Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog, page 278
July 20, 2012
Apakah Ucapan Ramadan Bid’ah
APAKAH UCAPAN RAMADAN BID’AH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Ada yang berkata bahawa ucapan ‘Selamat Menyambut Ramadan’ ataupun Ramadan Mubarak itu bid’ah. Ini atas alasan tiada riwayat daripada Nabi s.a.w ataupun para sahabat tentang hal tersebut. Saya bertanya ‘apakah mereka yang mengucapkan perkataan tersebut bermaksud ingin mengujudkan satu ibadah khusus dalam Islam? Ataupun ia sekadar adat kebiasaan manusia mengucapkan ucapan yang baik sempena kebahgiaan dan kegembiraan tertentu? Jika mereka maksudkan ingin mengujudkan satu rupa ibadah ataupun syiar khusus baru Islam maka itu bid’ah. Jika itu satu ucapan kebiasaan seperti ‘selamat pengantin baru’, maka itu adat yang dibenarkan oleh agama ini. Agama ini luas dalam soal adat dan kebiasaan manusia. Islam meraikan budaya yang baik yang dapat menguatkan hubungan antara manusia.
Ucapan Tahniah
Sudah menjadi kebiasaan manusia bertamadun mengucapkan tahniah atau apa-apa ucapan penghargaan apabila mendapati seseorang lain memperolehi sesuatu kebaikan ataupun selamat dari sesuatu bahaya. Manusia dalam pelbagai bangsa dan budaya telah mencipta ungkapan tahniah atau tahiyyah (greeting) untuk pelbagai sempena. Ada ucapan sempena waktu pagi dan petang, sempena hariraya dan sambutan kenegaraan, sempena kejayaan dan pelbagai lagi. Ini adalah adat manusia yang merupakan sebahagian dari lambang ketinggian budi dan tamadun.
Oleh kerana ucapan kepada mereka yang diberikan nikmat tertentu sebagai satu cara bagaimana manusia menggambarkan hubungan antara mereka, maka Islam menghitungnya sebagai perbuatan yang mendapat pahala. Oleh itu apabila tiga orang sahabat Nabi s.a.w iaitu Ka’ab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Murarah bin al-Rabi’ yang telah dihukum oleh Nabi s.a.w secara dipulau oleh masyarakat muslim kerana tidak menyertai peperangan Tabuk diberikan kemaafan oleh al-Quran, maka para sahabat Nabi s.a.w yang lain mengucapkan tahniah kepada mereka atas keampunan Allah tersebut. Kisah mereka disebut dalam Surah at-Taubah ayat 118 dan juga hadis-hadis sahih termasuk al-Bukhari dan Muslim. Mengulas ucapan gembira yang para sahabat Nabi s.a.w berikan kepada mereka bertiga, al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) menyebut dalam Syarh Sahih Muslim:
“Ia adalah dalil disunatkan mengucapkan kegembiraan dan tahniah kepada sesiapa yang baru mendapat sesuatu nikmat zahir , ataupun terlepas dari sesuatu kesusahan yang amat, ataupun seumpamanya. Sunat ini merangkumi segala nikmat yang diperolehi, ataupun kesusahan yang terlepas, samada dalam urusan agama ataupun dunia”.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya Zad al-Ma’ad juga menyebut:
“Pada hadis (kisah tiga sahabat tersebut) dalil disunatkan mengucapkan tahniah kepada sesiapa yang baru mendapat nikmat berkaitan agama, (disunatkan) bangun kepadanya dan berjabat tangan jika bertemu. Ia pula sesuatu yang harus (diboehkan) bagi sesiapa yang mendapat nikmat dunia”.
Tiada Halangan
Ertinya, walaupun Islam telah menetapkan bahawa ucapan rasmi Islam apabila muslim bertemu antara mereka adalah ‘salam’, namun Islam dalam masa yang sama tidak menghalang untuk kita mengucapkan ucapan yang lain yang tidak menyanggahi ajaran Islam. Salam adalah ucapan apabila kita bertemu ataupun memulakan bicara dengan seseorang. Namun ucapan perhormatan dan tahniah, membabitkan lebih banyak keadaan dan sempena yang pelbagai. Islam tidak melarangnya. Bahkan Islam memerintahkan kita menjawab setiap ucapan penghormatan (greeting) dengan yang lebih baik, ataupun setara dengannya. Ini seperti firman Allah: maksudnya):
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa: ayat 86).
Maka sebab itu jumhur ulama tidak melarang ucapan tahniah sempena hariraya. Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam al-Mughni memetik bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal mengizinkan ucapan “TaqabbalalLahu minna wa minka” (Allah terima dari kami dan kamu). Walaupun tiada hadis yang meriwayatkan hal ini, namun perkara ini termasuk dalam keumuman urusan kehidupan yang diizinkan dan diluaskan oleh Islam. Ia bukan satu penciptaan ibadah baru, tetapi suatu hubungan social antara manusia.
Tanpa syak lagi, kedatangan Bulan Ramadan suatu nikmat kegembiraan dunia dan akhirat untuk umat Islam. Maka ucapan sempena kedatangan Ramadan sama seperti ucapan sempena kedatangan hariraya dan selainnya yang mengembirakan kita. Justeru itu, ucapan itu sesuatu yang baik dan boleh mendapat pahala kerana mengukuh hubungan sesama muslim. Jika pada senyuman ada pahala, apatahlagi bagi ucapan yang baik. Maka ini juga menjawab mereka yang melarang penghantaran ucapan selamat hariraya ataupun selamat menyambut Ramadan.
* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”
July 19, 2012
Puasa Dan Hubungan Antara Agama
PUASA DAN HUBUNGAN ANTARA AGAMA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Sekarang saya berada dalam bulan terakhir di UK ini. Tempoh fellowship saya akan berakhir dalam bulan Ogos ini. Saya merancang untuk pulang pada awal Ogos. Jadi inshaAllah, saya akan sempat menjalani separuh Ramadan di sini. Ini merupakan pengalaman pertama saya berpuasa Ramadan di UK.
Waktu berpuasa dalam musim summer ini agak panjang. Subuh bermula pada jam 3 pagi dan maghrib pula pada jam 9.15 malam. Hanya enam jam ruang yang ada. Waktu malam begitu pendek. Jika dicampur segala aktiviti; iftar, solat maghrib, isyak, tarawih dan sahur tentu amat sedikit ruangannya. Ditambah lagi dengan masa untuk membaca al-Quran dan ibadah yang lain, maka tentu lebih sempit ruangan masanya.
Namun masa itu relatif. Jika Allah memberkati, waktu yang pendek mempunyai ruang yang luas dan amat bermanfaat. Jika DIA tidak memberkati, waktu yang banyak menjadi sempit dan terbatas. Maka, ada manusia yang panjang umur, tiada hasil yang dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ada yang pendek umurnya, tetapi mempunyai hasil kerja yang bermanfaat yang banyak.
Pada zahirnya tentulah di Malaysia lebih beruntung kerana ruang ibadah malam itu lebih banyak. Kita mempunyai lebih sepuluh jam waktu malam. Pun begitu, tidaklah semuanya dapat dimanfaatkan dengan baik oleh setiap orang. Bahkan mungkin ada yang waktu yang disia-siakan. Ini mengingatkan kita kepada hadis Nabi s.a.w:
“Dua nikmat yang ramai orang terpedaya; kesihatan dan waktu lapang” (Riwayat al-Bukhari).
Amalan Bersejarah
Ramadan menjelang, kita berpuasa. Puasa bukanlah ibadah baru yang bermula sejak kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. Puasa telah wujud sejak zaman berzaman lagi sebelum Nabi Muhammad s.a.w dibangkitkan sebagai rasul. Justeru itu Allah menyebut: (maksudnya)
“Wahai mereka yang beriman! diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”. (Surah al-Baqarah 183).
Ayat ini mengingatkan kita bahawa ibadah ini bukan ibadah baru. Ia satu ibadah yang telah diamalkan dalam syariat nabi-nabi sebelum kita. Mereka sebelum kita telah berpuasa bagi mematuhi arahan Allah.
Ini memberikan kita kesedaran, betapa adanya hubung kait antara agama-agama yang dianuti oleh manusia. Islam mengiktiraf itu semua. Jika Allah mahu, boleh sahaja Allah hanya menyebut ‘diwajibkan kepada kamu puasa’, tanpa disebut ‘seperti mana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu’. Namun dengan hikmah yang besar Allah mengingatkan hubungan ini bagi mengingatkan kita sejarah agama.
Maka jangan hairan jika kita dapati beberapa persamaan dalam amalan agama antara Yahudi, Kristian dan Islam. Hanya orang yang tidak memahami al-Quran, as-sunnah dan sejarah agama sahaja yang menafikan kewujudan persamaan. Mereka inilah yang cuba menjadikan isu-isu seperti berkongsi panggilan Allah, panggilan nabi dan nama-nama tertentu sebagai isu permusuhan dalam agama. Mereka lupa sejarah yang disebutkan oleh al-Quran di atas.
Persamaan
Al-Quran dan as-Sunnah menjadikan isu persamaan ini sebagai penggerak yang memboleh dakwah Islam sampai ataupun lebih mudah difahami oleh mereka yang beragama yahudi dan kristianiti. Maka, layanan untuk mereka lebih istimewa dalam Islam. Dalam surah al-Maidah ayat 5, Allah menghalalkan muslim memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka.
