Roslan Hamid's Blog, page 102

November 16, 2018

Jangan lari... (17): Jadilah bapa bertanggungjawab bukan popular

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
RENUNGAN
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)SEKARANG ini universiti tempatan mengadakan konvokesyen masing-masing. Ibu bapa diundang untuk menyaksikan 'kemuncak kejayaan' anak masing-masing. Saya dan isteri turut terbabit. Alhamdulillah seorang anak gadis kami menerima skrol ijazahnya selepas empat tahun berjuang di menara ilmu.Tahniah kepadanya - dengan penerimaan ijazah ini dan memasuki dunia pekerjaan; bermakna seorang lagi anak kami akan 'berpergian jauh'...biarlah dia berterbangan bagai burung membina kehidupan sendiri. Insya-Allah apabila kahwin nanti, dia akan 'terbang' lebih jauh lagi...Namun sebagai bapa, tanggungjawabnya tidak tamat di situ. Anak yang sudah bekerja atau kahwin pun perlu dipantau - pastikan dia terus menjalani kehidupannya sebagai seorang Muslim yang lurus dan taat terutama dalam bab akidah dan ibadah seperti solat yang menjadi tiang agama.Dalam sesebuah keluarga, bapa bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Dia adalah ketua keluarga. Bertanggungjawab terhadap mereka di dunia supaya bahagia di akhirat. Dalam Surah at-Tahrim ayat 6, Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka." Pendidikan untuk si anak bermula awal, ada sarjana menyatakan ketika seseorang bayi dikandung manakala ada pula menyatakan tatkala memilih calon isteri. Tentunya pada peringkat awal perkahwinan, hanya ada suami dan isteri. Terpulanglah kepada si suami sama ada mahu menjadi popular (disenangi) isteri atau menjadi suami bertanggungjawab sekali gus menyelamatkan isterinya daripada ceburan api nereka. Seorang suami jika mahu popular atau dalam istilah orang sekarang 'abang begitu sporting' kepada isterinya, berilah kebebasan sepenuhnya kepada isteri. Jika isteri mahu keluar rumah berjumpa temannya tidak kira lelaki atau perempuan, biarkan; usah ditanya ke mana dia pergi. Jika dia keluar rumah tanpa mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya seperti yang biasa dilakukannya sebelum berkahwin, biarkan. Ini kerana jika si suami cuba menghalang isteri daripada berbuat demikian, dia tidak lagi jadi popular malah ada kalanya menjadi bahan kemarahan. Kemudian berilah peruntukan (wang) yang besar kepada isteri. Apa isteri nak buat atau belanjakan wang itu biarkan. Jika isteri meminta diberikan cincin emas dan permata yang harganya tidak mampu dibiayai dengan wang gaji, usahakan untuk menjayakannya, hatta sehingga terpaksa makan wang rasuah pun tak apa. Ikutlah semua cakap isteri, pasti dia bertambah popularlah si suami. Namun insafilah, bapa kita Nabi Adam a.s. pun 'tergelincir' sebahagiannya disebabkan godaan dan rayuan isteri tercinta Hawa untuk makan buah larangan.Si isteri pasti sentiasa mahu suami berada di sampingnya, jadi tak payahlah si suami pergi solat berjemaah di masjid; tak payahlah hadiri kelas pengajian di masjid; tak payahlah sertai jemaah memperjuangkan Islam apatah lagi berjihad di jalan-Nya. Jika dibuat semua ini pasti si suami akan menjadi popular di hati isterinya. Si isteri pula tak payahlah diminta ke masjid untuk mengikuti kelas pengajian kerana ia akan membuatkan si suami tidak popular. Sebaliknya biarkan si isteri bermalas-malasan menonton filem Hindustan, dari pagi sampai malam. Apabila sudah beranak pinak, untuk menjadi popular berikan anak wang belanja yang besar, sediakan pelbagai kemudahan kepada mereka. Apa yang anak-anak buat dengan duit itu biarkan kerana dengan itu si bapa akan popular di hati anak-anak. Jika anak-anak tidak menunaikan ibadat seperti solat atau puasa, biarkan kerana dengan menyuruh mereka, si ayah akan mengundang kemarahan mereka dan menjadi tidak popular. Jika anak-anak mula merokok biarkan kerana jika ditegur bapa akan tidak menjadi popular. Bapa tak 'sporting', kata mereka. Jika anak-anak sudah lebih teruk lagi seperti mengambil minuman keras dan main judi, biarkan kerana bapa 'sporting' akan popular di kalangan anak-anak. Bapa bertanggungjawab yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan biasanya tidak popular di kalangan anak-anak. Asyik-asyik ajak sembahyang, kata mereka; tetapi percayalah kesannya tersangat hebat. Apabila seorang anak itu sudah dewasa lebih-lebih lagi jika si bapa sudah meninggal dunia, barulah dia menghargai kesungguhan si bapa termasuk sentiasa teringat bagaimana dia dirotan tatkala tidak solat; sesungguh bapa yang tidak popular itulah yang berjuang bermati-matian menyelamatkannya daripada diceburkan ke dalam api neraka. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 16, 2018 07:05

November 13, 2018

Era berselindung di sebalik Ketuanan Melayu berakhir sudah...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
RENUNGAN
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)

BAGI sesetengah pihak tersungkurnya Umno pada PRU-14 Mei lalu membenarkan sebahagian dakwaan bahawa zaman Ketuanan Melayu sudah berakhir. 
Majoriti rakyat sudah ke depan dalam menolak parti berasaskan perkauman seperti Umno, MCA dan MIC...mereka memberi mandat kepada parti pelbagai kaum, sekali gus memberi kuasa pemerintah kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).
Berdasarkan senario ini ada asas untuk Menteri Belia dan Sukan yang masih muda remaja, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman melontarkan pandangan bahawa zaman Ketuanan Melayu berakhir sudah diganti konsep perjuangan kesaksamaan kepada semua kaum.
Namun difikirkan ada manfaat besar untuk Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu atau PPBM) itu 'menginsuranskan' mulutnya kerana isu panas ini telah menyebabkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa menenangkan keadaan dengan mengeluarkan ulasan berlapik bahawa kenyataan Syed Sadiq telah disalahtafsirkan.
Muhyiddin yang kini Menteri Dalam Negeri sudah cukup matang dalam sepak terajang politik bertindak matang dalam meredakan keadaan...ya hal-hal berkaitan Ketuanan Melayu sebahagian besar orang sudah maklum bahawa ia sebahagian 'sandiwara' digunakan parti tua untuk kekal berkuasa dulu, kini dan selamanya (syukurlah akhirnya ia tersungkur pada PRU-14 Mei lalu).
Ya, mungkin tidak banyak faedah untuk menteri yang muda belia,  Syed Sadiq membuka isu sensitif ini sekarang kerana kebanyakan rakyat sudah maklum perkara ini...misalnya KEADILAN sudah jelas menyatakan bahawa ia memperjuangan Ketuanan Rakyat...bukannya mengikut acuan pemikiran pemimpin Umno yang dapat dirasai dan diselami memperalatkan konsep Ketuanan Melayu itu!
Umum perlu sedar, sekalipun gagal berkuasa, Umno masih parti terbesar di Parlimen - selepas PRU-14 ia ada 54 kerusi tetapi kini kurang daripada itu akibat adanya ahli Parlimennya meninggalkan parti - hal ini bermakna masih ramai orang Melayu tidak bersedia melepaskan 'bantal busuknya' yang bernama Umno ini.
Orang Melayu terlalu bergantung kepada perkara disanjungnya; mengkaji kecenderungan sesetengah kanak-kanak kepada bantal busuk (dalam kes ini Umno) mungkin dapat melerai persoalan bersediakah orang Melayu meninggalkan Umno dalam menghadapi zaman baru yang lebih mencabar.
Jika sesetengah kanak-kanak tidak lekang dengan bantal busuknya, demikian juga orang Melayu, tidak selesa untuk meneruskan kehidupan tanpa pegangannya. Daripada zaman kecilnya sehinggalah hampir ke liang lahad, sebahagian Melayu memerlukan wira, idola, tokoh, legenda dan ikon semasa (termasuklah Umno) untuk dijadikan dahan, tempat berpahut sama seperti seorang kanak-kanak mendambakan bantal busuknya.

