Syed Mahadzir Syed Ibrahim's Blog, page 10
October 18, 2013
Anak Islam Generasi Pertama
SMAHADZIR
ANAK-ANAK orang mukmin sedang asyik bermain di pinggir kota Madinah. Tiba-tiba suasana gempar seketika. Anak-anak tadi bertempiaran lari menyembunyikan diri. Mengapa?
Rupa-rupanya mereka melihat Saiyidina Umar ibnu Khattab sedang berjalan melalui tempat mereka bermain. Anak-anak kecil itu gerun dengan sikap tegas yang ada dalam jiwa Umar. Namun ada seorang budak yang tidak ikut lari, malah terus bermain seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Saiyidina Umar lalu bertanya, “Mengapa engkau tidak lari bersama kawan-kawanmu?”
Anak itu menjawab dengan berani, “Saya tidak berbuat kesalahan apa-apa, mengapa saya harus takut. Lagipun jalan ini masih luas untuk tuan lalu.”
Saiyidina Umar tersenyum melihat keberanian dan kecerdasan anak tersebut. “Siapa namamu?” tanya Saiyidina Umar.
“Abdullah bin Zubair.”
Abdullah bin Zubair adalah anak Asma binti Abu Bakar. Inilah jiwa kanak-kanak Islam zaman kegemilangan Islam dahulu yang hanya takut kepada Tuhan, bukan pada manusia.
Published on October 18, 2013 03:11
Mudahkan Jangan Sukarkan
SMAHADZIR
SEORANG Badwi telah datang kepada Rasulullah s.a.w. kerana hendak memeluk Islam. Rasulullah s.a.w. saw bertanya kepadanya tentang Allah s.w.t. Lalu Badwi itu menunjukkan tangannya ke langit seolah-olah ia mahu menyatakan kepada Nabi saw bahawa Allah s.w.t. itu adalah Tuhan. pada wajahnya terbayang sifat ketulusan hati yang menyenangkan.
“Dan aku ini siapa?” tanya Rasulullah s.a.w. lagi.
“Tuan adalah Muhammad, Pesuruh Allah s.w.t.,” ujarnya.
Setelah mendapat jawapan yang sederhana itu, Nabi saw lantas tersenyum lalu mengajak Badwi itu duduk dekat baginda. Dengan itu rasmilah Badwi itu sebagai pemeluk Islam.
Demikianlah Nabi s.a.w. telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana menuntun orang kepada Islam mengikut taraf akal seseorang. Yang lebih penting ialah melahirkan pembelaan dan kasih sayang kepada mereka hati tetap teguh dalam Islam.
Published on October 18, 2013 03:10
Kata-kata Hikmah Orang Soleh
SMAHADZIR
SAIYIDINA ABU BAKAR:
1. Sesungguhnya seorang hamba itu bila merasa ujub kerana suatu perhiasan dunia, nescaYa Allah akan murka kepadanya hingga dia melepaskan perhiasan itu. 2. Semoga aku menjadi pohon yang ditebang kemudian digunakan. 3. Dia berkata kepada para sahabat, “Sesungguhnya aku telah mengatur urusan kamu, tetapi aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu maka berilah pertolongan kepadaku. Kalau aku bertindak lurus maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng maka perbetulkan aku!”
SAIYIDINA UMAR BIN KHATTAB:
1. Jika tidak kerana takut dihisab, sesungguhnya aku akan perintahkan membawa seekor kambing, kemudian dipanggang untuk kami di depan pembakar roti. 2. Barangsiapa takut kepada Allah s.w.t. nescaya tidak akan dapat dilihat kemarahannya. Dan barangsiapa takut pada Allah s.w.t., tidak sia-sia apa yang dia kehendaki. 3. Wahai Tuhan, janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad s.a.w. di atas tanganku. Wahai Tuhanku, umurku telah lanjut dan kekuatanku telah lemah. Maka genggamkan (matikan) aku untuk-Mu bukan untuk manusia.
SAIYIDINA ALI:
1. Cukuplah bila aku merasa mulia kerana Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai. 2. Hendaklah kamu lebih memperhatikan tentang bagaimana amalan itu diterima daripada banyak beramal, kerana sesungguhnya terlalu sedikit amalan yang disertai takwa. Bagaimanakah amalan itu hendak diterima?3. Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya. 4. Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.
UMAR BIN AZIZ:
1. Orang yang bertakwa itu dikekang. 2. Sesungguhnya syubhat itu pada yang halal. 3. Kemaafan yang utama itu adalah ketika berkuasa.
SUFFIAN AS THAURI:
1. Tidak ada ketaatan bagi kedua ibu-bapa pada perkara syubhat. 2. Sesungguhnya seorang lelaki itu berharta bila dia zuhud di dunia, dan sesungguhnya seorang itu adalah fakir bila dia gemar pada dunia. 3. Menuntut ilmu lebih utama daripada sembayang sunat.
IMAM AS SYAFIE:
1. Barangsiapa menghendaki akhirat wajib baginya ikhlas pada ilmu. 2. Tidak ada sesuatu yang lebih indah pada ulama kecuali dengan kefakiran dan mencukupi dengan apa yang ada serta redha dengan keduanya. 3. Hendaklah kamu berilmu pengetahuan sebelum kamu menjadi ketua, sebab sesudah kamu menjadi ketua, tidak ada jalan lagi bagimu untuk mencari pengetahuan. 4. Orang yang berakal itu adalah orang yang akalnya dapat mengawal segala sifat-sifat mazmumah (sifat keji).5. Barangsiapa yang menyukai bila Allah s.w.t. menutupinya dengan kebaikan maka hendaklah dia bersangka baik terhadap manusia.