Walaupun ada mazhab yang menyempitkan tafsiran bahawa itu merujuk kepada Ahlil Kitab (People of the book) keturunan tertentu sahaja, namun majoriti ulama berpendapat ia merangkumi semua yahudi dan kristian. Sudah pasti di sana ada ikatan dan syarat tertentu. Apapun, tujuannya untuk mendekatkan mereka dengan dakwah Islam yang mempunyai kesinambungan dari ajaran para nabi sebelum ini.
Disebabkan kelemahan sikap sesetengah umat Islam, nampaknya orang Kristian lebih menggunakan persamaan ini untuk berkempen dakwah mereka dibandingkan orang muslim. Lebih teruk lagi, ada orang muslim yang menggunakan isu persamaan ini untuk menghidupkan suasana tegang dan modal politik. Sepatutnya seperti mana al-Quran dan as-Sunnah ajar muslim, isu persamaan digunakan untuk membawa dan menyampaikan mesej Islam kepada mereka. Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
“Para nabi itu saudara dari keluarga yang berbeza. Ibu mereka ramai namun agama mereka satu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis al-Bukhari, apabila Nabi s.a.w berada di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Ashura (hari ke sepuluh Muharram). Baginda bertanya kenapa mereka berpuasa. Mereka menyatakan kerana sejarah perjuangan Nabi Musa a.s. Mendengar alasan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Daku ini lebih berhak untuk menghormati Musa dibandingkan mereka” lalu baginda berpuasa dan mengajak umat Islam berpuasa.
Ruang
Pendekatan al-Quran dan as-Sunnah adalah mengambil ruang persamaan untuk membawa dan memahamkan penganut agama lain tentang peranan Islam sebagai agama yang terakhir. Mengingatkan bahawa semua nabi itu atas ajaran Allah yang satu. Mereka hakikatnya membawa akidah Islam yang sama, walaupun syariat ataupun peraturan hukum antara mereka ada beberapa perbezaan. Namun banyak juga yang sama. Kesan-kesan persamaan itu terus diwarisi dan tidak boleh dinafikan. Bahkan ada masanya al-Quran memuji agama Kristian dan sikap sesetengah rahib mereka. Firman Allah: (maksudnya)
“..demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong” (Surah al-Maidah: 82).
Islam mengajak kita mengambil ruang untuk meredakan ketegangan dan memudahkan perbincangan. Sementara sesetangah pihak samada Kristian ataupun Muslim, cuba menjadikan persamaan yang ada sebagai titik permusuhan dan ketegangan. Kita patut kembali kepada pendakatan al-Quran dan as-Sunnah.
July 5, 2012
Mereka Paling Mencegah Kezaliman Raja
MEREKA PALING MENCEGAH KEZALIMAN RAJA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
‘Mereka paling mencegah kezaliman raja-raja’ adalah perkataan sahabah Nabi s.a.w ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas tentang kelebihan bangsa Rome ataupun bangsa Eropah ini. Saya teringatkan perkataannya apabila tiga hari lepas (Selasa 3 Julai) saya terbaca dalam Akhbar Daily Mirror kritikan dan pendedahan mengenai belanja perjalanan keluarga DiRaja Britain. Dengan tajuk ‘Royal Family’s travel bill set rise higher’. Setiap anggota keluarga yang berbelanja dengan wang Negara didedahkan. Perjalanan mereka dan berapa wang negara yang telah digunakan seorang demi seorang. Antaranya Daily Mirror laporkan:
“July 2011 Prince William and Kate spent £54,410 returning from LA with their staff of seven after touring Canada and California. A source said they paid business class fares for first class flights”.
Banyak lagi pendedahan yang dibuat sebagai bantahan ke atas keluarga DiRaja itu menggunakan wang awam. Walaupun kadangkala yang digunakan itu kelihatan tidaklah begitu besar. Peningkatan belanja Queen Elizabeth juga dipertikaikan. Padahal jika kita teliti Queen British itu membayar cukai harta seperti rakyat yang lain. Namun, sikap adil dan demokratik membolehkan rakyat mengetahui dan menyemak sesiapa sahaja yang terbabit dalam salahguna wang awam. Laporan itu menyimpulkan
“The figures mean she (The Queen) costs the British population 52p per head, excluding the cost of her security and police protection”.
Walaupun kadang-kala difikir jumlahnya tidaklah banyak dibandingkan kekayaan mereka dan jasa keluarga DiRaja Britain dalam sejarah kemakmuran negara mereka. Namun, demikianlah sikap rakyat yang tidak feudal dan merdeka jiwa mereka. Mereka berhak mengetahui bagaimana wang negara mereka dibelanjakan. Maka jangan hairan jika mereka sentiasa lebih baik dari segi hak rakyat dan pengurusan dana awam negara. Kebebasan akhbar juga tidak dihalang dalam membuat laporan yang seperti itu. Malanglah, jika ada negara di dunia ini yang begitu meniru gaya baju dan style British dalam upacara rasmi tetapi tidak memberikan hak bersuara kepada rakyat seperti yang British berikan pada rakyatnya.
Bangsa Eropah
Hal inilah yang mengingatkan saya kepada ulasan sahabat Nabi s.a.w iaitu ‘Amr bin al-‘As apabila mendengar seorang sahabat yang lain iaitu al-Mustawrid al-Qurasyi meriwayat sabda Nabi s.a.w
“Berlakunya Kiamat dan Rom merupakan manusia terbanyak” (Riwayat Muslim).
Maksudnya, sehingga berlaku Kiamat, bangsa Eropah akan kekal dengan jumlah dan kekuatan mereka. Rom ataupun bangsa Roman adalah bangsa Eropah hari ini. Mendengarkan hadis tersebut, ‘Amru bin al-‘As sebagai seorang yang berpengalaman dengan pelbagai bangsa pada zaman tersebut mengulas dengan berkata kepada al-Mustawrid:
“Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.
Dalam ucapan ‘Amr bin al-‘As, tergambar bahawa beberapa ciri penting untuk menjadi satu masyarakat ataupun negara yang kuat. Pertamanya, kebijaksaan politik dalam menangani krisis. Kedua, kemampuan untuk bangkit setelah jatuh dalam kegawatan. Ketiga, kekuatan ketenteraan. Keempat, kebajikan rakyat. Kelima, keadilan siasat yang menghalang segala kezaliman terutama kezaliman golongan penguasa.
Merenung hadis dan ucapan ‘Amr bin al-‘As ini, dapat kita lihat kekuatan dalam kehidupan masyarakat Barat ini sekalipun banyak perkara yang kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka. Ciri-ciri kebaikan dan kekuatan yang disebutkan ‘Amr bin al-‘As dapat kita lihat dalam pengurusan mereka yang lebih baik dibandingkan masyarakat lain termasuk masyarakat muslim hari ini. Sikap mereka dalam mencegah kezaliman penguasa lebih baik dari masyarakat lain yang feudal. Royal Family mereka sekalipun berjasa dalam sejarah, namun hari ini tidak dibiarkan bertindak tanpa boleh dipertikaikan. Dengan itu masyarakat mereka hidup dengan penuh keyakinan terhadap hak dan suara mereka. lihatlah di dunia Islam apabila ada golongan bangsawan yang boleh mengaut segala kekayaan minyak, balak, gas, tanah dan segala harta awam rakyat tanpa siapa boleh mempertikaikan. Bahkan yang mempertikai pula yang dihukum. Padahal jasa golongan bangsawan negara-negara orang muslim sukar hendak disenaraikan dalam sejarahnya dibanding monarki British.
Agamawan Sengat
Malang sekali, muncul pula golongan agama yang samada jahat, ataupun jahil terhadap maksud agama dalam membebaskan manusia dari penghambaan zahir dan batin kepada menjadi hamba Allah yang merdeka jiwanya. Lahir golongan literalist yang meletakkan nas-nas agama secara terpisah dan sengat dari maksud keseluruhan agama ini sehingga mendiamkan kezaliman penguasa dan membantah suara rakyat yang ditindas. Mereka inilah yang berfatwa mempertahankan Muammar Qadafi, Hosni Mubarak dan regim yang masih hidup iaitu Bashar al-Asad. Mereka sibuk menghalang rakyat bersuara, tetapi tidak sibuk ‘berforum, berwacana, ataupun berseminar’ menghalang penguasa merakusi hak rakyat. Mereka mendakwa ini pegangan salaf (generasi awal Islam), seakan golongan salaf itu banteng kepada regim-regim yang zalim. Merekalah yang sebenarnya menghina dan berdusta atas nama salafussalih. Mereka lupa, bahawa Muawiyah bin Abi Sufyan sekalipun memberi ruang membantah dan bersuara kepada rakyat.
Dalam riwayat at-Tabarani, dengan sanad yang hasan:
“Muawiyah bin Abi Sufyan r.a (khalifah ketika itu) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia berkata dalam khutbahnya: “Harta ini (kerajaan) adalah harta kami, dan harta fai (yang diperolehi melalui peperangan) juga harta kami. Kami berikan kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu”. Tiada seorang pun yang menjawabnya.
Apabila tiba jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun menjawabnya. Pada jumaat yang ketiga dia berkata perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu bangun dan berkata:
“Sama sekali tidak! Harta ini adalah harta kami (rakyat) dan fai ini adalah fai kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang antaranya dengan kami, kami hukumnya dengan pedang-pedang kami”.
