Azizi Abdullah's Blog, page 3

December 1, 2010

Terbalik, Tertunggang, Tertungging


Memetik dari Malaysiakini 1 Disember dan sebelumnya, teringat iklan tentang Astro dulu. Dengan lidah terkodek-kodek orang tua itu kata 'Macam-macam ada.' Hasilnya menjadikan sesetengah orang naik biul, pening dan bengang. Tak tahu lagi yang mana kura-kura, yang mana pelanduk.

1.
Mursidul Am Pas kata, Pas bersedia menerima perlantikan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Persekutuan, seperti syarat yang termaktub dalam Dasar Kebangsaan Negara Islam.

"Ini Negara demokrasi!" kata Mursidul Am itu.

Fullamak! Sesekali Mursidul Am ini selalu ambil jalan songsang. Ketika arus mengalir ke kuala, Tuan Guru ini berkayak ke hulu.

Memang tak ada apa halangan pun. Demokrasi, katakan. Tapi sesekali naik terbeliak mata juga kita. Kenapa asyik melayan isu sahaja sedangkan sekarang ini Pas dah lupa perjuangan teras keIslaman. Bukan saja di Kelantan sepi senyap hal-hal perundangan dan hukum tapi di negeri-negeri lain juga, macam Kedah, sepi senyap tentang undang-undang dan hukum Islam. Tak pernah timbulpun dalam Dewan Undangan tentang kaedah melestarikan imej Islam.

Sesekali, ada baik pakat-pakat duduk semeja, bermuhasabah pula tentang teras dan dasar Pas. Jangan terbawa-bawa sangat dengan rentak tari Pakatan.


2.
Dato' Seri Anuar Ibrahim pula menangkis tentang ribut taufan tuduhan terhadap Wan Azizah yang menyentuh tentang ketuanan Melayu. Katanya: PKR menolak konsep Ketuanan Melayu kerana konsep itu hanya mencerminkan hubungan 'Tuan' dan 'hamba'.

Cup-cup Sultan Selangor pula berkata, entah sindir siapa atau Lillahitaala kerana sayangkan bangsa, lalu tersiarlah berita Sultan Selangor melahirkan rasa dukacita dengan segelintir orang Melayu yang tidak memiliki rasa megah dan bangga, sanggup menggadaikan bangsa sendiri. Semuanya kerana matlamat golongan berkenaan adalah agar sistem raja berperlembagaan disemak dan dikaji semula.

Astaga…. Mat Marhaban pun berwirid Asmaul Husna. Pening kepala nak kata, apanya…. apanya… blaa… blaaa… blaaa.

Saya yang tak mengaji ini pun masih ingat, kalau tak silap seorang Perdana Menteri Melayu satu ketika dulu pernah memain peranan tentang hak-hak raja dan kedaulatan. Apakah Baginda baru tersedar hal ini di hujung tahun 2010? Tak pula berani ditegur, apa lagi merasa dukacita dan murka.

Titah Baginda lagi: Sejarahwan Barat tulis mengenai Tanah Melayu, Negeri Melayu, Raja Melayu. Itu bukti Barat iktiraf adanya Melayu memulakan sejarah Negara ini.

"Beta sedih dengan generasi sekarang yang malu mengaku Melayu!" titah Baginda lagi.

Ya Tuhan…saya tak mengaji tinggi. Tapi buku dalam almari buruk, ada sebuah buku "Mitos Peribumi Malas' Imej Orang Jawa, Melayu dan Filipina danam Kapitalisme Penjajah, terbitan Dewan Bahasa 1991.

Puuuuhhhhh! Ya holakk-holakkk! Dalam buku itu penuh catatan dari orang Barat menggambarkan Melayu ini hancai, suka bersiput babi, sabung ayam, penipu, pemalas dan lain-lain.

Macam mana ni? Buku itukah yang tak betul atau penulis Baratkah yang sasau? Fuhhhh, nampaknya kita kena mengaji lagi.



Tanya Pak Kasim Daun Ketom, setahu aku penjajah memang jajah tanah Melayu tapi yang makan Melayu, yang pekena Melayu, yang hambat Melayu, yang kelentong Melayu, yang ubah ketuanan Melayu, yang melinglong Melayu, siapa?

Orang Melayu juga! Bila? Ketika orang Melayu mula berkuasa? Bila? Bila-bilalah. Yalah, bila?

Tanya sama ular, apa pasal makan katak?

Cup-cup Dr. Mahathir pula kata, lupakan keturunan jika ingin 1Malaysia Berjaya. Mengasimilasikan diri menjadi satu!

Aikkkk! Dulu kata 1 Malaysia samar, kabur, kelabu asap, tak jelas. Aik, tak mengapa pula kata lupakan keturunan, pada hal orang yang kata tentang ketuanan Melayu yang berkonsepkan hanya 'Tuan' dan 'Hamba' macam tongkang pecah.

Dengan rasa rendah hati, tawadduk dan hina dinanya, silalah baca kalau ada lapang buku bertajuk JIWA HAMBA. Bab-bab macam ini sudah ditulis sejak tahun 2007 lagi.


