Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog, page 276
September 27, 2012
Fikiran ‘Agama’ Yang Mengharukan UMNO Dan Negara
FIKIRAN ‘AGAMA’ YANG MENGHARUKAN UMNO DAN NEGARA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Ada yang bertanya mengapa saya sering mengkritik aliran yang saya sifatkan literal yang dipegang oleh beberapa orang agamawan muda dalam UMNO? Saya kata bahawa saya tidak kisah untuk sesiapa menjadi ulama tua ataupun muda kepada mana-mana parti selagi berpegang kepada prinsip agama ini.
UMNO dan PAS, semuanya sahabat saya. Prinsip agama itu lurus, fatwa agama tidak boleh berpihak. Hal ini terpakai untuk bukan sahaja untuk UMNO, tetapi untuk PAS juga. PAS pun dalam sejarahnya bukan tiada fatwa yang merbahaya termasuk yang boleh membawa kepada kafir-mengkafir. Hari ini nampaknya keadaan itu sudah berkurangan.
Sebenarnya, aliran literal itu sendiri jika kena pada tempatnya tidak salah. Mazhab Zahiri (literalism) -walau dikritik hebat-, ia diiktiraf dalam fekah Islam. Tokoh besar Zahiri iaitu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi dan kitabnya al-Muhalla menjadi rujukan fekah yang penting.
Rosak Keadaan
Saya mengkritik golongan literalist dalam UMNO kerana pemikiran yang dibawa itu boleh mengharukan proses keadilan yang wujud dalam negara ini keseluruhannya. Hari ini mungkin sesetengah orang UMNO seronok apabila terdapat beberapa orang agama yang boleh berhujah dengan nas-nas agama untuk membela UMNO. Biasanya perkara ini dibuat oleh PAS. Namun tanpa mereka sedar fatwa-fatwa aliran literalist tersebut jika diaplikasi dalam sistem politik negara ini, ia akan meruntuhkan keseimbangan, kemaslahatan dan keadilan politik yang menjadi tonggak kepada tujuan berpolitik.
Umpamanya, apabila mereka berfatwa haram mengkritik kepimpinan politik negara secara terbuka. Hanya yang dibenarkan berjumpa dan menasihati secara tertutup. Pengharaman ini jika diterima bererti sistem Parlimen yang memboleh ahli-ahlinya Parlimen membahas dan mengkritik dasar dan perlaksanaan kerajaan secara terbuka kepada pengetahuan awam adalah haram. Perhimpunan Agong UMNO yang sering kali kita mendengar para perwakilan meluahkan perkara-perkara yang mereka tidak puas hati tentang kerajaan juga adalah haram.
Golongan literalist ini mungkin berfikir bahawa hukum yang mereka keluar boleh digunakan untuk menentang pihak pembangkang, tetapi mereka lupa implikasinya meruntuhkan sistem negara dan parti itu sendiri. Bahkan dalam sejarah UMNO, Tun Mahathir yang merupakan mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO sendiri apabila tidak puas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri selepasnya iaitu Tun Abdullah Badawi, Tun Mahathir telah melakukan kritikan terbuka.
Kebanyakan tokoh UMNO yang ada, pernah melakukan hal yang sama apabila mereka berbeza ‘kem politik’. Bahkan UMNO dan ulama muda itu sendiri mengkritik terbuka kepimpinan Kerajaan Kelantan, Selangor dan Kedah. Malang sekali jika golongan ini hanya terfikir fatwa berkenaan terkena pembangkang sahaja, padahal ia juga terkena kepada ‘tubuh sendiri’. Tentu mereka tidak akan kata ‘haram untuk kau, halal untuk aku’.
Ilmu Matan Hadis
Saya tidak mahu kata golongan ini berniat memperalatkan agama. Saya rasa sebab hal ini terjadi kerana cara fikir yang literal dan tidak menghayati ilmu Mukhtalaf al-Hadith yang merupakan ilmu penting dalam memahami matan sesuatu hadis. Ilmu tersebut membantu untuk menyelaraskan hadis-hadis yang pada zahirnya nampak bercanggah dengan teks al-Quran dan as-Sunnah. Umpamanya apabila mereka membaca hadis:
“Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya”. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah. Sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani).
Mereka mengambil hadis ini tanpa memperdulikan hadis-hadis lain yang memberikan penegasan yang berbeza. Ini seperti hadis:
“Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun” (Riwayat al-Tabarani, dinilai hasan).
Para sahabah telah bangun mengkritik al-Khulafa al-Rashidin dalam majlis-majlis mereka seperti Salman al-Farisi yang mempersoalkan Saidina ‘Umar al-Khattab semasa beliau berucap. Sepatutnya perbezaan hadis-hadis ini diselaraskan dengan merujuk kepada kes yang berbeza. Isu dosa peribadi pemimpin hendaklah dibicarakan secara tertutup. Adapun yang membabitkan kepentingan awam maka rakyat yang terbabit boleh membahaskannya sekalipun terbuka.
Berdebat
Begitu juga apabila timbul trend politik kita yang banyak mengadakan debat isu rakyat secara terbuka. Ramai juga pihak kerajaan dan pembangkang yang terbabit. Apabila ada pemimpin atasan yang menyatakan debat bukan budaya kita, mereka pun mengeluarkan sabda Nabi s.a.w:
“Aku menjamin sebuah rumah dalam syurga bagi mereka yang meninggalkan debat mesti pun dia berada di pihak yang benar” (Riwayat Daud).
Ini bagi menyokong kenyataan pemimpin atasan. Mereka tidak mengambil kira bahawa al-Quran menyebut:
“Berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik” (Surah al-Nahl: 125) dan juga dalam al-Quran ada Surah al-Mujadilah (wanita yang berdebat).
Perkataan yang digunakan dalam hadis ialah al-Mira’ yang boleh diertikan sebagai al-Jidal (debat). Dalam Islam terlalu banyak sejarah perdebatan ilmu yang menyebabkan ilmu berkembang. Debat yang dilarang ialah debat yang sia-sia hasilnya, sekalipun benar. Inilah yang disebut dalam kitab-kitab syarah hadis seperti Faidh al-Qadir oleh al-Imam al-Munawi, Tuhfah al-Ahwazi oleh al-Imam al-Mubarakfuri.
Jika hadis di atas difahami secara literal, tentu Parlimen kita lembab dan tidak berfungsi kerana semua ahlinya akan mengelakkan berbahas. Bajet Negara akan diterima bulat-bulat tanpa didebatkan kerana semua ingin mendapat rumah dalam syurga. Peguam dan pendakwa juga tidak ada berdebat di mahkamah. Sepatutnya mereka kena sebut hadis ini semasa setiap kali mesyuarat UMNO hendak dimulakan. Tentulah semua ahli menelan bulat-bulat minit mesyuarat tanpa mempertikaikannya sedikit pun.
Literal
Dulu saya pernah kritik apabila mereka sering membaca hadis ini di khalayak ramai:
“Akan ada selepasku para pemimpin yang berpetunjuk bukan dengan petunjukku, bersunnah bukan dengan sunnahku, dan akan bangkit dalam kalangan mereka lelaki-lelaki yang jantung hati mereka seperti jantung hati syaitan dalam tubuh insan”. Kata Huzaifah: “Apa yang patut aku lakukan wahai Rasulullah, jika aku mendapati keadaan itu?”. Jawab baginda: “Dengar dan taat kepada ketua, sekalipun belakangmu dipukul, hartamu diambil, dengar dan taatlah”. (Riwayat Muslim)
Hadis ini dibaca seakan rakyat dalam apa keadaan pun tidak boleh membantah kerajaan walaupun buruk mana sekalipun. Mereka lupa kerajaan dalam negara ini bukan sahaja UMNO, ada juga kerajaan PAS dan PKR. Hadis ini dibaca tanpa melihat kepada hadis-hadis lain yang memberikan penegasan yang berbeza. Antaranya hadis
“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya”( Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).
