Roslan Hamid's Blog, page 93

March 21, 2020

Tanah Suci 11: Mimpi menyemarakkan hati di Tanah Suci

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr

MENJADI tetamu-Nya adalah ibarat mimpi yang cukup manis walaupun dulu ramai yang mengajak ke Tanah Suci, tetapi saya belum tergerak hati untuk ke sana.

Kalau bukan kerana ditimpa musibah yang cukup mencabar kesabaran hati, mungkin hati saya belum terbuka untuk menunaikan umrah.

Tuhan Maha Kaya, perasaan bagai tidak sabar-sabar untuk mengunjungi Tanah Suci sejak hari pertama mendaftar di agensi. Hati saya turut berdebar dan gelisah menjelang 'tarikh keramat' itu.

Kami ke Kuala Lumpur sehari sebelum berlepas kerana perlu mengikuti kursus umrah yang dianjurkan oleh agensi berkenaan.

Semasa mengikuti kursus di pejabat agensi, kami diberitahu tiket penerbangan belum diperolehi walaupun visa sudah diluluskan.

Malah ada jemaah yang tidak mendapat visa walaupun tiket penerbangan telah ditempah.

Sekalipun berbekalkan janji agensi yang akan berusaha mendapatkan tiket untuk penerbangan pada keesokan harinya, kami tetap resah. Kami berdebar-debar menunggu, dapatkah kami mengunjungi Baitullah agaknya.

Selesai menunaikan sembahyang sunat di hotel, saya terus melelapkan mata sambil berdoa kami dapat berlepas keesokan harinya.

Sesuatu yang tidak diduga pada malam itu, saya bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. dan memberi salam kepada Baginda.

Baginda menanti sesiapa lagi yang akan memberi salam kepada Baginda. Peristiwa mimpi itu menyakinkan diri saya bahawa kami pasti dapat mengunjungi Baitullah dan menziarahi makam Nabi s.a.w. di Madinah.

Seperti yang dijangka, keesokan harinya kami dimaklumkan tiket penerbangan berjaya diperolehi dan kami akan berlepas pada jam 3.00 petang.

Saat pertama kali menjejak kaki di bumi Madinah dan memandang Masjid Nabawi, hati begitu sukar digambarkan seperti yang selalu diceritakan oleh mereka yang pernah ke sana.

Perasaan gembira, sedih dan sayu bercampur menjadi satu. Betapa pilunya hati ketika menziarahi makam Nabi s.a.w. Air mata mengalir deras pada saat kaki melangkah meninggalkan makam yang kaku itu, kerana masa tidak mengizinkan. Kami kemudian berangkat ke Makkah pula.

Perjalanan ke Tanah Suci Makkah berjalan lancar. Selesai membawa beg-beg ke bilik dan makan tengah hari, kami dibawa ke Masjidilharam untuk menyelesaikan umrah wajib.

Maha Suci Allah kerana diberi peluang jua akhirnya menjadi tetamu-Nya.

Pengalaman tawaf buat pertama kalinya sukar digambarkan dengan kata-kata. Matahari yang memancar terik tidak terasa sangat bahangnya. Hari berikutnya, kami bebas mengerjakan umrah sunat dan memperbanyakkan ibadat.

Di Masjidilharam saya terlihat beberapa ekor kucing dekat telaga Zamzam. Saya cuba membelai kucing-kucing berkenaan kerana memang sukakan haiwan itu.

Malangnya apabila dipanggil, ia hanya mengiau dari jauh. Semuanya sihat-sihat belaka dan sungguh comel sekali seperti kucing Friskies.

Suatu ketika selepas sembahyang Maghrib, seekor kucing yang sedang berkeliaran tiba-tiba membuang air kecil di atas beg tangan seorang jemaah dari Malaysia yang diletakkan di hadapan beliau.

Kami terdiam melihat peristiwa tersebut dan berasa tidak senang hati. Apa agaknya hikmah di sebalik peristiwa itu hanya Allah yang tahu.
Dalam perjalanan ke Makkah dari Madinah dulu, saya tertidur kerana mengantuk yang amat sangat. Lagipun musim panas memendekkan waktu malam di Tanah Suci. Waktu subuh seawal 3.30 pagi. Lama juga untuk kami menyesuaikan diri dengan suasana baru itu.
Lebih kurang 25 minit tertidur, saya tiba-tiba terjaga. Sebaik terjaga mata saya segera terpandang Masjidilharam tersergam indah disinari cahaya lampu yang terang benderang.

Kaabah dapat dilihat dengan jelas kerana lebih tinggi daripada bangunan masjid dan beberapa kali ganda besar daripada saiz sebenar. Saya terpaksa berpaling ke belakang mengikuti perjalanan bas kerana terpukau melihat Masjidilharam dan Kaabah yang begitu berbeza dengan saiz sebenarnya.

Di situ saya lihat tiada seorang pun berada di dalam masjid dan mengerjakan tawaf seperti lazimnya. Dalam keadaan kehairanan yang amat sangat kerana selepas itu kegelapan semula yang saya pandang dan padang pasir yang terbentang luas, saya bertanya kawan di sebelah, adakah kami telah tiba di Makkah?

Apabila dijawabnya tidak, aku terdiam. Rupa-rupanya Makkah yang kami tuju akan mengambil masa lebih kurang 20 minit lagi untuk sampai, tetapi apa yang saya lihat sebentar tadi cukup membuat hati ini tertanya-tanya sehingga kini. Kepada kawan saya tidak saya ceritakan hal ini sehingga kami selamat pulang ke tanah air.

Malam keempat di tanah air, sekali lagi saya bermimpi. Kali ini aku bermimpi menziarahi makam Nabi s.a.w. dan menatap wajah baginda yang begitu tenang di pembaringan. Maha Suci Allah yang telah memberi peluang sekali lagi menatap wajah Nabi s.a.w. Sungguh sukar untuk melupakan wajah junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan segala peristiwa di Tanah Suci.

Segala kenangan itu membuat hati sering pilu dan rindu untuk kembali mengunjungi makam Nabi s.a.w dan Tanah Suci suatu hari nanti. Insya-Allah. - HAMBA ALLAH  
***Kirimkan artikel anda kepada LanH di Lanh14@gmail.com
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 21, 2020 18:06

March 11, 2020

Tanah Suci 10: Madinah sasaran 'ekspansionisme' Yahudi?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
BARU-BARU ini Arab Saudi menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi, Madinah, untuk sementara waktu. Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan berkata, langkah itu susulan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) ke Timur Tengah.
Selain wabak penyakit yang 'menafikan' kunjungan jemaah ke Tanah Suci seperti yang berlaku sekarang ini, ancaman perang dan ketidak-stabilan  Timur Tengah juga boleh membawa kepada kemungkinan umat Islam tidak dapat mengerjakan ibadat tersebut.
Baru-baru ini rantau berkenaan digegarkan kemungkinan berlaku peperangan dahsyat selepas tercetus krisis Iran-Amerika Syarikat berikutan pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani dalam satu serangan oleh pihak Amerika.
Sebenarnya, Amerika dan 'bapa saudara'nya di Timur Tengah, Israel telah lama mengidam menjadikan rantau itu 'milik mak bapak' mereka. Buktinya segala kelengkapan perang sudah dihimpunkan di sana - di Arab Saudi sudah ada 3,000 tentera Amerika, di Jordan ada 3,000, di Turki ada 2,500, di Iraq ada 6,000, di Bahrain ada 7,000 dan paling memeranjatkan di Kuwat dan Qatar masing-masing ada 13,000 tentera Amerika.
Jika Amerika sudah 'memegang' negara-negara Arab, Israel dibiarkan bermaharajalela dan baru-baru ini bertindak rakus membina lebih banyak penempatan haram dalam kawasan Palestin termasuk di Baitulmaqdis.
Cita-cita 'ekspansionisme' (expansionism) peluasan wilayah Yahudi bukan semata-mata untuk merampas tanah air Palestin seluruhnya tetapi memenuhi impian sebuah ‘Greater Israel’ (Israel Raya) yang bersempadankan Sungai Nil (di Mesir) di sebelah barat dan Sungai Furat (di Iraq) di sebelah timur.
Sempadan ‘ekspansionisme’ dari sebelah barat ke timur ini sudah diketahui banyak pihak tetapi tidak ramai menyedari rancangan perluasan di sebelah selatan yang menjangkaui rantau Madinah al-Munawwarah di mana terdapat Masjid Nabawi dan makam semulia-mulia makhluk iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Sesetengah Yahudi mendakwa mereka keturunan Bani Nadir dan Bani Quraizah yang pernah mendiami Yathrib (Madinah) pada zaman Rasulullah s.a.w. sebelum mereka diusir dari sana selepas melanggar perjanjian yang dimeterai dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Berdasarkan pendedahan cita-cita besar Zionis Israel ini, umat Islam perlu bangkit daripada lena yang panjang kerana ancaman Yahudi bukan menyangkut orang Palestin saja tetapi ummah termasuk mempertahankan tanah suci Madinah dan Makkah.