Hang Tuah adalah antara idola dan ikon Melayu. Sama ada dia benar-benar wujud atau tidak, Hang Tuah tetap membawa kehebatan dan keperkasaan Melayu yang juga mahu dikaitkan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain yang turun di Bukit Seguntang Mahameru. 

Zaman berubah, sepanjang sejarahnya, Melayu berusaha mendekatkan diri dengan idolanya. Idola Melayu turut berubah daripada Hang Tuah yang digambarkan sentiasa berkeris kepada 'pahlawan' Melayu berkot dan bertali leher atau sesekali berpakaian Melayu. 

Melayu baru adalah jelmaan Melayu lama. Ia tidak berubah sepenuhnya kerana sebahagian ciri, sifat dan sikapnya masih kekal. Ia masih mengekalkan pemujaan idola Hang Tuahnya (perhatikan bagaimana Melayu baru tetap bangga dengan keris seperti yang dipertunjukkan dalam perhimpunan agung parti Melayu).

Melayu baru yang mendakwa kontemporari masih mengekalkan cara hidup Melayu lama, jadi tidak hairanlah semoden mana seseorang Melayu itu, ia mengekalkan 'apa-apa yang diajarkan datuk neneknya'. Jadi tidak mudah membuangkan apa-apa yang Melayunya daripada orang Melayu terrmasuk apa yang diistilahkan sebagai Ketuanan Melayu.
Jadi kepada tokoh muda seperti Syed Sadiq...berhati-hatilah dalam percakapan anda...ya tak rugi jika anda tak sentuh isu sensitif ini pada masa yang sensitif ini! Ya benar, Umno kini tidak boleh lagi berselindung di sebalik agenda Ketuanan Melayunya (ia sudah berakhir) tetapi bab Ketuanan Melayu ini adalah satu perkara berlainan.
Bercakap mengenai Ketuanan Melayu ini...kepada orang muda rujuklah kepada perjanjian taat setia Raja dan Rakyat dalam Sejarah Melayu. Kitab ini memuatkan kisah permulaan akan keturunan kebanyakan Raja-Raja Melayu yang ada hari ini. Dalam 'Alkisah Cetera Yang Kedua' Sejarah Melayu, ada dimuatkan 'perjanjian antara rakyat dan raja' yang antara lain mencatatkan:
"Maka sembah Demang Lebar Daun (kepada Sang Sapurba). "Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak."

Maka titah Sang Sapurba, "Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu, Tuanku?"

Maka titah Sang Sapurba, "Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah."

Maka titah Sang Sapurba. "Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu." Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.

Jikalau ada seorang raja memberi memberi aib seorang hamba Melayu, maka alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya."
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 13, 2018 06:32

November 9, 2018

Jangan lari... (16): Bersedia tangani bayaran persekolahan anak-anak

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
RENUNGAN
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)BELANJAWAN (Bajet) 2019 sudah dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Tahun 2018 juga akan melabuhkan tirainya, kini jendela 2019 hampir terbuka. Sesuai dengan tahun baru, tentulah ramai yang bersemangat baru. Kebanyakan daripada kita berharap melalui tahun baru dari sudut positif.

Walaupun demikian, ada beberapa peristiwa yang dialami menjelang tahun baru menunjukkan sesuatu yang negatif. Walau bagaimanapun cabaran tetap perlu dihadapi, jangan LARI daripada tanggungjawab.

Satu perkara yang kerap dikaitkan dengan tahun baru ialah permulaan sesi persekolahan. Berhubung perkara inilah banyak ibu bapa yang 'pening-pening lalat' bagi memenuhi keperluan anak-anak.

Perbelanjaan untuk menyekolahan anak-anak pada zaman ini bukannya murah. Sekarang tidak lagi sesuai untuk berkata: "Cikgu saya serahkan anak saya ini pada cikgu, pandai-pandailah cikgu buat apa-apa yang baik ke atasnya."

Sekarang 'penyerahan' dilakukan dengan wang ringgit. Sekalipun pihak berkuasa kerap menguar-uarkan yuran persekolahan sudah dimansuhkan hakikatnya banyak wang perlu dikeluarkan.

Bagi ibu bapa yang pertama kali menghantar anak ke sekolah, jangan terperanjat melihat pelbagai bayaran dan yuran yang perlu dibereskan.

Seseorang anak yang bersekolah rendah bukan saja menghadiri sesi pagi tetapi juga sesi petang (sekolah agama). Yuran untuk sekolah agama lain pula daripada sekolah pagi. Demikian juga pakaiannya, begnya dan juga bukunya.

Demikianlah betapa beratnya bebanan ibu bapa hari ini. Jika untuk seorang anak, terpaksa dibelanjakan RM300, hitunglah wang yang perlu disediakan untuk menyekolahkan lima orang anak, atau pun lapan orang anak. Jumlahnya tentulah membabitkan ribuan.

Ditambah dengan perkhabaran tambang bas sekolah yang akan dinaikkan, tentulah ibu bapa semakin pening. Dengan belanja harian (duit poket) anak-anak yang juga perlu dinaikkan sejajar dengan peningkatan usia mereka, tentulah ibu bapa semakin terpinar-pinar biji mata mereka.

Selepas termenung memikirkan belanja anak-anak, ibu bapa boleh merenung pula perbelanjaan yang membabitkan diri mereka pula. Jika yang terpaksa menggunakan lebuh raya, kadar tol lebuh raya mungkin dinaikkan. Demikian juga tambang bas.

Bagi yang menaiki pengangkutan awam lain, dengar khabar tambangnya juga akan dinaikkan. Demikian juga dengan tambang bas dan teksi. Semuanya mahu dinaikkan. 
Demikianlah betapa rakyat begitu tertekan dewasa ini. Malangnya mereka tidak bersuara. Mereka adalah golongan majoriti, kata orang putih 'the silent majority'. 
'The silent majority' inilah yang perlu disuntik semangat mereka untuk bangun menyuarakan ketidakpuasaan hati mereka terhadap pembahagian kekayaan negara yang tidak adil.