Dalam sejarah pemikiran fekah, tokoh aliran literalist yang paling terkemuka ialah al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 456H). Dia terkenal kerana kebijaksanaannya tetapi literal dalam memahami nas-nas syarak. Banyak fatwa literalnya dikritik oleh para sarjana. Pun begitu, beliau apabila ditanya tentang hadis di atas, menjawab:
“Adapun apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w agar bersabar atas pengambilan harta dan pukulan di belakang, itu semua tanpa syak jika pemerintah menguruskan itu dengan cara yang sebenar, maka tidak syak wajib ke atas kita sabar… adapun jika dengan cara yang batil maka berlindung dengan Allah untuk Rasulullah s.a.w menyuruh bersabar untuk itu.
Dalilnya firman Allah: “Tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam dosa dan permusuhan”. Kita tahu bahawa kalam Rasulullah tidak akan menyanggahi kalam Tuhannya… maka sah bahawa apa yang Rasulullah s.a.w sabda adalah wahyu dari sisi Allah azza wa jalla, tiada perbezaan, tiada percanggahan dan pertentangan.
Jika demikian maka sesuatu yang yakin tanpa syak yang diketahui oleh setiap muslim bahawa mengambil harta muslim ataupun zimmi tanpa cara yang sebenar dan memukul belakangnya tanpa kesalahan yang sebenar adalah dosa, permusuhan dan haram.
Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari)”. Maka tiada syak dan perbezaan pendapat kalangan muslimin bahawa orang yang menyerahkan hartanya untuk perampas secara zalim, memberikan belakangnya untuk dipukul secara zalim sedangkan dia mampu untuk menghalang hal itu dengan apa cara yang mungkin, maka itu adalah pertolongan kepada orang yang menzaliminya atas dosa dan permusuhan, dan ini haram dengan nas al-Quran…” (Ibn Hazm, Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal, 4/133. Kaherah: Maktabah al-Khaniji)
Jika pemerintah itu dibiarkan untuk memukul dan mengambil harta tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan yang diperintah oleh Islam untuk diwujudkan? Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu! Sebaliknya dalam agama ini kemuliaan muslim seperti yang disebut oleh Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah).”( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Nabi s.a.w juga menyebut:
“Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pemikiran agama yang literal seperti ini sebenarnya boleh merosakkan maksud dan imej agama itu sendiri jika dipegang oleh mereka yang berkuasa. Saya tidak mahu campur dengan urusan kepartian UMNO ataupun PAS. Namun apabila membabitkan urusan agama saya hanya ingin memberikan pandangan bahawa pemikiran ini dalam kerangka keseluruhan ‘memeningkan’ negara dan UMNO itu sendiri.
September 20, 2012
Sayang Nabi: Dari Nurani Ke Demonstrasi
SAYANG NABI: DARI NURANI KE DEMONSTRASI
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Innocence of Muslim adalah sebuah karya bangsat yang menjijikkan. Ini diakui oleh banyak pengkritik filem di Barat sekalipun. The New York Daily News menyebutnya sebagai “an obscenely inept vanity project” that is “far beneath any reasonable standard of movie-making”.
Saya tidak bersetuju apabila seorang MP DAP menyatakan demonstrasi aman bantahan terhadap filem ‘Innocence of Muslims’ hanya membuang masa umat Islam. Kenyataannya itu tidaklah begitu jauh dari ‘fatwa’ beberapa ahli agama muda UMNO yang mengharamkan semua jenis demonstrasi aman sekalipun untuk melahir bantahan penghinaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Pandangan mereka juga telah saya tidak setuju sejak dahulu.
Saya tidak pasti apakah tujuan MP DAP tersebut membuat kenyataan itu sedangkan PR sebelum ini berkempen untuk rakyat turun ke jalan menyatakan bantahan mereka dalam pelbagai perkara. Tidak pula tokoh DAP yang anggota PR berkenaan menyatakan rakyat telah buang masa dengannya dan sepatutnya mencari pendekatan yang lain.
Namun apabila tiba kepada perkara yang sensitif bagi umat Islam, maka timbul pandangan bahawa itu membuang masa. Sebagai rakyat Malaysia, ahli politik lagi, beliau sekalipun bukan muslim patut tahu bahawa insan yang bernama Muhammad bin ‘Abdullah itu lebih lebih berharga dari segalanya dalam kehidupan muslim.
HARAM, HARAM, HARAM
Saya juga tidak setuju dengan sekumpulan agama dalam UMNO yang sibuk untuk mengharamkan demonstrasi aman membantah filem yang menghina Nabi s.a.w kerana kononnya itu tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan bukan amalan salafussoleh. Malangnya, mereka tidak bising apabila kerajaan saban tahun membuat sambutan maulid yang mengandungi perhimpunan, perarakan, kibaran slogan dan bendera dan pelbagai lagi.
Gambar Hiasan
Itu semua hakikatnya adalah demonstrasi ataupun tunjuk perasaan. Samada sayang ataupun marah, kesemuanya perasaan. Apa yang dibuat saban tahun itu bukan dari petunjuk Nabi s.a.w. Bahkan tiada alasan yang kukuh untuk ia dibuat demikian rupa dan saban tahun pula. Pun begitu, ia tidak ‘sakan’ dibantah. Namun apabila tiba isu menunjukkan rasa sayangkan Nabi s.a.w serta marahkan penghinaan kepada baginda, dan alasan untuk itu juga kukuh, tiba-tiba fatwa haram dikeluarkan lagi. Alasannya, Nabi s.a.w dan sahabat tidak pernah buat. Menariknya, fatwa itu disiarkan dalam blog, facebook dan twitter yang kesemua media itu juga tidak pernah digunakan pada zaman Nabi s.a.w. dan sahabat r.a.
Apapun saya suka dengan Pemuda UMNO dan PAS yang berhasrat untuk menyatakan bantahan aman mereka. Saya juga bercakap dengan Saudara Khairy Jamaludin untuk menganjurkan bersama ‘malam seni cintakan Nabi s.a.w’. Beliau turut bercadang mengajak pihak PAS juga. Penggiat seni Puan Erma Fatima mencadangkan kepada saya untuk diajak semua pihak terutama penggiat filem bersama. Ini isu kita bersama. Saya suka suasana ini. Muslim itu, siapa pun dia, Nabi Muhammad s.a.w tetap agung di lubuk jantung hatinya.
DEMO ZAMAN KINI
Saya akur demonstrasi aman bukan satu-satunya jalan dalam menyatakan perasaan. Demonstrasi juga bukan semestinya penyelesaian. Masih terdapat pelbagai cara untuk menzahirkan cinta dan mempertahankan baginda s.a.w. Pada hari ini, kita boleh menulis di media, di facebook, menghasilkan video, berseni dan pelbagai lagi.
Namun, bukan semua orang mampu untuk melakukan pendekatan itu, sedangkan Nabi s.a.w itu dicinta oleh setiap muslim dari pelbagai latar belakang. Bukan sahaja yang pandai menulis dan membaca, juga yang buta huruf dan tidak bersekolah tinggi. Bukan sahaja orang muda yang aktif di media maya, juga orang tua yang uzur dan yang hanya mampu menulis di kertas sahaja. Demonstrasi aman dapat menghimpunkan semua mereka, untuk berkongsi rasa dan menzahirkannya. Maka demonstasi aman memberi ruang kepada banyak pihak.
Dunia Barat sekalipun hampir berjaya menghapuskan illiteracy dan penggunaan media maya begitu luas dan bebas, namun demonstrasi aman masih satu pendekatan yang terus digunapakai oleh mereka. Bagaimana dunia akan tahu hasrat rakyat Catalonia hari ini untuk bebas dari Spain jika tidak lebih juta rakyat yang keluar ke jalan menyatakan hasrat mereka. Siapa yang akan tahu tentang pencemaran alam sekitar, penindasan golongan minoriti dan seumpamanya jika tidak suara demonstrasi para pejuangnya. Demonstrasi aman adalah saluran yang membolehkan perubahan dibuat di serata dunia. Demikianlah demonstrasi aman itu berfungsi dalam kehidupan politik manusia pada hari ini.
Jika manusia lain sanggup berhimpun untuk membantah pencemaran alam, mengapa tidak kita keluar membantah pencemaran imej Nabi s.a.w yang membawa rahmat untuk sekelian alam. Jika orang sanggup membuat demonstrasi membantah perkara yang lekeh, mengapa tidak kita keluar membantah penghinaan perkara yang asas dalam kehidupan kita. Nabi s.a.w ketika mengulas pertanyaan sahabah yang mendapat upah berjampi menggunakan ayat al-Quran, baginda menyebut:
“Ambillah, demi sesungguhnya orang makan dari jampi yang batil, engkau makan dari jampi yang sebenar” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih).
