Pahrol Mohamad Juoi's Blog, page 5
May 12, 2015
PENAWAR UNTUK YANG KECEWA BERCINTA…
May 10, 2015
MELAYU BELUM MATANG BERPOLITIK?
May 7, 2015
REVOLUSI HATI
April 29, 2015
Jagalah Allah, Allah akan menjaga mu!
April 24, 2015
WASIAT SEORANG ISTERI…
March 6, 2015
SAMA ADA BELUM BALIGH, GILA ATAU KAFIR…
February 17, 2015
Cara Mencintai Islam Ialah Dengan Memperjuangkannya
January 30, 2015
TERIMA KASIH GURU KERANA MEROTAN KU
January 7, 2015
BANJIR DOSA YANG MELANDA JIWA
“Bencana ini semua angkara dosa!” katanya tegas. Wajahnya kelihatan seperti orang yang sedang marah. Matanya dibulatkan dan tangannya tergenggam.
“Dosa? Dosa apa? Dosa siapa?” balas lelaki di sebelahnya. Lelaki itu berbaju Melayu biru dan bersongkok hitam.
“Eh, jangan cakap begitu. Macamlah seolah-olah kita tidak berdosa.”
“Bukan begitu, saya cuma ingin kepastian. Apa dosanya? Siapakah yang berdosa?”
“Tentang siapa berdosa saya tidak mahu menyentuhnya secara khusus tetapi tentang dosa memang banyak. Dosa tidak melaksanakan hukum Allah yang wajib. Dosa melakukan larangan-larangan Allah,” balas lelaki berkopiah putih.
Saya yang duduk di tepi tiang masjid itu leka menjadi ‘pendengar’. Hari Ahad usai solat Subuh itu saya habiskan untuk duduk-duduk di masjid menunggu matahari naik. Kuliah Subuh yang sepatutnya diadakan seperti biasa ditangguhkan. Ustaz yang mengajar terlibat dalam misi bantuan mangsa banjir di Pantai Timur.
Sebab Allah Sayang
“Tengok di Acheh dahulu, angkara dosa dilanda Tsunami,” tingkah lelaki berkopiah putih.
“Eh, kalau mahu diikutkan logik, warga Macau, Las Vegas, Bevery Hills lebih banyak dosanya. Kenapa bandar-bandar itu tidak dilanda Tsunami, gempa bumi atau banjir besar?” balas lelaki bersongkok hitam.
Saya senyum dalam diam. Kedua-duanya memang ahli kariah yang ‘regular’ datang berjemaah di masjid. Walaupun kedua-duanya sejak dahulu selalu ‘bertegang leher’ tetapi akhirnya tenang semula.
“Allah sayang akan orang Islam. Didatangkan bencana supaya kembali semula kepada Allah. Yang kafir Allah biarkan dalam nikmat bersama istidraj. Makin senang makin leka, makin berdosa.”
“Dari manakah awak tahu yang seseorang itu Allah benci atau Allah sayang? Bagi saya orang di bandar-bandar tersebut bukan orang kafir, mereka belum Islam. Allah tidak membenci orang bukan Islam.”
“Apakah bezanya antara orang kafir dengan bukan Islam? Bagi saya sama sahaja. Yang beza, hanya kafir harbi dan kafir zimmi.”
“Bagi saya memang berbeza. Orang kafir ialah orang yang menentang Islam setelah diseru kepadanya secara lisan dan perbuatan. Manakala orang bukan Islam ialah orang yang belum pun diseru kepada Islam. Saya rasa, mereka belum pun diseru kepada Islam, jadi bagaimana mereka boleh dituduh menentangnya? Label kafir hanya layak bagi yang menolak dan menentang setelah seruan dakwah dilakukan terhadap mereka.”
“Sudahpun dibuat. Mereka memang penentang. Sekarang era ICT, tak akan mereka tak dapat maklumat dan ilmu tentang Islam? Tak sampai seru? Maaflah, tak logik.”
