Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog, page 266

January 21, 2022

Tawaran Percuma Pemasangan Semula Pelekat RFID Rosak

Beberapa hari yang lalu, plaza tol digemparkan dengan berita kegagalan pengesanan RFID yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan tol. Ada diantara pengguna yang terpaksa mengundurkan kenderaan dan membuka semula pelekat RFID mereka.

Pelekat RFID adalah pelekat yang amat sensitif dan boleh rosak jika ia dikopek untuk dilekatkan pada kenderaan lebih daripada sekali. Rungutan daripada pengguna telah terbalas apabila pihak PLUS telah mengambil tindakan penambahbaikan segera iaitu dengan menggandakan kehadiran petugas mereka di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.

Pengguna lebuh raya dibawah kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang mengalami kerosakan pelekat sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) akan menerima gantian pelekat itu secara percuma.

Baca juga:

Pelaksanaan RFID Secara Menyeluruh Mulai Januari 2022Cara Register RFid Touch n Go (Beli Dan Pasang)Cara Penggunaan RFID Yang Betul:

Mulai 15 Jan 2022, transaksi tol menggunakan RFID untuk kenderaan ringan kelas 1 akan dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor.

Sistem RFID dilancarkan bagi memudahkan pengguna lebuh raya untuk menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong smart tag / touch n go dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j.

RFID juga menawarkan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan e-dompet Touch ‘n Go tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai,

Langkah Penggantian Pelekat RFID Rosak:

Untuk pembelian Tag RFID dari pusat pemasangan RFID, berikut adalah senarai tempat untuk memohon penggantian di pusat pemasangan RFID.

Untuk pembelian Tag RFID dari kedai Flagship TNG, Touch ‘n Go eWallet atau mana-mana peruncit rakan kongsi TNG.

Bagi RFID Tag yang didaftarkan di TNG RFID Portal, anda boleh memohon penggantian untuk sekali melalui Portal TNG RFID:

Langkah 1: Log masuk ke akaun Portal TNG RFID. Langkah 2: Pergi ke MY RFID TNG dan pilih My VehicleLangkah 3: Pergi ke Actions dan pilih Request replacement tagLangkah 4: Isikan maklumat anda dengan sewajarnya.Maklumat Lanjut:

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Touch n Go atau hubungi talian careline +603 2714 8888. 

The post Tawaran Percuma Pemasangan Semula Pelekat RFID Rosak appeared first on Portal Malaysia.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 21, 2022 12:06

Permohonan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) 2022 Kini Dibuka

Pengambilan Pegawai Bomba Bantuan tahun 2022 kini sedang berlangsung di beberapa buah Balai Bomba Dan Penyelamat di sekitar Malaysia. Khidmat Pegawai Bomba Bantuan (PBB) adalah satu dorongan untuk menggalakkan orang awam yang mempunyai niat untuk mendaftarkan diri dan sekiranya mereka terpilih, mereka perlu menjalani beberapa latihan intensif dalam tugas memadam kebakaran dan menyelamat.

Pegawai Bantuan Bomba yang terpilih perlu mendaftar di balai berhampiran dan harus sentiasa bersedia jika diperlukan. Mereka juga akan menerima bayaran elaun berdasarkan tempoh waktu berkhidmat sama seperti pegawai bantuan yang sedia ada.

Pengambilan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan menampung taburan balai bomba dan bilangan anggota yang tidak seimbang dengan keluasan kawasan perlu berisiko.

Baca juga:

Jawatan Kosong Bomba – Minima SPM!Senarai Jawatan Kosong Kerajaan 2022 – Ribuan Kekosongan!Syarat Kelayakan Utama: 

Syarat Kelayakan untuk memohon sebagai Pegawai Bomba Bantuan adalah:

Pemohon mestilah seorang warganegara Malaysia.Pemohon bukanlah salah seorang dari ahli anggota Angkatan Tentera Malaysia atau mana-mana angkatan atau skim sukarela yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.Pemohon hendaklah berumur 18 tahun keatas pada tarikh mula permohonan.Pemohon hendaklah memiliki sekurang-kurangnya Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau kelayakan yang diiktirafkan setaraf dengannya oleh Ketua Pengarah.

Syarat-syarat khusus / fizikal boleh disemak melalui perincian iklan bagi setiap negeri yang membuat pengambilan.

Iklan Pengambilan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di negeri seluruh Malaysia 2022:1) Pulau Pinang:

Tarikh tutup permohonan: 30 Januari 2022

Hantar Permohonan ke Senarai Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang.

2) Perak:

Tarikh tutup permohonan: 31 Januari 2022.

Hantar Permohonan ke Senarai Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Perak.

3) Terengganu:

Tarikh tutup Permohonan: 1 Februari 2022

Hantar Permohonan ke Senarai Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu.

Muat Turun Borang Permohonan:

Borang Permohonan Pegawai Bomba Bantuan 2022

Dokumen Sokongan:

Berikut merupakan senarai dokumen sokongan yang perlu disertakan bersama dengan borang permohonan:

Sekeping gambar pasport.Notis kebenaran majikan (jika sedang bekerja).Salinan kad pengenalan.Salinan sijil-sijil persekolahan.Lain-lain dokumen berkaitan yang telah disahkan.Maklumat Lanjut:

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang JabatanBomba dan Penyelamatatau hubungi talian 603-8892 7600.

