Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog, page 272

July 25, 2013

Muslimah: Antara Tertutup Dan Terbuka

MUSLIMAH: ANTARA TERTUTUP DAN TERBUKA

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Beberapa malam yang lepas, seorang pensyarah pengajian Islam dari salah sebuah Negara Teluk datang ke rumah saya. Beliau menjadi imam tarawih di tempat saya Dewan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziah. Selepas solat saya menjemputnya berbual dalam rumah saya. Ketika beliau memberitahu saya bahawa beliau mengajar pelajar-pelajar perempuan, saya bertanya apakah negaranya sudah membenarkan guru lelaki mengajar wanita secara berhadapan. Dia kata, dia mengajar menggunakan perantaraan talian komunikasi, bukan secara langsung. Saya tanya kenapa? Dia menjawab tidak wajar lelaki berhadapan dengan wanita secara langsung kerana itu membawa fitnah. Dia lalu membawa beberapa alasan dari hadis Nabi s.a.w untuk memperkukuhkan pandangan tersebut. Jam sudah agak lewat ketika itu, saya mengambil langkah enggan berhujah panjang dengan tetamu saya itu. Apa nak hairan, macam itu mazhab kebanyakan ulama di negaranya.


Di negara kita pula sehari dua ini ada yang tidak puas hati dengan fatwa larangan wanita muslimah menyertai pertandingan ratu cantik. Ada yang membantah kerana kononnya fatwa itu tidak demokratik dan menghalang hak wanita. Hal ini dibangkit dan disokong oleh kumpulan ‘liberal tegar’ yang seperti biasa –sekalipun mungkin tidak mengaku- menjadikan Barat sebagai asas dalam penentuan hal ini. Apabila kita sebut Barat, kita maksudkan pegangan awam yang menguasai cara fikir penentuan polisi di Barat. Kita tidak maksudkan agama Kristian.


Inilah masalah yang menghimpit pemikiran yang sederhana dan adil tentang wanita dalam Dunia Islam. Satu pihak yang begitu sempit tentang wanita sehingga menfardukan budaya setempat yang diberikan lebel agama ke atas wanita seperti yang berlaku di Pakistan dan beberapa negara Arab. Di satu pihak lagi, golongan yang menuntut agar tafsiran agama diselaraskan dengan kehendak semasa di Barat.


Wanita Zaman Nabi


Dalam hadis yang banyak, pergaulan antara lelaki dan wanita di zaman Nabi s.a.w berlaku secara normal tetapi terhormat. Tidak jumud seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Sebab itu sahabiyat atau wanita muslimah pada zaman Nabi s.a.w terlibat membantu Nabi s.a.w dan tentera Islam dalam peperangan. Mereka mengubati tentera yang cedera dan sebagainya. Bahkan ada yang terlibat langsung dengan peperangan. Umpamanya, semasa Peperangan Hunain, Umm Sulaim membawa khanjar (pisau belati) untuk menikam sesiapa yang menghampirinya. Dalam hadis Muslim, suaminya iaitu Abu Talhah berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah! Ini Ummu Sulain, bersamanya khanjar”. Lalu Rasulullah berkata kepada Ummu Sulaim, “Khanjar apakah ini?”. Ummu Sulaim menjawab, “Aku bawa, jika ada musyrikin (musuh) yang menghampiriku nescaya aku belah perutnya dengan ini”.






Begitu juga Umm Haram, apabila dia telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: “Tentera yang pertama dikalangan umatku yang berperang di laut wajiblah bagi mereka itu di syurga.” Kata Umm Haram: “Wahai Rasulullah s.a.w! Adakah aku termasuk dikalangan mereka?” Jawab Baginda: “Ya!” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Tentara yang pertama dikalangan umatku yang memerangi bandar Qaysar (Caesara) diampunkan dosa mereka.” Aku (Umm Haram) berkata: “Adakah aku dikalangan mereka, wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Tidak!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Sejarah mencatatkan, bahawa peperangan umat Nabi s.a.w yang pertama di laut ialah peperangan Cyprus. Umm Haram telah menyertainya dan panglima tentera Islam dalam peperangan tersebut ialah Mu’awiyah ibn Abi Sufyan. Peperangan ini berlaku pada zaman pemerintahan Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan. Mu’awiyah yang menjadi amir ketika itu, turut serta ke medan peperangan bersama dengan isterinya (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/223, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)


Wanita juga terlibat menghidangkan makanan kepada lelaki semasa majlis perkahwinan. Dalam hadis al-Bukhari, masa majlis walimah Abu Usaid al-Sa’idi, isteri beliau yang merupakan pengantin baru melayan hidangan untuk tetamu lelaki, termasuk Rasulullah s.a.w.


Terdapat juga riwayat di mana Rasulullah dan para sahabat pernah nampak isteri al-Zubair ibn al-‘Awwam iaitu Asma bin Abi Bakr yang sedang membawa benih tamar, lalu baginda menjemputnya untuk naik tunggangan baginda. Dalam riwayat al-Bukhari, Asma berkata: “Nabi s.a.w mendudukkan unta untuk aku menaikinya. Aku malu terhadap Nabi dan teringatkan pula sifat cemburu kamu (al-Zubair)”.


Terlalu banyak riwayat yang menunjukkan pergaulan secara terhormat berlaku antara lelaki dan perempuan pada zaman Nabi s.a.w dengan keizinan baginda dan bahkan penglibatan baginda sendiri kadang-kala.


Sopan


Pun begitu, hubungan lelaki dan wanita mempunyai batasan yang mesti dikawal. Menutup aurat salah satu darinya. Pakaian menutup aurat bukan sahaja disuruh oleh Islam bahkan dalam semua agama yang ada hubung kait dengan wahyu serta kenabian seperti Yahudi dan Kristian, sentiasa menganggap menutup kepala dan jasad secara sopan seperti yang dipakai oleh nun dalam Kristian adalah tuntutan. Persamaan itu tidak pelik. Puasa juga Allah tegaskan (maksudnya)


“seperti mana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu”.(Surah al-Baqarah, ayat 183).


Persamaan bukan menunjukkan pengaruh yang salah seperti yang didakwa oleh kelompok anti-tudung kepala.


Dalam al-Quran Allah berfirman: (maksudnya)


“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan jilbab (pakaian) mereka ke atas tubuh mereka; cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Ahzab, ayat 59).


Maka, asas dalam fesyen pakaian seorang wanita muslimah hendaklah berteraskan pakaian yang memberikan gambaran yang pemakainya seorang wanita yang baik dan tidak membangkit nafsu lelaki dengan pendedahan, warna yang melampau, rekaan fesyen yang memberikan nilai yang negatif dan seumpamanya.


Juga firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31(maksudnya):


“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.


Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara: pertama; maksud “kecuali yang zahir daripadanya” ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Sementara kalangan ulama seperti Abu Hanifah memasukkan pergelangan kaki antara yang boleh didedahkan. Dalam bahasa sekarang, tidak wajib memakai stokin. Kedua; ayat di atas menyatakan “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Bahagian belahan leher yang mungkin mendedahkan dada dan sekitarnya itu perlu ditutup.



Inilah pakaian yang syarak tetapkan. Wanita muslimah patut mengetahui identiti mereka seperti yang disebut dalam ayat surah al-Ahzab tadi: ‘cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu’. Pakaian mempunyai nilai yang tersendiri dalam kehidupan masyarakat manusia.


Double Standard


Cuma mungkin ada yang keliru dengan fatwa yang dikeluarkan kerana hanya mengkhususkan pertandingan ratu cantik sedangkan ada lagi acara lain yang lebih terdedah seperti renang dan olahraga-olahraga lain. Mengapa pula tiada fatwa yang menghalang mereka?! Jawapan mungkin kerana olahraga-olahraga itu mendapat sokongan kerajaan-kerajaan yang berkuasa. Jika difatwa, mungkin tidak panjang ajal kontrak yang mengeluarkannya. Ataupun, seperti mazhab ulama muda sebuah pertubuhan politik, jika kesalahan kerajaan kita jangan bising, diam-diam bisik di telinga menteri sudahlah. Orang lain, mereka bising habis-habisan. Ataupun, seperti kata tetamu Arab saya yang keras tentang wanita itu, ‘para ulama hari ini ramai yang bacul’. Saya rasa saya boleh bersetuju dengannya dalam bab itu.


Sukan olahraga yang ada boleh disertai jika penontonnya hanya wanita. Walaupun ada khilaf ulama tentang kadar aurat sesama wanita, namun jika diambil pendapat yang lebih luas maka ruang boleh diberikan kepada mereka. Ataupun, mereka mengenakan suit yang tidak bercanggah dengan syarak. Maka, lelaki boleh melihat acara tersebut. Sekali lagi, walaupun ada pendapat yang sempit, kita memilih pendapat yang sederhana yang lebih memberi kemudahan dalam masa yang sama tidak lari dari nas-nas agama. Namun, tidaklah longgar sehingga melondehkan nas seperti golongan ‘liberal tegar’.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 25, 2013 02:18

July 10, 2013

Kehidupan Bukan Sebuah Novel

KEHIDUPAN BUKAN SEBUAH NOVEL

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Novel, filem dan drama kadang-kala mempengaruhi minda sesetengah pihak sehingga mereka tenggelam dalam khayalan dunia seperti itu. Memang benar, membaca novel, menonton filem ataupun karya seni lain yang menceritakan watak-watak khayalan yang diwujudkan merupakan satu hiburan dan ruang untuk kita menjenguk sisi pandang pengkarya tentang watak dan babak yang diwujudkan itu. Ia membantu percambahan minda, tambahan maklumat dan kadang-kala ia boleh melebarkan diskusi pemikiran.


Namun, pada pandangan saya, kesungguhan untuk memberikan penilaian terhadap rumusan keseluruhan kehidupan bagi sesebuah watak yang diwujudkan dalam novel, cerpen, drama, filem ataupun sebagainya bukanlah satu kerja yang begitu bermanfaat. Ini kerana kisah kehidupan yang diwujudkan dalam karya bikinan manusia itu tidak realiti dan hanya andaian semata. Jalan kisah bagi watak-watak itu ditulis oleh manusia. Sedangkan, kehidupan yang hakiki ditulis oleh Tuhan.


