Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog, page 269

April 17, 2014

Jangan ‘Main Ceduk’ Apa Saja Ke Bakul Agama

JANGAN ‘MAIN CEDUK’ APA SAJA KE BAKUL AGAMA

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Menjadi satu masalah yang besar apabila penceramah ataupun penulis mengutip semua cerita yang dia jumpa dalam buku tanpa mampu menilai kemunasabahannya. Bagi mereka yang tidak memahami disiplin ilmu, menganggap setiap yang ada dalam kitab itu sahih. Terbaru kita dengar ada pihak mempopularkan cerita memanggil arwah di Telaga Barahut (Barahut atau disebut juga Burhut seperti yang dinyatakan dalam Lisan al-‘Arab). Kononnya, ada orang memanggil roh dari telaga berkenaan untuk mengetahui di mana hartanya di simpan oleh kawannya sebelum dia meninggal. Mungkin niatnya ikhlas, tapi cerita itu tak berasas dan ‘kartun’ sekalipun disebut dalam beberapa kitab. Saya terbayang, jika ini benar, bolehlah kita pergi panggil roh-roh penumpang MH370 dan bertanya di manakah kapal terbang berkenaan hilang.


Sahih


Walaupun asas nama Telaga Barahut itu disebut dalam hadis yang thabit riwayat al-Tabarani dan selainnya sebagai seburuk-buruk telaga, namun cerita si fulan memanggil roh kawannya dari telaga itu tiada asas yang sabit. Mudah untuk difahami seperti cerita Nabi Khidir. Kisah itu ada dalam al-Quran dalam Surah al-Kahf. Nama Khidir itu pula disebut dalam Sahih al-Bukhari. Namun cerita dalam Hikayat Melayu Lama bahawa Hang Tuah bertemu Khidir tiada asas yang boleh dipercayai.


Menggunakan kewujudan cerita itu dalam al-Quran dan as-Sunnah sebagai dalil untuk membenarkan cerita yang direka kemudian adalah satu kaedah yang tertolak dan tidak boleh diterima sama sekali. Cerita yang datang kemudian, jika pun hendak diterima, hendaklah dinilai dari segi keselarasan dengan al-Quran dan as-Sunnah serta lojik yang kukuh.


al quran


Menjadikan alasan ia wujud dalam sesebuah kitab (dalam Bahasa Melayu kitab bermaksud buku) bukan alasan yang diterima di sisi ahli riwayat. Kewujudan sesebuah cerita dalam sesebuah kitab tidak menjadi bukti kesahihannya. Bahkan, banyak riwayat dalam kitab-kitab terdahulu yang tidak sahih. Dalam kitab-kitab tafsir ada pelbagai riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Tidak boleh semuanya dipercayai. Ada disiplin ilmu yang mesti diikuti sebelum memetik kisah-kisah itu. Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi:


“Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).


Palsu


Dalam kitab-kitab hadis banyak hadis yang palsu. Para ulama hadis menyuruh kita menyemak sanad dan matan sebelum sesuatu hadis diterima. Bahkan para sarjana hadis telah bertungkus-lumus melakukan klasifikasi hadis bagi membezakan yang sabit dari selainnya. Kata al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H):


“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”.( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir)


Dalam membaca bahan sejarah juga demikian. Bukan semua yang ada dalam buku sejarah itu boleh dipetik tanpa menyemak sanad dan matannya. Empunya kitab sejarah terbesar al-Imam al-Tabari (meninggal 310) sendiri mengingatkan hal ini pada mukadimah kitabnya:


“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”.(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).


Saya petik kata-kata Syeikh Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi dalam membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari:


“Para ahli sejarah Islam telah menulis himpunan riwayat yang begitu banyak dalam penulisan mereka. Mereka mencampuradukkan antara yang sahih dengan yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan apa yang sahih daripada yang sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan riwayat-riwayat tersebut secara bersanad. Mereka juga menyebut perawi-perawi bagi setiap sanad. Selain itu, mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu dengan yang lain. Ini bukanlah bererti kehendak mereka adalah untuk berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya, tetapi yang menjadi tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap berita yang sampai kepada mereka sama ada riwayat itu benar, dusta, betul atau salah”. (Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, hlm. 7)


Malangnya apabila kedangkalan disiplin ini tidak dikuasai, ada yang menceduk apa sahaja yang dia jumpa tanpa menghayati disiplin dalam periwayatan.


Lojik


Perkara yang tidak lojik dan menyanggah akal waras tidak mungkin hendak dikaitkan dengan Islam. Inilah yang kita ulang apa yang disebut oleh sesetengah sarjana hadis:


Apabila engkau melihat sesebuah hadith menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadith yang palsu (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut: Dar al-Fikr).


TadribAlRawi


Ilmuwan al-Azhar sendiri, Dr. al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah juga menyebut:


“Sepertimana para ulama hadith mengambil berat berhubung analisa kritis terhadap sanad yang merupakan analisa kritis luaran, mereka juga membuat analisa kritis terhadap matan (textual criticism) iaitu analisa kritis dalaman. Ini terbukti dengan mereka menjadikan salah satu tanda-tanda hadis palsu ialah percanggahannya dengan al-`aql (akal), atau al-musyahadah (apa yang disaksi di alam kenyataan), atau al-hiss (apa yang dikesan oleh pancaindera) sedangkan ia tidak mampu untuk ditakwilkan dengan takwilan yang hampir dan mungkin (untuk diselaraskan). Dalam banyak keadaan mereka maksudkan ialah percanggahan dengan al-Quran, atau al-Sunnah yang masyhur lagi sahih, atau sejarah yang diketahui, sedangkan ia tidak mampu untuk ditaufiqkan (diharmonikan). (Abu Syahbah, Difa’ an al-Sunnah, m.s. 31. Kaherah: Maktabah al-Sunnah)


Buku-buku memang banyak. Pun begitu, mensahihkan sesuatu perlukan kaedah yang betul. Bukan salah untuk mengutip cerita-cerita yang lemah sekadar iktibar, tapi hendaklah jangan disandarkan kepada agama Allah yang maha mulia ini. Jangan pula cerita itu menjatuhkan mertabat Islam sebagai agama yang rasional dan penuh dengan alasan yang munasabah bagi setiap perkara nanti orang bersalah sangka kepada agama.


Kisah-kisah pengajaran orang soleh dan para wali boleh dipetik tapi pasti ia seiras dengan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Juga agama tidak mungkin membawa sesuatu yang tidak dapat disaksikan kebenarannya oleh akal yang waras. Jangan kita main ceduk semua benda dan masukkan ke dalam bakul agama.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 17, 2014 04:09

April 10, 2014

Jangan Lelong Murah Nama Nabi S.A.W

JANGAN LELONG MURAH NAMA NABI S.A.W

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Saya tertarik dengan twitter Imam dan khatib Masjidil Haram al-Syeikh Su’uud al-Syuraim yang menyebut: (terjemahan) “dakwaan bermimpi Nabi s.a.w menyuruh membunuh banyak nyawa adalah satu kejahatan yang nyata”.


Beliau mungkin menjawab satu ucapan seorang tokoh agama di Mesir dalam videonya yang mendakwa bahawa beliau bermimpi berjumpa dan Nabi s.a.w menyuruh membunuh penunjuk perasaan yang membantah kerajaan tentera.


IMG-20140407-WA0020


-Gambar Hiasan


Salahguna


Demikian nama Nabi s.a.w sering digunakan untuk pelbagai kepentingan. Oleh kerana nama baginda begitu laku maka ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk pelbagai kepentingan diri dan puak. Mendakwa mimpi berjumpa Nabi, di samping untuk kepentingan tertentu, ia juga bertujuan untuk menunjukkan diri kepada orang ramai bahawa diri yang bermimpi itu sangat istimewa. Inilah yang cuba ditonjolkan oleh sesetengah guru agama dalam membina pengaruhnya dalam masyarakat. Hal ini berbeza dengan golongan salaf terdahulu yang sentiasa merendah diri dalam memperkatakan tentang kedudukan mereka di sisi Allah S.W.T


Imam Ahlus Sunnah wal Jama’ah al-Imam Ahmad bin Hanbal yang merupakan sarjana hadis yang agung ketika seseorang berkata kepadanya:


“Ibu saya telah bermimpi bagi engkau syurga”. Jawab al-Imam Ahmad: “Wahai saudara! Dahulu Sahl bin Salamah telah diberitahu perkara yang sebegini kemudian dia melakukan menumpahkan darah manusia”. Kata Ahmad bin Hanbal lagi: “Mimpi itu mengembirakan orang mukmin, bukan memperdayakannya”. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 11/227. Beirut: Muassasah ar-Risalah).


Dusta


Namun apabila agama menjadi bahan untuk kepentingan diri, maka mimpi dijadikan hujah, sedangkan nas yang terang diketepikan. Betapa banyak nas yang Nabi s.a.w melarang kezaliman, kesombongan, mengambil kesempatan atas harta orang ramai dengan menggunakan nama agama dan lain-lain penyalahgunaan dan penindasan. Masakan Nabi s.a.w muncul dalam mimpi seseorang yang akhirnya mencetus kesemua hal itu. Masakan Allah mengiktiraf insan tertentu dengan diberikan kurniaan bermimpi Nabi s.a.w sedangkan dia akhirnya membuat perkara yang dilarang oleh Nabi s.a.w.


Sesiapa yang mendakwa bermimpi Nabi s.a.w dengan satu mesej yang menyanggahi ajaran Nabi s.a.w, dia sebenarnya berbohong. Jika pun dia bermimpi, itu sebenarnya syaitan yang menyerupai orang lain, lalu kerana dia tidak kenal Nabi s.a.w maka dia menyangka itu baginda. Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w tetapi boleh menyerupai orang lain dan yang tidak tahu menyangka itu Nabi s.a.w. Syaitan boleh menipu sesiapa sahaja sekalipun yang berserban besar.


