Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog, page 271

October 17, 2013

Kalimah Allah: Emosi Dan Realiti

KALIMAH ALLAH: EMOSI DAN REALITI

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Ramai minta saya tulis artikel tentang isu nama Allah yang dipanaskan semula dan terus menjadi krisis antara sesetengah pihak muslim dengan sesetengah pihak Kristian. Saya sebenarnya telah coretkan hal ini pada tahun 2007 masa saya masih memegang jawatan Mufti Negeri Perlis. Di sini saya sentuh sekali lagi.


Hanya Di Sini


Isu kalimah Allah ini akan menjadi satu sejarah yang menarik dan tersendiri di Semenanjung Malaysia. Isu seperti ini tidak wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab dan Bible dalam Bahasa Arab sejak sebelum dan selepas Nabi Muhammad s.a.w memang menggunakan perkataan Allah merujuk kepada Tuhan. Bahkan kaum Quraish sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w juga guna nama Allah.


Bapa Nabi Muhammad s.a.w bernama Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Padahal bapa Nabi Muhammad s.a.w tidak sempat pun bertemu dengan Nabi s.a.w sebagai RasululLah. Kristian Qibti (Coptic) di Mesir juga sejak sekian lama memanggil Tuhan ‘Allah’. Demikian Kristian Lebanon dan Jordan, gereja-gereja mereka berdoa dengan memanggil ‘Allah’ sejak zaman silam. Apa yang hendak dihairankan, asal-usul ajaran mereka dari ajaran Nabi Isa a.s. Justeru bukan sahaja perkataan Allah, banyak lagi perkataan yang membabitkan akidah yang sama antara Islam dan Kristian seperti nama para nabi; Ibrahim, Musa, Harun, Isa dan lain-lain.


Orang Islam seluruh dunia setiap hari melafazkan ayat dalam Surah al-Fatihah (maksudnya): ‘segala puji bagi Allah tuhan segala alam’. Tiada muslim pun yang menyebut ‘segala puji bagi Allah Tuhan kaum muslimin sahaja’. Ini kerana muslim mengakui Allah itu tuhan untuk semua, bukan tuhan untuk kaum dan pihak tertentu sahaja.


Maka isu kalimah Allah tidak pernah timbul di negara-negara Arab. Bahkan mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan apabila kita memberitahu kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu Allah. Di Sabah dan Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka menggunakannya.


Kristianisasi


Di Semenanjung Malaysia, dalam kitab agama Sikh, nama Allah disebut. Sementara orang cina yang bukan muslim di Kelantan terbiasa dengan kalimah ‘inshaa Allah’. Ada lagu negeri-negeri yang terdapat ‘kalimah Allah’ yang dinyanyikan oleh semua rakyat berbilang agama. Logo-logo Polis dan Tentera tertulis ‘Allah’ dan ‘Muhammad’. Logo-logo itu dipakai oleh anggota yang muslim dan non-muslim.



Namun apabila orang muslim di Malaysia digembar-gemburkan isu tentang Kristianisasi, maka keadaan resah mula timbul dalam kalangan umat Islam. Kristianisasi sesuatu yang benar-benar wujud. Orang muslim dalam negara ini bimbang. Maka, apabila timbul edaran pihak Kristian dalam bahasa Melayu yang menyebut Tuhan sebagai Allah yang selama ini dari segi kebiasaan orang Melayu Semenanjung hanya mereka sahaja memakai kalimat ini, maka emosi mereka mula bangkit. Apa tidaknya, mengapakah hanya versi melayu sahaja yang hendak digunakan ‘perkataan Allah’?! Mengapa tidak edaran gereja yang berbahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain juga menggunakan Allah?


Provokatif


Kelihatan seolah macam ada ‘hidden agenda’ ataupun ‘mala fide’ di situ. Maka ramai yang membantah dan menganggap ada unsur provokasi agama di pihak Kristian, bukan kerana mereka memang ingin memanggil tuhan itu Allah, tetapi sekadar umpan yang hendak digunakan bagi memancing umat Islam yang terbiasa dengan kalimah itu. Maka kelihatan unsur provokatif di situ.


Maka, bantahan untuk orang bukan muslim menggunakan nama Allah dalam edaran bahasa melayu kelihatan macam mempunyai alasan di sudut keharmonian masyarakat berbilang agama dan ijtihad pentadbiran. Ia bukan berasaskan nas yang jelas melarang secara langsung hal itu, tetapi atas asas pemerintah bertindak demi kepentingan awam.


Jika sekadar itu, maka bolehlah terima pendapat yang melarang. Ia bukan larangan mutlak bahawa bukan-muslim sama sekali tidak boleh menyebut dan menggunakan nama Allah, tetapi menggunakan nama tersebut dalam bentuk provokasi agama dilarang.


Salah Faham


Malangnya ada muslim yang tidak jelas hal ini sehingga menyatakan bukan muslim sama sekali tidak boleh menggunakan nama Allah. Kononnya nama Allah eksklusif untuk muslim sahaja. Ada pula yang berfatwa ‘murtad sesiapa yang membenarkan‘. Pada hal nas asal, dalam al-Quran dan al-Sunnah membenarkan bahkan menggalakkan mereka menggunakannya selagi mana penggunaan itu merujuk kepada Tuhan Yang Sebenar ataupun ‘The Supreme Being’. Banyak ayat al-Quran yang menegaskan hal ini. Firman Allah:(maksudnya)


“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).


Bahkan Nabi s.a.w ketika mencabar orang-orang Kristian bermubahalah ataupun bersumpah laknat, mereka diminta bersumpah dengan nama Allah, bukan nama Jesus. Firman Allah: maksudnya)


“Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau dalam kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”. (Surah Ali ‘Imran 59-61).


Jika Islam larang mereka secara mutlak menyebut Allah, bagaimana mungkin mereka disuruh bersumpah dengan nama Allah?!


Al-Imam Muslim dalam sahihnya pula meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:


“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w: barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.


Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut.


Ertinya, Nabi s.a.w membenarkan penggunaan nama Allah seperti yang pihak kafir Quraish minta. Jika itu dilarang, tentu cadangan mereka ditolak!.



Lojik


Kita bayangkan jika mereka langsung tidak boleh panggil Allah, bagaimana dengan Kristian Arab jika datang ke Malaysia? Apakah mereka terpaksa menahan diri dari menyebut masya Allah dengan diganti ‘masyaa God’.


