Roslan Hamid's Blog, page 3

February 21, 2023

Syaaban 1, 1444: Insafi diri dengan berhaji, berumrah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Luqman: 31)


PERBEZAAN ketara haji dan umrah adalah dari segi masa dan amalan rukun dan wajibnya. Umrah boleh dikerjakan pada bila-bila masa sedangkan haji ada musimnya iaitu setahun sekali pada bulan-bulan haji (Syawal, Zulkaidah dan Zulhijah).


Rukun haji dan umrah adalah sama kecuali pada bab wukuf di Arafah. Wukuf hanya ada pada ibadat haji manakala rukun yang sama adalah niat serta memakai ihram, tawaf, saie, bercukur/bergunting dan akhirnya tertib.


Bagi wajib haji ada empat tambahan berbanding wajib umrah yang ada dua saja. Tambahan itu adalah bermalam di Muzdalifah, melontar Jamrah Aqabah, bermalam di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah pada Hari Tasyriq. Wajib haji dan umrah yang sama adalah niat dan berihram di miqat dan meninggalkan segala larangan dalam masa ihram.


Adalah sangat penting untuk jemaah tahu bahawa rukun haji dan umrah adalah perkara yang MESTI dilakukan, jika ada yang tertinggal, haji atau umrahnya tidak sah. Wajib haji dan umrah pula bermaksud perkara yang MESTI dilakukan, tetapi jika ada yang tertinggal haji/umrahnya sah tetapi dikenakan dam.


Sudah menjadi kebiasaan orang Malaysia sekarang ini kerap menunaikan umrah. Malah ada yang berulang-ulang kali melakukan sehingga ada yang melakukannya setiap tahun. Ada orang kaya dan ternama dilaporkan sudah menunaikannya sehingga 10 kali tetapi belum juga berhaji.


Melakukan umrah yang banyak tidak sama sekali menggugurkan tuntutan menyempurnakan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji dan sungguh gerun mendengar ancaman Allah SWT terhadap orang yang enggan menunaikannya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia (orang Islam) mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan siapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”


Seorang ustaz dalam kuliah mingguan di masjid berhampiran rumah penulis baru-baru ini, menyatakan kesalnya ada orang yang mahu berangkat menunaikan haji tetapi tidak sedia berubah untuk melaksanakan perintah Allah seperti memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya bagi perempuan apabila kembali semula ke tanah air.


Katanya, adalah tidak wajar untuk seseorang itu berkata, dia belum bersedia untuk mematuhi perintah Allah kerana siapakah kita untuk berkata demikian sedangkan nyawa kita dalam tangan-Nya, bila-bila masa saja Dia boleh mencabutnya, tidak kira kita bersedia atau tidak.


Antara amalan paling mencabar dalam melengkapkan ibadat haji adalah wukuf di Arafah, kemudian perjalanan ke Muzdalifah, seterusnya bermalam di Mina dan melontar di jamrah.


Inilah kegiatan dan hari-hari penuh bermakna bagi seseorang jemaah haji. Semua pengalaman ini tidak dialami oleh mereka yang menunaikan umrah. Namun, mungkin semasa menyertai pakej umrah, mutawif akan membawa mereka menziarahi kawasan-kawasan ini. Diharapkan dengan melihat tempat-tempat manasik haji ini akan tergerak hati mereka untuk menunaikan haji dengan seberapa segera.


Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang tersangat penting. Tiada wukuf tiadalah haji. Seseorang jemaah itu dikehendaki berada di bumi Arafah walaupun sekejap saja di antara selepas tergelincir matahari hari ke-9 Zulhijah hingga sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijah. Adalah mustahak diingati bahawa seseorang itu perlu dalam keadaan sedar di Arafah itu, orang yang hilang akal atau pitam atau gila sepanjang masa wukuf itu, tidak menepati syarat sah wukuf.


Penuhilah masa di Arafah itu dengan bertalbiyah, berzikir, beristighfar, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT. Selain solat waktu yang dilakukan secara berjemaah, seseorang itu boleh mengasingkan dirinya daripada orang ramai, dan apabila bersendirian akan terasalah gegaran hati ketika bermunajat, mengakui dosa seterusnya memohon ampun kepada Allah SWT. Saat itu terasa Allah SWT tersangat dekat dengan kita.


Akan berlinanglah air mata, teresak-esak tangisan apabila berdoa yang antara lain berbunyi: “Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku pohon akan Dikau dengan kemuliaan zat-Mu dengan kemurahan-Mu yang kekal abadi, dengan segala nama-Mu Yang Maha Besar, dengan apa yang diturunkan ke atas nabi-Mu, Sayidina Muhammad s.a.w. dan sekalian saudara-saudaranya daripada nabi-nabi dan rasul-rasul serta keluarganya, sahabat-sahabatnya dan sekalian pengikut mereka daripada golongan ulama-ulama yang beramal, wali-wali yang salih.


“Dengan kehormatan di hari itu bahawa Engkau memberi rahmat ke atas Nabi Muhammad, bahawa Engkau ampunkan kami, kedua-dua ibu bapa kami, anak-anak kami, saudara-mara kami, sekian kaum keluarga kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami, mereka yang berbuat baik kepada kami, mereka yang mempunyai hak ke atas kami, mereka yang kami zaliminya atau menyakitinya, dan sekalian orang-orang Islam lelaki dan perempuan sama ada yang hidup atau mati.


“Engkau memberi rezeki dan kebajikan kepada kami dan mereka itu di dunia dan akhirat dan Engkau peliharakan kami dan mereka daripada segala bencana. Engkau jauhkan mala petaka dunia dan akhirat. Bahawa Engkau kurniakan kepada kami ilmu pengetahuan yang berguna dan amalan yang salih. Engkau peliharakan kami daripada perbuatan-perbuatan jahat sama ada daripada manusia, jin, binatang yang buas dan lain-lainnya.


“Engkau matikan kami dan mereka dalam husnulkhatimah, wahai Tuhan kami berilah kami di dunia ini kebaikan, di akhirat juga kebaikan, peliharalah kami daripada azab neraka, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya, sahabat-sahabatnya. Maha Suci Engkau ya Allah daripada segala sifat kekurangan. Salam sejahtera ke atas sekalian rasul-rasul dan segala pujian itu tertentu kepada Allah yang memiliki sekalian alam.”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 21, 2023 16:11

February 19, 2023

Rejab 29, 1444: Mencari 'Tiang Soko Ungu' di Masjidilharam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat: dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki." (Maksud ayat 27 Surah Ibrahim)


KAMI suami isteri sedang berdiri di kawasan lama Masjidilharam yang dibangunkan pada zaman Bani Abasiyah. Pagi itu kami ke masjid seperti biasa untuk beribadat.


Hatiku berasa damai berada dalam Masjidilharam. Melihat Kaabah yang menimbulkan rasa kagum. Melihat orang tawaf yang tidak putus-putus. Melihat jemaah pelbagai bangsa melakukan ibadat.


Suasana itu menimbulkan rasa takwa dalam hati. Sebelum pulang aku ingin menghayati suasana Masjidilharam ini. Entah kapan aku dapat menziarahi lagi Kaabah, aku tak tahu. Dua tiga hari lagi aku akan pulang ke tanah air.


Dalam suasana demikian, tiba-tiba aku didatangi sepasang remaja dari Indonesia. Mereka bertanyakan 'Tiang Soko Ungu'. Si lelaki memakai kain sarong Pekalongan corak hitam-ungu. Baju putih potongan Cina Betawi. Bersongkok hitam. Si perempuan bajunya kebaya putih pendek. Kain lepas dan bertudung.


Semasa di dataran tawaf tadi, selepas menunaikan tawaf sunat, aku didatangi oleh seorang haji muda dari Pulau Pinang. Dia pakai ihram. Agaknya baru balik dari Tanaim memasang niat umrah. Dia bertanya Multazam. Segera aku terangkan, Multazam terletak di antara penjuru Hajar Aswad dengan pintu Kaabah.