Diam seketika. Mungkin sama-sama mencari ‘peluru’ untuk terus berhujah.
Saya yang dari tadi menjadi pendengar sudah bertukar menjadi ‘pemikir’. Input-input yang diluahkan dalam perbualan dua orang lelaki itu membuat fikiran saya teruja dan emosi sedikit terusik.
Angkara Tangan Manusia
“Aku rasa bukan kerana dosa. Jika kerana dosa, mesti sejak dahulu lagi bencana sudah menimpa. Sejak dahulu lagi orang telah berdosa.”
“Kau nak menolak sejarah azab yang menimpa kaum ‘Aad, Thamud, umat Nabi Lut, kaum Nabi Nuh dan lain-lain kerana mereka derhaka? Kalau nak menafikan fakta dalam al-Quran dan hadis yang menegaskan umat yang berdosa akan diazab Allah? Hati-hati!” kata lelaki berkopiah putih lagi, kembali menghangatkan suasana.
“Kau jangan emosional. Aku tidak menolak fakta-fakta itu. Tetapi aku rasa ada sebab lain yang menyebabkan bencana alam. Bukan soal dosa dengan Allah sahaja.”
“Apa dia? Dosa dengan manusia?”
“Aku rasa mungkin juga kerana pemugaran hutan yang tidak terancang, sistem saliran yang tidak efektif dan efisien, sikap membuang sampah merata-rata, serta sistem pembuangan sisa yang lintang pukang.”
Kali ini lelaki kopiah putih pula terdiam. Melihat keadaan itu, lelaki yang bersongkok hitam tiba-tiba bersuara, “Eh, sejak tadi diam sahaja, bersuaralah sikit,” katanya sambil menepuk bahu yang sedang bersandar di tiang masjid.
Saya terkejut. Tidak sangka ketika mereka berdua hebat berhujah masih sempat melihat saya di sebalik tiang.
Apabila Hukum Allah Tidak Dipeduli
“Bencana boleh menimpa apabila kita melanggar hukum Allah,” ujar saya sekadar meraikan. Sebenarnya saya masih berminat untuk mendengar dan menjadi ‘pemerhati’ berbanding turut serta dalam ‘forum’ pasca-Subuh itu.
“Itu saya sudah tahu.”
Hampir serentak mereka berdua bersuara.
“Hukum syariatullah dan juga sunnatullah,” kata saya masih pendek.
Mereka diam, memberi laluan untuk saya membuat penjelasan.
“Halal, haram, sunat, makruh dan harus itu ialah hukum syariatullah. Jika dilanggar berdosa. Membuat apa yang diharamkan Allah atau meninggalkan apa yang diwajibkan-Nya ialah dosa. Misalnya tidak bersolat, mengamalkan riba, mendedahkan aurat, memfitnah, mengumpat dan lain-lain.”
“Itulah yang saya tegaskan sejak tadi. Bencana ini angkara dosa-dosa itulah,” kata lelaki berkopiah. Rasa puas terpancar di wajahnya.
“Hukum sunnatullah pula bagaimana?” tanya lelaki bersongkok.
“Hukum sunnatullah ialah hukum Allah dalam mengatur alam. Gunung-ganang dan bukit bukau sebagai pasak bumi. Tasik, sungai dan laut tempat tadahan dan saliran air yang disusun secara semula jadi. Begitu juga hutan dan pokok-pokok yang mencegah hakisan tanah sekali gus meneguhkan kedudukan pada lapisan luar bumi.”
“Itu hukum Allah juga?”
“Ya. Itu hukum Allah juga. Tidak boleh diabaikan dan dilawan, buruk padahnya. Apabila hutan dipugar sesuka hati, gunung ditarah sewenang-wenangnya, laut dan sungai dicemari, maka berlakulah banjir, kemarau, tanah runtuh dan sebagainya. Allah tidak zalim, tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.”
