Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog, page 277

July 25, 2012

Memelihara Kemuflisan Pahala Ramadan

MEMELIHARA KEMUFLISAN PAHALA RAMADAN

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Puasa sebenarnya satu latihan (tarbiyah) dalam hidup muslim. Ia seperti sebuah institusi (madrasah) latihan yang bertujuan membentuk disiplin para peserta. Bukan sekadar untuk diamalkan ketika berkursus sahaja, tetapi untuk dibawa ke dalam kehidupan sebenar selepas kursus. Demikian juga haji dan umrah. Seseorang yang sedang berada dalam ibadah-ibadah ini disuruh mematuhi pantang larang (taboo) tertentu. Maka seseorang yang berpuasa, ataupun berada dalam ihram haji dan umrah tidak boleh bertengkar dalam perkara yang sia-sia, tidak boleh mencerca, tidak boleh mengucapkan perkataan yang buruk dan lain-lain.



 


Mendisiplin Diri


Walaupun perkara-perkara itu sememang tidak sepatut dilakukan dalam semua keadaan, namun oleh kerana ramai manusia yang gagal mematuhi arahan Allah tersebut, maka setiap tahun dalam bulan Ramadan muslim dimasukkan ke dalam pusat latihan (tarbiyah) Ramadan untuk mereka kembali menghayati disiplin tersebut. Ia satu program latihan ilahi (tarbiyah rabbaniyyah/divine training). Demikian juga bagi mereka yang menunaikan haji dan umrah. Namun, tempoh Ramadan lebih panjang dari haji dan umrah. Satu latihan Ilahi selama sebulan bagi membolehkan muslim berdisplin dalam menjalani kehidupan sebelas bulan yang lain. Muslim diajar dalam tempoh latihan ini untuk menjaga tindakannya demi memelihara pahala ibadahnya. Jika dia gagal, dia akan kehilangan pahala dan kehalusan jiwa mendekati Allah.


Sabda Nabi s.a.w bersabda:


“Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi‐Ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad ditangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia merasa gembira dengan puasanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


 


Kehilangan Pahala


Kehilangan pahala adalah sesuatu yang amat merugikan. Jika kita faham betapa berertinya pahala bagi seorang insan yang akan bertemu Tuhan, kita akan dapat menilai besarnya erti pahala. Pahala membawa ke syurga, sementara dosa membawa ke neraka. Jika puasa itu diandaikan sebagai satu pekerjaan dan pahala sebagai gajinya, maka perlanggaran pantang larang itu sebagai pengurangan atau pemotongan gaji. Namun pahala lebih bererti dari gaji dalam kehidupan duniawi ini. Ramai orang yang beramal dalam dunia ini pulang kepada Allah pada Hari Kiamat kelak dalam keadaan muflis kerana kehabisan pahala amalan disebabkan dosa-dosanya kepada orang lain.


Nabi s.a.w bersabda:


“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).


 


Pelihara Lidah


Lidah adalah punca terbesar kita kehilangan pahala. Puasa jika dapat mendidik lidah kita dari mencerca, dusta, menuduh dan memaki hamun orang lain, maka itu satu kejayaan yang besar. Manusia yang beradab tidak mengeluarkan kata-kata kesat dari mulutnya. Dia mungkin tegas, pedas dan tajam penghujahannya, tetapi tidak dusta, kesat dan buruk perkataan. Muslim yang baik tidak menzalimi orang dengan lidah dan anggotanya, samada pada bulan Ramadan, ataupun selain Ramadan. Lebih buruk lagi jika ada yang memakai ‘jenama ustaz’ memaki orang dalam ceramahnya. Apatahlagi dalam masjid ataupun di bulan Ramadan. Sangat hina dan jelek sekali. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.



Ramadan mendidik kita menjaga perkataan. Ini termasuklah antara pasangan suami isteri. Ada orang yang memelihara lidahnya dari memaki orang lain, tetapi tidak kepada isterinya. Padahal kepada isteri lebih patut dijaga perkataan kerana dia seorang muslimah dan ada perintah-perintah khusus dalam al-Quran dan as-Sunnah untuk menjaga hubungan dengannya. Maka peliharalah pahala kita dalam Ramadan dan luar Ramadan!


* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 25, 2012 02:58

July 24, 2012

Puasa Dan Adab Makan

PUASA DAN ADAB MAKAN

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Apabila kita menyebut Ramadan, maka tidak boleh dipisahkan dari pelbagai jemputan berbuka puasa sepanjang bulan ini. Amalan menjemput orang berbuka, ataupun menyediakan makanan untuk mereka yang berpuasa merupakan satu amalan yang mulia yang digalakkan dalam sunnah Nabi s.a.w. Walaupun secara umumnya menjamu orang lain makan merupakan amalan yang digalakkan dalam hadis, namun menjamu orang berbuka puasa lebih banyak lagi ganjarannya. Ini seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w:


“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut” (Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban menilainya sahih).


Justeru itu golongan salaf begitu bersungguh-sungguh menjamu makan untuk orang yang berbuka puasa. Amalan ini juga, Alhamdulillah hidup dalam masyarakat kita hari ini.



Islam satu agama yang bertamadun. Ia mengajar kehalusan budi dan pekerti, termasuklah ketika waktu makan dan minum. Islam bukan sahaja memerintah kita memakan yang halal, Islam juga mengajar etika ketika makan. Maka, bulan puasa ketika kita berbuka puasa kita sebenarnya sedang menghayati amalan sunnah. Seperti mana puasa itu sunnah, berbuka (iftar juga) sunnah. Maka apabila sedang mengamalkan sunnah berbuka puasa seperti berbuka dengan rutab ataupun tamar, janganlah pula kita lupa adab-adab makan yang lain.