Jika negara (seperti Petronas) dikatakan mencatat keuntungan berbilion-bilion ringgit, kenapa tidak salurkan wang itu untuk membayar sebahagian yuran setiap murid di seluruh tanah air.

Misalnya, kenapa wang keuntungan berbilion-bilion ringgit firma berkepentingan kerajaan tidak boleh disalurkan untuk membayar yuran perpustakaan untuk semua murid.

Demikian juga kenapa kerajaan tidak boleh membayar yuran sukan dan yuran padang anak-anak sedangkan kerap dihebohkan negara mahu melahirkan atlit berwibawa?

Pada tahun baru, diharap-harapkan rakyat tidak lagi digula-gulakan dengan cerita keuntungan besar (berbilion-bilion ringgit) syarikat milik kerajaan melalui media massa tetapi hakikatnya kebanyakannya terpaksa mengikat perut untuk menunaikan tanggungjawab asas seperti menyekolahkan anak-anak.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 09, 2018 16:06

November 7, 2018

Cadangan diat untuk 'pembunuh' jalan raya...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
RENUNGAN
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)
BARU-BARU ini menjadi viral seorang wanita muda 'digelek' secara tragis oleh sebuah kereta di Cyberjaya. Tiga pemuda Arab dan seorang wanita tempatan ditahan...biarlah polis dan mahkamah menentukan nasib mereka.
Di sini penulis mengajak pembaca merenung sejenak satu cadangan mengurangkan kadar kemalangan...yalah sejak kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa, percambahan pemikiran digalakkan, jadi di sini dicoretkan salah satu cadangan itu. Ya, tak salah untuk kita fikir-fikirkan walaupun sejenak cuma...tidakkah begitu?
Malaysia adalah antara negara paling tinggi mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya di dunia. Kadar kematian dianggarkan 4-5 orang sehari bagi seluruh negara. Statistik menunjukkan angka kematian akibat kemalangan jalan raya secara putaranya 6,000 orang setiap tahun. 
Walaupun pelbagai program keselamatan jalan raya dijalankan, jumlah kemalangan terlalu tinggi. Kenapa ini berlaku dan kaedah apa boleh digunakan bagi mengurangkan kadar kemalangan seterusnya korban jalan raya?

Bagi merungkai persoalan ini, penulis membawa pembaca menghayati kelas pengajian agama (kuliah subuh) mingguan di sebuah masjid berhampiran kediaman penulis yang tuan gurunya membicarakan bab diat (pampasan) akibat daripada jenayah pembunuhan berdasarkan kitab Bahru Mazi syarahan Syeikh Idris Al-Marbawi (tokoh dari Lubuk Merbau, Kuala Kangsar ini satu-satunya ulama Nusantara yang mensyarahkan kitab hadis).

Hukum jenayah Islam terbahagi kepada hukum hudud, qisas dan ta’zir. Pada penulisan ini, penulis merujuk hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.

Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah ayat 45)

Sementara itu diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta yang paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta.

Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.

Pembunuhan separuh sengaja (seperti guru memukul murid dengan rotan, tiba-tiba budak itu mati), dikenakan diat 100 ekor unta manakala pembunuhan tidak sengaja (seperti seorang pemburu tertembak mati rakannya, dihukum membayar pampasan 100 ekor unta.

Hukuman bagi jenayah pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja adalah diat sahaja. Qisas tidak dikenakan.

Sementara itu diat jenayah kerana mencederakan anggota ada pelbagai kategori seperti 100 ekor unta untuk anggota tunggal seperti terputusnya lidah, hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh anggota badan dan hilang keupayaan bersetubuh.

Pampasan 50 ekor unta dikenakan untuk anggota berpasangan, jika kedua-duanya terlibat maka diatnya 100 unta. Ia melibatkan salah satu daripada kaki atau tangan, mata dan telinga. Demikianlah ada pampasan lebih rendah jika membabitkan kecederaan lebih ringan.

Apakah diat boleh dikenakan ke atas pesalah jalan raya yang membabitkan kemalangan?  Tuan Guru berkata, jika si pelanggar sengaja melakukannya; seperti dia sudah mengenal mangsa dan berhajat membunuhnya dengan melanggarnya bererti dia sudah melakukan satu pembunuhan, hukumannya adalah qisas bunuh. Dia akan dihukum mati, caranya dengan memancung kepalanya.

Kalau si pelanggar tadi, tidak sengaja (seboleh-bolehnya tidak mahu terbabit dalam kemalangan) tetapi nahas berlaku juga, dan mangsa dilanggarnya mati; bererti dia membunuh secara tidak sengaja. Apabila ini berlaku dia perlu membayar diat 100 ekor unta. 

Dan apabila si pelanggar tadi, mengakibatkan orang dilanggarnya cedera, dia boleh dikenakan membayar diat 100, 50 ekor unta dan seterusnya.

Demikianlah dalam Islam, hukumnya yang datang daripada Allah SWT adalah menyeluruh; menyentuh soal kematian dan kecederaan termasuk dalam kemalangan jalan raya. Apabila hukum qisas dan diat ini dilaksanakan termasuk di atas jalan raya, tentulah pengguna jalan raya gementar dan berhati-hati memandu.

Membayar pampasan 100 ekor unta bukan murah, kerana kata Tuan Guru jika ditaksirkan seekor unta berharga RM5,000 seekor, seseorang yang membunuh secara tidak sengaja termasuk dalam kemalangan jalan raya, perlu membayar RM500,000 (RM0.5 juta).

Kalau dia mencederakan orang, dan diperintah membayar pampasan 50 ekor unta, bermakna dia perlu mengeluarkan RM250,000. Itu kalau seorang dicederakannya, kalau lima orang dan lebih, tentunya jumlahnya mencecah jutaan ringgit.

Jika hukuman qisas dilaksanakan, kemungkinan besar pemandu mabuk tidak berani berada di jalanan (lagi pun mereka sudah dikenakan hukuman hudud) manakala orang awam akan menggunakan jalan raya secara paling sopan dan ini insya-Allah akan menyebabkan kadar kemalangan jalan raya berkurangan.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 07, 2018 15:29

November 2, 2018

Jangan lari... (15): Berusahalah 'meremajakan' masjid-masjid kita...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.Renungan"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)DI negeri saya sekarang ini sibuk dibuat pemilihan kepimpinan masjid; pada peringkat awal adalah pemilihan jawatan penting seperti pengerusi dan setiausaha manakala jawatan lain ditentukan kemudian.Apabila muncul kepimpinan baru, anggota masyarakat mengharapkan mereka dapat menjalankan amanah memakmurkan rumah Allah; jadi janganlah LARI daripada tanggungjawab berat ini.Jika selama ini jemaah masjid kerap disinonimkan dengan golongan 'tak berada muda' - ada yang menyebutnya sebagai KRU (kumpulan rambut umban) atau RTM (rehat tunggu mati) - kepimpinan baharu sangat-sangat diharapkan dapat menarik minat golongan muda yang sekarang ini dari sehari ke sehari terlalu taksub dengan gajet masing-masing sehingga ada kalanya ketika solat berjemaah terdengar nada irama telefon. Sungguh menjengkelkan!Tidak lama dulu penulis menghadiri ceramah seorang motivator yang bercakap berapi-api mengenai kepentingan 'meremajakan' masjid dan tanggungjawab diamanahkan kepada kepimpinannya. Beliau yang berceramah di sebuah masjid, bercakap berterus terang: "Kalau jawatankuasa masjid tidak tahu buat kerja, muka pun tak ada ketika solat jemaah, lebih baiklah letak jawatan. Janganlah gila pangkat dan kedudukan, bagilah pada orang yang boleh buat kerja."
Beliau meminta jemaah melihat sekeliling dan berkata: "Lihatlah muka yang datang ke masjid, asyik-asyik muka yang sama. Mana dia anak-anak muda kita? Tanyalah diri sendiri mengapa mereka tidak datang ke masjid?"

