Roslan Hamid's Blog, page 101

December 25, 2018

Jangan lari... (22): Tabung Haji usah khianati petani, penoreh, nelayan...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)TABUNG HAJI sinonim dengan umat Islam Malaysia. Sejak saya bertugas secara tetap di sebuah akhbar arus perdana (1986-1998) dan Harakah (1999-2012) saya membuat potongan gaji setiap bulan untuk dicarum dalam akaun Tabung Haji saya dan anak-anak. 
Berdasarkan 'kesetiaan' saya kepada Tabung Haji, dengan rendah diri dalam kolum ini saya mencelotehkan hal berkaitan institusi ini demi kebaikan bersama.
Pada permulaan kerjaya saya sebagai wartawan, Tabung Haji adalah antara 'subjek fokus' yang diamanahkan kepada saya. Maka keraplah saya hadiri majlis dianjurkan institusi ini; dan di sanalah saya mengenali dan berkesempatan mewancara 'orang besarnya'.
Dalam sebuah rencana utama yang disiarkan oleh akhbar itu pada 18 Ogos 1988 dengan tajuk 'Mewujudkan sistem kewangan tanpa riba' antara lain saya menulis: "Sebuah keluarga 10 orang yang tinggal di pinggir sebuah bandar baru-baru ini menerima tujuh pucuk surat yang tertera perkataan 'Tabung Haji' di sampulnya (dulu pendeposit Tabung Haji tidak mempunyai buku akaun bank, apatah lagi penggunaan kad ATM; setiap pelanggan akan menerima penyata kewangan mereka enam bulan sekali).
"Surat itu mengandungi penyata setengah tahun Tabung Haji mengenai jumlah wang yang disimpan dan bonus yang diterima oleh setiap ahli (hanya untuk penyata akhir tahun). 
"Penyata si ayah menunjukkan simpanannya berjumlah $2.41 (ketika itu RM belum dipakai), si ibu $56, seorang anak yang sudah bekerja RM360 dan empat lagi anak yang masih bersekolah di antara $2 dan $3. 
"Keluarga ini mempunyai kesedaran mengenai kepentingan menyimpan kerana tujuh daripada 10 ahli keluarga sudah membuka akaun di Tabung Haji tetapi kerana sebab-sebab tertentu jumlah simpanan mereka terlalu kecil dan sebahagiannya tidak membuat tambahan sejak simpanan pertama."
Demikian betapa daifnya penyimpan Tabung Haji masa itu; hal ini perlu direnungkan oleh semua pihak terutama 'orang besar' institusi ini serta pemimpin negara. Apabila 'direnung-renungkan' hal ini, maka insya-Allah tidaklah sampai hati untuk 'merembat', 'menganiaya' atau mengkhianati amanah rakyat marhain yang hampir semuanya menanam hasrat berkobar-kobar untuk menunaikan Rukun Islam kelima - haji.
Pengarah Besar Tabung Haji ketika itu, Haji Ahmad Haji Yeop Abdul Hamid berkata 90 peratus daripada 1.1 juta penyimpan mempunyai kurang RM1,000 dalam akaun masing-masing. Malah sebahagian besar penyimpan tidak aktif kerana ramai menganggap simpanan adalah untuk menunaikan haji saja, selepas haji mereka mengabaikannya.
Tabung Haji, kata Haji Ahmad bercita-cita dan berwawasan tinggi. Ia mahu mewujudkan sistem kewangan tanpa riba dan ini merangkumi pinjaman membeli rumah untuk ahlinya. Inilah cita-cita besar Tabung haji (yang pertama pastilah berkaitan urusan jemaah haji) dan selain perumahan, ia mahu mewujudkan perkhidmatan bebas riba dalam bidang kehidupan lain seperti pembelian kenderaan dan modal perniagaan.
Kini sudah hampir 30 tahun berlalu; Tabung Haji sudah muncul sebagai sebuah institusi kewangan terkemuka tanah air. Penyimpannya sudah lebih lapan juta orang. Kegiatan perniagaannya amat luas; persoalannya setakat yang saya tahu (maafkan jika saya tersilap) Tabung Haji tidak pernah membuat tawaran terbuka kepada penyimpan (seperti saya) untuk membuat pinjaman membeli rumah atau kenderaan bebas riba. Ya, tak pernah ada tawaran seperti itu.
Kepada 'orang besar' Tabung Haji sekarang dan dulu (termasuklah pemimpin dan bekas pemimpin negara), ingat-ingatlah apa yang dijanjikan oleh Haji Ahmad kepada pendeposit 30 tahun lalu antaranya wang simpanan digunakan bagi pelaburan yang HALAL dan BERSIH di sisi hukum syarak.
Sehubungan itu, usahlah LARI daripada amanah yang diberikan rakyat; simpanan mereka di Tabung Haji adalah hasil jerih perih mereka daripada usaha menanam padi, menoreh getah dan menangkap ikan - adakah anda hendak pecah amanah wang mereka yang disimpan secara berdikit-dikit...RM5, RM10 dan RM50? 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 25, 2018 06:52