Tempat-tempat bersejarah yang ada hubung kait dengan pekerjaan haji dan umrah, aku pelajari daripada buku sejarah Makkah dan Madinah sebelum ke Tanah Suci.


"Tumpang tanya, pak!" tanya si lelaki remaja dari Indonesia itu dengan sopan. "Bapak tahu 'Tiang Soko Ungu'? Di mana lekatnya, pak?"


Aku agak terpinga-pinga ditanyai demikian. Tidak ada dalam kamus fikiranku 'Tiang Soko Ungu' semasa mengerjakan haji di Makkah ini. Dalam buku 'Manasik Haji' tidak ada cerita 'Tiang Soko Ungu'. Tiang Wahyu ada di Madinah, di kawasan Raudhah, berhampiran makam Nabi saw. Yang aku tahu Masjid Jin ada di Makkah.


Aku pandangi isteriku yang berdiri di sebelahku, kok dia tahu. Tapi dia menggelengkan kepala.


"Tiang Soko Ungu? Maaf dik. Saya ngak tau," kataku jujur, mengikut loghat mereka.


Dia kelihatan kecewa tapi mengucapkan terima kasih lalu pergi dari situ. Agaknya mereka terus mencari 'Tiang Soko Ungu' itu.


"Kenapa mereka mencari 'Tiang Soko Ungu'?" terbentik pertanyaan ini dalam kepalaku.


"Mana satu 'Tiang Soko Ungu'? Bukan seribu dua tiang dalam Masjidilharam ini?"


Mataku segera memerhatikan tiang-tiang di hadapanku. Tapi tiada yang ungu. Semuanya sama - putih.


Lantas aku teringat cerita orang tua-tua kampung. Katanya, di Masjidilharam ada sebatang 'Tiang Soko Ungu', tempat orang menuntut ilmu pesugehan. Tapi aku tidak pasti kebenaran cerita itu.


Menurutnya, ada orang pergi ke Makkah menunaikan haji sambil mengambil ilmu pesugehan. Mereka ingin cepat kaya seperti Qarun dengan melakukan perbuatan syrik. Mereka minta kekayaan kepada syaitan tidak kepada Tuhan.


Mereka menuntut ilmu pesugehan itu daripada seorang badal di Makkah. Mereka disuruh memeluk 'Tiang Soko Ungu' yang ada di Masjidilharam.


Setelah pulang ke negeri asalnya, mereka disuruh belayar ke Tanah Jawa. Katanya Makkah dan Tanah Jawa ialah dua kembaran negeri yang serasi, seperti kapur dengan kunyit, untuk pengeras menuntut ilmu pesugehan itu.


"Apakah budak Indon itu hendak menuntut ilmu pesugehan?" hatiku curiga. "Kan banyak tempat di Kaabah doa kita dikabulkan Tuhan? Contohnya Multazam, Maqam Ibrahim, Hijir Ismail dan banyak tempat lagi. Kenapa 'Tiang Soko Ungu' yang dicarinya? Tidakkan dia telah melakukan perbuatan kurafat yang membawa syirik semasa menunaikan haji dan umrah ini?"


Aku perhatikan lagi tiang-tiang di hadapanku. Tapi tidak ada yang ungu. Semuanya kelihatan sama-putih.


Sedang aku tercegat sambil memerhatikan tiang-tiang itu, seolah-olah Tuhan membuka hijab pemandanganku, tiba-tiba aku melihat sebatang tiang ganjil di hadapanku.


Mungkin Tuhan hendak memperlihatkan kebesarannya. Aku diuji dengan diperlihatkan tiang ganjil itu untuk ia menjadi peringatan kepadaku. Seperti Tuhan tunjukkan kepada Adam dan Hawa pohon terlarang di dalam syurga.


"Jangan kedua-dua kamu dekati ke pohon ini, akan jadilah kamu berdua orang yang aniaya." Surat Al-Baqarah Ayat 35.


Tapi Nabi Adam dan Siti Hawa termakan bujukan syaitan dan mereka terkeluar dari syurga, diturunkan ke bumi.


Tiangnya berwarna kelabu-ungu. Beza dengan tiang-tiang lain yang berwarna putih. Alas tiang daripada batu granit tua dan sudah pecah. Bahagian bawahnya disimpai besi demikian juga atasnya. Besi itu sudah karat, menunjukkan tiang itu sudah tua. Mungkin sudah beribu-ribu tahun usianya.


Aku cuit bahu isteriku.


"Nampak tak tiang di hadapan tu?" aku tunjuk dengan mulut.


"Ia kelihatan ganjil. Warnanya kelabu-ungu. Apakah tiang itu dimaksudkan oleh anak muda dari Indonesia itu?"


Isteriku melihat tiang yang aku tunjuk. Dia perhatikan tiang-tiang lain. Dia hendak mencari kelainannya.


"Ia lain berbanding tiang-tiang yang lain, bang," katanya kemudian.


"Ganjil. Warnanya pun kelabu-ungu."


"Nampak tak, ada simpai besi pengikat bahagian bawah dan atas tiang itu. Tiang-tiang lain tidak," aku memberitahu.


"Apakah itu 'Tiang Soko Ungu' bang yang dicari oleh budan Indon tadi?" tanyanya.


"Entahlah. Aku tak tau," kataku.


"Tak perasan pulak ada tiang ganjil di hadapan kita. Budak Indon tadi pun tak perasan agaknya," katanya kemudian.


"Mungkin Tuhan hendak memberi peringatan kepada kita. Atau hendak menguji iman kita. Kita diperlihatkan tiang ganjil itu supaya jangan didekati," aku cuba menerangkan kepada isteriku.


Aku mula muhasabah diri. Andainya aku sudah diperlihatkan Tuhan sebelumnya, ada tiang ganjil dan ungu di hadapanku itu, apakan aku akan tunjukkan kepada mereka?


Ada kemungkinan akan aku tunjukkan. Ini ialah fitrah diriku yang ingin menolong sesama insan. Lebih-lebih lagi di Tanah Suci sewaktu menunaikan fardu haji. Tentunya aku termasuk orang yang bersyubahat.


"Maha Suci Tuhan. Engkau telah menyelamatkan diriku daripada bersyubahat melakukan perbuatan syirik. Sesungguhnya Tuhan telah memberi peringatan," fikirku dalam hati.


Aku mengucap sykur kepada Tuhan.


Aku tinggalkan tempat itu untuk menunaikan solat dhuha. Kemudian naik ke tingkat atas untuk meninjau tiang ganjil itu.


Dari atas jelas kelihatan tiang ganjil itu. Warnanya kelabu-labuan ungu. Simpai besi di bahagian bawah dan atas sudah karat.


Apakah itu 'Tiang Soko Ungu' yang dicari oleh sepasang anak muda dari Indonesia tadi? Aku tidak pasti.


Yang pasti, aku telah diperlihatkan oleh Tuhan sebatang 'Tiang Ganjil' di Masjidilharam. Ini seolah-olah menjadi peringatan kepada diriku jangan mendekati tiang ganjil itu.


Nawaitu dari rumah untuk menunaikan fardu haji perlu betul. Ini bagi mendapatkan keampunan daripada Tuhan dan haji yang mabrur. Niat itu tidak akan aku selewengkan dengan mencampur-adukkan perbuatan syrik, bidaah dan kurafat. Maha Suci Tuhan. - Nukilan HAJI KAS


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 19, 2023 15:56

February 16, 2023

Rejab 26, 1444: Datuk simpanlah duit tu...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr


PADA usia 'tak berapa muda' sekarang ini, sekali sekala selepas solat zuhur berjemaah di masjid, saya menyantuni seorang dua budak-budak sekolah rendah agama yang solat bersendirian, mengejar waktu sebelum ke sekolah  mereka yang bersebelahan masjid.