3.
Saya terkejut lagi, sampai terpanggung macam kucing terkejut. Persatuan Sejarah Cawangan Kedah desak Kerajaan Kedah, bukan selayaknya menuntut cukai RM10 juta atau RM100 juta dari kerajaan Pulau Pinang tapi yang sepatutnya tuntut kembali Pulau Pinang kerana faktor sejarah, Kedah masih lagi terima duit pajak dan duit pajak itu bererti Pulau Pinang masih hak Kedah.

Aik… ini cakap Mat Piah Seberang Nyonyakah atau Persatuan Sejarah? Yang dok lama dulu, batuk pun tidak. Yang saya hairan, berani pula bersuara macam itu. Kata Din Bukit Tembaga, faham-faham sajalah. Lalang bukan boleh menyacak canggang angin.

Aduhhhhh, harap-harap Kerajaan Pas tidaklah jadi pakyet Alur Mengkudu.

Di bawah ini dipetik dari buku PERJANJIAN & DOKUMEN LAMA MALAYSIA, Old Treaties & Dokumens Of Malaysia 1791-2965. Buku ini saya dapat percuma dari Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia, Mohd. Khir Ngadiron. Saya selalu tabik kat Pengarah Urusan ini.


Persetiaan dengan Sultan Kedah 1791

Pada 16 hari bulan Syaaban tahun Hijrah 1205, hari Ahad (20 April 1791)

Perkara 1
Syarikat Inggeris akan memberi Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di Pertuan Kedah enam ribu Dolar Sepanyol setiap tahun, selagi Inggeris kekal memiliki Pulau Pinang.

Perkara II
Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di Pertuan bersetuju bahawa segala jenis bekalan yang diperlukan untuk Pulau Pinang, kapal perang, dan kapal Syarikat, boleh dibeli di Kedah tanpa halangan atau dikenakan apa-apa cukai.

Perkara III
Semua hamba yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah, hendaklah dikembalikan kepada pemunya mereka.

Perkara IV
Semua orang berhutang yang lari daripada pemiutang mereka, dari Kedah ke Pulau Pinang, atau dari Pulau Pinang ke Kedah, jika kerana tidak membayar hutang mereka itu, hendaklah diserahkan kepada pemiutang mereka.

Perkara V
Baginda Yang di Pertuan tidak akan membenarkan orang Eropah dari mana-mana Negara lain tinggal di mana-mana bahagian negeri Baginda.

Perkara VI
Syarikat tidak akan menerima (melindung) mana-mana orang yang melakukan penderhakaan besar atau pemberontakan terhadap Baginda yang di-Pertuan.

Perkara VII
Semua orang yang melakukan pembunuhan, yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah, akan ditangkap dan dipulangkan berbelenggu.

Perkara VIII
Semua orang yang mencuri cap meteri (pemalsuan) akan diserah balik sedemikian juga.

Perkara IX
Baginda Yang di-Pertuan tidak akan membekalkan apa-apa bekalan kepada semua orang yang menjadi musuh kepada Syarikat Inggeris.

Ke 9 perkara ini diwujudkan antara baginda Yang di-Pertuan dengan Syarikat Inggeris; Kedah dan Pulau Pinang akan menjadi sebuah negeri.

Disempurnakan oleh Tunku Shariff Mohamad, Tunku Alang Ibrahim dan Dato Penggawa Talibon, wakil-wakil bagi pihak Baginda Yang di-Pertuan dan diberikan kepada Gabenor Pulau Pinang, wakil bagi Syarikat Inggeris. Dalam Perjanjian ini, mana-mana pihak yang menyimpang daripada apa-apa yang tertulis dalam Perjanjian ini, Tuhan akan menghukum dan memusnahkannya: tidak akan ada padanya kesejahteraan dan kesihatan.

Meterai Shariff Mohamad dan Tunku Alang Ibrahim, dan Dato Penggawa Talibon, diperturunkan pada Perjanjian ini, dengan tandatangan masing-masing.

Ditranskripsikan oleh Hakim Bunder, Pulau Pinang.

Ditandatangan, dimeterai dan disempurnakan di Kota Cornwallis, Pulau Pinang pada 1 haribulan mei tahun Masihi 1791
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 01, 2010 19:13

November 21, 2010

Ada Apa Haaaa?


1.
Ada Apa Haaaa?
136 bahan penambah kebanyakannya bahan kimia dibenarkan ditambah di dalam mi segera oleh Codex, piawaian makanan WHO/FAO. Gambar di atas menunjukkan bahan ramuan itu.

Daripada 136 bahan penambah itu, 24 daripadanya adalah garam natrium, di samping garam makan juga turut ditambah. Disebabkan itulah kenapa mi segera mengandungi natrium yang tinggi. Satu paket mi segera sahaja boleh mengandungi kira-kira maksimum pengambilan harian yang dibenarkan 2,400 mg natrium.

Di samping banyak bahan penambah dan paras natrium yang tinggi, mi segera juga mengandungi jumlah lemak yang tinggi. Kebanyakan mi segera digoreng dalam proses pembuatannya. Menurut Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC) dan Pusat Keselamatan Makanan (CFS), sampel 3 cawan mi segera didapati mengandungi lebih daripada 30g daripada jumlah lemak bagi setiap pakej, yang merupakan lebih daripada 50% daripada had pengambilan harian bagi jumlah lemak untuk diet 2,000-kcal.