December 23, 2018

Deklarasi OIC Kaherah jamin hak asasi

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
KETIKA negara kita sekarang ini menghadapi isu perkauman mencabar (dimainkan oleh pihak tertentu), sebagai wartawan yang dulunya kerap ditugaskan membuat liputan mengenai Pertubuhan Persidangan (kini Kerjasama) Islam (OIC), saya teringat akan Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia.
Diharapkan dengan merujuk kembali deklarasi ini, sekurang-kurangnya ia dapat dijadikan 'sekelumit panduan' dalam kita menangani permasalahan perkauman negara kita yang akhir-akhir ini disemarakkan oleh politikus berkepentingan dan mempunyai agenda tersendiri.
Ya, di bumi Mesir, Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam diisytihar dan dikeluarkan pada Persidangan Menteri Luar Islam OIC ke-19 di ibu kota negara Afrika Utara itu pada 5 Ogos 1990. 
Sebanyak 57 negara menandatanganinya; melalui dokumen itu, negara anggota OIC amat menyedari kedudukan manusia sebagai khalifah Allah di bumi dan menyedari kepentingan mengeluarkan sebuah dokumen tentang hak asasi manusia dalam Islam yang akan menjadi garis panduan buat negara ahli dalam semua aspek kehidupan.
Deklarasi Kaherah memperakui peranan sejarah dan pemeradaban umat Islam yang dijadikan Tuhan sebagai umat yang terbaik yang telah menyumbang kepada manusia sebuah peradaban sejagat dan seimbang dalam mana keharmonian antara kehidupan ini dan kehidupan alam kemudian dicapai dan dalam mana ilmu digabungkan dengan iman; dan peranan yang harus dimainkan ummah ini untuk membimbing manusia yang terkeliru dengan trend dan idoleogi-ideologi yang saling bersaing dan untuk menyediakan penyelesaian buat masalah-masalah kronik yang dihadapi peradaban materialistik ini.
Ia juga berhasrat untuk menyumbang kepada usaha-usaha manusia sejagat untuk menonjolkan hak-hak asasi manusia, untuk memelihara manusia daripada eksploitasi dan penindasan, dan untuk menyatakan kebebasan serta haknya terhadap kehidupan yang terhormat sesuai dengan Syariah Islam.
Dalam dekralasi  ada dinyatakan kehidupan adalah kurnia Tuhan dan hak kepada kehidupan dijamin buat SETIAP MANUSIA. Menjadi tanggungjawab individu, masyarakat dan negara untuk memelihara hak ini daripada dicabul, dan adalah dilarang MENGAMBIL NYAWA melainkan dengan alasan yang dibenarkan Syariah.
Ia juga menyatakan diilarang mengambil tindakan yang memungkinkan penyelapan genosid manusia sejagat, pemeliharaan nyawa manusia sepanjang tempoh yang ditentukan Tuhan menjadi tanggungjawab yang diperintahkan Syariah dan keselamatan daripada kecederaan jasad adalah hak yang dijamin. Menjadi tanggungjawab negara untuk memeliharanya, dan dicegah pelanggarannya tanpa sebab yang ditetapkan Syariah.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga pernah mengeluarkan sebuah artikel bagi menggalakkan keharmonian kaum; ya amat bermanfaat untuk setiap daripada kita meneliti pandangan golongan beriman, berilmu, beramal dan mahu berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran ini.
Menurut Mufti, dalam kemelut, pergeseran dan salah faham antara agama di Malaysia,  mereka terpanggil untuk mengulas isu ini setelah mendapat satu perkhabaran yang menarik dari Sarawak. Mereka mendapat info bahawa Masjid An-Naim dan Gereja The Good Shepherd di Lutong, Sarawak yang jaraknya hanya 100 meter mengambil inisiatif berkongsi kawasan meletak kenderaan. Pada setiap hari Jumaat, pengurusan gereja akan membuka kawasan parkir untuk kegunaan umat Islam manakala pada setiap hari Ahad, pihak pengurusan masjid pula membuka kawasan parkir untuk kegunaan penganut Kristian.Pejabat Mufti memetik ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” - Surah al-Hujurat: 13Katanya, kita semua diciptakan daripada seorang ibu (Hawa) dan seorang ayah (Adam) dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 23, 2018 05:33

December 19, 2018

Jangan lari... (21): Ingatkan anak-anak masa depan di tangan Allah

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)SEORANG penceramah motivasi  yang diundang berucap di sebuah sekolah menengah beberapa bulan menjelang peperiksaan awam SPM dan STPM meluahkan 'rasa terkilan' apabila pengetua sekolah itu yang berucap bagi merumuskan perjumpaan menegaskan beberapa kali kepada pelajar: "Ingat SPM dan STPM ini adalah penentu masa depan kamu!"
Penceramah itu berkata kalaulah dia diberi peluang berucap selepas pengetua itu bolehlah dia 'secara lawak cuba-cuba membetulkan' kata-kata semangat "Ingat SPM dan STPM ini adalah penentu masa depan kamu!"
Beliau berkata dari segi akidah, ingatan itu sudah terpesong, tidak bolehlah kita sebagai manusia menyatakan kejayaan peperiksaan adalah penentu masa depan seseorang. "Sekalipun untuk memberi semangat kepada pelajar, kata-kata yang diucapkan perlu difikirkan secara mendalam akan maksudnya," katanya.
Penceramah itu berkata, bercakaplah secara benar bahawa kita ini makhluk lemah, jadi mintalah pertolongan kepada Allah SWT...apa, adakah kita malu untuk menyatakan bahawa Allah yang menentukan masa depan kita? Demikianlah, betapa banyak pelajar kurang cemerlang dalam SPM dan STPM berjaya dalam hidup dan tidak kurang juga pelajar terbaik kurang berjaya dalam kehidupan.
Kejayaan dalam kehidupan pula mempunyai pelbagai tafsiran...apakah berjaya itu bermaksud seseorang pelajar cemerlang dalam SPM atau STPM seterusnya memasuki universiti, mendapat pekerjaan baik bergaji besar seterusnya berpangkat tinggi serta berharta banyak?
Seorang ustaz dalam kuliah dwi-mingguannya yang sering saya hadiri, cukup kesal dengan sikap sesetengah anggota masyarakat yang meletakkan sijil sebagai penentu masa depan anak-anak. Mereka yakin lebih tinggi sijil diperolehi (daripada sijil UPSR kepada SPM, STPM seterusnya ijazah) maka cerahlah masa depan seseorang sebaliknya mengutuk anak-anak 'tak bersijil' seperti pelajar tahfiz kononnya tidak mempunyai masa depan.
"Sekarang ini budak-budak tahfiz sudah buktikan...ada yang sudah jadi 'lawyer' (peguam) dan pensyarah sedangkan kita tahu ribuan orang berijazah pun sedang menganggur. Ini menunjukkan sijil-sijil bukanlah penentu masa depan, yang berkuasa menentukan masa depan kita hanyalah Allah SWT," katanya.
Beliau mendakwa 'kegilaan' masyarakat bagi anak-anak mereka mendapatkan sijil cemerlang dengan deretan 'A' menyebabkan agama seolah-olah digunakan dalam keadaan dan masa-masa diperlukan saja. "Misalnya, menjelang peperiksaan, sekolah mengundang ibu bapa dan anak-anak untuk solat hajat dan baca Yassin...kita bimbang kerana ada kajian menunjukkan ramai anak-anak kita yang tidak cukup solat waktunya dalam sehari malah ada yang tidak solat sama sekali...jadi sewajarnya kita berusaha agar anak kita dapat menunaikan solat dengan sempurna setiap hari."
Akibat terlalu memberi penekanan kepada kejayaan akademik seperti meluahkan kata-kata "SPM, STPM penentu masa depan kamu" pelbagai kemungkinan buruk boleh berlaku. Tindakan meletakkan harapan yang terlalu tinggi dalam pelajaran memberikan tekanan bukan saja kepada pelajar malah ibu bapa, guru, sekolah dan masyarakat.
Baru-baru ini seorang pelajar dilaporkan membunuh diri dikatakan kecewa tidak dapat menjawab kertas peperiksaan Matematik Tambahan SPM yang didudukinya. Mana tidak 'tension' kerana sejak awal-awal lagi sudah dipasak ke minda murid "SPM ini penentu masa depan kamu."
Mungkin kerana takut masa depannya tiada lagi 'kerana SPM-nya sudah lingkup', pelajar berkenaan dikhuatiri mengambil jalan mudah dengan membunuh diri. 
Sehubungan itu, diharapkan 'orang kepercayaan' anak-anak seperti ibu bapa dan guru (termasuk pengetua) berhati-hati tatkala mereka memberi nasihat dan mengungkapkan kata-kata perangsang kepada pelajar! JANJAN LARI daripada tanggungjawab ini.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 19, 2018 06:25

