Syed Ahmad Fathi's Blog, page 19
August 1, 2020
Kapal Van der Wijck – Benar Atau Sekadar Mitos?
S.S Van der WijckCredit : Ships Nostalgia
Sejarah
Kapal Van der Wijck sangat sinonim dengan salah satu karya tulisan Hamka, iaitu Tenggelamnya Kapal Van der Wicjk yang di terbitkan pada 1939. Karya ini begitu popular pada waktu itu bukan hanya kerana plotnya yang sangat menyentuh perasaan malah pernah menjadi kontroversi kerana dikatakan sebuah plagiat dari karya Jean-Baptiste Alphonse yang berjudul Sous les Tilleuls.
Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, karangan Hamka.Namun, adakah kapal Van der Wijck ini merupakan kapal sebenar atau hanya sekadar rekaan dari Buya Hamka?
Carel Herman Aart van der Wijck.
Jawapannya ya, kapal ini memang wujud di dunia nyata. Kapal Van der Wijck ini merupakan sebuah kapal penumpang yang dimiliki oleh syarikat Belanda, Koninklijke Paketvaart Maatschappij (KPM) Amsterdam. Nama kapal ini diambil sempena nama Gabenor Jeneral Hindia-Belanda yang ke-56 iaitu Carel Herman Aart van der Wijck yang berkhidmat dari tahun 1893 hingga 1899.
Kapal ini dibina pada tahun 1921 di Maatschappij Fijenoord N.V. Rotterdam. Seperti kapal-kapal lain pada zaman itu, kapal Van der Wijck ini merupakan kapal yang menggunakan enjin wap. Kapal ini juga mempunyai panjang 97.5 meter, lebar 13.4 meter, dan tinggi 8.5 meter disamping mampu membawa 60 orang penumpang kelas pertama, 34 orang penumpang kelas kedua dan kira-kira 1000 penumpang biasa.
Rekod Llyods Register of Shipping, 1930-31Tragedi Westgat
Pada 20 Oktober 1936, kapal ini dijadualkan untuk berlayar dari Surabaya ke Tanjung Priok. Mengikut laporan akhbar Pandji Poestaka yang bertarikh 23 Oktober 1936, kapal ini dikemudi oleh B.C Akkerman selaku kapten kapal pada waktu itu. Menurut akhbar yang lain, kapal Van der Wijck ini juga dilaporkan membawa kira-kira 250 orang penumpang berserta kargo yang terdiri dari kayu dan besi ketika mula berlayar dari Surabaya.
Setelah beroperasi selama 15 tahun, akhirnya kapal ini tenggelam kira-kira 22 batu nautika di sebelah barat laut Surabaya, di kawasan yang dikenali sebagai Westgat. 8 buah pesawat jenis Dornier Seaplane yang berupaya untuk mendarat di permukaan air telah dikerahkan untuk usaha mencari dan menyelamat disamping dibantu oleh bot-bot nelayan tempatan yang berhampiran.
Lokasi S.S Van der Wijck tenggelam pada 22 Oktober 1936.Menurut akhbar The Queenslander yang bertarikh 22 Oktober 1936, seramai 153 penumpang telah berjaya diselamatkan manakala 70 penumpang dilaporkan hilang.
Keratan akhbar Australia, The Queenslander.Sebuah persidangan telah diadakan di Betawi oleh lembaga perkapalan pada waktu itu untuk menyiasat punca kemalangan ini. Keupayaan Kapten B.C Akkerman menjadi salah satu faktor yang dipersoalkan pada waktu itu kerana beliau hanya sempat mengendalikan S.S Van der Wijck selama 2 minggu sahaja sebelum tragedi malang ini.
Namun hasil siasatan lanjut membuktikan bahawa tahap kompetensi kru kapal dan keadaan kapal itu sendiri berada dalam keadaan baik dan bukanlah penyebab kemalangan itu berlaku. Menurut Llyods Register of Shipping, tragedi Van der Wijck ini disebabkan oleh faktor cuaca dan angin kencang.
Tugu peringatan di Pelabuhan Brondong.Sebuah tugu telah didirikan di Pelabuhan Brondong demi memperingati jasa para penyelamat masih boleh dilihat hingga hari ini.
July 30, 2020
Bumi Manusia

12 tahun yang lalu, seorang teman dari Indonesia pernah menyuruh saya untuk membaca buku ini. Secara jujur, Bumi Manusia ini merupakan karya pertama yang saya baca dari Pramoedya Ananta Toer, bahkan karya pertama yang saya baca didalam bahasa Indonesia. Karya ini merupakan satu daripada empat novel yang diletakkan dibawah satu tajuk khusus iaitu “Tetralogi Pulau Buru”, diterbitkan disekitar tahun 1980-1988.
Kepada yang tidak mengenali Pramoedya, beliau merupakan seorang penulis dari Blora, Jawa Tengah. Beliau telah menghasilkan lebih dari 50 karya yang dicetak di dalam pelbagai bahasa. Pada zaman pemerintahan Soeharto, beliau pernah ditahan sebagai tahanan politik selama 10 tahun di Pulau Buru dan beliau tidak dibenarkan untuk menulis. Karya Bumi Manusia ini awalnya diolah oleh beliau dalam bentuk cerita lisan sesama tahanan yang lain sehingga beliau dibebaskan pada 1979 dan akhirnya diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1980.
Tetralogi Pulau Buru ini menonjolkan watak utama seorang pemuda yang bernama Tirto Adhi Soerjo atau dikenali sebagai “Minke”. Dalam karya Bumi Manusia ini, Minke digambarkan sebagai anak pribumi yang lahir didalam keluarga bangsawan. Pada zaman itu, anak-anak bangsawan pribumi lebih cenderung di hantar oleh keluarga mereka untuk belajar di sekolah Belanda.
Minke digambarkan sebagai seorang yang pandai menulis dan hasil tulisannya sering dimuat naik di dada akhbar milik Belanda pada ketika itu walaupun tulisannya banyak berkisar tentang ketidakadilan terhadap bangsa pribumi Jawa. Beliau juga sering mempersoalkan sebahagian bangsa pribumi yang mendapat layanan berbeza dizaman kolonial Belanda hanya kerana mereka mempunyai darah Belanda.
Minke akhirnya bertemu dan berkahwin dengan seorang gadis berdarah Belanda-Pribumi bernama Annaliese Mellema. Hubungan mereka diuji dengan pelbagai konflik dan Pramoedya jelas menggambarkan kehidupan pribumi di zaman kolonial Belanda yang sangat ditindas sehingga mencetuskan zaman Kebangkitan Nasional dikalangan rakyat pribumi.