Huraian lanjut, sila dapatkan akhbar Utusan Pengguna keluaran Nov-Dis 2010.

2.
10 Ramuan Melampau Dalam Mi Segera

Adakah mi segera makanan sebenar atau makanan palsu? Apakah bahan penambah ini sebenarnya dan sejauh manakah ia selamat? Berikut beberapa ramuan yang mungkin anda mengambilnya bersama dengan mi segera anda.

Kalsium Sulfat: Kapur Paris.

Asid Tartarik: Bahan kimia yang digunakan dalam julap dan untuk memutihkan cermin. Lebih beracun berbanding 100% alkohol tulen.

Kalsium Oksida: Digunakan rawatan sisa buangan dan dalam racun serangga.

Tertiary Butylhydroxyquinone (TBHQ): Produk berasaskan petroleum; satu bentuk butane (cecair dalam pemetik api).

BHT: Risiko karsinogen dan kesan berbahaya kepada ginjal.

Propyl Gallate: Satu xenoestrogen (sebatian seperti hormon). Boleh memberikan kesan sampingan kepada pembiakan, perkembangan janin yang sihat dan menghalang pengeluaran sperma

Pentasodium triphosphate: Bahan pencuci paling berkuasa (sering digunakan dalam bahan cuci), bahan samak untuk kulit; juga digunakan dalam pengeluaran kertas, penapisan petroleum, aplikasi lombong dan rawatan air.

Propylene Glycol: Pelarut sintetik yang dianggap racun neurologi. Digunakan untuk pembuatan bahan pendingin, antibeku automotif, cecair yang berfungsi dalam tekanan hidraulik dan sebagainya. Jumlah berlebihan yang diambil boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang.

Polydimethylsiloxane: Digunakan dalam kanta sentuh, syampu (untuk menjadikan rambut berkilat dan licin), minyak pelincir dan jubin tahan panas.

Pewarna tiruan (contohnya: Sunset Yellow FCF dan Tartrazine): Menyumbang kepada hiperaktiviti dalam kalangan kanak-kanak; mungkin turut menyumbang kepada gangguan visual dan pembelajaran, kerosakan saraf; mungkin menjadi penyebab kanser.

Ikuti sepenuhnya dalam akhbar utusan Pengguna keluaran Nov-Dis 2010.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 21, 2010 18:32

November 14, 2010

ZAID, BISU SAJALAH MULUT!

zaid ibrahim

Secara peribadi saya rasa bukan saya seorang yang meluat dengan perangai Zaid Ibrahim. Zaid sepatutnya tidak jadi Zaid sekarang. Zaid sepatutnya jadi seperti Zaid ketika dia diserang sewaktu menjadi calon PKR di Ulu Selangor dulu, yang penuh sopan, tawaduk, rendah diri sehingga ketika itu nama Zaid melonjak dan dihormati. Dengan ketawadukannya ketika itu Zaid dapat mententeramkan dirinya sendiri dan PKR, penyokong, walaupun isu beliau dengan arak sebelumnya tersangat berat hendak ditangkis.

Sayang Zaid bertukar hanya kerana kononnya 'prinsip.'

Saya tertanya-tanya perangai yang sebegini datangnya dari mana? Untuk apa seseorang masuk sesuatu parti politik kemudiannya apabila secara prinsip tidak setuju, dijadikan parti politik dan pemimpin sebagai tempat hentam dan perlekeh.

Prinsip bukan tempikan dan bercakap, tapi sikap!

Dalam Malaysia orang politik seperti ini ada dua tapi berlainan cara dan berlainan sebab. Pertama YB Zulkifli Nordin yang terumbang ambing kritikannya seperti mencari tapak baru tapi takut dibayangi ' hantu ' politik itu sendiri. Manakala Zaid menganggap semua hal, semua perkara, semua benda, semua dasar dalam politik yang diceburinya, beliau sahaja yang betul.

Perangai begini sebenarnya budaya dari seorang yang memasuki Umno lebih dahulu dari parti lain. Sebenarnya Umno dan dasarnya tidak mengajar begitu, tetapi budaya ahlinya itulah yang menjadikan seseorang yang lompat keluar dari Umno selalu ada kerak daki keUmnoannya, sedangkan dasar parti Umno tidak menyuruh begitu.

PKR bukanlah parti yang semua betul dan baik. Tapi Zaid menghentam PKR telah membuka ruang orang berfikir siapa Zaid yang sebenarnya dan ruang fikiran itu tidak menyebelahi Zaid.

Bagi Zaid jika semua betul dalam PKR, pada Zaid ada yang tak betul sehinggalah beliau berada di atas untuk memberitahu, inilah yang betul.