Antara adab makan yang ditegaskan oleh Islam ialah memulakan dengan bismillah kemudian makan dan minum dengan tangan kanan. Hal ini seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w kepada Umar bin Abi Salamah waktu dia hendak makan, ketika itu dia masih kecil:


“Wahai budak! Sebutlah nama Allah, makan dengan tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu.”( al-Bukhari dan Muslim).



Bismillah


Makanan yang kita makanan adalah kurniaan Allah semata. Makanan boleh terhalang dari menjadi rezeki kita bukan sahaja disebabkan kita tiada kemampuan membelinya, tetapi juga mungkin disebabkan penyakit ataupun halangan yang lain. Betapa ramai orang kaya yang tidak mampu makan sekalipun mampu membeli. Maka sebagai tanda ingatan kita atas kurniaan Allah, maka sebutlah namaNYA ketika makan. Juga bergantunglah segala harapan dan kekuatan dengan namaNYA apabila makan. Justeru kita bismillah bererti ‘dengan nama Allah daku makan ataupun minum’. Kita mengambil kekuatan dalam hidup ini daripadaNYA.



Tangan Kanan


Makan dengan tangan kanan adalah adab makanan yang paling zahir dalam majlis makan muslim. Ia lambang yang nyata dan adab yang tertonjol. Dalam hadis lain baginda menyebut:


“Apabila seseorang kamu makan, makanlah dengan tangan kanannya. Apabila dia minum, minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kiri” (Riwayat Muslim).


Hadis ini hendaklah difahami di sudut spiritualnya. Baginda bercakap di sudut spiritual yang hanya dapat difahami oleh orang yang menghayatinya. Sikap anti-syaitan diajar oleh Islam sehingga kita disuruh berbeza dengannya dalam segala cara, termasuk cara makan.

Makan ataupun minum dengan tangan kiri adalah amalan syaitan. Islam menyatukan budaya makan dengan menjadikan tangan kanan sebagai adab makan yang jelas kelihatan bagi orang muslim.


Malangnya, masih ada yang makan ataupun minum dengan tangan kiri. Ini termasuk mereka yang menggunakan garpu (folk) untuk menyuap lauk ataupun makanan lain ke mulut. Juga mereka yang minum tangan kiri kononnya kerana tangan kanan ada bekas makanan. Kesemuanya ini amalan syaitan.



Berdoa Untuk Pemberi Makanan


Sikap berterima kasih amatlah ditekankan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:


“Sesiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia, dia tidak tahu berterima kasih kepada Allah” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi, bertaraf sahih).


Maka kita juga mesti demikian apabila mendapat jemputan. Kita disunnahkan berdoa untuk pemberi makan dan berterima kasih kepadanya. Dalam hadis


“baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menilainya sahih).



Mengikut Kadar


Setiap perkara dalam Islam diajar agar kita mengambil dengan kadarnya. Demikianlah makan dan minum. Apatahlagi dalam bulan Ramadan yang selepas berbuka kita akan bersolat dan beribadah yang lain. Juga, menjadi adab di hadapan orang ramai dan dalam majlis makan untuk kita tidak menunjukkan sikap gelojoh dan tamak. Makan dan bersederhanalah bagi kadar makanan yang diambil. Sabda Nabi s.a.w :


“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”(Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).


* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 24, 2012 07:00

Puasa Mendidik Keikhlasan Jiwa

PUASA MENDIDIK KEIKHLASAN JIWA

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Penyakit yang terbesar dalam jiwa insan ialah hati nurani yang tidak ikhlas dengan perbuatannya. Dalam dunia yang penuh kepura-puraan, tujuan asal perbuatan seseorang sering tidak sama dengan apa yang zahir dari tindakannya. Jika dia bersedekah, zahirnya dia ingin membantu mereka yang keperluan, tetapi di sudut jantung hatinya kadang-kala dia inginkan pujian ataupun balasan tertentu. Jika dia seorang pemimpin, maka keadaan itu lebih buruk apabila amalan baik seperti derma dan pemberian itu mempunyai hasrat yang tersembunyi seperti mengharapkan undi ataupun sokongan. Hasilnya, hubungan jiwanya dengan Allah yang mensyariatkan amalan yang baik itu terputus. Ia kemudiannya boleh bertukar menjadi satu penyakit jiwa yang parah jika hasrat yang diingini iaitu pujian ataupun sokongan manusia itu gagal diperolehi. Di sebalik itu, ia juga menjadi kerugian besar kepada dirinya kerana amalan yang baik itu yang kadang-kala memerlukan usaha yang kuat seperti amalan derma, tidak memperolehi ganjaran pahala di sisi Allah pada Hari Akhirat kelak.



 


Riyak


Oleh kerana itu ikhlas amatlah penting dalam setiap amalan. Bahkan ia menjadi penentu utama sesuatu amalan itu diterima ataupun ditolak di sisi Tuhan. Tanpa ikhlas, manusia akan memanipulasikan amalan baik dengan tujuan yang tidak baik. Bahkan betapa banyak orang yang menzahir keikhlasan, ketaqwaan dan kezuhudan tetapi mereka sebenarnya tidak ikhlas, tiada taqwa dan tidak bertujuan zuhud. Apa yang tersemat dalam jantung hati mereka tidak sama dengan apa yang mereka zahirkan. Sehingga sesetengah golongan sufi yang berpakaian selekeh untuk menzahirkan sifat zuhud tetapi itu sebenarnya untuk menunjuk-nunjuk. Inilah yang dikritik oleh al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) dengan menyatakan:


“Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini sebahagian dari riyak (menunjuk-nunjuk)”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).