Katanya, AJK perlu menguruskan masjid dengan berkesan. Makmurkan masjid. Buat program-program yang dapat menarik minat anak-anak muda. Untuk tujuan ini, tentulah perlukan peruntukan kewangan yang banyak. Derma daripada tabung harian dan mingguan (Jumaat) masjid perlu dimanfaat sepenuhnya.

"Inilah masanya untuk kita gunakan wang derma orang ramai itu. Janganlah simpan wang banyak-banyak dalam bank, tak mahu keluarkan. Orang yang dermakan wang itu mahu melihat wang itu digunakan untuk manfaat orang ramai, ini simpan dalam bank banyak-banyak buat apa?" tanyanya.

Beliau membidas AJK masjid yang gemar berbincang mengenai apa makanan yang hendak disediakan selepas majlis ceramah dan sebagainya tetapi tidak pula membahaskan dan menjayakan program apa yang sesuai bagi memakmurkan masjid terutama bagi menarik generasi muda.

Katanya, pemuda-pemudi sudah tahu aktiviti yang berlangsung di masjid seperti kelas pengajian, majlis marhaban (ketika sambutan Maulidur Rasul), bacaan Surah Yassin pada malam Jumaat, jadi mereka tidak tertarik untuk datang kerana majlis-majlis seumpama itu pada fikiran mereka hanya sesuai untuk orang tua.

“Cuba buat kelainan, buatlah sesuatu yang dapat memikat mereka,” katanya. Penulis teringat ada pengurusan beberapa masjid sudah menjayakan projek seperti membina gelanggang sepak takraw di tepi masjid. Apabila azan, budak-budak berhenti bermain dan diajak untuk solat berjemaah. Ada pengurusan masjid sudah memajukan kelas komputer, golongan muda dapat dibimbing meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat.

Demikianlah banyak program dapat dimajukan di masjid sebagai pendekatan menarik sebanyak mungkin anggota masyarakat ke rumah Allah itu, tidak kira daripada golongan veteran, wanita, muda-mudi dan juga kanak-kanak.

Bagaimanapun sebahagian besar harapan orang ramai tidak tercapai kerana realitinya kebanyakan pengurusan masjid dimonopoli golongan tertentu yang ada kepentingan. Mereka berada di kedudukan berkenaan bukan dilantik oleh ahli kariah tetapi dipilih pihak berkuasa.

Apabila ini berlaku (pelantikan orang yang tidak mencintai rumah Allah), berlakulah kelemahan pengurusan masjid. Jika solat waktu pun AJK jarang hadir, bagaimana mereka boleh mengaktifkan masjid?

Selain kelemahan pengurusan, mereka yang mentadbir masjid dan surau juga perlu memperhalusi kaedah mendapatkan derma daripada orang ramai. Ini agar pendapatan yang diperolehi, walaupun daripada derma orang ramai, hendaklah bersih sebersihnya, jauh daripada unsur syubahat.

Seorang ustaz dalam kuliahnya mengingatkan akan hukum mengedarkan  tabung infak beroda ketika khutbah Jumaat malah di sesetengah masjid ada petugas berjalan mengutip derma seperti yang lazimnya dilakukan di masjid-masjid di tanah air.

Katanya, situasi terbaik ketika imam menyampaikan khutbah Jumaat adalah jemaah diam dan mendengarkan dengan saksama. Tidak boleh melakukan hal-hal yang dapat memalingkan konsentrasi daripada mendengarkan khutbah agar jemaah dapat mengambil manfaat daripada khutbah. Jangan dia berbicara kepada kawannya atau melakukan perbuatan yang boleh mengganggu daripada mendengarkan dan memperhatikan khutbah. 

Realiti berbeza sering ditemukan di kebanyakan masjid, tabung atau peti amal diedarkan ketika imam naik mimbar dan khutbah sedang berlangsung. Ini adalah kesalahan besar, kerana mengganggu kekhusyukan dalam mendengarkan khutbah.

Di sebagian masjid, tabung amal diedarkan oleh petugas. Dia berdiri ketika khutbah untuk menjalankan kotak amal kepada jemaah saf demi saf. Maka dia telah melakukan kesalahan besar, tapi merasa telah berbuat kebaikan. 

Dalam hal ini, kesalahan bukan hanya dilakukan oleh petugas tadi. Orang yang berinfak juga melakukan kesalahan, kerana melakukan kegiatan yang menyibukkan daripada memperhatikan khutbah. Dia memasukkan tangannya ke saku, mengeluarkan wang, dan memasukkannya ke tabung amal. Ini adalah perbuatan sia-sia yang dilarang pada ketika imam berkhutbah.

Barangsiapa yang ingin berinfak, hendaknya melakukannya sebelum dimulainya khutbah Jumaat atau sesudah pelaksanaan solat. Imam Muslim meriwayatkan dalam shahihnya, dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, bermaksud: "Barangsiapa mengusap-usap kerikil (mata tasbih), maka ia telah melakukan yang sia-sia."

Jika sekadar mengusap-ngusap kerikil atau permaidani saja dinilai sia-sia, lalu bagaimana dengan orang yang berdiri mengedarkan tabung infak atau sibuk memindahkan atau menjalankannya ke sampingnya?

Lalu bagaimana juga dengan situasi orang yang sibuk mengambil wang di sakunya, mengeluarkannya, lalu memasukkan ke tabung amal? Tentu jauh lebih dianggap sia-sia. (Syaikh Wahid Abdul Salam Bali dalam Al Kalimaat al Naafi'ah fi Akhtha' al Sya-i'ah - diterjemahkan dengan 474 Kesalahan Umum dalam akidah dan ibadah beserta koreksinya - halaman 349)

Jadi, mengedar tabung derma pada saat solat Jumaat pada ketika imam berkhutbah hukumnya tidak boleh, kerana mengganggu seseorang daripada mendengarkan dan memperhatikan khutbah. Akibatnya, orang yang melakukan kesalahan ini akan kehilangan keutamaan solat Jumaat. Ibadah Jumaatnya seperti melaksanakan solat Zuhur. 

Sebagai gantinya, peti derma boleh diletakkan dekat setiap pintu sehingga setiap orang yang ingin bersedekah boleh memanfaatkannya, baik sebelum khutbah dimulai atau sesudah solat.