Apabila selesai solat, Muawiyat memerintahkan lelaki itu berjumpa dengannya. Orang ramai berkata: “Habislah dia”. Kemudian orangramai masuk dan mendapati dia duduk bersama Muawiyah di atas tempat duduknya. Muawiyah berkata kepada orang ramai: “Dia ini telah menghidupkanku (memberikan kebahagian), semoga Allah menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun”.
Kata Muawiyah: Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata: “Aku termasuk dalam kalangan mereka”. Aku bercakap pada jumaat ketiga lelaki ini bangun menjawabku. Dia hidupkan (bahagiakan) daku, semoga Allah menghidupkannya”.
Dunia bergembira dengan kemenangan Presiden Mesir yang baru Dr Muhammad Mursi. Saya mengikuti ucapan demi ucapannya. Ucapannya melambang nilai Islam yang ada dalam dirinya. Islam itu asas pemikirannya. Saya tidak mengharapkan banyak, saya harap beliau menghidupkan demokrasi seperti yang dijanjikan. Memberikan hak rakyat dan membahagikan kekayaan negara secara betul. Menghidupkan negara yang tersusun dan berperaturan. Bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Jika itu dapat dilakukan, Mesir yang terkenal dengan negara serabut dan tidak berperaturan itu akan dapat dibangunkan semula. Umat Islam sekian lama menderita kerana kegagalan pengurusan negara mereka. Masa untuk berubah dengan menyingkirkan setiap golongan yang korupsi dan penyokong pemikiran feudal dari masyarakat muslim.
June 21, 2012
Memahami Budaya Sebelum Menghukum
MEMAHAMI BUDAYA SEBELUM MENGHUKUM
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Kita walaupun semuanya manusia, tetapi tidak sama di sudut latar budaya dan iklim yang kita hidup ataupun membesar di dalamnya. Tempat, negeri, budaya, bahasa, taraf hidup, persekitaran dan seumpamanya mempengaruhi pembentukan minda, sikap, kefahaman dan juga penilaian terhadap sesuatu.
Setiap kita mempunyai latar budaya dan adat yang berbeza. Islam tidak pernah memprogramkan manusia untuk memiliki hanya satu adat dan budaya sahaja dengan menghapuskan adat dan budaya yang lain. Islam tidak pernah menyatakan bahawa semua bangsa hendaklah menghapuskan budaya mereka dan bersatu dengan budaya Arab. Sama sekali tidak!
Bahkan Allah yang menciptakan manusia Maha Mengetahui hakikat ini dan mengakuinya. Firman Allah: (maksudnya)
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Ayat ini menyeru manusia atas nama manusia, bukan bangsa tertentu. Kemudian mengakui kewujudan pelbagai bangsa dan suku kaum. Tujuannya agar kenal-mengenal dan mempelajari sesuatu yang baik antara satu sama lain. Kelebihan tidak balik kepada jenis bangsa, tetapi kepada takwa. Inilah Islam.
Budaya Diiktiraf
Islam tidak menghapuskan adat dan budaya kaum yang tidak bercanggah prinsip-prinsip yang Allah mahu dalam kehidupan manusia. Adat dan budaya yang tidak membawa kepada kesyirikan, kezaliman, kekejian, bidaah, pendustaan, khurafat dan keruntuhan maruah tidak ditentang oleh Islam. Tidak penting adat itu berasal dari mana kaum sekalipun. Setiap kaum boleh mengekalkan adat dan budaya baik yang ada pada mereka. Bukan perjuangan Islam memaksa adat Arab ke atas bangsa lain. Begitulah juga sebaliknya.
Maka bukanlah perjuangan Islam itu memaksa bangsa lain berjubah dan berserban Arab. Tidak juga memaksa mereka memakan masakan Arab ataupun menggunakan ubatan Arab seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Bahkan Arab itu sendiri mempunyai perbezaan budaya dan adat disebabkan perbezaan kabilah dan tempat. Mereka yang hidup di Syam umpamanya, tidak sama dalam banyak aspek dengan mereka yang hidup di Hijaz. Begitulah seterusnya. Sebab itu Ibn Taimiyyah (w. 728H) apabila menyebut tentang pakaian dan makanan yang mengikut sunnah menyebut:
“Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).
Nabi s.a.w tidak diutuskan untuk memperkenalkan design atau pun jenis pakaian, kasut, ubat, makanan yang berteras budaya kaum tertentu. Sebaliknya, tugasan baginda menegakkan nilai-nilai yang mulia dan baik yang bersifat sejagat dalam kehidupan manusia. Manusia mungkin mempunyai bahasa yang sama, tetapi maksudnya berbeza. ‘Tuak’ di negeri-negeri Utara Malaysia memabukkan dan haram. Namun ‘tuak’ di Kelantan tidak memabukkan kerana ia merujuk kepada air nira. Maka tidak haram. Tentu sekali mengajak orang minum tuak di utara satu kesalahan, tetapi tidak di Kelantan.
Memakai kain batik di Terengganu dan Jawa tidak dianggap menyerupai perempuan. Namun dianggap menyerupai perempuan di negeri-negeri Utara Malaysia. Anda tidak wajar memakainya ke masjid dan majlis orang ramai. Di Scotland, lelakinya memakai skirt (kilt) yang dianggap macam pakaian wanita di tempat lain. Lelaki Melayu memakai sampin dan baju melayu yang berwarna lembut. Pakaian Melayu itu pada pandangan masyarakat lain bercirikan wanita dan tidak ‘cukup kelelakiannya’. Namun tidak pada pandangan orang Melayu. Ia bergaya dan sangat lelaki.
Maka dalam memahami dan berdalilkan hadis Nabi s.a.w yang melarang lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki itu hendaklah juga difahami budaya dan adat setiap kaum. Tidak boleh dihukum menyerupai wanita atau lelaki melainkan setelah difahami latar budaya sesuatu kaum. Saya teringat ada ‘ustaz’ Arab dari negara tertentu yang mempertikaikan wanita muslimah Malaysia memakai baju berwarna. Katanya, wanita hendaklah memakai baju berwarna hitam. Dia mungkin melihat Islam itu menerusi jendela budaya Arab di negaranya lalu dia ingin supaya budaya Arab itu dijadikan kewajipan ke atas bangsa lain. Saya kata kepadanya, itu budaya kamu, bukan penegasan Islam.
Kata Aishah bint Sa’d:
“Aku melihat enam dari isteri-isteri memakai pakaian mu’asfar (berwarna merah)” (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah).
Ertinya isteri-isteri Nabi s.a.w pun memakai pakaian berwarna. Maka kata al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463):
“Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu’asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah” (al-Tamhid, 16/123, Muassasah al-Qurtubah).
Fahami Uruf
Memahami latar kaum sebelum mengeluarkan pandangan hukum amatlah penting. Jangan hanya kerana sesuatu itu disebut dalam sesebuah kitab yang ditulis oleh pengarang yang mempunyai latar adat ataupun budaya tertentu lalu kita hukum perkara yang berkaitan budaya tersebut kepada kaum lain. International Islamic Fiqh Academy dalam Sidang ke-5 pada 10-15 Disember 1988 telah mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung dengan memahami ‘uruf‘ (latar adat) sesebuah masyarakat dalam sesuatu fatwa. Antaranya disebut:
“Tidak boleh bagi seorang faqih (ahli fekah) -samada dia mufti ataupun kadi- jumud apabila memetik pandangan dari kitab-kitab fuqaha (sarjana fekah) tanpa meraikan (mengambil kira) perubahan ‘uruf”.
Banyak dalil-dalil agama yang perlaksanaannya hendaklah dilihat kepada latar mereka yang terlibat. Umpamanya, Nabi s.a.w mengizinkan isteri mengambil tanpa kebenaran harta suami yang enggan mengeluarkan belanja untuk keluarganya. Ini berdasarkan keizinanan yang baginda sebut kepada Hind isteri Abu Sufyan. Sabda Nabi s.a.w kepadanya:
“Ambillah apa yang mencukupi untuk engkau dan anak-anakmu” (Riwayat al-Bukhari).
Hadis ini dijadikan asas dalam masalah ini. Ertinya seseorang isteri yang bersuami kedekut boleh mengambil hartanya tanpa izin untuk belanja keluarganya dengan kadar yang memadai. Namun kadar yang memadai itu berbeza antara sebuah keluarga dan keluarga yang lain. Antara tempat dan tempat yang lain. Waktu dan waktu yang berbeza. Syarak hanya menyebut garis panduan umum, latar keadaan, tempat dan masa menentukan kadar yang mencukupi itu. Di sini datangnya peranan adat dan budaya setempat dalam menentukan perkara yang seumpama itu.
Fatwa atau pandangan hukum yang jumud ialah pandangan yang tidak mengkaji perbezaan latar budaya dan adat. Fatwa-fatwa yang seperti inilah yang mengharamkan sukan, persembahan kebudayaan, seni dan lain-lain. Fatwa yang jumud ini juga yang mengeluarkan hukum dalam buku-buku yang ditulis dalam masyarakat yang monarki untuk dilaksanakan dalam negara demokrasi. Fatwa yang jumud yang menyamakan kerajaan Nabi Sulaiman yang menjadi raja adil pada zaman baginda dengan raja lain yang penuh dengan sikap yang buruk, samseng dan rakus. Kejumudan juga telah menyamakan kerajaan Firaun dengan kerajaan demokrasi yang jauh lebih baik dari Firaun.