Saya kagum dengan budak-budak ini, mereka solat tanpa disuruh atau dipantau sesiapa. Adakalanya selepas mereka solat, saya mendekati mereka, menyatakan kata-kata pujian, meminta mereka istiqamah beribadah dan menghadiahkan seringgit dua.


Suatu hari saya berbuat perkara itu kepada seorang budak berbaju Melayu putih uniform sekolah, yang kemudian saya tahu dia dalam darjah dua. Ketika menghulurkan duit dia berkata: "Datuk simpanlah duit itu...bagi orang yang lebih 'membutuhkannya'.


Terkejut besar saya. Biasanya budak-budak akan mengambil duit itu tanpa 'songeh'...budak ni lain macam pula...Sifat mulianya walaupun masih kecil saya puji...tetapi mengapa dia menggunakan perkataan Indonesia itu yang maknanya kurang molek dalam bahasa Melayu...mana dia belajar?


Saya menegur dia dan bertanya mana dia belajar dialog itu. Katanya dari Youtube...Saya minta dia jangan lagi menggunakan perkataan itu...tetapi sifatnya yang mengutamakan orang daripada diri sendiri adalah amat bagus. Sifat baik seperti inilah yang perlu ada pada generasi baharu.


Tidak lama dahulu, ketika duduk-duduk di tangga sebuah surau selepas solat, saya terpandang sampah sarap banyak bertaburan di halaman surau. 


Saya pun mengambil satu bungkusan plastik dan memulakan kerja mengutip sampah-sampah itu.


Ketika asyik 'bekerja', kemunculan dua kanak-kanak seorang lelaki dan seorang perempuan dalam usia 10 tahun begitu mengejutkan saya yang sedang terbongkok-bongkok, apabila salah seorang daripada mereka menegur saya: "Datuk, boleh tolong...?"


Hiss, budak-budak ini, sudahlah dipanggilnya saya datuk, nak mintak tolong pulak tu... 


"Tolong apa?" tanya saya. "Tolong datuk kutip sampahlah..." 


Terasa panas muka saya menahan malu. Malu kerana tersalah sangka, saya ingatkan mereka mahu minta tolong tetapi mereka mahu menolong - sama-sama mengutip sampah sekeliling surau dan kemudian saya lihat mereka memberus longkang dan mengangkat bongkah batu dan ketulan kayu yang terbiar.


Tercengang saya di pagi cerah itu. Terasa betapa indahnya dunia. Matahari saya rasakan seakan-akan 'tersenyum', angin menderu lembut, rerumput dan tanah berbau harum.


 Ya, inilah kali pertama dalam hidup saya menemui kanak-kanak secara spontan dan sukarela menawarkan diri membantu kerja-kerja 'orang tua' seperti saya. 


Saya tidak pernah menemui situasi ini, peri laku kanak-kanak itu sungguh menggembirakan saya pagi itu, bagi saya mereka telah memberikan harapan bahawa 'esok masih ada' sebenarnya dalam kehidupan ini.


Yalah, pada ketika ini kita meniti hidup yang masyarakatnya semakin kasar dan kejam. Ya, kanak-kanak itu telah membuat saya riang sepanjang hari. 


Perbuatan mereka telah 'make up my day'! Tak apalah jika mereka memanggil saya 'datuk'. Yalah, kan saya sudah ada cucu yang memanggil saya datuk. Kalau dapat pangkat Dato' bagus juga, mana tahu masin mulut budak-budak tu.


Di surau itu saya telah saksikan 'satu sinar' - sinar harapan. Bagi saya inilah hadiah hari jadi (pada 17 Februari) paling indah pernah saya dapat. 'Hadiah' ini membuatkan pemberian berbentuk material dan kata-kata indah pada kad ucapan yang saya terima selama ini kelihatan amat kecil malah mungkin tidak bermakna. 


Ya, apa ertinya jika ia hanya indah pada kata-kata tetapi tidak disertai perbuatan?


Akhirnya saya telah ketemui keindahan kata-kata diterjemahkan menjadi perbuatan. 


Saya menyaksikan dengan mata kepala ini sendiri bagaimana kanak-kanak itu dapat menterjemahkan apa yang dipelajari di rumah dan sekolah; tentang budi bahasa, tentang sifat tolong menolong yang 'berbuih-buih' diajar oleh ibu bapa dan guru di sekolah secara praktik tanpa disuruh, tanpa dipaksa.


 Menemui insan dewasa apatah lagi kanak-kanak yang ikhlas membantu orang lain memang sukar. Ini kerana sejak kecil anak-anak kita dilatih dengan upah, mengharapkan ganjaran pada penghujung sesuatu usaha. 


Misalnya berpuasalah, nanti bapak bagi duit, belajarlah bersungguh-sungguh nanti anak akan senang selepas dapat 5A dalam UPSR, 9A dalam PMR dan 11A dalam SPM. 


Semuanya menjanjikan ganjaran, tetapi peristiwa "datuk, boleh tolong...?" di sebuah surau nun di sebuah kawasan pedalaman, menyedarkan saya bahawa 'generasi muda kita masih boleh diselamatkan'.


Ayuh marilah kita, terutama orang yang terbabit terus dalam bidang pendidikan seperti 'cikgu' berusaha sepenuh jiwa membimbing generasi muda kita ke jalan-Nya yang lurus!


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 16, 2023 15:50

February 15, 2023

Rejab 25, 1444: Cuti sekolah, tunai umrah...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, (Surah Al-Asr, 1-3)


CUTI sekolah akan menjelang tiba. Ramai rakyat Malaysia ke Tanah Suci menunaikan umrah. 


Tidak kurang ibu bapa membawa anggota keluarga termasuk anak-anak yang masih bersekolah. Alhamdulillah, baguslah jika kita dapat menjadikan umrah sebagai aktiviti keluarga dalam menunaikan ketaatan kepada Allah SWT.


Ya, sudah menjadi kebiasaan orang Malaysia sekarang ini kerap menunaikan umrah. Malah ada yang berulang-ulang kali melakukan sehingga ada yang melakukannya setiap tahun. Ada orang kaya dan ternama dilaporkan sudah menunaikannya sehingga 10 kali tetapi belum juga berhaji.Itulah yang sedihnya.


Melakukan umrah yang banyak tidak sama sekali menggugurkan tuntutan menyempurnakan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji dan sungguh gerun mendengar ancaman Allah SWT terhadap orang yang enggan menunaikannya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia (orang Islam) mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan siapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”


Seorang ustaz dalam kuliah mingguan di masjid berhampiran rumah penulis baru-baru ini, menyatakan kesalnya ada orang yang mahu berangkat menunaikan umrah atau haji tetapi tidak sedia berubah untuk melaksanakan perintah Allah seperti memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya bagi perempuan apabila kembali semula ke tanah air.


Katanya, adalah tidak wajar untuk seseorang itu berkata, dia belum bersedia untuk mematuhi perintah Allah kerana siapakah kita untuk berkata demikian sedangkan nyawa kita dalam tangan-Nya, bila-bila masa saja Dia boleh mencabutnya, tidak kira kita bersedia atau tidak.


Antara amalan paling mencabar dalam melengkapkan ibadat haji adalah wukuf (rukun haji) di Arafah, kemudian perjalanan ke Muzdalifah, seterusnya bermalam di Mina dan melontar di jamrah (wajib haji).


Inilah kegiatan dan hari-hari penuh bermakna bagi seseorang jemaah haji. Semua pengalaman ini tidak dialami oleh mereka yang menunaikan umrah. Namun, mungkin semasa menyertai pakej umrah, mutawif akan membawa mereka menziarahi kawasan-kawasan ini. Diharapkan dengan melihat tempat-tempat manasik haji ini akan tergerak hati mereka untuk menunaikan haji dengan seberapa segera.


Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang tersangat penting. Tiada wukuf tiadalah haji. Seseorang jemaah itu dikehendaki berada di bumi Arafah walaupun sekejap saja di antara selepas tergelincir matahari hari ke-9 Zulhijah hingga sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijah. Adalah mustahak diingati bahawa seseorang itu perlu dalam keadaan sedar di Arafah itu, orang yang hilang akal atau pitam atau gila sepanjang masa wukuf itu, tidak menepati syarat sah wukuf.


Penuhilah masa di Arafah itu dengan bertalbiyah, berzikir, beristighfar, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT. Selain solat waktu yang dilakukan secara berjemaah, seseorang itu boleh mengasingkan dirinya daripada orang ramai, dan apabila bersendirian akan terasalah gegaran hati ketika bermunajat, mengakui dosa seterusnya memohon ampun kepada Allah SWT. Saat itu terasa Allah SWT tersangat dekat dengan kita.


Akan berlinanglah air mata, teresak-esak tangisan apabila berdoa yang antara lain berbunyi: “Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku pohon akan Dikau dengan kemuliaan zat-Mu dengan kemurahan-Mu yang kekal abadi, dengan segala nama-Mu Yang Maha Besar, dengan apa yang diturunkan ke atas nabi-Mu, Sayidina Muhammad s.a.w. dan sekalian saudara-saudaranya daripada nabi-nabi dan rasul-rasul serta keluarganya, sahabat-sahabatnya dan sekalian pengikut mereka daripada golongan ulama-ulama yang beramal, wali-wali yang salih.


“Dengan kehormatan di hari itu bahawa Engkau memberi rahmat ke atas Nabi Muhammad, bahawa Engkau ampunkan kami, kedua-dua ibu bapa kami, anak-anak kami, saudara-mara kami, sekian kaum keluarga kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami, mereka yang berbuat baik kepada kami, mereka yang mempunyai hak ke atas kami, mereka yang kami zaliminya atau menyakitinya, dan sekalian orang-orang Islam lelaki dan perempuan sama ada yang hidup atau mati.


“Engkau memberi rezeki dan kebajikan kepada kami dan mereka itu di dunia dan akhirat dan Engkau peliharakan kami dan mereka daripada segala bencana. Engkau jauhkan mala petaka dunia dan akhirat. Bahawa Engkau kurniakan kepada kami ilmu pengetahuan yang berguna dan amalan yang salih. Engkau peliharakan kami daripada perbuatan-perbuatan jahat sama ada daripada manusia, jin, binatang yang buas dan lain-lainnya.


“Engkau matikan kami dan mereka dalam husnulkhatimah, wahai Tuhan kami berilah kami di dunia ini kebaikan, di akhirat juga kebaikan, peliharalah kami daripada azab neraka, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya, sahabat-sahabatnya. Maha Suci Engkau ya Allah daripada segala sifat kekurangan. Salam sejahtera ke atas sekalian rasul-rasul dan segala pujian itu tertentu kepada Allah yang memiliki sekalian alam.”  

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2023 15:48

February 14, 2023

Rejab 24, 1444: 'Praktikkan' murid solat berjemaah...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


KETIKA saya sampai di sebuah masjid untuk solat asar, azan berkumandang di udara. Di sebelah masjid ada sebuah sekolah agama rakyat; murid-murid saya lihat sedang  bermain kejar-kejar - ya anak-anak itu sedang menikmati waktu rehat.


Terfikir di benak saya kenapa murid-murid sekolah agama tidak disertakan sekali untuk bersama-sama solat berjemaah di masjid. Alangkah bagusnya jika anak-anak dilatih sejak kecil untuk bersama-sama ke masjid untuk solat berjemaah.


Menyaksikan wajah bersih anak-anak itu, saya membayangkan alangkah moleknya jika pengurusan sekolah agama dapat mengatur jadual agar anak-anak dapat menyertai solat berjemaah asar di masjid. Perkara ini dapat dilakukan jika sekolah agama di sebelah masjid,  jika sekolah jauh dari masjid mereka boleh bersolat bersama-sama guru di surau atau dewan.


Membiasakan (mempraktikkan) anak-anak untuk bersolat berjemaah tersangat besar faeadahnya. Jika guru, murid dan sesiapa saja di kalangan Muslim dilatih bersiap sedia untuk solat waktu berjemaah, alangkah indahnya. Tetapi ini jarang berlaku, jadi di mana silapnya?


Saya amat-amati di sekolah agama rakyat itu, ketika azan berkumandang, aktiviti sekolah berjalan seperti 'biasa'. Jika bertepatan dengan waktu rehat (waktu solat berubah-rubah), murid-murid dilihat melompat, jika waktu lain, guru masih mengajar dan murid-murid menjerit mengikut apa yang guru suruh sebut. Subhanallah, tidakkah guru mahu mengajar anak muridnya 'melakukan apa yang patut' apabila mendengar seruan azan?


Jika guru-guru dan murid-murid menyertai solat asar berjemaah, insya-Allah akan beres banyak perkara seperti soal solat. Misalnya murid-murid balik jam 6.15-6.30 petang; bolehkah kita jamin mereka solat asar di rumah? Alangkah ruginya jika kita tidak membimbing anak-anak untuk solat berjemaah semata-mata untuk mengikuti jadual berdasarkan sukatan mata pelajaran yang ditetapkan. 


Ya, sekarang ini, anak-anak diajar untuk menimba ilmu sebanyak mungkin tetapi kurang dari segi pengamalannya. Budak-budak sekarang pandai menghafaz itu dan ini, dalam peperiksaan mereka mendapat berderet A, tetapi satu kajian menunjukkan hanya 20 peratus murid-murid yang cukup solat waktunya. Akhlak mereka juga perlu dipertingkatkan, sebagai contoh di laman masjid ramai ketika menanti untuk pulang, ada sesuka hati membuang sampah merata-rata tempat.


Berdasarkan apa yang saya saksikan ini, saya rayulah pihak berkuasa agama (di Malaysia hal berkaitan agama adalah di bawah kerajaan negeri), bermuhasabahlah; lakukan penambah-baikan kaedah pembelajaran anak-anak kita, biar mereka mempraktikkan apa yang diajar. Jika kita mengajar solat berjemaah itu sangat penting, marilah kita bimbing anak-anak murid kita untuk menyertai solat berjemaah di masjid dengan meninggalkan sebentar apa saja aktiviti di sekolah. Bukankah panggilan Allah itu lebih besar daripada segala-galanya!


Jika kita sudah mengajar dan mempraktikkan generasi muda untuk segera menyahut seruan Allah, insya-Allah mereka akan berterusan berbuat demikian sepanjang hayat mereka. Tetapi jika guru tidak terasa apa-apa pun ketika seruan kepada Allah dilaungkan (azan), kerana mereka masih mengajar dan tidak berasa perlu ke masjid, kita bimbang anak-anak murid akan ditanamkan ke dalam jiwa mereka untuk 'buat dek saja' (pekakkan telinga) apabila mendengar azan.


Bagi saya, sekolah agama adalah tempat terbaik untuk mempraktikkan apa yang diajar. Jika diajar bab solat, pastikan guru dan anak murid sendiri solat berjemaah di masjid apabila keadaan mengizinkan. Jika pengurusan sekolah agama pun tidak dapat melakukan perkara ini, bagaimanakah situasi di sekolah lain seperti sekolah kebangsaan.


Saya difahamkan kehadiran di sekolah agama (petang) bukanlah 'perkara mesti' di negara kita. Dilaporkan lebih kurang 50 peratus saja anak-anak di sekolah kebangsaan (sebelah pagi) belajar di sekolah agama.


Ibu bapa mempunyai banyak alasan tidak menghantar anak mereka ke sekolah agama. Kena bayar yuranlah, lebih banyak belanjalah kerana anak dihantar ke sekolah dua kali dalam sehari dan ada yang memberitahu tak ada orang hendak menguruskan anak-anak. Ada yang mendakwa anak-anak mereka sibuk bersedia untuk menduduki UPSR dengan pelbagai tuisyen dan program bimbingan, jadi tiada masa untuk anak-anak ke sekolah agama.