Khayalan Dan Realiti


Para pengkarya menulis cerita berdasarkan khayalan dan kehendak yang ada dalam diri mereka. Khayalan ini dipengaruhi oleh faktor dalaman jiwa, kepentingan diri dan tuntutan persekitaran. Episod dan babak kehidupan yang direka itu, ditafsirkan pula dari sudut pandang seseorang pengkarya yang mempunyai latar diri dan kepentingan yang tersendiri. Sementara kehidupan yang hakiki, jalan kisahnya ditulis oleh Tuhan yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan keperluan, sebaliknya DIA Maha Kaya dan Maha Perkasa.



Walaupun Allah S.W.T memberikan ruang kebebasan kepada manusia untuk memilih antara yang baik dan yang buruk, sehingga ada pihak yang mungkin dizalimi dalam kehidupan dunia atas pemilihan buruk dibuat oleh sebahagian manusia, namun Allah S.W.T menentukan pelbagai keadaan dalam memberikan keadilan dan menzahirkan hikmah dalam perjalanan hidup seseorang. Campur tangan Tuhan dalam plot-plot kehidupan ini sangat ajaib dan halus.


Kisah kehidupan sebenar, jika diteliti tiada yang boleh dikatakan berlaku secara kebetulan, tetapi ia bagaikan plot-plot yang jika dilihat dari awal sehingga akhir, yang zahir dan tersembunyi, yang tersirat dan yang tersurat akan terbongkar rahsianya yang dapat diketahui oleh diri yang melaluinya. Kisah dan watak sebenar yang diceritakan kepada kita dalam banyak keadaan hanya zahir berita yang diriwayatkan. Hakikat dalaman diri seseorang sehingga babak, episod dan jalan cerita yang seperti itu boleh berlaku, hanya Tuhan yang Maha Tahu dan diri berkenaan juag mungkin tahu. Dalam banyak kisah kita hanya mengetahui zahirnya sahaja, sedangkan batin kisah tersebut yang membabitkan rahsia seseorang, niatnya, episod dan babak yang disembunyikan, banyak yang kita tidak tahu. Maka kita menilai sesuatu berdasarkan zahir yang kita tahu, sedangkan Tuhan melihat segalanya zahir dan batin. Apakah sama, antara karya manusia dan realiti hidup yang ditentukan oleh Tuhan.


Tersurat Dan Tersirat


Saya selalu mengambil kisah pelacur dan anjing yang disebut dalam hadis Nabi s.a.w. Nabi s.a.w bersabda:


“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).


Mungkin ada yang bertanya bagaimanakah dengan mudah seorang pelacur yang memberikan minum seekor anjing mendapat keampunan. Apakah ini bererti setiap pelacur yang memberi minum kepada anjing ataupun yang membelanja rakan-rakan yang ‘manusia’ untuk makan dan minum akan mendapat keampunan? Kisah ini bukan soal memberikan anjing atau apa-apa haiwan makan dan minum, tapi apakah yang ada di sebalik perasaannya ketika dia memberi anjing berkenaan minum. Juga kehidupan yang pernah dilaluinya sehingga Tuhan mencampak rahmat ke dalam jantung hatinya untuk melahir dan menzahirkan simpati terhadap anjing berkenaan. Demikian, sudah pasti ada episod yang dilalui pelacur yang menyebabkan Tuhan memilihnya untuk memberikan hidayah dan peristiwa memberi minum anjing itu dijadikan titik tolak keampunan untuknya. Banyak yang tersirat di sebalik yang tersurat.


Jangan pula kita hairan, jika wanita di medan pelacuran mendapat keampunan sedangkan ada mujahid di medan jihad yang mendapat kemurkaan Tuhan. Kata Abu Hurairah r.a:


“Kami menyertai Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, “dia dalam kalangan ahli neraka”. Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah s.a.w: “Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati”. Jawab baginda: “Ke neraka”.


Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, lantas baginda bersabda: “Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasulNya!”. Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan “jiwa yang muslim” dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).



Ini semua berlaku kerana Tuhan sahaja yang mengetahui hakikat yang tersimpan dalam kehidupan seseorang. Ini merentasi andaian setiap kita yang kebanyakannya hanya mampu menilai pada zahir semata. Sekali lagi, banyak yang tersirat di sebalik yang tersurat.


Zahir Dan Batin


Tuhan pula dalam melimpahkan kebahagiaan untuk seseorang itu menerusi pelbagai warna, cara dan rasa. Ia kadang kala merentasi khayalan dan andaian manusia. Betapa ramai yang kita pandang zahirnya derita, batinnya mungkin jauh lebih bahagia dari apa yang kita rasa. Betapa ramai yang dilihat sedang bermandian dengan nikmat dan kebahagiaan, tetapi hakikat Tuhan sedang mencampakkan dalam jiwa keresahan dan derita jiwa yang tidak dapat dihuraikan dan ungkapkan dengan lidah untuk diadukan kepada sesiapa. Kehidupan ini sungguh ajaib dan luar biasa. Tuhan menulis kehidupan yang hakiki, ia merentasi khayalan seorang penulis. Diari kehidupan seseorang yang berjalan dalam alam realiti bersama dengan segala asam garam kehidupan, yang tersurat dan tersirat dan yang zahir dan batin yang ditentukan oleh Tuhan itu, tentu tidak dapat digarap oleh khayalan seorang insan.



Rumusan Sebuah Kehidupan


Walaupun novel mempunyai peranannya yang tersendiri, setiap babak yang dikhayalkan itu juga mungkin kiasan realiti kehidupan yang benar-benar wujud, namun cantuman plot dan babak yang dirangkumkan sehingga menjadi riwayat hidup sesuatu watak ia tetap suatu khayalan semata. Dalam bahasa yang agak kasar, penulis seakan menjadi Tuhan kepada watak-watak rekaan mereka dalam menentukan perjalanan dan takdir hidup yang penulis mahukan. Jika kita andaikan watak itu benar-benar wujud dalam alam realiti, apakah demikian jalan cerita dan gabungan plot yang Tuhan akan tentukan?


Oleh kerana itu, kesimpulan novel banyak dipengaruhi oleh mazhab dan pemikiran seorang pengkarya. Mungkin yang salah itu akan zahir sebagai yang benar dan diredhai Tuhan atas kehendak penulis. Mungkin watak yang benar pada alam realiti, akan zahir sebagai yang salah dan tidak mendapat rahmat Tuhan ataupun kurniaan kehidupan kerana watak itu bertentangan dengan mazhab ataupun pegangan pengkarya.


Maka, saya simpulkan dari segi agama bahawa kita boleh menilai peristiwa-peristiwa yang dikhayal dalam sebuah karya sebagai satu andaian peristiwa seperti andaian hukum bagi perkara iftiradi (andaian), namun kita tidak boleh membuat kesimpulan tentang keseluruhan kehidupan yang direka dan dirumuskan oleh seseorang pengkarya. Ini kerana ia hanya rekaan semata sedangkan perjalanan hidup sebenar yang Tuhan takdirkan yang sangat tersendiri dengan segala hikmat dan rahsianya.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 10, 2013 15:17

June 27, 2013

Islam Dan Kebebasan Budaya Serta Fesyen

ISLAM DAN KEBEBASAN BUDAYA SERTA FESYEN

(artikel 2007)

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Dalam satu majlis kerajaan di Arau, beberapa orang bukan muslim mengambil keputusan untuk tidak menyertainya disebabkan majlis tersebut menetapkan songkok sebagai pakaian rasmi majlis. Mereka merasakan ini seakan menyuruh mereka memakai pakaian Islam sedangkan mereka bukan muslim. Sebenarnya, ini hasil dari salah faham mereka terhadap pakaian dan kebudayaan.


Songkok sebenarnya bukan pakaian agama Islam. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabah baginda tidak pernah memakai songkok. Sebaliknya, ianya merupakan budaya orang di sebelah India dan kemudian dibawa ke Nusantara. Namun saya tidak begitu terkejut dengan salah faham mereka. Sebabnya, saya pernah menghadiri satu mesyuarat perbincangan hukum syarak di peringkat kebangsaan, salah seorang tokoh agama yang dikenali mencadangkan agar dilarang orang Islam memakai baju cheongsam cina atau kurta kaum India. Saya amat terkejut dengan pandangan sempit seperti itu. Bayangkan jika itulah hukum Islam, apa akan terjadi dengan orang Islam di negeri China dan India. Amatlah berat sebelah Islam ini jika ia mengharamkan cheongsam cina dan kurta india, tetapi membenarkan baju melayu. Padahal kesemua pakaian itu tidak dikenali pada zaman Nabi s.a.w. Dari sudut sejarah pula, Islam sampai ke China dan India mendahului Alam Melayu.



Tidak Menghapuskan Budaya


Mereka lupa bahawa antara faktor yang membawa Islam berkembang pantas kepada setiap bangsa dan daerah adalah kerana Islam itu tidak menghapuskan budaya dan adat resam sesuatu bangsa atau negeri selagi mana ianya tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam atau menyebabkan orang salah faham terhadap Islam. Maka Islam mengakui pakaian, bahasa dan kesenian sesuatu kaum selagi tidak menyanggahi nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sebaliknya, jika adat dan kebudayaan itu menjurus kepada unsur syirik seperti amalan tepung tawar dalam masyarakat melayu, atau tokok-tambah dalam agama yang mengelirukan hakikat sebenar Islam, maka ianya ditentang dan dihapuskan.


Hal ini jelas dalam hadis-hadis Nabi s.a.w, antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.,



“Apabila Nabi s.a.w ingin menulis surat Rum . Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad RasululLah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Hadis ini jelas menunjukkan baginda Nabi s.a.w meraikan kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam. Baginda tidak berkeras dengan menolak protokol tersebut atau tidak mempedulikannya. Padahal jika Nabi s.a.w tidak mengikut kebiasaan mereka lalu mereka menolak surat baginda, kerugian hanya balik kepada diri mereka semata. Kedudukan baginda sebagai nabi dan rasul jauh lebih tinggi dari mereka semua. Namun, baginda berlunak dalam hal yang seperti ini.



Fleksibiliti Dalam Pakaian


Rasulullah s.a.w. juga bersifat fleksibel dalam soal fesyen pakaian selagi tidak melanggari batas syariah dan nilai kesopanan. Baginda s.a.w menggalakkan warna putih, namun hadis-hadis menunjukkan baginda juga memakai warna yang lain. Baginda memakai berbagai-bagai pakaian dari berbagai negeri seperti Yaman, Najran, Mesir dan lain-lain. Bahkan dalam hadis dari al-Mughirah bin Su’bah, beliau berkata:



“Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain).