The post Permohonan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) 2022 Kini Dibuka appeared first on Portal Malaysia.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 21, 2022 11:59

August 15, 2018

DAKWAH MASA KINI: DARI KONFRANTASI KEPADA ENGAGEMENT

Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin


1. Ramai yang agak terkejut apabila melihat beberapa tokoh memulakan pendekatan dakwah yang berbeza dari apa yang dikenali sebelum ini khususnya terhadap golongan yang dilihat melanggar ajaran Islam. Dahulu, ramai golongan agama di Malaysia ini yang memakai pendekatan ‘konfrantasi’ secara terbuka dengan golongan yang dilihat tidak mesra agama. Kita uslub perundingan, perbincangan dan cuba memahami realiti semasa diketengahkan.


2. Dahulu, pendekatan konfrantasi itu disebabkan pengaruh aliran jalur keras yang menguasai arena dakwah di tanahair. Dari pendekatan memaki-hamun, memutuskan hubungan, melebel serta memberikan gelaran buruk, seterusnya sehingga kafir-mengkafir dan menuduh pihak berbeza sebagai musuh Islam tanpa alasan yang kukuh. Malangnya, pendekatan itu semua dibuat atas nama dakwah padahal sebahagiannya bercampur dengan kepentingan tertentu.


Lebih malang lagi maki-hamun, mencarut dan kelucahan itu dilakukan di dalam masjid. Paling baru, tersebar seorang penceramah di Utara yang merupakan anak bekas seorang Mufti yang membuat isyarat lucah dalam masjid. Demikian akhlak yang buruk diberikan jenama agama. Sepatutnya, pendekatan sebeginilah yang patut dikritik dan dibantah.


3. Walaupun pendekatan konfrantasi itu kadang-kala diperlukan, namun bukanlah dalam semua keadaan kita disuruh untuk berkonfrantasi. Apa yang penting, dakwah menuntut hikmah seperti yang al-Quran dalam Surah al-Nahl ayat 125:

Firman Allah:


ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ


(maksudnya): “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.


Hikmah bererti mencari pendekatan yang paling sesuai dan paling berkesan. Hal ini pun satu ijtihad yang setiap kita mungkin mempunyai andaian atau jangkaan yang berbeza berkaitan kesan setiap pendekatan dakwah yang diambil.


Kata al-Sa’di (meninggal 1376H) ketika menafsirkan ayat di atas: “Hikmah maksudnya setiap individu diseru berdasarkan keadaan, kefahaman, penerima dan perlaksanaannya..adapun mauizah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud dengan ungkapan yang baik yang dapat mengingatkan mereka. Antaranya dengan cara memberi amaran kepada mereka mengenai balasan Allah di akhirat dengan pendekatan yang dapat menginsafkan mereka. Sementara: berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik bermaksud cara yang paling memungkin mereka menerimanya secara akal dan nas ( Al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman, 452, Beirut: Muassasah al-Risalah).


4. Kita faham, oleh kerana sekian lama kita dimomokkan dengan aliran pelampau yang membiasakan umat Islam di negara ini dengan maki hamun, mencarut, mencerca bahkan mengkafirkan, mereka sudah merasa tidak berdosa dengan perbuatan itu. Lebih jelek lagi, mereka merasakan itu sebahagian dari ajaran Islam dalam berdakwah. Bagi mereka itulah tanda ketegasan membela Islam.


Lebih dahsyat lagi mereka merasakan pendekatan yang santun dan berkomunikasi dengan baik itu satu kesalahan dan tidak tegas membela Islam. Mereka terlupa bahawa Islam melarang akhlak yang buruk dalam dakwah. Bukanlah akhlak Nabi Muhammad s.a.w memaki hamun orang lain. Kata Anas bin Malik r.a:


لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم سَبَّابًا وَلاَ فَحَّاشًا وَلاَ لَعَّانً


“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”. (Riwayat al-Bukhari).


5. Kita boleh bertegas dan berkonfrantasi jika keadaan menuntut hal itu. Namun kesemua itu dilakukan dengan kesantunan cara dan peradaban yang tinggi. Kita membantah, mengkritik dan bertegas, tetapi tidak mencarut dan melucah. Kita mematah hujah, berdebat, tajam sindiran dan sinis, tetapi tidak memaki dan mengeluarkan kata-kata yang tidak layak untuk insan muslim yang diajar agar berakhlak dalam bergaulan dan perkataan. Debat untuk menzahirkan kebenaran bukanlah dilarang, bahkan disuruh jika perlu -seperti dalam ayat al-Quran tadi-. Namun, caranya hendaklah mewakili sifat Islam yang bertamadun.


6. Engagement ataupun berunding dan berbincang merupakan salah satu pendekatan yang diajar dalam Islam. Engagement walaupun zahirnya macam lebih mudah dari berkonfrantasi, namun untuk mengurusnya tidaklah mudah. Ia akan membabit perasaan, kemahiran dan terdedah kepada manipulasi.


Engagement memerlukan kebijaksanaan agar tercapai tujuan dakwah itu, bukan akhirnya dimangsakan oleh ketangkasan pihak lain. Bukan mudah, kerana engagement itu bukan sahaja perlu menjaga perasaan pihak yang kita berurusan dengannya tetapi juga para pengikut ataupun Umat Islam itu sendiri. Kebimbangan engagement akan membawa kepada kerugian dan manipulasi pihak lain pasti ada.


7. Dalam Sirah Nabi Muhammad s.a.w sendiri, pendekatan ‘engagement’ ataupun berurusan secara perundingan pernah menyebabkan lahir tidak puas hati dalam kalangan sahabat Nabi s.a.w. Dalam Perjanjian Hudaibiyyah, para sahabat Nabi s.a.w yang mempunyai pengalaman lama ditindas, diperangi, dibunuh, diseksa dan dihalau dari tanahair oleh Quraish Mekah berhadapan dengan pendekatan Nabi s.a.w yang mahu berunding. Majoriti sahabat Nabi s.a.w melihat perjanjian itu tidak selaras dengan semangat juang mereka. Mereka pula terpaksa membatalkan hasrat mereka yang datang untuk menunai umrah ke Mekah dan menerima isi perjanjian yang sepintas lalu tidak selaras dengan jiwa mereka yang bersedia untuk mati membela kebenaran.