Jumpa Nabi


Hari ini ramai yang membuat pelbagai majlis atas nama Nabi Muhammad s.a.w. Pada asasnya mengingati Nabi s.a.w dalam usaha mengamalkan ajaran baginda memanglah sesuatu yang baik. Bernasyid dan berqasidah untuk hiburan hati juga tidak salah. Memuja dan memuji Nabi s.a.w dalam puisi dan syair juga baik. Namun, jika Nabi s.a.w itu sekadar satu upacara dalam menaikkan golongan tertentu ataupun mengaut keuntungan tertentu maka itu tidak akan membawa masyarakat kepada Nabi s.a.w.


Ada pula yang mendakwa kononnya Nabi s.a.w itu hadir ke dalam majlis mereka secara jaga atau yaqazah. Ada yang melambai kononnya Nabi s.a.w itu hadir. Sekadar lambai suka-suka maka itu sekadar hiburan. Namun apabila melibatkan dakwaan tertentu berkaitan agama maka itu perlukan dalil syarak. Takrif sahabat Nabi s.a.w di sisi Ahli Hadis ialah ‘sesiapa yang berjumpa dengan Nabi s.a.w, beriman dengan baginda dan mati dalam iman’. Soalannya, apakah mereka yang berjumpa Nabi s.a.w dalam majlis-majlis di Malaysia ini telah menjadi sahabat Nabi s.a.w sehingga mereka ini nanti kita sebut selepas nama mereka radiyalLahu ‘anhu. Dakwaan yang seperti ini mempunyai kesan yang bukan mudah. Jika kita masih ingat dahulu Ashaari Muhammad pengasas Pertubuhan al-Arqam yang membawa ajaran sesat yang berasaskan mimpi dan pertemuannya secara yaqazah (jaga) dengan Nabi s.a.w. Akhirnya pelbagai dakwaan pelik dikeluarkannya dengan bersandar kepada dialognya dengan Nabi s.a.w. yang dia dakwa itu.


Para sahabat Nabi s.a.w telah menghadapi pelbagai krisis dan masalah. Mereka tidak pernah menggunakan mimpi berjumpa Nabi s.a.w dalam pertikaian antara mereka. Tidak pernah ‘Ali ataupun ‘Aishah ataupun al-Zubair ataupun Talhah dalam krisis antara mereka yang telah membawa kepada penumpahan darah itu mendakwa bermimpi berjumpa Nabi s.a.w dalam menentu kebenaran. Padahal mereka lebih perlukan dan lebih layak untuk bermimpi berjumpa baginda. Maka, kita kena ingat apa yang Nabi s.a.w ingatkan kita:


“Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).


Cinta


Ramai orang suka menyandarkan diri mereka kepada Nabi s.a.w dengan dakwaan mereka keluarga Nabi s.a.w ataupun pencinta keluarga Nabi s.a.w. Paling hebat dalam hal ini golongan Syiah dan mereka yang mendekati jalan yang diambil oleh Syiah.


Kita tidak boleh nafikan bahawa kita semua dituntut menyayangi keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait). Saban hari kita bersalawat buat mereka. Namun, bukan semua Ahlul Bait itu mendapat kemuliaan Allah. Hanya Ahlul Bait yang mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w sahaja. Iman bukan warisan keturunan. Anak Nabi Nuh a.s. menjadi penderhaka kepada beliau. Maka tidak mustahil ada keturunan Nabi Muhammad s.a.w juga yang tidak mengikuti jalan baginda. Perkataan ‘habib’ dan ‘sayyid’ bukan jaminan seseorang itu berada atas jalan Nabi s.a.w. Nabi s.a.w pernah menegaskan:


“Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap ‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Nafi


Dalam keghairahan mendakwa sebagai pengikut Nabi s.a.w ataupun pencinta Nabi s.a.w, kita janganlah lupa bahawa dalam hadis banyak golongan yang Nabi s.a.w tidak mengaku mereka sebagai pengikut baginda. Mendakwa itu mudah, tetapi untuk mendapat pengiktirafan dari baginda s.a.w memerlukan usaha kita semua agar berada atas panduan baginda.


Antara golongan yang Nabi s.a.w tidak mengaku sebagai pengikut baginda ialah golongan menipu umat Islam terutama dari segi harta benda. Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:


“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).


Pencinta dan keluarga Nabi s.a.w tidak boleh bersama dengan penipuan. Nabi s.a.w tidak mengaku sebagai pengikut baginda. Bahkan pencinta wajar tegas dalam memperkatakan kebenaran. Sesiapa yang menipu hakikat dan menyelewengkan kebenaran maka dia tidak diiktiraf sebagai pengikut Nabi s.a.w. Sabda Nabi:


“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmii. Berstatus sahih.


Moga kita semua sayangkan Nabi s.a.w. Berusaha mengikuti jalan Nabi s.a.w. Menggalakkan orang ramai ke arah cinta Nabi s.a.w dengan pelbagai pendekatan. Namun, jangan murah-murah lelong nama Nabi s.a.w untuk kepentingan yang tidak diiktiraf oleh Nabi s.a.w!!!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 10, 2014 05:38

March 20, 2014

Menangislah Wahai Mata!

MENANGISLAH WAHAI MATA!

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Ada orang berkata ‘aku tidak mahu menangis dalam hidup ini’. Ada pula yang berkata ‘apalah faedahnya menangis?! Ia tidak dapat mengubah apa-apa’. Ada juga yang berkata ‘aku bencikan airmata’. Ungkapan-ungkapan seumpama ini mungkin dikeluarkan oleh mereka yang merasa tekanan dalam hidup. Namun, hakikatnya dalam hidup ini, insan memerlukan airmata tangisan dalam membentuk peribadi yang halus dan luhur antara dia dengan jiwanya, antara dia dengan Allah S.W.T.


Jenis Tangisan


Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam Zad al-Ma’ad menyebut tentang jenis-jenis tangisan (al-bukaa). Ada tangisan kasihan dan simpati (ar-rahmah wa ar-ra`fah). Ada tangisan takut dan gerun (al-khauf wa al-khashyah). Ada tangisan cinta dan rindu (al-mahabbah wa ash-syauq). Ada tangisan suka dan gembira (al-farh wa as-surur). Ada tangisan kerana dukacita (al-hazn).



Perbezaan antara tangisan dukacita dengan tangisan takut ialah dukacita berkaitan yang sudah berlaku sementara takut berkaitan yang belum berlaku. Tangisan gembira airmatanya sejuk dan jantung hati sukacita. Tangisan sedih airmatanya panas dan jantung hati pula berdukacita.


Ada pula tangisan tewas dan lemah (al-khaur wa ad-dha’f). Ada pula tangisan munafiq (an-nifaq) di mana mata menangis sedangkan kalbu keras. Dia menzahirkan kusyuk padahal dialah orang yang paling keras jantung hatinya. Ada tangisan yang diupah dan dibayar. Ini seperti tangisan meratapi mayat yang dibayar upahnya. Ada tangisan mengikut (al-muwafaqah) di mana seseorang menangis kerana melihat orang lain menangis. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad 1/184-185. Beirut: Muassasah ar-Risalah).


Tangisan Indah


Tangisan kerana takutkan Allah atau tangisan kerana merindui Allah adalah tangisan yang lahir jiwa yang khusyuk. Suatu perasaan yang begitu indah yang tidak dapat difahami melainkan mereka yang mendapat kurnia Allah untuk matanya menangis kerana rindukan Tuhan, ataupun gerun kepadaNYA. Suatu perasaan kudus lagi nikmat yang meliputi roh akan dirasai oleh sesiapa yang Allah rezekikannya tangisan jenis ini. Matanya menangis, jiwanya tenggelam dalam nikmat rindu, cinta dan gerun kepada kebesaranNYA. Tidaklah dapat difahami hal ini melainkan mereka yang telah merasainya. Bak kata sebahagian orang sufi “sesiapa yang tidak merasa, dia tidak akan memahaminya”.


Hanya jiwa-jiwa yang hampir dengan Allah sahaja yang akan merasai nikmat ini. Lebih hampir seseorang dengan Allah, lebih seringlah zahirnya nikmat ini pada diri seseorang.


Al-Quran pada banyak tempat memuji tangisan ini. Firman Allah memuji para rasulNYA: (maksudnya)


“..apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar-Rahman (Allah), mereka segera sujud serta menangis”. (Surah Maryam: 58).


Firman Allah memuji orang-orang soleh pula: (maksudnya)


“..sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud. Sambil mereka berkata (dalam sujudnya): “Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk” (Surah al-Isra`: 107-109)


Al-Quran juga mengutuk mereka yang keras jiwa mempersenda dan tidak menangis terhadap ayat-ayat Allah. Firman Allah: (maksudnya)


“maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan ini (al-Quran)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis?” (Surah al-Najm: 59-60).


Berusaha


Kita hendaklah berusaha agar dapat menangis kerana takut dan juga kerana rindukan Allah. Rindukan Tuhan itu suatu nikmat yang amatlah rugi sesiapa yang tidak pernah merasainya. Rindu itu membersihkan jiwa dari kekotoran yang menyalutinya. Ia adalah ubat kepada segala dukacita dunia. Apabila rindu itu menyelinap masuk ke dalam jiwa, ia bagaikan satu sentapan yang mengeluarkan dunia dari perasaan, yang menjelma ialah lautan kenikmatan rohani yang tidak dapat digambarkan oleh bahasa. Airmata kusyuk itu amat segar dan menyejukkan jiwa.


Nikmat inilah yang disebut oleh para ulama salaf. Nikmat inilah yang selalu dibayangkan oleh golongan sufi yang luhur. Nikmat inilah yang dirasai oleh sesiapa yang mengikut jalan salafus soleh dengan ikhlas dan mencari hidayah Allah.


