Andi Eshak's Blog: AKU NAK MEMBEBEL NI., page 6
April 23, 2014
PERIHAL SARAWAK
Aku baru selesai menonton Majalah 3 tadi.
Kisah tragedi bot karam di Sarawak yang mengorbankan 11 orang adalah satu contoh terbaik bahawa negeri negeri di Malaysia Timur juga harus diberi kemudahan yang sama rata, sama seperti kemudahan di Malaysia Barat.
Memanglah ada yang mengatakan bahawa negeri di Malaysia Timur seperti Sarawak terlalu besar untuk dibangunkan. Tetapi takkanlah sebatang jalan raya yang ada 'rupa jalan raya ' dan jambatan penghubung tidak dapat disediakan?
Kisah tadi juga menceritakan pengalaman penduduk yang ingin ke bandar besar (Sibu contohnya) terpaksa meredah denai kecil sebelum menjumpai kawasan estet. Bertapa susahnya untuk berurusan di bandar. Itu belum cerita kos hendak ke bandar menaiki bot dengan kos minyak mencecah hampir rm400.
Benda ini juga menyebabkan kukuhnya alasan untuk tidak daftar surat beranak, buat IC, jual IC, seludup barang, jual benda haram dan banyak lagi.
Past is past. Abdul Taib Mahmud, biarlah dia duduk bersandar di rumahnya, makan nasi sampai kenyang. Moga legasi kerajaan Sarawak yang baharu akan lebih berkebajikan.
Ngap Sayot dari Malaysia Barat.
PULANG
My life sucks.
Klien macam cibai. Suka cari salah. Benda kecil diperbesarkan. Konsultan macam kayu. Flip flop. Tunggu drawing satu bulan, dapat drawing, esok boleh cancelkan. Tiba tiba minggu depan kata nak buat balik.
Bos? Tak payah cerita panjang lah. Semua tahu perangai bos macam mana. Kerja sampai naik hitam kulit masih dikata tidak ada tanggungjawab. Aku bergaduh dengan bos. Bos masam muka dengan aku.
Sub con lagi bos dari main con. Kadang kadang aku kerja macam runner pun ada. Beli petrol sampai 4-5 kali sehari. Bila tak dilayan terus tak nak kerja.
Perjalanan yang menuntut pengorbanan. 160 km sehari. Keluar awal pagi, balik lewat petang. Kadang -kadang malam.
Aku hanya tenang bila pulang ke rumah sahaja. Keluarga sahaja yang boleh memberi ketenangan padaku.
Sebab itu aku faham, hancur macam mana pun hidup aku, hancur lagi hati orang yang kehilangan ahli keluarga, rakan dan sahabat. Aku arif sangat tentang itu kerana aku pun pernah kehilangan orang kesayangan.
Warga MH370. Aku, kami, keluarga kamu, rakyat Malaysia dan dunia semua mengharapkan kepulangan kamu semua. Moga kamu semua masih selamat. Apabila mendarat nanti, tinggalkan hal yang lain. Cari lah keluargamu.
Moga kamu semua masih boleh bersarapan, berbual, bertengkar dan berbakti kepada keluargamu seperti hari hari biasa.
#prayforMH370
USAHA, NASIB, HORMAT
Usaha, nasib dan hormat.
Contoh paling rapat dan popular adalah Shahizey Sam.
Berlakon sejak muda dan tidak pernah mendapat perhatian pembikin filem. Selalu muncul di dalam drama tv 1, kadang kadang cerekarama. Tapi setiap kali berlakon, lakonannya bersungguh. Kenderaan ke lokasi hanyalah kereta Kancil sehinggalah dia terkenal.
Itu usaha.
Tiba tiba dia meletup dengan filem Adnan Sempit. Dan semenjak namanya meniti di kalangan pengarah. Rezekinya melimpah ruah.
Itu namanya nasib.
Kaya dan popular macam mana pun, dia paling hormatkan ibunya. Rela digelar anak mak, tak menjadi kudis padanya.
Itu namanya hormat.
Tak semua orang dapat ketiga tiga ini sekaligus.
QUALITY TIME
Apa itu quality time pada Afinna?