Paling tegas membantah ialah ‘Umar bin al-Khattab sendiri. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita di atas kebenaran dan mereka atas kebatilan?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya’. Kata ‘Umar: “Tidakkah orang yang mati dalam kalangan kita di syurga, sedangkan yang mati dalam kalangan mereka dalam neraka?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya’. Kata ‘Umar: “Maka atas alasan apa kita mengurangkan agama kita dan pulang (ke Madinah) sedangkan Allah belum lagi menurunkan hukumanNYA antara kita (siapa yang menang ataupun kalah).


يَا ابْنَ الخَطَّابِ، إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ، وَلَنْ يُضَيِّعَنِي اللَّهُ أَبَدًا


Jawab Nabi s.a.w: “Wahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, Allah tidak akan mensia-siakan aku sama sekali”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Ternyata akhirnya, engagement yang dilakukan oleh Nabi s.a.w itu membawa kepada kejayaan demi kejayaan dalam dakwah sehingga Islam tersebar lebih luas dan menguasai Kota Mekah.


8. Hari ini Islam telah diberikan gambaran yang buruk di media antarabangsa. Usaha bersepadu musuh dan kelemahan sikap mereka yang ada dalam kalangan Umat Islam itu sendiri menjadikan rancangan memburuk Islam telah berjaya di beberapa peringkat. Islamophobia tersebar di pelbagai negara.


Dunia kini pula bagaikan satu kampung yang kecil. Apa sahaja yang berlaku di mana sahaja, tersebar ke seluruh dunia dengan pantasnya. Realiti kini jauh berbeza dengan masa yang lepas. Kini, Islam sering disalahertikan oleh banyak pihak. Manipulasi berita dan kesempatan atas kelemahan dunia muslim menjadikan Islam seakan-akan Islam bagai individu yang memiliki rekod jenayah yang sentiasa dipersalahkan.


9. Dalam menghadapi realiti ini, satu pendekatan yang lebih berkesan dan ijtihad baru dalam perlaksanaan sesetengah hukum-hakam dan pendekatan dakwah perlulah dilakukan. Ini selaras dengan apa yang disebutkan oleh para sarjana, seperti al-Imam Abu ‘Abbas al-Qarafi (meninggal 684H) dalam al-Furuq: “Jangan sepanjang hidupmu jumud dengan baris-baris ayat dalam kitab. Apabila datang seseorang dari negeri yang iklim (budaya) berbeza denganmu meminta fatwa, jangan engkau hukum berdasarkan keadaan negerimu. Hendaklah kamu tanya keadaan negerinya dan nilai serta fatwalah berdasarkan keadaan itu. Bukan keadaan negerimu dan apa yang tertulis dalam kitab-kitab. Inilah kebenaran yang nyata. Jumud dengan petikan-petikan (kitab) pasti satu kesesatan dalam agama, kejahilan terhadap maksud para ulama Islam dan golongan salaf yang lampau”. (Al-Qarafi, al-Furuq, 1/176. Beirut: ‘Alam al-Kitab)


10. Demikian yang disebut oleh al-Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi (meninggal 1252H): “Kebanyakan hukum yang diterangkan oleh mujtahid adalah berdasarkan uruf zamannya, di mana jika dia di zaman uruf yang berbeza nescaya dia akan beri pendapat berbeza dengan apa yang dia telah nyatakan dahulu. Maka dengan ini, mereka menyebut bahawa antara syarat ijtihad hendaklah mujtahid itu mengetahui adat kebiasaan manusia. Ini kerana kebanyakan hukum berbeza disebabkan perbezaan zaman, perubahan keadaan orang zaman tersebut, berlakunya keadaan darurat ataupun kerosakan (nilai) orang zaman tersebut yang mana jika hukum itu kekal seperti sebelumnya akan menyebabkan kesusahan dan mudarat kepada manusia. Juga akan menyanggahi syariah yang dibina atas meringankan, memudahkan, menghalang mudarat dan kerosakan serta mengekalkan alam ini atas sebaik-baik sistem dan seelok-elok peraturan. (Risalah Ibn ‘Abidin, dinukil dari Ahmad bin Mahmud al-Shanqiti, Al-Wasf al-Munasib li Shar’ al-Hukm)


11. Dalam menghadapi realiti baru ini, tokoh-tokoh ilmuwan dan pendakwah yang mempunyai kefahaman yang luas telah mengorak langkah mencari pendekatan yang lebih realistik dalam menghadapi cabaran baru. Antara contoh yang boleh kita lihat ialah Syeikh Hamza Yusuf.


Pendekatan beliau ternyata berubah dari zaman awalnya dibandingkan masa kini. Dari zaman konfrantasi kepada engagment dengan realiti dan persekitaran baru yang ada. Demikian tokoh-tokoh ulama seperti al-Syeikh Abdullah bin Baiyah, Salman ‘Audah dan seumpamanya.