“Ini semua kerana jahil atau degil?” tanya lelaki bersongkok hitam.
“Ada kalanya kerana jahil. Ilmu dan kepakaran tidak ada. Tidak ada kajian, perancangan dan pelaksanaan yang rapi dan teliti. Buat kerja ikut terlintas, tanpa home work dan persiapan terlebih dahulu,” jelas saya.
“Tetapi yang banyaknya kerana degil,” kata lelaki berkopiah putih tiba-tiba.
“Ya. Ada juga kerana degil. Bukan kerana tidak tahu, bukan kerana tidak ada kepakaran, tetapi kerana tidak ada kejujuran. Tahu, tetapi kerana tidak mampu melawan kerakusan hawa nafsu. Tahu, tindakannya akan mencemar dan merosakkan alam, tetapi dek kerana keuntungan tindakan itu diteruskan juga. Semua kerana wang.”
“Itu bukan satu dosa?” celah lelaki bersongkok.
Padah Ingkar Amanah
“Ya, itu satu dosa. Tamak, rakus dan menyusahkan orang lain, hakikatnya satu dosa. Dosa melanggar sunnatullah ada kalanya terkait dengan dosa melanggar syariatullah. Menebang hutan, mencemarkan sungai, membuang sampah merata-rata bukan hanya dosa kepada alam tetapi dosa kepada Allah dan sesama manusia.”
“Saya kurang pasti bagaimana?”
“Bumi, yang merupakan amanah Allah dirosakkan. Bumi tempat manusia lain berteduh dicemari. Semua ini dilakukan kerana kepentingan diri. Maka, sudah tentu ini merupakan satu dosa,” jawab saya agak panjang. Kali ini saya benar-benar teruja untuk masuk campur.
“Ingat tu, kita khalifah. Perlu urus tadbir dunia ini dengan bijak,” sampuk lelaki yang bersongkok.
“Tidak cukup dengan bijak sahaja, mesti amanah,” ujar saya perlahan.
“Dengar tu, bijak sahaja tidak cukup. Mesti amanah,” kata lelaki yang berkopiah.
“Amanah sahaja tanpa bijak pun tidak cukup,” balas lelaki bersongkok.
Saya tersenyum. Lucu pula melihatnya. Masing-masing sudah faham, tetapi belum mencapai tahap kesefahaman.
“Hukum syariatullah perlu dipatuhi untuk menjadi hamba Allah yang baik. Hukum sunnatullah juga perlu dipatuhi untuk menjadi khalifah yang mampu memberi kebaikan. Kalau kedua-dua hukum ini dilanggar, bencana akan menimpa,” jelas saya cuba merumuskan.
“Tetapi saya lihat ada juga orang yang telah mentaati kedua-dua hukum itu masih dilanda bencana alam. Bagaimana pula?”
Ujian Kesabaran dan Ketaatan
“Itu cara Allah memberi pahala sabar dan meninggikan darjat mereka yang taat,” ujar saya.
Dalam diam, saya akur betapa ada hamba Allah yang soleh yang turut diuji oleh bencana alam. Mereka juga dilanda kesusahan dan kesempitan. Tetapi insya-Allah, orang yang taat akan sentiasa mendapat kebaikan walaupun dalam kesusahan. Manakala orang yang bermaksiat, akan sentiasa mendapat keburukan walaupun dalam kesenangan.
“Musibah sama, tetapi natijah berbeza. Orang derhaka yang terus derhaka, akan mendapat dosa berganda. Orang yang taat bertambah taat akan mendapat pahala berganda. Manakala orang yang berdosa tetapi kembali bertaubat akan dihapuskan dosa-dosanya. Walau apa keadaan sekalipun, apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku ‘di luar’ diri kita,” jelas saya lagi.