Buku ini pernah diharamkan pada 1981 kerana dituduh menerapkan ideologi Marxisme-Leninisme. Pada pendapat peribadi saya, tuduhan itu adalah sangat tidak tepat dan hanyalah alasan untuk mengekang kesedaran nasionalisme. Pada tahun 2005, Bumi Manusia telah dicetak kembali di Indonesia, bahkan diterbitkan juga di dalam 33 bahasa. Karya ini juga telah diolah dalam bentuk filem dan boleh ditonton di Netflix (This Earth Of Mankind).
Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia
Kalau kemanusiaan tersinggung, semua orang yang berperasaan dan berfikiran waras ikut tersinggung, kecuali orang gila dan orang yang berjiwa kriminal, biarpun dia sarjana.
July 16, 2020
PPSMI: Diskusi bersama Wern Han

Pada 16 Julai 2020 sekitar jam 12 petang, saya berkesempatan untuk berdiskusi dengan Wern Han salah seorang ahli kumpulan GE-Global di Facebook. Beliau berkongsi pautan berita dari Malaysiakini tentang jawapan menteri pendidikan, Radzi Jidin di Parlimen yang menyatakan bahawa program PPSMI tidak akan dihidupkan semula, dan pengajaran tulisan Jawi akan diteruskan.
Saudara Wern Han mempertikaikan bahawa hampir semua ahli
parlimen melengkapkan pengajian mereka di luar negara, dan mereka belajar
menggunakan Bahasa Inggeris. Beliau tidak mengemukakan apa-apa data terhadap
dakwaan ini, saya anggap ia adalah kepercayaan beliau. Namun, jika dilihat
dengan lebih dekat, pertikaian beliau ini jika benar, membuktikan bahawa kita
tidak perlukan PPSMI untuk berjaya belajar di luar negara dan menjadi menteri.
Kerana tentunya ahli parlimen yang 40% adalah golongan yang berumur lebih 60
tahun menerima pendidikan sebelum PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003.
Saya masih ingat, pada tahun 2003 itu saya berada di
tingkatan 1, terdapat banyak kekeliruan, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru.
Pada peringkat awal itu, saya masih ingat, semasa peperiksaan masih diberikan pilihan,
ketika PMR dan SPM kertas-kertas subjek seperti Sains, Matematik, Fizik, Kimia,
dan Biologi semuanya dwi-bahasa. Pelajar boleh memilih hendak menjawab dalam Bahasa
Inggeris atau Melayu. Kertas soalan dan jawapan juga dwi-bahasa. Kami pelajar
ketika itu, benar-benar merasakan bahawa kami adalah tikus makmal untuk menguji
polisi pendidikan negara.
Saudara Wern Han kemudian bertanya, adakah kita perlu
berhenti menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar? Saya merasakan beliau
keliru. Di Malaysia kita tentulah belajar dalam bahasa nasional, itu tidak
bermakna kita tidak belajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek berasingan.
Wern Han kemudian menambah bahawa beliau faham kepentingan bahasa kebangsaan (bagi
saya, baguslah jika faham), tapi beliau berkata kita juga perlu tahu bahasa
Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa. Beliau memberi contoh
ketika pelancong datang ke Malaysia, kita perlu gunakan bahasa Inggeris, jika
kita tidak fasih, bukankah ini akan meninggalkan persepsi buruk terhadap
Malaysia?
Disini kelihatan beliau masih keliru. Malaysia menurut EF English Proficiency Index (EF EPI) pada tahun 2019 berada di tangga ke 26, dikategorikan sebagai high proficiency bersama negara maju seperti Switzerland (Switzerland adalah negara ke-2 termaju dalam dunia selepas Norway menurut World Population Review pada tahun 2020). Malah Malaysia dalam indeks EF EPI lebih baik dari Perancis (31), Hong Kong (33), Korea Selatan (37) yang dikategorikan sebagai moderate proficiency. Jika kita ukur sekadar di Asia, Malaysia di tempat ke-3 selepas Singapura ditempat pertama dan Filipina di tempat kedua.
Baik, berbalik kepada hujah pelancong asing Wern Han, pelancong biasanya mahukan informasi-informasi tempatan yang mudah seperti arah dan lokasi, ini semestinya mudah dijawab bagi warga Malaysia yang merupakan negara ke-3 di Asia yang mempunyai tahap kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi. Pelancong bukan mahu menilai tatabahasa bahasa Inggeris kita, dan kita mencapai semua ini tanpa pun kita bergantung kepada polisi PPSMI. Wern Han kemudian berkongsi pengalamannya melancong ke Thailand, dan terpaksa menggunakan aplikasi Google Translate sepanjang masa. Bagi saya ini bukan hujah, jika Thailand bermasalah suruhlah Thailand yang melaksanakan PPSMI bukan Malaysia. Mengapa kita perlu makan ubat kepada penyakit yang kita tidak hidapi?
Akhirnya Wern Han berkata bahawa dia hanya menyatakan jika kita tidak boleh bertutur bahasa Inggeris kita akan ada masalah komunikasi dengan orang asing, dan dia tidak menyalahkan Malaysia dalam hal ini. Belajar bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan persoalan bahasa ni negara kita tambahnya lagi. Dan pada ketika itu saya pun bersetuju.
Artikel ini pertama kali diterbitkan di blog Meniti Jambatan Masa .
July 10, 2020
Minta Maaf, Saya Tak Mampu Melihat Aya Sofya

Oleh: Nabihah Insyirah
Baru-baru ini, saya ada membaca satu posting panjang, ia seolah-olah analisa politik seorang rakyat Malaysia terhadap keputusan Museum Aya Sofya ditukar semula kepada Masjid.
Katanya keputusan berikut dibuat oleh Presiden Turki Racep Tayyep Erdogan demi kesejahteraan politik beliau. Kebetulan, posting tersebut dibaca oleh sebahagian pelajar-pelajar berbangsa Turki dan mereka bertanya kenapa orang Malaysia begitu yakin bercakap soal mempolitikkan Aya Sofya?
Apa bukti beliau mengatakan pertukaran Aya Sofya kepada Masjid semula adalah sesuatu yang menguntungkan Erdogan?
Beliau tahu atau tidak yang sudah sekian lama masyarakat di Turki menuntut Aya Sofya menjadi Masjid semula? Ia bukan isu baru. Ia adalah tuntutan daripada masyarakat Turki berzaman-zaman.
Ia bukan idea Erdogan, tapi tuntutan dan desakan daripada rakyatnya. Meskipun golongan sekularis menentang idea tersebut, namun majoriti masyarakat di Turki menuntut pertukaran tersebut.
