Syed Ahmad Fathi's Blog, page 17

November 25, 2020

Filem Bumi Manusia (2019) Adaptasi Karya Pramoedya Ananta Toer





Baru-baru ini saya ada bersembang dengan Mel Van Dyk di Kultura Podcast Episod Ke-7 perihal penulisan novel. Saya sebelum ini ada memberikan draf novel yang sedang saya karang bertajuk ‘Ahansen Fabrea Budak Gombak‘. Penulisan novel itu masih diperingkat awal, tiada rancangan plot yang tetap lagi. Setelah membaca draf novel tersebut, Mel mencadangkan saya membaca novel-novel yang punya tema yang hampir serupa dengan bentuk novel olahan saya. Antaranya Merantau Ke Deli tulisan Hamka dan juga Bumi Manusia tulisan Pramoedya Ananta Toer.





Saya akui, saya memang kurang membaca novel, kebanyakan diet pembacaan saya adalah buku-buku non-fiksyen. Manakala Mel memang merupakan seorang yang banyak membaca novel (berbanding saya) dan beliau memang arif dan meminati karya-karya dari seberang yang sememangnya tangguh. Beliau membaca roman-roman Indonesia, menghayati musika mereka, mendalami filem dan sutradara seberang, juga menghadam bait-bait puisi saudara serumpun kita. Beliau adalah pintu bagi saya mengenali karya-karya hebat dari Indonesia. Kerana sudah banyak kali beliau mencadang, dan saya masih tidak baca-baca buku saranan beliau, beliau mencadangkan saya menonton sahaja filem Bumi Manusia yang merupakan adaptasi dari roman Pramoedya.





3 jam. Waduh lama sungguh, rungut saya. Namun perlahan-lahan akhirnya saya bisa menghabisi juga tontonan saya. Sememangnya karya-karya dari rumpun seberang berada di level yang lain, tema patriotis, dramatis, dan tragis begitu dalam meresapi jiwa.





Filem ini merupakan lakonan gandingan mantap Iqbaal Ramadhan dan Mawar Eva de Jongh sebagai watak utama. Latarnya merupakan zaman kolonial Belanda di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia. Ia mengisahkan bagaimana anak peribumi dibezakan dari kaum Eropah, dilema kemodenan versus jati diri ketimuran, juga perihal ketidak-adilan hukum Eropah dalam memberikan hak kepada peribumi. Pengajaran dari filem ini, banyak dapat digeluti dari dialog-dialognya yang meresapi.





Seseorang yang terpelajar perlu berlaku adil sejak di pemikirannya, apatah lagi pada perbuatannya.

Jean Marais




Dialog ini dirakamkan melalui perbualan Minke dengan sahabatnya, Jean Marais yang meyakinkan beliau untuk memberi kepercayaan kepada idea dan pemikiran sendiri. Dengan memberi peluang kepada pemikiran sendiri kita tidak memandang enteng kemampuan diri. Ia adalah manifestasi kebebasan dan keberanian.





Hidup bisa memberi segala kepada semua yang mau mencari tahu dan yang pandai menerima.

Ontosoroh/Sanikem




Ontosoroh yang dipanggil Nyai merupakan ibu mertua Minke. Ketika muda beliau dijual oleh bapanya untuk dijadikan isteri kepada seorang pemuda Belanda, Herman Mellema. Namun Herman tidak pernah menjadikan Ontosoroh sebagai isterinya yang sah, dan tidak bercerai secara rasmi dengan isteri pertamanya di Belanda. Nyai merupakan watak yang sangat patriotis, berkeyakinan, dan tidak pantas berputus asa. Meskipun tidak bersekolah, dan dijual dan dijadikan isteri tidak sah, beliau mempelajari Bahasa Belanda sehingga fasih, belajar mengurus perusahaan sehingga berjaya. Namun akhirnya semua hartanya dirampas kerana tarafnya yang tidak sah selepas kematian suaminya.





Meski pikiranmu telah maju, tetaplah menjadi Jawa yang fasih!

