S.M. Zakir's Blog, page 2

October 6, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS

IDEALOGI TELAH MATI

Dahulu gerakan penulis didorong oleh idealogi baik idealogi kiri atau kanan. Golongan kiri membawa faham sosialis atau komunis sementara golongan kanan dengan faham nasionalis yang membentuk juga golongan demokrat. Perjuangan bahasa adalah sebahagian perjuangan idealogi golongan kanan. Namun pada hari ini apabila perjuangan bahasa dan bangsa ingin dibawa lagi dengan gerakan idealogi golongan kanan atau kiri, ia sudah memakai kaedah yang tidak menepati situasi zamannya. Idealogi telah mati. Golongan kiri atau kanan sudah tidak wujud dalam pengertian yang jelas seperti dahulu. Maka itu perjuangan bahasa perlu mencari kaedah atau pendekatan baru yang tidak lagi terkurung dalam pendekatan abad ke-20 itu. Lupakanlah idealogi-idealogi lama yang masih dilaung-laungkan golongan tua dalam nostalgia perjuangan mereka. Ia bukan menolak sejarah tetapi terlalu terkurung dalam nostalgia sejarah akan membunuh dinamisme masa hadapan. Golongan muda perlu membina paradigma mereka yang tersendiri dalam perjuangan bahasa dan perjuangan apa pun tanpa terperangkap dengan pendekatan dan doktrin lama golongan tua. Sekali lagi ia bukan memusuhi golongan tua tetapi 'the old men burdens' yang meletakkan bahawa keputusan masa hadapan golongan muda harus diputuskan oleh golongan tua adalah sebuah paternalistik yang merontokkan kemajuan dan keberdikarian golongan muda. Perjuangan bahasa dan masa hadapan harus diletakkan paradigma baru dari tangan golongan muda.


MYIOPIA PEMBENTUKAN NEGARABANGSA

Saya pernah membaca bahawa Richard Wagner tokoh teater, sastera dan pemikir Jerman sahabat Friedrich Nietzsche membawa semangat bangsa Jerman dalam teater-teater yang mengangkat mitos lama bangsa Jerman. Teaternya seperti Ring of Niebelung adalah antara mahakarya agung Wagner yang mengangkat mitos purba bangsa Jerman. Saya segera menyimpulkan berdasar penulisan tentang pemikiran Wagner untuk menerapkan keperibadian Jerman itu sebagai perkaitan mitos bangsa dengan semangat membina keperibadian bangsa. Mitos, lagenda dan sejarah adalah asas kepada pembinaan sebuah negara bangsa. Pada Seminar Sastera Asia Tenggara di Jakarta 27 September 2010 ini saya berpeluang berbual dengan seorang pemakalah dari Jerman iaitu Dr. Gabrielle E. Otto dari DAAD. Saya bertanyakan tentang peranan Wagner dalam konteks hubungan budaya, mitos dan sejarah terhadap pembentukan negara bangsa Jerman. Dr. Gabrelle menyatakan Wagner dan mitosnya tidak ada kaitan dengan pembinaan negara bangsa Jerman. Sebaliknya penubuhan negara bangsa Jerman adalah lahir daripada paradigma baru golongan muda pada era Bismarck dan Hitler. Jerman menguasai hampir seluruh Eropah dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua merupakan hasil kekuatan yang bangkit daripada paradigma baru di tangan golongan muda. Bukan mitos, nostalgia dan romantisme sejarah yang disangka oleh kita selama ini.


