Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog, page 267

February 23, 2015

Gabungan Kerjasama PAS dan UMNO

GABUNGAN KERJASAMA PAS DAN UMNO

S.S. Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)



Setelah sekian lama perbalahan politik antara PAS dan UMNO, hari ini kedengaran ulama PAS mencadangkan agar parti itu bekerjasama dengan UMNO. Sebagai rakyat biasa yang memerhatikan hal ini sekian lama, saya ingin memberikan pandangan berikut;


1. Seeloknya langkah kerjasama tersebut dimulakan secepat mungkin demi kebaikan rakyat negara ini. Kerjasama itu jika dengan maksud tolong menolong ke arah kebaikan dan taqwa, maka ia merupakan suruhan agama.


2. PAS telah berjuang di luar sekian lama untuk membaiki politik UMNO, mengapa tidak PAS mencubanya pula dalam satu kerajaan. Ia satu projek islah siyasah parti lawan dan juga segala kelemahan diri sendiri.


3. Kerjasama bukan bermaksud menghapuskan identiti tetapi gabungan yang mengekalkan identiti namun sering ‘pesan memesan kepada kebenaran dan kepada kesabaran‘ seperti arahan dalam Surah al-Asr.


4. Impian rakyat untuk melihat persaingan sihat antara kerajaan dan pembangkang akan lebur jika PAS terus berkrisis seperti sekarang yang boleh membawa pertandingan tiga penjuru dalam pilihanraya akan datang, yang akan melemahkan persaingan sihat dan menjadikan suatu pihak akan begitu dominan.


5. Ruang untuk persaingan siyasah dengan idea-idea baru akan muncul lebih subur dengan pergabungan antara PAS dan UMNO. Di pihak kerajaan akan terasa saingan dalaman yang baru. Di pihak pembangkang akan membuka ruang kepada platform baru politik menggantikan tempat PAS. Moga ia baik untuk negara di sudut ‘politik idea‘.


6. Banyak common ground antara PAS dan UMNO selama ini, terutama di sudut aliran kefahaman Islam kedua parti itu. Hanya bahasa yang berbeza, tapi isi mereka banyak yang sama. Golongan muslim yang lebih progresif mungkin akan mempunyai ruang baru yang jelas di medan siyasah dengan hilangnya bayangan Islam PAS yang selama ini dilihat pelbagai versi.


7. Rakyat akan dapat melihat sejauh manakah kejujuran politik antara kedua parti melayu Islam itu apabila mereka bergabung dalam pentadbiran. Penilaian matang akan dapat dibuat.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 23, 2015 18:09

February 9, 2015

Wawancara – Buang Dinosaur, Lantik Muka Baharu

Wawancara – Buang Dinosaur, Lantik Muka Baharu


DALAM apa sahaja kapasiti – mufti, pensyarah atau pendakwah – beliau menarik perhatian ramai. Sebagai Mufti Perlis pertama kali (2006 – 2008), kemudian sebagai pensyarah universiti, beliau lantang bersuara.


Ramai menyokong, tetapi ada juga yang tidak menerima pandangannya. Mulai awal bulan ini, beliau kembali menduduki kerusi Mufti Perlis, jawatan yang beliau tinggalkan tujuh tahun lalu. Dengan pengalaman dan pendedahan yang makin banyak, beliau tentunya ada banyak perkara yang ingin dikongsikan dengan masyarakat.


Ikutilah temu bual Timbalan Pengarang Berita Farush Khan, Editor Rencana DARINA OSMAN dan jurugambar ROSLI TALIB dengan DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN.



Datuk pernah jadi Mufti Perlis dahulu, dan kini kembali ke pejabat mufti setelah beberapa tahun menjadi pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia (USM). Apa perasaan Datuk?


Saya mungkin agak lebih teruja atau berdebar nak jadi mufti pertama kali dulu, sebab saya tidak ada pengalaman dan tak tahu bagaimana cara pengurusan. Lepas jadi mufti, saya balik semula sebagai pensyarah, (dan) pergi merata-rata di dunia ni.


Saya terdedah kepada banyak pengalaman, alhamdulillah. Semasa jadi mufti dulu, umur saya 35 (tahun), dengan semangat orang muda, darah muda masa tu (tersenyum).


Selepas jadi mufti kali pertama, saya kira rakyat lebih mengenali saya (melalui) sebahagian besar isu yang saya bangkitkan. Mungkin banyak isu tertentu dan saya kira sebahagian mengenali saya dengan cakap-cakap (saya).


Kemudian saya dapat peluang pergi ke beberapa tempat. Tamat jadi mufti, saya diberi peluang ke Wales ketika jadi pensyarah di USM (Universiti Sains Malaysia).


Kemudian saya jadi felo di Oxford, kemudian balik lagi (ke tanah air), kemudian pergi menuntut di London selama enam bulan. Jadi agak banyak pengalaman, yang saya rasa alhamdulillah, walaupun ketika saya tidak jadi mufti, perkataan-perkataan saya masih diambil oleh media dan mendapat liputan.


Apabila nak jadi mufti semula (mulai awal bulan ini), apabila Tuanku Raja Perlis (berkenan) panggil menghadap dan memaklumkan bahawa (Mufti Perlis sebelum ini) Datuk Dr Juanda (Jaya) nak balik ke Sarawak menjadi penasihat kerajaan negeri sekarang, maka saya berfikir, istikharah dan membuat keputusan menerima tawaran tersebut.


Untuk kali ini saya masuk pejabat mufti, saya dah tahu apa yang nak buat, boleh lihat dari pelbagai sudut. Apabila umur kita meningkat, pengalaman bertambah, pertimbangan-pertimbangan kita (pun) lebih baik.


Ketika pertama kali menjadi mufti dahulu tentu banyak perkara yang Datuk rancang untuk pentadbiran Islam di Perlis. Sejauh mana apa yang Datuk rancang itu dilaksanakan oleh pengganti Datuk? Kalau masih tidak dilaksanakan apakah Datuk bercadang meneruskan semula kali ini?


Walaupun saya jadi Mufti Perlis dua tahun, saya dengan Perlis agak rapat. Bila saya datang ke Perlis ini, alhamdulillah, tak jadi mufti pun (saya) masih (jadi) Ahli Majlis Agama Islam Perlis.


Apa yang saya fikirkan ialah mufti menjadi rujukan agama. Oleh kerana rakyat mencari satu sumber atau tempat merujuk, sekurang-kurangnya mereka mencari garis panduan, maka mufti patut dikenali rakyat dan senang dihubungi serta (dapat) memahami banyak isu.


Akan jadi masalah jika mufti itu tidak dikenali, tidak bersuara, tidak bercakap, hanya dikenali untuk acara-acara rasmi tetapi tidak menyelesaikan isu yang pelbagai. Dalam masa sama, kita kata Islam itu lengkap, syumul, tetapi bila ada isu yang membabitkan agama kita tak mahu bercakap.


Dan orang-orang politik bercakap, orang itu bercakap. Akhirnya kita tanya kenapa semua orang nak bercakap.


