Hilal Asyraf's Blog, page 14

January 29, 2018

Cerpen : Lemas yang membangkitkan

Sembang-sembang tarbawi bersama cikgu-cikgu memang seronok. Lagi-lagi tengah malam hingga jam tiga ke empat pagi. Apa yang disembangkan itu? Mahu tahu, sepanjang malam itu berbincang tentang bagaimana mahu kukuhkan tarbiyah di sekolah dan jalankan dakwah sahaja. Tiada topik lain yang bercampur. Bersengkang mata sahaja sambil duduk cicah biskut di tempat makan kem. Ha, kem ini adalah kem kepimpinan pelajar tingkatan enam yang bertempat di Kem Trong, Perak.


Oleh kerana shif masak kumpulan saya pagi ini, terus ke dapur selepas sesi sembang semakin surut. Awal jam empat pagi sudah sedia untuk masak. Bahan-bahan dibasuh dan dipotong dahulu. Alhamdulillah, tiga orang daripada rakan sembang tadi adalah dari kumpulan saya juga. Ada juga peneman di dapur sediakan bahan. Jam lima, semua ahli kumpulan saya sudah bersedia untuk masak kerana memang dibincangkan semalam untuk hadir masak awal sebab selepas subuh dijadualkan ada slot ceramah pagi. Pasti tidak mahu terlepas dari slot yang bernilai itu.


Kami sekumpulan mula menggoreng bihun untuk lebih kurang 70 orang makan. Siap memasak, mengerling mata ke arah periuk-periuk masakan semalam untuk dibasuh. Apabila dibuka periuk nasi, ternyata masih banyak nasi yang belum habis semalamnya. Apa lagi, digoreng pula nasi itu. Meriahnya apabila cikgu-cikgu juga menyampuk sembang dan masak bersama awal-awal pagi ini. Solat subuh tidak lupa. Kami berganti-ganti untuk solat subuh sambil memasak dua jenis masakan ini.


Lama juga berada di dapur. Jam 6.45 pagi baru selesai semuanya, memasak dan mencuci segala alatan dapur yang digunakan serta mengemas dapur. Berpeluh-peluh memasak, pastinya ingin sejukkan badan. Bukan setakat peluh memasak, tetapi sempat lagi berkejar dengan anak kecil yang berusia 10 tahun itu. Ada pula sungai di tepi tempat kem ini. Saya dan seorang rakan lagi senyap-senyap pergi turun sungai kerana memang merancang dari semalam lagi untuk turun sungai selepas masak. Lagi-lagi berjenis pantang nampak sungai dan seangkatannya. Memang tidak tahan jasad. Tetapi, sekejap sahaja. Sekadar ingin lepaskan keinginan dan mandi secara lebih pantas daripada mandi di bilik mandi.


Terus bergegas ke dewan utama untuk slot ceramah pagi yang bertajuk Baitul Muslim. Sambil bergegas, berkejar lagi dengan si kecil itu hingga hadapan dewan. Suka sungguh kacau saya. Berpeluh semula badan. Berkibas-kibas tudung dalam dewan sambil mendengar ceramah. Masih berbaki sejam untuk slot ini kerana tentatifnya hingga jam lapan. Sungguh, semua slot yang disampaikan di kem ini, amat menyentuh jiwa dan rasa berkobar-kobar hati.


Selepas slot, kami semua turun ke tempat makan untuk sarapan sebelum bergerak ke tentatif seterusnya iaitu trekking. Nampaknya, semua berselera makan. Alhamdulillah. Rezeki daripada Allah untuk kami.


Berkumpul semua pelajar, berbaris mengikut kumpulan. Sebelum bergerak untuk perjalanan yang panjang dan lebih mencabar, regangkan dahulu otot-otot supaya tidak kaku anggota dan lancar perjalanan. Bukan setakat senaman memanaskan badan biasa, tetapi pergerakan taici juga dibuat. Seronok dapat belajar pergerakan itu kerana lebih rasa regangannya.


Sudah semua anggota diregangkan, kami pun bergerak berjalan masuk melalui jalan tar yang disediakan. Agak mencabar jalannya yang mencuram. Perlu lebih tolak diri sendiri naik ke atas jalan yang mendaki itu. Sepanjang berjalan, pengisian rohani tidak dilupakan. Berhenti seketika di perjalanan sebelum sampai ke destinasi, mendengar taujihat murabbi (guru). Kali kedua berhenti, diberi pula penerangan tentang keselamatan di dalam hutan. Banyak perkara yang dikongsikan kepada kami. Kami juga dapat merasai air dari batang pokok. Tidak ingat nama pokoknya. Manis dan segar airnya.


Selepas itu, kami bergerak turun melalui jalan tangga yang agak kecil dan mencuram anak tangganya. Semua turun dengan berhati-hati. Dari jauh, sudah kedengaran air sungai mengalir deras. Tidak sabar rasanya melihat keindahannya. Seperti mahu lari sahaja menurun anak tangga itu. Tetapi, apakan daya, perlu memerhati setiap langkah agar tidak tergelincir jatuh.


Sampai sahaja ke destinasi sebenar, rupanya bunyi air sungai tadi adalah air terjun. Subhanallah, sungguh indah ciptaan-Nya. Berpinar-pinar mata tidak berkedip melihat keindahan dan suasana flora dan fauna ini. Ditinggalkan segala barang-barang yang ada di bahagian atas dan terus meluru masuk ke sungai. Sebelum kaki mencecah air, diingatkan bahawa air sungai ini agak dalam dan boleh tenggelam jika tidak pandai berenang. Alhamdulillah, saya boleh berenang.


Seorang demi seorang melangkah masuk. Mula dengan rakan saya dan diteruskan dengan saya. Batu di situ agak licin. Masuk sahaja dari batu itu, terus air dalam. Jika mahu naik semula agak susah kerana batunya yang licin. Jadi, saya ambil langkah untuk terus berenang masuk setelah turun sahaja dari batu itu.


Tiba-tiba, rakan saya yang awal turun tadi, tidak dapat kawal dirinya kerana mungkin terkejut sebab tidak sampai kakinya ke dasar. Lemas. Saya yang berada berdekatan, memutuskan sendiri untuk meyelamatkan beliau kerana ada juga belajar cara selamatkan orang yang lemas. Tetapi, ternyata saya juga turut lemas kerana beliau mungkin mula rasa cemas dan menolak kepala saya masuk ke dalam air. Tenggelam timbul berselang-seli sahaja kami berdua di tengah sungai itu kerana saling menolak.


Bibir basah terkumat-kamit berzikir, tidak henti berdoa. Rakan-rakan yang lain cuba untuk menolong dengan mencapai tangan ke tangan berantai dari atas lagi. Kami ditarik. Tetapi, terputus pula setengah dari rantaian tangan itu dan semuanya tergelincir masuk ke sungai. Sekarang, enam orang sudah di dalam air. Tetapi tidak ke tengah. Hanya di tepi. Berpegangan tangan dalam bulatan sementara seorang demi seorang ditarik naik.


Sudah empat orang yang baru turun itu selamat dinaikkan, kami berdua ditolak kembali ke tengah kerana arus menolak perlahan-lahan mungkin. Tenggelam timbul kembali. Saya berfikir untuk berenang sahaja sendirian ke batu yang berada di tengah sungai. Tetapi, ditarik pula oleh rakan saya. Bila sampai ke batu tengah sungai yang seorang cikgu lelaki berada di situ, mahu naik, ditolak pula supaya kami naik sebelah batu turun itu. Kami masih tidak boleh kawal diri. Tercungap-cungap. Sudah seperti nyawa-nyawa ikan.


Akhirnya, Cikgu di batu tengah itu menarik kami menggunakan kayu dan tarik naik ke atas batu dengan mencapai tangan sahaja kerana batu yang agak tinggi dan licin menyebabkan kami susah untuk naik sendiri. Kerana terpaksa, Cikgu lakukan. Alhamdulillah, kami berdua selamat dari tenggelam lemas.


Mata merah, hidung berair, mulut bergetar, badan menggigil kesejukan. Jiwa terusik syukur tidak terhingga kerana masih dikurniakan nikmat kehidupan setelah merasai sedikit dari sakitnya saat kematian. Alangkah berbunganya taman di hati ini dengan kasih sayang yang Allah curahkan. Ujian ini Allah berikan untuk saya muhasabah kembali dan lebih mengingati Allah serta sentiasa bersyukur atas rahmat kurniaan-Nya. Ya Allah, hindarilah kami dari lemas dan hanyut dalam keindahan dunia yang menipu.


Setelah itu, rakanku tadi sudah serik untuk turun mandi sungai. Saya, meneruskan aktiviti sungai sambil menikmati alam ciptaan-Nya yang tersangatlah nikmat. Bergelongsor dari atas batu air terjun hingga ke bawah sungai dan mula berenang. Berulang-ulang melakukan aksi itu bersama sahabat-sahabatku yang lainnya.


Tamat waktu aktiviti mandi sungai, kami semua bertolak pulang ke tempat kem sendiri-sendiri sahaja memandangkan sudah tahu jalan yang hanya mngikut jalan tar sahaja. Diberi masa untuk bersihkan diri dan rehat. Saya turun lagi sungai di tempat kem itu setelah sampai dari perjalanan trekking tadi. Seronok mandi sungai. Lebih segar dan tenang.


Jam tiga petang, saya terus masuk dapur membantu Cikgu memasak untuk jamuan hari raya yang akan diadakan pada malamnya sementara tempoh raya sebulan tidak habis lagi. Tidak pernah lagi saya dengar orang buat jamuan raya di kem. Unik sungguh. Ketika ini hanya empat orang sahaja yang tolong memasak kerana yang lain semua rehatkan diri setelah letih bertapak tadi. Sementara memasak, durian juga menjadi santapan. Ketika ini juga musim buah menjadi. Begitu banyak nikmat Allah berikan.


Selepas siap memasak seluruhnya pada jam lima petang, saya turun lagi ke sungai kerana masih tidak boleh lepas dengan segarnya air sungai itu. Bukan selalu dapat ke sungai di waktu sekolah. Peluang ini tidak dapat aku lepaskan. Apatah lagi, jika bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Lebih nikmat beraktiviti bersama. Malamnya, meriah jamuan hari raya bersama.


Sehari ini sahaja saya mandi sungai empat kali dan satu daripadanya menjadi kenangan manis dan pedoman bagiku kerana di situlah Allah mendidik kita untuk sentiasa mengingati mati kerana mati itu tidak mengenal masa dan tempat. Pengalaman ini membawa pengajaran kepada diri dan lainnya supaya lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu dalam menjalani kehidupan ini. Sentiasalah memohon diberi pertolongan dan kekuatan daripada Allah yang menciptakan kita. Sesungguhnya, Allah pasti mendengar setiap rintihan hamba-Nya yang benar-benar meminta. Pastinya, kenangan ini tidak dapat saya lupakan.


“Hanya kepada-Nya kami meyembah dan hanya kepada-Nya kami memohon pertolongan.” (al-Fatihah: 5)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 29, 2018 12:44

3 FASA PENTING DALAM MEMBENTUK PENDIDIKAN SEKS ANAK-ANAK


Pendidikan seks merupakan pendidikan yang penting dalam membina jiwa dan jati diri anak-anak. Ibu bapa perlu bijak dalam merangka pendidikan ini kepada mereka. Pendidikan ini sebenarnya bermula dari tahun pertama seorang kanak kanak.