Zaid yang belum berhenti menyerang kepimpinan PKR dan orang-orang 'khusus' kelihatan seperti orang yang memukul dan mencakar dada kerana marah sedangkan kesan cakar dan tumbukan itu ke dadanya sendiri.
Yang terbaik bagi PKR ialah tidak menyambut tepukan dan cakaran itu. Ketua Umumnya bersikap seperti tidak dengar apa pun. Diharap sehingga Zaid keluar dari PKR nanti seperti yang diakui dalam Malayskini 15 Nov 2010, PKR tidak akan meratap berhiba sebaliknya buatlah kenduri pulut kuning dengan sepanduk 'Sayonara.'

Mustahil Zaid akan bersama DAP tetapi kemungkinan bersama Pas jika Zaid masih ingin bermain politik berprinsipnya. Bagaimana pun Pas diharap tidaklah seghairah Ketua Umum PKR menyanjung kehebatan Zaid ketika itu kerana Pas melihat yang orang yang bertaqwa sahaja yang patut menyertai, bukan orang yang berprinsip sendiri.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 14, 2010 21:53

November 8, 2010

50 Pelindung Diri & Kediaman

Mendapat dan menatap buku kecil ini, tidak seperti saya ke farmasi membeli ubat gout atau sakit dada. Saya lebih senang umpamakan, untuk menghilang gout, saya disarankan mengambil herba tertentu dari mereka yang arif tentang perubatan herba.


Buku 50 Pelindung Diri & Kediaman

Begitu buku kecil yang bertajuk '50 Pelindung Diri & Kediaman'. Saya dapati dari penulisnya sendiri Ustaz Hanif Ghazali, ketika berurusan sedekah amal terhadap pusat pengajian yang didirikan oleh Allahyarham Ghazali Din, iaitu bapa penulis sendiri.

Ia semacam buku biasa jika dilihat sepintas lalu. Tapi ia mempunyai keistimewaan jika diteliti, apa lagi jika diamalkan. Walaupun ia amalan pribadi, tetapi ia seperti satu wakaf dan sedekah jariah ilmu-ilmu ini dari buah tangan penulisnya.

Saya kira ini bukan sesi bomoh yang yang melakukan demonstrasi. Ia satu simbah bakti, satu sedekah kejujuran dan amal jariah, kerana ilmu yang dimiliki penulis buku ini adalah ilmu yang bersandarkan Al-Qur`an dan Hadis. Ia bukan jampi serapah.

Memiliki buku ini bukan saja membolehkan pembelinya beramal dengan ilmu yang diberi tetapi ia adalah serampang dua mata. Pembeli berpeluang mendapat ganjaran kerana pembelian ini bererti menyumbang pembiayaan pengajian anak-anak yatim, pengurusan dan pentadbiran dan mengisi pembangunan Madrasah yang diberi nama Madrasah Zubaidiyah.


Penulis Us. Hanif Ghazali

Saya kagum dengan penulis ini yang bukan saja mampu melahirkan buku-buku menyuntik tenaga batin seperti Amalan Wali-Wali Allah, 60 Kisah Bertemu Rasulullah, 70 Amalan Untuk Bertemu Rasulullah, Lailatul Qadar, Manzil dan lain-lain, tetapi juga kerana beliau seorang pendakwah muda yang seolah-olah mahu menghambakan dirinya, dengan ilmu yang dimilikinya hanya kerana Allah, maka kerana itu, dengan kadar pendapatan yang seadanya, kemiskinan sepanjang musim, dengan rengkuhan yang terdaya, dia dengan dibantu oleh beberapa rakan yang lain telah sanggup membiayai, memelihara sekumpulan anak-anak yatim.

Saya tidak tahu apakah anak muda ini telah menyanggupi pesanan orang tuanya agar jangan mengabaikan anak-anak yatim, menjadi pendakwah, hidupkan jamaah Islam dan berjihad, maka saya dapati pendapatannya hanyalah dari pencarian dan rengkuhannya sepanjang hari. Menjadi guru dan dakwah, membaca kitab-kitab sampai memanjat tangga masjid dan surau di sekitar Kuala Lumpur hanya semata-mata untuk mendapatkan sedikit perbelanjaan memelihara anak-anak yatim dan menghidupkan pusat pengajian peninggalan arwah ayah.

Subhanallah! Jika begini ramai anak-anak muda yang memiliki ilmu seperti anak muda ini, nescaya akan banjirlah ilmu barokah dan akan lahirlah generasi mukmin sepanjang zaman.

Tapi sayang, ia hanya di antara beberapa kerat anak muda, yang tamat pengajian di Universiti Azhar, kembali tanpa bercita-cita makan gaji tetapi terus mengabdikan diri demi mengharapkan keredaan Allah.

Anak muda ini saya mula kenal ketika mereka menyambut kami di Universiti Azhar dan baliknya terus menghambakan diri kepada golongan dhuafa. Dia mengemis belanja madrasahnya dengan ilmunya. Dia menyambung tali hayat anak-anak yatim secara sukarela. Maka kerana itu, ditulisnya buku dari kemampuan ilmunya dengan tujuan menjadi panduan, amalan semua pihak dan itulah aliran dana yang boleh menampung pusat pengajiannya dan anak-anak yatim.