Sebagai penceramah selama ini Datuk dilihat sebagai berani dan amat terbuka dalam menjelaskan isu-isu Islam, walaupun ada pihak berasa tersinggung. Kini Datuk menjadi pegawai kanan kerajaan dan terikat dengan peraturan. Apakah keberanian dan kelantangan Datuk akan diteruskan?


Saya tidak rasa (ia akan terjejas) melalui kekangan, sebab dalam tempoh tak jadi mufti pun saya bersuara dalam hal politik, sosial dan berbagai-bagai. Saya berterima kasihlah pada istana Perlis, bukan (pihak istana) tak tahu saya bercakap.


Satu perkara yang berharga dalam hidup kita ini ialah kebebasan untuk menyatakan pandangan kita. Apa makna jawatan jika kebebasan kita dirampas. Ini prinsip penting dalam hidup, tetapi (menyatakan pandangan) mestilah dari sudut kesantunan, kesusilaan, bahasa dan seumpamanya.


Ada peraturan-peraturannya, tetapi (kalau) sehingga menghalang manusia bercakap, ini tidak melambangkan sebuah negara yang maju. Kita mesti bercakap. Saya akan bercakap, saya tidak mencerca. Kemungkinan pandangan saya berbeza, tetapi saya akan maklumkan ia pandangan peribadi saya.


Saya sepatutnya begitu, akan terus bercakap. Hubungan saya baik dengan istana, saya juga Ahli Majlis Agama Perlis.


Ketika pertama kali jadi mufti dahulu, apakah cabaran-cabaran utama yang Datuk hadapi? Apakah cabaran-cabaran itu masih wujud sekarang? Apakah langkah terkini Datuk untuk menghadapi dan mengatasi cabaran tersebut?


Ada advantage (kebaikan) dan disadvantage (keburukan). Advantagenya ialah kita mudah menyampaikan idea kita sendiri.


Oleh kerana, alhamdulillah, saya bercakap dan saya juga penulis, sebahagian idea saya (yang) saya tulis di FB (dan) Twitter saya, yang boleh dipetik oleh orang lain; yang kadang-kadang wartawan petik maksud lain.


Jadi kalau kita tulis, ayat kita sendiri, kita tahu, dan orang boleh akses kepada maklumat yang betul, yang asli. Jadi itu satu kelebihan.


Kalau apa yang kita kata disebarkan tidak betul, ini merebak sangat cepat, jadi viral, tetapi saya rasa kekuatan media sosial sekarang ini banyak beri manfaat. Tetapi kita kena aktif, kena counter balik.


Ada artikel saya tulis belum keluar di media cetak, sudah ada di media sosial. (Kelebihan) ini tidak ada zaman saya dulu. Ada (juga) tetapi tidak sehebat sekarang. Perlis ini ada banyak persepsi.


Dulu lebih teruk, nak jelaskan susah, tetapi apabila saya jadi mufti saya berterima kasih kepada media kerana banyak sokong saya, dapatlah saya terangkan apa yang berlaku di Perlis.


Tetapi sekarang kita tengok ramai yang boleh membaca, terutama mengenai agama dan mengenali tokoh ilmuwan agama peringkat antarabangsa. Orang tidak lagi menerima pandangan sempit. Kini lebih global.


Contoh isu Cadbury tempoh hari. Kalau dulu dengan babi, habislah. Tetapi kini dengan isu Cadbury orang mula kenal bukan setakat babi, tetapi DNA dan melihat dari sudut lain, lebih luas.


Datuk dikenali dalam tiga bidang utama, iaitu sebagai ahli akademik, penceramah dan mufti. Antara ketiga bidang ini yang mana Datuk rasa paling seronok untuk melaksanakannya?


Ramai orang berceramah, ada yang jadi mufti, tetapi saya kira ramai yang membantu orang ialah sholarship; kesarjanaan, maksudnya kajian, melihat pandangan yang lebih luar dari sudut berbeza.


Perlis memang terkenal dengan pandangan-pandangan. Walaupun (Perlis) negeri kecil, kalau (mengenai) stand (pendirian) Perlis sekarang, orang selalu kata Wahabi, Perlis nothing to do (tiada kaitan) dengan Wahabi.


Saya kata pada wartawan, Perlis tidak Wahabi dan tidak benarkan Wahabi di Perlis. Apa yang diceritakan (bahawa Perlis amalkan Wahabi) itu tidak benar. Dari dulu Perlis telah letakkan dalam perlembagaannya, satu-satu negeri (yang) tidak terikat dengan satu mazhab.


Ia terima semua dan akan melihat yang mana terbaik. Dulu-dulu kita bayar zakat dengan beras, (tetapi) kini bayar zakat dengan duit. Dulu pernah saya kata dalam kes anak tidak sah taraf; yang lahir bawah dari enam bulan, susah untuk didaftarkan. Ramai anak yang didaftarkan tidak boleh dibinkan nama bapa, tetapi dibinkan Abdullah.


(Di) Perlis, kita benarkan bin nama bapa, walaupun dia kahwin baru tiga bulan, anak itu anak dia. Kita nak hukum siapa? Nak hukum ibu bapa, nanti anak dia tidak ada ibu bapa, susah nak daftar sekolah.


Sini (di Perlis) orang nak masuk Islam kita binkan dengan nama bapa dia. Takkan kita nak binkan Abdullah pula. Islam mengiktiraf “panggil mereka dengan nama”. Perlis kecil, tetapi Islam kita syumul.


Kita nak Islam yang harmoni yang menyelesaikan (masalah). Malaysia the only (negara) yang suruh binkan Abdullah. Negara lain tak ada. Itu lebih kepada keputusan kita yang bersifat tempatan.


Negeri sebenarnya tidak terikat dengan fatwa kebangsaan, agama di bawah negeri. Cuma fatwa kebangsaan sebagai makluman kita hadir ke Majlis Fatwa Kebangsaan. Hakikatnya ia fatwa peringkat negara, tetapi bidang kuasa dalam negara kita, negeri tidak terikat.


Negeri di bawah raja negeri berkenaan. Kalaulah fatwa kebangsaan kata A, kemudian negeri buat keputusan B, terpakai di negeri itu. Ada pandangan-pandangan yang berbeza dengan negeri lain, tetapi sama dengan negara Arab, contoh mengenai talak.


Kita balik kepada fatwa yang asal, seperti ijtihad pada zaman Khalifah Umar (Al-Khattab ra). Kita nak jaga kekeluargaan tersebut. Bilangan talak bergantung kepada kali yang dia lafazkan.


Dari segi amalan harian dan hal ehwal pentadbiran Islam, Perlis dikatakan sedikit berbeza dengan negeri-negeri lain di Semenanjung. Pada pandangan Datuk apa agaknya penyebab kepada perbezaan ini? Apakah kelainan, perbezaan ini sesuatu yang baik?


Kita tengok (wanita) pakai tudung hijau (atau) hitam; itulah perbezaan. Manusia hidup dengan kepelbagaian yang beri alternatif selagi kepelbagaian itu memberi jalan keluar yang baik, bukan bawa manusia kepada jenayah.


