Pahrol Mohamad Juoi's Blog, page 10
January 9, 2014
Pengumuman: Peserta Modul 3 pada 15 dan 16 Feb 2014.
Assalamualaikum kepada semua peserta Modul 3 pada 15 dan 16 Feb 2014.
Kami ingin memaklumkan pertukaran tarikh program kepada 8 dan 9 Mac 2014 kerana ada perkara yang tidak dapat dielakkan.
Kami kesal dan memohon maaf kepada semua peserta atas perubahan yang berlaku. Yuran pendaftaran akan dikembalikan untuk mereka yang ingin menarik diri.
Anda akan dihubungi oleh En Ahmad Zalani untuk makluman rasmi.
Sekian. Terima kasih.
Admin: Ahmad Zalani Zakaria (019-378 3100)


January 1, 2014
Kalendar Program Mukmin Profesional 2014
Program Umum Mukmin Profesional Tahun 2014.
Sinopsis setiap Modul: Klik disini
Modul 1, Tarikh 1 dan 2 Mac 2014
Modul 2, Tarikh 15 dan 16 Mac 2014
Modul 3 (Penuh/ditutup) Tarikh 15 dan 16 Feb 2014
Modul 4.
Anda boleh pilih modul tanpa urutan. Pendaftaran dibuka sekarang. Maklumat lanjut: Klik disini
Admin. Ahmad Zalani. 019-3783100


December 30, 2013
DUNIA DAN DIRI AKAN BERAKHIR DENGAN TIBA-TIBA…
Kiamat masih jauh. Belum zahir tanda-tanda besarnya. Lalu kita selesa terus bertangguh. Bertangguh dalam beramal. Bertangguh dalam bertaubat. Pada hal “Kiamat Kecil” (mati) itu boleh jadi sebentar lagi. Tanpa sakit, tanpa amaran, kematian menjemput kita datang. Itulah “kiamat besar” yang pasti dialami oleh setiap kita. Bila? Bila-bila. Ya, mati boleh datang bila-bila. Sebab itu dia datang secara tiba-tiba!
(Semua perlukan ilmu. Marilah kita hadapi Kiamat Besar dan Kiamat Kecil itu dengan ilmu).


December 26, 2013
Kalendar Program Mukmin Profesional 2014
Program Umum Mukmin Profesional Tahun 2014.
Modul 1, Tarikh 1 dan 2 Mac 2014
Modul 2, Tarikh 15 dan 16 Mac 2014
Modul 3 (Penuh/ditutup) Tarikh 15 dan 16 Feb 2014
Modul 4.
Anda boleh pilih modul tanpa urutan. Pendaftaran dibuka sekarang. Maklumat lanjut: Klik disini
Admin. Ahmad Zalani. 019-3783100


December 19, 2013
TAMAN CINTA AKAN TERUS TERBAKAR?
Yang kaya terus menambah kekayaan. Sedangkan yang miskin terus dihimpit penderitaan. Apabila jurang pendapatan antara si kaya dan si miskin makin luas maka timbullah hasad pada diri si miskin dan takbur dalam hati si kaya. Lalu hasad dan takbur pun ‘bertempur’.
Akibatnya, runtuhlah persaudaraan, suburlah persengketaan. Jika dalam organisasi, hilanglah ukhuwah. Jika dalam masyarakat, meningkatlah jenayah.
“Aku layak menikmati kekayaan ini kerana usaha ku,” kata si kaya.
“Tapi kau kaya dengan bantuan keringat ku, “ balas si miskin.
Aku yang sejak tadi terus memerhati. Dialog maraton antara si kaya dan si miskin. Taman indah lokasi pertemuan itu ‘terbakar’. Dialog itu meresahkan. Ah, aku jadi rindu pada pertemuan si miskin yang sabar dan si kaya yang syukur… walaupun bukan di sebuah taman.
