Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog, page 280

March 8, 2012

Mana Utama: Agama, Bangsa Atau Negara?

MANA UTAMA: AGAMA, BANGSA ATAU NEGARA?

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Tidak dinafikan di sudut demokrasi dan kebebasan bersuara, rakyat di Barat ini lebih menikmatinya dibandingkan sebahagian besar manusia lain di atas bumi ini termasuk yang berada di kebanyakan negara muslim. Di sudut ketelusan pengurusan harta rakyat, Barat juga kelihatan mendahului dunia lain. Demikian juga di sudut pembangunan teknologi dan kemudahan yang lain. Hakikatnya bukan sedikit budaya dan nilai tamadun yang positif ada di Barat.


Namun, mengandaikan Barat itu sempurna di sudut kebebasan dan tiada unsur penindasan agama dan kaum adalah tidak benar sama sekali. Malangnya, anggapan yang seperti itu wujud dalam pemikiran segelintir rakyat dunia lain termasuk negara kita, dengan menganggap Barat adalah kiblat bagi keadilan sejagat. Sehingga apa sahaja nilai keadilan, mereka akan merujuk kepada amalan di Barat. Seakan Barat itu begitu sempurna dalam soal tersebut. Hal ini perlu diperbetulkan.


Perkauman


Sesiapa yang membaca tulisan Hanif Kureishi 'The World and The Bomb' akan dapat memahami betapa racism ataupun perkauman begitu kuat di Barat sejak era 60an lagi. Bahkan sebelum itu pun. Hal ini sudah lama, bukan bermula dari 11 September sahaja. Hanif Kureishi dilahirkan di London oleh ibu yang berketurunan Inggeris dan bapa yang berketurunan Pakistan. Bapanya datang ke UK pada tahun 1947.


Dia menceritakan betapa tertekan dirinya dan mereka yang sepertinya sejak kecil disebabkan keturunan mereka. Penghinaan, ejekan dan diskrimasi di serata tempat. Media termasuk BBC masa itu memainkan peranan meniupkan semangat perkauman. Mereka yang dianggap pendatang kadang-kadang diburu dan dipukul di jalanan hanya kerana warna kulit. Kes yang seperti ini masih lagi wujud sehingga ke hari ini walaupun sudah berkurangan.


Kureishi menceritakan bahawa sehingga pada zaman kanak-kanak dan remaja, ada kalangan mereka rasa begitu menyesal dilahirkan sebagai keturunan 'tidak berkulit putih'. Mereka benci kepada diri mereka sendiri, kemudian membenci persekitaran mereka yang tidak adil dan tidak meraikan kehadiran mereka dalam masyarakat Barat. Sekalipun mereka dilahirkan di Barat, mereka tetap dianggap pendatang asing kerana ibubapa mereka pendatang. Sedangkan jika kita renung, antara punca India dan Pakstan ke UK adalah disebabkan British yang telah menjajah negara mereka dan akhirnya mereka mencari kehidupan di tanah British.



Sehingga ke hari ini isu diskriminasi kaum dan agama belum selesai di Barat. Muslim sering merasa tertekan dengan identiti mereka sebagai muslim. Momokan media telah memberikan gambaran yang buruk terhadap muslim di Barat. Sebahagian bancian menunjukkan 75% orang Barat mempunyai gambaran buruk terhadap Islam. Lantas, muslim selalu menjadi 'suspect' dalam pelbagai perkara buruk. Di samping tidak dinafikan wujudnya faktor kelemahan dalaman masyarakat muslim itu sendiri, namun diskriminasi memainkan peranan besar dalam meminggirkan mereka.


Persoalan Identiti


Persoalan tentang identiti mereka sering dibangkitkan. Apakah mereka itu 'European' atau 'American' ataupun mereka muslim. Seakan dua identiti yang tidak dapat disatukan sama sekali. Ataupun mereka mesti menjawab persoalan 'first a European (an American) or a Muslim?'. Ini menghampiri soalan yang sama yang dibangkit dalam politik kita 'melayu dulu, ataupun Malaysia dulu". Ataupun, 'Malaysia dulu, ataupun Islam dulu'.


Namun, bagi muslim ataupun melayu di Malaysia persoalan itu hadir dalam konteks yang berbeza. Persoalan berkenaan di Malaysia bagi menonjolkan siapakah lebih kukuh keislamannya, ataupun membuktikan siapakah yang lebih teguh kemelayuannya dalam meraih undi masyarakat melayu yang menjadi majoriti rakyat.


Adapun di Barat persoalan tersebut dibangkit kerana muslim di sini sering dicurigai kesetiaannya kepada negara. Mereka dituduh tidak setia kepada negara disebabkan kesetiaan mereka kepada Islam. Dalam ertikata lain, masyarakat Barat sering melihat identiti Barat dan Islam tidak dapat disatukan. Maksudnya, jika awak menjadi muslim awak tidak mungkin menjadi European dan American yang sebenar. Ataupun vice versa jika awak menjadi European atau American awak tidak mungkin menjadi muslim yang sejati.


Prof Tariq Ramadan dalam bukunya 'What I Believe' membahas dan cuba menjawab persoalan ini. Beliau melihat dua identiti itu sebenarnya tidak bertentangan jika merujuk dalam konteks atau lingkungan apa ia diperkatakan. Di sudut agama seseorang itu berpegang kepada identiti agamanya. Sementara di sudut politik, dia berpegang kepada identiti negara. Tidak semestinya bertentangan. Kata beliau:


"In the realm of religion and philosophy, that imparts meaning to life, a human being is first and foremost an atheist, a Buddhist, a Jew, a Christian, or a Muslim: her or his passport or nationality cannot answer the existential question. When an individual must vote for a candidate at an election, she or he is first an American, Italian, French or British citizen involved in national affairs. Depending on the realm or the field of activity, the individual therefore puts forward one identity or another, and that is not contradictory" (Oxford University Press (2010), m.s 36-37).



Hal yang sama boleh dicontohkan ialah identiti seseorang sebagai bapa, dan dalam masa yang sama dia seorang anak. Ataupun, dia seorang guru dan dalam masa yang sama seorang pemain bola. Cumanya, persoalan timbul apabila dua identiti itu benar-benar bertentangan. Kehendak negara yang bercanggah dengan agama dan kehendak agama yang bercanggah dengan negara.


Dalam kes yang seperti itu seseorang hendaklah merujuk kepada nilai dan prinsip keadilan dan kebaikan sejagat yang dipertahankan oleh semua pihak, termasuk Islam. Jika pemimpin zalim, ataupun rasuah ataupun salahguna kuasa dan selain; semua itu ditentang oleh Islam dan kemanusiaan yang waras. Jika nilai-nilai insani sejagat itu dihayati tiada suatu pun bertentangan dengan Islam yang hakiki. Cumanya yang kelihatan bertentangan jika kezaliman seperti memusnah negara lain ataupun rakyat sendiri yang dilakukan oleh Hitler, Bush, Blair, Gaddafi, Khamenei, Asad dan regim-regim yang lain itu dijadikan identiti negara. Setiap rakyat dipaksa pula memakai identiti itu. Maka pertentangan identiti akan berlaku.


Demikian jika agama disalahtafsirkan sehingga terrorism, racism, kebencian, permusuhan tanpa sebab yang sah dan seumpamanya dijadikan identiti agama, maka pertentangan juga akan berlaku.


Islam yang sebenar bersifat sejagat. Ia selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan segajat. Ini kerana ia diturunkan oleh Tuhan sekelian makhluk. Asas syariat Islam adalah untuk kemaslahatan insan. Ia bersifat flexible dalam pendekatan atau cara bagi disesuaikan dengan setiap budaya setempat dan persekitaran manusia. Mustahil Islam membawa satu nilai yang memusnahkan kehidupan manusiawi yang baik. Demikian, kenegaraan yang sebenar akan memelihara nilai-nilai keadilan sejagat dan kemaslahatan rakyat. Jika kedua identiti itu difahami dari sudut yang betul, pasti tiada sebarang pertentangan.


Hal yang sama boleh digunakan dalam menjawab persoalan 'muslim duhulu, ataupun melayu duhulu, ataupun cina duhulu ataupun india duhulu ataupun Malaysia dahulu.'