Demikianlah wang sedekah pun perlu diperolehi sebersih-bersihnya agar masjid dapat sentiasa dimakmurkan. Wang masjid adalah untuk digunakan untuk kepentingan umum termasuk 'meremajakan' masjid, bukan dihimpun dalam bank! 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 02, 2018 03:13

October 31, 2018

Malaysia Baharu dambakan kerajaan, rakyat penjimat...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 
RENUNGAN
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)
ALHAMDULILLAH, baru-baru ini ketika ke sebuah masjid saya diberi akhbar MelakaKini keluaran 12-18 Oktober 2018. Akhbar suara kerajaan negeri Hang Tuah kini diterbitkan secara mingguan dan bukan harian seperti sebelum ini.
Jelas tercatat di muka depan akhbar itu perkataan PERCUMA. Dulu ketika rejim lama (Umno-BN) akhbar ini dengan nama Melaka Hari ini (MHI) juga diberikan percuma di premis awam seperti masjid dan sekolah tetapi diletakkan tanda harga RM1.50. Persoalannya siapa yang membayar kos akhbar ini untuk diletakkan secara percuma di premis awam?
Sumber memberitahu pembelian akhbar ini dibiayai daripada duit awam. Bermula Isnin hingga Jumaat akhbar ini dicetak sebanyak 3,000 naskhah setiap hari. Ini bermakna RM4,500 boleh dikutip sehari jika akhbar ini laku semuanya di pasaran. Malangnya akhbar propaganda ini tidak mendapat sambutan di pasaran bebas; jadi banyak naskhah dihantar secara percuma ke premis awam dan amat malang sekali jika duit awam digunakan untuk tujuan itu.
Demikianlah sungguh menyedihkan jika duit awam digunakan sewenang-wenangnya oleh pemimpin dan kerajaan untuk 'berlagak' - mempamerkan apa didakwa kekayaan dan meraih kemasyhuran. Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari kerajaan Umno-BN mewariskan hutang RM1.8 bilion.
Pemimpin rejim lama hidup berlagak - rumah macam istana, hinggakan bil elektrik kediaman KM lama mencecah RM47,000 sebulan. Adly berkata Hutang Awam Melaka RM850 juta, Hutang Defisit RM600 juta dan Hutang Pendahuluan RM350 juta menjadikannya RM1.8 bilion.
Kini Kerajaan Malaysia Baharu (di sini kerajaan Pakatan Harapan Melaka) dalam usaha menjimatkan wang awam mengambil pendekatan menerbitan akhbar MelakaKini secara mingguan. Menurut sumber akhbar ini cetak 30,000 naskhah pada setiap minggu dan tidak lagi berselindung kononnya menyatakan ia berharga sekian dan sekian sebaliknya menyatakan terus terang bahawa ia akhbar PERCUMA sama seperti akhbar Selangor Kini.
Selain bertindak menjimatkan wang awam, usaha ini satu pendekatan mempamerkan ketelusan. Dua elemen ini tersangat penting yang perlu menjadi amalan kerajaan Harapan yang insya-Allah akan diikuti rakyat. Pemborosan dan pembaziran sudah sinonim dengan kerajaan lama; rakyat sudah muak lantas menolak komponen Umno BN ke jurang kehinaan.
Dulu laporan demi laporan Ketua Audit Negara saban tahun yang mendedahkan pelbagai kelemahan termasuk pemborosan dan pembaziran wang rakyat oleh pemimpin (kerajaan) tak diambil 'pot'; natijahnya berlakulah kehancuran pemimpin dan rejim lama itu.
Misalnya, dulu sesetengah pemimpin setakat ketawa apabila didedahkan sebuah jam dinding RM100 dibeli dengan harga RM3,810 manakala sebuah teropong visi malam pada harga pasaran RM1,940 dibeli dengan harga RM56,350! 
Hanya segelintir pihak dan individu yang peduli; yang lain berkata "apa hendak dirisaukan, itu bukan duit saya dan saya tidak ada kena mengena dengannya." Demikianlah manusia, jika tiada petunjuk dan undang-undang daripada Yang Maha Berkuasa, mereka pula 'berlagak bagaikan Tuhan.' Mereka beramal 'ikut suka aku' (nafsu). Segala serakah nafsu itu hanya boleh ditundukkan dengan undang-undang-Nya. Namun itu tiada di negara ini kerana majoriti pemimpinnya bertuhankan nafsu! 
Selagi pemimpin berciri ini berkuasa, usah bermimpilah kita untuk menemui 'seorang Umar Abdul Aziz' (perkara ini kerap disebut Lim Guan Eng yang kini menjadi Menteri Kewangan). Umar cukup takut menggunakan harta kerajaan tidak pada tempatnya sehinggakan pelita dinyalakan anaknya untuk suatu urusan peribadi dipadamkannya kerana takut menyalahgunakan harta awam.
Tetapi, majoriti pemimpin hari ini tiada kualiti itu iaitu ciri orang beriman yang apabila melakukan sesuatu kesalahan kecil melihatnya bagaikan gunung yang mahu menghempap mereka. Mereka bukan saja tidak melihat ancaman itu bahkan tidak berasa bersalah pun! 
Jadi apa yang boleh mengajar manusia termasuk pemimpin? Cendekiawan Islam seperti Sayyid Abul A'la Maududi menegaskan tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya (rakyat) tidak bertakwa dan amanah. 
Namun hari ini kita dapat saksikan betapa longgarnya pemimpin dari segi akhlak. Amalan rasuah, salah guna kuasa, boros, cakap tak serupa bikin, aneka jenayah dan maksiat semakin menjadi-jadi. Perilaku buruk ini menjadi ikutan rakyat; peribahasa Melayu ada menyebutkan bagaimana acuan begitulah kuihnya ataupun bapa borek anak rintik. 
Ya kita sekarang ini mahu memberhentikan salah laku penyelewengan dan ketidaktelusan seperti  didedahkan saban tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara. Kita percaya kerajaan HARAPAN dan pemimpinnya mampu melakukannya; insya-Allah jika pemimpin dan kerajaan menunjukkan teladan, insya-Allah rakyat akan mengikutinya. Inilah yang didambakan Malaysia Baharu!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 31, 2018 07:38

October 30, 2018

Jangan lari... (14): Kecil dalam pelukan ibu, sudah besar dalam lindungan siapa?