Jika dikias, kalau orang berdemonstrasi dalam perkara yang salah, kita berdemonstrasi dalam perkara yang betul!
GANAS
Namun kita menentang demonstrasi ganas yang merosakkan harta awam, ataupun yang gagal mengawal diri dan memelihara akhlak yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w itu sendiri. Jangan tuduh pihak yang tidak terlibat. Jika itu berlaku maka itu ‘defeating the purpose’. Apa yang berlaku di Benghazi, Libya adalah memalukan dan merosakkan nama Islam itu sendiri. Ia seakan membenarkan dakwaan dusta bahawa Islam itu ganas. Perbuatan membunuh duta dilarang oleh Nabi s.a.w. Ketika wakil Musailamah al-Khazzab yang mengaku nabi dan mereka itu telah mengkhianati baginda datang, baginda bersabda:
“Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku (arahkan) bunuh kamu berdua”. Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: “Telah menjadi suatu sunnah bahawa para perwakilan tidak boleh dibunuh”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la kata al-Haithamiy (wafat 807H): Sanad-sanad mereka adalah hasan.) Kata Syams al-Haq al-Abadi: “Pada hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya membunuh para perwakilan”( `Aun al-Ma’bud, 7/314. Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Namun, itu tidak bererti demonstrasi aman yang tidak ganas diharamkan. Jika ada pemandu yang tidak dapat mengawal diri dan berlaku kemalangan, tidak mungkin untuk diharamkan semua kereta dan jalanraya. Haramkan keganasan, tetapi ruang tetap ada untuk cara yang baik dan aman.
CINTA
Seorang muslim yang sebenar cintakan Nabi s.a.w. Cintanya kepada Nabi s.a.w itu tetap subur walaupun kadang-kala dirinya sendiri tidak begitu baik. Nabi s.a.w sendiri mengakui hakikat ini.
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).
Apatahlagi para pejuang yang ingin menyampaikan mesej baginda kepada dunia ini. Cinta mereka membara. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi s.a.w. pada zaman itu lalu dibawa untuk dibunuh. Ketua Quraish Abu Sufyan –ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya:
“Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu”. Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di tempat dia berada sekarang terkena duri sedangkan aku pula berada di samping keluargaku”. Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).
Lihatlah sahabat teragung Nabi s.a.w Abu Bakar al-Siddiq. Dalam riwayat Abu Ya’la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah daripada Anas bin Malik r.a yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam. Pengislaman beliau agak lewat. Abu Bakar r.a memang begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam. Menariknya, apabila Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi s.a.w untuk menganut Islam, Abu Bakar menangis. Nabi s.a.w bertanya:
“Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar?”. Jawabnya: “Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang, lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari bapaku sendiri menganut Islam”.
Demikian halusnya perasaan Abu Bakar, kegembiraan bapanya menganut Islam itu tenggelam apabila mengenang Nabi s.a.w tidak memperolehi kegembiraan yang sama disebabkan bapa saudara kesayangan baginda (Abu Talib) tidak menganut Islam. Abu Bakar membayangkan alangkah baik jika Abu Talib yang berada di tempat bapanya ketika itu.
Demikian hati budi seorang muslim. Semua itu adalah manifestasi dari apa yang Nabi s.a.w sabdakan:
“Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya” (Riwayat al-Bukhari).
Mereka yang tidak merasai kemanisan nikmat iman mungkin tidak faham hakikat ini. Mereka kehairanan kenapa muslim sedih dan emosi apabila Nabi mereka disakiti. Sesiapa yang hendak jadi ahli politik dalam masyarakat muslim, kena memahami latar pegangan dan nilai dalaman mereka.
September 13, 2012
Kewajiban Mentaati Pemerintah
KEWAJIBAN MENTAATI PEMERINTAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Pada sabtu ini (15 September), saya inshaAllah akan membentangkan kertas dalam Konvesyen Fiqh Politi Islam Semasa di UIAM, Gombak. Tajuk yang diberikan kepada saya iailah Mentaati Pemerintah: Antara Literal Dan Maqasid. Oleh kerana penyertaan ke konvensyen itu terhad, maka saya ingin berkongsi sedikit di ruangan yang terhad ini mengenai tajuk tersebut.
Mentaati pemerintah ini termasuk dalam fiqh siyasi iaitu fekah Islam yang berkaitan dengan imarah ataupun imamah ataupun kepimpinan dalam Islam. Perbezaan pandangan dalam hal ini, bukanlah masalah akidah. Saya sebutkan ini kerana ada golongan muda agama politik tertentu yang menganggap isu ini isu akidah. Dalam ertikata lain, sesiapa yang tidak taat kepada kerajaan bererti rosak akidahnya. Ini tidak tepat. Al-Imam Ibn ‘Ashur ketika menyebut tentang sebab-sebab perpecahan:
“Kelima: memasukkan ke dalam tauhid perkara-perkara yang bukan daripadanya. Tujuan untuk membesarkannya pada mata orang awam seperti masalah khilafiyyah, tentang keluar menentang penguasa, mengenai mengikut salah satu imam mazhab yang empat…”. (Muhammad Tahir ibn ‘Ashur, Alaisa al-Subh bi Qarib, 186. Tunisia: Dar Suhnun)
Walaupun tujuan mereka mungkin untuk menghalang fitnah yang mereka jangka, tetapi memasukkan bab-bab itu ke dalam tauhid adalah tidak benar. Ia akan membawa kekecohan iaitu kafir-mengkafir, ataupun sesat menyesat kerana politik. Hal yang sama berlaku kepada golongan yang menjadikan penyertaan kepada parti politik mereka termasuk dalam isu akidah, lantas mereka mengkafirkan ataupun memandang sesat sesiapa yang tidak menyokong parti tertentu. Sejarah hitam kafir mengkafir di Malaysia ini adalah hasil dari nas-nas agama ditafsirkan menurut kehendak politik kepartian.
Rukun Kedamaian
Mentaati Ulul Amr ataupun penguasa adalah rukun dalam penegakan maslahah siyasiyah (kemaslahatan politik). Mustahil dapat diwujud satu kerajaan yang aman dan kuat yang melaksanakan kemaslahan rakyat tanpa ketaatan daripada rakyat itu sendiri. Ini seperti mana mustahil dapat ditegakkan keamanan tanpa keadilan daripada pemerintah yang menguruskan kehidupan negara dan rakyat. Untuk itu Allah menegaskan dalam al-Quran, Surah al-Nisa: 58-59: (maksudnya)
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan ar-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya.
Ayat perintah ketaatan datang selepas penegasan Allah tentang tanggungjawab memilih pemimpin dan orang yang layak untuk memegang amanah, kemudian pemimpin pula berhukum dengan adil. Apabila dua tanggungjawab utama itu dilaksanakan, maka datangnya penegasan tanggungjawab ketaatan.
Al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut petikan ucapan yang disandarkan kepada Ali bin Abi Talib:
“Tanggungjawab pemerintah ialah berhukum dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia melakukan yang demikian, wajib ke atas muslimin untuk mentaatinya kerana Allah memerintahkan kita menunaikan amanah dan adil, kemudian memerintah agar mentaati pemerintah”.( Al-Qurtubi: Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/359. Beirut: Dar al-Fikr)
Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) menyebut dalam Fath al-Bari:
“Antara jawaban yang menarik, ungkapan kalangan tabi’in kepada para pemerintah Bani Umayyah apabila ada yang berkata: Tidakkah Allah memerintahkan kamu untuk taat kepada kami dalam firmanNYA ‘dan uli al-Amr dari kalangan kamu’. Maka dijawab: “Tidakkah kewajiban taat itu telah dicabut (dibatalkan) apabila kamu menyanggahi kebenaran dengan firmanNYA ‘jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan ar-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah’) (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari 15/4. Beirut: Dar al-Fikr).