“Aku mampu. Aku boleh menukar kereta ku. Tahun hadapan aku akan beli beberapa lagi daripada model terbaru.”
“Kau lihat satu-satunya motosikal cabuk ku. Tahun hadapan ia akan menjadi besi buruk. Di mana simpati dan empati mu?”
Aku diusik untuk berfikir. Pertembungan rasa antara si kaya dan si miskin bukan baru. Ia sudah lama berlaku dalam sejarah peradaban manusia. Dan ia juga turut terjadi dalam sejarah kehidupan Rasulullah dan para sahabatnya. Terbayang semula kisah pengaduan si miskin kepada Rasulullah SWW:
Pada suatu hari, serombongan fakir miskin daripada golongan Muhajirin datang mengeluh kepada Rasulullah SAW, lalu berkata: “Ya Rasulullah! Orang kaya mengaut dan membolot semua pahala sehingga mereka mencapai darjat yang paling tinggi.”
Lantas Rasulullah SAW bertanya: “Mengapa kamu berkata demikian?” Ujar mereka: “Mereka menunaikan solat seperti kami bersolat, mereka pun berpuasa seperti kami berpuasa, mereka bersedekah sedangkan kami tidak bersedekah, dan mereka pula memerdekakan hamba, pada hal kami tidak memiliki kemampuan untuk berbuat demikian.”
Selepas mendengar keluhan golongan fakir miskin tadi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan yang dapat mengejar dan mengatasi mereka dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kamu, kecuali orang yang berbuat seperti perbuatan kamu itu?” Jawab mereka dengan bersemangat: “Sudah tentulah, Ya Rasulullah. Kemudian Nabi SAW berkata lagi: “Bacalah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebanyak 33 kali sesudah selesai solat kamu.
Selepas menerima pesanan Rasulullah SAW, mereka pun pulang ke rumah masing-masing dan terus melaksanakannya. Tidak lama kemudian, golongan fakir miskin pun datang kembali menghadap Rasulullah SAW sambil merintih: “Ya Rasulullah! Saudara kami orang kaya mendengar dan melihat perbuatan kami, lalu mereka pun berbuat seperti perbuatan kami. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kurnia Allah SWT diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” (Riwayat Bukhari)
Subhanallah, satu kesah yang hebat. Pertembungan antara sahabat yang kaya dan miskin ketika itu bukan kerana hasad dan takbur. Namun kerana ibadah dan jihad. Perlumbaan untuk sama-sama merebut cinta Allah. Si miskin ‘cemburu’ kerana si kaya dapat merebut lebih banyak pahala. Sedangkan si kaya bukan sahaja tidak takbur, malah terus bersaing dengan si miskin dalam memburu.
“Wahai si miskin…, “ laung ku sambil melambai tangan memanggil. Si miskin pun datang, “ada apa tuan hamba? Apakah ada harta untuk diberikan pada hamba?”
“Tidak ada harta. Cuma aku akan ceritakan jalan untuk mendapat pahala.”
Si miskin mencemikkan mukanya.
“Kalahkan si kaya itu dengan sabar mu!”
Si miskin terus memasamkan muka.
“Pergi ke masjid, pergi ke tempat-tempat yang baik, buatlah kebajikan dengan motosikal mu. InsyaAllah, motosikal cabuk yang membuat kerja kebaikan dan kebajikan lebih baik di sisi Allah berbanding kereta besar yang membesarkan ego tuannya.”
“Aku benci pada si kaya yang licik memanipulasi dan mengeksploitasi kaum marhaen seperti kami. Dia mengaut isi, sisa kuah dicampakkan kepada kami. Aku benci pada nepotisme dan kronisme dalam skala mikro dan makro.”
Subhanallah. Si miskin ini bukan orang sembarangan. Dia seorang pejuang rupanya. Tetapi dia pejuang yang marah.
