The Hours: Hidup dan Mati dalam Sehari

Saya cuba membaca novel The Hours tulisan Michael Cunningham yang dibeli di kedai buku terpakai di South Broadway, Denver sebanyak dua kali. Sekali sewaktu mula-mula membelinya, dan kedua ketika menyertai Baca@LRT pada Februari 2010 yang bertemakan Sastera. Kedua-dua cubaan untuk menghabiskan buku itu gagal.

The Hours merupakan sebuah novel yang sangat perlahan perjalanan plotnya. Ia mengingatkan saya kepada My Name Is Red (Orhan Pamuk) yang juga perlahan, tetapi aspek kehalusan bahasanya menimbal balik kekurangan itu, meski My Name Is Red pun akhirnya saya tinggalkan selepas dibaca lebih separuh. Argh, barangkali The Hours lebih mirip Atonement (Ian McEwan) yang tidak juga berjaya memikat meski saya berkali-kali mengingatkan diri bahawa heronya James McAvoy yang kacak itu.

Tetapi saya belum mahu mengalah. Oleh itu, atas saranan rakan penulis, saya menonton filem The Hours terlebih dahulu.

The Hours merupakan sebuah novel yang dibina merentas era. Pertama, latar tahun 1923 di Richmond, England di mana Virginia Woolf sedang melawan kemurungan sambil menulis adikaryanya, Mrs. Dalloway. Kedua, tahun 1951 di sebuah sub-bandar di Amerika Syarikat di mana Laura Brown, seorang ibu muda sedang tertekan dalam kehidupan berkeluarga yang tidak pernah diingininya. Ketiga, tahun 2001 di New York, di mana Clarissa Vaughan selepas 20, 25 tahun, masih belum melepaskan cintanya terhadap Richard Brown yang sedang parah menderitai AIDS, biar pun lelaki itu pernah mencuranginya.

Ketiga-tiga latar masa ini berhubung: pada tahun 1951, Laura yang sedang mengenalpasti rasa terperangkapnya dalam sebuah kehidupan berkeluarga acuan penuh visi suaminya sedang menguliti Mrs. Dalloway, buku yang ditulis Woolf pada tahun 1923. Sementara Richard pula, merupakan anak sulung Laura.

Seperti Mrs. Dalloway, novel The Hours yang mengaitkan kehidupan yang dilalui oleh tiga wanita ini - Virginia, Laura dan Clarissa (bahkan Clarissa merupakan nama pertama Mrs. Dalloway!) - mengambil latar pada suatu hari sahaja. Ketika ketiga-tiga watak ini bangun pada pagi itu, mereka melakukan perkara-perkara trivia seperti yang dilalui sehari-hari. Namun, komplikasi berkembang dengan peredaran jam (the hours) pada hari berkenaan.

Tema yang saya lihat mengikat wanita-wanita ini adalah konsep hidup dan mati.

Bagi Virginia, dia merasakan kehidupannya di bandar sunyi Richmond adalah hukuman mati. Dia merindui libang-libu kota London, kendati pun ditengking suaminya yang setia, Leonard, bahawa Londonlah yang mula-mula menjadikan Virginia gila. Tetapi kata Virginia, itu lebih baik daripada tidak 'hidup' langsung di desa Inggeris yang damai, yang kononnya baik untuk kesihatan mentalnya.

Sementara Laura pula merasakan jiwanya mati dalam kehidupan sebagai seorang ibu dan isteri. Tambah pula, kehidupan itu dicorakkan sepenuhnya oleh suaminya, sedangkan dia sebagai wanita hanya mampu tersenyum dalam mekap dan baju cantik. Pada hari yang menjadi latar kisah Laura, wanita itu hampir membunuh diri, namun membatalkan niatnya apabila mengenangkan bayi yang sedang dikandung, serta anak sulungnya, Richard. Namun sebelum tidur pada malam itu, Laura telah membuat keputusan nekad untuk melakukan sesuatu agar dia dapat 'hidup' semula.

Clarissa. Argh, Richard menggelarnya Mrs. Dalloway ketika mereka masih berkasih sewaktu muda-muda dahulu. Clarissa 'mati' apabila Richard lari dengan lelaki lain, Louis Waters. Tetapi dia tidak ralat menjaga Richard yang semakin tenat diratah AIDS yang tiada penawar. Cinta yang ditunjukkan Clarissa itulah, kata Richard, yang menyebabkannya terus berjuang untuk hidup, sedangkan dia tidak ingin untuk terus bernyawa. Richard bahkan menyuruh Clarissa membenarkannya mati agar wanita itu dapat hidup untuk dirinya sendiri. Dan apabila Richard membunuh diri - di hadapan Clarissa - wanita itu akhirnya bebas, atau hidup semula, daripada beban yang dipikulnya sendiri itu.

Inshaallah, semoga pembacaan novel The Hours lancar selepas ini!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 31, 2011 07:18
No comments have been added yet.