Maka buku kecil yang dipersembahkan ini mempunyai amalan berdasarkan ayat Qur`an dan Hadis tentang bagaimana amalan mendingdingkan diri dari segala kejahatan, fitnah dari segala bentuk dan juga amalan sebagai memagari keluarga, kediaman dari sebarang bentuk bencana yang terlindung dan fitnah termasuk kejahatan jin, toyol, pencuri dan binatang buas.

Berharga RM12, bererti juga anda menyumbang ke arah talihayat anak-anak yatim di Pusat Pengajian Madrasah Zubaidiyah, 08400 Merbok Kedah atau boleh hubungi 04-4571880 @ 019 4805683.

Menariknya buku ini, satu diskusi akan diadakan pada Hari Khamis 11 November 2010 di:

1. 9 pagi di Surau Taman Cempaka, Pandan Indah Kuala Lumpur.
2. 12 Tengahari di Exzon Mobail, berdekatan dengan KLCC.

Kedua acara ini penulisnya Hanif Hj. Ghazali akan turut berbicara.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 08, 2010 16:18

November 2, 2010

Catatan 2 November 2010

ORANG-ORANG `ABID

Dari Pulau Pinang, walaupun boleh dikatakan selalu melalui jalan itu, yang selalu menempuh sesak kereta oleh kerana jalan menemui simpang-simpang, hari itulah pertama kali saya singgah di sebuah surau yang selama ini saya tahu bahawa di situ ada surau.

Surau ini sangat tersorok di tengah kesibukan.

Berhampiran pasaraya, Pejabat Agama Daerah, berjiran dengan kedai roti canai, di belakang ada ibu pejabat Telekom dan sebelahnya pula pusat karaoke. Nyata surau itu sangat tersorok. Ketika saya sampai dekat pasaraya, saya dengar suara azan yang cukup berkarat bunyinya. Saya membelok ke surau itu kerana hendak solat berimam.

Allah memberikan saya kekuatan mentafsir dari pancaindera yang Allah anugerahkan. Kadang-kadang tafsiran saya sangat buruk, membawa saya kepada 'suk uzzan'. Surau yang saya singgah mulai menyentuh hatinurani saya.

'Sila tanggalkan kasut'

Hanya itu saja tulisan di dinding surau yang separuh simen separuh papan dan kerangka besi. Kolahnya tidak mampu muat tiga budak-budak hendak berkubang. Ruang sebelah kanan, seakan ruang tempat tidur. Ada meja rendah dan tikar-tikar.

Ketika saya masuk, muazzin yang sangat melengkung tubuhnya, berseluar panjang menyinsing hingga ke betis, ber T-Shirt dan berkopiah putih. Dia meneran suara azannya di kalimah akhir, seolah-olah itulah kali terakhir dia memberitahu, solat akan bermula, segeralah datang.

Surau itu beruang sempit. Untuk satu saf hanya sepuluh orang dan mampu tiga saf sahaja. Sejadah nampaknya lusuh, berkedut dan berkeremot. Tingkap dialas dengan renda dan kain langsir yang saya kira ia bukan dibuat khas, tetapi hanya dari kain-kain yang terbuang atau kitar semula.

Tapi muazzin sangat patuh. Saya dapati ia sangat khusyuk dan setia menunggu jemaah lain. Teragak-agak dia hendak qamat kerana bimbang tidak ada imam, sedangkan saya berniat, kalau dia qamat juga, sayalah akan jadi imam.

Akhirnya muazzin itu qamat apabila seorang lelaki berseluar panjang, berkemeja dan bersongkok putih ke hadapan tempat imam.

Saya sangat terasa kelainan solat di sini. Hanya ada dua belas makmum selepas imam selesai membaca doa iftitah. Saya tersentuh melihat imam dan muazzin bersolat. Mereka bagaikan sang musafir yang tidak membawa apa-apa. Surau yang robek dan buruk itu, mereka luluhkan dengan bacaan khusyuk dan ternampak mereka meredai seluruh kehidupan mereka.

Rupa-rupanya mereka berdua adalah abdi surau itu setiap waktu. Seorang tetap menjadi muazzin, seorang tetap menjadi imam yang dalam pemerhatian saya mereka cukup menyedari tugas sukarela mereka perlu dilakukan demi makmum lain.

Saya teringat ketika saya pernah solat di masjid-masjid di kota besar, bandaraya dan masjid sesebuah negeri. Mereka sangat berbeza dengan insan cengkung dengan pakaian buruk di surau ini. Bukan dari segi itu saja, malah saya seakan dapat membezakan, betapa jauh khusyuk, tawadduk, rela dan redho mereka dari mereka yang bersolat di masjid megah, ternama atau masjid mewah.

Mereka tidak seperti yang datang di masjid-masjid besar, yang indah dengan lenggang lengguk, pongah, dengan jubah serban, atau yang datang diiringi pengawal, kemudian yang lain memberi ruang. Mereka sujud tidak seperti sujud ratusan jemaah di masjid besar, di masjid bandaraya atau wilayah. Mereka sujud sampaikan hidung terpenyet ditikar, bukan di atas karpet tebal.