Seseorang kanak kanak akan mengalami tumbesaran emosional dan fizikal untuk keseksualan secara tidak keterlaluan. Maka apabila mereka menghadapi suatu perkara yang penting pada fizikal dan emosinya, perkara ini dapat memberi kesan yang amat dalam kepada anak-anak. Sebagai contoh seseorang anak akan merasakan kelainan kepada tubuh badan setelah di datangi tanda tanda baligh. Maka ibu bapa merupakan individu yang utama dalam menyelami perasaan anak anak.


Justeru itu ibu bapa perlu tahu dan memainkan peranan yang penting dalam mendidik pendidikan seks kepada anak-anak se awal umur lagi. Jangan tunggu mereka baligh baru mahu dedahkan dengan pelbagai maklumat. Ketika ini, segelintir anak-anak lebih dahulu menerokainya.


Terdapat 3 peringkat penting yang perlu diambil berat oleh sekalian ibu bapa. Peringkat peringkat ini merupakan batu asas setiap fasa perubahan dalam diri zuriat kita. Sekiranya kita kurang cakna, maka anak-anak ini akan cuba mencari haluan sendiri.


PERINGKAT PRASEKOLAH (3 – 5 TAHUN)


Penulis berpengalaman dalam mengajar dan mendidik murid murid prasekolah. Semasa fasa umur ini, mereka akan mudah bergaul sesama jantina baik lelaki dan perempuan. Bagi mereka, bersentuhan dalam aktiviti bebas merupakan suatu yang dibenarkan. Ketika ini sekiranya tidak di didik dan diajar, anak-anak prasekolah akan menganggap hal ini suatu kebiasaan. Akhirnya mereka akan dibiasakan tanpa ada sebarang tegahan dan nasihat.


Teguran dan pengajaran seperti “kamu lelaki tak boleh sentuh perempuan, kecuali ibu kamu “ dan sebaliknya perlu kerap diulangi. Agar anak anak ini berjaga jaga dalam segala tindak tanduk mereka sesama rakan di dalam kelas. Di sini juga bermula kita mengajar konsep sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat. Bahagian-bahagian yang tidak dibenarkan sentuh oleh sesiapa kecuali ibu dan ayah.


Kanak-kanak pada peringkat umur prasekolah umumnya banyak mempelajari kelakuan seksual daripada ibu dan ayah. Oleh kerana itu ibu dan ayah perlu menjaga adab sewaktu melakukan sentuhan dengan pasangan atau menukar pakaian di rumah. Segala perlakuan ini mudah ditiru oleh anak anak. Umur seawall ini mampu menyerap apa sahaja yang mereka lihat.


Memarahi anak yang melakukan kesalahan dalam tingkah seksualnya adalah suatu langkah yang tidak bijak. Malah akan membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran seseorang anak menerokai kehidupan sebagai seorang individu yang bernama lelaki atau perempuan. Sebagai contoh, sekiranya kita mendapati anak kita mula mencium rakannya atau menyentuh bahagian-bahagian yang dilarang maka peranan sebagai ibu dan ayah ialah menyatakan peranan yang ringkas dan mudah. Kerana peringkat ini mereka sedang mengenali sesuatu tingkah


PERINGKAT SEKOLAH RENDAH (6 -10 TAHUN )


Anak-anak pada peringkat umur ini cenderung kepada persoalan mengenai kehamilan, kelahiran dan peranan jantina. Ketika ini kita akan dapati kanak-kanak lelaki akan bermain dengan rakan-rakan lelaki dan kanak-kanak perempuan akan bermain dengan rakan-rakan perempuan. Pergaulan sesama rakan akan membentuk identiti anak anak.


Selain pengaruh rakan sebaya, pengaruh media sosial juga merupakan sumbangan terpenting dalam membentuk kelakuan seksual seseorang anak. Fasa ini merupakan fasa yang sangat genting. Pada umur ini, mereka lebih berminat untuk mengetahui tentang seks, alat kelamin dan pembiakan daripada rakan sebaya dan media sosial. Sekiranya ibu bapa tidak cakna, maka mereka akan melayari sendiri tanpa ada batasan.


Jika anak-anak tidak bertanya soal seks, ibu bapa jangan mudah menganggap mereka tidak mengetahui atau tidak tahu apa apa. Sebaliknya ibu bapa perlu wujudkan ruang untuk berbual mengenai tajuk ini bersama anak-anak. Sekiranya sebelum ini ibu bapa bercerita tentang seorang lelaki dan perempuan mempunyai bayi, seterusnya si anak mungkin hendak mengetahui bagaimana ini terjadi.


Pokoknya adalah kejujuran dan ketelusan. Sebagai ibu bapa kita hendaklah jujur dan telus dalam menerangkan sesuatu perkara mengenai seksual kepada anak-anak. Setiap penerangan hendaklah selari dengan peringkat umur dan capaian akal mereka. Dek kerana itu ibu bapa juga wajib mendidik diri sendiri agar penyaluran maklumat itu dapat disampaikan dengan baik tanpa ada salah faham atau keliru dalam diri anak-anak.


Tanpa wujudnya ketelusan dan kejujuran dalam menyampaikan maklumat, anak-anak akan mencari jawapan di luar lingkungan ibu bapanya. Kini, segala-galanya berada di hujung jari. Ini bukan sesuatu yang luar biasa apabila murid sekolah rendah menganggap bayi terhasil apabila seorang lelaki dan perempuan berdua-duaan, tidur di atas sebuah katil dan sebagainya. Oleh itu ibu bapa perlu raikan dan cakna setiap pertanyaan anak-anak.


PERINGKAT REMAJA DAN BALIGH


Remaja ialah suatu peralihan perkembangan antara zaman kanak-kanak dan dewasa. Baligh pula kebiasaanya akan dihadapi oleh kanak-kanak yang meningkat mencecah usia remaja. Pada saat ini mereka sedang mencari identiti yang sesuai untuk dipersembahkan kepada masyarakat dan rakan-rakan.


Ketika ini, remaja menghadapi banyak persoalan dan dilema dalam membuat keputusan. Perubahan seperti personaliti, perkembangan fizikal, intelektual dan sosial mempengaruhi segala perjalanan hidup sebagai seorang remaja. Umur remaja merupakan umur bersahabat. Remaja memerlukan seorang sahabat atau pendamping di sisi untuk meluahkan segala isi hati dan permasalahan. Ramai ibu bapa mengeluh, mengapa anak-anak mereka susah berkomunikasi dengan mereka tetapi apabila bersama dengan rakan-rakan mereka rancak berkongsi dan berbual.


Jelaslah di sini, anak-anak remaja lebih mudah berkongsi dengan rakan-rakan yang sealiran pemikiran dan citarasa yang selari. Ini kerana, mereka akan mudah mendapatkan jawapan jika terdapat masalah yang hadir dalam proses kehidupan.


Wahai ibu bapa, pada peringkat umur remaja inilah, anak-anak perlukan pinjaman telinga untuk mendengar segala luahan, sekeping hati untuk berkongsi perasaan dan jasad sebagai teman kehidupan. Apabila remaja mula mempercayai ibu bapa, secara tidak langsung segala hal peribadi akan mudah diluahkan.


Ketiga-tiga fasa ini sangat penting dan wajib diberikan keutamaan oleh kedua ibu bapa. Perihal perkara mengenai seksual hendaklah dipandang berat oleh ibu bapa agar masalah seksual anak anak tidak akan melarat. Bagi mereka isu seksual merupakan satu keseronokan. Jika tidak dibendung dari awal, anak-anak kita akan rosak dan hancur.


Isu-isu seperti ketagihan video lucah dan bahan pornografi berpunca dari ibu bapa yang tidak memandang berat perihal seksual anak anak. Tuntasnya Keberadaan ibu bapa dalam jiwa sebenarnya membentuk jati diri anak-anak seterusnya dapat membendung masalah masalah sosial yang lain.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 29, 2018 09:42

Cerpen: Manis – Senyuman Terakhir Mungkin

Selipar berwarna putih bercorak merah jambu itu disarung pantas. Daun pintu ditutup cermat. Langkahnya diatur laju. Sempat dia menjeling ke arah telefon pintar di tangan. Pukul 9.40 p.m. ‘Alamak.. Aku dah lewat!’


Dari tingkat 8 dia bergegas menekan butang 4 pada papan lif. Sambil melihat-lihat pada skrin telefon pintar, saat ini dia berharap agar dia mempunyai poket ajaib yang boleh mengeluarkan Pintu Suka Hati seperti rancangan kartun kegemarannya, Doraemon. Namun, harapan hanya tinggal harapan. Tiada yang logik pada abad ini.


“Assalamualaikum, Kak Atiqah..!” Ceria. Walaupun terlewat.

“Waalaikummussalam! Ha.. Akak merajuk.. Denda ketuk ketampi sebab lambat,” tangannya berpeluk tubuh. Mulut dimuncungkan. Tanda rajuk.

“Alaaa.. Sorry.. Berapa kali?” Rajuk dirai. Lagak mahu memujuk.

“Haha.. Meh duduk. Yang lain tak datang lagi.”


Atiqah bangkit. Langkahnya menuju ke dapur.


“Minumlah air teh ni. Macam biasa,” cawan kecil merah jambu dihulur.

“Comelnya Panda-panda Akak ni..” Sya memulakan bicara. Tertarik dengan haiwan yang terkenal dengan eyebags yang menawan itu.

“Comel kan?! Ni semua orang bagi. Dia orang tahu Akak suka Panda.” Atiqah teruja. Anak-anak usrahnya seakan mengerti. Jika disogokkan dengan haiwan gebu berwarna hitam putih itu pasti tawa Atiqah akan terlerai.


Lia tersenyum. Diperhatikan naqibahnya itu dengan penuh kasih sayang. Tawa itu pasti tidak akan dilupakannya. Tawa itu yang menceriakan hari-harinya, yang membuatkannya hilang stress pada dunia. Tawa itu juga yang membangkitkan ruhi dan semangat dalam jiwanya. Pada akhirat, pada syurga, tempat asal seluruh umat manusia.


“Hari ni kita tadabbur Surah Ali ‘Imran, boleh? Muka surat 67. Jom seorang-seorang baca ayatnya dan Akak baca terjemahannya, ya?”


Senyum.


Wajah putih mulus itu seakan tidak pernah bermasam durja. Wajah itu sering tersenyum. Lia menguja, dia berharap agar senyuman itu terus mekar di situ. Namun, apa yang lebih penting, dia berharap agar senyuman itu kekal mekar untuknya, selamanya. Tapi apakan daya..


“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa. (Iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan. Dan (juga) orang yang mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingati Allah, lalu memohon ampunan atas dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.”


Terjemahan ayat 133 hingga 136 dibaca dengan penuh khusyuk. Lantaran membawa hati-hati mereka terasa di awangan. Lagi-lagi apabila Atiqah membacakannya dengan perlahan. Satu persatu. Terasa nyaman.


“Ada sesiapa nak share something daripada ayat ni?” wajah manis naqibah itu bersinar lagi. Seperti terangnya bulan di malam hari. Jika malam ini, Atiqahlah yang menjadi bulan tersebut, fikir Lia. Hiperbola.


“Dalam ayat 134, Allah suruh kita infak something walaupun waktu susah. Kat sini Allah cakap juga yang kita kena tahan marah dan maafkan kesalahan orang lain.” Lia bersuara.


“Tapi kak, kalau orang tu tahan, tapi dekat bilik, dia cerita dekat kawan dia, boleh tak?” Sya meluahkan persoalan. Seakan membela diri, mungkin?


“Ha.. Itu maknanya tak tahanlah tu. Sebab akhirnya dia luah jugak dekat orang lain.” Lia betah.


