Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog, page 274
January 10, 2013
Bilakah Non-Muslim Diperangi?
BILAKAH NON-MUSLIM DIPERANGI?
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Sekalipun umat Islam di Malaysia telah hidup sekian lama bersama dengan mereka yang non-muslim, namun di sana masih terdapat beberapa persoalan dasar yang tidak jelas dalam pemikiran sesetengah pihak. Ketidakjelasan itu boleh menatijahkan tindakan yang tidak tepat dalam keadaan tertentu. Dalam keadaan biasa, mungkin kesannya kurang kelihatan, tetapi apabila krisis tertentu melanda, kita akan merasai kesan salah tanggapan terhadap Islam dan prinsipnya khusus berkaitan hubungan muslim dengan non-muslim.
Saya ingin menggesakan pelbagai pihak untuk menganjurkan wacana dan dialog tentang hubungan muslim dengan non-muslim di sudut nas-nas Islam yang sebenar. Perbincangan yang bebas dari ketamakan politik dan fanatik perkauman. Ini penting untuk nama baik Islam dan dakwah, serta masa depan negara ini.
Beberapa persoalan tentang prinsip interaksi antara muslim dan non-muslim seperti apakah asas hubungan antara muslim dan non-muslim; perdamaian ataupun permusuhan? Apakah sebabnya jihad dalam Islam difardukan; kerana kekufuran ataupun disebabkan permusuhan yang dilancarkan? Siapakah kafir zimmi dan harbi?, dan lain-lain lagi perlu didalami.
Disebabkan kegagalan memahami asas-asas ini dengan baik, maka sentimen agama yang kadang-kala tidak tepat dimainkan. Apatahlagi ada pihak yang menangguk di air keruh mengambil kesempatan politik pilihanraya.
Kenapa Non-Muslim Diperangi?
Ini satu persoalan yang penting. Jika salah langkah, maka banyak darah yang dihalalkan atas nama Tuhan. Secara umumnya dua punca (‘illah) dibahaskan oleh sarjana ; non-muslim diperangi atas sebab kekufuran ataupun peperangan yang mereka dilancarkan? Jawapan yang berbeza boleh memberikan implikasi yang berbeza terhadap sikap dan tindakan.
Para ulama usul al-Fiqh cuba untuk mencari `Illah (punca hukum) jihad disyariat. Maka para ulama dari mazhab al-Syafi`i dan al-Zahari berpendapat `illahnya ialah kerana kekufuran mereka. Ini bermaksud mereka diperangi kerana mereka kufur dengan Allah. Namun, pendapat ini dianggap lemah dan tidak boleh dipegang secara kefahaman dan praktikalnya. Sehingga Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Jihad meminta supaya ulama mazhab Syafi’i pada hari ini hendaklah menjelaskan kepada masyarakat awam bahawa pendapat al-Imam al-Syafi’i dalam hal ini adalah lemah dan ditolak. Ini bimbang digunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan keganasan.
Senarai golongan non-muslim yang tidak boleh dibunuh semasa peperangan yang disebut dalam nas-nas sahih seperti wanita dan kanak-kanak, ahli ibadah yang sedang beribadah dalam rumah ibadah mereka, pekerja dan petani yang tidak terlibat secara langsung dengan peperangan, para perwakilan diplomatik dan lain-lain menjadi bukti bahawa sekadar kekufuran atau tidak beriman belum melayakkan seseorang itu dibunuh. Islam tetap memelihara nyawa mereka. Jika kekufuran itu punca mereka diperangi, sudah tentu golongan tersebut juga diperangi.
Oleh itu jumhur (majoriti) ulama berpendapat `illah (punca) sebenar non-muslim diperangi bukanlah kerana akidah mereka, tetapi kerana (al-Hirabah) iaitu menzahirkan permusuhan terhadap harta dan nyawa orang muslim disebabkan Islam yang dianuti. Maka, bagi golongan non-muslim yang tidak melancarkan peperangan dan permusuhan mereka terhadap umat Islam, mereka tidak diperangi. Kalaulah kekufuran yang menjadi alasan tentulah sewajar semua non-muslim itu diperangi. Inilah pendapat yang dipegang dalam Islam. Antara dalil-dalil yang dikemukakan oleh majoriti ulama ialah firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 190 (maksudnya):
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”.
Juga firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 13: (maksudnya):
“Mengapa kamu tidak memerangi golongan yang telah mencabuli perjanjian mereka, serta mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan mereka jugalah yang mula-mula memerangi kamu? Apakah kamu takutkan kepada mereka padahal hanya Allah yang berhak kamu takuti, sekiranya kamu orang-orang yang beriman”.
Juga ayat 36 daripada Surah al-Taubah:(yang bermaksud):
“Perangi golongan musyrikin itu keseluruhannya seperti mana mereka mereka memerangi kamu keseluruhan”.
Semua ayat-ayat di atas adalah jelas menunjukkan peperangan yang dilancarkan ke atas mereka adalah di atas sikap dan tindakan salah yang dilakukan mereka, bukan kerana kekufuran atau akidah mereka. Ayat-ayat ini menafikan hujah para ulama mazhab al-Syafi`i dan al-Zahiri.
Bersikap Baik
Bahkan dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 begitu jelas Allah menyatakan: (maksudnya)
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) setelah membentang pendapat-pendapat mengenai ayat di atas, berkata:
“Pendapat yang lebih tepat ialah; ayat ini bermaksud Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan adil kepada sesiapa yang tidak memerangi kamu dari kalangan penganut semua agama. Ini kerana Allah menyebutnya secara umum dengan katanya “orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu” merangkumi sesiapa sahaja yang bersifat demikian” (Al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Aiy al-Quran 28/66 Beirut:Dar al-Fikr).
Juga telitilah firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 6-7 (maksudnya):
“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrikin (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrikin) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”
Pengarang al-Jihad fi al-Islam yang merupakan tokoh Mazhab Syafi’i di Syria iaitu Said Ramadan al-Buti dalam mengulas ayat di atas, berkata:
“Dari dua ayat tersebut, kita dapat fahami dengan jelas ia meyanggahi apa yang difahami oleh ulama mazhab al-Syafi`i dan al-Zahiri. Dari sini kita kemukakan kepada mereka (para ulama tersebut) soalan-soalan yang mereka tidak mungkin dapat menjawabnya, iaitu; Sekiranya `illah (punca hukum) jihad atau peperangan ialah kekufuran, sedangkan perintah Allah agar kita melindungi kaum musyrikin sepanjang tempoh mereka berada di samping kita, dengan harapan mereka mendengar ayat-ayat Allah dan beriman denganNya. Kemudian diperintahkan agar kita menghantarkan mereka ke tempat yang aman sekiranya mereka ingin pergi tanpa beriman… andainya kekufuran adalah sebab yang membawa kepada kita membunuh mereka, apakah mungkin untuk kita membantu mereka dengan perlindungan yang seperti ini, sedangkan mereka itu musyrikin? Sekiranya kekufuran mewajibkan peperangan, apakah mungkin untuk kita berurusan seperti itu dengan golongan Allah perintahkan kita memerangi mereka?. Ternyata sebab (kita dibenarkan berurusan baik dengan mereka) kerana mereka tidak menzahirkan permusuhan dan cenderung kepada perdamaian”.( Sa`id Ramadhan al-Buti, al-Jihad fi al-Islam, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr)
Dengan ini jelas, jihad berlaku hanya apabila mereka menzahirkan peperangan terhadap umat Islam kerana agama. Jika non-muslim mengkritik atau mencabar muslim melalui saluran undang-undang dalam negara Islam itu sendiri, ataupun membantah salahguna kuasa pihak umat Islam itu tidak dianggap memusuhi umat Islam kerana agama. Bahkan itu hak yang negara Islam berikan kepada mereka.
Siapakah Kafir Harbi?
Isu kafir harbi kadang-kala disebut oleh sesetengah pihak tanpa memahami maksud sebenar istilah berkenaan. Istilah harb merujuk kepada peperangan. Dalam pembahagian silam tentang jenis-jenis negara; disebut Dar al-Islam dan Dar al-Harb. Juga ditambah oleh sebahagian penulis pembahagian ketiga Dar al- ‘Ahd.
Secara ringkasnya, Dar al-Islam mempunyai tiga ciri utama; kekuasaan politik berada di tangan muslimin, zahir padanya hukum dan syiar Islam sekalipun tidak sempurna ataupun sebahagian sahaja dan kaum muslimin aman beramal dengan agama mereka sementara ahl-zimmah aman berdasarkan perjanjian mereka. Manakala negara-negara yang mempunyai perjanjian dengan umat Islam maka mereka adalah Dar al-‘Ahd.
Atas asas ini Dr Yusuf al-Qaradawi menyimpulkan bahawa keseluruhan negara umat Islam yang wujud pada hari ini adalah Dar al-Islam ataupun negara Islam termasuklah Malaysia. Sementara kesemua negara bukan Dar al-Islam yang berada di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu adalah Dar al-‘Ahd termasuklah Amerika. Hanya dikategori sebagai Dar al-Harb pada masa ini ialah Negara Zionis Israel disebabkan kerana permusuhan yang zahir dan berterusan dengan umat Islam (Lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, Cairo: Maktabah Wahbah, ms 888-908)
Setelah memahami hal tersebut, maka dalam istilah awal, warga non-muslim yang hidup dalam masyarakat muslim ataupun bawah Dar al-Islam (negara Islam) dengan mengikat perjanjian kewarganegaraan disebut sebagai ahl-zimmah. Dalam konteks moden setiap yang mendapat kerakyatan dalam Dar al-Islam itu seorang zimmi, bererti yang dipelihara atau dilindungi haknya. Walaupun begitu, istilah ahl-al-zimmah itu boleh elakkan di zaman kini dengan menyebut rakyat atau warga negara non-muslim.
Sementara kafir harbi, berdasar yang dibincang di atas ialah non-muslim yang menolak dan menentang seruan Islam, bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, tiada sebarang perjanjian aman dengan Dar al-Islam dan mereka tinggal di negara mereka Dar al-Harb (Lihat: ibid, ms 912).
Maka non-muslim yang mendapat kerakyatan dan dipelihara oleh undang-undang negara muslim, tidak dinamakan dengan kafir harbi. Sehinggalah dia tiada lagi sebarang ikatan perjanjian dengan negara Islam dan tidak dilindungi lagi oleh undang-undang negara Islam. Dengan itu rakyat Malaysia yang bukan muslim tidak boleh dikatagorikan kafir harbi yang boleh diperangi dan halal darahnya ditumpahkan selagi mereka mempunyai ikatan hubungan dengan negara!
January 3, 2013
Menilai Amanat Haji Hadi Dengan Adil
MENILAI AMANAT HAJI HADI DENGAN ADIL
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Isu Amanat YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sedang dibangkit menjelang Pilihanraya ke-13 ini. Walaupun amanat tersebut lebih dari 30 tahun usianya, namun seperti biasa politik mampu membangkit-ungkit apa sahaja. Kedua belah pihak; kerajaan dan pembangkang memakai pendekatan yang hampir sama. Cumanya, ‘kelebihan’ kerajaan di negara kita ini ia menggunakan media awam demi tujuan politik kepartian. Saya tidak pasti apakah jika pembangkang hari ini jika berkuasa akan menggunakan pendekatan yang sama ataupun tidak?!
Amanat
Amanat Haji Hadi itu berbunyi:
Saudara-saudara sekelian percayalah, Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.
Adil
Saya ingin mengajak pembaca melihat isu amanat ini di luar dari kerangka fanatik kepartian, sebaliknya menelusurinya secara fakta dan rasional.