Jika pencabulan Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa di al-Quds (Baitulmaqdis) tidak cukup untuk menyemarakkan semangat perjuangan ummah, kini dengan tergugatnya Madinah dan kota suci Makkah di mana terdapat Kaabah iaitu kiblat ummah; apakah umat Islam masih mahu terus menyepikan diri; masing-masing tenggelam dengan permasalahan negara dan bangsa sendiri sehingga tiada masa memikirkan nasib agama sendiri.

Sebelum rejim Zionis melangkah lebih jauh, kita berpendapat sekaranglah masa untuk umat Islam berganding bahu, berbuat sedaya upaya untuk menghentikan kezalimannya di bumi Palestin. Kejahatannya untuk menghancurkan al-Aqsa dan kawasan persekitaran perlu dihentikan segara; di sinilah ummah diperlukan untuk menyumbang tenaga semaksimum mungkin sama ada melalui pemikiran, pemboikotan, penggunaan kekuatan dan sebagainya.

Jika ancaman Zionis di Palestin ini tidak dapat ditangani, kita bimbang cita-cita perluasannya kian dekat untuk direalisasikan apatah lagi selepas jatuhnya Iraq ke tangan Washington, sekutu kuat Tel Aviv. Jika seluruh Palestin jatuh, terpalitlah seluruh dunia Islam dengan dosa tidak membantu saudara seagama.

Jatuhnya Masjid Al-Aqsa, tercemarlah maruah umat Islam tetapi bahaya lebih besar, terbukalah peluang Zionis laknatullah untuk menyampaikan cita-cita ‘ekspansionisme’nya, menjarah negara-negara umat Islam sehingga akhirnya sampai ke Madinah Al-Munawwarah.

Inilah fitnah terbesar akan dihadapi ummah; oleh itu bangunlah, bangunlah wahai umat Islam sedunia, marilah kita mulakan sesuatu, menutup ruang-ruang yang membolehkan Zionis laknatullah merealisasikan cita-cita besarnya.

Mulai sekarang kejutkanlah ummah yang kerap bersengketa itu bahawa kota suci Nabi itu pun semakin hampir untuk digapai oleh musuh. Tidak ngerikah kita memikirkan perkara itu, tidak malukah kita nanti kitalah ummah yang membenarkan musuh Allah ini menghina dan mencerca Nabi kita tatkala mereka menguasai kota kesayangan Nabi itu?

Oleh itu, marilah kita umat Islam, tidak kira dari Barat atau Timur bersatu hati, menghadapi ancaman Zionis di bumi Palestin. Halang mereka di bumi barakah ini sebelum mereka bergerak jauh, menghancurkan negara umat Islam satu persatu sehingga terbalaslah dendam Bani Quraizah dan Nadir lebih 1,400 tahun dulu.  ReplyForward
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 11, 2020 16:53

March 5, 2020

Amaran kepada PH, KEADILAN Disember lalu

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
RenunganDemi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Surah A;-Asr, 1-3
ARTIKEL DARIPADA SUARA KEADILAN (cetak) DIS 2019 yang juga kini SUDAH MATI. Tajuknya 'Ambil iktibar kejatuhan Melaka'.
DARIPADA 'terpampang gagah' kini sudah tiada lagi. Ia sudah jadi 'allahyarham'. Demikianlah nasib akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo terbitan Utusan Melayu Malaysia Berhad.
Saya yang hampir setiap hari ke bahagian majalah Perpustakaan Awam Melaka di Bukit Baru, hanya melihat di rak akhbar nama tanda 'gagah' UTUSAN MALAYSIA dan KOSMO, tetapi sayang seribu kali sayang kedua-dua akhbar ini sudah jadi 'allahyarham'. Bila 'nak hidup balik'? Wallahu a'alam (Dan Allah lebih tahu),
Kini Kongres Nasional KEADILAN diadakan di Melaka. Selamat datang di negeri Melaka yang terkenal dengan 'tagline' Di Sini Segalanya Bermula. Namun perlu diingat di negeri ini juga berlaku 'pelbagai pengakhiran'. "Kematian' Utusan Malaysia dan Kosmo juga dirasai di Melaka. Jadi kepada 'orang' KEADILAN dan HARAPAN, berhati-hatilah dalam tindakan dan sikap anda sekarang ini, takut-takut parti dan kerajaan anda juga sedang menuju kematiannya!
Kini setiap kali ke perpustakaan, saya sebagai pembaca tegar, 'berasa semacam' apabila terlihat 'batu nesan' (papan nama di rak)  Utusan Malaysia dan Kosmo. Sekalipun tidak suka dengan pendekatan laporan dan kecenderungan serta kecondongan Utusan Malaysia, saya baca juga akhbar ini, tetapi sekarang terasa begitu sepi sekali apabila akhbar ini sudah mati...
Apabila Utusan Malaysia terkubur apakah terkubur sama perjuangannya?Suatu hari saya membongkar akhbar keluaran lalu Utusan Malaysia. Dalam akhbar Rabu 9 Oktober 2019, ada satu iklan satu muka surat penuh Utusan menyatakan: Mencari Penaja Dalam Perjuangan Membina 100 Baitul Hikmah di 100 Masjid.  Ayuh Lahirkan Lagi 100 Imam Ghazali.
Persoalannya, dengan 'matinya' Utusan Malaysia, matikah sama cita-citanya ini? Demikianlah ini sebagai contoh sahaja; kepada 'orang', 'penyokong', perwakilan terutama pemimpin KEADILAN yang berkongres di Melaka, 'pikiak' (fikir-fikirlah), parti dan kerajaan anda juga akan sampai kepada 'noktah' (penghujung) macam Utusan Malaysia jika 'perangai' dan 'sikap' awak tak banyak beza. 'Banyak' gaduh, adu domba, hasut menghasut, dengki, tikam belakang dan sebagainya,.
'Hei 'brother', ambil iktibar daripada kejatuhan empayar Melayu Melaka lebih 500 tahun dulu. 
Jika kita rujuk kejatuhan banyak empayar termasuk Melaka, satu daripada faktornya adalah penguasa-penguasa terakhirnya (termasuklah orang besar seperti menteri) tersungkur di kaki perempuan, korupsi berleluasa dalam negara manakala rakyat dizalimi dengan pelbagai tekanan termasuk dikenakan cukai melampau. Ada yang membiarkan permaisuri 'menguasai keadaan' - mereka bagikan tunggul atau 'yes man' saja kepada segala kehendak bini.
Selain itu terlalu ramai pemimpin menjadi 'kaki bodek' (mengiyakan apa saja kelakuan pemerintah iaitu tidak berani menegur mereka manakala sebahagian lagi menjadi pengkhianat - mereka menjadi gunting dalam lipatan, memberi bantuan kepada musuh pada saat-saat genting).
Zaman gerhana Melaka kerap dirujuk kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) iaitu pemerintah Melaka terakhir. Merujuk kepada sesetengah pengkaji, mereka mendakwa Sultan Mahmud tidak mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Salah satu kelemahannya adalah berkenaan perempuan. Semua perempuan berdahi licin hendak dimilikinya.
Misalnya, Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan kerana telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan Mahmud murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah – masuk jarum.. Alahai sultan, mudahnya terpengaruh. Akhirnya seluruh keluarga Tun Mutahir dibunuh, yang tinggal hanya Tun Fatimah untuk dijadikan isteri Sultan.
Kemaruk Sultan memuncak apabila 'tergilakan' Puteri Gunung Ledang. Puteri bijak menghelah dengan mengemukakan tujuh syarat peminangan termasuklah disediakan jambatan emas menghubungkan puncak gunung itu dengan Melaka dan semangkuk darah anakanda Sultan, Raja Ahmad. Disebutkan pada mula Sultan Melaka berhasrat memenuhi syarat itu - cukai ke atas rakyat ditingkatkan manakala ada menyebut harta mereka seperti emas dirampas. Namun faktor membabitkan kepentingan diri sendiri (semangkuk darah Raja Ahmad), Sultan membatalkan hasrat itu.
Kezaliman Sultan sudah keterlaluan, tetapi adakah orang berani menegur? Jawapan yang zahir adalah tidak kerana mereka tersangat takut kerana orang kanannya sendiri seperti Bendahara bukan saja disingkirkan tetapi seluruh keluarganya dibunuh. Menegur Sultan bermakna mati atau setidak-tidak dihumbankan ke dalam penjara atau 'dibuang ke luar daerah' (dihukum bunuh tetapi diselamatkan Bendahara Tun Perak) seperti dialami Laksamana Hang Tuah.
Menegur Sultan (mengkritik pemerintah) tidak berlaku pada zaman gerhana ini. Apa yang ada terdapat ramai pengampu dan tukang fitnah serta pengkhianat seperti Si Kitol dan Datuk Mendeliar. Sultan diberi 'gambaran indah-indah' - tidak mengetahui situasi sebenar dalam negara yang di ambang untuk jatuh. Ramai yang berarak menyatakan sokongan kepada Sultan, hakikatnya sokongan inilah yang membawa rebah. Ya pemerintah sudah nazak tetapi masih ramai rakyat berarak-arak di jalan raya...
Apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511, dilaporkan angkatan perang Melaka terlalu gagah untuk dikalahkan. Tetapi angkara terlalu ramai pengkhianat (termasuk yang berarak di jalan raya menyatakan sokongan)  yang memberi bantuan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, akhirnya tewaslah Melaka menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa berpindah randah dan akhirnya mangkat di Sumatera pada 1528. 
Demikianlah berakhirnya sebuah empayar, peristiwa dalam sejarah kerap berulang-ulang...adakah kita mahu terus membutakan mata dan memekakkan telinga daripada pengajaran sejarah ini. Faktor seperti fitnah, adu domba, pemerintah 'dikuasai bini', bersikap boros, menindas rakyat dengan cukai tinggi, membunuh (menyingkir) pesaing termasuk pembantu kanan adalah fenomena biasa pada zaman gerhana...ya fikir-fikirkanlah sejenak sama ada parti dan kerajaan kita kini di zaman gerhana atau tidak!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 05, 2020 07:41