Ia adalah sesuatu yang baik. Perbezaan ini membantu. Contoh, kalau ikut bayar zakat dulu-dulu kita kena bayar dengan beras, ertinya dekat nak raya penuhlah beras kat rumah. Tetapi kerana kita boleh terima pandangan mazhab Hanafi, zakat bayar dengan duit.


(Walaupun) tidak ada dalam mazhab Shafie, kita terima pakai. Mazhab Shafie perlu lafaz. Bayar dengan mesin, mesin mana boleh bercakap? Jadi perbezaan itu dilihat advantage.


Fatwa atau hukum (bertujuan) membantu manusia dan menyelesaikan masalah. Kita kena bagi pandangan yang mendekati maksud al-Quran dan sunnah (dan) dalam masa sama, menyelesaikan masalah.


Tanda-tanda semakin jelas bahawa umat Islam di negara kita semakin berpecah dan berpuak. Salah satu faktor perpecahan adalah kerana perbezaan fahaman politik. Sebagai mufti, apa komen Datuk mengenai perkara ini?


Kita kena lihat adakah benar umat Islam berpecah di Malaysia. Kalau benar kena kenal pasti. Saya ambil contoh era 80-an, ada (kejadian) sembahyang dua imam. (Disebabkan) parti berbeza, (ahli parti) tak boleh makan semeja.


Saya rasa ini sangat serius. Hari ini (keadaan) tak seserius itu (lagi). Orang Islam boleh solat sama dalam masjid. Reformasi banyak, hujah intelektualiti rakyat meningkat, tetapi saya tak nampak mereka sampai bertumbuk di jalan kerana berbeza (fahaman) politik. Tetapi saya rasa dulu lebih serius.


Untuk tangani masalah perpecahan, jika ada, ialah kebijaksanaan rakyat. Kena educate (didik) rakyat. Saya lihat rakyat sudah matang. Ada orang, dia suka dengan kerajaan, tetapi tak suka dengan pemimpin tertentu.


Ada orang, dia suka idea pembangkang, tapi tak undi pembangkang. Politik parti sudah berkurangan, sudah mula kritikal dengan isu. Jadi bila kita rasa itu perpecahan, perpecahanlah. Pada saya kita kena remove (singkir) all dinosours dalam politik.


Contoh, isu (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim dari dulu, skrip yang sama. Pemimpin yang baru datang, kalangan orang lama akan bangkitkan lagi isu sama. Kita nak muka-muka baru, kita tak nak lagi isu-isu lama, isu peribadi ni.


Pelbagai lagi isu, soal ketamadunan, soal hala tuju negara yang pada saya belum jelas. Kita bukan nak dengar (cara) selesai isu, (iaitu) dengan pergi berhimpun di mahkamah untuk dengar masalah peribadi.


Tapi biarlah ia mengenai hak tuntutan rakyat, macam tuntutan royalti minyak Kelantan. (Itu) Lebih baik daripada pergi dengar isu peribadi manusia. Perpecahan ini puncanya politik, bagi muka barulah.


Ini isu keluar (daripada) tajuk soalan. (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) pergi upacara Thaipusam (di Batu Caves, baru-baru ini). Negara ini ada pelbagai agama.


Najib boleh pergi, tetapi jangan meleburkan dirinya sebagai seorang Muslim. Kalau tanya saya, saya kata seorang PM boleh pergi ke majlis itu bukan untuk merayakan perayaan agama, tetapi pergi sebagai ketua negara bercakap mengenai keharmonian.


Oleh kerana beliau pergi sebagai identiti PM, pihak pengurusan perlu maklumkan beliau tidak perlu berpakaian seperti merayakan upacara itu, tak perlu kalungan bunga.


Bukan tak boleh hadir, tapi hadir dengan tidak merayakan perayaan itu. Kerana itu perayaan agama (yang) dirayakan penganut agama, ada kepercayaannya.


Ia bukan sambut merdeka atau tahun baharu. Penasihat yang ada di keliling PM dan pemimpin yang terbabit dengan agama tidak menasihati PM dalam kes ini. Pergi sebagai PM bukan sebagai (orang yang) turut merayakan perayaan itu.


Selain perbezaan politik pandangan dan persepsi berbeza dalam kalangan para ulama juga akhir-akhir ini memecahbelahkan lagi orang Islam di negara ini. Perkara-perkara kecil seperti doa qunut, talkin, tahlil arwah pun boleh menjadi punca perpecahan masyarakat. Apa peranan yang boleh dimainkan oleh para mufti untuk mengatasi perkara ini?


Saya hairan bila orang kata ada perpecahan kerana benda-benda kecil ini. Ini hanya persepsi, mentaliti golongan agama yang tak baik, mahu dominasi.


Benda-benda ini dicipta penceramah dan sebagainya. Kalau Perlis, kita tak galak. Ini soal manusia dengan Tuhan nak talkin, nak qunut. Amalan seseorang itu lebih penting.


Sebagai Mufti Perlis, apa visi Datuk untuk masa depan perkembangan Islam di Perlis khususnya dan di negara ini, amnya?


Saya lihat, alhamdulillah, di Malaysia ini ramai berpendidikan, terdedah dunia luar, pandangan antarabangsa oleh para scholars. Perkembangan ilmiah berlaku (adalah) suatu perkembangan sihat. Kita tak boleh jumud.


Keadaan orang Islam hari ini berbeza, yang mesti ditangani cara berbeza yang mungkin tak sama cara dahulu. Jika tidak, kita tak boleh ke depan. Orang lain kaut untung, kita tak dapat apa. Islam ini nak kena difahamkan.


Kita tak boleh mainkan isu perkauman, tak boleh main dendam. orang Melayu ramai perlu jadi contoh baik. Dulu (kita dan orang lain) boleh duduk semeja, kini tak (boleh) sebab kita jadikan agama sebagai penyebab orang meruncing, (dan) tertekan. Agama mesti jadi penyebab kepada keharmonian rakyat, tapi kini agama jadi punca ketegangan dalam negara. Memang peniaga ramai Cina, jika (peniaga) Melayu juga naikkan harga kita marah juga.


Agama mesti merentas kaum. (Dalam mendapatkan) jalan penyelesaian, semua nak jadi hero, nak kumpul penyokong. Ini soal masalah kepimpinan. Najib lambat. Saya suka cara (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad).


(Sekarang) dekat nak bertumbuk, baru nak buat keputusan. Itu pun tak konkrit, yang (boleh) menggambarkan kepimpinan yang bagus.


Kita perlu pemimpin bijaksana, pintar, (dan) tangkas. Saya rasa Najib pada masa ini tidak dapat memimpin dengan baik.


Jika cara kepimpinan begini berterusan, negara tak akan henti dengan masalah. Jadi Najib (perlu) kemas kini kepimpinannya. Apa yang berlaku dalam negara kini tidak baik.