Jika bukan muslim bertanya siapakah tuhan saya yang sebenar. Muslim hendaklah menjawab Allah. Dia tidak boleh berkata ‘tuhan awak lain dan tuhan saya lain. Awak tidak boleh menyebut nama tuhan saya’. Jika dia berkata demikian, maka dia syirik.


Maka, sepatutnya larangan itu hanya apabila ia dalam bentuk provokasi yang menimbul ketegangan masyarakat. Kenyataan yang menyatakan larangan itu mutlak adalah tidak berasaskan ajaran Islam. Apatah lagi kenyataan yang memurtad sesiapa yang mengizinkan seakan memurtadkan Nabi s.a.w, dan umat Islam di seluruh dunia.


Maka, kita muslim hendaklah mengendali isu dan mengetahui hubung kait sesuatu itu sebelum hendak dibangkit sentiment agama mengenainya. Jangan kita melebihi kadar yang sepatutnya, juga jangan kita lalai tentang keamanan dan keharmonian hidup dalam negara yang pelbagai agama. Dakwah Islamiah hendaklah ditingkatkan. Sebarkan Islam dan banyakkan dialog antara agama seperti yang Dr Zakir Naik lakukan. Kenapa kita sentiasa ketakutan ditewaskan sehingga begitu defensive?! Bawalah mesej Islam dengan penuh hujah dan hikmah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 17, 2013 02:30

October 3, 2013

Bukan Kurang Jubah, Tapi Kurang Amanah

BUKAN KURANG JUBAH, TAPI KURANG AMANAH

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Negara-negara umat Islam hari ini tidak kekurangan jubah dan serban. Tidak juga kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak ‘beragama’. Tidak pula kekurangan mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan. Tidak juga kekurangan penceramah yang pelbagai style lawak jenaka dan seloka sehingga ceramah agama menjadi ‘new entertainment’ dalam mencari pasaran pendengar dan ‘pembayar’.


Tidak pula kita kekurangan orang-orang politik yang cuba menempelkan diri dengan agama. Sama ada menjadi penaja kepada program-program agama yang membolehkan mereka mendapat political mileage, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah-kalimah yang berunsur agama bagi memboleh rakyat lebih mempercayai mereka. Tidak kurang juga program-program yang dirasmikan oleh orang politik yang ‘tidaklah beragama sangat’. Di samping terdapat juga yang memang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.



KEKURANGAN


Kita tidak kurang kesemua itu. Apa yang menjadi kekurangan kita ialah penghayatan sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. Kita sering mempamirkan agama ini dalam bentuk upacara-upacara yang direka dan diadakan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar begitu terpengaruh kepada tokoh-tokoh dan mempercayai mereka sebagai ‘orang-orang Tuhan’. Orang politik juga boleh menumpang sekaki supaya kelihatan mereka manusia yang mendapat ‘blessing’ dari orang-orang Tuhan itu. Dalam masa yang sama kita melupai inti-pati ajaran Islam seperti amanah dalam pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara.


Maka jangan hairan jika setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan’, malangnya dalam masa yang sama index rasuah, penyalahgunaan kuasa, salah tadbir urus juga cukup tinggi. Rakyat ramai yang tertipu dan terdiam kerana mata mereka terlindung oleh jubah-jubah tokoh agama, telinga mereka tersumbat oleh degungan doa yang dibaca memuja dan memuji penguasa samada menteri, presiden, raja ataupun sultan sekalipun mereka itu mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan atas bahu mereka.


Saya hairan bagaimana ada rakyat di negeri ‘entah berentah’ yang memuji sultannya melangit tinggi bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan berkenaan bertudung. Dalam masa yang sama mereka melupai bagaimana sang sultan itu sedang membina istana yang harga berbilion dari wang rakyat jelata. Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana menteri dan seumpamanya bukan kerana berjubah ataupun berserban, isteri bertudung, pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain. Itu adalah tanggungjawab setiap muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. Namun kehebatan seorang penguasa apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah kawalannya. Itulah perkara yang tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh yang berkuasa kerana dia memegang tampok kuasa.


KHIANAT


Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid (martyrdom). Namun Nabi s.a.w menyebut:


“Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”.


Betapa, seorang mati semasa berjuang bersama Nabi s.a.w tetap Allah hukum kerana telah mengambil harta awam dengan cara yang salah. Itu sehelai selendang, bagaimanakah pula jutaan, bahkan ratusan juta harta awam?!


Maka sebahagian Negara Barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa, tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tapi apabila mereka amanah, maka negara mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam. Ini kerana di Barat, samada secara ‘terpaksa’ ataupun terbudaya dalam sistem yang mereka bina dan pakai, mereka memegang kepada prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu amanah. Kita pula sibuk dengan upacara-upacara agama yang sebahagian itu tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabah pun, tapi dalam masa yang sama kita melupai inti ataupun essence kepada ajaran Islam ini, iaitu amanah dalam pentadbiran.


Justeru itu al-Quran sebelum mendatangkan ayat yang memerintah taat kepada penguasa, didatangkan terlebih dahulu ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil. Maka Allah terlebih dahulu menyebut:(maksudnya)


“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).


Selepas itu barulah diikuti dengan firmanNYA: (maksudnya)


“Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ 59).


Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut:


“Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)” (Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).



Amanah adalah isu utama kegagalan good governance ataupun urus tadbir yang baik dalam dunia umat Islam hari ini. Di samping soal ‘al-quwwah’ ataupun keupayaan sebagai pentadbir yang baik. Kebanyakan Negara Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah negara.


KESAN


Seringkali mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat. Apa yang kita teladani daripadanya?! Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata:


“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).


‘Umar ilmuwan besar yang menjadi rujukan dalam Islam. Beliau tidak berkata: ‘kenaikan harga barang merupakan takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa’. Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan ‘subsidi tiada dalam Islam’. Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi keadaan tersebut.


Kita perlu membetulkan asas kefahaman kita tentang agama. Bukti kesan ajaran Islam bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang gaji pembacanya dibayar atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan jawatan. Tetapi kesannya terhasil akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata. Dalam konteks politik dunia Islam, perlukan manusia-manusia yang amanah untuk memerintah, bukan sekadar berjubah atau berdamping dengan yang berjubah tapi tidak amanah terhadap harta negara dan rakyat.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 03, 2013 03:48

September 30, 2013

Masjid Kita Kaku Tidak Mesra Pelanggan

MASJID KITA KAKU TIDAK MESRA PELANGGAN

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Islam adalah gabungan kekuatan keruhanian dan kebendaan. Ia bukan agama kerahiban yang hanya duduk bersila berzikir dan melupakan tanggungjawab menjadi khalifah atas muka bumi ini. Juga, bukan agama yang memisahkan dunia dan akhirat, sehingga kegiatan dunia dibicara atau dilaksanakan dalam rupa yang berasingan dengan akhirat. Tidak! sama sekali tidak!