Justeru itu, Islam memberikan pelbagai peringatan agar insan jujur dengan amalan baiknya. Firman Allah (maksudnya):


“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar” (Surah al-Baiyyinah: 5).


Islam juga mengingatkan bahawa ketidak ikhlasan adalah sejenis syirik yang tersembunyi. Sedangkan syirik itu adalah dosa yang paling besar dalam agama. Jika sampai mempersekutukan kebesaran Allah, boleh merosakkan akidah seseorang muslim. Nabi s.a.w menyebut:


“Syirik yang tersembunyi itu ialah apabila seseorang beramal untuk dilihat oleh orang lain” (riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis hasan).


 


Penawar


Untuk mengubati penyakit jiwa ini, maka Allah mensyariatkan pelbagai penawar. Antara penawar yang paling hebat ialah puasa. Ini kerana amalan puasa sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata. Ia bukan satu perbuatan yang dapat dikesan melalui pergerakan insan seperti solat, sedekah dan selainnya. Seseorang mungkin bersolat ataupun bersedekah ataupun selainnya dengan kelihatan penuh ikhlas, tetapi tidak. Sedangkan puasa pula satu amalan tanpa satu pergerakan khusus, di mana seseorang menahan diri dari makan, minum dan perbuatan yang membatalkan puasa. Ia tidak kelihatan di mata manusia. Ramai orang kita lihat tidak makan di hadapan kita, tetapi itu bukan semestinya menunjukkan dia berpuasa. Kita tidak tahu seseorang itu berpuasa ataupun tidak, melainkan jika dia sendiri yang memberitahu. Kita juga tidak tahu apakah dia bercakap benar ataupun bohong bahawa dia berpuasa. Seseorang mungkin boleh menyatakan dia berpuasa tetapi sebenarnya dia tidak berpuasa. Dia mungkin makan, minum secara sembunyi. Hanya Allah Yang Maha Tahu.


Justeru, tiada siapa pun tahu apakah seseorang itu benar-benar berpuasa dengan segala kepatuhannya melainkan Allah sahaja. Mungkin kita sangka seseorang tidak berpuasa dilihat pada zahir tenaganya, tetapi dia sedang berpuasa dengan penuh kepatuhan. Mungkin seseorang yang lain datang berbuka puasa bersama kita, sedangkan dia tadi makan secara sembunyian. Ternyata, tiada siapa yang boleh menilai puasa seseorang melainkan Allah. Untuk itu Allah berfirman dalam hadis qudsi:


“Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).


Inilah antara hikmah besar berpuasa. Ia mendidik ikhlas. Jangan hairan jika ada orang yang jahat perangai lagi enggan berubah, tetapi memberitahu kita dia berpuasa. Kita tidak tahu dia berpuasa ataupun tidak. Setiap orang boleh mendakwa. Sukar untuk kita nilai dakwaannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu. Namun, jika seseorang itu benar-benar berpuasa kerana Allah, itu adalah gambaran kepada keikhlasan yang ada dalam hidupnya. Jika dia boleh berdisiplin dengan puasanya, ertinya perasaan takutkan Allah itu ada dalam jiwanya. Puasa yang ikhlas akan melahirkan manusia yang ikhlas dalam kehidupannya.


* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 24, 2012 04:00

July 23, 2012

Puasa Sama, Pahala Berbeza

PUASA SAMA, PAHALA BERBEZA

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Ramadan adalah bulan ibadah. Suasana Ramadan itu sebenarnya berada dalam jiwa setiap yang beribadah. Tahap perasaannya tidak sama, berdasarkan tidak samanya kadar ibadah kita. Di samping setiap yang beribadah tidak sama nilainya di sisi Allah, walaupun mungkin sama pada jenis dan bilangannya. Seseorang yang bersolat lapan rakaat terawih bersama sahabat-sahabat tidaklah semestinya setiap mereka mendapat ganjaran pahala yang sama. Ini kerana di antara mereka sudah pasti ada perbezaan pada kadar khusyuk, ikhlas dan kesusahan yang dialami dalam menunaikan ibadah itu.


Seorang peniaga yang meninggalkan perniagaan kerana ingin bersolat tentu tidak sama pahala mereka yang memang mempunyai masa lapang untuk bersolat. Begitulah juga perbezaan-perbezaan yang lain. Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNYA.



 


Pahala Atas Kesusahan


Hal ini disebut oleh para ulama Usul seperti al-Imam ‘Izzu al-Din ‘Abd al-Salam (meninggal 660H) dalam Qawa’id al-Ahkam. Beliau menjelaskan perbezaan pahala dua amalan yang serupa itu bukanlah perbezaan pahala amalan itu sendiri, sebaliknya tambahan pahala itu diperolehi disebabkan kesusahan yang ditanggung. Beliau membuat contoh seseorang yang mandi wajib pada musim sejuk dan seorang yang mandi wajib pada musim panas. Dari segi mandi, keduanya mendapat pahala yang sama disebabkan sifat mandi itu dari sudut syarat, rukun dan sunahnya itu sama. Namun yang mandi pada musim sejuk mendapat pahala lebih disebabkan beban yang lebih berat yang terpaksa ditanggung.


Bukannya perbezaan pahala itu pada mandi tersebut, tetapi kepada beban sampingan yang terpaksa ditanggung. Demikianlah kata beliau mengenai mereka yang pergi ke masjid, haji, jihad dan seumpamanya. Pahala diberikan bukan kerana perbezaan tujuan, tetapi kerana perbezaan jalan yang terpaksa ditempuh.