March 2, 2020

Tanah Suci 9: Wanita, contohilah Hajar, Zubaidah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
SALAH satu tempat istimewa dalam Masjidilharam adalah Hijir Ismail. Ia satu lengkungan berada di sisi utara Kaabah. Hakikatnya ia sebahagian daripada dalam Kaabah. Sehubungan itu tak sah tawaf seseorang jika dia menyentuh batu dinding atau memasukinya.
Hijir Ismail mengingatkan akan pengorbanan Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar walaupun Kaabah sendiri secara keseluruhan dibangun oleh Nabi Ibrahim a.s.
Nabi Ismail a.s. membantu bapanya, dengan membawa batu. Batu-batu yang dikumpulkan, dalam bahasa Arab disebut hijir. Oleh kerana  itu bahagian Kaabah yang dibangun oleh Nabi Ismail a.s. dinamakan Hijir Ismail.
Sebahagian daripada manasik haji adalah berdasarkan pelakuan dan pergorbanan ibu Nabi Ismail a.s. 
Hajar bukan wanita 'sofistikated' ukuran  kehebatan dan idola wanita hari ini tetapi hanya seorang ibu, tetapi mengapa kisahnya diabadikan hingga kini malah sampai bila-bila...
Demikianlah, mengapa dikatakan begitu istimewa dan bertuah dijadikan seorang wanita? Berbicara mengenai perkara ini, penulis teringatkan ibu. Ya, daripada berbilion wanita di dunia, kita hanya mempunyai seorang ibu, dan ibu kita adalah seorang wanita.
Saya mengagak tentulah ungkapan 'begitu istimewa dan bertuahnya dijadikan seorang wanita' mempunyai kaitan dengan seorang ibu. Yalah, mana ada lelaki yang mengandung dan melahirkan anak.

Ibu dan anak mempunyai pertalian amat rapat. Mengikut ajaran agama, anak wajib taat kepada ibu bapanya. Anak lelaki hendaklah mengutamakan ibu bapa lebih daripada isterinya. Isteri pula perlu mentaati suaminya lebih daripada ibu bapanya.

Ini membuatkan kedudukan seseorang wanita yang bergelar ibu begitu istimewa. Istimewanya ibu pada seorang anak adalah tiga kali ganda daripada seorang bapa, demikian maksud sebuah hadis. Anak yang terdidik, tidak akan melupakan ibu bapanya, lebih-lebih lagi ibu. Tetapi kasih ibu lebih hebat kerana ia tiada penghujung.
Ada ibu hebat yang turut berjuang di kancah masyarakat. Sejarah Islam ada merakam sejumlah wanita hebat yang turut menyumbang kepada kepesatan dan kemakmuran ummah dan dalam konteks artikel ini kita merujuk Tanah Suci Makkah dan Madinah.
Salah seorang daripadanya adalah permaisuri kepada Khalifah Bani Abasiyah paling hebat, Harun Al-Rashid iaitu Siti Zubaidah binti Jaafar (149 - 215H). 
Siti Zubaidah Jaafar sekalipun begitu kaya raya, telah membelanjakan sebahagian besar wang beliau sendiri untuk membiayai projek-projek berkepentingan rakyat, yang paling masyhur adalah ‘Ain Zubaidah, sebuah terusan paling hebat pada zamannya.
Ia bagi mengalirkan air ratusan batu jauhnya dari gunung-gunung yang mempunyai mata air di Makkah (ada mencatatkannya dari Taif) bagi kemudahan jemaah haji di Mina dan Arafah. Ahli sejarah mencatatkan kos pembinaan terusan itu adalah 1,700,000 dinar. Sekalipun dibina 1,400 tahun lalu, binaan terusan itu masih boleh dilihat oleh jemaah yang ke Tanah Suci hari ini.

Selain itu Siti Zubaidah juga telah mengeluarkan belanja yang sangat besar bagi memperbaiki jalan di antara Baghdad ke Makkah. Di sepanjang jalan dibina perigi-perigi dan rumah-rumah persinggahan untuk memudahkan orang ramai terutama jemaah haji dan ahli peniagaan. Di Baghdad sendiri terdapat sebuah masjid terkenal dan dinamakan Masjid Siti Zubaidah kerana dialah yang bertanggungjawab membinanya.