Padahal Rom ketika itu adalah tamadun besar Kristian bagaikan Dunia Barat pada hari ini. Namun jubah Rom atau syamiah tiada kaitan dengan agama berkenaan, ia adalah pakaian bangsa, maka baginda memakainya. Lihat apa kata sarjana agung umat ini Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H):


“Rasululah s.a.w itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah mamakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan keperbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).


Kata al-Imam Ibn Qayyim (meninggal 751H) pula:


“Petunjuk Nabi s.a.w dalam berpakaian itu adalah memakai apa yang paling bermanfaat (sesuai) untuk badan, yang paling ringan dan paling mudah untuk dipakai dan ditangkalkan” (Ibn Qaiyyim, Zad al-Ma’ad, 4/237, Beirut: Muassasah al-Risalah).


Lucu Selipar Nabi


Saya begitu hairan apabila ada orang yang berkempen memakai selipar Rasulullah s.a.w. yang ditemui rupa bentuknya oleh orang kita. Setelah menyemak, reka bentuknya itu tidak pula saya temui dalam hadis-hadis yang sahih. Jika ada sekalipun, itu bukan kempen agama ini. Rasulullah s.a.w memakai apa yang terdapat dan mudah pada zamannya. Baginda s.a.w. sendiri bukannya tukang kasut yang menentukan reka bentuk seliparnya. Alangkah baiknya jika kita berkempen agar orang Islam memilki kilang kasut dan menghasilkan berbagaikan jenis selipar dan kasut. Bukan sekadar mereka cipta bentuk ganjil tapi produk aslinya di tangan orang lain. Cuma, istimewanya selipar tersebut, jika dipakai di Mekah atau Madinah, kemungkinan untuk hilang itu agak tipis. Sebabnya, hanya orang Malaysia yang memakainya dan orang arab belum lagi tahu bahawa demikianlah rupa paras selipar Rasulullah s.a.w. Dengan itu mereka tidak memilikinya. Jika mereka ambil, terus dikesan itu barang curian orang kita. Barangkali itulah rahsia ia di’bisnes’kan dengan jamaah haji kita.



Bagi saya, sesiapa yang ingin memakainya, silakanlah. Itu adalah haknya dan selipar pun memang berbagai fesyen. Namun, jangan dikait-kaitkannya dengan agama ini. Soal fesyen pakaian dan budaya adalah terbuka dengan syarat tidak melanggari prinsip-prinsip syarak seperti pakaian atau perbuatan yang khas hanya untuk penganut agama tertentu selain Islam atau kelompok tertentu yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Ini seperti pakaian atau perbuatan khas sami atau paderi, atau khas kelompok yang terang-terang menyanggahi Islam seperti pakaian ala perompak atau lanun. Sabda Nabi s.a.w:



“Sesiapa yang menyerupai satu puak, maka dia di kalangan mereka” (Riwayat Abu Daud, al-Albani menilainya sebagai sahih).


Adat Tak Menyanggahi Syarak


Namun dalam adat dan kebudayaan yang tidak ada kaitan dengan akidah dan percanggahan dengan hukum-hakam Allah, maka al-Quran dalam Surah al-A’raf ayat 32-33 menyebut:


(maksudnya): Katakanlah (Wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik dari rezeki yang dikurniakanNya?” Katakanlah: “Semuanya itu adalah (nikmat-nikmat diberi) untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) khas (hanya untuk mereka) hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui. Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perkara-perkara keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu Dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.



Justeru itu, apabila Islam masuk ke China, tidak hapuskan pakaian orang cina dan reka bentuk bangunan mereka. Lihat sahaja reka bentuk masjid di China. Demikian tidak dibuang kurta orang India. Demikian juga tidak dihapuskan fesyen pakaian orang melayu yang bersampin dan bersongkok. Dengan syarat tidak menyanggahi ajaran Islam. Malangnya, saya dimaklumkan oleh beberapa orang sahabat yang baru menganut Islam bahawa ada tok kadi yang enggan mengakad nikah mereka kerana memakai fesyen pakaian yang tidak kemelayuan atau kearaban. Ini adalah pemikiran yang sangat sempit.


Di sebuah negara jiran, masyarakat suatu tempat bertengkar kerana sebuah masjid yang dibina tidak mempunyai kubah, sehingga ada yang berkata masjid tersebut tidak boleh diiktiraf sebagai masjid. Saya yang dijemput hadir ketika itu diminta memberikan penyelesaian. Dengan tersenyum saya bertanya: “Adakah tuan-tuan tahu bahawa masjid Nabi s.a.w. pada hari ia dibina pun tiada kubah. Ia hanya dari tanah liat dan berbumbungkan pelepah tamar dan bertiangkan batang tamar? Lihatlah apa yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar dalam Sahih al-Bukhari. Kubah menjelma pada generasi selepas Rasulullah s.a.w sebagai salah satu seni binaan yang diluaskan penggunaannya oleh umat Islam. Kubah bukan syarat sebuah masjid. Apa yang penting fungsi masjid itu hendak benar-benar membangunkan umat. Betapa banyak masjid yang berkubah mewah, tetapi masyarakatnya tidak dapat diubah dan tidak indah. Masjid Nabi s.a.w sekalipun tanpa kubah, tetapi ia telah mengukir sejarah kegemilangan dan mengangkat kedaulatan umat. Masjid tanpa kubah mungkin satu kekurangan di sudut kebiasaan seni kita. Namun masjid yang tidak berfungsi seperti zaman Nabi s.a.w. adalah satu kesalahan agama”. Akhirnya mereka akur.


Sunnah Adat


Kehidupan manusia ini berbagai. Seni dalam kehidupan pula pasti berbagai. Islam tidak memaksa bukan arab meniru budaya arab. Pakaian dan seni yang berkaitan dengan bangsa Arab itu –jika ia dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.- diketegorikan sebagai sunnah jibilliyyah atau sunnah ‘adah iaitu perjalanan hidup baginda disebabkan faktor keinsanan dan kearaban baginda. Dalam ertikata lain, jika baginda bukan seorang nabi pun, sunnah jenis ini tetap wujud. Ini seperti jubah, serban, kegemaran baginda memakan labu, kaki kambing dan seumpamanya. Semua ini wujud sejak sebelum baginda ditabalkan menjadi rasul. Golongan bukan muslim pada zaman baginda juga mengamalkannya. Selagi tiada nas yang sahih memerintahkan umat mengikutinya maka sunnah jenis ini menurut pendapat sebahagian ulama hukumnya hanyalah harus sahaja. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam Abu Syamah al-Maqdisi (meninggal 665H) dalam Al-Muhaqqiq Min ‘Ilm al-Usul fima yata’allaq bi Af’al al-Rasul (lihat: m.s 41, Madinah Andalus: Muassasah Qurtubah). Dibolehkan untuk sesiapa ingin memakainya dan juga diharuskan pula untuk meninggalkannya.



Maka tidak menjadi masalah untuk seorang yang menganut Islam tidak pernah memakai jubah, atau serban, atau memakan kambing atau labu atau seumpamanya. Jangan diberat-beratkan masalah ini. Dahulu ada kumpulan agama yang mewajibkan ahlinya memakai fesyen jubah tertentu sentiasa. Jika Islam itu fokus utamanya mengenai fesyen pakaian, apakah ianya praktikal untuk semua bangsa?. Sedangkan manusia ini berbeza latar kegiatannya dan iklim tempat tinggalnya.


Sepatutnya


Malanglah jika ada pusat pendidikan agama, pasanteren atau pondok yang terlalu menekan soal sunnah adat arab ini, dalam masa yang sama tidak bersungguh-sungguh dalam persoalan sunnah yang memasti cara ibadah menepati amalan sebenar nabi s.a.w, juga soal pembangunan ilmu dan keluasan minda, kekuatan dan kemajuan dalam berbagai bidang.


Justeru, sunnah baginda yang mana tidak wujud jika tidak kerana baginda seorang rasul, diperintahkan untuk kita ikuti. Ini seperti cara solat, puasa, haji, prinsip ekonomi, pendidikan, perundangan dan seumpamanya. Bahkan diharamkan kita menokok tambah atau mereka cipta apa yang baginda yang tidak tunjuk dalam soal ibadah, kerana itu seperti mencabar kerasulan baginda. Maka perkara ibadah khusus seperti wuduk, solat, puasa, haji hanya diambil daripada baginda, tokok tambah atau seni rekaan tidak diiktiraf. Di samping itu, ada pula adab dan akhlak yang dibudayakan oleh Islam terhadap umat. Antaranya, membaca bismillah ketika makan, menggunakan tangan kanan ketika menyuapkan makanan dan kebudayaan Islam yang lain ditegaskan oleh Nabi s.a.w. Sabda Nabi s.a.w kepada ‘Umar bin Abi Salamah waktu dia hendak makan, ketika itu dia masih kecil:



“Wahai budak! Sebutlah nama Allah, makan dengan tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Malang sekali, saya dapati masih ada orang Islam yang tidak membiasakan diri dengan budaya Islam yang seperti ini. Saya lihat dalam berbagai majlis, ada orang Islam yang menyuapkan makanan ke mulutnya dengan tangan kiri. Islam tidak pernah melarang penganutnya menggunakan sudu atau garpu atau cop stick. Namun perintah Islam, umatnya mestilah menyuapkan makanan ke mulut dengan tangan kanan, bukan kiri. Kita boleh menggunakan budaya atau kebiasaan apa-apa kaum pun, namun jika ia berlawanan dengan budaya yang ditetapkan oleh Islam, maka ia hendaklah ditinggalkan.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2013 04:05

June 20, 2013

Siapakah Pejuang?

SIAPAKAH PEJUANG?

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Ramai dalam sejarah insan-insan yang ditabalkan sebagai pejuang. Rekod kehidupan mereka membuktikan bahawa mereka memang pejuang. Mereka berani menanggung risiko perjuangan. Mereka bukan sahaja sanggup berkorban tetapi benar-benar telah berkorban kerana perjuangan mereka. Mengharungi rintangan yang pahit dan cabaran yang getir sehingga mahu tidak mahu mereka diiktiraf oleh sejarah. Jika tidak pun pada hari mereka hidup, mereka akan diiktiraf selepas mereka mati. Jika tidak diiktiraf oleh golongan yang berkepentingan, mereka kelak tetap akan diiktiraf oleh golongan yang sedar dan insaf akan kepahlawanan mereka. Pun begitu ada juga pejuang yang dilupakan. Ada juga wira yang tidak didendang dan dikenang.