12. Saya tertarik apabila membaca kenyataan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) yang meminta supaya seorang muslim tidak perlu berbeza penampilan zahirnya jika dia berada dalam lindungan penguasaan bukan muslim. Padahal Ibn Taimiyyah itu terkenal sebagai tokoh dalam aliran salafi. Namun beliau tidak sempit seperti sesetengah aliran salafi hari ini. Kata Ibn Taimiyyah: “Sekiranya muslim berada di negara musuh, ataupun negara kufur yang bukan musuh maka dia tidak disuruh untuk berbeza dengan mereka dari segi penampilan zahir kerana itu akan memudaratkan. Bahkan digalakkan ataupun diwajibkan menyertai mereka di sudut penampilan zahir jika itu terdapat kemaslahatan agama seperti untuk dakwah mereka kepada Islam dan memerhati keadaan dalaman mereka untuk dimaklumkan kepada kaum muslimin mengenainya ataupun menghalang bahaya mereka terhadap kaum muslimin ataupun selainnya yang merupakan tujuan-tujuan yang baik”(Ibn Taimiyyah, Iqtida al-Sirat al-Mustaqim, 154. Kaherah: Dar Ibn Jauzi)


13. Dalam dunia globalisasi hari ini, segala isu yang berlaku di tempat lain akan tempias ke tempat kita. Penguasaan pemerintah sesebuah negara juga sering dibatasi oleh tuntutan-tuntutan di peringkat global yang sukar dihalang. Campur tangan asing terhadap sesebuah negara boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.


Perang persepsi terhadap agama boleh merosakkan akidah dan kesatuan umat melebihi dari perang bersenjata. Dalam keadaan ini, kita semua wajib berijtihad mencari pendekatan yang terbaik dalam membela dan menampil wajah Islam yang rahmah, ramah, responsif dan progresif.


14 Era ini memerlukan pemurnian kepada ajaran Islam yang sebenar. Era ini juga menuntut pendekatan yang bersesuaian agar penguasaan akidah Islam ke atas manusia dengan rela dan redha berakar dan berkembang.


Perang persepsi yang dilancarkan ke atas Islam perlu ditangkis dengan memberikan persepsi Islam yang sebenar iaitu rahmat, berkhidmat untuk kemanusiaan sejagat, progresif dan berperadaban tinggi. Kita memerlukan lebih engagement yang berkesan.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 15, 2018 20:29

April 24, 2015

Hidup Ini Bernafaskan Cinta Kasih

HIDUP INI BERNAFASKAN CINTA KASIH

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Perkataan rahmat yang digunakan dalam bahasa kita berasal dari bahasa Arab. Rahmah dari kata rahima yang bermaksud kasih atau kasihan belas. Dari perkataan ini lahirnya perkataan rahim (womb), perkataan ar-Rahman dan ar-Rahim dari akar rahima ataupun rahmat dalam bahasa kita dan lain-lain lagi.


Hidup ini dibina atas cinta dan rahmat. Tanpa cinta dan kasih hancurlah kehidupan. Justeru surah-surah dalam al-Quran kesemuanya –kecuali Surah at-Taubah- bermula dengan basmalah iaitu ‘dengan nama Allah ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) Lagi ar-Rahim (Maha Penyayang)’. Hubungan Tuhan dengan manusia serta alam keseluruhannya berasaskan cinta dan kasih. Hubungan manusia dengan Tuhan juga berasaskan cinta dan kasih. Mencintai Tuhan adalah asas dalam keimanan. Sesiapa yang membenci Tuhan maka dia tidak beriman.


kasih


Dakwah Atas Rahmat


Tuhan jadikan belas kasih dan sayang sebagai asas kehidupan yang sejati. Ketika membicarakan tentang Nabi Muhammad s.a.w, Allah menyebut: (maksudnya)


“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula kepada orang-orang yang beriman sangat belas sayang dan sangat rahmat (kasih) (Surah at-Taubah, 128).


Ertinya, dakwah Nabi s.a.w tidak bermula kebencian kepada mana-mana kumpulan yang tidak melancar permusuhan kepada ajaran Allah. Tidak seperti anggapan bahawa kebencian adalah asas hubungan antara muslim dengan Barat ataupun Timur, dengan Yahudi ataupun Kristian, dengan secularist ataupun agnostic ataupun selain mereka. Asas hubungan muslim dengan pihak lain bukan dengan slogan ‘permusuhan’ ataupun ‘kebencian’ seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Sebaliknya ia berasaskan misi Nabi s.a.w : (maksudnya)


“Kami (Allah) tidak utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan rahmat untuk sekelian alam” (Surah al-Anbiya 107)


Suami Isteri


Hubungan suami isteri dibina atas cinta dan rahmat. Ia tidak dibina atas selera seks semata tanpa rasa kasih dan rahmat. Tidak juga atas kehendak wanita yang mahukan nafkah dan tempat tinggal semata. Jika hanya atas selera seks, atau atas keperluan untuk makan dan pakai ataupun kepentingan yang lain tanpa ikatan cinta dan rahmat, kehidupan suami isteri tidak akan bahagia. Itu sebenarnya hubungan untuk mengambil kesempitan atas kepentingan tersendiri antara pasangan. Akhirnya ia akan melahirkan rasa tidak puas hati dan kebencian. Rasa cinta dan kasih simpati dalam hubungan pasangan adalah fitrah alam ciptaan Tuhan. Firman Allah: (maksudnya)


“Dan di antara tanda-tanda kebesaranNYA, bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas kasihan). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir”. (Surah ar-Rum, 21)


Sesiapa yang kononnya mencintai ataupun dicintai pasangannya hanya kerana kedudukan ataupun hartanya maka sesungguhnya dia sedang hidup di luar dari ‘natural design’ yang Tuhan tetapkan untuk kehidupan pasangan suami-isteri. Sesiapa yang disayangi kerana harta ataupun kedudukannya semata, hakikatnya dia tidak disayangi ataupun dicintai tetapi sedang dikhianati. Apabila kedudukan dan hartanya hilang, maka dia akan melihat kepalsuan kehidupan.


Maka isteri yang hanya mementing harta dan pangkat dalam hubungan, bukanlah isteri dalam ertikata sebenar. Dia tidak patut menduduki tempat ‘seorang isteri’ dalam kehidupan seorang lelaki. Isteri yang seperti itulah yang telah merosakkan reputasi ramai pemimpin dunia ini. Wanita yang seperti itu patut ‘dipecat’ dari kerusi isteri.