Ayu Laksmi




Ayu Laksmi merupakan ibu kepada watak utama, Minke. Meski pun bapanya tidak mempersetujui keputusan-keputusan Minke, Ayu Laksmi sentiasa memberi nasihat kepada anaknya, beliau sedar akan pergelutan pemikiran dalam diri anaknya. Nasihat beliau ini merupakan antara intipati terbesar karya ini, bahawa untuk menjadi moden tidak semestinya kita perlu menjadi Eropah.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 25, 2020 08:05

November 23, 2020

Jepun buat 2 perkara ini untuk majukan bola sepak mereka





Tahukah anda, pada era 80an, Jepun langsung bukan kuasa besar bola sepak. Bola sepak mereka sangat teruk sampai nak buat friendly dengan Malaysia pun susah. Jadi apakah yang dilakukan negara Jepun sehinggakan mereka menjadi negara bola sepak terbaik Asia dan pemain mereka menjadi rebutan kelab kelab ternama eropah? Di sini biar saya kongsi kan dua perkara asas.





Pertama, mereka memfokuskan kepada kemahiran teknikal dalam program akar umbi. Pada tahun 1993, jurulatih bernama Tom Byer telah membawa sistem latihan yang memfokuskan kepada kemahiran teknikal seperti kawalan bola dan corak permainan yang mantap. Beliau mengenal pasti yang pemain di Jepun kurang dari segi kemahiran teknikal. Antara pemain antarabangsa Jepun yang berjaya beliau lahirkan menerusi sistem ini adalah bintang bola sepak Jepun Shinji Kagawa. Jepun bukan sahaja memfokuskan kepada sistem akar umbi yang yang kuat malah mereka juga mempromosikan program itu secara meluas ke suluruh Jepun sekaligus memperluaskan lagi ‘pool of players’ yang mereka ada.





Kedua adalah memfokuskan kepada pembangunan Liga Bola Sepak Profesional mereka. Sebelum awal 90an, Japan Soccer League (JSL) sendu tanpa penyokong. Bagi mengatasi masalah ini, JSL telah dijenamakan semula kepada J League yang kita kenal sehingga ke hari ini. Tidak seperti di negara negara yang lain, kelab bola sepak di Jepun ketika itu mewakili syarikat besar sebagai contoh Nissan dan Tokyo Gas. Bagi memperluaskan lagi ‘fan based’, J league telah meletakkan syarat kepada pasukan yang bertanding untuk memilih satu bandar atau kawasan untuk mereka wakili lantas lahirlah pasukan Urawa Reds Diamond yang dahulunya dikenali sebagai Mitsubishi FC dan FC Tokyo yang dahulunya Tokyo Gas FC.





Usaha ini berhasil apabila ramai penyokong bola sepak Jepun mula membanjiri stadium dan J League mula mendapat perhatian meluas media. Ini kerana penyokong mula merasakan kelab bola sepak di Jepun mula mewakili kawasan atau bandar mereka berbanding mewakili syarikat tertentu.





2 perkara asas yang dilakukan Jepun sekaligus membuahkan hasil apabila mereka berjaya layak secara merit ke Piala Dunia 1998 di Perancis. Malaysia bila lagi? atau kita sudahpun berada di landasan yang betul?

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 23, 2020 21:25

November 20, 2020

Kultura Podcast #7 : Vaksin Sinovac – suatu harapan atau sekadar hoax?

Pada beberapa hari yang lalu, tindakan kerajaan Malaysia yang menandatangani perjanjian dengan negara China untuk mendapatkan akses vaksin Covid-19 telah mengundang pelbagai persepsi masyarakat di Malaysia.





Pada episod kali ini, kami akan berbincang perihal vaksin Covid-19, syarikat farmasi gergasi kena denda, mat jargon cetak duit, golongan anti-vaksin dan perancangan menulis buku.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 20, 2020 17:41

November 13, 2020

Kultura Podcast #6 : “Kopi Talk” edisi pertama bersama Syed Ahmad Fathi.

“Kopi Talk” ini adalah sebahagian dari Kultura Podcast yang hanya sekadar sembang kosong mengenai hal semasa tanpa tajuk yang khusus. 





Baru-baru ini, kita ada melihat kes doktor yang disaman atas tuduhan fitnah dan kontroversi doktor yang menggunakan bahasa kesat di media sosial. Pada kali ini, kami di pihak editorial The Independent Insight akan berbincang perihal permasalahan segelintir pegawai perubatan dan etika kerja, PKPB, dan pengeluaran KWSP 1.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 13, 2020 19:30

November 7, 2020

Kultura Podcast #5 : Ijlal Naim berdiskusi tentang sistem perundangan Malaysia.