Dalam tafsir al-Nasafi disebut dialog ini antara tokoh tabi’in yang terkenal Abu Hazim dengan Maslamah bin ‘Abd al-Malik bin Marwan. (1/232. Beirut: Dar al-Fikr)
Ini kerana apabila pemerintahan menyanggahi kebenaran, maka hilanglah kemaslahatan siyasah yang menjadi kewajibannya untuk dia tegakkan. Maka, ketika itu penilaian terhadap arahan pemerintah hendaklah dirujuk kepada asas-asas ajaran Allah dan rasulNYA.
Tidak Mutlak
Maka, ketaatan kepada para pemerintah ada batasannya. Hak untuk mereka ditaati tidak sama dengan ketaatan kepada Allah dan RasulNYA. Ketaatan kepada Allah dan rasulNYA adalah mutlak. Allah dan rasulNYA tidak boleh dibantah. Dalam masa yang sama kita tahu segala arahan yang bersifat syariat yang datang dari keduanya adalah untuk kemaslahatan manusia.
Hal ini tidak sama dengan para pemerintah. Ketaatan kepada mereka tidak mutlak. Mereka sentiasa terdedah kepada kepentingan diri seperti mana manusia lain, maka bukan semestinya semua yang datang dari mereka itu untuk maslahah rakyat dan negara. Kemungkinan arahan mereka membawa kerosakan bukan kemaslahatan, yang mana ia bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam. Untuk itu jika kita melihat firman Allah dalam hal ini, Allah menyebut: (maksudnya)
Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan ar-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya.
Al-Hafizd Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan kata-kata al-Tibi:
“Berkata al-Tibi: Allah mengulangi arahan dalam firmanNYA ‘taatilah Rasul’ sebagai isyarat bahawa kemutlakan Rasul itu dalam ketaatan. Dia tidak mengulanginya pada uli al-Amr sebagai isyarat terdapat dalam kalangan mereka (uli amri) yang tidak wajib ditaati. Kemudian Allah terangkan perkara itu dengan firmanNYA ‘jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu..’ seakan dikatakan jika mereka tidak beramal dengan kebenaran maka kamu jangan taat dan kembalikan apa yang kamu selisishkan mengenainya kepada hukum Allah dan RasulNYA” (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari 15/4)
Taat Dalam Perkara Ijtihadi
Tidak dinafikan kadang-kala ada tindakan pemerintah yang tidak dipersetujui oleh rakyat bawahan sedangkan tindakan itu tidak munkar. Maka sekiranya tindakan itu tidak menyanggahi syarak, tidak membawa mafsadah yang nyata ataupun bukan satu kezaliman, maka ia termasuk dalam batas-batas ijtihad pemerintah yang diizinkan syarak, dan rakyat mesti taat. Ini kerana jika setiap orang mahu bertindak mengikut ijtihad sendiri dalam perkara yang membabitkan kepentingan awam, tentu rosak keadaan negara dan musnah kemaslahatan awam. Dalam keadaan seperti ini, ijtihad rakyat hendaklah akur kepada bidang kuasa pemerintah dalam perkara yang membabitkan pengurusan kemaslahatan awam. Daripada ‘Abd Allah bin ‘Umar r.ahuma, daripada Nabi s.a.w, sabda baginda:
“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas dengan jelas mewajibkan setiap muslim mentaati para pemerintah dalam apa jua perkara, selagi tidak berbentuk maksiat kepada Allah. Bahkan di dalam hadis di atas baginda Nabi s.a.w. menegaskan bahawa ketaatan kepada para pemerintah merangkumi perkara yang disukai atau dibenci selagi ia tidak menyanggahi Allah. Kata al-Nawawi (wafat 676H) dalam mensyarahkan hadith berkenaan:
“Maksudnya (hadith di atas) wajib mentaati para pemerintah dalam perkara yang susah, yang tidak disukai oleh jiwa dan selainnya dalam perkara yang tidak maksiat”. (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim 12/537. Beirut: Dar al-Khair)
Dengan itu, jika pandangan kita berbeza dengan pandangan pemerintah sedangkan pandangan pemerintah itu bersifat ijtihadiyyah yang tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah secara jelas, juga kemaslahatan awam secara nyata, maka kita diamkan diri dan serahkan urusan tersebut kepadanya. Ini tidak menghalang kita memberikan pandangan kita melalui saluran yang disediakan.
Membezakan
Maka rakyat hendaklah membezakan antara perkara munkar, zalim dan mafsadah (merosakkan) dengan ijtihad pemerintah yang mungkin tidak disukai oleh sesetengah pihak tetapi ia tidak munkar, tidak zalim dan tidak merosakkan kepentingan awam. Maka bahagian yang kedua termasuk dalam ijtihad pemerintah yang wajib ditaati oleh seorang muslim sekalipun dia tidak menyukainya. Namun, jika ia mungkar, kezaliman dan kerosakan yang nyata maka ia tidak ditaati.
September 5, 2012
Politik Kita Memang Caca Merba
POLITIK KITA MEMANG CACA MERBA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Nampak kebelakangan ini, perbezaan politik bukan lagi membawa kepada pertarungan minda dan tawaran khidmat pengurusan pentadbiran yang lebih baik, tetapi pertarungan siasah di negara ini telah menyuburkan akhlak yang buruk dan kehilangan adab sopan. Ada yang tunjuk kemaluan pada gambar pemimpin tertentu, ada yang kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula yang baling kasut ke dalam masjid, tarian punggung dan pelbagai lagi. Para pemimpin politik kita ini mungkin terlalu sibuk berkempen sehingga lupa untuk mengajar adab sopan sebagai insan kepada para pengikut mereka.
Disiplin
Kehidupan ini bukan segala-galanya politik untuk kita menggadaikan segala adab dan kesopanan hanya kerana politik. Insan itu walau apapun kelemahan peribadinya, tetapi dia sepatutnya memiliki ketertiban dan kesopanan pergaulan yang diwarisi samada dari agama ataupun budaya.
Bahkan dalam Islam, dalam medan perang yang saling bunuh membunuh itu pun, adab dan akhlak yang baik dipertahankan. Disiplin mesti dipatuhi. Dalam hadis:
“Apabila Rasulullah s.a.w. mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda: “Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kufur dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: “Sanad hadith ini hasan”).
Nilai pejuang rakyat itu apabila dia dapat mendisiplinkan dirinya dan menghiasi diri dengan budi dan sopan yang menyebabkan rakyat menjadikan ikutan. Justeru, kawalan diri sekalipun di hadapan musuh yang hendak membunuh antara nilai peradaban yang diajar oleh Islam.
Lihatlah apa yang Allah tegaskan kepada orang Islam yang berperang dengan musuh-musuh yang menyerang dan ingin membunuh mereka: (maksudnya):
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”.(Surah al-Baqarah 190).
Apakah politik ini lebih buruk dari medan perang darah sehingga kita hendak berlebih-lebih dalam perangai dan budi. Kita jangan lupa apa yang Nabi s.a.w bersabda:
“Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Orang politik lupa, pengikut yang ‘kurang ajar’ dan tidak beradab itu hari ini mereka biadap dengan musuh politik mereka, esok kebiadapan itu akan dihalakan pula kepada orang yang disokong pada hari ini.
Piawaian
Paling masalah apabila setiap pihak cuba bertindak membalas keburukan dengan keburukan. Jika kita berikan nasihat ‘mengapa awak londeh seluar dan tunjuk kemaluan kepada gambar pemimpin tertentu’, maka akan ada yang menjawab ‘mereka lagi teruk, ada macam-macam lagi yang mereka pun buat’.
Demikianlah puak-puak politik itu saling menghalalkan tindakan masing-masing atas nama keburukan lawan mereka. Apa yang pelik dalam masa yang sama masing-masing mendakwa mereka lebih baik dari lawan mereka.
Malangnya, apabila tiba masalah budi perangai, masing-masing memakai piawai yang setaraf dengan pihak lawan ataupun lebih teruk. Itu belum lagi datang ‘geng agama’ parti masing-masing yang akan mengeluarkan dalil untuk menghalalkan perangai buruk anggota dan penyokong masing-masing. Dalil agama dibaca bukan mengikuti kehendak Tuhan, tetapi kehendak parti!
Ustaz Muda
Apatah lagi jika ada pula ulama atau ustaz muda mana-mana parti yang baru kenal politik sehari dua, dan mungkin ghairah hendak menjadi calon maka segala dalil dibawa, segala sirah salafussoleh dibaca seakan-akan yang dipertahankan itu Abu Bakar al-Siddiq dan ‘Umar bin al-Khattab.