PUDURAYA DAN UDA HOLDING

Puduraya yang dinaiktaraf dikatakan akan siap sebelum hari raya aidil fitri september 2010 yang lepas. Itu kata NurJazlan Rahmat, pengerusi Uda Holding yang berusia setahun jagung. Untuk sementara, Bukit Jalil dijadikan perhentian bas menggantikan Puduraya yang dibaikpulih itu. Sehingga kini Bukit Jalil menjadi sesak dan lecak oleh bas-bas. Janji Nur Jazlan hilang, dan dia sendiri diam tanpa berasa bersalah apa-apa atas janji palsunya. Kita menjadi hairan bagaimana Uda Holding dipengerusikan oleh seorang ahli politik yang tidak ada meritnya dalam profesionalisme pembangunan bandar. Tetapi masalah besar sebenarnya ialah tentang GLC di Malaysia yang ditadbir urus oleh ahli politik. Apakah merit yang digunapakai untuk ahli-ahli politik ini menduduki jawatan penting dan berpengaruh dalam GLC. NurJazlan adalah anak kepada Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat yang banyak berjasa kepada UMNO. Maka kerana jasa bapanya dan kedudukannya sebagai exco pemuda UMNO maka dia dilantik menjadi pengerusi Uda Holding. Maka merit yang terpakai di sini ialah merit politik. Merit politik yang menggantikan merit profesional inilah yang menghancurkan keberkesanan dan kecekapan tadbir urus GLC dan pembangunan negara. Seterusnya ia membentuk kembali 'rupa-rupa feudal' dalam wajah demokrasi yang pura-pura. Apakah yang akan dijawab oleh ahli politik ini apabila janjinya gagal dikotakan? Senyap dan melupakannya. Inilah hasil NKRA daripada merit politik.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 06, 2010 19:34

October 3, 2010

SINDROM MEDIOCRITY DALAM SASTERA

Sindrom mediocrity atau sindrom pertengahan yang menyelimuti masyarakat dan seterusnya melahirkan masyarakat mediocre turut merebak dalam dunia sastera pada hari ini. Masyarakat mediocre adalah masyarakat yang hidup dalam tanggapan yang palsu dengan meletakkan tujuan hidup mereka semata-mata untuk menjalani rutin, berfikir secara mudah atau simplistik, menurut, menerima tanpa soal, dan mengakhiri hidup dengan seadanya. Paling penting bagi mereka ialah mengelakkan kompleksiti dan menjalani rutin tanpa soal. Masyarakat mediocre ialah masyarakat mempunyai upaya yang sangat minimum untuk mencipta perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan mereka. Selebihnya mereka menjadi masyarakat pengekor, penurut dan pembonceng kepada segala bentuk pemikiran serta perubahan yang dicipta atau dibawa oleh orang lain. Secara umum masyarakat mediocre melahirkan manusia berjiwa kecil, lumpuh pemikiran, tiada keberanian meneroka dan tiada keyakinan jatidiri. Mereka gemar mengambil jalan tengah iaitu jalan mudah kepada setiap perkara dan tidak mahu lagi menggunakan daya fikir yang serius.

Sindrom pertengahan dilihat mula merebak dan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Kegemaran yang luar biasa terhadap hiburan kosong yang semata-mata memenuhi keriaan hati tanpa mempunyai motif kesedaran telah hampir melumpuhkan budaya tinggi yang wujud dalam masyarakat. Bermula dengan nyanyian dan muzik yang mencipta dunia hiburan kosong, ia merebak kepada filem, teater, budaya seperti dalam tarian, dan akhirnya dunia sastera. Filem Melayu hari ini telah memperlihatkan bagaimana sindrom pertengahan ini merosakkan mutu, nilai serta pemikiran yang sepatutnya wujud sebagai inti jatidiri bangsa. Sebaliknya filem-filem Melayu dipenuhi sampah sarap bahan-bahan picisan, simplistik, dan murahan. Tidak ada satu pun pemikiran besar yang dapat dikutip daripada filem-filem Melayu yang termasuk dalam senarai kategori kutipan pecah panggung (boxoffice) sejak hampir dua dekad terakhir ini. Ini memberikan indeks tentang rendahnya pemikiran khalayak penonton filem Melayu begitu juga pembikin filemnya, sekaligus memperlihat betapa kroniknya sindrom pertengahan yang sedang melahirkan manusia mediocre tersebut. Hal yang sama berlaku dalam seni persembahan yang lain seperti teater, muzik dan sebagainya. Tentu ada pengecualian terhadap hasil-hasil yang benar-benar bermutu tetapi ia sangat kecil dan tidak mempengaruhi pergerakan citarasa masyarakat mediocre ini.