Fungsi Masjid


Masjid adalah pusat umat Islam. Masjid dalam Islam mestilah melambangkan kesyumulan atau keluasan Islam itu sendiri. Masjid mesti berfungsi untuk membangunkan umat di sudut keruhanian dan fizikalnya. Memasuki masjid bererti melangkah ke kawasan yang melambangkan ketulusan, kemesraan, kerahmatan dan kesyumulan agama ini. Sebab itu, umat Islam dalam kesibukan urusan kehidupan, mereka diperintahkan singgah lima kali saban hari di masjid demi mengambil tenaga meneruskan agenda perjuangan sebagai khalifah yang memimpin dunia ini. Maka muncullah dalam diri setiap individu muslim satu kekuatan yang luar biasa. Ia adalah gabungan antara unsur langit dan bumi, atau keruhanian dan kebendaan. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:


“Dengan menunaikan solat berjemaah di masjid sebanyak lima kali sehari, menjadikan masjid suatu tempat yang penting dalam Islam dan kehidupan muslimin. Masjid bukannya tempat bertapa untuk golongan pendeta (yang hanya menumpukan kepada ibadah khusus), atau sudut untuk golongan menganggur, bukan juga tempat ibadat golongan darwis (ahli pertapaan). Dalam Islam tiada pendetaan atau pertapaan. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abu Zar:



“Kewajiban kepadamu adalah jihad kerana itulah adalah pertapaan umatku (Ibn Hibban dan al-Hakim-hadis hasan)”.


Al-Qaradawi juga menyebut:


“Masjid Nabi itu adalah madrasah dakwah, demikian juga ianya adalah pejabat Negara Islam. Padanya Nabi memberikan kerja bagi yang menganggur, ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk umat, bertemu dengan para diplomat asing, mengatur tentera di medan perang juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian (Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi al-Islam, ” m.s. 233, Beirut: Muassasah al-Risalah).



Kata seorang tokoh Islam yang terkenal di masa ini, Dr. `Imad ad-Din Khalil dalam karyanya Dirasah fi al-Sirah ketika mengulas tentang fungsi masjid yang di asaskan oleh Rasulullah s.a.w.:


“Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencakupi berbagai sudut al-din, politik dan kemasyarakatan” (m.s. 149 Beirut: Dar al-Nafais).


Gagal Berfungsi


Malangnya, masjid-masjid kita kebanyakannya masih gagal berfungsi sedemikian rupa. Di sudut kerahmatan dan kemasyarakatan umpamanya, banyak masjid kita masih tidak mesra remaja dan kanak-kanak. Golongan ini sentiasa rasa kurang selesa atau bimbang dengan layanan orang-orang masjid kepada mereka. Takut-takut dimarahi jika tersilap. Jika tidak pun, mereka kurang diberi layanan yang sewajarnya. Lebih teruk lagi ada masjid yang membuat penempatan khas untuk kanak-kanak ketika solat. Mereka dijarak jauhkan dari saf orang dewasa. Kadang kala jauhnya itu pula diselang beberapa saf. Ditulis pula satu papan tanda ‘saf kanak-kanak’. Ini semua berpunca dari “khurafat” yang disandar kepada fekah kononnya jika kanak-kanak belum berkhatan bersentuhan dengan orang dewasa maka batallah solat. Sebabnya di bawah ‘kulit’ kanak-kanak itu ada najis kerana belum bersunat. Cubalah tanya orang-orang tua, atau ustaz yang mengajar sedemikian rupa, apakah dalam perut orang dewasa tidak ada najis? Atau apakah jika seseorang ada nanah di bawah kulitnya, maka solatnya tidak sahnya?


Saf Kanak-Kanak


Lebih lucu dari itu ada yang menyatakan boleh menyebabkan terbatalnya keseluruhan saf kerana ‘jangkitan sentuhan‘ kanak-kanak. Fatwa seperti ini sebenarnya terpinggir dari penghujahan dalil dan kewarasan akal. Ketika Ibn Abbas masih kanak-kanak, Rasulullah s.a.w. bersolat dan memegang telinga atau kepala Ibn Abbas agar bersolat di tepi baginda. Kata Ibn ‘Abbas:



“..Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda (Riwayat al-Bukhari).


Dalam hadis Anas:



“…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari). Adapun hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya. Kata al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani: “Adapun menjadikan saf kanak-kanak di belakang lelaki, aku tidak dapati melainkan hadis yang daif ini sahaja. Ia tidak dapat dijadikan hujah. Tidak mengapa kanak-kanak berdiri dalam saf sebelah lelaki dewasa jika saf masih luas. Solat anak yatim bersama Anas di belakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini. (Al-Albani, Tamam al-Minah, 284, Riyadh: Dar al-Rayah).



Layanan Buruk


Hasil lain dari kecelaruan ini, ada orang dewasa yang sanggup menarik kanak-kanak yang sedang bersolat keluar dari saf kerana dia nak masuk saf. Kemudian disuruh budak itu ke saf belakang. Akhlak buruk ini menjadikan kanak-kanak berjiwa lemah ketika berada di masjid. Sementara orang dewasa yang lewat datang dan menarik kanak-kanak keluar itu pula terbiasa dengan sikap buruk sebagai seorang yang datang lewat lalu merampas tempat orang yang lebih awal.


Ada juga pihak masjid tidak suka kanak-kanak terlalu ramai ke masjid. Bimbang nanti mengganggu keheningan jamaah. Dukacita sikap yang demikian tersimpan dalam perasaan sesetengah orang. Ini kerana sesetengah kita lebih ingin jaga warna kapet baru dari berkempen mendapat jamaah baru.


Dalam hadis Nabi s.a.w, baginda bersabda:



“Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku mensegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya” (Riwayat al-Bukhari).


Lihatlah sikap mesra pelanggan yang ditunjukkan oleh baginda. Maka tidak hairan, masjid di zaman menjadi tempat terpautnya hati setiap generasi. Hadis ini juga memberi maksud imam mesti meringankan solatnya, jika makmum ramai yang bertugas di belakangnya.


Demikianlah Nabi s.a.w menjaga perasaan ahli jamaahnya. Adapun kita, jika ada anak yang menangis, ibunya pasti dipandang sinis. Maka jangan hairan jika kanak-kanak atau remaja merasai lebih diberi layanan mesra ketika berada di pusat-pusat hiburan, dibandingkan jika berada di masjid. Kemudian kita ‘bising’ apabila jenerasi muda tidak minat dengan masjid, atau tidak selesa di masjid.