Kadang-kadang persoalan daripada Sya membuatkannya terasa seperti melambatkan proses usrah yang sedang berlangsung. Soalan-soalan itu hanya sesuai ditanyakan oleh budak sekolah. ‘Ok, Sya memang baru habis sekolah. Fine.’ Lia menyalahkan dirinya semula. Kerana tidak cuba memahami situasi pelajar asasi tersebut.


“Sya.. Sebab tu-lah maksud menahan marah adalah bilamana kita marah dan kita terus menelan marah itu sampai habis. Jadi lepas tu kita dah tak marah dah.” Atiqah menjelaskan dengan cermat. Risau jika kata-katanya menyinggung perasaan Sya.


“Lepas tu, dekat ayat selepasnya, Allah suruh memaafkan, kan kak?” Lia bertanya. Lagak seorang pelajar ijazah.


“Betul tu, Lia. Sebab tu kalau kita teliti ayat ni, Allah gunakan perkataanوَ yang bermaksud ‘dan’, bukannya ثُمَّ iaitu ‘kemudian’. Maknanya dua ayat yang dipisahkan dengan ‘dan’ ni berkaitan antara satu sama lain. Lepas menahan marah, kenalah memaafkan pulak.” Atiqah menerangkan. Terperinci. Dengan menggunakan terma bahasa Arab, Lia berasa sangat kagum dengan naqibahnya itu. ‘Oh lupa, Kak Atiqah belajar di Mesir dulu.’


“Ohh…” Mulut Sya seakan berbentuk ‘O’. Mahu sahaja Lia memasukkan nugget yang dibawa oleh Zati daripada jamuan asrama tadi ke dalam lopongan itu.


Lucu.


Lia tergelak kecil. Dia seakan sudah memahami tingkah laku Sya. Minda gadis berusia 18 tahun itu penuh dengan 1001 persoalan. Kadang-kadang soalan yang tidak terlintas di akal fikiran Lia yang gemuk itu pun boleh diajukan oleh Sya. Bukan Lia yang gemuk ya, akal fikirannya sahaja. Gemuk dengan pemikiran dan persoalan. Kerana Lia juga boleh dikategorikan sebagai seorang remaja yang penuh dengan rasa ingin tahu. Namun, jika dalam proses usrah, Lia serta-merta berubah menjadi seorang yang matang. Eh bukan matang mana pun. Kakak naqibahnya yang rasa dirinya matang. Kerana jika tidak ada keperluan untuk bersuara, dia sering mendiamkan diri dan lebih suka memerhati. Itu kata Atiqah.


Untuk Lia sendiri, Lia teringat ketika sesi usrah di Mersing dahulu, ahli usrahnya pernah membongkar keistimewaan hadith ke-9. Kak Mar menerangkan bahawa Nabi Muhammad Sollahu ‘Alaihi Wassalam pernah menolak soalan-soalan daripada para sahabat yang ingin tahu ketika itu. Soalan-soalan itu kata nabi, akan membebankan umat baginda sendiri jika baginda menjawabnya. Jadi, pengajarannya, kurangkanlah bertanya soalan-soalan yang tidak masuk akal dan soalan-soalan yang tidak penting. Rasulullah Sollahu ‘Alaihi Wassalam juga mengajarkan supaya menerima segala apa ketentuan yang Allah dan nabi perintahkan tanpa banyak bertanya. Lia merasakan hadith ini cukup bermakna buat panduan hidupnya. Sebab itu setiap kali usrah, dia cuba untuk mengaplikasikan hadith itu ke dalam hidupnya sebaiknya, namun bukan tidak bertanya terus, tapi berpada-padalah.


‘Matang?’ Lia teringat akan perkataan keramat yang diucapkan oleh Atiqah pada usrah yang lepas. Lia ragu. Apa yang membuatkan Kak Atiqah berfikir yang dia matang? Setiap kali usrah pasti Lia orang pertama yang mencapai makanan di tengah-tengah halaqah. Orang mengantuk disorongkan bantal, katanya. Untuk sesi usrah yang penuh dengan minuman dan makanan ini, buat Lia kagum pada naqibah itu buat pertama kalinya. Santun pekerti Atiqah dalam menjaga anak-anak usrahnya sangat cermat. Keikhlasan tergambar dalam tiap langkah wanita itu.


Lia tersentap, lamunan demi lamunan berselang seli dalam kotak fikirannya. Sekejap berfikir tentang satu kalimah, sebentar lagi berfikir pula tentang makanan. Itulah sang Lia yang penuh dengan kegemukan minda.


Ok, perkataan M.A.T.A.N.G tadi. Lia memang benar-benar setuju dengan segala apa yang diungkapkan oleh naqibah kesayangannya. Dia seringkali membenarkannya. Namun bagi Lia, untuk perkataan ‘matang’ itu pada dirinya, dia kurang pasti. Terlalu besar rasanya frasa itu, sekurang-kurangnya buat Lia.


“Zati, ceritalah aktiviti minggu ni macam mana. Ok tak study?” Wanita berusia 26 tahun itu memulakan bicara. Beserta senyuman. Lagi.


Seperti biasa, usai sesi tadabbur, Atiqah akan bertanyakan rutin harian dan masalah anak-anak usrahnya. Riak wajahnya menunjukkan keprihatinan dirinya terhadap mereka. Ikhlas. Saat diadukan masalah, keningnya dikerutkan. Tanda risau. Saat dikongsikan kegembiraan, matanya seakan bentuk huruf ‘n’. Menggambarkan matanya yang sedikit sepet. Sudah tentu, tanda dirinya turut bahagia.


​Sekali lagi, Lia kagum dengan raut wajah itu. Dengan memegang status sebagai bakal peguam syariah, wajah Atiqah langsung tidak menggentarkan jiwa Lia. Dia seolah-olah semakin tenang apabila memandang sosok tubuh itu. Kekaguman Lia bertambah-tambah setiap kali pertemuannya dengan Atiqah. Atiqah selalu berkongsi kes-kes mahkamah yang harus diselesaikannya dan turut menyelitkan pengajaran daripada kes tersebut. Terlalu banyak rasanya masalah yang dihadapi oleh umat Islam sekarang. Terutamanya kes yang melibatkan rumah tangga, sementelah Atiqah mengambil jurusan Syariah dan Undang-Undang, dia sering dihadapkan dengan kes perceraian dan perebutan anak. Semuanya berpaksi pada alasan ‘tiada persefahaman’. Walhal, persefahaman itulah yang harus dicari, bukan menunggu ia jatuh dari langit. Manusia sekarang sungguh mudah mencari jalan penyelesaian. Bukan. Bukan jalan penyelesaian, tapi jalan kemusnahan. Tanda lari dari masalah yang membebankan. ‘Huh, ter-emo pulak aku ni,’ Lia tersinggung sendiri.


​Memandangkan pada semester ini, Lia mengambil subjek Falsafah dan Pemikiran Islam, Lia teringat kata-kata hikmah yang dipelajarinya, iaitu dari seorang ahli falsafah yang digelar Rumi,


‘Raise your words, not voice. It is rain that grows flowers, not thunder.’


​Dengan akhlak yang digambarkan pada setiap orang, kata-kata ini seolah-olah menjadi prinsip buat naqibah genit itu, fikir Lia.


​“Kenapa Akak baik sangat. Akak sangat memanjakan kami. Akak tak pernah marah; kalau datang usrah lambat, atau kalau tak datang usrah. Kenapa?” Lia memecahkan persoalan yang sering bermain di mindanya sejak dia masuk ke kolej ini, sejak dia berusrah dengan naqibah ini.


​Bukan apa. Lia sering terfikir, apa hikmah yang digunakan oleh Kak Atiqah dalam mendidik anak-anak usrahnya ke arah Islam. Mengapa sebelum ini Lia sering ditemukan dengan naqibah yang tegas. Walau baik manapun, mesti ada tegasnya di mana-mana situasi. Namun, pada Atiqah, sikap itu seolah-olah disembunyikannya. Risau juga Lia kalau-kalau ketegasan dan kegarangan Atiqah akan meletup ibarat mercun bom di malam raya. Tidak terjangka.


​“Akak memang macam ni lah, Lia. Akak tak suka garang-garang. Entahlah. Akak pun tak tahu macam mana nak garang. Biarlah Akak dengan cara ni. Haha.” Seperti biasa, tawanya pasti terlerai dalam setiap bait kata.


​Lia tahu. Bukannya Kak Atiqah tidak punya rasa marah. Bukannya dia tidak ada rasa sedih. Bukan juga setiap masa dia gembira. Namun, dia mengawalnya. Mungkin juga dia memegang ayat usrah pada kali ini sebagai prinsip hidupnya. Tapi, mungkin juga ini cara dia sendiri dalam dakwah dan tarbiah. Sementelah Islam itu syumul, sempurna. Maka, pelbagai cara boleh dipraktikkan dalam medan ini. Dan bagi Atiqah, ini adalah cara untuknya lebih mudah mendekati mad’unya.


​Ternyata. Sikap itu jelas disenangi oleh kesemua anak usrahnya. Walaupun kehadiran usrah tidak pernah penuh, namun Lia tahu, ahli-ahli usrahnya yang lain sebenarnya sangat menyenangi sikap naqibah mereka. Cuma mungkin jiwa mereka masih belum tetap dalam dunia dakwah dan tarbiah ini. Bukan salah Kak Atiqah, bukan juga salah mereka. Allah sebut dalam Surah Al-Qasas, ayat ke-56, hidayah itu milik Allah dan Allah jua-lah yang berkuasa untuk menggerakkan hati-hati mereka ke jalan ini.


​Lia sendiri pernah mengalami situasi seperti mereka. Dibelenggu kefuturan dalam diri. Tidak menghadiri usrah, menyalahkan keendahan naqibah dan bermacam lagi alasan yang digunakannya. Namun, setelah Allah menyentuh jiwa itu dengan suatu peristiwa, Lia mulai sedar. Hidupnya seakan tidak lengkap, tidak tenang, tidak gembira dalam tawa – tanpa usrah, tanpa tarbiah, tanpa dakwah.


Kesedihan Lia untuk melepaskan Atiqah dalam meneruskan program praktikalnya di Johor Bahru pada semester depan tidak dapat disembunyikan lagi. Lia menangis dalam hati. Risau jika air matanya bakal menyinggah di pipi Atiqah pula. Atiqah tidak putus-putus memujuk anak-anak usrahnya agar berlapang dada untuk menerima naqibah yang baru.


Lia senyum. Dalam tangis. Dalam hati. Harapannya agar senyuman itu bakal menenangkan hati wanita yang dikaguminya itu. Sungguh tidak adil jika ketenangan yang sering diterima oleh dirinya daripada Atiqah, dibalas dengan kemurungan dan kegelisahan jiwa. Lia tekad, walaupun ini mungkin yang terakhir, Lia mencuba juga, untuk terus tersenyum, seperti senyuman idolanya: Atiqah Kusiani.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 29, 2018 08:20

Hujan Renyai-Renyai Bagaikan Mutiara.


Hujan mula renyai-renyai, bulan dan bintang tidak munculkan diri.


Motosikal ditunggang oleh Kamil dihadapan Abu. Maka, Kamil menekan butang hon dan jari telunjuknya pula di arah ke hadapan tanda berhenti di sebuah stesen minyak.


Abu menyedari dan menunjukkan simbol ibu jari tanda faham.


Sampai sahaja di stesen minyak itu, mereka sama-sama menanggalkan topi keledar. Kamil melihat jam di tangannya, menujukkan pukul sudah 7.30 malam. Lalu diberitahu Abu,


”Hujan renyai-renyai ni, jom solat magrib dahulu? Nanti dah reda, boleh kita jalan semula.”