December 18, 2018

Malaysia Baharu tak perlu pembaziran makanan...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)

SESEKALI saya sekeluarga bertukar selera - makan di restoran Arab. Biasanya makanan Arab disediakan dalam 'portion' (hidangan) besar. Kerap benar kami tidak mampu menghabiskannya. 
Apa yang menggembirakan di restoran Arab kita boleh meminta pelayan 'mentapau' (membungkus) lebihan makanan untuk dibawa pulang. Mereka selalunya gembira melakukannya - buktinya selain senyum mereka memasukkan makanan itu bungkusan baru yang kemas dan cantik. Mereka tidak merungut sikit pun.
Namun ketika makan di gerai atau restoran Melayu saya tidak pernah meminta pelayan membungkus makanan yang tak habis di makan. Sebab apa? Ini kerana muka pekerja atau pemilik kedai dilihat kerap masam mencuka menakutkan pelanggan. Saya pun tidak pernah menyaksikan pelanggan yang meminta makanan yang tak dihabiskan, dibungkus untuk dibawa pulang.
Yalah, kerap benar di gerai atau restoran, saya lihat makanan yang masih berbaki separuh atau suku pinggan dibuang begitu saja. Di majlis orang kahwin pun sama. Ada tetamu mengambil nasi dan lauk bertimbun. Ramai tetamu  makan tak habis, dan paling menyedihkan mereka membasuh tangan di atas lebihan makanan itu. Malah ada yang menggunakan ketulan nanas dan potongan buah limau untuk mencuci (meramas) tangan - kononnya bagi menghilangkan kesan minyak.
Demikianlah, sayang seribu kali sayang, ramai orang melakukan pembaziran makanan; mungkin sesetengahnya tidak pedulikan langsung sebuah hadis yang menyebut bahawa pembaziran itu adalah kawan syaitan.
Berdasarkan senario ini dan di pelbagai tempat lagi, statistik menunjukkan  jumlah sisa makanan yang dibuang di Malaysia amatlah mengejutkan: setiap hari, kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan telah dibuang oleh isi rumah dan jumlah itu adalah mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.
Secara keseluruhannya, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000 tan metrik, adalah sisa harian isi rumah di Malaysia. Angka-angka ini adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015.
Berdasarkan ini, kita berpendapat kerajaan Malaysia Baharu dan rakyatnya perlu mengubah orientasi dalam bab mengenai makanan ini. Dulu rejim lama dilhat terlalu 'menekankan' mengenai 'bab makan' ini - sebagai contoh pada ketika pegawai bermesyuarat atau berkhusus 'makanan adalah mewah' sehingga ada mendakwa 'mereka makan lima kali sehari'. Demikian juga majlis perjumpaan politik atau hari terbuka perayaan...rakyat 'diajar' untuk makan dan makan! Di sini banyak berlaku pembaziran makanan...jika bapa (pemimpin) borek, anak (rakyat) rintek.
Baru-baru ini Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan satu laporan yang menyatakan Perancis sebagai negara paling kurang membazir makanan. Pengguna di negara ini membuang kira-kira 67.2 kilogram makanan setiap orang setahun berbanding 95.1kg di Amerika Syarikat, 87.1kg di Belgium dan 78.2kg di Kanada.
Di Perancis sudah diperkenal peraturan semua pasar raya wajib 'menyedekah' produk makanan lama kepada rumah kebajikan demi elak pembaziran. Ya kenapa agaknya di negara maju Barat boleh dikurangkan pembaziran makanan sedangkan di  negara kita malah di negara Arab/Islam yang kaya raya seperti  Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berlaku pembaziran makanan yang melampau? Dilaporkan di UAE, 500 tan makanan dibuang setiap hari pada bulan Ramadan.
Ada cendekiawan mengesyorkan Akta Pembaziran Makanan di­wujudkan di negara ini bagi me­ngatasi budaya pembaziran dalam kalangan rakyat terutamanya yang dilihat banyak berlaku sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Akta ini perlu diperkenalkan segera dan pelbagai jenis tindakan undang-undang berbentuk pe­nalti boleh diwujudkan untuk diambil terhadap individu atau organisasi yang melakukan atau terlibat dalam aktiviti pembaziran tanpa me­ngira waktu dalam negara ini. Yalah, adalah baik untuk kita memikirkan hal ini walau sejenak cuma!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 18, 2018 06:35