Budaya dan adat juga dibentuk oleh teknologi dan perkembangan ketamadunan manusia. Semuanya hendaklah diambil kira. Islam tidak menentang apa yang tidak menyanggahi prinsip-prinsipnya yang luhur. Maka, fahami latar budaya dan adat, baru keluarkan hukum.
June 7, 2012
Islam Yang Dihilangkan Kelunakannya
ISLAM YANG DIHILANGKAN KELUNAKANNYA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Saya sering juga menghadiri program-program yang dianjurkan oleh pelbagai gereja di persekitaran tempat tinggal saya di Bandar Oxford ini. Saya ingin melihat dan mendengar cara mereka. Ternyata gereja itu telah jauh berubah dari apa yang tercatat dalam sejarah mereka.
Dahulunya, hukuman dan penyiksaan ke atas mereka yang dianggap tidak sealiran menjadi amalan gereja. Betapa ramai yang dibakar hidup-hidup, diseksa dengan pelbagai siksaan yang kejam, dimalukan dan pelbagai lagi penindasan. Kesemuanya atas nama Jesus.
Bukan sedikit Yahudi dan Muslim yang dibunuh di Eropah dengan cara yang begitu dahsyat. Bahkan bukan sedikit golongan pembaharuan Kristian sendiri yang berbeza mazhab seperti Protestan yang dibakar hidup-hidup. Bumi Oxford turut menyaksikan kekejaman itu dalam sejarahnya. Betapa ramai juga saintis yang dibakar dan dibunuh. Kesemuanya atas nama Tuhan. Kononnya mereka menghukum penentang Tuhan, ataupun yang berbeza dengan Tuhan yang ditafsirkan oleh mereka.
Berubah
Hari ini, pendekatan gereja sudah jauh berubah. Sangat lunak. Sekularisasi yang memisah agama dari kuasa politik telah membawa gereja kepada keadaan yang lebih tabi’i dan rasional. Bicaranya penuh dengan keterbukaan dan kasih sayang. Mereka sering mengulangi ayat bahawa kita hanya ingin berkongsi pendapat, dan menyebarkan mesej yang baik. Kita tidak ingin memaksa orang lain menjadi kristian tetapi ingin berkongsi dengan mereka. Bertukar pandangan tentang Tuhan dan berkongsi isu-isu kemanusiaan.
Di Gereja St Aldates diperuntukkan pagi Hari Selasa ‘Prayer for the Muslim World’. Juga, banyak pula aktiviti gereja yang menarik untuk pelbagai pihak. Kelas tarian, kelas English, Sejarah, lawatan dan perjumpaan mingguan. Ramai orang dari pelbagai agama hadir untuk bersosial. Tiada penekanan untuk menerima Christianity sebaliknya sekadar memberikan khidmat. Ramai mereka yang mengendalikan program itu sendiri tidak mendalam dari segi ilmu theology itu sendiri. Banyak persoalan yang ditanya, sukar ataupun gagal dijawab dengan jawapan yang memuaskan. Namun, walaupun mereka tidak menawan dengan hujah, tetapi dengan menambat hati dan jiwa. Banyak aktiviti kebajikan yang mereka lakukan di seluruh dunia menarik perhatian manusia.
Saya melihat ramai sekali orang-orang cina yang terlibat dengan pelbagai aktiviti gereja di sini dan di seluruh UK. Ramai yang menjadi petugas dan pendakwah. Mereka sangat aktif. Bahkan ada gereja yang memberikan tumpuan khas untuk mereka. Saya percaya bahawa Christianity akan mendapat tempat di hati rakyat China. Bahkan tidak mustahil satu hari China akan menjadi negara yang terbesar penduduk Kristiannya. Dalam adat dunia, sesiapa yang bekerja dia mendapat hasilnya. Demikianlah pihak gereja. Mereka amat bijak apabila melihat perkembangan China hari ini. Mereka mengambil peluang yang ada. Jika masa depan China seperti yang diramalkan, sekali lagi Christianity berada di puncak.
Malang
Malang sekali umat Islam. Agama yang dianugerahkan Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam tidak disebarkan dengan kesungguhan. Jika disebarkan pun, ramai yang menggunakan pendekatan yang salah. Orang Islam bukan tidak ada wang. Namun mereka telah bazirkan kepada perkara-perkara yang tidak kena tempatnya. Pergilah lihat kepada surau-surau yang dibina oleh jabatan-jabatan agama untuk Orang Asli di Malaysia, sebahagiannya menjadi tempat binatang-binatang bersolat. Tiada petugas yang menjaga.
Bukan sahaja kebajikan Orang Asli, tetapi surau yang dibelanjakan oleh wang zakat itu pun dibiarkan begitu sahaja. Jangan tanya kosnya yang mungkin melebihi harga patut. Namun jika kita ke kawasan pendalaman Thailand umpamanya, kita akan dapati ramai pendakwah muda Kristian yang berasal dari Barat yang sanggup tinggal beberapa tahun untuk menyebarkan agama mereka. Saya pernah melihat mereka ketika suatu masa dahulu saya menyertai aktiviti dakwah kawasan pendalaman Thailand.
Akal Dan Jiwa
Islam agama yang berbicara kepada akal dan jiwa manusia. Nas-nas Islam berhujah dengan akal manusia, dan dalam masa yang sama memujuk mereka. Inilah asas pendekatan dakwah Islam. Islam tidak pernah kenal kegiatan ganas dalam dakwah, samada pada tindakan ataupun perkataan yang jelek. Allah mengarahkan muslim dalam firmanNYA: (maksudnya)
“dan berbicaralah kepada manusia dengan baik” (Surah al-Baqarah 83).
Ayat ini menyatakan “berbicaralah kepada manusia” bukan sekadar berbicara kepada orang muslim sahaja. Dalam Tafsir at-Tabari, ketika mengulas ayat ini dinukilkan kata-kata Hasan al-Basri: “maksud ayat ini; perkataan yang lunak, adab yang baik, akhlak yang mulia”.
Banyak nas al-Quran dan hadis yang mengajar kita untuk melakukan pendekatan yang lunak dalam menyeru orang lain kepada kebenaran. Bukan melalui paksaan. Bukan dengan kekerasan. Bukan dengan cercaan. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin (polytheist) meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang demikian itu (perintah tersebut) kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)” (Surah at-Taubah, ayat 6).
Dalam ayat di atas non-muslim yang meminta bantuan dilindungi dan dihantar ke tempat yang aman sekalipun mereka enggan menerima Islam setelah mendengar hujah yang benar.
Dalam Surah al-Nisa, Allah berfirman: (maksudnya)
“dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri”. (ayat 36)
Kata at-Tabari: “maksud al-jar bil-janb dalam ayat ini ialah jiran yang jauh dan asing. Ia merangkumi muslim, musyrik (polytheist) yahudi dan kritian”.
Mazhab yang empat bersepakat bahawa harus kita muslim mengucapkan takziah kepada non-muslim. Ibn Qudamah dalam al-Mughni menyebut bahawa antara ucapan muslim apabila memberikan takziah kepada non-muslim ialah: “Moga Allah memberikan ganti musibah yang menimpamu dengan yang terbaik dalam kalangan keluargamu”.
Politik
Hubungan indah yang Islam gariskan antara muslim dan non-muslim telah bertukar menjadi isu politik dalam banyak keadaan. Ajaran-ajaran agama ini yang dibuat oleh sesetengah pihak hanya memilih nas-nas yang ungkapkan oleh al-Quran dan hadis dalam suasana peperangan tapi cuba dilaksanakan dalam suasana aman dan manusia mencapai tahap perubahan yang seperti ini. Sedangkan nas semasa aman dan nas semasa perang tidak sama. Hasilnya, ramai bukan muslim gagal melihat wajah Islam yang asal. Allah yang Maha rahmat itu sering dilukis dalam gambaran Allah yang Maha bengis.
Jika gereja berubah dari negatif kepada positif, kita patut berubah kepada positif yang jelas termaktub dalam nas-nas kita. Isu hubungan muslim dan non-muslim kadang-kala dimainkan oleh mereka yang berkepentingan politik. Kerja muslim sepatutnya berdakwah dan berdialog dengan cara yang baik, bertukar menjadi bercoleteh dan merepek dalam perkara yang selekeh. Kita asyik “complain” dakwah orang, kita tidak buat dakwah kita. Kita bising ‘talking Bible’ orang lain, kita tidak sediakan pun ‘Talking Quran’ kita.
Hari ini dunia persaingan. “Market” dakwah dan pemikiran sangat terbuka. Ia boleh sampai kepada manusia melalui pelbagai cara. Jika kita hendak menawan manusia, tawanlah akal dan jiwanya. Maka, nanti ajaran ini akan meresap ke dalam dirinya. Namun, sekadar berleter sebab orang berdakwah ataupun berkempen, tidak akan memberi apa-apa kekuatan untuk orang menerima kita.
May 31, 2012
Antara Ratu Dan Rakyat
ANTARA RATU DAN RAKYAT
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Sambutan Diamond Jubilee sempena 60 tahun pemerintahan Queen Elizabeth II yang menaiki tahta sejak 1952 akan berlangsung di UK beberapa hari lagi. Dikatakan beberapa negara yang masih mendaulatkan Monarki British itu seperti Australia, Canada, New Zealand dan lain-lain akan turut menyambutnya. Di UK, sambutan kelihatan agak besar. Masih nampak perasaan sayang rakyat pada Ratu.