IMAM MALIK:
1. Ilmu itu bukanlah dengan membanyakkan riwayat tetapi ilmu itu adalah cahaya yang Allah s.w.t. letakkan dalam hati. 2. Apabila seseorang itu memuji dirinya maka hilanglah cahayanya. 3. Wajib bagi orang yang menuntut ilmu untuk memiliki kebesaran, ketenangan dan ketakutan.
IMAM ABU HANIFAH:
1. Tidak sekalipun aku sembayang kecuali aku doakan untuk guruku Hammad dan juga mereka yang pernah mengajarku serta mereka yang pernah aku ajar. (murid-muridnya). 2. Telah sampai berita kepadaku, bahawa tidak ada yang lebih mulia daripada seorang alim yang warak.
IMAM AHMAD:
Jangan kamu mengambil ilmu dari orang yang mengambil benda dunia di atas ilmunya.
SUFFIAN BIN UYAINAH:
1. Dua perkara yang susah sekali untuk menguobatinya iaitu meninggalkan loba (tamak) untuk manusia dan mengikhlaskan amal untuk Allah s.w.t. 2. Siapa yang ditambah akalnya akan kuranglah rezekinya. 3. Zuhud di dunia itu adalah sabar dan menunggu-nunggu kedatangan mati. 4. Ilmu itu jika tidak memberi manfaat padamu maka akan memberi mudarat padamu. 5. Orang yang menuntut ilmu tidak akan dianggap sebagai orang yang berakal hingga dia melihat dirinya lebih hina dari sekalian manusia.
Surat dari ibu Aisyah r.a untuk Khalifah Muawiyah berbunyi sebagai berikut: “Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Siapa yang mengusahakan keredhaan Allah s.w.t. sampai manusia kesal kepadanya, ia akan dibantu Allah s.w.t. dalam menghadapi manusia. Dan siapa yang tidak menghiraukan Allah s.w.t. agar disenangi manusia nasibnya akan diserahkan Allah s.w.t. pada manusia.”
Oleh itu tetaplah hati tuan dalam takut pada Allah s.w.t. kerana bila tuan takut pada Allah s.w.t., Dia akan membantumu terhadap manusia. Tetapi kalau tuan takut pada manusia mereka tidak akan dapat menolongmu terhadap Allah s.w.t. sedikit pun.”
Khalifah Umar Ibnu Aziz menasihati gabenor di daerah pemerintahannya dengan perkataan sebagai berikut: “Kekuasaan yang ada di tangan saudara-saudara telah memungkinkan kalian untuk menzalimi rakyat. Bila terasa di hati kalian untuk menzalimi seseorang, ingatlah segera betapa besarnya kekuasaan Allah s.w.t. atas diri saudara-saudara.”
“Ketahuilah bahawa satu kejahatan yang anda timpakan pada rakyat lambat laun akan hilang bekasnya dari mereka tetapi bekasnya akan tetap untuk saudara-saudara dalam daftar dosa. Ketahuilah pula bahawa Allah s.w.t. membela orang teraniaya terhadap yang menzaliminya.”
Luqmanul Hakim menasihati anaknya: “Wahai anakku, dampingilah selalu para ulama dan jangan engkau banyak berdebat dengan mereka agar jangan dibenci oleh mereka.”
“Ambillah dari dunia sekadar keperluan dan biayakan (belanjakan) kelebihan hasil usahamu untuk Akhirat. Dunia jangan ditolak semua agar engkau tidak menjadi ‘parasit’ (orang yang menumpang hidup pada orang lain tanpa membalas apa-apa) yang menyusahkan manusia (orang) lain.”
“Berpuasalah selalu untuk menundukkan nafsumu, tetapi jangan sampai meletihkan badan sehingga merusak sembayangmu kerana solat lebih utama dari puasa.”
“Janganlah engkau duduk berteman dengan orang yang bodoh, sombong dan jangan didekati orang yang bermuka dua.”
Published on October 18, 2013 03:09
Menghina Diri Itu Amalan Hati
SMAHADZIR
MERASAKAN diri hina itu satu sifat yang mulia. Ia satu dari sifat kehambaan. Ia timbul dari merasakan bahawa Tuhan itu Maha Mulia. Merasakan Tuhan itu Maha Mulia ialah satu dari rasa-rasa bertuhan. Sebaik sahaja kita dapat merasakan Allah s.w.t. itu Maha Mulia, maka dengan secara spontan kita akan merasakan bahawa diri kita itu terlalu hina di sisi-Nya.
Lawannya ialah rasa diri mulia. Ini satu sifat yang tercela. Rasa diri mulia bukan satu sifat kehambaan tetapi ia lahir dari sifat ketuanan yang bersarang di hati kita. Kita rasa kita tuan. Kita rasa kita lebihdari orang lain. Rasa diri tuan itu syirik khafi (syirik tersembunyi) hukumnya. Kita sudah hampir hendak menyamakan kedudukan dan taraf kita dengan Tuhan. Kita hendak pakai apa yang menjadi pakaian Tuhan. Ia tumbuh dari sifat kibir, ego, angkuh dan sombong.
