Rebecca Ilham's Blog, page 25

March 20, 2011

Penulis Muda dan Dialog Orang Muda

Dialog Orang Muda (DOM) kelolaan Sekretariat Penulis Muda PENA rupa-rupanya telah diadakan secara konsisten selama lebih setahun. Pelbagai isu telah dibincangkan dalam tempoh tersebut, dengan keutamaan seputar hal-hal bahasa, sastera dan budaya, tanpa mengenepikan perkara-perkara lain yang berkaitan seperti politik dan pendidikan.

Namun, seperkara yang menyedihkan sepanjang berlangsungnya DOM adalah sambutan khalayak. Ada ketikanya, hadirin yang hadir tidak ramai. Ini tidak menjadi hal, kerana selalunya hadirin yang kecil saiznya ini selalunya berkualiti - dari segi menerima dan menyampaikan pendapat berkaitan tajuk perbincangan. Tetapi yang menyedihkan, sambutan khalayak penulis, iaitu penulis muda terutamanya terhadap DOM. Memang ada penulis muda yang hadir secara konsisten, tetapi setiap bulan, 'muka-muka' itu sahajalah yang kelihatan.

Mengapa perkara ini terjadi? Tajuk tidak cukup menarikkah, atau penulis muda yang tidak cakna? Perlukah tajuk perbincangan memperkatakan tentang sastera dan bahasa per se, barulah penulis muda akan menunjukkan muka? Ini mengajak kita merenung satu perkara lain: iaitu perlukah wujud pengkategorian apabila kita mempolemikkan sesuatu - ia tidak berkaitan dengan aku, jadi buat apa aku ambil tahu?

Tidakkah sebagai penulis; penulis muda terutamanya, kita sepatutnya ramah dengan apa jenis isu sekali pun? Untuk memiliki bank idea yang besar serta meneguhkan landas perjuangan, tidakkah wajar kita bermesra dengan isu yang mungkin tidak akan kita cintai tanpa terlebih dahulu mengenali?

Apa-apa pun, jemputlah ke DOM April 2011 pada 17 April nanti. Tajuk perbincangan "Sastera Kebangsaan: Anak Tiri di Sekolah?"
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 20, 2011 04:35

March 18, 2011

Anekdot Pendek Tentang Interlok

Membaca The Yellow-Lighted Bookshop: A Memoir, A History tulisan mantan penjual buku yang kini menulis, Lewis Buzbee, saya menemukan petikan di bawah dalam bab berkaitan buku-buku yang menyinggung pembaca:

"We might attach a note to each copy of the book with a disclaimer, or we might go through each book and remove the word, but these ideas felt too much like a police action ... We could not change the past, nor, it turned out, did we want to. To erase one part of the past, we felt, was to threaten losing all of it."

Terjemahan kasarnya berbunyi:

"Kami mungkin akan menyertakan nota kecil sebagai penerangan pada setiap naskhah, atau juga membelek setiap buku dan memansuhkan perkataan yang menyinggung itu, tetapi ia sesuatu yang mirip tindakan kepolisan...Kami tidak akan dapat mengubah sejarah, atau setepatnya, kami tidak mahu pun mengubah masa lalu. Memadam sebahagian sejarah, pada pendapat kami, adalah ancaman terhadap kewujudan keseluruhan sejarah itu sendiri."

Apakah sebenarnya yang sedang kita perjudikan?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 18, 2011 06:53

March 11, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa: Yang Tasteless dan Yang Menyelerakan


Tasteless.

Bukan filem Merong Mahawangsa, tetapi sebahagian penonton yang berkongsi panggung ketika slot tayangan pilihan semalam. Sesuai dengan konsepnya sebagai interpretasi bebas sebiah hikayat lama, filem Merong Mahawangsa menggunakan langgam Bahasa Melayu lama (dan juga Bahasa Inggeris yang gramatis). Ini sesuai dengan konteks masa cerita, serta latar watak dan tempat. Sayangnya, aspek seni ini menjadi bahan gelak tawa sebahagian besar khalayak penonton.

Pagi ini, seorang kenalan (acquaintance) yang telah menonton filem ini memberitahu bahawa filem itu kelakar. "Semasa dialog 'tudung saji' tu, ramai orang gelak kuat sangat," katanya sambil tertawa.

How tasteless.

Kali ini, saya sudah tidak mampu, tidak mahu menahan rengsa yang dipekung lebih 12 jam. Balas saya, "Sekarang tahulah di mana taraf pemikiran khalayak kita." Tetapi kemudiannya saya terfikir lagi, barangkali Merong Mahawangsa bukanlah produksi yang sesuai dengan khalayak tipikal yang mengerapi sinema di negara ini.