Amanat Hj Hadi itu dibuat pada tahun 1981 dalam ceramahnya pada 7 April di Kpg Banggol Peradong. Ketika itu saya masih lagi bersekolah rendah. Saya rasa bukan DS Abdul Hadi yang menamakannya amanat, sebaliknya ia adalah initiatif orang-orang PAS sendiri. Apakah amanat ini satu-satunya punca sebahagian orang PAS mengkafirkan UMNO? Saya tidak pasti. Namun kita tahu, ramai guru-guru agama yang lain yang pro-PAS juga mengkafirkan UMNO. Ada sesetengah tokoh agama yang mengkafirkan UMNO ketika itu kemudiannya masuk UMNO dan mendapat pelbagai jawatan.
Saya sendiri pernah berjumpa orang-orang PAS yang mengkafirkan UMNO. Bahkan saya pernah berjumpa mereka yang mengharamkan bersekolah di sekolah kerajaan kerana kononnya ‘sekular’ dan seumpamanya. Ertinya, kafir-mengkafir disebabkan perbezaan parti politik telah berlaku dalam sejarah umat Islam dalam negara ini. Fatwa-fatwa PAS terutamanya dari Pantai Timur telah mencetuskan fenomena tersebut.
YB Dr Mujahid Yusuf iaitu seorang ahli Parlimen PAS, tokoh reformis dalam PAS dan anak bekas Presiden dan Murshidul ‘Am PAS dalam bukunya ‘Menuju PAS Baru’ menghuraikan isu ketika itu dengan menyebut:
“Akibatnya berlakulah isu kafir-mengkafir di mana tanggapan bahawa menyokong UMNO adalah sesuatu yang bertentangan dengan sikap Islam dan dengan sebab itu boleh jatuh kufur kerana UMNO parti secular yang menolak Islam… penghujahan atas garis-garis fikah yang premisnya adalah batas-batas kekufuran telah membawa agenda politik menjadi terlalu pekat dengan adunan ‘fatwa’ sehingga PAS diheret dalam kancah ini, malah ‘Amanat Haji Hadi’ telah dijadikan alasan kepada berlakunya semua kemelut ini” (m/s 115. Kuala Lumpur: Malaysian Insider Sdn Bhd).
Mungkin DS Hadi sendiri tidak pernah menyebut UMNO kafir secara jelas, namun sikap kebanyakan tokoh PAS yang tidak menangani isu-isu mengkafir ataupun seakan membiarkan orang awam PAS mengkafirkan orang UMNO sehingga berlaku dua imam, tidak makan sembelihan, tidak menjawab salam dan lain-lain ketika itu, amat mendukacitakan.
Konteks
Dalam memahami sesuatu teks, kita wajar melihat kepada konteks. Hakikatnya, pendekatan PAS ketika itu bukanlah asing jika dilihat kepada perkembangan gerakan Islam secara keseluruhan. Pada 70an dan 80an kebangkitan Islam berlaku di Asia. Kesedaran tentang perlunya umat Islam kembali kepada Islam dan menghapuskan unsur-unsur penjajahan kedengaran di sana-sini. Buku tokoh-tokoh gerakan Islam di Timur Tengah menjadi menu penting para aktivis ketika itu. Buku-buku itu ditulis oleh tokoh-tokoh berkenaan dalam keadaan tekanan yang berat oleh regim-regim Arab yang sangat zalim dan khianat. Mereka juga biadap terhadap Allah dan rasulNYA. Mereka yang membaca buku-buku cuba menyamakan hal tersebut dengan keadaan setempat.
Isu takfir (mengkafirkan) juga timbul di Timur Tengah sehingga Murshidul ‘Am al-Ikhwanul al-Muslimin menulis buku “Du‘aah La Qudah” (Pendakwah Bukan Hakim) bagi tujuan menangani isu ini.
Fatwa-fatwa ulama juga dibaca kepada masyarakat. Antaranya, fatwa Mufti Saudi masa itu al-Sheikh ‘Abd al-‘Aziz ‘Abdillah bin Baz yang menyenaraikan perkara-perkara yang membatalkan Islam, dalam ertikata lain menjadikan seseorang kafir. DS Hadi ketika itu antara yang mempopularkannya. Dalam fatwa itu antaranya menyebut:
“Berkeyakinan bahawa selain tuntutan Nabi Muhammad saw. Itu lebih sempurna, atau berkeyakinan bahawa selain ketentuan hukum beliau itu lebih baik, sebagaimana mereka yang mengutamakan aturan-aturan manusia yang melampaui batas lagi menyimpan dari hukum ALLAH (aturan-aturan Taghut), dan mengenepikan hukum Rasulullah saw. Maka yang berkeyakinan seperti ini adalah kafir. Sebagai contoh: Berkeyakinan bahawa aturan-aturan dan perundang-undangan yang diciptakan manusia lebih utama daripada syaria’t Islam, atau berkeyakinan bahawa aturan Islam tidak tepat untuk diterapkan pada abad kedua puluh ini, atau berkeyakinan bahawa Islam adalah sebab kemunduran kaum muslimin, atau berkeyakinan bahawa Islam itu terbatas dalam mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya saja, tidak mengatur urusan segi kehidupan lain. Berpendapat bahawa melaksanakan hukum ALLAH dalam memotong tangan pencuri, atau merejam pelaku zina yang telah kahwin (muhsan), tidak sesuai lagi di masa kini…”
Walaupun ini hanyalah kaedah umum yang perlukan perbahasan dan perinciannya, malangnya kalangan orang PAS ketika itu telah menggunakannya secara ‘borong’ untuk mengkafirkan setiap penyokong UMNO. Ia disuburkan lagi dengan kuliah-kuliah agama PAS yang menegaskan persoalan ini tanpa perbahasan yang mencukupi. Menerangkan tentang batasan iman dan kufur adalah suatu kewajipan, namun mengkafirkan individu memerlukan penelitian dan kecermatan.
Suatu perkara yang tidak boleh disembunyikan juga, UMNO pada era 70an dan 80an bukanlah seperti UMNO hari ini. Ucapan-ucapan yang tidak selaras dengan Islam, ataupun dengan seakan menghina Islam kadang-kala kedengaran di sana-sini. Proses Islamisasi dalam UMNO belum berlaku ketika itu. Sikap angkuh dan dominasi yang melampau juga wujud. Orang PAS dapat merasai sikap tidak adil kepada mereka, bermula dari JKKK di kampung sehingga ke atas. Ini menyuburkan lagi kecenderungan menghukum UMNO dengan fatwa-fatwa yang keras. Ini tidaklah menghalalkan PAS mengkafirkan keseluruhan UMNO, namun itulah realiti ketika itu. Sikap UMNO ketika itu juga menyumbang kepada keadaan itu.
Pada masa tersebut kematangan PAS dan gerakan Islam yang lain juga amat terhad. Mereka belum ada pengalaman pemerintahan. Bahkan saya percaya, Haji Hadi ketika itu tidak begitu mendalami hakikat Perlembagaan Malaysia seperti hari ini. Hari ini jika kita membaca YB PAS Dr Mujahid Yusof menulis dalam bukunya ‘Rejuvenasi PAS’, beliau membincangkan tajuk ‘Islam Dalam Kerangka Perlembagaan’, kita mendapati tokoh PAS ini melihat perlembagaan dengan harmoni yang mempunyai ruang untuk Islam. Hal ini 30 tahun lepas tidak pernah diungkapkan dalam PAS.
PAS Berubah
PAS hari ini saya lihat banyak berubah. Saya percaya sudah ramai yang tidak beriktikad seperti Amanat Haji Hadi termasuk diri Haji Hadi sendiri. Jika PAS masih berpegang dengan Amanah lama DS Hadi itu, bererti mereka mengkafirkan diri sendiri dan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat yang menerima dan mengiktiraf Perlembagaan. Sekalipun tiada penarikan rasmi, tetapi secara praktikal seakan penarikan telah dibuat. Pendekatan PAS sudah banyak yang berbeza. Kita harapkan semua pihak tidak melihat Islam dari kacamata politik semata, Islam jauh lebih luas dari politik kepartian.
Namun, ini tidak bererti kita memandang ringan isu kafir-mengkafir. Jika terbukti masih ada orang PAS yang mengkafirkan UMNO maka DS Abdul Hadi patut tampil menjelaskan kekeliruan mereka. Oleh kerana beliau diserang tanpa diberikan peluang menerang, maka itu sesuatu yang tidak adil. Pihak media patut memberikan ruang yang mencukupi untuk beliau membuat penerangannya dalam media awam khususnya RTM. Mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang.
Di samping PAS, jangan lupa dalam UMNO juga ada yang ‘kaki pengkafir dan penyesat’ orang lain. Seorang dua guru pondok yang masuk UMNO, ada yang menghukum akidah Menteri Besar Kelantan sesat bahkan kufur. Di Saudi, tokoh penghukum sesat umat iaitu al-Madkhali terkenal menyesatkan begitu ramai tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan aktivis umat. Golongan ulama muda UMNO amat terpengaruh dengan aliran ini maka kita boleh tonton dalam internet dan tulisan mereka di akhbar menyesatkan tokoh-tokoh seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, Muhammad al-Ghazali, al-Qaradawi dan lain-lain. Ini juga mesti dikritik.
Media-media UMNO juga kebelakangan ini sering menjadikan isu akidah sebagai isu politik seperti yang PAS lakukan dalam era 80an. UMNO hendaklah berhati-hati, jangan ulangi perkara yang sama. UMNO hari ini seakan menuju PAS era Amanat Haji Hadi.
Hentikan
Maka kita tegaskan, bahawa kafir-mengkafir, ataupun sekadar sesat menyesat atas perbezaan parti satu kesalahan yang besar. Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut Majmu‘at al-Fatawa:
“Sebetulnya, sesiapa yang berijtihad dalam kalangan umat Muhammad s.a.w dengan tujuan mencari kebenaran lalu tersilap, dia tidak kafir. Bahkan diampunkan kesilapannya. Sesiapa yang telah nyata kepadanya apa yang datang dari Rasulullah s.a.w , lalu dia menentang setelah terang untuknya petunjuk lalu dia mengikut selain jalan kaum mukminin, maka dia kafir. Sesiapa yang mengikut nafsu, kurang mencari kebenaran serta bercakap tanpa ilmu maka dia pemaksiat dan berdosa. Boleh jadi dia fasik, ataupun baginya kebaikan-kebaikan lain yang lebih banyak dari kesalahannya. Bukan semua yang bersalah, berbuat bid’ah, jahil ataupun sesat itu menjadi kafir, bahkan mungkin tidak fasik dan tidak berdosa”.
Semua pihak hendaklah berhenti memainkan isu kafir-mengkafir. Kembali kepada politik yang dapat membina negara.
December 27, 2012
Kenali Hadis Palsu Menerusi Matan
KENALI HADIS PALSU MENERUSI MATAN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Menyebarkan hadis palsu tanpa menerangkan tentang kepalsuannya adalah merupakan satu dosa yang amat besar. Penipuan dan bersekongkol dengan penipuan adalah dosa menurut ajaran Islam. Apatah lagi jika pembohongan itu menggunakan nama Allah dan RasulNYA. Kesannya besar dan bahaya. Mereka yang terpedaya dengan penipuan tersebut akan mengamalkan sesuatu yang disangkakan bersumber dari Tuhan sedangkan hakikatnya tidak demikian. Jika isi pembohongan itu sesuatu yang jelas bercanggah dengan hakikat fakta, ataupun sesuatu yang ‘lekeh’ maka Tuhan ataupun RasulNya akan dipersalahkan. Mungkin ia akan menghilangkan keimanan manusia terhadap ajaran agama.
Justeru itu, Islam mengharamkan sama sekali perbuatan mengadakan hadis palsu seperti penegasan Nabi s.a.w dalam hadis mutawatir:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
Bukan sahaja mengadakan hadis palsu itu dosa besar, menyebarkannya juga berkongsi dosa besar yang sama. Dalam era teknologi ini, begitu mudah sesuatu hadis palsu itu tersebar. Menerusi sms, email, facebook, twitter dan pelbagai lagi, ramai yang terlibat dengan kegiatan dosa menyebarkan hadis palsu ini. Maka berhati-hatilah. Beberapa klik tanpa penelitian boleh membawa anda menjadi pendusta yang menggunakan nama Allah dan RasulNYa.