Indeks terhadap tahap pemikiran masyarakat Melayu dapat dinilai secara umum daripada kegemaran (kegilaan) luar biasa terhadap hiburan kosong seperti rancangan realiti hiburan di kaca televisyen, karnival hiburan, isu sensasi picisan, dan bahan hiburan bercetak mahupun elektronik. Sementara revolusi teknologi maklumat yang mewujudkan laman sosial, simulacrum dunia maya, dan capaian maklumat tanpa sempadan memperlihatkan indeks tahap pemikiran remaja-remaja Melayu yang rendah. Semua ini menjelaskan betapa kritikalnya kelumpuhan nilai serta pemikiran dalam konteks masyarakat mediocre hari ini. Lebih malang sindrom pertengahan ini juga telah merebak dalam dunia sastera dekad mutakhir ini. Bermula dengan merebaknya novel-novel cinta popular yang ditulis untuk memenuhi citarasa perasaan dan khayalan palsu, ia kemudian merebak ke dalam penulisan sastera seperti cerpen, puisi dan novel sastera serius. Bahkan turut terkais dalam penulisan rencana, kajian serta kritikan sastera yang menyalin dan menerima pakai secara mudah pemikiran lain, khususnya keilmuan Barat.

Sebahagian sarjana sastera dan sasterawan mencari jalan tengah untuk berkompromi dengan bahan-bahan sastera ringan seperti novel-novel popular, dengan menerimanya sebagai hasil sastera. Ia tentunya tidak salah apatah lagi di atas alasan menarik dan meluaskan khalayak pembaca. Ia juga menjadi strategi yang baik untuk menarik masyarakat penggila hiburan kepada buku dan bahan bacaan. Sekurang-kurangnya dapat mendidik perasaan mereka kepada karya penulisan. Tetapi malangnya kompromi ini berjalan sehala dengan desakan untuk melahirkan karya-karya bersifat popular, ringan, dan klise menenggelami upaya untuk melahirkan karya sastera serius. Sastera akhirnya ditekan untuk menjadi bahan penulisan yang main-main demi menghiburkan pembaca mediocre, dan bukan lagi penulisan serius yang melahirkan pemikiran besar.
Maka ahli-ahli sastera (sarjana sastera mahupun sasterawan) yang turut terperangkap dalam sindrom pertengahan kehilangan upaya untuk menggerakkan perubahan dan pembaharuan. Bagi mengatasi ketidakupayaan mereka ini, ahli-ahli sastera mula bergerak ke belakang mencari kegemilangan lama dan akhirnya bertapak mundur mencari alam nostalgia Melayu daripada cerita sawah bendang, desa permai, konflik tradisi-moden, sengketa tanah pusaka dan segala bentuk nostalgia dari zaman abad ke-20 dahulu. Sekali lagi mencari alam nostalgia ini tidak salah, tetapi kesan akhirnya yang menutup dorongan untuk mencipta karya garda depan (avant garde) bagi meroboh konvensi dan status quo telah dibunuh secara klasik. Apabila karya sastera diarah untuk tinggal menetap terkurung dalam status quo sebegini, maka pemikiran-pemikiran baru tidak akan lahir. Lebih malang lagi secara perlahan-lahan (gradual) ia melahirkan dunia sastera yang klise, berjiwa kecil, nostalgik, dan terasing daripada masyarakat. Peranan sastera sebagai pemangkin nilai dan pencerna pemikiran masyarakat pupus. Sastera akhirnya wujud sama ada sebagai hiburan kosong ataupun arkaik klasik di muzium.