Setiap insan hendaklah berusaha mencapai keadaan itu. Walaupun ia kadang-kala hanya hadir dalam waktu-waktu tertentu, namun ia adalah amat bermakna untuk jiwa. Bukan semua orang lunak jiwanya sehingga takut dan rindukan Allah. Dalam hadis, Nabi s.a.w menyebut tujuh golongan yang mendapat perindungan Allah pada hari Akhirat kelak, salah satunya:


“lelaki yang mengingati Allah secara sendirian lalu matanya menangis” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Kata Abdullah bin ash-Shakhir:


“Aku masuk kepada Rasulullah s.a.w, baginda sedang bersolat, dalam dada baginda bagaikan bekas air yang mendidih kerana menangis” (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dll. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menilainya sahih)



Mata yang menangis kerana takutkan Allah, mengenang kekurangan dirinya dalam mentaati Allah, mengenang dosa-dosanya terhadap Allah adalah mata yang soleh. Tangisan keinsafan adalah satu kurniaan Allah buat jiwa insaf. Tangisan itu memelihara mata dari api neraka. Nabi s.a.w menyebut:


“Dua jenis mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam berkawal di jalan Allah” (Riwayat al-Tirmizi, katanya: hasan gharib. Al-Albani menyatakan sahih).


Menangislah


Maka menangislah wahai mata! Berusahalah menangis untuk mencapai tangisan nikmat itu. Berusahalah menangis untuk mencapai rasa takut kepada Allah atas kekurangan diri terhadap hak-hak Allah yang kita telah cabul ataupun kurangkan. Malu kepada Allah. Rasa bersalah terhadapNYA. Rindukan cintaNYA dan gerunkan kebesaranNYA. Dalam kalangan salafussoleh ada menyebut:


“Menangislah kerana takutkan Allah. Jika engkau tidak menangis, berusahalah menangis” (Zaad al-Ma’ad, 1/185).


Saya suka dengan kisah Salman al-Farisi sebelum beliau meninggal. Ketika dia dalam kesakitan, Sa’ad bin Abi Waqqas menziarahinya. Salman menangis. Sa’ad bertanya:


“Apakah yang membuat engkau menangis wahai saudaraku? Tidakkah engkau telah bersahabat dengan Rasulullah s.a.w. Tidakkah ini dan itu telah kau lakukan?” Jawab Salman: “Daku tidak menangis kerana salah satu dari dua perkara. Aku tidak menangis kerana cintakan dunia ataupun bencikan akhirat. Namun daku menangis kerana mengenang Rasulullah s.a.w telah berjanji denganku satu perjanjian yang mana aku berpendapat aku telah melanggarnya”. “Apakah yang Rasulullah janji dengan engkau” Tanya Sa’ad. Jawab Salman: “Baginda berjanji bahawa cukuplah seseorang kamu mengambil dunia dengan kadar seorang pengembara. Daku rasa daku telah melanggarnya”. (Riwayat Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak. Hadis sahih)


Padahal, dalam Sahih Ibn Hibban diriwayatkan Salman meninggal hanya lima belas dirham sahaja yang berbaki dari hartanya.


Kita semua lebih patut menangis dibandingkan Salman al-Farisi sahabi Nabi s.a.w yang mulia itu. Menangis mengenang diri kita dan kekurangan yang telah kita lakukan terhadap hak-hak Allah. Menangislah wahai mata! Di sana engkau temui nikmat hubunganmu dengan tuhanmu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 20, 2014 04:20

March 2, 2014

Ahbash: Aliran Pengkafir Umat

AHBASH: ALIRAN PENGKAFIR UMAT

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Suka mengkafir dan menyesatkan orang lain bukan akhlak muslim. Ahlus Sunnah wal Jama’ah berpegang kepada asas tidak mengkafirkan individu muslim yang lain melainkan terdapat bukti yang yakin tanpa syak dan tiada keuzuran lagi yang boleh diberikan kepadanya. Sabda Nabi s.a.w:


“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Sikap suka menuduh orang lain kafir atau sesat sewenang-wenangnya merupakan penyakit jiwa yang terpendam dalam dada si penuduh yang berpunca dari keegoan, sikap pantang berbeza pendapat, suka monopoli kuasa dan suka menyalahgunakan agama. Lebih bahaya daripada itu, sikap suka mengkafir ini akan membawa kepada perbalahan yang meruncing dalam masyarakat Islam, bahkan sering membawa kepada tumpah darah yang banyak terjadi dalam sejarah umat ini.



Mengkafir Ulama


Antara aliran yang terkenal suka mengkafirkan orang lain ialah aliran ‘Ahbash’. Ahbash adalah aliran atau puak yang berpusat di Lebanon yang diasaskan oleh seorang lelaki habsyi atau negro yang dikenali dengan nama Abdullah al-Harari. Mereka mendakwa merekalah Ahlus Sunnah wal Jama’ah sejati dan sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka menjadi sesat atau kafir. Dr Yusuf al-Qaradawi mengulas tentang puak ini dengan katanya:


“Semenjak beberapa tahun yang lalu aku ada mendengar tentang satu jamaah yang zahir di Lebanon, ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di sana dengan pandapat-pendapat yang pelik, menyeleweng dan pandangan-pandangan yang merbahaya dalam persoalan aqidah, fekah dan akhlak… dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dalam kalangan umat Islam hari ini atau yang terdahulu. Mereka mengkafirkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini seperti tokoh tajdid tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Demikian juga mereka mengkafirkan ramai dari ulama semasa seperti al-’Allamah al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya…


Golongan Ahbash yang pelampau dan menyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abu al-Hasan al-’Asy’ariy segi aqidah, mazhab al-Imam al-Syafi’i segi Fekah, dan mengikut Tarikat al-Rifa’iyyah dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka amat jauh dari manhaj kesemua para imam itu samada dalam pemikiran, adab dan akhlak.. Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lebanon, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habashah (Ethopia) berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baharu, yang hasrat utamanya ialah memecah belahkan kesatuan umat Islam, mengucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini. (Dr Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah 3/685-686, Dar al-Qalam).


Al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi juga menyebut:


“Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahhabi dan taksub dengan para imam Wahhabi, seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..”


Remeh Temeh



Timbalan Presiden The European Council for Fatwa and Research (ECFR), al-Syeikh Faisal Maulawi menyebut:


“al-Ahbash atau (Jam’iyyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah) mereka adalah anak-anak murid al-Syeikh Abdullah al-Harari. Mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara akidah yang menjadikan mereka mengkafirkan umat Islam dan para ulamanya hanya kerana sebab-sebab yang remeh temeh. Sama halnya, mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara fekah yang berbeza dengan kebanyakan para ulama hari ini. Perbincangan dengan mereka tidak mendatangkan faedah, kerana mereka tidak akan menerima melainkan pendangan-pandangan syeikh mereka. Jika kamu (orang yang meminta fatwa) menjauhi masjid-masjid mereka (golongan Ahbash), itulah yang lebih utama bagi mengelak berlakunya perbalahan yang tidak berfaedah”.


Kementerian Wakaf Mesir, Bahagian Dakwah pula membuat kenyataan berikut:


“Maka untuk pertama kalinya muncul seorang lelaki yang pelik dari Habsyah, pelik dari segi pemikiran dan method yang diikutinya dalam menyebarkan fitnah di kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Pertama kali juga tersebarnya kalimah takfir (pengkafiran) melalui lisan sebahagian mereka. Juga pertama kalinya terjadi masalah kekeluargaan lalu anak-anak mengkafirkan ayah-ayah mereka dan berlakunya persengketaan dan perpecahan antara ayah dengan anak-anak. Pertama kalinya muncul mereka yang melampau ke atas ulama besar Ahli Sunnah wal Jamaah yang beramal dan berjuang di atas agama dengan cara yang dipenuhi dengan hasad dengki dan menghukum para ulamak sebagai kafir. Sesungguhnya al-Habasyi (pengasas Ahbash) mengkafirkan ulama besar seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Sayyid Qutb, Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, Muhammad al-Ghazali dan Sayyid Sabiq. Di antara ulama Lebanon yang mereka kafirkan ialah Hassan Khalid, Subhi Salih, dan Faisal Maulawi dan banyak lagi yang mereka kafirkan dari ulamak-ulamak Al-Azhar al-Syarif”


Banyak lagi fatwa para ulama mengenai kemelampauan puak Ahbash ini.


Maki Hamun


Antara perkara yang menakutkan yang digunakan oleh puak Ahbash ini, selain dari maki-hamun, cerca, fitnah dan serangan peribadi, mereka juga menggunakan pendekatan menghalalkan darah orang yang mereka musuhi. Ini kita boleh lihat dalam tulisan mereka di mana-mana terutama di media sosial hari ini. Di Malaysia kita dapat lihat gelagat penganut ini menggunakan pendekatan yang sama. Seseorang yang menamakan dirinya Abu Sya*** yang merupakan menganut tegar Ahbash dalam facebooknya dengan terang mengkafirkan seorang bekas artis yang giat berdakwah iaitu saudara Sham Kamikaze bahkan menghalalkan darahnya. Inilah cara aliran bahaya dan ganas Ahbash ini.


Sebab itu di Lebanon, sebelum ini mereka begitu bermaharajalela sehinggalah mereka dikaitkan dengan pembunuhan Presiden Rafiq Hariri. Ini apabila ‘Ulil Amri’ yang dirasakan sudah tidak dapat berkerjasama dengan mereka. Sebelum itu mereka juga mengkafirkan bekas Mufti Lebanon Hasan Khalid dan membunuhnya. Mereka menulis di dinding-dinding di Lebanon: “Katakan tidak kepada Hassan Khalid yang kafir”. Menjadi tabiat Puak Ahbash ini suka memfitnah mengada-adakan cerita bohong dan mempersendakan gambar dan mengubah fakta. Di Malaysia, kelompok Ahbash ini ada mempunyai blog dan media sosial mereka yang tersendiri. Pembaca boleh layari untuk melihat gelagat mereka. Mereka memenuhinya dengan maki hamun, menokok tambah gambar-gambar orang yang mereka tidak suka dan membuat berbagai pembohongan fakta yang lain.