Pemikiran Sekular


Di sudut kesyumulan Islam, pemikiran ‘sekular’ masih terpalit baunya dalam gaya fikir kebanyakan kita. Pengajaran di masjid masih terikat dengan beberapa mata pelajaran tertentu sahaja, yang dianggap hanya itulah yang berkait dengan agama. Selainnya, tidak diberi ruang di dalam masjid. Maka hanya tauhid, fekah, tafsir, tasauf dan seumpamanya diajar di masjid. Itupun sebahagiannya masih lagi menggunakan pendekatan lama seakan pendengarnya datang dari beberapa kurun yang lepas. Soalannya, mengapa tidak mata pelajaran akademik moden seperti sains, matematik, geografi juga diajar dalam masjid-masjid?! Tidakkah agama itu merangkumi dunia dan akhirat. Jika ustaz fekah boleh mengajar dalam masjid, mengapa ‘ustaz’ sains tidak?! Fekah berkhidmat untuk umat dalam amalan mereka. Tanpa mengetahui sains juga, banyak fatwa moden tidak dapat dirumuskan!. Tidakkah generasi kita yang mempelajari sains dengan penuh keimanan boleh menjadi benteng kepada umat?.

Fungsi masjid sepatutnya lebih luas. Kata ‘Aisyah r.a:



“Suatu hari RasululLah s.a.w. berada di pintu bilikku, ketika itu orang–orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku dengan selindangnya, aku pula melihat kepada permainan mereka”. (Riwayat al-Bukhari).


Dalam riwayat lain disebut permainan tersebut ialah permainan senjata. Sikap tidak membantah Nabi s.a.w terhadap permainan mereka menunjukkan perbuatan Habsyah mengadakan permainan senjata dalam masjid adalah sesuatu yang diizinkan. Demikian juga baginda tidak membantah ‘Aisyah melihat mereka, menunjukkan wanita boleh melihat pertunjukan permainan yang dilakukan oleh lelaki. Ini semua menunjukkan bahawa masjid pada zaman Nabi s.a.w. tidak kaku seperti kita.


Akademik Di Masjid


Justeru, jika masjid memperuntukan kelas-kelas akademik percuma, maka para pelajar kita akan terasa kesyumulan agama ini. Di samping untuk peperiksaan, ia mendidik mereka lebih berdisplin dan ingatkan Allah mengenai ilmu yang dipelajari. Ia mampu menjadikan guru yang mengajar lebih mengingati Allah mengenai tanggungjawab dan kaitannya dengan Islam. Ini kerana semuanya beroperasi dalam masjid. Jika kelas-kelas tambahan percuma dalam pelajaran-pelajaran tersebut diberikan oleh masjid dan di dalam masjid pula, maka anak-anak akan dihantar oleh ibubapa ke masjid. Lalu hati mereka dan ibubapa mereka akan dekat dengan masjid dan sentiasa mengenang masjid. Waktu solat, mereka akan bersolat. Jika mereka ingin melakukan sesuatu yang salah, mereka teringat mereka berada dalam masjid. Maka makmurlah masjid dan berfungsilah peranannya.



Jika tiada ruang antara maghrib dan isyak kerana kuliah-kuliah agama yang formal. Masjid kita masih banyak waktu kosong antara zohor dan asar dan antara asar dan maghrib. Duit masjid yang ditabungkan orang itu, bukan sekadar untuk dipaparkan di papan kenyataan tentang peningkatan jumlahnya. Sebaliknya untuk dibuktikan fungsinya dalam membangunkan Islam yang syumul ini.


Pusat Kempen Kebaikan


Banyak aktiviti masyarakat muslim sepatutnya masjid menjadi pusatnya. Kempen penjagaan alam sekitar, kempen hak-hak wanita, kempen pembinaan ekonomi muslim dan berbagai lagi patutnya dikepalai oleh pihak masjid. Anak makmum atau jemaah yang mempunyai berbagai kegiatan dan aktiviti boleh memanfaatkan masjid. Selagi tidak bercanggah dengan syarak, masjid boleh dijadikan penggerak kepada sebarang aktiviti yang bersifat umat dan membantu membangunkan tamadun umat. AJK masjid pula jangan jadikan masjid sebagai syarikat sendirian berhad. Masjid untuk semua. Dr. Mustafa as-Siba`i dalam menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi masjid berkata:


“Apabila Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid dalam Islam …apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan keruhanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka. Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah s.a.w). yang bertempat di Masjid Nabawi… jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah” (Al-Siba’i, Al-Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 Jordan: al-Maktab al-Islami).



Kualiti


Kuliah-kuliah di masjid juga mestilah ditingkatkan ke tahap yang sesuai dengan perkembangan masyarakat kita. Fekah yang payah dan menyusah hendaklah dihindari. Jadikanlah Islam itu mudah dan praktikal. Bersesuaian dengan nas-nas Islam yang bersifat demikian.


Demikian pengajaran dalam masjid mesti memberi kesan kepada kehidupan insan yang ke masjid. Jangan ustaz asyik membahaskan tentang bermacam pembahagian air dengan berbagai pecahannya yang bukan-bukan, sehingga berbulan masih tajuk mengenai air itu dan ini. Belum pun masuk tajuk solat dan seterusnya. Malangnya dalam masa yang sama tandas atau bilik air masjid dipenuhi dengan bau dan kekotoran yang tidak melambangkan kebersihan dalam Islam. Islam bukan sahaja menyuruh kita bersih ketika dalam solat, namun juga di luar solat.


Demikian juga isi pengajaran hendaklah dalam bentuk yang menarik generasi baru. Saingan luar masjid yang menarik manusia moden terlalu. Pusat-pusat hiburan yang lain menggamit generasi muda. Kempen-kempen ke masjid mestilah segar dan baru. Untuk itu, kita perlukan pihak pengurusan yang segar dan mampu membawa manusia ke masjid. Jika yang sedia ada tidak mampu maka, mereka perlu membina peningkatan diri, atau ‘menarik diri’. Pihak yang kerajaan amanahkan untuk memantau dan membina kekuatan masjid juga mesti segar megar. Jika tidak mampu, mungkin mereka kenalah segera tukar. Jika tidak, ia secara tidak langsung menghalang orang datang ke masjid.


Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 114: (maksudnya):


“Dan siapakah yang lebih zalim dari mereka yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebutkan nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Mereka yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan mereka yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar”.