”Oh, nak solat dengan basah-basah ini?” Kamil menyoal pula.


”Basah sikit saja, hujan pun tak lebat,” balas Abu.


”Alah… jalan teruslah. Nanti dah sampai sana barulah solat,,” ujar Kamil.


”Erm…. baiklah,” Abu hanya setuju di mulut tapi tidak di hati.


Dia cuba berlapang dada dengan cadangan Kamil.


Maka mereka berdua hidupkan enjin motosikal dan menunggang di jalan raya yang kelihatan basah.


Dalam perjalanan menuju destinasi sambil air hujan menitis di badan, hati abu membisik.


”Tidak semua perkara perlu berlapang dada, ada ketika harus tegas. Macam solat magrib tadi, hang kena belajar cakap tidak setuju.”


Dalam dia layan perasaaan, ada permukaan jalan raya yang air hujan bertakung,


”Alamak!.”


Zuzzzzz….


Tayar motosikalnya meluncurkan ke arah itu, lalu cermin topi keledarnya terkena percikkan.


”Uh, nasib baik tak jadi apa-apa, aku kena fokus pandang hadapan. Jalan raya sudah basah dan hari semakin gelap, harap tiada jalan yang berlubang.” Abu berkata-kata sendirinya.


Rupanya hujan yang renyai-renyai tadi, semakin lebat. Baju, beg dan seluar mereka habis basah kuyup dan tangan kesejukkan.


Abu memulas pendikit(throttle) lebih lagi untuk menghampiri Kamil dihadapanya lalu tangan kirinya tunjukkan ke arah bawah jambatan tanda untuk berhenti.


Kamil menganguk tanda setuju. Dah sampai, mereka matikan enjin dan parkir.


”Huh…. habis berkerut-kerut telapak tangan aku ni disebabkan sejuk,” kata Abu sambil menunjukkan telapak tangannya ke Kamil.


”Haha, samalah telapak tangan aku juga,” jawab Kamil.


Pada masa sama Abu membelek jam di tangannya,


”Dah pukul 7:45 malam, masih sempat ke? Nak solat ni. Waktu Isyak masuk pukul 8:20 malam. Menyesal pula rasa tak ikut cakap sendiri,” Abu monolog sendirian.


Kamil pula ketika itu, ambil telefon di bawah tempat duduk motosikalnya dan berdiri di situ. Facebook tempat dia luangkan masa, sehingga hujan berhenti.

Lepas 15 minit berlalu, hujan mula reda.


”Abu jom gerak, dah tak lebat,” Kata Kamil sambil meletak telefonnya semula di bawah tempat duduk motosikal.


”Okay jom,” balas Abu.


”Brom…. ” bunyi enjin motosikal masing-masing sambil beri signal ke kanan untuk masuk ke jalan raya.


Walaupun hujan sudah tidak lebat, mereka tidak berani menunggang laju. Kerana permukaan jalan raya masih lagi basah dan licin. Jarak antara kenderaan lain perlu lebih berhati-hati, agar perkara buruk tidak berlaku.


Papan tanda berwarna hijau dengan tulisan putih menujukkan ke Kuantan, jadi beberapa kilometer lagi mereka akan sampai ke Gombak. Lagi sekali Abu memulas pendikit(throtte) untuk menghampiri Kamil dan menunjukkan arah ke masjid.


Kamil mengangguk tanda faham.

Sampai sahaja di masjid, mereka parkir di bawah bumbung, tanggalkan topi kelenda dan terus Kamil ke tandas, manakala Abu menuju ke tempat ambil wuduk.


Sesudah Kamil ambil wuduk mereka mulakan solat magrib di luar tempat solat sebenar. Abu menjadi imam.

Tibanya nak memberi salam terakhir, jam loceng di dinding masjid berbunyi. Tanda solat isyak dah masuk. Selepas memberi salam, Abu tersenyum dan sebut,

”Alhamdulillah sempat solat sebelum waktu solat Isyak masuk.”

”Syukur….”


Lalu Abu membaca doa,


”Ya Allah, usah serahkan urusan kami kepada diri kami sendiri. Pimpinlah kami. Sungguh kami hamba yang lemah untuk membuat sesuatu keputusan, dan tidak pandai fikir antara baik dan buruk. Maka Mu ya Allah, yang Maha berdiri sendiri dan Maha kuat pimpinlah kami.

****

”Abu jom teman aku pergi stadium Shah Alam, lihat perlawanan antara Selangor lawan Perak,” Kamil mengajaknya.


”Boleh, selepas kita solat magrib dulu. Waktu pun dah nak masuk, lagi lima minit saja,” balas Abu.


”Baiklah,” ucap Kamil.


Terkesan dengan kejadian hujan renyai-renyai tempoh hari, Abu tidak lagi melambat-lambatkan waktu solat. Jika ada hal yang tidak boleh dielakkan, barulah dia berlapang dada.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 29, 2018 07:36

Motivasi: Wanita, Lenturkanlah Jiwa Kerana Taatkan Allah

Saya selalu tertanya pada diri sendiri, mengapa urusan menjadi wanita itu terlalu sulit? Terlalu banyak perkara yang perlu dijaga, emosinya, nalurinya, nafsunya, lidahnya, cara pemikirannya, maruahnya, auratnya, segala-galanya perlu dijaga. Belum termasuk urusan mengandung dan melahirkan anak, kesakitan demi kesakitan. Ah lelaki tidak perlu melalui semua itu. Sedangkan kita jika berfikir dengan akal fikiran waras yang Allah beri,kita tahu sahaja bahawa tanggungjawab lelaki terlalu banyak dan amatlah besar, belum tentu kita mampu memikulnya.


 


Usah Menjadi Hamba Emosi


 


Pembaca yang budiman.


Jika anda seorang wanita, pasti terlalu sering kita mendengar ucapan-ucapan begini;


‘Biasa lah orang perempuan, emosi lebih.’


‘Perempuan, sikit-sikit nak merajuk, sikit-sikit nak marah’


‘Orang perempuan memang mulut laser’


Kuat cemburu, tidak mampu mengawal emosi, selalu marah-marah, dan banyak lagi anotasi negatif yang disandarkan kepada wanita.


 


Sukakah kita dilabel begitu? Nampak seperti wanita adalah makhluk yang tidak mampu mengawal dirnya sendiri, asyik melayan emosi, pentingkan diri, mahu dia saja yang dilayani dengan baik, dia sahaja yang hatinya perlu dijaga. Saya tujukan pada diri saya terutamanya. Saya juga wanita biasa yang sedang belajar. Ada hari saya memarahi diri saya sendiri kerana bersikap sebegitu. Wanita harus kuat, apatah lagi apabila kita memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Allah sangat tidak sukakan hambaNya yang bersikap lemah.  Asyik menurut perasaan, itulah pintu masuk syaitan ke dalam hati manusia. Kemarahan yang tidak dikawal, cemburu yang melampau, sangkaan-sangkaan buruk, lidah yang menuturkan kata-kata tanpa berfikir terlebih dahulu. Dari situlah ia akan bermula memporak-perandakan hidup manusia.


Ya benar, para ummahatul mukminin juga ada masanya diuji dengan emosi. Cemburu, marah, merasa tidak cukup dengan pemberian Rasulullah s.a.w. Tetapi lihat kembali, bagaimana Allah dan RasulNya menegur dan mentarbiyah jiwa-jiwa mereka supaya menjadi contoh terbaik buat kita. Belajarlah dari mereka bagaimana menguruskan emosi. Apa yang Allah dan RasulNya tegur, teguran itu kembali kepada kita juga.


Sememangnya ada masa kita akan jadi terlalu tenggelam dengan emosi dan perasaan kerana letih menguruskan kehidupan seharian, menghadapi kerenah anak-anak, belum termasuk hal ehwal tempat kerja lagi, tetapi kita tidak boleh terlalu berharap orang di sekeliling kita datang memujuk dan membelai kita, memahami apa yang kita rasa. Pertama, mereka tidak berada di tempat kita. Kedua, mereka juga punya masalah mereka sendiri. Ketiga, mereka mungkin cuba memujuk dan menenangkan kita tetapi cara mereka tidak mengena lalu kita bertambah durja.


Lantas, yang terbaik adalah meletakkan pengaduan kita hanya pada Allah. Ingatlah ketika Nabi Yaqub a.s berasa terlalu sedih kerana kerinduannya kepada Nabi Yusuf a.s sehingga buta matanya, jatuh sakit jasadnya, namun anak-anaknya yang lain gagal memujuknya;


“Ya’qub menjawab:Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku (iaitu kesusahan besar yang tidak dapat ditahan lagi), dan aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya”.  – Surah Yusuf ayat ke 86.


 


Bersyukurlah Dengan Kebaikan yang Allah Beri


 


Diriwayatkan dari Imam Ahmad, daripada ‘Abdurrahman bin Syabl r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda di dalam sebuah hadith sahih:


“Sesungguhnya orang yang selalu melakukan kefasikan adalah penghuni Neraka.”


Dikatakan, “Wahai Rasulullah, siapakah yang selalu berbuat fasik itu?”


Baginda menjawab, “Para wanita.”


Seorang sahabat bertanya, “Bukankah mereka itu ibu-ibu kita, saudari-saudari kita, dan isteri-isteri kita?”


Baginda menjawab, “Benar. Akan tetapi apabila mereka diberi sesuatu, mereka tidak bersyukur. Apabila mereka ditimpa ujian (musibah), mereka tidak bersabar.”


 


Renungi hidup kita, dan hitunglah nikmat dan kebaikan yang Allah hadiahkan kepada kita. Kemudian hisab diri kita kembali, adakah tindakan, kelakuan, amalan kita sehingga saat ini melambangkan diri kita sebagai wanita beriman atau wanita fasiq?


Cermin diri. Kita masih punya jasad yang sihat, pancaindera yang sempurna, dikurniakan ibu bapa dan keluarga yang penuh kasih sayang, masih punya ruang dan peluang untuk mencari ilmu dunia akhirat dan rezeki serta kerjaya yang halal, meluaskan impian dan cita-cita, tiada yang menghalang sehingga bikin kita kecundang. Bahkan kita dikelilingi orang yang baik-baik, yang sentiasa membangunkan kita, yang sentiasa mengingatkan kita pada kebaikan, sahabat-sahabat teman-teman karib yang tidak menjatuhkan, dan sebagai bonus pula, kita dikurniakan jodoh yang baik, yang memenuhi segala keperluan kita dan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin, tidak berputus asa menyayangi dan bersabar dengan kerenah kita, kemudian dikurniakan pula zuriat yang sihat sempurna. Maka nikmat Tuhan yang manakah lagi yang kita dustakan?


Sedang terlalu ramai lagi manusia diuji dengan ujian yang mereka sendiri tidak pinta, Allah memilih kita untuk menerima nikmat kebaikan, apa yang mahu dirungutkan lagi? Mengapa tegar membandingkan apa kelebihan yang kita tidak ada dengan apa yang orang lain ada kemudian mengeluh kerana merasa tidak cukup.


Pernah suatu hari saya mengadu pada suami, bahawa saya ini penuh kekurangan. Memasak hanya tahu sekadarnya saja. Tidak seperti ipar yang lain, pandai memasak kuih muih pelbagai jenis. Tidak juga pandai menjahit, hendak bergaya dengan fesyen dan solekan terkini jauh sekali. Saya mengadu saya merasa tercabar dengan wanita-wanita lain serba boleh di luar sana, lalu berlakulah ‘perdebatan’ antara saya dengan suami, tetap saya mahu menang juga bahawa saya ini tak punya apa-apa untuk dibanggakan.  Di akhirnya suami saya sudah pening kepala tetapi kata-katanya lebih kurang begini menyedarkan saya, “Kalau sendiri yang rasa tak hargai diri sendiri walaupun di mata orang lain kita dah cukup sempurna, memang tak boleh tolong apa dah la sebab semua bergantung pada diri sendiri,” terdiam terus saya. Seperti kata-kata Yusuf al-Qaradhawi, ”Jangan engkau robek hatimu dengan tanganmu sendiri!”