“Aku boleh kaya kalau rela jadi pembodek. Tapi aku ingin jadi pejuang seperti Che Guevara, tapi bukan sisi komunisnya. Musuh ku sama. Semua kapitalis, jenama agama atau nasionalis!”
“Abu Zaar RA sahabat Rasulullah, juga penentang tegar kemewahan dan pembaziran. Bukan kerana hasad, tetapi kerana jihad. Tegurannya tajam, atas kebimbangannya bahana kekayaan yang boleh merosakkan agama dan cinta Allah.”
“Tuan hamba, lihat sahaja Sang Kapitalis itu… bila terguris sedikit sahaja daripada keuntungannya, kami yang di bawah ini akan jadi mangsanya. Pendapatan kami yang memang sudah sedikit itu yang dikurangkannya.”
“Carilah ketenangan, bukan kesenangan… kualiti jiwa mu bukan kuantiti harta mu,” pujuk ku.
“Ini sudah takdir. Begitu nasihat tuan hamba?”
“Jangan miskin jiwa, walaupun terpaksa miskin harta. Berjuanglah menentang kemiskinan tetapi jangan hasad kepada si kaya,” balas ku perlahan.
“Rumah kami sempit dan terhimpit sedangkan Si kaya itu terus mengumpul harta dan menambah bilangan tanah.”
“Biarlah. Fikirkan keluasan kubur mu. Jangan disempitkan oleh dosa mu. Luaskan kuburan dengan zikir dan Al Quran.”
Si miskin itu menggeleng-gelengkan kepala. Lalu berlalu dengan berkata, “lawan tetap lawan!
“Duhai Si kaya…” laung ku. Kali ini memanggil si kaya. Dia menoleh angkuh.
“Kau memanggil aku?” jeritnya dari jauh.
Aku mengangguk.
“Apa yang kau mahu? Minta sedekah? Minta derma?” tanya si kaya sebaik sahaja bertemu muka.
“Aku hanya ingin berbicara…” ujar ku pendek.
“Bicara yang produktif sahaja. Aku kesempitan waktu untuk cakap-cakap kosong. Banyak temu janji ku dengan atasan.”
“Aku hanya ingin sembang-sembang tentang kasih sayang dan persaudaraan.”
“Kau dengar cakap ku… Aku kaya kerana usaha ku. Aku ternama kerana pernah susah. Marhaen itu malas dan suka memberontak. Layak mereka miskin dan terhina. Aku tak perlu kasih sayang mereka, yang aku perlu hanya keringat mereka. Itu pun aku membayarnya!”
“Kekayaan bukan anugerah tapi amanah. Untuk memberi lebih banyak bukan untuk terus menambah dan menambah.”
“Salahkah aku menambah harta? Salahkah aku jadi kaya? Semuanya halal.”
“Halal itu dihisab. Memang tidak salah tetapi fitnah harta sangat berbahaya. ”
“Aku juga faham agama. Aku juga menambah ibadat. Aku juga mencari pahala dengan solat sunat, sering berpuasa, melaksanakan umrah dan berzikir… ”
“Bagaimana usaha mencari pahala dengan harta mu?”
“Aku pilih ibadah yang tidak pakai modal. Itu lebih menjimatkan. Pahala pun dapat. Duit pun selamat. Solat, puasa, zikir… ”
“Kalahkan si miskin itu dengan ibadat yang mereka tidak mampu buat!”
“Apa dia?”
“Beribadah dengan harta mu… Keluarkan zakat, sedekah, wakaf, tambah gaji pekerja-pekerja mu, bantuan kewangan kepada orang yang memerlukan. Kata Imam Ghazzali itulah ibadah yang utama bagi orang kaya selepas ibadah-ibadah wajibnya. ”
“Tapi ingat aku selalu mengerjakan umrah. Itu pun pakai duit juga…”
“Mari ku ceritakan kesah ini…”
Lalu aku pun bercerita:
“Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi terkenal, Bisyr bin Al Harits untuk mengucapkan selamat berpisah kerana dia hendak mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. Dia berkata, “Aku berniat pergi haji. Adakah sesuatu yang hendak engkau sampaikan kepada ku untuk aku lakukan?”