December 13, 2018

Jangan lari... (20): Kubur kian hari kian hampir...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)BERSYUKUR ke hadrat Illahi, insya-Allah jika dipanjangkan usia; kita akan memasuki tahun 2019 tak sampai sebulan lagi. Ini bermakna bertambahlah usia kita tetapi hakikatnya semakin hampir kita ke penghujungnya, memasuki alam barzakh (kubur) yang pasti dilalui setiap yang bernyawa. Berdasarkan hakikat ini, marilah kita mulai saat ini membuat 'pecutan terakhir' dengan 'segala yang ada' pada diri kita demi memburu keredaan-Nya. Hendaklah kita ingat bahawa segala yang kita sama ada kemewahan, kuasa, pangkat serta keseronokan dunia atau kepahitannya seperti kekalahan pilihan raya, penderitaan penyakit dan kesengsaraan menanggung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sekarang ini hanyalah bersifat sementara; semuanya akan berakhir apabila nyawa direnggut daripada tubuh (mati).Sebelum kita memasuki kubur (siapa boleh LARI daripada hal ini?), pergunakan 'segala yang kita ada' sebagai modal untuk kita mendapat keredaan Illahi. Bukankah Nabi yang kita kasihi, Muhammad s.a.w. mengingatkan kita supaya mempergunakan lima perkara (muda, berada, lapang, sihat dan hidup) sebelum datang lima perkara (tua, miskin, sibuk, sakit dan mati). Sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal pula mengingatkan kita tentang umur, di mana dihabiskan; demikian juga tentang masa remaja, harta dan ilmu; apa yang telah kita lakukan. Berdasarkan perkembangan semasa, kita boleh mengambil iktibar daripada pelbagai peristiwa bagi membantu kita mengkoreksi (muhasabah) diri di samping menyemarakkan semangat kita berkorban bagi mendapat keredaan-Nya. Di peringkat antarabangsa kita melihat syahidnya ulama seperti Sheikh Ramadan Al-Butti sebagai kayu pengukur pengorbankan kita - apakah kita sudah bersedia melakukan pengorbanan peringkat tertinggi sehingga mempertaruhkan hatta nyawa kita demi mendaulatkan Islam? Selepas itu kita bertanya; apakah harta yang sudah kita korbankan untuk Islam? Apakah kita benar-benar sudah mengorbankan harta kita atau setakat sikit-sikit saja; tentunya kita akan teramat malu kerana usaha kita itu tidak sekelumit pun dapat dibandingkan dengan Ummu Mukminin Sayidatina Khadijah Khauwalid yang mengorbankan segala yang beliau ada demi Islam sehingga ketika nazaknya menawarkan tulang belulangnya kepada Rasulullah jika itu dapat digunakan untuk menegakkan Islam. Demikian juga masa kita; bagaimana sudah kita guna dan habiskan? Apakah selama ini kita menyia-yiakannya dengan melepak di depan TV atau di kedai berjam-jam lamanya? Insafkan dengan kisah perjuangan golongan lampau termasuk sahabat, tabien, tabik tabien dan ulama.Bagi orang berilmu, bagaimana sumbangan kita dalam bidang ini? Apa, adakah ilmu kita sudah manfaatkan untuk kepentingan agama kita atau kita gunakan untuk kepentingan peribadi semata-mata atau lebih buruk lagi kita menyimpannya saja atau berbuat maksiat dengannya? Dengan ilmu dan kuasa yang ada, kita memaksiat kepada-Nya dengan melakukan rasuah, menipu dalam pilihan raya dan menahan orang tanpa bicara. Malah yang lebih dahsyat lagi dengan ilmu yang kita ada; kita memutar-belitkan hukum; seperti yang haram kita cari dalil untuk menghalalkannya. 

Kesimpulannya bagi 'orang berakal', pergunakan 'segala sumber yang kita ada' untuk mendapat keredaan-Nya. Pada diri kita sendiri, kedapatan banyak 'sumber-sumber' itu; misalnya mulut kita gunakannya untuk melakukan segala kebaikan seperti menunaikan tanggungjawab agama seperti beribadat, berdakwah dan berzikir, sebaliknya jangan menggunakannya untuk melakukan maksiat.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 13, 2018 01:52

December 11, 2018

Wartawan bermaruah mampu hidupkan akhbar...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
BERAKHIRKAH era persuratkhabaran? Demikian satu pertanyaan menakutkan khususnya kepada penulis dan wartawan dilontarkan akhbar ini (Suara Keadilan, SK) dalam salah satu artikelnya pada isu 21 November lalu.
Sebagai insan yang terbabit dalam bidang ini sejak 1985 malah 'meng-alim-kan diri' dalam bidang ini ketika di universiti dulu, penulis terpanggil untuk memberi respons.
Ya berdasarkan apa yang penulis amat-amati ada kebenarannya kerana sebagai contoh anak-anak penulis seramai lima orang itu (berumur di antara 16 ke 29 tahun yang mungkin boleh dianggap mewakili generasi baharu), seorang pun tidak berminat membaca apatah lagi membeli akhbar...mereka asyik 'bergayut' dengan 'gajet' masing-masing termasuklah bagi mendapatkan perkhabaran terbaharu.
Nampak sangat mereka 'sudah ke depan' - tidak peduli akan dunia persuratkhabaran yang 'dulu' dan 'sehingga kini' diperjuangkan oleh 'orang tua' mereka (sayalah tu). Sedih mengenangkan hal ini tetapi itulah realitinya!
Namun membaca pandangan positif (jalan keluar) bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali mengenai merundumnya dunia persuratkhabaran termasuk akhbar SK yang diasaskan beliau adalah sesuatu yang melegakan.
Katanya, media cetak masih dapat bertahan jika isi kandungannya mempunyai nilai dan bersifat kritikal. "...sekiranya media cetak seperti akhbar mengetengahkan isu yang agak berlainan dengan apa yang ada di media sosial serta menjadi kritikal walaupun terhadap kerajaan, saya rasa ia masih boleh hidup." 
Di sinilah saya lihat betapa sidang pengarang (editor, penulis, wartawan dan sebagainya) yang berwibawa dan bermaruah dapat menyelamatkan dunia persuratkhabaran yang kian hari kian pudar itu.
Ya, tak lama lagi kita akan menyambut tahun baharu 2019, jadi marilah orang media bersama-sama mengembalikan maruah media massa yang teruk 'dijarah' oleh rejim lama yang tumpas pada PRU-14 tempoh hari.
Dulu masyarakat kritis melihat media massa terutama akhbar arus perdana sebagai bukan boleh dipercayai sangat, mereka penipu. Laporan akhbar bukannya semuanya betul. Daripada membazirkan masa membaca akhbar, lebih baik baca Quran, dapat juga pahala, kata sesetengahnya.
Wartawan buat laporan betul tetapi editor seleweng fakta, dakwa mereka. Ya, ada yang memperli bahawa dalam akhbar dua perkara saja betul – keputusan nombor ekor dan jadual waktu sembahyang. 
Sesuai pada era Malaysia Baharu sekarang ini selepas tersungkurnya rejim 'penindas media', adalah penting untuk mengembalikan 'maruah' dan 'kedudukan' orang media terutama dunia persuratkhabaran agar mendapat kembali kepercayaan rakyat lantas menyuburkan kembali industri ini.
Dulu ketika rejim lama, adalah lumrah etika kewartawanan yang dipelajari di sekolah-sekolah kewartawanan dilanggar semahu-mahunya. Wartawan bukan lagi bersifat pelapor; tetapi menyebelahi pihak-pihak yang disokong dan mahu dimenangkannya.
Paparan akhbar harian yang dikatakan media arus perdana itu, hampir semua bahannya menyokong satu pihak dan mencerca pihak lawannya. Pihak disokong diberi liputan meluas untuk membelasah lawannya, malangnya yang dibelasah tidak diberi ruang sedikit pun untuk membela diri. Apakah perkara seperti ini diajar di sekolah-sekolah kewartawanan?