Pastinya sang muazzin dan imam itu tidak menerima apa-apa upah. Tapi doa imam tetap sama, merendah diri, bersungguh-sungguh, mengharap keredaan, meminta rahmat dan keampunan untuk semua, bukan seperti sang khatib di masjid besar berdoa dan meminta pengampunan dari Allah kepada orang tertentu walaupun yang tertentu itu lebih miskin amal ibadahnya dari sang muazzin dan imam ini.

Subhanallah, saya merasakan mereka seperti malaikat. Tapi sayang surau yang saya singgah ini sangat terpencil, di mana malamnya saya mendapat tahu, tapak halamannya menjadi parking pengunjung karaoke yang berhampiran di situ.

Dan apakah yang patut saya lafaz kebanggaan. Siapakah punya kerja seperti ini? Saya terkedu apabila keluar di pintu saya dapati semua kasut-kasut jemaah tersusun rapi dengan kepala kasut mengadap hala keluar.

Siapa punya kerja mulia ini? Sedangkan minggu sebelumnya, saya kehilangan kasut selepas solat Jumaat di Masjid Negeri.

Subhanallah, Tuhan, abid inikah yang mentarbiah makmumnya atau inikah yang dikatakan keberkatan?

Perbuatan menyusun kasut jemaah bukanlah aneh, tetapi ianya tidak pernah berlaku dalam pengalaman hidup saya kecuali satu ketika dulu di Bandar Country Home Rawang, Pusat Jemaah Al Arqam, di mana kalau kita memasuk mana-mana kedai atau rumah, tanpa disuruh atau di arah, keluar saja kita akan dapati kasut kita tersusun elok.

Subhanallah! Inilah tarbiah hasanah dan rupanya ia sampai ke surau terpencil ini.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 02, 2010 15:15

October 25, 2010

Catatan 25hb Oktober 2010


Dari kanan, Pak Shukur Harun, Razali Indun, Kasim Mohamad dan Dinsman, di Subang Airport

Sangat mengujakan apabila 'Paksi' (Kumpulan penulis dan seniman rakyat) membuat temujanji dengan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) Puan Mastura, jam 2 petang pada 25hb Oktober 2010 yang lalu.

Paksi dengan delegasinya Dinsman, Kasim Mohamad, Razali Indun dan Shukur Harun menemui Pn Mastura bersama pegawai-pegawainya yang baik hati, dalam siri perbincangan bagaimana buku-buku yang ditulis oleh penulis, yang terpinggir dari syarikat penerbitan gergasi itu mampu sampai kepada pembaca, terutama melalui 'rumah buku' yang lebih dikenali dengan nama 'perpustakaan awam.'

Pertemuan yang singkat itu sangat memberi makna. Pn Mastura diluar jangkaan saya dari segi apapun kerana keramahan, layanan atas nama seorang 'boss' kepada penulis.

Rupa-rupanya sangat banyak rintangan untuk buku-buku yang ditulis oleh penulis untuk sampai ke tangan pembaca memalui Perbadanan Perpustakaan Awam. Sangat banyak rahsia dan peraturan yang tidak diketahui oleh penulis dan sebahagian besar perpustakaan awam memeram peraturan itu yang entah apa sebabnya.

Dalam pertemuan itu barulah tahu rupa-rupanya bukan semua Perbadanan Perpustakaan Awam mengenakan peraturan kemasukan buku yang sama. Ada sesetengah perpustakaan nampaknya sengaja menyembunyikan untuk bagaimana buku penulis itu sampai ke perpustakaan atas sebab-sebab tertentu. Tapi ini menggambarkan seolah-olah, buku-buku yang hendak sampai ke perbadanan perpustakaan bukanlah dari penulis tetapi mestilah 'sebuah rekomen' dari sebuah syarikat yang diberi ruang mendaftarkan diri.


Pn.Mastura dengan dua pegawainya sedang berbincang

Banyak hal yang kami mendapat maklumat apabila Pn. Mastura berkongsi saranan. Nampaknya Pn Mastura sangat bersedia membuka jalan dan ruang untuk penulis yang hendak menyampaikan buku-buku mereka kepada Perbadanan Perpustakaan.

'Tidak susah, cuma mahu atau tidak saja,' begitu kami berpendapat.

Tapi soalnya mengapa kebanyakan Perbadanan Perpustakaan Awam seakan tidak berminat, tidak berupaya, apa lagi berusaha mendapatkan buku-buku dari penulis itu sendiri. Yang berlaku sekarang, sesetengah Perbadanan Perpustakaan Awam boleh membeli buku penulis anak negeri tersebut tetapi tidak membeli dari penulis negeri lain, melainkan kena membeli melalui syarikat yang sudah dilantik.

Pn Mastura saya dapati sangat mengerti masalah buku-buku seperti ini. Selain memberi penghargaan kepada penulis, beliau mahu sesebuah buku itu mesti sampai dan ditatap oleh semua orang.

Terima kasih Pn. Matura dan pegawai-pegawainya. Semoga hajah yang akan dikerjakan pada 28hb Oktober 2010 akan dimabrurkan oleh Allah .
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 25, 2010 20:38

October 10, 2010

Pemudaiman dan Mutiara Wahyu

Aidil Fitri hari ke empat 1431 yang lalu, saya dikunjungi oleh tiga anak muda dari pengajian tinggi. Seorang pensyarah dari UIA, seorang dalam proses PhDnya di USM yang bukan bidang keagamaan dan seorang lagi saya sudah lupa, tapi berperanan dalam ilmu-ilmu kebajikan.