Ada beberapa perkara tentang filem Merong Mahawangsa yang menyenangkan saya. Pertama sekali, filem ini merupakan percubaan mentafsir teks hikayat lama oleh golongan muda. Sudah tentunya usaha menyuntik kesegaran tersendiri, kerana kita dapat melihat 'sejarah' (mitos barangkali lebih tepat) daripada perspektif anak muda (dalam kes ini Yusri KRU, dan Amir Hafizi selaku penulis skrip) yang seringkali dilabel tidak cakna, atau juga benci sejarah.

Yusri mengembangkan hikayat raja pertama Langkasuka ini menggunakan lesen puitisnya sehingga menjadi kisah yang besar. Besar di sini bukanlah semata-mata kerana pertembungan serta kerjasamanya dengan Empayar Hadrian di Rom dan Empayar Han di China.

*Saya harus mengaku, mentaliti minda tertawan yang melihat Barat sahajalah yang hebat masih sedikit-sebanyak melekat di kepala saya*

Di mana besarnya Merong Mahawangsa? Inilah faktor kesukaan saya yang kedua.

Filem Merong Mahawangsa menjadi besar kerana mesej politik tersirat yang diangkat Yusri, yang saya kira dengan penuh kesedaran. Merong naik takhta di Langkasuka dengan menewaskan dua kepala kampung yang asalnya daripada satu daerah tetapi kemudiannya bertelagah. Namun selepas menjadi raja, Merong menyatukan dua desa ini. Malahan, Pilus dan Embi yang ditewaskannya di gelanggang tatkala purnama penuh dengan adil dan saksama, setia menyertai angkatan perang diketuai Merong melawan kumpulan lanun Garuda. Ini merupakan reaksi, harapan atau boleh jadi juga sindiran Yusri terhadap senario politik tempatan masa ini.

Ketika taktik perang menggunakan pantulan cahaya mengikut rekaan sains Archimedes digagalkan oleh cuaca buruk, ucapan Merong mengajak rakyatnya berjuang ke titisan darah yang akhir sangat mengesankan. Saya tersentuh (teresak-esak sebetulnya) dengan frasa-frasa seperti:

"Hamba bukan seorang raja, tetapi rakyat seperti kamu semua."

"Apa guna hidup lama, kalau kita menjadi hamba (kepada manusia lain)."

Runut bunyi yang dimainkan oleh Orkestra Filharmonik Malaysia juga pendorong, sekaligus mencipta kesan emosi yang mendalam!

Filem Merong Mahawangsa juga memberatkan aspek bahasa. Selain langgam Bahasa Melayu lama dengan kias, santun dan lenggok yang bersesuaian dengan latar masa, tempat dan watak (yang tentunya menjadi modal besar khalayak penonton bergelak ketawa, kerana "mana ada orang cakap macam tu lagi sekarang?"), dialog Bahasa Inggeris juga diutarakan dengan penuh gramatis. Malah, dialog Bahasa Inggeris kerap kali dilontar dengan tajam (witty), biar pun terselit juga istilah-istilah yang lebih kontemporari daripada tahun 120 Masihi (rasanya perkataan hogwash belum ada ketika itu).

Cuma saya rasa agak ralat dengan pertuturan Puteri Raja China, inangnya dan Laksamana Lin Yiu yang menggunakan Bahasa Inggeris. Tetapi boleh pula Laksamana dan Merong berbual dalam Bahasa Cina, sehingga Marcus menyampah dan lari masuk hutan!

Saya juga tertarik dengan permainan simbol yang digunakan Yusri. Daripada Hikayat Merong Mahawangsa, berlaku pertarungan antara Garuda (burung) dan Jentayu (burung) yang mewakili paksi kuasa jahat dan baik masing-masing.

Namun Yusri tidak memberi kita burung-burung mistik ini secara harfiah. Sebaliknya, kita mendapat kumpulan lanun Garuda yang diketuai oleh Taji (talon). Orang kanan Taji bernama Kamawas, atau kata Ying Ying si inang Puteri Raja China, "that mawas man!" Sementara itu, Jentayu pula merupakan nama kapal Merong Mahawangsa. Ibu Merong pula bernama Lang, dan berasal dari desa yang akhirnya menjadi tapak kerajaan Langkasuka.

Dari sini, kita memahami bahawa proses pemikiran yang teliti berlaku dalam membikin filem ini.

Menyebut tentang aspek simbol, saya paling terkesan dengan permainan metafora digunakan Yusri untuk menyudahkan, menyimpulkan naratif yang bersifat biasa sahaja plotnya ini. Merong ditinggalkan ibunya dengan serangkap pantun (diterjemah sebagai pantoum pada sari kata, lalu mengundang gelak tawa besar-besaran khalayak penonton ketika itu - tetapi saya maafkan mereka, kerana saya pun tidak tahu bahawa pantoum merupakan versi pantun yang dikenali oleh khalayak sastera Barat, malah pernah menjadi genre pilihan penyair-penyair Perancis pada awal abad ke-19).