Mengkritik Matan
Pembaca internet juga terdedah kepada pelbagai sumber hadis palsu. Saya mengajar di USM kursus Analisa Kritis Matan Hadis untuk para pelajar ijazah tinggi. Saya rasa orang awam juga wajar dibekalkan sedikit sebanyak pengetahuan tentang analisa matan hadis.
Secara umumnya, hadis palsu dapat diketahui melalui dua cara; pertama: kajian terhadap sanad (rangkaian perawi). Kedua; kajian terhadap matan atau kritik teks (textual criticism). Untuk mengkaji para perawi adalah sesuatu yang bukan mudah melainkan mereka yang terbabit langsung dalam bidang hadis. Apakah ada cara untuk seseorang biasa mengagak sesuatu hadis itu mungkin palsu hanya dengan membaca matan (teks) sahaja? Maka di sini datang peranan naqd al-matn (kritik teks) atau kajian teks tadi.
Pengetahuan ini amat penting kepada para pengguna internet hari ini, kerana ia sekurang-kurang dapat menjadikan mereka berhati-hati apabila melihat ataupun mendengar teks hadis yang pelbagai. Jika pun mereka tidak dapat memutuskan kedudukan hadis-hadis tersebut, sekurang-kurangnya mereka akan menangguhkan dulu sebelum mempercayainya sehingga ternyata kedudukannya.
Ibn Qayyim
Ilmuan hadis yang terbilang iaitu Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) pernah ditanya apakah mungkin untuk mengetahui hadis palsu tanpa melihat kepada sanadnya? Untuk menjawab persoalan yang besar itu, beliau telah menghasilkan buku yang amat penting dalam sejarah ilmu mengkritik teks hadis iaitu karya beliau Al-Manar Al-Munif fi al-Sahih wa al-Da’if. Sesiapa yang berkemampuan membaca teks arab, saya mencadangkan mereka membaca buku ini bersama komentar yang dibuat oleh al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Bagaimana pun, bagi yang tidak menguasai, saya ingin memetik beberapa noktah menarik yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam buku tersebut bersama sedikit ulasan.
Antara yang disebut oleh Ibn Qayyim; hadis palsu itu antara cirinya mengandungi unsur mujazafah iaitu berlebih-lebihan dalam penetapan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar, ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah. Contoh yang dibawa oleh Ibn Qayyim iaitu hadis palsu: “Sesiapa yang mengucap Lailaha illaAllah; Allah ciptakan kalimah itu menjadi seekor burung yang mempunyai 70,000 lidah, setiap lidah ada 70,000 bahasa yang beristighfar kepadanya”.(m/s 51. Halab, Syria: Maktabah al-Matbu‘at al-Islamiyyah)
Lojik
Antara ciri lain bagi hadis palsu ialah bercanggah dengan fakta yang nyata. Banyak contoh yang disebut oleh beliau; antaranya hadis palsu: “Terung itu ubat bagi segala penyakit”. Contoh lain: “Hendak kamu memakan kacang dal kerana ia berkat dan melunakkan jantung hati. Membanyak airmata dan ia disucikan oleh 70 nabi”. (m/s 52)
Antara lain beliau menyebut ciri hadis palsu itu ia kelihatan selekeh dan boleh dipersendakan. Banyak contohnya, antara yang disebut; hadis palsu “Jika beras itu lelaki nescaya dia seorang yang penyantun”. Contoh lain; “Hendaklah kamu memakan garam kerana ia ubat bagi 70 penyakit”. Contoh lain: “Tiada buah delima melainkan bijinya berasal dari syurga”. (m/s 55)
Contoh lain: “Sesiapa yang membela ayam jantan putih, maka dia tidak akan dihampiri oleh syaitan dan sihir”. Kemudian Ibn Qayyim membuat kesimpulan tentang hadis ayam jantan: “Kesemua hadis ayam jantan adalah dusta kecuali satu hadis iaitu “Sesiapa yang mendengar kokokan ayam jantan hendaklah dia memohon kurniaan dari Allah kerana ia melihat malaikat” (riwayat Bukhari dan Muslim). (m/s 56)
Gambar Hiasan
Dalam masyarakat melayu, terdapat juga mereka yang mempercayai kelebihan ayam jantan putih. Kepercayaan itu mungkin berasal dari hadis-hadis palsu yang seumpama ini.
Canggah Sumber Sahih
Ciri hadis palsu yang lain yang dinyatakan oleh Ibn Qayim apabila sesuatu hadis itu bercanggah dengan hadis sahih yang lain secara nyata. Ini seperti hadis-hadis palsu yang memuji orang yang bernama Muhammad ataupun Ahmad bahawa sesiapa bernama seperti itu tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip ajaran Nabi s.a.w yang menegas bahawa neraka itu bukan dapat dielakkan dengan nama dan gelaran sebaliknya dengan iman dan amalan soleh. (m/s 57)
Antara ciri palsu lain ialah hadis yang menyebut Nabi Khidir masih hidup. Kesemua hadis yang membawa maksud tersebut adalah palsu dan dusta. Kemudian al-Imam Ibn Qayyim mengemukan banyak hujah dari al-Quran dan al-Sunnah yang membuktikan bahawa cerita Khidir masa hidup sehingga kini adalah dusta dan palsu. (m/s 67-76)
Pelik
Contoh hadis palsu lain: “Pelangi di langit itu adalah tengkok ular yang berada di bawah Arsy”. Juga hadis palsu: “Jangan mandi air yang terdedah kepada matahari kerana ia menyebabkan sopak” (m/s 60)
Antara ciri hadis palsu ialah apabila terdapat dalamnya penetapan tarikh tertentu seperti pada tahun sekian dan sekian, pada bulan sekian dan sekian akan berlaku peristiwa itu dan ini. Ini ciri kepalsuan sesuatu hadis. Ini seperti hadis bahawa akan berlaku gerhana dalam Bulan Muharram kemudian berlaku peristiwa itu dan ini. (m/s 64).
Banyak hadis yang seperti ini tersebar dalam internet lalu dipercayai oleh mereka yang dangkal akal dan pengetahuan.
Antara ciri yang lain hadis yang seakan ucapan ahli perubatan, bukan ungkapan seorang nabi. Ini seperti hadis palsu: “Memakan ikan melemahkan jasad”. Contoh lain: “Ada seseorang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tiada anak. Nabi menyuruhnya memakan telur dan bawang”. Contoh lain: “Berikan isteri-isteri kamu memakan tamar semasa nifas”. (m/s 65). Banyak hadis yang seperti ini kadang-kala dibaca oleh mereka yang bergelar ‘ustaz dan ustazah’ yang tidak meneliti ilmu hadis ini. Para peniaga suka hadis- hadis seperti itu untuk melariskan peniagaan mereka.
Banyak lagi ciri-ciri yang disebut oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karya itu. Begitu banyak hadis-hadis palsu yang beliau sertakan sebagai contoh untuk pembaca. Tulisan saya ini sekadar memberikan kesedaran awal untuk mereka yang kurang memberikan perhatian dalam hal ini. Anda boleh rujuk juga beberapa artikel saya tentang hadis palsu sebelum ini. InshaAllah, selepas ini akan saya ikuti dengan beberapa coretan yang lain untuk membantu memahami isu hadis palsu ini.
December 20, 2012
Peniaga: Antara Syurga Dan Neraka
PENIAGA: ANTARA SYURGA DAN NERAKA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Melihat muslim menjadi peniaga terututama dalam negara ini amat menggembirakan. Betapa kita ingin agar kekuatan ekonomi umat Islam ini berkembang. Sejak dahulu, saya berkempen agar muslim membantu perniagaan muslim. Membeli dan menghulurkan sokongan agar mereka berjaya. Ekonomi adalah satu kekuatan yang boleh menentukan perjalanan sesebuah masyarakat. Sementara kelemahan ekonomi pula mendedahkan sesebuah masyarakat kepada penghinaan dan percaturan pihak lain. Secara kolektif, disebabkan kita majoriti kita memiliki ‘purchasing power’ yang tinggi. Lihat saja, apabila umat Islam di negara ini ingin memboikot produk pro-zionis, syarikat-syarikat berkaitan mula gelisah dan cuba mencari pelbagai pendekatan menawan semula perasaan kita.
Jika kita tolong-menolong membantu perniagaan saudara kita, kita melaksanakan apa yang Nabi s.a.w sabda:
“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sifat Peniaga Muslim
Apabila muslim berniaga, dia sepatutnya membawa nilai-nilai mulia yang diajar oleh Islam semasa mengendalikan perniagaannya. Peniaga yang baik dan jujur mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah pada hari Kiamat kelak. Betapa banyaknya pengorbanan dan kesungguhan diperlukan untuk menjadi peniaga yang jujur sehingga Nabi s.a.w bersabda:
“Peniaga yang benar dan amanah bersama dengan para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid” (Riwayat al-TIrmizi, bertaraf ‘hasan’).
Hadis ini menggalakkan muslim berniaga tetapi hendaklah bersifat jujur dan amanah. Perniagaan di samping ia sumber rezeki, ia juga boleh menjadi sumber pahala yang membawa seseorang ke syurga dan darjat yang mulia.
Peniaga yang jujur lagi amanah pasti tidak akan terlibat dengan perkara-perkara yang haram, menipu, memungkiri apa yang dijanjikan, mengelirukan pembeli, memutar belit dalam urusan dan segala sifat-sifat yang buruk dan keji. Urusan perniagaan penuh kehormatan. Maka layaklah dia bersama dengan para nabi, siddiqin dan syuhada. Dalam konteks seperti Malaysia, dia boleh memberikan mesej yang baik tentang kemuliaan ajaran Islam kepada pihak lain.
Penipuan dan Khianat
Dalam masa yang sama, peniaga juga terdedah untuk menjadi pendusta dan pengkhianat jika dia tidak berakhlak. Menipu apa yang diberitahu kepada pembelinya dan mengkhianati mereka dalam keadaan mereka tidak sangka.
Dalam skala besar, ahli-ahli perniagaan yang mendapat projek-projek mega yang diwujudkan untuk kepentingan negara dan awam bukan sedikit yang menipu dalam pelbagai cara; kos, kualiti, pengurusan dan lain-lain. Ini sehingga negara dan rakyat terpaksa menanggung kos yang tinggi ataupun kualiti hasil kerja yang rendah, ataupun kedua-duanya sekali. Penipuan harta awam dan kezaliman mereka mengakibatkan rakyat terpaksa menerima hasil yang tidak sepatutnya seperti jambatan, bangunan yang rosak dan bahaya. Dosa mereka ini terlalu besar. Tidak boleh dipadamkan dengan sekadar menderma untuk binaan masjid dan surau. Nabi s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar” (Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak dll. Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh al-Zahabi)
Banyak contoh lain yang boleh kita sebut. Di Malaysia umpamanya, ramai orang melayu muslim menjual pelbagai ‘ubatan’, makanan tambahan dan seumpamanya. Pelbagai dakwaan yang sebahagiannya tidak terbukti benar tapi diwujudkan bagi menarik perhatian pembeli. Bahkan ada yang menggunakan nama Allah dan RasulNYA dalam melariskan jualan. Pelbagai firman dan sabda dikaitkan. Dusta atas dusta. Khianat atas khianat.
Perniagaan Makanan
Ramai muslim yang mengusahakan perniagaan makanan terutama kedai ataupun gerai makanan. Para pembeli hanya melihat makanan yang sudah siap, tetapi mereka tidak nampak bagaimanakah makanan itu disediakan. Ada pengusaha yang tidak mengambil berat soal kebersihan. Proses makanan itu disediakan jika dilihat sendiri oleh pelanggan tentu mereka tidak sanggup makan. Mereka tertipu dengan apa yang telah terhidang. Mereka tidak tahu mereka mungkin telah menelan makanan yang kotor, ataupun adanya bahan yang bahaya untuk kesihatan mereka.