Quality time pada dia adalah bila aku baring sebantal dengan dia, layan Alice In Wonderland, atau main sepak sepak bola dalam rumah, atau main main hantu cina.
Atau paling tidak bacakan buku Pinocchio yang hampir seratus kali aku bacakan pada dia.
And I love to do that. Forever.
March 13, 2014
#3
Aku menatap wajah Maryam dengan tekun sekali. Aku meneliti satu persatu telinga Maryam, hidung Maryam yang mancung, tetapi tidaklah seperti burung belatuk. Pipi Maryam yang gebu. Mata Maryam yang bundar, kening Maryam yang halus, jari jemari Maryam yang runcing.
Cantik.
Ditambah pula dengan suaranya yang lembut. Budi bahasanya tinggi. Kadang kadang dia suka membalas pertanyaan aku dengan bahasa kias yang susah aku nak faham dan malas aku nak fikir. Yang aku boleh jawab hanya dengan membalas satu senyuman paling sweet pernah aku buat. Tak tahulah pada dia sweet ke tidak. Tapi pada aku memang paling sweet.
Kami duduk berdua di atas batu besar, menghadap ke laut sambil menanti matahari hari itu terbenam. Cantik suasana hari ini. Secantik wajah dan pekerti Maryam.
"Maryam, boleh saya tanya sesuatu?" aku tergagap gagap untuk memulakan bicara.
Dia merenung mata aku. Lama. Sampai aku terpaksa melarikan pandangan aku seketika. Tak boleh tahan dengan renungan tajamnya.
"Boleh.. apa dia?" Lembut sahaja suaranya.
Aku diam sebentar. Mengumpul kekuatan.
"Apa kata kalau kita berdua.. " Aku mencantumkan hujung jari telunjukku di hadapannya. Mohon dia mengerti.
"Bain.. Bain.. "
Aku kaget. Tercari cari suara tadi. Siapa pula yang mengendap ni. Potong betul.
"Bain.. Bain..! " Kali ini agak keras sedikit. Ah lantak lah. Maryam masih menanti aku menyambung perbualan yang tergantung tadi.
"Bain! Bangun!" dah sembahyang Subuh belum?!" Terasa pedih belakang badanku.
Cepat cepat aku menggosok mata. Cilakak, mimpi rupanya. Masa buka mata tadi, benda pertama yang aku nampak ialah mak, sambil memegang tali pinggang arwah abah. Benda tu la yang meratah belakang aku tadi.
"Mak! Apa ni mak? Kejut pakai tali pinggang pula? Sakit la." Terasa berbirat belakangku.
"Kau tu apa nak jadi. Dah besar panjang pun nak kena lilit dengan rotan baru nak bangun. Dah, pergi sembahyang!" Tegas dia berpuasa, sambil berposing depan pintu bilik gaya warden asrama.
Itulah mak aku. Dia sporting sebenarnya. Tapi kalau bab solat dia memang tegas. Paling kurang satu minggu mesti satu kali tali pinggang tu singgah badan aku. Lagi satu dia ni pantang tengok orang masih tidur waktu matahari dah naik. Mata dia lemas katanya. Aku pula malas nak bangun awal kalau hari minggu. Haa memang matching la tu.
***
Selesai mandi tadi, aku terus gegas ke dapur. Bau cekodok mencucuk cucuk hidung sejak aku dalam bilik air tadi. Hari ni mak buat sarapan cekodok. Cekodok biasa sahaja, cicah dengan sambal tumis. Peh, memang terliur. Kalau dah hadap ni, Maryam lalu dekat belakang pun aku tak perasan. Inikan lagi Mail Kerabu yang lalu.
Mak aku memandang aku, kemudian mengangkat muka tanda menyuruh aku memakai pakaian dahulu. Dengan lekas aku menyalin pakaian. T shirt Nice Stupid Playground menjadi pilihan hari ini. Seluar? Seluar bola sudahlah. Duduk rumah sahaja pun.
Asyik betul aku lihat mak menggoreng cekodok, sambil memasang radio klasik. Sekali sekala aku lihat mulutnya cuba mengikut ikut nyanyian di dalam radio. Ah, dia orang lama. Mestilah tahu lagu lagu fesyen macam ni. Aku menarik kerusi di meja makan sambil mencedok sambal tumis ke dalam piring.