Sifat kikir, ego, angkuh atau sombong ini, semua orang ada. Hanya ada yang kuat mengawalnya dan ada yang lemah mengawalnya. Kibir atau ego ini ibarat harimau yang sedang tidur. Bagi orang yang kuat mengawalnya, kalau dicabar, harimau itu akan terjaga tetapi ia tidak menerkam dan tidak membaham mangsanya. Tetapi bagi orang yang lemah mengawalnya, kalau dicabar, akan marah dan akan bertindak terhadap orang yang mencabarnya.
Lebih hina kita rasakan diri kita di sisi Tuhan, maka lebih tajam dan lebih mendalamlah sifat kehambaan kita dan lebih tinggilah darjat kita di sisi Tuhan. Sebaliknya, lebih mulia kita rasakan diri kita, maka rosaklah sifat kehambaan kita dan hinalah kita di sisi Tuhan.
Hina diri itu ialah amalan hati. Tidak payah disebut-sebut dan tidak payah ditunjuk-tunjuk. Kalau disebut-sebut, takut-takut ianya bukan datang dari hati. Ini sumah namanya. Kalau ditunjuk-tunjuk dan ia bukan datang dari hati, maka ini riyak pula namanya.
Di dalam kita menghina diri, tidak payah kita tunjuk kotor seperti menyapu kotoran atau najis ke tubuh badan kita contohnya. Ini sudah jatuh haram. Ramai orang tunjuk kotor seperti peminta sedekah dan kaki dadah tetapi hati-hati mereka penuh dengan ego dan keangkuhan. Mudah sahaja mereka ini menipu manusia dan berbuat maksiat kepada Tuhan.
Published on October 18, 2013 03:08
Allah Nilai Hati Si Majusi
SMAHADZIR
SEMASA menunaikan ibadah haji, Abdullah bin Al-Mubarak tertidur di Hijir Ismail. Dalam tidurnya dia bermimpi Rasulullah s.a.w. berpesan kepadanya: “Wahai Abdullah, apabila engkau kembali ke Baghdad, pergilah berjumpa Bahramal Majusi (pemimpin agama Majusi). Sampaikan salamku dan katakan Allah s.w.t. telah redha kepadanya.”
Abdullah tersedar dan menyangka mimpi itu daripada syaitan. Namun mimpi itu datang tiga kali berulang-ulang. Maka setelah selesai mengerjal kan haji, Abdullah lantas pulang ke Baghdad dan mencari Bahramal Majusi.
“Wahai Bahramal Majusi, boleh aku tahu apa kebaikan yang pernah engkau lakukan?” tanya Abdullah setelah bertemu dengan orang yang dimaksudkan.
“Baru sebentar tadi aku pinjamkan wang kepada orang dengan faedah yang sedikit.”
“Itu haram hukumnya, ada yang lain?”
“Ya, aku ada empat anak lelaki dan empat anak perempuan. Maka aku telah mengahwinkan sesama mereka dengan mengadakan jamuan yang besar.”
“Itu juga haram, ada yang lain?”
“Ya, aku ada seorang anak perempuan yang cantik dan tiada tandingannya. Itu sebabnya aku bernikah dengannya dengan belanja perkahwinan yang besar. Lebih seribu orang Majusi menghadirnya.”
“Itu juga haram...”
“Oh, baru aku teringat. Seminggu lepas, sewaktu aku sedang tidur bersama anakku pada waktu malam, datang seorang wanita yang sama agamanya dengan kamu. Dia datang dan pergi beberapa kali. Aku syak dia seorang pencuri. Maka aku cuba mengekorinya dari belakang. Sampai di rumah wanita tersebut, kelihatan empat anak perempuannya sedang kelaparan.”
“Mereka bertanya, “Ibu adakah makanan untuk kami malam ini?”
Ibunya lalu menjawab, “Aku malu untuk meminta kepada selain Allah s.w.t. Tambahan pula kepada musuh Allah s.w.t., orang Majusi itu.”
“Wanita tersebut sedih hingga mengalirkan air mata. Aku tidak tergamak melihat keadaan mereka. Lantas aku pulang dan membawa makanan yang banyak. Semua makanan itu aku serahkan kepada wanita malang itu. Mereka sangat gembira dan aku rasa puas hati.”
“Inilah kebaikan yang telah kau lakukan hingga aku bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w. Dan Rasulullah s.a.w. sudah berpesan kepadaku agar menyampaikan salam kepadamu. Dia juga memberitahu bahawa Allah s.w.t. telah redha kepadamu, beritahu Abdullah.
Bahramal tersentak dengan berita tersebut. Dia lantas mengucap kalimah syahadah di hadapan Abdullah Mubarak. Selesai mengucap, Bahramal tersungkur lalu tidak bangun lagi.
Published on October 18, 2013 03:07
October 17, 2013
Tertib Dalam Mencari Ilmu
SMAHADZIR
ILMU itu memang penting bagi manusia. Dengan ilmulah manusia mengenal Tuhan. Dengan ilmulah manusia berakhlak. Dengan ilmulah manusia beribadah. Dengan ilmulah manusia membina tamadun dan peradaban. Dengan ilmulah manusia membangun dan berkemajuan. Dengan ilmulah manusia memburu dunia. Dengan ilmulah manusia memburu akhirat. Malahan ilmulah yang membezakan antara manusia dengan makhluk-makhluk yang lain.
Manusia berlumba-lumba untuk mencari ilmu kerana dengan ilmu manusia boleh jadi pemimpin. Dengan ilmu, manusia boleh jadi kaya. Dengan ilmu, manusia disanjung dan dihormati. Dengan ilmu, manusia boleh mengawal, menjajah dan memperalatkan manusia lain. Dengan ilmu manusia boleh dapatkan kekuatan, pengaruh dan pengikut.