Peniaga yang seperti ini merupakan penipu dan pengkhianat yang setiap hari perniagaannya menzalimi dan mengkhianati orang lain. Mereka terus berdosa dengan pelanggan mereka. Malangnya, kadang-kala mereka terlupa bahawa setiap hari mereka menambahkan dosa mereka dengan manusia lain yang itu semua akan dibawa ke hadapan Allah nanti. Mungkin juga dibalas di dunia ini, jika Allah kehendaki. Nabi s.a.w tidak menerima peniaga seperti ini sebagai pengikut baginda.
Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:
“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).
Dosa
Peniaga yang menipu mata pembeli dengan ucapan, tulisan ataupun hiasan yang menawan sehingga pelanggan tertipu, akan menanggung dosa yang besar. Lebih buruk lagi, ramai peniaga kedai makanan yang meletakkan ayat al-Quran di dinding-dinding kedai mereka, bukan kerana ingin menghayatinya tetapi sekadar untuk menarik perhatian pelanggan. Padahal amalan perniagaan mereka tidak seiras dengan ajaran al-Quran. Mereka menzalimi pelanggan mereka yang datang dan mempercayai mereka. Mereka pula menyedia makanan yang tidak tergamak dimakan jika pelanggan mengetahui hakikatnya. Sedangkan al-Quran menegaskan: (maksudnya)
“dan orang-orang yang menyakiti lelaki-lelaki yang beriman dan perempuan-perempuan yang beriman tanpa kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul dosa menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata”. (Surah al-Ahzab, 58)
Jual beli yang mempunyai penipuan dan kezaliman adalah haram. Wang yang diperolehi juga adalah haram, walaupun dari segi undang-undang kelihatan macam halal. Sabda Nabi s.a.w:
“Muslim saudara muslim. Tidak halal seorang muslim menjual kepada saudaranya suatu jual yang ada kecacatan tanpa diterangkan” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll. Al-Hakim menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).
Kita berbangga melihat muslim berniaga. Namun para peniaga muslim hendaklah beretika dalam perniagaan mereka selaras dengan ajaran Allah dan RasulNYA. Peniagaan satu punca pendapatan yang halal. Jika dikendalikan dengan jujur membawa ke syurga. Jika dikendalikan dengan tipuan dan khianat membawa ke neraka.
December 12, 2012
PAS Dan UMNO Bersaudara Dalam Agama
PAS DAN UMNO BERSAUDARA DALAM AGAMA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
UMNO dan PAS tidak perlu berhenti bersaing jika persaingan mereka itu bertujuan menawarkan khidmat yang lebih baik kepada rakyat. Persaingan untuk memberikan khidmat adalah persaingan yang sihat dan memberikan kebaikan untuk negara. Tidakkah kita lihat bahawa kewujudan persaingan di pasaran membolehkan orangramai mendapat barangan yang lebih berkualiti. Sementara monopoli tanpa saingan akan merosakkan kualiti khidmat dan merugikan orang awam.
Persaingan PAS dan UMNO jika atas dasar ingin menawarkan khidmat yang lebih baik, bukan kerana dendam dan permusuhan yang lahir dari politik kepuakan, akan memakmurkan masyarakat muslim secara khusus dan negara secara amnya. Jika persaingan itu atas slogan yang Allah firman (maksudnya) “Bersegeralah kepada kebaikan”(Surah al-Maidah, 48) maka ia menjadi pahala kebajikan untuk semua pihak yang terlibat.
Saingan Politik
Seperti yang selalu ditegaskan, pada asalnya, Islam tidak suka perasaan tamakkan jawatan tanpa sebab yang berasas yang Allah redha. Keinginan mendapatkan kedudukan politik untuk kepentingan diri atau sebagai kebanggaan adalah dilarang dalam agama ini. Ini jelas daripada hadis-hadis, antaranya sabda Nabi s.a.w:
“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).
Baginda juga pernah menasihati `Abd ar-Rahman bin Samurah:
“Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Islam melihat kerakusan inginkan jawatan disebabkan perasaan sukakan kedudukan dan nama hanya akan menambahkan penyesalan di akhirat dan melemahkan jawatan itu sendiri. Namun dalam masa yang sama, seseorang boleh berusaha mendapatkan jawatan politik jika dia merasakan dia dapat memberikan khidmat yang lebih baik daripada orang lain. Ini seperti yang al-Quran ceritakan tentang permintaan Nabi Yusuf a.s : (maksudnya) Yusuf berkata:
“Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Yusuf, 55-56).
Kata Ibn Taimiyyah rh (meninggal 728H):
“Nabi Yusuf meminta jawatan kepimpinan untuk kebaikan agama, itu bukan sesuatu yang menyanggahi pergantungan kepada Allah, tidak juga termasuk dalam pemintaan jawatan yang dilarang” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 8/68, Riyadh: Maktabah al-Abikan)
Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) mengulas ayat ini:
“..demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain” (Tafsir al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Saling Memerlukan
Persaingan PAS dan UMNO adalah sesuatu yang baik jika mengujudkan keadaan ‘check and balance’ antara penguasa dan rakyat. Ia akan menghidupkan suasana amar makruf dan nahy munkar (promoting good and forbidding evil). Tindakan pemerintah akan diteliti oleh pembangkang dan tindakan pembangkang adalah mewakili kemaslahatan rakyat. Maka wujudlah pemerintah yang berkualiti dan pembangkang yang bermanfaat. Keduanya membawa kebaikan kepada rakyat dan keduanya berlumba-lumba untuk mencari pahala dalam lapangan politik.
Saya masih ingat, pernah semasa saya berbual bersendirian dengan Tun Abdullah Badawi di London, beliau menyebut: “UMNO memerlukan PAS. Kewujudan PAS menjadikan UMNO sentiasa beringat dengan tindakan mereka. Tanpa PAS, UMNO akan terlupa dan tidak berhati-hati terutama berkaitan Islam”. Saya percaya itu ucapan yang bukan atas kepentingan politik. Dalam persada politik Malaysia, menghapuskan persaingan antara PAS dan UMNO bukan sesuatu yang baik untuk rakyat dan umat. Bahkan itu boleh menjurus ke arah monopoli, kerakusan, bertambah berleluasanya rasuah, hilangnya sifat berhati-hati dalam tindakan dan pelbagai lagi.
Apa Yang Perlu Dihapuskan?
Malangnya, hal ini kadang-kala tidak berlaku. Persaingan politik dikendalikan atas kepentingan diri ataupun puak, bukan untuk kepentingan rakyat lagi. Perlumbaan melakukan kebaikan itu dipadamkan oleh banyaknya perlumbaan menghapuskan pesaing politik. Berlakunya manipulasi isu dari kedua belah pihak. Kedua pihak akhirnya menerima padah; maruah dan nilai tercemar. Kelantan yang dikuasai PAS telah menjadi mangsa buli sekian lamanya. Hal yang sebaliknya juga berlaku apabila segala tindakan pemimpin UMNO jarang dinilai positif oleh PAS. Politik prasangka memenuhi ruang. Kerakusan kuasa dan harta meruncingkan lagi permusuhan itu.
Persaingan yang bertujuan untuk menggalakkan kebaikan dan menghalang keburukan bertukar menjadi persaingan yang membawa keburukan dan menghalang kebaikan. Media kerajaan yang menggunakan wang rakyat hanya diberi ruang kepada satu pihak sahaja untuk mencerca pihak yang lain semahunya. Idea-idea politik dan pembangunan dari pihak yang bersaing tidak mendapat ruang yang adil dalam media kerajaan. Padahal, jika niat benar-benar untuk pembangunan rakyat, apa salahnya idea-idea baik itu didengari oleh rakyat dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan sekalipun dari pembangkang. Namun itu tidak berlaku. Politik idea dibunuh oleh politik permusuhan puak dan peribadi. Dalam masa yang sama, ceramah dan ucapan pembangkang juga banyak yang bukan mengemukakan cadangan dan idea yang bernas, tetapi lebih kepada menyerang keburukan-keburukan peribadi pihak lain. Sedaya mampu hanya untuk mencari salah dan silap, sekalipun dalam perkara peribadi orang lain. Seakan mesejnya; ‘pilihlah kami, kerana mereka lebih buruk dari kami’. Sepatutnya, ‘pilihlah kami kerana kami dapat menawarkan servis yang lebih baik’.
Sikap dan pendekatan yang seperti ini patut dihapuskan. Sikap yang lebih rasional dan insaf perlu disuburkan.
Di Sebalik Lambang
Dalam UMNO dan PAS, ramai yang menilai pihak yang lain berdasarkan warna parti. Warna itu pula telah diberikan pelbagai persepsi permusuhan politik yang diapi-apikan oleh pelbagai keadaan dan pihak. Seakan, tiada lagi kebaikan yang boleh diharapkan di pihak yang satu lagi.
Hakikatnya, di sebalik nama dan lambang parti masing-masing, ahli-ahli PAS dan UMNO adalah muslim. Kehidupan ini bukan segalanya politik. Ya, ada muslim yang baik dan ada yang tidak mengamalkan agamanya. Sementara yang kuat beragama itu pula, bukan semestinya dia berjaya menghayati agama dalam setiap aspek. Setiap kita ada kelemahan dan kekurangan. Hal ini terpakai untuk semua orang tanpa mengira parti. Parti bukan agama. Parti mungkin berperanan dalam menggerakkan satu juzuk dari kehidupan bermasyarakat dalam negara ini. Orang PAS dan UMNO ada yang baik dan takutkan Allah. Ada yang cuba sedayanya mengamalkan agama apa yang mereka faham. Ada juga yang tidak pedulikan agama, ataupun mempergunakan agama. Berserban dan bersongkok bukan jaminan kebaikan untuk sentiasa dilakukan.
Bukan semua orang UMNO jahat, bukan semua orang PAS baik. Begitu juga sebaliknya. Mereka tidak lahir atas lambang parti. Mereka kebanyakan lahir sebagai orang muslim. Mereka mengakui Islam sebagai agama mereka. Allah menamakan mereka semua muslimin, sebelum mereka itu dikaitkan dengan nama parti mereka. Firman Allah: (maksudnya)
“dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. DIAlah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan DIA tidak menjadikan kamu menanggung kesusahan dalam agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: ‘muslimin’ semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi untuk kamu, dan supaya kamu pula menjadi saksi untuk umat manusia. Maka, dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. maka (Allah Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan. (Surah al-Hajj, 78).
Kita Bersaudara
Tidak menjadi masalah bersaing dalam politik. Tidak menjadi masalah juga bercita menukar kerajaan atau mengekalkannya. Namun, antara orang PAS dan UMNO, di sebalik tembok parti, mereka kena ingat mereka saudara seagama. Banyak perkara dalam kehidupan ini yang mereka berkongsi perkara yang sama. Mereka percaya pada Allah yang sama, Nabi yang sama, al-Quran yang sama dan seterusnya. Banyak perkara pokok dan asas yang mereka sama dibandingkan perkara yang mereka berbeza. Walaupun pada juzuk politik mereka berbeza, mereka wajib menghormati hak sebagai saudara muslim dalam kehidupan ini. Perbezaan parti tidak boleh menghalang mereka dalam masa yang sama untuk kasih saudara seagama. Tidak wajar menghalang mereka untuk duduk berbincang dan berpakat perkara yang mereka sama-sama imani. Tidak wajar menghalangi mereka memberi salam dengan jujur dan melahirkan ukhuwwah islamiyyah tanpa dikaitkan dengan soal perbezaan pendekatan politik.
