Andi Eshak's Blog: AKU NAK MEMBEBEL NI., page 5
May 27, 2014
DAIM
"Abah!! "
Terperanjat Razi. Itu suara anaknya, Daim dari bilik sebelah. Bergegas dia menuju ke biliknya. Razi membuka pintu dan ternampak Daim terbaring di atas lantai.
"Hmm.. mengigau lagi anak aku ni. Tidur bersepah."
Dia mengejutkan Daim. Daim tersedar dan dengan gaya mamai, naik semula ke atas katil.
Kemudian Razi menyelimutkan Daim. Kasihan Daim, mukanya kelihatan pucat dua tiga hari kebelakangan ini. Kurang sihat barangkali.
Diusap usap muka anaknya itu, kemudian mencium dahi sebelum mengucapkan selamat tidur kepada Daim. Sementara menuju ke suis lampu, Daim berkata kepada Razi:
"Abah, tolong tengokkan di bawah katil Daim. Ada hantu. Daim takutlah. "
Razi senyum sahaja. Untuk memuaskan hati anak kesayangannya itu, dia pun menyelak cadar dan menjenguk di bawah katil.
Kelihatan Daim sedang ketakutan di bawah katil tersebut.
"Abah, tolong tengokkan di atas katil. Ada hantu. Daim takut sangat. "
Dia kelihatan menggigil sekali dan mukanya pucat lesi.
Razi tidak berani untuk menoleh apa yang di atas katil.
May 23, 2014
TOLL GATE BOY
Beberapa huruf sudah terpampang di dinding. Ahmad Samerin tersenyum lega. Huruf yang dipinta mengena. Tuah memang menyebelahinya kali ini.
"Saya jawab ye."
"Silakan Encik Samerin. Sila jawab dengan tenang dan jelas ye. " Ahmad Tarmimi Siregar menjelaskan.
Selepas menarik nafas, Samerin menjawab tenang.
"SIJIL SIMPANAN PREMIUM"
"Tahniah Encik Samerin! Anda adalah pemenang wang satu juta ringgit dan sebuah kereta Ferrari musim ini. Berjumpa lagi kita di dalam More Jutaria musim yang akan datang..! "
Ahmad Samerin melompat kegirangan dan berpelukan persamaan ahli keluarganya.
***
Bob menutup tv mudah alih hitam putihnya. Dia merungut sendirian.
"Celaka. Soalan senang macam tu dapat ferrari. Senang betul buat duit. Kalau aku dapat satu juta tu memang aku tak kerja dekat sini. Aku beli kompeni ni."
Hakikatnya, Bob, tidak dapat wang satu juta, tidak mampu membeli syarikat tol, dan masih duduk di dalam kotak besi bersaiz 8x 5 kaki, dan masih lagi bekerja sebagai toll gate boy.
Itu kerja yang dilakukan oleh Bob semenjak 6 bulan yang lepas.
Dia melepaskan keluh sambil menyandar. Tol Tangkak pada waktu malam begini memang sunyi. Tak banyak kenderaan yang melalui tol ini, terutamanya pada hari bukan cuti. Kalau cuti sekolah ataupun musim perayaan, memang penuh tol ini siang dan malam. Walau penat tetapi Bob suka kerana mengantuknya tidak datang. Dia lebih rela.
Lagipun tol Tangkak yang baru dibuka ini masih berhutan di kiri kanan. Kalau waktu malam memang menyeramkan. Gelap pekat. Risau juga kalau kalau harimau atau gajah datang bayar tol.
Baru hendak melelapkan matanya, tiba tiba Bob nampak samar samar cahaya dari kejauhan. Terang terus matanya. Nasib baik dia belum tertidur lagi. Naya juga kalau pembayar tol yang kejutkan dia nanti. Tetapi Bob melihat cahaya tersebut semakin malap, malap, dan terus hilang.
"Eh, mana pula pergi kereta tadi. Takkan masuk longkang pula." Ada banyak teori dalam kepalanya sekarang ini, tetapi dia tidak mahu fikir yang bukan bukan.