 


Demikianlah Puasa..


Begitulah puasa, walaupun dari segi puasa, tujuan sama. Juga syarat, rukun dan sunahnya yang dilaksanakan itu sama. Namun, pahala berbeza bukan disebabkan perbezaan pahala puasa, tetapi perbezaan bebanan yang ditanggung oleh seseorang yang melaksanakan tanggungjawab tersebut. Maka, kita hendaklah tahu bahawa setiap kesusahan yang ditanggung oleh pengamal ibadah itu, ada hitungan pahala di sisi Allah. Tiada siapa yang pernah Allah rugikan amalan baiknya. Ini seperti mana yang Allah tegaskan dalam al-Quran: (maksudnya)


“dan sabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Hud, ayat 115)


Keadilan Allah dalam hal ini menjadikan setiap hamba itu mendapat ruangan rahmat yang tersendiri. Seorang yang berpuasa dengan penuh kepayahan disebabkan tugasan harian yang berat, tentu mendapat pahala yang lebih dari seorang yang duduk berehat di pejabat yang selesa, ataupun dalam rumah yang berhawa dingin. Seorang yang bersusah payah mendapatkan sesuap makanan untuk berbuka puasa, ataupun menjamu orang berbuka puasa tentu mendapat pahala tambahan melebihi mereka yang mewah harta dalam berbuka puasa ataupun menjamu orang berbuka puasa.


Demikian seorang yang berpuasa dalam suasana penuh cabaran seperti cabaran di tempat kerja yang di kelilingi mereka yang tidak berpuasa ataupun di negeri yang suasana amat mencabar untuk berpuasa. Berpuasa pada hari yang panas lebih beban dari berpuasa pada hari yang sejuk. Maka, pahala tambahan atas bebanan puasa juga ada diperolehi pada yang berkenaan. Seseorang yang dicabar perasaannya oleh pihak tertentu pada hari dia berpuasa, tetapi dia sabar demi menjaga puasa tentu mendapat pahala yang lebih disbanding mereka yang puasa dalam keadaan tenang dan selesa. Kesemua hal tersebut ada hitungannya di sisi Allah. Maka seseorang hamba Allah hendaklah tahu bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan apa sahaja pengorbanan keranaNYA.


Cabaran dalam berpuasa yang ditempuhi dengan jaya akan menjadikan jiwa insan yang berpuasa itu lebih khusyuk dan tinggi nilai spritualnya. Puasa dalam keadaan tiada rasa dan lapar dan ujian juga ada nilai spiritualnya, namun tentu tidak sama dengan yang mengharungi ujian Allah dalam melaksanakan ibadah tersebut. Setiap individu menerima tingkatan spiritualnya yang tersendiri. Maka, tiada siapa yang tahu siapakah yang lebih tinggi kedudukan puasanya di sisi Allah. Hanya Allah Yang Maha Tahu tentang kedudukan hamba-hambaNYA.


* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 23, 2012 07:00

Puasa Bukan Budaya Bangsa

PUASA BUKAN BUDAYA BANGSA

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Sebanyak 89 kali al-Quran memanggil dengan seruan ‘Ya ayyuha al-lazina amanuu’ ataupun ‘Wahai mereka yang beriman’. Panggil itu tidak menyebut nama khusus, tetapi menyebut nilai yang dimiliki oleh pihak yang diseru. Apabila Allah memanggil ‘wahai mereka yang beriman’ bererti sesiapa sahaja yang merasai dia tergolong dalam kumpulan tersebut terpanggil untuk mendengar arahan dan mematuhinya.


Sama keadaannya apabila kita memakai pakaian berwarna tertentu, lalu ada orang memanggil ‘wahai semua yang memakai baju putih!, umpamanya. Sudah pasti kita akan menoleh kepada yang memanggil dan melihat diri kita semula apakah kita yang dimaksudkan itu. Setelah kita sedar bahawa kita memang memakai putih dan kita termasuk dalam seruan itu maka kita pasti akan memberikan perhatian. Apatahlagi jika panggilan itu dari pihak yang berjasa kepada hidup kita, yang kita sanjungi dan hormati. Cuma menjadi masalah jika kita tidak sedar bahawa kita ini memakai baju putih. Ataupun, kita sedar bahawa baju kita tidak putih, maka seruan itu menjadi tiada berkaitan dengan kita.



 


Panggilan Iman


Apabila Allah menyeru dalam al-Quran dengan panggilan ‘Wahai mereka yang beriman!’ maka kita pun memerhatikan semula diri kita. Apakah kita ini termasuk dalam kalangan tersebut ataupun tidak. Setelah kita pasti bahawa kita termasuk, maka kita pun menunggu arahan yang seterusnya. Melainkan jika kita merasakan yang kita tidak termasuk. Ataupun, jika terlupa bahawa kita ini tergolong dalam golongan itu. Jika sampai terlupa, mungkin sudah terhakis banyak ciri tersebut.


Antara yang Allah seru dengan panggilan “Wahai mereka yang beriman” ialah dalam arahan berpuasa pada Bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)


“Wahai mereka yang beriman! diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”. (Surah al-Baqarah 183).


Inilah titik tolak puasa setiap mukmin.