Gambar Hiasan
Sesiapa yang bersahabat dengan kedua pihak, akan menemui kebaikan yang wujud di kedua belah pihak. Mungkin kita tidak setuju dengan lambang tertentu, namun dalam kehidupan bukan semua yang disandarkan dengan lambang tertentu itu sentiasa seiras dengan lambangnya. Sesiapa yang taklid buta dengan menganggap segala yang dibuat oleh partinya benar bererti dia telah memaksumkan partinya. Sesiapa yang mengikut dan bersetuju dengan segala yang baik dan buruk dalam partinya bererti dia bagaikan kaldai yang tidak mampu menilai.
Maka, apabila seorang muslim dari PAS atau UMNO menghulurkan tangan kepada saudaranya, janganlah dipentingkan sangat partinya, lihatlah keluasan hidup ini dan hak-hak muslim atas muslim yang lain yang tercatat dalam agama ini. Akidah merentasi parti. Sentiasalah kita ingat firman Allah: (maksudnya):
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah, 8)
December 11, 2012
Ceramah Yang Belum Capai Piawaian Ilmu
CERAMAH YANG BELUM CAPAI PIAWAIAN ILMU
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Malang jika modal sesetengah penceramah agama ialah maklumat yang dikutip dari apa sahaja bahan yang sampai kepada mereka. Ibarat kata, ‘membujur lalu, melintang pukang‘. Mereka tidak mempunyai kekuatan ilmiah dan minda dalam menilai dan menapis fakta. Maka, semua yang dibaca dianggap benar dan disampaikan. Sehingga buku palsu “Dialog Nabi s.a.w Dengan Iblis” juga dipercayai.
Antaranya, konon baginda Nabi s.a.w bertanya Iblis, “apakah tempat yang paling engkau suka?”. Jawab Iblis “panggung wayang”. Walaupun, penceramah mungkin mempunyai tujuan tertentu. Namun kepalsuan adalah musuh agama ini. Kita tahu pada zaman Nabi s.a.w belum ada panggung wayang. Bagaimana mungkin istilah ini muncul? Sudahlah cerita-cerita dalamnya tidak mempunyai sanad yang diterima, ditambah lagi dengan kebodohan jalan cerita yang boleh menyebabkan generasi yang berakal menolak agama. Padahal itu bukan fakta agama. Al-Quran sendiri tidak menyebut peralatan senjata moden, sebaliknya menyebut kuda, bagi memahamkan senjata terbaik ketika itu. Mana mungkin pula hadis menyebut istilah yang tidak wujud di zaman tersebut.
Tak Logik
Ada pula yang membawa cerita, kononnya wali tertentu bersolat seribu rakaat semalam. Walaupun itu disebut dalam sesetengah karya besar, namun patut dinilai semula. Adakah satu malam mempunyai seribu minit untuk dia bersolat seribu rakaat selaju seminit satu rakaat?!! Jika diambil pukul lapan malam sehingga enam pagi pun, baru sepuluh jam bererti enam ratus minit!!. Mampukah dia melakukan seribu rakaat?. Matematik sekolah rendah pun dapat memikirkan hal ini. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang agung itu, menurut ‘Aisyah r.a. dalam riwayat yang sahih oleh Abu Daud dan al-Nasa’i bahawa solat malam baginda tidak melebihi sebelas rakaat. Benarlah kata sesetengah sarjana hadis:
Apabila engkau melihat sesebuah hadis menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadis yang palsu (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut: Dar al-Fikr).
Dongeng
Fonomena ini bukan sahaja berlaku dalam TV. Bahkan itulah realitinya di luar TV. Masih ramai ustaz-ustaz kita yang kadang kala bermodalkan cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliyyat dan hadis-hadis palsu yang dibaca di dalam masjid dan surau, mereka menokok tambah kejadian-kejadian pelik untuk menarik perhatian pendengar. Cerita mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan. Dengan tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah menunjukkan Allah tidak bertindak demikian kepada umat NabiNya yang akhir. Tidak seperti mana kepada umat yang sebelumnya. Kalau Allah mahu, tentu mayat Abu Jahal, atau Abu Lahab terlebih dahulu akan menjadi contoh. Kedua-dua tokoh kekufuran itu, tidak juga mati terkejut, atau kerana penyakit misteri disebabkan kejahatan mereka. Sebaliknya kaum musliminlah yang berjihad dan menghapuskan keduanya di medan pertempuran. Islam meminta usaha, bukan menunggu tindakan Allah tanpa usaha. Firman Allah mengenai cabaran musyrikin terhadap Nabi s.a.w
(maksudnya): “Dan mereka berkata: Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan bagi kami matair dari bumi. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau engkau gugurkan langit berkeping-keping ke atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?”. Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?” (Surah al-Isra`: 90-94).
Demikian dahsyat cabaran mereka, baginda tidak menyahutnya, kerana bukan itu kehendak Allah. Mereka meminta langit berkeping-keping menimpa kepala mereka, namun baginda menjawab “Aku hanya seorang insan yang diutuskan menjadi rasul”. Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana tidak pula memusnahkan kaum musyrikin dengan apa yang mereka minta, sebaliknya dijadikan kemusnahan mereka melalui sebab perjuangan golongan yang beriman.
Apa yang pelik sesetengah ustaz atau penceramah agama itu membawa cerita yang jauh berbeza dengan tabiat sirah Nabi dan para sahabah. Kononnya orang ini mayatnya jadi begini kerana tidak datang masjid, atau kerana terlalu kedekut dan seumpamanya. Yang ini pula tangannya lumpuh, atau berpenyakit badan kerana tidak mahu pergi haji. Mereka mengandaikan perkara yang tidak pasti. Boleh jadi seseorang yang sakit itu kifarah Allah ke atasnya kerana dosa tertentu. Namun boleh jadi juga di atas hikmah yang lain. Ramai orang beriman lagi soleh juga sakit.
Adapun cerita mayat jadi itu dan ini, kebanyakannya andaian atau tokok tambah. Apa yang membimbangkan, ada media massa yang mengambil kesempatan lalu menjadikan tajuk-tajuk sebegini sebagai penarik pembaca setiap keluarannya. Sehingga ada orang bukan muslim membaca dan berkata: “Teruknya orang Islam, mati macam-macam jadi. Kita yang awak katakan cakap kafir pun tidak jadi macam itu. Kalau macam ini takut kita hendak masuk Islam. Bahaya! Nanti tuhan selalu marah, mati pun tak boleh senang”.
Masjid Jadi Pasar
Lebih dukacita lagi, sebahagian penceramah, menjadikan masjid dan surau sebagai platform mengiklankan barang-barang jualan mereka. Atau mengiklan produk-produk mereka yang disokong oleh dalil-dalil yang kebanyakannya tidak benar. Namun masyarakat umum yang telah memberi kepercayaan, ramai yang termakan. Akhirnya masjid menjadi pusat iklan barangan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Sedangkan peniaga-peniaga lain tidak ada peluang. Kalau satu syarikat diizinkan, mengapa syarikat yang lain tidak? Jika semuanya diizinkan, jadilah masjid bagaikan ‘pasar lambak’ tempat peniaga mengiklankan barangan mereka. Barangkali inilah hikmat baginda Nabi s.a.w menyebut:
“Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: ALLAH tidak akan menguntungkan perniagaanmu..” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).
Cuma malangnya masyarakat kita, siapa sahaja yang dinobatkan sebagai ‘ustaz’, bagi mereka tentulah tahu semua benda dalam agama. Padahal, Islam begitu luas lagi ilmiah. Mana mungkin hanya dengan bergelar ustaz dia menguasai disiplin-disiplin yang hebat itu tanpa mempunyai kajian dan kaedah kajian yang mantap. Apakah dianggap pengkaji Islam jika sekadar mencetuskan beberapa lawak jenaka atau beberapa petua suami-isteri?!!.
Tukang Cerita
Dalam sejarah para ulama hadis sejak dahulu mengingatkan umat Islam tentang bahayanya golongan qussas dan wu’adz. Golongan ini adalah antara yang paling berperanan menwujudkan hadis palsu, atau menyebarkannya. Bahkan melalui mereka tersebarnya Israiliyyat, petua-petua khurafat dan cerita-cerita karut yang disandarkan kepada tokoh itu dan ini. Agama tercemar kerana mereka. Secara ringkas kita terjemahkan wu’adz dan qussas sebagai para penceramah agama dan tukang cerita.
Mungkin kita akan bertanya, apakah bahaya? Tidakkah mereka ini memberi nasihat di masjid dan surau kepada orang ramai. Orang ramai pula dapat mengambil manfaat daripada mereka?!.Kita katakan, bahayanya bukan kerana mereka memberikan nasihat, tapi bahayanya kerana ada isi kandungan agama yang terkandung dalam ucapan-ucapan mereka banyak yang tidak benar. Orang ramai terseleweng kerana mereka. Walaupun kita sedar bukan semua penceramah begitu. Ramai juga penceramah yang berhati-hati dalam penyampaian maklumat dan hadis-hadis yang dibaca. Namun lebih ramai penceramah yang hanya memikirkan apa yang disukai oleh pendengar semata. Kata Dr. Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql:
“Qussas mereka itu adalah wu’`azd yang mengadakan majlis-majlis untuk memberi nasihat, yang mana ianya menyanggahi majlis ilmu. Mereka memberi nasihat kepada orang ramai dengan berbagai hikayat, israiliyyat dan seumpamanya yang tidak ada asal usulnya, atau palsu, atau apa yang akal orang awam tidak dapat memikirkannya” (Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44, Riyadh: Dar al-Watan).
Orang Awam Terpengaruh
Sepatutnya majlis-majlis nasihat mestilah berteraskan ilmu yang tulen. Ayat-ayat al-Quran dan hadis yang dihuraikan mestilah memenuhi disiplin keilmuan yang telah digariskan oleh para sarjana Islam. Kata al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ketika mengulas mengenai tipu daya iblis terhadap wu’adz dan qussas ini:
“…maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya mereka berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang yang jahil. Maka timbullah berbagai bid`ah dalam bidang ini… di kalangan mereka ada yang memalsu hadis-hadis dalam al-targhib (menggalakkan ibadah) dan al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat).
Iblis menipu mereka lalu mereka berkata: “tujuan kami ialah untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru dengan perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada penyempurnaan. Mereka lupa sabda Nabi S.A.W: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 143 , Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Ceramah Cari Makan
Adalah menyedihkan jika ada pihak yang menganggap, ceramah agama sebagai sumber mengumpul kekayaan. Tujuan ceramah ialah duit. Maka dia mencetuskan apa yang dirasakan boleh menghasilkan duit. Lalu dia rela mengorbankan ilmu dan fakta hanya kerana harta. Kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib:
“Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, -mendukacitakan- mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian”.( Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr)
Inilah hakikat yang berlaku sehingga ke hari ini. Entah berapa ramai penceramah tidak meneliti kedudukan fakta-fakta yang dikemukakan. Apa yang mereka pentingkan ialah jempuan orang ramai dan kesudian mereka untuk mendengar. Sebab itulah pada zaman dahulu Ibn `Umar beliau mengarahkan agar pihak berkuasa mengeluarkan mereka dari masjid dan `Umar bin `Abd al-`Aziz pula memenjarakan mereka dan sesiapa yang duduk dalam majlis mereka.( Lihat: Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44.).
Kesalahan mereka bukan kerana mereka memberi nasihat kepada orang ramai. Rasulullah S.A.W. dan para ulama salaf juga memberi ceramah dan nasihat kepada orang ramai. Namun yang salah ialah mereka menyebarkan perkara-perkara palsu.
Menyandarkan maklumat palsu kepada Islam adalah sesuatu yang amat haram. Malangnya perkara yang amat diharamkan syarak ini berlaku di masjid-masjid. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar):
“Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, samada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai periwayatan dan teks hadis). Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut. Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya. Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah (Abu Syahbah, al-Wasit fi `Ulum wa al-Mustalah al-Hadith, m.s. 322, Kaherah: Dar al-Fikr al-`Arabi).