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 08, 2012 08:53

March 1, 2012

Masihkah Mereka Pejuang Negara Islam?

MASIHKAH MEREKA PEJUANG NEGARA ISLAM?

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Ramai yang menghantar mesej kepada saya meminta saya mengulas tentang kenyataan terbaru Tun Mahathir berhubung dengan hudud. Juga ada yang menyatakan saya 'double-standard' apabila tiba kepada Tun Mahathir saya selalu mengelakkan untuk mengulas disebabkan saya ada hubungan baik dengan beliau.


Sebenarnya, ia disebabkan saya di UK dan baru sahaja tahu isu itu apabila dibangkit oleh rakan-rakan 'tweet' (not twit). Jika saya di Malaysia, mungkin saya akan hubungi Tun sendiri, tapi jarak jauh menghalang hasrat tersebut.


Asas hukum hudud disebut dalam al-Quran seperti hukum potong tangan pencuri dan sebat bagi yang menuduh orang lain berzina dan yang berzina. Kewujudan hukum tersebut dalam al-Quran memang qat'i iaitu pasti tanpa sebarang takwilan lagi, Ini disebut sebagai qat'iya thubut.


Namun perbahasan ataupun pendetilan hukum tersebut seperti syarat-syarat hukum itu dilaksanakan, konteks perlaksanaan hukum dan segala pendetilan yang lain kebanyakannya adalah ijtihad ulama fekah. Kebanyakan ijtihad itu berasaskan kefahaman mereka terhadap nas-nas yang zanni (speculative text l zanniyyat dilalah) iaitu nas-nas al-Quran atau hadis yang mempunyai pelbagai penafsiran ataupun takwilan. Ijtihad itu terdedah kepada penilaian semula dengan menggunakan ijtihad yang lain. Berbeza pandangan dalam perkara ijtihad, bukan satu kesalahan akidah pun.



Setelah saya tonton video Tun Mahathir tersebut, saya dapati ada kesilapan dalam menggunakan istilah. Tun Mahathir mungkin memahami hudud itu sebagai perbahasan fekah berkaitan hudud, maka beliau menyatakan hudud tiada dalam al-Quran. Namun dalam masa yang sama beliau menyebut hanya ada beberapa hukum yang disebut secara umum. Di sini kesilapan beliau dalam menggunakan perkataan hudud tiada dalam al-Quran, sedangkan asas hukum tersebut memang ada dalam al-Quran. Harap Tun Mahathir dapat membetulkan kenyataan tersebut. Namun kenyataan beliau bahawa yang penting hendaklah ditegakkan keadilan, memang sedang dipakai oleh ramai 'islamist' di masa kini.


Siapakah Islamist


Minggu ini saya memohon dari Prof Tariq Ramadan untuk mengikuti kelas beliau 'Political Islam, Islamism and Modern Islamic Movements'. Beliau membahaskan perkembangan golongan Islamist di Turki hari ini. Beliau meminta para pelajarnya memberikan, apakah golongan Islamist di Turki itu masih layak digelar Islamist ataupun tidak? Pelbagai pandangan diberikan oleh para pelajarnya. Kesimpulan dibiarkan terbuka. Kelas bersambung minggu hadapan. Maka saya terfikir untuk menyentuh tajuk ini dalam tulisan kali ini.



Ya, memang satu perkembangan yang menarik apabila Islamist di Turki tidak lagi melaungkan slogan perlaksanaan undang-undang syariah seperti hudud. Bahkan mereka bersedia untuk bekerja dan membangunkan negara dalam kerangka sekular (secular framework). Mereka menegak nilai-nilai Islam seperti ketelusan, amanah, berdisiplin dan lain-lain. Mereka tidak mengubah perlembagaan, sebaliknya bekerja dan memberi nafas kepada Islam dalam kerangka yang ada, tanpa menzahirkan perjuangan menentang secularism.


Isu hijab (tudung) di universiti di Turki yang tidak dibenar sebelum ini diatasi dengan perlantikan pentadbiran yang mempunyai lebih luas tentang undang-undang tersebut. Sehingga John L. Esposito dalam The Oxford Encyclopedia of Islamic World di bawah tajuk secularism menafsirkan perkembangan Islamist di Turki sebenarnya bukan pertarungan antara Islamism dan secularism, tetapi sebenarnya pertarungan dalam menafsirkan konsep secularism itu sendiri. Ia antara versi secular Anglo-American yang memberikan ruang kepada penglibatan agama dalam politik dibandingkan pemahaman French secularism yang bersifat keras terhadap agama dengan menganggap penglibatan agama akan mengancam social order. Maka, Esposito melihat Islamist di Turki itu berpihak kepada secularism versi Anglo-American.


Hari ini selepas 'Arab Spring', gerakan Islam di kebanyakan Negara Arab sudah mula bekerjasama dengan parti-parti lain yang tidak berasaskan Islam. Kerjasama itu sekaligus menjadikan mereka menggugurkan isu 'Islamic State' khususnya perlaksanaan hudud. Hal yang sama kita lihat di Malaysia. Ini menimbulkan perbahasan sarjana semasa di Barat dan Timur, apakah mereka itu masih dianggap sebagai Islamist atau mereka sebenarnya 'post-Islamist'?


Pertamanya, istilah Islamist atau Islamism itu apakah maksudnya? Secara umum, perkataan islamist difahami di Barat khususnya kelompok yang memperjuangkan politik Islam. Mereka ini berhasrat menegakkan Negara Islam yang melaksanakan undang-undang Islam khususnya hudud. Jika maksud ini dipakai, maka kelihatannya kebanyakan gerakan Islam hari ini bukan lagi Islamist seperti yang difahami oleh Barat.


Namun jika istilah Islamist diberikan kepada mereka yang cuba menjadi muslim yang baik dalam kehidupan harian, mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan individunya seperti amanah dalam pentadbiran, maka mereka ini masih lagi islamist. Jika disoal secara lebih jelas, apakah mereka ini pejuang Negara Islam versi lama mereka ataupun Negara Islam versi hudud? Jawapannya, kelihatan pada kemungkinan dan realiti, mereka bukan lagi pejuang Negara Islam versi berkenaan.


Post-Islamism


Asef Bayat dalam tulisannya "The Coming of a Post-Islamist Society" menggunakan istilah post-islamism merujuk kepada golongan Islamist di Iran. Beliau menyifatkan golongan post-islamist ini ialah mereka yang cuba mengadunkan semula antara Islam dan realiti dunia masa kini khususnya yang membabitkan soal kebebasan hak individu, demokrasi dan kemodenan. Beliau menyebut:


"Post- Islamism is expressed in the idea of fusion between Islam (as a personalized faith) and individual freedom and choice; and post-Islamism is associated with the values of democracy and aspects of modernity"



Mengapa ini berlaku? Kesemua ini berlaku disebabkan pengalaman yang dilalui oleh gerakan Islam menunjukkan kegagalan dalam banyak perkara untuk melaksanakan slogan-slogan yang dilaungkan sebelum ini. Realiti politik dunia menunjukkan banyak slogan mereka sebelum ini lebih berbentuk retorik yang tidak dapat dilaksanakan. Negara seperti yang mereka baca dalam kitab-kitab lama itu sudah tidak wujud. Sudah tiada lagi Negara Khalifah. Nation State ataupun negara bangsa hari ini mempunyai realiti yang berbeza.


Globalisasi pula sedang menghakiskan ciri-ciri nation state yang ada. Hari ini perkaitan antara politik dan ekonomi amatlah jelas. Dunia terbuka era teknologi juga mengubah terlalu banyak perkara. Hal ini akan lebih jelas terasa apabila golongan Islamist itu sendiri mendapat kekuasaan seperti di Turki dan juga beberapa Negara Arab yang baru diperolehi.


Maka, selama ini mereka mungkin telah melihat nas-nas politik dalam Islam itu di luar dari konteks yang sepatutnya ataupun decontextualization of nas. Mereka mungkin hanya membaca nas tanpa melihat konteks dan realiti yang wujud dipersekitaran nas. Tidak mengkaji rentak ruang yang mana nas-nas itu beroperasi (tempo-spatial contexts). Sedangkan dalam memahami nas, persekitaran ekonomi dan politik (economic and political milieu) yang wujud semasa nas-nas politik Madinah itu lahir hendaklah diambil kira.