Sindrom pertengahan ini mempunyai kesejajaran dengan apa yang disebut oleh Malek Bennabi terhadap sifat masyarakat pasca-peradaban (post-civilized society) atau mujtama' ba 'da al-hadarat. Beliau menyatakan tentang keadaan masyarakat yang cenderung untuk hidup dalam 'kekosongan' (thingness), mengekor dan lumpuh pemikiran. Hidup di dalam 'kekosongan' (atau tidak punya apa-apa) ini bagi beliau adalah akibat daripada keadaan masyarakat yang diserang oleh sindrom pertengahan, diikat oleh kegemaran berhibur dan tidak lagi mahu berfikir. Pada peringkat ini Bennabi menyetujui apa yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun bahawa semakin besar (takdis) ikatan kebendaan dan pengejaran kepuasan untuk memenuhi kemewahan hidup membawa kepada kemerosotan rohani dan intelektual. Pada peringkat ini manusia berada dalam keadaan untuk hidup mengambil jalan mudah, fikiran ringan, dan rutin tanpa soal. Manusia dalan kategori ini menurut Bennabi, tidak lagi tahu untuk mencapai tujuan hidup mereka dengan tidak tahu titik mereka bermula dan tidak tahu titik mereka harus berakhir. Mereka menjadi 'titik yang tergantung' dalam perkembangan sejarah dan peradaban. Malek Bennabi memberikan alegori manusia mediocre ini ibarat 'penggembala tanpa ternakan dan petani tanpa tanah serta bajak'. Manusia mediocre ini adalah manusia yang tercampak keluar daripada dimensi aktif peradaban atau disebut Bennabi sebagai al rajul al kharij min al hadara.

Malik Bennabi menyatakan masyarakat pasca peradaban yang terperangkap oleh sindrom pertengahan ini seperti air yang keluar dari tangki atau kolah yang tidak berguna lagi setelah membasuh kotoran. Ia tidak boleh masuk kembali ke dalam tangki, sepertimana manusia yang telah tercampak keluar tadi (al rajul al kharij min al hadara) tidak boleh lagi masuk ke dalam peradaban lantaran telah lumpuh pemikiran mereka. Maka mereka hanya mampu menjadi pengekor kepada sejarah dan bukan pencetus kepada sejarah. Sebenarnya Malik Bennabi merujuk keadaan ini kepada masyarakat Islam yang runtuh dan lemah setelah jatuhnya umat Islam ke bawah penjajahan Barat. Beliau mengkaji sejarah kejatuhan umat Islam dan melihat titik kejatuhan itu bermula apabila umat Islam yang hidup dalam kegemilangan perlahan-lahan mula lumpuh pemikiran dan kerohanian mereka oleh kerana terperangkap dalam sindrom pertengahan itu. Seterusnya mewujudkan umat Islam sebagai masyarakat mediocre, yakni hilang daya intelektual, moral, jatidiri yang menjadi penyangga tamadun Islam.

Banyak sebab yang mengakibatkan merebaknya sindrom pertengahan ini. Bahkan ia muncul dalam konteks dan milieu masing-masing. Sindrom pertengahan yang merebak di Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu juga mempunyai sebab dan akibat daripada konteks ekonomi, politik dan sosial yang berlangsung dari dekad ke dekad. Namun sindrom pertengahan yang merebak dalam dunia sastera yang akhirnya melahirkan sastera mediocre adalah akibat daripada kegagalan ahli-ahli sastera mengembangkan sastera serius yang mengangkat pemikiran-pemikiran baru. Sepertimana yang disebut tentang kompromi terhadap citarasa pembaca, sifat populis, dan sentimen nostalgik telah menjadikan sastera Melayu semakin kecil dan lembik. Keberanian memberontak, melanggar konvensi dan meneroka pemikiran baru yang kompleks sering berbentur dengan elemen-elemen yang membentuk jiwa mediocre tadi. Ia akhirnya mendorong ke arah penulisan sastera ringan, popular ataupun sastera yang terperangkap dalam ketaksuban diri. Adalah keterlaluan untuk merendahkan penulisan sastera ringan dan popular atau nostalgik dan sebagainya itu. Namun membiarkan sastera Melayu reput dalam rumah kayu yang usang adalah suatu perkara yang tidak seharusnya berlaku.