I Love you
Jantung
hati
cintaku
sayang
Hatiku
goyang
siang
malam
terbayang
bayang
Tidur
dan
baring
tak
boleh
tenang
Makan
dan
minum
tak
dapat
kenyang
Selalu
ingat
pada
cik abang..
Aku tersengih sengih tatkala telingaku menangkap bait bait lagu dendangan Tiga Bidara ini. Aku juga dapat rasakan Maryam juga pasti akan tersenyum bila mendengar lagu ini.
Kalau dia bangun pagi dan dengar radio macam mak aku lah.
March 4, 2014
#2
Aku merenung kawasan Sungai Abong dari tingkap pangsapuri rumahku. Dari tingkat 10. Suasana hiruk pikuk. Jalan raya menjadi sesak. Kenderaan bermacam macam jenis, bermacam macam warna membuntuti antara satu sama lain. Jalan dua lorong menjadi satu lorong. Jalan satu lorong jadi setengah lorong.
Suasana yang biasa pada setiap hari Selasa. Hari pasar malam di Sungai Abong.
Hujan pula turun dengan lebatnya sejak pukul 3 petang tadi. Tapi sekarang sudah renyai renyai. Awan sudah memberi laluan kepada matahari untuk bersiaran semula untuk 2-3 jam ini, sebelum bertukar syif dengan bulan. Aku merenung jam di tangan ku.
Sudah pukul 4.30 petang.
"Dah boleh dah ni.. " bisik ku pada diri sendiri.
Sudah sampai masanya untuk aku mengemas payung khemah, meja, dan barangan jualan ke dalam van mini ku untuk ke pasar malam Sungai Abong. Sepelaung sahaja dari rumah aku jaraknya. Ikutkan hati, pukul 5 nanti baru aku nak turun, tapi bila tengok mak aku gelisah semacam je bila aku buat rilek tadi, aku pula jadi tak tentu arah. Mesti dia syak aku dah jadi pemalas, tak nak berniaga hari ini.
"Bukan tak hendak meniaga mak. Tapi tunggu lah hujan reda sedikit. Nanti Bain pergilah"
Aku menjawab, tapi dalam hati je la.
Pukul 5 aku sudah terpacak di tapak pasar malam. Sambil menunggu pelanggan, aku juga menunggu seseorang yang istimewa buatku. Panjang leher ku mencari kelibatnya. Selalunya waktu orang keluar pejabat ni, mesti dia singgah di gerai ku untuk membeli mee siput power. Tetapi hingga kini, batang hidung pun belum nampak.
"Bang Bain, bang Bain"
Terkejut aku sebaik memalingkan wajahku ke atas. Aku yang dari tadi sibuk membungkus sos untuk mee siput hampir terperanjat bila dia muncul di hadapan ku.
Memperkenalkan, Maryam.
Maryam adakah salah seorang dari pelanggan aku. Tetapi pada aku dia adalah pelanggan yang paling istimewa. Kalau dia beli satu, mesti aku beri dua. Kalau beli dua, aku beri tiga. Kadang kadang aku beri sampai lima. Sampai dia malu hendak berurusan di gerai aku.
Gadis ini berumur 25 tahun. Sebaya denganku. Body nya sedap mata memandang. Rambutnya panjang separas bahu, bawah sedikit. Dia tinggal di kawasan bandar, dan datang kerja dengan menaiki skuter.
Maryam bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kawalan keselamatan kepunyaan Mail Kerabu. Mail Kerabu itu pula adalah ayah saudaranya. Mail Kerabu juga ada masalah dengan aku. Aku pun ada masalah dengan Mail Kerabu. Tetapi masalah aku paling besar adalah aku sukakan Maryam.
"Bagi saya mee siput dua sahaja bang. Jangan tambah. Kalau tak nanti saya tak nak beli lagi."
Aku tersenyum memandangnya. Wajahnya betul betul mencairkan hati aku. Kadang kadang terasa segan pula melihat dirinya yang kemas, berbanding diriku yang selekeh ini.
Dengan cermat aku membungkus pesanan Maryam itu.
"Nah. Hari ni saya tak bagi free. Nanti awak tak datang lagi. "
Wang bertukar tangan.