“Bagaimana pula orang yang bermaksiat tetapi terus selamat? Mereka yang leka berjudi, berpelesiran dengan wanita dan arak tetapi tidak pula dilanda musibah?”
“Percayalah, orang yang melakukan dosa tidak akan tenang, sama ada ketika dilanda bencana alam atau pun ketika tidak dilanda bencana alam. Bencana yang melanda jiwa akibat dosa sesungguhnya lebih besar berbahaya berbanding bencana yang melanda alam. Mereka tidak akan menikmati kesenangan tanpa ketenangan. Dunia luarnya nampak aman, tetapi dunia dalamannya terus resah dan bergolak,” ujar saya.
Lelaki yang berkopiah dan bersongkok itu sama-sama mengangguk.
Dalam hati terus berdoa, mudah-mudahan bencana alam ini menyuburkan kembali kasih-sayang yang sudah lama gersang di hati kita. Kasih, simpati, empati yang semakin tenggelam di dalam hati akan mampu diapungkan kembali oleh apa juga tragedi yang melanda umat ini, kini dan selamanya. Insya-Allah.
Matahari terbit jua akhirnya. Ahli jemaah yang sejak tadi beriktikaf di dalam masjid, terus membaca al-Quran, berzikir dan ada pula yang bangun ke belakang untuk memperbaharui wuduk. Mudah-mudahan dengan mendekatkan diri kepada Pencipta, kita jadi semakin matang dan bijak menguruskan perbezaan sesama manusia.

January 1, 2015
BANJIR BESAR: HUDUD, PERUBAHAN CUACA, PENEBANGAN HUTAN….
Pandangan ahli agama dan saintis boleh diintegrasikan (disepadukan) dalam mencari punca berlakunya bencana alam, gejala sosial, penyakit-penyakit kronik, jenayah dan lain-lain malapetaka dalam kehidupan ini.
Jangan sekali-kali diletakkan pandangan para saintis dan ahli agama di titik konflik, sehingga seolah-olah agama dan sains itu bertentangan. Padahal hubungan antara agama (Islam) dan sains adalah dua perkara yang sangat serasi dan harmoni. Jika kita bijak memanfaatkan hubungan ini, kita bukan sahaja selamat hidup di dunia malah akan selamat juga hidup di akhirat.
Alam Mematuhi Hukum Allah
Bencana alam misalnya, menurut pakar sains, adalah disebabkan hukum alam ‘law of nature’ dilanggar. Apabila ekosistem jagat raya dan kehidupan dikacau, dunia terdedah kepada bencana dan malapetaka. Pemugaran hutan tanpa usaha pemuliharaannya mendedahkan kepada banjir, tanah runtuh atau kemarau. Begitu juga penarahan bukit-bukau, gunung dan penambakan pantai yang melanggar hukum fizik mengakibatkan tanah runtuh, bah, pemanasan global dan lain-lain lagi.
Dalam Islam ‘law of nature’ ini dikenali sebagai sunatullah. Hukum ini juga hakikatnya hukum Allah, kerana ia ditetapkan oleh Allah untuk mengatur alam ini. Jika hukum Allah ini dilanggar maka tunggulah saat kehancurannya. Keseimbangan, kestabilan dan keharmonian alam kosmos (yang teratur) ini diamanahkan kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi untuk diatur dan ditadbir. Manusia dikurniakan ilmu akal (acquired knowledge – sains, matematik dan lain-lain) untuk memahami hukum ini. Jangan sekali-kali membangun dan menguruskan pembangunan alam dengan melanggar hukum alam itu. Buruk padahnya!
Tidak mematuhi hukum sunnatullah ini juga hakikatnya satu dosa. Dosa kerana rakus memugar hutan dengan melanggar hukum sunnatullah. Atau tidak punya kepakaran dan ilmu yang secukupnya untuk mengurus tadbir alam dengan baik. Mungkin ada iman, tetapi kurang kepakaran. Mungkin integriti tinggi tetapi kompetensi tidak seberapa. Jadi, tidak boleh sewenang-wenangnya menempelak, “bencana ini kerana dosa,” tetapi mungkin juga satu isyarat untuk lebih bijak dalam mengurus dan mentarbir. Justeru disamping lebih jujur perlu lebih bijak dalam mengurus dan memimpin.