Namun begitu, kalau ilmu tidak dikendalikan dengan betul, ia boleh mendatangkan mudarat. Ia boleh memakan diri. Manusia boleh jadi rosak dan keseluruhan tamadun dan peradaban manusia boleh musnah.
Dalam usaha mencari ilmu, Imam Al-Ghazali telah menetapkan bahawa yang dahulu mesti didahulukan dan yang kemudian mesti dikemudiankan. Mencari ilmu mesti mengikut tertibnya. Ada keutamaan dan prioritinya.
Tertib di dalam mencari ilmu ini penting sekiranya kita mahukan natijah yang baik dari ilmu itu sendiri. Kalau tertib ini tidak dijaga dan dilanggar, ilmu boleh memudaratkan dan merosakkan. Berikut adalah tertib susunan ilmu oleh Imam Al-Ghazali:
1. Ilmu fardhu ain. 2. Ilmu fardhu kifayah. 3. Ilmu sunat. 4. Ilmu harus. 5. Ilmu haram.
Fardhu Ain
Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap individu yang mukalaf. Kalau tidak, maka seseorang itu berdosa. Ia khususnya melibatkan ilmu agama yang merangkumi:
· Ilmu tauhid atau usuluddin · Ilmu feqah· Ilmu tasawuf atau akhlak
Ilmu fardhu ain ini bolehlah dianggap sebagai ilmu pendidikan. Ilmu ini ialah asas bagi agama seseorang. Ia mengenalkan manusia kepada Tuhannya. Ia membina peribadi dan akhlak melalui pengabdian diri dan ibadah kepada Tuhan.
Ilmu fardhu ain ini terutama tauhid dan usuluddin wajib diselesaikan dahulu bagi anak-anak kita sebelum mereka diberi ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu fardhu kifayah, ilmu sunat atau harus. Ini sesuai dengan sebuah hadis: Maksudnya: Awal-awal agama ialah mengenal Allah s.w.t.
Kalau Allah s.w.t. sudah dikenali, maka Allahlah yang akan mengisi hati dan jiwa anak-anak itu. Allahlah yang akan menjadi matlamat hidup mereka. Allahlah yang akan menjadi perkara utama di dalam apa sahaja yang mereka lakukan.
Kalau Allah s.w.t. tidak dikenali, mana mungkin mereka akan dapat berbuat sesuatu kerana-Nya. Kalau Allah s.w.t. tidak dikenali, apakah yang akan mendorong anak-anak kita untuk berbuat sesuatu kebaikan, selain dari dorongan nafsu dan duniawi semata-mata atau untuk mendapat pujian, glamour dan sebagainya.
Kalau Tuhan tidak dikenali, apakah yang akan menghalang anak-anak kita dari terlibat dengan maksiat, jenayah, pergaulan bebas, zina, rogol, bohsia, bohjan, black metal, budaya punk, gangsterism dan sebagainya. Apakah yang akan menghalang anak-anak kita dari mengangkat Tuhan yang lain sebagai Tuhan mereka atau dari meyakini ideologi-idelogi dan isme-isme ciptaan manusia atau dari menjadi sekularis, komunis, sosialis, free thinker atau terus menjadi ateis.
Jika Allah s.w.t. sudah mereka kenali dan jiwa anak-anak diisi penuh dengan akidah dan ketauhidan, maka mereka akan selamat ke mana sahaja mereka pergi dan dalam apa sahaja yang bakal mereka tempuh dan pelajari. Mereka akan ada imuniti atau pelalian dari segala macam kekeliruan dan kesesatan, juga dari segala macam pengaruh, dugaan dan pancaroba.
Setelah Allah s.w.t. dikenali, anak-anak akan menggunakan segala ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari, untuk berbakti kepada Allah s.w.t. dan untuk berkhidmat kepada sesama manusia, dan bukan untuk membuat kerosakan dan kemaksiatan di muka bumi ini.
Fardhu Kifayah
Bukan semua ilmu agama itu fardhu ain hukumnya. Ada yang fardhu kifayah. Contohnya ilmu Hadis, ilmu tafsir dan sebagainya. Ilmu fardhu kifayah ialah ilmu yang wajib bagi sesuatu masyarakat. Mesti ada di kalangan anggota masyarakat tersebut yang mempelajarinya, barulah ahli masyarakat yang lain akan terlepas dari dosa.
Ilmu fardhu kifayah termasuklah juga ilmu-ilmu akademik seperti perubatan, kejuruteraan, perindustrian, perdagangan, pertanian, ketenteraan, perakaunan dan sebagainya. Ilmu agama lazimnya dinamakan ilmu akhirat. Ilmu akademik pula dinamakan ilmu dunia. Ada sesetengah pihak cenderung untuk menamakan ilmu akademik ini sebagai ilmu sekular. Ini sebenarnya kurang tepat.
Sekular atau tidaknya sesuatu ilmu itu bergantung kepada tujuan penggunaan dan matlamat pengamalnya dan bukan kepada jenis ilmu itu sendiri. Ilmu sekular ertinya ilmu yang khusus digunakan untuk tujuan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan langsung dengan akhirat. Ilmu agama sekalipun, kalau tujuan penggunaan dan matlamatnya adalah untuk dunia semata-mata seperti untuk dipuji, disanjung, dimuliakan, untuk mendapat kerja dan jawatan dan sebagainya, maka jadi sekularlah ilmu itu.