Tentunya dunia Islam tidak mengingati Siti Zubaidah sebagai wanita pertama kerana dia isteri khalifah tetapi jasa-jasa besar yang ditinggalkannya kepada rakyat. 
Ahli sejarah mengungkapkan walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan, wanita ini sentiasa memastikan dia tidak termakan dengan pujukan syaitan. 
Siti Zubaidah beranggapan kekayaan di dunia cuma sementara dan sekiranya dilaburkan mengikut cara yang betul akan mendapat keberkatan di akhirat kelak, manakala kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal, indah dan terlalu manis. 
Keindahan dan kemanisan itulah yang dicarinya, bukan mengejar glamor dan kemasyhuran dunia seperti kehendak sebahagian pemimpin hari ini termasuk yang wanitanya!
Berlainan daripada Zubaidah yang berketurunan raja, mempunyai kuasa dan kaya raya, Siti Hajar ibu Nabi Ismail a.s. ternyata 'tidak punyai apa-apa' tetapi mengapa dia tetap diingati sehingga hari ini malah sampai bila-bila melalui manasik haji...
Ya wahai jemaah haji atau umrah terutama sang wanita, ketika berkesempatan berada di sisi Hijir Ismail atau di dalamnya, renung-renungkanlah mengenai perkara ini...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 02, 2020 07:01

February 23, 2020

Tanah Suci 8: 'Khadam' masjid bergaji 700 riyal sebulan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
***************
Renungan
"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)
DI Masjid Nabawi dan Masjidilharam tiada peti atau tabung derma. Jadi sukarlah jemaah mahu menderma seperti di masjid-masjid di Malaysia yang kebanyakannya menyediakan tong malah kotak derma beroda pada hari Jumaat.
Sebelum berangkat menunaikan umrah tempoh hari, ada saudara dan taulan menyerahkan sejumlah wang kepada saya untuk didermakan di Tanah Suci. Saya berfikir takkan semua wang itu mahu diserahkan kepada pengemis dan peminta-peminta di dalam dan luar masjid.
Ada sahabat mengesyorkan sebahagian wang itu dibahagi-bahagikan kepada pekerja-pekerja beruniform di Masjid Nabawi dan Masjidilharam. Masa kecil-kecil dulu, saya ada terdengar orang kampung bercerita bahawa mereka adalah 'khadam' masjid yang telah menyerahkan seluruh jiwa raga mereka kepada jalan Allah malah tiada keinginan pada dunia seperti berkahwin.
Atas usaha mengagihkan-agihkan wang itulah saya berkenalan dengan sejumlah 'khadam'. Ada ribuan 'khadam', kebanyakannya dari benua kecil India (India, Pakistan dan Bangladesh) tetapi disebabkan kekangan bahasa, tidaklah dapat saya berbual lancar dengan mereka.
Alhamdulillah ada sejumlah 'khadam' dari Indonesia, jadi dapatlah saya 'mengorek' cerita mereka. Kata seorang daripadanya yang berasal dari Jawa Tengah, ada hanya kira-kira 100 warga Indonesia daripada ribuan pekerja itu.
Beliau berkata tidak betul 'khadam' tiada berkeinginan kepada dunia. "Kami dikontrak di sini dua tahun. Selepas itu diberi cuti panjang untuk balik kampung. Kalau mahu sambung kontrak, boleh saja, kalau tak mahu tak payah ke sini lagi.
"Kami di sini diberi gaji 700 riyal sebulan. Tolak makan dan belanja, ada berbaki 500 riyal untuk disimpan atau hantar balik kampung. Apa yang seronok di sini uniform, kediaman, pengangkutan adalah gratis (percuma) dan yang paling mustahak dapat sentiasa solat berjemaah di masjid. Alhamdulillah."
Berkenaan 'khadam' ini, ada pembaca mencoretkan kisah kebaikan seorang daripadanya.
----------------
DISEBABKAN sudah beberapa kali ke Tanah Suci, tidak menjadi masalah untuk aku ke Masjid Nabawi sendirian.

Pada hari pertama di Madinah, aku tidak sempat bersembahyang fardu Subuh di masjid yang turut menempatkan makam Rasulullah s.a.w.

Untuk menunaikan fardu Zuhur, aku pergi awal ke masjid. Aku pergi ke satu sudut lengang, tidak jauh dari pintu yang aku gunakan untuk memasuki masjid.

Selepas bersembahyang sunat, aku duduk dan bersandar di pangkal tiang untuk membaca Quran.

Secara kebetulan aku ternampak sekeping wang kertas Arab Saudi bernilai 50 riyal terletak di tepi pangkal tiang tersebut.

"Wang siapakah ini?" aku bertanya diriku sendiri.

"Siapakah yang meletakkannya di sini?"

Kata orang di dalam Masjid Nabawi, di salah satu pangkal tiangnya merupakan tempat seseorang meminta sesuatu.

"Tidak...," bisik hati kecilku.

"Wang ini bukan untukku. Ada orang tercicir wang itu. Berkemungkinan pekerja masjid yang meletaknya di sini...," hati kecilku berkata lagi.

Aku dengan segera berpindah tempat duduk.

Aku mengingatkan diriku keikhlasan hatiku sedang diuji.

Aku diberi peluang menemui wang itu agar reaksiku dapat dikenal pasti. Aku percaya akan diberi ujian lagi pada hari-hari berikutnya.

Aku perlu berhati-hati. di Tanah Suci (Madinah dan Makkah), seseorang jemaah haji atau umrah ada kalanya diuji keimanannya dengan berbagai-bagai cara.

Aku lalu memohon kepada Allah supaya diberi hidayah dan petunjuk.

Selepas beberapa hari berada di Madinah, aku dan ahli-ahli rombongan umrahku dibawa ke Makkah pula.

Pada hari terakhir aku di Makkah, selepas bersembahyang fardu Zuhur, seorang pemuda, agakku dari Pakistan mendekatiku.

Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang mahasiswa di pusat pengajian tinggi. Dia bertutur dalam bahasa Inggeris.

Dia mendakwa kesempitan wang dan merayu bantuanku.

Pada masa itu aku mempunyai wang sebanyak 150 riyal. Aku berhasrat menyerahkan wang tersebut kepada pemuda itu.

Tiba-tiba seorang pekerja masjid berdiri tegak di hadapan pemuda tadi. Dia berbicara dalam satu asing, agakku bahasa Urdu.

Aku tidak faham apa yang mereka perkatakan. Yang lebih banyak bercakap pekerja masjid itu.

Dia berkata-kata dengan nada agak keras. Sejurus kemudian pemuda itu meninggalkan tempat itu dan terus menghilangkan diri.

Pekerja masjid itu berbicara denganku pula.

"Saya Akbar...orang Bangladesh. Saya pernah bekerja di Malaysia...di Kuala Lumpur. Encik dari Malaysia...bukan?"

"Ya," jawabku ringkas.

"Pemuda itu pembohong. Di hadapan Kaabah pun dia berbohong. Jangan percaya kata-katanya," dakwa Akbar.

"Terima kasih Encik Akbar," kataku.

Aku bangkit untuk bersembahyang sunat syukur dua rakaat. Aku bersyukur kerana ada insan memberitahu aku rahsia pemuda tersebut. - YUSOFF ISMAIL  
Hantarkan artikel anda kepada LanH di e-mel Lanh14@gmail.com
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 23, 2020 08:14

February 16, 2020

Tanah Suci 7: 'Berselfie', berlintas langsung di Raudhah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
SAYA fikir adalah mudah memasuki Raudhah di Masjid Nabawi pada luar musim haji misalnya ketika umrah. Hakikatnya tidak. Cabarannya tetap sama. Hanya segelintir insan pilihan Allah berjaya memasuki taman syurga itu.
Disember 2019 ketika menunaikan umrah, saya berusaha dan berusaha memasukinya. Saya menjadi pemerhati di luar dan di dalam Raudhah. Apa saya lihat yang menjadi fenomena sekarang ini sejumlah jemaah 'berselfie' (berswafoto) dan membuat lintas langsung dalam Raudhah.
Sepuluh tahun dulu saya tak nampak pun hal ini. Malah untuk memasuki Masjid Nabawi dan Masjidilharam gajet seperti kamera kena letak di luar. Kalau degil, kamera akan dirampas. Sekarang dengan perkembangan teknologi, sesetengah jemaah syok merakam aksi sendiri untuk dihantar kepada orang tersayang atau 'viralkan'. 
Subhanallah, zaman sudah berubah...berikut sebuah artikel mengenai Raudhah kiriman seorang pembaca.
------------------------KESYAHDUAN ketika berada di Madinah An-Nabuwwah sukar digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi ketika berada di Masjid Nabawi. Solat di Masjid Nabawi adalah lebih afdal daripada 1,000 solat di masjid lain kecuali Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Aqsa.

Di Masjid Nabawi, menjadi idaman jemaah untuk solat di Raudhah yang mulia. Kedudukan Raudhah adalah di antara rumah Rasulullah s.a.w. dan Saiyidatina Aisyah r.anha dengan mimbarnya.