Manakala bagi ahli-ahli agama pula, bencana alam mempunyai kaitan yang rapat antara perlakuan atau sikap manusia dengan Tuhan yang Maha Pencipta. Menurut ahli agama, Allah “berbicara” dengan manusia melalui tiga cara. Pertama, melalui ayat maqruah (ayat Quran) yang mengandungi hukum Syariatullah. Inilah kalamullah yang diturunkan kepada para Rasul khususnya Nabi Muhammad s.a.w. Kedua, melalui ayat manzurah (kejadian dan penciptaan alam nyata) yang mengandungi hukum Sunnahtullah. Dan yang ketiga, Tuhan ’berbicara’ melalui ayyamullah (hari-hari Allah) yakni kejadian dan peristiwa yang memaparkan Qada dan Qadar-Nya.
Engkar Syariat Undang Bencana
Menurut ahli agama, bencana alam boleh berlaku apabila manusia melanggar hukum syariatullah yakni dengan meninggalkan apa yang diperintah dan melakukan yang diharamkan. Allah telah mengisahkan bagaimana kaum-kaum terdahulu dihancurkan impak dosa-dosa mereka. Allah berfirman:
“Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Al-Ankabuut: 40)
Bencana alam seperti Tsunami, banjir dan kemarau hakikatnya adalah Ayyamullah (peristiwa dan kejadian) yakni ‘bicara’ Allah yang mengandungi nilai didikan kepada manusia. Jika itu dapat difahami, dihayati dan dijadikan panduan, maka hidup manusia pasti akan lebih tenang dan terarah. Bencana alam bukanlah fenomena alam biasa seperti anggapan sesetengah pihak.
Peringatan di Sebalik Bencana
Gempa bumi misalnya, tidak dapat dielakkan — ia cuma dapat diramalkan atau dikesan kemungkinan bila berlakunya. Begitu juga ribut taufan, kemarau dan banjir. Yang ironisnya, sering terjadi bencana alam yang tidak dapat diramalkan sama sekali. la datang tiba-tiba. Secara langsung atau tidak ini adalah “mesej” daripada Allah s.w.t. agar manusia insaf akan kelemahan, kemungkaran dan kejahilannya. Firman Allah:
“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Al-Zukhruf: 48)
Justeru, ahli-ahli agama sering melihat di sebalik bencana alam itu ada banyak peringatan atau ibrah daripada Allah s.w.t. yang perlu disedari dan difahami oleh manusia. Mengapa bencana alam ini terjadi? Apakah hikmah di sebaliknya? Dan bagaimana cara sebaik-baiknya menghadapinya?
Bukan hanya bencana alam malah malapetaka yang lain seperti berlakunya penyakit-penyakit kronik seperti AIDS, kemiskinan, kezaliman dan lain-lain, juga adalah akibat langsung daripada perbuatan dosa manusia. Perhatikan hadis ini:
“Hai golongan Muhajirin, ada lima perkara jika terjadi kepada golongan kamu, maka aku berlindung kepada Allah bila hal itu terjadi kepada kamu – bila satu kaum melakukan perzinaan secara terang-terangan maka mereka akan diserang oleh penyakit yang belum pernah dialami oleh nenek-moyang mereka. Bila mereka mengurangi timbangan dan takaran, mereka akan dihukum dengan kepapaan dan kemiskinan serta kezaliman pihak penguasa. Setiap mereka yang enggan membayar zakat, mereka akan terhalang beroleh hujan daripada langit. Dan kalau tidak kerana adanya haiwan dan binatang temak tidaklah akan di-turunkan hujan. Setiap mereka yang melanggar janji Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan dijajah oleh musuh daripada bangsa lain, yang akan merampas sebahagian daripada harta mereka. Dan selama para pemimpin tidak menjalankan hukum-hukum yang terdapat dalam kitabullah, maka sengketa akan berlaku sesama mereka.” (Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)
Cegah dengan Iman dan Takwa
Sekarang, jelas sudah bahawa bencana dan malapetaka dalam hidup ini bukanlah satu perkara yang berkait dengan soal-soal fizikal dan material sahaja tetapi ia mempunyai pertalian yang erat dengan soal-soal dalaman manusia seperti iman, amal ibadah, akhlak taat atau derhakanya manusia kepada Allah s.w.t.