Meracun Penguasa



Juga antara pendekatan yang digunakan Ahbash ialah mendampingi pihak yang berkuasa untuk menentang dan memfitnah tokoh-tokoh yang mereka tidak suka. The Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA) menyebut bagaimana pengasas mereka Abdullah Harari berpakat menghasut pihak berkuasa Habshah sehingga menyebabkan pengetua Pusat Tahfiz al-Quran di sana di penjarakan selama 23 tahun. (http://www.amjaonline.com/ar) Pendekatan menggunakan pihak berkuasa dan mendampingi pemerintah dengan menyebarkan racun fitnah, cerca, mengkafir merupakan jalan yang dipilih oleh Ahbash di negara-negara yang mereka cuba bertapak.


Maka kebelakangan ini ada media massa, media sosial, seminar, masjid, surau dan selainnya yang menimbulkan isu mengkafirkan Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab, isu wahhabi, isu Ahlus Sunnah, isu tidak terikat mazhab al-Syafi’i dan berbagai lagi. Bukan isu-isu ini tidak wujud sebelum ini, tetapi Ahbash berjaya menyemarakkan api permusuhan dan kebencian dengan lebih dahsyat. Isu-isu ini diulas bagaikan perang jihad mesti dilakukan untuk menghapuskan sesiapa yang berbeza. Bila racun Ahbash mula menyerap, maka maki hamun kedengaran di masjid dan surau. Malangnya mereka ini mendapat ‘lesen’ bercakap. Mengfitnah, menyesat dan mengkafirkan mula dijadikan senjata. Ia amat menakutkan. Ini akan menghalang kemajuan pemikiran, lebih buruk lagi ia boleh mengundang perbalahan sengit sesama muslim. Sebab itu Akbar al-Watan ketika melaporkan kematian pengasas Ahbash itu menyebut: “Kelmarin (2/9/2008) Abdullah al-Harari, Pengasas dan Mursyid kerohanian bagi gerakan al-Ahbash telah meninggal dunia di Lebanon ketika umurnya 98 tahun… Al-Harari (Abdullah al-Harari) dilahirkan di Harara pada tahun 1910M, seterusnya berpindah-randah di beberapa negara Arab sebelum menetap di Lebanon pada tahun 1950M, beliau sering mengkafirkan para ulama umat Islam.” (Akhbar al-Watan: Rabu 3 Ramadhan 1429, bersamaan 3 September 2008, bil. 2896 tahun kelapan). Cuma yang agak menarik, dalam laman web YADIM pada hari kematian al-Harari menamakannya “Pejuang Ahli Sunnah wal Jamaah yang sejati”. Ini amat membimbangkan saya. Saya rasa pembaca juga demikian. Saya takut racun itu benar-benar telah memasuki masyarakat kita.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 02, 2014 23:27

February 27, 2014

Menghayati Erti Rezeki Allah

MENGHAYATI ERTI REZEKI ALLAH

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Saya ingin memberikan tazkirah untuk diri sendiri dan juga mungkin boleh diambil manfaat oleh pembaca. Ia berkaitan perkara yang asas dalam kehidupan kita, iaitu tentang rezeki ataupun dalam bahasa Arab disebut al-Rizq.


Perkataan al-Rizq atau melayu sebut rezeki bermaksud pemberian ataupun kurniaan samada bersifat duniawi ataupun agama. Segala yang boleh dimanfaatkan, samada yang boleh dimakan ataupun tidak boleh dimakan maka itu rezeki. (lihat: Abu al-Baqa al-Kafawi, al-Kulliyyat, 472. Beirut: Muassasah al-Risalah).


Ertinya segala yang kita miliki dari perkara yang bermanfaat ataupun memberikan kebaikan buat kita samada di sudut keperluan dunia semata ataupun untuk agama maka itu adalah kurniaan ataupun rezeki. Rezeki bukan sahaja minuman, makanan, harta, kenderaan dan segala rupa bentuk kebendaan semata, rezeki juga ilmu pengetahuan, kasih sayang, kebahagiaan, anak, isteri, kesihatan, keselamatan, kegembiraan dan seumpamanya. Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi s.a.w menyebut tentang Khadijah: “Aku telah direzekikan cintanya”.


Lupa Diri


Dalam keghairahan insan mencari kurniaan dalam kehidupan dari segi harta, pasangan, kegembiraan, kebahagiaan dan segalanya kadang-kala mereka melupai sumber rezeki yang asal iaitu Allah S.W.T. Sehingga seseorang seakan terasa dengan kemampuan dan kebijaksanaannya dia mampu mengaut rezeki untuk dirinya.



Demikian tidak kurang pula ada yang apabila berpeluang memberikan kelebihan yang dia miliki kepada orang lain menganggap seakan dialah punca rezeki yang telah dia dapat dengan kebijaksanaan dan kekuatan yang dia ada. Ini persis seperti Qarun yang dimusnahkan oleh Allah: (maksudnya)


“Qarun berkata: “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan kepandaian yang ada padaku”. Tidakkah dia (Qarun) mengetahui bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, umat-umat Yang telah lalu, mereka itu yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).


Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya Dia adalah seorang yang bernasib baik”. Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerimanya melainkan mereka yang sabar”. (Surah al-Qasas: 78-80).


Al-Razzaq


Agar manusia ingat, Allah menamakan diriNYA al-Razzaq (dibaca ar-razzaq). Ini merupakan salah satu dari nama-nama Allah yang indah (Asma` Allah al-Husna). Al-Razzaq bermaksud Maha Pemberi Rezeki. DIA memberikan kepada sesiapa sahaja yang DIA pilih. DIA juga yang menetapkan kadar pemberian menurut yang DIA kehendaki. Tiada satu makhluk pun yang wujud melainkan Allah pemberi rezekinya.



Allah menentukan kadar rezeki dengan kehendakNYA yang sebahagian dari kehendakNYA itu dikaitkan dengan peraturan alam yang DIA tetapkan. Sesiapa yang keluar mencari rezeki dengan memenuhi percaturan alam ini maka DIA membuka jalan rezeki untuk hamba itu. Sesiapa yang tidak berusaha, maka tiada rezeki untuknya. Pun begitu Allah boleh melakukan dengan kehendakNYA luar dari kebiasaan percaturan alam. Maka tidak mustahil ada yang memenuhi peraturan alam tidak mendapat rezeki sementara yang tidak berusaha tiba-tiba hadir untuknya rezeki tertentu. Kuasa Allah merentasi segalanya.


Pelbagai Rezeki


Jenis-jenis rezeki yang Allah kurniakan juga berbeza antara satu sama lain. Ada yang diberikan harta, tidak berikan zuriat. Ada yang diberikan harta dan zuriat, tidak diberikan kebahagiaan ataupun ketenangan dalam hidup. Ada yang diberikan kesihatan, tidak diberikan harta. Ada yang diberikan harta, tidak diberikan kasih sayang. Ada yang diberikan ilmu, tidak diberikan harta. Ada yang diberikan harta, tidak diberikan penghormatan dan maruah. Ada diberikan penghormatan, tidak diberikan harta. Begitulah seterusnya.


Maka jangan hairan jika si miskin tidur lena dalam rumah buruknya, si kaya pula kegelisahan dalam banglo mewahya. Jangan hairan jika rakyat bawahan makan dengan sedapnya, sementara raja dan menteri hilang seleranya. Jangan hairan jika ilmuwan lebih dihormati dari menteri. Rezeki itu pelbagai, yang dikurniakan makanan, belum tentu dikurniakan selera. Maka, janganlah kita melihat rezeki itu hanya pada satu sudut semata sehingga kita merasa rezeki kita kurang dalam semua sudut dibandingkan orang lain.


Ini seperti cerita seorang miskin yang datang mengadu kepada seorang ilmuwan bahawa Tuhan tidak merezekikan dia apa-apa. Lalu ilmuwan itu bertanya: “Mahukah engkau menjual tanganmu dengan harta seratus ribu? Dia menjawab: “Tidak”. Ditanya lagi, “Mahukah engkau menjual pendengaranmu dengan harta seratus ribu?”. Jawabnya: “Tidak”. Kemudian ditanya mata, kaki dan seterusnya. Akhirnya, kata ilmuwan itu menghitung segalanya dan berkata “engkau sebenarnya mempunyai asset yang berjuta harganya. Tunaikanlah kesyukuran kepada tuhanmu”.


Dua Jenis Rezeki


Rezeki Allah itu terbahagi kepada dua jenis, satu rezeki yang umum dan satu lagi rezeki yang khas. Rezeki umum diberikan kepada sesiapa sahaja dalam kalangan hamba-hambaNYA. Samada muslim, bukan muslim, manusia, haiwan, yang baik, yang jahat dan seterusnya. Pada asasnya sesiapa yang berusaha, mengikuti percaturan alam yang telah Allah tetapkan akan memperolehi rezeki. Seorang muslim yang tidur di rumahnya tidak akan memperolehi ikan dari laut, sebaliknya seorang bukan muslim yang turun ke laut dengan kelengkapan dan ilmu tentang penangkapan ikan akan memperolehinya. Demikian, sayur-sayuran tidak akan tumbuh hanya kerana seseorang itu bersolat tanpa usaha, tetapi yang berusaha menanam walaupun tidak bersolat akan tumbuh sayurannya. Di samping alam itu sendiri mempunyai pelbagai percaturan yang lain; hujan, panas, ribut, musuh, kawan dan pelbagai lagi. Segala usaha untuk mendapatkan rezeki hanya akan terhasil jika Allah izinkan. Samada yang DIA izinkan itu DIA redha ataupun tidak, itu persoalan yang lain. Firman Allah: (maksudnya)


“dan tiadalah suatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya” (Surah Hud, ayat 6).


Rezeki bahagian kedua ialah rezeki khusus untuk hamba-hambaNYA yang terpilih. Allah rezekikan iman, kebahagiaan jiwa, hikmah, ketenangan roh dan seumpamanya. Ini semua tidak diperolehi dengan usaha kebendaan, tetapi dengan kurniaan Allah. DIA maha mengetahui siapakah hamba-hambaNYA yang layak dikurniakan itu semua.