Kita mungkin tidak menghalang manusia mendekati masjid. Namun tindakan yang tidak seimbang dengan fungsi masjid menjadikan manusia terhalang secara tidak langsung kerana kita. Generasi muda pelapis pembinaan tamadun umat. Jumlah mereka mesti lebih ramai di masjid dari di pusat-pusat ‘lamunan’. Jangan sampai masjid kita hanya jadi kelab orang pencen sahaja. Sedangkan orang muda berkelab di tempat lain.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 30, 2013 06:03

September 19, 2013

Kebenaran Itu Rentas Sempadan

KEBENARAN ITU RENTAS SEMPADAN

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Tiada siapa yang terlepas dari kesilapan dalam dunia ini. Nabi Muhammad s.a.w pun pernah ditegur oleh Allah beberapa kali, termasuk cara baginda melayan ‘Abd Allah bin Ummi Maktum sehingga Allah menurunkan Surah ‘Abasa. Apatah lagi selain nabi, tentu sahaja bukan sekadar kesilapan, tetapi kesalahan dan dosa. Sebesar mana pun ketokohan dan keilmuannya, dosa tetap akan tertampal dalam kehidupannya. Jika tidak pada perbuatan anggotanya, pada niat dan apa yang tersirat dalam jantung hatinya.


Tiada tokoh agamawan yang sunyi dari dosa. Biar pun sebesar mana nama dan kemasyhurannya. Tiada tokoh sarjana sebijak mana sekalipun, pasti ada kebodohannya. Biar pun sebesar mana kesarjanaan dan kepakarannya. Tiada yang sempurna melainkan Allah.



Manfaat


Jika kita mencari semua yang sempurna tanpa sebarang kekurangan dan menolak setiap yang ada kekurangan dan kecacatan, maka kita tidak boleh hidup di dunia ini. Orang yang pertama kita kena tolak ialah diri kita sendiri yang penuh dengan segala macam kelemahan dan kekurangan. Namun, kita sering memaafkan diri kita apa yang kita tidak maafkan orang lain.


Dalam memperolehi manfaat ilmu dan hikmah, kita juga tidak boleh terlalu ideal sehingga menolak setiap yang kita nampak kecacatan dan kekurangannya. Kita tidak boleh menolak pendapat yang benar hanya kerana perbezaan agama, aliran mazhab, kumpulan, jamaah, parti politik dan seumpamanya. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):


“Bersama setiap kumpulan itu kebenaran dan kebatilan. Apa yang menjadi kewajipan ialah bersetuju dengan mereka mengenai apa yang benar yang mereka kata. Juga menolak apa yang batil yang mereka kata. Sesiapa yang Allah buka untuknya jalan ini (menerima yang benar dan menolak yang salah tanpa mengira dari siapa datangnya) maka bererti Allah telah buka untuknya ilmu dan agama dari setiap pintu. Allah juga akan mudahkan untuk mendapat kedua-dua perkara itu dengan pelbagai sebab”. (Tariq al-Hijratain, m.s 386. Saudi: al-Islamiyyah al-‘Arabiyyah).


Ketika menutup kata bagi karya kerohaniannya yang agung iaitu Madarij al-Salikin pula, Ibn Qayyim menyebut lagi:


“Wahai pembaca! Bagi kamu hasilnya, ke atas penulis tanggung jawabnya. Apa yang kamu dapati pada buku ini dari ketepatan dan kebenaran maka terimalah. Jangan kamu lihat kepada pengucapnya. Bahkan lihatlah kepada apa yang dia kata, bukan siapa yang berkata. Allah mencerca orang menolak kebenaran apabila kebenaran itu datang dari orang yang dia benci. Dia menerima apabila yang berkata itu orang yang dia suka. Ini adalah akhlak golongan yang dikuasai emosi. Kalangan sahabah berkata: ‘terimalah kebenaran dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dibenci. Tolaklah kebatilan dari sesiapa pun yang berkata walaupun dia dikasihi” (3/384. Beirut: Muassasah Fuad).



Insaf


Inilah sikap golongan yang insaf. Maka tidak menjadi kesalahan dalam kehidupan ini untuk kita memetik dan mengambil pengajaran dari mana-mana tokoh pun. Hanya golongan emosi dan tersesat pemikiran seperti aliran ‘salafi madkhali’ yang mengharamkan umat Islam mengambil manfaat pandangan atau pendapat tokoh yang mereka anggap sebagai ahli bid’ah. Sudah pasti mereka juga mengharamkan memetik tokoh-tokoh yang bukan beragama Islam. Aliran ini dipelopori oleh beberapa kelompok fanatik yang mendakwa mereka menurut jalan salafussoleh padahal jalan yang mereka ikuti itu adalah jalan emosi yang jauh dari telunjuk al-Kitab dan al-Sunnah.


Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h. pernah berkata:


“Allah memerintahkan kita agar tidak berkata kecuali yang benar. Jangan kita berkata tentang Allah tanpa ilmu. DIA memerintahkan kita agar adil dan saksama. Kita tidak boleh apabila seseorang yahudi ataupun kristian, apatah lagi syiah rafidah berkata sesuatu pendapat yang padanya ada kebenaran lalu kita tinggalkan ataupun tolak kesemuanya. Bahkan kita hanya tolak apabila padanya ada kebatilan dan tiada kebenaran”. (Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/342. Muassasah Qurtubah).


Fanatik


Kesederhanaan dan kesediaan ini membolehkan ilmu seorang muslim berkembang. Namun fanatik, telah membuta mata banyak pihak dari mengambil manfaat dari pihak yang lain. Ada yang menolak tulisan-tulisan yang baik kerana perbezaan agama. Ada tokoh agama yang menolak karya sarjana atas alasan ‘dia orientalis’. Ada yang menolak kerana ‘dia penulis yahudi’, ataupun ‘dia penulis kristian’ dan seumpamanya. Tanpa melihat kepada hujah dan alasan yang dikemukakan.


Begitu juga, betapa kita lihat sebahagian sufi yang menolak pendapat seseorang hanya kerana beraliran salafi, demikian yang salafi enggan mengambil pendapat orang yang dianggap beraliran sufi kerana kononnya tidak semanhaj dengan mereka. Ataupun salafi madkhali yang menolak pendapat kerana ‘ikhwani’ dan seumpamanya. Menghadkan ilmu dan hikmah kerana ketaksuban kepada sesuatu aliran amatlah merugikan. Banyak kebaikan yang ada dalam aliran salafi dan demikian juga banyak kebaikan yang ada dalam aliran sufi yang terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Demikian juga ikhwani. Tiada aliran yang boleh mendakwa bahawa mereka telah menguasai kebenaran secara mutlak sehingga tiada lagi ruang kebenaran di pihak yang lain. Sesiapa yang mendakwa demikian bererti dia telah menjadikan alirannya berstatus agama yang menentukan iman dan kufur seseorang.