Merong hanya memahami maksud pantun peninggakan ibunya apabila dia berada dalam konteks yang sama ketika Lang mengucapkannya. Dan dengan pengertian itu, dia melakukan sesuatu yang harus dilakukan, sekaligus meleraikan kisah ini dengan mengharukan sekali.

Mengharukan, tetapi ia merupakan suatu keperluan.

Merong cedera parah selepas pertarungan hebat dengan Kamawas. Dia sudah hilang kudrat ketika itu, sedangkan musuh masih ramai. Orang-orangnya yang dari awal lagi lebih sedikit daripada angkatan lanun, sudah ramai yang terkorban. Kekalahan terbayang-bayang di layar perak, tetapi ketika itu jugalah armada Rom dan China tiba. Saya diserbu jengkel, malah sudah menghukum Yusri sebagai tidak patriotik. Hei, kalau filem Hollywood sesuailah - di ceruk dunia mana sekali pun, manusia putih juga yang mesti diangkat sebagai wira! Tetapi ini filem produksi Malaysia. Kenapa tak boleh watak tempatan (watak, bukan pelakon) menjadi hero?

Tetapi saya yang gelojoh menilai, kerana sesungguhnya tindakan Merong yang mengharukan itu, mengharumkan namanya sebagai pahlawan ulung!

Filem ini mempunyai lompang. Ada perkara yang tidak jelas, ada juga yang masih perlu diperhaluskan. Namun selepas dua jam menonton, saya keluar panggung dengan penuh keterujaan, saling membanding pemerhatian dengan teman. Jiwa seni saya terisi, sama ada penuh atau puas itu perkara kedua. Yang penting, cukup sehingga saya tidak dapat membendungnya seorang diri. Pulang ke rumah, sebaik mengunci pintu lungsur kaca, sepupu saya yang gila sejarah itu menjadi mangsa mendengar apa yang telah anda baca di atas.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 11, 2011 03:16

February 26, 2011

Doctor Zhivago: Pengalaman Pembacaan Yang Berliku

[image error] Yang lusuh


Yang hilang


Ini bukan ulasan tentang novel agung Boris Pasternak, Doctor Zhivago. Itu memerlukan sebuah entri khusus. Sebaliknya, entri ini merupakan rakaman pengalaman membaca Doctor Zhivago selama hampir 10 hari.

Saya pernah meminjam novel ini dari Golden Public Library semasa belajar di Colorado School of Mines, tetapi gaya penceritaan yang perlahan dan bertele-tele membantutkan keinginan saya untuk membaca karya besar yang bertanggungjawab menaikkan nama Pasternak sehingga memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan ini. Saya pernah menonton (tetapi tidak habis) adaptasi layar peraknya semasa anak-anak, namun ingatan terhadap Omar Sharif yang kacak itu pun tidak mampu mendorong. Buku itu akhirnya saya pulangkan tanpa berganjak melepasi Bab I sekalipun.

Sungguh pun begitu, jauh di sudut hati, saya berazam untuk membacanya juga suatu hari nanti. Namun faktor-faktor seperti naskhah yang dijual di Kinokuniya edisi kulit keras (dan mahal) serta lain-lain alasan, hasrat itu terbantut. Sehinggalah rakan penulis dan juga rakan di Goodreads - Leyla Shuri yang tinggal di Okinawa, Jepun - mengumumkan bahawa beliau sedang memburu naskhah Doctor Zhivago.

Kebetulan, sekitar masa itu juga, artikel tentang novel Doctor Zhivago menjadi buku kegemaran Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said sehingga mengulang baca setiap tahun terbit di akhbar Mingguan Malaysia. Saya menjadi semakin teruja, terdorong untuk menguliti kisah doktor Rusia (yang berwajah seperti Omar Sharif) itu.

Sebaik kembali ke ibu kota seusai cuti Tahun Baru Cina, saya bergegas ke Book Xcess setelah dikhabarkan seorang teman Goodreads yang lain - Haryati - bahawa novel itu dijual di sana. Naskhah terbitan tahun 2002 itu banyak yang tidak kena - saiz tulisannya terlalu kecil untuk orang rabun seperti saya, kulitnya tidak berkenan di hati dan kapsyen "One of the greatest love stories ever told" membuatkan saya berasa segan membacanya di dalam LRT. Namun saya beli juga. Mana nak cari Doctor Zhivago dengan harga runtuh RM 17.90?

Kurang seminggu kemudian, saya mengunjungi kedai buku terpakai, Junk Bookstore di Jalan Tun HS Lee, yang diperkenalkan oleh teman penulis dan rakan Goodreads - Norziati - pula. Dalam perjalanan ke sana, Doctor Zhivago dari Book Xcess merupakan peneman dan telah menjadi modal untuk saya berkenalan dengan seorang wanita Cina yang duduk di sebelah di dalam LRT.