“Berapa banyak wang yang kau siapkan untuk bekalan?” tanya Bisyr.
“Dua ribu dirham.”
“Apa tujuan engkau mengerjakan haji kali ini? Apakah kerana zuhud terhadap dunia atau untuk melepaskan kerinduan kepada Baitullah atau untuk mencari keredaan Allah?”
“Demi mencari keredaan Allah,” jawab lelaki itu tegas.
“Sekiranya engkau dapat meraih keredaan Allah, sedangkan engkau tetap tinggal di rumah mu dengan menginfakkan dua ribu dirham itu, apakah engkau bersedia untuk melakukannya?” tanya Bisyr.
“Ya.”
“Kalau begitu pergilah dan infakkan wang dua ribu dirham itu untuk menolong sepuluh golongan manusia; seorang yang terbeban oleh hutangnya, lalu engkau bayar hutangnya; seorang miskin, lalu engkau baiki tahap hidupnya; seorang mempunyai keluarga yang ramai anak; seorang penjaga anak yatim , lalu kau gembira anak yatim yang diasuhnya…”
Bisyr menyambung lagi, “Sekiranya hati engkau cukup kuat untuk memberi wang itu kepada seorang sahaja di kalangan mereka, maka berikanlah! Sesungguhnya, perbuatan engkau memberi kegembiraan di hati orang Muslim dengan menolongnya menghadapi penderitaan, membantunya keluar dari kesusahannya dan menolong orang yang lemah, adalah jauh lebih utama daripada ibadah haji seratus kali (setelah haji pertama yang diwajibkan seumur hidup.)”
Biyr bin Harits menambah lagi, “sekarang engkau pergilah dan infakkanlah wang dua ribu dirham itu sepertimana yang aku cadangkan. Atau jika tidak, luahkan sahaja isi hati mu sekarang…”
Lelaki itu termenung sebentar lalu berkata, “Wahai Abu Nashr (gelaran Bisyru Al Harit), niat untuk ku mengerjakan haji lebih kuat dalam hati daripada semua amalan yang kau ucapkan itu!”
Mendengar jawapan itu, Bisyr tersenyum dan berkata, “Memang, apabila harta diperoleh melalui perniagaan yang kotor atau syubhah, maka hati akan tertarik untuk memenuhi keinginan hawa nafsu dengan menampakkan dan menonjolkan amal-amal soleh (agar diketahui oleh orang ramai). Padahal Allah telah bersumpah demi dirinya sendiri, bahawa Dia tidak akan menerima selain amalan orang-orang yang bertakwa.”
Mendengar cerita itu Si kaya itu menggeleng-gelengkan kepala. Enggan. Lalu dengan keras dia berkata, “Harta ku adalah milik ku dan keluarga ku!” Dan Si kaya yang Takbur dan Si miskin yang hasad pun terus bertempur…
Apakah taman cinta itu akan terus terbakar?


BUKU REVOLUSI : NEW RELEASE
BUKU REVOLUSI BERUK
December 9, 2013
Program Mukmin Profesional Modul 1 Pada 14-15 Dis 2013.
Makluman kepada peserta Mukmin Profesional Modul 1 pd tarikh 14 dan 15 Dis 2013.
Peta Lokasi dewan dan Tentatif program disediakan dibawah.
Alamat Dewan Latihan:
Fitrah Perkasa Sdn Bhd, G101 Plaza Suria, PJU10/4C, Damansara Damai, Petaling Jaya, 47830 Selangor.
Klik untuk : Peta/Map


December 1, 2013
PAKSAKAN CINTANYA
“Ustaz, saya baru sahaja ditimpa kemalangan, “ ujar lelaki muda itu setelah bersalaman dan terus duduk bersimpuh di hadapan saya.