Kurang dari 5 saat, cahaya yang hilang tadi tiba tiba muncul semula dan seperti meluru laju ke arah tol. Bob panik dan cuba mengamati kenderaan yang sedang menuju laju tersebut.
Itu bukan kereta.
Itu penanggal!!
Berderau darahnya melihat kepala terbang, dengan rambut mengerbang. Isi perut berjuntai dan darah menitik deras di atas jalan raya. Kelihatan sedikit aneh apabila jantungnya bercahaya. Mungkin cahaya yang dia nampak tadi datang dari situ.
Bob menjerit seperti orang gila. "Tolong, tolong!! Mak!!... "
Penanggal itu mengelilingi booth yang didiami Bob sambil mengilai. Penanggal itu kemudiannya berhenti di tingkap booth tersebut dan menjilat pipi Bob dengan lidahnya yang sangat panjang. Bob sungguh ketakutan sehingga terkeluar buih buih di mulutnya. Dia meronta ronta di dalam kotak kerjanya. Menendang di sana sini.
***
"Zam, kau pergi tengok budak Bob tu. Kena sawan lagi. Dalam bulan ni dah 3 kali dia kena. Letih aku menengoknya." ujar Kamarul, penyelia di plaza tol Tangkak.
Zam bersama 2-3 orang lagi pantas menuju ke booth Bob.
"Zam! Jangan lupa letak sudu dalam mulut dia. Kang terputus pulak lidah dia nanti. " pesan Kamarul lagi.
Entah Bob benar benar sawan atau penanggal benar benar datang, hanya dia yang tahu.
May 9, 2014
SELAMAT HARI IBU
Waktu kecil dahulu.
Bila aku buka peti ais nak gogok air sejuk, Ma aku akan jerit dari ruang tv:
"Minum pakai cawan, jangan gogok je!"
Balik dari bermain, buka tudung saji, nak ratah lauk. Ma akan jerit dari tempat penyidai:
"Tangan tu basuh dulu. Nanti kuman masuk! "
Bila aku baca komik dalam bilik instead of buat homework, Ma akan sound dari luar :
"Buatlah kerja sekolah tu. Jangan baca komik je."
Bila aku terlupa tutup pili dan terus pergi tengok tv, Ma aku sound dari sofa sambil menjahit:
"Air tu kenapa tak tutup. Membazir."
Ma aku ada berapa mata sebenarnya ni?
April 26, 2014
NYANYI
Hujan lebat sepanjang jalan membuatkan aku rasa nak menyanyi kuat kuat atas motor tadi. Dari satu lagu ke satu lagu aku menyanyi dengan penuh perasaan. Ala, bukan ada orang perasan pun kalau aku nyanyi.
Dekat Elite tadi, tengah sedap aku tarik korus, sebuah kereta Proton Saga merah memintas aku. Aku pun tak ambil port, sambil sambung tarik korus. Tapi aku perasan lama pula dia ambil masa nak potong aku.
Bila aku toleh, aku tengok seorang nenek tengah perati aku dengan muka terkejut. Lepas tu dia geleng geleng kepala. Agaknya dia terperanjat tengok aku menjerit atas motor agaknya. Ini dalam fikiran dia tak ada lain, mesti aku layan lagu trash apa benda semua tu.
Rugi nenek tak buka tingkap tadi. Kalau tak, boleh dengar aku nyanyi
"aku suka singkong, kau suka keju oh oh oh!"
April 23, 2014
JAMMED
Laluan highway yang jammed dari Nilai sampai Seremban ni dah masuk kategori adat. Tak ada apa-apa pun jammed juga
Kalau tiba-tiba tak jammed, itu maknanya pihak PLUS membuang adat.
Tak elok begitu. Adat harus dikekalkan.
THE STEADY OF PERHIMPUNAN
Kalau masa sekolah rendah dulu, waktu perhimpunan, ditugaskan untuk menaikkan Jalur Gemilang tatkala lagu Negaraku dinyanyikan adalah antara tugas yang mendebarkan para pengawas.
Waktu nyanyian tu, semua mata pelajar tertumpu pada bendera yang sedang ditarik.
Kalau bendera dah sampai dulu ke puncak tiang sebelum lagu habis, boleh mendatangkan malu besar.