Dalam mencari titik kekuatan sastera melalui pelbagai strategi termasuk berkompromi dalam bentuk-bentuk ringan dan popular, ahli-ahli sastera tidak seharusnya mengecilkan ruang kepada kehadiran sastera serius yang mengangkat pemikiran atau tema yang kompleks. Begitu juga dalam mencari jatidiri sastera melalui kecintaan terhadap alam tradisi tidak seharusnya menjadikan nostalgia dari era lepas sebagai titik kepada penilaian mutu sastera. Ini adalah kerana sikap yang berlebih-lebihan terhadap dua perkara ini hanya akan melahirkan sastera mediocre yang tidak memberikan ruang kepada perkembangan pemikiran serta bentuk yang baru dan kompleks dalam dunia sastera. Pemikiran yang kompleks sepertimana kata Malik Bennabi adalah permulaan kepada metodologi dan pemikiran saintifik yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun. Sebaliknya sindrom pertengahan yang mengalah kepada tuntutan mediocre hanya akan membentuk peradaban kebendaan yang kosong (thingness civilization) atau disebut Malik Bennabi sebagai hadara shayiyya. Pembangunan prasarana intelektual melalui penulisan sastera yang serius, kompleks dan mengangkat pemikiran masa hadapan perlu menjadi keutamaan ahli-ahli sastera yang bijaksana pada masakini, sekaligus mengurangkan dominasi sastera mediocre yang semakin membarah dalam dunia sastera mutakhir.

Mingguan Malaysia, 26 September 2010
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 03, 2010 19:07

September 25, 2010

KARYA PENULIS MUDA

Kebelakangan ini terdapat banyak karya-karya penulis muda yang muncul. Saya mendefinisikan penulis muda relatif usia di bawah 40-an. Rozais dan Zanazanzaly dengan kumpulan cerpen, diikuti oleh Roslan Jomel dengan epal kuningnya. Rebecca Ilham dan Ummu Hani juga dikatakan telah lahir kumpulan cerpennya (saya belum dapat memilikinya). Sebetulnya saya mengumpulkan karya penulis muda terutamanya kumpulan cerpen. Hajat hati hendak menulis sesuatu tentang perkembangan cerpen mutakhir, lanjutan dari...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 25, 2010 09:22

September 19, 2010

DOM DI PENA: SASTERA DAN POLITIK

DOM (Dialog Orang Muda) pada 18 September 2010 hangat tentang sastera dan politik. Panel pembicara iaitu Syafiq dari PTS dan Mohd Arif Atan mempunyai fikiran yang tersendiri terhadap isu ini. Antara politik dan sastera siapa menunggang siapa. Hubungan politik dan sastera adalah hubungan yang monumental dan klasik. Hubungan politik dan sastera tentunya tidak sejelas dan seakrab hubungan politik dan ekonomi yang saling memperkukuhkan. Bahkan hubungan politik dan sastera dalam banyak keadaan sal...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2010 07:21

August 15, 2010

MEMBERSIH SAWANG DI LAMAN SESAWANG

Pagi ini saya bangun dan terasa ingin melihat blog yang dah lama bersawang. Sebulan lebih tak menulis blog (tapi sebenarnya tak ada pun yang penting, tulis tak tulis). Ada kesibukan yang tidak terhurai. Alhamdulillah bulan kesibukan Julai akhirnya berakhir. Masih juga sibuk tapi bolehlah kembali kepada rutin menulis blog dan bercanda di alam siber.