Kritikan
Pun begitu sambutan Diamond Jubilee yang akan berlangsung itu tidak sunyi dari kritikan. Akhbar dan orangramai ada yang memprotes sambutan tersebut sebagai membazir wang negara dalam keadaan ekonomi Eropah yang tidak stabil sekarang. Ada yang membuat undian pendapat apakah sambutan itu membazir ataupun tidak. Ada pula yang mengira kos kerugian cuti disebabkan sambutan tersebut.
Hasrat Queen untuk mendapat hadiah sebuah Yacht (kapal persiaran) daripada kerajaan sempena Jubilee ini pun telah ditolak apabila survey menunjukkan 64% rakyat tidak bersetuju (Rujuk : http://yougov.co.uk/news/2012/01/27/and-against-queens-yacht/).
Demikian ramai juga yang mengkritik sambutan Jubilee ini disebabkan antara jemputan Queen ialah raja-raja yang dianggap tidak demokratik dan zalim dari pelbagai negara. Kritikan ditujukan kepada Queen sebagai tidak sensitif dengan isu kemanusiaan.
Empayar British yang luas
Apapun, kami di sini akan dapat cuti. Segala kritikan dan sokongan kepada Queen adalah asam garam kehidupan mereka di sini yang menghormati hak rakyat dalam bersuara. Setuju ataupun tidak satu hal. Namun memberikan ruang rakyat bersuara adalah tanda pemerintah yang demokratik dan menghormati rakyat.
Rakyat tidak dianggap derhaka hanya dengan memberikan pendapat yang berbeza. Hanya kelompok ‘jakun’ yang cuba hidup dalam kalangan manusia berakal sahaja yang menganggap memberi pendapat itu satu jenayah, sekalipun ia tidak diikuti dengan aktiviti yang mengancam dan merosakkan keselamatan rakyat.
Ya, sudah pasti ada peraturan dan adabnya dalam setiap perkara. Namun hak bersuara tidak boleh dinafikan. Kita patut ‘tabik’ kepada Monarki British di ‘sudut itu’. Mungkin perkembangan politik British juga tidak memberikan mereka pilihan melainkan demikian. Saya rasa itulah salah satu sebab Monarki British itu masih disayangi dan rakyat merasakan mereka patut terus berada di situ.
Isu Malaysia
Saya terlambat ikuti perkembangan isu di Malaysia. Saya dimaklumkan bahawa ada isu tentang istana tertentu membida nombor kereta sehingga lebih RM 500,000. Saya juga dimaklumkan bahawa ada yang telah kritik isu ini. Saya tidak tahu pendetilan isu tersebut. Saya tidak tahu siapa yang patut dipersoalkan. Cuma, apabila ada yang bertanya dalam twitter, saya jawab secara umum bahawa ‘JIKA’ golongan istana tidak boleh dipertikaikan bererti rakyat telah mempertuhankan mereka. Ini kerana hanya Tuhan sahaja yang tidak boleh dipertikaikan oleh manusia.
Saya twit hal itu secara umum tanpa ditujukan khusus kepada sesiapa. Ada yang cuba menjadikan twit itu khusus kepada isu berkenaan. Sebenarnya tidak. Ada pula yang menyunting rakaman ucapan saya dalam isu lain yang dah lama semasa saya masih di Malaysia, lalu dikaitkan dengan isu berkenaan. Itu pun tidak betul. Saya tidak tujukan kepada peribadi, tetapi kaedah yang umum. Saya juga setuju, menegur pemerintah ataupun raja dalam isu peribadi memerlukan bahasa yang sesuai dan berkesan. Kritikan hendak membina (constructive criticism). Namun hak menegur tetap ada.
Saya mungkin tidak bersetuju dengan isi sesuatu kritikan. Bahkan saya mungkin menentang pengkritik itu sendiri dalam isu-isu yang lain. Namun saya berpegang bahawa seseorang rakyat itu selagi dia menggunakan bahasa yang wajar dan hujah yang betul, tidak wajar untuk dia dihukum kerana mengkritik.
Mana-mana pihak yang menghalang orang mengkritik golongan bangsawan sekalipun dengan bahasa yang betul, adalah golongan feudal yang tidak wajar menguasai politik masakini. Adakah sesiapa dalam kalangan pemerintah kita yang lebih mulia, hebat dan gagah dari Saidina ‘Umar bin al-Khattab?! Beliau pernah ditegur, namun beliau tidak menghukum pengkritiknya.
Khalifah Umar bin al-Khattab suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata:
“Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”. Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: Engkau berikan kamu semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).
Tiada hukuman pun, sedangkan itu ‘Umar bin al-Khattab. Apakah kita merasakan bahawa ada pihak yang lebih mulia dari Nabi s.a.w dan para al-khulafa ar-Rasyidin. Nabi s.a.w sendiri pernah dipersoalkan beberapa tindakan baginda seperti tentang isi perjanjian Hudaibiyyah yang baginda meterai. Baginda tidak menghukum pengkritik. Sedangkan baginda seorang nabi. Siapakah yang merasakan lebih mulia dari baginda?!
Ulama
Ulama mestilah bersikap seperti tokoh ilmuwan agung mazhab al-Shafi’i iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H). Saya telah petik kisah beliau dalam artikel saya semasa saya masih menjadi Mufti Perlis. Saya ketika itu mengkritik kenaikan harga barang. Artikel itu disiarkan oleh Akhbar Utusan (Mingguan Malaysia).
Saya petik kisah al-Imam al-Nawawi r.h (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.
Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab:
Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).
Inilah tokoh Mazhab al-Shafi’i yang sangat hebat dari segi ilmu dan akhlak. Di Malaysia, ada yang fanatik mazhab. Pantang dengar orang tidak berpegang dengan mazhab Shafi’i yang ‘dia faham’, terus hendak diadukan kepada sultan dan raja. Malang sekali, sikap dan budi tokoh-tokoh mazhab itu tidak diteladani. Kita tidak meminta pemerintah supaya jadi seperti ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Kita minta jangan buat sesuatu yang menimbul persoalan dan kegelisahan rakyat.
Kita ingin sayangkan pemerintah kita dengan ikhlas. Pihak istana akan lebih dihormati dan disayangi jika mereka mengikut perkembangan dan perasaan rakyat. Hari ini dunia terbuka. Memaksa orang suka hanya membakar rasa kebencian. Namun, akhlak yang baik, teladan yang bagus dan kehidupan yang jujur akan menjadikan sesebuah institusi itu bertambah dekat di hati dan jiwa rakyat.
May 24, 2012
Seks Songsang Dalam Dunia Yang Rencam
SEKS SONGSANG DALAM DUNIA YANG RENCAM
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Dunia ini benar-benar berubah. Jika seseorang yang hidup di kurun-kurun yang lepas kemudian dibangkitkan semula, tentu dia kehairanan melihat dunia ini. Ia benar-benar berubah. Bukan sahaja kecanggihan teknologinya, tetapi juga nilai dan budaya yang dipegang oleh manusia pada zaman ini.
Globalisasi. Satu kalimah yang memberikan pelbagai kesan dan makna. Dunia tanpa sempadan yang gagal untuk dikawal oleh mana-mana kuasa pun. Kita sudah menjadi seperti sebuah kampung yang kecil. Segala yang berlaku di setiap ‘cerok’ diketahui oleh penduduknya dan menjadi ‘buah mulut’ setiap orang. Bahkan, kita lebih sempit dari kampung.
Teknologi yang mewujudkan jaringan sosial manusia telah menjadikan setiap berita tersebar jauh lebih pantas dari sebuah kampung. Tambahan lagi, bukan sekadar cerita yang dibawa, tetapi peristiwa yang dirakam. Maka budaya dan nilai kehidupan manusia berubah. Suasana baru berlaku dan ia menentukan banyak gaya fikir dan pendekatan kita.
Pendekatan Yang Difahami
Saya menjadi ahli Oxford Union. Satu badan yang amat bersejarah di Oxford. Setiap minggu mereka ada debat yang membabitkan isu-isu yang menarik. Tokoh-tokoh dipanggil dan isu-isu tertentu dicadang dan didebatkan. Pasukan pencadang dan pembangkang dibentuk. Kemudian undian dijalankan.
Minggu lepas tajuk: “This House Would Recognise Prostitution as a Legitimate Business”. Mungkin hal ini mengarut bagi kita. Apa cerita hendak mencadangkan seperti itu? Saya hadir untuk mendengar debat tersebut. Ternyata, di sudut ‘mata mereka’ bukan sedikit alasan yang mendapat tepukan gemuruh. Walaupun bagi kita masyarakat muslim, hal itu jelas haram disebabkan nas-nas agama. Namun, jika kita ingin berdialog dengan mereka, kita patut berhujah dengan apa yang mereka percaya.
Kata ‘Ali bin Abi Talib:
“Bercakaplah kepada manusia dengan apa yang mereka tahu. Apakah kamu suka didustai Allah dan RasulNYA” (Riwayat al-Bukhari).
Maksudnya, gunakan approach yang difahami kerana pendekatan yang salah, akhirnya agama ini menjadi mangsa tuduhan.
Seorang pelacur lelaki sedang berhujah mempertahankan cadangan menghalalkan aktiviti pelacuran dari segi undang-undang.