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.Renungan"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (Surah Al-Isra, ayat 44) ALHAMDULILLAH selepas pencen saya dapat 'mencuri' banyak masa mendekati  dan cuba memahami alam...baru-baru ini terpaku saya selama lima minit memerhati gelagat seekor ibu ayam yang 'memayungi' jira-kira 10 ekor anaknya yang agak saya baru menetas.Kira-kira dua meter dari situ, saya perhatikan seekor kucing hitam yang sederhana besarnya mengendap ibu dan anak-anak ayam itu. Mata si hitam tajam dan posisi tubuhnya dalam keadaan bersedia menerkam si anak ayam.Alangkah takjubnya ketika kucing itu baru saja menggerakkan badannya, si ibu ayam sudah terlebih dulu terbang menyerangnya. Garang sungguh ayam betina itu, seluruh anggota kepaknya mengembang manakala paruhnya bergerak 'macam roket' ke mata kucing manakala kakinya sedia mencengkam tubuh musuh.Pergerakan tangkas si ibu ayam menyebabkan si hitam mengelak; melompat menyelamatkan diri. Namun ia tetap tidak berputus asa, masih mengawasi si ibu ayam dan anak-anaknya. Si hitam bersedia menyerang lagi...agaknya mulutnya terkecur menikmati daging lembut si anak ayam! Ya, amat-amatilah si ibu ayam tidak akan sesekali LARI daripada 'tugas dan amanah' menjaga dan membesarkan anak-anak.Amat hebat si ibu ayam - 10 ekor anak boleh dipayunginya...semuanya bergerak dalam keadaan selamat di bawah kepak sang ibu. Demikianlah Allah SWT meletakkan kasih si ibu ayam kepada anak-anaknya - ia rela mati demi anak-anak tercinta...persoalannya adakah anak-anak ayam mengenang jasa sang ibu apabila mereka besar nanti terutama yang menjadi 'bapak ayam'!Jika si ibu ayam begitu hebat sekali sayangnya kepada anak-anak, ibu manusia tentu lagi. Seorang anak terutama yang kecil berasa selamat dalam dukungan, pelukan atau dakapan ibunya. Bayi menangis nakkan ibunya, budak-budak pun nak masuk dalam pelukan sang ibu malah seseorang dah besar panjang pun nakkan ibunya. Pendeknya, anak rasa selamat dalam pelukan ibu. Tiada kekhuatiran bagi  si anak jika dalam pelukan ibu.Ada ulama mengumpamakan sang ibu sebagai keramat hidup...ya syurga seorang anak terletak di kakinya; kedudukan ibu bagi seorang anak adalah tiga kali ganda daripada seorang bapa manakala doanya untuk anak-anak amat mustajab; insya-Allah tidak akan ditolak oleh Allah SWT.Kata-kata hikmah Melayu ada menyebut 'masa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang' - benar semakin tua diri semakin hebat pancaroba kita hadapi, jadi bagaimana seseorang itu boleh berasa selamat sama seperti ketika kita kecil dalam pelukan ibu dulu?Baru-baru ini saya ada mendengar ceramah motivasi yang hebat oleh seorang ustaz. Katanya, sentiasalah berasakan kita berada dalam 'pelukan' (perlindungan) Sang Pencipta kita (Allah SWT). Jika kita berasa aman dalam pelukan sang ibu apa lagi nak diungkapkan jika kita berada dalam 'pelukan' Allah SWT, Pencipta kita Yang Maha Agung, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pelindung dan sebagainya. Katanya, rasa sayang dan bertanggungjawab ibu kepada anak-anak yang Allah campakkan di kalangan makhluknya seperti ayam seperti dinukilkan di atas atau manusia (ibu) yang mempunyai rahim bagi mengandungkan anak, hanyalah sekelumit daripada Pemurah dan Penyayangnya Allah SWT...ada ulama menyatakan ia hanya 1 (satu) peratus; 99 peratus disimpan oleh Yang Maha Kuasa.Persoalannya sekarang bagaimana kita hendak berasa sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT atau benar-benar berada dalam naungan-Nya. Itulah kata sang ustaz, rajin-rajinlah tuntut ilmu. Ilmulah yang menyuluh jalan ke arah itu.Apabila sudah berada dalam 'pelukan' Allah SWT apa lagi hendak dibimbangkan dengan dunia ini. Jika bayi atau budak kecil boleh damai dalam pelukan ibunya, apa yang lebih besar atau hebat daripada anugerah perlindungan daripada Yang Maha Berkuasa, Pencipta kita?

Ingatlah akan 7 (tujuh) golongan manusia yang akan mendapat naungan (perlindungan) Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Usahakan untuk menjadi pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh di atas kebiasaan ibadah kepada Rabbnya, lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah sehingga mereka tidak bertemu dan tidak juga berpisah kecuali kerana Allah, lelaki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik lalu dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah’, orang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya dan orang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendiri hingga kedua-dua matanya basah menangis takutkan Allah. (HR. Al-Bukhari nombor 620 dan Muslim nombor 1712)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 30, 2018 07:47

October 25, 2018

Mengusahakan kebarakahan untuk KL, Malaysia...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
ALHAMDULILLAH sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa Mei lalu, media massa arus perdana Malaysia yang selama ini 'dikongkong kejap' rejim lama, mulai menunjukkan perubahan positif.
Percambahan pemikiran diharapkan membawa perubahan dalam masyarakat Malaysia Baharu - pemimpin dan rakyatnya perlu berjiwa besar, tidak lagi dikongkong di bawah tempurung rejim lama yang merasakan dia saja betul lantas tidak memberi sekelumit peluang pihak berlainan pandangan mengutarakan pandangan mereka.
Ya, pada keluaran kali ini, saya mengajak pembaca berfikir sejenak ke satu sisi yang mungkin tidak dipersetujui sesetengah khalayak. Hal ini difikirkan selepas ada yang bertanya adakah kemungkinan negara kita dan khasnya ibu kota yang kita sayangi KL menghadapi bencana alam besar-besaran seperti yang menimpa negara jiran, Indonesia.
Kita berdoa agar Yang Maha Kuasa menjauhi kita daripada bahana itu tetapi hal itu tidak cukup jika kita berterusan membiarkan anggota masyarakat kita berterusan melakukan perbuatan mungkar yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Apabila Yang Maha Kuasa murka, yang baik dan jahat turut menerima akibatnya.
Ada hadis dan huraian bijak pandai mengenai hal ini. Andaikan jika kita menaiki sebuah kapal, penumpang di dek bawah apabila berkehendakkan air menebuk kapal itu tetapi tiada yang melarang termasuk mereka di atas, akibatnya semua orang dalam kapal itu akan 'binasa'.
Demikianlah kita mengundang bala daripada Yang Maha Kuasa apabila  berani menganjurkan pesta larangan-Nya seperti parti arak. Melanggar perintah Allah SWT menyegerakan kehancuran walaupun pada hakikatnya semua 'benda baharu' (manusia, tamadun dan semua yang ada di alam ini) akan musnah jua akhirnya.
Tidak lama dulu ketika menghadiri satu majlis ilmu di masjid yang pengajarnya membicarakan kitab 'Hikam', terpegun saya apabila Tuan Guru bersyarah, menyatakan tiada sesuatu yang baharu boleh kekal, semuanya akan musnah. Perkara baru dimaksudkan di sini adalah alam ini (selain daripada Allah SWT). 
Tersentak saya apabila Tuan Guru berkata, orang berakal tidak melihat pada apa-apa yang bersifat kebendaan, semuanya tidak kekal, semuanya akan hancur, semuanya akan musnah. Hanya orang tidak berakal yang menyanjung kehebatan kebendaan, memikirkannya tidak akan musnah, mahukan ia kekal dan terus kekal. 