November 29, 2012
Bingkisan Perjalanan Buat Yang Demam ‘Kuasa’
BINGKISAN PERJALANAN BUAT YANG DEMAM ‘KUASA’
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Sekarang ini demam Pilihanraya ke-13. Ia dijangka pilihanraya yang benar-benar akan men’demam’kan samada BN ataupun PR. Maka sekarang parti-parti politik dalam negara kita sedang sibuk dan menyibukkan diri untuk menghadapi demam tersebut. Ucapan dan slogan politik kedengaran di sana-sini. Kuasa, kuasa, dan kuasa. Itulah mimpi sebahagian manusia politik. Saya tidak ingin mengulas pada minggu ini. Saya hanya ingin memetik pelbagai ucapan beberapa tokoh umat Islam berkaitan dengan perjuangan dan kepimpinan. Harapnya ia boleh menjadi bekalan dan renungan untuk semua pihak yang terbabit. Ia boleh menjadi koleksi dan koreksi untuk mereka yang merasa diri berada di medan perjuangan dan siasah.
Gambar Hiasan
Akur Kesilapan
Nabi Musa a.s berjuang menghadapi Firaun. Namun Nabi Musa a.s pernah membuat kesilapan sebelum menjadi rasul iaitu telah memukul seorang warga Mesir keturunan qibti sehingga mati. Semasa dialog antara Musa dan Firaun, Firaun mempertikaikan tindakan Musa a.s. tersebut. Nabi Musa a.s mengakui kesilapan tersebut, namun meneruskan perjuangan yang benar. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya)
“Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: “Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”. Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?”
Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang RasulNya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Surah al-Syu‘ara: 16-22).
Inilah sikap perjuang yang ikhlas dan benar!
Pohon Maaf dan Betulkan Kesilapan
Apabila fitnah berlaku di zaman pemerintahan Saidina ‘Uthman bin ‘Affan, beliau menulis surat kepada rakyat memohon kemaafan dan membuka ruang agar dibetulkan kesalahan pentadbiran. Beliau menyebut dalam suratnya:
“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka itu akan haknya. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan ianya ditinggalkan untuk rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca dan ada pula yang dipukul. Sesiapa yang dicerca ataupun dipukul secara sembunyi atau sesiapa yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”.
Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 342) iaitu fitnah telah menular di tengah-tengah umat.
Maksud ‘Rakyat Didahulukan’
Jika kita ingin mendengar contoh rakyat didahulukan, maka bacalah Sirah ‘Umar bin al-Khattab ini: Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun kemarau melanda Madinah lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata:
“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).
Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya:
“Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).
Awasi Pengampu
Syaiban al-Ra‘i berkata kepada Harun al-Rasyid:
“Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan”.
Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku”. Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!”.
Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya. Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Gambar Hiasan
Menyedari Bebanan Amanah
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Kata anaknya:
“Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144).
Dalam Sifat al-Safwah karya Ibn al-Jauzi yang meriwayatkan bahawa ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa, seorang tokoh umat bernama ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari berkata kepadanya:
“Lihatlah ke arah Kaabah.” Harun al-Rasyid menjawab: “Aku sedang lihat.” Kata beliau lagi: “Berapa jumlah mereka yang kau lihat?” Jawab Harun: “Siapa yang mampu membilangnya.” Kata beliau pula: “Berapa jumlah manusia yang seperti mereka?” Jawab Harun: “Hanya Allah yang mampu menghitungnya.” Kata al-‘Umari lagi: “Ketahuilah engkau bahawa setiap mereka itu hanya akan ditanya pada hari kiamat tentang diri mereka sahaja, hanya engkau yang akan ditanya tentang diri mereka semua, maka hati-hatilah engkau tentang nasib engkau nanti.”
Maka terduduk dan menangislah Harun al-Rasyid mengenangkan masa depannya di akhirat kelak.
Menyedari Kemampuan Diri
Saidina ‘Umar bin al-Khattab r.a. pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya:
“Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-sia tugas dan tanpa ditimpa fitnah”. Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh. Demikian Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a, walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu. Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. (lihat: Ibn Rajab, al-Jami’ al-Muntakhab, 103, Lebanon: Muassasah Fuad).
Banyak lagi ungkapan yang baik tentang kuasa dan jawatan untuk direnungi oleh mereka yang merinduinya. Saya petik sedikit daripadanya sebagai bingkisan buat yang lantang berbicara tentang keinginan kepada kuasa.
November 22, 2012
Relevankah Pas Dalam Realiti Baru?
RELEVANKAH PAS DALAM REALITI BARU?
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Saya pernah mengkritik UMNO dalam tulisan saya sempena Perhimpunan Agung UMNO yang lepas dan sebelum. Ketika itu saya tetamu parti tersebut di perhimpunan mereka. Orang UMNO tidak menzahirkan kemarahan atas kritikan itu. Perasaan mereka, saya tidak tahu. Muktamar PAS baru sahaja berlalu. Kali ini saya ingin sedikit melontarkan persoalan untuk berkongsi dengan PAS. Maaf, bagi saya PAS merupakan parti politik yang agar sukar menerima teguran. Sekalipun tidak dinafikan ada juga pimpinan PAS yang bersikap terbuka. Pemuda PAS merupakan sayap yang sepatutnya menggambarkan open-mindedness, tapi menzahirkan reaksi yang agak keras setiap kali menerima kritikan. Pembaca boleh membaca reaksi timbalan ketuanya dalam memberi pandangan balas terhadap saya ketika saya melontar pandangan agar jangan tiru pendekatan Taliban dan jangan wujudkan negara mullah.
Dalam wacana di sinar baru-baru ini mengenai ulama dan pemerintah, banyak kritikan saya tertumpu kepada UMNO, tetapi pihak Pemuda PAS yang begitu melenting hanya kerana pandangan sepintas lalu agar PAS jangan nanti membentuk negara mullah. UMNO tidak sangat melantah. Saya mula risau tentang masa depan hak bersuara rakyat terhadap kerajaan jika PAS direzekikan Allah menguasai Putrajaya. Apakah pendekatan UMNO sebelum PRU-12 akan dihidupkan semula? Atau lebih parah, atas nama Tuhan rakyat dilarang berbicara? Harapnya tidak begitu.
Berubah
Gerakan Islam di seluruh dunia terpaksa akur bahawa mereka perlu berubah jika ingin memastikan mereka terus relevan. Bukan sahaja gerakan Islam, bahkan apa sahaja gerakan dalam dunia ini terpaksa akur bahawa cuaca baru yang sedang dihayati oleh umat manusia memerlukan satu kerangka baru dalam pemikiran dan perlaksanaan.
Politik adalah satu bidang yang membabitkan persoalan menguruskan manusia. Manusia itu terdedah kepada pengaruh tempat dan masa. Budaya dan cara berubah disebabkan persekitaran yang berbeza. Sudah tentu, iklim politik pada zaman Nabi s.a.w dan al-Khulafa al-Rasyidin tidak sama dengan zaman selepasnya. Sudah pasti budaya dan cara politik pada zaman Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah tidak sama dengan yang selepas itu. Demikian politik dalam era ‘nation states’ tidak sama dengan era empayar sebelum itu. Globalisasi dan era ledakan maklumat telah mencetuskan pelbagai fenomena baru dalam kehidupan manusia. Sesiapa yang cuba melaksanakan secara literal ataupun mengadaptasikan sepenuhnya teks politik zaman lampau ke zaman kini, maka dia seorang yang naïf dan dangkal dalam memahami tabiat politik (naturalness of politics), sekaligus rasional dan tabiat Islam (naturalness of Islam) itu sendiri.
Retorik
Semasa awal kebangkitan Islam, gerakan Islam khususnya yang banyak bercakap tentang politik banyak melaungkan slogan-slogan yang belum diuji keberkesanannya. Sebahagian slogan itu didokong oleh sebahagian mereka dengan penuh dogmatic dan rhetoric. Padahal, sebahagian besarnya hanyalah ijtihad ataupun tafsiran yang dibuat dengan pengaruh tertentu. Sedangkan Islam lebih luas dan terbuka dibandingkan dogma dan retorik tersebut. Kesempitan beberapa pegangan mereka khususnya apa yang dikaitkan dengan teori ‘daulah Islamiyyah’ ataupun ‘Islamic State’ telah menghalang mereka maju ke hadapan. Slogan mereka menakutkan sebahagian rakyat. Islam yang menjadi agama rahmat, diungkap dan dilaungkan secara yang menggusarkan. Fokus terhadap menghukum rakyat dengan ‘hukuman syariah’ lebih banyak dari bicara tentang memberikan servis dan hak-hak rakyat yang dibela oleh syariah. Pendekatan sebahagian slogan Islam itu seakan ingin menjadikan rakyat ‘robot patuh syariah’ bukan sebagai manusia merdeka yang taat kepada Tuhan dengan penuh pilihan.
Nilai Semula
Setelah melalui beberapa pengalaman, akhirnya banyak gerakan Islam mula menilai semula. Dalam kalangan mereka mula memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik. Mereka juga mula membahaskan betapa perlunya memahami teks dalam kerangka konteks. Mula sedar betapa politik terdedah kepada perubahan. Islam hanya menetapkan dasar-dasar umum. Derita Dunia Muslim bukan kerana soal tiada hudud ataupun pemimpin tidak berserban, tetapi derita Dunia Muslim disebabkan bad governance, rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan lain-lain penyakit yang men’jahanam’kan negara. Memalukan Dunia Muslim dibandingkan Barat yang sering mereka kutuk. Jika dilihat di sudut Islam agama yang mempentingkan kebersihan dan peraturan pun, malang sekali negara-negara umat Islam kebanyakan kotor, pengurusan yang buruk dan segala kemunduran hidup. Sedangkan Barat yang meninggalkan agama itu jauh lebih bersih, kemas pengurusan mereka dan maju. Islam tidak salah, tetapi umatnya bersalah kerana meninggalkan ajaran Islam dalam hal-hal berkenaan. Datang gerakan Islam pula memberikan fokus yang tidak menggambarkan sifat Islam yang memberikan servis kepada kemaslahatan manusia. Maka, perubahan ataupun tajdid dalam gerakan Islam itu amat diperlukan.
Rakyat muslim mula muak dengan pemerintah-pemerintah mereka yang ada. Rasuah, salahguna kuasa, memerah harta negara dan kezaliman menghiasi politik Dunia Muslim. Rakyat membenci pemerintah mereka sekian lama. Era teknologi telah membuka peluang besar untuk kebangkitan yang lebih berkesan. Kombinasi antara teknologi dan hasrat perubahan politik menampakkan hasilnya. ‘Arab Spring’ menjadi bukti bahawa era baru mampu melakar politik gaya baru. Siapakah yang akan menjadi harapan rakyat? Gerakan Islam yang terlibat dengan politik cuba tampil ke hadapan sebagai satu alternatif baru.
Persoalannya, apakah yang rakyat mahukan? Apakah mereka mahu keluar dari cengkaman golongan secularist kepada cengkaman golongan mullah (clerics)? Apakah mereka mahu kerakusan kuasa atas nama dunia ditukar kerakusan kuasa atas nama Tuhan dan agama? Sudah tentu tidak! Mereka mahukan hak, keadilan dan kenikmatan hidup sebagai insan yang bermaruah dan merdeka. Mereka sudah rimas dengan cengkaman penguasa. Islam yang rahmat diharapkan dapat menawarkan khidmat yang mereka idamkan. Mereka ingin melihat orang yang miskin dan melarat diberikan makan. Bandar yang kotor menjadi bersih. Pengurusan yang buruk menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Harta negara dibahagi secara adil dan kerajaan diurus dengan penuh amanah. Mereka bukan bermimpi untuk melihat tangan rakyat dipotong, ataupun wanita direjam dengan batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya. Itu bukan mimpi mereka. Itu juga bukan mimpi Islam yang penuh rahmat ini. Mereka mengharapkan gerakan Islam menghilangkan sengsara mereka, bukan sekadar untuk menghukum mereka.