Ya ketika itu laporan terlalu ‘senget’ (bias) sehinggakan orang awam pun berasa jijik dengan sesetengah media massa. Keadaan ini sebahagiannya menyumbangkan kepada 'pemboikotan' orang awam kepada sesetengah media terutama akhbar arus perdana menyebabkan jualan dan edarannya menjunam teruk.
Kini pada era Malaysia Baharu ini, adalah penting untuk akhbar sebagai sebahagian daripada media cetak mempunyai keistimewaan tersendiri (contohnya isi kandungan bernilai dan berani menjadi kritikal walaupun terhadap kerajaan seperti diperkatakan Dr Syed Husin) demi untuk terus hidup (survive) dalam era teknologi komunikasi yang sedang berkembang hebat!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 11, 2018 07:22

November 29, 2018

Jangan lari... (19): Perlukah 'berbogel' apabila bersukan?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)SESEKALI ketika menghadiri kelas-kelas agama hatta mengikuti rancangan agama di radio atau televisyen, terasa diri 'terpukul' dengan 'kebodohan' dan 'kejahilan' diri sendiri dan masyarakat dalam melayari kehidupan dunia fana ini.Pada suatu ceramah, seorang ustaz menyentuh bab sukan - katanya 'apa ke bendanya' ketika suatu-suatu temasya sukan terutama yang 'besar-besar' bermula dengan larian membawa obor. "Ini budaya mana ni?" katanya.Sang ustaz berkata: "Upacara membawa lari api dan menyalakan api dalam acara sukan adalah daripada ajaran Majusi, dan jika diikuti oleh orang Islam boleh merosakkan akidah..."Yalah, orang Greek, Yunani, orang Majusi berlari membawa api atau menyembahnya...jadi tak jahilkah kita jika sama-sama hidupkan budaya mereka?Syukur alhamdulillah, baru-baru ini kita mendengar kerajaan negeri Terengganu akan mengemukakan sukan mengikut kehendak agama seperti melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan negeri itu bermula tahun hadapan.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata langkah itu selaras dengan dasar kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai tonggak utama pentadbiran termasuk dalam aspek sukan bagi memastikan ia bertepatan dengan tuntutan agama Islam.Lebih 10 tahun lalu Ruqaya Al-Ghasara, atlet Qatar melalui Sukan Asia telah membuktikan pemakaian menutup aurat (hijab) tidak menghalang beliau bersukan malah bergelar juara pula. Ruqaya adalah sebutir permata yang bersinar dalam selutan lumpur. Mungkin ada seorang Ruqaya dalam 1,000 atau satu juta insan yang mendabik dada mengaku Muslim.Ruqaya yang aktif membabitkan diri dalam masyarakat adalah lebih baik daripada Ruqaya yang beruzlah - menjalankan tanggungjawab agama tetapi menyepikan diri, tidak bercampur gaul dengan masyarakat.

Penulis percaya untuk menjadi Ruqaya yang muncul di kaca TV dan dada-dada akhbar sebagai seorang juara lengkap dengan identiti Muslimahnya, pasti melalui 1,001 ranjau dan duri. Biarlah Ruqaya menjadi idola baru, menjadi contoh kepada anak-anak termasuk anak gadis penulis sendiri dalam bidang sukan. Tidak salah untuk bersukan - renangkah, gimramakah, larian pecutkah, bola jaringkah, bola tampar pantaikah - semuanya boleh dengan syarat mematuhi syariat agama.

Dulu ketika remaja, penulis seronok melihat aksi sang juara badminton, Misbun Sidek. Tetapi ketika asyik menyaksikan pukulan pancung jagoan badminton dari Banting ini, terfikir pula penulis alangkah bagus jika Misbun pakai seluar panjang. Kalau pakai seluar panjang, aurat dapat jaga, juara pun boleh dapat. Pada fikiran penulis, sebagai juara tentulah Misbun ada suara untuk memakai pakaian menutup aurat. Ketika 'top', dia boleh 'demand', tentulah pegawai-pegawai sukan dan penganjur kejohanan akan ikut cakapnya. Penulis fikir Misbun layak berseluar panjang sebab ketika dia 'top' dulu ramai orang cakap Misbun ini warak orangnya. Kalau dah warak, tentulah dia akan fikirkan penampilannya.

Demikian juga masa bersukan. Kalau dah warak, takkan boleh 'start' permainan jam 7.00 malam. Solat maghrib bagaimana? Masa tengah 'top' buatlah 'demand'. Desak agar permainan dimulakan lebih lewat lagi bagi memberi peluang pemain, pegawai dan penonton Muslim untuk solat. Tetapi ahli sukan Muslim kita tidak buat begitu, tidak 'demand', jadi dari dulu sampai sekarang ada permainan bermula jam 7.00 atau 8.00 malam.

Atlet atau sesiapa saja yang terbabit dalam sukan, kalau ada semangat keislaman seperti Ruqaya, tentulah hal ini dapat diatasi. Kecintaan mereka untuk menunaikan suruhan agama akan mencairkan pembuat dasar dan peraturan yang bersikap kuku besi.

Hakikatnya dalam kehidupan harian seorang Muslim, kebanyakan daripada kita pandai 'menyesuaikan' dirinya dengan suasana, hidup bagaikan sumpah-sumpah. Apabila suasana memerlukan kita jadi baik, maka kita jadi baik. Tetapi apabila suasana memerlukan kita jadi jahat, kita pun jadi jahat.

Ambil kisah haji dan umrah sebagai contoh. Semua jemaah baik-baik belaka. Semua bertudung litup. Yang lelaki pula ramai yang berjubah macam syeikh Arab. Tidak ada yang dedah aurat.