Orang berakal akan berfikir bukan saja apa-apa yang hebat itu seperti kota Kuala Lumpur, malah New York, London atau Istanbul, semuanya akan musnah. Kejahatan sesetengah rejim sudah memusnahkan kota Baghdad, Kabul dan Baitulmaqdis.
Sebagai 'makhluk baharu' diri kita sendiri akan musnah, jadi apa nak dihairankan sangat jika Kuala Lumpur musnah atau hancur lebur. Bukti sudah ada depan mata, tetapi kita buat-buat tak pandang dan tak ingat. Bukankah sikit masa dulu, Banda Aceh musnah, dihancurkan oleh tsunami yang melanda ganas, menyebabkan hampir 200,000 orang mati? Bangunan yang hebat-hebat di Aceh runtuh, mayat-mayat bergelimpangan. Sekarang ini gempa dan tsunami menghancurkan bandar lain di Indonesia seperti Palu di Sulawesi.

Jika Banda Aceh yang terletak di seberang Selat Melaka boleh musnah secara mengejut, Allah boleh melakukan apa saja termasuk terhadap Kuala Lumpur dan Malaysia. Kepada-Nya kita berserah diri, usah asyik mengejar kebendaan yang pasti musnah suatu hari nanti. Hari kiamat juga akan menyusul, memusnahkan segala-galanya. 

Dalam al-Quran pun ada kisah kaum-kaum hebat, yang membina bangunan dan tamadun tinggi tetapi musnah akhirnya. Kaum Tsamud begitu hebat, mengukir bangunan dalam batu akhirnya lebur juga. Demikian juga kerajaan Sabak di Yaman, begitu hebat projek pembangunannya termasuk membina empangan Ma'rib yang masyhur itu, akhirnya musnah. 

Firaun dan Haman yang mendakwa diri hebat itu akhirnya musnah juga. Demikian juga Qarun, Abu Jahal dan sebagainya. Dunia akan hancur, apa nak dihairankan, kata Tuan Guru. Semua barang berharga atau tidak berharga, akan hancur, akan rosak. 

Orang ada akal, kata Tuan Guru akan mengejar akhirat. Ini kerana semua yang ada di dunia akan rosak. Semua kehebatan dunia akan hancur. Bangunan akan hancur, Mercedes yang kita sayangi akan binasa, tiada apa yang akan tinggal. 

Orang yang sempurna akal, kata Tuan Guru tidak menganggap dirinya warga dunia. Dia rindu menjadi warga akhirat. Dia siapkan dirinya untuk menjadi warga akhirat. Orang paling rugi dan tak berakal adalah yang tidak menyiapkan bekalannya ke akhirat, asyik dan gila dengan kelazatan dunia yang akan musnah. 

Jika kita meneliti kehancuran kaum Tsamud dan kerajaan Sabak, kedua-duanya dimusnahkan disebabkan kedurhakaan penduduknya kepada Allah SWT. Kemajuan dan kehebatan mereka dalam urusan dunia seperti membina bangunan dan empangan menyebabkan penduduknya lupa akan kebesaran Allah SWT. 

Kuala Lumpur malah Malaysia mengundang kemusnahkan jika kehidupan penduduknya tiada kebarakahan. Maksiat menjadi-menjadi, penyelewengan sudah sebati manakala pemimpinnya bagaikan serigala, mencari saat mencengkam golongan miskin. Saat kehancuran akan tiba jika rasuah dan riba dianggap urusan halal seperti berjual beli. 

Semakin hari, gejala moral semakin teruk di tanah air tercinta. Sudah banyak kes luar biasa seperti ibu bunuh anak, anak bunuh ibu bapa tetapi pemimpin dan rakyat terus hanyut dalam aneka kemewahan dan hiburan yang melalaikan. Sewajarnya kes luar biasa ini dijadikan iktibar, mencetuskan rasa bimbang dan cemas di hati, apa agaknya dosa-dosa dan kesalahan kita sehingga negara dilanda suasana begitu teruk sekali. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 25, 2018 20:44

October 21, 2018

Jangan lari... (13): Syukurlah, dapat berbasikal 56 km pada usia 56 tahun

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23SELEPAS bermalam di stesen minyak Petronas, subuh itu saya solat berjemaah di sebuah masjid berhampiran. Usai solat, saya mencapai basikal tua saya, lantas bermulalah kembali kembara ke utara.Udara pagi sungguh menyegarkan, sambil menggayuh saya berzikir, berdoa dalam hati semoga Allah SWT mempermudahkan perjalanan saya; menjauhkan  segala bahaya daripada insan kerdil ini.Sungguh indah pemandangan; kelihatan kehijauan pemandangan kampung, kebun dan ladang sepanjang perjalanan. Alhamdulillah, kayuhan tidak mencabar kerana kebanyakan kawasan tanah rata namun biasalah ada kawasan berbukit dan detik paling mengerah tenaga adalah mengayuh mendaki sebuah jambatan berjejambat yang merentangi landasan kereta api.Namun menuruninya sungguh menyeronokkan, basikal dapat bergerak tanpa dikayuh mungkin 500 meter jauhnya. Di kejauhan kelihatan Gunung Tampin yang menghijau, ia merupakan mercu tertinggi Banjaran Titiwangsa di bahagian paling selatan. Selepas jambatan itu, perjalanan adalah di tanah rata sehinggalah sampai di Simpang Kendong yang terletak di sempadan Melaka-Negeri Sembilan.Alhamdulillah, akhirnya saya telah memasuki Negeri Adat Pepatih - ini 'suatu pencapaian hebat' - eelah...apalah nak dibangga sangat memasuki Negeri Sembilan, mungkin saya telah 'melakukannya' ratusan malah ribuan kali tetapi semuanya adalah dengan cara menunggang motosikal, memandu kereta atau menaiki bas dan kereta api tetapi kali ini buat pertama kali dalam hidup saya menunggang basikal di Negeri Sembilan!Namun kegembiraan saya tak lama - hujan rintik-rintik yang bermula di sempadan Melaka-Negeri Sembilan bertukar 'keras' dan akhirnya begitu lebat menyebabkan saya tergesa-gesa mencari tempat perlindungan. Alhamdulillah, 'sasaran' saya tepat - saya 'tersadai' di sebuah kedai kopi - apa lagi bersarapanlah saya dengan 'tenang dan damai' bagi menunggu hujan teduh.Maka 'melepaklah' saya menikmati nasi lemak dengan air kopi panas berasap; sambil itu membaca bahan-bahan yang dibawa. Memang ketika kembara, saya membawa sejumlah bahan bacaan, jadi detik menunggu hujan teduh dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Dah tua ini ada kalanya saya manfaatkan masa lapang dengan berzikir...yalah saya masih ingat pesanan beberapa orang ustaz...kalau kita tak berzikir kita macam monyet; tak berwirid tak dapatlah 'warid' (nur, cahaya).Sejam kemudian, hujan berhenti...dapatlah saya sambung 'journey'. Sungguh segar udara selepas hujan itu. Saya pun terus mengayuh dan mengayuh sehingga sampai ke pekan Kota. Jam menunjukkan 9 pagi...kebiasaannya ketika di rumah pada waktu ini saya solat dhuha, jadi saya pun mencari surau atau masjid untuk 'landing'. Namun sebelum itu sempat juga saya beli senaskhah akhbar di pekan Kota untuk dibaca ketika 'kesepian' dalam perjalanan.Saya membersihkan diri, solat dan berehat di sebuah surau di pinggir pekan Kota, kemudian meneruskan perjalanan. Banyak kampung saya lepasi...di satu persimpangan ada papan tanda jalan menuju Gunung Datok yang terkenal di Rembau. Lama dulu saya pernah cuba mendaki gunung ini tetapi taklah sampai ke puncak. Juga dilepasi adalah kedai Zol Tolo; terkenal kerana jualan telur berharga murah.Saya terus mengayuh dan mengayuh; panas mentari mula membakar diri. Beberapa kilometer sebelum sampai pekan Rembau jalan melalui kawasan berbukit...saya tak larat mengayuh, jadi saya menolak basikal sampai ke puncak. Kemudian dengan 'happy' saya menaiki basikal untuk perjalanan menurun...ertinya saya tak perlu mengayuh tetapi nak dijadikan cerita, tiba-tiba saya terdengar roda belakang basikal saya berbunyi keng...keng...keng. Mula-mula perlahan tetapi makin lama makin kuat. Akhirnya saya turun...ya Allah basikal tu dah pancit!Apa pilihan yang ada...saya tolaklah basikal itu. Maka berpeluh-peluhlah menolaknya sekilometer dua sehingga sampai di sebuah gerai. Saya singgah untuk menghilangkan penat dan makan tengah hari. Saya bertanya si penjual; adakah kedai basikal berhampiran dan berapa jauh tempat itu ke pekan Rembau. Dia menjawab tiada kedai basikal dan pekan Rembau lima kilometer dari situ.Fikir-fikir punya fikir...akhirnya saya membuat keputusan nekad menjual basikal itu dengan harga RM20 saja. Mereka yang berada di tempat itu kehairanan tetapi syukurlah akhirnya seorang peniaga sanggup membelinya. Ketika menyerah duit, dia menambah RM5 lagi...mungkin dia kesian kat saya. Akhirnya berpisahlah saya dengan basikal kesayangan itu yang telah puas saya pakai lebih lima tahun.Saya pun menapak menuju sebuah perhentian bas berhampiran, apabila berpaling untuk melihat basikal tua saya buat kali terakhir, saya terpandang papan tanda jalan besar di seberang jalan. Antara ditulis di papan tanda itu...Melaka 55 kilometer. Ini bermakna saya telah berbasikal sejauh 55 kilometer dan ditambah satu dua kilometer dari rumah saya ke bandar Melaka; saya sudah mengembara lebih kurang 56 kilometer...alhamdulillah dalam usia 56 tahun saya dapat berbasikal 56 kilometer...demikianlah niat saya untuk merasai apa dirasakan oleh mereka yang berbasikal ke Makkah yang jaraknya lebih 10,000 kilometer dari sini tamat pada jarak 56 kilometer saja. Mungkin pada masa depan, kembara berbasikal saya akan lebih jauh lagi...harap-harap ratusan atau ribuan kilometer, insya-Allah!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 21, 2018 17:42