Maka, jangan hairan jika Nabi Musa a.s lebih bahagia dari Firaun yang berkuasa dan memburunya. Jangan hairan jika Firaun itu lebih derita jiwa dari kesakitan golongan yang dia tindas. Demikian juga segala golongan yang zalim yang menindas golongan yang soleh.


Jangan sangka orang yang penuh bangga dengan kekayaan hartanya lebih menikmati kemanisan dan keindahan hidup dibandingkan hamba Allah yang tidak berharta tetapi sentiasa sujud penuh syukur kepadaNYA.


Berusaha


Agama tidak menyuruh kita duduk saja tanpa berusaha mencari rezeki. Tiada dalam Islam bertawakkal tanpa berusaha. Nabi s.a.w menyebut:


“Jika kamu bertawakkal kepada Allah benar-benar tawakkal nescaya Allah merezekikan kamu seperti DIA merezekikan burung. Burung keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dll, sahih).


Ada pihak cuba gunakan hadis ini untuk tidak berusaha atas alasan Allah akan berikan rezeki seperti burung. Itu fahaman yang salah. Hadis ini menceritakan bahawa selepas benar-benar tawakkal, seseorang hendaklah seperti burung yang keluar dari sarangnya pada awal pagi mencari rezeki dan akhirnya pulang kekenyangan. Burung tidak tidur dalam sarangnya tanpa usaha. Demikianlah muslim dengan rezekinya. Alam ini ada peraturan dan percaturan, seseorang hendaklah berusaha. Usaha itu adalah ibadah.



Qana’ah


Usaha berjalan dengan jiwa yang syukur dan qana’ah. Qana’ah bererti akur dengan apa yang diperolehi dari kurniaan Allah. Jiwa pun menjadi lapang dan tenang. Fikiran tidak hanya tertumpu kepada persoalan rezeki yang dilihat semata, juga yang tidak dilihat oleh mata seperti ilmu, bahagia, cinta, kasih dan tenang. Bukan dalam bentuk kebendaan semata, juga dalam bentuk yang lain seperti anak-anak, sahabat, kesihatan, keamanan dan seumpamanya. Sabda Nabi s.a.w:


“Sesiapa yang berpagi dalam keadaan aman pada dirinya, sejahtera jasadnya, baginya makanan hariannya maka seakan dihimpunkan untuk dunia” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dll, hadis hasan).


Demikian insan menilai kehidupan dengan penuh kesyukuran. Bukan menolak yang tiada tetapi bersyukur dengan apa yang dikurniakan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 27, 2014 03:13

February 13, 2014

Kebaikan Mungkin Membawa Ke Neraka

KEBAIKAN MUNGKIN MEMBAWA KE NERAKA

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Dosa membawa insan ke neraka. Perbuatan baik pula membawa insan ke syurga. Itulah hasil yang sepatutnya. Dosa adalah perbuatan salah yang dimurkai Allah. Kebaikan adalah perbuatan baik yang disukai Allah.


Pun begitu dalam kehidupan insan tidak mustahil untuk dosa menyebabkan seseorang itu mendampingi Allah sehingga membawanya ke syurga. Juga tidak mustahil kebaikan membuatkan seseorang melupai Allah sehingga membawa pengamalnya ke neraka.



Ujub


Ujub atau kagum dengan diri sendiri adalah penyakit rohani yang kronik. Dalam kalangan manusia, ada yang merasa sombong dengan amalan agamanya sehingga melihat orang lain hina di sisi Allah dibandingkan dirinya. Dengan kesombongan itu dia meminta orang mencium tangannya atau meminum bekasnya ataupun mengambil syafaat darinya. Jika itu perkara berlaku tanpa permintaannya, tidak mengapa. Tidak dinafikan pun keberkatan Allah yang diturunkan untuk orang-orang soleh. Namun apabila ada manusia merasakan merekalah merupakan orang soleh yang diturunkan keberkatan itu, bagai sudah pasti ahli syurga sementara orang lain adalah pendosa yang memerlukan syafaat mereka untuk ke syurga, maka itu adalah tanda ujub, sombong dan riyak. Ia mengheret ramai yang bersolek dengan solekan agama ke neraka.


Sabda Nabi s.a.w:


“Tiga pembinasa; iaitu: kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang dituruti dan kekaguman seseorang dengan dirinya sendiri” (Riwayat al-Bazzar, al-Tabarani, al-‘Uqaili dll. Hadis berstatus hasan)


Dosa ke syurga?


Jangan hairan bahawa jika nanti di akhirat ada dalam kalangan mereka yang kelihatan pernah melakukan dosa di dunia ini menuju ke syurga. Bagaimana?


Ya, terdapat insan yang apabila dia melakukan dosa, dia tersangat menyesal. Dia bertaubat dan sentiasa merasa hina diri di hadapan Allah Yang Maha Agung. Terasa kesalahan itu mengikuti setiap langkahnya. Malu kepada Allah meliputi perasaannya. Segala ibadah yang dia lakukan dirasakan kerdil dan kecil. Dia bertungkus lumus membaiki diri lebih dari keadaannya sebelum terjatuh ke dalam dosa tersebut.


Timbul rasa tawaduk dalam jiwanya. Apabila dia melihat orang lain dia merasa betapa mereka lebih mulia daripadanya di sisi Allah kerana dia seorang yang berdosa. Segala kesombongan dalam jiwanya dikikis apabila dia mengenangkan dosa-dosanya itu. Mungkin orang lain tidak tahu tentang dosanya, namun dia sendiri tahu dan Allah Maha Mengetahui. Betapa dia bersyukur kerana Allah menutupkan keaibannya, ataupun memberikan ruang untuk dia terus hidup sekalipun dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Maka kalau demikianlah keadaan, dosa-dosanya itu membawanya ke syurga dengan izin Allah.


Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya Miftah Dar al-Sa’adah:


“Antaranya, bahawa sesungguhnya Allah apabila mengkehendaki kebaikan untuk seseorang hambaNYA, DIA jadikan hamba itu lupa gambaran ketaatan-ketaatan yang telah dia lakukan. Diangkat itu semua dari jantung hati dan lidahnya (tidak membangkit-bangkitkannya). Apabila dia diuji dengan dosa, Allah jadikan dosa itu memenuhi ruang matanya, dia lupa segala amalan baiknya dan dia jadikan segala ingatan dukanya terhadap dosanya. Sentiasa dosanya itu berada di hadapannya, semasa dia berdiri, duduk ataupun berjalan. Maka inilah sumber rahmat pada dirinya. Ini seperti kata sebahagian Salaf Soleh: “Sesungguhnya ada hamba Allah melakukan dosa, lantas dengan dosa itu dia masuk syurga. Ada pula yang beramal dengan kebaikan lantas dengannya dia masuk neraka”. Bagaimana demikian? Sebabnya, dia melakukan dosa lalu sentiasa dosa itu memenuhi matanya, setiap kali dia ingat dia akan menangis, menyesal, beristighfar, merendah diri kepada Allah, kembali kepadaNYA, merasa hina dan pasrah. Lantas dia beramal dengan amalan-amalan soleh maka itu menjadi sebab kerahmatan untuk dirinya” (1/445-446. Beirut: Muassasah Fuaad).



Pahala Ke Neraka?


Kebaikan sepatutnya membawa ke syurga. Namun jika pengamal kebaikan itu menjadi riak, sombong, takjub dengan dirinya sendiri sehingga merasa dia tiada cacat di hadapan Allah. Hilang dari jiwanya perasaan tawaduk, kerendahan diri sebagai hamba dan seakan pasti dirinya ke syurga. Ditambah lagi, dia memandang lekeh kepada orang lain. Orang lain bagaikan pendosa, dialah bagaikan sumber pahala. Ini merupakan musibah terhadap kerohaniannya. Ini telah menimpa ramai golongan yang berpakaian agama sehingga mereka bagaikan penentu siapa ke syurga dan siapa ke neraka. Berjalan dengan sombong sambil menghulur tangan untuk dicium oleh orang lain dengan bangganya.


Inilah yang dinukil oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah tadi: “Ada pula yang beramal dengan kebaikan lantas dengannya dia masuk neraka”.


Ibn Qayyim menjelaskan maksud hal ini dengan menyebut:


“Dia beramal dengan kebaikan lalu sentiasa fikirannya mengungkit, mengingat dan menghitung-hitung kebaikan itu terhadap tuhannya dan manusia. Dia takabur dengannya, dia merasa pelik jika orang tidak mengagung, memulia dan membesarkan kebaikannya. Sentiasalah keadaannya begitu sehingga bertambah kuasa pengaruh perasaan itu lalu ia memasukkannya ke dalam neraka. Tanda kebahagiaan itu apabila kebaikan-kebaikan seseorang hamba Allah itu berada di belakangnya (dia tidak mengingatinya) sementara kejahatan-kejahatannya pula berada dalam ruangan matanya (mengingatinya). Tanda kecelakaan pula apabila hamba itu menjadikan kebaikan-kebaikannya memenuhi ruang matanya sementara kejahatan-kejahatannya berada di belakangnya (dia melupainya)” (ibid, 1/446).


Pakaian Agama


Maka janganlah kita sangka semua yang berpakaian agama itu akan ke syurga. Tidak mustahil lengangan jubah, rida, serban dan segala lambang-lambang agama yang dipakai dengan kesombongan sehingga merasa dirinya lebih baik dan sempurna dibanding orang lain, itu semua hanya mengheret pengamalnya ke dalam neraka.


Ibn Ataillah dalam hikamnya menyebut:


“Boleh jadi Allah membuka untukmu pintu ketaatan tapi tidak dibuka pintu penerimaan amalan. Boleh jadi ditakdirkan untukmu maksiat maka itu menjadi sebab jalan sampai kepada Allah. Maksiat yang menyebabkan seseorang rendah diri dan pasrah lebih baik daripada ketaatan yang membawa kepada ujub dan takabur”


Apatahlagi mereka yang ujub dan sombong dengan keturunan seperti yang mendakwa dirinya dari keturunan Nabi s.a.w ataupun wali ataupun ulama sehingga dia memandang lekeh kepada orang lain. Ini sama dengan slogan Iblis ketika membantah Allah:


“Aku lebih baik daripadanya (Adam), aku diciptakan dari api sedangkan dia diciptakan dari tanah” (Surah al-A’raf ayat 12).