 


Penutup: Taatlah kepada Allah


 


Allah menciptakan wanita dengan sebaik-baik kejadian, dan setiap ciptaan Allah terikat dengan perjanjian untuk taat dan beriman kepadaNya sebaik sahaja roh ditiup ke dalam jasad saat bermulanya nyawa. Wanita yang taat dan wanita yang ingkar sangatlah tidak sama kedudukannya di sisi Allah.


Lantaran itu duhai wanita, apa sahaja yang kita lakukan, lakukanlah kerana ketaatan kita kepada Allah. ‘Struggle’ lah untuk mendapatkan tempat yang terbaik di sisi Allah. Kita patuh kepada ibu bapa dan suami dalam perkara-perkara yang syarak, kita tunaikan solat, puasa dan rukun-rukun kewajipan yang lain, kita tutup aurat, menahan diri dari terpengaruh dengan fesyen yang melalaikan, kaawal pergaulan kita dengan lelaki ajnabi, menjaga akhlak kita sesama wanita, semuanya hanya kerana kita taat kepada Allah. Kita keluar menuntut ilmu dan mencari rezeki demi membantu keluarga pun kerana Allah. Bahkan kita bersabar dengan kesakitan-kesakitan yang kita lalui saat hamil dan melahirkan anak, seterusnya saat menyusukan dan membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang, juga kerana kita taat dan akur pada ketentuan Allah buat kita wanita.


Wanita yang dicintai Allah, muliakanlah diri dengan iman. Jangan sia-siakan dirimu dengan kekosongan yang tidak diisi dengan hal yang membangunkan jiwa. Kerana kekosongan itulah yang kelak mendatangkan kesempitan hati dan terbukanya laluan untuk godaan dan bisikan syaitan. Jauhkanlah diri daripada dosa dan maksiat, kerana maksiat itu kunci kesedihan hati dan penjemput ketidakbahagiaan jiwa.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 29, 2018 00:42

January 28, 2018

Cerpen: Sampah dan sikap masyarakat

Adam menghela nafas panjang. Turun naik dadanya. Dia menggenggam penumbuk seerat-eratnya. Hatinya sudah panas. Dia berasa sangat marah. Perkara seperti ini bukan kali pertama kali terjadi kepada dirinya. Sepanjang 3 tahun dia menetap dia pangsapuri Seroja tersebut, hampir 4 kali perkara seperti ini terjadi kepada dirinya.


“Manusia mana yang tiada sivik ini, suka hati baling sampah dari tingkat atas. Habis kena kereta aku.” Marah Adam apabila atas keretanya terdapat bungkusan sampah yang pecah akibat jatuh dari aras yang tinggi.


Permulaan hari yang agak “panas” buat Adam, terpaksa membersihkan sampah yang bertaburan atas keretanya sebelum pergi ke tempat kerja. Dia nekad untuk menggesa pengerusi persatuan penduduk pangsapuri tersebut untuk mengambil tindakan tegas tentang masalah ini.


***


“Malik, kau tolong buang sampah ini kejap. Dah tiga hari tidak buang, busuk bukan main ini.” Pekik Zaid kepada rakannya yang sedang baring di atas katil.


“Malas lah. Asyik aku saja kena turun buang sampah. Lagi pun hari sudah lewat malam, esok pagi saja lah aku buang.” Malik membantah. Dia sudah malas untuk turun ke aras bawah untuk membuang sampah.


Jam sudah menunjukkan pukul 11.53 malam. Dia sudah mahu tidur. Masakan dia perlu turun dari aras empat semata-mata untuk membuang sampah. Tidak kuasa dia untuk berbuat demikian. Esok masih ada, apa yang perlu dikejarkan sangat.


Suasana sunyi tanpa suara manusia atau bunyi enjin kenderaan. Tandanya malam sudah larut malam. Kebanyakan manusia sudah lena dibuai mimpi. Merehatkan badan mengumpul tenaga untuk meneruskan aktiviti pada esok hari.


Dalam keheningan malam itu, tiba-tiba terlihat sebungkus beg plastik berwarna hitam, terbang melayang dari aras empat sebelum jatuh terhempas ke bumi.


***


“Allahu Akbar, Allahu Akbar!”


Kedengaran azan subuh berkumandang dari corong pembesar suara surau pangsapuri Seroja. Laungan bilal kedengaran di seluruh kawasan, memanggil-manggil sekalian umat Islam khususnya lelaki untuk solat subuh berjemaah di tempat azan dikumandangkan.


Surau pangsapuri itu seluas 400 kaki persegi, mampu menampung seramai kira-kira 50 orang jemaah. Namun, hanya kelihatan 12 orang sahaja yang hadir menunaikan solat subuh secara berjemaah. Pemandangan yang agak menyedihkan.


Usai solat subuh, Adam mengajak pengerusi persatuan penduduk pangsapuri Seroja; Tuan Osman untuk berbincang mengenai hal yang sudah lama terpendam dalam hatinya. Adam sudah tidak mampu bersabar lagi.


“Tuan Osman, saya sangat mengharapkan jasa baik Tuan untuk segera mengambil tindakan akan masalah yang semakin menjadi-jadi di pangsapuri kita ini.” Adam memulakan bicara.


“Maksud kamu masalah pembuangan sampah merata-rata terutama dari aras tinggi pangsapuri?” Tuan Osman dapat menebak apa yang cuba disampaikan oleh Adam.


“Ya Tuan. Pagi kelmarin, habis kotor kereta saya dengan sampah-sarap. Kalau saya dapat pelakunya, teruk saya kerjakan.” Adam mengadu akan perkara yang terjadi pada dirinya.


“Saya sudah maklum akan hal ini. Sudah banyak aduan yang saya terima daripada penduduk di sini. Jangan risau hal ini akan saya selesaikan secepat mungkin.” Kata Tuan Osman sambil menepuk bahu Adam.


Bukan Adam seorang sahaja mangsa perbuatan tidak bertamadun ini, bahkan ramai lagi. Minggu lalu, cermin kereta salah seorang penduduk retak akibat objek yang dibaling dari tingkat atas pangsapuri.


***


“kringgg!”


Jam loceng di salah satu buah bilik tidur rumah nombor 7, aras 4, blok C pangsapuri Seroja berbunyi.  Jam menunjukkan pukul 9 pagi. Malik bangun dan keluar dari biliknya menuju ke arah dapur. Kelihatan Zaid sedang bancuh air di dapur.


“Zaid, mana sampah yang kau suruh aku buang semalam? Mari sini aku buangkan.” Malik bertanya sambil melihat sekeliling dapur mencari beg plastik sampah tersebut.


“aku dah buang semalam.”


“Wah, rajin sungguh kau turun buang sampah malam-malam!”. Malik kagum akan kerajinan kawannya itu.


“Aku tak turun pun. Aku lempar saja dari tingkat atas ini.”


“Kau sudah hilang akal? Buang sampah seperti itu saja?


Hilang rasa kagum Malik terhadap rakannya itu selepas mendengar jawapan yang diberikan. Dia bagai tidak percaya Zaid sanggup membuang sampah begitu saja. Malik berang akan tindakan yang dilakukan oleh Zaid.


“Kau tak sekolah ke Zaid? Orang buang sampah dalam tong sampah, bukannya lempar begitu saja. Kalau sampah tu jatuh atas orang lain bagaimana?” Malik meninggikan suara tanda tidak puas hati.


“Aku buang pada waktu malam. Masa itu bukan ada orang pun.” Zaid menjawab dengan nada bersahaja tanpa rasa bersalah.


Malik berpaling lalu pergi ke ruang tamu. Dia menggelengkan kepala sambil mengangkat kedua-dua belah tangan tanda mengalah. Dia sudah tiada kuasa untuk berbalah dengan Zaid. Kawannya itu bukan jenis “makan saman”.


Malik sendiri akui kadangkala malas untuk turun ke bawah untuk membuang sampah. Tambahan lagi tinggal di pangsapuri yang tiada kemudahan lif. Namun, itu bukan satu alasan untuk membuang sampah sesuka hati.


***


Setelah berpuluh-puluh aduan yang diterimanya, Tuan Osman tidak boleh berlengah lagi. Dia harus mengambil tindakan dengan segera. Satu rondaan dilakukan oleh Tuan Osman dan pembantunya.


Mereka berdua mengelilingi keseluruhan kawasan pangsapuri Seroja yang mengandungi 6 buah blok pangsapuri. Setiap blok mengandungi 4 aras dan setiap aras terdapat 10 buah rumah.


Tuan Osman dan pembantunya melewati setiap blok dan setiap aras untuk melihat sendiri tahap kebersihan kawasan tersebut. Mereka juga melakukan rondaan di sekitar kawasan parkir kenderaan, kawasan taman permainan dan kawasan khas tong sampah.


“Tuan, teruk masalah sampah di kawasan kita ini. Merata-rata tempat ada saja sampah yang boleh dijumpai.” Pembantu Tuan Osman bersuara.


“Saya tidak faham akan sikap penduduk di kawasan kita ini. Tong sampah sudah disediakan tetapi masih juga suka membuang sampah di merata-rata tempat.” Tuan Osman meluahkan rasa hatinya sambil mengurut-urut dahi.


Pening kepala Tuan Osman memikirkan masalah tersebut. Sampah ada saja di merata-rata kawasan.


Di koridor blok.


Di atas bumbung.


Di kawasan tangga.


Apatah lagi di dalam longkang.


“Tindakan tegas harus segara diambil. Kalau tidak, masyarakat kita tidak akan terus bersikap seperti ini.”   Kata Tuan Osman kepada pembantunya.


***


Pada hari Sabtu, jam 9 pagi, diadakan satu perjumpaan khas untuk membincangkan tentang masalah pembuangan sampah ini. Ramai penduduk hadir untuk sama-sama berganding bahu menyelesaikan masalah ini. Kebanyakan penduduk yang hadir ialah mereka berasa kesal dan mereka yang pernah menjadi mangsa akan perbuatan yang tidak bertamadun ini.


Antara penduduk yang hadir ialah Zaid. Dua hari lepas, Zaid mengalami kecederaan ringan di kepala apabila sebungkus beg plastik sampah jatuh dari tingkat atas terkena kepalanya.  Zaid sangat marah dengan kejadian tersebut. Selepas kejadian itu, baru dia sedar dan menyesal akan perbuatannya sebelum ini.


Begitulah sikap manusia, sudah terhantuk baru tengadah. Bila sesuatu perkara buruk terjadi kepada diri sendiri, baru mereka akan ambil peduli.


Tuan Osman mempengerusikan perjumpaan itu. Perkara utama yang ditekankan dalam perjumpaan tersebut adalah untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah pembuangan sampah ini.


Banyak cadangan dikemukakan oleh penduduk yang hadir. Ada yang meminta agar disediakan tong sampah di setiap aras. Katanya sikap suka membuang sampah dari aras tinggi kerana sukar untuk turun ke bawah.


Namun, cadangan ini ditolak oleh Tuan Osman kerana kesukaran bagi pihak berkuasa tempatan untuk mengambil sampah yang banyak untuk dibawa turun dari setiap aras. Sampah yang banyak terhimpun di setiap aras juga akan menyebabkan bau busuk.