Sebaliknya, kalau ilmu dunia digunakan dengan tujuan untuk berbakti dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan menepati pula syarat-syarat sebagai suatu ibadah, maka ia tidak boleh dianggap sebagai ilmu sekular kerana ada nilai akhiratnya.
Ilmu Sunat Dan Ilmu Harus
Kalau sudah ada ahli masyarakat yang mempunyai ilmu fardhu kifayah yang cukup, maka bolehlah ahli masyarakat yang lain mempelajari ilmu yang sunat atau yang harus. Ilmu-ilmu yang sunat termasuklah ilmu bahasa, sejarah dan seumpamanya. Ilmu yang harus pula termasuklah ilmu melukis, sastera dan sebagainya. Sepertimana yang disebut di atas tadi, ilmu yang harus ini juga kalau menepati syarat-syaratnya maka ia juga boleh menjadi ilmu yang bernilai Akhirat.
Ilmu Haram
Ilmu yang haram ialah ilmu yang ditegah kita mempelajarinya seperti ilmu sihir.
Perlunya Mengikut Tertib
Antara sebab rosaknya masyarakat dan anak-anak muda kita hari ini ialah kerana mencari ilmu yang tidak mengikut tertibnya. Sebelum mereka mengenal Tuhan dan sebelum jiwa mereka diisi dengan akidah dan ketauhidan melalui pendidikan fardhu ain, mereka didedahkan dengan ilmu-ilmu akademik yang tidak mengandungi apa-apa nilai pendidikan atau tarbiah.
Di samping itu, mereka juga terdedah kepada berbagaibagai pengaruh liar seperti rock, metal, rap, dadah, pergaulan bebas dan sebagainya, sama ada di dalam mahupun di luar sekolah. Disebabkan jiwa mereka kosong, pengaruh-pengaruh tersebut terus meresap masuk ke dalam hati mereka.
Mereka tidak disediakan untuk menghadapi pengaruhpengaruh jahat seperti ini. Mereka tidak diberi imuniti atau pelalian dari pengaruh-pengaruh yang merosakkan ini. Kita biasanya sibuk memberikan anak-anak kita suntikan imuniti atau pelalian dari berbagai-bagai penyakit seperti batuk kokol, difteria, polio dan cacar, tetapi kita ambil ringan tentang kerosakan akidah, akhlak, peribadi dan kemanusiaan mereka. Walhal kerosakan akidah dan akhlak ini Neraka padahnya.
Ilmu dunia itu sifatnya seperti pisau. Kalau digunakan untuk kebaikan maka baiklah jadinya. Kalau dihalakan kepada kejahatan maka jahatlah jadinya. Segala bentuk ilmu dunia boleh dijadikan modal atau alat untuk berbuat baik ataupun untuk berbuat jahat.
Oleh itu untuk mengelak dari berlakunya kerosakan dan bala bencana, manusia yang hendak diberi ilmu dunia ini mestilah dari kalangan orang-orang yang baik, yang kenal dan beriman kepada Tuhan, yang berakhlak dan yang bertanggungjawab. Kalau tidak, mereka akan gunakan ilmu, kepandaian dan kemahiran mereka untuk membuat kerosakan, untuk memutar belit, untuk menipu dan untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Lagi banyak ilmu dan kepandaian yang ada pada mereka, lagi besarlah kerosakan yang akan mereka lakukan.
Sepertimana yang berlaku kepada anggota-anggota keselamatan seperti polis dan tentera, perkara utama yang ditekankan dan dididik sebelum mereka dibenarkan memegang senjata api ialah disiplin dan tata tertib. Hanya dengan disiplin dan tata tertib barulah senjata api di tangan anggota-anggota keselamatan itu dapat digunakan untuk menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara.
Kalau orang yang tidak ada disiplin diberi senjata api, ini sangat berbahaya. Begitulah juga orang yang mempunyai banyak ilmu dunia tetapi jahat dan tidak kenal Tuhan. Mereka ini juga berbahaya.
Justeru itu, tertib dalam mencari ilmu seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali ini perlu dititikberatkan. Ia perlu diserapkan ke dalam sistem pendidikan kita. Anak-anak mesti mengenali Tuhan terlebih dahulu sebelum mereka mengenali perkara-perkara lain. Barulah mereka tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang menyeleweng.
Barulah segala ilmu yang dipelajari dapat dijadikan alat untuk berbakti dan meninggikan kalimah Tuhan. Kalau tidak, manusia akan menggunakan ilmu untuk kejahatan dan untuk melawan Tuhan. Lebih dahsyat lagi, mereka akan ‘menyembah’ dan bertuhankan ilmu.
Published on October 17, 2013 14:29
Kisah Anak Kecil Hari Raya
SMAHADZIR
SUATU ketika pada hari Raya, sewaktu Rasulullah s.a.w. hendak pergi ke masjid, Baginda mendapati seorang anak yang masih kecil sedang menangis di sebuah sudut jalan. Rasulullah s.a.w. yang sangat berhati lembut dan penyayang kemudian mendatangi anak kecil tersebut, lalu bertanya kepadanya: “Wahai anak, hari ini semua orang sedang bergembira dengan datangnya Hari Raya Idul Fitri, tetapi kamu terlihat menangis seorang diri di sini, apa yang terjadi?”
Anak kecil itu menjawab: “Aku sedih, teman-temanku semua bergembira dengan ibu dan ayah mereka, mereka memakai baju baru dan perhiasan baru, sedangkan orang tuaku telah bercerai, ibuku menikah dengan orang lain, ayah tiriku tidak peduli denganku. Dan aku tidak mungkin dapat membeli baju baru.”