Setiap mukmin berpuasa kerana panggilan ini. Mereka berpuasa kerana merasakan panggilan itu membabitkan diri mereka. Mereka termasuk dalam seruan tersebut. Tidak kerana orangramai berpuasa, tidak kerana ia suatu budaya yang diamalkan (practised culture) yang sudah menjadi kebiasaan yang dilakukan tanpa sedar tentang hakikat dan nilai. Ia tidak sama seperti membuat ketupat dan rendang menjelang hariraya. Itu budaya sesuatu bangsa yang diamalkan secara turun temurun tanpa perlu berfikir sebabnya. Ia sekadar memeriah suasana hariraya bagi masyarakat Melayu. Sementara masyarakat lain mempunyai budaya yang pula. Namun puasa tidak demikian. Ia bukan budaya, tetapi ia satu arahan ibadah dari Maha Agung. Jika ditakdirkan kita berada di suatu tempat ataupun zaman yang tiada siapa pun yang berpuasa, kita tetap akan berpuasa selagi mana kita mengiktiraf bahawa kita ini beriman kepada Allah.


 


Rentas Budaya


Jenis makanan dan hidangan semasa berbuka puasa mungkin ada kaitan dengan budaya sesuatu bangsa. Selepas sunat memakan rutab ataupun tamar, setiap bangsa mempunyai makanan mereka yang tersendiri. Di sudut menu makan, orang Melayu mungkin lain dari orang Cina dan India, Arab dan selainnya. Demikian juga bangsa-bangsa yang lain. Namun arahan, peraturan dan ibadah sepanjang Ramadan itu tidak berpaksikan budaya bangsa, ia merentasi setiap budaya dan setiap bangsa. Ia untuk manusia yang berpaksikan Tuhan sekelian alam (Allah centric)


Kemudian, betapa bahagianya kita apabila merasakan seruan langit yang terkandung dalam Kitab Allah al-Quran membabitkan diri kita. Betapa bangga untuk merasakan apabila Allah memanggil ‘wahai mereka yang beriman’ diri kita ini termasuk dalam panggil itu. Bayangkan, betapalah ruginya mereka yang dipinggirkan dari senarai panggilan yang mulia. Setiap orang berbangga apabila ada pihak tertinggi lagi mulia memasukkan namanya dalam senarai yang dipuji. Betapa kita merasa rendah diri dan kecewa jika ketika orang tersenarai dalam panggilan yang dipuji, kita tidak dimasukkan. Demikian dalam menyahut seruan berpuasa ini, ia satu kebahagiaan. Ia menjadi satu ke‘izzah’an (kemuliaan) sebagai hamba Allah yang mukmin.


Di samping itu, seruan tersebut juga telah menghubung kita dengan seluruh manusia lain yang memakai sifat yang sama iaitu ‘iman’. Di mana sahaja manusia yang kita temui, tanpa mengira budaya, bangsa, tempat dan keturunan akan berpuasa seperti kita. Mereka menyahut seruan yang sama. Seruan yang tidak bercirikan keturunan, bangsa, tempat dan budaya, sebaliknya hanya atas sifat yang sama iaitu iman. Ia merentasi segala sempadan keturunan, budaya dan tempat. Maka dengan itu menjelang Ramadan di mana sahaja kita berada, kita melihat mereka yang sama dengan kita di sudut keimanan kepada Allah menyahut seruan ini. Dengan persamaan ciri, ia dapat menautkan cinta dan kasih sesama mukmin. Pergi berada di mana sahaja di bumi ini, jika ada yang mukmin nescaya kita ada dapati dia berpuasa seperti kita. Maka kasih kita pun tertumpah kepadanya tanpa kita membataskan keturunan, budaya dan tempat!


* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 23, 2012 04:00

July 22, 2012

Menghayati Sunnah Bersahur

MENGHAYATI SUNNAH BERSAHUR

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Puasa bukan satu penyeksaan. Islam mahu muslim berpuasa, tapi dalam masa yang sama Islam tidak mahu menjadikan bukan Ramadan bulan yang mengujudkan suasana longlai dan lemah umat Islam. Sebaliknya, ia bulan keinsafan yang cuba menjadikan muslim merasai kesusahan mereka yang tiada mempunyai makanan dan betapa besarnya erti mendapat makanan. Di samping puasa merupakan ibadah yang dalamnya ada amalan-amalan yang mana muslim di suruh mencontohi Nabi mereka s.a.w.



Antara sunnah utama puasa ialah bersahur. Makan di penghujung malam, sebelum menjelang waktu subuh bukan satu kebiasaan kebanyakan manusia. Namun, atas titah perintah agama muslim melakukannya menunaikan sunnah Nabi s.a.w dan padanya ada hikmah yang pelbagai untuk seseorang yang berpuasa. Ini termasuk memberikan kekuatan untuknya pada siang hari, juga melatihnya bangun di waktu sebelum fajar untuk beribadah kepada Allah. Ini disebut dalam al-Quran: (maksudnya)


“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).


Dalam hadis pula Nabi s.a.w menyebut:


“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Maka bersahur itu membawa kita bangun pada waktu doa dimustajabkan dan keampunan diberikan. Moga ia menjadi kebiasaan yang berterusan dalam hidup. Maka tidak hairan jika Nabi s.a.w berpesan:


“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Keberkatan sesuatu yang sangat penting dalam hidup. Kehidupan ini jika hanya bergantung kepada nilai-nilai kebendaan semata akan menemui pelbagai kusut masainya. Keberkatan membawa cahaya kehidupan untuk insan mendapat limpah kurniaan Tuhan melebihi kadar kebendaan ataupun kehidupan materialistic yang dirasainya. Sahur antara punca lahirnya keberkatan. Bagaimana? Allah Maha Pemberi dengan cara yang dikehendakiNYA diluar dari andaian kebanyakan kita.