Anak-anak yang tidak dihantar ke sekolah agama akan menghadapi banyak masalah. Mereka akan lemah pengetahuan agama, lemah Jawi dan terlepas peluang amalan praktikal seperti sembahyang berjemaah. Memang betul di sekolah kebangsaan ada subjek pengetahuan Islam termasuk bab solat tetapi itu tidak memadai.


Seorang ustaz berkata janganlah hendaknya agama hanya berguna pada tiga keadaan saja iaitu semasa kelahiran, perkahwinan dan kematian.Semasa lahir, anak diazankan kemudian semasa perkahwinan dinikahkan secara Islam dan akhirnya mati dimandi, kafan, solat dan dikebumikan; selain daripada hidupnya jauh daripada agama, solat dan masjid tersangat jauh daripada dirinya walaupun dia mungkin berjiran dengan masjid. Ya, didiklah anak-anak (murid) kita untuk sentiasa menunaikan solat waktu berjemaah di masjid!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 14, 2023 16:05

February 13, 2023

Rejab 23, 1444: Mentaliti malam Jumaat (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Imam Muslim meriwayatkan dalam hadis sahihnya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Barang siapa mendatangi 'a'raaf *  (tukang tenung) dan menanyakan sesuatu kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 hari."

*******

* 'A'raaf ialah orang yang mengaku mengetahui kejadian yang telah terjadi, yang boleh menunjukkan barang yang dicuri atau tempat kehilangan suatu barang. Sedangkan kahin ialah orang yang memberitakan hal-hal ghaib yang akan terjadi atau sesuatu yang terkandung dalam hati.


SEBAGAI bekas kakitangan dan pembaca tetap sebuah akhbar harian arus perdana, saya kurang senang dengan tindakan lembaga pengarangnya menyiarkan gambar perempuan seksi pada setiap kali keluaran akhbar itu.


Gambar berkenaan diletakkan pada sisi kiri muka depan, agak saya bagi menarik pembaca membeli akhbar terbabit. Ada kalanya wanita penghias muka depan itu bagaikan tidak cukup kain, maka tersembullah aset yang sepatutnya disembunyikan. Langkah menyiarkan gambar wanita seksi ini bertujuan menaikan jualan akhbar, sekali gus meningkatkan keuntungan, itulah strategi orang yang otaknya fikir fasal bisnes saja.


Disebabkan adanya gambar itu, saya memboikot daripada membeli akhbar berkenaan, yalah bukankah ada hadis yang antara lain bermaksud, seseorang itu perlu menyatakan bantahan (mengubah) perkara maksiat dengan tangan (kuasa), jika tidak dengan lisan (mulut, menulis) dan yang paling rendah menyatakan bantahan dalam hati dan juga larangan bersubahat dalam perkara maksiat.


Namun ada harinya saya terpaksa juga membeli akhbar berkenaan kerana tiada pilihan disebabkan akhbar lain sudah habis. Akhbar-akhbar lain pun dua kali lima, sarat dengan gambar keterlaluan, yang berbahasa Melayu tetap degil menyiarkan keputusan empat nombor ekor manakala sesetengah akhbar berbahasa Inggeris ghairah menyiarkan iklan minuman keras.


Suatu petang Jumaat saya nekad menelefon ketua pengarang akhbar berkenaan bagi menyatakan bantahan. Bukan senang hendak bercakap dengan pengarang berpangkat Datuk ini, selepas mencuba hampir 10 kali, barulah dapat bercakap dengannya. Saya nyatakan rasa kurang senang dengan penggunaan gambar perempuan seksi yang menjadi penghias muka depan hampir setiap hari.


Saya nyatakan juga alangkah janggal menyiarkan gambar seksi itu pada hari Jumaat, ramailah pembaca menatap gambar wanita itu pada pagi hari kemudian pergi sembahyang Jumaat, begitu bertentangan sekali amalan kita, kejap tengok aurat wanita, kemudian sujud pada Illahi, inilah fikiran sekular, berperangai alim-alim kucing ketika berada dalam masjid tetapi di luar…macam serigala lapar.


Saya nyatakan pada pengarang itu, saya malu untuk mengepit akhbar menyiarkan gambar tak senonoh itu. Demikian juga agak saya dengan ustaz, ustazah, pak haji, tok iman dan mufti, tentulah mereka malu untuk membawa akhbar itu ke sana sini, apatah lagi pada hari Jumaat.


Nampaknya pengarang itu bersetuju dan berjanji akan membuat perubahan. Namun pada hari keesokannya (hari Sabtu), ketika ke gerai akhbar, saya perhatian akhbar itu tetap menyiarkan gambar wanita seksi pada muka depan. Saya pun teruskan boikot saya, tidak beli akhbar itu.


Selepas teguran saya itu, penampilan wanita seksi pada muka depan tetap berlaku kecuali pada hari Jumaat. Pada hari Jumaat disiarkan gambar wanita berpakaian sopan malah kadang-kadang bertudung. Antara gambar dipaparkan adalah artis wanita yang hadir di mahkamah syariah. Tentunya mereka berpakaian sopan termasuk mengenakan tudung.


Demikianlah, betapa sebahagian anggota masyarakat kita bermentalitikan untuk membuat baik dan melakukan kebajikan pada malam dan hari Jumaat sedangkan pada hari lain mereka tidak kisah.


Pengarang akhbar pun berfikiran begitu. Pada setiap hari (keluaran) mereka menyiarkan gambar perempuan seksi tetapi pada keluaran hari Jumaat mereka bertukar sikap, menjadi begitu alim; menyiarkan artikel agama yang menyuruh orang membuat kebaikan dan pada ruangan yang biasanya disiarkan gambar wanita mendedahkan aurat keterlaluan digantikan halaman kegiatan harian seperti pertanian. Jika hari-hari sebelumnya kerap disiarkan gambar buah terlarang tetapi pada hari Jumaat disiarkan buah-buah tempatan seperti betik, mangga dan kelapa mawar.


Jika pengarang akhbar bermentaliti begitu, apa kurang dengan anggota masyarakat. Hari dan malam Jumaat, ramai menjadi alim. Di surau dan masjid, pada malam Jumaat, jemaah sibuk membaca Surah Yassin bersekali dengan tahlil. Ramai baca al-Quran (Surah Yassin) pada malam Jumaat saja, pada malam dan siang hari lain mereka tidak peduli. Baca al-Quran pada malam Jumaat, bagus tetapi alangkah elok mereka membaca dan mentelaahnya sepanjang waktu tanpa menunggu malam Jumaat


Bagi sesetengah wanita, mereka mengenakan baju kurung labuh malah ada yang memadankannya dengan tudung atau selendang pada hari Jumaat. Pada hari lain, mereka tidak peduli, mereka berpakaian seksi, tetapi pada hari Jumaat mahu kelihatan alim. Kononnya mereka menghormati hari Jumaat yang mulia. Apa yang bagusnya, ramai juga gadis Cina dan India (bukan Islam) turut berpakaian baju kurung pada hari Jumaat. Malah budak-budak sekolah bukan Islam pun ramai yang pakai baju kurung pada hari Jumaat.


Bagi budak-budak pula, mereka sering diugut oleh ibu bapa supaya jangan buat nakal pada malam Jumaat. Mereka akan berkata: “Hah kau ingat ini malam apa? Ini malam Jumaat, hormatilah sikit hari Jumaat.” Apakah ini bermakna pada malam dan hari lain, boleh buat nakal? Hantu termasuk pontianak pula dikatakan suka keluar pada malam Jumaat!


Di kalangan sesetengah orang Melayu, malam hari Khamis malam Jumaat dianggap waktu paling istimewa bagi pasangan suami isteri. Jadi berlakulah sindir menyindir kepada pasangan suami atau isteri. Kononnya itulah malam paling sesuai buat ibadah membabitkan suami isteri itu. Persoalannya, mengapa mesti malam Jumaat, malam lain tidak bolehkah? Apakah ia bermakna malam Jumaat wajib, malam lain sunat?