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2014 02:17

February 6, 2014

Nyahkan Bangsawan Samseng

NYAHKAN BANGSAWAN SAMSENG

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Bangsawan ialah golongan yang berkedudukan mulia ataupun ‘kononnya mulia’ dari segi keturunan. Ini seperti mereka yang dari keturunan raja, sultan, khalifah, presiden, dan seumpamanya. Perkataan mulia itu juga kadang-kala lebih bersifat persepsi. Betapa ramai dalam sejarah pelbagai bangsa, golongan yang dianggap mulia hanya disebabkan keluarga mereka menjadi maharaja ataupun raja ataupun sultan, ataupun mana-mana pembesar padahal asal usul keturunan mereka sebelum itu mungkin perompak, lanun di laut ataupun penipu besar ataupun pembunuh yang kejam yang kemudian telah berjaya merebut kuasa dan diwarisi. Bahkan semasa berada di atas kuasa pun sebahagian golongan yang dianggap bangsawan itu meneruskan agenda merompak orang lain tetapi mungkin dengan berselindung di sebalik kuasa, ataupun menjadi ‘perompak berlesen’.


Ramai juga mereka yang bergelar diri bangsawan, ataupun merasa diri telah menjadi bangsawan itu menjadi sombong dan bongkak sehingga merasakan mereka boleh berbuat apa sahaja. Mereka memukul, memaki, mencedera, mengambil harta orang lain dan awam serta pelbagai cara hidup samseng diamalkan dalam gaya hidup mereka. Mereka sering merasakan mereka mesti menang dalam setiap persaingan. Mereka fikir mereka tidak boleh dipertikai dan dilihat kalah. Kehendak mereka ‘by hook or by crook’ mesti tercapai. Apabila mereka merasa kecewa ataupun marah mereka mula bertindak zalim ke atas pihak yang lemah. Bangsawan seperti ini kita panggil bangsawan samseng.



Mengajar Bangsawan Samseng


Dalam Kanz al-‘Umal dan disebut juga dalam Futuh Misr wa Akhbaruha oleh Ibn ‘Abd al-Hakam al-Misri yang menceritakan sejarah pembukaan Mesir, diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa seorang lelaki dari Mesir telah datang kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab di Madinah. Lelaki itu berkata:


“Wahai Amirul Mukminin! Aku meminta perlindunganmu dari kezaliman”. Kata ‘Umar: Ya!. Kata lelaki itu: “Aku berlumba dengan anak gabenor Mesir (Muhammad bin ‘Amr bin al-‘As), lalu aku menang. Maka dia (anak gabenor) memukulku dengan cemeti sambil berkata: “Aku anak golongan yang mulia”.


Khalifah Umar bin al-Khattab menulis surat perintah kepada gabenor Mesir ‘Amr bin al-‘As meminta dia dan anaknya Muhammad itu hadir ke Madinah. Apabila mereka hadir, Umar memanggil lelaki dari Mesir tersebut. Lelaki itu datang, lalu Umar memberikan kepadanya cemeti dan berkata: “Pukul dia”. Dia pun memukul sambil Umar berkata: “Pukullah anak golongan yang mulia”.


Kata Anas bin Malik yang menyaksikan kejadian itu: “Dia memukul dan kami suka dengan pukulannya. Dia tidak berhenti sehingga kami harap dia berhenti”. Kemudian Umar berkata kepadanya: “Letakkan cemeti itu atas kepala botak bapanya (kepala ‘Amr bin al-‘As)”. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Hanya anaknya yang memukulku, aku telah pun membalasnya dan memadai”.


Kemudian Umar berkata kepada ‘Amr bin al-‘As: “Sejak bilakah engkau memperhambakan manusia sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka?!” Jawab ‘Amr bin al-‘As: “Sesungguh aku tidak tahu kes ini”.


Sama Di Sisi Tuhan


Demikian Khalifah ‘Umar mengajar kesombongan golongan bangsawan ini. Padahal ‘Amr bin al-‘As seorang sahabat Nabi s.a.w. Namun keadilan itu tidak mengenal keturunan dan latar harta. Semua manusia sama di sisi Allah. Kita semua dari keturunan Adam. Hanya yang lebih kerana nilaian kebaikan jiwa dan ketinggian budi. Nabi s.a.w menyebut:


“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, hadis berstatus hasan).


Jika hendak dikira manusia yang mulia, maka khalifah empat bagi umat ini Abu Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali merupakan insan-insan mulia yang dipilih memegang jawatan khalifah atas kemuliaan diri mereka. Bukan kerana keturunan mereka mendapatkan kuasa ataupun kerana pengaruh harta mereka yang banyak. Sebaliknya kerana kualiti diri mereka dan kemuliaan mereka yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Pun begitu mereka tidak pernah menyatakan ‘kami ini mulia, sahabat sahabat utama Nabi Muhammad maka jangan pertikai perbuatan dan tindakan kami. Siapa pertikai dianggap derhaka pada negara dan bangsa!’. Sama sekali mereka tidak pernah berkata demikian.


Sebaliknya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq pada hari dia memegang jawatan khilafah berucap:


“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. ” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).


Hanya mereka yang perasan sahaja merasakan diri mereka bangsawan yang tidak boleh dipertikaikan. Hanya bangsa ataupun individu yang bodoh, dungu dan feudal ataupun pengampu terlampau sahaja yang menganggap mengkritik golongan bangsawan istana itu satu kesalahan dan menggesa agar pengkritik diambil tindakan. Mereka yang seperti itu mempunyai masalah mental dan akidah sehingga seakan menganggap golongan bangsawan itu bagaikan maksum melebihi para nabi yang diutuskan oleh Tuhan.


Pupus


Perlu diingat, kesamsengan golongan bangsawan telah menyebabkan kebanyakan mereka pupus dari tampok kuasa. Walaupun Parsi, Rome, China, beberapa Negara Eropah, dan India pernah memiliki empayar dan kekuasaan yang luas, namun ke mana perginya maharaja-maharaja mereka?! Kesemuanya pupus dibuang oleh kehendak rakyat apabila mereka dilihat sudah tidak relevan lagi. Mereka lebih banyak merosakkan dari memberikan manfaat kepada rakyat. Nepal juga telah membuang institusi raja mereka.



Jika kita lihat istana-istana raja-raja Eropah serta pencapaian mereka, mereka bagaikan tidak akan tumbang. Maharaja-maharaja China dan Parsi pasti lebih gah dan hebat dengan tentera dan kemewahan harta dan wanita mereka. Tapi kesemuanya lenyap. Kesemua ini menjadi pengajaran kepada golongan bangsawan yang masih berkuasa dalam pelbagai bangsa agar menjaga adab dan ketertiban mereka, jangan samseng sehingga akhir mereka dicampak oleh rakyat sendiri dan bangsa sendiri.


Salah satu sebab kejayaan bangsa Eropah adalah kerana mereka tidak membiarkan kezaliman raja-raja berterusan. Pembuangan sistem istana dan agama yang diperalatkan oleh istana telah membawa bangsa Eropah maju dan bebas dari cengkaman kezaliman. Inilah yang disebut oleh ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas hadis Nabi s.a.w mengenai kiamat berlaku dalam keadaan Rome paling banyak rakyatnya. Kata ‘Amr:


“Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.


Golongan bangsawan sepatutnya menjadi manusia paling dihormati dalam sesebuah masyarakat. Mereka paling mematuhi peraturan, paling santun kepada rakyat bawahan dan menjadi teladan kesopanan dan kehalusan budi, bahasa dan akhlak. Ucapan mereka menjadi ikutan, falsafah mereka menjadi pegangan, bahasa mereka menjadi ukuran.


Jika bangsawan itu sekadar menunjukkan kesamsengan kepada rakyat, mendapat pelbagai harta dan tempat atas cengkaman kedudukan padahal ramai lain yang lebih layak, membazir harta awam, memukul sesuka hati orang biasa, mengambil apa saja yang mereka suka, mengugut sesiapa yang mereka mahu, memaki sesiapa yang mereka hendak, maka golongan bangsawan seperti itu sepatutnya dinyahkan dari sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa akan terus dalam belenggu kebodohan jika golongan bangsawan seperti itu masih dibiarkan. Golongan samseng yang menyakiti rakyat bukan sahaja patut dibuang, bahkan tidak layak pun untuk ditempat dimuzium sejarah mana-mana bangsa pun melainkan dengan catatan hitam ‘samseng’.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 06, 2014 01:49

February 5, 2014

Jiwa ‘Kehambaan’ Melayu Menghalang Pembaharuan

JIWA ‘KEHAMBAAN’ MELAYU MENGHALANG PEMBAHARUAN

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Dalam semangat sesetengah pihak untuk menegakkan ‘kedaulatan melayu’ maka berbagai-bagai slogan kemelayuan dikeluarkan. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu sebab kitalah kaum asal di Nusantara ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu kerana sejarah kesultanan dan kepahlawanan melayu. Apatah lagi ketika dunia hanya tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang melayu.


Ada yang kata orang melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya. Berbagai-bagai lagi yang disebutkan dalam menuntut kemuliaan dan ketinggian kaum. Namun bagi saya, kemuliaan orang melayu yang sebenar dan kekal adalah kerana mereka menganut Islam. Mereka tidak kekal mulia dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam.


Hari ini budaya dan bahasa melayu sudah banyak yang dilupa, sejarah kesultanan atau kepahlawanan melayu pun banyak perkara yang wajar dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya khusus di alam melayu atau hanya untuk orang melayu. Keberkatan dan kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja.


Firman Allah:


Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janjiNya), yang demikian itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65).


Jikalah kepahlawanan melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita untuk dianggap wira dan teladan. Wataknya itu mungkin sesuai untuk masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada golongan bangsawan secara membuta tuli.