Benarkah profesion peguam di Malaysia kini mengalami influx yang kritikal dan berpendapatan tidak setimpal?





Pada episod yang kelima ini, Ijlal Naim akan berdiskusi tentang sistem perundangan Malaysia dan bidang kuasa mahkamah dari kaca mata seorang peguam.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 07, 2020 19:27

November 6, 2020

Kultura Podcast #4 :Syahir Muniar mengupas tentang eGames dan sisi gelap industri permainan elektronik dunia.

Pada tahun 2019, industri permainan elektronik di Amerika Syarikat telah mencatatkan keuntungan sebanyak USD 139 Billion, mengatasi industri perfileman, muzik, dan sukan secara total.





Pada sesi kali ini, Syahir Muniar selaku usahawan muda dalam industri eGames akan membahas impak permainan elektronik pada sektor ekonomi, dan masalah yang dihadapi oleh pembangun permainan elektronik dunia.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 06, 2020 19:19

Robert Fisk: Seorang Wartawan Kemanusiaan





Buku Buku Robert Fisk perihal tragedi peperangan di Timur Tengah merupakan buku yang paling besar dan tebal di dalam rak buku saya. Buku yang bertajuk The Great War for Civilization ini mengalahkan ketebalan buku Trotsky perihal sejarah revolusi Russia. Buku beliau saya beli 2 tahun lepas, namun sehingga hari ini saya takut untuk membacanya kerana terlalu tebal, mungkin saya akan abadikan setahun pada tahun hadapan untuk membaca buku tersebut.





Syarahan-syarahan beliau merupakan antara menu makanan kegemaran saya sekiranya saya merayau-rayau di Youtube. Pengalaman beliau sememangnya tidak dapat ditandingi. Pemikiran beliau penuh dengan penghormatan kepada nyawa dan penolakan pada peperangan. Robert Fisk merupakan sosok wartawan yang tidak asing dalam penulisan perihal perang dan konflik dunia. Beliau pernah 3 kali menemu ramah Osama bin Laden. Beliau juga antara wartawan yang ada di Shabra dan Shatila semasa pembunuhan pelarian Palestin berlaku semasa pencerobohan Israel di Lubnan pada 1982. Beliau melihat sendiri darah panas yang mengalir dari tubuh wanita yang dibunuh di kem pelarian dan pembunuhnya dilihat keluar dari pintu hadapan rumah. Fisk merupakan seorang wartawan yang sangat berprinsip, padanya tugas wartawan adalah untuk melaporkan keganasan yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa, terutamanya jika mereka berperang.





Selepas menyaksikan kekejaman perang demi perang, Fisk berubah menjadi sosok yang begitu anti kepada perang. Baginya ahli politik mudah mengishtihar perang kerana bukan mereka yang akan berperang, para presiden tidak pernah turun ke medan perang, menyaksikan tangan atau kepala yang berkecai ditusuk peluru dan bom. Kaca televisyen juga tidak menunjukkan imej-imej ngeri perang, mayat tidak ditunjuk kerana menghormati orang yang mati, padahal tidak dihormati semasa hidup sebelum dibunuh. Ini menjadikan masyarakat public tidak melihat sendiri apa sebenarnya perang, kemusnahan dan penderitaan yang dialami manusia. Mereka hanya memahami perang melalui kacamata Hollywood.





Pada 30 Oktober 2020, dunia menangisi pemergian Robert Fisk yang berumur 74 tahun. Beliau merupakan wartawan perang yang disegani di seluruh dunia. Tulisan kecil ini adalah tribute kecil buat beliau yang menyumbang besar kepada manusia dan kemanusiaan.





Fisk mendapat pengaruh kuat dari ayahnya perihal perang, ayahnya merupakan bekas askar dan sangat obses dengan perang, di rumahnya ayahnya menggantung gambar Churchill, hanya selepas ayahnya mati gambar tersebut diturunkan. Beliau berkhidmat di The London Times sebelum berhenti kerana bagi beliau integriti The Times telah dirosakkan selepas dibeli oleh Rupert Murdoch, untuk menjadi wartawan yang baik, bagi Fisk, beliau memerlukan seorang editor yang menerbitkan apa yang wartawan inginkan, bukan apa yang dimahukan oleh pemilik syarikat.