Semua orang nak jadi hero, semua nak bercakap soal isu-isu dalam negara. Najib perlu kembalikan identiti beliau, perlu jadi PM untuk semua. Ada majoriti, ada minoriti, ada hak orang Melayu. Lama juga Umno perintah Tanah Melayu, Okay saja, tiada kelemahan dan (tidak) timbul isu-isu begini.


Saya tengok ada bocor dalam pentadbiran. DAP dan Pas pun satu masalah.


Sumber : Sinar Harian

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 09, 2015 18:34

February 5, 2015

Pemimpin Islam Sertai Perayaan Agama Lain?

PEMIMPIN ISLAM SERTAI PERAYAAN AGAMA LAIN?

Sahibus Samahah Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Asalnya muslim tidak boleh menyertai upacara agama lain, demikian juga penganut agama lain tidak boleh dipaksa menyertai upacara agama Islam. Namun, seseorang boleh hadir ke majlis upacara agama lain untuk menjalankan tugas yang memberikan manfaat untuk kemanusiaan seperti pegawai keselamatan yang hadir menjaga ketenteraman, doktor yang merawat pesakit dan seumpamanya.


Maka seorang pemimpin utama negara ataupun negeri yang beragama Islam boleh hadir tetapi BUKAN untuk turut merayakan upacara agama sebaliknya hadir sebagai menjalankan tugas kepimpinan seperti untuk berucap memberi nasihat umum tentang negara dan seumpamanya.


Untuk itu maka ketika seoarang muslim yang hadir untuk menjalankan tugas ke tempat-tempat tersebut seperti pemimpin yang hadir ke majlis-majlis agama lain atas kapasiti pemimpin, mereka TIDAK boleh menzahirkan seakan mereka turut merayakan upacara agama lain seperti melakukan perbuatan ataupun memakai pakaian upacara.


Penganut agama lain hendaklah menghormati agama pemimpin yang mengunjungi mereka dan tahu tujuan kehadiran pemimpin adalah untuk keharmonian yang ditonjol melalui kepimpinan yang terhormat, BUKAN dengan cara pemimpin turut melakukan upacara yang bukan ajaran agama pemimpin itu.


Saya berpendapat, ramai pemimpin termasuk YAB Perdana Menteri Malaysia, tidak mendapat nasihat yang jelas tentang hal ini sehingga mereka hadir dalam keadaan seakan mereka sebahagian dari penganut agama lain.


Islam menghormati hak pihak lain beragama, Islam menyuruh kita melakukan kebaikan untuk semua manusia tanpa dibatasi oleh sempadan agama tapi dalam masa yang sama seorang muslim wajib memelihara identiti akidah Islam yang dianutinya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 05, 2015 21:15

January 25, 2015

Islam dan Merotan Anak

ISLAM DAN MEROTAN ANAK

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Ada pihak cuba menggambarkan seakan merotan ataupun memukul anak merupakan satu tuntutan dalam pendidikan Islam. Kenyataan mereka ini boleh memberikan gambaran yang salah mengenai kesantunan dan kerahmatan Islam itu sendiri. Lebih buruk lagi kenyataan itu dibuat pada musim Islam ditohmah sebagai agama yang ganas. Saya ingin menyebut beberapa perkara dalam merotan anak di sini;



1. Asas pendidikan dalam Islam ialah panduan yang jelas, tunjuk ajar yang penuh hikmah (wisdom) dan contoh teladan yang baik. Inilah isyarat al-Quran dalam Surah al-Isra ayat 24 ketika mengajar kita berdoa untuk ibubapa dengan doa:


“Katakanlah: wahai Tuhanku kasihanilah kedua mereka (ibubapaku) SEPERTI mana mereka membesarkanku semasa kecil”.


Ertinya, jika diteliti dari arahan doa yang diajar oleh al-Quran tersebut bahawa pendidikan ataupun membesarkan anak (bringing up process) yang menjadi tanggungjawab ibubapa hendaklah dengan sifat kasihan ataupun rahmah (mercy). Justeru, hanya ibubapa yang membesarkan anak dalam suasana kasih simpati sahaja yang mendapat bahagian dari doa ini. Allah mengajar doa kepada anak, tapi dalam masa yang sama mengingatkan ibubapa tentang cara mendidik dan membesarkan anak.


2. Adapun hadis tentang memukul anak, hendaklah dilihat dalam kerangka maksudnya yang betul. Di sana juga ada ayat al-Quran (Surah al-Nisa: 34) yang menyebut tentang memukul isteri, apakah selepas ini kita akan mempertahankan perangai sesetengah suami yang suka memukul isteri?! Ayat itu berkaitan isteri yang nusyuz (derhaka) setelah segala proses pendidikan yang baik gagal. Sementara suami pula seorang yang bertanggungjawab menunaikan segala kewajibannya di sudut nafkah zahir dan batin. Pukulan pula dengan cara yang tidak mencederakan dan meninggalkan kesan kesakitan yang serious tetapi sekadar memberikan amaran tentang kesungguhan maksud suami. Hanya dalam suasana sebegitu di samping suami dengan ciri yang begitu sahaja boleh memukul isteri dengan syarat yang disebutkan tadi.


3. Tiada galakan dalam nas Islam agar kita memukul anak. Bahkan kita tidak wajar memukul anak yang belum mumayyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk). Hadis hanya menyebut memukul pada umur sepuluh tahun setelah melalui proses yang panjang. Sabda Nabi s.a.w:


“Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).


Ertinya, ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya ‘marilah bersolat’. Maka, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja. Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga perintah solat sebati dengannya dan dia memahami maksud solat. Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Pukulan itu tidak mencederakan atau mendapatkan kesakitan yang serious.


4. Ertinya, betapa untuk sampai kepada tahap memukul memerlukan satu proses yang panjang padahal itu membabit soal asasi dalam hayat seorang muslim iaitu solat. Maka, mana-mana bapa sewenang-wenang memukul anak, dia bukan seorang bapa yang baik dan telah melanggar ajaran agama. Lebih malang lagi jika bapa itu sendiri bukan teladan yang baik seperti bapa yang merokok memarahi anaknya merokok. Sama juga bapa kurang bertanggungjawab terhadap nafkah dan pendidikan anak, tiba-tiba memukul anak, maka mereka adalah pengkhianat amanah Allah.


5. Kegagalan pendidikan hari ini, tiada kaitan dengan rotan ataupun tidak, tetapi berkaitan dengan faktor penting pendidikan insan itu sendiri iaitu; kejelasan arah dalam pembentukan anak, teladan yang baik dan suasana yang membina. Inilah tiga faktor penting yang telah dimusnah oleh pelbagai keadaan. Mereka yang cuba mengaitkan merotan anak sebagai kejayaan pendidikan Islam adalah satu kedangkalan yang nyata.