Rasulullah s.a.w. kemudian tersenyum haru, lantas memeluk anak kecil tersebut dengan penuh kasih, bagaikan anak Baginda sendiri. Setelah itu Rasulullah s.a.w. berkata padanya: “Wahai anak kecil yang dikasihi Allah s.w.t., maukah jika engkau menjadi anakku, aku menjadi ayahmu, dan Aisyah menjadi ibumu?”
Dengan terharu dan senyum yang tidak dapat terlukisakan, anak itu kemudian memeluk Rasulullah s.a.w. dengan erat, air matanya mengalir kerana merasakan kebaikan dan kasih sayang Rasulullah s.a.w. kepada dirinya.
Rasulullah s.a.w. kemudian menggendong anak kecil itu dan membawa ke rumah, kemudian menyerahkannya kepada Sayidatina Aisyah untuk dimandikan. Maka beberapa saat kemudian, si anak kecil yang sebelumnya dekil, kotor, bau dan berantakan itu berubah menjadi bagaikan bidadari kecil yang harum dan cantik.
Begitulah kasih sayang Baginda Rasulullah s.a.w., sanggup mengasihi dan menghibur orang lain demi kebahagiannya. Baginda sangat sayang terutama kepada anak-anak yang masih belum ada dosa. Marilah kita berusaha meneladani akhlak Rasulullah s.a.w. yang sungguh agung, iaitu alah satunya dengan berkasih sayang sesama manusia.
Published on October 17, 2013 14:28
Rezeki Rahang Unta
SMAHADZIR
SYAM’UN AL GHAZI, seorang pahlawan Bani Israel yang telah berjuang memerangi musuh-musuh Islam selama 1,000 bulan lamanya. Musuhnya telah cuba berbagai-bagai kaedah untuk menghapuskannya. Malang sekali rancangan mereka sering menemui kegagalan.
Syam’un mempunyai senjata yang merbahaya buat pihak musuh. Senjata tersebut sangat berkesan dan telah berjaya membunuh beribu nyawa musuh. Ia diperbuat dari rahang unta yang kering. Apabila dahaga akan keluar air jernih yang bersih. Manakala ketika lapar akan keluar daging yang cukup untuk dimakannya dari tulang tersebut.
Oleh kerana kegagalan demi kegagalan dihadapi oleh pihak musuh, mereka telah cuba memperalatkan isteri Syam’un sendiri. Isteri Syam’un masih belum beriman. Dia disogokkan dengan harta yang banyak jika mampu menyerahkan suaminya sendiri hidup-hidup kepada mereka. Setelah persetujuan dicapai, pihak musuh membekalkan kepadanya peralatan untuk memerangkap Syam’un.
Pada malam tersebut isteri Syam’un melaksanakan tugasnya. Setelah suaminya tidur, kaki dan tangan suaminya diikat. Namun apabila terjaga, Syam’un dengan mudah mengungkaikan ikatan tersebut.
“Siapa yang ikat aku?” tanya Syam’un.
“Aku saja hendak menguji kekuatan engkau,” jawab isterinya menyembunyikan hasrat sebenar.
Keesokan malamnya isteri Syam’un mengulangi perbuatannya. Kaki dan tangan suaminya diikat dengan kuat dan tali yang lebih kukuh. Namun itu pun masih boleh diungkai dengan mudah oleh suaminya.
“Wahai isteri yang aku kasihi, sebenarnYa Allah telah memberi iaku kelebihan. Tak ada seorang pun di dunia ini yang boleh menandingi aku kecuali rambut ini,” kata Syam’un sambil menunjukkan rambutnya yang panjang dan lebat.
Isteri Syam’un tidak melepaskan peluang ini. Dia menunggu suaminya tidur dengan nyenyak. Apabila tiba waktu yang sesuai, rambut suaminya digunting dengan berhati-hati. Rambut tersebut dipintal menjadi lapan utas. Empat utas untuk diikat tangan manakala empat lagi untuk kakinya.
Apabila Syam’un terjaga dari tidurnya, dia tidak berdaya memutuskan ikatan tersebut. Tanpa berlengah lagi isteri Syam’un memanggil musuh suaminya untuk dibawa ke tempat sembelihan. Di sanalah pihak musuh mencungkil mata, memotong tangan, kaki, telinga serta lidah Syam’un sambil mengelilinginya.”Ya Allah, berilah aku kekuatan menggoncang rumah ini,” mohon Syam’un kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t. perkenankan doa Syam’un hingga runtuh rumah tersebut dan jatuh menimpa musuh-musuh Allah s.w.t. itu. Allah s.w.t. selamatkan Syam’un dan isteri Syam’un terkorban bersama-sama pihak musuh. Setelah peristiwa ini, Syam’un menambahkan lagi ibadahnya selama 1,000 bulan. Dia bersolat pada malam hari dan berpuasa pada siang hari.
Published on October 17, 2013 14:27
Ketakwaan Saiyidina Umar Ibnu Aziz
SMAHADZIR
SEBAIK sahaja beliau diangkat menjadi khalifah, beliau pulang ke rumahnya dengan wajah cemas dan menemui isterinya lantas berkata: “Aku kini seperti memikul gunung. Segala beban umat sudah tertanggung ke atas aku. Aku sudah tiada masa lagi untuk bersama denganmu. Sekiranya kamu tidak sanggup demikian, nyatakanlah agar aku melepaskanmu secara baik. Andainya engkau ingin terus bersamaku, maka engkau adalah sebahagian dari diriku yang turut memikul beban umat.”