Mendapat Tempat
Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat baru dunia kini, banyak gerakan Islam mula membuat pendekatan baru. Slogan-slogan yang menakutkan telah cuba ditinggalkan. Pendekatan ‘haram’, haram, haram mula ditukarkan dengan mencari dan memberi alternatif halal yang lebih baik kepada rakyat. Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan mula dilaungkan. Mereka mula memberikan khidmat kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan cita dan cinta rakyat.
Al-Ikhwan al-Muslimin juga mencari pendekatan baru di Mesir. Demikian al-Nahdah di Tunisia. Turki dilihat mengepalai hal ini. Walaupun kerajaan Turki berasaskan secularism, tapi tokoh-tokoh Islam Turki tidak menjerit perlembagaan kufur atau ingin menghapuskan perlembagaan, sebaliknya bekerja dalam kerangka yang ada. Ini sama dengan apa yang dibuat oleh Ashamah, Najashi di Habshah yang mengepalai negaranya yang Kristian. Dia menganut Islam secara senyap dan berhubungan dengan Nabi s.a.w melalui utusan dan surat menyurat. Nabi s.a.w tidak pernah menyuruhnya meletakkan jawatan, sebaliknya dia bekerja dalam kerangka yang ada dan termampu.
Maka, pemikiran tajdid dalam memahami realiti baru amat diperlukan oleh PAS. Usahanya itu adalah bagi membolehkan PAS terus relevan dan mencapai maqasid politik yang dikehendaki oleh syarak. Usaha seperti ini amatlah penting, walaupun biasanya ia akan dikritik oleh penganut dogma lama. PAS itu sendiri hari ini hakikatnya telah cuba berubah dalam menangani persekitaran yang ada. Apakah PAS akan berjaya menawar khidmat islami yang relevan dengan kemanusiaan hari ini?
November 20, 2012
Murtad: Antara Emosi Dan Realiti
MURTAD: ANTARA EMOSI DAN REALITI
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Murtad adalah ungkapan yang menakutkan. Tidak ada mukmin yang sebenar tidak berasa sensitif atau ketakutan apabila perkataan murtad dikaitkan dengannya. Bahkan mukmin yang sejati apabila mendengar perkataan murtad atau kufur akan menyebut dalam jiwanya “aku pohon perlindungan dengan Allah dari itu semua”. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah: 217:
(maksudnya) “dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka mereka itu rosaklah amalan (yang baik) mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)”.
Bahaya Fenomena Murtad
Murtad jika menjadi satu fenomena ia akan mengancam masyarakat muslim. Jika masyarakat itu telah membentuk negara muslim, ia akan mengancam identiti negara tersebut. Maka fenomena murtad sangat merbahaya serta boleh mencetuskan perubahan identiti atau maruah sesebuah negara muslim. Dalam masyarakat hari ini, kita menangkap dan mengambil tindakan kepada penyalahgunaan dadah. Walaupun mudarat langsung itu kelihatan berlaku kepada diri individu, namun jika ia menjadi arus, ia akan mengancam identiti dan keseimbangan sesebuah masyarakat. Maka tidak hairan apabila murtad menjadi gelombang yang mengancam kestabilan maka Abu Bakar mengambil tindakan memerangi mereka. Hakikat ini tidak wajar dipertikaikan oleh seorang muslim.
Berfikiran Terbuka
Namun dalam suasana sekarang ini, saya ingin mengajak persoalan ini dilihat luar dari sempadan emosi, tetapi atas kerangka tanggungjawab agama dan kepentingan umat. Langkah pencegahan ke arah murtad perlu dilakukan secara bersungguh. Ini sesuatu yang kita sepakati. Di samping sesuatu yang perlu kita tahu bahawa seseorang itu menjadi murtad apabila dia melanggar batasan akidah Islam secara sedar, faham dan tidak dipaksa. Sama ada perlanggaran itu dalam bentuk perkataan, atau perbuatan, atau keyakinan.
Apabila perlanggaran itu dilakukan seperti menghina Allah dan RasulNya, atau mengisytiharkan diri telah keluar atau ingin keluar dari Islam maka dia menjadi murtad. Kemurtadan ini tetap berlaku sama ada disahkan atau tidak disahkan oleh mana-mana pihak. Penyataan agama dalam kad pengenalan bukanlah penentu sebenar kepada hakikat akidah seseorang. Ia hanya untuk urusan kemasyarakatan atau pentadbiran.
Ini bererti sekiranya kita berjaya menahan seribu orang yang mengisytihar diri keluar dari Islam agar tidak dapat menukar agama kad pengenalannya, kita sebenarnya hanya menyimpan seribu orang murtad yang akan bertopeng dalam masyarakat muslim sahaja. Apa jadi, jika kad pengenalan itu dijadikan ukuran oleh beberapa pihak lalu berkahwinlah golongan murtad ini dengan orang-orang Islam yang sebenar?. Mereka juga mungkin menguasai instituti-institusi agama atas kebijaksanaan mereka dalam bidang tertentu, sedangkan mereka murtad. Akhirnya kita menyimpan barah yang amat merbahaya dalam tubuh umat. Maka sekadar pertahankan perubahan agama pada kad pengenalan semata, bukan satu kejayaan. Bahkan mungkin menjadi musibah jika berleluasa pada suatu hari nanti. Kejayaan yang sebenar adalah mengembalikan mereka kepangkuan Islam secara redha dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini.
Diperdaya Musuh
Berikutnya, kita jangan sampai diperdayakan oleh musuh dengan meletakkan angka murtad sehingga ratusan ribu. Walaupun ada, ia tidak sampai kepada angka tersebut. Jangan pula kita mudah menghukum orang lain murtad hanya atas khabar angin. Apakah kita ingin menghidupkan suasana kafir-mengkafir atas andaian semata. Perbuatan itu hanya memporak-perandakan masyarakat Islam.
Meletakkan angka yang sebesar itu hanya melancarkan agenda musuh-musuh Islam. Ia akan menyebabkan dunia menekan negara agar tidak mengabaikan hak jumlah manusia yang ratusan ribu itu. Lantas usaha ke arah murtad mendapat sokongan dunia luar. Kedua, meletakkan jumlah yang sedemikian besar, hanya akan mematahkan semangat mereka yang ingin menganut Islam dan usaha ke arah mengajak manusia kepada Islam. Alangkah malunya, ketika umat Islam Dunia Barat yang ditekan sedang giat dan berjaya mengislamkan saban hari jumlah begitu banyak penduduk Barat sedangkan kita kalut dengan cerita orang murtad. Padahal tidak ada kerajaan yang memberikan keistimewaan kepada Umat Islam di Barat. Apatah lagi perlembagaan yang boleh dikaitkan dengan Islam. Tiba-tiba dalam negara yang banyak masjid, ceramah agama di sana-sini, ada pejabat agama dan mufti, berbagai pertubuhan Islam wujud, perlembagaannya menyebut Islam, ustaz-ustaznya pun banyak duit ceramah yang telah dihasilkan, mufti-muftinya pun ramai yang berjenama mewah, slogan Islam pun banyak kedengaran di sana-sini, lalu kita isytiharkan ratusan ribu telah murtad. Sedangkan umat Islam Barat yang lebih mencabar keadaan mereka itu mengisytiharkan ratusan ribu yang menganut Islam. Bahkan begitu banyak gereja bertukar menjadi masjid. Padahal tidak ada mahkamah syariah pun di negara-negara tersebut. Namun mereka berdakwah dengan penuh amanah dan kesarjanaan. Lantas, manusia berbondong-bondong menganut Islam. Aduhai malangnya kita. Jika hal yang berlaku sebaliknya. Kalau begitu, barangkali elok sahaja kita pencenkan Menteri JAKIM, mufti-mufti kesemuanya dan yang sewaktu dengan mereka kerana ternyata gagal mempertahan dan menjelaskan Islam yang agung ini kepada umat.
Sebab
Kita juga hendaklah mengkaji sebab-sebab murtad di negara ini. Jangan hanya menuding jari ke pihak lain, tanpa melihat kepada diri kita sendiri. Jika kita teliti, ramai yang ingin meninggalkan Islam terdiri daripada mereka yang dahulunya beragama lain. Mereka menganut Islam kadang-kala disebabkan faktor perkahwinan. Apabila berlaku berlaku perceraian, mereka hilang tempat bergantung. Masyarakat Islam pula ramai yang kurang prihatin terhadap saudara baru. Lalu mereka tiada pilihan, terpaksa kembali kepada keluarga asal atau masyarakat yang lebih memahami mereka. Sebab itu, saya mencadangkan masjid cina. Antara sebabnya, membolehkan mereka bertemu dengan yang senasib atau yang lebih faham tentang diri mereka. Lalu berlaku bantu membantu. Juga proses pemahaman Islam lebih lancar dan mudah. Itupun ada yang membantah cadangan tersebut. Kononnya hendak jaga identiti melayu. Takut berpecah antara sesama Islam yang berlainan bangsa. Itulah andaian emosi tanpa satu kajian. Padahal, apa yang berlaku sekarang bukan sekadar berpecah, bahkan keluar agama!!!.
Baru-baru ini ada saudara baru yang minta hendak menganut Islam di hadapan saya. Katanya dia telah pergi ke pejabat agama sebuah negeri tetapi ditolak beberapa kali kerana lidahnya dapat menyebut ucapan syahadah dengan baik. Inilah sikap buruk sesetengah kita yang menghalang orang hendak menganut Islam. Barangkali kalau boleh bacaan tajwid orang yang hendak menganut Islam pun hendak diujinya. Islam dianuti bukan kerana kefasihan lidah, tetapi keyakinan dan akidah!!
Benteng Islam
Amatlah pelik, bagi agama yang indah, harmoni dan dipenuhi pula dengan hujah dan alasan, tiba-tiba ada pula yang tidak puas hati dengannya dan ingin meninggalkannya. Padahal saluran penerangan Islam begitu luas dalam negara ini. Sedangkan Islam sudah sempurna. Tidak ada masalah dengan inti kandungannya. Ia agama yang mampu dicabar. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 111:
Maksudnya: “Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Bawalah bukti-bukti kamu itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.
Apa yang tinggal untuk dipersoalkan adalah sikap penganutnya. Manusia lari meninggalkan Islam kerana sikap penganutnya atau huraian Islam yang salah. Bukan kerana Islam. Kita gagal membina benteng yang mampu mempertahankan Islam. Kita lebih suka menyalahkan orang lain apabila kita lemah. Saya ambil contoh dalam masalah Bible dalam bahasa melayu. Saya bukan ingin mengatakan dibolehkan atau tidak. Tetapi sehingga bila kita ingin menjerit dan membantah. Kita bimbang anak-anak kita terpengaruh dengan Bible jika ianya dalam bahasa melayu. Apakah kita tidak bimbang jika anak kita pandai bahasa Inggeris dan nanti dia boleh baca Bible dalam bahasa Inggeris pula?! Tidak inginkah pula kita mengharamkan bahasa Inggeris untuk anak-anak kita?! Apa pula yang hendak kita buat dengan internet yang seseorang mampu mendapatkan apa sahaja daripadanya. Apa kita kata jika kita dapati ada satu bangsa yang takut orang-orangnya diberi kesempatan membaca al-Quran terjemahan dalam bahasa mereka. Tentu kita akan kata; mereka takut sebab al-Quran itu benar. Demikianlah orang lain fikir tentang kitab mereka apabila dihalang. Sehingga bila kita mampu menghalang? Sepatutnya kita membina benteng ketahanan yang kuat. Lihat apa yang dibuat oleh Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik dalam menjawab Bible. Orang menganut Islam apabila mendengar mereka membahaskan Bible. Huraikan Bible secara ilmiah dan buktikan kebenaran al-Quran dan Islam. Ustaz-ustaz mesti meningkatkan kemampuan menguasai bidang yang berbagai sesuai dengan tuntutan zaman. Bukan asyik kempen kismis dan air jampi sahaja. Kocek penuh, umat lari. Jawab segala tuduhan terhadap Islam dengan penuh wibawa dan ilmiah. Bukan emosi semata. Bahkan kalau perlu dihuraikan Das Kapital pun huraikanlah sekalipun dalam masjid. Namun apabila ceramah dan syarahan agama lebih banyak jenaka dan lawak ‘bodoh’ maka berbagai tohmahan terhadap Islam gagal ditangkis dengan mantap. Sedangkan al-Quran mengajar berbagai isi dan cara berdialog menghadapai Ahl al-Kitab. Antaranya Allah menyebutkan:
(maksudnya): “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah Kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut: 46).