Saya renung matanya. Ada sayu di situ.
“Innalillah wa in nna ilaihi rajiun. Tapi syukur, saudara selamat,” ujar saya sambil memegang lengannya. Saya lihat tidak ada parut pada wajah mahupun tangannya.
“Tetapi sedih sekali ustaz, isteri saya meninggal dunia.”
“Innalillah wa in na ilaihi rajiun…” balas saya buat kedua kalinya. Saya terus tunduk. Tiba-tiba sebak di hati.
“Isteri dan saya kemalangan. Tetapi dia yang pergi.”
“Tabahlah.”
Saya pegang tangannya erat. Empati menusuk jiwa. Lelaki di hadapan saya ini sangat muda.
Tiba-tiba seorang anak kecil berlari menerpanya. Terus duduk di atas riba. Dari belakang, seorang tua lelaki datang menghampiri kami dengan mendukung seorang anak kecil. Daripada raut wajah kedua kanak-kanak itu saya dapat meneka mereka tentu adik-beradik.
“Dua orang ini anak saya. Ini bapa saya,” katanya sambil menunjuk kepada lelaki tua yang menghampiri kami. Sebelah tangannya yang lain membelai rambut anak yang di dalam pangkuannya.
“Yang kecil ini masih belum membiasakan diri dengan ketiadaan ibunya. Dia menyusu badan ustaz.”
Saya masih diam. Terus menggenggam tangannya. Suasana meriah di bahagian belakang masjid tempat kami duduk itu tidak lagi menarik perhatian. Orang lalu lalang dan aktiviti pameran yang sedang dijalankan itu seolah-olah tidak kedengaran dan kelihatan lagi. Saya tenggelam dalam laut rasa yang sangat menyedihkan.
“Baru dua bulan ustaz…”
Saya mengangguk-angguk kepala lagi. Saya kekal menjadi pendengar. Bukan mendengar dengan telinga, tetapi dengan mata dan hati. Teringat ungkapan yang selalu saya titipkan buat diri sendiri dan teman-teman, “sesetengah masalah bukan untuk diselesaikan tetapi hanya untuk didengari”.
“Kadangkala dalam hati terdetik juga, kenapa Tuhan memanggilnya pergi terlalu cepat. Kami sangat perlukannya,” katanya perlahan.
“Allah sesungguhnya Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ya, ramai orang menyebut ungkapan ini, tetapi saudara yang paling bertuah. Allah sedang mendidik saudara tetang kasihNya.”
“Itu saya percaya ustaz. Namun, apa kaitan itu dengan musibah yang menimpa diri saya ini ustaz?”
“Saudara. Ilmu kita yang terbatas tidak dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Kita hanya nampak yang dekat dan sekarang… tetapi Allah melihat yang jauh dan akan datang. Musibah hari ini boleh jadi keberuntungan pada masa akan datang. “
“Arwah isteri saudara beruntung sebenarnya…” tambah saya lagi hampir berbisik.
“Mengapa ustaz?”
“Dia meninggalkan dunia dalam keadaan saudara mencintai dan meredainya. Tidak ramai isteri yang berjaya meraih keredaan suami ketika meninggal dunia. Sedangkan, keredaan suami itu sangat penting untuk isteri meraih keredaan Allah.”
“Ya. Ya. Dia isteri yang solehah. InsyaAllah.”
“Amin…”
“Tetapi apa hal kami ini ustaz?”
“Allah sedang mendidik saudara menjadi ayah yang tabah. Musibah ini hakikatnya satu ‘mehnah’.”
“Apa maksud ‘mehnah’ itu ustaz?”
“Mehnah ialah ujian yang Allah timpakan kepada seseorang dengan tujuan untuk mendidiknya. Allah mendidik manusia melalui ‘subjek’ yang bernama kematian, kesakitan, kegagalan dan kehilangan.”