Kelebihan Raudhah telah diriwayatkan secara mutawatir daripada Rasulullah s.a.w. bahawa ia adalah sebahagian daripada syurga.

Ia adalah suatu tempat mulia di dalam Masjid An-Nabawi, selain menjadi tempat Rasulullah s.a.w. dan para sahabat beribabat dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah s.a.w. Ia juga merupakan sebuah taman syurga. (sumber buku Rahsia Madinah oleh Khalil Ibrahim Mulia Khothir).

Suatu hari pada musim haji lalu (1422 Hijrah), saya dan rakan-rakan sebilik, berbincang bagaimana untuk memasuki Raudhah.

Masjid amat sesak, menyukarkan seseorang itu solat di bahagian depan, apatah lagi memasuki Raudhah. Bahagian depan masjid biasanya dikepung dengan tabir.

Sebaik-baik saja selesai solat waktu, jemaah berebut-rebut memasuki Raudhah. Sebahagian besar jemaah dalam Raudhah enggan berganjak menyukarkan pengunjung baru memasukinya.

Seorang sahabat berusaha memasuki Raudhah dengan menunggu di pintu masuk pada jam 2.00 pagi. Masalahnya kita tidak tahu pintu mana akan dibuka dulu.

Kadang-kadang kita menunggu di Bab As-Salam tetapi yang dibuka Bab Abu Bakar. Apabila dibuka, jemaah berlari-lari menuju Raudhah. Dalam sekelip mata, Raudhah sudah penuh.

Untuk mengenal kawasan Raudhah, warna permaidaninya boleh dijadikan panduan. Warna permaidani di Raudhah berbeza daripada di kawasan lain. Ketika saya di sana dulu, warnanya seakan-akan putih manakala di kawasan lain merah.

Untuk memasuki Raudhah seseorang itu perlu sentiasa menunggu-nunggu kesempatan.

Selalunya jemaah bertolak-tolakkan untuk masuk. Saya perhatikan apabila seseorang jemaah memasuki kawasan itu dan cepat-cepat angkat takbir untuk solat, dia tidak akan ditolak jemaah lain ataupun pengawal. Ertinya dia selamat untuk meneruskan solatnya.

Suatu hari, saya terlihat ada ruang untuk solat tetapi ketika itu saya berada dalam kedudukan kurang sesuai.

Apabila masuk saja kawasan itu, saya pun cepat-cepat angkat takbir. Saya ingat saya sudah selamat, rupa-rupanya tidak. Seorang pengawal berdekatan, menolak saya keluar dari kawasan Raudhah itu!

Demikian betapa susah memasuki Raudhah ketika musim haji. Suatu hari, seorang sahabat berkata dia sudah dapat masuk Raudhah tetapi separuh saja.

Saya tanya macam mana. Dia kata dia dapat solat dengan kakinya di permaidani merah tetapi apabila sujud, kepalanya mencecah kawasan permaidani warna putih.

Alhamdulilah, akhirnya dia dapat juga memasuki Raudhah walaupun separuh badan saja! - HAMBA ALLAH
Kirimkan artikel anda kepada LanH di e-mel Lanh14@gmail.com
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 16, 2020 07:03

February 10, 2020

Tanah Suci 6: Capek selepas kucup Hajar Aswad

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
KALI pertama saya ke Makkah tahun 2002. Ketika itu saya berusia 40 tahun - masih 'gagah' kata sesetengah orang. Saya berazam kucup Hajar Aswad di Masjidilharam. Alhamdulillah dapat.
Disember 2019 saya kembali ke Tanah Suci buat kali keempat. Umur sudah melepasi 57 tahun. Sudah tiada 'power' kata sesetengah orang. Tetapi tetap berazam kucup Hajar Aswad.
Sebagai jemaah veteran, saya tahu taktik dan tekniknya. Antaranya mengikut barisan jemaah betul-betul di sisi batu Kaabah mulai Rukun (Penjuru) Yamani menuju Hajar Aswad. Jangan lepaskan kedudukan anda. Pegang batu Kaabah tu kuat-kuat. Bersabar dan teruslah bersabar...insya-Allah anda akan  terdorong perlahan-lahan ke depan.
Sudah beberapa kali saya cuba teknik ini tetapi tak berjaya. Namun saya tak putus asa. Pusing Kaabah (ini bukan pusingan tawaf) dan cuba lagi sehingga pada satu percubaan, kepala saya sudah terdorong terus masuk Hajar Aswad. Alhamdulillah...
Masalahnya selepas mengeluarkan kepala, ketika hendak keluar, rempuhannya tersangat dahsyat. Tiada laluan untuk keluar. Orang terus menolak saya ke arah Hajar Aswad sedangkan saya mahu keluar! Saya dapat rasakan saya tiada tenaga lagi. Betul kata orang, tiada 'power' lagi, semuanya sudah digunakan untuk 'melonjakkan kepala' ke dalam Hajar Aswad.. Saya rasa 'macam nak mati'. 
Saya menyebut "Allah, Allah, Allah', cuba bertahan dan bertahan supaya tidak jatuh dan dipijak-pijak, akhirnya entah macam mana saya 'tercampak keluar' daripada rempuhan itu. Alhamdulillah saya terselamat. Saya dapat banyak pengajaran daripada peristiwa itu. Antaranya, wahai LanH, insaflah awak dah tua...sudah tidak layak lagi berebut-rebut untuk kucup Hajar Aswad...
Mengenai Hajar Aswad ini ada pembaca mengirim coretan beliau.
***************WALAUPUN sudah beberapa tahun berlalu, sehingga kini saya masih terbayang pengalaman ketika menjejakkan kaki ke Tanah Suci mengerjakan umrah.
Banyak betul perkara pelik berlaku yang saya saksikan dengan mata saya sendiri.

Pemergian saya yang tidak dirancang itu sememangnya membawa kesan mendalam. Pengalaman yang ditempuh sepanjang berada di sana banyak menginsafkan diri. Terasa diri begitu kerdil apabila berada di depan Kaabah.

Niat hendak ke Makkah datang dengan tiba-tiba pada suatu hari selepas solat Isyak. Hati saya berdegup dan teringatkan Tanah Suci, lantas air mata saya jatuh berjurai menangis hiba.

Dalam keadaan diri yang masih belum bersedia untuk datang ke rumah-Nya itu, saya terus daftar untuk pergi menunaikan umrah. Mungkin itulah yang dikatakan dah sampai seru agaknya.

Sepanjang berada di sana, saya menghadapi dua keadaan yang berbeza berhubung diri saya sendiri. Di luar kawasan Masjidilharam, sama ada di tempat makan atau ketika di dalam hotel, keadaan saya lemah tidak bermaya, seperti orang demam.

Setiap kali keluar dari masjid badan saya menjadi lesu, sakit perut dan tidurnya menggigau.

Namun, apabila azan berkumandang, saya merasakan seolah-olah ada satu tenaga yang tiba-tiba mengalir ke dalam tubuh badan.

Serta-merta saya sihat dan cergas untuk keluar menunaikan ibadah, namun, setelah keluar dari masjid, keadaannya berubah lemah semula.

Memang hairan mengapa saya jadi begitu. Telan ubat pun, tak sihat juga. Tapi, apabila nak jalankan ibadah dan mahu ke masjid, saya tiba-tiba sihat semula.

Mungkin 'Dia' mahu saya sentiasa dekat dan beribadat menghadap-Nya.

Peristiwa pelik tidak berhenti di situ sahaja. Sewaktu sedang berdoa setelah selesai mengerjakan umrah saya solat sunat berhadapan makam Nabi Allah Ibrahim, saya terkejut apabila melihat bayangan seorang lelaki berjubah putih timbul perlahan-lahan dari bekas tapak kaki Nabi Allah itu naik ke langit.

Wajah lelaki itu sungguh tampan. Rasanya, tak ada lelaki di dunia ini setampan itu. Mukanya amat berseri dan bercahaya. Bayangan itu perlahan-lahan naik ke langit sebelum hilang daripada pandangan.

Saya terus menangis melihat keadaan itu. Rasa kagum dan istimewa kerana melihat kebesaran yang Allah berikan untuk saya melihat.