Bulan Ramadhan alhamdulillah diberi masa yang agak lapang untuk membuka al-Quran dan berterawih setiap hari. Sesuatu yang dapat dirasakan sepanjang...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 15, 2010 19:04

July 5, 2010

SAYAP MATAHARI



waktu meniti di banjaran pokok, sedang takdir tertulis di urat-urat daunnya



5 julai 2010

angin meniti dari pokok ke pokok menembusi waktu yang berbanjar detik ke detik. aku mengira hari-hari yang berlalu tetapi selalu terlupa mengira waktu yang tersisa. kehidupan adalah waktu yang pendek tetapi kita sering merasakannya panjang. Waktu seringkali juga tidak kita rasakan wujud. keinginan apakah yang meruap dari bumi, sehingga tanah menggerakkan rumput dan pokok. waktu yang tidak mempunyai takdir t...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 05, 2010 05:59

June 30, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS





Mampukah barisan Belia 4B ini mengekang gelombang fahaman liberal?




GELOMBANG LIBERAL KOSMOPOLITAN DI MALAYSIA

Penyebaran faham liberal terutamanya daripada kelompok Jalan Telawi dan IKD semakin meluas dengan penerbitan pelbagai buku mereka. Termasuk yang terkini ialah faham pluralisme yang menyatakan semua agama itu sama. Anwar Ibrahim dalam satu ucapannya di Amerika Syarikat telah menjulang pluralisme dengan wewenang liberal yang turut mendukung hak persamaan agama ini. Pluralisme yang menyama...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 30, 2010 18:23

June 27, 2010

BOLA LAGI



Kawan2 nak tengok gambar bola. Ini gambar lawan rumah2 saja. Semua orang pakai baju rumah, saya tak pakai dan orang tak boleh kata apa sebab saya 'star' (ha ha). Punyala star sampai pakai but pun tak pakai stoking.


Sempena Piala Dunia kawan-kawan minta masuk gambar bola lama-lama. Kawan yang tak ada gambar bola, balik kampung carila dapat gambar main takraw dua keping (nak tunjuk jugak he he). Saya cari-cari gambar main takraw dulu tapi tak ada, memang tak ada ambil gambar pun. Kalau tidak.. t...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2010 18:14

June 23, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS




Bersama anak dan isteri di Disneyland Hong Kong. Air mineral sahaja harganya RM7.00 di sini. Masyarakat Hong Kong hampir semuanya tinggal di apartment dan kondo. Kos hidup sangat tinggi dan semua orang hidup menjadi hamba wang.


MENGAPA PERLU JUDI BOLA?

Piala Dunia 2010 berlangsung dengan mengulangi sejarah 'bola itu bulat'. Tiada siapa dapat menjangka pasukan yang menang atau kalah. Pasukan kuat boleh kalah mengejut, pasukan lemah tiba-tiba boleh bangkit. Ini semua adalah permainan bola, dan pe...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 23, 2010 19:55

June 22, 2010

BOLA PIALA DUNIA DAN RUTIN YANG PUNAH


Masa sekolah cita-cita saya hanya dua; jadi pemain bola atau pemuzik rock. Saya sangat tak suka belajar tapi sangat suka baca buku. Tak pernah ada lansung dalam kepala otak saya nak jadi penulis ke, doktor ke, jurutera ke, cikgu ke, ahli falsafah ke, ahli persatuan ke. Ini pasukan zaman 80-an. Baru belajar pakai but, dulu bawah 12 tahun kaki ayam saja. Masa ni jadi sayap kiri, dan merupakan pemain paling mahal sebab pasukan ni tak ada orang boleh main kaki kiri. Pernah seorang pemain ganti...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 22, 2010 02:04

S.M. Zakir's Blog

S.M. Zakir
S.M. Zakir isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow S.M. Zakir's blog with rss.