Saya teringat seorang kawan saya di Istanbul pada tahun lepas. Saya berhajat untuk menziarahi Aya Sofya dan mengajaknya bersama kawan kawan lain. Dia meminta maaf dan menyampaikan rasa hatinya:
“Saya minta maaf. Saya tak mampu untuk melihat Aya Sofya. Setiap kali saya ternampak Aya Sofya, ada satu perasaan yang menggigit jiwa saya. Saya berasa sedih teramat sehingga terasa sakitnya di hati. Saya terasa tak aman jiwa selagi mana dia menjadi museum. Aya Sofya adalah hadiah daripada Allah untuk Fatih Mehmet Sultan sekaligus hadiah untuk kita semua bersujud di dalamnya.”
Untuk pengetahuan pembaca, dia merupakan rakan sekelas, lelaki berbangsa Turki.
Semalam saya ada video call bersama kawan-kawan Turki, saya memetik sebahagian daripada perbualan mereka.
“Malaysia jauh daripada Turki. Rakyat Malaysia mungkin tak tahu betapa ada sentimental value Aya Sofya di hati kami. Janganlah tertipu dengan pandangan dan idea yang membenci Erdogan walaupun kami sendiri bukan pendokong parti beliau. Tapi isu Aya Sofya bukan isu Erdogan. Itu isu kita semua, semua kaum dan bangsa muslim. Pertukaran Aya Sofya kepada masjid semula tak menguntungkan Erdogan apa apa pun kerana pilihan raya lambat lagi, lagi 3 tahun. Dan parti sekular takkan memandang kebaikan apa apa pun dalam hal ini. Malah mungkin akan merugikan beliau.”
Kata mereka lagi.
“Kalau Erdogan bukan pemimpin kami dan ditukar dengan presiden yang lain dari parti yang lain, kami akan tetap mendesak dan menuntut kepada beliau untuk menukar Aya Sofya kepada Masjid kembali. Dan sekiranya beliau melakukan hal yang sama, kami tetap akan bergembira dan bersyukur dengan tindakannya.”
Saya ajak kawan-kawan pembaca untuk kita melihat dari sudut masyarakat di Turki sendiri. Bila kita nak melontarkan komen mengenai pertukaran semula Aya Sofya, saya mengharapkan kita lebih berhati-hati kerana masyarakat sana boleh membaca komen-komen kita.
Kebetulan semalam seorang rakan sekelas saya di Istanbul pada tahun yang lalu menghantar mesej mengenai betapa gembiranya dia Aya Sofya bertukar menjadi Masjid semula dan meminta saya mendoakan moga ia kekal begitu selamanya.
Tulisan ini diterbitkan petama kalinya di laman Facebook Nabihah Insyirah.
July 4, 2020
Reviu Buku: Menolak Perintah oleh Iltizam Iman

Buku ini bagi saya sangat baik sebagai perenungan, Iltizam Iman menintakan fikiran-fikirannya, jadi ia adalah buku yang membantu kita berfikir, berfikir tidak semestinya setuju, tetapi membantu kita membuat pertimbangan dalam menilai sesuatu idea. Iman memulakan kitabnya dengan membahaskan falsafah kerosakan, yang baginya berasal dari hati manusia, sesuatu yang abstrak kemudian memberi kesan kepada dunia material luaran, kerosakan yang dilakukan oleh penguasa juga asalnya adalah dari hati mereka, kata Iman baik “Marxist atau Islamis” jika hati mereka bermasalah, kerosakan akan tetap berlaku. Falsafah inilah yang diambil untuk menamakan judul kitabnya “Menolak Perintah” iaitu menolak tirani didalam dan luar diri.
Antara rangkap yang saya minati dalam naskah ini adalah “Ironinya, kita takut mati tapi malas bangun tidur”. Rangkap ini bagi saya begitu mengesankan, memotivasikan kita untuk hidup dengan lebih “hidup” dan melawan kemalasan. Dalam perbahasan beliau berkenaan dengan artificial intelligence, saya kira beliau lebih membawa banyak persoalan dari jawapan. Contohnya, beliau bertanya “Adakah manusia boleh mencipta sesuatu yang dia sendiri tidak faham? Contohnya mimpi? Apa kegunaan mimpi?” Walaupun kecanggihan sains yang menolak sempadan limitasi semakin laju, saya tidak fikir manusia mampu mencipta “kesedaran” yang setara dengan kesedaran manusia, apatah lagi jika lebih tinggi lagi dari kesedaran manusia. Saya mungkin salah, tapi setakat hari ini, kita masih belum mampu.
Buku ini mengajak manusia berfikir, Iman menulis bahawa kita harus “memperbanyakkan dialog-dialog dengan diri”, yang saya kira merupakan satu ajakan yang penting. Sering kali kita melakukan perkara dalam hidup ini kerana kebiasaan, kerana adat dan agama, kerana mengikut orang, kita lakukan banyak perkara tanpa sedar, tanpa bertanya mengapa kita melakukannya. Mengapa perkara ini penting? Kerana bagi saya, jika kita tidak berfikir, kita akan melakukan perkara yang mungkin kita tidak perlukan, dan masa yang kita ada adalah sedikit, kehidupan yang singkat ini memerlukan kita fokus pada apa yang kita benar-benar “perlu”.
Persoalan dan dilema perubahan juga menarik diperbahaskan, Iman membawakan bagaimana orang miskin tidak sempat melakukan perubahan kerana mereka sibuk dengan urusan “kelangsungan hidup”, manakala orang kaya tidak melakukan perubahan kerana mereka telah selesa, Iman bertanya “di mana jalan penyelesaiannya?”. Saya kira jawapan kepada persoalan ini ada di dalam sejarah, kerana jika tidak, masakan kita lihat perubahan-perubahan berlaku dalam sejarah, jika semua manusia tersepit dalam dilema ini kita tidak akan punya revolusi atau pemberontakan. Jawapanya adalah pada kewujudan insan-insan radikal, mereka yang merasakan prinsip itu lebih penting dari “kelangsungan hidup” dan “keselesaan”, mereka adalah ejen perubah sepanjang zaman. Howard Zinn, sang sejarawan agung pernah membawa konsep “civil disobedience”, dimana mereka yang radikal yang melawan undang-undang adalah mereka yang membawa perubahan.