Sampai sekarang adakalanya saya masih tertanya-tanya siapa lelaki itu. Wallahualam, sampai sekarang saya masih bertanya diri sendiri.

Peristiwa lain, sewaktu dalam perjalanan untuk melakukan saie, saya ternampak seorang lelaki yang turut sama melakukan ibadah tersebut.

Tapak kakinya luka teruk hingga darah keluar dari garis luka namun lelaki itu sedikitpun tidak mengeluh malah dengan sabar dia terus menunaikan ibadah itu.

Saya berasa takjub apabila mendapati tidak ada kesan darah pun di atas lantai sekalipun darah mengalir keluar.

Saya hairan sangat. Darah yang menitik itu tidak kelihatan. Seolah-olah ia lenyap apabila jatuh ke atas lantai.

Sewaktu sedang asyik mengerjakan ibadah di hadapan Kaabah, sekali lagi saya dikejutkan dengan satu pandangan yang sungguh indah, berseri dan mengkagumkan.

Ketika itu, saya sedang menadah tangan berdoa. Tiba-tiba saya melihat bayangan sebuah istana yana sungguh cantik keluar perlahan-lahan dari atas Kaabah. Istana itu bergemerlapan dan diterangi cahaya hijau yang menusuk jiwa dan nalurinya.

Mata saya tidak berkelip melihat istana itu. Sungguh cantik. Perlahan-lahan istana itu naik dan hilang di langit. Saya tersentak dan tersedar.

Saya menangis, rasa diri begitu kerdil sangat dapat menyaksikan keajaiban Tuhan.

Pengalaman jemaah yang tersesat sewaktu sedang beribadah di Tanah Suci selalu didengari. Sememangnya keadaan masjid yang mempunyai lebih 100 pintu itu agak menyukarkan jemaah untuk mengecamnya. Saya juga tidak terlepas dari mengalami hal yang serupa.

Saya masih ingat, pintu yang saya gunakan ketika masuk untuk beribadat ialah pintu Al-Madina Nombor 56.

Selesai mengerjakan ibadah, saya pun berjalan keluar. Tapi, saya jadi panik kerana pintu Nombor 56 tidak ada.

Puas saya berjalan mencari pintu itu. Pusing keliling pun tak jumpa. Tak tahu nak buat apa, akhirnya saya menghadap Kaabah memohon doa pada Allah ditunjukkan jalan pulang. Lepas je berdoa, saya toleh ke belakang, tengok-tengok terpampang pintu nombor 56 depan mata.

Namun ada satu peristiwa menyayat hati sebelum saya keluar melalui pintu itu. Ketika berjalan menuju ke pintu tersebut, seorang wanita tiba-tiba jatuh tersembam di kaki saya dan terus meninggal di situ juga.

Hajat saya untuk mengucup Hajar Aswad yang pada mulanya tidak kesampaian akhirnya berjaya dilaksanakan.

Ketika di depan Kaabah, memang niat hati nak kucup batu itu. Tapi, saya rasa takkan dapat sebab orang semuanya berebut untuk melakukan perkara yang sama. Saya sendiri tidak nampak jalan untuk mendekati batu itu. Beberapa kali ke Kaabah, begitulah yang berlaku.

Hinggalah pada hari ke-11 berada di Baitullaharam, saya memohon doa pada Tuhan, minta dipermudahkan untuk dapat mengucup batu suci itu.

Alhamdulillah, hajat itu akhirnya termakbul, saya menangis teresak-esak seperti anak kecil ketika mengucup Hajar Aswad. - NOR ZAINI ALI  
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 10, 2020 15:43

February 9, 2020

Tanah Suci 5: Bermimpi melihat Baitulmakmur...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
DI Tanah Suci, tempoh tidur seseorang jemaah yang tekun beribadah mungkin amat kurang. Mereka melebihikan masa beriktikaf dan sibuk beribadat sama ada di Masjidilharam atau Masjid Nabawi.
Selepas solat isyak dan melakukan amalan sunat, kebanyakan jemaah akan balik ke hotel dan tidur sebentar sebelum kembali semula ke masjid jam 12 tengah malam, 1 pagi, 2 pagi, 3 pagi dan seterusnya untuk merebut kelebihan beribadah sunat pada sepertiga malam terakhir seperti solat tahajud, witir  dan sebagainya.
Pada waktu dinihari ini peluang seseorang jemaah memasuki Raudhah (di Masjid Nabawi) dan beribadat di sisi Kaabah dan tempat istimewa seperti dalam Hijir Ismail dan di belakang Maqam Ibrahim hatta untuk mengucup Hajar Aswad (di Masjidilharam) adalah lebih cerah berbanding pada waktu lain.
Kenapa jemaah bersungguh-sungguh beribadah di Masjid Nabawi dan Masjidilharam? Sudah pasti untuk mendapatkan keredaan dan pengampunan Allah SWT yang menjanjikan beribadat di Masjid Nabawi 1,000 kali ganda ganjarannya daripada masjid biasa manakala di Masjidilharam 100,000 kali ganda...ya rugi besarlah kalau tak nak rebut tawaran hebat ini...
Walaupun waktu tidur singkat, kebanyakan jemaah dapat tidur dengan lelapnya. Hampir tiada mimpi...tetapi sesekali bermimpi jua. Saya pun pernah bermimpi tetapi biarlah saya rahsiakan buat masa ini.
Berhubung mimpi ini, ada pembaca mencoretkan kisah beliau.
SUATU hari pada bulan Februari tahun 2000 (1420 Hijrah) saya sekeluarga bertolak ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.
Perasaan gembira tidak dapat digambarkan maklumlah buat pertama kalinya saya ke Tanah Suci. Suami menjadi pembimbing kerana beliau pernah menunaikan umrah pada Ogos 1999.

Oleh kerana kami diberi penerbangan awal, bermakna rombongan kami ke Madinah dahulu untuk menziarah Makam Rasulullah s.a.w. di Masjid Nabawi dan menunaikan solat 40 waktu sepanjang lapan hari.

Aduh! terpegun saya melihat keunikan Masjid Nabawi yang tersergam indah.

Alhamdulillah sepanjang berada di Madinah saya dan ahli keluarga sihat.

Apabila sampai masa hendak bertolak ke Makkah perasaan mula terasa hiba kerana sayang hendak meninggalkan Masjid Nabawi dengan Makam Rasulullah s.a.w. di situ.

Rombongan kami menaiki bas yang disediakan dan menuju ke Masjid Bir Ali untuk berniat mengerjakan umrah wajib. Saya dan keluarga mengerjakan Haji Tamattuk.

Dalam bas saya berkenalan dengan seorang guru lepasan Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau banyak juga mengajar saya tentang sembahyang sunat, kebetulan beliau sebilik dengan saya di Makkah.

Yang amat saya tertarik sekali ialah sembahyang sunat Awabin sebabnya sebelum sembahyang berdoa dahulu untuk ucap selamat datang kepada Malaikat yang bertugas malam.

Apabila ilmu ini sudah saya perolehi, boleh dikatakan setiap malam saya mengerjakan sunat Awabin ini iaitu enam rakaat dengan tiga salam.

Perasaan saya macam terasa seperti ramai orang ikut saya sembahyang.

Saya selalu mengerjakan sembahyang di tingkat dua Masjidilharam. Rasa selesa dan jiwa tenang dengan perasaan cukup gembira kerana mendapat ilmu baru itu. Terima kasih pada sahabat saya itu.

Sampailah kemuncak haji, saya dan rombongan bertolak ke Padang Arafah pada 8 Zulhijah selepas sembahyang Isyak.

Kami sampai lebih kurang 11 malam. Setelah mengambil makanan kami ke khemah mengikut nombor yang diberi.

Oleh kerana saya agak keletihan saya minta izin pada mak cik di sebelah saya untuk tidur.

Tempat tidur saya terletak di antara cantuman khemah dengan khemah yang lain bermakna apabila melentang saya terus nampak langit.

Mata saya berkelip-kelip melihat langit, hati saya berkata: "Tak pa kut di sini bukan ada hujan."

Saya terus mengiring berkerekot dan terlelap... bermimpilah saya...