6. Jika ada ibubapa yang memukul anak tanpa alasan yang benar, dalam keadaan yang tidak munasabah, mendatangkan kecederaan yang kekal ataupun kesakitan yang serious, maka itu bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh untuk pemerintah menganggapnya sebagai satu jenayah untuk diambil tindakan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 25, 2015 18:32

January 4, 2015

Maulid Junjungan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 04, 2015 23:52

November 5, 2014

Merenung Alam

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 05, 2014 22:57

October 13, 2014

Rumah Tuhan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 13, 2014 08:06

September 18, 2014

Rasa Bersalah Kerana Islam

RASA BERSALAH KERANA ISLAM

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Jika kita menonton berita di seluruh dunia, apatahlagi di Barat ini, kelihatan Islam seolah agama yang teramat bermasalah. Negara-negara umat Islam tidak habis-habis dengan krisis, orang Islam pulak dikaitkan dengan kegiatan keganasan di sana-sini. Tiada satu hari rasanya yang tiada berita yang menggambarkan keburukan umat Islam. Maka, janganlah hairan jika ada muslim di Barat ini terasa berat untuk mengaku muslim.


Maka mengkagumkan saya, wanita-wanita muslimah yang terus berhijab ketika berada di Barat ini. Mereka ini tanpa memperkenalkan diri pasti diketahui bahawa mereka muslimah. Mereka tidak apologetic dengan Islam mereka.



Lebih mengkagumkan lagi kumpulan-kumpulan dakwah yang giat berdakwah kepada Islam untuk masyarakat di sini. Hampir setiap minggu saya ke Speakers’ Corner di Hyde Park London, saya lihat kesungguhan berkempen kepada Islam oleh ramai muslim di sini. Demikian juga banyak kegiatan dakwah orang muslim di sana sini di London ini. Program-program masjid juga agak aktif. Mereka yang bersungguh ini kebanyakannya orang biasa, bukan ilmuwan besar tapi ada kesungguhan yang besar. Tiada gaji khusus untuk dakwah, tapi ada semangat yang khusus untuk dakwah dalam suasana yang seperti ini.


Apologetic Feeling


‘Apologetic feeling’ muncul dalam perasaan muslim dalam era ini setelah media massa menguasai pemikiran manusia yang menggambarkan keburukan Islam. Apologetic syndrome ini makin mudah menjalar terutama yang hidup di tengah-tengah masyarakat Barat. Justeru saya kagum dengan Sayeeda Warsi wanita muslim pertama dalam cabinet UK yang meletakkan jawatan kerana tidak puas hati terhadap sikap David Cameron mengenai isu Gaza. Sedangkan dalam negara orang muslim ada yang menggelar diri ulama dan ahli politik bukan sahaja takut membantah Israel sebaliknya membantah orang yang memboikot barangan Israel.



Saya membaca berita Malaysia tentang seorang melayu yang mati terkorban berjuang di Syria. Saya tidak kenal dan tidak tahu siapa beliau itu. Saya baca wawancara media dengan beliau. Nampak macam menarik. Maka, saya tidak berani mengulas. Apakah beliau bersama dengan kumpulan pengganas yang membunuh orang yang tidak berdosa ataupun beliau memang memerangi mereka yang kejam dan zalim terhadap wanita, kanak-kanak, orang tua dan masyarakat awam yang tidak bersalah. Tersalah ulas kita berdosa dengannya dan dihukum oleh Allah jika dia memang ikhlas dan benar. Sesiapa yang menghina orang baik yang mati, apatahlagi kekasih Allah pasti akan menerima hukuman Allah di dunia dan di akhirat.


Syahid


Saya lihat ada pihak yang memakai topi agama begitu pantas mengulas. Ada yang kata dia ‘mati katak’. Ada yang kata tempatnya dalam neraka. Sama sekali dia bukan syahid. Begitu pantas hukumannya. Saya teringat semasa tragedi MH17 baru-baru, kelompok agamawan ini juga dengan jelas menyebut mangsa yang terkorban itu syuhada. Katanya, mereka syahid akhirat kerana kemalangan. Padahal, jika kategori syahid akhirat itu hendak di ‘highlight’kan maka setiap yang kemalangan samada atas jalanraya ataupun selainnya juga syahid. Sabda Nabi s.a.w:


“Siapakah yang kamu hitung sebagai syahid dalam kalangan kamu?”. Jawab para sahabat: “Wahai Rasulullah! Sesiapa yang mati pada jalan Allah maka dia syahid”. Jawab baginda: “Kalau begitu, para syuhada umatku sedikit”. Tanya mereka: “Siapakah mereka (syuhada) wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Sesiapa yang mati pada jalan Allah maka dia syahid, sesiapa yang mati disebabkan taun maka dia syahid, sesiapa yang mati disebabkan sakit perut maka dia syahid” (Riwayat Muslim).


Maka, sepatutnya kita sebut setiap musim perayaan ‘telah syahid pada musim perayaan ini si fulan bin si fulan’ di lebuhraya sekian dan sekian ketika pulang berhari raya. Memang secara umumnya mereka yang mati kesakitan dan kemalangan mendapat fadilat tertentu. Namun tidaklah disebut sebagai syahid dalam kategori khas yang membabitkan jihad fi sabilillah. Cumanya, sejak sekian lama kemalangan jalanraya di Malaysia, pernahkah kita lihat mereka mengeluarkan kenyataan syahid ini? Maka, kita pun faham, kenyataan golongan agama banyak yang bersifat ‘pasaran semasa’ bagi menunaikan ‘market demand’.


Apabila kita sebut syahid, ataupun makam syuhada seperti yang terdapat di Mutah, Jordan maka dimaksudkan syahid berperang pada jalan Allah. Apologetic feeling ataupun mungkin ‘periuk nasi feeling’ menyebabkan ada yang takut untuk menyatakan pejuang Palestin itu syahid takut kita dilebel sebagai cenderung kepada pengganas. Ini penyakit sesetengah agamawan ‘jawatan berkontrak’.


Terrorism


Kita tidak pernah menyokong keganasan terhadap mereka yang tidak berdosa daripada mana-mana pihak, termasuk yang berjuang atas nama Islam. Namun, mengapakah kita mesti menyimpulkan setiap yang berjuang membela rakyat Syria yang sedang dibunuh secara kejam dan zalim itu sebagai pengganas dan perjuangan mereka sia-sia?! Apakah semua mereka ISIS?


Jika kita tidak berani menyimpulkan dia syahid ataupun tidak, apakah kita perlu menyatakan dia mati sia-sia? Kita pun tidak tahu keadaan mereka yang mati semasa tragedi MH17 baru-baru. Pun secara umum ada yang menyebut syahid. Saya tidak menyimpulkan syahid ataupun tidak pada saudara kita yang terkorban di Syria baru-baru ini. Saya tidak tahu tentang beliau. Namun, kaedah umum sesiapa yang berjuang kerana Allah membela agamanya, membela mereka yang tertindas dan dizalimi, berpandukan cara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w, jika dia terkorban maka dia syahid. Sesiapa yang berjuang untuk hawa nafsunya, menyanggahi jalan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w jika dia terkorban maka dia tidak syahid.


Dalam al-Quran Allah berfirman: (maksudnya)


“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).


Berdasarkan ini, kata al-Imam al-Jasas (wafat 370H):


“Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-`Arabi).