Iman juga ada membincangkan perihal-perihal agama, contohnya beliau menghuraikan Surah Al-Maa’uun yang membawakan keperluan untuk Muslim menterjemahkan agama ke dalam aktiviti membangun masyarakat. Agama bukanlah sekadar amalan-amalan ritual untuk individu mengejar pahala untuk dirinya, tetapi perlu ada usaha dalam membaiki masyarakat seperti memperkasa anak-anak yatim serta mengangkat kesusahan golongan miskin. Orang agama yang mementingkan diri, sibuk dengan ritual tetapi meninggalkan masyarakat, adalah pendusta agama. Dalam pen-definisi-an perkataan “kafir” beliau membawakan maksud yang dinukilkan oleh Asghar Ali, iaitu kafir itu bukan bermaksud penolakan tauhid tetapi penolakan terhadap keadilan, kafir didefinisikan sebagai penindasan terhadap golongan yang lemah. Bagi mereka yang tidak pernah membaca Asghar Ali, definisi ini mungkin kedengaran agak janggal dari tafsiran agamawan tradisional. Sememangnya Asghar banyak menafsir semula konsep-konsep agama ke dalam bahasa yang lebih umum, mencakupi seluruh manusia, dan menekankan nilai-nilai revolusioner dalam agama.
Saya kurang bersetuju dengan penulis dalam perbahasan beliau berkenaan dengan “Alam dan Manusia” yang menyuruh kita belajar dari haiwan. Saya bersetuju bahawa kerosakan yang dibawa oleh manusia lebih teruk dari haiwan, haiwan yang “memburu sekadar untuk makan sehingga kenyang”, tapi penyelesaiannya saya kira bukanlah mengamalkan undang-undang rimba. Walaupun Iman tidak menulis secara explicit berkenaan dengan Darwinisme, beliau ada mengungkapkan perihal proses evolusi. Evolusi tidak boleh memberi kita moral dan etika.
Buku Yuval sebagai contoh, mengatakan semua perkara yang boleh dilakukan secara biologi adalah natural, dalam konteks ini apa yang Hitler lakukan adalah natural kerana ia “boleh dilakukan secara biologi”. Sains tidak dapat memberi kita moral, ia boleh menjawab persoalan-persoalan emperikal bukan moral. Jadi saya tidak setuju dengan belajar dari haiwan kita boleh melahirkan masyarakat yang tidak diskriminatif. Nazi menghapuskan bangsa Yahudi juga adalah kerana mereka beriman dengan biologi dan evolusi, kerana pada keyakinan mereka bangsa German adalah bangsa yang lebih develop dalam hiraki evolusi berbanding bangsa lain (social darwinism). Malah Darwin sendiri tidak setuju kita membantu manusia yang lemah, kerana menurut natural selection dan survival of the fittest, yang kuat perlu menang dan membiak manakala yang lemah perlu dibiarkan mati. Mencari moral dari evolusi hanya akan melahirkan moral nihilism.
Banyak lagi persoalan-persoalan yang dibangkitkan di dalam buku ini yang mengayakan minda dan mencabar pemikiran seperti apa yang dimaksudkan dengan kebenaran. Antara perkara yang dibincangkan yang sangat menarik perhatian saya adalah perbahasan-perbahasan berkenaan dengan alam. Perbahasan ini saya kira jarang diangkat oleh penulis lain (atau mungkin saya yang ignorant dalam subjek ini). Perlawanan orang kampung untuk menghentikan projek pelupusan sisa di Bukit Payong yang dibincangkan dengan mendalam pada saya merupakan sejarah rakyat yang penting. Oleh itu saya merasa sangat sayang sekali jika naskah ini tidak dikatalog dan diindeks oleh Perpustakaan Negara, kerana sejarah rakyat ini mungkin tidak boleh dirujuk oleh pengkaji akan datang.
Kritik beliau buat alam persekolahan adalah satu perenungan yang sangat baik, bagaimana sistem pendidikan kita membunuh sifat “kecurigaan” dalam diri anak-anak, sebaliknya membentuk mereka menjadi mesin untuk menghafal informasi untuk dimuntahkan ke kertas peperiksaan. Walaupun saya bersetuju dengan kritik pendidikan ini namun saya mempunyai kesimpulan yang berbeza, kesimpulan saya bukanlah home-schooling walaupun saya hormati ibubapa yang memilih option tersebut. Bagi saya sistem yang lemah itu perlu diperbaiki bukan ditinggalkan. Bagi saya institusi sekolah, pengajarannya bukan sahaja perkara-perkara formal, banyak perkara yang tidak formal kita belajar di sekolah seperti belajar berkawan. Juga tak semua orang mampu untuk melaksanakan home-schooling, mungkin bagi ibubapa yang kedua-duanya buruh mereka tidak punya masa dan tenaga untuk melakukannya kerana tuntutan hidup. Juga bagi saya, kelemahan sekolah itu perlu ditampung oleh ibubapa di rumah, pendidikan seharusnya dilihat secara keseluruhan, tidak adil jika kita menolak semua tanggungjawab pendidikan kepada sekolah.
Iman menulis perihal pendidikan tinggi, berkenaan dengan kajian “thesis-thesis tak guna budak-budak degree sampai PhD. Tunggu masa dibuang atau dikitar semula”. Di sini saya secara umumnya bersetuju, kebanyakan thesis-thesis ini dilambakkan di perpustakaan akademik yang tak dibaca oleh manusia. Seharusnya, thesis-thesis ini dibukukan, diolah semula ke dalam bahasa masyarakat agar ia menjadi ilmu yang berguna. Kebanyakan kita menggunakan pengajian tinggi hanya sebagai tiket untuk mendapat pekerjaan, membaca kritikan ini membuatkan saya tersedar. Ada benarnya, seharusnya kita belajar kerana ingin tahu dan meningkatkan ilmu.
Dalam perbahasan beliau berkenaan dengan “Masyarakat dan Negara”, saya tertarik dengan perbahasan kawalan media, pemerintah yang mengawal media dapat memastikan isu apa yang dimainkan dalam masyarakat, jika sesuatu isu yang merugikan pemerintah dibahas masyarakat, mereka perlu segera mencipta isu-isu remeh-temeh yang tidak bermanfaat untuk diputarkan bagi mengalih perhatian. Sedikit sebanyak mengingatkan saya berkenaan dengan buku Manufacturing Consent tulisan Herman dan Chomsky.
Akhir sekali, isi yang saya ingin ulas perihal naskah ini adalah keperluan kepada kekuatan spiritual dalam menjamin perubahan yang bertahan lama. Beliau mengulas dapatan SH Al-Attas bahawa yang menjadikan revolusi agama bertahan lama berbanding revolusi ideologi kiri seperti Komunisme adalah kekuatan spiritual mereka. Kita melihat bagaimana eksperimen sosial untuk mengunapakai sistem Komunis di Soviet yang tidak menekankan keperluan spiritual, atau menafikan tempatnya dalam hidup manusia, namun apabila Soviet runtuh, manusia kembali mencari kekuatan spiritual mereka, agama-agama yang disangkakan mati hidup semula.