Mentaliti malam Jumaat ini, menyebabkan sesetengah orang kreatif, mengambil kesempatan dan peluang. Misalnya sebuah syarikat memperkenalkan minyak wang dan semburan diberi jenama MJ (Malam Jumaat). Ini adalah orang bijak, mengeksploitasi kepercayaan tidak berasas masyarakat bagi menjana pendapatan lumayan.


Seorang penulis blog (roseharissa.blogspot.com) bertanya: “Tak tahulah kenapa lelaki-lelaki Melayu suka sangat mengaitkan malam Jumaat dengan seks. Habis tu, hari Isnin, Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu, Ahad, tak bolehkah? Jadi tak keterlaluan dikatakan bahawa ia hanya mitos mengenai 'ibadah sunat' dan tak ada masuk dalam bab sunnah pun. Cuma mentaliti orang Melayu sudah diterapkan zaman berzaman mengaitkan malam Jumaat sebagai malam bulan madu. Seks malam Jumaat tu cuma mitos orang Melayu!”


Beliau mendakwa disebabkan ‘menunggu malam Jumaat’ ada hubungan suami isteri semakin lama semakin hambar, sebab terlalu lama menunggu, maklumkan seminggu sekali. “Sepatutnya setiap hari adalah sama dan istimewa untuk suami isteri...tak payah tunggu hari Khamis malam Jumaat!” tulisnya.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2023 15:51

February 10, 2023

Rejab 20, 1444: 'Manusia paling jahat...' (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


TIDAK lama dahulu, dalam satu ceramah, saya begitu terkesan apabila seorang ustaz memberitahu bahawa orang paling jahat di dunia ini bukanlah penyamun, perompak, pembunuh, perogol dan 'penjahat sespesies' mereka tetapi manusia yang tidak dapat menerima kebenaran. Mereka yang menutup pintu hati (hati keras) inilah adalah sejahat-jahat manusia.


Kata sang ustaz, manusia keras hati ini bukanlah hanya daripada golongan yang 'kelihatan jahat' tetapi juga di kalangan mereka yang 'nampak baik-baik'. Ya, mereka solat (malah secara berjemaah di masjid), berpuasa dan berhaji tetapi kata sang ustaz, 'tak berkesan' 'tonggang tongek' mereka (menunaikan solat) jika mereka tidak berlapang dada untuk menerima sesuatu kebenaran itu.


"Apa buktinya?" tanya sang ustaz. Katanya, orang jenis ini pantang ditegur. Kalau ditegur dia akan melenting. Sepantas kilat dia menolak pandangan orang malah cuba pula 'menegakkan benang basah'. Ini bermakna orang ini secara automatis sudah menutup pintu hati; dia fikir dia atau pendapat dia sahaja betul jadi bagaimana dia dapat mengutip 'mutiara-mutiara' daripada kehidupan ini!


Fokuskan kepada sirah Nabi Muhammad SAW. Sebelum menjadi Nabi dan Rasul pada usia 40 tahun, Nabi Muhammad diakui kejujurannya dan diberi gelaran Al-Amin (Yang Amanah). Ketika mula berdakwah secara terbuka Nabi Muhammad SAW menghimpunkan penduduk Makkah dan bertanya kepada mereka "jika aku katakan ada unta di belakang bukit ini (Safa) percayakah kamu?" Orang Quraisy mengiyakannya tetapi selepas Nabi SAW menyampaikan dakwahnya, mereka yang diketuai oleh Abu Lahab lantas menuduh Nabi SAW berbohong sedangkan sebelumnya mereka mengakui 'keamanahan' Nabi.


Ya, orang yang menutup pintu hati daripada kebenaran adalah sama cirinya dengan Abu Lahab yang dikutuk oleh Allah SWT dalam al-Quran. Menjadikan sirah Rasul SAW ini sebagai pedoman kehidupan, insaflah kita bahawa masalah-masalah membabitkan diri, keluarga, masyarakat, negeri, negara kita dan dunia ini adalah berpunca daripada keras hatinya diri kita daripada menerima kebenaran. Namun percayalah, apabila kebenaran datang maka sirnalah kejahatan.


Sekarang marilah kita 'terjemahkan' peristiwa zaman Rasul SAW sebagai pengajaran kehidupan semasa kita. Kemelut demi kemelut yang melanda negara sebahagiannya adalah disebabkan oleh kita terutama pemimpinnya yang sudah keras hati, tidak dapat menerima kebenaran. Hati mereka sudah beku, Mereka pekakkan telinga kepada teguran, mereka fikir mereka saja betul dan apabila ini berlaku, dikhuatiri suasana dalam negara kita daripada 'sebawah-bawah dan setinggi-tingginya' dalam keadaan 'tunggang-telanggang'.


Tidak 'makan ditegur' atau menjauhi daripada kebenaran ini menyebabkan dunia rosak; sebagai contoh di negara kita kini diancam jerebu; sebahagiannya disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang jahat; mereka mementingkan hawa nafsu masing-masing - katakanlah berlaku kebakaran hutan puncanya kerana apa...pemerintah mahu mengaut keuntungan semaksimum mungkin, demikian juga pemodal, peneroka dan sebagainya. Manusia (daripada pemimpin kepada rakyat) rakus 'membotakkan' hutan dan bukit malah gunung pun ditarah mereka! Ya, apakah mereka ini dapat menerima kebenaran apabila ditegur? Tidak, kita bimbang mereka sudah jadi 'Abu Lahab' yang tidak dapat menerima kebenaran.


Manusia keras hati tidak boleh menjadi 'pentaubat' sedangkan inilah ciri sebaik-baik insan yang disayangi oleh Allah SWT. Perompak dan pembunuh (termasuk yang meletupkan orang) pun berpeluang mengaku bersalah dan bertaubat tetapi makhluk yang sombong daripada kebenaran ini (ketua mereka adalah iblis dan syaitan) tidak boleh dan akan berbuat begitu. Ya, manusia mana yang tidak membuat dosa...namun insan 'pentaubat' mengakui kesilapan diri dan berterusan merayu-rayu kepada Allah agar ditunjuki jalan yang lurus (kebenaran) yang dipohon sekurang-kurang 17 kali melalui solat. 


Sahlah kalau kita tidak membuka hati kepada kebenaran seterusnya bertaubat, kita adalah sejahat-jahat manusia kerana datuk kepada kita semua (manusia), Nabi Adam AS pun berdoa bersungguh-sungguh: "Ya Tuhan kami; kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi." (Quran, Surah Al-A'raaf, ayat 23)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 10, 2023 15:56

February 9, 2023

Rejab 19, 1444: 'Kau satu dalam sejuta...'

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr


FEBRUARI meninggalkan banyak kenangan pada saya. Namun harap tidak silap...mengaitkannya dengan sambutan Hari Valentine pada 14 Februari yang diasosiasikan dengan hari berkasih sayang atau kekasih oleh sesetengah pihak. 


Pada tanggal 17 Februari saya dilahirkan, pada bulan Februari 1989 saya berkahwin  Ertinya sudah hampir 35 tahun saya berumah tangga - rasanya baharu semalam, tetapi apabila melihat anak dan cucu yang penuh rumah  apabila sesekali bertemu, insaflah saya bahawa saya sudah berusia senja.


Berceloteh mengenai bulan Februari, masih ramai yang melihatnya sebagai bulan romantik ---sesekali terkenang juga lagu favorit masa muda dahulu ---'Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi' dendangan kumpulan Alleycats. Antara lain liriknya berbunyi:


Sekuntum mawar merah

Sebuah puisi

Untuk gadis pilihan

Oh-oh, di bulan Februari


Baharu-baharu ini selepas mengemas biliknya, seorang anak perempuan saya menyerahkan lebih 10 novel cinta yang tebal-tebal, meminta saya melupuskannya. 