Tetapi apabila kembali ke tanah air, lain halnya. Ada sesetengah itu, sudah tidak lagi memakai tudung. Bukan saja tidak bertudung, ada yang berani dedah sana, dedah sini. Di Makkah kenapa tak buat benda yang sama, bukankah Tuhan itu ada di mana-mana saja.

Di masjid orang patuh suruhan agama. Yang perempuan bertudung. Yang lelaki juga menutup aurat. Tiada orang perempuan yang pergi masjid dalam keadaan 'togel'. Tetapi itu di masjid saja. Keluar masjid, seolah-olah peraturan agama sudah tak ada lagi.

Orang pergi kelas agama pun baik-baik belaka. Tetapi kenapa di kelas agama saja, tidak di pejabat dan tempat lain seperti pasar, kompleks beli belah dan stesen bas dan jalan raya.

Kerana mengamalkan hidup bagai sumpah-sumpah ini, ketika membicara hal agama, kita macam orang baik-baik tetapi di pejabat dan jalan raya, kita melakukan perkara mungkar seperti rasuah. Kemungkaran ini berleluasa seolah-olah agama itu terkurung dalam masjid, dalam amalan khusus seperti solat, haji dan puasa. Selain daripada itu, kita tidak terikat kepada hukam-hakam agama.

Berhubung tindakan terpuji Ruqaya, penulis syorkan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya memperjuangkan hak wanita Islam untuk berpakaian serupa (menutup aurat) dalam kejohananan antarabangsa lebih besar seperti Sukan Dunia, Olimpik dan Komanwel. Kalau hal ini pun tidak dapat diperjuangkan oleh OIC, entahlah, OIC mahu perjuangkan apa agaknya? JANGAN LARI daripada tanggungjawab ini!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 29, 2018 19:27

November 28, 2018

Bina bangunan untuk keselesaan bukan menyombong diri

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
ALHAMDULILLAH baru-baru ini saya dan isteri berkesempatan menghadiri majlis konvokesyen seorang anak kami di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak. 
Sebelum penyampaian skrol kepada graduan, Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berucap; salah satu isu disentuh beliau adalah kepentingan pelestarian alam sekitar dalam pembinaan bangunan.
Beliau berkata sekarang ini sudah timbul kesedaran untuk kembali kepada nilai-nilai lama (tradisional) dalam pembinaan bangunan...yalah bagaimana datuk nenek kita dulu membina bangunan yang mesra alam tetapi hari ini hampir semuanya bersifat komersial - yang dipentingkan keuntungan lantas mengetepikan keselesaan penghuni apatah lagi alam semula jadi.
Lantas Rektor UIAM itu menggesa graduan seni bina UIAM bersedia menyumbang pemikiran dan tenaga semampu mungkin dalam menjadikan pembinaan bangunan sebagai benar-benar bermanfaat bagi semua pihak termasuklah dari segi pelestarian alam sekitar.
Bercakap mengenai pembinaan bangunan ini, saya teringat sebuah rencana televisyen yang saya tonton baru-baru ini menunjukkan sejumlah negara Arab/Islam sedang 'bertarung hebat' bagi membina pencakar langit super - insya-Allah tidak lama lagi Jeddah Tower di Arab Saudi akan disiapkan - ketinggiannya adalah 1,000 meter = 1 kilometer menjulang ke langit mengatasi Burj Khalifa di Dubai (UAE) yang tingginya 828 meter.
Malaysia pun tidak kurang hebat, banyak pencakar langit sudah dan sedang dibina; Menara Kembar Petronas dengan ketinggian 452 meter pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia suatu ketika dulu.
Apa yang menarik dalam rencana ini, pengkritik bertanya "apakah banyak faedah" negara Arab/Islam membina bangunan-bangunan hebat ini dengan kos berbilion-bilion dolar Amerika sedangkan wang yang banyak itu dapat dimanfaatkan untuk membantu ramai umat Islam yang hidup menderita di seluruh dunia. Adalah diketahui umum, sejumlah negara Islam terletak di bahagian bawah senarai negara termiskin dunia.
Pengkritik mendakwa pihak membina bangunan hebat ini adalah untuk menyombong diri sedangkan keperluan sebenar kewujudan bangunan ini adalah tidak mendesak. Kos untuk menyelenggara bangunan super tinggi adalah tersangat mahal manakala pengguna dan premis perlu disesuaikan dengan persekitaran - misalnya udara dan tekanan di puncak yang terletak satu (1) kilometer ke atas adalah tidak sama di permukaan bumi.
Kembali kepada isu pembinaan bangunan terutama rumah kediaman di negara kita, antara isu terhangat sekarang adalah kecenderungan pemaju mengejar untung berlipat ganda bukan membina rumah ikut kemampuan rakyat. 
Baru-baru ini didedahkan bahawa sebahagian besar daripada rumah-rumah tidak terjual di seluruh negara terdiri daripada rumah yang berharga RM250,000 dan ke atas dengan nilainya mencecah RM22.5 bilion. Ertinya pemaju membina rumah bukan untuk didiami rakyat kebanyakan tetapi untuk mereka 'mampu lihat' saja!
Rumah berharga RM250,000 di bandar besar mungkin kecil saja dari segi saiznya tetapi bagi rakyat kebanyakan harganya terlalu tinggi dan di luar kemampuan mereka...ya bank pun tidak mahu membiayai pembeliannya bagi orang awam yang bergaji atau berpendapatan kecil.
Dulu pun sebuah kajian oleh Khazanah (Institut Penyelidikan Khazanah - KRiS) menyatakan rumah-rumah di Malaysia berharga berganda lebih mahal daripada kediaman di Singapura hatta di Amerika Syarikat dari segi perbandingan gaji.
Menurut penemuan KRiS dalam bukunya bertajuk 'The State of Households' (Keadaan Isi Rumah) rumah-rumah di Malaysia berharga 5.5 kali ganda daripada pendapatan median tahunan (annual median income), menjadikannya berganda lebih mahal daripada kediaman hatta di Singapura dan Amerika Syarikat. 
Berdasarkan senario sekarang ini, saya berpendapat adalah sangat relevan apa yang diperkatakan Prof Dr Dzulkifli pada konvokesyen UIAM itu - semua pihak perlu merujuk kembali kepada nilai-nilai lama (tradisional) dalam pembinaan bangunan-bangunan kita terutama rumah kediaman. Ya, kita tak perlu terikut-ikut negara lain atau 'menyombong' dalam membina rumah atau memilikinya (seperti sesetengah negara Arab/Islam yang membina menara super) tetapi apa yang kita mahukan semua pihak 'berada dalam keadaan selesa'.
Penulis sebagai 'orang asing' dalam ilmu seni bina dan pembinaan tidak dapat membincangkan lebih lanjut mengenai hal ini tetapi menyerahkannya kepada profesional di bidang ini seperti arkitek, perancang dan jurutera untuk menilai, mengkaji serta mengaplikasikan pandangan serta cadangan yang diutarakan oleh Rektor UIAM itu.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 28, 2018 08:07

