juga diajukan soalan yang sukar dijawab oleh teman sekerjanya daripada kaum Tionghua.
Kata guru Tionghua itu, dia hairan mengapa sebahagian besar muda-mudi yang berdua-duan adalah di kalangan orang Melayu, malah ramai juga gadis terbabit adalah daripada kalangan orang bertudung.
Beliau bertanya mengapa pelajar Melayu suka 'berkepit' ke sana sini sedangkan pelajar Cina lebih serius dalam pelajaran masing-masing.
Katanya, bukankah Islam itu melarang pergaulan bebas lelaki dan perempuan tetapi kalau dilihat apa yang berlaku di sekeliling, orang Islamlah 'lebih hebat' daripada golongan lain.
Soalan 'killer' daripada guru Tionghua itu membuatkan teman saya itu terduduk. Dia tidak mampu menjawabnya.
Demikianlah betapa segelintir orang Islam telah memalukan umat Islam lain.
Senario yang dibincangkan berlaku dalam negara tetapi jika kita melihat suasana global, perkembangannya lebih membimbangkan.
Berikutan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001, umat Islam kerap dikaitkan dengan keganasan. Istilah kurang enak seperti militan, radikal, teroris dan pengganas dihubungkaitkan dengan Islam.
Perkara ini amat mendukacitakan kerana hakikatnya umat Islam yang paling banyak menderita akibat keganasan yang dipaksakan ke atas mereka.
Lihatlah betapa rakyat awam Palestin, Chechnya, Kashmir, Arakan (Myanmar) dan Xinjiang (China) disembelih beramai-ramai sedangkan penjenayahnya tidak pula dianggap sebagai teroris, militan dan sebagainya.
Dalam dunia tanpa sempadan sekarang ini, kebebasan beragama dilaung-laungkan oleh pelbagai pihak. Semua orang dikatakan bebas mengamalkan ajaran masing-masing tetapi hakikatnya apabila ia membabitkan Islam, hal itu tidak pula berlaku.
Contohnya apabila Taliban Afghanistan menguatkuasakan peraturan agama yang ketat mereka dianggap sebagai pengganas.
Demikian juga apabila undang-undang Islam cuba dikuatkuasakan di sebuah negeri di utara Nigeria, pihak terbabit dianggap mahu kembali ke zaman batu. Orang Islam Nigeria yang menentang negara mereka dijadikan tuan rumah pertandingan Ratu Cantik Dunia dituduh sebagai fundamentalis dan pengganas.
Nasib umat Islam diperburukkan lagi oleh orang Islam yang menentang hukum-hakam Islam sendiri. Contohnya, ada kumpulan orang Islam di Turki yang tidak mahu wanitanya bertudung dan ada pihak yang menolak mentah-mentah hukum hudud.
Perlakuan buruk orang Islam ini dijadikan landasan oleh pihak yang bencikan Islam meningkatkan tekanan ke atas orang Islam. Jadi tidak hairanlah jika kuasa besar dunia baik di Barat dan Timur menganggap orang dan Islam sebagai penjenayah yang mesti diperangi.
Inilah tragedi yang memedihkan umat Islam akhir zaman ini. Orang Islam bukan saja ditindas oleh musuh Islam tetapi juga oleh orang Islam sendiri. Apabila ini berlaku, rasa hormat orang bukan Islam kepada orang Islam terhakis. Itulah sebabnya dalam kisah awal tadi, mengapa pegawai penguat kuasa Islam tidak dihormati kerana mereka sendiri tidak takut 'Tuhan Alla' (Allah).
September 23, 2021
Safar 17, 1443: 'Goodness' on wheels…(U)
In the name of Allah, Most Merciful, Most Compassionate; blessings and peace be upon Prophet Muhammad s.a.w.
Reflection
"Anyone who obeys the Messenger has obeyed God..." (Nisaa 4:80)
MY family brought home five stray kittens, unfortunately for an 'unavoidable reason' we had to give away all the five beautiful and cute creatures.
I was sad and felt a great loss but fortunately an idea crossed my mind - why not I bring along cats food in my motorcycle's basket. Thus I could always feed stray hungry cats whenever I find them without taking them back home.
The 'idea' worked; nowadays I have 'befriended' some 'kittens' at two 'masjids' that I often goes - strangely they would run to my motorcycle whenever I arrived at the said premises.
