Hilal Asyraf's Blog, page 12
February 20, 2018
Motivasi: Dihina Senyum, Diumpat Juga Masih Tersenyum
Selagi kita masih berkomunikasi sesama manusia, kita tidak boleh lari daripada menerima ujian. Ujian itu boleh jadi seperti kita diumpat, dikutuk mahupun direndah-rendahkan maruah dikhalayak.
Hati siapa yang boleh menahan sabar dan menelan kepahitan ujian sebegitu rupa? Sedang kita berusaha menjadi orang yang baik pun tetap diperkatakan begitu dan begini.
Realiti Hari Ini
Kita buat baik juga kadangkala dikatakan menunjuk-nunjuk. Kita beramal juga kadangkala diperkatakan tidak ikhlas. Malah, kita berdiam diri pun boleh dikata sombong dan mementingkan diri.
Berapa ramai yang menggunakan media sosial sebagai medium menyampaikan kebaikan, akhirnya dikata hanya pandai menulis sahaja. Kita mengajak orang lain berbuat kebaikan, difitnah sengaja hendak membina pengaruh dan bermacam-macam lagi.
Kata Imam Shafi’e ;
“Aku mampu berhujah dengan 10 orang bijak pandai, tapi tidak dengan seorang yang jahil.”
Justeru, apa pilihan yang kita ada? Terus berbuat baik atau lupakan sahaja niat itu?
Teruslah Berbuat Kebaikan
Dahulu, ketika Rasulullah SAW sedang bersusah-payah menyampaikan risalah Islam yang kita banggakan hari ini, terlalu banyak cercaan yang baginda terima. Masih ingat ketika dakwah baginda di Madinah?
Berhadapan dengan cuaca panas yang terik, lebih memeritkan apabila baginda dikutuk sebagai seorang yang membawa ajaran sesat dan mengarut.
Rasulullah SAW membalas dengan sepotong doa dalam penuh sabar dan optimis. Berkata baginda kepada Jibril,
” Mereka melakukan itu kerana mereka belum tahu. Mungkin hari ini mereka menolak ajaranku, tapi aku berharap anak cucu mereka di kemudian hari akan menjadi penyebar risalahku.”
Begitu juga dalam sebuah kisah seorang buta yang sentiasa mengutuk dan mencaci Rasulullah SAW,
“Muhammad itu gila!”
“Muhammad itu gila!”
Dalam masa baginda diperkatakan sebegitu, baginda tetap ikhlas dan tetap menyuap si buta itu dengan makanan saban hari, sehinggalah wafatnya baginda.
Akhirnya, berkat kesabaran Rasulullah SAW, hatinya menjadi lembut tatkala tangan Abu Bakar yang menggantikan rutin baginda dirasakan bukanlah tangan yang selalu menyuapnya. Kebaikan itu dibalas dengan orang buta itu memeluk islam.
Solusi : Sabar Dan Teruslah Berbuat Kebaikan.
Dalam menjadi hamba Allah dan meyakini akan janji-janjiNya, kesabaran seperti mana Rasulullah SAW telah tunjukkan kepada kita adalah sebaik-baik solusi.
“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Anfaal:46)
Orang yang tinggi sabarnya, walau dicaci dan dihina sekalipun, bibirnya tetap menguntum senyum.
Daripada Wabisah bin Makbud, Rasulullah SAW ada bersabda : “Adakah engkau datang kerana hendak bertanya mengenai kebajikan? Aku menjawab, “Ya.” Maka sabdanya lagi, mintalah pertimbangan hatimu, kebajikan itu ialah apa yang membawa ketenangan jiwa dan ketenangan hati.”
Justeru, teruslah berbuat kebaikan walau diperkatakan dengan apa jua bentuk sekalipun.
Dengan kebaikan walau sekecil hama, tetap akan membuahkan ketenangan.
Ketenangan itulah yang akan meninggikan kesabaran.
Kesabaran itulah menjadikan kita sentiasa kuat dan mampu tersenyum walau dihujani ujian demi ujian.
February 19, 2018
Terbaik Untukku
“Assalamualaikum. Eh, kenapa senyap sangat bilik ni?” Aku menanggalkan kasut di muka pintu bilik yang dikongsi bertiga dengan teman-temanku, Arisya dan Alya. Aku menapak masuk dan memerhati sekeliling. Kelihatan Alya sedang leka bermain telefon pintarnya di atas katil.
“Alya! Aku bagi salam tadi, tak dengar ke?” Aku menepuk bantal Alya. Alya kelihatan terkejut.
“Eh, maaf. Aku tengah pakai ‘earphone’ ni. Waalaikumusalam warahmatullah. Cepat balik? Kelas batal ke? Bukan patutnya kelas kau habis pukul 6 ke?” Mata Alya menyoroti gerak geriku.
“Haah, habis awal sebab pensyarah ada mesyuarat. Biasalah pensyarah jawatan tinggi ni. Sibuk memanjang.”
“Lepas tu silibus tak habis. Dah nak dekat peperiksaan akhir nanti baru nak ganti kelas. Diaorang bukan fikir pelajar ni pun kena belajar subjek lain juga. Aku cukup geram bila hujung semester kena ada kelas ganti. Orang sibuk nak ulangkaji untuk subjek lain. Kena buang masa untuk pergi kelas ganti lah apa lah. Tak boleh ke jawatan tinggi tu semua buka peluang khas untuk ahli akademik yang tak mengajar sepenuh masa?” Alya membebel sepenuh perasaan. Bibirnya menjuih sambil tangannya tergawang gawang di udara. Aku menggeleng seraya tertawa.
“Mulut kau ni kan. Suka hati je mengomel macam macam kan. Dah pensyarah tu sibuk, nak buat macam mana? Kita kena berkorban sikitlah. Alah, kau duduk bilik pun bukannya belajar.” Ketawaku kuat bergema. Alya kelihatan bengang.
“Dah dah, jangan nak berkerut dahi macam tu. Nanti cepat tua. Ni, aku nak tanya. Mana Arisya? Bukan kelas dia harini patutnya dah habis ke? Dia ada dua kelas je kan?” Kami sebilik memang mengambil tahu tentang jadual waktu sesama sendiri agar dapat saling ingat-mengingati.
“Alah, macam kau tak tau dia tu. Jumpa teman lelaki dia lah, apa lagi.” Alya kembali fokus pada skrin telefon pintarnya.
“Alya, aku nak tanya sikit boleh?” Aku duduk di birai katil Alya. Alya mengalih tumpuannya kepadaku.
“Kenapa?”
“Kau pernah tak rasa nak bercinta? Tak cemburu ke tengok kawan-kawan kita ramai dah ada teman istimewa?” Alya mengangkat bahu beserta muka tidak ambil peduli seraya menjawab.
“Tak pun. Buat semak fikiran je.”
“Hmm. Tapi aku teringin lah. Bila kita sedih, ada yang pujuk. Bila kita rasa rendah diri, ada yang naikkan semangat. Rasa disayangi gitu. Kau tak rasa gitu ke, Alya?”
Dari posisi meniarap, Alya duduk menghadapku. Wajahnya tenang. Alya begitulah. Sentiasa tenang. Berbeza denganku yang kelam kabut dan tidak tahu menguruskan emosi. Mungkin kerana itu aku mempunyai pemikiran sebegini tapi tidak Alya.
“Cuba kau tengok Arisya. Kau ingat balik setiap hari dia macam mana?” Sebaik sahaja Alya menuturkan kata-kata itu, mindaku mula menjalankan kerjanya dan cuba mengingati kembali bagaimana keadaan Arisya setiap hari.
***
Jam 3 pagi. Kedengaran bunyi berdengus. Seperti suara seorang perempuan bercakap tapi dengan nada yang tertahan tahan. Tidak lama kemudian, suasana sepi. Tapi kesepian itu tidak lama. Kedengaran pula suara seperti seseorang menyedut hingus dan menangis perlahan. Katil bujangku bersebelahan dengan katil dua tingkat Arisya dan Alya. Arisya tidur di tingkat atas manakala Alya di tingkat bawah. Aku mengiring menghadap katil mereka. Alya dengan posisi terlentang dan sebelah lengan diletakkan diatas dahi manakala sebelah lagi memeluk bantal busuknya. Arisya kulihat mengiring kearah dinding. Suara orang menangis masih kedengaran.
“Arisya?” tangisan itu terhenti. Tapi dia tidak menoleh.
“Jangan kacau aku.” Usai menjawab sedemikian, dia menyelimuti seluruh tubuh badannya. Suaranya serak dan agak sengau. Tidak mahu menganggu, aku menyambung tidur.
Keesokannya, ku lihat matanya bengkak dan wajahnya tidak bermaya. Alya yang gemar berterus terang, bertanya tanpa selindung dan rupa-rupanya Arisya bergaduh dengan teman lelakinya. Teruk betul keadaannya sehari dua itu. Waktu itu, aku bersyukur sekali tidak mempunyai teman lelaki.
***
“Ha, dah ingat dah? Teruk kan keadaan dia. Dalam seminggu tu, mesti ada dua tiga kali dia menangis macam tu. Jadi, melihatkan contoh yang ada tu mematikan hasrat aku nak bercinta. Terima kasih jelah. Elok-elok aku seorang yang tenang, jadi cengeng dan tak tentu arah pula nanti.” Alya menutup bicaranya dengan cebikan dan berlalu ke bilik air meninggalkan aku sendirian, berfikir.
Memanglah Arisya selalu sedih tapi dia pun selalu juga gembira. Berbunga bunga je aku tengok. Selalu dapat hadiah, semangat dan sokongan dari teman lelakinya. Rasa bersalah dengan pemikiran sendiri, aku mendail nombor telefon ibuku.
“Assalamualaikum, ibu. Tengah buat apa tu?” sapaku mesra. Rindu sekali terhadap ahli keluargaku terutamanya ibu dan ayah. Ibu menjawab salam dan mengatakan beliau hanya menonton televisyen sahaja bersama ayahku yang sudah pencen dan hanya duduk di rumah.
“Belajar macam mana? Okey?” tanya ibu.
“Okey je, ibu. Sekarang tertekan sikitlah sebab tengah musim ujian dan tugasan berlambak-lambak daripada pensyarah. Sebab tu telefon ibu ni. Nak dengar suara ibu, nak semangat daripada ibu. Hehehe.” nadaku automatik bertukar manja apabila berbicara dengan ibu, persis anak kecil.
“Banyak banyak solat hajat. Doa moga Allah mudahkan urusan. Kalau tertekan sangat, bangun tahajjud. Mengadu dengan Allah. InsyaAllah ringan beban tu nanti. Beban kerjanya sama je, tapi Allah bantu dengan hilangkan beban di dada agar tak terasa sesak sangat. Nanti lancar je semua. InsyaAllah.”
“Terima kasih ibu. InsyaAllah saya buat semua tu. Okeylah ibu, sebenarnya saya belum solat. Hehehe. Kirim salam dekat ayah. Assalamualaikum.” setelah ibu menjawab salam, aku mematikan telefon dan pergi mengambil wudhuk.
Usai solat, aku termenung seketika di tikar sejadah. Terbayang wajah ibu dan ayah. Suara lembut mereka. Doa-doa yang mereka selalu titipkan dan ucapkan bila berbual denganku. Paling penting sekali, semangatku yang kian pudar dan malap menjadi bercahaya dan membara kembali setelah berbual walau hanya seketika.
Biarlah aku tidak mempunyai teman lelaki yang kononnya menyenangkan jiwa dan mampu memberi semangat padaku ketika aku jatuh. Kebarangkalian untuk aku bahagia selamanya dengan cinta ajnabi itu tipis. Tapi kebarangkalian untuk aku gembira dan menggembirakan ibu ayah adalah lebih besar. Aku punya ibu dan ayah yang sudah pasti akan selalu bersamaku waktu aku sakit, sedih, tidak bersemangat dan gagal dalam hidup sampai ajal menjemput kami. Terasa kufur nikmat seandainya aku tidak menghargai mereka sedangkan ramai lagi insan yang mendambakan kasih sayang sepasang ibubapa yang lengkap.
Alya menolak daun pintu. Aku mendongak.
“Alya, aku rasa aku tak jadi nak ada teman lelaki. Aku baru sedar aku ada keluarga yang terbaik. Terbaik bukan untuk orang lain, tapi untuk aku.”
Senyum.
February 18, 2018
Muncul Bila Susah, Hilang Bila Senang
“Assalamualaikum.”
Ucapan salam aku berikan sambil tangan menarik kerusi untuk duduk. Hari ini Kamal mengajak aku makan tengah hari bersama-sama.
Kamal menjawab ucapan salam ku dan kami berjabat tangan. Sebenarnya sudah lama kami tidak berjumpa, mungkin sudah tiga bulan lamanya. Hanya berhubung melalui telefon sahaja.
Sejak tamat pengajian di universiti, kami sudah jarang bertemu. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Namun, hubungan persahabatan kami tidak pernah hilang.
“Susah betul nak jumpa kau sekarang ini. Maklumlah orang itu jadi orang penting syarikat sekarang.” Aku memulakan bicara secara berseloroh.
“Aku pekerja biasa sahaja. Bukan seperti kau, sekarang dah jadi pegawai besar. Hahaha!” Kamal menyakat aku.
Sakat-menyakat sudah menjadi asam garam dalam persahabatan kami, tetapi tidak sampai tahap yang keterlaluan hingga menyakitkan hati kawan.