Nabi s.a.w mengambil kira persoalan persekitaran politik ataupun realiti yang ada dalam perlaksanaan pemerintahan. Justeru itu, baginda tidak mengarahkan Najasyi Raja Habsyah yang menganut Islam itu untuk memerintah sama seperti kerajaan Nabi s.a.w di Madinah. Najasyi atau Ashamah bin Abjar mengepalai kerajaan Kristian. Maka, realitinya berbeza. Nabi s.a.w tidak mempersalahkannya disebabkan ruang yang terhad yang dia ada. Tidak pula disuruh dia meninggalkan jawatannya. Sebaliknya memuji ketelusan yang digunakan dalam ruang yang ada. Bahkan apabila Najasyi meninggal, Nabi s.a.w menyebut:


"Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)". (Riwayat al-Bukhari).


Demikian juga Nabi Yusuf yang bergerak dalam ruangan politik yang ada di zaman baginda.


Gerakan Islam mula rasional dan akur bahawa mereka mesti memahami text dan context. Jika perubahan dalam pendekatan dan kefahaman mereka kini dianggap tidak Islamik oleh sesetengah pihak, maka itu satu penafsiran yang dangkal. Realitinya, dunia Islam berhajatkan kepada pemerintah yang cekap, amanah, adil serta berjaya menghidupkan kebahagiaan rakyat. Jika gerakan Islam berjaya melakukan hal itu, maka itu satu kejayaan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 01, 2012 11:21

February 26, 2012

Fahaman Islam Kita Sempit, Alam Kita Tercemar

* Artikel lama Dr MAZA tentang alam sekitar untuk diingati semula


FAHAMAN ISLAM KITA SEMPIT, ALAM KITA TERCEMAR

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Amatlah malang bagi seorang insan yang dibekalkan dengan berbagai bekalan yang maha lengkap dalam perjalanannya, namun dia meninggalkan segala bekalan tersebut. Lantas meraba-raba bekalan ganti yang tidak seberapa. Dia meninggalkan makanan lazat berkhasiat yang dibekalkan, lalu mencari serpihan makanan di tepi-tepi jalan. Dia meninggal bekalan cahaya yang disediakan, lalu berpandu rabaan tongkat dalam kegelapan. Demikianlah hal umat Islam pada hari ini.


Bekalan ajaran Islam yang disediakan oleh Allah dan RasulNya begitu indah dan hebat. Namun kita mencampaknya ke tepi. Kita mencari penyelesaian hidup dengan panduan baru. Maka, kita bukan saya tidak cemerlang, bahkan kita sentiasa kelihatan ketinggalan dalam dunia persaingan. Sebabnya, orang lain –sekalipun tanpa panduan wahyu- telah lama berfikir dan menghasilkan berbagai perkara dalam mengharungi tamadun hidup berdasarkan kefahaman mereka. Sedangkan kita, baru hendak bermula.


Sepatutnya Kita..


Jika dilihat kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, dunia Islam sepatutnya mengepalai isu-isu kemanusiaan dan alam. Malangnya, kita bukan sahaja tidak mengepalai, bahkan kita dituduh tidak prihatin dalam beberapa isu dunia. Sebahagian tuduhan itu pula benar.


Ambil sahaja soal penjagaan alam sekitar. Dunia Islam tidak mengepalainya. Lebih memalukan apabila negara-negara umat Islam sendiri tidak mengambil berat soal penjagaan alam sekitar. Bahkan ada negara umat Islam yang begitu kotor. Lebih memalukan jika kawasan masjid dan tandasnya menjijikkan. Sedangkan dalam masa yang sama kita berceramah soal taharah, kebersihan pakaian ketika solat, jenis-jenis air yang boleh diambil wuduk dan berbagai lagi. Bahkan sebahagian perbincangan dalam masalah fekah bersuci kita begitu sempit dan jumud. Sehingga kecenderungan sesetengah tok guru ke arah membatalkan ibadah lebih besar dari menghukumnya sebagai sah. Namun tinggal sekadar berlegar dalam bab wuduk dan sembahyang semata. Tidak mampu membawa kepada kebersihan dan kebajikan alam sekitar.


Dunia Islam sepatutnya menjadi perlambangan kepatuhan kepada amaran Allah dalam Surah al-Rum ayat 41:



(maksudnya): Telah timbul berbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).



Kerosakan alam sama ada di lautan atau daratan adalah disebabkan perbuatan manusia. Laut dan sungai yang tercemar, atau hutan yang binasa adalah dek perbuatan insan durhaka. Derita yang bakal dihadapi dunia disebabkan pencemaran alam adalah balasan Allah ke atas jenayah pencemaran tersebut. Umat Islam berpandu ayat ini dan ayat-ayat lain yang banyak sepatutnya mengepalai masyarakat dunia dalam menjuarai perjuangan menjaga alam sekitar.


Kita Cuai


Sebaliknya, di kalangan kita tidak menganggap perbincangan berhubungan dengan menjaga kebersihan alam dari pencemaran dan kekotoran sebahagian dari tuntutan Islam. Mereka tidak terbayang bahawa itu termasuk dalam dakwah Islam untuk manusia. Mereka tidak merasai bahawa perjuangan memelihara alam termasuk dalam amalan soleh seorang insan. Sedangkan baginda Nabi s.a.w menyebut:


مَنْ قَطَعَ سِدْرَةً صَوَّبَ اللَّهُ رَأْسَهُ فِي النَّارِ


"Sesiapa yang memotong pokok bidara maka Allah akan rendahkan kepalanya di dalam neraka" (riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).


Amaran dan doa Nabi s.a.w. agar Allah mengambil tindakan kepada pemotong atau penebang pokok bidara kerana kerimbunan pokok tersebut menjadi tempat berteduh manusia dan haiwan. Maka perbuatan memusnahkannya tanpa sebab adalah suatu pengkhianatan terhadap manusia dan haiwan. Maka hukumannya adalah neraka. Al-Imam Abu Daud dalam kitab sunannya apabila ditanya mengenai maksud hadis ini menyatakan:



"Hadis ini diriwayatkan secara ringkas. Maksudnya sesiapa yang memotong pokok bidara di tanah lapang tanpa sebarang sebab dan sia-sia, sedangkan ia menjadi tempat berteduh orang bermusafir dan haiwan, maka Allah rendahkan kepalanya dalam neraka". (Abu Daud, Sunan Abi Daud 4/361, Beirut: Dar al-Fikr).



Perjuangan Alam Sekitar


Demikian Nabi s.a.w memperjuangkan agar tidak dimusnahkan alam tanpa sebab yang sah. Bukan sekadarnya kesalahan moral pada penilaian kesusilaan manusia, bahkan baginda memberi amaran dengan hukuman Allah pada hari akhirat nanti. Jika hanya memotong pokok bidara yang membawa kemusnahan tempat berteduh manusia dan haiwan dihukum dosa dengan balasan demikian rupa, apatah lagi bagi yang memusnah ekosistem alam yang boleh membawa kemusnahan yang lebih besar. Bahkan mungkin memusnahkan manusia sejagat. Maka mencemarkan alam pada penilaian Islam adalah satu kesalahan dari segi agama. Justeru, perjuangan memelihara alam adalah sebahagian dari perjuangan agama. Menyuruh manusia memelihara alam dan melarang mereka memusnahkannya adalah sebahagian dari kerja dakwah iaitu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran.


Bahkan penjagaan alam dianggap sebagai satu sedekah berpahala di sisi Islam. Daripada Anas bin Malik r.a.: Katanya: Sabda RasululLah s.a.w:







"Tidak ada seorang muslim yang menanam tanaman atau menyemai semaian lalu burung, atau insan atau binatang berkaki empat memakannya, melainkan untuknya (pahala) sedekah". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Para sahabah Nabi s.a.w memahami dan mempraktikkan hal ini. Diriwayatkan, ada seorang laki-laki yang bertemu sahabat Nabi s.a.w yang masyhur iaitu Abu Darda' ketika itu dia sedang menanam pohon. Kemudian orang laki-laki itu bertanya kepada Abu Darda': Hai Abu Darda'! Mengapa engkau tanam pohon ini, padahal engkau sudah sangat tua, sedang pohon ini tidak akan berbuah kecuali sekian tahun lamanya. Maka Abu Darda' menjawab: Bukankah aku yang akan memetik pahalanya di kala orang lain memakannya?