Simpati
Di Malaysia dikatakan heboh pasal LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender). Apatahlagi dengan kehadirian Irshad Manji. Sebenarnya, isu LGBT ini bukan sahaja heboh di Malaysia, di Negara Barat seperti UK ini pun kebelakangan ini banyak berita tentang tuntutan-tuntutan mereka. Jumlah mereka bertambah, bukan sekadar pengamalnya tetapi juga mereka yang bersimpati.
Golongan yang bersimpati melihat di sudut ruang kebebasan individu yang patut diiktiraf. Perdana Menteri UK David Cameron antara penyokong hak berkahwin golongan gay di UK. Walaupun kebelakangan ini ada bantahan dari MP partinya, tetapi pendirian asal Cameron ialah untuk menghalalkan perkahwinan golongan ini dari segi undang-undang. Padahal David Cameron yang sama menyebut dalam bulan Disember tahun yang lalu “UK is a Christian country and we should not be afraid to say so”. Itu ucapan beliau di Oxford sempena 400 tahun Bible King James.
Di Amerika, Barrack Obama dua minggu lepas mengisytiharkan sokongan kepada golongan LGBT untuk berkahwin. Beliau dalam temubualnya menyebut: “I have to tell you that over the course of several years as I have talked to friends and family and neighbors when I think about members of my own staff who are in incredibly committed monogamous relationships, same-sex relationships, who are raising kids together, when I think about those soldiers or airmen or Marines or sailors who are out there fighting on my behalf and yet feel constrained, even now that Don’t Ask Don’t Tell is gone, because they are not able to commit themselves in a marriage, at a certain point I’ve just concluded that for me personally it is important for me to go ahead and affirm that I think same sex couples should be able to get married“.
Pendirian mereka mungkin atas kepentingan politik, ataupun kepercayaan tentang hak kebebasan individu yang menjadi ‘rukun iman’ dalam hidup mereka. Dalam usaha menjaga perasaan penyokong, bukan sahaja politicians bahkan pihak gereja juga mula membuka ruang kepada golongan ini. Bukan sekadar untuk berkahwin, tetapi untuk menjadi paderi sekalipun. Ini seperti yang sedang berlaku beberapa hari lepas di Church of Scotland.
Suasana Baru
Nampaknya golongan LGBT ini mula membentuk komuniti yang mempunyai suara dan pengaruh dalam politik. Penentangan terhadap mereka dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tidak menghormati hak individu. Dalam suasana yang seperti ini, umat Islam, samada golongan pemikir, ahli-ahli politik dan selain mereka terpaksa mencari ‘laras bahasa’ yang baru dalam mengulas tentang golongan ini.
Di negara seperti Malaysia, mungkin belum cukup terasa, tetapi umat Islam di Barat terpaksa mencari satu pendekatan yang dapat difahami oleh akal manusia di sini. Kita bersetuju bahawa ‘the ground of politics is compromise, but the ground of Islam is principal’, namun dalam masa yang sama pendekatan yang berkesan perlu dicari dalam menegakkan prinsip.
Golongan LGBT berhimpun menyatakan pendirian mereka
Amalan LGBT sebagai sesuatu yang haram di sisi ajaran wahyu adalah sesuatu yang pasti tanpa mungkin ada sebarang penafsiran lain lagi. Ia termasuk dosa besar. Ini jelas apabila Allah merakamkan ucapan Nabi Lut terhadap kaumnya (maksudnya) :
“dan (Nabi) Lut juga ketika dia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf 80-81).
Ayat ini menggambarkan kaum Lut memulakan amalan songsang ini. Sesuatu yang tidak dikenali sebelum itu. Namun, dunia hari ini lebih buruk, kerana hal ini telah dimulakan, telah berakar umbi dalam sesetengah masyarakat, di samping mendapat pengiktarafan pula di peringkat antarabangsa.
Nabi Lut sendiri mencari banyak pendekatan dalam membetulkan keadaan, termasuk menawarkan anak-anak perempuannya untuk mereka. Walaupun perkataan banati (anak-anak perempuanku) dalam al-Quran mengenai dialog Lut a.s itu mempunyai pelbagai tafsiran, namun ia merujuk kepada tawaran Lut untuk mereka mengahwini perempuan-perempuan keturunannya ataupun pengikutnya. Kata Lut: (maksudnya)
“Wahai kaumku! di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu, oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku, tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?” (Surah Hud 78).
Dalam kerangka dunia hari ini yang tidak dapat menerima sikap yang keras dalam membawa mesej agama dan Islam pula dituduh agama yang ganas, maka dialog yang berkesan dan matang dalam menyampaikan dakwah amat diperlukan. Islam itu indah, ia mesti disampaikan dengan cara yang berkesan dan indah.
Ya, keindahan itu kadang-kala ia subjektif, tetapi kerangka masyarakat dan budaya yang mengelilingi mereka juga menentukan keindahan itu. Sudah pasti senaman ‘punggung’ bukan keindahan. Jika ia hendak dijadikan saluran dakwah Islam, sudah pasti tidak dapat diterima oleh akal yang waras dan budaya yang ada. Mungkin ia diterima dalam masyarakat Zulu Africa, tetapi tidak dalam masyarakat kita.
Dialog Dan Debat
Pada zaman ini manusia memerlukan dialog dalam menentukan setiap pegangan. Bahkan, berdebat juga adalah antara pendekatan yang diiktiraf oleh al-Quran. Firman Allah (maksudnya):
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).
Kata al-Sa’di (meninggal 1376H):
“Hikmah maksudnya setiap individu diseru berdasarkan keadaan, kefahaman, penerima dan perlaksanaannya..adapun mauizah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud dengan ungkapan yang baik yang dapat mengingatkan mereka. Antaranya dengan cara memberi amaran kepada mereka mengenai balasan Allah di akhirat dengan pendekatan yang dapat menginsafkan mereka. Sementara: berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik bermaksud cara yang paling memungkin mereka menerimanya secara akal dan nas ( Al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman, 452, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Pendekatan baru perlu diambil. Golongan pendakwah dan umat Islam perlukan pendekatan yang lebih bersifat semasa dalam suasana yang ada. Mungkin sesuatu perkara itu jelas bagi kita, tetapi ia kabur bagi banyak pihak. Dalam kes LGBT, kita bukan sahaja terpaksa berbicara dengan pengamalnya, tetapi juga mereka yang bersimpati walaupun tidak mengamalkan. Itu lebih ramai.
Dakwah Islam itu bertujuan memahamkan manusia dan menjadikan mereka taatkan Allah dalam keadaan sedar dan ikhlas. Menghukum dan mencemuh tidak dapat menyelesaikan masalah jika tidak didahului dengan memahamkan dan menegakkan hujah. Gerakan Islam, pendakwah dan badan-badan agama patut melihat isu-isu terkini dalam horizon yang baru, tanpa menggadaikan prinsip yang asal.
May 20, 2012
Muzakarah UMNO-PAS Patut Diteruskan
MUZAKARAH UMNO-PAS PATUT DITERUSKAN
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Saya suka dengan idea muzakarah UMNO-PAS. Sejak dahulu lagi saya menyokong hasrat itu. Berdialog, berbincang, berunding, cuba memahami antara satu sama lain adalah perlambangan manusia bertamadun. Kedua parti besar itu mewakili rakyat kita yang sudah dan ingin bertamadun, maka adalah patut untuk mereka menzahirkan manifestasi ketamadunan itu dalam bentuk mampu berbincang apabila ada keperluan. Maka di sini saya ingin sebutkan beberapa perkara yang saya lihat perlu diberikan perhatian dalam hasrat tersebut;
1. Asasnya, perbincangan ke arah meredakan permusuhan sesama muslim adalah ajaran Islam. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 9-10).
2. Banyak perkara negatif dapat dilangsaikan melalui perdamaian perasaan sesama umat. Bisik-bisik tanpa asas yang benar di belakang, banyak menyebabkan keadaan yang lebih buruk. Firman Allah (maksudnya)
“Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114).
3. Pemikiran bahawa salah satu parti akan mengalami kerugian sebelum perundingan ataupun muzakarah agak tidak kukuh. Sepatutnya, sebagai parti yang sudah lama dalam sejarah, keduanya mempunyai kemampuan untuk duduk berbincang secara matang dan mantap. Bahkan kesediaan mereka untuk duduk berbincang akan memberikan nilai yang positif di mata rakyat.
4. Perkara yang penting pada peringkat ini ialah membawa kedua pimpinan parti itu duduk dalam satu perbincangan dengan perasaan ukhuwwah yang berasaskan kepentingan umum melebihi kepentingan diri. Kejayaan untuk mereka duduk dalam suasana yang demikian adalah sesuatu yang besar.
5. HENDAKLAH dipastikan bahawa pertemuan kedua parti itu adalah atas hasrat kebaikan rakyat secara menyeluruh, bukan untuk kepentingan survival parti yang bersifat terhad. Pertemuan itu tidak sepatutnya memandulkan usaha-usaha baik kedua belah pihak. Ini seperti usaha-usaha transformasi di pihak UMNO, dan usaha-usaha positif yang boleh membuka cara fikir rakyat di pihak PAS.