Kami memesan makanan. Sambil menunggu pesanan tiba, kami rancak berborak. Pelbagai perkara kami borakkan pada tengah hari itu. Terutama kisah dulu-dulu, pecah ketawa kami mengenakan kisah lalu sehingga Kamal menyebut nama seseorang.
“Kau tahu Haikal dimasukkan ke hospital? Kawan-kawan lain kata dia kemalangan jalan raya. Jom kita pergi ziarah dia.”
Mendengar nama tersebut membuatkan aku terdiam. Reaksi wajah aku terus berubah. Aku tidak memberi sebarang jawapan akan ajakan Kamal tersebut.
Haikal. Bukanlah nama yang asing dalam hidup aku. Banyak memori tercipta dengan pemilik nama tersebut sewaktu masa dahulu.
“Kenapa kau diam? Kau tidak mahu melawat dia? Sekarang ini dia sedang ditimpa musibah. Mustahil kita sebagai kawan tidak mahu menziarahi dia.” Kamal bersuara apabila melihat aku mendiamkan diri.
“Bukan aku tidak mahu melawat dia, tapi…”
“Tapi apa?” Kamal inginkan penjelasan.
Oleh disebabkan Kamal mendesak, aku mula menceritakan alasan kenapa aku berat hati untuk menziarahi Haikal.
***
“Jauh kau termenung?” Teringat kekasihkah?
Aku menyapa Haikal yang keilhatan termenung di tepi koridor blok asrama. Wajahnya suram. Kelihatan seperti sedang menanggung masalah yang besar di pundaknya. Rasa bersalah pula apabila berseloroh pada saat rakan sedang dilanda masalah.
“Kau ada masalahkah? Kalau kau ada masalah, kau boleh ceritakan pada aku. Mungkin aku boleh bantu.”
Aku berdiri di samping Haikal sambil tangan memegang bahunya. Berharap aku mampu untuk memberi bantuan.
“Aku ada masalah duit sebenarnya. Aku tidak mahu beritahu kawan-kawan, takut menyusahkan kamu semua nanti.” Haikal memulakan bicara. Meluahkan apa yang sedang ditanggungnya.
“Tapi aku dah terdesak sangat. Aku tidak tahu hendak minta tolong pada siapa kecuali kau.” Haikal menyambung bicara.
“Kita kan kawan. Tak mungkin aku akan biarkan kau dalam kesusahan seorang diri. Apa yang aku boleh bantu, aku akan cuba sebaik mungkin.” Aku memberikan sokongan kepada Haikal.
“Aku tak cukup duit nak bayar yuran pengajian. Duit yang aku dapat untuk semester ini aku sudah hantar ke kampung, untuk bantu ibu bapa aku.”
“Kau mesti tahu kalau kita tidak bayar yuran kita tidak boleh hadiri peperiksaan akhir semester. Aku tidak mahu tangguhkan pengajian aku. Keluarga aku susah. Aku tidak mahu untuk susahkan mereka lagi menanggung pengajian aku di sini lagi.”
“Lagi pun aku anak sulung. Ibu bapa harapkan aku untuk ubah nasib keluarga dan bantu mereka.”
Haikal mula menceritakan tentang masalah yang dia hadapi. Aku sedia maklum tentang keluarga Haikal. Mereka memang keluarga susah. Haikal lah harapan besar mereka untuk ubah nasib keluarga.
Tanggungjawab Haikal sebagai anak sulung sangat besar. Haikal ada lima orang adik yang semuanya masih bersekolah. Semua perbelanjaan sekolah adik-adiknya dibantu oleh Haikal dengan wang biasiswa yang diperolehi setiap semester.
“Jangan risau Haikal. Aku akan bantu kau. Alhamdulillah, aku ada sedikit wang simpanan. Kau boleh guna dulu wang aku itu untuk selesaikan yuran pengajian kau.”
Aku berhasrat untuk meminjamkan wang aku kepada Haikal. Memandangkan aku masih punya wang selepas membayar yuran pengajian minggu lalu. Tidak mungkin aku akan biarkan kawan terus berada dalam kesusahan.
“Terima kasih Muhammad atas pertolongan kau. Aku janji akan bayar balik duit yang pinjamkan kepada aku itu.” Haikal memeluk aku erat. Nampak keceriaan muncul kembali di wajahnya.
***
Aku berhenti bercerita. Air sirap ais dihirup untuk membasahkan kembali tekak yang kering akibat bercerita. Ternganga mulut Kamal mendengar aku bercerita. Khusyuk betul dia mendengar.
“Kau pinjamkan dia berapa ribu ringgit?” Kamal bersuara setelah aku hentikan cerita.
“Seribu ringgit sahaja. Aku pun bukannya ada duit banyak sangat. Aku tidak sampai hati tengok dia dalam keadaan susah.”
“Bila Haikal bayar balik hutang RM1000 itu?” Tanya Kamal lagi.
“Dia belum bayar lagi. Jumlah hutang dia bukan RM1000 tapi RM2300. Waktu-waktu dia ada masalah kewangan, dia selalu datang jumpa aku untuk pinjam duit. Sebab itu lah hutang dia jadi sebanyak RM2300.”
“Hutang RM1000 pun belum dia habis bayar, tapi kau masih bagi dia pinjam selepas itu?” Muka Kamal berkerut, cuba memahami situasi ini.
“Kan aku sudah cakap tadi. Aku kasihan akan dia. Aku tidak sanggup tengok dia susah. Lagi pun masa itu aku percaya yang Haikal akan bayar balik duit aku.” Aku memberi penerangan kepada Kamal akan tindakan aku itu.
“Kau tidak cuba hubungi Haikal minta dia bayar balik wang kau?”
“Aku dah tak larat nak hubungi Haikal lagi. Masa mula-mula aku hubungi dia dulu ada juga dia jawab. Katanya nanti dia bayar sebab dia baru masuk kerja. Tapi sekarang bila aku hubungi dia, langsung tidak dijawabnya.” Aku menggelengkan kepala sambil menjawab soalan Kamal.
“Sebab itu kau tidak mahu pergi menziarahi Haikal di hospital? Sebab kau marah dia tidak bayar hutang kau?”
“Aku tidak kisah pun fasal hutang itu. Aku cuma kecil hati dengan sikap Haikal. Masa dia susah dulu dia datang cari aku. Merayu-rayu pada aku, tapi sekarang panggilan telefon aku pun dia tidak jawab.”
“Aku faham akan perasaan kau apabila diperlakukan seperti itu. Aku pun tidak mahu paksa kau pergi menziarahi Haikal. Terpulang kepada kau, tapi kalau kau dapat maafkan dia dan pergi ziarah dia. Itu memang sikap yang sangat baik.” Panjang lebar Kamal memberi nasihat.
“betul apa yang kau cakap. Apalah erti sebuah persahabatan, jika tidak mampu untuk memberi sokongan tanpa mengira saat susah atau senang.”
Aku membuat keputusan untuk pergi menziarahi Haikal bersama-sama Kamal hujung minggu ini. Biar apa pun perbuatan Haikal pada aku dahulu, dia tetap kawan aku. Dia juga saudara seagama dengan aku. Sudah menjadi tanggungjawab sebagai saudara untuk saling membantu. Bukannya muncul bila susah tapi hilang bila senang.
Cerpen : Mereka.
Mereka.
Teruja, kadangkala
Kerana suatu ketika
Orang di hujung dunia yang kita tidak kenal entah siapa-siapa
Hari ini berada di sisi kita
Menjadi orang yang rapat dengan kita
Berusaha memahami dan mendalami kita
Hadir mereka melapangkan dada
Hilang mereka menggusarkan jiwa kita
Allah, sememangnya menghadiahkan mereka untuk kita
Untuk menemani hari-hari di atas dunia
Sebelum bersama-sama ke syurga dan kepadaNya
#
Bunyi ‘bip’ yang berselang seli dan berterusan memaksa aku untuk membuka mata. Cubaan pertama aku gagal apabila sinaran lampu putih terang seakan menikam picingan mata. Jari jemari aku dekatkan kepada mata, ingin melindungi daripada terus dicucuk silau lampu dari bahagian atas kepala. Selepas terasa berat tangan kiri yang aku angkat, aku gagahkan juga untuk membuka mata.
Ada wayar yang bersambung dari tangan ke bahagian belakang kepala.
Pandanganku jatuh pula pada tangan sebelah kanan. Ibu jari sedang dikepit sesuatu alat yang tidak aku ketahui namanya, juga bersambung dengan wayar menghala ke belakang kepala.
“Doktor, pesakit ni baru masuk,”
“Sakit ibuuuuuuu!”
“Dalam jam berapa dia kena sawan tu encik?”
Ah. Daripada kekalutan suasana sekeliling serta bunyi pergerakan bersimpang siur orang berjalan, aku akhirnya tersedar dari pengaruh ubat yang disuntik masuk ke dalam badan.
Nafas dihela panjang. Seboleh mungkin aku satukan semua memori yang seperti pecah-pecah dalam kepala, untuk menghasilkan satu kisah yang lengkap untuk aku faham keadaan semasa.
Migrain, yang menangkap hanya sebelah bahagian kepala menjadikan keseluruhan kepala berat dan perit jika diangkat.
Gastrik, yang menghakis bahagian dinding perut kerana melanggar waktu makan.
Fikiran, yang seperti berserabut dengan perkara itu dan ini.
Insomnia, iaitu kesukaran untuk melelapkan mata sebelum dan setelah beberapa hari program sukan buat julung kalinya diadakan dengan rakan-rakan dari kemasukan yang sama atas tujuan memanjangkan ukhuwah serta berkenal-kenalan.
Dan aku sebagai timbalan pengarah program yang sangat cuai menjaga kepentingan diri sendiri dari sudut kesihatan.
Serta kesan sampingan ubat yang aku ambil. Ini padah dan risiko yang terpaksa aku terima hari ini.
Kesemua kepingan memori itu apabila dicantumkan menimbulkan satu kesimpulan yang jelas, tentang keberadaan aku sekarang ini. Terlantar di bahagian kecemasan hospital dalam keadaan separa sedar, tanpa mengetahui siapa-siapa yang terlibat membantu atau yang sedang berkorban menahan kantuk dan letih, di bahagian luar hospital.
Aku bungkam. ‘Maafkan aku, kerana menyusahkan kalian.’
Mungkin pengaruh cecair yang sedang diserap masuk ke dalam urat menjadikan aku letih, sebelum terlena untuk kali yang seterusnya.
#
Jantung dia berdegup kencang. Bukan dia tidak pernah rasa berdebar, tetapi kali ini debaran terasa lain benar. Hiruk pikuk ruang kecemasan bukan lagi menjadi perhatian. Hatinya tidak lepas berdoa supaya keadaan akan pulih seperti sediakala.
“Izzah,” Dia mengangkat muka memandang kepada orang yang memanggil.
“Ya saya?”
“Duduklah, kaki tu sakit.” Tieqah bimbang dengan keadaannya yang masih terhincut-hincut mengatur langkah untuk berjalan. Kecederaannya itu kesan daripada salah satu permainan daripada program sukan yang direncanakan oleh Nasuha yang masih di bahagian kecemasan bersama-sama rakan sejawatannya tempoh hari.
“Kalau saya boleh masuk, saya masuk kak.” Perlawaan ditolak menandakan betapa dia sekarang tidak punya masa untuk risaukan diri sendiri.
“Suha akan okey. Jangan risau.” Ilah menepuk bahunya, mengurangkan rasa resah.
Bagaimana mahu bertenang jika mesej terakhir yang diterima daripada Nasuha semasa perbincangan kumpulan malam tadi adalah namanya, ‘Izzah,’ yang seperti memanggil untuk meminta bantuan. Bagaimana kalau jadi apa-apa kepada Nasuha kerana kelewatannya bertindak?
Izzah terpaku. Dia masih terbayang situasi malam tadi, selepas dia meminta diri untuk beredar setelah tamat perbincangan kumpulan untuk memeriksa keadaan Nasuha yang memang tidak stabil sejak maghrib. Keluar saja dari bilik tempat mereka berbincang, setentang dengan laluannya adalah bilik Nasuha, yang ketika itu telah dikerumuni begitu ramai senior. Situasi itu menjemput debaran yang sangat kencang dan pantas. Bagaimana dia mahu memaafkan dirinya yang memilih untuk mengutamakan perbincangan kumpulan sebelum kesihatan seorang sahabat?
“Izzah,” Tieqah menghampirinya. “Kenapa ni? Kenapa muka risau sangat ni?” Kedua bahunya dipegang erat.
“Salah saya, kak. Saya dah tahu Suha tak sihat sejak maghrib. Salah saya, kak. Kalau saya datang lagi awal mungkin Suha tak perlu sampai dikejarkan ke wad kecemasan.” Suaranya tenggelam timbul, menahan rasa bersalah.
“Hei,” Tieqah duduk bercangkung supaya paras matanya berada lebih rendah dari Izzah. Posisi paling sesuai untuk bercakap dan memujuk seseorang. “Dengar. Tengok akak.” Jari-jemari Izzah digenggamnya. “Jangan salahkan diri sendiri. Boleh, untuk rasa bersalah tapi sekejap je. Dan ingat rasa bersalah kita hari ni sampai bila-bila supaya kita tak ulang silap yang sama untuk kali yang seterusnya.” Bola mata Izzah ditatap dalam-dalam. Benar, sahabat mana yang tak sayangkan sahabat?