Tak tahu mengapa, mungkin dia sudah 'meluat' dengan kisah cinta remaja yang entah apa-apa. Mungkin dia sudah dewasa untuk mengerti bahawa cerita cinta yang membawa seseorang pembaca terawang-awangan dialun khayal cinta seperti 'lautan api sanggup kurenangi' atau 'kau satu dalam sejuta' adalah 'auta' dan mainan bibir semata-mata.


Dahulu saya terkejut besar apabila mendapati anak gadis sunti ini mula berjinak-jinak membaca sejumlah besar novel 'cintan', yang antara tajuknya seperti 'Sebenarnya saya isteri dia'. 


Kebanyakan novel ini tebal-tebal berlaka, 500 muka surat adalah biasa bahkan ada yang mencecah 1,000 muka surat! 


Seorang abang anak gadis saya apabila menyedari si adik membaca 'Sebenarnya saya isteri dia' membuat heboh satu rumah, menyindirnya dengan melaung: "Oh, adik baca 'Sebenarnya saya isteri dia'...sepatutnya adik bacalah buku 'Sebenarnya, saya calon SPM'. Ini tak, dibacanya buku ini, nak buat apa, dah nak kahwin ke, dah nak jadi isteri ke?"


Demikianlah, bingung saya memikirkan gelagat anak-anak zaman sekarang. Jika anak saya gila membaca novel dan menonton TV, saya perhatikan sejumlah anak-anak saudara saya pula obses dengan gajet elektronik mereka. 


Mereka seolah-olah berada dalam dunia sendiri, suasana persekitaran tidak dipedulikan - mereka tidak ghairah untuk bertegur sapa dan berbual-bual dengan saudara mara. 


Pada kesempatan sebagai guru sukarela hujung minggu, kadang-kadang saya bertanya anak-anak murid saya, siapa solat subuh pagi itu. Amat mengejutkan hanya seorang dua mengangkat tangan, bakinya tidak solat. Bukan saja solat subuh, tetapi solat waktu lain pun mereka tak tunaikan. 


Demikianlah akhlak anak-anak muda termasuk pelajar semakin buruk, kewajipan agama seperti solat semakin terlerai. Ibu bapa, guru dan anak-anak dewasa ini didakwa terlalu mementingkan kejayaan akademik, soal keagamaan terutama dari segi amalannya tidak berapa dititik-beratkan. 


Kejayaan diukur dengan deretan A dalam peperiksaan awam sedangkan pegangan agama termasuk akhlak ditolak ketepi. 


Hakikatnya, dalam mencorak generasi muda, bukan saja ibu bapa dan guru bertanggungjawab tetapi hampir seluruh institusi masyarakat seperti kepimpinan negara, media massa (bahan bacaan dan penyiaran) , masjid (rumah ibadat), keluarga besar (datuk nenek, bapa saudara dan sebagainya) serta persatuan dan pertubuhan setempat termasuklah perkumpulan belia.


Namun apa yang kita perhatikan, kebanyakan daripada institusi ini mulai tempang; anak-anak dipengaruhi dengan elemen buruk menyebabkan kelompok yang terbabit dalam dunia pendidikan seperti guru menjadi bingung; apa yang diajar di sekolah tidak dipraktikkan di luar, malah di sekolah sendiri.


Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, media massa kita sudah menjadi 'kurang ajar' menyebabkan anak-anak juga menjadi 'tak terajar'. Ibu bapa dan guru di sekolah bukan agen tunggal pendidikan; anak-anak juga belajar melalui media massa dan persekitaran. 


Ada yang belajar melalui filem dan drama Korea, Jepun, Hollywood, Bollywood dan Indonesia. Sinetron dari Korea dan seberang amat diminati.


Anak-anak juga didedahkan dengan bahan bacaan kurang sesuai termasuklah lambakan novel; jadi tak hairanlah jika anak di sekolah turut membaca novel 'Sebenarnya saya isteri dia' sedangkan sepatutnya dia istiqamah dalam menunaikan kewajipan agama di samping menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana menginsafi 'Sebenarnya saya calon SPM'!


Sekarang ini dengan adanya novel-novel dalam talian semakin rancaklah anak-anak kita dengan hobi masing-masing. Malah secara senyap-senyap ada yang sudah menjadi penulis novel dalam talian. Tak tahu pulak ada anak kita  adalah seorang novelis.


Inilah kita bimbangi, sewajarnya kita sebagai ibu bapa 'meng-update' ilmu diri kita dalam IT,semoga kita tidak ketinggalan dalam memantau apa yang anak-anak kita buat. Bukankah Sayidina Umar Al-Khattab atau Sayidina Ali pernah berkata - "didiklah anak-anakmu mengikut zaman mereka."


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 09, 2023 16:16

February 7, 2023

Rejab 17, 1444: Kg Abdullah Hukum; di manakan kucari ganti...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)


TIDAK lama dahulu saya membawa seorang anak gadis saya ke tempat interbiu kerja di Bangsar South. Saya yang memandu kereta dari Melaka teragak-agak mencari tempatnya sekalipun 20-30 tahun lalu saya bermastautin di sini kerana bekerja di NSTP.



Tapak Bangsar South ini dulunya adalah Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi. Teringat saya semasa mula-mula belajar memandu kereta semasa bujang dulu, sebuah kedai 'lesen L' di Kampung Abdullah Hukum menjadi tempat kunjungan. Teringat saya dalam satu sesi belajar memandu, pakcik pengajar mengajak saya 'cepat-cepat cabut' selepas saya terlanggar 'bontot' sebuah kereta yang di pakir.



Sekalipun kereta berkenaan tiada kesan calar, pakcik berkenaan suruh saya 'cabut' kerana kononnya 'dia tak mahu cari pasal'. Hari ini bukan saja kedai berkenaan tiada, Kampung Abdullah Hukum pun tiada lagi dalam peta. Semuanya sudah memberi laluan kepada apa yang dinamakan pemodenan dan kemajuan - yang tersergam menongkah langit adalah menara dan bangunan Bangsar South.



Kalau Kampung Abdullah Hukum sendiri sudah tiada, agak-agak tahu tak generasi sekarang siapakah dia Abdullah Hukum. Orang segenerasi saya pun tidak tahu apatah lagi generasi baru. 



Alhamdulillah, tidak lama dulu, saya ada membaca buku 'Kuala Lumpur dari Perspektif Abdullah Hukum' karya Adnan Haji Nawang (terbitan Berita Publishing, 1997) yang mengutip semua penceritaan Abdullah Hukum (antara tokoh peneroka Kuala Lumpur) yang antara lain menyatakan: 



"Pada masa saya berumur kira-kira 15 tahun saya dibawa berdagang oleh ayahanda saya meninggalkan negeri. Kami keluar dari tanah Sumatera melalui Pekan Baharu (Siak) dengan sebuah sekoci belayar menuju tanah Semenanjung dan menempat ke Melaka pada tahun 1850. 



"Apabila sampai ke Melaka maka kami pun menumpang di rumah Datuk Dagang bernama Haji Said, iaitu bapa saudara bagi Almarhum Tambi Abdullah yang terkenal kaya di Kuala Lumpur dan bergelar Datuk Abdullah.



"Adapun ketuaan orang Melaka masa itu ialah Wan Cilik namanya tinggal di Semabok Batu Tiga (ini kampung saya - penulis). Negeri Melaka masa itu memang telah takluk di bawah perintah Inggeris. Pekannya kecil saja. Ada sedikit-sedikit rumah batu, itu pun rendah-rendah dan separuh rumah-rumah itu betul di tepi pantai Melaka.



"Perniagaan masa itu banyak di tangan orang Melayu; berkedai kain dan menjual makanan. Ada juga Cina berkedai menjual sayur. Beras masa itu datang dari luar negeri. Keadaannya merah tetapi beras keluaran negeri putih dan baik. Ada juga sedikit-sedikit orang Kerinchi mencari rezeki di situ."