 


Bila Sahur?


Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi s.a.w. Baginda Nabi s.a.w melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk waktu subuh. Kata Zaid bin Thabit:


“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu. Ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda. Kata isteri baginda ‘Aishah r.aha:


“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam hadis Muslim pula, baginda bersabda:


“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.


Hal ini selaras dengan kenyataan al-Quran: (maksudnya):


“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).


 


Dengan Apa Bersahur?


Tujuan sahur bukan menyibukkan diri dengan hidangan. Makanan sahur memadai sesuatu yang memberikan kekuatan kepada orang yang akan berpuasa esok harinya. Kesempatan sahur patut diambil untuk berdoa dan beristighfar setelah makan dan minum apa yang dapat memberi kekuatan pada besok hari. Sebab itu dalam hadis disebutkan tamar sebagai pilihan sahur disebabkan kandungan tamar yang baik untuk tenaga orang yang berpuasa. Sabda Nabi s.a.w:


“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).


Jika tiada tamar, seseorang boleh sahaja bersahur dengan apa yang memberikan kekuatan untuk berpuasa pada hari tersebut. Mungkin juga ada orang yang tidak gemar tamar, ataupun tidak sesuai tamar untuk kesihatannya, maka agama itu luas untuk diamalkan. Apa yang tidak dapat diamalkan secara literal, boleh dihayati secara maksud ataupun kehendak (maqsad) syarak di sebalik sesuatu galakan ataupun perintah.


* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 22, 2012 07:00

Bagaimanakah Memustajabkan Doa Ramadan?

BAGAIMANAKAH MEMUSTAJABKAN DOA RAMADAN?

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Doa! Semua insan inginkan agar doanya mustajab. Hidup tanpa doa adalah satu kemusnahan. Banyak perkara yang kita perlu mohon kepada Allah. Bukan sahaja nikmat atau cita-cita yang diidamkan pada masa hadapan, namun kita juga perlu memohon agar tidak dihilangkan nikmat dan cita yang telah dicapai. Insan sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya. Kehidupan ini jauh lebih besar dari kudrat seorang insan untuk dia mengawalnya. Betapa ramai para penguasa yang merasai diri mereka hebat, tetapi akhirnya tumbang dan tewas. Betapa canggih dan teguh kapal ‘Titanic’ yang bina, namun tenggelam selepas beberapa hari belayar. Siapakah yang menguasai alam?! Allah, Allah dan Allah. Awal dan akhir. Zahir dan batin.



Peranan Jiwa


Semakin dekat insan dengan Allah, semakin mustajab doanya. Kemustajaban doa sangat berkait dengan kekusyukan jiwa hamba yang berdoa. Semakin tertumpu perasaannya kepada kebesaran Allah, semakin pantas doanya dimustajabkan. Sebenarnya, bukannya susah untuk berdoa, tetapi yang susah ialah mencari jiwa yang khusyuk yang menyebabkan doa mustajab. Ramai orang tersalah sangka dalam hal ini. Mereka hanya tertumpu kepada waktu, ungkapan dan tempat berdoa tetapi melupai perkara asas iaitu kekhusyukan diri insan yang berdoa itu. Maka jangan hairan jika ada insan yang tidak dimustajabkan doanya sekalipun dia berada di Mekah, ataupun berada pada bulan Ramadan. Walaupun unsur tempat yang mustajab ataupun waktu mustajab telah dipenuhi, namun dia gagal memenuhi perkara yang asasi iaitu jiwa yang khusyuk yang benar-benar memohon dengan penuh erti seorang hamba. Tumpuan perasaan kepada Tuhan dengan penuh kerendahan diri dan harapan. Jika unsur itu dipenuhi, kemudian diikuti dengan tempat ataupun waktu yang mustajab maka doa menjadi amat mustajab.


Setelah kita memahami hal ini, maka kita cuba memahami bahawa Allah menjanjikan untuk memustajabkan doa mereka yang berpuasa. Ini kerana, puasa pada bulan Ramadan dapat membentuk jiwa yang khusyuk. Ramadan pula waktu yang Allah sayang disebabkan bulan pilihanNYA dan suasana hamba-hambaNYA taat kepadaNYA. Maka Allah setelah menyebut tentang kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan, maka Allah ikuti dengan janjiNYA di mana DIA berfirman: (maksudnya):


“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah: 186).


 


Kesucian Nurani


Setiap manusia yang hidup pada waktu ini akan memasuki Ramadan. Muslim dan juga bukan muslim. Mereka yang berpuasa dan juga mereka yang bermaksiat. Apakah setiap orang dimustajabkan doa mereka pada bulan Ramadan? Sudah pasti bukan demikian fahaman yang betul. Doa dimustajabkan apabila insan itu berpuasa. Puasa itu mendatangkan pahala. Puasa itu juga mendidik rohani agar tunduk kepada kehendak Allah. Puasa menyuburkan keikhlasan dalam jiwa. Lantas puasa membentuk kekhusyukan yang luar biasa. Dengan itu doa orang yang berpuasa dimustajabkan.


Sesiapa yang berpuasa dalam ertikata yang sebenar akan dapat merasai perbezaan jiwanya. Lebih mendalam dia menghayati puasanya pada hati, lidah dan tingkah, maka bertambahlah kekhusyukan jiwanya. Bertambah pula sayang Allah kepadanya. Apabila dia berbuka puasa, dia telah menyempurnakan arahan Allah. Sayang Allah melimpah kepadanya. Maka Nabi s.a.w bersabda: Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:


“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka”. (Riwayat Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dll. Sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ahmad Syakir dalam ‘Umdah al-Tafsir menilainya sahih).