"Terima kasih bang Bain. " sopan sungguh.
Dan aku memerhati kelibatnya yang semakin lama semakin menjauh.
Macam mana la mak aku boleh fikir aku tak nak berniaga hari ni. Melepas la aku nak menatap wajah Maryam nanti.
(bersambung)
February 27, 2014
#1
Memasuki ruang kedai yang kecil ini membuat aku rasa senang sekali. Selesa sekali. Dengan cermin berbingkai gaya lamanya, kerusi empuk boleh laras, haruman bedak Holiday Ice, serta bau bauan lain yang sinonim dengan suasana kedai gunting rambut. Ruangnya tidaklah besar mana. 10 kaki lebar dan memanjang ke dalam sebanyak 40 kaki. Kecil tetapi padat dengan segala perkakas. Begitu juga sisa rambut yang hanya disapu pada penghujung waktu kerja nanti. Belum masuk lagi longgokan suratkhabar Kosmo yang dikumpul dari tahun lepas. Untuk dijual ke lori kitar semula barangkali.
Pengunjung kedai ini juga sepanjang masa didendangkan dengan lagu lagu 50an, atau mungkin 60an melalui saluran radio Klasik Nasional. Belum pernah lagi aku dengar kedai ni pasang radio dari siaran Era, Sinar atau yang lain. Hitz Fm lagilah jauh. Dan kedatangan aku hari ini disambut dengan lagu Mengharap Sinar Menelan Kabus nyanyian Ahmad Jais. Intronya sahaja sudah membuatkan aku bersemangat tadi.
Walaupun kedai gunting rambut ini kecil sahaja, tetapi sejarahnya pada aku besar. Dari aku berumur 3 tahun dibawa oleh bapak, sampailah sekarang sudah besar panjang ni, setiaku masih di sini. Pernah juga sekali sekala aku mencuba gunting di kedai lain, tetapi feel dia tak sama. Lagi satu kedai lain tak pasang lagu Ahmad Jais.
"Ha, hang nak buat macam mana hari ni? Biasa? "
**
Ha, pakcik yang tegur aku ni namanya Pakcik Roslan. Tauke merangkap kuli kepada kedai ini. Asal dari Kedah. Orang sekitar sini memanggilnya Roslan Gusi. Sebab bila dia ketawa, orang lebih nampak gusinya dari gigi. Tapi ada juga orang panggil dia Roslan Gunting, atau Roslan Cukur, atau Roslan Sideburn atau...atau apa apa sahajalah. Pakcik Roslan tak kisah. Cuma jangan panggil dia Ros sudahlah. Kena hambat nanti. Tetapi dalam diam aku memanggilnya Pakcik Ros.
"Macam biasa la Pakcik Ros...lan. Botak. Atas pakai nombor tiga, tepi pakai nombor satu".
Aku duduk di atas kerusi empuk berwarna coklat yang dibalut dengan material dari kulit sintetik. Kalau 15-20 tahun yang lalu, aku juga duduk di atas kerusi yang sama, tetapi beralaskan bangku kayu kerana kepala kerusi lagi tinggi dari kepala aku. Bayaran pun murah. Iya lah, kepala budak kecil. Kadang kadang, kalau mood Pakcik Ros baik, dia tak ambil bayaran pun dari bapak aku.
Kain alas berwarna hitam dihampar ke badan aku, kemudian disangkut di leher dengan menggunakan penyepit.
Pakcik Ros memasang tapak nombor tiga di mesin ketam sambil memandang aku tanpa sebarang ekspresi muka. Aku senyum senipis mungkin.
Ngggggggg....
Mesin bertemu di kepala dan rambut pun berguguran.
Dan aku.
Nama aku Bain. Bain bin Mukmin. Seorang pemuda berumur 25 tahun yang tiada kecacatan fizikal mahupun mental. Sihat tubuh badan. Bekerja sebagai peniaga Mee Siput di pasar malam Sungai Abong. Dan aku tinggal di pangsapuri peninggalan arwah bapak bersama sama dengan emak dan adik lelaki aku, Usop. Hobi aku, pergi melepak di kedai Pakcik Ros, dan mengunting rambut gaya botak.