Oleh itu, di samping kita sibuk dengan berbagai-bagai usaha lahiriah untuk mengelakkan berlakunya bencana alam, gejala sosial, jenayah dan lain-lain, kita juga jangan sekali-kali lupa bermuhasabah (secara individu atau kumpulan) tentang hubungan rohani kita dengan Allah yakni yang berkait dengan dosa dan pahala, makruf dan mungkar, taat dan derhaka kita kepada Allah s.w.t.
Tidak ada satu kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan, secara beramai-ramai, tanpa pencegahan daripada ulama-ulama — melainkan pasti Allah timpakan azab seksa-Nya sebagai mehnah (didikan Allah secara langsung). Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Apabila harta Baitul Mal tidak dibahagikan kepada yang hak, dan amanah menjadi tawanan orang, dan zakat dipandang sebagai satu denda (paksaan), belajar ilmu agama bukan kerana Allah, suami taatkan isteri, derhaka kepada ibu bapa, seseorang lebih memuliakan kawan daripada bapanya, bersuara keras di dalam masjid, orang-orang fasik menjadi ketua, orang yang hina menjadi pemimpin, dimuliakan seseorang kerana takutkan kejahatannya, ramai penyanyi-penyanyi wanita, banyak alunan alat-alat muzik yang bertali, diminum arak daripada berbagai-bagai jenis, orang Islam kemudian melaknat orang Islam yang awal; maka apabila berlaku perkara-perkara itu tunggulah turunnya angin taufan yang dahsyat, gempa bumi, sedutan bumi, bertukar rupa manusia kepada kera dan babi, lontaran-lontaran azab, dan azab akan turun satu lepas satu seperti rantai manik yang telah putus dan terburai.” (Riwayat Tirmizi)
Oleh itu pada ahli-ahli kerohanian, punca bencana alam selain daripada ia memang satu sunnahtullah yang mesti berlaku sepanjang zaman, ialah: kederhakaan manusia kepada Allah.
Sudah sewajarnya kita tidak hanya meneropong ke langit untuk mengesan kedatangan ribut atau taufan atau menyelam lautan untuk mengesan pergerakan kerak bumi untuk mengetahui sebab-sebab berlaku bercana, tetapi selamilah juga lubuk hati, sejauh mana dosa kita dengan Allah dan manusia. Bagaimana? Mampukah kita mengesan maksiat lahir atau maksiat batin yang menjadi punca turunnya bala dan seksa?
Kemurkaan Allah Lumpuhkan Teknologi Manusia
Justeru, sering berlaku ketika manusia leka ketawa dalam melakukan maksiat dan derhaka, ahli-ahli agama sudah tahu bahawa saat mereka menangis ketika menerima bencana, sudah semakin tiba. Pada ahli-ahli rohani tidak ada daya usaha yang paling berkesan untuk menyelamatkan manusia daripada bala bencana kecuali kembali kepada Allah, kepada Islam sebenar, lahir dan batin, sama ada yang berkait rapat dengan hablumminallah ataupun yang berkait dengan hablumminanas.