Based on this experience, I broadened my thinking that it is wise for us to carry along useful things or necessary equipment in our vehicles if of sudden there is an emergency. Yes, we needed to be ready to help others at all time, but one factor that hampered us from giving help is that we do not have the necessary and right equipment.
Discussing on this topic, I remember one of my best friend testimony that he always kept a motorcycle's tube, an air pump, spanners and other equipment in the boot of his car just in case he came across motorcyclists pushing their punctured vehicles along the road what's more on the highway.
Years ago I had the experience of pushing my punctured bike along the highway; I felt it was like an endless journey...I had to push the vehicle up and down the slopes and hills of the highway for more than 15 kilometers...yes nobody stopped to help me on the highway. While pushing the bike, my heart cried - Ya Allah, please help me, please help me!
I exited at an interchange and after more than five kilometers only than I found a workshop and have my motorcycle repaired. On reaching home, I felt my body and bone ached - ooh, if only a good samaritan like my best friend who always carried the necessary tools had seen me on the highway!
Perhaps in the past I was not good and fast in helping others, thus help was delayed to me! It was my mistake, I wowed to correct it. We must be ever ready to help those in distress.
Thus if we want to help others, always be prepared for an emergency. Be ready to render help just like my best friend who had motorcycle's repairing kit stored in his car boot!
It is good for us to have a car emergency kit which includes charged cell phone. Although this item will probably be on your person, it may make the difference between getting help fast and maybe not getting help at all. Make sure it is properly charged every time you get into your car.
We too should have first-aid kit, it should include adhesive tape, gauze pads, aspirin, antiseptic wipes, antiseptic cream or ointment, and anything related. Other items are fire extinguisher and warning triangles.
From experiences, I knew of some drivers carrying 'weapons' such as hockey sticks and iron rods in their cars in case they were attacked by road bullies but there are also 'some good souls' that carry with them 'parang' (chopper) and 'cangkul' (hoe) with a conscience intention.
Why carry a 'parang'...because when they come across felled trees they could help in clearing the branches and why carry a 'cangkul'...because they could removed carcasses of dead animals such as kittens on the road and then buried them. But to those good samaritans, be careful because carrying sharp objects such as 'parang' could land you in hot soup because it is against the law.
Then when going to 'masjids' for your five times daily prayers or 'kuliah' (lessons), always be ready in your vehicles simple apparatus such as a brush and a small container for you to pick up and clear 'tahi cicak' (lizard's excrement) in the 'masjid'. You too could ready a 'penyapu' (broom) to sweep the floor or compound of the 'masjid'.
If you bring along brushes and detergents you could clean the toilets; but remember to bring 'pakaian basahan' (attires worn when doing dirty work) for you need to be in you best clothes when entering 'masjid' and performing our 'solat' (prayers). Then if you have a 'parang' and 'sabit' (sickle), you could clean and clear areas around the 'masjid' such as cutting grass.
To help 'needy' people or individual in distress perhaps it does not require much effort - drivers could give lift to people for example neighbours who are waiting for the bus or walking on the road. Stop and ask them; if their route match yours...then take them into your car; from my experience doing this, they were very grateful and said thank you several times!
Yes be kind to all including fellow human beings especially to those in need because whoever is kind to His creatures, God is kind to him; therefore be kind to man on earth, whether good or bad; and being kind to the bad is to withhold him from evil, thus in Heaven you will be treated kindly. He who is not kind to God's creatures, God will not be kind to him.
The Qur'an states that whatever we give away generously (including help), with the intention of pleasing God, He will replace it. God knows what is in the hearts of men. Say: “Truly, my Lord enlarges the provision for whom He wills of His slaves, and also restricts it) for him, and whatsoever you spend of anything (in God’s Cause), He will replace it. And He is the Best of providers.” (Qur'an 34:39) - ES
September 22, 2021
Safar 16, 1443: Kg Abdullah Hukum; di manakan kucari ganti...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
TIDAK lama dahulu saya membawa seorang anak gadis saya ke tempat interbiu kerja di Bangsar South. Saya yang memandu kereta dari Melaka teragak-agak mencari tempatnya sekalipun 20-30 tahun lalu saya bermastautin di sini kerana bekerja di NSTP.
Tapak Bangsar South ini dulunya adalah Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi. Teringat saya semasa mula-mula belajar memandu kereta semasa bujang dulu, sebuah kedai 'lesen L' di Kampung Abdullah Hukum menjadi tempat kunjungan. Teringat saya dalam satu sesi belajar memandu, pakcik pengajar mengajak saya 'cepat-cepat cabut' selepas saya terlanggar 'bontot' sebuah kereta yang di pakir.