Dalil-dalil agama dipermainkan untuk kepentingan politik masing-masing. Apa yang terkena pada orang lain dibaca secara terang, yang terkena diri sendiri ditakwil dengan sejuta penafsiran. Jika parti lawan berkumpul untuk bantahan maka mereka namakan tunjuk perasaan dan dihukum haram. Kononnya, bukan amalan salafussoleh. Jika geng parti sendiri berkumpul dinamakan menyuarakan pendirian, hukumnya halal. Dimasukkan dalam amar makruf dan nahy munkar.
Maka perhimpunan di KL oleh parti lawan sibuk diharamkan dengan segala fatwa, tetapi di Jeli dan Gua Musang oleh parti sendiri didiamkan. Jika pemimpin kerajaan parti lain yang buat silap, ditegur dalam media dan ditulis surat terbuka. Namun jika pemimpin kerajaan parti sendiri buat salah, difatwakan haram bercakap kesalahan pemimpin di khalayak ramai, kena berbisik di telinga mereka.
Dalil-dalil agama dan nama salafussoleh dikhianati atas kedangkalan pengetahuan, ataupun kepentingan politik ‘orang muda agama’. Maka tidak pelik jika Allah menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya seperti anjing. Firman Allah:
“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
Fatwa Artis
Di celahan itu yang menarik hari ini artis-artis yang baru masuk politik sehari dua pun seakan sudah menjadi ‘sarjana Islam’. Mula mengeluarkan hukum ke atas orang lain. Sambutannya hebat. Modalnya bukan ilmu, tapi ‘wajah dan penampilan’ yang memikat penganjur. Jika ‘ustaz’ dibayar seratus dua, tetapi artis yang bercakap Islam dibayar beberapa ribu ringgit satu ceramah. Namun jika artis lelaki, ataupun artis wanita yang ‘kurang comel’, tidaklah seberapa sambutan dan bayarannya.
Kita hendaklah tahu seperti yang disebut oleh para sarjana Islam, bab politik islami bukan mudah untuk dihuraikan. Politik memerlukan kefahaman tentang maslahah dan maqasid syarak. Suatu ilmu yang memerlukan banyak latar pengetahuan yang baik. Namun, jika artis masuk parti politik, segala kesarjanaan itu seakan diberikan kepadanya. Ini memang tanda-tanda akhir zaman.
“Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.
Bukan salah artis berceramah dan berkongsi pengalaman. Mereka yang berubah memang dialu-alukan. Namun setiap orang kena tahu kadar pengetahuannya mengenai apa yang dia perkatakan. Jangan cepat simpulkan hukum sedangkan anda bukan ahlinya.
Apapun, politik kita memang ajaib. ‘Macam-macam ada’ dan semua boleh. Dulu ada orang cakap, asal barang jadi duit, kita ambil. Hari ini, asal barang jadi politik, kita angkut!
August 30, 2012
Hudud Oh Hudud!
HUDUD OH HUDUD!
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Isu hudud dalam negara kita sering kali dipolitikkan atas pelbagai kepentingan. UMNO dalam rekodnya tidak bersetuju cadangan hudud yang PAS bawa. Ketidaksetujuan itu boleh ditafsirkan atas pelbagai alasan; ada yang munasabah dan ada yang tidak munasabah. Hari ini nampaknya UMNO macam mula berubah.
PAS sejak dahulu menyebut tentang perlaksanaan hudud sehingga kelihatan pada mata umum PAS dan hudud bagaikan isi dan kulit. Seolah-olah matlamat utama kenegaraan PAS ialah menegakkan hudud. Ini agak menarik, di kala kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia tidak lagi memperkatakan tentang undang-undang jenayah hudud, PAS masih. Gerakan-gerakan Islam yang mendapat kerajaan di Mesir, HAMAS di Palestin, di Libya dan Tunisia meninggalkan tajuk hudud buat masa ini, tetapi PAS terus dengan slogannya.
Pertikai Hukum
Saya meyakini keikhlasan YAB TG Nik Abd Aziz Nik Mat. Saya banyak kali bersembang dengan beliau secara peribadi, ternyata hasrat Islam beliau begitu mendalam. Islam itu cuba dilahirkan dalam amalan peribadinya sehingga kepada usaha-usaha politiknya. Namun, tidak semesti hal yang sama ada dalam diri setiap pembicara atas nama hudud. Sebahagian kadang-kala mengelirukan pihak lain terutama non-muslim dalam negara kita. Saya mencadangkan pembaca yang membaca tulisan ini turut membaca artikel saya ‘Hudud dan Beberapa Gambaran Salah’.
Kita tidak boleh mempertikaikan hukum Allah, tetapi kita boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan penafsiran hukum berkenaan oleh manusia. Ini seperti kita tidak boleh mempertikaikan syariat haji, tetapi kita boleh mempertikaikan amalan haji individu tertentu jika ia tidak bertepatan. Kita tidak boleh mempertikaikan sistem muamalat al-Quran dan Sunnah, tetapi kita boleh mempertikaikan bank, pajak gadai, syarikat, koperasi dll yang menggunakan nama Islam dalam operasi mereka jika kita dapati ia tidak menepati semangat Islam yang sebenar. Demikian kita tidak boleh mempertikaikan syariat hudud, tetapi kita boleh mempertikaikan perlaksanaan oleh pihak tertentu apabila kita dapati ia tidak memenuhi semangat keadilan yang dikehendak oleh Allah dan rasulNYA. Namun, tujuannya hendaklah untuk memelihara nama Islam agar tidak disalahgunakan atau disalahfahami.
Sukar
Sesuatu yang wajar diakui bahawa bukannya mudah untuk melaksanakan hudud di zaman kini, terutama di negara kita yang mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dibanding hari-hari awal hudud dilaksanakan. Dalam masyarakat seperti kita, melaksanakan hudud tanpa penelitian bagaikan memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia bukan menambahkan kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu dan merosakkan pintu yang cantik dan berharga itu.
Tokoh ilmuwan muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun selepas kewafatan Nabi s.a.w hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia muslim. Sejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada awal sudah tiada lagi.
Dalam The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, John L. Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan Pakistan. Sementara di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan beberapa tahun selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman kini hanya Arab Saudi menjadi contoh dalam perlaksanaan hudud.
Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan hudud, ini seakan menunjukkan semacam ia terhenti. Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya ‘An International Call for Moratorium on Corporal Punishment’ pula menyeru kepada moratorium (penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah. Demikian juga tokoh fekah yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa Mustafa al-Zarq meminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam.
Tiga Golongan
Maka, mereka yang enggan menerima perlaksanaan hudud itu ada tiga golongan; pertama, mereka yang membenci hudud itu sendiri dan menganggapnya zalim dan buruk. Maka golongan ini rosak akidahnya. Kedua, mereka yang tidak menolak hudud tetapi menolak tafsiran perincian hudud yang dibuat oleh pihak tertentu. Ini kerana nas-nas hudud dalam al-Quran dan hadis umum, perinciannya adalah ijtihad ataupun tafsiran para pengkaji.
Sebagai contoh, Prof Dr Hashim Kamali seorang sarjana muslim yang terkenal telah menulis mengkritik enakmen hudud Kelantan dan Terengganu. Sesiapa yang berminat boleh membaca tulisan beliau ‘Hukuman Dalam Undang-Undang Islam: Suatu Penelitian Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu”. Golongan ini tidak boleh dianggap mengkritik Islam sebaliknya mengkritik tafsiran pihak tertentu tentang hudud.
Golongan ketiga, mereka tidak menolak hudud tetapi menyatakan keadaan hari ini ataupun masyarakat yang sedang ada tidak kondusif untuk dilaksanakan hudud. Dalam ertikata lain, persekitaran yang memboleh hudud itu berfungsi dengan adil tidak wujud. Maka hudud mestilah ditangguhkan sehingga suasana yang sesuai itu muncul. Ini seperti kita menyatakan haji itu wajib tetapi oleh kerana kewangan tidak cukup, ataupun perjalanan tidak aman, maka hendaklah ditangguhkan. Jika hudud dilaksanakan juga ia tidak akan mencapai tujuan yang Allah kehendaki. Golongan ketiga tidak menolak hudud tetapi menyatakan bahawa dari segi maqasidnya ia tidak wajar dilaksanakan pada waktu ini sebelum suasana yang kondusif muncul.