Bagi Fisk wartawan yang baik perlu diberi peluang untuk fokus kepada satu lapangan, memahami bahasa dan budaya setempat, bukan dipindah-pindahkan. Falsafah ini mungkin berbeza dengan apa yang diajarkan kepada kita hari ini, bahawa untuk survival masa hadapan, kita perlu menjadi seorang yang tahu serba serbi, tahu akan pelbagai pengetahuan umum, menjadi seorang yang generalist, bagi Fisk hal ini hanya menjadikan seseorang itu “knows about everything and everything about nothing”.





Bagi Fisk tugas sebagai wartawan yang melaporkan kepada dunia tentang situasi perang adalah tugas yang sangat berbahaya, membuatkan seseorang berasa sepi dan terasing, juga membuatkan seseorang jatuh murung melihat segala keganasan dan kengerian perang, tidak sedikit rakan-rakan wartawan beliau yang terkorban di medan perang. Bagi mereka yang ingin menjadi wartawan Fisk menasihatkan agar mereka perlu mempunyai minat yang tinggi, mereka juga perlu banyak membaca, bacaan wajib bagi beliau untuk wartawan perang adalah War and Peace tulisan Tolstoy yang mana bagi beliau memberikan pemahaman yang baik tentang apa itu peperangan. Selain itu pelajar bidang kewartawanan harus membaca puisi-puisi dari medan perang, juga sentiasa membawa buku sejarah di dalam beg mereka. Beliau sendiri kadang kala membaca 18 jam sehari.





Selain itu wartawan yang baik bagi Fisk perlu diberi kebebasan untuk menulis dengan penuh rasa marah dan menulis dengan jelas pihak mana yang melakukan kejahatan, bagi beliau jika dia menyaksikan pembunuhan, dia tidak akan teragak-agak untuk menulis siapa pembunuhnya dan kenapa dia membunuh. Dalam perang, bagi Fisk semua pihak melakukan kejahatan, kata beliau “there is no good guy in war”. Dalam filem kita mungkin didoktrinkan bahawa perang adalah perihal kemenangan dan kekalahan, tetapi sebenarnya perang adalah tanda kerosakan total pada diri manusia, perang adalah tentang kematian dan pembunuhan.





Tugas wartawan perang pada Fisk bukan untuk duduk mendengar kenyataan ahli politik, atau bersembang dengan pegawai diplomatik, atau menghadiri sidang akhbar, atau mendengar pandangan pusat pemikir perihal perang, tetapi tugas mereka adalah di jalanan, di medan tempur, di hospital, menyaksikan sejarah, menemubual mangsa dan memberi suara kepada mereka, dan menulis dan merekodkan penderitaan mereka. Wartawan bagi Fisk perlu ada di lapangan, jika tidak, bagi Fisk, tiada gunanya menjadi wartawan.





Apakah misi hidup Fisk?





Beliau menceritakan bahawa beliau pernah memasuki hospital di Beirut, dan melihat anak-anak yang telah putus tangannya, permandangan yang akan menyebabkan manusia biasa akan muntah setiap pagi, dan di kaca televisyen ahli politik bercakap perihal bagaimana genjatan senjata tidak boleh dilakukan. Bagi beliau para pemimpin dunia tidak kisah akan mangsa perang, kerana pengalaman perang mereka hanya melalui kaca televisyen, mereka tidak pernah menyaksikan kengerian perang di depan mata mereka. Kita perlu jujur dalam perkataan kita kata Fisk, bukan hanya Al-Qaeda melakukan jenayah perang tetapi semua pihak termasuk tentera Barat dan Amerika. Tugas wartawan adalah melaporkan semua ini kepada dunia sehingga dunia tidak boleh berkata “nobody tells me, I didn’t know”. Misi beliau adalah untuk memantau pusat-pusat kuasa, untuk mencabar authority setiap masa terutamanya apabila mereka berperang, membunuh manusia, dan menipu perihalnya. Bagi Fisk apa yang menyedihkan adalah kebanyakan wartawan tidak melakukan tugas ini, mereka hanya melaporkan apa yang diberitahu kepada mereka oleh pihak yang memegang kuasa, mereka berpelukan dengan pihak berkuasa, bagi Fisk mereka bukan wartawan tetapi hanya jurucakap penguasa.