Mana Pergi Islam?


Di mana perginya hadis-hadis yang seperti ini? Ramai umat Islam, sehingga golongan agama sekalipun gagal melihat kemuliaan usaha dan perjuangan memelihara alam sekitar. Padahal pada alam itulah tercatatnya tanda-tanda keagungan Allah dan rahmahNya kepada manusia. Ayat-ayat al-Quran begitu banyak dalam hal ini. Namun kita tidak mengambil iktibar. Antara firman Allah dalam Surah al-Fatir ayat 27-28:



(maksudnya): Tidakkah Engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya dan ada juga yang hitam legam; Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya yang takutkan Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.



Ayat di atas menyatakan bahawa pemerhatian terhadap keindahan alam ciptaan Tuhan membawa kepada rasa takutkan disebabkan ilmu pengetahuan tentang kebesaran Tuhan. Banyak ayat-ayat al-Quran sepatutnya menjadi motivasi untuk masyarakat muslim menjadi masyarakat yang terbaik dalam pemeliharaan alam ciptaan Allah ini. Saya begitu kagum apabila melawat New Zealand dan melihat keindahan alamnya. Apa yang lebih mengkagumkan bagaimana disiplin masyarakatnya memelihara keindahan alam mereka. Mengapa tidak hal ini berlaku di dunia Islam secara menyeluruh?!


Pengotor


Ustaz-ustaz selalu menyebut tentang dosa menyakiti hati jiran. Lalu mereka kaitkan dengan mengumpat atau mengutuk jiran tetangga. Sepatutnya perbahasan itu mesti diluaskan lagi di zaman kini. Membuang sampah dan kotoran merata-rata juga termasuk dalam dosa. Ini disebabkan oleh beberapa perkara. Antaranya; perbuatan tersebut telah melanggar arahan pemerintah dalam perkara kebaikan yang disuruh Islam untuk kita taat. Sabda Nabi s.a.w.:




السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ


"Ketaatan kepada pemerintah itu wajib, selagi tidak disuruh dalam perkara maksiat. Apabila disuruh dalam perkara maksiat, maka tidak perlu dengar dan taat" (Riwayat al-Bukhari).


Juga sikap pengotor itu menyakitkan hati orang lain tanpa sebab yang sah. Baginda Nabi s.a.w menyebut:




اتَّقُوا اللَّعَّانَيْنِ قَالُوا وَمَا اللَّعَّانَانِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الَّذِي يَتَخَلَّى فِي طَرِيقِ النَّاسِ أَوْ فِي ظِلِّهِمْ


"Takutlah dua perkara yang menyebabkan dilaknat orang. Sahabat bertanya: apakah dua perkara yang menyebabkan dilaknat orang. Sabda baginda: Orang yang membuang najis di tengah jalan orang ramai atau tempat teduh mereka" (Riwayat Muslim).



Perbuatan membuang air di tengah jalan boleh menyebabkan pembuatnya dilaknat oleh orang ramai, maka baginda melarangnya. Dalam masyarakat yang hidup dalam keadaan teratur, perbuatan membuang sampah dan kekotoran merata-rata juga membawa kesan yang sama. Maka termasuk dalam larangan agama. Malanglah, jika amaran Nabi s.a.w. ini dibaca tetapi ada orang Islam yang tidak tahu menggunakan tandas awam dengan baik sehingga menimbulkan kemarahan pengguna yang lain. Bahkan ada tandas masjid yang masih gagal untuk mematuhi ajaran Nabi s.a.w. Bagaimana mungkin tamadun Islam hendak ditonjolkan?!!


Merokok


Juga sangat memalukan, jika tempat-tempat awam dijadikan kawasan larangan merokok, namun ada masjid yang membenarkan ruangannya dijadikan tempat merokok 'kelab jawatan kuasa' dan penyokong-penyokongnya. Bahkan disediakan pula kopi dan bekas abu untuk perokok. Apakah masjid lebih rendah nilainya dari tempat awam? Merokok itu diharamkan oleh majoriti para ulama moden kerana merosakkan diri, membazir dan menyakiti orang lain. Ia juga mencemarkan alam. Bau busuk mulut penghisap dan asap rokok yang membawa kemudaratan kepada orang lain. Bagaimana mungkin masjid boleh membenarkan aktiviti yang sedemikian beraksi di dalamnya. Masjid wajib menjadi zon bebas rokok. Baginda s.a.w memberi arahan kepada mereka yang memakan bawang putih:




مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلاً فَلْيَعْتَزِلْنَا أَوْ لِيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا


"Sesiapa yang memakan bawang putih atau bawang, jangan dia menghampiri masjid kami" (Riwayat al-Bukhari).


Ini disebabkan baunya yang busuk dan mengganggu jamaah. Demikian juga rokok dan penghisap rokok. Baunya yang busuk dan kesan pada penghisapnya mengganggu jamaah. Mereka sepatutnya –selagi berbau- tidak menghadirkan diri ke masjid yang memerlukan persekitaran yang harmoni dan bersih.


Khazanah Islam begitu banyak mengajar kita menjadi umat yang berdisiplin dan bersih. Malangnya kita tidak mengkaji dan mematuhinya. Sedangkan semua arahan itu memberikan kebaikan kepada manusia sejagat. Namun apabila kita beragama secara sempit. Atau mungkin kita jahil tentang hakikat Islam ini, maka kita pun kagum dengan kesungguhan orang lain seperti pencinta-pencinta alam di Barat dan Timur memelihara kebajikan masyarakat manusia. Kita lupa bahawa khazanah Islam kita telah lama mendahului hal ini. Sepatutnya dengan bekalan khazanah itu, kita mendahului manusia lain dalam memelihara keamanan dan kebajikan kehidupan alam. Namun, hal yang berlaku sebaliknya. Kita bukan sahaja tidak mengepalainya, bahkan kita tidak turut berjuang. Lebih sedih kita memandang sepi usaha-usaha yang seperti itu dan tidak menganggap sebahagian dari tuntutan agama.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 26, 2012 11:04

February 23, 2012

Bilakah Sultan Menjadi Bayangan Allah Di Bumi?

BILAKAH SULTAN MENJADI BAYANGAN ALLAH DI BUMI?

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


 


Minggu ini saya kembali ke Oxford, UK. Beberapa minggu berada di Malaysia. Di samping menyambut kedatangan 'puteri baru', banyak juga aktiviti yang sempat saya sertai. Bahang pilihanraya semakin kuat sehingga segala perkara berbau politik. Semalam semasa seminar 'Islam and Europe' di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), directornya Dr Farhan Nizami bersembang dengan kami dengan memberi pandangannya tentang Malaysia. Katanya, betapa dia tidak menyangka bahawa bangsa melayu yang kelihatan sopan santun itu apabila tiba kepada bab politik, mereka berpolitik habis-habisan. Saya senyum sahaja mendengar ulasannya.


Berkaitan fenomena piliharaya juga, beberapa hari lepas saya menerima begitu banyak soalan berhubung dengan 'Raja adalah bayangan Allah di bumi'. Hadis ini katanya telah diwar-warkan oleh pihak tertentu dalam menjustifikasikan perjuangan tertentu. Saya dengar ada yang lebih lantang lagi dengan menyebut lafaz asal hadis itu 'al-Sultan adalah bayangan Allah di bumi' bagi merujuk sultan pilihannya. Ada pula yang seakan ingin menyuburkan feudalisme melayu dengan hadis tersebut. Saya bergurau dengan sesetengah pihak yang berminat menggunakan hadis itu dengan berkata: "Raja yang menjadi bayangan Allah itu Raja Jordan ke, atau Raja Saudi? Atau Raja Morocco? Oleh kerana terlalu umum, apakah boleh juga digunakan oleh Raja Siam?"