“Boleh?” Tieqah cuba memujuk. Junior di hadapannya sekadar mengangguk, menahan resah dalam dada.
Bahu Tieqah dicuit. “Tieqah, Ilah nak keluar dengan Nisa cari makanan sekejap. Nak tunggu lama ni. Korang nak duduk luar pun ok jugak. Kurang sikit sejuk dari duduk sini.”
Tieqah mengangguk. “Nanti Tieqah bawa Izzah keluar.”
#
“Tadi doktor kata dalam lapan jam kan, baru kesan ubat akan hilang?” Getaran suara seorang gadis menyentak gegendang telinga.
“Lapan jam rasanya. Kalau ikut masa masuk tadi pukul sebelas, lagi lapan jam maknanya dalam tujuh pagi baru dia akan sedar.” Seperti tadi, tikaman dari lampu kalimantang menyakitkan anak mata.
“Hei,” Aku memanggil, lemah.
“Eh, Suha.” Kedua-duanya kalut menerpa aku. “Macam mana rasa? Okey tak?”
Pertanyaan dibalas dengan anggukan.
“Tak larat lagi ni. Tidur la dulu. Rehat biar cukup.” Tangan aku digenggam. Ilah sedang tersenyum kepadaku, dengan genggamannya seakan memberi semangat.
“Kenapa tak balik lagi?” Rendah nada suara aku, menyebabkan mereka mendekati untuk menangkap butir perkataan.
“Suha datang dengan kami kan tadi, balik dengan kami juga lah.” Mereka masing-masing cuba mengukir senyum, walaupun aku tahu tubuh masing-masing sudah letih dengan aktiviti sepanjang seharian ini.
“Suha minta maaf, sebab susahkan.” Aku pejam mata. Berat rasanya menyusahkan rakan-rakan.
“Kalau rasa bersalah, cepat sihat, cepat sembuh.” Tieqah tepuk lengan aku perlahan. Geram agaknya dia. Aku sekadar mengangguk.
Mungkin benar suntikan cecair itu meninggalkan kesan lapan jam, untuk sistem biologi tubuh benar-benar baik sebelum boleh berfungsi semula seperti biasa.
“Doktor, saya nak tanya perkembangan . . .” Suara Ilah itu yang terakhir sampai ke telinga aku sebelum semuanya kelam hitam seperti sediakala.
#
Terjaga semula. Kali ini tubuh terasa agak segar sedikit dari yang sebelumnya. Aku perhatikan keadaan sekeliling yang ditutupi langsir berwarna jingga, dipasang untuk melindungi ruang peribadi setiap pesakit. Seluruh badan terasa sengal, mungkin disebabkan kesan ubat. Suhu rendah yang dipasang pada penghawa dingin seperti menggigit tulang. Mujur saja tubuh aku diselimuti baju sejuk hitam tebal yang labuhnya melepasi paras lutut, melindungi baju berlengan pendek yang aku sarung sebagai pakaian harian di bahagian dalam. Aku cuba membetulkan posisi letak badan di atas katil, dengan monitor rentak jantung yang berbunyi bingit dari atas kepala.
Datang seorang jururawat dalam usia tiga puluhan menyingkap tirai yang memisahkan katil dengan ruang lalu lalang. “Awak ada alahan apa-apa ubat?”
Aku geleng.
“Awak ada penyakit lain ke?” Geleng lagi.
“Macam mana? Ada rasa okey sikit? Rasa berat lagi kepala?”
“Rasa dah okey sikit.” Selepas bersoal-jawab dengan jururawat tersebut tentang punca tidak sedarkan diri sehingga dikejarkan ke sini dan menerima nasihat berkenaan kesihatan daripadanya, kedua-dua gadis tadi masuk semula. Aku senyum segan menyambut kedatangan mereka.
“Dah boleh keluar ni. Cuma dapat MC untuk esok, dan kalau nak balik dah boleh balik dah. Dia cuma perlukan rehat yang cukup saja.”
“Baik. Terima kasih.” Usai berkemas-kemas, aku dipapah keluar dari unit kecemasan.
#
Izzah yang ketika itu sedang duduk berbual dengan warden bingkas bangun apabila pintu unit kecemasan itu terbuka. Wajah lemah Nasuha adalah yang pertama menangkap anak mata.
“Suha,” Rakan itu disambut dengan segala rasa lapang dan lega. “Alhamdulillah.”
“Izzah, Suha minta maaf.” Perkataan pertama yang terujar dari mulutnya. “Ilah, Tieqah, Nisa, Suha minta maaf susahkan semua. Puan, maaf susahkan puan.”
“Lain kali, jaga kesihatan dulu. Program la macam mana pun, sibuk la macam mana pun, kesihatan kena jaga. Makan biar kena waktu. Tidur biar cukup. Masa tidur, kena tidur.” Panjang lebar komen yang diterima daripada warden selaku wakil institusi. Mereka berempat hanya memerhati saja aku dileter sedemikian rupa. “Marah dia puan. Degil sangat ni.” Tidak kurang juga yang mengusik, menceriakan suasana yang semakin tenang.
“Dah. Jom kita balik. Esok kuliah lagi. Saya ikut kamu dari belakang.” Masing-masing mengangguk.
#
“Balik ni kitorang nak Suha rehat je. Jangan fikir banyak. Rehat biar cukup.” Masuk saja dalam kereta, aku dileter lagi, menjemput tawa kecil.
Mereka bertiga kemudiannya berbual bersama-sama mereka. Mungkin menghormati pesakit yang baru keluar dari bahagian kecemasan, atau mungkin juga memberikan ruang untuk aku berehat. Aku yang didudukkan di antara Izzah dan Tieqah di bahagian belakang pemandu sekadar menyandarkan tubuh keletihan. Lengan Izzah aku paut sebelum berbisik ringkas, “Sorry sebab susahkan awak.”
“Taknak cakap macam tu. Taknak fikir bukan-bukan. Sekarang masa awak rehat je.” Jari aku diambil, disatukan dengan jarinya. “Rehat.”
Dengan rasa bersalah yang seperti membunuh di dalam dada, aku akur akhirnya. Perasaan yang ada ketika itu, semasa memerhatikan semua sahabat yang berkorban malam itu untukku tidak mampu digambarkan dengan perkataan. Hatta tidak sama pengorbanan itu kalaupun dibalas dengan jasa-jasa yang lain. Mungkin ini yang dikatakan oleh Rasulullah,
“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.”
Yang sakitnya satu anggota itu aku, dan yang merasakan seluruh tubuh menjadi demam, tidak sihat dan tidak boleh tidur itu mereka. Mereka yang ketika ini sedang berbual dan ketawa, menghabiskan masa sepanjang perjalanan dari hospital pulang ke kampus. Ilah yang memandu kenderaan, Nisa yang menemani dan membisikkan kekuatan, dan Tieqah yang berkejar semasa kali pertama aku tidak sedarkan diri.
Hati terasa dipeluk sesuatu yang hangat, damai dan melapangkan. Hangat yang dirasakan daripada kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh mereka tanpa mengira masa rehat dan penat. Damai yang dirasakan daripada kebersamaan mereka membantu sepenuh hati sehingga sempurna tempoh rawatan. Lapang yang dirasakan daripada pengorbanan mereka yang benar-benar membuktikan ukhuwah itu mengalahkan manisnya gula. Kalau perasaan itu boleh aku sampaikan kepada engkau, ambillah dan rasakan betapa bahagianya apabila berkasih sayang antara sahabat-sahabat kerana Allah. Lebih mulia malah lebih tinggi darjatnya daripada bahagia yang engkau katakan apabila berpacaran.
Kemudian, pandanganku jatuh pula kepada Izzah, dengan keadaan kakinya yang masih sakit, berkorban terhincut-hincut berjalan semata-mata menemani aku malam itu. Hujung mata terasa basah mengenangkan semua kebaikan orang, yang kata Rasulullah,
“Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat.”
Pautan lengan aku kepadanya bertambah erat, menandakan terima kasih kerana menjadi sahabat yang rapat ketika diuji Allah dengan kesihatan, walaupun dia sendiri ketika itu bukan berada dalam keadaan yang baik sepenuhnya.
Malam itu, berakhir dengan gelak ketawa mereka berempat berbincang tentang persatuan yang disertai, sambil-sambil mengusik aku supaya sentiasa beringat dengan kesihatan.
Kalau engkau tanya aku hari ini, ukhuwah itu apa, maka aku akan jawab cuma satu perkara.
“Mereka.”
Seluruh rasa yang aku peroleh semasa duduk bersama-sama mereka, menerima kebaikan-kebaikan mereka.
Benar juga, bahawa sahabat-sahabat kita tidak semestinya sempurna dan baik setiap masa, kerana mereka sama manusia. Cuma kekurangan mereka, kita tutup dengan kelebihan kita. Dan kekurangan kita, mereka tutup dengan kelebihan mereka.
Dan definisi ukhuwah aku masih sama.
Mereka.
Perkongsian Pengalaman: Ujian yang Membina
Masih lagi berlegar di mindaku akan suatu ayat yang pernah aku terbaca di laman media sosial tentang ujian. Bukanlah ujian yang kita alami di dewan peperiksaan, namun ujian yang diturunkan oleh Allah terhadap hamba-hambaNya apabila mereka mula mengatakan kesediaan mereka dalam berusaha untuk meraih keredhaanNya.
“Apabila kita mula mengatakan yang kita beriman, ujian akan turun kepada kita. Mudah sahaja untuk kita merasakan yang kita dizalimi kerana ditimpa ujian yang bukan ringan, tetapi berat tidak terkata. Namun inilah cara Allah hendak menilai kita tentang sejauh mana kesanggupan kita untuk buktikan adakah kita sanggup hadapi ujian tersebut.
Juga tidak dapat dinafikan lagi, ujian ini bersifat menguatkan. Jika kita sahut cabaran untuk hadapi ujian tersebut, percayalah bahawa Allah amat menyayangi hambaNya yang sanggup berkorban demi agamaNya.”
Kata-kata ini tersemat di mindaku sehingga sekarang. Mungkin sahaja situasiku ketika itu yang kurang menggembirakan, justeru memerlukan dorongan sebegini untuk mencari kembali kekuatan untuk aku teruskan hidup. Bagiku, setiap manusia tidak terlepas daripada ujian. Namun apa yang membezakan adalah sama ada kita sedar kita diuji ataupun tidak.
Sungguh, aku sentiasa ingin menjadi seperti orang yang sedar itu. Namun aku tahu perjalanannya tidak mudah. Memikirkan kudrat yang ku miliki, mungkin amat senang untukku berputus asa dan lari daripada menghadapi ujian itu.
Ingin aku kongsikan suatu pengalaman ketika aku masih berada di negara yang digelar “Land of The Long White Clouds” dua tahun lepas. Ketika itu aku baru sahaja menamatkan pengajianku dengan bantuan dan izinNya. Aku sedang membawa ibuku mengembara dan nikmati keindahan ciptaan-ciptaan Allah di negara itu sementara menunggu hari untuk majlis graduasiku yang bakal berlangsung seminggu selepas itu.
Kami sedang dalam perjalanan pulang ke tempat tinggal kami daripada satu kawasan pergunungan yang terkenal di negara itu. Walaupun musim ketika itu adalah musim panas, namun gunung-gunung tersebut masih lagi diliputi salji yang lebat, menjadikan kawasan itu tidak tergambar kecantikannya.
Perjalanan itu mengambil masa yang agak lama kerana kami terpaksa memandu lebih kurang dua jam daripada kawasan pergunungan itu untuk kembali ke lebuhraya.
Di pertengahan jalan, kami merasakan sesuatu tidak kena dengan tayar kereta sewa yang dipandu. Lalu aku memberhentikan kereta di bahu jalan, dan aku lihat salah satu tayar kereta sudah pancit. Kami cuba untuk menukar tayar tersebut dengan tayar simpanan yang ada, namun disebabkan kudrat kami yang tidak seberapa, kami gagal menukarnya.
Ibuku sudah mula merasa gelisah, memandangkan kawasan tersebut agak terpencil jalan itu sedang lengang dan mungkin sukar untuk mendapatkan pertolongan atau membuat sebarang panggilan. Bukan itu sahaja, boleh dikatakan bahawa lebuhraya di negara tu tidak menyediakan khidmat bantuan kecemasan untuk pemandu-pemandu kereta seperti perkhidmatan PLUSLine di Malaysia.
Tambahan pula, insiden itu jatuh pada hari Ahad yakni hujung minggu. Aku sedia maklum bahawa bengkel-bengkel kereta berdekatan tidak beroperasi kerana rakyat-rakyat di negara tersebut amat mengambil berat tentang polisi tidak bekerja di luar waktu bekerja. Hari juga semakin lewat, dan aku sedar aku tidak akan dapat sampai ke destinasi seterusnya yang bakal mengambil masa sekurangnya enam jam untuk sampai.
Jadi, aku menghubungi syarikat kereta sewa dan menceritakan masalah tayar pancit itu. Dengan izin Allah, mereka berjaya menghubungkan kami dengan syarikat insurans kereta.
Dua jam sudah berlalu, namun pertolongan masih belum sampai. Aku terus cuba untuk menghubungi mereka lagi, tetapi mereka memberitahuku bahawa agak sukar mencari tempat kami disebabkan oleh kawasannya yang agak terpencil.