Bagi Fisk apa yang dilihatnya sangat dahsyat sehingga ia memberinya semangat untuk menulis dengan lebih bebas, untuk melaporkan apa yang terjadi dengan benar. Fisk mengkritik wartawan Amerika yang tidak mahu menjadi sosok kontroversi, wartawan yang patuh kepada pihak berkuasa dan mahu hanya “safe journalism”. Mereka menulis menggunakan euphemism dan terma yang yang dibenarkan oleh pihak berkuasa, dalam konflik Palestin sebagai contoh, tembok ditulis sebagai pagar, dan penjajahan ditulis sebagai pertikaian, perkara ini memberi gambaran yang salah kepada pembaca, mereka akhirnya gagal memahami situasi sebenar, mereka tidak faham kenapa anak-anak Palestin membaling batu kerana pertikaian sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah sambil minum secawan teh.





Apa yang ditayangkan di kaca televisyen juga memberi kefahaman yang salah perihal perang. Televisyen tidak mahu menunjukkan imej-imej ngeri dari medan perang, kepala kanak-kanak yang berkecai, wanita yang cedera penuh dengan tusukan sisa bom, ia tidak dibenarkan ditayangkan. Mayat tidak ditunjukkan sebagai menghormati mereka yang telah mati, walhal ketika mereka hidup mereka tidak dihormati, mereka dijajah, dibunuh, tetapi apabila mereka mati mereka perlu dihormati? Hal ini tidak masuk akal bagi Fisk, tanpa menunjukkan imej-imej perang ini masyarakat gagal memahami apa itu perang, mereka tidak akan menentang pemimpin mereka yang melancarkan perang. Jika mereka melihat apa yang wartawan lihat di medan perang fikir Fisk, tiada siapa yang akan menyokong peperangan. Apabila imej-imej perang Vietnam keluar kepada masyarakat awam sebagai contoh, ia menjadi kemelut politik yang akhirnya menghentikan perang.





Pembunuhan pelarian Palestin di Shabra dan Shatila oleh Militia Kristian Phalange yang dihantar oleh Israel semasa pencerobohan Israel keatas Lubnan merupakan antara peristiwa yang mengubah pandangan Fisk kepada perang. Beliau antara individu yang merupakan saksi kejadian tersebut, beliau melihat sendiri pembunuh-pembunuh yang memasuki kem, mayat busuk bergelimpangan, mayat wanita yang darahnya masih panas mengalir, bagi beliau, beliau tidak pernah menyaksikan kekejaman seperti itu, ia membuatkan beliau termenung tanpa kata-kata, malam selepas pembunuhan itu beliau berubah dan mula menulis dengan penuh amarah perihal perang. Bagi beliau wartawan perlu menulis dengan marah perihal perang.





Apabila kekejaman berlaku, Fisk menolak konsep neutraliti, bagi beliau kita sentiasa perlu berpihak kepada mangsa kekejaman dan tidak bersifat neutral. Ia cocok dengan falsafah Howard Zinn yang mengatakan bahawa “you cannot be neutral on a moving train”. Kita perlu sentiasa menunujukkan pihak yang melakukan kekejaman, siapa pun mereka. Kita perlu mengutuk Syria apabila mereka melakukan pembunuhan di Hama, mengutuk Iraq apabila mereka membunuh, mengutuk Israel apabila mereka membunuh pelarian di Lubnan, mengutuk Palestin apabila mereka mengebom kanak-kanak. Bagi Fisk siapa sahaja melakukan kekejaman perlu dikutuk, dan kita berhak untuk tidak neutral dalam menghadapi kekejaman.





Fisk sentiasa melihat kebaikan pada masyarakat awam yang menjadi mangsa perang, beliau menceritakan bagaimana keluarga yang sedang dibedil oleh Israel, keluar ke jalanan untuk mambawanya masuk kerumah mereka agar dia tidak dibunuh, mereka melakukannya walaupun mereka tidak perlu melakukannya, walaupun mereka berbeza agama dengannya. Bagi Fisk, di Timur Tengah beliau hidup dengan manusia yang masih beriman dengan agama sementara Barat sudah meninggalkan agama, bagi Fisk ia tidak dihargai Barat, Barat tidak membaca sejarah sedangkan mereka di Timur Tengah sangat berpegang kuat dan mengingati sejarah mereka. Bagi Fisk, selepas menyaksikan kekejaman yang dilakukan oleh Barat keatas dunia Islam, beliau sangat kagum dengan kesabaran orang-orang Islam, beliau sangat kagum mereka tidak membalas dendam dengan lebih banyak serangan seperti 11 September. Selepas hidup bersama Muslim sekian lama di Timur Tengah, Fisk merasakan dia tidak pernah merasakan dilayan berbeza, seolah-olah masyarakat disana tidak membezakan antara muslim dan non-muslim dari segi layanan dan persahabatan.