Wanita itu bernama Angelica (nama Cina-nya saya lupa, tetapi bermaksud "a cloud in the sky"). Dia menegur saya, "Buku ini pernah difilemkan, bukan?" Cukup itu sebagai mukadimah. Kami kemudiannya bercakap tentang Omar Sharif, tentang Julie Christie dan berlanjutan ke Gone With The Wind (boleh tak saya ingat Rhett Butler itu pelakonnya, sedangkan watak Butler sebenarnya dibawa oleh Sharif? Haha).

Angelica lahir pada tahun 1956, dan dia mengaku tidak berpelajaran tinggi. Saya terkejut, kerana wanita ini sangat cultured perawakan dan pertuturannya. Maka dia pun bercerita tentang teman sekolahnya sekeluarga yang berhijrah ke Kanada, lalu menghadiahkan buku-buku di perpustakaan peribadi mereka kepadanya.

Kami berpisah kerana saya sudah tiba di stesen Pasar Seni ketika itu. Di Junk Bookstore kemudiannya, saya menjumpai naskhah lusuh Doctor Zhivago terbitan Fontana Books yang kulitnya menampilkan gambar Omar Sharif dan Julie Christie. Naskhah itu sudah uzur, bertampal-tampal pita pelekat dan sangat kuning kertasnya. Harganya RM 18. Teman saya sudah berpesan bahawa buku-buku di kedai ini agak mahal - sesuai dengan nilai buku. Mungkin atas dasar sentimental, biar pun pada pertengahan bulan, saya membeli buku itu. Pulang ke rumah, saya menyeranah diri kerana terlalu impulsif. Terasa bodoh kerana membeli buku buruk, yang sudah dimiliki edisi lebih baru (oleh penterjemah yang sama pula tu!).

Saya menyelit naskhah lusuh itu ke atas rak yang hampir 'meletup' dan melupakannya. Pembacaan diteruskan menggunakan naskhah baru. Setelah sampai lebih separuh, atau setepatnya di halaman 383, dalam rusuh, naskhah itu tertinggal di stesen LRT yang saya kerapi setiap hari. Ralat kerana pembacaan semakin laju, saya 'mengorek' naskhah lusuh dari rak, menyambung pembacaan sebelum tidur dengan harapan agar buku itu masih ada apabila saya mengunjungi stesen yang sama keesokan harinya.

Sayang, buku itu tiada lagi.

Ketika itu, barulah hikmah pembelian impulsif lebih seminggu sebelum itu jelas. Saya menerima dengan hati terbuka. Naskhah lusuh itu saya buka dan baca di dalam bas. Tanpa saya sangka, seorang wanita berbangsa asing yang sering menaiki bas sama saban petang tiba-tiba menukar tempat duduk ke sebelah saya. Katanya, "Terima kasih kerana membaca sastera Rusia. Saya orang Rusia, jurutera di sini."

Saya menyambut tegurannya dengan senang hati, namun sempat mengangankan suatu hari nanti, kalau ada rezeki, saya di negara luar dan melihat bangsa lain pula membaca karya sastera negara saya. Mungkin saya akan bertindak seperti wanita Rusia itu, dengan bangga mendekati dan mengucapkan terima kasih.

Argh, Doctor Zhivago! Siapa sangka banyak perkara sampingan yang saya temui sepanjang mendampinginya? Terasa sayang pula untuk mengucapkan selamat tinggal kepada buku yang akhirnya tamat dibaca selepas hampit 10 hari ini!
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 26, 2011 05:17

February 1, 2011

Gogol Yang Pertama

Saya sebetulnya sudah membatalkan niat awal untuk menulis tentang pengalaman membaca dan menanggapai novela Nikolai Gogol yang bertajuk How The Two Ivans Quarreled. Pertama, kerana saya belum cukup kenal Gogol sebagai seorang penulis besar Rusia, dan kedua, kerana novela ini bukanlah antara karya Gogol yang terkenal. Malah semasa membacanya pun, saya sangsi akan nilai tambah yang saya akan perolehi daripada buku kecil itu. Ya, suatu persoalan yang sangat angkuh sekali, sehingga saya mengingatkan diri - jangan sesekali menyombong dengan buku, dengan ilmu. Tetapi akhirnya saya menulis juga entri ini atas saranan seorang teman penulis. Dan juga kerana kesan kata-kata teman penulis yang lain, tentang khalayak sastera tempatan yang tidak kritis.

Saya julung kali diperkenalkan kepada Nikolai Gogol oleh Jhumpa Lahiri, lewat novel sulungnya (dan tunggal setakat ini), The Namesake. Ketika itu, adalah saya mencari-cari maklumat lanjut tentan Gogol, sehingga berjumpa dengan kisah kematiannya akibat berlapar. Maka saya menyimpulkan Gogol penulis gila, maka karya-karyanya pun mesti berkisar tentang kekacauan jiwa. Saya terlupa bahawa sejarah Rusia yang banyak dan besar, tentang hubungan kaum dan pergolakan politik tentunya lebih berbaur dalam karya-karya Gogol, seperti juga penulis sezamanna, Dostoevsky.