Perasaan putus asa makin menyelubungi diriku. Pada saat itu aku hanya mampu berharap kepada Allah supaya diturunkan pertolongan yang terbaik buatku dan ibuku.
Setelah hampir tiga jam menunggu, sebuah kereta berhenti menghampiri kami. Dua orang lelaki turun daripada kereta tersebut dan akhirnya mereka menolong kami untuk menukar tayar tersebut. Aku dan ibuku merasakan bersyukur yang teramat atas pertolongan yang tidak disangka-sangka itu. Kami berjaya meneruskan perjalanan kami tetapi kami harus bermalam di destinasi terdekat terlebih dahulu memandangkan hari sudah semakin lewat.
Sungguh, agak sukar untuk aku lupakan insiden ini. Sememangnya aku rindu akan saat-saat ketika insiden itu, mungkin bukan kerana kesusahan yang dialami namun saat itulah pergantunganku terhadap Allah begitu kuat. Bahkan, diri kita yang sebenar akan terpancar ketika dihimpit ujian sebegini. Aku akui bahawa sifat cepat putus asa itu sangat dominan dalam diriku, namun aku bersyukur kerana ujian-ujian ini mendorongku untuk jadi lebih kuat.
Oleh kerana itu, aku mulai sedar akan pentingnya bergantung kepada Tuhan yang Maha Memberi Kekuatan itu sendiri. Jika difikirkan, agak mustahil untuk kita merasakan bahawa kita mampu hadapi ujian itu sendiri tanpa pertolongan daripada orang lain.
Namun jika kita mahu harapkan pertolongan daripadaNya, pastilah kita perlu berbuat sesuatu untuk Allah juga. Di sinilah bermulanya peranan kita dalam menjadi abid(hamba) dan khalifah yang terbaik untukNya. Bukan senang untuk manusia menjadi sempurna, yakni menjayakan tugas-tugas tersebut dalam sekelip mata sahaja.
Kerana itulah, kita masih belum terlambat.
Allah sentiasa beri peluang kepada kita untuk terus berusaha. Namun terpulang kepada kita sama ada kita berusaha mendekatiNya ataupun tidak.
February 16, 2018
Perkongsian Pengalaman: Metamorfosis Diri – kembali kepada Nya
Setiap kita adalah umpama seekor beluncas yang menanti-nanti akan saat yang sesuai untuk bermetamorfosis ke peringkat yang seterusnya, ke peringkat yang mendewasakan minda dan fikiran kita untuk mengiakan yang benar, menidakkan yang salah dan kekal berada pada landasan yang lurus. Setiap antara kita punya ‘struggle’ tersendiri. Ada perkara kita berbesar hati untuk berhijrah dan berubah, namun ada sesetengah perkara yang kita seboleh-bolehnya tidak mahu tetapi terpaksa menurut. Tiada kebetulan dalam kehidupan, Semua adalah ketentuan-Nya. Dan setiap yang termaktub adalah terbaik untuk diri kita.
Sebagai seorang yang dilahirkan beragama Islam, peringkat pertama pengenalan kepada agama Islam adalah pendedahan dengan kitab panduan hidup yang dikenali sebagai Al-Quran. Alhamdullillah, saya telah didedahkan dengan Al-Quran seawal usia 5 tahun. Ada seorang ustadza akan datang ke rumah hampir setiap malam untuk mengajar kami, saya dan kakak, membaca huruf-huruf hijaiyah. Alhamdullillah, di tahun berikutnya saya telah mampu untuk mengenal huruf-huruf tersebut dan berupaya untuk membaca surah-surah pendek. Selain membaca Al-Quran, kami juga diajar bersolat, dan setiap kali masukknya waktu Maghrib, kami akan bersolat berjemaah, dengan berimamkan ayah.
Pengetahuan saya tentang Islam, dan hubungan saya dengan Al-Quran pada awalnya boleh diibaratkan sebagai hubungan yang hadir tanpa perasaan. Ia umpama kewajiban yang perlu saya lunaskan sebagaimana kewajiban solat 5 kali sehari dan berpuasa di bulan Ramadan. Di benak fikiran cuma ada pesan Ustadza, “Jika nak masuk syurga, solat 5kali sehari jangan tinggal, dan kena baca Quran selalu”. Saya pegang dan akur tanpa banyak soal tanya. Adakala nya saya seperti menjadikan aktiviti membaca Quran ini sebagai escapism di rumah – taktik mengelak diri daripada mambantu emak dengan kerja-kerja rumah, kerana emak biasanya akan tidak mengganggu saya jika dia mendengar saya sedang mengalunkan bacaan Al-Quran.
Tamat Tingkatan 5, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Di sinilah, bermula satu kehidupan baru, metamorfosis sulung dari telur menjadi beluncas. Pertama kali berjauhan dengan keluarga dan duduk di asrama. Saya kekok, suasana nya sangat berbeza. Kawan-kawan pula kebanyakan berasal dari latar belakang sekolah berasrama, mereka senang beradaptasi, dan jelas dengan motif untuk ke Universiti. Manakala saya masih terkial-kial untuk menetapkan matlamat hidup saya. Alhamdulillah, pusat matrikulasi kami bersebelahan dengan sebuah masjid, dan untuk melarikan diri daripada tekanan belajar dan persekitaran yang rata-rata sahabat sibuk dengan buku pelajaran, setiap kali azan berkemandang, saya akan bersiap segera berjemaah ke masjid. 15 minit di masjid tu, adalah sangat melapangkan fikiran. Curi waktu prep, jauh dari kawan-kawan yang sibuk berbincang tentang nota kuliah, kerja rumah dan assignment. Hubungan saya dengan Al-Quran juga semakin bertambah akrab. Hampir setiap hari selepas solat maghrib (sementara menanti masuk waktu Isyak) saya akan duduk membaca Al-Quran, namun begitu, sejujurnya, saya tidak faham apa yang saya baca kerana saya membaca mushaf tanpa terjemahan.
Pada bulan Ramadan ketika di tahun 2 pengajian, tergerak hati saya untuk mengetahui apa sebenarnya yang saya baca ini. Kebetulan di ruang legar tempat perhimpunan siswa, terdapat jualan buku-buku keagamaan bersempena bulan Ramadan. Saya memang suka dengan Pesta Buku, lantas meluangkan masa mencari Quran dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu. Saya tiba di satu gerai, saya lihat beraneka jenama Quran terjemahan, belek satu persatu, saya jadi keliru. “Apa beza quran terjemahan ini dengan yang lain-lain ni ya?” tanya saya kepada penjual di gerai tersebut. Sekilas dia pandang muka saya, dan menjawab, “Miss cari yang bagaimana? Jika Miss mahu terjemahan sahaja, saya syorkan yang ini. Ini lebih senang sebab tiada ayat Al-Quran”. “Saya berminat dengan yang ada ayat Al-Quran. Setidak-tidaknya saya tahu makna ayat yang saya baca”, balas saya. Berkerut wajah penjual buku tersebut memandang saya, lantas berkata, “Oh, maaf sebab saya sangka Miss bukan muslim tadi.” Saya tersenyum tawar. Memang acapkali saya disangka bukan Muslim kerana, ya, saya tidak memakai imej seorang muslimah – saya tidak bertudung. Saya sedar akan kejahilan saya nan satu ini, namun berkeras hati dengan prinsip tidak mahu bertudung. Pada waktu itu, pada kefahaman saya, memakai tudung bukan lah kewajipan seorang muslimah. Emak tidak bertudung, makcik-makcik juga ramai yang tidak bertudung, dan nenek pula memakai skarf yang sekadar menutup kepala. “Cover uban”, ujar nenek bila ditanya. Maka saya tidak punya apa-apa perasaan apabila ditegur soal tudung. Saya jaga solat 5 waktu, saya puasa wajib dan sunat (terutama di akhir semester apabila wang belanja semakin hampir tiada), dan bacaan Al-Quran saya maintain tak alpa. Saya rasa saya ok. Saya sudah Islam. Pada waktu itu, saya tidak sedar yang ilmu saya sebenarnya sangat cetek. Tidak tahu yang menutup aurat itu adalah kewajipan seperti yang dinyatakan dalam surah An-Nur, 24:31 –
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Semoga Allah mengampuni dosa di atas kejahilan saya pada ketika itu.
Berbalik kepada kisah Al-Quran terjemahan yang saya beli tersebut, Alhamdullillah, saya berjaya menghabiskan bacaan nya namun, disebabkan membaca tanpa referral dengan sumber yang lain, saya masih tidak dapat menjiwai apa yang saya baca. Faham mungkin lah secara amnya, namun mengapa Allah swt kata begitu atau begini tidak saya selidiki secara mendalam.
Namun saya terus kekal membaca Al-Quran. Al-Quran umpama kawan baik yang berlainan bahasa dengan saya. Walaupun bicara kami seperti ayam dan itik, saya tetap suka membacanya kerana saya ingat sangat dengan pesan Ustazah saya di sekolah menengah, jika mahu ketenangan jiwa, bacalah Al-Quran.
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “zikrullah” (mengingati Allah). Ketahuilah dengan “zikrullah”, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Ar-Ra’d 13:28)
Makanya, saya baca, dan semakin dekat dengan musim peperiksaan, makin banyak saya baca. Ya, saya temui ketenangan dengan Al-Quran. Sepanjang 4 tahun pengajian, Alhamdullilah, hampir 4 kali juga saya khatam Al-Quran. Namun begitu, memandangkan saya tidak faham dengan apa yang saya baca, saya tidak dapat beramal dengan Al-Quran tersebut.
4 tahun untuk sebuah metamorfosis awal. Alhamdullillah saya berjaya mengenggam kertas bertulis Ijazah Sarjanamuda Sains, menjurus bidang Mikrobiologi. Keputusan akhir peperiksaan adalah sekadar ada. Malu nak cerita, saya tinggalkan universiti dengan keputusan yang sangat tidak cemerlang – bahana terlalu mengikut jiwa yang suka memberontak, dan rasa keasingan dalam diri. Ya, pada kebanyakan situasi, acapkali saya berasa terasing. Orang ramai, suasana bising, tetapi entah, saya macam tenggelam dalam jeritan suara sendiri. Walaupun keputusan saya tidak begitu cemerlang, namun rezeki untuk beralih ke persada yang seterusnya adalah sangat terbuka luas. Satu per satu peluang tiba ke muka pintu.
Pertama sekali saya dipanggil untuk ditemuduga jawatan Guru di MRSM. Alhamdullillah, beberapa minggu selepas proses temuduga, saya dihubungi oleh pihak MARA, menawarkan saya untuk mengisi kekosongan jawatan Guru Biologi dan Sains di MRSM Lenggong. Alhamdulillah, saya terima tawaran jawatan tersebut dengan berbesar hati. Kehidupan di Lenggong cukup menggembirakan. Pelajar-pelajar amat baik dan menghormati saya walaupun beza umur kami dalam 5 tahun sahaja. Namun, entah mengapa, setiap kali memandang sijil ijazah saya, hati diasak rasa kecewa. “I should have done better than this,” bisik hati kecil yang tak pernah puas dengan apa yang ada di tangan. Saya mula merasakan yang saya perlu memperbaiki kelayakan saya. Saya perlu belajar ke peringkat yang lebih tinggi lagi untuk menebus kembali keputusan Ijazah Sarjanamuda yang sangat mengecewakan itu. Allah, As-Samii’, mendengar permohonan hati saya, lantas saya diketemukan dengan iklan Tawaran Kemasukan Ke Peringkat Sarjana dan PhD dari Universiti Teknologi MARA.
Dengan keputusan Ijazah Sarjanamuda yang tidak seberapa itu, berbekal doa dan harapan, saya hantar borang permohonan. Sebulan kemudian, saya dipanggil untuk hadir ke Fakulti Sains Gunaan, untuk ditemuduga dan juga membentangkan proposal penyelidikan. Proses temuduga dan pembentangan proposal berlangsung selama lebih kurang 30 minit. Terdapat lebih daripada 5 orang panel penilai, dan di fikiran saya selepas 30 minit yang mendebarkan itu adalah, “Alhamdullillah ala kulli hal – ada rezeki, sambung belajar. Jika tiada, kekal mengajar di MRSM”.
Minggu-minggu kemudiannya, saya terima sepucuk surat dengan ‘letter head’ Universiti Teknologi MARA. Berdebar dada membuka surat tersebut. Sekilas terpandang perkataan Tahniah. Alhamdullillah, permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran ke Peringkat Sarjana diterima. Tersenyum, saya mula membaca surat tersebut ayat demi ayat. “Anda diterima masuk dengan tajaan penuh (biasiswa) daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE) “. Baris ayat tersebut saya baca berkali-kali. Allah, Allah, Allah… ia bagai hadiah berganda-ganda daripada-Nya. saya cuma memohon untuk melanjutkan pelajaran, berniat untuk membaiki keputusan lalu yang tidak cantik, tetapi Allah yang Maha Baik bukan sahaja memperkenankan permohonan itu, malah diberinya saya kemudahan untuk belajar dengan percuma berserta dengan wang poket untuk menanggung perbelanjaan sepanjang tempoh 2 tahun pengajian tersebut. Berjurai air mata saya menerima berita gembira itu. Alhamdullillah, sesungguhnya Allah itu Maha Baik. Malangnya kita yang selalu terlupa dan leka dalam memanjat syukur kepada-Nya.