Bagi Fisk, Barat sudah kehilangan agama mereka, sedangkan orang-orang Islam masih berdiri teguh dengan agama mereka, dan Barat mempunyai kuasa untuk memaksa ketidakpercayaan mereka sedangkan orang-orang Islam tidak punya kuasa tentera dan politik untuk mempertahankan diri mereka. Fisk mendapati kebanyakan Muslim yang ditemuinya adalah moderat, kita semua adalah manusia biasa baginya. Apabila manusia ditekan, dipukul, dijajah, walaupun dia seorang liberal yang lemah lembut akan berubah menjadi harimau. Apabila kita menyerang manusia bertalu-talu kerana agamanya, bangsanya, mengapa kita hairan jika mereka tidak suka kepada kita tanya Fisk, kemudian kita bertanya mengapa mereka membenci nilai dan demokrasi kita?





Kehilangan Fisk sememangnya merupakan kehilangan besar kepada dunia. Dunia kehilangan seorang tokoh wartawan yang sangat setia kepada moral dan integriti. Wartawan yang jujur, yang berani melaporkan kebenaran dihadapan kuasa-kuasa besar. Tulisan-tulisan Fisk akan menjadi harta yang sangat berharga untuk manusia. Bagi mereka yang ingin mendalami dengan lebih dekat sosok wartawan yang disegani ini, saya mencadangkan agar anda membaca karya beliau sendiri, antara yang boleh dibaca adalah bukunya perihal tragedi perang di Timur Tengah yang bertajuk The Great War for Civilisation: The Conquest of Middle East.





Antara petikan kata-kata (quotes) Robert Fisk:





War is primarily not about victory or defeat but about death and the infliction of death. It represents the total failure of the human spirit.





It’s a journalist’s job to be a witness to history. We’re not there to worry about ourselves. We’re there to try and get as near as we can, in an imperfect world, to the truth and get the truth out.





Robert Fisk, 12 Julai 1946 – 30 Oktober 2020.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 06, 2020 07:36

October 29, 2020

Kultura Podcast #3 : Amyrul Nashrin membahas tentang scene minyak di Malaysia dan Malaysia Airlines

Pada episod kali ini, Amyrul Nashrin (Boy) bercerita tentang bagaimana beliau dari seorang jurutera kapal terbang boleh menjadi jurutera minyak, masalah dan cabaran yang di hadapi Malaysia Airlines dan keadaan hidup di Sabah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 29, 2020 10:42

October 25, 2020

Kelebihan Bersedekah: Aku & Negara Matahari Terbit

Suasana malam hari di Tokyo, Jepun. Kredit: FB Mohd Hazri



Oleh: Mohd Hazri





Terlebih dahulu aku memohon maaf sekiranya post ni terlalu panjang. Ini hanyalah sebuah coretan untuk kenangan diri sendiri dan juga sebagai motivasi kepada mereka di luar sana. 15 August 2016 merupakan tarikh keramat buat aku kerana inilah kali pertama aku berpeluang menjejakkan kaki ke negara matahari terbit yakni Jepun. Post ini bukanlah untuk memberitahu kelebihan negara Jepun yang seringkali bermain di bibir rakyat Malaysia. Post ini lebih kepada bagaimana aku berpeluang untuk ke sana.





Anda semua tentu pernah dengar tentang kelebihan bersedekah. Perkara ini seringkali diulang tidak kisahlah jika anda berada di bangku sekolah mahupun sudah bekerja. Jadi apa kaitannya bersedekah dengan negara Jepun? Mari aku ceritakan. Pada tarikh 6 August 2016, seperti kebiasaan aku akan menghantar tunangku (kini sudah bergelar isteri ya tuan-tuan dan puan-puan) ke kelas menjahitnya di Giat Mara Bagan. Selepas menghantarnya, perutku terasa lapar dan aku membuat keputusan untuk bersarapan di warung mamak berhampiran.