Al-Munawi menukilkan satu pendapat yang menyebut: “Dikhususkan untuk umat ini mengenai doa dalam firman Allah: (maksudnya)


“Berdoalah kepadaKU nescaya AKU mustajabkan untuk kamu” (Al-Ghafir: 60). Itu asalnya untuk para nabi. Kemudian diberikan kepada umat ini apa yang diberikan kepada para nabi a.s. Namun, urusan umat ini bercampur baur disebabkan nafsu menguasai jantung hati mereka maka ia pun terhijablah. Maka, puasa itu mencegah nafsu. Apabila seseorang meninggalkan syahwatnya, maka bersihlah jantung hatinya serta bersinarlah cahaya maka dimustajabkan doa. Maka hadis ini dan yang seumpamanya hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan hak puasa dengan sebenarnya. Dia memelihara lidah, jiwa dan perbuatannya”. (Al-Munawi, Faidh al-Qadir 2/634, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).


Justeru, Ramadan bulan diberkati. Puasa pula menjadikan kita bersih jiwa dan nurani. Gabungan keberkatan bulan dan kebersihan jiwa menjadikan doa kita mustajab. Jika sekadar bulan yang diberkati sedangkan jiwa kita tetap kotor, maka janji Allah ini mungkin tidak untuk kita.


* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 22, 2012 05:51

July 21, 2012

Solat Dulu Ataupun Makan Dulu

SOLAT DULU ATAUPUN MAKAN DULU

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Dalam bulan Ramadan ataupun ketika berbuka puasa, soalan ‘solat dulu ataupun makan dulu’ sering kedengaran.


Ini terutama dalam keluarga yang ada ramai ahli terutama anak-anak yang masih kecil yang dilatih berpuasa. Juga soalan ini kedengaran apabila kita dijemput berbuka puasa di rumah orang lain yang ingin melayan kita.



Makan Dulu


Ada orang menyangka bahawa sekalipun makanan sudah terhidang, yang terbaik itu solat dahulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada yang apabila mereka duduk di keliling hidangan, kemudian bangun meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan oleh sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama. Namun, jika kita merujuk kepada hadis-hadis Nabi s.a.w kita akan dapati penegasan yang sebaliknya. Antaranya hadis daripada Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:


“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).


Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, baginda s.a.w. bersabda:


“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Riwayat di atas juga menambah bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, walaupun beliau mendengar bacaan imam.


Hikmah daripada arahan Nabi s.a.w agar mendahulukan makan ialah agar pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan yang telah kita lihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat tadi. Ini boleh mengganggu kekusyukan solat seseorang. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Ini merangkumi semua solat, bukan khusus pada solat Maghrib sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis-hadis berkaitan:


“Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk”.


Dalam Faidh al-Qadir l-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut bahawa arahan ini merangkumi semua solat dengan katanya:


“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”


 


Salah Faham


Ini bukan bererti kita mengutamakan makan dari solat. Sebaliknya kita makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekusyukan solat. Hal yang sama apabila kita dilarang bersolat dalam keadaan terasa ingin membuang air besar ataupun air kecil. Nabi bersabda:


“Tiada solat (jangan dirikan solat) dalam keadaan makanan terhidang dan dalam keadaan menahan air besar atau air kecil” (Riwayat Muslim).


Ini bukanlah bererti kita menganggap buang air besar dan kecil itu lebih utama dari solat, sebaliknya mendahului kedua perkara itu demi menjaga kepentingan solat.


Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):


“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”


Dengan itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah sunnah Nabi s.a.w. Maka apabila makanan terhidang, ibubapa hendaklah memberikan anak-anak makan terlebih dahulu ketika berbuka, sehingga mereka selesai maka barulah bersolat. Inilah sunnah.


Melakukan susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah dengan kadar yang diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah lalu gagal bersolat dengan sempurna.


 


Tidak Makruh


Di sana ada cara untuk mengelakkan kemakruhan ini, iaitu elakkan menghidangkan makanan terlebih dahulu sebelum solat. Elakkan mata terpandang kepada makanan yang telah dihidangkan. Selepas selesai bersolat barulah dihidangkan. Namun, jika kelaparan itu kuat, bau makanan telah masuk ke hidung, sehingga ingatan kepada makanan sangat kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan terlebih dahulu.


Juga sudah pasti tidak makruh bersolat sekalipun makanan sudah terhidang jika keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana punca (‘illah) larangan bersolat semasa makanan terhidang ialah agar tidak mengganggu kusyuk. Jika seseorang memang tiada keinginan kepada makanan, sudah pasti tidak menggangu kusyuk sekalipun makanan sudah terhidang.


* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 21, 2012 07:00

Berpuasa Tapi Bersugilah

BERPUASA TAPI BERSUGILAH

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Kebersihan adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam sepanjang masa. Ini khususnya apabila kita beribadah kepada Allah. Juga apabila kita bertemu manusia lain. Islam memerintahkan kita menjaga hubungan baik dengan Allah, demikian juga kita menjaga hubungan baik sesama manusia. Kebersihan, wangian dan penampilan yang baik sesuatu yang menunjukkan penghormatan dan penghargaan kita kepada pihak yang ingin kita bertemu dengannya. Ini adalah tabiat manusia.