Menurut pengakuan isteri beliau, semenjak hari itu hingga wafatnya, tidak pernah tidur bersama dengannya.
Khadam (pembantu) kepada Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz merasa hairan kerana di malam hari titisan air mata khalifah itu sering jatuh menimpanya yang tidur di pangkin bawah.
Apabila khadam itu bertanya kepada Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz beliau menjawab, “Amanah Allah s.w.t. yang dikurniakan kepada diriku seperti anggota tubuh, anak isteri dan sedikit harta benda. Aku cemas kalau-kalau aku tidak dapat menjawabnya di hadapan Allah s.w.t. Betapalah kini aku sedang memikul beban dan tanggungjawab umat Muhammad, seluruh urusan umat ini Allah s.w.t. akan tanya kepada aku satu persatu, bolehkah aku melelapkan mata, lantaran aku menanggung segala beban umat ini.”
Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz setiap minggu akan duduk berkumpul bersama para ulama untuk mendengar nasihat dan tarbiyah terutamanya dari kalangan ulama sufi. Kerana ulama sufi sering sahaja bercerita mengenai kehidupan akhirat. Di sini juga memperlihatkan betapa pada zaman beliau para ulama sangat jujur dan berperanan mendidik masyarakat termasuk kepada pemimpin.
Suatu hari seorang ulama sufi bercerita mengenai nasib tiap-tiap khalifah sebelumnya yang diperolehi melalui mimpi. Kata ulama tersebut: “Aku melihat dalam mimpi betapa Khalifah Abu Bakar melalui Siratal Mustaqim dan beliau melepasinya. Begitu juga aku melihat giliran Khalifah Umar r.a melalui Siratal Mustaqim dan beliau melepasinya dengan selamat. Diikuti pula oleh Khalifah Uthman dan beliau juga selamat. Khalifah Ali r.a juga aku lihat selamat melepasi Siratal Mustaqim.”
Sambungnya lagi: “Selepas itu aku lihat tiba pula giliran tuan untuk melalui Siratal Mustaqim...”
Tiba-tiba saja Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz berkata, “Aku bagaimana yang engkau lihat?”
Ulama sufi itu dengan tenang bercerita, “Aku lihat tuan...”
Belum habis ulama sufi itu bercerita, tiba-tiba Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz menjerit, “Allahu Akbar” lalu beliau jatuh pengsan.
Beberapa ketika selepas itu beliau kembali membuka matanya dan bertanya, “Terus ceritakan apa yang kamu lihat mengenai aku.”
Ulama sufi itu mengulangi lagi cerita mimpinya, “Apabila sampai giliran tuan, aku lihat...”
Sekali lagi Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz jatuh pengsan.
Setelah beliau kembali membuka mata dan bertanya mengenai nasib dirinya ketika melalui Siratal Mustaqim, ulama sufi itu tidak mengulangi ceritanya seperti sebelum ini. Sebaliknya ulama sufi itu menjawab dengan ringkas sahaja, “Tuan selamat.”
SEBAIK sahaja beliau diangkat menjadi khalifah, beliau pulang ke rumahnya dengan wajah cemas dan menemui isterinya lantas berkata: “Aku kini seperti memikul gunung. Segala beban umat sudah tertanggung ke atas aku. Aku sudah tiada masa lagi untuk bersama denganmu. Sekiranya kamu tidak sanggup demikian, nyatakanlah agar aku melepaskanmu secara baik. Andainya engkau ingin terus bersamaku, maka engkau adalah sebahagian dari diriku yang turut memikul beban umat.”
Menurut pengakuan isteri beliau, semenjak hari itu hingga wafatnya, tidak pernah tidur bersama dengannya.
Khadam (pembantu) kepada Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz merasa hairan kerana di malam hari titisan air mata khalifah itu sering jatuh menimpanya yang tidur di pangkin bawah.
Apabila khadam itu bertanya kepada Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz beliau menjawab, “Amanah Allah s.w.t. yang dikurniakan kepada diriku seperti anggota tubuh, anak isteri dan sedikit harta benda. Aku cemas kalau-kalau aku tidak dapat menjawabnya di hadapan Allah s.w.t. Betapalah kini aku sedang memikul beban dan tanggungjawab umat Muhammad, seluruh urusan umat ini Allah s.w.t. akan tanya kepada aku satu persatu, bolehkah aku melelapkan mata, lantaran aku menanggung segala beban umat ini.”
Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz setiap minggu akan duduk berkumpul bersama para ulama untuk mendengar nasihat dan tarbiyah terutamanya dari kalangan ulama sufi. Kerana ulama sufi sering sahaja bercerita mengenai kehidupan akhirat. Di sini juga memperlihatkan betapa pada zaman beliau para ulama sangat jujur dan berperanan mendidik masyarakat termasuk kepada pemimpin.
Suatu hari seorang ulama sufi bercerita mengenai nasib tiap-tiap khalifah sebelumnya yang diperolehi melalui mimpi. Kata ulama tersebut: “Aku melihat dalam mimpi betapa Khalifah Abu Bakar melalui Siratal Mustaqim dan beliau melepasinya. Begitu juga aku melihat giliran Khalifah Umar r.a melalui Siratal Mustaqim dan beliau melepasinya dengan selamat. Diikuti pula oleh Khalifah Uthman dan beliau juga selamat. Khalifah Ali r.a juga aku lihat selamat melepasi Siratal Mustaqim.”