Tahniah diucapkan buat saudara Iltizam Iman atas penerbitan buku sulung beliau ini. Naskah ini saya kira sangat baik dalam mengangkat persoalan-persoalan pemikiran, perspektif hidup, kelestarian alam, juga sikap-sikap kita mendepani politik dan pemerintahan. Semoga kita dapat menggeluti fikiran-fikiran beliau dalam naskah-naskah yang akan datang.
July 1, 2020
There is no health without mental health

Oleh: Tulip Ungu
Tujuan aku menulis kali ini adalah kerana aku rasa aku perlu berkongsi pengalaman aku dan menyebarkan kesederan kepada semua tentang kepentingan kesihatan mental.
Sebagai permulaan, aku ingin bercerita tentang pengalaman aku dimasukkan ke dalam wad psikatri pada 28 Jun 2020 setelah melakukan aktiviti mencederakan diri dan cubaan membunuh diri.
Jujur, ini adalah kali pertama aku kantoi dan terpaksa dihantar ke hospital kerana tidak mampu mengawal perasaan diatas beberapa tekanan yang sedang aku alami.
Suasana didalam wad itu tidaklah seperti wad wad lain yang biasanya kita masuk ataupun melawat. Ia juga tidak sama seperti yang dipamerkan di media massa.
Keadaannya amat tertutup dan dikawal ketat, manakala kami sebagai pesakit tidak dibenarkan untuk memegang apa-apa alat perhubungan serta barang peribadi.
Ada ketika, aku berfikir seperti dipenjara, kerana jadual pemakanan serta waktu tidur dikawal ketat disamping sesi terapi dan pemerhatian oleh doktor yang bertugas.
Layanan disana juga agak berlainan dari wad biasa. Di dalam wad itu, kami perlu mendengar cakap dan tidak menimbulkan apa-apa kekecohan yang boleh membuat kami dikawal dengan lebih ketat.
Sungguh, aku berasa sedikit terganggu dengan suasana baru itu namun demi kesihatan mental aku sendiri aku harungi juga rasa tidak selesa itu.
Setelah dua hari “bercuti” didalam wad tersebut, aku kembali waras dan boleh keluar dan meneruskan rawatan secara berkala. Aku bersyukur kerana tidak di hantar ke Hospital Bahagia dan dapat menjalani hidup seperti manusia lain.
Nasihat aku, bersama la kita cakna akan keadaan orang sekeliling kita dan tidak terlalu memghukum kepada mereka yang menghidap penyakit mental. Kita tidak tahu andai kata perbuatan mahupun kata kita memberi impak negatif kepada seseorang hingga menjadi asbab kepada sesuatu yang tidak baik.
June 24, 2020
Ideologi Komunis di import Belanda ke Indonesia

Oleh: Muhammad Syahmi Ibrahim
Ajaran komunis tidak wujud hasil daripada kehendak semula jadi rakyat tetapi ia dibawa dari dunia luar. Ia juga tidak diimport dari negara Soviet atau China, malah dibawakan khas dari negara Belanda antaranya ialah N.J.E Snevliet, Baars, J.E.Stokvis, Gramer, Van Bornink dan Van Genedren. Kemudian barulah lahir tokoh-tokoh tempatan seperti Semaun, Darsono, Tan Melaka, Alimin, Prawirodirjo.
Kemasukan ideologi komunis ini bertitik-tolak daripada kemerosotan kekuasaan Belanda di Indonesia untuk melawan pengaruh ajaran Islam. Walaupun Belanda mampu menggunakan kekuatan tenteranya bagi menundukkan orang-orang Islam, namun hakikatnya, mereka terpaksa menelan belanja yang tinggi.
Pada awal abad ke-20, kekuatan umat Islam mula menampakkan sinarnya dengan munculnya sebuah perkumpulan yang diberi nama Syarikat Islam. Dan pada masa ini juga, penentangan Islam melalui senjata sudah mulai berkurang dan mereka banyak menggunakan saluran berorganisasi dan berpolitik.
Ternyata jalan yang digunapakai oleh kelompok Islamis membuahkan kesan yang besar terhadap penduduk Indonesia. Setiap kongres, rapat umum, musyawarah memainkan peranan penting bagi menaikkan semangat untuk menentang penjajah melalui tekanan yang diberikan.
Melalui penelitian Snouck, beliau menyatakan bahawa cara yang paling ampuh untuk menghancurkan Islam adalah dengan membawa ajaran-ajaran yang merosakkan ke Indonesia. Mereka memutuskan untuk membawa kefahaman komunis berbanding semangat nasionalisme.
Mereka tidak menyebarkannya secara terang-terangan, tetapi melatih dan mendakyah beberapa orang tempatan sehingga jiwanya sebati dengan komunis kemudiannya dihantar masuk menyusup ke dalam Syarikat Islam. Maka setiap kali ingin memutuskan sesuatu perkara, akan berlakulah perbalahan sesama ahli dan juga pemimpinnya iaitu antara ahli syarikat yang asli dengan boneka penjajah Belanda yang berfikiran komunis.
Dampak daripada kemasukan ahli-ahli komunis ini dalam Syarikat Islam, maka tersebar luaslah ajaran komunis ini kepada ahli yang lain. Kesannya, berpecahlah Syarikat Islam kepada dua kelompok yang besar, yang satu masih berpegang kepada ajaran tauhid dan satu lagi telah diracuni oleh ajaran komunis.
Maka berhasillah usaha penjajah Belanda untuk memusnahkan kesatuan umat Islam yang kuat dibawah bumbung Syarikat Islam. Harus diingat bahawa tokoh-tokoh besar komunis di Indonesia kebanyakannya adalah orang-orang Melayu-Islam.
Sumber: Sejarah Islam di Indonesia – Dr Wan Ahmad D.S
Ingin membeli buku-buku keluaran Jejak Tarbiyah, Iman, Patriot, Gerak Budaya, DBP, ITBM dan sebagainya, boleh klik disini . Juga jika anda ingin membeli kerepek ubi pelbagai rasa, boleh klik disini.
June 20, 2020
Impasse: Antara Realis dan Idealis

Di blok pembangkang hari ini kita lihat keadaan masih kucar-kacir. Pada mulanya mereka kelihatan konfiden, katanya ada 129 kerusi, kemudian katanya mahu mengumumkan calon perdana menteri untuk counter-coup dalam seminggu, namun selepas seminggu, hanya mampu tampil dengan permohonan maaf kerana tiada kata sepakat boleh dicapai, dalam kata lain mereka sekarang dalam impasse.
