Hilal Asyraf's Blog, page 85
December 3, 2013
Novel VT2: Avantgarde – Gelombang 6 – Berhenti Berharap?
Lama tak update episod VT2: Avantgarde.
Alhamdulillah, VT2: Avantgarde sudah siap. Sudah diserahkan kepada syarikat penerbitan pun.
Saya akan siarkan hingga episod 13 di LangitIlahi.Com ini insyaAllah.
Selebihnya, boleh beli masa terbit nanti.
Mohon doa semua!
Ustaz Mahadzir kelihatan sedang bersembang dengan Saiful di satu sudut dewan. Sekali sekala kelihatan mereka tertawa. Jelas dari bahasa tubuh mereka berdua, mereka kelihatan amat erat dan saling hormat menghormati.
“Amacam Fatih? Seronok menang?” Malik bertanya, mengalihkan perhatian Fatih dari Ustaz Mahadzir dan Saiful. Wajah Malik menjadi tatapannya kini.
Fatih tersengih. Tahu Malik sedang menyindirnya. Dia kemudian menoleh rakan-rakannya yang sedang duduk di sisinya. Kelima-lima rakannya tidak kelihatan letih, namun semua sugul sepertinya.
“Menang pun muram.” Omar menambah.
Fatih tidak melayan. Kini matanya merayap pula pada seberang gelanggang. Pasukan Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah kelihatan gembira dan bertenaga. Walaupun dua orang dari kalangan mereka kelihatan sedang terbaring mungkin dek keletihan yang teramat.
Pertembungan antara pasukannya dengan pasukan pelajar MATRI tadi mengambil masa sejam lebih. Mereka bertarung dengan skema ‘best of 5’, dan pasukan Fatih berjaya memenangi tiga set berbalas kosong, membuatkan pasukan Fatih merupakan pemenang untuk pertarungan mereka ini.
Tetapi Fatih dan kumpulannya tetap tidak gembira.
Ini kerana mereka menang tipis, dan mengambil masa yang amat lama untuk menumpaskan kumpulan remaja sekolah menengah yang terletak di ceruk kampung Negerii Perlis itu.
“25-20, 29-27, 27-25. Aku memang tak sangka budak-budak ini boleh ‘drag’ kita macam itu sekali.” Akram menggeleng.
Mereka tidak penat. Mereka tidak letih. Walaupun agak bertungkus lumus menewaskan pasukan MATRI dalam jangka masa sejam lebih. Itu sesuatu yang agak baru buat mereka, namun peningkatan itu tidak berapa dihiraukan dek kerana mata yang tidak menggembirakan mereka. Sepatutnya mereka boleh menang mudah sahaja dengan pasukan budak-budak itu.
“Mereka main bijaksana. Tenang.” Fei Hung bersuara.
Abhiraj dan Leon mengangguk setuju.
“Habis, kita ni apa, bodoh?” Fatih menekan suaranya. Tercuit dengan apa yang dinyatakan Fei Hung, hingga menafikan kebenarannya.
“Janganlah deflect bro.” Dzakir menepuk-nepuk bahu Fatih. “Chill.”
Fatih menggerakkan bahunya dari terus ditepuk oleh Dzakir.
Coach Saiful benar-benar menunjukkan kepada dia bahawa kumpulannya tiadalah sekuat mana pun. Dia rasa terpukul.
“Kadangkala, Allah bagi kita ujian untuk kita bermuhasabah. Kau marah aku pun, kau tahu kebenarannya Fatih.” Fei Hung bersuara lagi, berani.
Fatih diam kali ini. Tiada reaksi. Kemudian dia berpaling kepada Malik dan Omar.
“Empat orang sahabat korang tu, ada potensi macam budak-budak ni ke?” Tiba-tiba dia bertanya. Malik dan Omar terkejut. Tidak pernah Fatih seperti berminat hendak mengetahui apa-apa daripada mereka.
“Empat orang itu amat dikagumi generasi selepas mereka.” Malik berbicara bersama senyuman.
“Bola tampar ni bukannya untuk tahu rejam aja. Paling penting ialah ‘point’. Rejam banyak, tak dapat mata pun tak guna.” Omar mengulang apa yang pernah Saiful Rahman ajarkan kepada mereka dahulu di MATRI.
Fatih mengurut-urut lehernya yang tidak letih. Otaknya berfikir. Ada sesuatu menyentuh hatinya.