Selepas Melaka, Abdullah Hukum dikatakan telah berhijrah ke Kuala Lumpur, menjadi salah seorang peneroka awal di sana. Beliau telah membuka Kampung Abdullah Hukum di Bangsar, tetapi sayang seribu kali sayang, kampung ini tidak wujud lagi.



Lenyapnya Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi digantikan Bangsar South sewajarnya menyedarkan bahawa sebenarnya kita kehilangan khazanah bangsa yang sangat berharga. Sebahagian sejarah bangsa telah terpadam meninggalkan emosi menyayukan hati sesetengah daripada kita yang masih bernostalgia mengenai zaman itu.



Kedua-dua kampung di KL yang sudah lenyap ini, tidak mungkin berganti tetapi ibu kota kita masih 'menyimpan' saki baki khazanah bangsa (kampung Melayu) di dada kota seperti Kampung Baru yang sudah acap kali mahu dilenyapkan tetapi alhamdulillah masih berdiri sasa.



Berbanding Kampung Abdullah Hukum dan Kerinchi, Kampung Baru adalah lebih dekat di hati saya. Saya pernah tinggal di sini, ingatan akan tempat makan minum di banyak gerai di sini tidak akan terpadam daripada minda...ya jika Kampung Baru lenyap ia adalah mimpi buruk bagi diri ini dan mungkin juga sebahagian besar anak perantau ke KL, tidak kira mereka dari dekat atau dari jauh seperti Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak malah Pattani dan Indonesia.



Didoakan pihak berkuasa dapat beriltizam untuk memulihara khazanah bangsa yang mungkin tidak dapat dicari ganti seperti Kampung Baru. Biarkan Kampung Baru menongkah arus...biarkan ia terus hidup dengan nama dan identiti asalnya (Kampung Baru) dan bukan nama komersial baru seperti KL New Village!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 07, 2023 16:02

February 6, 2023

Rejab 16, 1444: Ketelusan pemimpin perlu dilihat rakyat...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


PADA kuliah subuh baharu-baharu ini, antara lain ustaz di sebuah masjid berdekatan rumah saya, membicarakan kepentingan untuk pemimpin bukan saja telus tetapi dilihat ketelusannya.



Ustaz membawakan kisah Sayidina Umar Al-Khattab ketika membahagian harta rampasan perang, memberikan bahagian rakyat sama seperti dirinya iaitu sepotong kain yang tidak cukup untuk dibuat sehelai pakaian lengkap. Namun pada suatu hari ketika hadir di satu majlis di masjid, beliau dilihat memakai pakaian yang lengkap daripada kain yang dibahagikan tempoh hari.



Melihatkan keadaan itu, bangunlah seorang sahabat, Salman Al-Farisi menyoal khalifah (sekarang ini ibarat presiden atau perdana menteri) bagaimana beliau boleh membuat pakaian yang lengkap sedangkan kain diagihkan dulu tidak cukup untuk tujuan itu. Salman berkata dia dan orang Islam lain tidak akan taat dan menjunjung perintah khalifah jika benar khalifah melakukan penyelewengan.



Lantas bangunlah Abdullah anak Khalifah Umar bagi menjelaskan bahawa pakaian atas ayahnya dibuat daripada kain milik khalifah sendiri manakala pakaian bawah dibuat daripada kain miliknya. Salman dan sahabat serta rakyat bersyukur di atas kejujuran khalifah dan menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepadanya.



Demikianlah khalifah dituntut bukan hanya untuk telus tetapi dilihat telus manakala rakyat pula berhak mempersoalkan perkara yang mereka tidak puas hati. Khalifah Umar pula yang memiliki kuasa dari timur dan barat (wilayah Islam sudah menjangkau Afrika Utara dan Parsi) terbuka untuk menerima kritikan dan kecaman rakyat sendiri tetapi apa yang berlaku hari ini? 



Pemimpin besar hatta kecil pun langsung tidak mahu menerima pandangan sisi (pihak) lain (termasuk rakyat) tetapi sentiasa menganggap dia dan gerombolannya saja yang betul hatta mendabik dada mereka saja yang pandai memerintah negara sehingga disanjung seantero dunia!



Pemimpin perlu terbuka menerima kritikan dan kecaman seperti dicontohkan Khalifah Umar yang tokoh Barat, Michael H Hart meletakkan 'ranking'nya yang ke-52 dalam bukunya 'The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History'.



Pemimpin dengarlah salah satu keluahan rakyat pada harga barangan dan perkhidmatan naik 'bagai nak gila' sekarang ini. Pelbagai insentif dan hadiah (bantuan) ditawarkan kepada rakyat daripada wang berbilion-bilion ringgit belanjawan itu, tetapi apa yang ingin dikomen adalah ketelusan sistem penyampaian bagi membolehkan rakyat yang berhak menerimanya. 



Adalah lumrah kebanyakan kerajaan di dunia berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat masing-masing; persoalannya adakah peruntukan atau bantuan itu sampai kepada kumpulan sasaran. 



Tidak guna kita bercakap mengenai jumlah wang berbilion-bilion ringgit tetapi akibat sistem penyampaian yang tidak telus, kantung wang telah bocor dengan banyak wang tercicir sepanjang perjalanan dan akhirnya penerimanya hanya mendapat tulang, dagingnya telah dibaham oleh buaya di daratan (sungai) dan jerung di lautan. 



Kita tidak perlu pergi jauh untuk membuktikan perkara ini, di sekitar kita ada bangunan awam seperti sekolah, hospital, stesen bas dan stadium; sekalipun pembinaannya mendapat peruntukan berbilion-bilion ringgit daripada kementerian berkaitan; ketidak-telusan dengan jerung-jerung berkeliaran, menyebabkan bangunan berkenaan rosak atau runtuh dalam tempoh singkat selepas digunakan. Mungkinkah bangunan berkenaan tidak menepati spesifikasi dan piawai kerana dibina dengan kos dikurangkan bagi 'memberi makan' kepada jerung dan buaya terbabit. 



Demikian juga bantuan terus kepada rakyat; disebabkan terlalu ramai orang tengah yang menangguk di air keruh, ada kemungkinan penerima layak mendapat separuh daripadanya sedangkan separuh lagi sudah dimakan jerung. Orang yang menepati syarat juga ada yang tidak menerimanya kerana pelbagai faktor seperti sentimen politik tetapi yang tidak layak pula tersenarai; ini semua disebabkan sistem penyampai yang sarat dengan masalah.



Kegagalan Baitulmal sesetengah negeri dalam sistem penyampaiannya sehingga ada golongan daif yang terpaksa meraih simpati kepada organisasi lain, sewajarnya mengingatkan kita bahawa wang berjuta atau berbilion ringgit yang ada jika tidak dapat diagihkan secara baik, tidak dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat sebaliknya mengemukkan tembolok jerung dan buaya. 



Bagi kita jerung dan buaya inilah yang perlu dihapuskan dan yang lebih mustahak dihapuskan pihak yang membela mereka (penguasa korup). 



Kita lihat keperluan untuk kita membina insan bukan semata-mata membina bangunan hebat seperti yang berlaku hari ini. Jika kita dapat melahirkan golongan penyampai yang amanah, insya-Allah rakyat marhaen akan dapat sama-sama merasai nikmat kekayaan negara. Pengagihan akan dilakukan secara adil dan saksama menepati peribahasa 'hati kuman sama dicicip, hati gajah sama dilapah'. 



Berdasarkan porak perandanya masyarakat yang hidup nafsu nafsi hari ini, marilah kita kembali kepada hukum Allah termasuklah bagi membanteras pembela jerung dan buaya serta buaya dan jerung itu sendiri bagi membolehkan kekayaan negara berbilion dan berbilion ringgit itu dikembalikan kepada rakyat!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 06, 2023 16:07

Roslan Hamid's Blog

Roslan Hamid
Roslan Hamid isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Hamid's blog with rss.