Dan ini kisah hidup aku.
(sambung, penat. )
January 25, 2014
IKLAN
Hampir satu bulan aku menjadi pengguna lebuhraya Elite. Setiap pagi dan setiap petang, 6 hari seminggu.
Papan iklan yang terletak di kiri dan kanan lebuhraya dari Klia ke exit 601 Shah Alam aku kira lebih banyak dari papan iklan lebuhraya Plus dari Jasin ke Nilai. Secara tidak langsung menunjukkan perbezaan kuasa membeli di satu satu kawasan. Lagi nak masuk Kl, mesti lagi banyak papan iklan. Nampak permainan dia?
Papan iklan di Elite ni ada macam macam. Dari iklan tilam, Sunway Lagoon, lori hinggalah ke muka Tony Fernandes.
Tapi dalam banyak banyak iklan, iklan kipas jenama Alpha aku paling tak boleh pergi sekali. Iklan tu guna dua orang model budak Cina dress up Korea Daewoo punya. Sorang nama Jack, sorang lagi Thomas. Aku paling menyirap dengan muka Thomas ni la. Muka minta penampar.
***
Sebenarnya aku baru kehilangan Izara Aisyah di km 20.1 arah selatan. Selalu tiap tiap petang dia tunggu aku lalu bawah dia sambil pegang syampu Secret Garden.
Hari ini dah diganti dengan QSR brand. Mende ni?
December 23, 2013
TANDAS
Aku tidak pasti sama ada perkara ini hanya berlaku pada aku seorang ataupun sebaliknya, tetapi setiap kali aku datang ke sesuatu tempat itu lebih dari satu kali, aku pasti akan ada satu tandas kegemaran.
Aku ada tandas kegemaran semasa di hostel dahulu, semasa di pusat membeli belah kawasan ku, semasa di tempat kerja dan banyak lagi. Sekali aku sudah masuk ke dalam tandas tersebut dan puas hati dengan keadaan dalamannya, memang aku tidak akan ke tandas lain. Ramai macam mana pun, sesak macam mana pun aku akan tetap tunggu. Setia betul aku pada tandas.
Begitu juga semasa aku di sekolah teknik dahulu. Aku ada satu tandas yang amat aku gemar. Tandas itu aku jaga baik-baik. Tip top punya servis aku bagi. Lantai tidak berlumut atau berlecak, penutup pam dipasang dengan rapi. Baldi dan gayung sentiasa tersedia. Kalau gayung hilang, aku rembat dari tandas sebelah.
Waktu yang lama aku peruntukkan di dalam tandas juga menyebabkan aku mula berkarya. Aku tidak ingat bagaimana ia bermula tetapi waktu itu aku di dalam emosi yang tidak stabil, dan kebetulan membawa sebatang marker pen. Seperti biasa, untuk menenangkan diri sebentar aku masuk ke dalam tandas. Terletak di tengah-tengah sekali. Sambil bersandar di dinding tandas, aku merenung pintu tandas yang suci mulus itu.
Dengan tidak semena mena, seperti dikawal oleh kuasa luar aku melakar satu wajah yang aku tak berapa gemar waktu itu. Aku melukis wajah guru HEM sekolah.
Walaupun tak ada rupa dia sangat, tetapi aku puas hati betul. Kemudian aku tulis sedikit 'caption' di bawah gambar tersebut:
'Orang gila Bukit Piatu'
Puas hati aku. Lantas aku keluar dari tandas dan ke kelas semula. Hilang segala geram aku pada orang tua itu.
***
Esok pagi waktu rehat aku masuk ke dalam tandas kesayangan.
Sudah separuh penuh daun pintu tandas itu dengan contengan. Dan semua contengan itu seperti berkomunikasi antara satu sama lain.
Ada orang tulis 'Hoi siapa lukis muka Karim ni?' Kemudian ada tangan lain membalas 'tak macam Karim pun?' dan satu tangan lagi menulis 'Macam Beruk', merujuk kepada lukisan aku.
Di sudut sebelah kanan pintu pula bertulis 'Hoi jangan conteng lah! ' dan disusuli dengan tangan yang lain 'Kau tulis tu bukan conteng ke b**i'?'
Dan banyak lagi contengan dan dialog yang kelakar.