Gambar Hiasan


Daulat Raja


Hal yang sama berlaku juga dalam sejarah bangsa-bangsa feudalistik yang lain. Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk memenuhi ‘selera’ Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan yang terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi jika dinilai di sudut ajaran Islam.


Namun, masyarakat melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya disebabkan kehendak ‘sultan’ atau ‘raja’ dalam masyarakat melayu itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan. Dalam sejarah, bahasa dan adat yang digunakan oleh orang melayu di hadapan sultan atau raja menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina atau ‘menghambakan’ rakyat.


Ia sudah pasti tidak serasi dengan ruh ajaran Islam yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah. Dalam sejarah atau ‘lagenda’ kesultanan melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja melayu yang amat menyanggahi keadilan, tidak masuk akal, sekaligus bercanggah dengan Islam.


Orang melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: “Kita rakyat, baginda raja”. Falsafah raja adalah ‘jelmaan tuhan’ yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam masyarakat melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan. Sehingga perkataan ‘daulat raja’ difahami sesetengah masyarakat bahawa tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja.


Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara ‘mengadap atau menyembah duli’ bukan berasal dari ajaran Islam. Walaupun Islam masuk ke dalam istana dan masyarakat melayu, tetapi berhubung dengan adat keistanaan, banyak yang belum berjaya diislamisasikan.


Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya mempengaruhi dan menasihati sesetengah raja melayu. Terdapat juga sultan-sultan melayu yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka. Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik melayu menghalang atau melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran melayu berhubung dengan raja. Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini.


Tokoh-tokoh politik berbangsa melayu samada pro-islam atau apa saja, bagaimana ‘sakan’ pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan kepada undang-undang dan agama dan berbagai hal yang lain, apakah mereka sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan ‘istana’. Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang mengharamkan ‘yoga’ atas alasan kerana ada unsur agama lain antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti ‘menyembah berhala’. Saya bertanya: “tidakkah perbuatan yang sama dilakukan dalam istiadat melayu mengadap raja?”. Dia menjawab: “oh itu lain, saya tidak mahu masuk campur”.




Gambar Hiasan


Raja Adil Raja Ditaati


Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak saya tegaskan adalah kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam. Tiada masalah dengan istana atau kesultanan melayu. Saya hanya menyebut latar masyarakat kita. Institusi ini boleh dikekalkan seperti mana United Kingdom masih mengenalkan Queen mereka.


Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan. Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam. Banyak institusi-institusi Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat jelata. Sepertimana kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi. Jika ia hak atau isu awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya.


Saya menyebut hal demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod melayu moden, orang melayu telah banyak mempertahankan institusi kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan sebaliknya. Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat: “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Saya tidak bersetuju dengan perkataan ‘sembah’ yang disebut oleh Hang Jebat, sebab saya tidak menyembah raja. Saya kata: “raja adil raja ditaati, raja zalim raja dibantahi atau dinasihati”.


Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman yang berbeza dengan rakyat. Rasulullah s.a.w menyebut:


“Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Saya seorang muslim, saya juga seorang melayu. Saya tidak nafikan orang melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya. Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka.


Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada orang melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan melayu itu bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa bangsa dan budaya. Ia menjadikan kita bersaudara dengan berbagai bangsa di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam pada zaman yang mencabar ini?


Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin dia diubah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 05, 2014 02:16

January 22, 2014

Apabila Mimpi Dan Ilham Menjadi Hujah

APABILA MIMPI DAN ILHAM MENJADI HUJAH

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Saya tertarik membaca kenyataan seseorang –tidak pasti samada sarcastic ataupun jujur- yang menyatakan sesiapa yang pergi menziarah kubur Rasulullah s.a.w di Madinah sekarang, baginda tiada di sana. Baginda sibuk hadir dalam majlis-majlis anjuran ustaz-ustaz di Malaysia.


Saya tidak pasti kenapa dia berkata begitu. Namun apa yang saya pasti saya mendengar banyak pihak dengan mudahnya kebelakangan ini mendakwa Nabi s.a.w yang mulia itu hadir dalam majlis ini dan itu anjuran mereka. Ada yang mendakwa Nabi s.a.w mengiringinya ke meja kuliahnya. Ada yang mendakwa dia nampak Nabi s.a.w sedangkan orang lain tidak nampak. Dunia facebook pun meriah dengan cerita-cerita ini.


Ada yang cuba membuktikan kebenaran aliran yang dibawanya, ataupun tarekatnya, ataupun kelebihan majlisnya dengan kehadiran Nabi s.a.w yang hanya dapat dilihat oleh beberapa orang tertentu sahaja. Hal yang sama pernah didakwa oleh Ashaari al-Arqam dahulu. Bahkan beliau cuba membuktikan kebenarannya itu dengan pelbagai cara, termasuk mimpi tokoh itu dan ini yang membuktikan kesahihan ajaran yang dibawa olehnya.


Bukan Hujah


Dalam Islam, kebenaran itu dibuktikan oleh dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah. Segala keputusan ijmak dan kesimpulan qias berjalan berteraskan dua sumber utama itu. Penghujahan berasaskan al-Quran dan al-Sunnah dapat difahami dan dikongsi oleh pihak yang mendengar, yang bersetuju ataupun yang membantah kesimpulan yang dibuat. Namun jika hujah itu berteraskan mimpi ataupun ilham ataupun kasyaf, siapa yang boleh berkongsi perkara yang tidak dilihat oleh orang lain.


Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:


“Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu. Golongan sufi ini mencerca mereka dengan menyatakan mereka ini jumud dengan ilmu zahir. Bagi mereka; ilmu zahir kedudukannya seperti kulit, sedang ulama syariat berpaling daripada ilmu batin yang mana kedudukannya seperti isi”. (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134. Beirut: Muassasah al-Risalah).



Jika diandaikan mimpi dan ilham itu benar-benar terjadi, siapakah pula yang dapat memastikan itu semua daripada Tuhan, bukan pula bisikan syaitan?! Jika mimpi dan ilham itu oleh para Nabi s.a.w tentu tidak dipertikaikan. Adapun berhujah dengan alasan mimpi orang biasa yang terdedah kepada cakap benar dan bohong, ataupun ditipu oleh syaitan, maka itu bukan bukti kebenaran sesuatu perkara.


Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili:


“Adapun ilham, ada kemungkinan ianya daripada Allah, kemungkinan juga ianya daripada syaitan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah: (terjemahannya): dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu. (Surah al-An`am: 121).”


Katanya lagi:


“Kemungkinan juga ianya adalah bisikan atau percakapan dalam dirinya. Ini seperti yang nyatakan oleh firman Allah : (terjemahannya) Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh dirinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Surah al-Qaf: 16).


Sambungnya lagi:


“Dengan kemungkinan-kemungkinan ini, ilham tidak boleh menjadi hujah. Berkaitan dengan ini, maka pendapat sebahagian sufi bahawa ilham atau kasyaf adalah hujah yang wajib beramal dengannya di dalam hukum-hakam syarak adalah sesuatu yang batil”.( Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 2/924-925, Beirut: Dar al-Fikr)


Lemah


Tokoh ilmuwan terbilang, pakar Maqasid Syariah yang hebat iaitu al-Imam al-Syatibi (w. 790H) :


“Selemah-lemah hujah mereka ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: “Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!, buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi S.A.W dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini..dan memerintah aku sebegini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari`at. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan”. (Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198. Beirut: Dar al-Kitab)


Saya sangat suka dengan komentar Ibn Taimiyyah (w. 728H) dalam hal ini. Katanya:


“Di kalangan mereka ada yang melihat empunya kubur datang kepadanya, sedangkan dia telah lama mati. Lalu dia berkata: “Akulah si fulan”. Mungkin juga dia berkata : “Kami ketika diletakkan di dalam kubur kami boleh keluar…”. Syaitan dalam banyak keadaan menyerupai rupa insan, samada dalam tidur atau jaga. Kadang-kala dia datang kepada sesiapa yang tidak mengetahui dan berkata : “Akulah syeikh si fulan, atau alim si fulan”. Kadang kala syaitan berkata : “Aku Abu Bakr, Umar…” Kadang-kala pula dia datang ketika jaga (yaqazah) bukan mimpi lalu berkata : “Aku al-Masih (Isa)” , atau “aku Musa” atau “aku Muhammad”.


Aku (Ibn Taimiyyah) tahu perkara yang seperti ini berlaku dalam berbagai-bagai cara. Maka di sana ada yang mempercayai bahawa para nabi datang dalam jaga (yaqazah) dalam rupa mereka yang asal. Di sana juga ada para syeikh yang zuhud, berilmu, warak dan beragama mempercayai perkara seperti ini. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia apabila datang ke kubur seseorang nabi, maka nabi tersebut akan keluar daripada kuburnya –dalam rupanya yang asal- dan bercakap dengannya. Di kalangan mereka ada yang melihat rupa seseorang syeikh di bahagian dalam Ka’bah, dia berkata: “Aku Ibrahim al-Khalil (Nabi Ibrahim)”. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa Nabi S.A.W keluar daripada kubur baginda lalu bercakap dengannya. Golongan sufi menjadikan ini sebagai karamahnya. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia jika bertanya orang di dalam kubur nescaya mereka akan menjawabnya”.


Sehingga Ibn Taimiyyah menceritakan ada di kalangan mereka yang apabila ada masalah akan datang dan bertanya kepada Nabi S.A.W, lalu Ibn Taimiyyah menyebut:


“Sehingga kata Ibn `Abd al-Barr (w. 463H) kepada mereka yang mempercayai sebegini: “Celaka engkau, apakah engkau berpendapat orang ini lebih afdhal daripada al-Sabiqin al-Awwalin (mereka yang awal menganut Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar?. Apakah ada di kalangan Muhajirin dan Ansar sesiapa yang bertanya Nabi S.A.W (selepas baginda wafat) dan baginda menjawabnya?!! Sahabah (selepas Nabi s.a.w wafat) telah bercanggah pendapat dalam banyak perkara, adakah mereka bertanya Nabi S.A.W. dan baginda menjawabnya?!!. Ini Fatimah anak baginda yang berselisih pendapat dalam pusaka baginda (isu tanah Fadak dengan Abu Bakar al-Siddiq), adakah beliau bertanya Nabi S.A.W dan baginda menjawabnya”.( Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 5/399. Riyadh: Maktab al-`Abikan)



Lebih Mulia?