“Sedih dan sakit ustaz…”
“Terimalah saudara, yang pedih itu ubat. Yang sedih itu penawar. Siapalah kita ini… kita hanya hamba, bukan tuan, bukan Tuhan. Sebagai hamba kita layak diuji. Tidak ada pilihan, kehilangan ini telah berlaku. Ujian ini maktub. Sama ada kita terima atau tidak, ia tetap berlaku. Pilihan yang masih tinggal buat kita ialah, untuk sabar atau tidak. Jika sabar, ada kebaikan dan manfaatnya. Jika tidak sabar, banyak keburukan dan mudaratnya.”
“Apa kebaikan kehilangan ibu buat anak yang sedang menyusu ini ustaz?”
“Saya yakin pertanyaan ini bukan kerana mempertikaikan tetapi benar-benar inginkan penjelasan..”
“Maha suci Allah. Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Tetapi insan kerdil seperti saya ini manalah dapat melihat sesuatu yang tersirat di sebalik semua ini.”
“Kita semua insan kerdil di sisi Tuhan. Dari segi adab seorang hamba, kita wajib yakin bahawa di sebalik pemergian isteri, yakni ibu kepada anak-anak saudara ini pasti ada kebaikannya. Tetapi sebagai seorang manusia juga, kita tidak dapat menahan diri daripada bertanya kenapa? “
“Sesetengah takdir memang tidak akan kita ketahui apa maksud baiknya. Itulah iman. Perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah. Mana mungkin seorang hamba tahu semua maksud takdir Ilahi? Yakini sahaja pasti ada kebaikan.”
“Jadi peranan akal di mana ustaz?”
“Akal kita mesti terus berfikir. Jangan dimatikan. Tetapi berfikirlah ke arah kemungkinan-kemungkinan kebaikan di sebalik takdir.”
“Contohnya?”
“Contohnya, Allah mematikan ibu bagi anak-anak saudara untuk membentuk mereka menjadi pemimpin besar di kemudian hari nanti. Lihat para Rasul, nabi, ulama, dan pemimpin dunia, ramai yang berasal daripada anak yatim. “
“Mungkin juga Allah hendak menyelamatkan anak-anak saudara daripada menjadi anak yang derhaka. Lihat betapa ramai ibu yang telah tua renta, telah disia-siakan dan diherdik oleh anak-anaknya sendiri… Mujur, anak saudara telah terlepas daripada dosa derhaka kepada ibu,” tambah saya.
Dia mengangguk-anggukkan kepala seketika seraya berkata,” akal kita berfikir ke arah mencari kebaikan di sebalik ujian ini. Jangan berfikir sebaliknya. Berfikirlah untuk menjustifikasikan kebaikan takdir Allah, bukan keburukannya. Itu lah tanda kita bersangka baik kepada Allah.”
“Oh… begitu. Fikiran kita mesti dikawal dan terarah, bukan disekat, apalagi dimatikan.”
“Bersangka baiklah kepada Allah dengan mencari kebaikan di sebalik setiap takdirNya. Insya-Allah kita akan mendapat kebaikan,” pesan saya sekalipun jauh di sudut hati menyedari saya sendiri juga masih terkial-kial dalam menerima takdir Ilahi.
“Saya sunyi ustaz. Kadangkala patah semangat untuk bangun kembali. Banyak cita-cita dan impian yang pernah kami kongsi bersama tidak kesampaian…”
“Usah begitu saudara. Sunyi itu apabila hati kita lupa mengingati Allah. Hati yang mengingati Allah tidak akan kesunyian. Cari dan binalah hati itu. Pada solat, pada Al Quran, pada selawat, pada masjid ini ada penawar kesunyian itu. Saudara tidak tersisih, bahkan terpilih untuk mencari dan menemui cinta Allah.”