Mereka datang menziarahi orang-orang yang mereka rasa patut diziarahi dan mereka memberitahu, mereka adalah kumpulan dari blog http://pemudaiman.blogspot.com. Mereka mewujudkan blog tersebut hanya semata-mata sebagai wadah dakwah, menyampaikan apa yang dirasakan patut, sesuai dengan ilmu dan perjuangan mereka.

Saya tersentak kerana ada juga golongan anak muda yang begitu prihatin tentang perlunya ilmu disebarkan dan ia tentunya secara percuma. Saya berfikir, alangkah baiknya jika ramai lagi yang dengan sukarela berbuat begini. Mereka dari kalangan terpelajar dan tentunya ilmu yang mereka lontarkan tidak sia-sia.

Baru-baru ini saya ke Medan Indonesia dengan hasrat mencari sedikit buku-buku. Di antara buku yang saya beli ialah "Menyibak Rahsia Sains Bumi Dalam Al-Qur`an', 'Mencari Tuhan Yang Hilang', 'Islam & Ekologi Manusia' dan 'The Amazing Stories of Al-Qur`an'. Buku-buku ini sangat hebat, termasuk juga dari segi jodolnya. Kehebatan jodol buku-buku Indonesia, menjadikan saya melontar kata dalam wacana TVRI SUMUT di hari saya ke sana, sebagai buku-buku yang penuh dengan penipuan jodol, touching dan memancing.

Kembalinya, saya menemui sebuah buku kecil dan nipis dari Pemudaiman ini, yang ditulis oleh Mohd. Syauqi Mod Zahir, salah seorang penggerak blog dan kerjamal ini bertajuk 'Mutiara Wahyu.'


Huraian dan penulisan buku ini tidaklah sehebat mana, tetapi pemilihan mauduk (tematik) yang kemudian diadakan sedikit rengkasan, ulasan menjadikan buku ini sangat perlu dibaca oleh semua peringkat.

Saya tertarik dengan pancingan tajuknya seperti Qur`an dan Gunung, di mana sebuah buku Indonesia yang saya beli bertajuk Murka Alam, seakan begitu persamaannya. Kemudian 'Manusia Pemakan Bangkai', 'Anak dan Isteri Menjadi Musuh,' 'Eksperimen 4 Ekur Burung,' dan lain-lain.

Buku setebal hanya 104 muka, tidak membebankan untuk menghabiskan bacaan bagi mereka yang pemalas. Ia rengkas dan padat. Setiap ayat akan diulas dan disisip dengan maksud, dititip untuk amal.

Memang tepat hanya untuk mereka yang ingin Tadabbur dan tafakkur. Pelajar university sangat sesuai menjadikan ia 'halaqah'.

Alangkah baiknya mana-mana korporat atau individu yang memiliki kelapangan kewangan, membelinya beberapa nakshah dan disedekah kepada setiap masjid sebagai pengisi khutub khanah. Ia pasti berfaedah.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 10, 2010 22:40

October 7, 2010

Catatan Awal Oktober 2010

Wacana dalam rancangan Pantun Empat Tujuh TVRI Sumatera Utara, Medan, dalam kontek sastera & Budaya Malaysia-Indonesia. Dari kiri: Hj Amir Arsyad, moderator I, Hj Anuar Asmadi dari 2PNP, Dr. Takari dari UUSU, Azizi Hj Abdullah dan Retno Ayuni moderator II.
(I)

Medan, Sumatera, sebuah kota metropolitan yang sebuk dan padat sudah banyak berubah. Saya sudah lama tidak ke sana. Tanggal 4-6 Oktober 2010 saya bersama seorang kawan tiba di sana dengan hasrat hendak membeli buku-buku dan berehat.

Niat begitu tidak berapa kesampaian kerana tiga hari di sana, kawan yang menemai kami, Saudara Fadli, seorang pensyarah di Universiti Sumatera Utara, juga seorang taukeh kek di Medan dengan nama syarikatnya Nazwa, melantakkan kami dengan makan setiap waktu.

Tanpa Fadli tentunya kami sangat sukar hendak bergerak kerana kereta Kijangnya sedia ke mana-mana saja. Fadli seorang sahabat Anuar Asmadi yang tidak banyak karenah.

Dengan usahanya juga, kami ke TVRI Sumatera Utara yang stesennya tidak jauh dengan hotel kami. Selama satu jam kami diminta memberi maklumat, bertukar fikiran tentang Sastera dan Budaya antara dua negara.

Anuar Asmadi yang mewakili persatuannya 2PNP bercakap tentang kegiatan dan aktiviti badan-badan penulis di Malaysia, khususnya 2PNP dalam menyemarakkan sastera dan budaya.

Saya, selain dari sedikit pengkesahan tentang menulis, novel Sangetha menjadi tajuk perbincangan. Saya juga ditanya bagaimana pengaruh penulis Indonesia terhadap proses penulisan sepanjang saya terlibat.