Begitulah juga jika sesiapa yang memiliki suami yang hanya mahukan seks semata, tanpa memberikan belaian kasih sayang. Tubuh diratah rakus, disetubuhi sepuasnya tapi dalam masa yang lain dimaki hamun, ataupun dipukul dan dihina semahunya. Lelaki yang seperti itu tidak layak menduduki tempat sebagai suami dalam kehidupan. Jika seorang wanita memiliki suami seperti itu, dia sepatutnya menggunakan peruntukan syarak seperti khulu’ dan fasakh agar lelaki seperti itu tidak hadir dalam hidupnya dan tidak lagi menjamah tubuhnya. Andainya ada pegawai yang menasihati ‘jangan minta cerai, sabar!’ itu menunjukkan dia pegawai agama yang malas membuka fail, ataupun jahil tentang tabiat penciptaan kehidupan yang Allah jadikan. Sabda Nabi s.a.w mengherdik lelaki seperti ini dengan menyatakan:


“Sengaja seseorang kamu memukul isterinya bagaikan hamba sahaya kemudian menyetubuhinya di waktu lain” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Ibubapa


Hubungan antara keluarga juga hendaklah atas cinta dan belas kasih. Seorang anak hendaklah dibesarkan atas belas kasih, bukan kebencian ibubapa. Untuk itu dalam al-Quran, Allah mengajar kita berdoa kepada kedua ibubapa dengan menyatakan (maksudnya)


“Katakanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua seperti mereka mendidikku semasa kecil” (Surah al-Isra, 24).


Walaupun arahan ini ditujukan kepada anak, tetapi ia pengajaran buat ibubapa agar mendidik anak dengan belas kasihan. Jika ibubapa tidak mendidik anak dengan belas kasihan semasa kecil, maka bagaimana mngkin doa ini akan sesuai untuk mereka nanti?!


Bapa ataupun ibu yang zalim, memukul ataupun menyeksa anak dengan cara yang salah adalah manusia yang tidak layak memikul gelaran ibu ataupun bapa. Ibu bapa yang menengking anak bukan pada tempatnya atau memaki hamun anak dengan bahasa yang buruk dan jelik bukan pendidik yang layak mendapat doa al-Quran tadi. Mereka inilah yang merosakkan masa depan dan kehalusan budi serta akhlak anak-anak. Hubungan asal anak dan ibubapa yang berasas cinta dan rahmat bertukar menjadi dosa dan kebencian.


Maka tidak hairan jika ibubapa yang cuai itu dilupai oleh anak mereka apabila dewasa nanti. Perbuatan melupai ibubapa itu tidak baik, tetapi kehilangan rahmat akan menghilangkan segalanya. Apabila melihat Nabi s.a.w mencium cucu baginda al-Hasan bin ‘Ali, Al-Aqra’ bin Habis berkata bahawa dia mempunyai sepuluh orang anak, tiada seorang pun dia pernah cium. Nabi s.a.w berkata kepadanya:


“Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia tidak akan dikasihi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Sahabat


Hubungan antara sahabat juga demikian. Sahabat sejati bukan sekadar kerana ada kepentingan tertentu, tetapi hubungan kasih dan rahmat. Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:


“Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”. Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”. Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).


Pemerintah


Hubungan rakyat dan pemerintah juga demikian. Ia bukan hubungan pihak yang kuat menentang pihak yang lemah. Bukan hubungan kuasa, cukai, harta dan ketaatan membabi buta. Ia hubungan kasih dan rahmat. Di atas kasih dan rahmat, ketaatan diberikan dan kuasa dilaksanakan. Sabda Nabi s.a.w


“Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat, mereka juga melaknati kamu”. (Riwayat Muslim).


Marilah kita memastikan cinta dan rahmat itu sentiasa subur dan berkembang dalam masyarakat kita. Kita tidak boleh hidup dengan kebencian, kita hanya boleh dan wajar hidup dengan cinta dan rahmat. Kehidupan yang dibina atas kebencian hanya akan merosakkan fitrah insani yang Allah ciptakan. Kembali kepada syiar Nabi s.a.w: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia pula tidak akan dikasihi”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 24, 2015 17:20

April 20, 2015

Zikir Menari dan Kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK)

Zikir Menari dan Kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK)

S.S. Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Pagi ini saya dihujani soalan bertalu-talu berhubung dengan kenyataan Pengerusi MFK tentang mengharuskan zikir menari, hubungan golongan habib dengan tarekat Naqsyanbadi Haqqani dan lain-lain. Kenyataan itu dibuat selepas mesyuarat MFK semalam yang saya juga salah seorang anggotanya. Di sini saya ingin menjelaskan hal berikut;


1. Saya hadir dalam mesyuarat semalam 20hb April 2015 selaku ahli MFK dari awal sehingga akhir tanpa keluar walaupun sejenak.


2. Mesyuarat semalam hanya memutus dua isu sahaja iaitu tentang kedudukan mangsa MH370 dan isu mereka yang terlibat dengan IS.


3. Tiada sebarang keputusan ataupun perbincangan mendalam tentang zikir menari dan hubungan habaib dengan tarekat Nasyabandi Haqqani.


4. Bahkan ada anggota fatwa dari Pantai Timur yang mengingatkan tentang hubungan golongan tertentu dengan tarekat Haqqani, lirik yang menyanggahi syariat serta meminta pihak JAKIM agar mengelakkan hadir dalam majlis-majlis seperti itu. Pihak JAKIM juga memaklumkan mereka tidak pernah hadir.