Entah mengapa, di ketika itu, saya selalu beranggapan bahawa saya cuma bernasib baik sahaja. Keputusan ijazahnya tidak lah sebagus mana, namun, habis belajar terus dapat tawaran kerja, selepas itu dapat pula tawaran Master. Saya berkongsi anggapan saya ini dengan sahabat baik saya di matrikulasi, dan dia membalas, “Tak Neeza. Semua ni bukan sebab kau bernasib baik. Sepanjang aku kenal kau, walaupun mula-mula tu aku risau juga nak kawan dengan kau sebab kau tak bertudung, tapi lepas tu aku tengok perwatakan kau, aku jadi respek. Kau jaga solat, kau rajin mengaji. Kau jaga Allah, jadi Allah jaga kau jugak”. MasyaAllah, quwataillabillah. Dan iya, saya akui, tiada kebetulan, kerana rezki dari Allah itu telah ditetapkan.
Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).
(Hud 11:6)
*****
Jun 2002. Dengan hati berkobar-kobar, saya melangkah mendaftar diri ke UiTM, Shah Alam, melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana. Saya tanam harapan untuk membaiki kesilapan lalu, kali ini perlu lebih serius dalam menuntut ilmu. Tidak alpa dan memberontak tak tentu hala. Tanpa saya sedari, Allah meletakkan sesuatu di hadapan saya. Sesuatu yang lebih bermakna.
Kehidupan sebagai pelajar post-grad ternyata berbeza dengan kehidupan sebelumnya. Jika dahulu saya duduk menginap di kolej kediaman di dalam kampus, kini saya tinggal menyewa di luar kampus dengan kawan-kawan, yang berstatus pekerja, bukan pelajar seperti saya. Terasa hidup begitu sibuk sekali: pagi kena bergegas mamasuki kampus, yang sekiranya terlewat tiba, aduh, sukarnya untuk mencari ruang parkir kereta, adakala berpusing-pusing hampir 1jam di kawasan fakulti, kerja-kerja makmal yang cukup remeh dan memerlukan ketelitian, bakteria bahan ujikaji yang sangat sensitif kepada persekitaran yang jika tidak dijaga molek akan mudah mati, kertas kerja, perbentangan dan segala macam lagi yang merengut kehidupan saya. Pada waktu itu, saya merasa diri tidak seperti gadis normal berusia 22 tahun yang bebas menerokai dunia, bergembira bersama teman-teman dan pacar. Saya senang dengan personaliti diri sendiri dan tidak menampakkan sebarang masalah berhubung dengan karektor saya. Namun teman-teman serumah saya acapkali menekan agar saya supaya keluar bersosial, tidak hanya memerap di rumah pada hujung minggu, pergi ‘chill’, ‘let the stress out’. Pada mulanya saya terpengaruh juga dengan ajakan teman-teman serumah. Hujung minggu kami lepak di restoran mamak sehingga ke tengah malam. Setelah beberapa kali kami melepak di restoran mamak, teman-teman serumah mula mengajak saya pergi berhibur di kelab-kelab malam di sekitar Kuala Lumpur. “Ah, sudah,” bisik hati saya. Walaupun tidak bertudung, namun saya memang mengelak daripada berkunjung ke tempat-tempat seperti itu. Saya telah diajar dan dipesan oleh emak bahawa tempat-tempat seperti itu sarang maksiat dan pelbagai perkara buruk boleh berlaku kepada perempuan seperti saya. Setiap kali teman serumah saya mengajak, saya mengelak dengan memberikan pelbagai alasan. Sekali, dua kali, tiga kali ajakan mereka berjaya saya tepis. Namun mereka seperti tidak serik untuk terus mengajak saya. Hati saya dihimpit kebimbangan. Saya bimbang dengan diri sendiri yang mungkin akan menyerah terpedaya.
Untuk mengelakkan diri daripada kelihatan santai di rumah, saya isi setiap masa saya ke kampus – pagi berangkat pergi, pulang hampir lewat senja, dan hujung minggu juga saya ke fakulti menyiapkan tugasan makmal atau ke perpustakaan mengulangkaji. Aktiviti ini berlanjutan untuk beberapa minggu sehinggalah pada suatu hari, saya merasa letih. Letih yang amat sangat. Saya betul-betul letih dengan apa yang saya buat pada diri saya sendiri. Petang itu, usai solat asar, saya berteleku lama di hamparan sejadah. Saya renung menembusi dinding. “Ya Allah, hambaMu ini letih teramat sangat,” keluhan panjang saya lepaskan. “Apa yang aku buat ni sebenarnya? Mengapa? I should have just stayed in MRSM..” berputar-putar soalan dan pernyataan berlegar di minda. Saya seperti berada pada jalan buntu. Saya mahu teman-teman hormat pendirian saya. Saya seperti mahu menjerit menyatakan, “Ya, aku tidak bertudung, tetapi aku bukan seperti perempuan-perempuan itu”!!! Dan jeritan dalam benak hati saya itu, bagai melolos ke ruang kepala, bergema-gema, dan Allah swt telah menginspirasi diri dengan mengeluarkan pendapat, “Mungkin aku patut pakai tudung, sebab gadis bertudung tidak pergi ke tempat-tempat seperti itu dan mereka juga lebih dihormati”.
Ramadan 2003 merupakan metamofosis kedua dalam kehidupan saya, dari beluncas ke peringkat pupa. Saya mengambil keputusan untuk memakai tudung dan akhirnya berpindah ke rumah sewa lain. Alasan berpindah rumah adalah untuk menjaga diri. Seperti firman Allah swt,
Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.
(Al-Maaidah 5:105)
Saya masih diburu kebimbangan jika saya tergelincir disebabkan pemilihan kawan yang tidak sesuai.
Walaupun alasan saya untuk bertudung berbaur escapism (mengelakkan diri daripada ajakan teman-teman ke kelab-kelab malam), namun dihujungnya saya temui mutiara hikmah. Saya, Alhamdullillah, dihormati sebagai seorang muslimah dan saya juga berasa lebih tenang, lebih dekat dengan Allah swt. Saya simpulkan apabila kita tidak bertudung, kita hilang identiti kita sebagai wanita muslimah. Alhamdullillah tidak ada perkara buruk yang berlaku pada diri saya sepanjang saya lalai menunaikan kewajiban nan satu itu. Bayangkan jika kenderaan yang saya naiki terlibat dalam kemalangan dasyat, saya mati dan mayat saya tidak dapat dikenalpasti samada Islam atau tidak, dan akhirnya saya dikebumikan dengan cara bukan muslim. Naudzubillahi min dzalik. Betapa Allah menjaga saya dari semua keburukan itu. Inilah antara kepentingan bertudung (selain daripada banyak sebab lain kenapa ia diwajibkan) adalah mengekalkan identiti Islam dan kita patut berbangga memakai tudung kerana kita bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab tetapi juga mendukung sebuah ayat Al-Quran dalam kita beraktivitas, dan Allah janji dengan memakai pakaian syari’, kita dijaga dan dihormati.
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Al-Ahzaab 33:59)
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya yang lalu. Ameen.
February 15, 2018
Cerpen: Didikan Yang Mengubah
Kakinya pantas melangkah laju di dalam rumah kecil tersebut. Dicapainya jubah biru gelap yang disangkut di penyidai besi miliknya sebentar tadi. Lalu disambar pula sehelai purdah dan tudung labuh hitam pada kepalanya. Tidak sempat menjenguk ke cermin seperti selalu, dia pantas memusingkan tombol pintu lantas berjalan ke hadapan dengan beberapa langkah. Jitu.
Pintu besi berwarna kelabu diseret ke tepi. Kuat. Dalam keadaan marah, dia melangkah laju melalui dua buah bilik asrama. Lalu dia berhenti di hadapan sebuah tingkap besar yang terbuka. Bacaan ratib yang dibaca dengan penuh semangat dan kuat itu makin lantang apabila kehadirannya dirasai oleh kira-kira 61 orang penghuni asrama tersebut. Dengan kening yang hampir bercantum, dia mengisyaratkan agar bacaan dihentikan. Tangan kanan melambai ke bawah. Diam. Semua mata tertumpu padanya. Memandang penuh hairan dan gelisah. Dia mula bersuara.
“Tak dengar ke pengumuman tadi?”
“Tak,” jawab mereka serentak.
Dua keningnya makin hampir. Menunjukkan yang jiwanya makin membara. Ibarat pemanas air yang sedang mendidihkan isinya.
“Pengumuman dari surau tadi, tak dengar langsung ke?”
“Tadi ada dengar sedikit tapi baru hendak dengar betul-betul pengumuman dah tamat,” salah seorang daripada mereka memberanikan diri bersuara. Dengan harapan agar mereka diberi sedikit simpati.
“Ustazah dengar tadi, makin kuat pengumuman itu, makin tinggi pula suara kamu. Lain kali, kalau dengar ada orang sedang bercakap daripada surau, terus diam dan dengar dengan teliti!”
Diam. Dan tertanya-tanya. Apa agaknya pengumuman tersebut yang membuatkan warden mereka marah-marah tidak tentu fasal ini?
“Sudah. Sekarang semua beratur dan segera ke surau. Cepat!”
Sebelah tangannya bercekak pinggang lengkap dengan pandangan mata yang tajam merenung ke seisi penghuni ruang tersebut. Menandakan bahawa bola api kemarahan sedang menari-nari dalam jiwa.
Tidak seperti rutin sebelumnya, dia selalunya hanya memberikan arahan dan segera melepaskan mereka untuk bergerak sendiri ke surau namun entah mengapa hari ini dia bergerak meninjau ke seluruh kawasan asrama dan menggesa seluruh penghuninya agar bersegera menurut arahan. Setiap satu daripanya berlari-lari anak apabila terpandang sang warden yang hanya menampakkan sepasang mata tajam dan kening yang hampir tiada penghujungnya.
Arahan dikeluarkan sekali lagi. Kali ini lebih tegas. Agar ‘para puteri kayangan’ yang berlenggang kangkung bersiar-siar di kaki lima asrama bergegas menyiapkan diri mereka selengkapnya. Mereka yang sedang beratur pula diarahkan bergerak dengan pantas ke destinasi yang diarahkan. Dengan tegas. Berciciran sang ‘puteri-puteri’ lain megekori. Bimbang akan ditangkap oleh sang ‘naga’ bermata merah.
Usai kelibat mereka hilang dari pandangan. Dia melangkah perlahan menuju ke pintu besi kelabu. Ditolak perlahan. Namun bunyi geseran kuat yang dihasilkan oleh pagar itu tidak dapat menyembunyikan bahawa pintu itu telah diusik. Lega. Pintu rumah warden dikuak. Lantas ditanggalkan segala pakaian luarnya yang menutup baju labuh dan kain kembangnya yang tersorok dek jubah tadi. Tubuhnya tanpa segan silu dihempaskan ke atas katil. Tangannya segera mencapai sebuah buku cerpen tarbiah yang terbaru di pasaran.
Diselaknya helaian yang ditanda dengan penanda buku yang rekaannya sama dengan muka hadapan buku tersebut. Bacaannya bersambung sebelum hatinya tersentak sendiri. Dia segera memikirkan semula perbuatannya beberapa minit yang lepas.
Kemarahannya meluap-luap apabila pengumuman yang diberi untuk anak-anak jagaannya diendahkan oleh mereka begitu sahaja. Alasan daripada mereka tidak diambil kira langsung. Tanda marah dan protes. Susah-susah dia perlu berpakaian lengkap untuk menuju ke pintu asrama yang hanya beberapa langkah daripada pintu rumahnya. Semata-mata mahu menyampaikan hasrat pengumuman tersebut. Fikirnya.
Dia bingkas bangun. Duduk dan muhasabah semula.
‘Layakkah aku, yang hanya seorang penjaga anak-anak, untuk melayan perasaan marah tersebut? Walhal hanya perkara kecil dan benda paling susah yang perlu dibuat hanyalah menyarungkan pakaian. Padahal pahala atas pekerjaan itu sejuta kali lebih berharga daripada susah payah tersebut.
Sedih dan kecewa dengan diri sendiri, dia menyesal akan perbuatannya. Hanya kerana marah, dia bertindak tegas terhadap anak-anak itu, tidak seperti selalu. Alasan mereka diendahkan, padahal dalam hatinya, dia sendiri mengakui bahawa dalam kebingitan suara mengalunkan bacaan ratib sudah pasti orang menjerit menyanyikan lagu Ziana Zain sekalipun mereka boleh tidak perasan.
Tekad. Dalam hatinya dia berhajat untuk menyantuni anak-anak kesayangannya itu dan untuk melayani kerenah mereka dengan penuh sabar. S.A.B.A.R. Hanya lima huruf namun untuk melaksanakannya ibarat lima ribu beban diangkat di atas bahu.
Teladani Rasulullah sollahu ‘alaihi wassalam. Itu yang sering menjadi cita-citanya sejak tapak kakinya mula dijejakkan di sekolah tersebut. Perlahan-lahan dia sudah mula menitipkan tauladan mulia junjungan nabi melalui didikannnya terhadap anak-anak itu. Kerana selama ini dia telah tersilap langkah, kata rakan seperjuangannya. Dia silap dalam mencaturi cara didikannya terhadap mereka yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan menengah rendah.