Ciri Pejuang


Pejuang itu muncul dalam pelbagai medan dan cara. Namun bersatu dalam beberapa perkara asas. Mereka ada matlamat yang dapat difahami, ada keberanian untuk mencapai matlamat tersebut dan ada kesanggupan untuk menanggung bebanan perjuangan. Orang yang tidak tahu matlamat perjuangannya tidak boleh dianggap pejuang. Orang yang bacul juga bukan pejuang. Orang yang tidak sanggup berkorban dan mengharungi susah payah dalam membayar harga perjuangan juga tidak layak digelar pejuang. Orang yang menyuruh orang lain memanggilnya wira ataupun pejuang, sedangkan dia tidak berkorban bahkan meratah keuntungan atas hasil usaha orang lain lagilah tidak layak digelar pejuang.


Apabila pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka menjemput saya pada 2-3 Julai ini untuk mengulas novel sasterawan Negara Dato’ Anwar Ridhwan berjudul ‘Penyeberang Sempadan’, maka saya pun membaca novel tersebut sehingga habis. Novel yang memenangi Hadiah Sako itu memang menarik untuk dibaca. Kisah tentang seorang pejuang yang dimunculkan oleh keadaan kemudian hidup dalam kebingungan mencari arah dalam dunia yang penuh tidak pasti. Watak utama yang diberi nama ‘Kuay’ dalam novel itu merupakan pejuang bersenjata bersama komunis yang menentang British sebelum kemerdekaan. Beliau menjadi ‘orang buruan’ dan terus dianggap sebagai ancaman kepada negara walaupun selepas 20 tahun negara merdeka. Dari novel itu saya terfikir, siapakah pejuang?! Orang seperti Kuay, seperti Mat Indera dan seumpama mereka, apakah dianggap pejuang?


Kehebatan


Dalam sejarah, kita melihat orang seperti Che Guevara yang berjuang dengan senjata dan gerila. Saya terpesona dengan kesanggupan dan pengorbanannya. Ada yang seperti William Wilberforce yang berjuang menerusi politik dan parlimen. Saya amat kagum dengan kesungguhannya, bahkan dengan isi perjuangannya yang mulia. Berjuang untuk satu hasrat yang murni iaitu pembebasan hamba. Sanggup mempertaruhkan kepentingan politik dan menerima tekanan demi hasrat tersebut.



Filem mengenainya ‘The Amazing Graze’ benar-benar menjadikan perasaan sebak dan semangat membakar. Nelson Mandela juga hebat sebagai pejuang. ‘Long Walk to Freedom’ menjadikan kita terpukau dengan kesanggupan menanggung derita yang begitu berat untuk sebuah perjuangan yang diyakini benar. Sanggup dipenjara, tidak rela dibebaskan jika perjuangan tergadai. Hebat!



Gandhi juga pejuang yang hebat yang menggunakan sentimen rakyat untuk mencapai kepentingan perjuangan yang baik. Florence Nightingale merupakan wanita gigih lagi mulia yang berjuang untuk memberi khidmat kepada orang lain. Menonton filem Sang Pencerah menjadikan saya bersemangat untuk mengikuti watak utamanya iaitu Kiyai Ahmad Dahlan yang merupakan tokoh besar sejarah tajdid agama di Indonesia. Terasa menusuk jiwa. Perjuangan dan cabaran. Bak kata sang sufi ‘sesiapa yang tidak rasa, tidak dapat memahaminya’. Terlalu ramai lagi jika hendak disebutkan dalam sejarah pembinaan tamadun manusia. Mengiktiraf keperwiraan seseorang pejuang, bukan semestinya kita menyokong ataupun bersetuju dengan semua pegangannya. Kita mungkin tidak bersetuju dengan ‘socialismChe Guevera, namun kita perlu akur dia pejuang yang handal dan ada nilai-nilai positif yang patut dipuji pada dirinya.


Iktiraf


Golongan agama di samping membaca dan mengkaji tentang sejarah para pejuang ‘agama’, perlu juga melihat sejarah para pejuang lain dari pelbagai latar supaya kita memiliki horizon penilaian yang lebih luas. Jika pun kita tidak bersetuju, kita wajar juga mengiktiraf kesungguhan dan mempelajari strategi yang telah mereka lalui. Bahkan tidaklah salah untuk kita mengiktiraf kebaikan perjuangan mereka dan menyertainya jika ternyata itu satu kebaikan. Seperti yang selalu disebutkan bahawa Nabi s.a.w mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish semasa jahiliah kerana isinya membela golongan yang ditindas.


Al-Tahawi dalam Mushkil al-Athar, juga al-Baihaqi (dalam as-Sunan al-Kubra meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda:


“Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad’an. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai.”


Di samping kita juga perlu tahu, mungkin ramai dalam kalangan mereka yang tersenarai sebagai pejuang itu tidak sampai kepada mereka ajaran Islam yang sebenar. Maka, kita tidak boleh menuntut untuk mereka mendasari perjuangan mereka kepada ajaran Islam seperti yang kita fahami. Firman Allah: (maksudnya)


“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15).


Dikenang


Ramai pejuang yang tidak dikenang semasa hayat mereka. Bahkan kebanyakan pejuang itu menderita semasa hidup mereka. Diburu, dihina, dicerca, dipenjara, diseksa bahkan ada yang dibunuh.


Nilai perjuangan pula, diukur berdasarkan kepada aliran masing-masing. Seseorang mungkin dianggap pejuang oleh satu pihak, tetapi mungkin pulak dianggap pengkhianat oleh pihak yang lain. Bukan semua pejuang mendapat pengiktirafan menyeluruh oleh bangsa dan negaranya. Betapa ramai pejuang yang difitnah semasa hayat mereka dan fitnah itu terus dibawa sehingga mereka telah lama pergi meninggalkan dunia ini. Kemudian apabila pejuang itu dikenang, apa penghargaan yang hendak diberikan selepas mereka tiada?!



Saya pernah berkata kepada seorang ketua negara yang berbicara dengan saya secara peribadi bahawa ramai pemimpin yang dikenang jasanya dengan diberikan nama bangunan, atau jalanraya atau sekolah atau bandar sempena namanya. Dapatkah dia merasai nikmat itu? Dapatkah dia merasa kenikmatan hanya kerana namanya disebut selepas mati? Sedangkan dia berhadapan dengan Tuhan yang akan mempersoalkan segala tindakan dan amalannya.


Ramai pula yang mengaku jujur dan ikhlas, sedangkan maksud sebenarnya Allah mungkin tidak demikian. Maka dalam Islam, seseorang yang hendak berjuang, terlebih dahulu hendaklah dia membetulkan niatnya dengan tuhannya. Keimanan yang luhur kepada pembalasan baik dan buruk terhadap amalan di dunia ini boleh menjadikan seseorang itu pejuang yang sejati. Balasan nikmat dari Allah itu yang paling diharapkan. Pengiktirafan Allah itu maha penting. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda:


“Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”.


Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.


Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”.


Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.


Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”.


Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (riwayat Muslim).



Tiada syurga untuknya, sebaliknya baginya neraka. Maka, dalam Islam sesiapa yang ingin berjuang hendaklah mengikhlaskan diri kepada Allah, kemudian memastikan dia berada pada landasan perjuangan yang betul yang Allah redha padanya. Nabi s.a.w pernah ditanya:


“Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?


Rasulullah s.a.w menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Maka, pejuang Islam ialah seorang ikhlas niat dan benar jalan perjuangan yang dipilihnya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 20, 2013 05:09

June 6, 2013

Bingkisan Tentang Saudi Dan Wahabi

BINGKISAN TENTANG SAUDI DAN WAHABI

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Saya baru sahaja pulang dari umrah dua hari lepas. Lima hari saya di Mekah. Alhamdulillah, setelah hampir setahun saya tidak ke Mekah, saya direzekikan Allah untuk kembali ke sana. Bumi Mekah itu sentiasa menjadi kerinduan jiwa. Kita tidak mencari Tuhan di Mekah kerana Tuhan itu hadir di mana sahaja kita berada. Ia lebih dekat kepada kita dari urat tengkok kita sendiri. Tuhan sentiasa hampir kepada mereka yang memanggil dan mengharapkannya sekalipun seseorang itu berada begitu jauh dari Mekah. Kita ke Mekah untuk menunaikan ibadah. Kita ke Mekah untuk mencari limpahan keberkatan yang Tuhan janjikan. DIA telah melimpahkan keberkatanNYA kepada beberapa tempat dan waktu yang disebut dalam nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, dan Mekah adalah ibu tempat limpahan keberkatan.


Bergambar


Zaman telah berubah. Dahulu tidak ramai orang kita yang dapat sampai ke Mekah. Namun hari ini, atas kurniaan rezeki yang Allah berikan kepada penduduk muslimin dalam negara ini, orang Malaysia melimpahi Mekah dan Madinah setiap waktu cuti. Di sana-sini saya bertemu orang Malaysia dan sering kali mereka meminta untuk bergambar bersama. Seingat saya dalam empat hari di Mekah, ratusan gambar saya yang diambil. Walaupun saya sebenarnya tidaklah begitu ‘seronok’ kerana saya tahu tiada apa yang istimewa bagi seseorang bergambar dengan saya. Siapalah saya ini?!! Tiada keberkatan, tiada pula harga di pasaran. Saya sama seperti mereka juga, mencari keberkatan Tuhan di sana. Bahkan mereka yang bergambar itu mungkin jauh lebih mulia di sisi Allah dibandingkan saya. Terkenal nama, bukan bererti mulia. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui hakikat hamba-hambaNYA. Namun, jika itu hasrat mereka, sebagai insan yang bersosial maka saya izinkan saja. Saya rasa mereka pun faham hakikat itu. Mungkin bagi mereka sekadar kenangan di samping gambar pelbagai latar dan manusia lain yang mereka perolehi. Namun, dukacita jika ada yang lebih sibuk dengan kamera dari menumpukan perhatian kepada ibadah di tempat yang berkat tersebut sedangkan tempoh mereka di sana tidaklah lama.


Liberalism


Semasa di Mekah baru-baru ini saya menginap di Hotel Hilton. Setiap pagi, hotel itu membekalkan akhbar Saudi Gazette. Kalau berdasarkan berita-berita akhbar berkenaan, perjuangan hak wanita di Saudi makin rancak. Saya tahu, agak lama gerakan yang dilabelkan oleh ulama konservatif Saudi sebagai liberalism berjalan di Saudi. Golongan agamawan yang menguasai banyak institusi kerajaan Saudi cuba menghadapi arus ini. Namun, ia bukannya mudah. Makin berkembang atas banyak faktor. Antaranya, golongan bangsawan sendiri ramai yang menyokong.