5. Namun, satu perbincangan rasmi untuk keputusan rasmi sama sekali TIDAK berlaku semalam.


6. Saya ingin mengandaikan mungkin pihak MEDIA tersalah lapor, ataupun itu hanya pendapat peribadi.


7. Buat rakyat Perlis khususnya, dan Malaysia umumnya, selaku anggota MFK saya menafikan terlibat dalam membuat keputusan yang membolehkan zikir menari seperti itu. Bahkan pendapat saya seiras dengan kertas kajian SS Mufti Wilayah. Demikian kenyataan yang pernah dibuat oleh Ketua Pengarah JAKIM, juga pendapat yang disuarakan oleh SS Mufti Trengganu.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 20, 2015 20:37

March 25, 2015

Tentang Isu Hudud Yang ‘Dipermainkan’

Tentang Isu Hudud Yang ‘Dipermainkan’

S.S. Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Hudud


1. Umat Islam wajib menghormati hasrat baik jika ada pihak yang ikhlas untuk mengkanunkan hudud yang adil, saksama lagi MEMENUHI maqasid syariah.


2. Enakmen Jenayah Syariah Kelantan satu usaha yang bersejarah dalam negara ini. Ia telah melalui proses yang demokratik di DUN Kelantan, maka kita hendaklah hormati proses yang dibuat secara berperaturan itu.


3. Hasrat ingin melaksanakan ajaran al-Quran dan al-Sunnah mana-mana pihak hendaklah dihormati. Peranan kita memberikan pandangan balas dan menolong hasrat baik seperti itu agar kebaikan atau niat baik benar-benar mencapai maksudnya.


4. HARAM muslim menggabungkan diri dalam apa-apa aktiviti yang bertujuan menghina ajaran al-Quran dan as-Sunnah.


5. Oleh kerana Enakmen Hudud Kelantan itu mempunyai banyak pandangan dan ijtihad yang dipilih oleh pihak penggubal, ia mungkin selaras, juga mungkin tidak selaras dengan maqasid syariah berkaitan hudud dalam Islam terutama pada zaman ini, maka masa yang cukup hendaklah diberikan untuk enakmen itu DISEMAK oleh pakar-pakar MAQASID syariah di pelbagai peringkat. Kegagalan perlaksanaan hudud di beberapa negara sebelum ini diharap tidak berulang di sini.


6. Sikap majoriti umat Islam Malaysia hari ini yang menghormati undang-undang itu secara dasarnya, merupakan satu sikap yang baik. Ini berbeza dengan keadaan era 80an dahulu. Kita patut bersyukur dengan sikap ini.


7. Kita hendaklah berhati-hati dengan portal berita tertentu yang cuba menimbulkan permusuhan dan salah tafsiran terhadap isu ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 25, 2015 20:43

March 23, 2015

Enakmen Jenayah Syariah Kelantan

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH KELANTAN

S.S. Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)



Ramai yang bertanya pendirian saya tentang enakmen hudud yang dibentangkan oleh Negeri Kelantan baru-baru ini.


1.Secara umumnya saya telah membentangkan kertas kerja dan menulis beberapa artikel mengenai hudud. Boleh dirujuk pandangan umum saya dalam tulisan-tulisan berkenan. Demikian juga banyak ucapan saya dalam pelbagai seminar, forum dan dialog boleh didapat di internet.


2. Pada dasarnya, saya menyokong hasrat baik Kerajaan Kelantan. Hudud itu asasnya ada dalam al-Quran dan as-Sunnah. Maka seorang muslim tidak boleh menentang hudud yang terdapat dalam kedua sumber agung tersebut.


3. Dalam masa yang sama kita hendaklah tahu bahawa perincian ataupun pendetilan undang-undang hudud itu kebanyakannya tidak disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah. Ataupun mungkin disebut dalam beberapa nas, tetapi dari segi perbincangan fekahnya, boleh diandaikan pelbagai tafsiran, ini yang yang disebut sebagai zanniah al-dilalah (dalil yang boleh berikan lebih dari satu andaian).


4. Maka, pendetilan kepada undang-undang hudud kebanyakannya adalah ijtihad ataupun kesimpulan pandangan hukum yang dirumuskan oleh sarjana muslim dari pelbagai latar. Maka, kita dapati terdapat perbezaan dalam pendetilan hukum seperti kadar curian, suasana undang-undang itu dilaksanakan, bagaimana hukuman dilaksanakan, apakah taubat menggugurkan hukuman ataupun tidak, apakah mengandung cukup sebagai bukti dan lain-lain.


5. Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen. Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas.


6. Suasana baru yang dihadapi oleh umat Islam hari ini menuntut ijtihad-ijtihad baru berkaitan hudud. Ini turut disuarakan oleh sarjana-sarjana besar fekah di zaman ini seperti al-Syeikh Mustafa Zarqa r.h, Muhammad Abu Zahrah, r.h, Dr al-Qaradawi dan lain-lain. Justeru, al-Syeikh Mustafa Zarqa tidak bersetuju hukuman rejam di zaman ini.


7. Soal latar keadaan untuk perlaksanaan sesuatu hukum juga hendaklah dikaji dengan teliti. Untuk memudahkan pemahaman orang awam, sedekah umpamanya merupakan satu syariat yang disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah. Tiada siapa pun boleh membantah galakan bersedekah. Namun, bagi individu yang melaksanakan sedekah, dia mungkin boleh dipertikaikan ataupun dipersoalkan di sudut kelayakan dirinya, kesesuaian masa, kesesuaian sasaran sedekah, keutamaan yang patut didahulukan, jenis barangan yang diberikan, kesan sedekahnya, cara dia bersedekah dan seumpamanya. Mempertikaikan kebaikan dan syariat sedekah itu adalah merosakkan akidah. Namun, membincangkan semula cara, pendekatan, keadaan individu yang bersedekah itu adalah dibolehkan.