Anak-anak kaum muslimin mustahil akan terpengaruh dengan Bible jika mereka membaca al-Quran. Ada yang kata: masalahnya mereka tidak baca al-Quran. Kita tanya; jika al-Quran pun mereka tidak minat baca, macam mana pulak mereka berminat membaca Bible?!! Atau barangkali di rumah mereka tidak ada al-Quran terjemahan? Ataupun mungkin juga cara al-Quran dihuraikan oleh sesetengah kita menjadikan orang salah faham atau tidak minat dengan al-Quran.
Apa yang penting, kita mesti bina ketahanan diri dalam kefahaman umat Islam di Malaysia ini. Sejauh manakah kita hendak bertahan dengan jeritan dan bantahan terhadap orang lain, jika kita sendiri lemah. Umat Islam di negara Barat tanpa berbagai keistimewaan seperti kita tetapi mampu menyebarkan Islam. Bahkan selepas 11 September, al-Quran dilaporkan begitu laris di pasaran mereka. Mengapa kita sebaliknya?
Hukuman
Ramai yang memperkatakan hukuman murtad. Saya tidak ingin melebarkan khilaf fuqaha di sini. Namun kita tidak melaksanakan langkah-langkah yang diperintahkan syarak sebelum menghukum orang murtad. Hasil dari nas-nas hadis dan amalan sahabah, para fuqaha menyatakan hendaklah orang murtad itu diberikan ruang perbincangan, dihilangkan kekeliruannya mengenai agama dan diajak bertaubat (lihat: Abd al-Halim ‘Uwais, Mausu’ah al-Fiqh al-Islami al-Mu’asir, 3/438).
Proses ini penting, sebelum kita sibuk memperkatakan tentang hukuman. Proses ini boleh dibuat oleh berbagai pihak. Tidak semesti memerlukan kuasa. Namun hanya sedikit yang melakukannya. Banyak perkara yang mengelirukan umat Islam pada zaman ini. Manusia mungkin murtad disebabkan kurangnya penjelasan yang meyakinkan. Sikap, tindakan dan penafsiran sesetengah pihak di kalangan umat Islam juga boleh menyebabkan orang bingung dengan Islam. Tiba-tiba apabila mereka murtad terus sahaja ada pihak yang memperkatakan tentang hukuman sebelum mendengar dan membuat penjelasan secara mantap dan adil, mana mungkin jiwa yang merdeka dapat menerimanya. Proses penerangan dan diolag tentang Islam dengan cara yang lebih terbuka dan berani patut dilakukan. Di negara lain, tokoh-tokoh umat Islam sudah lama mampu menyampaikan penerangan tentang Islam sehingga di gereja dan di berbagai saluran.
Hari ini tidak ada Abu Bakr yang mampu menolong kita. Apa yang patut kita fikirkan adalah membina ketahanan umat agar kukuh kefahamannya terhadap Islam. Pengukuhan itu tidak akan berlaku jika pihak yang menerangkan Islam itu sendiri rapuh kefahamannya dan menakutkan pula wataknya. Lebih penting isu murtad jangan dijadikan sebagai peluang untuk mempromosi diri, persatuan atau modal politik. Sebaliknya lihat ia sebagai tanggungjawab bersama yang mesti ditangani secara ilmiah, bukan sentimen.
November 8, 2012
Obama, Romney Dan Politik Kita
OBAMA, ROMNEY DAN POLITIK KITA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Saya mengikuti perkembangan US Presidential Election antara Barack Obama dan Mitt Romney dari awal termasuk siri Presidential Debates yang diadakan sebelum pilihanraya. Saya menjadi tertarik untuk ikuti disebabkan saya gusar jika Mitt Romney menang. Saya bimbang beliau akan menjadi ‘Bush baru’ dari segi pentadbiran, terutamanya dasar luar Amerika. Pendiriannya tentang Israel dan pergolakan Timur Tengah membimbangkan. Di samping beliau sebenarnya adalah bayangan golongan elit kaya Amerika, sementara Barack Obama lebih kepada mewakili golongan pertengahan.
Kurang Bahaya
Saya bimbang jika Romney menang, dunia akan bergolak lagi. Peperangan akan makin membara. Penjualan senjata akan makin pesat. Sementara Obama agak tenang dari segi dasar luarnya. Kuasa besar itu agak kurang mengganas di bawah kepimpinannya dibandingkan zaman Bush dulu. Dalam agama, jika kita mempunyai dua pilihan yang bahaya, kita disuruh memilih yang kurang bahaya yang disebut akhaf ad-dararain iaitu mudarat yang lebih ringan.
Saya pernah menulis hal ini semasa awal Obama menjadi Presiden Amerika pada tahun 2008. Semasa beliau menang ketika itu banyak harapan diletakkan. Walaupun beliau tidak berjaya memenuhi semua impian, namun sekurang-kurangnya beliau tidak menambah gawat krisis keganasan dunia yang sedia ada.
Barack Obama
Ada orang bertanya, untuk apa saya suka Obama menang? Mereka semua itu bukannya muslim. Obama pula katanya menyokong LGBT! Inilah cara fikir sempit sebahagian orang kita. Apakah kita mahu supaya Obama itu jadi ‘pemimpin soleh’ seperti yang al-Quran dan al-Sunnah nyatakan?!! Lagikan yang muslim dan memerintah negara Islam pun gagal menjadi manusia soleh, penuh dengan korupsi dan penyelewengan, bahkan kezaliman, inikan pula dia yang memerintah Amerika. Cara pemikiran yang sempit seperti itu tidak diajar oleh Islam. Allah dan RasulNYA sentiasa mengajar kita melihat setiap perkara dalam kerangka yang luas.
Dalam al-Quran, terdapat Surah ar-Rum. Surah ini menceritakan kegembiraan umat Islam pada zaman Nabi s.a.w apabila Rome dapat menewaskan Parsi. Sekaligus ia menggambarkan dukacita para sahabat apabila Parsi menang di peringkat awalnya mengalahkan Rome. Kemudian apabila Rome kembali menang, Nabi s.a.w dan para sahabah bergembira. Walaupun Parsi dan Rome, keduanya empayar yang bukan Islam, tetapi Parsi lebih zalim dan kejam dari Rome. Di samping Rome pula Kristian yang termasuk dalam Ahlul Kitab (People of the Book) sementara Parsi adalah Majusi (zoroastrianism) yang menyembah api. Al-Quran menyebut: (maksudnya)
“Alif, Laam, Miim. Rome telah dikalahkan -Di bumi (tempat peperangan) yang paling rendah; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan dapat mengalahkan (menang kembali). Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira”. (Surah ar-Rum 1-4).
Saya pernah sebutkan dalam beberapa tulisan, bahawa minda yang seperti ini diperlukan oleh seorang muslim. Minda yang bukan hanya berfikir dalam kotak tetapi juga di luar kotak. Minda yang tidak jumud seperti golongan literalis sempit yang menganggap semua bukan muslim itu sama. Bahkan kelompok literalis itu menganggap segala kebaikan penguasa bukan muslim tidak diiktiraf dan segala kezaliman pemerintah muslim tetap dihormati dan jangan dipertikaikan. Mereka itu tidak memahami ajaran al-Quran yang sebenarnya.
Puas Hati
Saya juga tertarik dengan sikap Obama dan Romney selepas keputusan pilihanraya diperolehi. Setelah Barack Obama diisytiharkan kembali dipilih sebagai Presiden Amerika, beliau antaranya menyebut dalam ucapannya:
“I just spoke with Governor Romney and I congratulated him and Paul Ryan on a hard-fought campaign… we may have battled fiercely, but it’s only because we love this country deeply and we care so strongly about its future.”
Saya rasa ini satu ucapan yang baik. Ucapan ini patut ditiru oleh para pemimpin yang menang, menghormati pihak yang kalah. Tidak menggambarkan kesombongan tetapi hormat kepada pesaing yang juga ingin menyumbang kepada negara. Bukan bersorak ‘padan muka’ macam budak-budak kepada pihak yang tewas. Sebaliknya hormat dan cuba bersikap baik.
Begitu juga Mitt Romney dalam ucapannya dengan penghormatan menyebut:
“This is a time of great challenges for America and I pray that the president will be successful in guiding our nation.. his supporters and his campaign also deserve congratulations.. I wish all of them well but particularly the president, the first lady and their daughters.. I believe in America. I believe in the people of America. And I ran for office because I’m concerned about America. This election is over but our principles endure and I believe that the principles upon which this nation was founded are the only sure guide to a resurgent economy and renewed greatness.. I so wish that I had been able to fulfill your hopes to lead the country in another direction, but the nation chose another leader and so Ann and I join with you to earnestly pray for him and for this great nation.”
Mitt Romney
Beliau bukan sahaja menerima kekalahan, tetapi mengucap tahniah dan mendoakan lawannya yang menang. Lebih dari itu beliau menghormati pilihan rakyat serta bersama mereka menerima kepimpinan Obama seperti dalam katanya di atas
“I so wish that I had been able to fulfill your hopes to lead the country in another direction, but the nation chose another leader and so Ann and I join with you to earnestly pray for him and for this great nation”.
Nilai
Saya bertanya para pelajar peringkat ijazah tinggi saya, mengapa nilai seperti itu ada pada mereka, walaupun kita sering tidak puas hati dengan dasar luar mereka, tetapi tinggi nilai dalaman negara mereka? Mereka diam. Saya beritahu mereka sebab proses pilihanraya mereka berlaku dengan adil. Semua pihak terima kekalahan dengan hati yang puas bahawa mereka memang kalah. Tiada penipuan, tiada berat sebelah dan tiada ruang yang tidak adil yang diberikan kepada setiap calon. Presiden dan calon presiden berdebat terbuka di hadapan rakyat. Ruang media diberikan kebebasan. Tiada gula-gula politik yang menggunakan harta negara, tiada ugutan dan pelbagai nilai buruk yang berlaku dalam pilihanraya negara-negara yang tidak adil.
Maka tidak hairan jika sahabat Nabi, ‘Amr bin al-‘As memuji bangsa Rome ataupun Eropah ini dalam riwayat Muslim yang pernah saya nukil sebelum ini. Kata ‘Amr:
“Sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.
Ertinya, mereka begitu pentingkan keadilan dan kebaikan untuk masyarakat mereka, walaupun Amerika seringkali menindas dan mengabaikan hak pihak yang dimusuhinya.
Apabila saya memuji beberapa perkara yang ada pada mereka, bukan bererti kita menjadi pengikut mereka seperti yang difahami oleh kelompok jumud. Islam mengiktiraf yang baik dan mengenali serta menentang yang buruk dan zalim. Maka kita mengiktiraf kelebihan pihak lain sekalipun kita berbeza dengan mereka. Kita juga mengakui kelemahan pihak kita sekali pun kita bersahabat.
Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog
- Mohd. Asri Zainul Abidin's profile
- 126 followers