Demikian mazhab fekah, tiada siapa boleh mendakwa bahawa segala kebenaran tertumpu kepada mazhab fekah yang dia pegang semata. Tidak Mazhab Syafi’e, tidak Mazhab Hanbali, tidak Mazhab Maliki dan tidak Hanafi yang boleh mendakwa bahawa kebenaran telah dibolot oleh mereka dan mengikut pandangan selain mereka bererti kesalahan. Imam-imam yang agung itu tidak pernah mendakwa demikian. Hanya pengikut yang melampaui batas sahaja yang cuba membuat dakwaan yang seperti itu. ‘Jangan keluar Mazhab Syafi’e’ nanti awak sesat‘ adalah dakwaan jahil yang tidak berasaskan ilmu sama sekali.


Kata sarjana fekah yang terbilang Dr ‘Abd al-Karim Zaidan:


“Sesungguhnya syariat Islam adalah hujah mengatasi seluruh mazhab. Bukanlah mazhab yang menjadi hujah mengatasi syariat Islam… apabila jelas kepada pengikut sesuatu mazhab bahawa mazhabnya salah dalam masalah tertentu, sementara kebenaran berada pada pendapat yang lain dan masalah itu cukup jelas baginya, maka hendaklah dia bertukar mazhab kepada pendapat yang benar dalam masalah tersebut… harus bagi pengikut sesuatu mazhab mengikut mazhab lain dalam sebahagian masalah. Ini kerana tidak wajib kepadanya untuk terikat dengan semua ijtihad mazhabnya. Dengan syarat ia disebabkan oleh dalil yang menuntutnya berubah dari mazhabnya ke mazhab yang lain dalam masalah tertentu. Demikian juga harus untuk dia bertanya mana-mana ahli fekah bukan dari mazhabnya dalam sebarang hukum syarak. Dia boleh beramal berdasarkan apa yang difatwakan kepadanya”. (Dr Abd al-Karim, Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, m.s. 412-413, Beirut: Muassasah al-Risalah)


Betapa kita lihat sesetengah fanatik politik PAS yang enggan mendengar pendapat seseorang hanya kerana orang itu UMNO. Demikian juga sebaliknya. Padahal parti politik itu bukan diasaskan atas dalil-dalil syarak seperti mazhab fekah. Lagikan mazhab fekah tidak mutlak kebenarannya, inikan parti politik yang hanya atas ijtihad strategi dan pandangan politik yang terdedah kepada betul dan salah. Bukan semua pendapat UMNO itu salah dan bukan semua pendapat PAS itu betul. Begitu juga sebaliknya. PKR dan DAP juga demikian. Keluasan menerima pendapat adalah ajaran agama ini yang mesti kita manfaatkan. Kebenaran itu merentasi sempadan agama, mazhab, kumpulan dan lain-lain. Namun Islam sebagai al-din adalah kebenaran mutlak.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2013 02:59

September 12, 2013

Allah Yang Naikkan Harga Barang?!

ALLAH YANG NAIKKAN HARGA BARANG?!

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Apabila artikel ‘Kenaikan Harga Barang Ketetapan Allah’ muncul di saat rakyat sedang merasai ancaman kenaikan harga barang akibat potongan subsidi minyak oleh pihak kerajaan, majoriti rakyat memang tidak puas hati. Saya tidak tahu, apakah hasrat sebenar penulis berkenaan. Mungkin niatnya hendak meredakan perasaan rakyat terhadap kerajaan ataupun meredhakan kerajaan terhadapnya, itu tidak pasti. Kata penulis, dia bercakap dalam konteks sabar. Mungkin itu maksudnya.


Menariknya saya terbaca satu komen yang menyebut: ‘Kalau begitu pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang ketetapan Allah lah?!’ Ringkas, tapi penuh makna.



Akidah


Sebelum kita pergi kepada hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu ini, saya suka menyebut bahawa dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan. Jabariah tidak termasuk dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian.


Nabi s.a.w mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama. Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu. Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izinNYA. Namun, apa yang DIA izinkan, bukan semestinya DIA redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan semestinya DIA izinkan. DIA tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang diciptaNYA. DIA redha hamba-hambaNYA bersedekah, tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta yang banyak, atas sistem alam ciptaanNYA. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk membalas kebaikan dan keburukan.


Usaha


Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabiNYA dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah: (maksudnya)


“(ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).


Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.


Takdir


Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi s.a.w menyebut:


“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap ‘ini semua takdir’ lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit. Sabda Nabi:


“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).


Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh yang menyebut:


Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”. Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka.” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).


Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri. Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu. Allah telah ingatkan (maksudnya)


“Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195).


Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh bagitau mahkamah ‘jangan salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan mematikan’. Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah’. Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem keadilan yang wajib ditegakkan.


Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab “Allah menaikkan harga barang”. Apakah anda akan berkata: ‘masyaAllah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman’. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!’.


Dalam negara ini, ada berbillion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga berbillion ringgit. Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai alasan berbillion harganya. Apakah jawapannya: ‘semua itu takdir Allah?!’. Saya juga lebih tertarik dengan kerajaan sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan itu cara berhujah yang betul untuk membela.



Maksud Hadis


Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia berkata:


“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)


Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semulajadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.


Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak. Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut:


“Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).


Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.


Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat. Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij:


“Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).


Adapun saya, tidak tahu apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan mengemukakannya. Saya serahkan urusannya kepada Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 12, 2013 03:43

September 4, 2013

Bila Disamakan Kesilapan Dengan Jenayah

BILA DISAMAKAN KESILAPAN DENGAN JENAYAH

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Saya tertarik dengan segelintir yang mendakwa diri mereka beraliran ‘salaf’ tetapi bersikap jauh dari jalan salaf. Apabila politik yang mereka bernaung di bawah ketiaknya menyokong rejim-rejim tentera di negara-negara yang sedang bergolak itu, mereka pun menari rentak yang sama. Seakan mereka melupai pembunuhan, pembakaran masjid, gas yang meragut anak-anak tidak berdosa dan segala macam kezaliman lain, yang mereka sibuk ia membaca dalil pengharaman demonstrasi. Dalil pembunuhan bagai dilupakan. Kemudian mereka mengiktiraf pula perampasan kuat secara tentera yang jauh lebih ganas dari demonstrasi. Tambahan lagi, mereka cari dalil-dalil menunjukkan golongan islamist yang menang secara peraturan itu tidak tepat akidahnya dan ada kesalahan fekahnya. Malangnya, dalam masa yang sama, tidak pula mereka bertanya tentang akidah sosialis, sekularis, liberalis dan segala macam lagi yang dianut oleh regim-regim yang zalim itu. Seakan Al-Quran, al-Sunnah dan ajaran salaf itu hanya terpakai untuk menilai golongan islamist sehalus-halusnya tetapi dibiarkan mereka yang zalim bermaharajalela.


