Mawar Safei's Blog, page 71
March 1, 2019
Banyak yang kita terlupa saat pintu dirapatkan dan hari p...

Banyak yang kita terlupa saat pintu dirapatkan dan hari pun berlalu. Benar, semuanya seperti angin yang tidak terlihatkan apalagi dipeduli.
Published on March 01, 2019 01:55
February 27, 2019
Demam beberapa hari ini, mengheret saya ke gua ...

Demam beberapa hari ini, mengheret saya ke gua lagi. Dan di dalamnya saya kian mengerti. Tidak selamanya talun itu akan melantunkan lagi namanya. Saya tahu suatu masa, dia tidak akan datang menyahut. Saya kembali seperti dahulu, mendepani rutinitas dan keluar masuk gua dengan langkah tua, tanpa sesiapa hatta si pohon sukma yang kian terhijab sama.
Published on February 27, 2019 07:44
February 24, 2019
Di rumah, saya pernah ada jadual jangan ganggu saya. Ia m...

Di rumah, saya pernah ada jadual jangan ganggu saya. Ia merupakan waktu saya menulis atau perlu membaca dengan tumpuan yang lebih. Akhir-akhir ini saya mahu membatalkannya. Saya fikir adalah suatu yang memerihkan apabila banyak syarat yang ditetapkan tentang perihal masa. Apalagi ketika yang tepat, kita memerlukan seseorang. Saya kian faham apabila ada sergahan jangan ganggu saya. Benar, ia pedih. Sebaliknya, ia adalah hadiah istimewa apabila ketika yang persis, sapaan kita disahut dan tahu yang kita ada harganya.
Published on February 24, 2019 05:52
February 21, 2019
Minggu yang penuh. Kuliah. Perbincangan. Penyelidikan. Pe...

Minggu yang penuh. Kuliah. Perbincangan. Penyelidikan. Penulisan (sudah tentu). Pertemuan. Perancangan projek penulisan (lagi!). Dengan kaki tua ini, sebenarnya saya sangat lelah. Sebentar saya teringat baris kata seorang sahabat lama yang solehah, katanya memang dunia tempat berpenat. Di sana nanti tempat kita berehat. Saya jadi malu sangat kerana mudah mengeluh dan selalu mahu cuti untuk kononnya menyandarkan penat. Sewaktu meninggalkan meja dan jendela ruangan kerja rasmi lewat petang semalam, saya menimbang-nimbang, cuti yang kononnya untuk menghilangkan mengah, sebenarnya masih penuh dengan kerja; malah lebih daripada jadual rutinitas. Saya pamit ya, mahu masuk gua lagi dan sampai jumpa.
Published on February 21, 2019 13:41
Banyak sisi yang sering membuat kita jatuh hati. Man...

Banyak sisi yang sering membuat kita jatuh hati. Manis. Halus. Sejuk. Memujuk. Tulus yang kita nampak dari mana-mana penjuru pun. Ia akhirnya lama mahu disimpan dalam kalbu. Dibawa ke mana mana pun hatta ke hujung gua yang sunyi lagi berjelaga. Saya juga jatuh hati dengan yang ini. Manis. Halus. Sejuk. Sangat memujuk, sebaik melangkah masuk ke ruang kerja sahabat lama, Dr SJ. Mahu rasanya dijinjing, dibawa pulang.
Published on February 21, 2019 05:20
February 18, 2019
Sdr masih berkira-kira dalam memberi? Semalam kuliah...

Sdr masih berkira-kira dalam memberi? Semalam kuliah pertama saya untuk semester ini. Seperti selalu, selain kekuatan doa yang membantu, saya usul mahasiswa agar belajar untuk lebih memberi. Pembelian buku rujukan semester ini sebahagiannya kami salurkan untuk mereka yang lebih memerlukan. Jadi apa bentuk bantuan yang mereka perolehi daripada memberi ini. Saya melihat mata mahasiswa, dengan segenap kasih saya nyatakan, ia membantu perjalanan panjang Sdr nanti. Ini tabungan dan bekalan. Kita sangat memerlukannya di sana.
Published on February 18, 2019 15:56
February 16, 2019
Ini sambungan kisah. Pelajar saya yang mendapat C ju...