Saya berasa terpanggil untuk mengenali Gogol dengan lebih dekat lagi selepas sesi Borak Buku bersama SM Zakir pada 16 Januari 2011 yang bertempat di kedai kopi kapitalis Starbucks, KL Sentral. SM Zakir telah memilih novel Taras Bulba tulisan Gogol untuk dikongsi dengan khalayak yang hadir sebagai buku yang memberi kesan besar terhadapnya.

Dari acara yang mirip sesi bercerita ini, salah faham saya selama ini terhadap Gogol telah dibetulkan. Gogol menulis tentang perjuangan, tentang patriotisme bangsa Cossack, tentang cinta dan juga pengorbanan. Tidak ketinggalan juga, Gogol membidas pihak-pihak tertentu seperti golongan Yahudi dimakinya habis-habisan, serta pertikaian antara negara-negara di rantau Eropah Timur.

Saya kemudiannya terdorong untuk membaca sendiri karya-karya Gogol, bermula dengan How The Two Ivans Quarelled. Sebab utama saya pilih buku ini dan bukan buku Gogol yang lain? Haha, kerana novela kecil itu yang paling murah antara yang lain! Taras Bulba sudah saya muat turun salinan lembutnya (buku ini berusia lebih 50 tahun, maka ia sudah menjadi milik umum), sementara saya berasa belum bersedia untuk terjun terus ke dalam dunia The Overcoat yang dikatakan magnum opus Gogol.

Meski pun kurang dikenali, How The Two Ivans Quarreled sangat menghiburkan. Ia mempunyai signature Gogol yang kuat, seperti pemerian fizikal watak yang sangat terperinci. Mengikut maklumat yang saya perolehi selepasnya, Gogol melihat watak-wataknya sebagai karikatur, dan menggambarkan mereka dengan pandangan geometrikal. Hal ini sangat jelas dalam novela yang saya baca itu. Saya melihat ini dilakukan untuk mengenengahkan perwatakan bukan fizikal watak melalui gambaran zahirnya. Ivan I misalnya digambarkan sebagai lelaki yang berpakaian kemas, dan pembersih. Sementara Ivan N pula gemuk dan gemar tidur sahaja di rumah. Melalui gambaran ini, tanggapan awal saya adalah Ivan I adalah protagonis, sementara Ivan N pula antagonis.

Tanggapan ini bagaimana pun terhakis apabila Ivan I dengan licik cuba memujuk Ivan N agar menukarkan pistolnya (atau senapang?) dengan seekor babi dan dua karung oat. Perbualan mereka itu berlanjutan sehingga Ivan N yang tidak dapat membendung irritation kerana didesak, memanggil Ivan I dengan gelaran 'angsa.' Gelaran naif itu bagaimana pun telah mencetuskan perbalahan besar sehingga dua sahabat ini berpatah arang dan berkerat rotan.

Perbalahan ini diadukan kepada hakim di Mirgorod oleh kedua-dua pihak. Namun ia tidak pernah diambil serius oleh pihak berkuasa. Sebaliknya, selain satu usaha mendamaikan dua Ivan ini yang gagal, perbalahan ini berlanjutan selama berpuluh-puluh tahun. Ivan I dan Ivan N diberikan harapan-harapan palsu oleh pihak mahkamah sehingga akhirnya, kisah mereka diakhirinya dengan kesimpulan bahawa hidup ini bukanlah sesuatu yang dramatik.

Kesimpulan itu cukup menikam. Gogol diakui sebagai penulis realisme, yang merakam keadaan sebenar masyarakat sehingga ke realiti paling menyakitkan sekali pun.

Buku ini bukan karya Gogol yang terkenal, tetapi cukup sebagai pengenalan yang membuat saya ingin terus mendalami dunianya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 01, 2011 01:30

January 31, 2011

The Hours: Hidup dan Mati dalam Sehari

Saya cuba membaca novel The Hours tulisan Michael Cunningham yang dibeli di kedai buku terpakai di South Broadway, Denver sebanyak dua kali. Sekali sewaktu mula-mula membelinya, dan kedua ketika menyertai Baca@LRT pada Februari 2010 yang bertemakan Sastera. Kedua-dua cubaan untuk menghabiskan buku itu gagal.

The Hours merupakan sebuah novel yang sangat perlahan perjalanan plotnya. Ia mengingatkan saya kepada My Name Is Red (Orhan Pamuk) yang juga perlahan, tetapi aspek kehalusan bahasanya menimbal balik kekurangan itu, meski My Name Is Red pun akhirnya saya tinggalkan selepas dibaca lebih separuh. Argh, barangkali The Hours lebih mirip Atonement (Ian McEwan) yang tidak juga berjaya memikat meski saya berkali-kali mengingatkan diri bahawa heronya James McAvoy yang kacak itu.