Kesalahan dan kesilapan golongan Islamist bagaikan dosa yang tidak ampun sehingga pembunuhan dan penyiksaan ke atas mereka seakan sesuatu yang ringan. Sementara regim-regim pula tidak ditanya apakah akidah dan fekah yang mereka anuti.



Dosa Dan Silap


Manusia yang melakukan ‘dosa’ dan kesalahan itu terbahagi kepada dua kelompok. Pertama; orang yang tidak berniat untuk menuruti jalan yang benar. Sesuatu yang betul itu bukan hasrat yang ingin dicapainya. Dia hanya memikirkan tentang kepentingan dirinya sahaja sehingga dia terjatuh dalam kesalahan ataupun dosa. Kedua; orang ingat mencari kebenaran. Berusaha untuk menuruti jalan yang benar. Itulah hasratnya. Pun begitu, telah berlaku kesilapan atas pandangan ataupun tindakan yang diambil lalu dia kelihatan berdosa dan salah.


Golongan yang pertama adalah golongan pengikut hawa nafsu. Mereka merupakan para pembuat dosa dan penderhaka kepada Allah. Mereka telah meminggirkan larangan Allah semata-mata untuk kepuasan diri. Golongan ini ditempelak oleh al-Quran dalam ayat-ayatnya. Antaranya, Allah menempelak golongan ‘ulama yahudi’ yang menolak hujah yang benar semata-mata kerana ingin menurut hawa nafsu mereka. Firman Allah: (maksudnya)


“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalau demikianlah sikap kamu maka bawalah sebuah kitab dari sisi Allah yang dapat memberi panduan lebih daripada keduanya (Taurat dan al-Quran) supaya aku menurutnya. (Bawalah) jika betul kamu orang-orang yang benar. Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (Wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim” (Surah al-Qasas: 49-50).


Cari Kebenaran


Adapun mereka yang cuba mencari kebenaran dan ingin menuruti jalan yang benar kemudian tersalah maka ini diampunkan oleh Allah. Ini selagi mana hasrat mereka murni dan cuba sedayanya menuruti jalan yang betul. Justeru, Allah mengajar kita dalam al-Quran untuk kita berdoa: (maksudnya)


“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersilap (khata`) ”.(Surah al-Baqarah: 286)


Kata al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini:


“Nisyan (lupa) bermaksud hilang (tidak ingat) dari kalbu apa yang diperintahkan lalu ditinggalkan secara terlupa. Sementara khata` (tersilap) bermaksud seseorang bertujuan melakukan sesuatu yang dibolehkan namun perbuatannya itu terjatuh ke dalam perkara yang dia tidak dibolehkan (larangan) lakukan. Kedua perkara ini (lupa dan silap) Allah ampunkan jika berlaku pada umat ini disebabkan rahmat dan ihsan Allah”. (al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman, m/s 121. Beirut: Muassasah al-Risalah).


Maka, apabila kita membicarakan mengenai golongan yang tersilap ini kita hendaklah lebih berhati-hati. Apabila zahir pada seseorang itu kesungguhan mencari kebenaran dan keikhlasan mencari petunjuk yang dapat dikesan pada amalan zahir yang tahu –adapun yang batin kita serahkan pada Allah- maka kita tidak boleh menghukum ataupun menilainya seperti mereka yang melakukan dosa dalam kelompok yang pertama yang sememangnya tidak ingin mencari kebenaran. Tidak sama mereka yang tersilap dalam amalan solatnya dengan mereka yang sengaja membuat silap ataupun yang langsung tidak bersolat. Juga kita tidak boleh samakan mereka yang tersilap pendekatan dalam dakwah sama dengan yang menentang dakwah. Bagaimana mungkin untuk disamakan Mursi dan al-Sisi?! Adakah sama antara rakyat Syria yang beriman dengan Basyar Asad yang zalim?!


Insaf



Manhaj Ahlus Sunnah wal Jama’ah (ASWJ) sepatutnya membawa kita insaf dalam menilai pihak lain. ASWJ tidak seperti ajaran sesat Ahbash ataupun Salafi Madkhali yang sering mengkafirkan ataupun menyesatkan sesiapa sahaja yang berbeza ijtihad ataupun pandangan dengan mereka.


Ini tidak menghalang untuk kita mengkritik kesilapan itu dengan ilmiah dan fakta yang bernas. Namun kita tidak akan menyamakan pencinta agama dengan penjenayah yang memang bermaksud buruk dan tidak berhasrat baik.


Dalam agama ini, kita akan dapati sepanjang sejarah pelbagai imam dengan pelbagai ijtihad mereka. Ada yang kita mungkin setuju, mungkin ada yang sebaliknya. Di sudut ilmiah, tiada siapa yang maksum. Setiap pandangan berhad dinilai dan dikritik.


Al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) terkenal dengan sikap ‘i’tidal (tidak melampau) dalam membuat penilaian ketika menulis karya agungnya Siyar A’lam al-Nubala`. Ketika beliau membicara tentang tokoh besar hadis, Muhammad bin Nasr al-Marwazi, beliau menyebut nukilan dari al-Hafiz Ibn Mandah yang menyatakan Muhammad bin Nasr al-Marwazi ini dengan terang menyebut bahawa iman, ikrar, syahadah dan bacaan al-Quran dengan lafaznya adalah makhluk. Ucapan ini menyanggahi mazhab Ahli Hadis di zaman itu. Maka para ulama telah memulaukannya. Para sarjana besar (imam) di Khurasan dan Iraq telah menyanggahinya. Al-Imam al-Zahabi juga turut mengkritik kenyataan Muhammad bin Nasr itu. Namun, beliau ikuti kritikannya dengan kenyataan berikut:


“Jika kita ini setiap kali seseorang sarjana (imam) itu tersilap dalam ijtihadnya pada masalah yang kesilapan itu diampunkan, tetapi kita bangkit tentang lantas kita bid’ahkan, kita pulaukan, maka tidak akan selamat (Muhammad) Ibn Nasr, Ibn Mandah dan mana-mana tokoh yang lebih besar dari kedua mereka. Allah itu penunjuk hamba-hambaNYA kepada kebenaran. DIA paling pengasih dalam kalangan yang pengasih. Kita berlindung dengan Allah dari hawa nafsu dan keras hati”. (14/39-40. Beirut; Muassasah al-Risalah).