Juga, disebabkan corak pemikiran agama yang dikatakan agak beku di Saudi, Raja Abdullah telah menghantar ramai para pelajar Saudi termasuk dalam bidang agama ke universiti-universiti di Barat. Mereka mendapat biasiswa dan akan menjadi tenaga pengajar di universiti-universiti di Saudi. Faktor bahasa Inggeris yang begitu berkembang di negara-negara Teluk seperti Qatar dan UAE amat menyumbang. Saudi juga terkena tempiasan walaupun belum sekuat negara-negara tersebut. Buku-buku yang mengkritik keadaan di Saudi juga mula dibaca oleh golongan muda. Novel ‘Princess’ yang merupakan international bestseller tulisan Jean Sasson yang mendedahkan tentang keadaan wanita dalam keluarga diRaja Saudi sudah dibaca oleh banyak pihak. Walaupun ada pihak yang mempertikaikan sejauh manakah keaslian cerita tersebut, namun banyak perkara yang disebutkan itu berasas yang dapat dirasai oleh wanita Saudi. Berita-berita pro-aliran pembaharuan ini banyak dalam akhbar berbahasa Inggeris. Ini dapat mengurangkan serangan dari golongan konservatif agama yang tidak membaca atau mampu membaca akhbar dalam bahasa tersebut. Jika tidak tentu pelbagai fatwa akan diisytiharkan. Itu pun dah banyak ‘hukuman’ telah dikeluarkan.


Faktor internet juga memainkan peranan penting dalam menggerakkan minda perubahan di Saudi. Maklumat tentang dunia, hak wanita dan rakyat sudah tidak dapat disekat. Twitter dan facebook membantu usaha pembaharuan golongan muda.


Kegagalan


Ada satu faktor yang ingin saya tegaskan ialah soal kegagalan golongan agamawan untuk menangani masalah semasa yang dihadapi oleh umat. Kecenderungan kepada mengharamkan perkara-perkara baru tanpa memberikan jalan keluar ataupun alternatif kepada masalah menjadikan agama kelihatan tidak relevan pada mata mereka yang salahfaham. Umpamanya, sekian lama ulama Saudi mengharamkan wanita memandu kereta kononnya itu boleh membawa kerosakan akhlak ataupun fitnah. Demikian soal mewajibkan purdah. Sekarang segolongan ulama Saudi sibuk pula menentang cadangan membenarkan wanita Saudi bekerja di premis perniagaan seperti di kedai ataupun supermarket. Alasannya sama, membawa fitnah. Dukacitanya, dalam masa yang sama mereka tidak sibuk untuk memperkatakan tentang keganasan rumahtangga secara bersungguh seperti mereka sibuk menghalang wanita memandu dan berniaga. Akhirnya dilihat agama bagaikan berat sebelah. Hanya asyik menghukum wanita tetapi memberikan pelbagai kuasa ‘penindasan’ kepada lelaki.



Dalam akhbar Saudi Gazette bertarikh 2 June 2013 bertajuk: ‘Hit her if you dare’. Ia menceritakan sekumpulan wanita muda melancarkan kempen anti-domestic violence (anti keganasan rumahtangga). Kumpulan ini diusahakan oleh Libra Productions, sebuah studio pengeluar audio dan muzik di Jeddah. Usaha yang seperti ini sepatutnya dijuarai oleh para ulama khususnya mereka yang ternama dan berkedudukan. Fatwa-fatwa membela wanita sepatutnya jelas kedengaran dan diedarkan secara meluas seperti mana kesibukan mereka dengan fatwa-fatwa yang mengongkong wanita. Walaupun sebahagian fatwa itu mempunyai asas dalil yang kuat, namun sebahagian yang lain hanya atas sentimen semata tanpa hujah yang kukuh seperti isu memandu dan melarang wanita berniaga. Sementara yang lain, hanya sentimen mazhab seperti isu purdah. Wanita Saudi patut membaca buku Tahrir al-Mar’ah fi ‘Asr al-Risalah tulisan Abd al-Halim Abu Suqqah yang menggambarkan kehidupan wanita pada zaman Nabi s.a.w. Maksud buku itu ialah Pembebasan Wanita di Zaman Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sebenarnya membebaskan wanita dari kongkongan jahiliah dan kekejaman lelaki. Apa yang berlaku dalam sesetengah masyarakat beragama seakan membawa kepada sebaliknya.


Wahabi


Saudi sering dikaitkan dengan fahaman wahabi. Asalnya, ia merujuk kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab. Mulanya, ia sebuah gerakan pembaharuan yang sepatutnya menghidupkan reform. Antara yang bagus dalam gerakan itu ialah keluasan bermazhab dan melihat dalil dari pelbagai pihak. Dalam sejarah gerakan tersebut, ia telah menjadi inspirasi kepada banyak gerakan lain di dunia ini. Sehingga para ulama Deoband India yang beraliran Ashairah dan Maturidiyyah juga dituduh wahabi oleh penduduk di sana. Golongan pembaharuan di Indonesia dan Tanah Melayu juga dituduh wahabi sejak dahulu sehingga hari ini. Prof Hamka dituduh wahabi, gerakan Kaum Muda yang membela wanita melayu dalam pelajaran dan rumahtangga dilebel sebagai wahabi dan pelbagai lagi. Padahal –walaupun ada beberapa sudut persamaan- di Tanah Melayu pengaruh Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha yang lebih kuat. Wahabi telah dijadikan jenama untuk golongan konservatif menuduh musuh-musuh mereka.


Ini menunjukkan pengaruh gerakan pembaharuan Muhammad ‘Abdul Wahhab begitu kuat. Sehingga Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut :


“Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya):“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).


Namun malangnya, ramai pewaris gerakan itu dan golongan yang menggunakan jenama ‘salafi’ memilih untuk bermazhab dengan kejumudan dalam memahami nas-nas agama. Mereka enggan memahami keluasan nas dengan melihat kepada konteksnya yang sepatut. Lalu mereka jumud dalam muamalat sehingga gagal menghidangkan Islam yang dapat menangani perkembangan masyarakat hari ini. Maka, ‘wahabi’ menjadi jenama kejumudan bukan lagi keluasan. Ia telah seiras dengan golongan konservatif agama yang sedia ada walaupun berbeza dalam beberapa perkara. Bahkan segelintir golongan yang dinamakan wahabi itu mengharamkan Fiqh al-Waqi ataupun memahami realiti dalam berfatwa. Ini disebabkan kejumudan minda dan kedangkalan memahami Usul al-Fiqh.


Di samping sibuk dengan isu-isu pinggiran seperti isbal, muzik, mengklasifikasikan orang, menyesatkan mereka yang tidak sealiran, sebahagian mereka yang menggelar diri salafi itu pula sibuk menjadi lidah yang membela para pemerintah yang munkar. Mereka mengumpulkan dalil untuk berhujah tentang kewajipan mentaati pemerintah dalam apa keadaan sekalipun, tapi mereka tidak mengumpulkan dalil tentang haramnya kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan hak dan pelbagai perkara yang lain. Mereka gagal melihat dalil dalam konteksnya. Mereka mengikut salaf dalam perkara yang mereka mahu, dan meninggalkan salaf dalam perkara yang bertentangan dengan nafsu penguasa yang mereka patuhi.


Maka jadilah jenama salafi ataupun ‘wahabi’ itu makin disalahfahami dan mengelirukan.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 06, 2013 01:05

May 16, 2013

Antara Mencintai Tanahair Dan Mencintai Penguasanya

ANTARA MENCINTAI TANAHAIR DAN MENCINTAI PENGUASANYA

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Hadis ‘Cintakan tanahair itu daripada Iman’ tidak sahih. Bahkan ia hadis maudu’ (palsu). Ini dinyatakan oleh al-Saghani (meninggal 650H/1252M) dalam karyanya al-Maudu‘aat. Ini dipersetujui oleh para huffaz (para ilmuwan ulung hadis) seperti yang disebut oleh ‘Ali al-Qari dalam bukunya al-Masnu’ fi Ma’rifat al-Hadith al-Maudu’. Walaupun hadis ini palsu (fabricated) dari sudut kesabitannya (authenticity) daripada Nabi Muhammad s.a.w, namun ada tokoh seperti Muhammad Tahir al-Fatani (meninggal 986H/1578M) dari India dalam karyanya Tazkirah al-Maudu‘aat menyatakan dari sudut maksud ataupun isi kandungannya benar. Dalam kata lain menurut pendapat beliau, hadis ini memang tidak sabit daripada Nabi s.a.w, tetapi kandungan maksud yang terdapat dalam teks itu benar. Ertinya, cinta tanahair itu termasuk dalam iman.



Pun begitu, sarjana hadis lain seperti Muhammad Nasir al-Din al-Albani memberikan komentar yang berbeza. Dalam karyanya Silsilah al-Da’ifah wa al-Maudu’ah beliau menyebut:


“Makna hadis ini tidak betul. Ini kerana cintakan tanahair sama seperti cintakan nyawa, harta dan seumpamanya. Semua itu sudah wujud dalam jiwa insan. Tidak dipuji kerana mencintainya, tidak juga ia termasuk dalam kelaziman iman. Tidakkah engkau lihat semua manusia berkongsi cinta tersebut?! Tiada beza antara yang mukmin dan yang kafir” (1/110. Riyadh: Maktab al-Ma’arif).


Fitrah


Pendapat al-Albani ini benar dari satu sudut bahawa ia sesuatu yang termasuk dalam gharizah iaitu tabiat semulajadi insan ataupun fitrah. Namun menyatakan ia tidak terpuji adalah sesuatu yang kurang tepat. Islam memuji manusia yang hidup berpegang kepada fitrah. Sayang harta yang mengelakkan pembaziran dipuji dalam Islam. Sayang nyawa yang menghalang kemusnahan diri diperintahkan oleh al-Quran. Pembaziran dan pemusnahan jiwa diharamkan. Sudah pasti cinta tanahair yang menghalang kerosakannya sesuatu yang dipuji.


Sesuatu yang sama antara muslim dan non-muslim bukan bererti tidak dipuji dalam Islam. Menyayangi anak-anak dan ibubapa sesuatu yang dikongsi oleh muslim dan bukan muslim. Ia terpuji. Menghilangkan bahaya di jalanan, termasuk dalam cabang iman. Orang bukan muslim juga melakukannya. Walaupun untuk mereka ia tidak termasuk dalam iman tetapi mereka juga melakukannya. Ia sesuatu yang terpuji. Persamaan tidak menafikan kebaikan. Pandangan al-Albani di sini kurang kemas untuk diterima.