Dalam impasse ini kita melihat dua blok. Satu blok adalah blok realis yang mahukan Mahathir, sosok negarawan untuk diangkat sebagai perdana menteri kali ketiga. Hujah mereka, walaupun sudah berkali-kali kombinasi ini gagal, hanya dengan sosok negarawan ini mereka boleh mengumpul kerusi yang cukup. Walaupun pembaca yang cermat mungkin akan bersoalan, dimana mandat rakyat yang mereka laungkan jika kerusi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan? Apa-apa pun, Parti Aksi Demokratik (DAP) dalam hal ini duduk bersama kelompok realis, dan apabila mereka telah menyatakan kedudukan mereka, Parti Amanah istiqomah mengekori rapat keputusan tuan mereka. Formula yang telah gagal pada 1998 dan 2020 harus dicuba lagi. Mantan Menteri Pendidikan yang gagal menghapuskan tol di Simpang Renggam juga duduk dalam lingkungan kem realis ini, maka beliau terpaksa menjaja “teori galah”.
Kem kedua adalah kem idealis, kem ini dipenuhi oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu menaikkan Anwar Ibrahim. Antara yang awal menulis karangan adalah angkatan muda, katanya “sudah-sudahlah memilih lesser between two evils” sudah tiba masanya berprinsip walaupun kemenangan memakan masa. Pengikut yang cermat mungkin bersoalan, dahulu ketika ramai anak muda yang kecewa dengan hujah lesser of two evils ini, atau dalam bahasa yang lebih Islamik “mudharat yang lebih kecil”, dan anak muda ketika itu protes dengan membawa idea undi rosak, angkatan muda-lah yang menjaja idea memilih lesser evil ini di pentas-pentas forum. Mengangkat semula rangka yang sudah ditinggalkan. Hari ini mereka sudah tidak beriman dengan hujah yang mereka sendiri dahulu jaja.
Impasse ini kelihatannya belum berakhir. Realis dan idealis masih belum mencapai kata sepakat, walaupun nama mereka pakat-an. Jika orang tanya saya, antara idealis dan realis ini siapa yang akan menang?
Saya akan menjawab, Azmin Ali telah menang, kerana dia opportunis.
June 6, 2020
Reviu: The Equalizer 2 (2018)

Di kala dunia sedang marak dengan kemarahan berkenaan pembunuhan George Floyd yang menjadi simbol penindasan terhadap African American, filem The Equalizer 2 (2018) lakonan mantap Denzel Washington sedikit sebanyak membangkitkan nilai kehebatan bangsa mereka di persada perfileman. Amaran awal, reviu ini mungkin mengandungi spoiler.
Opening scene filem ini dimulakan dengan permandangan kerta api lama yang di Turki menuju ke Istanbul. Bagi saya secara peribadi, mana-mana filem yang bermula dengan babak kereta api semacam mempunyai aura hebat yang tersendiri, menarik dari segi cinematography. Mengingatkan kita tentang filem-filem seperti Harry Potter dan Narnia. Kepada saya secara peribadi mengingatkan saya tentang kereta api Krasnaya Strela yang selalu saya naiki dalam pengembaraan saya di Rusia satu ketika dahulu.
Salah satu kelebihan menonton filem adalah ia membantu kita melihat perspektif lain, yang tidak mungkin dapat kita lihat dalam kaca mata kehidupan peribadi kita. Filem ini sebagai contoh membawakan perspektif seorang pesara agen perisikan keselamatan bernama Robert McCall. Setelah bersara, beliau memilih untuk hidup sederhana dengan menjadi pemandu kereta. Dalam masa yang sama beliau menggunakan skil yang dia ada untuk membantu masalah penumpang-penumpanya terutamanya dalam kes-kes jenayah. Beliau juga membantu seorang anak muda untuk mencari arah kehidupan.
Salah satu perkara yang saya minati tentang filem ini adalah pembawaan main character yang suka membaca. Banyak scene-scene McCall membaca buku, meminjamkan buku, malah ada scene beliau ke kedai buku untuk mengambil buku yang dia pesan. Antara buku yang ditampilkan dan dicadangkan adalah buku tulisan Ta-Nehisi Coates Between the World and Me, yang berbicara berkenaan dengan masalah perkauman di Amerika yang mungkin dapat membantu kita memberi perspektif terhadap apa yang berlaku kepada George Floyd.
Antara perkara yang mencuit intelek saya adalah perbincangan McCall dengan Dave, apabila McCall berjaya memahami bahawa kes pembunuhan kawannya Susan Plummer adalah konspirasi dalaman yang diketuai Dave. Dave dalam hujahnya untuk menjustifikasikan pembunuhan Susan membawakan argument moral nihilism yang berpaksikan teori evolusi semulajadi (natural evolution). Bagi Dave, apa yang dilakukan hanya merupakan kehendak biologi, tidak wujud apa yang dikatakan moral, nilai, baik atau buruk. Moral nihilism bersumberkan biologi ini juga boleh kita jumpa jika kita membaca buku tulisan Yuval Noah-Harari dimana beliau mengatakan “apa-apa yang boleh berlaku dari sudut biologi adalah natural“.
Filem ini bagi saya boleh dikatakan perfect kecuali ending-nya yang agak kelakar dan tidak masuk akal. Mungkin ini sahaja kritik saya terhadap filem ini. Saya tidak nampak apa perlunya Dave untuk mengekori McCall ke sebuah pulau bersama dengan pasukannya untuk dikalahkan. Jika benar Dave merupakan agen perisikan keselamatan pasti dari awal dia menyedari bahawa itu adalah perangkap. Walaupun happy ending seperti tidak masuk akal.
Begitu pekat, pembawaan isu menaikkan martabat sosial kaum African American, bukan sahaja buku Ta-Nehisi Coates, diakhir filem ini juga terlihat gambar Frederick Douglass seorang tokoh reformis sosial anti-perhambaan. Walaupun gambar tersebut kelihatan subtle dan ‘seolah-olah’ tidak disengajakan untuk ditonjolkan, namun bagi mereka yang mempunyai mata yang tajam dan peka dengan isu kaum kulit hitam, mereka pasti tidak akan ‘terlepas’ akannya.
Filem ini diakhiri dengan satu quote yang sangat powerful, apa yang perlu kita tinggalkan terhadap orang disekeliling kita, keluarga, sahabat, dan orang-orang yang pernah kita sentuh kehidupannya di dunia “I leave you the best of myself”.