Dan menyebabkan aku semakin ketagih, semakin sayang kepada tandas tersebut.
'Kami', yang saling tidak mengetahui siapa yang menconteng terus aktif bergiat aktif berkarya di daun pintu tandas sehinggalah pada penghujung tahun itu, pintu tandas dicat semula oleh pekebun sekolah.
November 27, 2013
PENGEMIS KOTA
Selepas 2 minggu berhempas pulas bekerja membungkus tilam di kilang, aku dah mula bosan. Kerja bungkus tilam ni macam tak pernah habis. Rasanya kalau kilang ni bangkrap barulah kerja bungkus tilam ni stop. Bart Bachik, rakan sekerja aku pun rasa benda yang sama. Kami bercadang untuk pergi mengembara. Ke mana arah tuju, kami masih tak pasti.
Berbekalkan Rm100 untuk diri aku dan Rm entah untuk Bart Bachik, kami mengambil keputusan untuk pergi ke Kuala Lumpur, kota yang penuh dengan cabaran bak kata satu lagu tu. Dengan duit yang tak berapa ada ni, kami harus berjimat demi pengembaraan selama satu minggu ini tercapai.
Benda yang paling kena difikirkan masa itu adalah di mana hendak tidur. Untungnya waktu itu ramai rakan sekolah yang study pra di UIA PJ. Jadi aku dan Bart Bachik menumpang secara haram. Aku ingatkan bila dah duduk di UIA secara percuma tu, kuranglah belanja. Rupanya tidak, sebab kami dihasut ke SS15 untuk bermain snuker pula. Parok la juga budak UIA ni rupanya. Kuat snuker.
Dek kerana kehabisan duit, kami terpaksa makan roti canai di UIA tak bayar. Blah senyap -senyap. Dekat situ juga la pertama kali aku nampak student Iran/Pakistan makan roti telur. Dia gulung macam roll cake kemudian cicah kuah dal.
Kaedah itu aku tiru kalau nak sarapan cara pantas, sampai la sekarang.
Untuk mencari duit lebih, kami menyambut sahutan satu brader dekat kolej tu untuk buat kerja part Time sebagai pelayan untuk Majlis Perhimpunan Agong Umno di PWTC. Kami pinjam seluar hitam, kasut hitam dan kemeja putih budak UIA, antara syarat untuk jadi waiter. Blazer disediakan. Seronok juga jaga meja-meja YB ni (kami dapat jaga meja belakang saja). Bila lepas makan diorang siap minta dibungkus pula. Peh! Air minuman pula dibuat di dalam satu takungan yang besar, tuang pati sirap dan buka paip sederas mungkin. Kemudian letak ais banyak-banyak. Dan aku tak pasti air tu bertapis atau tidak.
Dia punya penat memang boleh tahan. Itu baru hari Jumaat.
Hari Sabtu malam pula ada annual dinner, Taylor College buat. Kolej anak orang kaya ni. Sebab artis yang dijemput masa tu KRU. Gila babi betul. Rasa macam bodoh pula bila serve table anak orang kaya ni. Budak sebaya aku je, pergilah ambil sendiri dekat dapur. Dah tu diorang makan Chinese set pula. ada 7 dishes. Bersepai tangan!
Dijadikan cerita, malam tu kami terlepas bas. Mundar-mandir cari bas, tetap tak ada. Sudahnya tidur di mana?
Kami tidur di jejantas, berkongsi dengan pengemis. Seronok juga.
***
Pagi Isnin kami bergegas ke PWTC, untuk mengambil upah kerja yang dijanjikan. Ok, sebenarnya petang, bukan pagi. Kami terbangun lewat hari itu. Pihak katering dah beritahu waktu akhir ambil gaji adalah pukul 3 petang. Dan pada pukul 3 petang, kami masih dalam tren ke Sogo.
Benarlah bagai dikata. Bangun pagi rezeki mendatang, bangun petang rezeki terbang. Setelah berkejar ke sana ke mari, kami hampa. Sia-sia kerja dua hari. Buat penat badan.
Petang itu juga kami pulang ke Muar dengan ngam-ngam duit syiling seringgit di poket, setelah ditolak duit tambang.