Kasih Nabi Muhammad


Apa yang saya hendak sampaikan, betapa kecintaan kepada tanahair adalah sesuatu yang terpuji. Ia termasuk dalam fitrah insan untuk mencintai tanahairnya. Nabi Muhammad s.a.w pun cintakan tanahairnya iaitu Mekah. Apabila dihalau oleh penduduk Mekah, Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat terpaksa berhijrah ke Madinah. Para sahabat termasuk Bilal bin Rabah yang merupakan seorang hamba abdi ketika di Mekah, demam merindui Mekah. Apatah lagi Abu Bakar al-Siddiq yang merupakan bangsawan Mekah. Apabila baginda Nabi s.a.w mengetahui keadaan itu, baginda berdoa


“Ya Allah! Jadikanlah cinta kami kepada Madinah seperti cinta kami kepada Mekah, ataupun lebih dari itu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah mengucapkan untuk Mekah:


“Alangkah indah engkau (Mekah) sebuah negara . Alangkah sayangnya daku kepadamu. Jikalau tidak kerana kaumku menghalau daku keluar darimu, aku tidak akan menetap selain darimu”(Riwayat al-Tirmizi, sahih).



Sekalipun Nabi s.a.w terpaksa bertempur dengan pasukan tentera Mekah yang dikuasai oleh rejim Quraish yang zalim, itu tidak pernah mematikan rasa kasih dan sayang kepada tanahair baginda iaitu Mekah. Demikianlah juga perasaan para sahabah yang terpaksa berhijrah meninggalkan Mekah yang mereka kasihi. Fath al-Makkah ataupun Pembukaan Mekah di mana Nabi s.a.w kembali mengambil alih Mekah dengan kuasa tentera bersama orang lain dari luar, adalah kemuncak kecintaan kepada Mekah. Mereka membersihkan Mekah dari kesyirikan, kezaliman, penindasan dan selainnya. Itu tanda kasih mereka kepada Mekah.


Patriotik


Kasihkan watan adalah sesuatu yang fitrah. Orang melayu bermadah ‘tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain’. Tanahair ialah tempat kelahiran kita dan keluarga. Membesar dalam persekitarannya. Mencium udaranya. Meminum airnya. Memakan makanannya. Melihat budaya, warna dan rupa saban masa dalamnya. Lebaran kenangan diari kehidupan yang tersimpan tentangnya. Jiwa yang normal pasti akan menghargai dan mengasihi. Sayang dan ingin membelanya dari kerosakan. Itu makna patriotik yang sebenar.


Perlu diingat, semangat sayang dan kasih kepada tanahair tidak berkaitan dengan kecintaan kepada kuasa politik yang menguasainya. Orang Pulau Pinang yang sayangkan Pulau Pinang tidak semestinya sayangkan pemerintahannya, demikian Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain. Orang Malaysia sayangkan watan ini, cintakan tanah tumpah darah ini tidak semestinya bersetuju ataupun mencintai kuasa politik yang memerintah di dalamnya. Perlu dibezakan antara semangat patriotism dan nationalism. Dalam The Blackwell Encyclopedia of Political Thought, disebut:


Patriotism: a love of one’s homeland, implying a readiness to act in its defense and to favour it in other dealings. It is often confused with nationalism, but is a far older idea, and carries with a less theoretical baggage. Nationalism presupposes that nations exist as real and distinct entities; patriotism, on the other hand, may simply involve attachment to a physical locality or a way of life, and need not involve any abstract idea of ‘country’.


Jangan Nafikan


Tiada pihak yang boleh memaksa orang lain mencintai parti politik yang berkuasa dalam watannya atas nama semangat patriotism. Tiada siapa pula yang boleh ditakrifkan sebagai tidak patriotik hanya kerana dia tidak menyokong kerajaan tertentu yang berkuasa atas negeri atau negaranya. Kuasa politik boleh datang dan pergi. Boleh bertukar ganti. Sultan dan menteri juga boleh dibuang ataupun dipasang. Hanya keadaan yang menentukan. Namun hakikat bahawa tanahair dan watan ini adalah milik kita, lahir di sini, berketurunan di sini, membesar dalamnya adalah sesuatu yang tidak boleh diubah dan dinafikan oleh mana-mana pihak pun.


Justeru, penentangan terhadap kuasa politik di watannya yang seseorang tinggal dalamnya tidak menafikan cinta dan sayangnya dia kepada tanahairnya. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat dihalau keluar dari Mekah. Mereka kemudian berpakat dengan orang Madinah memerangi kuasa politik Mekah yang zalim. Bahkan mendapat bantuan luar menawan Mekah dan membebaskan Mekah dari kuasa yang zalim tersebut. Itu semua tidak menafikan cinta Nabi s.a.w kepada Mekah.


Orang Kelantan yang tidak suka PAS bukan bererti tidak sayang Kelantan. Orang Penang yang tidak suka DAP bukan bererti tidak sayang Penang. Orang Selangor yang tidak suka PKR bukan bererti tidak sayang Selangor. Orang Malaysia yang tidak suka BN bukan bererti tidak cintakan negara.



Demikian orang Johor yang tidak sukakan Sultan Johor bukan bererti membenci Johor. Orang Pahang yang tidak sukakan Sultan Pahang bukan bererti membenci Pahang. Begitulah seterusnya. Mungkin yang rakyat tidak suka itu penyelewengan kuasa dan penyalahgunaan harta rakyat yang dibuat oleh mereka yang memegang tampok-tampok tersebut. Namun, sayang negeri dan negara tetap kekal.


Mereka di istana-istana, parti-parti politik yang bersaing, juga macai-macai yang mengampu, jangan cuba mendajalkan rakyat dengan menafikan kecintaan seseorang kepada tanahair; negeri ataupun negara mereka hanya kerana tidak mendapat sokongan politik yang idamkan.


Sesiapa yang sayangkan tanahairnya lalu enggan watannya dirosakkan. Rela mempertahankan kebaikan dan kebenaran yang menjadi hak buminya, maka dia seorang yang cintakan tanahairnya, dia seorang yang patriotik! Cara kecintaan itu diterjemahkan mungkin berbeza, tapi cinta tetap di jiwa.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 16, 2013 05:26

May 10, 2013

KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN MEDIA PROF MADYA DATO’ DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

ISU PERKAUMAN


‘MEREKA YANG MENGAPIKAN ISU PERKAUMAN MELANGGAR AJARAN ISLAM’


1. Tindakan sesetengah pihak mengapi-apikan isu perkauman kebelakangan ini adalah perbuatan jahiliyyah yang diharamkan syarak. Ia boleh mengundang kemusnahan masyarakat dan negara terutama negara multi-racial seperti Malaysia ini. Ia akan menimbulkan pelbagai sangkaan dan penilaian yang mungkin tidak berasaskan fakta yang benar. Lantas, akan menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas prejudice perkauman.


2. Antara perkara yang ditentang oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah sikap fanatik perkauman ataupun ‘asabiyyah yang menilai kebaikan dan keburukan berdasarkan kaum bukan prinsip kebenaran dan keadilan. Islam adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi. Keadilan Islam itu melebar merentasi perbezaan pemikiran dan agama.


3. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau cina atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya.


Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)


“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).


4. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titik keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:


“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).


Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut:


“I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.


5. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya):


Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).


Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:


“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).


6. Maka, haram bagi seorang muslim meniupkan api perkauman yang menzalimi pihak yang tidak bersalah hanya kerana warna kulit ataupun keturunannya. Wajib kita mempamirkan keindahan kesejagatan Islam (the universality of Islam) kepada semua pihak supaya keindahan Islam dapat diterima oleh manusia.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 10, 2013 20:47

April 25, 2013

Ubah, Ubah dan Ubah Lagi

UBAH, UBAH DAN UBAH LAGI

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Saya suka dengan perkataan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz kepada ‘setiausaha politiknya’ Rajak bin Haiwah. Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz:


“Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).


Manusia yang normal sentiasa berkehendak kepada perubahan. Berubah kepada yang lebih baik. Sekalipun kadang-kala dalam proses perubahan manusia terpaksa mengalami kesusahan. Persis seperti orang yang berpindah rumah dari yang kecil kepada yang lebih besar, selesa dan baik. Dalam proses pemindahan mungkin ada banyak kesusahan di peringkat awal. Mungkin terpaksa berjimat terlebih dahulu sebelum mampu membeli rumah baru yang besar. Terpaksa mengangkat barang-barang yang berat. Mungkin juga ada barang kesayangan yang terjatuh dan rosak. Terpaksa tinggalkan jiran-jiran lama yang disayangi. Terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan pelbagai lagi.


Namun jika dia tidak pindah, taraf hidupnya tidak berkembang. Anak-anak akan susah hidup dalam rumah yang sempit. Di tempat baru, dia menikmati kemudahan hidup yang lebih selesa dan persekitaran yang lebih nyaman.



Esok Lebih Baik


Manusia yang normal sentiasa cuba memastikan hari esok lebih baik dari hari ini. Mengubah persekitaran hidup ke arah yang lebih baik adalah tabiat manusia bertamadun. Hanya yang kita tidak ubah ialah prinsip-prinsip kebenaran yang merentasi masa dan tempat. Pun begitu, cara melaksanakan prinsip-prinsip kebenaran itu juga kadang-kadang berubah. Cara menegakkan keadilan dalam masyarakat berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Pendekatan mencegah kezaliman juga berubah mengikut keadaan masa dan tempat. Namun tanggungjawab menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman itu kekal sehingga kiamat.


Manusia yang enggan berubah dan takut hendak berubah kerana satu risiko yang tidak pasti asas ialah manusia yang dungu. Seseorang yang takut hendak belajar ke peringkat tinggi kerana bimbang dianggap sombong adalah orang yang membodohkan dirinya. Lebih bodoh lagi, jika seseorang yang sanggup hidup dalam keadaan berpenyakit dan bimbang sembuh kerana takut jika terlalu sihat nanti dia akan makan nasi lebih banyak lalu kos hidup akan jadi lebih tinggi. Dia lupa bahawa kos ubat yang dia ambil setiap hari melebihi kos nasi yang mungkin dia tambah jika dia sihat. Demikian dalam politik.