Dia tunduk. Tergenang air matanya. Saya memegang belakang kepalanya seperti seorang ayah terhadap anaknya. Itu sahaja yang mampu saya lakukan. Begitulah jika bahasa kata gagal untuk mencapai maksud, bahasa rasa cuba disampaikan melalui belaian.
“Ada masanya saya menangis ustaz. Berdosakah kesedihan ini?”
“ Tidak. Malah itu fitrah.”
“Namun ada yang lebih penting daripada itu.”
“Apa yang lebih penting daripada itu?”
“Peringatan Allah kepada saudara, saya dan semua manusia. Firman Allah, “Katakanlah, Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga mu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (At Taubah,24).”
“Nampaknya saya belum tega, tetapi melalui tragedi ini seolah-olah Allah paksa saya ustaz… paksa saya mencintai-Nya lebih daripada yang lain.”
“Syukurlah dengan paksaan ini. Jika tidak dipaksa mungkin kita alpa. Allah lebih sayang akan hamba-Nya lebih daripada ibu menyayangi anaknya. Ibu yang baik akan memaksa anaknya yang sakit memakan ubat yang pahit. Begitulah kita… yang sakit, sepi dan sayu ini umpama ubat yang Allah paksakan kita untuk menelannya demi menyembuhkan penyakit cinta selain-Nya yang bersarang di hati kita,” pujuk saya.
“Masih ingat impian yang pernah dibina dengan Allahyarham isteri?” tanya saya sambil memegang bahunya.
Dia mengangguk-angguk. Air matanya tergenang. Sungguh, saya terus mencari kata-kata sedangkan mata sendiri sudah berkaca dengan air mata.
“Jika dia masih hidup tentu dia ingin impiannya tercapai. Ingin melihat kedua anak ini membesar sebagai anak yang soleh… Mari kita penuhi hajatnya. Mari kita penuhi impiannya. Jika benar kita sayangi yang telah pergi, mari kita penuhi cita-citanya pada yang kedua anak yang ditinggalkannya ini. Kita mesti bangun daripada kesedihan ini. Jika tidak, impian itu akan berkecai. Buktikan cinta saudara dengan melaksanakan amanah ini. Dan semua amanah ini tidak akan dapat ditunaikan sekiranya saudara terus bersedih…” ujar saya akhirnya.
Bapa muda itu merenung saya. Anaknya sudah tertidur di pangkuannya. Bapa lelaki muda itu masih mendukung anak kecilnya, turut tekun mendengar. Saya yang duduk bertemu lutut dengannya sejak tadi teringat semula kisah-kisah yang pernah saya dengar sepanjang kehidupan ini. Ada isteri yang kehilangan suami. Ada suami yang kematian isteri. Begitulah ajaibnya Allah ‘memanggil’ sesetengah manusia kepada cintaNya… melalui kehilangan!


November 21, 2013
I need You because I love You
Amat besar bezanya antara ungkapan, “aku cinta kamu kerana memerlukan mu” dengan “aku perlukan kamu kerana aku mencintai mu.” Ungkapan kedua lebih murni dan suci sifatnya. Itulah cinta yang ikhlas.
Begitulah sewajarnya cinta kita kepada Allah. Kita mesti memerlukan Allah kerana kita memang mencintaiNya. Jangan kita mencintaiNya hanya pada ketika-ketika kita memerlukanNya. Itu cinta yang palsu. Cinta yang berfokus pada kepentingan diri bukan kepada Allah, zat yang mesti kita cintai.
Berapa ramai manusia yang ketika dilanda masalah, susah, gagal, terhimpit, sakit dan miskin, merayu dan merintih kepada Allah. Ketika susah dia memperkemaskan ibadah dan akhlaknya. Panjang doa dan solatnya. Namun sebaik sahaja masalahnya selesai, apa yang dihajati telah tercapai, dia kembali lalai, kufur dan derhaka. Tuhan diperlukan hanya pada waktu-waktu terdesak sahaja. Apabila senang Tuhan kembali dipinggirkan dan dilupakan. Apakah ini yang dikatakan cinta?