Tidak ada perlindungan yang sebaik-baiknya melainkan jaminan keselamatan daripada Allah. Contohnya, tidak ada gunung yang cukup tinggi untuk menyelamatkan diri daripada banjir besar yang telah menenggelamkan anak Nabi Nuh.
Firman Allah bermaksud: “Anaknya menjawab, “Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang tinggi untuk dapat memeliharaku daripada banjir Nuh berkata, “Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain Allah sahaja yang Maha Penyayang.” (Surah Hud: 42)
Ada kalanya kepakaran moden sofistikated ‘lumpuh’ apabila berdepan dengan kemurkaan Allah. Suatu masa dahulu, Amerika, sebuah negara yang sebegitu maju itu pun terpaksa kembali kepada dukun-dukun tradisional Red Indian apabila dilanda kemarau yang panjang. Ertinya, Amerika terpaksa kembali kepada jalan-jalan “mistik” setelah jalan saintifik gagal menyelamatkan masalah. la terpaksa melangkah puluhan tahun ke belakang, dalam menghadapi ujian daripada Allah s.w.t.
Unprecedented! Dakwa Jabatan Geologi Amerika. Itulah ulasan awal tentang ’Tsunami 26 Disember’ oleh negara yang memiliki kemajuan sains dan teknologi tercanggih di dunia. Ulasan ini yang sempat saya ikuti menerusi siaran berita CNN sebaik berlakunya tragedi tersebut. Ya, siapa pun tidak menjangka gempa bumi yang berlaku dalam laut di Utara Sumatera akan membawa kemusnahan yang sangat dahsyat dan hebat ke atas negara-negara Asia hinggalah ke Afrika Timur!
Mencegah lebih baik daripada mengubat. Sehubungan dengan itu, kita seharusnya sentiasa insaf, bertaubat dan berusaha menghilangkan dan menahan seksa-Nya dengan terlebih dahulu cuba menghapuskan sebab-sebab atau dosa-dosa yang boleh “mengundang” kemurkaan Allah. Kita seharusnya tidak jemu-jemu berusaha, berdakwah dan berdoa, agar umat seluruhnya bertaubat dan meninggalkan kemungkaran.
Teladanilah sikap Rasulullah s.a.w. apabila kota Madinah diselubungi awan gelap atau tanda-tanda ribut akan berlaku. Diriwayatkan Baginda akan bergegas menuju ke dalam masjid, bersolat dan bermunajat dengan rintihannya:
“Ya, Allah janganlah Kau turunkan bala ke atas kaumku.”
Peri takut dan gentarnya Rasulullah s.a.w. terhadap bala yang mungkin menimpa akibat dosa-dosa ini ialah sikap Baginda yang menyuruh para sahabat menutup muka dan menundukkan kepala apabila melalui lokasi tempat berlakunya azab kepada kaum Aad dan Tsamud.
Malangnya, sikap sebegini selalu dianggap remeh oleh kebanyakan kita hari ini. Jalan yang ditempuh oleh Rasulullah s.a.w. dan para salafussoleh tidak dapat dilihat oleh hati yang telah pekat dan berkarat dengan maksiat. Amaran dan peringatan sering dimomokkan. Mengaitkan dosa dan bencana dianggap fikiran kolot dan ketinggalan.
Sejarah nabi-nabi terdahulu nampaknya berulang lagi. Nuh diejek oleh umatnya ketika ia memberi peringatan tentang kedatangan banjir besar. Lut diejek dan diancam ketika ia memberi amaran datangnya seksa Allah s.w.t. Begitu juga yang menimpa Nabi Musa, Nabi Salleh dan nabi-nabi yang lain.
Jalan kebenaran selalunya didustakan. Yang benar dianggap salah, yang salah dianggap benar. Dunia tidak terbalik, tetapi hati dan akal manusia yang terbalik ketika mentafsir, memahami dan bertindak!

Pahrol Mohamad Juoi's Blog
- Pahrol Mohamad Juoi's profile
- 252 followers