Sebenarnya, perkataan yang digunakan dalam hadis 'al-Sultan' bukan al-Malik (Raja). Jika ia difaham secara bahasa melayu, mungkin para sultan seperti Sultan Qabos di Oman atau Sultan Brunei tergambar semasa membaca hadis ini. Sudah pasti bukan Sultan Damsyik Jani dari 'Negara Pasir Berdengung' dalam filem Doremi arahan P.Ramlee.



Sebenarnya hadis tersebut mempunyai banyak riwayat. Ada yang palsu, ada yang sangat daif (daif jiddan), ada yang daif dan ada yang hasan ataupun mungkin boleh mendekati sahih. Antara lafaz yang palsu atau sekurang-kurang teramat daif:


السلطان ظل الله تعالى في الأرض فإن أحسنوا فلهم الأجر وعليكم الشكر وإن أساءوا فعليهم الإصر وعليكم الصبر لا يحملنكم إساءته على أن تخرجوا من طاعته فإن الذل في طاعة الله خير من خلود في النار لولاهم ما صلح الناس


(terjemahan) "al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan wajib ke atas kamu syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa, wajib ke atas kamu sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu keluar dari ketaatan. Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati Allah (dengan mentaati sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam neraka (kerana menentang sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia tidak akan aman". (hadis ini dihukum oleh al-Albani sebagai 'terlalu daif' dalam Silsilah al-Daifah/no. 1664)


Namun secara kesimpulan penilaian hadis, setakat lafaz "Al-Sultan bayangan Allah di bumi" adalah sahih disebabkan pelbagai riwayat. Adapun tambahan selepas lafaz tersebut ada yang hasan, daif, sangat daif dan palsu.


Ada juga riwayat dalam al-Jami' al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut:


السلطان ظل الله في الأرض، فإذا دخل أحدكم بلدا ليس به سلطان فلا يقيمن به


"al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya".


Saya bimbang menjelang musim berkempen ini akan ada yang menggunakan riwayat yang daif ini untuk melarang orang tinggal di negeri-negeri yang tiada sultan seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Kemudian, di Negara Arab hanyalah Negara Oman yang boleh tinggal dalamnya sebab masih ada Sultan Qabos. Selainnya sudah tiada sultan. Indonesia pun tidak boleh tinggal dalamnya kerana sudah tiada sultan. Hanya Brunei yang sesuai. Jangan sampai begitu pulak tafsiran kita.



Apakah Maksud 'al-Sultan'?


Perkataan al-Sultan bukanlah bermaksud pemerintah yang memakai gelaran 'sultan'. Jika tidak sudah pasti al-Khulafa al-Rasyidin menggunakan gelaran sultan. Sultan bermaksud pihak yang berkuasa. Ertinya ia merangkumi semua mereka yang mempunyai kuasa pemerintahan tanpa mengira apapun gelarannya. Abu Bakr al-Siddiq naik memerintah selepas Rasulullah memakai gelaran 'Khalifah Rasulillah', kemudian pada zaman 'Umar mula diperkenalkan gelaran 'Amir al-Mukminin. Secara umumnya dipanggil keempat sahabat pemerintah itu dengan khalifah. Semasa Umawiyyah dan 'Abbasiyyah dikekalkan gelaran khalifah. Selepas itu beberapa dinasti seperti Ayyubiah, Mamalik dan 'Uthamaniyyah memakai gelaran sultan. Mereka itu kebanyakannya bukan arab. Ada juga yang memakai al-Malik iaitu 'raja' dan sebagainya.


Maka hendaklah jelas, perkataan sultan dalam hadis merujuk kepada ulul amri iaitu mereka yang berkuasa memerintah. Jangan putarkan hadis untuk pemainan politik. Ertinya, secara literal dalam konteks Malaysia, Perdana Menteri juga zhillu Allah ataupun bayangan Allah di bumi. Demikian Presiden Mesir, Libya dan sebagainya. Kini kita wajar bertanya apakah maksud bayangan Allah? Apakah kita memahami seperti golongan literalis yang akan melihat sultan atau raja atau penguasa atau presiden sebagai benar-benar bayangan Allah yang kemudian mungkin dijustifikasikan segala tindakannya. Jika mereka itu berjudi di London ini sehingga tergadai balak dan minyak di negara mereka apakah itu bayangan Allah? Jika mereka kejam seperti Assad di Syria, atau mereka rasuah dan bermewahan dengan harta rakyat jelata, apakah mereka tetap dimuliakan sebab mereka bayangan Allah?


Bayangan Allah


Jika kita faham makna khalifah, ia bermaksud pengganti ataupun wakil. Apabila kita menyebut manusia khalifah Allah bermaksud manusia mengganti Allah di bumi. Ketika menafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30 berhubung manusia sebagai khalifah Allah di bumi, al-Imam al-Baidawi berkata:


"Khalifah itu bermaksud (dari segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam a.s. kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumiNya. Demikian sekelian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka" (Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64).


Makna yang sama merujuk kepada sultan ataupun penguasa itu bayangan Allah di bumi. Bukan bermaksud kesucian penguasa sehingga tidak boleh dibahas dan dipertikaikan. Sama sekali tidak! Sebab betapa ramai manusia ini yang Allah tabalkan menjadi khalifah telah melakukan kerja yang sebaliknya. Apakah kita tetap mempertahankannya atas nama khalifah Allah?! Justeru al-Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir ketika menafsir maksud: "Al-Sultan bayangan Allah di bumi" beliau berkata "kerana dia memelihara manusia dari keburukan seperti bayang memelihara dari panas matahari". Ya! Demikianlah tugasan penguasa!


Dalam masa yang sama kita hendaklah sedar, bahawa berlebihan dalam menggunakan agama untuk kepentingan politik telah mengorbankan agama itu sendiri. Inilah yang berlaku di Barat yang diistilahkan sebagai secularism ataupun lebih mudah difahami sebagai 'a movement towards the separation of religion and government'. Walaupun secularism itu mempunyai akar yang lama sejak zaman Greek dan Roman tetapi di Eropah ia subur dan diperjuangkan pada era Enlightenment akibat dari kesedaran rakyat tentang betapa buruk peranan agama dalam politik. Saya akan bahaskan nanti. Islam memandu politik supaya harmoni dan kudus. Islam bukan alat politik tetapi cahaya yang menerangi jalan politik yang dibina atas maslahah rakyat.


Sultan ataupun penguasa bayangan Tuhan boleh disalahtafsirkan seperti yang berlaku dalam sejarah politik pelbagai bangsa. Akibatnya, kerakusan penguasa mencengkam rakyat dan dihalalkan atas nama Tuhan. Jika hendak memahami maksud penguasa bayangan Tuhan dalam Islam, fahamilah ucapan Abu Bakr al-Siddiq apabila menjadi khalifah:


"Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku" (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).


Inilah insan yang paling faham maksud sultan itu bayangan Allah di bumi. Jangan kita gadaikan Islam untuk suatu penafsiran nas yang akhirnya akan menimbulkan syak manusia terhadap Allah dan RasulNya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 23, 2012 10:56

February 16, 2012

Agama Sering Menjadi Mangsa

AGAMA SERING MENJADI MANGSA

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


 


Sepanjang sejarah manusia, nama Tuhan sering dijadikan alat dalam mencapai tujuan atau kepentingan peribadi ataupun puak. Sedangkan ia sepatutnya menjadi nama sakti dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan, malangnya digunakan untuk menegakkan kebatilan dan menghapuskan kebenaran.


Perlambangan agama yang sepatutnya membela kekudusan ajaran Tuhan, sering kali digunakan untuk membiakkan kehendak syaitan dan hasrat nafsu serakah manusia. Maka tidak hairan jika kita melihat nama Tuhan sering dipergunakan oleh orang politik, ahli perniagaan, bomoh, ustaz, penjenayah, perasuah dan segala jenis 'manusia' yang berkepentingan.


Dalil-dalil diputar dan dipusing agar dapat menjelma dalam rupa reka kehendak yang berbicara. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan umat Islam, sebaliknya dalam semua agama. Dalam sejarah Yahudi dan Kristian berlaku dengan begitu dahsyat. Martin Luther yang mengasaskan Mazhab Prostestan telah membangkitkan isu ini dalam Kristian. Beliau katanya ingin membela ajaran Tuhan. Malangnya, betapa ramai pengikutnya yang dibakar oleh gereja Katholik juga atas nama Tuhan.