Pindah


Air yang bertakung akan rosak. Air yang mengalir lebih baik untuk digunakan. Air yang mengalir juga lebih indah bau dan bunyi iramanya. Air yang bertakung kadang-kala ada kegerunan pada bunyi senyapnya itu. Kuasa politik juga demikian. Jika ia terlalu berada dalam genggaman seseorang, banyak keburukannya. Ketamakan, salahguna, keegoan, kesombongan dan sebagainya akan berlaku. Jika hal itu mula kelihatan pada seseorang atau sesuatu pentadbiran maka hendaklah kuasa itu dialirkan ke pihak lain agar dapat mengelakkan keadaan yang seperti itu. Di situ datangnya peranan pilihanraya dalam sistem demokrasi. Dalam konteks Malaysia, perkara ini terpakai untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh BN ataupun PR.



Kata syair ‘Arab yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafii:


‘Seorang yang berakal dan beradab tidak akan kekal berehat di satu tempat. Tinggalkanlah tanahair dan mengembaralah. Bermusafirlah, nescaya engkau dapati ganti orang yang engkau tinggalkan. Berletihanlah, kerana kelazatan hidup pada keletihan (untuk mendapat kebaikan). Aku melihat terhentinya air itu merosakkannya. Jika ia mengalir maka baik, jika ia tidak mengalir tidak baik’.


Hijrah dalam Islam mempunyai perlambangan yang tersendiri. Ia adalah perlambangan betapa perlunya kita berpindah kepada yang lebih baik. Negara kita tidak boleh berpolitik dengan tahap lama lagi. Kita perlukan politik masa depan yang lebih matang dan berkualiti. Kita tidak wajar membandingkan kehidupan kita dengan zaman Jepun makan ubi kayu. Mengapa kita tidak bandingkan kualiti integriti kepimpinan kita dengan Negara Jepun?! Media tidak wajar memperbodohkan akal rakyat dengan menemubual pakcik-pakcik kampung yang bercakap tentang zaman Jepun. Pemimpin sepatutnya berusaha mendidik rakyat maju ke hadapan, bukan melihat ke belakang. Ibn Hamdun dalam al-Tazkirah al-Hamduniyyah memetik kata-kata Plato:


“Jangan kamu paksa anak-anak kamu dengan cara kamu kerana mereka diciptakan bukan untuk zaman kamu”.


Dalam kerangka politik, saya tidak menaruh penuh kepercayaan kepada BN ataupun PR. Saya tidak beriman kepada parti-parti itu bahawa mereka akan memenuhi segala maksud kebaikan untuk sebuah negara yang bernama Malaysia ini. Saya rasa tabiat politik antara keduanya masih banyak yang sama. Walaupun masing-masing ada kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Mungkin ada beberapa tokoh dalam parti-parti itu yang berkualiti tinggi, namun kedua gabungan politik itu masih banyak yang terikat dengan ‘order lama’ politik. Lihat sahaja cara Dr Haron Din dan Karpal Singh membincangkan tentang isu hudud di waktu sepatutnya fokus rakyat kepada perkara-perkara yang lebih praktikal untuk masa ini. Lihat pula bagaimana BN mengendalikan media massa semasa pilihanraya ini. Namun, saya percaya satu perkara; perubahan, pengaliran kuasa, penggiliran, menghadkan tempoh kekuasaan, memberi peluang kepada tawaran-tawaran baru untuk rakyat adalah satu cara untuk mematangkan politik dan membawanya ke arah yang lebih baik.



Saya percaya tukar, tukar dan tukar lagi sehingga kita dapat yang terbaik, dapat membawa negara ke arah yang lebih matang dan baik. Kita hendaklah bersedia untuk menukar BN kepada PR, ataupun PR kepada BN ataupun membuang keduanya sekali pada masa depan dan memunculkan politik baru sehingga kita menemui yang terbaik. Apabila yang terbaik itu mula ‘merepek’, kita akan tukar lagi. Kita tidak pentingkan nama parti, tetapi kualiti servis yang mampu diberikan! Kita sanggup menukar jika perlu tanpa mengira BN ataupun PR. Ubah, ubah dan ubah lagi sehingga yang baik diperolehi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 25, 2013 02:42

April 11, 2013

Apakah Pilihan Kita Itu Memang Pilihan Kita?

APAKAH PILIHAN KITA ITU MEMANG PILIHAN KITA?

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Beberapa orang melayu yang kurang biasa dengan makanan Jepun memasuki sebuah restaurant makanan Jepun untuk mencuba. Pelayan Japanese Restaurant itu datang dan memberikan menu makanan yang ada di restaurant berkenaan. Nama-nama makanan semuanya berbunyi jepun. Semua bunyi itu agak asing bagi pelanggan-pelanggan melayu berkenaan. ‘Sila pilih menu yang tuan-tuan mahukan’, kata pelayan.


Oleh kerana mereka tiada pengalaman merasai makanan jepun mereka kata ‘kami mahu menu yang sedap’. Pelayan itu pun mula membuat cadangan yang sedap pada pendapat beliau. Mereka pun setuju dan memesan makanan berdasarkan cadangan tersebut. Setelah makanan dihidangkan, para pelanggan melayu berkenaan mendapati ia tidak sedap seperti yang diharapkan. Kata mereka: ‘Ini tidak sedap! Kami minta yang sedap! Dah la harganya pula mahal, kita tertipu!’. Pelayan menjawab: “Saya berikan berdasarkan pilihan tuan-tuan. Saya tidak bersalah. Tuan-tuan telah membuat pilihan tadi tanpa sebarang paksaan”.



Terhad


Saya mulakan sketch di atas sebagai gambaran bagaimana manusia kemungkinan memilih apa yang bukan menjadi hasratnya sekalipun dia diberikan kebebasan memilih. Hal ini juga dibincangkan oleh ahli-ahli theology, falsafah dan kerohanian tentang sejauh manakah manusia benar-benar memilih apa yang dia benar-benar mahukan. Who decides? Do I choose for myself? Am I really free to decide? . Namun saya tidak mahu tenggelam dalam perbahasan mereka. Saya ingin membahaskan perkara ini dengan lebih simple terutamanya di musim pilihanraya ini.


Kegagalan para pelanggan tadi memilih apa yang mereka benar-benar mahukan iaitu makanan yang sedap adalah disebabkan beberapa perkara. Antaranya, mungkin makanan yang sedap yang mengikut selera melayu mereka tidak wujud di restaurant berkenaan. Maka, walaupun hak memilih diberikan, namun pilihan mereka terbatas dan apa yang dihajati tidak wujud dalam senarai pemilihan. Ini juga berlaku dalam hidup kita di mana kita kadang-kala walaupun mempunyai ruangan memilih tetapi apa yang menjadi pilihan kita tiada dalam senarai yang boleh kita pilih. Ini telah membataskan kebebasan pemilihan yang ada. Sehingga seseorang mungkin terpaksa memilih yang terbaik antara yang buruk-buruk. Ini disebut dalam qawaid fiqhiyyah ‘ Yukhtar Ahwan al-Syarrain’ atau Akhaf al-Dararain iaitu dipilih keburukan ataupun kemudaratan yang paling ringan dibandingkan yang lain. Ertinya jika tiada pilihan kita disuruh memilih bahaya yang paling kurang dibandingkan yang lain.


Pengetahuan


Kedua, kebebasan pemilihan tidak memberikan apa-apa makna jika kita tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita pilih. Ini seperti kaki ‘tikam ekor’ yang sekalipun dia memilih nombor yang dia mahu, tetapi semuanya tidak berasaskan ilmu pengetahuan. Kejahilan! Ya kejahilan akan mensia-siakan kebebasan memilih sesuatu. Para pelanggan Japanese Restaurant tadi jahil tentang makanan Jepun. Sekalipun mereka diberikan peluang memilih, tetapi memilih dalam kejahilan. Oleh kerana mereka jahil, maka terpaksa bergantung kepada pihak lain yang belum tentu tahu apakah maksud ‘sedap’ yang sebenarnya menjadi hasrat mereka. Ataupun, mereka tertipu kerana mereka mudah ditipu sebab tidak tahu. Mereka terdedah untuk ditipu atas nama pilihan sendiri. Padahal pilihan mereka ditentukan oleh pihak lain disebabkan kegagalan ilmu untuk menentukan pilihan yang benar-benar dikehendaki.


Justeru, memberikan kebebasan memilih tetapi tidak memberikan ilmu mengenai pilihan yang ada hanya mensia-siakan hak pemilihan. Akhirnya, walaupun seseorang mempunyai hak memilih tetapi pilihannya ditentukan oleh pihak lain yang mengambil kesempatan atas kejahilan. Dalam kata lain, memberikan kebebasan memilih, tapi tidak diberikan ruang ilmu untuk mengetahui senarai pilihan dengan adil dan betul adalah satu penipuan.


Kesempatan


Manusia hari ini banyak yang tertipu oleh iklan palsu. Dunia advertisement mempunyai seni yang tersendiri untuk mempengaruhi pelanggan sehingga mereka membeli apa yang bukan sebenarnya hasrat mereka. Media-massa demikian juga. Manusia akhirnya mempercayai apa yang bukan sebenarnya mereka patut percayai. Kedanggalan pengetahuan boleh diambil kesempatan oleh pihak lain untuk menipu pilihan seseorang.


Dalam pilihanraya, jika kebebasan memilih diberikan tetapi peluang untuk rakyat mengenali setiap calon dan parti secara adil tidak diberikan maka itu mensia-siakan hak memilih. Jika ada pihak yang menghalang rakyat mengetahui latar senarai pilihan secara adil dan saksama bererti pihak itu adalah penipu dan perosak kepada hak memilih yang sebenar rakyat.


Islam melarang kita mengikut ataupun memilih sesuatu tanpa ilmu yang cukup. Firman Allah: (maksudnya):


“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra: 36).



Al-Quran menyuruh untuk kita mendengar dari pelbagai maklumat dan mengikut yang terbaik. Inilah yang dipanggil Ulul Albab. (maksudnya)


“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).


Ertinya, untuk seseorang dapat menjadi insan yang baik dia hendaklah mendengar pelbagai maklumat kemudian mengikut yang terbaik dari apa yang didengari dan dipelajari. Jika ada pihak yang menghalang rakyat dari ruang mendapat maklumat yang seimbang, maka itu satu usaha untuk menyesat rakyat dari pilihan yang betul samada dalam pemikiran ataupun politik. Tariq Ramadan dalam The Quest For Meaning menyebut:


‘..any society that does not guarantee the conditions for survival and life of all, education for all and rule of law to defend individual freedom (in the handling of interpersonal relationships) is a society that fails to respect basic human rights. It deprives its members of their potential and their powers, and, at best, encourages their illusions as to the immensity of power offered by the virtuality of their will, their dreams and their imagination.’ (57-58. Penguin Books, UK).