8. Umat Islam hendaklah berhati-hati jangan sampai mempertikaikan syariat hudud itu sendiri. Pun begitu mereka boleh bertanya balas, tidak bersetuju dengan beberapa ijtihad berkaitan hudud yang dipilih.


9. Saya sekali lagi menegaskan, saya menyokong hasrat Kelantan. Namun dalam masa yang sama, saya memohon agar diberikan ruang supaya enakmen itu disemak lagi oleh pakar-pakar perundangan Islam dan maqasid as-Syariah diperbagai peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


10. Semakan itu perlu agar kegagalan perlaksanaan hudud yang pernah berlaku di Libya, Sudan, Negeria, Pakistan tidak berulang di Malaysia yang akhir memberikan mesej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai. Padahal yang tidak sesuai ialah pemilihan pandangan-pandangan ijtihad yang telah dibuat oleh mereka.


11. Kita juga hendaklah mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan menggambarkan ‘kekejaman’ undang-undang yang telah berlaku bawah pentadbiran Taliban, cara hudud ISIS, Bokoharam dan lain-lain. Versi hudud mereka tidak memenuhi maqasid syariah yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah.


12. Umat Islam menyokong hasrat Kelantan. Dalam masa yang sama, ruang waktu untuk pandangan kesarjanaan di pelbagai peringkat hendaklah dibuka.


13. Kita umat Islam kini sedang hidup dalam era persepsi yang salah terhadap Islam dan ajarannya. Musuh-musuh Islam merancang persepsi yang salah ini. Jika kita tidak berhati-hati, hudud akan dijadikan senjata memberikan persepsi salah itu.


14.Hudud adalah pintu yang berat tapi indah lagi menyelamatkan. Maka, kita memerlukan rumah yang sesuai untuk memasangnya. Jika dipasang di rumah yang buruk, mungkin pintu indah tapi berat itu boleh meruntuhkan rumah. Namun, jika dipasang di rumah yang indah juga, maka keindahan pintu itu akan terserlah dan keselamatannya akan zahir.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 23, 2015 07:05

March 18, 2015

Perlis Mufti speaks his mind

Perlis Mufti speaks his mind


AT 36, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (pix) had the distinction of being the youngest person to be appointed a mufti when he assumed the post in Perlis in 2006. He is now described as a boldly progressive Islamic scholar. He talked to CHOONG BOON SIEW recently about some controversial religious issues and what attracts youths to the Islamic State (IS). Following are excerpts from the interview.


sun_logo


theSun: It looks like your first tenure stands in stark contrast to your current one. On what levels have this occurred?


Mohd Asri: The first time round, not many voiced a desire for open-minded thinking. In fact, Umno during the time was more open than PAS was. Many of my suggestions on matters such as khalwat (close proximity) were staunchly opposed by PAS. Largely, I was supported on many counts by Umno. But with changing times the roles have reversed. Umno’s now more conservative, and PAS has opened up a bit more, especially their religious scholars, perhaps due to their Pakatan counterparts.


The number of ordinary Muslims worldwide who have cast aside their normal lives, families and friends to join ISIS has been a cause for concern. Young Muslims are particularly vulnerable. What could their primary motivation be?


Social media plays a fundamental role here. In the pre-social media days numerous things could occur without large public awareness. Now it’s highly detailed… To do something about it is not unique to the Muslim world, as volunteers from the West to Palestine or eco-activists have shown. Some have even lost their lives in the process. But the West is familiar with open information for a long while now. When Muslims first experience this exposure, it triggers internal encouragement. Mix it with religious elements and some will, in their minds, they hear the beckoning for them to participate. It is my firm belief that we cannot wholly prevent people from heading to such conflict zones. In principle, I concur with helping the oppressed. After all it’s a praiseworthy deed. So going there per se is not wrong, merely what’s erroneous are the channels in which this occurs, as ISIS demonstrates.


But isn’t there a deeper, underlying rationale for Muslim youths to do so?


I can name several. The action of the US and its Western allies in invading and bombing Muslim countries has engendered a sense of despair in Muslims worldwide. They simply don’t know who to turn to. Disappointed in their own governments for its corruption and injustice along with anger at the US has made them look for solutions elsewhere. Thus they turn to faith for solace. When they hear of ISIS they are led to believe that it’s a revival of the Caliphate during Islam’s Golden Age, and as such wish to be a part of it. Call it a sort of idealism if you will. Never mind the fact that it’s only a pipe dream, it cannot exist as how we understand it simply because circumstances are different in this day and age.


Could this be due to a lack of spiritual understanding, specifically teachings, Qu’ranic knowledge, hadiths, among others?


Yes, in a way. I always place emphasis on Muslims to understand Islam not merely from written texts but also at the surrounding context. You can only learn so much by reading or rote-memorisation. This lacking, so to speak, is why the idealised Caliphate is no longer relevant. The Caliphate does not exist to perpetuate warfare as how IS is doing. Its purpose is to establish good governance, instil Islam with a positive image for the rest of the world, and most important of all, to ensure and uphold justice for all.


Another point in fact, many religious movements have promoted the idea of an Islamic state over the years, without providing a clear explanation to what it’s supposed to be. These movements often try to differentiate themselves from their surrounding political systems, yet commonly lack sufficient training in other fields, administration being one. Thus in previous times the populaces’ impression of an Islamic State is one of rulings and penalties. Yet integrity, fidelity and social welfare is uniformly important. The second error is believing an Islamic state to be a clergy, or more accurately a mullah state. Certainly, Iran is a prime example. Hence, it’s now more vital than ever for the populace to be comprehensively educated on what an Islamic state truly is. To understand its highest purpose and decide whether the state will be either one punishment after another or to live in peace with each other.