Sokong Rejim


Hitler juga mendapat sokongan sebahagian gereja di Jerman. Kedua aliran yang bertentangan Katholik dan Protestan menyokong tindakan beliau ke atas Yahudi atas nama Tuhan. Demikian Assad di Syria yang membunuh rakyat sejak sekian lama. Begitulah juga regim-regim yang lain.



Pakaian dan bahasa agama juga digunakan untuk menghiasi amalan salah atau penyalahgunaan nama Tuhan. Jika orang seperti Hitler dan Assad mampu mendapat restu golongan agama, maka tidak pelik jika dalam dunia ini ada mufti atau syeikh yang sanggup memuja-memuji pemerintah atau raja atau sultan dalam khutbah Jumaat dengan perhiasaan kata yang berlebihan.


Doa bertujuan mengampu disusun khas untuk penguasa, sultan dan raja serta keturunannya sekalipun mereka itu perasuah, perembat harta rakyat, bermewahan dengan istana, kereta dan harta sedangkan rakyat bawahan menderita airmata. Doa untuk rakyat yang miskin hanya secebis. Sebaliknya berlimpahan doa untuk penguasa, raja dan sultan dengan perhiasaan kata puja dan puji seakan mereka lebih tinggi dari para nabi.


Khutbah Jumaat yang menjadi tempat umat memuja dan pemuji Tuhan, bertukar pada bahagian doanya sebagai ampuan memuja dan memuji kerajaan dan sultan. Hal ini bukan sangat dengan pemintaan penguasa atau raja, tetapi 'sang berjubah agama' yang mempunyai agenda hidupnya yang tersendiri.


Inilah yang berlaku di seluruh dunia 'berjubah agama' tapi bertujuan sebaliknya. Orang-orang agama ini mendapat gaji dan berjubah yang jauh lebih hebat dari segala ulama yang terbilang dahulu, tetapi sekadar berperanan untuk membaca doa yang puitis untuk sang singgahsana dan mengeluarkan fatwa yang meredhakan penguasa dan raja. Kegerunan mereka kepada hilang jawatan lebih hebat dari kegerunan mereka membohongi hukum Tuhan.


Sebab itu, ramai panguasa, raja dan sultan dalam dunia dan sepanjang sejarah sekalipun buruk tingkah laku dan ketamakan harta serta kezaliman mereka terhadap hak rakyat, terus merasa selesa kerana ada yang berlidah dan berjubah agama yang membodeknya. Syurga seakan sudah tempah untuknya, neraka pula seakan sudah tertutup rapat baginya sekalipun dia tidak menunaikan hak rakyat dan memakan harta secara haram.


Pisahkan Agama


Firman Allah: (maksudnya)


"Dan apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah memerintahkan kami mengerjakannya".


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?


Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil, dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan wajah kamu (kepada Allah) pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan menyeruNYA dengan mengikhlaskan agama kamu kepadaNYA semata-mata, sebagaimana DIA telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNYA). Sebahagian (manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan sebahagian lagi berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana Sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada dalam petunjuk". (Surah al-A'raf, 28-30).


Seperti yang saya pernah catatkan bahawa saya tidak menyokong pemisahan agama dari politik, tetapi saya menyokong memisahkan agama dari penyalahgunaan golongan politik. Lebih elok politik yang berpisah dari agama dibandingkan politik yang mempergunakan agama. Saya inshaAllah akan bahaskan tentang secular state dalam tulisan yang akan datang.


Mimpi Nabi


Sebab itu amatlah merbahaya apabila agama itu telah menjadi senjata mereka yang pandai berbicara untuk kepentingan kuasa dan diri. Hakikat Tuhan akan disalahertikan oleh manusia. Ajaran kebenaran akan dipandang serong. Manusia akan kecewa dengan ajaran Tuhan yang dianggap tidak memenuhi panduan keadilan dan rahmat. Sebab itu agama Islam ini tertegak atas fakta dan hujah. Bukan khayalan dan mimpi.


Jika kita masih ingat bagaimana pengasas ajaran al-Arqam semasa masih hidup membuat pelbagai dakwaan. Ketika itu ada imam masjid tertentu mendakwa bahawa dia berjumpa Nabi s.a.w dalam mimpinya membenarkan ajaran Ashaari Muhammad. Ramai yang terpengaruh dengan mimpi tersebut.


Itu bukan kali pertama, bahkan sudah puluhan kisah setiap kali ada yang mendakwa menjadi Mahdi, ada sahaja orang yang bermimpi berjumpa Nabi s.a.w dan mengakuinya. Ini termasuk kisah Mahdi di Sudan yang jauh lebih berjaya dari Ashaari Arqam. Ada pula yang mengeluarkan dalil bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:


"Sesiapa yang melihatku dalam tidur sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku" (Riwayat Muslim).




Regim-regim ini juga pernah mendapat sokongan atas nama nas-nas agama


Ya, syaitan memang tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w, namun syaitan boleh menyerupai orang lain dan seseorang yang tidak pernah melihat Nabi s.a.w menyangka itu Nabi s.a.w. Tipuan syaitan sangat licik.


Dalam kitab Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, dinukilkan apa yang disebut oleh tabi'in agung lagi pakar mimpi dalam sejarah Islam, al-Imam Muhammad bin Sirin (meninggal 110H) menafsirkan hadis ini bahawa ia bermaksud 'jika seseorang melihat Nabi s.a.w dalam rupanya yang asal'. Ertinya dia mesti mengenali hakikat rupa Nabi s.a.w.


Apabila ada orang mendakwa bahawa dia melihat Nabi s.a.w, Muhammad bin Sirin meminta supaya dia menceritakan ciri-ciri Nabi s.a.w yang dia lihat dalam mimpinya. Apabila dia menceritakannya, beliau menjawab: 'engkau tidak melihatnya'. Ibn 'Abbas juga menyelidiki seseorang yang mendakwa bahawa dia bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. Beliau bertanya sifatnya, orang itu menjawab seperti Saidina Hasan bin 'Ali. Ibn 'Abbas mengakuinya.


Itu jika orang tersebut tidak berbohong. Namun, bagaimana pula jika dia berbohong tentang apa yang dilihatnya?. Maka mimpi tidak boleh menjadi hujah dalam agama ini. Ia boleh menjadi isyarat untuk urusan peribadi seseorang, namun bukan syariat yang diamalkan.


Saya masih ingat kisah Presiden sebuah negara 'bernama agama' yang menceritakan beliau dilindungi cahaya suci seperti para imam mazhabnya ketika berada di PBB. Demikian juga saya masih ingat semasa Gulf War yang pertama, ketika itu saya belajar di Jordan. Sokongan rakyat Jordan kepada Saddam Hussain begitu kuat. Ramai juga tokoh agama yang membaca hadis-hadis Nabi s.a.w dan menyatakan bahawa Saddam Hussain itu penyelamat umat yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w.


Saya masih ingat guru-guru hadis yang saya hadiri kuliah mereka membantah penyalahgunaan hadis tersebut. Baru-baru ini pun ada tokoh agama dalam parti politik tanahair yang mendakwa pemimpinnya sebagai lelaki yang dijanjikan Nabi s.a.w untuk membebaskan al-Aqsa. Demikianlah agama menjadi mainan mereka yang berkepentingan.


Sebab itu, agama mesti bebas dari ini semua. Semua kita wajar bimbang terhadap diri sendiri dan juga umat ini dengan amaran Nabi s.a.w:


"Apa yang paling aku takut terhadap kamu ialah orang munafik yang petah lidahnya" (Riwayat Ahmad, sahih).


Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dia dipecat ialah membela Islam, melayu dan raja. Sedangkan melayu tidak semestinya selari dengan Islam, demikian juga raja. Jika Islam itu diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat.


Namun, apabila Islam dipergunakan, bahasa Islam dinodai untuk tujuan tersendiri, hanya satu bangsa diperjuangkan dan raja sahaja yang dibela. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita? Demikian agama sering menjadi mangsa.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 16, 2012 11:06

February 9, 2012

Inilah Manifestasi Cinta

INILAH MANIFESTASI CINTA

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


 


Cinta adalah salah satu perkara ajaib dalam hidup. Setiap yang mempunyai roh khususnya insan dahagakan cinta. Manusia hidup dengan cinta. Hidup membela cinta. Bahagia kerana cinta. Derita kerana cinta. Bahkan sanggup mati kerana cinta. Segala perjuangan atau episod hidup yang diselit unsur cinta mempunyai rasa dan warna yang tersendiri.