Ini sambungan kisah. Pelajar saya yang mendapat C juga menghubungi (saya sudah menjangka) dan bertanya dan bertanya mengapa grednya sedemikian buruk. Mendapatkan jawapan yang selayaknya untuk soalan itu, mengheret saya ke ruang pertelingkahan ini. Untuk sekian waktu, saya mencongak masa dan bagaimana ia diuruskan. Saya sendiri masih dungu dengan kebodohan sendiri. Misalnya dalam bersahabat, saya masih tidak tahu batas waktu yang saya punya. Hujung minggu semua orang mahu masanya bersama keluarga. Apabila jam rasmi bekerja, lebih lebih lagi kita tidak ada minit untuk sahabat. Saya memang tidak pandai menghitung saat atau jam yang ada antara kami. Ya, begitu menjawab soalan pelajar C, saya anjurkan, carilah masa untuk ruang perbincangan dengan pensyarah. Memang itu seharusnya berlaku di kampus. Pertukaran pandangan dan fikiran sebagai kaedah pdp. Saya menambah baris wa kepada mahasiwa itu, ingatan kepada guru bukannya bermusim menjelang peperiksaan. Usah letak syarat masa. Saya yakin dalam persahabatan juga begitu. Benar, tidak ada syarat, tidak ada musim.
Published on February 16, 2019 06:58
Sdr, ini Jumaat terakhir sebelum mahasiswa kemb...

Sdr, ini Jumaat terakhir sebelum mahasiswa kembali Isnin hadapan untuk menyambung pengajian semester kedua. Insya-Allah. Hari ini juga mereka memperoleh keputusan ujian semester lepas. Ada seorang mahasiswa saya yang mengirim kawat terima kasih kerana mendapat A. Sdr, senja ini seperti Jumaat yang selalu sunyi dan sangat jelas bunyi unggas yang suka hinggap di hujung ranting di luar jendela ruang kerja. Dalam mengenang nasib dan jalan takdir mahasiswa A saya itu, ada juga yang mendapat C dari saya. Sdr fikir apa yang saya bayangkan, kita menerima semua ini sebagai kurnia. Beberapa minggu lalu sewaktu merenung surah tentang kaum Nabi Luth, yang dihukum dengan serangan angin yang menghancurkan segala kehidupan mereka pada waktu subuh dini. Sedang Allah lebih awal mengkhabarkan Nabi Luth agar segera meninggalkan negerinya sebelum itu, ya pada malamnya. Saya menanggap angin itu sebagai kurnia, walau buas; kerana Allah Maha Memelihara hamba-Nya. Walau masih dalam keingkaran akibat lupa dan tidak waras, saya mula menyebut nyebut, Ya Muhaimin, yang Maha Memelihara keyakinan dan kerendahan hati untuk lebih bersyukur diberi ruang menjadi lebih baik daripada detik keingkaran saya sendiri.
Published on February 16, 2019 01:12
February 12, 2019
Cerpen terkini saya terhimpun dari latar perkeb...

Cerpen terkini saya terhimpun dari latar perkebunan di penjuru banjaran panjang. Menggenap dengan watak yang terhimpit antara renek pohon. Sungguh ia sangat mengilhamkan. Dari talun angin, embun di samping ketakjuban dengan daun yang menyampaikan banyak tamsilan dan pesan. Betapa sahabat juga yang banyak menggerak aksara cerita. Saya fikir ini adalah baris teori penciptaan yang sering saya kuliahkan. Ilham itu sangat rahsia. Ia datang dengan jalan teka kata dan tebakan makna. Saya fikir jalan yang sama untuk kemudiannya saya memahami begitu banyak yang menjadi halimunan. Sehingga banyak yang keliru. Atau saya sememangnya yang dungu.
Published on February 12, 2019 06:58
February 8, 2019
Pohon sukma kami. Saat luruhnya, musim begini mengingat s...

Pohon sukma kami. Saat luruhnya, musim begini mengingat saya akan daun-daunnya yang entah terbang dan hinggap di mana. Saya juga mengingat cerpen lama, Tamsil Daun. Antara yang mengilham adalah kisah dari baris Taha, ya babak Adam dan Hawa mengambil daun-daun buat menutup yang tersingkap. Saya meyakini, melalui daun juga, Allah menuntun untuk kita memperbaiki dan berbuat lebih baik. Sebelumnya ditemukan kita dengan tikungan aneh, lalu pohon rontok begini, datang mengingat. Saya seperti tidak mahukan musim semi, kerana luruhnya, musim begini yang sangat peduli.
Published on February 08, 2019 14:08
Mawar Safei's Blog
- Mawar Safei's profile
- 15 followers
Mawar Safei isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