Setelah hampir sejam perjumpaan berlangsung, kata sepakat berjaya dicapai.


Setiap blok akan disediakan sebuah tong sampah besar agar memudahkan penduduk untuk membuang sampah. Jika sebelum ini, penduduk harus berjalan kaki sedikit untuk membuang sampah di tong sampah yang terletak di hujung kawasan pangsapuri.


Denda juga akan dikenakan terhadap penduduk yang didapati membuang sampah merata-rata.


Dalam masa yang sama, kempen kesedaran akan kepentingan menjaga kebersihan dan menghormati sesama jiran akan dijalankan. Hal ini kerana, masalah pembuangan sampah merata-rata ini terjadi disebabkan oleh sikap manusia tidak bermoral dan hanya mementingkan kesenangan diri sendiri tanpa memikirkan tentang orang lain.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 28, 2018 21:05

Motivasi: Kita dan cita-cita

“Cita-cita hidup seseorang itulah yang menjadi ukuran kebesarannya. Apalah sebabnya maka ada manusia yang diberi gelaran “orang besar” dan ada pula yang bergelar “orang kecil” kalau bukan kerana cita-citanya?” – Ayahku karya HAMKA


Itulah kata-kata HAMKA yang membuatku terpaku setelah membolak-balik muka surat buku itu, dalam harapan mencari inspirasi untuk menggerakkan hatiku menghadapi hari tersebut. Ia, iman kita naik dan turun, dan kadang kita merasa kita tidak ada arah tujuan dalam hidup kita. Gelisah, risau; kita takut melihat kejayaan terbentang di hadapan kita. Seolah-olah tujuan hidup kita hanya diisi untuk berhiburan, makan, kerja, dan tidur.


Pernah aku bersembang bersama rakan kerjaku. Dalam perbualan itu aku menanyakan bagaimana dia menghabiskan waktunya setiap hari.


“Bangun, kerja, pulang ke rumah, makan dan menonton televisyen lalu tidur. Ulang semula untuk hari seterusnya.”


Padaku, itu bukan hidup. Itu hanya sekadar ‘mejalankan kewajipan hidup’ yang ada pada setiap manusia. Tidak ada makna pada kehidupan sebegitu. Apakah kita dicipta sekadar itu? Jawapan rakanku itu membuatku marah, walaupun itu bukan cara hidupku, kerana hidup sebegitu tidak ada nilainya! Kita dicipta untuk lebih dari itu! Kita manusia!


Ia, kita manusia. Pernahkah engkau bertanya kepada diri sendiri,”Apakah erti manusia? Untuk apa aku ada di muka bumi ini?” Pertanyaan sebeginilah yang selalu mengiringi fikiranku setiap waktu, kerana ia menghidupkan hati dan akal fikiranku supaya selalu bertanya tujuan hidup di dunia.


Aku sedar bahawa dalam hidup, kita akan lebih memahami sesuatu apabila kita bertanyakan akan sesuatu hal demi memahami jawapan yang akan diraih di penghujung persoalan itu daripada diberi jawapannya terus.


“You can give a man a fish, but better to teach him how to fish.”


Ia, mengajar seseorang bagaimana untuk berfikir lebih bermanfaat daripada setiap kali memberinya jawapan terus.


Mudah sekali jika ada jawapan depan kita, tetapi jika kita asyik disuap dengan jawapan kepada hidup dan tidak berdikari untuk memikirkan bagaimana kita boleh sampai ke jawapan itu, maka kita akan malas berfikir untuk perkara-perkara penting dalam kehidupan kita. Kita akan turut kepada jawapan itu tanpa menanyakan bagaimana sesuatu itu terjadi atau berlaku.


Mungkin ramai sudah tahu tujuan kita diciptakan.


Allah ‘Azza Wa Jal berfirman,


{Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.} Surah Adh-Dhariyat Ayat 56


Mungkin engkau akan berkata, “Ia, itu aku tahu, tapi aku tak tahu apa aku nak buat dengan hidup aku ni.” Engkau tidak bersendirian, dan ingatlah itu! Kerana aku percaya, ramai juga yang masih tercari-cari panggilan hidup mereka, apa yang dipanggil ‘passion’ dalam bahasa inggeris


Jika ingin mendalami akan makna tujuan hidup, bolehlah kita kisarkan erti cita-cita. Ada beberapa kata-kata HAMKA yang menusuk ke hatiku, kata-kata, yang padaku, indah dan mendalam.


“Orang yang memperoleh kemenangan dalam suatu pekerjaan ialah orang yang mengukur bajunya sesuai dengan tubuhnya.” – Falsafah Hidup.


Mengukur baju sesuai dengan tubuh. Jika engkau seseorang yang suka menulis, tidak pantas jika engkau menghabiskan hidupmu mengejar suatu pekerjaan yang tidak dekat pada hati. Contoh, tidak wajar engkau menjadi seorang wartawan tetapi engkau memilih kursus jurutera kerana ‘mereka’ kata itu jalan yang selamat, jalan yang boleh memberikan pendapatan dan hidup yang stabil.


Tetapi, siapakah yang menjalankan hidup engkau? ‘Mereka’ atau engkau sendiri? Kadang, cara terbaik untuk hidup adalah dengan menepis segala kata-kata orang yang tidak pandai menilai diri kita, kerana walaupun mereka berniat baik untuk memberi nasihat, tidak semestinya nasihat itu bagus untuk diri kita. Di sini kita dapat pelajari betapa pentingnya memilih kawan dan juga orang orang terhormat seperti orang tua kita dan guru-guru kita dalam memberikan nasihat hidup.


Belajarlah mengenali diri sendiri, akan kekuatan dan kelemahan yang ada dalam dirimu. Dari situ dapatlah kita membina cita-cita yang besar dan kecil mengikuti keupayahan setiap individu. HAMKA faham akan kekuatan dan kelemahannya, dan terlihatlah kekuatannya dalam menuliskan sekian banyak buku dan novel yang telah menghidupkan masyarakat Islam di Nusantara. Di situ terlihatlah kebesaran cita-citanya.


Islam mengajarkan kita untuk menjadi mukmin yang bercita-cita tinggi. Tidak cukup hanya sekadar menjalankan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dalam perkara duniawi juga, kita harus memberikan segala fokus dalam pekerjaan kita dengan meniatkan untuk meraih ridha Allah Subhanahu Wa Ta’ala.


Jadi, apakah cita-cita kita?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 28, 2018 06:35

Kisah Si Gadis Ayu

Gundah gulana si gadis ayu. Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak kejadian telah mengecewakannya. Memang manusia tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Memang manusia bukannya tempat untuk bersandar, untuk menaruh harapan. Bahkan merekalah yang selalu menghancurkan harapan dan memungkir janji. Bukannya dia tidak faham fakta ini, tetapi dia sering terlupa. Dia mengeluh panjang, fikirannya berkecelaru. Hatinya sarat dengan hiba, seolah-olah ia boleh hancur dek beratnya pikulan hatinya.


 


Kakinya melangkah ke kamar mandi. Perlahan-lahan, dia membasahi mukanya, kemudian dituruti dengan pengambilan wudu’. Pergerakkannya lemah longlai, seperti seorang yang tiada tuju. Di setiap usap di ubun kepalanya, di cuping telinga, di wajahnya yang lesu, dia memohon ketenangan untuk hinggap di hatinya yang semakin sebak. Semua gerak-gerinya dilakukan tanpa kefahaman akal. Ia seperti sebuah rutin yang telah disematkan di dalam sistem kehidupannya: apabila kecewa dan keliru, ambillah wudu’, dan dirikanlah dua rakaat solat sunat.


 


Sejadah usang dibentangkan ke arah kiblat. Dia menguatkan dirinya untuk berdiri tegak, untuk menzahirkan takbir yang mengharamkan sebarang gangguan di luar bulatan dirinya dengan Tuhan. Ummul kitab dibaca, mulanya perlahan. Dalam kekusutan fikirannya, dia memaknai setiap butir perkataan dalam surah tersebut. Matanya mula berkaca. Ah, sungguh baik Tuhanku, sungguh Agung! Mengapa harus aku berduka cita sedangkan Tuhanku adalah Pentadbir seluruh alam? Ummul kitab yang bermain di bibirnya seolah-olah angin dingin di tengah-tengah padang pasir yang hangat – sangat menenangkan, walau hanya untuk seketika.


 


Surah lazim alam nashroh dibacanya kemudian. Memang dari permulaan, hatinya memanggil kepada surah itu, dengan niat untuk mendapatkan kekuatan dari ayat-ayat tersebut. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Setiap bibit perkataan diucapkannya dengan perlahan, supaya ia betul-betul dijiwai olehnya. Hatinya sedang sakit tenat, dan mengingati Tuhannya adalah satu-satunya penawar.


 


Dia mengangkat takbir. Allah Maha Besar! Air matanya semakin deras. Ya Allah, Engkau Maha Besar! Tunduk rukuknya perlahan, seolah-olah membawa bekal yang berat dibelakangnya. Air matanya jatuh tepat pada sudut letak kepalanya ketika sujud. Angkatlah bebanku ini ya Allah, ringankanlah untukku! Perlahan-lahan, dia bangun dari rukuk, sambil mengambil nafas yang panjang. Udara memasuki paru-parunya dengan penuh, memberi keselesaan buat seketika, di antara tangisannya yang semakin mengetatkan jiwa. Ya Tuhanku, bagiMulah segala puji, pujian yang banyak, baik dan diberkahi. Ah, sangat pemurah Tuhanku! Aku hanya seorang yang kerdil!


 


Mukanya terjatuh dahulu, dahinya mencium sejadah lusuhnya. Gadis itu tersedu. Dilemparnya segala remuk hati, segala tangisan yang ada dalam diri. Dia mengangkat kepalanya yang berat, dan duduk di antara dua sujud. Ya Tuhanku! Ampunilah aku, kasihanilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku petunjuk, berilah aku kesihatan dan maafkanlah kesalahanku! Kepalanya dijatuhkan kembali. Tangisannya seolah-olah tidak akan henti. Bak kata Hamka, dia hanyalah seorang gadis yang lemah, yang hanya mampu memberikan tangisan.


 


Gadis itu hampir-hampir lupa untuk bangkit. Bibirnya berkumat-kamitkan doa dalam saat dia masih dalam posisi bersujud. Tubuhnya tersedu-sedu, terlalu asyik dengan pembicaraan dengan Tuhan. Apabila dia bangkit untuk rakaat kedua, terasa seperti bebannya telah diringankan sedikit, kesakitan di jiwa sudah berkurangan dan tangisannya semakin perlahan.


 


Seusai rakaat kedua, gadis itu memberi salam ke kanan, kemudian ke kiri. Sekaligus, dia teringat akan makhluk ghaib yang setia melihat dan mencatat. Dengan secara tiba-tiba, jantungnya terjatuh dek memikirkan kitab amalnya yang semestinya lebih berat di bahagian kiri. Berat kerana niat-niatnya yang kurang ikhlas, fikiran-fikirannya yang mengumpat tentang orang lain walaupun ia tidak dilafazkan, setiap gerak-gerinya yang membawanya lebih dekat kepada lembah maksiat dan jauh dari ketaatan kepada Tuhannya, dan banyak lagi.


 


Jantungnya terasa seolah-olah hendak tercabut dari badannya. Sekali lagi, gadis itu sarat dengan hiba. Adakah ini kesesalan di dunia, yang akan berulang berkali-ganda di padang mahsyar kelak? Kerosakan yang dibawa pada dirinya sendiri, dek perbuatan lampau yang sering diulangi, namun senang saja dilupakan. Namun, sang Khaliq tidak pernah lupa. Sejadahnya dihujani tangisan dari jiwa. Tidak ada apa yang dapat memujuk hatinya yang remuk. Gadis itu mengangkat tangannya setinggi yang mampu, dan memohon keampunan, memohon akan ketenangan dari Rabbnya.