Sambungnya lagi: “Selepas itu aku lihat tiba pula giliran tuan untuk melalui Siratal Mustaqim...”
Tiba-tiba saja Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz berkata, “Aku bagaimana yang engkau lihat?”
Ulama sufi itu dengan tenang bercerita, “Aku lihat tuan...”
Belum habis ulama sufi itu bercerita, tiba-tiba Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz menjerit, “Allahu Akbar” lalu beliau jatuh pengsan.
Beberapa ketika selepas itu beliau kembali membuka matanya dan bertanya, “Terus ceritakan apa yang kamu lihat mengenai aku.”
Ulama sufi itu mengulangi lagi cerita mimpinya, “Apabila sampai giliran tuan, aku lihat...”
Sekali lagi Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz jatuh pengsan.
Setelah beliau kembali membuka mata dan bertanya mengenai nasib dirinya ketika melalui Siratal Mustaqim, ulama sufi itu tidak mengulangi ceritanya seperti sebelum ini. Sebaliknya ulama sufi itu menjawab dengan ringkas sahaja, “Tuan selamat.”
Published on October 17, 2013 14:26
Mencari Redha
SMAHADZIR
KASIHAN manusia ini, ramai di antara mereka membuat kerja-kerja yang tidak seimbang bahkan adakalanya membuat kerja-kerja yang sia-sia. Kerja dunia yang sementara serius mereka mengusahakannya. Dunia yang tidak lama bertungkus-lumus mereka mendapatkannya. Bukan sahaja dunia tidak lama yang disangka lama, hidup sampai ke tua ramai yang mati muda.
Ramai orang mengejar nama dan glamour, mereka tidak fikir lagi larangan Tuhan dan mereka menyangka glamour dan nama membawa bahagia. Kasihan mereka ini ditipu oleh angan-angannya. Mereka burulah nama dan glamour dengan bermacam-macam dan berbagai-bagai cara. Ramai orang kerana hendak nama dan glamour dia memanjat gunung, menyeberang, merenangi lautan, mengembara ke kutub, menggembara ke angkasa lepas dengan perbelanjaan yang sungguh mahalnya.
Apakah dapat bersembahyang atau tidak, tidak diambil kira, mereka lakukanlah bersusah payah untuk sanjungan manusia. Ada yang jatuh patah kaki, tidak kurang ada yang mati. Sewaktu hendak nama dan glamour itu melanggar syariat atau as sunnah peduli apa, yang penting berjaya, yang penting membina nama, media massa membuat berita, yang penting ada nama, bukan senang hendak terkenal.
Begitulah manusia pada hari ini kerana nama dan glamour sanggup mati kerananya, kalau kerana Tuhan untuk tidak berbuat bermacam-macam alasan. Susahlah, sibuklah tidak ada masalah kerana itulah solat Subuh sahaja ramai orang yang tertinggal. Mungkin juga solat dibuat tetapi setelah matahari naik. Begitulah orang memperkecilkan Tuhan kerana berbagai-bagai alasan mengapa ditinggalkan kerana nama dan glamour tidak ada yang mustahil, boleh sahaja.
Segala yang diusaha dan diperolehinya ditinggalkan tidak boleh dibawa sedangkan untuk akhirat yang kekal abadi, selama-lama telah dicuaikannya. Mereka pergi ke negara yang kekal abadi tidak membawa apa-apa. Bekal ke sana waktu di dunia telah dilupakannya seperti tidak beribadah atau beribadah membuat sambil lewa, tidak berjiwa asal ada sahaja. Pemurahnya tidak ada, maaf-bermaafan tidak biasa, berkasih sayang sesama manusia telah dilupa. Sabar dan redha tak usah dikata, memang tidak ada mengutamakan orang lain bukan budaya hidupnya. Ziarah-menziarahi bukan budayanya, menghormati hukum-hakam Tuhan di dalam hidupnya bukan disiplin hidupnya,
Islamnya hanya syahadah dan sedikit-sedikit ibadah lainnya itu pun bukan dari jiwa. Bertimbang rasa tidak dianggap agama, jiran tidak dianggap macam keluarga yang ada dia memikirkan kepentingan dirinya dan keluarga atau kroni-kroninya. Orang miskin, susah, dapat bala peduli apa! Yang dibawanya ke akhirat ialah sifat sombong, tamak, bakhil, pemarah, zalim, megah, riyak, ujub, di samping lupa Tuhan, tidak takut dan tidak cintakan Tuhan.
Sewaktu ketika hendak mati masih di dalam angan-angan lagi ingin menambah harta, mencari nama, ingin glamour. Ketika itu juga masih hasad dengki, masih menghina orang, masih mengangkat diri, ajal pun sampai, mati tidak membawa apa-apa kebaikan, dengan kata-kata lain tidak membawa sifat takwa sebagai bekal. Yang dibawanya hanya sifat-sifat mazmumah yang bernanah di dalam jiwanya.
Aduh malang sekali, dia pergi ke Akhirat membawa barang-barang yang dimurka untuk ke Neraka, barang-barang yang dibawa untuk ke syurga tidak ada, maka rugilah dia sepanjang masa buat selama-lamanya. Waliyazubillah daripada berlakunya seperti yang dikata.
Published on October 17, 2013 14:26
Syed Mahadzir Syed Ibrahim's Blog
- Syed Mahadzir Syed Ibrahim's profile
- 9 followers
Syed Mahadzir Syed Ibrahim isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