Namun di sana ada hadis, kata Abu Hurairah r.a:


“Kami menyertai Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, “dia dalam kalangan ahli neraka”. Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah s.a.w: “Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati”. Jawab baginda: “Ke neraka”. Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, lantas baginda bersabda: “Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasulNya!”. Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan “jiwa yang muslim” dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Maka, perjuangan hendaklah mengikut jalan Nabi s.a.w. Jika tidak mengikut jalan Islam, sekalipun berperang atas nama Islam, tidak dikira jihad yang sebenarnya. Apatahlagi jika membunuh mereka yang tidak bersalah. Banyak disiplin medan jihad yang perlu dipatuhi. Pun begitu seseorang mujahid boleh sahaja tersilap. Maklum sahaja di medan perang. Kita yang tidak di medan perang pun tersilap apatah lagi yang di medan. Khalid al-Walid pernah membunuh tawanan perang, Nabi s.a.w membantah beliau. Inikan pula selain Khalid al-Walid. Kesilapan yang bukan kebiasaan tidak menafikan status jihad.


Saya bukan pejuang di medan yang membela rakyat Palestin, Syria dan selain mereka. Saya membantah kumpulan yang berjuang atas nama Islam tetapi mengganas dan membunuh mereka yang tidak bersalah. Namun, saya tahu ada yang memang pergi menolong untuk menyelamatkan kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang yang tertindas. Mereka mungkin tidak ganas ataupun tidak menzalimi pihak lain. Saya tidak mahu mencemari lidah mencerca mereka. Mereka mungkin kekasih Allah, siapalah saya?! Janganlah apologetic feeling membunuh keadilan kita.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 18, 2014 07:04

September 4, 2014

Jumud Kitab Dan Kegilaan Akidah

JUMUD KITAB DAN KEGILAAN AKIDAH

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Dalam sejarah Islam, terdapat banyak perbalahan dalam kalangan para sarjana yang membawa kepada menghukum individu sarjana lain dengan kafir dan sesat. Kita sepatutnya tidak menyambung segala krisis yang berlaku pada zaman yang lalu.


Sekarang di Malaysia apabila muncul kelompok Ahbash yang menggunakan jenama Ahlus Sunnah wal Jamaah beraliran Ashairah, mereka ini mengkafirkan Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan jalur salafi yang beraliran Hanabilah (Hanbali). Pelampau Ahbash ini mendakwa itulah pegangan Ahlus Sunnah aliran Ashairah. Di sebelah pihak salafi, muncul golongan dari aliran Madkhali yang menyesatkan Ashairah dan semua aliran sufi secara pukal. Maka, dunia Islam yang penuh dengan pepecahan ditambah dengan isu kafir-mengkafir dan sesat menyesat.


Sejarah Ihya


Jika kita hendak menelan bulat-bulat apa yang ulama dahulu hukum antara satu sama lain, maka sudah pasti sukar kita mendapat manfaat dari semua pihak. Umpamanya, pada zaman al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H), Kerajaan Andalus di bawah pimpinan Ali bin Yusuf bin Tashfin (meninggal 537H) yang terkenal sebagai pemerintah yang sangat soleh yang memuliakan ulama fekah telah mengharamkan kitab Ihya ‘Ulum al-Din karangan al-Imam al-Ghazali. Bahkan kitab Ihya dibakar dengan arahan pemerintah secara rasmi di hadapan Masjid Cordova (Qurtubah). Ali bin Yusuf sangat cintakan ulama dan tidak akan mengambil tindakan melainkan dengan arahan ulama. Tokoh ulama ketika itu yang berpengaruh ialah al-Qadi Ibn Hamdin yang menjadi kadi besar Cordova masa itu. (lihat: Muhammad Abd Allah al-Misri, Daulat al-Islam fi al-Andalus, 3/78. Kaherah: Maktab al-Khaniji)



Para ulama Andalus bermazhab Maliki dan beraliran Ashairah dari segi ilmu kalam. Merekalah yang telah menggesa pemerintah yang soleh itu mengharamkan kitab Ihya ‘Ulum al-Din bahkan kitab itu diarahkan agar dibakar di seluruh Andalus dan Maghribi (Morocco). Mereka mendakwa kitab itu sesat dalam pelbagai isu termasuk dikatakan isu roh yang dibahaskan oleh al-Ghazali.


Jika kita lihat tindakan ulama Andalus ketika itu, tiada kaitan sama sekali dengan aliran Hanbali ataupun al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) yang muncul hampir dua ratus tahu kemudian.


Menarik selepas berakhir zaman tersebut, kitab Ihya mendapat tempatnya di Andalus. Apatahlagi anak murid al-Ghazali yang terbilang iaitu al-Qadi Abu Bakr ibn al-‘Arabi (meninggal 543H) di sana.


Ibn Jauzi


Demikian jika kita lihat tokoh yang sering dirujuk oleh aliran salafi iaitu al-Imam Ibn Jauzi (597H). Beliau bukan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) yang merupakan anak murid al-Imam Ibn Taimiyyah. Beliau lebih awal dari mereka. Beliau dari segi fekah dari aliran Hanabilah (Hanbali). Tulisannya mengkritik golongan sufi sering digunakan dalam aliran salafi. Antara buku beliau yang terkenal Talbis Iblis. Dalam buku tersebut beliau mengkritik golongan sufi habis-habisan. Antara kenyataannya


“Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasarkan pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).


Namun dalam akidah, Ibn Jauzi tidak sealiran dengan aliran Hanbali yang tidak mentakwilkan ayat-ayat sifat. Ibn Jauzi mengikut jalan takwil yang diambil oleh aliran Ashairah. Beliau menganggap tafsiran seperti yang dipertahankan oleh Ibn Taimiyyah yang datang seratus tahun selepas beliau itu sebagai satu kesalahan. Namun, oleh kerana Ibn Taimiyyah belum wujud, beliau mengkritik tokoh lain di zaman itu. Beliau mengkritik tokoh besar hadis dalam Mazhab Malik di Andalus iaitu al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (meninggal 463H) yang merupakan ilmuwan agung di Andalus dan pengarang kitab yang terbilang iaitu al-Tamhid yang mensyarahkan Kitab Muwatta al-Imam Malik bin Anas.


Kata al-Imam Ibn Jauzi :


“Aku hairan dengan puak-puak yang mendakwa berilmu tapi cenderung kepada tasybih (menyamakan Allah) dengan cara memahami hadis-hadis secara zahir. Jika mereka sekadar membacanya sahaja seperti mana dalam asalnya, maka itu selamat…tapi puak-puak ini pendek ilmu mereka. Mereka kata memahami hadis tidak secara zahir itu merupakan ta’til (memandulkan sifat Allah). Jika mereka itu fahami keluasan bahasa tentu mereka tidak sangka begitu”. Kemudian beliau menyebut: “Aku sungguh hairan dengan seorang lelaki Andalus yang dipanggil Ibn ‘Abd al-Barr yang menulis kitab al-Tamhid. Dia menyebut hadis Allah turun ke langit, lalu dia berkata: “Ini menunjukkan bahwa Allah itu di atas Arasy, jika tidak masakan ada erti bagi perkataan turun”. Kenyataan ini satu kejahilan dalam mengenali Allah Azza wa jalla”. (Soid al-Khatir, 99. Damsyik: Dar al-Qalam).