Ada satu kuasa melentangkan saya bagi menghadap langit dan diluruskan kaki saya, kemudian saya nampak awan yang cantik berkepul-kepul membawa Kaabah, saya terkejut dan menjerit: "Ya Allah! Kaabah."

Tiba-tiba kedengaran suatu suara serak-serak basah (lelaki) tanpa kelihatan orangnya, menyebut 'Baitulmakmur'.

Terus saya menjerit sekuat-kuatnya 'Allahuakbar' berkali-kali.

Sehinggalah awan membawa 'Kaabah' pergi sehingga sayup mata memandang, kemudian saya dikerekotkan kembali.

Oh! tersedar saya dari mimpi tersebut. Saya bangun duduk bersila melihat sekeliling. Semua orang sedang sedap berdengkur.

Saya termenung, memikirkan apakah hikmah di sebalik mimpi itu. Saya hanya manusia biasa tetapi mungkinkah ada iktibarnya ditunjukkan tempat Malaikat bertawaf sekalipun dalam mimpi saja. - HAJAH NOOR AZIZAN
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 09, 2020 06:29

February 2, 2020

Tanah Suci 4: Wanita muda terbuka tunai umrah

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr
MENJELANG tahun 2020, apatah lagi sekarang, Arab Saudi membuka peluang kepada wanita muda menunaikan umrah tanpa mahram. Sebelum ini hanya dibenarkan untuk wanita berusia 45 tahun dan ke atas sahaja. 
Jadi tiada halangan lagi bagi wanita bujang atau wanita muda yang tiada mahram untuk pergi menunaikan umrah sendiri. Pengunjung kini menggunakan tourist pass atau visa pelancong dan visa ini boleh dibuat di Kedutaan Arab Saudi dengan caj 300 riyal bersamaan RM350.
Kini sudah ramai pelancong ke lokasi bersejarah yang jauh seperti Madain Saleh yang terletak 300-400 kilometer di utara Madinah. Berceloteh mengenai jemaah wanita muda ini teringat saya artikel kiriman seorang pembaca tidak lama dulu.
*******
MUSIM haji 1418 Hijrah aku amat gembira kerana terpilih menunaikan rukun Islam kelima pada usia muda, 32 tahun, apatah lagi masih bujang.  Setelah tiga tahun aku bertugas sebagai guru, simpananku mencukupi menunaikan rukun Islam kelima.

Hatiku berbunga riang mengenangkan doaku sejak tamat alam persekolahan dimakbulkan Allah. Terasa besar nikmat diberi hingga aku mampu menjejak kaki ke Tanah Suci.

Tiada terhingga ucapan syukurku kepada-Nya. Segala persiapan mental dan fizikal kucukupkan sekadar termampu.

Dua tahun sebelum pemergian, aku mula mengikuti kursus-kursus haji, mendirikan solat lima waktu di masjid, melakukan ibadah sunat termasuklah solat taubat.

Aku benar-benar takut mengenangkan Tanah Suci tempat ujian Allah untuk insan terpilih. Aku takut menjadi insan yang dipilih untuk diuji.

Tibalah hari ditunggu. Tanggal 14 Mac 1998 aku bertolak ke Tanah Suci. Hampir terlupa, rupanya cuti masih tidak dipohon. Mujurlah tidak menjadi masalah cutiku diluluskan dengan cepat.

Dek terlalu berahsia aku tidak memberitahu kawan-kawan sekolah mahupun jiran tertangga sehingga ustaz yang mengetuai pakej bertanya kepadaku adakah sahabat handai telah diberitahu.

Banyaknya lalaiku, maklumlah mungkin terlalu gembira atau menggelabah kerana aku begitu cemas pergi tanpa seorang kenalan pun.

Harapanku hanya bertemankan Allah. Aku ke Makkah tanpa kenduri kesyukuran seperti orang lain, sekadar solat sunat syukur yang aku tunaikan seorang diri.

Hari terakhir aku di rumah, ramai sungguh sahabat-sahabat menziarahi. Mungkin keluargaku memberitahu mereka. Aku benar-benar gembira dan sedih berpisah dengan emak (kini arwah) dan ayah.

Selepas subuh aku ke lapangan terbang menaiki teksi tanpa orang lain menghantarku. Aku benar-benar sendirian, sudahlah tanpa mahram sebenar dan menunaikan haji sekadar menumpang pada pakej sahaja.

Sepanjang penerbangan tiada masalah yang kuhadapi. Kecut perut juga sebab maklumlah kali pertama berada dalam pesawat. Seram juga rasa di hati.

Di dalam kapal terbang, aku yang peramah, mula mencari kenalan persaudaraan buatku agar tak sunyi di Tanah Suci nanti.

Syukur alhamdulillah, selamatlah kami sampai di Madinah. Air mata kesyukuran berguguran ketika menikmati keindahan Masjid Nabawi, indah sungguh ciptaan Yang Maha Suci tak tercapai dek minda akal fikiran manusia.

Ramainya hamba-Mu yang sanggup menghabiskan wang ringgit semata-mata mengejar keredaan-Mu, ya Allah. Doa di Raudhah sungguh tenteram di jiwaku. Tak habis-habis aku panjatkan rasa syukurku terhadap Tuhan Yang Maha Esa.

Selain berdoa untuk keimanan, kesejahteraan dan kebaikan untuk keluarga, sahabat handai seterusnya untuk muslimin dan muslimat, aku turut berdoa agar tidak uzur pada musim haji.

Aku berpeluang menziarahi sekeliling Masjid Nabawi pada waktu malam. Begitu cermat dan rapi sekali penjagaan Masjid Nabawi rupanya.

Makam Rasulullah s.a.w. tidak ketinggalan untuk kuziarahi. Sungguh sayu hatiku mengenangkan perjuanganmu ya Rasulullah. Tiap-tiap hari sepanjang di Madinah aku pasti tidak ketinggalan berada di makammu mulai jam 7.00 hingga 11.00 pagi iaitu waktu ziarah untuk muslimat.

Waktu ziarah singkat dan ruangnya sempit, bersesak-sesak namun aku mengharapkan Allah menjadi teman baikku, tidak menyukarkanku ketika menziarahi makam yang mulia itu. Aku sungguh yakin temanku tak mungkin mengabaikan diriku yang sendirian ini.

Ke mana saja kupergi, aku jarang bertemankan orang lain, hanya Allah menjadi temanku. Semoga doa yang kucatat dari tanah air dan kubaca berkali-kali di Raudhah dan doa berdasarkan buku-buku panduan Tabung Haji dimakbulkan Allah.

Empat puluh waktu solat sudah pun mencukupi, maka pihak pakej mengumumkan masa berangkat ke Makkah Al-Mukarramah.

Dengan linangan air mata para jemaah berat hati berpisah dengan Nabi yang mulia. Ziarah wida pengakhir ibadah kami. Madinah, moga ada ruangan untuk kami ke bumimu lagi.

Perjalanan ke Makkah selama sembilan jam selepas kami berihram di Bir Ali. Setelah mandi sunat aku orang pertama menaiki bas, tak sabar rasanya untuk melafazkan talbiah.

Subuh hari kami pun sampai di Makkah. Setelah barang-barang di angkat ke Hotel An Nakhel, ustaz membawa ahli jemaah ke Masjidilharam.

Aku sungguh terharu. Air mata begitu lebat turun membasahi pipi dan kain telekung. Tawaf dan saie disempurnakan dengan aman sekali.

Walaupun penat kami gembira sekali. Selesai sudah umrah pertamaku. Hari-hari seterusnya begitulah keadaan para jemaah beribadah sambil membeli-belah untuk keluarga di tanah air.

Aku memang tidak suka bersama teman-teman lain, ke mana saja pergi pasti aku seorang diri. Selain umrah sunat masaku sepenuhnya berada di masjid. Aku balik ke hotel sekadar untuk makan minum dan urusan harian sahja.

Tidur sekadar dua jam. Aku bimbang tak berbaloi pengorbananku berjimat cermat jika tidak menghabiskan waktu di masjid teragung itu.

Kerap aku bersolat hajat untuk selamat, sihat dan riang di Tanah Suci. Aku seolah-olah lupa yang masih punya keluarga di tanah air. Hanya sekali aku menelefon keluarga sepanjang 47 hari di Tanah Suci.