Tertipu


Menipu dengan cara mengelirukan pemilihan orang lain adalah satu kesalahan. Penipuan bererti mengkaburkan pengetahuan pihak yang memilih sehingga dia memilih apa yang bukan pilihannya. Justeru itu suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:


“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).


Jika dilihat dalam konteks pilihanraya, ramai yang menyembunyikan hakikat dan menzahir yang baik sehingga orang ramai tertipu. Mereka menyangka mereka membeli barangan yang baik, padahal itu sebenarnya buruk. Mereka sangka mereka undi pihak yang baik, sebenarnya mereka memilih yang buruk. Namun, kempen yang bohong telah merosakkan hasrat pemilihan mereka yang sebenar. Sesiapa yang terlibat dalam kempen yang sedemikian, dia bukan dalam pengikut umat Nabi s.a.w.


Kita impikan kerajaan dan pemimpin yang menjamin hak-hak rakyat memilih dengan cara yang adil dan saksama. Pemberian hak mengundi secara bebas tidak bermakna jika ruang mengetahui apa yang hendak dipilih secara adil tidak bebas dan diberikan secara yang adil juga. Keadilan media awam amatlah penting dalam proses pilihanraya yang adil. Jika tidak, kita memilih apa yang bukan pilihan kita kerana kita tertipu.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 11, 2013 02:08

April 4, 2013

Pilihanraya Dan Harta Awam

PILIHANRAYA DAN HARTA AWAM

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Apabila kita membaca Sirah Nabi s.a.w kita merasa betapa kita umat Islam khususnya kepimpinan negara-negara umat Islam amat jauh dari mengambil teladan dari sirah baginda yang agung. Sekalipun nama Nabi Muhammad s.a.w itu sering digunakan oleh pelbagai pihak termasuk golongan politik, namun realitinya kita lebih banyak menggunakan label dari mengambil isinya.


Menjelang pilihanraya, tentu pelbagai pihak akan menyebut nama Nabi s.a.w seakan merekalah yang paling dekat dengan ajaran baginda. Ada yang mengaku keturunan Nabi s.a.w untuk menebalkan poket dan mendekatkan diri kepada penguasa. Ada yang mengakui kononnya ‘salafi’ bermanhaj salaf konon padahal merekalah yang menyimpang dari maqasid agama yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Ada yang membangkitkan soal perkauman, lalu menyatakan perjuangannya diajar oleh Nabi s.a.w. Golongan politik pula akan menggunakan sesiapa sahaja dan apa sahaja yang boleh menguntung kehendak politik mereka. Jika nama Nabi s.a.w boleh dijual, mereka mungkin akan menjualnya untuk mendapatkan untung politik.


Tidak Pelik


Kita jangan hairan jika orang politik mempunyai pelbagai watak terutama musim pilihanraya ini. Kita mungkin melihat mereka bagaikan wali yang suci dengan penuh tawaduk bersujud di depan khalayak ramai dan media. Kemudian kita juga mungkin mendapati mereka penuh kerakusan kuasa, meratah harta awam, membohongi rakyat jelata, berjanji dusta dan menipu semahunya. Kesemuanya mungkin bagi yang menjadikan kuasa matlamat kehidupan mereka. Tidak kira apa jenama parti sekalipun, jika penyakit gila kuasa bersarang dan menguasai salur darah dan nafas seseorang, dia ketagih kuasa dan mungkin melakukan apa sahaja.


Hudaibiyah


Saya amat kagum dengan kejujuran Nabi s.a.w dalam melaksanakan janji yang dimeterai dan tidak pernah khianat kepada persetujuan yang dibuat. Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat pada tahun keenam hijrah antara bukti yang mengkagumkan. Ramai juga sahabat tidak bersetuju dengan isi perjanjian tersebut yang dimeterai antara Nabi s.a.w dengan kaum Quraish Mekah yang terkenal sejak dari hari awal terus menerus memerangi Islam. Suhail bin ‘Amr mewakili pihak Quraish bagi memeterai perjanjian tersebut. Antara isi perjanjian yang dipersetujui ialah sesiapa dalam kalangan Quraish yang pergi kepada pihak Muhammad (kaum muslimin di Madinah) tanpa keizinan keluarganya hendaklah dipulangkan kepada pihak Quraish. Sesiapa dalam kalangan mereka yang bersama Muhammad yang pergi kepada pihak Quraish, tidak dipulangkan kepada pihak Muhammad’. (Isi perjanjian ini disebut dalam pelbagai riwayat dari al-Bukhari, Muslim, Ahmad, al-Baihaqi dll).



Nabi s.a.w telah bersetuju dengan kandungan perjanjian ini. Ditakdirkan semasa perjanjian dimeterai, anak Suhail bin ‘Amr sendiri yang dipanggil Abu Jandal yang menganut Islam datang kepada Nabi s.a.w dalam keadaan dirantai kerana disiksa oleh bapanya. Dia berjaya melarikan diri dari kepungan lalu datang mendapatkan Nabi s.a.w dan kaum muslimin. Kata Suhail kepada Nabi s.a.w: “Wahai Muhammad! Ini perkara pertama yang aku tuntut engkau laksanakan bagi perjanjian ini, engkau hendaklah kembalikan dia kepadaku”. Nabi s.a.w cuba memujuk Suhail dengan pelbagai cara agar mengecualikan kes Abu Jandal ini. Namun Suhail tetap berkeras dengan isi perjanjian tersebut. Para sahabat begitu sedih melihat Abu Jandal yang menganut Islam tetapi disiksa dengan begitu dahsyat oleh bapanya. Dia dirantai dan dipukul.


Baginda Nabi s.a.w terpaksa mengembalikan Abu Jandal kepada bapanya disebabkan perjanjian tersebut. Abu Jandal menjerit dengan suara yang kuat menyebut:


“Wahai kaum muslimin! Tergamak kamu mengembalikan daku kepada puak syirik yang akan menyiksa daku kerana agamaku?!”. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abu Jandal: “Wahai Abu Jandal! Bersabar dan haraplah pahala. Sesungguhnya Allah akan menjadikan untuk engkau dan mereka yang tertindas bersamamu jalan keluar. Kita telah mengikat perjanjian dengan kaum Quraish. Kita terpaksa patuh dan mereka juga kena patuh. Kita sama sekali tidak mengkhianati mereka”. (Riwayat Ahmad dan sebahagiannya dari al-Bukhari dan Ibn Ishaq).


Janji Ditepati


Demikianlah setianya Nabi s.a.w kepada perjanjian. Walaupun para sahabat ramai yang tidak bersetuju dan mencadangkan peperangan, namun bukanlah seorang nabi jika baginda mengkhianati perjanjian. Memamng, jika kaum muslimin memilih perang kemungkinan besar mereka boleh menang, buktinya dua tahun kemudian disebabkan Quraish sendiri yang melanggar perjanjian, Nabi s.a.w pun menawan Mekah pada tahun kelapan hijrah. Namun Nabi s.a.w tidak memilih perang atas strategi politik baginda yang kemudiannya terbukti amat berkesan.


Jika perjanjian dengan musuh Islam dipatuhi oleh Nabi s.a.w tanpa khianat, apatah lagi jika kita berjanji sesama muslim ataupun antara pemerintah dan rakyat. Setiap pihak, terutama yang mengaku muslim, yang sering menggunakan nama Nabi Muhammad s.a.w lebih wajar untuk mematuhi persetujuan yang disepakati.


Setiap parti dalam negara ini sudah ada kerajaan samada pusat ataupun negeri. BN dan PR juga sama. Pada musim piliharaya, mereka tidak boleh menggunakan harta negara ataupun negeri yang menjadi milik semua untuk kepentingan parti mereka. Kereta kerajaan, harta kerajaan dan kemudahan kerajaan tidak boleh digunakan secara khusus untuk kempen kepentingan diri ataupun parti.



Khianat


Mereka tidak boleh datang berkempen diri ataupun parti menggunakan kereta ataupun apa sahaja harta awam. Bukan semua sokong BN ataupun PR. Jika yang pro-BN redha, yang pro-PR mungkin tidak redha. Jika yang pro-PR redha, yang pro-BN mungkin tidak redha. Jika kedua pihak redha meredhai dalam membelasah harta awam, mungkin mereka yang tidak pro BN atau PR tidak redha. Maka, mereka jangan khianat amanah yang diberikan di tangan mereka.


Demikian juga media awam yang dibayar oleh harta kerajaan, hendaklah bebas dari kepentingan mana-mana parti politik. Sekian lama sejak merdeka, pihak penguasa sering ‘merembat’ habis-habisan media-media awam ini, termasuk TV Hijrah yang kelihatan ‘agama’ yang turut digunakan untuk kempen. Padahal ia dibiayai oleh harta awam yang menjadi milik bersama.



Dalam negara demokrasi yang berjanji satu proses pilihanraya yang adil, janji wajib itu dilaksanakan. Saya akur, telah berlaku usaha pembaikan pengurusan pilihanraya kita untuk membolehkan ia lebih adil. Kita hargai. Namun masih ada ruang yang patut dibaiki. Saya tidak fanatik mana-mana parti. Bukan juga penjilat mana-mana pemimpin kerajaan ataupun pembangkang. Saya juga tidak beriman dengan kejujuran mana-mana parti yang sedia ada itu. Namun setiap rakyat memerlukan maklumat yang saksama untuk dia membuat pilihan. Media awam patutnya memainkan peranan tersebut. Jika ada media yang dimiliki oleh pihak-pihak tertentu, pihak lain juga patut diberikan lesen memiliki media mereka untuk membolehkan mereka menyiarkan pandangan mereka. Mana-mana pihak yang sanggup membentuk kerajaan yang memberikan hak tersebut, wajar disokong.


Akhirnya, setelah ruang mengenali setiap pihak dibuka secara adil, bermula dari mereka di universiti sehingga atuk dan tok wan di kampong dapat berfikir semampunya apa yang menjadi hasrat mereka sebagai rakyat, mereka pun mengundi. Undian itu mempunyai harga dan maruah diri rakyat. Percayalah, jika ruang sepenuh dibuka pun, tidak semestinya mereka akan menukar kerajaan ataupun memilih pembangkang. Jika mereka menukar pun, itu hak mereka yang diberikan oleh sebuah negara yang adil.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 04, 2013 02:37

Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog

Mohd. Asri Zainul Abidin
Mohd. Asri Zainul Abidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mohd. Asri Zainul Abidin's blog with rss.