Malangnya ini yang dipercayai oleh sesetengah pihak, sehingga mereka percaya ada tokoh tertentu boleh berjumpa Nabi S.A.W bila-bila masa sahaja yang mereka mahu. Kita tahu bahawa selepas kewafatan baginda S.A.W. telah berlaku pertelingkahan di kalangan sahabah terutama dalam isu pembunuhan `Uthman bin `Affan r.a., sehingga membawa perang Jamal dan Siffin. Tiada siapa di kalangan sahabah yang mendakwa mereka akan merujuk perkara ini kepada Nabi S.A.W di kubur baginda, atau memanggil roh baginda. Bahkan mereka kebanyakannya amat keliru dengan keadaan ketika itu. Kata al-Nawawi (w. 676H):


“Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Haqq ialah berbaik sangka terhadap para sahabah. Tidak mencampuri pertelingkahan yang berlaku antara mereka. Ahl al-Sunnah mentakwilkan peperangan antara para sahabah dengan menganggap bahawa mereka adalah mujtahidin yang membuat takwilan bukan berniat untuk bermaksiat atau semata-mata kerana dunia. Bahkan setiap golongan sahabah telah beritiqad bahawa merekalah yang benar, sesiapa yang menentang mereka adalah melampau dan wajib diperangi agar kembali kepada perintah Allah..”. Tambahnya lagi: “Isu-isu ketika itu mengelirukan sehinggakan kebanyakan sahabah merasa bingung dengannya lalu mengambil keputusan meninggalkan kedua-dua golongan dan tidak berperang serta tidak berkeyakinan tentang siapa yang benar”.( Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim 18/339. Beirut: Dar al-Khair)


Demikian juga apabila Abu Bakr dan `Umar berselisih pendapat mengenai mereka yang enggan membayar zakat di zaman pemerintahan Abi Bakr, tiada seorang dari kalangan mereka berdua yang menyatakan: “Mari kita bertanya RasululLah!!. Ada sesiapa yang lebih afdhal daripada Abu Bakr dan `Umar?!!!.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 22, 2014 18:28

January 9, 2014

Islam: Antara Hakikat Dan Hiasan

ISLAM: ANTARA HAKIKAT DAN HIASAN

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Apakah jenis Islam yang kita inginkan ataupun pentingkan? Islam yang hakiki yang berteraskan kepada intipati ataupun tujuan syariat Islam itu diturunkan oleh Allah? Ataupun Islam hiasan yang kelihatan pada luaran kulitnya atau cosmetic adjustments padahal intipati (essence) tidak memenuhi tujuan asal Islam itu sendiri?


Dahulu Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali (w. 505H) menulis kitabnya yang terkenal Ihya ‘Ulum al-Din bagi menangani penghayatan Islam tanpa roh yang sebenar. Tujuan beliau menangani perbahasan fekah yang kontang tanpa isi kerohanian dalam menghayati ibadah. Al-Imam Abu Ishaq Al-Syatibi (w. 790) telah menulis al-Muwafaqat membahaskan Maqasid al-Syariah (The Highest Objectives and intents of Islamic Law) bagi menjelaskan apakah tujuan utama di sebalik syariah yang kita lihat dan amalkan.



Dalam Radical Reform, Prof. Tariq Ramadan menolak apa yang dinamakan Islamic economy, Islamic politic, Islamic medicine dan seumpamanya. Beliau menolak istilah-istilah ini. Beliau menyatakan tiada sama sekali apa yang dinamakan Islamic economy sebaliknya yang ada hanyalah garis panduan umum serta falsafah bagi tujuan ekonomi yang ditetapkan oleh Islam. Bagi beliau tiada yang dinamakan Islamic economy, sebaliknya yang ada ialah etika Islam dalam ekonomi. Kata beliau “There is no Islamic economy, therefore, but an Islamic ethics of the economy”.


Hiasan


Ia mungkin soal pengistilahan, tetapi yang hendak ditekankan, apakah faedahnya meletakkan nama Islam untuk ekonomi, perubatan dan seumpamanya, padahal ia hanya satu hiasan luaran bukan hakikat yang hendak dicapai oleh syariat Islam itu sendiri. Jika dinamakan perbankan Islam, tapi unsur penindasannya sama dengan yang tidak bernama Islam, hanya sekadar istilah arab dan syariah sahaja yang dipentingkan, apalah maknanya? Allah tidak memerlukan harta kita, Allah mahu kita tidak zalim dan tidak menindas antara satu sama lain.


Pakaian, istilah, hiasan, corak dan bahasa yang dikaitkan dengan Islam tidak memberi erti jika tidak memenuhi tujuan asal ataupun matlamat syariat Islam dalam perkara yang berkaitan. Saya berikan satu contoh di sini, sebuah kedai makan yang bersih dan selamat makanannya tanpa memperlihatkan ciri-ciri zahir agama lebih memenuhi tuntutan Islam dibandingkan sebuah kedai makan yang peniaganya berkopiah dan dindingnya bergantungan ayat-ayat al-Quran tetapi tidak bersih dan kualiti makanannya di tahap yang rendah.


Bagi seorang peniaga makanan, menyediakan makanan yang bersih dan selamat adalah satu kewajiban. Itulah intipati tanggungjawab seorang peniaga makanan. Sementara memakai kopiah dan mengggantung ayat al-Quran di dinding bukanlah satu tuntutan. Ia satu pilihan. Bahkan kadang-kala ia boleh menjadi satu cara penipuan jika ada tujuan yang tidak jujur. Sabda Nabi:


“Muslim saudara muslim. Tidak halal seorang muslim menjual kepada saudaranya suatu jual yang ada kecacatan tanpa diterangkan” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll. Al-Hakim menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).


Tipu


Apabila kita membaca hadis Nabi s.a.w yang bersabda: “Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar” (Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak dll. Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh al-Zahabi) kita tahu yang jahat ialah sesiapa yang menipu pelanggan. Dalam konteks kedai makan penipuan adalah makanan yang kotor dan tidak selamat. Tidak dikatakan penipu orang yang tidak memakai kopiah ataupun tidak menghiasi kedainya dengan ayat-ayat al-Quran.


Memakai kopiah dan menggantungkan ayat al-Quran itu merupakan hak peniaga atas premisnya. Namun jika itu semua dilakukan untuk menarik pelanggan supaya merasa kedai makannya mengikut ajaran Islam sedangkan hakikat tidak, maka itu satu penipuan.


Lebih baik dia jangan meletakkan ayat-ayat Tuhan di dinding jika itu sekadar mengelirukan pelanggan. Dia bagaikan menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah. Mungkin bagi muslim mereka dapat bezakan antara perangai orang yang tidak ikut ajaran Islam dengan kesucian ayat yang digantung. Namun bagi non-muslim mungkin mereka akan salah sangka dengan Islam. Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:


“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).


Intipati


Demikian juga Islam tidak pernah menetapkan jenis masakan. Bukanlah masakan arab itu lebih disukai Allah dibandingkan masakan Barat. Seseorang yang suka makanan arab tidak bererti dia lebih soleh daripada yang suka makanan melayu ataupun Barat. Apa yang Allah sebut dalam al-Quran:


“dan makan dan minumlah, tapi jangan berlebihan, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebihan”. (Surah al-A’raf, ayat 31).



Jika kita lihat dalam urusan pentadbiran, apakah yang menjadi tujuan pengurusan pentadbiran dalam Islam? Islam tidak pernah mendetilkan rupa paras politik Islam, sebaliknya hanya memberikan garis panduan umum sahaja. Pentadbiran dan politik dalam Islam samada hendak dinamakan etika Islam dalam politik ataupun politik Islam, terpulang. Namun perkara yang menjadi tujuan Islam dalam politik ialah kemaslahatan negara. Bukan kemaslahatan pemimpin ataupun parti tertentu sahaja, sebaliknya ialah kemaslahatan umum untuk semua negara. Pengurusan pentadbiran dalam Islam berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah ataupun efficiency and accountability. Jika sesiapa sahaja mampu mencapai pengurusan yang amanah dan cekap dalam ertikata yang Islam kehendaki, maka dia telah menunaikan maksud dan tujuan pentadbiran politik dalam Islam. Firman Allah:


“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).


Bagaimanakah reka bentuk kerajaan dan pendekatan yang hendak diambil dalam mencapai maksud amanah dan cekap itu, Islam tidak tetapkan. Asalkan ia adil, tidak zalim atau tidak menyanggahi prinsip-prinsip umum Islam maka segala pendekatan dan cara boleh diambil.


Islam tidak pernah menetapkan pemimpin itu mesti bergelar mullah ataupun ustaz ataupun ulama. Tidak pula mesti berjubah dan berkopiah. Tidak pula ditentukan mesti nama-nama negeri, kampong, pejabat ditukar kepada istilah-istilah arab. Jika ulama dilihat mampu membawa kepada ketelusan dan kecekapan pentadbiran maka mereka dilantik. Jika selain ulama lebih mampu, mereka dilantik. Apa yang al-Quran tegaskan : (maksudnya)


“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).


Dalam minat yang tinggi rakyat kita untuk kembali kepada Islam, mereka hendaklah dapat membezakan antara hakikat dan hiasan. Bukan hiasan itu tidak perlu, tetapi hiasan itu hendaklah menggambarkan hakikat. Jika hiasan itu tidak menggambarkan hakikat maka itu penipuan dan ia bukan tujuan asal Islam yang Tuhan kehendaki.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 09, 2014 01:31

Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog

Mohd. Asri Zainul Abidin
Mohd. Asri Zainul Abidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mohd. Asri Zainul Abidin's blog with rss.