6. Perbincangan ataupun muzakarah itu bukan semestinya melakukan asimilasi politik (political assimilation) yang akan menjadikan salah satu parti itu lebur ke dalam yang satu lagi. Jika itu berlaku, ia akan boleh menghilang ‘checks and balances’ dalam sebuah negara demokrasi. Itu tidak baik untuk rakyat. Sebaliknya peranan muzakarah mampu mengingatkan hakikat diri mereka semua tentang ukhuwwah islamiyyah, sekaligus mengembalikan nilai-nilai akhlak dan adab Islam apabila berbeza ataupun bersengketa.
7. Muzakarah itu tidak patut menjadi medan membahaskan kesalahan antara kedua parti kerana ruang itu sudah ada di Parlimen, sebaliknya keduanya hendak mencari ‘common ground’ antara kedua parti yang dapat memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara. Hakikatnya, sesiapa yang mendekati kedua parti ini, banyak ruang dari sudut naluri insani muslim yang sama ataupun hampir sama. Banyak hasrat dan cita yang sama. Banyak rasa yang sama. Banyak duka dan suka yang sama. Kebanyakan khilaf yang zahir disebabkan ‘perbuatan’ dalam politik dan pengurusan. Namun ruang untuk melihat persamaan masih ada.
8. Berjumpa, tersenyum, bersalaman dan nasihat menasihati dengan niat yang baik sentiasa mempunyai keberkatan dan rahmat. Ia melapangkan dada, mendatangkan hikmah dan menjadikan perasaan kita lebih dekat dengan Tuhan. Kemudian, setelah usaha ikhlas berlaku, keadaan masih tidak dapat dibaiki, semua pihak teruskan usaha yang baik yang sedia ada dan serahkan segala urusan itu kepada Allah. Pertemuan sekurang-kurang menjadi tanda di akhirat bahawa arahan Allah tentang perdamaian telah diusahakan dengan IKHLAS.
Saya rasa perasaan saya sama dengan rakyat biasa yang lain, mendoakan hasrat itu dapat dilihat dan direalisasikan dalam iklim politik yang matang.
May 17, 2012
Saya Bermimpi Rupanya
SAYA BERMIMPI RUPANYA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Semalam saya ditabalkan dengan dengan satu pertabalan yang hebat. Saya diberikan mahligai yang mewah yang dipenuhi harta dan makanan yang jenuh. Di kelilingi wanita-wanita cantik yang bersedia menyerahkan tubuh dan melayan kehendak saya. Saya pun menjamah makanan yang sedap itu dan menikmati wanita-wanita yang jelita tersebut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi pintu yang ditutup.
Saya menoleh, tiba-tiba saya lihat bilik saya sangat sempit jika dibandingkan kepada saiz mahligai yang indah itu. Katil saya hanya ‘single size’ yang cukup muat, tidak dapat dibandingkan keindahan katil mahligai saya. Saya bersendirian, tanpa wanita gebu dan jelita manja. Keindahan istana hanya tinggal buku-buku yang berselerakan di atas sebuah meja yang dihiasi sebuah komputer. Bunyi-bunyi merdu suara dara jelita telah bertukar menjadi bunyi gerakan rakan fellow akademik Pakistan yang tinggal bersebelahan bilik saya.
Saya lihat tubuh saya tidak lagi dihiasi pakaian yang hebat menawan, sebaliknya hanya baju-T biasa dan berkain pelikat melayu. Saya bangun menjenguk ke tingkap, akhirnya saya sedar saya masih lagi di Broad Street, Oxford. Saya hanya seorang fellow di Oxford Centre for Islamic Studies. Seorang musafir yang bersendirian. Mahligai sementara saya sudah tiada. Wanita-wanita jelita yang dapat saya tiduri dengan ‘percuma’ tanpa proses nikah sudah pergi. Makanan terhidang yang lazat-lazat juga sudah hilang. Hanya ada air sejuk dan beberapa kotak makanan segera seorang musafir hidup. Saya bermimpi rupanya.
Begitu cepat episodnya tamat. Saya mencium tangan saya, apakah masih ada kesan bau makanan, ataupun wanita yang dipegang. Ternyata tiada. Hanya bau kertas-kertas yang dipegang sebelum tidur. Semuanya sudah hilang dan berakhir. Saya mesti bangun melakukan kembali tugasan seorang insan musafir seperti sebelumnya. Rakan saya juga tidak tahu bahawa saya sudah bergelar maharaja yang besar sebentar.
Demikianlah Dunia!
Demikianlah dunia ini. Ia bagaikan mimpi. Dalam mimpi itu kita mungkin ditabal dan diberikan pelbagai kehebatan harta, nama dan gelaran. Namun, itu semua akan berakhir. Apabila sampai detik roh dicabut dari jasad, semuanya bagaikan mimpi tadi. Tiada lagi nama yang hebat, harta ataupun gelaran. Hanya yang tinggal hakikat nilai seseorang insan di sisi Tuhannya. Allah mengingatkan kita tentang hakikat ini dalam al-Quran dengan firmanNya(maksudnya):
“Dan Demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu dakwa bahawa mereka ialah sekutu-sekutu (bagi Allah) dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu dakwa” (Surah al-An’am: 94).
Segala gelaran dan kebesaran insan akan hilang pada saat dia dianugerahkan darjah pingat ‘kematian’ oleh Malaikat Maut. Segalanya bagaikan mimpi. Segala kenikmatan itu hilang. Bahkan, ada insan yang segala kepahitannya pula bagaikan mimpi. Hilang dari pandangan dan rasa. Hilang bagaikan debuan kisah yang berterbangan ke udara. Nabi s.a.w menceritakan tentang keadaan ahli neraka dan syurga. Sabda baginda:
“Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”.
Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Riwayat Muslim).
Ya! Hilang bagaikan mimpi yang tidak muncul lagi pada rasa. Mungkin ia kekal pada ingatan, tetapi tidak pada perasaan. Azab yang menghapuskan nikmat, ataupun nikmat yang menghapuskan azab.
Inilah Kembara
Hidup adalah kembara. Kita merentasi banyak tempoh dan episod. Ada masa kita susah melalui hujan yang lebat ataupun panas yang terik. Ada masa kita sukar mencari tempat berteduh. Ada masa kita dialu-alukan. Ada masa kita makan enak. Ada masa kita hanya makan sekadar untuk meneruskan hidup. Sehingga saat kita sampai ke tempat tuju. Rumah kita yang asal. Harapnya, di sana kenikmatan yang sebenar.
Demikian hidup ini. Ia persis seperti kembara. Kembara hidup menuju kehidupan hakiki. Ada masa kita dimuliakan. Ada masa kita dihina. Ada masa kita diangkat. Ada masa kita dijatuhkan. Hal itu berterusan sehingga kita sampai ke destinasi akhir perjalanan hidup ini. Maut! Harapnya, di sanalah kita perolehi nikmat yang hakiki.
Maka Nabi s.a.w mengingatkan kita tentang hakikat ini. Kata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a:
“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari). Ya, inilah yang al-Quran tegaskan: (maksudnya) “dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu)”. (al-‘Ankabut: 64).
Apa yang penting, dalam kehidupan seorang insan itu, dia sentiasa peka dengan hakikat dirinya dengan tuhannya. Hanya Allah dan diri kita sahaja yang tahu bagaimana hubungan diri kita ini dari segi kerohaniannya. Segala amalan yang zahir ditentukan oleh kadar kehalusan nurani rohani insani yang ada dalam naluri seorang hamba Allah.
Manusia boleh menilai, tetapi akhirnya kedudukan nilai spiritual seseorang insan jua yang dihitung di sisi Tuhan. Pakaian kebesaran, pangkat ketinggian, kuasa dan kedudukan adalah ciptaan mimpi insan dalam kehidupan di maya pada ini. Ia akan berakhir sepantasnya dengan satu sentapan maut. Hijab antara kenikmatan hidup di dunia dengan kematian yang membawa kepada kehidupan hakiki itu bagaikan sehelai kulit bawang yang nipis. Apabila ia ditembusi, kita pun boleh berkata: “Aku rupanya bermimpi”.
May 10, 2012
Menangisi Kehilangan Islam Di Spain
MENANGISI KEHILANGAN ISLAM DI SPAIN
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Apabila kita menyebut Spain, ramai orang ataupun peminat bola akan teringatkan kelab-kelab bola sepak yang hebat dari negara tersebut. Namun, bagi yang menyedari tentang kegemilangan sejarah lampau, mereka juga tidak akan lupa tentang sejarah kewujudan kerajaan umat Islam selama lebih tujuh ratus tahun di sana. Tamadun muslim di Andalusia. Satu tempoh yang sangat panjang. Tapi, telah jatuh dan gugur segala kegemilangan.
Seperti yang saya sebutkan dalam artikel yang lepas, Jawatan Kuasa Fatwa Perlis yang diketuai oleh Yang DiPertua MAIPs DYTM Raja Muda Perlis melawat beberapa tempat penting di UK dan Spain dua minggu lepas. Saya turut menyertai rombongan itu semasa di sini (UK) dan Spain. Itulah kali pertama saya ke Spain. Beberapa Negara Eropah telah saya lawati, tetapi tidak Spain. Kesempatan itu amat bermakna bagi saya. Kami melawat Madrid, Seville, Cordova, Granada dan Barcelona.