 


Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia! Hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘arsy yang agung. Bibirnya terjumpa kalimah-kalimah ini yang sangat menenangkan jiwanya. Berbuih mulutnya mengulangi zikir tersebut dan degupan jantungnya semakin perlahan, seolah-olah zikir itu adalah cahaya yang telah dijumpainya di dalam kegelapan hibanya. Dia mengulangi zikir tersebut dengan penuh yakin, sehingga perlahan-lahan, ketenangan hinggap dengan rapi di dalam jiwanya yang sebentar tadi memberontak kesakitan. Sedunya terhenti dek pelukan kasihan dari Rabbnya. Jiwanya yang terasa hancur tadi kini bergelora dengan harapan untuk menjadi hamba yang lebih baik mulai sekarang.


 


Gadis tersebut terduduk lama di sejadahnya. Letih dari menangis, dia hanya mampu mengesat sisa-sisa air matanya. Dia termenung sambil memikirkan tentang remuknya hatinya sebentar tadi, tetapi kini sudah tenang kembali – hanya kerana dua rakaat yang penuh dengan pengharapan atas rahmat Tuhannya. Dia mula berazam. Mula dari saat ini, aku akan jadi lebih baik dari dahulu. Aku pastinya tidak akan ulangi kesilapanku. Aku akan menggantungkan harapanku kepada Tuhan, dan bukan manusia. Aku akan bertawakkal dengan Allah dalam setiap perkara yang aku lakukan. Aku tidak akan putus asa. Aku tidak akan zalimi diriku lagi!


 


Namun, jauh di sudut hatinya, dia tahu dan sedar bahwa dia hanyalah seorang manusia yang kerdil. Seorang insan yang memang dasarnya seorang pelupa. Dia tahu, setelah dia bangkit dari sejadah itu, dan kembali kepada rutin sehariannya, dia akan lupa janjinya pada dirinya sendiri. Sedetik dua nanti, dia pasti akan lupa – dan tangisan ini pasti akan berlaku lagi.


 


———-


 


Wahai gadis, tidakkah engkau mengerti? Dunia ini hanyalah sebuah persinggahan, maka persiapkanlah dirimu dan janganlah termakan godaan yang sentiasa memenuhi jalanmu. Sentiasa kembali kepada yang Maha Agung – carilah kekuatan dan pertolongan dariNya. Dunia ini bukan tempatmu – syurga yang kekal abadi adalah tempat asalmu, dan kamu hanya sedang dalam perjalanan pulang. Jadilah seperti sang musafir yang sentiasa merindukan rumahnya. Sungguh, Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


 


Wahai gadis, tidakkah engkau mengerti?


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 28, 2018 01:01

January 27, 2018

Anak Adam tidak akan terlepas dari Dosa.


Seminggu saja lagi percubaan SPM akan bermula. Aku dan kawan-kawan yang lain sedang sibuk membelek kertas percubaan tahun sebelumnya dengan harapan soalan yang sama akan keluar untuk percubaan tahun ini.


Di sekolah, aku dan kawan-kawan aku mempunyai satu kumpulan yang di namakan ‘The Girls’ (bukan nama sebenar). Ahli kumpulan ini seramai 7 orang. Kami sudah berkawan sejak sekolah rendah lagi. Nama pilihan itu adalah kerana hampir semua daripada kami pelajar terbaik sekolah dan semuanya merupakan jawatankuasa Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), aku sebagai Presidennya ketika itu.


“InshaaAllah kita boleh!” Kata Zila dengan lantang diikuti mata yang membulat.


“Minggu depan kita ulangkaji rumah kau pula kan, jangan lupa belajar topik yang kita nak fokus tu” Ujar Siti kepada Zila yang tadinya bersemangat.


Itulah perbualan seharian kami berlapan. Lawak jenaka, gossip dan soal akademik itu sudah menjadi hiburan hari-hari kami sepanjang di sekolah.


Seperti biasa, awal pagi lagi aku akan ke sekolah dengan menaiki bas sewa jiran sekampung, Pakcik Ali namanya. Aku ke sekolah seawal enam suku kerana bas trip pertama memang seawal itu.


Memandangkan pada tahun itu adalah tahun kami berada di sekolah, hampir semua guru dan junior mengenali populariti kami. Bahkan guru-guru mengharapkan sesuatu keajaiban daripada kami ‘The Girls’ untuk gempakkan lagi keputusan peratusan SPM pada tahun tersebut.


Aku pula jenis yang pantang kalah bab akademik. Tempat lima dan ke atas itu adalah pilihan sejak masuk sekolah menengah lagi.


Pada pagi isnin nak ke sekolah, aku berjalan perlahan melalui lereng koridor sambil tertunduk. Sedang aku tunduk itu, aku mendengar derapan kaki seseorang daripada hadapan seolah-olah ingin menghampiriku. Belum sempat aku angkat kepala, tangan seorang perempuan tangkas menangkap bahuku.


“Farah, sini-sini!” cakapnya perlahan tapi masih mampu untuk aku dengari.


Siapa pula tarik aku awal pagi, mukanya saja belum lagi aku jengah. Zila rupanya.


“Cikgu Mariah ada kat atas, baik kau jangan naik!”


“Ada hal apa ni? Cuba kau cakap elok-elok, tarik nafas, kau dah macam kena kejar hantu” jawabku menenangkan situasi yang kelam kabut.


“Cikgu Mariah dah tahu soal anak dia tu, habislah kita” sekali lagi suara masih dalam nada yang takut.


“Tahu soal anak dia dengan anak Cikgu Osman tu?” tanyaku ingin tahu.


“Haa, kau duduk bawah ni je, sebab Laila, Anis, Siti, Nora dengan Nina ada kat atas, Cikgu Mariah sedang cari kau tu dalam kelas, aku mohon sangat kau jangan naik, Cikgu Mariah naik marah sebab kau tuduh anak dia lakukan hubungan tak bermoral tu” pujuk Zila menggigil sambil memegang erat kedua tanganku.


“Aku tak tuduh lah Zila, kita hanya nyatakan perkara yang benar kan?” Jawabku diikuti tatapan kemesraan untuk aku tenangkan gelabahnya yang kian membuak.


“Aku mohon sangat jangan Farah” sekali lagi ketakutannya masih belum redah.


“Aku naik dengan kau, aku tak buat salah lah, kenapa aku nak takut pulak? Dah anak dia memang lakukan hubungan songsang tu, jomlah naik” ajakku berani namun ternyata berhadapan dengan seorang guru yang kau begitu sayangi mulai membencimu adalah sesuatu yang sangat berat untuk aku terima.


Aku pun tarik kuat tangan Zila kerana enggan untuk naik bersamaku. Dengan langkah yang berat aku gagahkan juga. Aku begitu percaya dengan kata-kata ‘berkata benar meskipun pahit’, itulah prinsip yang aku simpan dalam diriku.


Langkahku kian perlahan saat kaki kecilku sikit lagi menghampiri pintu kelas. Aku melihat kawan-kawanku dalam kelas ada yang berdiri dan ada yang duduk membuat kerja mereka masing-masing. Tapi tidak seperti hari-hari biasa, suasana pada ketika itu sangat tegang, setegang besi yang menahan jambatan pulau pinang yang terus kukuh menampung ribuan kereta yang lalu.


Di depan pintu kelas aku melihat Laila sedang berdiri entah menghadap siapa sambil tertunduk. Siti tertunduk di atas meja, Anis sedang menangis teresak-esak seperti kena pukul orang, di sisi lain aku melihat Nora dan Nina sedang khusyuk menatap meja mereka seperti sedang menyesali sesuatu.


Semakin aku dekat menghampiri Laila, aku terpanah dengan satu susuk tubuh yang aku sangat kagumi berdiri dihadapannya sedang membelakangiku, Cikgu Mariah. Guru yang sangat aku sayangi dan kagumi sejak tingkatan satu sehinggalah sekarang, beliaulah guru matematikku yang membuat aku begitu menyukai subjek tersebut, orangnya sangat baik malahan sangat prihatin.


Sepantas kilat bahunya seperti punya mata menyedariku berada di belakangnya, lalu dia hadapkan badannya kepadaku.


“Haaa ini seorang lagi ketua sudah datang” Sebut Cikgu Mariah dengan lantang sehingga seisi kelas boleh mendengarinya.


Aku masih terpaku tidak mampu untuk mengungkapkan sebarang kata. Bukan kerana aku takut, tapi aku masih menghormatinya selaku guruku selama beberapa tahun yang lalu.


“Apa salah cikgu dengan kamu semua, sampai hati kamu tuduh anak cikgu lakukan perkara yang tidak senonoh tu”. Sambung Cikgu Mariah lagi dengan nada yang sedikit tinggi.


“Tapi betullah cikgu, cikgu tak tanya dengan Nabilah sendiri ke, dia dah buat apa dengan Fatin? Wei Nabilah, asal kau diam je haa!” spontan mulut Laila mengeluarkan kata, sedangkan dia berada dekat dengan Cikgu Mariah. Aku sangat kenal Laila, dia seorang pendebat di sekolah kami, mana mungkin dia akan duduk diam dalam sebuah kebenaran.


“Kau diam Laila, cikgu tak habis cakap lagi dengan Farah” ujar Cikgu Mariah sampai telunjuknya menunding ke kepala Laila.


Nabilah duduk tertunduk, entah menyesal atau gembira kerana kami sedang dimarahi ibunya. Fatin pula acah menangis tanpa suara.


“Cikgu sangat terkilan dengan apa yang korang buat pada anak cikgu, sekarang ni macam mana? Khabar buruk mengenai anak cikgu sudah tersebar satu sekolah, malu taw cikgu, cikgu nak letak mana muka cikgu, Farah”


Aku masih diam daripada berkata apa-apa. Kemana agaknya keberanianku pada saat itu. Secara tiba-tiba, mataku berkaca, degupan jantungku kencang. Cikgu Mariah masih merenungku dengan tajam tanda bencinya sudah mulai membuak.


Andai dia tahu siapa yang bersalah, sudah pasti dia sendiri akan menyesali kerana memalukan kami sebegitu. Tapi aku sangat yakin, mana mungkin seorang ibu tidak mempercayai anaknya meskipun kesilapan yang dilakukannya itu jelas salah dan melanggar syara’.


Khabar yang mengatakan Nabila (anak cikgu Mariah) dan Fatin (Anak Cikgu Osman) telah melakukan hubungan yang terlarang itu telah tersebar satu sekolah. Kononnya kami sekawan berlapan yang membawa fitnah itu ke dalam sekolah, sehingga menjadi buah mulut semua cikgu dan murid-murid.


Ada cikgu yang menyokong kami, bahkan ada juga yang memalingkan muka daripada kami semua.


“Jika inilah balasan yang kalian buat untuk cikgu, cikgu pasrah, tapi mohon bersihkan kembali nama baik Nabilah, kamu tidak tahu sejauh mana dia menyimpan perkara ni daripada cikgu, sampai satu tahap cikgu sendiri kena berhadapan dengan kamu semua” ujar Cikgu Mariah jelas lalu meninggalkan kelas.


Suasana kelas pada ketika itu ibarat sebuah bangsal buruk yang tidak berpenghuni. Sunyi sepi tanpa suara. Aku perlahan mengorak langkah untuk mencari tempat dudukku. Mataku malas untuk melihat dengan jelas, aku duduk termenung.