 


Derita kerana cinta ada kelazatannya yang luar biasa. Sakit kerana cinta ada rasa yang berbeza. Gembira meraikan cinta tidak sama dengan gembira biasa. Korban cinta, indah pada cerita dan rasa. Manifestasi itu muncul dalam kehidupan dan memberikan nilai dan rencah yang pelbagai rupa, warna dan rasa.


 




Sesiapa yang memusuhi dan memungkiri cinta dia merupakan pemilik jiwa kontang yang kering dari nilai insani yang sejati. Cinta itu fitrah. Ia satu keperluan. Bahkan mungkin suatu kewajipan ataupun rukun dalam menikmati kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.


Cinta mampu merubah segala yang ada dalam jiwa seorang insan. Telinga, mata dan segala anggota kadang-kala terpaksa tunduk kepada falsafah cinta. Tunduk kepada nilaian cinta. Pahit boleh menjadi manis. Manis boleh menjadi pahit. Indah boleh menjadi buruk. Usang boleh menjadi baru. Hodoh boleh menjadi cantik. Berat boleh menjadi ringan. Susah boleh menjadi senang. Segalanya terbalik dan berubah penilaian dan rasa hanya kerana cinta.


Ini mengingatkan kita kepada rangkap puisi yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafi'e (meninggal 204H) :



Telah gering sang kekasih, maka daku menziarahinya

daku juga turut gering kerana risaukannya

datangnya sang kekasih menziarahiku

maka daku pun sembuh kerana melihatnya

(lihat: Ibn Muflih, al-Adab al-Shar'iyyah, 2/296).



Manifestasi Cinta


Demikian manifestasi cinta itu boeh menjelma dalam pelbagai rupa. Banyak tindakan yang luarbiasa boleh terhasil dari cinta. Sehingga kadang-kala tidaklah dapat difahami oleh akal yang memikirnya tanpa melihat dari jendela kasih.



Saya merenung riwayat Abu Ya'la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-'Asqalani dalam al-Isabah daripada Anas bin Malik r.a yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam. Pengislaman beliau agak lewat. Abu Bakar r.a memang begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam.


Menariknya, pada hari Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi s.a.w untuk menganut Islam, Abu Bakar menangis. Nabi s.a.w bertanya: "Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar?". Jawabnya: "Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang, lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari bapaku sendiri menganut Islam".


Demikian halusnya perasaan Abu Bakar, kegembiraan bapanya menganut Islam itu tenggelam apabila mengenang Nabi s.a.w tidak memperolehi kegembiraan yang sama disebabkan bapa saudara kesayangan baginda (Abu Talib) tidak menganut Islam. Abu Bakar membayangkan alangkah baik jika Abu Talib yang berada di tempat bapanya ketika itu. Itulah cinta. Itulah berkorban apa sahaja. Tiada rasa gembira jika kekasih berduka. Tiada rasa gembira jika kekasih tidak kongsi bersama.


Kehidupan Abu Bakar; tindakan dan pergerakannya adalah manifestasi cinta yang sangat dalam dalam terhadap seorang rasul. Dia telah memenuhi makna sabda Nabi s.a.w:


"Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya" (Riwayat al-Bukhari).


Justeru itu, fahamlah kita makna kemanisan bercinta kerana Allah dan RasulNYA. Cinta seperti itu telah mencetuskan pelbagai keajaiban dan kehairanan manusia biasa sepanjang sejarah kemanusiaan. Sanggup berkorban dan terkorban sebagai manifestasi cinta.


Para sahabah sanggup meninggalkan keluarga dan sahabah handai. Sanggup kehilangan harta dan nyawa. Semuanya kerana cinta. Pada mata manusia mereka menderita. Di lubuk jiwa, mereka sedang tenggelam dalam satu kemanisan yang sukar hendak digambarkan dalam tulisan dan perkataan. Kemanisan iman! Inilah yang disebut oleh Nabi s.a.w:


"Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Cinta Menafikan Cinta


Cinta juga menafikan cinta. Jika kita benar-benar sayang kepada seseorang, sudah pasti kita tidak akan menyayangi orang yang membenci kekasih kita tanpa sebab yang benar. Sudah pasti kita dapat menerima orang memusuhi kekasih kita tanpa suatu alasan yang boleh dimaafkan. Bagaimana boleh berhimpun dua kekasih yang bermusuhan dalam satu perasaan, melainkan kadar cinta kita itu tidak memenuhi ruang. Di sinilah yang al-Quran tegaskan bahawa tidak mungkin seseorang yang mencintai Allah dan RasulNYA, tetapi dalam masa yang sama menyayangi mereka yang memerangi Allah dan RasulNYA.


Firman Allah: (maksudnya)


"Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka itu (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam jantung hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNYA. Merekalah hizbulLah (golongan Allah). Ketahuilah! Sesungguhnya golongan Allah itulah orang-orang yang berjaya". (Surah al-Mujadilah: 22).


Islam tidak menyuruh kita memerangi bukan muslim tanpa sebab yang diiktiraf oleh agama. Kita mungkin boleh duduk berbincang dengan bukan muslim, atau muslim yang tidak kuat berpegang dengan agama. Bersimpati dengan mereka, berkawan dan bertukar manfaat kehidupan dunia. Menyampaikan pandangan dan pendapat dan saling menghormati. Ini selagi mana mereka semua tidak menzahirkan peperangan, penghinaan dan pencercaan terbuka terhadap Allah dan RasulNYA. Jika itu berlaku, tidak mungkin ada berhimpun dalam suatu jantung cinta Allah dan sayangkan penentang Allah.


Maulid


Saya tidak mahu membahaskan tentang maulid sebab saya telah sebut dalam artikel yang lain tentang perbahasan dan perbezaan para sarjana mengenai tarikh kelahiran Nabi s.a.w dan pandangan terhadap sambutan itu sendiri. Setiap tempat mungkin ada penilaian yang berbeza berdasarkan perbezaan cara dan maksud. Cumanya, hubungan muslim dengan Nabi mereka bukan seperti hubungan antara kita dengan tokoh-tokoh dunia yang lain yang di sambut sekadar mengenai jasa atau sekadar satu pesta.


Hubungan kita dengan baginda adalah hubungan cinta yang menzahirkan manifestasinya. Para sahabat Nabi s.a.w tidak ada sebarang perayaan mengenai Nabi s.a.w tetapi manifestasi cinta itu menjelma saban hari dan waktu dalam kehidupan mereka. Mereka berjaya membawa obor iman dalam kehidupan sekalipun tanpa perayaan. Sedangkan kita dengan segala perayaan gagal menunai manifestasi cinta itu.


Bahkan dalam perayaan kita, orang-orang besar, menteri dan raja hadir dengan penuh gaya dan pakaian kesombongan yang sama sekali berbeza dengan kehadiran Nabi s.a.w semasa hayatnya ke dalam majlis para sahabat tercinta! Cinta melahirkan manifestasinya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 09, 2012 11:59

February 2, 2012

Maaf Anakku! Mereka Tidak Mesra Denganmu

MAAF ANAKKU! MEREKA TIDAK MESRA DENGANMU

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


 


Minggu ini saya pulang sekejap ke tanahair. Bukan cuti, tetapi kerana menyambut kehadiran bayi baru. Segala puji bagi al-Wahhab; Tuhan Yang Maha Pemberi. Setiap ibubapa berdoa agar bayi yang lahir ke dunia sihat dan sejahtera. Islam tidak pernah membezakan nilai antara bayi lelaki dan perempuan. Sekalipun ada beberapa hukum yang berbeza antara lelaki dan wanita, tetapi itu tidak merujuk kepada nilai, sebaliknya kepada latar fizikal dan psikologi setiap gender.