May 30, 2020
Ketidaksempurnaan Tuhan, antara Misotheism dan Dystheism

Oleh: Nuraqal Auji
Seringkali kita tidak sedar bahawa apabila timbulnya rasa geram, benci, meluat, marah, kecewa dan apa-apa jua perasaan yang diekspressikan dengan perkataan yang berkonotasi negatif kepada Si Pembuat, Pencipta kepada alam dan manusia, The Architect, Si Jurutera, The Intellect, The One atau sesetengah dipanggil dengan gelaran The Unmoved Mover. Sedar atau tidak sedar, ini merupakan suatu penetapan minda (mindset) yang disalurkan menjadi suatu perasaan yang geram dan marah pada Tuhan, itulah dipanggil sebagai Misotheism.
Apa sebenarnya Misotheism?
Misotheism adalah “suatu mindset yang kecenderungannya dipaparkan melalui perasaan secara berterusan atau perasaan secara berselang seli timbulnya rasa amarah atau rasa geram pada Tuhan apabila timbulnya sesuatu peristiwa atau situasi atau keadaan yang tidak enak dan tidak menyenangkan manusia samada dari seluruh aspek atau sesetengah aspek sahaja”.
Boleh jadi asalnya Misotheism ini adalah berpunca dari kepercayaan pada banyak dewa dewi (Polytheism), dimana sesetengah dewa dewi ini mempunyai separuh sikap baik dan separuh sikap buruk. Akibat adanya sikap buruk dewa dewi, maka manusia memikirkan cara bahawa ianya sesuatu yang mungkin untuk mengenakan hukuman bagi dewa dewi dengan cara berhenti dari melakukan sebarang penyembahan dari segala apa jua bentuk. Samada berhenti dari melakukan sebarang pengorbanan jiwa ataupun pengorbanan harta.
Selain itu, secara ringkasnya dalam versi yang lain, Misotheism juga lahir dari suatu persoalan dari tamadun greek kuno, iaitu Epicurus, atau disebut sebagai “Teka Teki Epicurus” yang telah menzahirkan tentang persoalan “Asal-usul masalah kejahatan”, iaitu secara ringkasnya menyatakan jika Tuhan itu Maha Baik, Maha Perkasa dan Maha Mengetahui, kenapa Tuhan membiarkan segala Kejahatan berlaku (“Kejahatan/Evil” disini termasuklah linkungan kemiskinan, sengsara, kesakitan, pembunuhan, kebuluran, penyakit atau wabak, kehodohan, kekejaman dan seumpamanya). Atas dasar ini, maka lahirnya sejumlah manusia yang merasakan geram, marah dan benci pada Tuhan.
Perkaitan Misotheism kebiasannya akan “melahirkan” kembar akrabnya yang disebut sebagai “Dystheism” dan “Atheism”
Kita tak perlu fokus kepada Atheism dalam penulisan saya kali ini, tapi kita masuk sedikit dengan pemahaman tentang Dystheism dan penekanan kepada Misotheism.
Dystheism adalah suatu pemahaman dimana Tuhan itu tidaklah Maha Sempurna, Dia tidak mempunyai kualiti-kualiti sebagai Tuhan yang sepatutnya, dan antara linkungan lain yang terkandung dalam sesetengah mazhab Dystheism yang lain mengatakan adalah tak mustahil Tuhan itu juga jahat, ada juga mazhab Dystheism yang mengatakan Tuhan itu baik, tapi dalam perkara lain cenderung mengatakan Tuhan itu juga tak mengetahui segala-galanya, yang pasti apa pun mazhab Dystheism, semua setuju dengan satu poin utama iaitu “Tuhan ada kekurangan dan mungkin salah dalam membuat prediction” cuma samada kekurangan itu dalam semua perkara atau hanya kekurangan dalam bab-bab tertentu.
Maka perlu diingat disini, bermula dengan persoalan “asal usul masalah kejahatan” yang ditimbulkan Epicurus dan disertai dengan apabila ada rasa perasaan geram pada Tuhan atas segala musibah samada secara berterusan atau perasaan geram itu timbul berselang seli, maka itu adalah sikap yang cenderung kepada seorang Misotheist, kebiasaannya dari individu Misotheist akan melahirkan pula fahaman Dystheism.
Kenapa penting tahu pasal Misotheism dan Dystheism? Ada kaitankah dengan kita?
Jika kita telusuri dengan lebih cermat, kita akan dapati ada juga segolongan manusia yang mengamalkan sikap Misotheist iaitu percaya adanya Tuhan tapi membenci Tuhan, contohnya:
1. Kenapa Allah jahat pada aku? Aku berupa hodoh, tak cukup dengan itu keluarga aku miskin tak mampu menanggung kos pembelajaran yang mahal belaka. Ada juga yang secara konteks global mengatakan, kenapa Allah yang Maha Perkasa tak turunkan pertolongan pada Palestin, Rohingnya dan sebagainya dari langit?
2. Ada Misotheist yang menyampaikan rasa marahnya pada Tuhan dengan cara penulisan (kalau zaman dulu cara mereka buat adalah berhenti melakukan penyembahan). Zaman sekarang dilakukan dengan cara menulis novel, boleh jadi menulis artikel, atau membuat filem-filem yang menjurus kepada membenci atau meluat pada Tuhan.
3. Ada Misotheist yang apabila dia solat atau beribadat, dan tak dapat apa-apa, maka dia menyatakan “buat apa aku solat kalau mungkar masih aku buat dan buat apa kalau aku solat, kalau aku tak pun menjadi kaya”. Bunyinya macam pernah kedengaran jika sesiapa yang rajin terlibat dalam medan dakwah, ada bunyi rasa kecewa kerana tak terpenuhi harapan tertentu dari apa jua ibadah yang dibuat pada Dia. Seseorang itu mungkin percaya pada Allah, tapi jika adanya rasa marah dan rasa kecewa itu kemudiannya ditonjolkan dengan meninggalkan solat (atau hal-hal wajib yang lain) secara berterusan. Ini adalah sikap seorang misotheist samada sedar atau tidak.