Tapi kalau timing lagu dengan bendera cun, ngam-ngam serentak, dia punya kerek boleh bertahan sampai perhimpunan lagi satu.
ROTAN
"Semalam babah rotan Finna, Finna marah tak? "
Dia berhenti bermain. Dan meletakkan jari di dagu tanda mencari jawapan untuk soalan aku.
"Emm.. entahlah. Tak fikir. Malas nak fikir. "
Kecil dewasa kecil dewasa aku pandang dia.
DOA
Ingat tak dulu Afinna pernah berdoa 'Ya Allah ya tuhanku, janganlah mama jadi hantu'?
Hari ni lain sikit.
'Ya Allah ya tuhanku, janganlah mama pergi ikut bakso.'
Sebab dia ingat mama dia lari ikut lori bakso.
Anak kecil ni kadangkala kita kena ajar sedikit supaya masuk darjah satu nanti tak terselit celah kerusi.
PERIHAL NIAGA
Sekitar 2010, aku pernah menjual majalah di kedai aku. Sukarnya nak mendapatkan bekalan majalah seperti Mastika, Ujang, Gila- Gila, Wanita dan banyak lagi. Ini kerana pusat pengedaran majalah di Muar hanya berurusan dengan kedai- kedai besar sahaja. Kedai macam aku ni diorang tak layan.
Mujur aku berjumpa dengan satu kedai mamak menjual majalah. Nama dia Lucky Star. Selepas aku ejas- ejas, dia beri aku harga kurang 30 sen dari harga pasaran untuk satu majalah. Kalau tak habis atau sudah keluar keluaran yang baharu, aku boleh memulangkan kembali untuk ditukar dengan majalah yang terkini.
30 sen untuk satu majalah? Mana cukup untuk tanggung kos. Pergi ke kedai dia sahaja sudah dekat 20 kilometer. Aku pun terfikir macam mana kedai yang lain, yang ambil daripadanya dengannya juga dengan harga yang sama (mungkin) boleh mendapat untung dengan 30sen per majalah itu.
Aku hanya bertahan menjual majalah tersebut lebih kurang enam bulan sahaja selepas aku merasakan perbuatan itu hampir sia-sia.
***
Setiap hari aku pulang ke rumah, aku akan exit di KLIA dan melalui satu papan iklan Air Asia 'Big'. Besar gila muka Tony Fernandes dekat papan iklan itu. Disebabkan aku hari-hari nampak muka Tony tu, membuatkan aku terfikir, macam mana dia boleh kaya macam Qarun begitu pantas, sedangkan tiket yang dia jual kadang seposen sahaja.
Disebabkan hari- hari aku fikir, aku rasa aku dapat jawapannya:
1. Konsistensi adalah penting untuk perniagaan jenis runcit. Jual majalah memang lambat kaya, tetapi disiplin dan konsisten menyebabkan mereka kaya.
2. Majalah hanya sebagai pelaris. Mereka turut menjual produk sampingan yang untungnya lebih kasar di kedai.
3. Air Asia tidak menjual tiket murah. Mereka menjual kebahagiaan kepada pelanggan, walaupun kadangkala dalam plane ada lalat.
4. Marketing. Air Asia tidak takut untuk berbelanja besar untuk pengiklanan. Lambat laun iklan itu akan mempengaruhi orang, macam aku contohya.
Begitulah kisahnya.
MEMBELI SEKOTAK UBAT GIGI
Lelaki: Keluar rumah, target kedai mana nak tuju, masuk kedai, pergi section ubat gigi, bayar, balik, sampai rumah.
Perempuan: Keluar rumah, target kedai mana nak tuju, sampai depan kedai, hati tak sedap, pergi supermarket pula, masuk supermarket, pusing- pusing dulu, termasuk pula section kain bagus, kemudian terjumpa pula epal sedap di bahagian makanan, akhirnya baru masuk section ubat gigi, ambil, bayar semua, keluar, singgah butik depan pula belek tudung, rembat sebarang dua, balik, test dalam kereta, sampai rumah, kompelin tudung tak cantik, epal tak sedap.