 


Allah mengutuk masyarakat jahiliah Mekah yang merasa hina dengan kelahiran bayi perempuan. Firman Allah:


(maksudnya) dan apabila dikhabarkan kepada seseorang mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, hitamlah (muram) mukanya sepanjang hari dalam keadaan dia menahan perasaan marahnya. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (malu) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang memperolehi anak perempuan, sambil dia berfikir) adakah dia akan memeliharanya, atau dia akan memasukkannya ke dalam tanah? Ketahuilah! sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu". (Surah al-Nahl: 58-59).


Petua


Ada petua kononnya menyatakan jika ibu selalu baca Surah Maryam, maka akan dapat anak perempuan dan jika selalu membaca Yusuf akan mendapat anak lelaki. Inilah petua rekaan segelintir 'ahli motivasi' yang cuba menarik perhatian mereka yang minat agama.


Pemberi kurnia bayi lelaki ataupun perempuan hanya Allah. Dia Penentu mutlak. Bilakah Allah berfirman ataupun berjanji sesiapa yang membaca surah tertentu maka akan dikurnia jantina anak menurut pilihannya. Ketentuan jantina atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui. Hanya doa yang mustajab sahaja yang dinaskan dalam hal ini. Sedang isteri 'Imran yang bercita-cita untuk mendapat anak lelaki dengan nazar untuk dijadikan orang yang berkhidmat sepenuh masa kepada agama Allah, dikurniakan anak perempuan. Firman Allah dalam Surah Ali 'Imran:


"(ingatlah) ketika isteri 'Imran berkata: "Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadamu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". Maka apabila dia melahirkannya, dia berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedangkan aku harapkan anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dia lahirkan – dan lelaki bukan seperti perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku memohon untuknya perlindunganMU, demikian untuk zuriat keturunannya dari syaitan yang kena rejam". (35-36)


Mesra


Islam memberikan persekitaran yang mesra dan selesa kepada perkembangan seseorang anak. Islam tidak pernah melayankan kanak-kanak dengan layanan yang hina seperti yang dilakukan oleh sebahagian ahli masjid. Islam tidak pernah menjadikan anak kecil penghalang antara seorang dengan Allah. Kata Abu Qatadah al-Ansari:


"Rasulullah s.a.w pernah solat sambil mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulillah, anak kepada (suaminya) Abi al-'As bin Rabi'ah bin 'Abd Shams. Apabila baginda mahu sujud baginda meletakkannya. Apabila bangun baginda mendukungnya kembali" (Riwayat al-Bukhari).



Inilah kemesraan agama dengan kehidupan kanak-kanak. Kemesraan seperti ini tidak kelihatan dalam kejumudan fikiran sesetengah orang yang enggan melihat agamanya dari jendela sunnah Nabi s.a.w tetapi lebih selesa dengan ikutan golongan yang keras dan menghukum agama menurut perasaan mereka yang hambar. Dalam hadis sahih riwayat Abu Ya'la, Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan al-Nasai, Rasulullah s.a.w pernah sujud begitu panjang dalam satu solat disebabkan cucu baginda al-Hasan atau al-Husain -rawi hadis tidak pasti- menaiki tengkuk baginda ketika sedang sujud. Sahabat kehairan dan bertanya sebab. Baginda menjawab:


"Sesungguhnya anakku (cucuku) telah menjadikan aku tunggangannya. Aku tidak suka mengganggunya sehingga dia tunai hajatnya".


Suasana yang mesra ini telah melahir generasi muda yang mewarisi generasi tua yang sentiasa merasakan tiada dinding penghalang antara mereka dan agama ini. Sejak dari kecil mereka diraikan. Sabda Nabi s.a.w:


"Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku mensegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya" (Riwayat al-Bukhari).


Dihalau Ke Belakang


Kita mendengar kanak-kanak yang sudah pun boleh bersolat dihalau oleh orang tua 'berlagak pandai' ke belakang. Kemudian menengking anak-anak kerana tidak serius dalam solat. Apa tidaknya, mereka bersama saf dengan kanak-kanak yang lain. Tentu kenakalan itu kadang-kala muncul. Jika mereka duduk di samping bapa mereka tentu mereka dapat dididik adab solat berjemaah. Untuk menghalalkan perbuatan tidak mesra kanak-kanak itu dipilihlah fatwa yang menyatakan kanak-kanak belum berkhatan itu najis. Satu saf akan batal sebab bawah kulit kanak-kanak itu ada najis.


Saya selalu bertanya: "apakah bawah kulit orang tua dan dalam perut orang tua tiada najis?!! Jangan memilih pendapat-pendapat fekah yang menyusahkan dan menghilangkan semangat dakwah Islam sedangkan kita mempunyai banyak pilihan pendapat yang lebih munasabah.


Ketika Ibn 'Abbas masih kanak-kanak, beliau bercerita:


"..Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda (Riwayat al-Bukhari).


Kata Anas bin Malik :


"…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami". (Riwayat al-Bukhari).


Adapun hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya.


Didik


Kita diperintahkan menyuruh anak-anak bersolat ketika berusia tujuh tahun sebelum memukulnya dengan tujuan mendidik pada usia sepuluh tahun. Sabda Nabi s.a.w:


"Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun" (Riwayat Abu Daud, sahih).


Ertinya ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya 'marilah bersolat'. Ertinya, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja. Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga solat sebati dengannya dan dia mengasihi solat.



Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan.


Jika bapanya bersolat di masjid dia bersama bapanya bersolat. Dia memerhati dan melihat pergerakan bapanya. Bagaimana rukuk, sujud dan segala pergerakan yang lain. Jika dia dihalau jauh ke belakang bersama anak-anak lain yang tidak tahu sepertinya, apakah yang dapat dia pelajari?! Ada masjid menempatkan saf kanak-kanak bagaikan 'makhluk jijik' yang tidak boleh sentuh. Kemudian mereka mungkin bising sesama mereka, maka akan ada orang dewasa yang menengking dan menghalau mereka balik.


Bahkan perbuatan orang tua menghalau kanak-kanak dari saf dan mengambil tempat mereka telah menyanggahi adab Islam yang diajar oleh Nabi s.a.w


"Jangan seseorang membangunkan orang lain dari tempatnya, kemudian dia duduk di situ" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Perbuatan menyakitkan hati bapanya, merisaukannya dan menjadikan anak-anak yang sudah tahu bersolat itu merasa betapa mereka tidak diraikan dalam agama ini.


Adab


Namun ini bukan tidak bererti anak-anak dibiarkan membuat bising dan mengganggu orang lain yang sedang bersolat, sebaliknya mereka dididik dan ditegur dengan cara yang baik oleh ibubapa dan masyarakat. Masjid juga bukan tempat ibubapa melepaskan tanggungjawab anak-anak bising di rumah dibawa untuk bising di masjid. Cuma pastikan mereka tidak dilayan dengan cara yang menyebabkan mereka membesar dalam keadaan merasakan institusi agama amat tidak mesra dengan mereka. Kadang-kala mereka bising disebabkan cara kita mengatur mereka, hal ini mesti dibaiki.


Anak-anak membesar dalam agama ini dengan didikan yang lunak. Kata sahabiyyah Nabi s.a.w yang bernama al-Rubaiyyi' binti Muawwiz:


"..selepas itu kami pun berpuasa dan menjadikan anak-anak kecil kami berpuasa. Jika Allah kehendaki, kami juga pergi ke masjid membawa mereka. Kami buat untuk mereka mainan dari bulu berwarna. Jika mereka menangis lapar kami berikan mainan tersebut sehingga sampai waktu berbuka" (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibn Hibban).


Demikian agama ini berkembang dalam kehidupan anak-anak dengan pujkan. Ia tidak berkembang dengan kebencian dan anggapan mereka itu pengacau dan seumpamanya. Mereka dididik dan dikawal agar tidak mengganggu orang lain, namun dengan mesra. Jika masih tidak terkawal, barulah ibubapa sepatut tidak membawa ke masjid atau selainnya. Kadang-kala sikap masyarakat menyebabkan ibubapa rasa bersalah tanpa sebab apabila membawa anak ke masjid. Maaf anakku, mereka itu tidak mesra denganmu! Namun, itu bukan ajaran Nabimu…

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 02, 2012 13:29

Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog

Mohd. Asri Zainul Abidin
Mohd. Asri Zainul Abidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mohd. Asri Zainul Abidin's blog with rss.