October 19, 2018

Suu Kyi kini tak lagi 'suci'...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

MYANMAR (Burma) adalah anggota Asean ke-10 (terakhir). Sekarang ini jika kita teliti gambar-gambar pemimpin negara Asean, terlihatlah  Aung San Suu Kyi yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mereka. Suu Kyi (dibunyikan Suci) kini tokoh paling berkuasa di Myanmar tetapi perlu diketahui beliau bukan presiden atau perdana menteri negara itu!
Sekalipun parti pimpinannya, Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) menang besar pada pilihan raya umum lalu, mengikut perlembagaan Myanmar, Suu Kyi iaitu anak tokoh kemerdekaan, Aung San, tidak layak menjadi presiden kerana dia berkahwin dengan seorang warga Inggeris, Michael Aris (kini mendiang) malah pernah lama tinggal di luar negara dengan anak-anaknya adalah warga British.
Selepas pilihan raya, Suu Kyi di ambang menjadi Presiden baru Myanmar tetapi pihak tentera pimpinan Jeneral (ketika itu Presiden) Thein Sein dengan keras merujuk satu fasal dalam perlembagaan (Bab 3, nombor 59 (f) yang menghalang beliau berbuat demikian.
Sekalipun terhalang, Suu Kyi tetap menjadi tokoh paling berkuasa di Myanmar dengan dirinya dilihat sebaris dengan pemimpin-pemimpin Asean yang lain. Sekalipun partinya (NLD) melantik Htin Kyaw, 69, sebagai Presiden, Suu Kyi menyatakan: "Hal ini tidak menghalang saya daripada membuat semua keputusan sebagai ketua parti yang memperolehi kemenangan!" Hakikatnya dia adalah pemimpin tertinggi (paling berkuasa) dengan gelaran 'State Counsellor' (Konselor Negara).
Sekalipun muncul pemimpin paling berkuasa di Myanmar, Suu Kyi kini dipandang 'sinis' oleh masyarakat antarabangsa. Dulu sebelum berkuasa, beliau terkenal  pejuang kemanusiaan dan keadilan sehingga dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan tetapi hari ini dunia mengecam beliau kerana sikap tidak pedulinya berhubung kezaliman ke atas golongan minoriti Rohingya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad lantang menyatakan Malaysia tidak lagi menyokong Suu Kyi. Beliau mendakwa Suu Kyi sudah menjadi 'a changed person' (seseorang yang sudah berubah; tidak 'suci' lagi) kerana sejak menjadi pemimpin Myanmar, beliau membisu seribu bahasa berhubung kezaliman rejim negaranya ke atas orang Rohingya.
Benar Suu Kyi kini selepas berkuasa 'tak semurni lagi' berbanding semasa beliau 'merempat' tiada kuasa. Sejumlah negara luar menyedari hal ini, beberapa hari lalu Kanada melucutkan kewarganegaraan kehormat kepada beliau. Suu Kyi yang dulunya bercakap berapi-api mengenai keadilan sekarang ini apabila sudah berkuasa 'cakapnya tidak serupa bikin'.
Akibat dizalimi di tanah air sendiri (Rakhine, dulunya Arakan) jumlah pelarian Rohingya sentiasa meningkat, sehingga lebih 1.3 juta orang keluar dari kampung halaman yang diporak-perandakan tentera rejim Myanmar malah oleh penduduk bukan Muslim.  Mereka terpaksa mendapatkan perlindungan di negara lain terutama jiran terdekat Bangladesh malah ada yang 'ditolak' ke laut sehingga hanyut ke Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Perkembangan ini langsung tidak memberi kesan kepada kerajaan Myanmar diterajui Suu Kyi walaupun hampir seluruh dunia mengecam krisis kemanusiaan paling teruk itu.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) memaklumkan situasi di Rakhine masih teruk bagi orang Rohingya menyebabkan ribuan pelarian terus memasuki Bangladesh bagi mendapatkan perlindungan dan keselamatan.
Ya, Suu Kyi tidak lagi 'suci' selepas mendapat kuasa, di tanah air kita berdoa dan berharap tidak ada pemimpin seperti ini - mereka bagaikan kacang lupakan kulit atau lebih teruk lagi menepati peribahasa 'harapkan pegar, pegar makan padi'!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 19, 2018 07:56

Roslan Hamid's Blog

Roslan Hamid
Roslan Hamid isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Hamid's blog with rss.