Memori tatkala kali pertama menyusun kata perkenalan di hadapan mereka masih segar dalam ingatannya. Dengan cara yang tersendiri dia betah melayan kerenah anak-anak yang baru pertama kali merasai kehidupan berasrama. Ada yang terkinja, ada yang teresak dan ada yang merenung meja. Namun, ada juga yang meraikan sikap guru baru mereka yang dianggap mesra dan disenangi itu dengan pelbagai cara. Tetapi, kadang-kadang sehingga berlebihan sehingga seringkali dia tersinggung. Kecil hati sendiri dengan perangai anak-anak didikannya yang semakin menjadi-jadi.
Namun hari ini dia bangkit atas kemaslahatan anak-anak yang disayanginya. Dia bertekad untuk menggunakan cara yang baru. Cara yang sepatutnya sudah digunakan sejak mereka mula memperkenalkan nama lagi. Tetapi baginya perubahan tidak pernah terlewat dan dia tidak sesekali menyesal dengan pengalaman yang dilaluinya itu. Cuma perlu dimulakan dengan langkah pertama yang penuh perhatian. Sikap anak-anak tersebut telah merubah segenap pemikirannya yang sebelum ini agak keanakan. Demi mendidik mereka dan diri sendiri, dia rela untuk diubah dan mengubah.
Perempuan Sial
“Perempuan sial betullah Azra Hussein tu! Aku tengah syok hisap rokok, dia tendang bola kena muka aku. Siap minta maaf kata tak sengaja. Dia ingat aku ni bodoh ke apa? Hampir patah hidung aku ni. Memang sial betul!”
“Azra Hussein dengar kau cakap macam tu, habislah kau.”
“Muka berparut-parut macam tu memang menakutkan. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong!”
“Perempuan sial!”
“Malang betul siapa yang jadi suami dia nanti!”
Jamil yang sedang berada di parkir motorsikal itu berjaya menangkap butir bicara tiga orang pelajar lelaki yang lengkap berpakaian silat. Nampak gayanya, mereka baru pulang daripada latihan silat yang dibuat setiap malam.
Jamil memandang ke belakang. Adnan, rakan serumahnya itu turut memandang tiga orang pelajar silat yang semakin menjauh. Jamil dan Adnan sudah pun berada di atas motorsikal untuk pulang ke rumah sewa mereka yang berada 10 minit daripada universiti.
“Azra Hussein tu satu kelas dengan kita subjek KQPI 4. kan?” Jamil merujuk kepada kelas subjek Kisah dalam al-Qur’an untuk para pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam tahun 4.
Adnan mengangguk.
“Kalau tak silap aku, esok Azra Hussein yang kena buat pembentangan dalam kelas. Jaguh silat wanita tu, Jamil. Dia memang terkenal pantang tengok orang merokok dalam kawasan universiti. Kau kena hati-hati Jamil.”
Jamil tersengih kelat.
*****
“Kisah Adam dan Hawa diceritakan dalam al-Qur’an dalam tiga surah berbeza iaitu al-Baqarah ayat 30-39, al-A‘raf ayat 11-25, dan Taha ayat 115-127…”
Azra menekan punat pen di tangannya. Slaid pembentangan di hadapan kelas menunjukkan senarai ayat-ayat al-Qur’an yang disebutkan sebentar tadi.
“Lihatlah betapa di dalam al-Qur’an, Allah menzahirkan kasih sayang dan rahmat-Nya yang Maha Luas. Dialah yang Maha Penerima Taubat. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Inilah nama-nama Allah yang sering diulang-ulang untuk menegaskan bahawa Allah telah pun mengampunkan Adam dan Hawa sejak mereka berdua bertaubat di dalam syurga lagi.”
Slaid dialihkan. Kelihatan pula beberapa petikan ayat daripada Bible memaparkan bagaimana Hawa memujuk Adam memakan buah larangan dan bagaimana Tuhan menghukum Hawa dan Adam.
“Al-Qur’an jauh berbeza dengan Bible. Bible banyak mengambarkan kemurkaan Tuhan dan hukuman Tuhan.”
Pensyarah dan para pelajar mendengar dengan khusyuk pembentangan Azra.
“Maaf, bagaimana pula dengan nasyid ni? Saya nyanyi sikit boleh ya?” Jamil berdehem.
“Iblis dan syaitan merasa iri, menggoda Hawa setiap hari, termakan Hawa Khuldi larangan, Allah melihat dengan kemurkaan. Adam dan Hawa terpisah akhirnya, hukuman Allah tak dapat disangka, tercampak mereka ke dunia nyata, menangis keduanya menyesali diri.”
Petikan lagu nasyid yang dialunkan oleh Jamil mendapat tepukan gemuruh daripada para pelajar. Malah, ada beberapa yang bersiul untuk menambahkan kemeriahan kelas.
Azra tersenyum lebar.
“Inilah contoh kesan kisah Israiliyyat dalam masyarakat kita. Dalam al-Qur’an jelas menyebutkan bahawa iblis menggoda Adam dan Hawa. Bukan hanya Hawa seorang sahaja yang digoda. Malah, kedua-dua mereka telah termakan buah larangan. Bukan Hawa seorang sahaja yang termakan. Malah, sangat silap kalau ada yang kata Hawa ada memujuk Adam untuk makan. Apa pentingnya fakta ini?”
Azra memandang Jamil dan rakan-rakan sekelasnya lalu menyambung.
“Ini membuktikan bahawa sesiapa pun boleh termakan hasutan syaitan, lelaki mahupun wanita. Tidak kira jantina. Allah tidak pernah menyalahkan Hawa. Idea yang mengatakan bahawa wanita itu sial, punca segala kejahatan adalah idea yang salah. Lelaki dan wanita, kedua-duanya mempunyai potensi menjadi baik dan jahat. Kedua-duanya mempunyai potensi melakukan dosa. Kedua-duanya perlu bertaubat, kembali kepada Tuhan yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang yang sentiasa memandang hamba-hamba-Nya dengan kasih sayang.”
“Tapi lirik tu kata Allah lihat dengan kemurkaan, kan?” Jamil mencelah dan beberapa pelajar lain mengiyakan.
“Sekali lagi, inilah pengaruh daripada kisah Israiliyyat. Petikan-petikan daripada Bible berkenaan kisah Adam dan Hawa mempengaruhi pemahaman sebahagian kita. Ajaran Kristian menekankan kemurkaan dan hukuman Tuhan, dosa yang diwarisi dan penebusan dosa oleh anak Tuhan..”
Azra bersuara tegas. Keluhan berat dilepaskan.
“Semua ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan keampunan dan rahmat Tuhan. Dalam Islam, dosa tidak diwarisi dan tiada konsep penebusan dosa oleh anak Tuhan. Jadi, adalah salah bila kita kata, Tuhan memandang dengan kemurkaan, sedangkan kisah Adam dan Hawa dalam al-Qur’an, Allah telah jelas mengulang-ulang nama-Nya yang Maha Penyayang, Pengampun dan Penerima Taubat kerana Allah sentiasa memandang hamba-hamba-Nya dengan kasih sayang.”
“Habis tu, Adam dan Hawa bukankah dihukum turun ke dunia? Dunia ni tempat menjalani hukuman. Kalau bukan Adam dan Hawa makan buah larangan, mesti kita semua tengah berseronok dalam syurga.” Adnan pula mencelah.
“Cuba lihat kembali surah al-Baqarah ayat 30 dan surah al-Dzariyat ayat 56.”
Azra mengubah slaid dan menghalakan pen yang mengeluarkan cahaya merah ke arah terjemahan ayat.
“Bukankah Allah telah berfirman awal-awal lagi kepada para malaikat bahawa Dia hendak menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi? Sama ada Adam dan Hawa makan atau tidak buah terlarang tu, tujuan manusia diciptakan memang untuk diletakkan di muka bumi supaya kita beribadah dan menjadi khalifah-Nya. Jadi, dunia ni bukanlah tempat menjalani hukuman dan hidup kita di dunia ini bukan sebagai satu bentuk hukuman. Bukan dan bukan!”
Azra menjelaskan dengan penuh ketegasan. Dia menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan. Dia cuba mengawal emosinya agar nada suaranya menjadi lebih tenang.
“Malah, Islam mengajar kita supaya bersyukur kerana telah dihidupkan. Cuba renungkan doa bangun tidur yang kita baca setiap kali bangun tidur. Bukankah ia bermula dengan lafaz Alhamdulillah? Bukankah itu sebagai menyatakan kesyukuran dan rasa terima kasih kerana masih diberikan peluang hidup di dunia?”
Azra memandang Adnan dan para pelajar yang sedang mengangguk-angguk tanda faham.
“Dunia ini tempat yang penuh dengan potensi dan peluang, dalam masa yang sama ia adalah tempat ujian. Manusia akan mudah putus asa, menyerah kalah dan bersikap pasif kalau menganggap hidup ini sebagai hukuman. Islam mengajar umatnya agar bersikap proaktif, rajin dan berusaha yang terbaik untuk mencari solusi terhadap masalah hidup yang dihadapi. Sebab itulah dalam surah al-Mulk ayat kedua, Allah memberikan kita motivasi bahawa kematian dan kehidupan adalah ujian untuk melihat siapa yang terbaik amalannya. Jadi, dengan hidup di dunia inilah, potensi dan kualiti manusia digilap. Contohnya, dengan berada di dunialah kita dapat gilap potensi sabar. Kalau duduk di syurga, nak sabar apa?”
Pensyarah yang duduk di belakang kelas turut mengangguk, memberi semangat kepada Azra untuk menyambung penjelasannya.
“Begitu juga syukur, jujur, berani dan lain-lain. Semua potensi dan kualiti ini hanya dapat digilap secara praktikal di dunia, bukan di syurga. Dunia ialah tempat bekerja, tempat untuk berusaha sebaik mungkin. Hanya di akhirat nantilah tempat balasan, tempat menerima ganjaran dan tempat kutip hasil yang telah diusahakan di dunia. Apapun hanya dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kita dapat masuk ke syurga. Sebab itu, masa masih hidup di dunia nilah kena rajin minta rahmat dan keampunan Allah.”
Panjang lebar Azra menerangkan.
“Habis tu, kalau memang Adam dan Hawa sepatutnya menjadi khalifah di muka bumi, apa perlunya mereka duduk dalam syurga dulu, termakan buah larangan dulu, baru turun ke dunia? Kenapa tak terus saja duduk di dunia selepas diciptakan?” Soal pelajar lain pula.
“Untuk memudahkan pemahaman, cuba bayangkan pelajar yang hendak dihantar belajar ke luar negara. Biasanya mereka tidak akan terus dihantar ke sana, tetapi perlu berada setahun di pusat persediaan dalam negara terlebih dahulu. Betul tak?”
Pelajar yang bertanya tadi mengangguk tanda setuju. Azra tersenyum.
“Begitulah juga Adam dan Hawa, perlu kepada persediaan sebelum diturunkan sebagai khalifah di muka bumi. Persediaan untuk menghadapi segala macam tipu daya syaitan. Persediaan untuk diuji dengan perkara yang dihalalakan dan yang diharamkan. Persediaan untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan sekiranya termakan hasutan syaitan. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segala persediaan ini diberikan terlebih dahulu di dalam syurga sebelum mereka berdua diturunkan ke bumi. Jadi, inilah perlunya Adam dan Hawa tinggal sementara di syurga dahulu sebelum diturunkan sebagai khalifah di muka bumi. Malah, antara pelajaran terpenting daripada kisah Adam dan Hawa ialah doa mereka berdua yang dirakamkan dalam surah al-A’raf ayat ke-23.”
Slaid dialihkan. Terpapar ayat tersebut beserta terjemahannya.
“Tuhan kami, kami menzalimi diri kami sendiri, jika Engkau tidak mengampuni kami dan merahmati kami, kami pasti termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi” (7: 23).
“Inilah sikap seorang hamba. Inilah doa yang sepatutnya lahir daripada rasa kehambaan yang tinggi. Inilah doa dan sikap yang patut dicontohi oleh kita, anak cucu Adam yang pasti termakan hasutan syaitan. Kalau dah salah, akui kesilapan. Jangan nak salahkan orang lain!”
*****
‘Perempuan sial!’
Suara yang didengar oleh Jamil itu kembali ke memorinya. Dia masih ingat bagaimana sekumpulan pelajar silat mengutuk Azra Hussein dengan menggelarkannya sebagai ‘perempuan sial’.
Jamil menghembuskan asap rokok perlahan-lahan. Dia sedang berehat di belakang kelas yang agak jauh daripada tempat awam. Adnan pula pergi ke kafeteria, meninggalkannya seorang diri di situ. Pokok-pokok yang menghijau di sekeliling sangat mendamaikan. Jamil memejamkan matanya. Rokok disedutnya kembali.
‘Perempuan sial apa macam tu? Punyalah bagus penerangan dia bagi dalam kelas tadi. Walaupun rupa tak adalah cantik mana, muka pun berparut entah sebab apa, tapi sedap juga mata memandang. Perempuan sial ke macam tu?’ Jamil tersenyum seorang diri dengan mata yang terpejam.
‘Perempuan sial!’ Suara pelajar yang penuh kemarahan itu kembali bergema dalam memorinya.
Jamil menghembuskan kembali asap rokok sambil membuka matanya.
Jantungnya hampir sahaja terhenti melihatkan siapa yang berada di hadapannya. Azra Hussein sedang berdiri lebih kurang lima langkah di hadapannya. Bersama Azra ada seorang lagi rakan sekelasnya, Huda.