Tujuan Kenegaraan
Hakikatnya tujuan kenegaraan dalam Islam bukanlah untuk hudud. Tujuan kenegaraan lebih luas dari itu. Pemerintah menegak social justice ataupun keadilan masyarakat dalam segala aspek. Hudud hanyalah mechanism dalam mengatasi jenayah tertentu. Bahkan perkataan ‘hudud Allah’ dalam al-Quran tidaklah merujuk kepada undang-undang jenayah sebaliknya dalam Surah al-Baqarah ayat 187 merujuk kepada hukum-hakam puasa, Surah al-Baqarah ayat 229-230 merujuk kepada hukum-hakam talak, Surah an-Nisa ayat 13 tentang harta pusaka, Surah al-Mujadilah ayat 4 tentang hukum zihar, Surah at-Talaq ayat 1 tentang edah talak. Ertinya perkataan hudud dalam al-Quran secara peraturan Allah bukan hanya tertumpu kepada hukum jenayah sahaja.
Menjadikan politik tertumpu kepada hudud bukan satu kebijaksaan. Tidak dari segi maqasid agama, tidak juga dari segi kepentingan politik. Tujuan politik jauh lebih luas dari hanya membincang cara memotong tangan pencuri. Sebelum pencuri dipotong tangan, politik sepatut membincang bagaimana memasti tiada alasan untuk sesiapa pun mencuri disebabkan keadilan dan kebajikan negara. Hendak dipastikan semua warga sama di hadapan undang-undang. Tidak boleh ada pihak yang boleh bermaharajalela yang jika mereka didakwa, yang membawa kes pula akan dikenakan di bawah akta hasutan. Jangan sampai rakyat yang mencuri di pasaraya dipotong tangan, tapi pembesar yang mencuri hutan balak negara dibiarkan.
Akhirnya, saya ingin memetik apa yang al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah:
“Berkata al-Shafi’i: “Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak”. Kata Ibn ‘Aqil: “Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu “Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak” iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.. apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agamaNYA.
Allah S.W.T lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu kemudian menafikan apa yang lebih jelas daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih nyata tandanya, lalu dia tidak menerima dan menilai kewujudannya dan menegakkan tuntutannya. Bahkan Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNYA dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa siyasah yang adil itu menyanggahi apa yang ungkapkan oleh syarak, sebaliknya ia menepatinya. Bahkan siyasah yang adil itu satu juzuk dari syarak. Kita menamakannya siyasah mengikut istilah mereka padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasulNYA yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti tersebut”
August 17, 2012
August 10, 2012
Ramadan, al-Quran dan kita
RAMADAN, AL-QURAN DAN KITA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Ramadan dan al-Quran satu ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran. Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi s.a.w secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad ditabalkan menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.
Para sarjana tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran turun (Nuzul al-Quran) dalam bulan Ramadan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)
“Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia” (Surah al-Baqarah, 185).
Namun begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa haribulankah Ramadan penurunan itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan pada 21hb Ramadan. Pendapat ini dipegang oleh beberapa orang ulama, antaranya tokoh Sirah yang terkenal al-Syeikh Safiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri seperti yang beliau sebut dalam karyanya Rahiq al-Makhtum. Ada juga yang berpendapat 24hb Ramadan kerana bersandarkan hadis riwayat al-Imam Ahmad yang menyebut: “…Allah turunkan al-Quran pada 24hb Ramadan”. Hadis ini disahihkan oleh sebahagian ulama, dihasankan oleh sebahagian yang lain. Terdapat juga sarjana yang mendaifkannya disebabkan kritikan terhadap salah seorang rawi iaitu Imran bin al-Qattan. Namun ada riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas yang boleh menyokong riwayat ini. Di sana ada lain-lain pendapat tentang haribulan Nuzul al-Quran ini.
Di tempat kita biasanya kita mendengar tarikh Nuzul al-Quran pada 17hb Ramadan. Ini juga salah satu pendapat yang telah sesetengah sarjana kemukakan. Pun begitu pendapat ini mendapat kritikan sebahagian sarjana yang lain atas beberapa alasan. Antaranya, al-Quran sendiri menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada Malam al-Qadr (Lailatul Qadar). Ini seperti yang Allah sebut dalam Surah al-Qadr: (maksudnya)
“Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr” (ayat 1).
Hadis-hadis Nabi s.a.w pula banyak yang menjelaskan bahawa Malam al-Qadr itu berlaku pada salah satu dari sepuluh malam yang akhir bulan Ramadan. Maka, sepatutnya penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) dalam lingkungan sepuluh yang akhir. Tokoh ilmu al-Quran yang terkenal al-Imam al-Zarqani menyebut dalam karyanya Manahil al-‘Urfan:
“Kemudian di sana ada pendapat yang menyatakan bahawa pemulaan Nuzul al-Quran itu pada 17hb Ramadan. Itulah merupakan Malam al-Qadr menurut sebahagian pendapat. Namun pandangan itu menyanggahi pendapat yang masyhur yang disokong oleh hadis sahih”. (1/52, Beirut: Dar al-Fikr).
Apapun perbezaan pendapat yang ada, kesemua umat akur bahawa al-Quran itu turun pada bulan Ramadan. Sarjana hanya berbeza pendapat tentang haribulannya sahaja. Masing-masing telah mengemukakan alasan mereka.
Penghayatan
Lebih penting dari itu semua, kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sebuah kitab sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasinya dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak memakannya. Firman Allah: (maksudnya):
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. (Surah al-Baqarah, 185).
Itulah tujuan penurunan al-Quran. Ia menjadi petunjuk, menjelaskan petunjuk tersebut serta memampukan pembacanya membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara haq dan batil. Itulah cahaya insan dalam menerangi cabaran kehidupan di dunia ini. Hal ini tidak mungkin diperolehi jika kita sekadar berlagu dan menggantungnya di dinding rumah dan pejabat tanpa melakukan tadabbur (penelitian kandungan). Allah menyebut dalam Surah al-Israa: (maksudnya)
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul, dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (ayat 9-10)
Kita semua ada kelemahan, kita juga mungkin tidak berjaya menjadi insan yang melaksanakan seratus peratus isi kandungan al-Quran tetapi kita sentiasa wajib beriman bahawa jalam hidup ini ialah mengikuti isi kandungan al-Quran, bergerak dan berusaha menghayatinya dari masa ke semasa adalah tanggungjawab seorang yang beriman. Kejayaan kita ialah dengan memahami dalam melaksanakan isi kandungan al-Quran. Kita hendaklah membaca al-Quran sehingga dapat membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara yang ikhlas dan yang pura-pura. Antara yang membela kebenaran dan yang memperjudikan kebenaran. Ini amat penting sepanjang masa, apatahlagi di zaman dunia yang penuh kekaburan dan kekeliruan. Tidak berpada sekadar melagukan, bertanding dan menggantung di dinding-dinding tanpa memperdulikan isi yang tersurat dan tersirat di sebalik tulisan yang tersemat.
Jangan juga kita lupa bahawa pada zaman ini akan ada yang menggunakan al-Quran untuk mendapatkan wang ataupun harta dunia dari manusia. Sabda Nabi
“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, bertaraf hasan).
Jangan hairan jika kita bertemu dengan mereka yang meminta wang bacaan al-Quran kononnya sebagai bayaran pahala kepada si mati, ataupun membaca al-Quran dengan segala lengangan lagunya hanya semata-mata untuk mendapatkan wang. Bukan itu tujuan al-Quran diturunkan!
* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”
August 9, 2012
Daku Ingin Mengembara Lagi…
DAKU INGIN MENGEMBARA LAGI…
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Jumaat (3 Ogos) lepas saya telah meninggalkan Oxford setelah menjalani fellowship selama 10 bulan di sana. Saya tinggalkan Oxford dalam bulan Ramadan setelah sempat dua minggu berpuasa. Saya tinggalkan tempat kediaman saya di Broad Street yang merupakan jalan yang begitu menarik lagi strategik. Saya tinggalkan bilik saya yang selama sepuluh bulan saya menetap sendirian dalamnya. Saya tinggalkan rakan-rakan satu apartment yang terdiri dari pelbagai negara. Sebahagian mereka ada yang terlebih dahulu meninggalkan saya.