Jika kita lihat, Ibn ‘Abd al-Barr bukan dari aliran Hanabilah bahkan jauh sekali untuk terpengaruh dengan Ibn Taimiyyah yang lahir dua ratus tahun kemudian. Beliau dari aliran ahli hadis yang bermazhab Malik bin Anas. Sementara Ibn Jauzi dari aliran Hanbali. Namun, perbezaan seperti itu berlaku.


Jadi, soal perbezaan bukan sahaja soal aliran yang seseorang dikaitkan dengannya, tetapi cara dan keputusan fikiran yang diambil. Di Malaysia, ramai yangmendakwa dari aliran Mazhab al-Syafi’i padahal banyak keputusan yang diambil itu tidak mewakili apa yang termaktub dalam kitab al-Imam al-Syafi’i ataupun tokoh-tokoh utama mazhab al-Syafi’i.


Tidak Selamat


Jika kita ambil kira hukuman ulama antara satu sama lain dalam perkara ijtihad, pasti tiada yang selamat.


Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktaziah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur’ah. Tuduhan ini datang dari gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli. Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”.


Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara. Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat”. Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaannya itu menuju ke sana, beliau meninggal sebelum sempat ke Samarkand.


Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr). Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekelian sarjana. Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.



Kita mungkin boleh mengkritik, tetapi janganlah ‘copy and paste’ tulisan silam untuk menghukum pihak lain yang kita mungkin tidak memahami latar keadaan yang dilaluinya. Masalah ijtihad, sekalipun dalam akidah boleh terjadi dan mungkin berlaku kesilapan. Isu ayat sifat umpamanya ialah isu ijtihad yang terdedah kepada persepsi yang pelbagai. Jika orang menyesatkan dan mengkafirkan Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan mereka yang sealiran dengan itu kerana tidak takwil maka kena juga menyesatkan al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr dan ramai lagi sebelum Ibn Taimiyyah yang mengambil pendirian yang sama. Maka, akhirnya kita bukan mengambil manfaat dari para ulama, sebaliknya asyik menyesatkan dan mengkafirkan si fulan dan si fulan seperti kelompok Ahbash tadi yang memakai gelaran Ahlus Sunnah wal Jamaah di Malaysia. Seakan mereka sahaja Ahlus Sunnah dan orang lain semuanya dalam neraka. Demikian kelompok salafi madkhali yang sibuk menyesatkan semua yang tidak salafi dengan panggilan ikhwani, sufi, qaradawi dan lain-lain.


Padahal sifat kemaafan Allah terlalu luas. Ia merentasi apa yang difikirkan oleh akal insan yang cetek. Lebih dari segala kesilapan ijtihad, dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari menceritakan Allah mengampuni kekufuran disebabkan kejahilan: Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w, sabda baginda:


“Dahulu ada seorang lelaki yang kecewa terhadap dirinya. Ketika dia hampir mati, dia berkata kepada anak-anaknya: “Jika aku mati kamu semua bakarlah aku, hancur debukan aku kemudian jadikan aku ditiup angin. Demi Allah! Jika tuhanku dapat menangkapku nescaya DIA akan mengazabku dengan azab yang DIA tidak pernah azab sesiapa pun”. Apabila dia mati, hasratnya dilakukan kepadanya. Maka Allah memerintahkan bumi: “Himpunkan dia”. Maka bumi lakukannya lalu dia pun berdiri (dibangkitkan). Allah berkata: “Apakah yang menyebabkan engkau lakukan tindakanmu itu?”. Dia menjawab: “Wahai Tuhanku, kerana takutkan Engkau”. Maka Allah pun mengampunkannya.


Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam karyanya al-Istiqamah mengulas hadis ini dengan menyebut:


“Lelaki ini percaya bahawa Allah tidak mempu menghimpunkannya jika dia berbuat demikian ataupun dia syak bahawa Allah tidak membangkitkannya. Kedua-dua iktikad ini kufur yang dihukum kafir sesiapa yang telah tertegak hujah untuknya (sampai kepadanya penerangan yang mencukupi). Namun lelaki ini jahil mengenai hal itu dan tidak sampai kepadanya ilmu yang mengeluarkannya dari kejahilannya. Pun begitu dia ada iman kepada Allah, suruhan dan laranganNYA, janji nikmat dan azabNYA maka dia takutkan balasannya maka dia pun diampunkan disebabkan ketakutannya itu”.


Ibn Taimiyyah menambah lebih dalam lagi:


“Maka sesiapa dalam kalangan ahli iman kepada Allah, rasulNYA, Hari Akhirat serta beramal soleh yang tersilap dalam sebahagian masalah akidah sudah pasti tidak lebih buruk dari lelaki tadi. Allah akan mengampuni kesilapannya (ahli iman tersebut), DIA akan mengazabkannya jika ada kecuaian dalam menuruti kebenaran dengan kadar pegangan agamanya. Adapun mengkafirkan individu yang diketahui imannya hanya semata kerana kesilapan tersebut maka itu satu kesalahan yang besar”. (Ibn Taimiyyah, al-Istiqamah, 1l168, Madinah Munawwarah: Univ al-Imam Sa’ud)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 04, 2014 05:03

August 21, 2014

London, ISIS Dan Gaza

LONDON, ISIS DAN GAZA

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Saya di London. Sudah dua minggu lebih di sini. Cuti sabatikal yang kedua saya ini selama sembilan bulan lama. Tidak pasti lagi berapa lama di sini dan ke mana pula hendak pergi. Kajian saya sedikit kaitan dengan isu-isu semasa hadis yang membabitkan pandangan Barat. Jika tidak kaitan dengan Barat, mungkin elok saja saya ke negara Arab. Saya sudah pernah tinggal di Jordan selama 5 tahun. Di Barat ini jika campur tolak, tidak sampai 2 tahun pun. Kali ini mungkin mencukupkannya. Awal saya bercadang hendak ke US sebab sudah dua kali saya di UK. Tapi mengenangkan kos yang agak tinggi ke sana, ditambah pula dengan isu-isu politik US di peringkat antarabangsa yang memualkan, saya tukar rancangan. Apatahlagi, cuti sabatikal kedua ini, USM tidak biayai kos ke luar negara. Semua tanggung sendiri. Pada awalnya saya fikir macam tidak mampu, Alhamdulillah dengan doa maka Allah berikan sedikit rezeki dari pelbagai sumber. Salah satunya royalti buku ‘Aku Ingin Kembara Lagi’ yang diterbitkan beberapa bulan lalu. Cukup untuk kembara seorang diri dengan kehidupan yang serba sederhana.