Ibadah orang yang mencintai Allah hanya ketika sedang terdesak sangat rapuh. Apabila Allah memberi apa yang dipohonnya, dia alpa. Sebaiknya, jika yang dimintanya tidak kunjung tiba dia jadi kecewa, marah dan putus asa. Mengapa Tuhan tidak memperkenankan doa ku? Mengapa setelah lama aku berbuat baik keadaan ku masih begini? Dia seakan mendesak, bahkan memaksa dan mengugut Tuhan dalam ibadat dan munajatnya. Luntur dan gugur segala sifat kehambaannya semasa meminta. Hakikatnya dia adalah peminta yang ego.
Allah berfirman: “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi bakhil. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. (Al Ma’arij: 19-21). Jangan, jangan begitu. Ingatlah pesan Rasulullah SAW ini sewaktu senang, “Barang siapa yang ingin ditolong Allah saat tertimpa malapetaka dan kesempitan, maka perbanyakanlah berdoa di saat lapang (senang).” (HR Tirmidzi) . Ingatlah pesan Rasulullah SAW ini ketika susah, “”Ya Allah! Sungguh aku berlindung kepadaMu dari kesempitan dunia dan kesempitan hari kiamat.” (Abu Daud) ” Justeru, jika benar cintakan Allah, ingatlah Dia dalam senang dan susah.
Jangan samakan keperluan kita kepada Tuhan dengan ‘lampu Aladin’. Digosok dan didakap hanya apabila diperlukan. Kita beribadah, bukan kerana-kerana yang lain tetapi semata-mata kerana mengharap wajah Allah. Kita mencinta Allah kerana kita memang mencintaiNya, bukan kerana mencintai diri kita. Lalu Allah akan sentiasa di hati kita, sewaktu senang dan susah, sewaktu sempit dan lapang, sewaktu di atas atau di bawah. Inilah cinta tanpa syarat.
Itulah cinta sejati. Cinta yang menafikan kepentingan dan keperluan diri demi yang dicintai. Mereka tidak sekali-kali tega untuk ‘menduakan’ cinta dengan selainnya. Tidak ada syirik dalam akidah dan ibadah, kerana dalam hati mereka yang satu hanya ada cinta yang satu (Allah). Cinta orang mukmin hanya untuk Allah. Itu bukan cinta biasa, tetapi cinta luar biasa kerana terlalu cinta. Firman Allah:” Dan orang mukmin itu tersangat cinta kepada Allah.” (Al Baqarah 165).
Dalam hati itu mana mungkin ada riyak dan suma’ah? Puji dan keji manusia tidak menjejaskan hati. Mereka bebas daripada kongkongan dunia luaran. Mereka bebas daripada belenggu ‘tuhan-tuhan kecil’ (kepentingan duniawi dan penghargaan manusia) untuk mengabdikan diri sepenuh dan seluruhnya kepada Allah.
Masalah manusia dari dahulu sehingga sekarang bukan kerana tidak ada Tuhan tetapi kerana terlalu banyak ‘Tuhan’. Terlalu banyak ‘Tuhan’ menyebabkan kita keliru dan buntu dalam hidup. Kita sukar membuat pilihan dan keputusan yang tepat dan cepat kerana terlalu banyak yang kita pertimbangkan. Sebaliknya, ikhlas itu bebas. Jika hati tulus, jalan hidup akan lurus. Hati tidak akan mudah terganggu oleh kerenah manusia. Itulah hati yang bahagia. Dalam hati itu sentiasa ada bisikan, “Ya Allah, aku memerlukan mu kerana aku mencintai mu!”


Pahrol Mohamad Juoi's Blog
- Pahrol Mohamad Juoi's profile
- 252 followers