November 23, 2018

Jangan lari... (18): Negara berjaya jika pemimpin, rakyat bertakwa

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)ENAM bulan selepas pemerintahan negara bertukar tangan - daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (Harapan), keluh kesah rakyat semakin berat - yang terbaru di kalangan golongan muda yang kurang senang dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)Berhubung perkara ini saya teringat antara ungkapan terbaik seorang sarjana Islam, Abul A'Ala Maududi bahawa tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.   
Maududi berkata kuasa mutlak hak Allah...kita jangan cuba sesekali LARI daripada hakikat ini. Prinsip asas yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa kekuasaan tertinggi dan mutlak hanyalah hak Allah semata-mata. Sesungguh bumi dan alam ini adalah kepunyaan Allah. 

Udara, air, cahaya dan segala-galanya yang memenuhi hidup kita ini adalah diberi oleh Allah. Tubuh badan yang kita punyai ini beserta dengan tenaga dan organ-organ yang lengkap, semuanya dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. 

Kita langsung tidak mempunyai hak untuk mengaku yang kekuasaan mutlak itu hak kita. Di samping itu kita juga mesti menolak sebarang pengakuan sedemikian rupa daripada sebarang individu atau kumpulan. 

Antara perkara pertama Rasulullah s.a.w. mengajak manusia untuk percaya dan beriman ialah, kerajaan dan negara itu hanyalah kepunyaan Allah. 

Hanya Allah saja yang berkuasa untuk memerintah dan tiada siapa yang berhak untuk membuat undang-undang melainkan Dia. 

Perkara kedua dalam ajaran asas baginda ialah perundangan Rabbani bukannya diturunkan terus kepada manusia tetapi melalui Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w. bukannya dipilih oleh sesiapa untuk menjadi pemimpin. 

Baginda juga tidak memilih dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin. Baginda telah dipilih oleh Allah agar dapat mendidik dan mentarbiyah manusia dengan tarbiyah Rabbani, menukar pemikiran dan peribadi manusia, menyampaikan perintah Rabbani kepada manusia dan melaksanakan urusan Rabbani itu melalui sesiapa yang menerima dan beriman kepada perintah-perintah tersebut. 

Perkara ketiga dalam ajaran Rasulullah ialah supaya manusia percaya akan konsep ini di mana setiap manusia akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang telah dilakukan semasa hidupnya. 

Selama 13 tahun Rasulullah s.a.w. menyampaikan ajaran ini dan mereka yang menerima ajaran tersebut telah disatukan dalam satu jemaah (ummah). 

Semasa tiga tahun terakhir di Makkah, sekumpulan penduduk dari Madinah telah memeluk Islam lantas menjemput Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya ke Madinah. 

Benarlah kata-kata Sayidatina Aisyah di mana beliau menyatakan yang Madinah telah ditawan oleh Quran. 

Setelah mengetahui isi kandungan surah-surah yang turun di Makkah, mereka bukan sahaja menerima dan memeluk Islam tetapi mereka terus menjemput Rasulullah s.a..w. dan para sahabatnya untuk tinggal di kampung halaman mereka sendiri. 

Jemputan ini bukan sahaja untuk memberi perlindungan kepada baginda, tetapi ialah supaya baginda menjadi pendidik mereka, pemimpin dan juga penyatu umat Islam di antara Makkah dan Madinah sebagai satu umat lantaran menegakkan satu sistem hidup di Madinah berlandaskan keimanan Islam yang telah mereka bulatkan. Inilah cara pemerintahan Islam yang ditegakkan pada hari pertama Rasulullah s.a.w. sampai di Madinah. 

Tugas utama pemerintahan itu ialah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk seluruhnya. Memandangkan Islam itu adalah petunjuk dan ilmu yang Rabbani, kejahilan terhadap Islam itu adalah satu halangan ke arah jalan ini. 

Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah bekerja sepenuh tenaga dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada penduduk Madinah ketika itu dan seterusnya beriman dengan ajaran Islam. 

Apabila kefahaman itu berkembang dan penduduk Madinah berpegang kepadanya, maka lama-kelamaan Islam pun berkembang dan mula menjadi kuat. 

Tugas kedua Rasulullah s.a.w. ialah memurnikan akhlak masyarakat ketika itu berdasarkan akhlak yang tinggi lagi mulia. 

Tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah. 

Keadaan ini akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber. 

Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia. 

Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut. 

Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut. 

Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya. 

Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis dan tidak terdapat penjara-penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya. 

Contohnya, kita ambil kes mengenai larangan meminum arak itu sendiri. Apabila dikhabarkan di kota Madinah yang arak itu haram, maka tempat menyimpan arak semuanya dipecahkan dan masyarakat Madinah terus berhenti meminum minuman tersebut. 

Di sini, sejarah gagal untuk memberi contoh akan kepatuhan kepada undang-undang secara spontan. 

Malah, berjuta-juta dolar dibelanjakan di Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada masyarakat akan kesan buruk daripada arak itu sendiri. 

Satu propaganda besar-besaran telah dilancarkan untuk tujuan tersebut. Dengan sambutan masyarakat, satu pembaharuan telah dibuat di dalam undang-undang Amerika Syarikat untuk meluluskan satu undang-undang mengharamkan arak. 

Tetapi keesokan harinya masyarakat meminum pula minuman lain yang beracun dan berbahaya. Perbuatan ini merebak dengan cepatnya di mana akhirnya undang-undang pengharaman arak tadi terpaksa ditarik balik. 

Jadi, marilah kita membuat perbandingan ke atas dua keadaan yang berlaku tadi. Pertamanya, di mana arahan yang dikeluarkan telah dipatuhi dengan serta-merta. 

Keduanya di mana satu undang-undang telah digubal setelah satu perbelanjaan dan propaganda yang besar dijalankan yang disokong oleh masyarakat tetapi akhirnya mereka juga yang melanggarnya. 