Sekalipun kereta berkenaan tiada kesan calar, pakcik berkenaan suruh saya 'cabut' kerana kononnya 'dia tak mahu cari pasal'. Hari ini bukan saja kedai berkenaan tiada, Kampung Abdullah Hukum pun tiada lagi dalam peta. Semuanya sudah memberi laluan kepada apa yang dinamakan pemodenan dan kemajuan - yang tersergam menongkah langit adalah menara dan bangunan Bangsar South.
Kalau Kampung Abdullah Hukum sendiri sudah tiada, agak-agak tahu tak generasi sekarang siapakah dia Abdullah Hukum. Orang segenerasi saya pun tidak tahu apatah lagi generasi baru.
Alhamdulillah, tidak lama dulu, saya ada membaca buku 'Kuala Lumpur dari Perspektif Abdullah Hukum' karya Adnan Haji Nawang (terbitan Berita Publishing, 1997) yang mengutip semua penceritaan Abdullah Hukum (antara tokoh peneroka Kuala Lumpur) yang antara lain menyatakan:
"Pada masa saya berumur kira-kira 15 tahun saya dibawa berdagang oleh ayahanda saya meninggalkan negeri. Kami keluar dari tanah Sumatera melalui Pekan Baharu (Siak) dengan sebuah sekoci belayar menuju tanah Semenanjung dan menempat ke Melaka pada tahun 1850.
"Apabila sampai ke Melaka maka kami pun menumpang di rumah Datuk Dagang bernama Haji Said, iaitu bapa saudara bagi Almarhum Tambi Abdullah yang terkenal kaya di Kuala Lumpur dan bergelar Datuk Abdullah.
"Adapun ketuaan orang Melaka masa itu ialah Wan Cilik namanya tinggal di Semabok Batu Tiga (ini kampung saya - penulis). Negeri Melaka masa itu memang telah takluk di bawah perintah Inggeris. Pekannya kecil saja. Ada sedikit-sedikit rumah batu, itu pun rendah-rendah dan separuh rumah-rumah itu betul di tepi pantai Melaka.
"Perniagaan masa itu banyak di tangan orang Melayu; berkedai kain dan menjual makanan. Ada juga Cina berkedai menjual sayur. Beras masa itu datang dari luar negeri. Keadaannya merah tetapi beras keluaran negeri putih dan baik. Ada juga sedikit-sedikit orang Kerinchi mencari rezeki di situ."
Selepas Melaka, Abdullah Hukum dikatakan telah berhijrah ke Kuala Lumpur, menjadi salah seorang peneroka awal di sana. Beliau telah membuka Kampung Abdullah Hukum di Bangsar, tetapi sayang seribu kali sayang, kampung ini tidak wujud lagi.
Lenyapnya Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi digantikan Bangsar South sewajarnya menyedarkan bahawa sebenarnya kita kehilangan khazanah bangsa yang sangat berharga. Sebahagian sejarah bangsa telah terpadam meninggalkan emosi menyayukan hati sesetengah daripada kita yang masih bernostalgia mengenai zaman itu.
Kedua-dua kampung di KL yang sudah lenyap ini, tidak mungkin berganti tetapi ibu kota kita masih 'menyimpan' saki baki khazanah bangsa (kampung Melayu) di dada kota seperti Kampung Baru yang sudah acap kali mahu dilenyapkan tetapi alhamdulillah masih berdiri sasa.
Berbanding Kampung Abdullah Hukum dan Kerinchi, Kampung Baru adalah lebih dekat di hati saya. Saya pernah tinggal di sini, ingatan akan tempat makan minum di banyak gerai di sini tidak akan terpadam daripada minda...ya jika Kampung Baru lenyap ia adalah mimpi buruk bagi diri ini dan mungkin juga sebahagian besar anak perantau ke KL, tidak kira mereka dari dekat atau dari jauh seperti Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak malah Pattani dan Indonesia.
Didoakan pihak berkuasa dapat beriltizam untuk memulihara khazanah bangsa yang mungkin tidak dapat dicari ganti seperti Kampung Baru. Biarkan Kampung Baru menongkah arus...biarkan ia terus hidup dengan nama dan identiti asalnya (Kampung Baru) dan bukan nama komersial baru seperti KL New Village!
Roslan Hamid's Blog
- Roslan Hamid's profile
- 2 followers