Tetapi saya belum mahu mengalah. Oleh itu, atas saranan rakan penulis, saya menonton filem The Hours terlebih dahulu.

The Hours merupakan sebuah novel yang dibina merentas era. Pertama, latar tahun 1923 di Richmond, England di mana Virginia Woolf sedang melawan kemurungan sambil menulis adikaryanya, Mrs. Dalloway. Kedua, tahun 1951 di sebuah sub-bandar di Amerika Syarikat di mana Laura Brown, seorang ibu muda sedang tertekan dalam kehidupan berkeluarga yang tidak pernah diingininya. Ketiga, tahun 2001 di New York, di mana Clarissa Vaughan selepas 20, 25 tahun, masih belum melepaskan cintanya terhadap Richard Brown yang sedang parah menderitai AIDS, biar pun lelaki itu pernah mencuranginya.

Ketiga-tiga latar masa ini berhubung: pada tahun 1951, Laura yang sedang mengenalpasti rasa terperangkapnya dalam sebuah kehidupan berkeluarga acuan penuh visi suaminya sedang menguliti Mrs. Dalloway, buku yang ditulis Woolf pada tahun 1923. Sementara Richard pula, merupakan anak sulung Laura.

Seperti Mrs. Dalloway, novel The Hours yang mengaitkan kehidupan yang dilalui oleh tiga wanita ini - Virginia, Laura dan Clarissa (bahkan Clarissa merupakan nama pertama Mrs. Dalloway!) - mengambil latar pada suatu hari sahaja. Ketika ketiga-tiga watak ini bangun pada pagi itu, mereka melakukan perkara-perkara trivia seperti yang dilalui sehari-hari. Namun, komplikasi berkembang dengan peredaran jam (the hours) pada hari berkenaan.

Tema yang saya lihat mengikat wanita-wanita ini adalah konsep hidup dan mati.

Bagi Virginia, dia merasakan kehidupannya di bandar sunyi Richmond adalah hukuman mati. Dia merindui libang-libu kota London, kendati pun ditengking suaminya yang setia, Leonard, bahawa Londonlah yang mula-mula menjadikan Virginia gila. Tetapi kata Virginia, itu lebih baik daripada tidak 'hidup' langsung di desa Inggeris yang damai, yang kononnya baik untuk kesihatan mentalnya.

Sementara Laura pula merasakan jiwanya mati dalam kehidupan sebagai seorang ibu dan isteri. Tambah pula, kehidupan itu dicorakkan sepenuhnya oleh suaminya, sedangkan dia sebagai wanita hanya mampu tersenyum dalam mekap dan baju cantik. Pada hari yang menjadi latar kisah Laura, wanita itu hampir membunuh diri, namun membatalkan niatnya apabila mengenangkan bayi yang sedang dikandung, serta anak sulungnya, Richard. Namun sebelum tidur pada malam itu, Laura telah membuat keputusan nekad untuk melakukan sesuatu agar dia dapat 'hidup' semula.

Clarissa. Argh, Richard menggelarnya Mrs. Dalloway ketika mereka masih berkasih sewaktu muda-muda dahulu. Clarissa 'mati' apabila Richard lari dengan lelaki lain, Louis Waters. Tetapi dia tidak ralat menjaga Richard yang semakin tenat diratah AIDS yang tiada penawar. Cinta yang ditunjukkan Clarissa itulah, kata Richard, yang menyebabkannya terus berjuang untuk hidup, sedangkan dia tidak ingin untuk terus bernyawa. Richard bahkan menyuruh Clarissa membenarkannya mati agar wanita itu dapat hidup untuk dirinya sendiri. Dan apabila Richard membunuh diri - di hadapan Clarissa - wanita itu akhirnya bebas, atau hidup semula, daripada beban yang dipikulnya sendiri itu.

Inshaallah, semoga pembacaan novel The Hours lancar selepas ini!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 31, 2011 07:18

January 25, 2011

Teori Sastera Melayu Dalam Pembikinan

Buku Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making tulisan Dr Zawiah Yahya saya beli di Ujana Ilmu. Tatkala berkunjung ke sana pada hari terakhir tahun 2010 itu, sebaik Puan Nisah Haron menunjukkan buku tersebut, saya terus jatuh cinta dengan kulit hadapannya. Tanpa sempat membaca tajuk buku, saya terus meminta sebuah untuk dibeli.

Ternyata, sebagaimana kualiti sesebuah buku pun, yang dipandang orang tetap kulitnya dahulu. Inilah contoh persembahan sebuah buku ilmiah yang bermaruah, yang mengujakan pembaca untuk memegang dan membeleknya. Bahkan ada yang mungkin membelinya secara impulsif. Buku ini Isnin lalu (24 Januari 2011), saya lihat sudah dipamerkan di rak Highlights/New Arrivals di Kinokuniya.