Dalam sejarah ilmu, ada imam tafsir yang agung iaitu al-Imam Mahmud al-Zamakhsyari (meninggal 538H) yang terkenal dengan tafsir al-Kassyaf. Beliau seorang yang bermazhab Muktazilah. Pun begitu ketokohan dan karya diakui dalam dunia sunni sehingga ke saat ini. Al-Imam al-Zahabi menggelarnya al-‘allamah bermaksud yang tersangat berilmu. Kemudian diikuti dengan sebutan ‘kabir al-Mu’tazilah’ iaitu tokoh besar Muktazilah. Setelah menyebut kelebihannya dalam ilmu, al-Zahabi menutup dengan berkata: “Dia pendakwah kepada Muktazilah. Moga Allah memaafkannya”. (20/151).


Apakah hanya kerana beberapa perbezaan ijtihad dalam akidah dan fekah, kita membolehkan kezaliman ke atas mereka yang cintakan agama. Dalam masa yang sama kita lupa pula pegangan rejim-rejim yang zalim itu! Sekali lagi saya memetik kata-kata Al-Syeikh Muhibb al-Din al-Khatib menyebut:


“Kita kaum muslimin tidak beriktikad kemaksuman seseorang selepas Rasulullah s.a.w. Sesiapa sahaja yang mendakwa kemaksuman seseorang selepas Rasulullah s.a.w maka dia berdusta. Insan itu tetap insan. Terbit darinya apa yang terbit dari insan. Maka, ada padanya kebenaran dan kebaikan. Ada juga padanya kebatilan dan kejahatan. Boleh jadi kebenaran dan kebaikan pada insan tertentu dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebenaran dan kebaikan. Ini tidak menghalang untuk terjadi kepadanya beberapa kesilapan. Boleh jadi kebatilan dan kejahatan pada insan yang lain dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebatilan dan kejahatan. Ini tidak menghalang untuk tercetus dari beberapa cetusan kebaikan pada waktu-waktu tertentu. Wajib kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebenaran dan kebaikan, jika dia tahu mereka ada beberapa kesilapan, janganlah dia rosakkan kebenaran dan kebaikan mereka yang banyak itu. Janganlah dipadamkan segala kebenaran dan kebaikan disebabkan kesalahan-kesalahan tersebut. Wajib pula kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebatilan dan kejahatan, jika dia tahu ada beberapa cetusan kebaikan mereka, janganlah dia kelirukan orang ramai bahawa seakan mereka itu dalam kalangan golongan yang soleh hanya kerana amalan kebaikan mereka yang jarang dan ganjil itu” (Tahqiq al-‘Awasim min al-Qawasim, m.s 47. Beirut: Dar al-Jail)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 04, 2013 23:58

September 3, 2013

Darah dan Airmata

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 03, 2013 03:01

September 2, 2013

Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin

AGAMA BUKAN CANDU UNTUK MENGKHAYALKAN ORANG MISKIN

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


(Artikel ini ditulis pada Jun 2008 semasa penulis menjadi Mufti Kerajaan Perlis. Artikel turut disiarkan oleh Akbar Utusan Malaysia pada masa itu. Artikel ini merujuk kepada isu harga minyak melambung naik pada zaman itu. Pihak kerajaan berkempen agar rakyat berjimat cermat dan ‘mengubah gaya hidup’. Golongan agama juga digunakan untuk berkempen. Kenaikan harga minyak secara mendadak yang dilakukan oleh pihak kerajaan ketika itu amat membebankan lapisan masyarakat yang berpendapatan rendah. Beberapa langkah cuba diperkenalkan oleh kerajaan ketika itu, termasuk memberikan wang rebate/subsidi secara tunai RM 150 untuk pemilik motorsikal (enjin berkapasiti 250cc ke bawah) dan 625 kepada pemilik kereta (enjin berkapasiti 2000cc ke bawah). Pembahagian itu hanya berlaku sekali sahaja selepas itu ditamatkan ‘riwayatnya’)


Saya tertarik apabila membaca kisah al-Imam al-Nawawi r.h (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.


Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab:


Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).


Candu Jimat Cermat


Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi r.h ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat. Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon yang berjaya menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol.




Gambar Hiasan


Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah. Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya.


Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka. Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.


Siapa Saudara Syaitan?


Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan. Allah menyebut dalam al-Quran:





(maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).


Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tapi yang sampai kepadanya tidak cukup. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.


Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?




Gambar Hiasan


Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana raja dan sultan, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Kapet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.


Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka atau hari kebesaran mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.


Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.


Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.


Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.


Teladan Saidina ‘Umar


Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.


Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata:


“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).


Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya:


“Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).


Alangkah Buruknya..


Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.


Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.


Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?


Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.


Peranan Zakat


Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.


Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?


Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.


Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 02, 2013 19:57

August 22, 2013

Anjing Dan Isu Masyarakat Malaysia

ANJING DAN ISU MASYARAKAT MALAYSIA

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitif mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan muncul. Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai pelbagai dimensi dan perspektif baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam era yang lepas.


Umpamanya apabila isu video anjing yang dikaitkan dengan umat Islam menyambut hariraya timbul, pelbagai reaksi lahir. Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam. Ada yang kata video itu hina umat Islam. Ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.


Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut;


Samakan Dengan Anjing


Walaupun manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.


Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah: (maksudnya)


“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).


Jadi, jika masyarakat muslim sensitif apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.


Islam Benci Anjing?


Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?


Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: (maksudnya)


“dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).


Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.



Sementara dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda:


“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).


Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.


Bolehkah muslim memiliki anjing?


Dalam al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya)


“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat 4)


Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi (meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.


hunting_dog


Ertinya, muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.


Bolehkah Muslim Memegang Anjing?


Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.


Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis :


“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).


anjing_jilat


Memelihara Anjing Dalam Rumah


Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:


“Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.


Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.


Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!


Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w:


“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).


Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.


Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 22, 2013 04:17

August 14, 2013

Ku Simpan Rasa


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 14, 2013 01:02

Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog

Mohd. Asri Zainul Abidin
Mohd. Asri Zainul Abidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mohd. Asri Zainul Abidin's blog with rss.