ISIS


Semasa artikel ini ditulis, isu jornalis US James Foley yang disembelih oleh ISIS di Iraq menjadi tajuk utama akhbar-akhbar di sini. Apatahlagi apabila lelaki bertopeng yang menyembelih Foley dengan pisau itu bercakap dengan pelat British London. Maka tajuk seperti “US journalist James Foley beheaded by ISIS fighter “with London accent” mengambil tempat bagi banyak akhbar dan berita TV dan internet. Warga muslim British telah menjadi pembunuh yang sangat ganas atas nama Islam. Itulah mesej yang terlekat pada kepala ramai pembaca.



Saya tidak pasti apakah ‘game’ kali ini yang akan tempias kepada muslim di UK ini dengan berita seperti itu. Jika kita lihat orang Islam memang ramai di UK ini khususnya London. Iklan pun ada yang gambar perempuan muslimah bertudung. Pasti islamophobia akan meningkat lagi.


Hanya apa yang boleh kita tegaskan bahawa apa yang ISIS buat pastinya bukan ajaran Islam. Kita juga hairan bagaimana ISIS itu begitu kuat dengan segala senjata dan anggotanya. Siapakah sebenarnya di belakang mereka?


Memotong kepala musuh untuk dipertontonkan kepada orangramai bukan perbuatan yang diiktiraf oleh Islam. Apatahlagi membunuh mereka yang tidak terlibat di medan perang seperti wartawan. Ia sama sekali diharamkan oleh Syariat Islam yang mulia.


Tokoh besar tabi’i (murid para sahabat Nabi s.a.w) iaitu al-Zuhri menyatakan:


“Tidak pernah dibawa kepada Rasulullah satu kepala pun, tidak sekalipun dalam Perang Badar. Pernah dibawa kepala kepada (Khalifah) Abu Bakar, beliau membantahnya”. (Sunan Said bin Mansur, al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani, Marasil Abi Daud dan Sunan al-Baihaqi).


Pada zaman dahulu, peperangan dan pembunuhan memang membabit pancung kepala. Semua pihak tanpa mengira agama. Pelbagai cara pembunuhan dilakukan dan pancung termasuk salah satu dari cara manusia membunuh. Kristian dalam sejarahnya sangat kejam, sering membakar manusia hidup-hidup. Sementara itu, Islam pula menjadikan pancung kepala sebagai cara hukuman bunuh dijalankan kerana ia paling pantas membunuh pesalah dan mengelakkan kesakitan. Apabila dengan pantasnya terputus badan dan kepala maka, tiada lagi nyawa. Bukan menyembelih manusia seperti yang ISIS lakukan. Nabi s.a.w bersabda:


“Allah telah menetapkan simpati untuk setiap perkara. Apabila membunuh maka elokkanlah cara pembunuhan”. ( Riwayat Muslim)


Disebut Perang Badar dalam kenyataan al-Zuhri tadi disebabkan perang tersebut membabitkan ramai musuh utama umat Islam termasuk Abu Jahal yang sangat zalim yang telah menyeksa dan membunuh dengan kejamnya ramai pengikut Nabi s.a.w. Dalam Perang Badar Abu Jahal telah dibunuh. Pun begitu tidak dibawa kepalanya kepada Nabi s.a.w.


Cerita kepala al-Aswad al-‘Ansi yang dibawa kepada Nabi s.a.w juga satu kekeliruan kerana al-Aswad itu dibunuh pada tahun ke sebelas Hijrah, di masa Nabi s.a.w telah pun wafat. (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Talkhis al-Habir jld 4 ms 287. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)


Ketika dibawa kepala musuh iaitu Yannaq yang menjadi ketua di pihak Rome kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, beliau membantah. Lalu mereka berkata:


“Wahai Khalifah! mereka itu melakukan yang sama kepada kita”. Jawab Khalifah Abu Bakar: “Apakah kamu jadikan Parsi dan Rome sebagai contoh teladan?!! Jangan bawa kepadaku kepala, cukuplah sekadar surat dan berita”. (Riwayat Said bin Mansur).


Abu Bakar as-Siddiq membantah perbuatan seperti itu sekalipun pada zaman tersebut yang manusia memang membunuh dengan demikian cara. Bahkan Abu Bakar tidak benarkan umat Islam meniru teladan buruk musuh sekalipun mereka berbuat demikian pada umat Islam.


Perbuatan ISIS di samping menyanggahi Islam, ia hanya menimbulkan fitnah terhadap umat Islam terutama di zaman ini. Pasti, tiada siapa yang waras menyukai apa yang dibuat oleh ISIS.


GAZA


Presiden Obama ketika mengulas apa yang ISIS lakukan terhadap James Foley menyebut: “No just God would stand for what they did”. Kita memang membantah apa yang ISIS buat cuma kita mesti bertanya adakah di sana tuhan yang adil yang akan mempertahankan apa yang Israel telah dan sedang lakukan terhadap rakyat Gaza?!!


Ribuan kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat yang dibunuh dengan kejam oleh senjata Israel setiap hari. Hampir setengah juta kehilangan tempat tinggal. Sekolah, hospital, rumah dan segalanya di bom saban hari. Bukan seorang wartawan, tapi ratusan ribu menjadi mangsa yang tidak berdosa. Bukan mereka pergi melapor berita yang mungkin sebahagiannya propaganda untuk media yang berat sebelah, tetapi mereka berada di rumah mereka sendiri. Tapi Amerikalah mempertahankan dan membekalkan senjata untuk Israel. Kenapa Obama tidak menyebut ‘no just God would stand for what Israel did’ ?!! Sebaliknya, beliaulah ‘the demon behind the mask’.



Di saat kota-kota Eropah bangkit melakukan demonstrasi membantah Israel atas kekejaman mereka terhadap Palestin, berita ISIS menyembelih dijelmakan menjadi tajuk utama keseluruhan media di Barat. Rakyat Barat yang mempunyai kesedaran tentang hak-hak kemanusiaan kali ini dengan perkembangan media sosial mula nampak kejahatan zionist. Anti-semitism yang merujuk kepada Yahudi yang lama dipendamkan, mula bangkit semula di Eropah. Namun dengan isu terbaru ini maka mereka semacam mendapat modal untuk mengalih pandangan umum terhadap Israel. Mereka seakan menyuruh rakyat melupakan kekejaman terhadap ratusan ribu manusia, berikan perhatian terhadap seorang wartawan yang disembelih oleh ISIS. Padahal ISIS sebelum ini telah menyembelih begitu banyak rakyat di Iraq. Siapakah sebenarnya di belakang mereka?


Islam tidak pernah meredhai kezaliman terhadap umatnya, juga terhadap orang lain. Sifat rahmat Islam itu merangkumi setiap kehidupan termasuk setiap juzuk alam ini. Namun semua menjadi keliru. Atas keadaan yang tidak adil dan kejam terhadap masyarakat yang lemah maka ramai muslim yang keliru antara ajaran agamanya dan emosinya yang memberontak.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 21, 2014 04:06

Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog

Mohd. Asri Zainul Abidin
Mohd. Asri Zainul Abidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mohd. Asri Zainul Abidin's blog with rss.