Menyentuh kandungannya, buku kecil ini merumuskan lima pendekatan (approaches) dalam menilai karya sastera Melayu yang dicadangkan oleh sarjana-sarjana tempatan. Pendekatan-pendekatan yang dimuatkan dalam buku ini adalah:

1. Puitika Sastera Melayu (Muhammad Hj Salleh)
2. Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang)
3. Gagasan Persuratan Baru (Mohd Affandi Hassan)
4. Teori Takmilah (Shafei Abu Bakar)
5. Teksdealisme (Mana Sikana)

Selain itu, di Bab Satu, Dr Zawiah menyebut juga tentang pendekatan "Kata-kunci" oleh Mohammad Mokhtar Hassan dan pendekatan estetik "Rasafenomologi" oleh Suhaimi Abdul Aziz.

Walaubagaimana pun, hanya lima pendekatan yang disenaraikan di atas dihurai secara mudah, ringkas tetapi padat oleh Dr Zawiah. Sebelum membedah (secara ringkas tetapi padat) setiap pendekatan, Bab Satu menghuraikan sejarah pembinaan teori sastera Melayu di negara ini, termasuklah sebab mengapa perlunya kita membina kayu ukur sendiri dalam menilai karya-karya tempatan. Ini disebabkan oleh pendekatan teori sastera dari luar yang tidak bersesuaian, malah menentang rangka agama dan budaya setempat.

Bab ini sangat menarik pada saya, seorang pembaca yang tidak mempunyai latar dalam bidang sastera selain menulis 'ikut suka hati' tanpa bersandarkan sebarang teori atau teknik khusus, kerana ia memaparkan sisi lain bidang sastera yang sangat asing bagi saya, iaitu tugas kesarjanaan. Saya terkesan melihat pembinaan teori sastera Melayu yang kuat sebenarnya adalah jalan membina identiti dan jatidiri juga, yang seterusnya akan menuju ke arah pembinaan tamadun. Suatu tanggungjawab yang besar, dan belum selesai!

Ya, belum selesai kerana menurut Dr Zawiah, pendekatan-pendekatan yang sedia ada pada masa ini kebanyakannya belum mencapai tahap teori dan aplikasi. Gagasan Persuratan Baru barangkali merupakan pendekatan yang paling 'lengkap' sebagai sebuah teori kerana ia mempunyai skop, modul pengajaran, karya sedia ada yang boleh dinilai menggunakan teori ini serta genre baru yang akan memperjuangkan gagasan ini.

Namun, banyak juga suara yang kurang menyenangi Gagasan Persuratan Baru, di samping pendekatan-pendekatan lain yang dilihat kurang lengkap dan menyeluruh perinciannya untuk dipanggil teori. Oleh sebab itu, tajuk buku ini menekankan bahawa teori-teori sastera Melayu masih dalam pembikinan!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 25, 2011 05:22

January 18, 2011

Kata SM Zakir

"Kekuatan cerpen Rebecca Ilham pula dilihat daripada jalur penggunaan bahasa yang kemas dan saintifik, di samping memuatkan fakta dan hujah pemikiran yang mencapah luas. Ketara juga nuansa pemikiran yang mengangkat nilai-nilai Islam. Cerpen Rebecca Ilham "Protokol Cinta" (Dewan Sastera, Disember 2009) contohnya memberikan gambaran yang jelas terhadap segala yang disebutkan di atas."

-Petikan artikel "Cerpen Mutakhir Sastera Malaysia" oleh SM Zakir (Dewan Sastera, Disember 2010)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 18, 2011 10:02

Naratif Ogonshoto: Pembacaan Yang Terlambat

Naskhah Naratif Ogonshoto (Anwar Ridhwan) berusia lebih tiga tahun, dibeli sewaktu pulang bercuti musim panas seusai tahun sophomore di universiti, dibawa merentas lautan dan benua ke Amerika dalam beg pakaian yang tepu buku ketika itu, dibawa pulang semula ke tanah air dalam kotak melalui kontena kapal laut tetapi tidak juga usai dibaca.

Saya percaya membaca merupakan suatu aktiviti interaktif - bukan saya sahaja yang memilih buku, tetapi buku juga memilih saya. Selain itu, pelbagai faktor persekitaran lain turut mempengaruhi aruhan emosi dan fikiran yang menjadikan sesuatu buku itu 'buku masa ini.'

Begitu jugalah halnya dengan Naratif Ogonshoto. Bahkan setelah Dato' Dr. Anwar Ridhwan diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN), saya belum begitu tergerak hati untuk membacanya; sekadar satu lagi nota mental bahawa saya 'mesti baca.' Akhirnya, karya pertama SN Anwar Ridhwan yang baca ladeni adalah Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (versi terjemahan).