Kota Cordova Yang Indah
Islam Bermula
Muslim masuk menguasai Spain pada tahun 711M. Tentera Tariq bin Ziyad seramai 12000 orang telah berjaya mengalah pasukan tentera King Roderic yang seramai 90,000 orang. Dikatakan, asalnya Tariq bin Ziyad datang atas pemohonan bantuan Julian, Gabenor Ceuta kepada Gabenor muslim di Utara Afrika Musa bin Nusair. Julian memohon bantuan disebabkan anak perempuannya yang dihantar belajar telah dirogol oleh King Roderic. Setelah masuk, Tariq akhirnya meneruskan operasi sehingga menguasai Spain keseluruhannya. Sebahagian pengkaji pula menyebut bahawa muslim datang menawan Spain disebabkan permohonan bantuan oleh orang-orang Yahudi atas kekejaman Kristian.
Apapun, dalam sejarah muslim di Spain, kerajaan umat Islam telah berjaya memperlihatkan sikap toleransi antara penganut agama yang sangat tinggi. Di bawah pemerintahan muslim di Spain, Yahudi dan Kristian dapat hidup dengan aman dan gemilang. Bahkan ‘The Golden Age of Jewish History’ adalah semasa pemerintahan Islam di Spain. Sehingga tokoh ilmuwan Yahudi yang terkenal Musa bin Maimun (Moses Maimonides) menganggap bahawa pemerintahan muslim di Spain adalah ‘the golden age of freedom and tolerance’ untuk penganut Yahudi.
Demikian juga penganut Kristian, mereka menikmati hak beragama dan bergaul dengan semua rakyat tanpa kezaliman dan penindasan. Ini adalah hakikat sejarah. Justeru itu, ramai penduduk Spain menganut Islam tanpa sebarang paksaan kerana memaksa seseorang menganut Islam adalah menyanggahi asas arahan al-Quran. (lihat: Maryam Noor Beig, The Legacy of Andalus: Muslim Spain)
Gambar: Penulis dalam Masjid Cardova yang telah bertukar menjadi gereja.
Di bawah pemerintahan kerajaan Muslim di Spain, Yahudi dan Kristian bebas mengamal agama mereka. Sebahagian mereka menjadi tokoh-tokoh ilmuwan yang besar dan penting. Hubungan antara penganut agama amat baik. Walaupun ada sebahagian penulis Barat yang cuba menafikan hal ini dengan menyatakan status ‘ahlu zimmah’ yang dipakai ketika itu menjadikan non-muslim itu sebenarnya second-class citizen. Padahal, ahlu zimmah bermaksud mereka itu dilindungi.
Apapun, jika dibandingkan dengan Kerajaan Krisitian yang menawan Spain selepas kejatuhan Muslim jauh lebih kejam dan zalim. Muslim dan Yahudi dipaksa menganut Kristian. Mereka dibunuh, bahkan dibakar hidup-hidup jika enggan. Sebahagian mereka dihalau keluar dari negara kerana perbezaan agama. Agama selain Kristian tidak dibenarkan diamalkan sama sekali. Hal ini diakui oleh para pengkaji sejarah dari pelbagai agama. Sesiapa yang berminat mungkin dia boleh menonton documentary dalam youtube: “The Rise And Fall of Islamic Spain”.
Kegemilangan Akademik
Sesiapa yang dalam pengajian Islam, pasti akan terbiasa dengan nama al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 1064M) yang terkenal sebagai tokoh fekah zahiri. Dia juga ilmuwan dalam pelbagai bidang termasuk falsafah, sastera, sejarah dan lain-lain. Beliau kelahiran Cordova, Spain.
Demikian juga al-Imam Abu Abdillah al-Qurtubi (meninggal 1273M) dalam tafsir yang terkenal dengan Tafsir al-Qurtubi (al-Jami’ li Ahkam al-Quran). Qurtubi itu merujuk kepada Cardova. Begitu juga tokoh ilmuwan al-Imam Abu Bakr ibn al-‘Arabi al-Ishbili (meninggal 1148M) yang merupakan kelahiran Isbilia ataupun sekarang dikenali dengan Seville.
Al-Imam ash-Shatibi al-Gharnati yang terkenal dengan kitabnya al-Muwafaqat yang menjadi rujukan utama dalam Maqasid al-Shari’ah juga merupakan anak kelahiran Spain. Beliau lahir pada 1388M di Gharnatah yang sekarang dikenali dengan Granada. Ramailah lagi tokoh agamawan yang lahir dalam iklim Spain. Antara keistimewaan sebahagian ilmuwan Spain, mereka agak terbuka dalam banyak perkara.
Gambar: Penulis membelakangi Kota Alhamra
Jangan lupa di Spainlah umat Islam berjaya menghasil dan meneroka pelbagai ilmu pengetahuan. Lautan ilmu dalam perubatan dan astronomi telah dihasilkan. Demikian juga astrology, psychology, zoology, botany, biology, physics, chemistry, geometry dan lain-lain. Orang muslim Spain juga telah menghasil kain kapas, kertas, garam, sutera, satin, peta, jam dan pelbagai lagi.
Ahli ilmuan dari Barat telah datang dan belajar semua ilmu ini dari umat Islam Spain dalam bahasa Arab. Bahasa Arab telah dianggap sebagai bahasa ilmu dan sesiapa yang mampu menguasainya dianggap ilmuwan. Sastera Arab terutama puisi-puisi Arab Spain berkembang keseluruh Eropah. Dengan ilmu-ilmu ataupun tamadun yang diambil dari Umat Islam inilah juga yang akhir menyedarkan Eropah dari kegelapan dan mencetuskan European Renaissance.
Senibina
Senibina yang amat halus, menarik dan mewah telah menjadikan bangunan-bangunan peninggalan umat Islam Spain tiada tandingannya. Kota Alhamra di Granada telah menjadi saksi keindahan senibina umat Islam Spain. Ketika berada di Alhamra saya sempat bertanya pemandu pelancong kami, namanya Abu Bakr. Beliau nampak sebegitu tinggi semangat Islamnya dan memuja keagungan Islam di Spain.
Saya bertanya kepadanya: “Segala kemewahan ini, lambang keagungan dan kehebatan, ataupun lambang kezaliman dan pembaziran?”. Beliau menjawab: “Jika saya mahu bercakap benar, saya menganggap ia pembaziran dan kezaliman”. Saya bertanya soalan yang sama kepada salah seorang tokoh ilmuwan muslim di Granada, namanya Abd al-Ghani. Beliau telah menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Spanish. Beliau jawab: “Ia adalah sunnah alam dalam persaingan. Semasa itu muslim bersaing untuk menunjukkan kehebatan mereka”.
Saya pula berpendapat: “Jika pembinaan dalam keadaan kekayaan yang cukup dan bukan hasil perahan harta rakyat, maka ia sesuatu yang amat terpuji dalam dunia persaingan tamadun. Jika ia diambil dari kesusahan rakyat, maka itu satu kezaliman. Namun, masyarakat muslim ketika itu kelihatan kaya dan mewah”.
Gambar: Penulis di tepi kolam Alhamra
Hanya Kenangan
Namun, itu semua telah menjadi sejarah. Kerajaan Spain jatuh dan tamadun mereka dihancurkan oleh Kristian, hanya tinggal saki baki yang sedikit. Masjid Cardova yang indah dan agung telah bertukar menjadi gereja. Islam dihalau, dan sebahagian besar dipaksa menganut Kristian. Kesan-kesan Islam semampu mungkin cuba dihakiskan. Semua itu bermula dari pengkhianatan dan permusuhan sesama sendiri atas kerakusan kuasa. Mereka berpecah dan bermusuhan. Rakyat dan umat menjadi mangsa. Ratusan tahun tamadun yang dibina, akhirnya gugur dan tidak bangkit lagi.
Walau bagaimana pun, hari ini dunia menikmati hasil peninggalan Andalusia. Ilmu-ilmu yang diwariskan, telah diciplak dan dikembangkan oleh Eropah. Umat Islam hanya mampu menyebutnya, tanpa meneruskannya lagi. Memalukan. Namun, Spain menjadi saksi bahawa sikap toleransi antara agama khususnya Islam, Yahudi dan Kristian telah dibuktikan di bawah pentadbiran umat Islam. Ajaran Islam, menentang penindasan agama. Kehancuran toleransi di Spain adalah selepas kejatuhan Islam ke tangan tentera Kristian. Mereka tidak mengamal apa yang diajar oleh Jesus.
Gambar: Cordova dalam kenangan
Saya juga tidak mengatakan bahawa para pemerintah umat Islam Spain ataupun Andalusia itu benar-benar Islamik. Ada perbuatan mereka yang betul, dan ada yang salah. Ya, kerana dosa juga mereka jatuh. Namun, asas toleransi telah mereka amalkan, kerana itu dasar ajaran Islam dalam politik. Malangnya, dasar itu tidak dipegang oleh tentera Kristian yang menawan Andalusia.
Saya bayangkan, jika Barat hari ini masih kuat Kristian, dan ia menjadi dasar pemerintahan, tentu agama lain sukar untuk hidup di Barat. Namun, dengan pemisahan agama dan politik di Barat telah menyelamatkan banyak keadaan.
Demikian dunia muslim. Jika hendak amalkan Islam, amalkan Islam yang sebenar yang akan memberikan keadilan dan kerahmatan kepada semua manusia. Jika Islam sekadar topengan dan permainan politik, lebih baik dipisahkan agama dari politik. Dengan itu, Allah dan Nabi tidak akan dicerca oleh yang salahfaham. Kembara ke Spain banyak memberi inspirasi.
Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog
- Mohd. Asri Zainul Abidin's profile
- 126 followers