Setelah memastikan kenderaan berkunci, aku bergegas ke warung tersebut. Aku tidak menggunakan kenderaan ke sana kerana kawasan tersebut agak sibuk pada waktu pagi dan kekurangan tempat meletak kenderaan. Dalam perjalanan ke sana, aku perasan ada seorang pemuda yang memerhatikan aku dari arah yang bertentangan. Dalam hatiku sudah dapat menduga, jika tidak menjual barang sudah pasti orang ini memerlukan bantuan.





Telahan aku benar kerana apabila dia berada berdekatan, dia mula meminta belas ihsan. Katanya dia mahu meminta sejumlah wang. Nilai tersebut tidaklah besar namun aku tergerak hati untuk memberikan sesuatu yang lebih. Aku mengajak dia mengikutiku untuk bersarapan bersama. Dia bersetuju dan kami pun bergegas ke sana.





Apabila sampai di warung mamak tersebut, aku memesan roti canai, sebungkus nasi lemak dan secawan teh tarik. Dia juga memesan sarapan yang sama. Sewaktu menjamah, aku memulakan bicara. Aku bertanya perihal dia dan cuba untuk mengetahui apa yang terjadi. Dia memberitahuku bahawa dia sedang mencari pekerjaan sebagai pengawal keselamatan. Katanya di sini semua kemasukan telah pun diisi dan dia mahu mencuba nasib di Bandar Sunway. Tambahnya lagi, wang yang dia pinta adalah untuk menampung kos pengangkutanya.





Aku terus betanya dari mana dia berasal. Dia memberitahuku yang dia berasal dari Selangor. Dia baru kehilangan ayahnya. Kerana waktu silam dia yang tidak berapa baik, jadi dia berhijrah ke Pulau Pinang untuk memulakan kehidupan baru. Aku menghormati keputusannya dan tidak menyoal lebih. Lagipun aku dapat lihat dari kaca matanya yang dia sedang berusaha menahan sebak. Aku kemudiannya menghulurkan wang untuk dia membayar kesemua sarapan kami, dan memberitahunya untuk mengambil lebihan baki. Dia mengucapkan terima kasih dan aku terus bergegas pulang ke rumah.





Suasana kedai makan di Tokyo, Jepun. Kredit: FB Mohd Hazri



Pada 8 August 2016, seperti kebiasaan aku memulakan waktu kerja pada jam 10 pagi. Dalam kesibukan, aku tiba-tiba dipanggil oleh bossku Gary. Aku kira Gary mahu memberikan aku tugas rutin seperti biasa. Namun tekaan aku meleset kerana Gary menawarkan aku untuk terbang ke Jepun untuk satu projek mega. Aku tanpa banyak bicara terus bersetuju dengan tawaran tersebut dengan hati yang berbunga-bunga.





Dalam perjalan pulang dari tempat kerja, aku terfikir kenapa dalam ramai-ramai rakan IT, aku yang terpilih untuk projek mega ini. Semasa otak aku ligat mencari jawapan, aku tiba-tiba teringat perihal pertolongan yang aku hulurkan kepada pemuda tempoh hari. Maka benarlah, kelebihan bersedekah ini sangatlah besar. Dari sini, aku amat yakin bersedekah ini dapat meluaskan dan membukakan pintu rezeki kepada kita. Jadi kepada mereka yang di luar sana, jangan berhenti untuk bersedekah dan anda mungkin akan berperoleh rezeki yang tidak di sangka-sangka. Jika bukan menggantikan hal yang sama, pasti digantikan dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dalam keluarga, kesenangan dalam bekerja dan sebagainya. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak terbatas. Sekian coretan aku untuk kali ini.





Tulisan ini pertama kalinya dikongsi oleh Mohd Hazri di laman Facebook miliknya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 25, 2020 00:28

October 23, 2020

Kultura Podcast #2 : Hazri dan political scene Malaysia yang pening.



Pada Ep #2, Mohd Hazri membawa isu politik Malaysia yang semakin parah, pengalaman kerja di negara matahari terbit dan prejudis masyarakat pada muzik metal.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 23, 2020 11:49