As one of Malaysia’s religious leaders, what steps do you think the authorities can take to deter Muslim youths from joining IS?


Provide the right channels for those who want to help the oppressed, via various volunteer organisations for example. This could perhaps stem the tide. And involving oneself in high-risk areas does not necessarily mean taking up arms. Providing medical aid, or helping out in refugee camps is equally laudable.


Detailed methods would be under the federal government’s jurisdiction, but as Mufti of Perlis then and now I promote mutual understanding of one another, endorsing tolerance whenever possible. By doing so I endeavour to reduce tensions among Muslims and non-Muslims and encourage peace and goodwill. In turn I hope that it will prevent youths from viewing radicalism as a solution when they realise there are always other ways.


Source : The Sun Daily

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 18, 2015 15:00

March 15, 2015

Cukai dan ‘Ulama Cukai’

CUKAI DAN ‘ULAMA CUKAI’

S.S. Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Pada Jun 2008 semasa saya menjadi Mufti Perlis kali pertama, saya menulis sebuah artikel berjudul AGAMA BUKAN CANDU UNTUK MENGKHAYALKAN ORANG MISKIN. Artikel turut disiarkan oleh Akbar Utusan Malaysia pada masa itu. Artikel ini merujuk kepada isu harga minyak melambung naik pada zaman itu. Pihak kerajaan berkempen agar rakyat berjimat cermat dan ‘mengubah gaya hidup’. Golongan agama juga digunakan untuk berkempen. Kenaikan harga minyak secara mendadak yang dilakukan oleh pihak kerajaan ketika itu amat membebankan lapisan masyarakat yang berpendapatan rendah. Berikut beberapa potongan dari artikel berkenaan;


Saya tertarik apabila membaca kisah al-Imam al-Nawawi r.h (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad. Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).


Teladan Saidina ‘Umar


Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata:


“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).


Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).



Alangkah Buruknya..


Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa. Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat? Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 15, 2015 20:54

March 6, 2015

Penjelasan Isu Surat

PENJELASAN ISU SURAT

S.S. Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


surat


Kepada pihak yang berkaitan, saya sekali lagi ingin jelas begini;


1. Telah ditegaskan dari awal, surat tersebut adalah surat dalaman pentadbiran yang khusus untuk pihak dalaman yang berkaitan sahaja. Tiada siapa ingin memalukan sesiapa tapi ia adalah hak penganjur menentukan pemilihan panel. Ia kes khusus untuk satu program yang membabitkan keberangkatan pihak istana dan kehadiran Mufti Negeri.


2. Isu-isu riwayat palsu termasuk isu roti jala telah timbul sejak tahun lepas. Banyak pandangan terutama mereka yang terbabit dalam bidang hadis telah dilontarkan mengenai isi-isi ceramah pihak berkenaan. Maka, dalam pemilihan panel forum pihak jabatan setelah berbincang melihat tidak sesuai untuk program itu, bukan mengeluarkan fatwa khas menghukum dan melarang sepenuhnya pihak terbabit.


3. Pihak saya sejak hari awal isu timbul telah menyampaikan salam kepada pihak berkenaan melalui wakil JAKIM Ustaz Zakaria pengerusi forum. Saya telah tegaskan tiada isu peribadi dan bukan larangan mutlak.


4. Pihak saya juga semalam mengelakkan sidang media dan enggan menjawab soalan wartawan tentang isu ini supaya tidak mengeruhkan keadaan.


5. Pihak saya dukacita apabila pihak berkenaan membuat sidang media dan mencabar bukti. Bukan tiada bukti, tapi elokkah cabar mencabar di media sedangkan laluan perbincangan terbuka? Jika surat itu ditujukan kepada awam, mungkin boleh diterima rasional cabaran itu, tapi hal ini hanya urusan pentadbiran dan bukan larangan mutlak.


6. Dalam contoh ‘roti jala’, alangkah baiknya jika pihak berkenaan membetulkan hal itu. Ini kerana jika tidak dibetulkan ia boleh membawa anggapan ‘sunnah Nabi s.a.w. makan roti jala’.


7. Adapun hentaman terbuka pihak berkenaan terhadap TGNA rahimahullah dalam banyak video juga adalah salah dari segi fakta. Pendapat TGNA tentang Allah memilih Nabi s.a.w dari kalangan hamba-hambaNYA yang didapati terbaik itu ada dalil yang sahih. Sementara hujah pihak berkenaan menolak TGNA atas alasan Nabi Muhammad lahir dalam keadaan sujud, berkhatan dan menyebut alhamdulillah, riwayat-riwayat itu banyak pertikaiannya. Itu juga wajar diperbetulkan, jangan sampai orang menganggap pendapat TGNA dalam hal itu salah. Ketepikan isu politik dalam hal ini.


8. Alangkah baiknya, jika pihak berkenaan hentikan perbalahan di media massa kerana itu mendesak pihak saya yang terbabit dengan pentadbiran sebuah negeri menjawab secara terbuka juga seperti ini.


9. Alangkah baik, jika pada hari pertama surat itu diviralkan, pihak berkenaan tidak siarkannya dalam FB sebaliknya hubungi saya dan tanya terlebih dahulu.


10. Apapun, atas dasar ukhuwwah dan dakwah, pintu pejabat dan jantung hati saya sentiasa terbuka untuk berbincang serta ‘minum dan tersenyum’.


Dr MAZA

Mufti Negeri Perlis.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 06, 2015 00:22

Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog

Mohd. Asri Zainul Abidin
Mohd. Asri Zainul Abidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mohd. Asri Zainul Abidin's blog with rss.