Pada tanggal 8 Zulhijah, jemaah berangkat ke Arafah. Mudah sekali perjalanan yang dikurniakan Allah buat pakej kami. Walaupun jalan sesak tetapi masa perjalanan tak sampai sejam. Kami bersyukur.

Khemah kami sungguh selesa. Bermula solat Asar berjemaah, tangan ditadah tanpa jatuh hingga terbenam matahari.

Terima kasih kepada Ustaz Abdul Ghani kerana memimpin seluruh jemaah.

Selepas berwukuf di Arafah, kami bertolak ke Mudzalifah, mencari kerikil untuk digunakan ketika melontar di jamrah.

Di jamrah, sewaktu melontar, terasa begitu kerdil diri ini. Jemaah terlalu ramai. Aku begitu takut jika hajatku tidak kesampaian. Maklumlah orang lain ada suami yang menolong untuk ke depan. Aku hanya memandang kesedihan.

Waktu afdal melontar memang ditunggu-tunggu. Aku mengikut seorang rakan bersama suaminya untuk melontar di Jamratul Aqabah (Kubra). Rakan itu yang aku bahasakan 'kakak' sudah siap melontar bersama suaminya, aku belum lagi.

Dalam hatiku tak putus berdoa agar dipermudahkan untuk melontar. Aku cuba mendekati tempat melontar sambil berdoa. Tiba-tiba satu lorong terbentuk untukku ke depan sampai ke tempat melontar.

Aku bagai disuruh lalu dengan begitu mudah setelah selesai lontaranku yang ketujuh. Aku berpusing untuk pulang mengikut lorong tadi.

Sungguh mudah dan senang, aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana membantuku menunaikan ibadah melontar tanpa susah payah.

Selesai musim haji aku masih teringat banyak peristiwa di Tanah Suci yang kukira amat mudah dilaksanakan walaupun tanpa teman.

Cukuplah Allah sebagai teman kita. Berdasarkan pengalaman diriku yang pernah ke Makkah tiga kali yakinlah dengan Allah sebagai kawan dan teman, pasti tidak mungkin di abaikan. Moga tahun ini sekali lagi aku terpilih untuk menunaikan ibadah haji. Insya-Allah. - HAJAH NOR HAMIZA  
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 02, 2020 05:58

January 28, 2020

Tanah Suci 3: Belajar hidup berkongsi, berjemaah...

DENGAN nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr
ISLAM mengajar kita hidup berkongsi, ya hidup berjemaah. "Share' kata orang sekarang. Misalnya, seseorang yang berharta (kaya), apabila cukup syarat-syaratnya dia perlu berzakat. Hartanya perlu di'share' dengan orang miskin dan asnaf lain.
Baru-baru ini saya dan tiga lagi ahli keluarga ke Tanah Suci mengerjakan umrah. Kosnya mampu ditanggung (agak murah) sebab hampir semua kemudahan dan perkhidmatan disediakan secara berkongsi. 
Naik kapal terbang sudah pasti berkongsi, naik bas berkongsi, bilik berkongsi sampai lima orang, tandas pun berkongsi, makan berkongsi (beramai-ramai). Kalau kita pergi sendiri (seorang-seorang) hampir pasti kosnya tidak mampu kita tanggung.
Ya, sesetengah 'orang kita' mampu pergi umrah berkali-kali hatta 'travel' ke USA pun kerana hampir semua kegiatan dilakukan secara berkongsi. Kalau pergi sendiri, entahlah, mungkin tak terbayar kosnya.
Dalam menjalani kehidupan, terutama pada zaman sukar sekarang, kita perlu 'ke depan' dalam amalan berkongsi kerana insya-Allah ia dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban yang kita pikul.
SebagaiI bekas wartawan, hati saya tersentuh mendengar lebih 500 petugas Media Prima diberhentikan tahun 2020 ini. Pada Oktober 2019, lebih 800 kakitangan Utusan Melayu hilangan pekerjaan selepas akhbar terbitannya menghentikan operasi.
Bukan sahaja petugas dalam industri media massa menghadapi kesukaran hidup, ramai rakyat menghadapi keadaan sama. Sehubungan itu jalan keluar perlu diusahakan. Di samping mengusahakan kehidupan baharu, di sini disyorkan orang awam menukar gaya hidup bagi mengurangkan sedikit sebanyak tekanan dari segi kewangan.
Bagi menghadapi 'zaman sesak' sekarang ini, ada bijak pandai mencadangkan kepada kita dua pilihan bagi menghadapinya; pertama bertindak segera bagi kesinambungan pendapatan kita seperti mendapatkan pekerjaan walaupun dengan gaji yang kurang daripada dulu atau melakukan lebih daripada satu pekerjaan, manakala satu lagi jalan mengurangkan kos kehidupan. 
Pada detik cemas seperti sekarang kita perlu berjimat cermat. Antara kaedahnya adalah menyemarakkan amalan berkongsi dalam menjalani kehidupan. Ya, terapkan amalan berkongsi bermula daripada di rumah kita sehingga dalam kehidupan bermasyarakat.
Kongsi, kongsi dan kongsilah semaksimum mungkin. Jika kita sebuah keluarga lakukan aktiviti bersama sebagai contoh beli bahan mentah, kongsi (bersama) masak dan 'kongsi' makan...tak payahlah kerap makan di luar kerana ia membabitkan kos besar! Jika kita bersama rakan-rakan dalam sebuah rumah, kita juga boleh kongsi masak dan makan.
Banyak lagi aktiviti kita boleh kongsi. Kongsi tonton TV, kongsi beli bahan bacaan, kongsi barangan keperluan kegunaan bersama dan kalau sesuai, boleh kongsi kenderaan untuk ke pejabat.
Di luar, banyak kegiatan yang kita boleh berkongsi seperti membaca akhbar dan buku di perpustakaan, berkongsi kemudahan di masjid dan 'berkongsi' kenderaan awam seperti bas dan tren. 
Pada tahun baharu ini bersedialah menjalani kehidupan dengan kaedah berkongsi dengan orang lain. Perkongsian akan mengurangkan kos kehidupan kita...apabila kita bersedia berkongsi, maka harga barangan dan perkhidmatan dapat dikurangkan!
Sekarang ini orang kahwin pun kongsi majlis. Ada keluarga kahwinkan dua anak atau tiga anak secara serentak. Ertinya adik beradik kongsi majlis. Yalah, kalau buat tiga majlis, berapa banyak wang dan masa akan habis?
Selain itu, ada 'besan' (mak bapak pengantin lelaki dan perempuan) bergabung tenaga mengadakan satu majlis saja. Tentu ada sebab keluarga pengantin berkongsi majlis atau mengahwinkan beberapa anak serentak. Antaranya untuk mengurang kos...ya kongsi, kongsi dan kongsilah untuk kehidupan yang lebik baik.
Berkahwinlah (bernikah) wahai anak muda, itu sunnah Nabi; jika perlu berkongsi majlis atau berkahwin beramai-ramai teruskanlah; semoga dengan hidup bekeluarga Allah SWT akan menambah kebarakahan kita semua pada zaman yang serba sukar dan mencabar sekarang ini.
Selepas berkahwin, boleh berkongsi 'travel' untuk berbulan madu termasuklah jika mahu ke Makkah buat umrah...harganya lebih murah berbanding pergi sendiri-sendiri. Kemudian pasangan suami isteri baharu kongsilah bilik (sudah pasti, heh...heh...).
Demikianlah bertapa amalan berkongsi dalam kehidupan amat menguntungkan. Ya Islam mengalakkan amalan berjemaah (berkongsi) dalam kehidupan - sembahyang berjemaah, makan berjemaah dan sebagainya. Jadi kongsi, kongsi dan kongsilah dalam kehidupan! Jangan kedekut untuk berkongsi hatta ke Makkah pun..Hantarkan artikel anda ke Lanh14@gmail.com
Berkongsilah cerita anda...

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 28, 2020 07:02

Roslan Hamid's Blog

Roslan Hamid
Roslan Hamid isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Hamid's blog with rss.