Namun, perkembangan serta pelbagai pergolakan di sekitar saya dalam beberapa minggu, bulan dan hampir dua tahun semenjak pulang untuk selama-lamanya ke tanah air, mendorong saya meratah Naratif Ogonshoto dengan rakus dan nikmat sekali. Naratif Ogonshoto merupakan sebuah novel yang boleh juga dianggap sebagai kumpulan cerpen mendedahkan kerencaman citra kebobrokan manusia di Ogonshoto, negara di hujung benua Amerika Selatan yang terdiri daripada tiga gugus pulau (Rai-Rapa, Futu-Ata dan Gora-Gora).

SN Anwar Ridhwan mencipta Ogonshoto sebagai sebuah negara bekas jajahan Jepun, yang kini merdeka secara lahiriah, tetapi masih ditawan pemikiran, sahsiah dan siasah oleh anasir-anasir asing. Beliau mengangkat wacana tentang siasah dan kritik sosial dengan bersahaja, melalui permainan simbol serta perlambangan di samping menyelitkan unsur-unsur saintifik (penyulingan air laut dalam Aisberg, kamera yang mampu merakam masa lalu pada masa kini dalam Kamera sebagai contoh) serta elemen realisme magis yang kuat.

Naratif Ogonshoto boleh dibaca selapis, tetapi lebih indah andai diteliti yang tersirat. Terus-terang, saya pun hanya mampu menghadam naskhah ini di permukaan sahaja. Saya paling terkesan dengan bab (atau cerpen?) yang menegaskan kewajipan untuk mendedahkan kebenaran. Sebaris frasa yang sangat saya iingati serta menjawab rasa yang ketika itu berbelah bagi adalah: "Kebenaran yang membisu samalah buruknya dengan kekotoran dan kejahatan yang merajalela" (Bab Mainan, hal. 123). Bab Mainan ini juga merupakan bab yang paling menggamamkan saya, terutamanya apabila menyedari elemen saspen yang secara subtle dibina oleh SN Anwar Ridhwan sedari awal.

Membaca Naratif Ogonshoto dari bab ke bab (atau cerpen ke cerpen?), tidak sukar rasanya menghubungkan pertalian antara Ogonshoto, sebuah negara nun di Lautan Pasifik yang dibelenggu neokolonialisme dengan iklim di sekitar kita juga. Ogonshoto, seperti sekian banyak objek lain dalam magnum opus SN Anwar Ridhwan ini adalah simbol yang membawa kita keluar dari kotak, lalu meneliti peribadi serta persekitaran kita dari luar tubuh dan persekitaran hakiki. Tetapi pada Epilog-nya, naskhah ini mengajak kita pulang; pulang ke Kali Besar di Tanah Malaya. Pulang dengan kesedaran, tentunya.


Terima kasih, SN Anwar Ridhwan kerana menulis buku ini, juga kerana sudi menurunkan tanda tangan di atas naskhah milik peribadi di Rumah GAPENA tempoh hari.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 18, 2011 06:31

January 17, 2011

Sisi Lain


Demonstrasi Aman NGO terhadap Pembakaran Buku Interlok di Rumah GAPENA
15 Januari 2011
Kredit foto: Sinaganaga

Seperti yang saya katakan kepada beberapa orang, kejadian yang menyedihkan ini menggamamkan, menjadikan saya terlalu kelu untuk berkata lisan dan kaku untuk menulis pernyataan. Maka saya hadir sebagai pemerhati dan pendengar, dalam bahasa bisunya menyatakan pendirian.


Borak Buku (Episod Pilot) bersama SM Zakir
Starbucks, KL Sentral
16 Januari 2011
Kredit foto: Arif Atan

Seusai sesi 'bercerita' tentang Taras Boulba (karya Nikolai Gogol) oleh Sasterawan Muda MASTERA, SM Zakir, kami melanjutkan bicara tentang hal-hal lain - termasuklah perancangan acara baca puisi di pulau selatan, inshaallah. Oh, saya bukan mantan MPR, ya! ;P



Berjuang melalui pena sahaja tidak memadai. Tindakan juga perlu.
Ada teman yang bertanya, "kau tak penat?"
Jawab saya (dalam hati), "Dunia tempat berjuang, di akhirat boleh bersenang-senang, inshaallah."

Menulis itu tentunya aktiviti bersendiri-sendiri dan bersunyi-sunyi. Tetapi dalam dunia ini, kita bukan hidup seorang diri, dalam dunia yang utopia serba-serbi!

Cuma yang mengecewakan, saya mencari wajah-wajah penulis lain segenerasi di acara-acara sebegini. Argh, kita ramai bukan? Tetapi entah mengapa selain kelibat penulis-penulis mapan serta rakan-rakan yang sama, tampang rakan-rakan lain yang ingin saya kenali dan gauli dengan lebih dekat tidak kelihatan.


(Sedang tunggu siapa-siapa muat naik gambar di Dialog Orang Muda yang mempolemikkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan - ada konsep yang saya tak begitu faham yang akhirnya difahami atas penjelasan ilmiah para panel. RUGI sapa tak pi! Terima kasih!)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 17, 2011 05:47