Kami berkongsi dapur dan bilik air. Berkongsi pengalaman dan cerita. Berkongsi makanan dan kesukaan. Berbual, berhujah, bersetuju dan berbeza pendapat. Ada yang syiah, ada yang agnostic, ada yang sufi, ada yang tradisi dan lain-lain. Saya tinggalkan rakan-rakan yang saya telah curi pengalaman mereka. Saya tinggalkan OCIS tempat kami bertugas dan mendapat kemudahan. Saya tinggal Cornmarket Street yang penuh seni yang saya selalu terhibur setiap kali melintasinya. Saya tinggalkan Oxford Union yang saya mendengar debat saban minggu dalam bangunannya yang bersejarah.
Bersama Oxford University Islamic Society dalam program buka puasa bersama homeless yang bukan muslim.
Saya tinggalkan dunia ‘berjalan kaki’ saya selama saya di sana. Saya tiada kenderaan semasa di Oxford. Masjid yang sejauh hampir dua kilometer saya ulang alik terutama pada bulan puasa. Ia membantu meringankan badan. Saya tinggalkan Oxford, satu tempat penuh dengan pelbagai diskusi dan seminar pemikiran. Saya tinggalkan banyak perkara yang menjadi kenangan kepada saya. Ia satu tempoh yang diingati.
Saya tinggalkan tempat itu, tetapi saya membawa segala kenangan dan pengalaman pulang bersama. Seperti mana pengembara lain, kembara sering membuat anda berfikir dan merenung kembali banyak perkara yang dilihat dan menilai banyak perkara yang dipegang. Ramai para imam yang mengubah pandangan mereka disebabkan perubahan tempat seperti al-Imam al-Syafi’e yang mengubah fatwa-fatwa beliau di Iraq apabila melihat keadaan baru di Mesir.
Kembara juga membuka kesempitan penilaian kepada yang lebih luas dan jauh. Mary Morris telah mengumpulkan catatan wanita-wanita Barat yang berpeluang mengembara pada zaman wanita di mana wanita mereka dihalang oleh adat dan peraturan dari mengembara. Dalam himpunan beliau Women Travellers, mencoretkan pelbagai pengalaman mereka yang membuka minda. Memberikan penilaian baru tentang kehidupan.
Faedah
Islam sejak awal pengajarannya menggalakkan seseorang mengembara untuk menimba ilmu pengetahuan. Dalam al-Quran, Allah menegaskan banyak perkara yang mempunyai hubungkait dengan pengembaraan untuk mencapainya. Ini seperti perintah Allah supaya melihat alam yang pelbagai rupa, melihat kesan-kesan kaum yang terdahulu, berkenalan antara bangsa dan kabilah dan pelbagai lagi. Kesemuanya itu bertujuan meningkatkan pengetahuan insan tentang kehidupan dan mendalami pengetahuan tentang Tuhan. Allah juga menyebut: (maksudnya)
“DIAlah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula” (al-Mulk, ayat 15)
Solat tarawih di masjid baru Oxford Centre for Islamic Studies. Baru dibuka Ramadan ini untuk tarawih sahaja tetapi belum rasmi.
Nabi s.a.w pula menegaskan:
“Sesiapa yang melalui sesuatu jalan kerana mencari sesuatu ilmu, Allah mudahkan untuknya jalan ke syurga” (Riwayat al-Tirmizi, bertaraf sahih).
Al-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) dalam Faidh al-Qadir ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ia merangkumi setiap jalan, samada perjalanan sebenar, ataupun satu usaha. Ia juga merangkumi setiap jenis ilmu tanpa mengira besar ataupun kecil dengan tujuan mencari redha Allah, maka termasuk dalam hadis ini.
Justeru itu kita dapati sejak awal Islam, generasi salaf telah mengamalkan hal ini. Mereka merantau untuk ilmu. Sehingga ada tokoh ilmuwan hadis seperti al-Imam Ibn Mandah (meninggal 395H) telah mengembara untuk ilmu selama 45 tahun. Bermula sejak umurnya 20 tahun dan pulang setelah berusia 65 tahun. Al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) dalam Siyar A’lam al-Nubala ketika membicarakan mengenai Ibn Mandah menyebut:
“Setahu aku tiada orang yang lebih luas kembaranya dari beliau, lebih banyak hadis dibandingkannya. Di samping beliau seorang hafizd hadis dan thiqah (dipercayai). Telah sampai berita kepada kita bahawa jumlah gurunya seribu tujuh ratus orang”.
Kitab-kitab Islam terdahulu mencatatkan kembara para ilmuwan dalam usaha menuntut ilmu. Setiap ilmuwan pasti ada catatan mengenai kembara mereka. Kembara juga melonjak nama mereka dalam bidang ilmu. Di samping ia membolehkan mereka bertemu dengan banyak guru, ia juga menunjukkan kesungguhan terhadap ilmu. Mereka meninggalkan kenikmatan hidup di tempat sendiri, bergantung kepada Allah untuk mencari ilmu. Nabi s.a.w menyebut antara kelebihan orang yang bermusafir ialah doa mereka mustajab:
“Tiga doa yang mustajab, tanpa syak padanya; doa ibubapa untuk anak, doa orang bermusafir dan doa orang kena zalim” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dll. Bertaraf sahih).
Doa golongan di atas mustajab kerana pergantungan perasaan yang bulat kepada Allah. Sudah pasti lebih susah kembara lebih khusyuk doa dan pergantungan kepada Allah. Maka doa insan dalam permusafiran sering mustajab. Doa pengembara ilmu tentu lebih mustajab kerana dia menuju jalan ke syurga. Saya harap saya diberikan Allah peluang seperti itu.
Saya kembali. Saya ingin bermusafir lagi jika diizinkan Allah. Melihat alam, memerhati kehidupan dan merenung kembali pandangan yang diberikan dan diri yang menuju Tuhan.
July 27, 2012
Beberapa Sangkaan Tentang Puasa
BEBERAPA SANGKAAN TENTANG PUASA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Ada beberapa anggapan, pegangan dan salah sangka tentang puasa dalam kalangan masyarakat. Mereka menganggap batal ataupun kurang pahala beberapa perbuatan tertentu, padahal tiada dalil yang menyokong pendapat mereka. Sebahagian pendapat itu khilaf dan telah disebut oleh beberapa ahli fekah dahulu, tetapi dilihat tidak kukuh untuk dipegang ataupun ada ruang untuk disemak semula.
Mandi Masa Puasa
Antaranya, anggapan bahawa mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa. Ada pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas asar makruh. Ini tidak disokong oleh riwayat yang menunjukkan Nabi s.a.w mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika berpuasa kerana terlalu panas ataupun dahaga. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
Memasukkan Ke Rongga
Antara anggapan lain ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman. Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang bercelak kerana bimbang masuk ke dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas:
“Membatalkan puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar” (riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih).
Namun, itu merupakan ulasan Ibnu ‘Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan ia tidak membatalkan puasa. ‘Apa yang masuk’ bermaksud makanan ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tentu maka ia tidak termasuk dalam maksud ini. Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut tentang khilaf ulama, beliau menjelaskan puasa merupakan amalan setiap muslim. Jika perbuatan seperti bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa zaman Nabi itu membatalkan puasa, tentu baginda s.a.w akan menerangkannya. Juga tentu para sahabah akan bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih tentang hal itu, maka menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa. Demikian juga tentang mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.
Maka menggunakan eye drops yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.
Tidak Mandi Junub
Antara lain ialah menganggap tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu subuh sudah masuk. Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu subuh iaitu waktu berpuasa. Ertinya ketika dia mandi wajib, waktu subuh telah masuk. Ada yang menganggap puasa itu tidak sah. Padahal dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa Nabi s.a.w pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu)” (Riwayat al-Bukhari).
Muntah
Antara lain ada yang menganggap sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya, di sana ada perbezaan antara termuntah dan sengaja muntah. Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah dia qada”. (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud dan Ibn Hibban).