“Perempuan sial!”
Jamil melatah tanpa sempat ditahannya. Dia terkejut beruk sambil terbatuk-batuk. Rokoknya dicampak ke tanah dan segera dilenyek-lenyek menggunakan kasutnya. Jamil tersengih-sengih memandang Azra Hussein.
“Apa kau cakap tadi?!” Azra Hussein kelihatan marah.
Jamil terkedu tanpa suara. Dia kehilangan kata-kata untuk menjelaskan.
“Memang sial!” Jamil mengutuk dirinya sendiri.
Sayangnya, Jamil baru menyedari bahawa kutukan ke atas dirinya itu disalah erti sebagai kutukan kepada Azra Hussein.
Berdesing telinga Azra mendengarnya.
“Mak kau pun perempuan. Kau nak kata mak kau sial juga?” Marah Azra sambil menjegilkan matanya.
Jamil menelan air liur. Segera kepalanya digeleng-gelengkan. Ibunya adalah wanita yang paling dikasihinya. Lemah-lembut dan baik hati. Adik-adik perempuannya yang tiga orang itu juga lemah lembut. Sebagai anak sulung dan satu-satunya lelaki setelah kematian ayahnya, dia memang sangat menyayangi ibu dan adik-adik perempuannya. Namun, untuk menjelaskan kepada Azra Hussein yang sedang berdiri di hadapannya dengan wajah garang, dia kehilangan kata-kata.
‘Bukankah wanita itu secara semulajadinya lemah-lembut? Aku kan lelaki? Lelaki lebih kuat, kenapa nak takut?’ Ada bisikan halus yang bermain di fikiran Jamil.
‘Kuat sangat ke Azra Hussein ni sampai orang kata dia jaguh silat? Apa kata aku cuba lawan. Tak cuba, tak tahu.’ Jamil tersenyum simpul. Di sini hanya ada dia, Azra Hussein dan Huda. Tidak salah mencuba.
“Nak lawan?” Jamil mengepal penumbuknya.
“Kau ingat aku takut?”
Azra rasa seperti direndah-rendahkan. Dia tidak pernah gentar untuk menyahut cabaran. Lelaki di hadapannya ini sudah tersilap orang. Dia bukan wanita yang mudah takut dengan hanya ditunjukkan penumbuk.
Jamil tersengih lagi.
“Mungkin.”
Dan perkataan terakhir yang diungkapkan oleh Jamil itu merupakan perkataan yang paling dikesalinya untuk hari itu.
*****
“Benci, benci, benci! Berani dia kata perempuan ni sial?!”
Marah Azra sambil menumbuk angin. Jamil yang ditumbuknya tadi sudah tidak kelihatan. Mereka sudah meninggalkan tempat itu. Baru sempat tiga das tumbukan dilandaskan ke mulut dan pipi Jamil, Huda sudah pun menariknya pergi.
“A’udzubillahiminash syaithanirrajim.. Tuh, tuh, tuh!”
Terkejut Azra melihat Huda yang seakan-akan ingin meludahinya.
“Huda ni dah kenapa?” Azra berkerut dahi. Dipandang sahabatnya itu penuh tanda tanya.
“Saja Huda nak halau syaitan yang tengah mengapi-apikan Azra tu.” Jawab Huda sambil tersengih memandang Azra.
Azra mengeluh panjang sambil beristighfar di dalam hati. Dia tahu sifatnya yang baran itu perlu dikawal. Namun, Azra masih marah kerana..
“Jamil…”
“Dah! Huda jangan sebut nama dia. Benci dengar! Dahlah pelajar tahun akhir Pengajian Islam, merokok dalam kawasan universiti, kata perempuan ni sial pula. Dah graduasi nanti, orang ramai panggil dia ustaz, tapi nanti bawa ajaran songsang yang suka meletakkan sial pada wanita. Benci betul orang macam tu!”
Azra segera meluahkan kemarahan yang terbuku di dada sebelum sempat Huda meneruskan kata-katanya.
Huda tersenyum. Dia bertemu idea untuk memulakan kembali bicara.
“Jangan terlalu sayang, boleh jadi suatu hari, dia menjadi yang paling dibenci. Em, dan apa tu? Oh, ya! Jangan terlalu benci. Boleh jadi suatu hari, dia menjadi yang paling, paling, paling disayangi”.
Huda ketawa sambil mencuit bahu Azra . Azra membuat reaksi mahu termuntah.
*****
Jam 6 petang, Adnan akhirnya sampai ke rumah sewa dia dan Jamil. Sebaik sahaja pintu dibuka, semerbak bau nasi goreng membangkitkan selera makannya.
“Jamil, kau kenapa tak datang kelas petang tadi?”
Adnan meninjau ke dapur. Dilihatnya Jamil sedang mematikan api dapur. Dulang sederhana besar dicapai lalu nasi goreng disenduk masuk. Mereka memang selalu makan menggunakan dulang. Sebaik sahaja Jamil memusingkan badan menatang dulang yang sudah penuh terisi nasi goreng, mulut Adnan ternganga luas.
“Ya Allah! Kau kena pukul dengan samseng ke Jamil?”
Jamil tidak mempedulikan reaksi terkejut Adnan. Dia terus membawa dulang ke ruang tamu. Rumah sewa mereka hanya mempunyai dua bilik dengan satu bilik air, dapur dan ruang tamu kecil. Dengan sewa RM 300 sebulan, mereka lebih selesa menyewa di luar kawasan universiti kerana tidak terikat dengan peraturan dan mereka boleh berjimat-cermat kerana boleh memasak sendiri.
Adnan membasuh tangan dan menyertai Jamil duduk bersila di ruang tamu. Adnan masih memandang wajah Jamil tanpa berkelip.
“Lebam pipi kau tu, bibir bengkak besar. Ish, sakit tu! Macam mana kau nak makan ni?”
Jamil tidak menghiraukan komentar Adnan. Jamil menadah tangan, membaca doa makan perlahan dan terus diraupkan ke muka. Air diminum. Kemudian nasi disuapkan ke mulut lalu dikunyah perlahan-lahan. Bibirnya terasa pedih. Namun, masih boleh ditahan. Giginya masih boleh mengunyah makanan dengan baik. Mujur tiada giginya yang patah. Benarlah, kerana mulut, badan binasa.
Adnan turut meniru perlakuan Jamil. Membaca doa makan dan meraupnya ke muka. Air diminum untuk menghilangkan dahaganya. Lalu nasi goreng dikunyah dengan penuh selera.
“Sedap kau masak.”
Mata Adnan masih tidak lepas daripada memandang wajah Jamil.
“Kau ni Jamil, masak pandai, kemas rumah kita ni kaulah paling rajin, hari-hari sapu rumah..”
Adnan memuji sambil matanya tidak berkelip memandang Jamil.
“Kau kena dengan Azra Hussin ke?”
Terbatuk-batuk Jamil. Segera dicapai cawan dan air diteguk perlahan. Wajah Adnan langsung tidak dipandangnya. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Itu janji Jamil pada diri sendiri.
Adnan tersenyum. Tekaannya mengena.
“Dah empat tahun aku kenal kau Jamil, dan dah dua tahun kita tinggal serumah. Aku tabiklah kat kau Jamil. Memang boleh jadi suami misali. Rajin buat kerja rumah, tolong bagi kucing liar makan, siap tolong bersihkan tahi kucing lagi..”
Adnan menyambung sesi mengambil hati sahabatnya itu.
“Jamil, kau ni, rupa ada, suara ada, otak geliga, hati pun baik. Kalau kau berhenti merokok, aku jaminlah, lepas kita graduasi nanti, kau nak pinang mana-mana perempuan yang kau berkenan pun, mesti tak ada yang nak tolak pinangan kau ni.”
Jamil mengangkat keningnya sebelah. Wajah Adnan yang sedang tersenyum lebar dipandangnya dengan penuh minat.
“Betul ke ni? Memang aku dah berazam dan berjanji dengan diri sendiri nak berhenti merokok. Alang-alang aku dah susah nak merokok sebab bibir aku yang sakit ni, baik berhenti terus kan?”
Adnan mengangguk penuh semangat mendengar janji Jamil. Adnan yakin, Jamil pasti akan mengotakan janjinya. Kini, giliran Adnan pula untuk turut melafazkan janji.
“Jamil, aku janji dengan kau. Insya Allah, habis belajar nanti aku temankan kau pergi merisik ke rumah perempuan yang kau berkenan. Cakap je siapa.”
Adnan berjanji penuh semangat. Nasi goreng disuap lagi dengan penuh selera sambil menunggu nama yang akan disebut oleh Jamil.
“Azra Hussin.”
Tersembur nasi goreng yang baru hendak dikunyah oleh Adnan.
Motivasi Agama : Setiap saat kita dalam bahaya
(1) Katakanlah, “Aku berlindung kepada Rabb yang menguasai subuh (fajar). (2) Dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan. (3) Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita. (4) Dan dari kejahatan (perempuan-perempuan) penyihir yang meniup pada buhul-buhul (tali-talinya). (5) Dan dari kejahatan orang-orang yang dengki apabila ia dengki.” Surah al-Falaq 113 : 1-5.
Bayangkan seorang warga emas yang menunggang motosikal, tiba-tiba ada lori datang melanggarnya daripada belakang, lalu dia mati. Bayangkan pula ketika seorang wanita berjalan menuju ke pasar, tiba-tiba ada orang meragut beg tangannya, lalu dia cedera parah. Bayangkan pula rumah yang telah dikunci rapi serta dipenuhi dengan televisyen litar tertutup (CCTV) tetap dimasuki pencuri.
Bayangkan pula seorang petani yang mempunyai tanaman seluas seratus ekar. Hari ini mungkin seronok melihat tanaman tumbuh subur dan lebat buahnya. Namun siapa sangka sekelip mata tanaman akan rosak musnah? Hari ini pula kita mendapat berita, bangunan yang dahulunya tersergam indah, musnah dijilat api.
Tanpa kita sedari, setiap saat semua manusia berhadapan dengan bahaya. Sama ada bahaya itu datang daripada dirinya sendiri atau datang di luar kawalannya. Oleh itu, antara doa yang perlu kita lazimi adalah memohon perlindungan daripada Allah SWT. Mari kita tadabbur Surah al-Falaq supaya kita dapat mengenal pasti bahaya-bahaya yang bakal kita hadapi.
Mencari perlindungan Allah dari segala makhluk yang Allah cipta
“Katakanlah, “Aku berlindung kepada Rabb yang menguasai subuh (fajar). Dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan.”
Mengapa Allah SWT memerintahkan kita berlindung dengan Rabb Yang Menguasai Subuh? Sebabnya waktu Subuh merupakan permulaan hari. Jadi sebelum kita melakukan sebarang pekerjaan, kita memohon kepada Allah SWT supaya melindungi kita daripada segala bahaya yang berada di hadapan kita sepanjang hari.
Menurut Dr. Hamka, “Al-Falaq juga bermaksud peralihan dari malam ke siang, peralihan dari tanah yang telah sangat kering kerana kemarau, lalu turun hujan dan peralihan dari biji kering terlempar ke atas tanah, lalu timbul uratnya dan dia memulai hidup.”
Jadi kita memohon kepada Allah SWT supaya melindungi kita daripada kemungkinan-kemungkinan bahaya yang terdapat pada peralihan siang dan malam atau peralihan musim. Ayat pertama ini ingin memberitahu kepada kita bahawa jika Allah SWT berkuasa menghilangkan kegelapan dari muka bumi, Allah SWT juga mampu menolak kegelapan kejahatan dan bahaya daripada hamba-Nya.
Semua yang ada di muka bumi ini merupakan ciptaan Allah SWT. Pada masa yang sama juga kita perlu tahu bahawa setiap ciptaan Allah ini juga boleh mendatangkan bahaya.
Contohnya hujan membantu untuk menyuburkan tanaman kita. Namun jika hujan lebat tidak berhenti-henti. Hujan itu akan menyebabkan banjir dan boleh membawa kepada kematian.
Contoh lain ialah pokok. Kadang kala ia menjadi tempat untuk kita berteduh, namun jika ia tumbang dan menghempap kita. Pokok juga boleh membawa kepada kematian.
Angin yang bertiup mungkin boleh menyejukkan dan menyamankan. Namun angin juga boleh bertukar menjadi ganas dan menyebabkan puting beliung dan ribut taufan.
Mencari perlindungan Allah dari kejahatan malam
“Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita.”
Mengapa malam? Kerana waktu malam terdapat perkara-perkara yang menakutkan dan merisaukan. Contohnya binatang-binatang berbisa seperti ular, kala jengking dan lipan akan keluar pada waktu malam dan mungkin akan masuk ke dalam rumah kita. Jadi ketika kita tidur lena, siapakah yang akan melindungi kita kalau bukan Allah SWT.
Kita juga selalu dengar, waktu malamlah pencuri akan menjalankan kerjanya masuk ke dalam rumah kita. Mereka mengambil barang-barang kita sehingga habis licin dan kadang-kadang ada yang sampai dibunuh tuan rumahnya. Jadi ketika kita tidur lena, siapakah yang akan melindungi kita kalau bukan Allah SWT.