Justeru itu, semasa soat kita diwajibkan menjaga kebersihan dan menutup aurat, juga disunatkan berwangian. Demikian ketika berjumpa dengan manusia. Pakaian yang sesuai dan memakai wangian adalah sunnah dalam bermasyarakat. Mereka yang mempunyai bau busuk dilarang datang ke tempat perhimpunan awam khususnya solat berjemaah. Sebab itu tidak dibenarkan sesiapa yang memakan bawang putih ataupun makanan yang lain yang mengeluarkan bau busuk dari pemakannya menghadiri solat berjemaah. Ini kerana Islam ingin mengelakkan kita menyakitkan orang lain dan menimbulkan kebencian sesama manusia.



Galakan Gosok Gigi


Islam menggalakkan bersugi (gosok gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi s.a.w:


“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda:


“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatahlagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.


Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun neutrality agama ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat. Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah. Apatahlagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.


 


Bukan Hujah


Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi s.a.w bersabda:


“Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).


Apapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut:


“Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).


Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!


* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 21, 2012 03:34

July 20, 2012

Mencari semangat Ramadan

MENCARI SEMANGAT RAMADAN

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Siyam ataupun puasa dalam bahasa Melayu bermaksud menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya dalam waktu yang ditetapkan. Dari segi makan minum, perbezaan bulan Ramadan dibandingkan selainnya ialah bulan Ramadan muslim dilarang makan dan minum serta perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Ertinya, syiar ataupun suasana Ramadan bukanlah suasana pesta makan, sebaliknya ia adalah suasana muslim tidak makan melainkan hanya pada waktu malam. Namun, keadaan yang sebaliknya kadang-kala berlaku dalam kehidupan kita dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Jika seseorang bukan muslim yang tidak tahu menahu tentang Ramadan, datang ke negara kita dan melihat kemeriahan makan dan minum yang wujud, lalu kita memberitahu dia bahawa ini bulan puasa bagi muslim, tentu sukar dia mempercayainya. Ertinya, dia akan gagal melihat suasana puasa yang sebenar.



Jangan Berlebihan


Kita seakan mengujudkan satu keadaan yang mengurangkan ataupun melonglaikan syiar ataupun semangat Ramadan (ruh Ramadan/the spirit of Ramadan) yang patut dibina. Orang berpuasa yang tidak makan dan minum, bukan kerana dia sakit sehingga tidak dapat makan dan minum, ataupun kerana ketiadaan makan. Sebaliknya, kerana dia mematuhi arahan Allah. Kita yang berpuasa ini sebenarnya dididik oleh syariat Islam untuk menahan diri melakukan sesuatu yang dilarang sekalipun kita berkemampuan melakukannya. Inilah antara tarbiyyah Ramadan kepada jiwa insani. Maka, semangat ini sepatutnya dibawa terus apabila kita berbuka. Kita makan dan minum dengar kadarnya. Tidak berlebihan. Bukan kerana kita tidak mampu terus makan, ataupun tidak mampu membeli, tetapi kerana mematuhi arahan Allah: (maksudnya)


“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan”. (Surah al-`Araf:31).


Moga semangat ataupun roh Ramadan ini dapat dibawa ke dalam amalan hidup kita. Kita cuba menahan diri dari melakukan larangan Tuhan, sekalipun kita mampu. Bukan kerana tidak berpeluang tetapi kerana roh yang dididik dan nafsu yang ditundukkan. Demikian juga agar kita tidak berlebihan ataupun melampaui batasan yang patut dalam sesuatu perkara. Tidak fanatik. Tidak berlebihan menghukum pihak yang berbeza. Tidak berlebihan dalam kemewahan. Tidak berlebihan dalam hiburan dan seterusnya.


 


Jangan Bid’ah


Demikian juga tidak berlebihan dalam ibadah sehingga terkeluar batasan yang patut, ataupun melakukan bid’ah dalam ibadah. Justeru, kita berpuasa dan berbuka. Sesiapa yang terus ingin berpuasa selepas masuk berbuka dia telah melakukan bid’ah. Dia tidak mendapat pahala sekalipun niatnya baik ingin mendapat pahala. Sebaliknya dia mendapat dosa kerana telah melanggar batasan yang ditetapkan, ataupun kaifiyat (cara) ibadah yang telah Allah tentukan. Dia menokok tambah apa yang tidak ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Seakan ajaran Allah dan RasulNYA itu tidak memadai. Ia seakan sikap tidak puas hati terhadap Islam yang asal.


Demikianlah sepatutnya roh ini dihayati dalam ibadah yang lain agar kekal cara yang asal yang ditunjukkan Nabi s.a.w. Sehingga baginda Nabi s.a.w mengingatkan kepada mereka yang ingin beribadah melebihi kadar yang baginda tunjukkan bahawa dia akan terkeluar dari menjadi pengikut baginda. Lihat reaksi Nabi s.a.w kepada mereka yang berkata:


“Adapun aku, maka akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang lain lagi: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan bernikah selama-lamanya.” Maka Rasulullah s.a.w datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa kepadaNya dalam kalangan kamu. Namun, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia bukan dari kalanganku.” (Riwayat al-Bukhari).


 


Jaga Pahala


Demikian semangat Ramadan juga menuntut untuk kita berusaha menjaga pahala puasa kita agar tidak berkurangan. Demikian sepanjang hidup kita patut berusaha mengelakkan ucapan dan perbuatan yang mengurang pahala. Ini kerana ramai orang yang beramal tetapi kehilangan pahala kerana terbabit dengan dosa terhadap orang lain. Nabi s.a.w mengingatkan kita dalam hadis baginda:


“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).


* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 20, 2012 07:39

Mohd. Asri Zainul Abidin's Blog

Mohd. Asri Zainul Abidin
Mohd. Asri Zainul Abidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mohd. Asri Zainul Abidin's blog with rss.