Ini jelas menunjukkan bahawa asas pada satu-satunya sistem pemerintahan adalah terletak kepada keimanan dan akhlak yang mulia. 

Jika kedua-dua asas ini tidak ada, maka satu-satu sistem pemerintahan itu tidak akan berjaya, walaupun undang-undang itu telah digubal dengan baik.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 23, 2018 06:31

November 21, 2018

Semarakkan lagi semangat Ali, Ah Kau, Muthu...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
RENUNGAN
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)

SEMPENA cuti Deepavali, saya sekeluarga pergi bercuti; alhamdulillah kami dapat menginap di sebuah rumah inap (homestay) di Sekinchan, Selangor. Kediaman ini terletak di lokasi 'lain daripada biasa' iaitu di tengah-tengah sawah; jadi banyaklah pengalaman termasuk yang mencuit hati dapat dirakam dan dicatatkan.
Suatu awal pagi selepas solat subuh, saya berjalan bersendirian berkilometer jauhnya...menyaksikan keindahan alam ciptaan Yang Maha Kuasa terutama sang mentari yang mula menyinar. Pemandangan sawah padi yang luas terbentang dengan barisan rimpunan pokok padi sedang 'membunting' dan ada yang 'menerbitkan hasil', begitu mempersonakan.
Penanaman padi di Sekinchan ini begitu sistematik sekali - saya perhatikan ada papan tanda nama pada sejumlah petak padi termasuk disertakan nama petani, jenis padi dan tarikh padi mula ditanam. Hampir semua nama petani adalah orang Tionghua manakala bakinya adalah syarikat-syarikat.
Ya, hebat petani Cina Sekinchan menanam padi. Kesungguhan mereka dapat dirasai apabila saya melihat ada tali air (terusan) yang turut ditanam pohon padi. Kelihatan barisan panjang pohon padi sejajar dengan tebing terusan. Pendeknya petani memanfaatkan sepenuhnya kawasan bagi mendapatkan hasil yang banyak dan terbaik. Syabas petani-petani Cina Sekinchan!
Terfikir di benak saya, alangkah bagus jika bangsa-bangsa yang ada di tanah air kita dapat memanfaatkan (berkongsi) pengetahuan dan pengalaman...di sini pesawah Melayu mungkin dapat belajar sesuatu daripada petani Cina di Sekinchan iaitu bagaimana menghasilkan padi bermutu tinggi dan banyak pula secara sistematik. Saya tidak bermaksud pesawah Melayu 'tidak bagus' (di Kedah sawah petani Melayu adalah lebih besar saiznya) tetapi, ya tak salahkan  untuk saling belajar dan mengajar...
Demikianlah...dengan wujudnya pelbagai bangsa di tanah air kita apatah lagi pada era Malaysia Baharu sekarang ini, setiap kaum perlu membuka hati dan minda untuk menghebat atau menyemarakkan lagi semangat 'kekitaan kita' sebagai rakyat Malaysia. Alangkah indahnya jika Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain dapat saling tolong menolong dalam memajukan negara.
Berkenaan perkara ini, teringat saya akan buku-buku teks sekolah saya pada tahun 1960-an dan 1970-an yang kerap memaparkan watak Ali, Ah Kau dan Muthu sebagai lambang perpaduan kaum. Kini dengan terciptanya Malaysia Baharu; 'semangat' Ali, Ah Kau dan Muthu boleh di-'upgrade'-kan ke peringkat lebih hebat agar Malaysia menjadi negara yang rakyatnya dikagumi di persada antarabangsa.
Saya juga teringat akan novel Melayu pertama ditulis oleh orang Tionghua. Ya novel 'Hidup Antara Duri' yang ditulis oleh Chong Chee Seong pada 1969 adalah lambang kerukunan hidup orang Melayu-Cina
Watak-watak utama dalam novel ini menujukkan kerukunan kehidupan Melayu dan Cina, sekali gus mengangkat karya ini ke depan sekalipun dihasilkan 50 tahun lalu.

Ketika menulis novel ini, Chong adalah Naib Yang Dipertua Persatuan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Kerana cintanya terhadap bahasa Malaysia, Chong bersusah payah menulis novel dalam bahasa Melayu ini. Chong yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Straits Times, turut menyumbangkan rencana di Berita Harian dan menurut beliau, pengarang berpengaruh Kumpulan New Straits Times, A Samad Ismail banyak membantu beliau dalam menyiapkan novel ini.

'Hidup Antara Duri' mengisahkan kehidupan di sebuah perkampungan nelayan. Melalui novel ini, Chong cuba menggambarkan bagaimana golongan nelayan pelbagai kaum saling bantu membantu dalam menjalani kehidupan. Semangat kerjasama antara mereka terbukti apabila mereka menghadapi ancaman lanun di perairan berhampiran perkampungan mereka.

Mengikut cerita watak utama, Ang Chow dijadikan tebusan oleh lanun. Mereka meminta tebusan $3,000 (ketika itu RM belum dipakai) yang mesti diserahkan dalam masa seminggu daripada rakan Ang Chow, seorang nelayan Melayu bernama Hitam. Nelayan kampung yang diketuai oleh Penghulu Samad melancarkan derma kilat dan berjaya mengumpul wang sebanyak yang dikehendaki itu.

Selepas dibebaskan, Ang Chow bekerjasama dengan polis untuk menghancurkan kegiatan lanun-lanun itu. Novel ini cuba membuktikan bahawa masyarakat pelbagai kaum di negara ini dapat hidup dengan aman jika mereka saling faham memahami antara satu sama lain. Antara contohnya, Penghulu Samad mengadakan majlis kesyukuran selepas Ang Chow diselamatkan. Semua keluarga nelayan daripada pelbagai kaum di kampung itu menghadirinya.

Demikianlah Chong telah melihat ke depan akan pentingnya kerukunan hidup semua bangsa yang hasilnya sedang dan insya-Allah akan dinikmati dan tuai dengan lebih baik lagi pada masa depan. Hari ini Malaysia Baharu memerlukan seramai mungkin Ang Chow, Hitam dan Pak Samad (Ali, Ah Kau dan Muthu) bergandingan tangan bagi melonjakkan negara ke tahap tertinggi!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 21, 2018 06:23

Roslan Hamid's Blog

Roslan Hamid
Roslan Hamid isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Hamid's blog with rss.