Maka sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya.
Imsak
Antara lain menganggap sesiapa yang makan ketika hampir subuh iaitu bukan pada waktu imsak yang difahami oleh sesetengah pihak, maka puasanya tidak sah. Ini kerana mereka menganggap puasa bermula beberapa puluh ataupun belasan minit sebelum subuh. Padahal waktu puasa bermula apabila masuknya waktu subuh. Firman Allah: (maksudnya)
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187). Sabda Nabi s.a.w pula: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Musafir
Antara anggapan lain bahawa seseorang yang bermusafir jika berkemampuan wajib berpuasa, jika tidak dia berdosa. Ini berlainan dengan ayat Allah dalam al-Quran: (maksudnya)
“..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).
Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah s.a.w:
“Wahai Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir, adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi s.a.w: “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya (tidak berpuasa ketia musafir) maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada salah baginya”. (Riwayat Muslim).
Tidak Sengaja
Perbuatan yang tidak sengaja, dipaksa ataupun terlupa seperti makan dan minum tidak membatalkan puasa. Sekalipun seseorang itu telah makan dan minum dengan banyak sekali. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang lupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikan dia makan dan minum” (Riwayat al-Bukhari).
Demikianlah semua perbuatan yang tidak sengaja ataupun terlupa. Termasuk terkeluar air mani disebabkan mimpi atau terfikir secara yang tidak diusahakan. Jumhur ulama menyatakan tidak batal puasa. Di samping di sana wujudnya pendapat minoriti ulama Ibn Hazm, al-San’ani, as-Syaukani dll yang berpendapat keluar mani walaupun dengan sengaja ia tidak membatalkan puasa sebab tiada dalil mengenai hal itu. Adapun majoriti ulama berpendapat batal.
Apapun, sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan tidak membatalkan puasa. Termasuklah tertelan air semasa mandi ataupun hujan ataupun suri rumah yang terbiasa merasa makanan ketika masak lalu memakannya kerana lupa, kesemua itu tidak membatalkan puasa.
Di sana ada lagi beberapa anggapan yang perlukan penelitian sebelum diterima sebagai suatu keputusan agama.
* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”
July 26, 2012
Dosa Berdusta Atas Nama Pihak Lain
DOSA BERDUSTA ATAS NAMA PIHAK LAIN
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Apabila berpuasa, ramai yang cuba menjaga lidahnya agar tidak berbohong. Ada yang akan berkata: “Masakan aku berbohong ini bulan Ramadan”. Berbohong sebenarnya haram tanpa mengira bulan. Sudah pasti berbohong pada bulan Ramadan akan merosakkan pahala puasa dan meningkatkan dosa kerana tidak menghormati bulan yang mulia.
Guna Nama Allah
Di sana ada beberapa jenis pembohongan. Setiap pembohongan itu mempunyai dosa yang berbeza. Perbohongan yang paling besar dosanya ialah berbohong menggunakan nama Allah. Ini disebut sebagai al-iftira ‘ala Allah kaziban (inventing lies against Allah). Mereka yang melakukan dosa ini akan membuat dakwaan tertentu menggunakan nama Allah padahal mereka tidak mempunyai sebarang bukti dari sumber-sumber wahyu. Tidak daripada al-Quran, ataupun as-Sunnah yang thabit (diterima). Banyak ayat dalam al-Quran Allah menempelak perbuatan ini. Antaranya dalam Surah al-Nahl, ayat 116:
(maksudnya) “dan janganlah kamu berdusta dengan apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya”.
Antara dusta kepada Allah ialah dengan mengeluarkan fatwa ‘haram’ ataupun ‘halal’ tanpa sebarang dalil yang sah. Umpamanya, Allah telah menjadikan semua urusan kehidupan (daily life) ini halal kecuali apa yang diharamkan Allah melalui al-Quran dan as-Sunnah, tiba-tiba seseorang mengeluarkan fatwa haram tanpa sebarang bukti seperti mengharamkan makanan ataupun pakaian ataupun hiburan tertentu yang tidak ada asas untuk diharamkan. Ini adalah dosa yang paling besar dalam senarai pembohongan. Allah berfirman: (maksudnya)
“katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan) kamu mempersekutukan Allah dengan sesuatu sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-A‘raf, ayat 33).
Maka kita hendaklah berhati-hati dalam memperkatakan sesuatu menggunakan nama Tuhan kerana itu merupakan dosa yang terbesar. Dalam al-Quran, Allah menempelak Ahlul Kitab (People of the Book) disebabkan mereka membuat dakwaan agama atas nama Allah dengan rekaan mereka sendiri.
Guna Nama Nabi
Pembohongan kedua terbesar dosanya ialah berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. ataupun Nabi-Nabi yang lain. Ini seperti menyandarkan sesuatu yang bukan hadis yang sabit kepada baginda. Mereka yang membuat dan menyebarkan hadis palsu samada dalam ceramah, buku, internet, sms dan sebagainya termasuk dalam dosa ini. Sabda Nabi s.a.w dalam hadis yang mutawatir:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
Ini termasuk mereka pengeluar produk perubatan ataupun makanan tertentu yang mengaitkan nama Nabi s.a.w. Tujuan mereka melariskan jualan, sedangkan hakikat makanan Nabi s.a.w itu tidak seperti yang didakwa, ataupun rekaan semata seperti ‘kayu koka’, buah kismis dan seumpamanya.
Kayu Koka
Dosa menyebarkan hadis palsu ini terlalu besar dan pada hari ini melibatkan ramai pihak. Ini kerana kemudahan teknologi menyebabkan dengan mudah manusia menghantar ataupun menyebarkan maklumatkan yang diterima. Contohnya pada bulan Ramadan disebarkan hadis palsu tentang fadilat setiap hari tarawih, sehingga kononnya ada hari yang pahalanya melebihi atau menyamai nabi tertentu. Ini adalah dusta. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah:
Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya. Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”. (Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322)
Guna Nama Tokoh Agama
Dosa pendustaan yang berikutnya yang besar ialah berdusta menggunakan nama sahabah, tabi’in, para ulama dan tokoh-tokoh umat yang dipercayai. Ini kerana pendustaan jenis ini mempunyai kesan yang berat terhadap masyarakat. Masyarakat akan mudah terikut apabila sesuatu perkataan ataupun perbuatan yang disandarkan kepada golongan ini. Contohnya dalam masyarakat kita menjelang bulan Ramadan ada yang mencari kesempatan mengumpulkan kekayaan dengan membuat ‘borang pahala’ yang kononnya sesiapa yang membelinya akan dapat mengirimkan pahala kepada si mati. Pahala dijadikan jualan dalam agama. Ini sama seperti amalan gereja yang ditentang oleh golongan pembaharuan seperti Martin Luther pengasas Protestan. Ia hanya kesempatan yang digunakan oleh golongan tertentu mengaut kekayaan atas nama agama. Malangnya, ada yang melakukan hal ini dalam masyarakat dan mendakwa kononnya ini amalan ataupun keizinan yang diberikan oleh al-Imam as-Syafie r.h. Sedangkan imam yang mulia itu hidup dalam penuh kewarakan dan kezuhudan. Sama sekali tidak memakan harta orang lain dengan menggunakan nama pahala Tuhan. Pendustaan seperti ini merupakan dosa yang besar.
Sila klik pada imej untuk paparan penuh.
Guna Nama Orang Lain
Dosa pendustaan yang berikutnya adalah menyandarkan sesuatu perkataan ataupun perbuatan kepada pihak lain selain dari yang disebutkan di atas. Kadar dosa itu diukur dengan kesan yang diterima oleh pihak yang didustai. Ia kadang-kala boleh mencetuskan permusuhan dan salahfaham. Ini termasuk dalam dosa zalim, dusta dan konspirasi mengajak pihak lain berkongsi kejahatan. Firman Allah dalam Surah an-Nur (maksudnya)
“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian”.
Maka, sempena Ramadan pastikan kita berjaya melepaskan diri dari dosa pendustaan ini. Demikian juga selepas Ramadan kita tidak akan menceburkan diri dalam dosa-dosa besar ini.
Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog
- Mohd. Asri Zainul Abidin's profile
- 126 followers