Dan macam-macam lagi contoh lain. Dapat disimpulkan sedikit secara ringkas Misotheism boleh dipaparkan dalam berbagai bentuk, samada membenci Tuhan dalam bentuk penulisan, dalam bentuk filem, dalam bentuk meninggalkan ibadah kepada Dia samada secara sebahagian atau meninggalkan ibadah secara keseluruhan yang disertai ada rasa kecewa dan meluat. Adakah ada sikap Misotheism dan Dystheism ini dipaparkan dalam al-Quran? Perhatikan sikap manusia sebelum ini, semoga menjadi benteng untuk diri kita dan diambil pengajaran:
“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil – kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah)…”
(Al-Maidah:64)
Orang terdahulu berkata Allah itu kedekut ( boleh jadi individu tersebut seorang yang mengaku Allah/Deus/Elohim itu Maha Kaya, tapi dengan nada marah dan geram mengatakan Allah itu kikir dan membuat aniaya, maka sedar atau tidak dialah seorang misotheist dan boleh jadi juga dia seorang dystheist apabila dia yakin Allah atau elohim itu bukanlah Maha Kaya, ada sifat kekurangan, sebab itu Dia kedekut atau kikir dalam memberi)
Ayat seterusnya yang lebih menjurus kepada sikap Misotheism adalah:
“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan- ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. ”
(At-Taubah: 32)
Jama’ah Jum’at rahimakumullah, dalam Tafsir Ibnu Katsir dijelaskan, orang-orang kafir yaitu musyrikin dan ahli kitab (Yahudi dan Nasni) ingin memadamkan cahaya (agama) Allah, ertinya (ingin memadamkan) apa yang dibawa utusan Allah yaitu petunjuk dan agama yang haq (benar) ingin mereka padamkan dengan bantahan-bantahan dan kebohongan-kebohongan mereka. Jika dilihat dalam konteks zaman sekarang, mereka dan golongan murtad serta Atheist berusaha memadamkan cahaya Allah dengan penulisan-penulisan dan filem-filem mereka, mereka (Misotheist dan Dystheist) yakin wujudnya Tuhan, tapi membenci Tuhan atas kedengkian mereka, salah satu mindset dan sikap seorang misotheist ada dipaparkan dalam diri mereka.
Rentetan dari persoalan “Asal usul masalah kejahatan” yang dari persoalan itu kemudiannya melahirkan Misotheism, dan dari Misotheism kebiasannya ia juga turut melahirkan Dystheism. Tetapi Dystheism boleh juga lahir walaupun tanpa melalui pemahaman Misotheism, dan tidak menolak kemungkinan kedua-dua fahaman itu juga menjadi kunci manusia juga menuju menjadi atheist, harap tak rasa keliru disini.
Apa itu Dystheism?
Ia adalah konsep atau mindset bahawa “Tuhan tidaklah Maha Sempurna” , jika dicermati dengan sebenar-benarnya, bukan sahaja wajib dipaparkan hanya melalui Percakapan mulut semata-mata dengan berkata:
“Tuhan tak Maha Perkasa, sebab sengsara mangsa Rohingya tak selesai, Tuhan tak Maha Kayalah sebab aku minta kekayaan sejak sekian lama, tapi aku belum dapat, tapi bila aku usaha sendiri baru aku dapat”
Ataupun cuba berfikir seperti:
“Dimana ketepatan Allah apabila perihal ramalan hujan dan kandungan bayi pada zaman sekarang manusia dah semakin hampir membina suatu teknologi yang membolehkan manusia kadang-kadang tepat dalam meramal cuaca dan melihat kandungan dalam perut ibu menggunakan scanning technology”
Tetapi konsep atau pemahaman Dystheism “Tuhan tidak Maha Sempurna” itu juga termasuk apabila dizahirkan melalui perbuatan yang bercanggah dengan apa yang dicakap oleh mulut, contohnya:
Contoh Dystheism dalam aspek hablumminallah (hubungan manusia dengan Allah):
“Aku solat, tapi Dia seakan tak beri aku kekayaan, mana Maha Kaya kalau macam tu, lebih baik tak solat” atau “Aku solat, tapi tetap aku buat kemungkaran, sedangkan Dia janji kalau solat aku tak buat kemungkaran, mana bijaksana Dia”
Contoh Dystheism dalam aspek hablumminafsih (hubungan manusia dengan diri sendiri)
“Ya lah, Allah memang Maha Memelihara, tapi Kalau aku pakai tudung pun rasa riak buatapa, atau kalau kau pakai tudung pun hipokrit buat apa, bukan ada jaminan pun pakai tudung tu terpelihara maksiat, walaupun Allah kata terpelihara maruah dan dari maksiat, tapi tengok yang pakai tudung lebih mengada ngada tak jaga maruah dan lagi kuat buat maksiat, bercanggah dengan seperti yang Allah firman, tengok sahaja dalam aplikasi terkenal sekarang bernama Tik Tok, majoriti yang pakai tudung itu tak seperti yang Maha Memelihara dan yang Maha Bijaksana itu firman dalam quran, tak sama dengan realiti, jangan cakap nak tegur saya pula untuk pakai tudung ya”
Contoh Dystheism dalam aspek hablumminannaas (hubungan manusia dengan manusia yang lain):
“Aku yakin Allah itu Maha Sempurna dan Maha Bijaksana, tapi dalam konteks bagaimana ingin menerapkan Islam sebagai suatu sistem Pemerintahan dan dalam konteks sistem ekonomi lebih relevant memegang capitalism yang asasnya ribawi, kerana tanpanya bagaimana ekonomi negara hendak survive.
Dilihat percakapan itu bercanggah dengan apa yang diperbuat, maka walaupun mulut berkata “Aku yakin” tak kira samada dalam konteks hablumminallah, dalam konteks hablumminafsih dan dalam konteks hablumminanaas tapi secara perbuatan mengzahirkan tidak yakin dengan “Kesempunaan Allah dan tidak yakin dengan Allah yang Maha Bijaksana” yang telah menurunkan Rasulullah dan menunjukkan kepada orang-orang beriman metod khusus dalam ruling system dan sistem ekonomi, bukan dengan sistem lain yang tidak diwahyukan dan memegang erat dengan sistem yang sedang digunapakai sekarang ini sehingga begitu dipertahankan dengan bermatian-matian, walhal dari sistem sekaranglah, lahirnya beribu kefasadan, kesyirikkan dn segala jenis isme-isme yang semakin tampak dari semasa ke semasa seperti kanser.
Tanya diri, adakah Allah ada kekurangan hingga tak menurunkan suatu metod dan tak menurunkan ruling system dan sistem ekonomi khusus dalam mengatur sebesar besar perkara bagi kestabilan dan keselamatan manusia sejagat?
Fikir-fikirkan adakah kita sebagai orang-orang yang mengaku beriman ini begitu loser dan pessimist hingga termasuk dalam kalangan Misotheism dan Dystheism samada secara partial atau secara keseluruhan?
Disclaimer: Penulisan artikel ini ada kemungkinan terdapat jaiz aqli dari saya dan bertujuan untuk mengintrospeksi diri samada diri ini pernah mempunyai mindset sedemikian atau masih mempunyai mindset sedemikian, jika masih sedemikian maka belum terlambat untuk berubah sesuai dengan keyakian penuh kepada Allah dan melaksanakan perintah Allah dan rasul secara menyeluruh, artikel ini tidak berniat untuk menghukum para pembaca, tapi para pembaca termasuk diri sayalah yang boleh membuat self-analysis setakat mana dan dimana kita sebenarnya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Semoga tidak disalah mengerti.