Pada waktu malam jugalah, ramai manusia yang melakukan aktiviti haramnya seperti berzina, berjudi, minum arak, lumba haram, hisap dadah dan sebagainya. Mereka memilih malam kerana tidak ada siapa yang dapat melihat mereka kerana gelapnya malam. Jadi, siapakah yang akan melindungi diri atau keluarga kita daripada terjebak dengan maksiat yang bermaharajalela kalau bukan Allah SWT.
Mencari perlindungan Allah dari kejahatan dukun atau tukang sihir
“Dan dari kejahatan (perempuan-perempuan) penyihir yang meniup pada buhul-buhul (tali-talinya).”
Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir, aku berlindung dari kejahatan orang-orang atau para perempuan penyihir yang meniupkan sihir pada ikatan benang. Kata ‘an-Nafats’ bermaksud meniup dengan disertai percikan ludah dari mulut. Ada yang berpendapat bahawa maksudnya hanya meniup sahaja. Abu Ubaidah berkata, “Para perempuan penyihir itu adalah puteri-puteri Labid bin al-A’sham, seorang Yahudi yang telah menyihir Nabi Muhammad SAW.
Kenapa mesti perempuan? Menurut Dr. Hamka dalam Tafsir al-Azhar, kerana di zaman dahulu tukang mantra yang memantrakan dan meniup-niupkan itu kebanyakan ialah perempuan. Di Eropah pun tukang-tukang sihir yang dibenci itu diperlambangkan dengan perempuan-perempuan tua yang telah rongak giginya dan mukanya seram menakutkan. Di hadapannya terjerang sebuah periuk yang selalu dihidupkan api di bawahnya dan isinya macam-macam ramuan.
Tidak dinafikan sihir ini merupakan satu perkara yang benar-benar berlaku dengan izin Allah SWT. Jika jiwa kita lemah, tidak mempunyai pegangan agama yang mantap dan hubungan yang jauh dengan Allah SWT, maka kita akan mudah terkena sihir. Begitu sebaliknya, jika iman kita mantap sihir tidak akan dapat memberi kesan kepada kita.
Mencari perlindungan Allah dari kejahatan orang-orang yang dengki
“Dan dari kejahatan orang-orang yang dengki apabila ia dengki.”
Satu prinsip yang perlu kita pegang ialah “Di mana ada nikmat, di situ ada hasad”. Hasad merupakan satu dosa yang mula-mula sekali dilakukan di langit dan di bumi. Dosa di langit ialah dengki Iblis kepada Nabi Adam AS. Dosa di bumi ialah dengki Qabil kepada Habil.
Ada lima ciri orang yang hasad menurut Hakim (ahli hikmah).
Pertama, benci kepada Allah kerana memberikan nikmat itu kepada orang lain. Kedua, sakit hatinya melihat pembahagian yang dibahagikan Allah, seakan-akan dia berkata, “Mengapa dibahagi begitu?”. Ketiga, dia menentang Allah, kerana Allah memberi kepada siapa yang Dia kehendaki. Keempat, dia ingin sekali supaya nikmat yang telah diberikan Allah kepada seseorang, supaya dicabut Allah kembali. Kelima, dia bersekongkol dengan musuh Allah dan musuhnya sendiri, iaitu Iblis.
Kesimpulan
Oleh itu, wajib kita berlindung dengan Allah SWT daripada segala sesuatu yang ditakuti atau sesuatu yang tidak mampu kita melawannya. Kemalangan yang berlaku ketika menaiki kenderaan, di tempat kerja, di rumah atau di mana-mana sahaja merupakan perkara yang di luar kawalan kita.
Selain itu, kita juga dilarang meniup-niup pada ikatan (tali/buhul) kerana perkara ini termasuk perbuatan tukang sihir. Kita perlu yakin dan bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Kita juga perlu mengakui bahawa tidak semua perkara yang kita mahukan di dunia ini kita akan perolehi.
Akhir sekali kita juga dilarang memiliki perasaan hasad kerana ia merupakan penyakit yang sangat berbahaya. Kita memang digalakkan berusaha untuk mendapatkan apa yang kita mahukan. Tetapi ia juga mempunyai batasan. Selagi usaha yang dilakukan itu tidak melanggar syariat Allah SWT maka teruskan berusaha dan jangan putus asa.
Amalkanlah surah yang diberi gelaran ‘al-Muawwizatain’ ini kerana berkata Abu Said al-Khudri RA:
“Rasulullah SAW sentiasa memohon perlindungan daripada kejahatan jin dan pandangan manusia yang jahat. Sehingga diturunkan surah al-Muawwizatain (dua surah perlindungan), maka baginda pun mengamalkannya dan meninggalkan bacaan yang lain.” Hadis riwayat at-Tirmizi kategori hasan.
Motivasi agama : Setiap saat kita dalam bahaya
(1) Katakanlah, “Aku berlindung kepada Rabb yang menguasai subuh (fajar). (2) Dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan. (3) Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita. (4) Dan dari kejahatan (perempuan-perempuan) penyihir yang meniup pada buhul-buhul (tali-talinya). (5) Dan dari kejahatan orang-orang yang dengki apabila ia dengki.” Surah al-Falaq 113 : 1-5.
Bayangkan seorang warga emas yang menunggang motosikal, tiba-tiba ada lori datang melanggarnya daripada belakang, lalu dia mati. Bayangkan pula ketika seorang wanita berjalan menuju ke pasar, tiba-tiba ada orang meragut beg tangannya, lalu dia cedera parah. Bayangkan pula rumah yang telah dikunci rapi serta dipenuhi dengan televisyen litar tertutup (CCTV) tetap dimasuki pencuri.
Bayangkan pula seorang petani yang mempunyai tanaman seluas seratus ekar. Hari ini mungkin seronok melihat tanaman tumbuh subur dan lebat buahnya. Namun siapa sangka sekelip mata tanaman akan rosak musnah? Hari ini pula kita mendapat berita, bangunan yang dahulunya tersergam indah, musnah dijilat api.
Tanpa kita sedari, setiap saat semua manusia berhadapan dengan bahaya. Sama ada bahaya itu datang daripada dirinya sendiri atau datang di luar kawalannya. Oleh itu, antara doa yang perlu kita lazimi adalah memohon perlindungan daripada Allah SWT. Mari kita tadabbur Surah al-Falaq supaya kita dapat mengenal pasti bahaya-bahaya yang bakal kita hadapi.
Mencari perlindungan Allah dari segala makhluk yang Allah cipta
Mengapa Allah SWT memerintahkan kita berlindung dengan Rabb Yang Menguasai Subuh? Sebabnya waktu Subuh merupakan permulaan hari. Jadi sebelum kita melakukan sebarang pekerjaan, kita memohon kepada Allah SWT supaya melindungi kita daripada segala bahaya yang berada di hadapan kita sepanjang hari.
Menurut Dr. Hamka, “Al-Falaq juga bermaksud peralihan dari malam ke siang, peralihan dari tanah yang telah sangat kering kerana kemarau, lalu turun hujan dan peralihan dari biji kering terlempar ke atas tanah, lalu timbul uratnya dan dia memulai hidup.”
Jadi kita memohon kepada Allah SWT supaya melindungi kita daripada kemungkinan-kemungkinan bahaya yang terdapat pada peralihan siang dan malam atau peralihan musim. Ayat pertama ini ingin memberitahu kepada kita bahawa jika Allah SWT berkuasa menghilangkan kegelapan dari muka bumi, Allah SWT juga mampu menolak kegelapan kejahatan dan bahaya daripada hamba-Nya.
Semua yang ada di muka bumi ini merupakan ciptaan Allah SWT. Pada masa yang sama juga kita perlu tahu bahawa setiap ciptaan Allah ini juga boleh mendatangkan bahaya.
Contohnya hujan membantu untuk menyuburkan tanaman kita. Namun jika hujan lebat tidak berhenti-henti. Hujan itu akan menyebabkan banjir dan boleh membawa kepada kematian.
Contoh lain ialah pokok. Kadang kala ia menjadi tempat untuk kita berteduh, namun jika ia tumbang dan menghempap kita. Pokok juga boleh membawa kepada kematian.
Angin yang bertiup mungkin boleh menyejukkan dan menyamankan. Namun angin juga boleh bertukar menjadi ganas dan menyebabkan puting beliung dan ribut taufan.
Mencari perlindungan Allah dari kejahatan malam
Mengapa malam? Kerana waktu malam terdapat perkara-perkara yang menakutkan dan merisaukan. Contohnya binatang-binatang berbisa seperti ular, kala jengking dan lipan akan keluar pada waktu malam dan mungkin akan masuk ke dalam rumah kita. Jadi ketika kita tidur lena, siapakah yang akan melindungi kita kalau bukan Allah SWT.
Kita juga selalu dengar, waktu malamlah pencuri akan menjalankan kerjanya masuk ke dalam rumah kita. Mereka mengambil barang-barang kita sehingga habis licin dan kadang-kadang ada yang sampai dibunuh tuan rumahnya. Jadi ketika kita tidur lena, siapakah yang akan melindungi kita kalau bukan Allah SWT.
Pada waktu malam jugalah, ramai manusia yang melakukan aktiviti haramnya seperti berzina, berjudi, minum arak, lumba haram, hisap dadah dan sebagainya. Mereka memilih malam kerana tidak ada siapa yang dapat melihat mereka kerana gelapnya malam. Jadi, siapakah yang akan melindungi diri atau keluarga kita daripada terjebak dengan maksiat yang bermaharajalela kalau bukan Allah SWT.
Mencari perlindungan Allah dari kejahatan dukun atau tukang sihir
Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir, aku berlindung dari kejahatan orang-orang atau para perempuan penyihir yang meniupkan sihir pada ikatan benang. Kata ‘an-Nafats’ bermaksud meniup dengan disertai percikan ludah dari mulut. Ada yang berpendapat bahawa maksudnya hanya meniup sahaja. Abu Ubaidah berkata, “Para perempuan penyihir itu adalah puteri-puteri Labid bin al-A’sham, seorang Yahudi yang telah menyihir Nabi Muhammad SAW.
Kenapa mesti perempuan? Menurut Dr. Hamka dalam Tafsir al-Azhar, kerana di zaman dahulu tukang mantra yang memantrakan dan meniup-niupkan itu kebanyakan ialah perempuan. Di Eropah pun tukang-tukang sihir yang dibenci itu diperlambangkan dengan perempuan-perempuan tua yang telah rongak giginya dan mukanya seram menakutkan. Di hadapannya terjerang sebuah periuk yang selalu dihidupkan api di bawahnya dan isinya macam-macam ramuan.
Tidak dinafikan sihir ini merupakan satu perkara yang benar-benar berlaku dengan izin Allah SWT. Jika jiwa kita lemah, tidak mempunyai pegangan agama yang mantap dan hubungan yang jauh dengan Allah SWT, maka kita akan mudah terkena sihir. Begitu sebaliknya, jika iman kita mantap sihir tidak akan dapat memberi kesan kepada kita.
Mencari perlindungan Allah dari kejahatan orang-orang yang dengki
Satu prinsip yang perlu kita pegang ialah “Di mana ada nikmat, di situ ada hasad”. Hasad merupakan satu dosa yang mula-mula sekali dilakukan di langit dan di bumi. Dosa di langit ialah dengki Iblis kepada Nabi Adam AS. Dosa di bumi ialah dengki Qabil kepada Habil.
Ada lima ciri orang yang hasad menurut Hakim (ahli hikmah).
Pertama, benci kepada Allah kerana memberikan nikmat itu kepada orang lain. Kedua, sakit hatinya melihat pembahagian yang dibahagikan Allah, seakan-akan dia berkata, “Mengapa dibahagi begitu?”. Ketiga, dia menentang Allah, kerana Allah memberi kepada siapa yang Dia kehendaki. Keempat, dia ingin sekali supaya nikmat yang telah diberikan Allah kepada seseorang, supaya dicabut Allah kembali. Kelima, dia bersekongkol dengan musuh Allah dan musuhnya sendiri, iaitu Iblis.
Kesimpulan
Oleh itu, wajib kita berlindung dengan Allah SWT daripada segala sesuatu yang ditakuti atau sesuatu yang tidak mampu kita melawannya. Kemalangan yang berlaku ketika menaiki kenderaan, di tempat kerja, di rumah atau di mana-mana sahaja merupakan perkara yang di luar kawalan kita.
Selain itu, kita juga dilarang meniup-niup pada ikatan (tali/buhul) kerana perkara ini termasuk perbuatan tukang sihir. Kita perlu yakin dan bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Kita juga perlu mengakui bahawa tidak semua perkara yang kita mahukan di dunia ini kita akan perolehi.
Akhir sekali kita juga dilarang melakukan hasad kerana ia merupakan penyakit yang sangat berbahaya. Kita memang digalakkan berusaha untuk mendapatkan apa yang kita mahukan. Tetapi ia juga mempunyai batasan. Selagi usaha yang dilakukan itu tidak melanggar syariat Allah SWT maka teruskan berusaha dan jangan putus asa.
Amalkanlah surah yang diberi gelaran ‘al-Muawwizatain’ ini kerana berkata Abu Said al-Khudri RA:
“Rasulullah SAW sentiasa memohon perlindungan daripada kejahatan jin dan pandangan manusia yang jahat. Sehingga diturunkan surah al-Muawwizatain (dua surah perlindungan), maka baginda pun mengamalkannya dan meninggalkan bacaan yang lain.” Hadis riwayat at-Tirmizi kategori hasan.