Ternyata rancangan 'Pantun Empat Tujuh' sangat memberi makna. Apa lagi moderator 1, bagi saya melampaui budayawan biasa. Beliau menutur pantun secara sepontan yang tidak ditekad skripnya terlebih dahulu. Saya amat kagum. Saya belum pernah menemui pemantun di Malaysia begitu rupa.



Di depan Stesen TVRI Sumatera Utara (SUMUT) Dari kiri Fadli dari Universiti USU, Hj Anuar Asmadi 2PNP, Azizi Hj Abdullah dan Dr. Takari dari USU.

(II)

Seharian menghabiskan masa di Tokok Buku Gramedia, di lantai 2 sangat mengkagumkan. Bagaikan mahu gila melihat buku-buku dari pelbagai jenis.

Di Malaysia, walaupun ada kedai-kedai buku yang hebat, seperti Konikuya di KLCC, Mid Valley, tapi di Gramedia menampakkan bagaimana rakyat Indonesia suka membaca.

Menulis buku dan diterbitkan di Indonesia sangat berlainan dengan Malaysia. Di Malaysia lebih menjurus kepada keuntungan bertunjangkan kepada kepopuleran. Tapi di sana ia lebih kepada mencambahkan ilmu yang berbagai.

Bayangkan, sebuah bioghrafi dari seorang yang tidak pernah muncul namanya sebagai penulis hebat, diterbitkan dan ia dijual di gedung buku seperti Gramedia. Sedangkan di Malaysia, buku seperti itu dianggap tidak laku jika di jual, kerana buku seperti itu tidak layak di toko buku.


Cardboard yang digubah dengan bunga-bunga kain menjadi ucapan selamat.

(III)

Di sana juga kita melihat betapa kreatifnya penduduk. Mereka mampu mencipta sesuatu yang baru.

Barangkali saya sudah ketinggalan masa, tapi bagi saya agak baru apabila melihat bagaimana perca-perca kain yang berbagai warna, digunting dan dijadikan berbagai bunga. Dari bunga-bunga itu dilekat pada papan besar (Cardboard) lalu dibentuk huruf-huruf berbagai gaya.

Diucapkan untuk harijadi, pengantin dan lain-lain. Sesiapa saja boleh menyewanya.



Dalam Toko Buku Gramedia.

(IV)

Tidak banyak buku yang dibeli. Saya sedang menekuni dua buku yang saya rasa menarik. Pertama, Dia, Muhammad Rasulullah, yang diolah tekniknya menjadi novel, Kedua, tentang Mencari Tuhan Yang Hilang.


Hotel Deli, sebuah hotel bertaraf sederhana.

(V)

Belum ada pengkaji bahasa kita di sini melihat perkataan-perkataan sumbang yang diucapkan oleh penulis/ pengarang Indonesia, walhal buku-buku mereka bercambah-cambah di pasaran kita.

Apakah betul jika menggunakan perkataan 'Sang' yang diucap bersama perkataan 'Tuhan?'. Apakah tidak kurang ajar atau menyalahi akidah jika di sebut 'Sang Tuhan?'

'Sosok' juga sering digunakan. Ada disebut mencari 'sosok Tuhan'. Sosok membawa erti bentuk. Apakah Tuhan mempunyai bentuk?

Pada 6 Oktober 2010, walaupun waktu berangkat jam 11, tapi FireFly tidak berapa peduli. Kerana tidak ada lagi penumpang, sekitar jam 10.45 sudah terbang.

Saya tidak tahu, apakah ini jam Melayu atau jam bukan Melayu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 07, 2010 07:13

September 27, 2010

Perihal Melayu Berfikir

Sekarang orang galak kembali bercakap tentang Melayu: Kuasa Melayu. Melayu akan hancur. Perpaduan Melayu. Kemudian ada pula dakwaan, menyesal jadi Melayu. Melayu lenyap pun tak apa. Yang penting Islam.

Fikir-fikir sungguh juga. Melayu batas geoghrafinya sekadar sampai ke lubang kubur, lepas itu Melayu pasti akan lenyap. Malaikat tidak akan tanya, apa bangsamu.

Saya pernah menulis sebuah cerpen dalam tahun 80an dulu bertajuk 'Menyesal Jadi Melayu.'

Tapi yang sangat anih, orang yang bercakap mempe...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 27, 2010 03:58

September 25, 2010

Komentar



(1) Tun Mahathir & DS Dr. Rais


' Orang Melayu akan hilang kuasa dan suara sekiranya pembangkang berjaya memerintah negara,' kata Tun M, mantan PM yang paling lama memerintah.


'Sungguh, benar berasakan fakta politik, rekod pemerintah dan Perlembagaan' tokok penanda aras penyokong Dr. M, Menteri canang dan gong, Dr. Rais Yatim.


Dalam kontek kini, yang tak jadi pembangkang ialah Umno/BN, yang pembangkang itu Melayu dan Pakatan. Nampaknya cakap macam ni macam cakap nak beritahu orang Melayu...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 25, 2010 03:34

Azizi Abdullah's Blog

Azizi Abdullah
Azizi Abdullah isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Azizi Abdullah's blog with rss.