Adakah aku dan kawan-kawan aku yang sepatutnya dipersalahkan tentang perkara ini? Kami hanya membawa satu kebenaran, bahkan kami sama sekali tidak pernah terniat untuk hebahkan khabar yang tidak manis itu. Ianya tersebar sendiri kerana jelas apa yang mereka lakukan itu satu kebatilan.


“Kita minta maaf je lah dekat Cikgu Mariah, even bukan salah kita pun” secara tiba-tiba suara Siti kedengaran.


“Betul juga tu Siti, alang-alang nak dekat Exam dah ni, aku tak mahulah ilmu yang aku dapat tak berkat, yang penting kita dah minta maaf, itu adalah yang terbaik kita boleh buat setakat ni”. Disokong pula oleh Anis.


“Sebelum balik sekolah kita masuk bilik guru jumpa Cikgu Mariah dan Cikgu Osman, boleh?”. Aku mencadangkan dengan suara yang masih terkedu kerana dimarah cikgu. Itu adalah kali pertama dan terakhir aku berhadapan dengan cikgu dalam keadaan yang begitu dingin.


Setelah selesai sesi persekolahan, aku dengan yang lain pun masuk ke bilik guru dengan harapan Cikgu Mariah menerima kata maaf daripada kami. Pada asalnya kami begitu malu, kerana telah menjadi perhatian banyak guru pada ketika itu. Namun apakan daya, mereka adalah guru yang kami harus hormati.


Alhamdulillah, Cikgu Mariah menerima maaf kami, tapi mukanya masih sinis mungkin masih tersisa kesalan buat kami. Apa yang paling penting selepas peristiwa itu, kata maaf senantiasa kami utarakan dalam banyak hal yang masih boleh kami toleransi mengenainya.


Usai SPM pun kami masih menyantuni Cikgu Mariah, Cikgu Osman, Nabilah dan Fatin selayaknya manusia berhubung dengan manusia. Tidak sedikit pun tersisa dalam hati untuk membenci mereka, namun apa yang mereka lakukan sebelum ini sudah cukup banyak menjadi pengajaran buat kami.


Bahawa setiap kesilapan yang kita lakukan, masih ada peluang untuk dibaikpulih. Dengar-dengar juga hubungan antara Fatin dan Nabilah itu setakat sekolah menengah sahaja. Sekarang mereka sudah menjadi lebih baik daripada sebelumnya, bahkan kejayaan mereka lebih hebat daripada aku yang hanya memegang skrol diploma.


Semua ahli ‘The Girls’ pula, masing-masing menebarkan sayap ke negeri orang mencari bekalan ilmu untuk mengisi kantung kejahilan yang masih penuh dengan anasir-anasir sok tahu. Semuanya sedang mengukir kejayaan. Bila kami berlapan bertemu sahaja, cerita ini cukup menjadi pengajaran yang cukup bermakna, bahawa yang sepatutnya kami benci itu adalah ‘kelakuan’ bukan ‘si pelaku’.


Benarlah kata sebuah hadis, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda


كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ


“Seluruh anak Adam berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat” (HR Ibnu Maajah)


Semoga kita menjadi orang yang senantiasa membaiki setiap kesilapan yang kita lakukan, kerana kita tidak akan terlepas daripada berbuat silap dan dosa. Mungkin mereka dulunya buruk, tapi tidak mustahil untuk mereka berubah di masa akan datang. Hidayah itu hak mutlak Allah SWT, Dia akan berikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menariknya daripada sesiapa yang Dia kehendaki.


Cik Daisy

Bunga yang terus mekar menyebar aroma bahagia.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 27, 2018 17:37

Hilang Malu, Hilanglah Nilai Sebagai Manusia

Berapa banyak kita dapati orang yang tidak lagi segan-segan menyatakan maksiat di khalayak awam, tidak kiralah dalam group whatsapp yang ada ramai orang, dalam group Facebook dan sebagainya. Itu semua termasuklah apa yang dimaksudkan menyatakan maksiat di khalayak awam sebagaimana sabda Nabi s.a.w :


“Setiap ummatku akan dimaafkan melainkan golongan ‘almujahirin’. Sesungguhnya seorang Mujahir itu, dia berbuat sesuatu pekerjaan buruk pada malam hari lalu dia berpagi dalam keadaan Allah telah tutup keaibannya, namun dia berkata kepada orang lain “wahai si fulan, aku telah lakukan kelmarin begitu begini. Dia tidur dalam keadaan Allah menutup kejahatannya tetapi dia bangun pagi mendedahkan kejahatannya yang ditutup oleh Allah SWT”. [HR Bukhari]


Saya kira kita sudah maklum bahawa ada dalam masyarakat orang yang buat group untuk sama-sama bincang hal maksiat dan dosa. Bukan sekadar bincang, tetapi menyingkap pula hal-hal yang Allah anjurkan untuk ditutup kepada ramai orang. Tidak kiralah itu group pedofilia, group isteri-isteri orang atau bekas isteri orang, group suami-suami orang, dan pelbagai lagi nama yang aneh.


Demand dan supply untuk perkara dosa dan maksiat berlaku tanpa ada rasa malu lagi. Demand dan supply pada benda-benda yang tak masuk diakal orang yang sihat jiwanya untuk seorang manusia apatah lagi seorang yang mengaku muslim melakukan hal tersebut.


 


Kemanusiaan Yang Rosak


Berada dalam group sedemikian saja sudah satu dosa kerana hadaf/tujuan group itu sendiri adalah maksiat dan itu menunjukkan orang yang berada dalam group itu sedang redha hal itu berlaku.


Dalam sebuah hadith berkaitan mencegah kemungkaran dan kejahatan, hati adalah selemah-lemah cara.


مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ


“Barangsiapa yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia ubah dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu, dengan lisannya, sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya. Maka itu adalah selemah-lemah iman.” [HR Muslim]


Selemah-lemah cara itu bukan semata-mata kita hanya rasa tidak redha dengan apa yang berlaku, tetapi kita juga kena usahalah keluar dari bersama dengan suasana maksiat itu.


Dalam konteks group-group yang ada pada hari ini, yang memang jelas hadafnya adalah dosa dan maksiat, maka keluar daripadanya adalah sebagai indikator tidak redhanya hati kita.


Itu adalah borderline antara iman dengan dosa.


Dalam keadaan sedemikian, kita masih dapat memelihara rasa malu itu. Tetapi jika orang yang terlibat itu membiarkan dirinya berada terus menerus dalam kumpulan-kumpulan sedemikian, maka sukar sekali untuk kita katakan dalam dirinya masih ada rasa malu.


Termasuk dalam malu adalah kita bukan sekadar memelihara diri kita  daripada dosa dan maksiat, tetapi juga kita memelihara diri kita daripada melakukan sehina-hina perkara yang boleh merosakkan nilai diri kita sebagai manusia.


Ibn Qoyyim menyatakan: “Kamu telitilah satu akhlak ini yang dikhaskan hanya untuk manusia dan tidak pada semua haiwan. Ia adalah termasuk dalam sebaik-baik akhlak, yang tinggi nilainya, yang banyak manfaatnya. Bahkan, ia adalah ciri insaniah (kemanusiaan) itu sendiri…”


Katanya lagi, “…siapa yang tidak ada malu, maka tidak adalah baginya sedikit pun dari nilai insaniah itu melainkan hanya tinggal daging, darah serta tubuh fizikal mereka.” [Miftah Darus Sa’adah]


 


Masalah Pada Jiwa Kita Sebenarnya


Individu yang rosak akan melahirkan masyarakat yang rosak.


Sebab itu, dalam sebuah struktur masyarakat, tidak semua perkara boleh dibendung melalui atas ke bawah yakni melalui pegawai penguatkuasa. Ada perkara yang perlu dibentuk daripada bawah ke atas. Ada perkara yang perlu dididik daripada dalam hati ke luar.


Kalau hati yang dalam rosak, maka kesannya adalah pada pemilihan perbuatan yang rosak melalui tubuh badannya. Kalau tindakan individu itu sudah rosak, maka ia akan memberi kesan yang tidak baik juga kepada masyarakat yang terhasil.


Syeikh Mustofa As-Sibaie’ menyebut dalam bukunya, Hakaza ‘Allamatnil Hayah (Begini Hidup Mengajar Aku) :


“Sekiranya engkau berkeinginan dalam dirimu untuk melakukan maksiat, maka ingatkan diri kamu dengan Allah. Sekiranya tak dapat kau lakukan itu, maka ingatlah diri kamu dengan manusia (yang melihat perbuatanmu). Sekiranya itu pun tak dapat kau lakukan, maka ketahuilah bahawa dirimu telah bertukar menjadi himar (keldai atau sifat seakan binatang).”


Memang benar, Nabi s.a.w. pernah menyebut:


“Sekiranya kau tidak malu, maka lakukanlah sekehendak dirimu.”


Tetapi itu bukan lesen melakukan maksiat. Siapa yang memahami kalam Nabi dengan baik, maka ia akan faham bahawa itu adalah amaran dan ugutan.


Orang yang sudah terjerumus ke dalam maksiat, tetapi masih terus-menerus membiarkan dirinya bersama dengan maksiat itu, tolong-menolong pula, maka sebenarnya jiwanya ada masalah dan perlu dirawat.


Tidak sedar yang diri perlu dirawat itu bermasalah.


Sebab itu, kena sentiasa jadi orang yang bermuhasabah diri, melihat dan mengukur apakah perbuatan kita menepati kehendak Allah dan Rasul-Nya? Menilai dosa-dosa dalam diri dana pa yang perlu ditingkatkan dalam diri.


Bila terbiasa diri menghabiskan hari-hari dalam hidup dalam keadaan indenial, menafikan diri sedang bermasalah, menafikan diri sedang berpenyakit teruk dalam jiwa, menafikan yang hati sedang sakit, maka itulah yang membuatkan kita terus berada dalam keadaan ignorance (jahil) dan terus-menerus berbuat dosa.


 


Kalau Esok Mati


Wajar kita tanya diri sendiri, kalau esok kita mati, apakah yang kita lakukan hari ini, duduk dalam group-group maksiat, ketagihan dengan dosa dan maksiat, demand dan supply benda-benda dosa ini semua membantu kitakah di hari kematian?


Apakah ia bermanfaat kelak di hari yang tiada lagi naungan selain naungan Allah?


Apakah kita sempat bertaubat sebelum kita mati?


Kalau amal kita tidak mampu menjawab soalan-soalan ini, maka wajar kita segera rasa malu terhadap diri sendiri, rasa malu kepada Allah s.w.t. Rasa malu kerana kita habis-habisan menggunakan waktu di dunia hanya untuk berseronok dan memuaskan nafsu sendiri.


Rasa malu kerana kita mengorbankan akhirat yang lebih besar demi keseronokan dunia yang merosakkan diri sendiri.


Malulah sekarang kerana di akhirat kelak, tidak ada lagi ruang. Ketika itu, kita hanya menanggung malu sendirian bila dipertontonkan segala amal kita di dunia. Tapi untuk apa lagi malu ketika itu. Tiada gunanya lagi kerana malu ketika itu tidak lagi bermanfaat untuk kita.


Perbaikilah segera malu dalam diri kita. Malulah untuk berbuat maksiat dan kemungkaran kepada Allah s.w.t. yang telah banyak menganugerahkan nikmat kepada kita. Malulah untuk berlama-lama dalam maksiat sedangkan segala pergerakan kita sentiasa dicatat oleh malaikat.


Malulah jika kita tidak lagi tahu dan reti malu. Semoga Allah membuka jalan hidayah untuk kita semua.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 27, 2018 04:41