“Assalamu’alaikum semua, mari berkumpul di sini.” Saiful Rahman menggerakkan tangannya, dan mengajak semua berkumpul berdekatan dengannya.
“Kami sekali ke Coach Saiful?” Kedengaran adik-adik MATRI melaung.
Malik, Omar, Fatih, Xavier, Abhiraj, Leon, Fei Hung, Akram dan Dzakir dapat melihat dengan jelas senyuman Saiful tatkala namanya dilaung oleh pemain-pemain MATRI.
Saiful mengangguk.
“Berkumpul sekali.” Ustaz Mahadzir menegaskan.
Terus pelajar-pelajar MATRI bangkit dan bergerak dengan pantas, seterusnya duduk dengan tertib di hadapan Ustaz Mahadzir dan Saiful Rahman.
“Feh, macam Askar.” Dzakir berbisik kepada Akram. Akram buat muka bersahaja tanpa reaksi. Namun di dalam hatinya terdetik kagum.
“Pertama sekali tahniah ana ucapkan kepada adik-adik dari MATRI. Walaupun antum tewas, antum amat mengkagumkan dengan mampu memberikan tekanan kepada abang-abang yang jauh lebih senior.” Saiful Rahman memulakan kata selepas pujian kepada Allah dan selawat ke atas RasulNya.
“Tidak hairanlah MATRI kekal menjadi juara bertahan semenjak tujuh tahun yang lepas di Negeri Perlis, jika teknik permainan sebagaimana yang antum persembahkan dikekalkan.” Saiful kemudian menepuk tangannya sendiri. Penghormatan daripada dirinya.
Pelajar MATRI kelihatan tersenyum-senyum sesama sendiri.
“Satu perkara yang kadangkala orang-orang lama telah lupa ialah asas.Mereka lupa kepada peri pentingnya stamina yang tinggi, bersama ‘dig’ yang baik. Ramai di dalam bola tampar ini tertipu dengan rejaman, sedangkan yang penting sebenarnya ialah ‘point’. Ana tidak hairan adik-adik MATRI hari ini satu hari nanti akan lupa juga perkara ini. Kerana kita semua manusia. Tetapi jika kekal mengamalkan konsep tawadhu’ yang diajar di dalam usrah, mengaplikasikannya dalam kehidupan, insyaAllah kamu tidak akan melupakannya.”
“Erk, rasa macam kena sambar kilat pula dada aku.” Dzakir garu kepala, sambil berbisik kepada Abhiraj di sebelahnya. Abhiraj tersengih. Dia pun terasa. Segera dia memandang Fatih yang berada di hadapannya. Dia tahu Fatih mendengar bisikan Dzakir tadi.
Fatih memandang sebentar remaja-remaja MATRI. Dia tahu sebenarnya Coach Saiful secara tidak langsung menegur dirinya.
“Okay, ana segan sebenarnya nak cakap panjang sebab ‘tok guru’ ana ada di sini.” Saiful tertawa kecil, sambil memandang Ustaz Mahadzir di sisinya. Ustaz Mahadzir menepuk bahu Saiful, merendah diri.
“Ana serahkan majlis kepada Ustaz Mahadzir. Biar dia cakap sepatah dua.”
“La, sepatah dua aja?”
“Berapa lama Ustaz nak la.”
Disambut deraian tawa pelajar-pelajar MATRI yang ada. Ustaz Mahadzir tertawa sama.
“Alhamdulillah, Maha Suci Allah SWT yang mengumpulkan kita semua. Ana tak mahu cakap banyak. Tetapi ana harap kita semua saling lengkap melengkapi untuk mengangkat nama Islam ini di mata masyarakat. Masing-masing nak bawa dakwah, kita datang ini untuk saling belajar. Pasukan Coach Saiful ke peringkat yang lebih tinggi di VNRC, pasukan MATRI di MSSPs.”
Ustaz Mahadzir berhenti sebentar, menatap kedua-dua belah pihak.
Fatih terasa pancaran keikhlasan ketua warden MATRI itu.
“Ketahuilah bahawasanya kita semua ialah duta-duta Islam. Bermain bola tampar hanyalah wasilah pilihan kita. Kita tak bawa Islam sebab kita main bola tampar. Tetapi kita main bola tampar sebab kita nak bawa Islam. Bola tampar potensi kita. Di sini kekuatan kita. Maka dari sini kita sumbang untuk Islam.”
Ustaz Mahadzir kemudian memfokuskan wajahnya kepada barisan anak didik Saiful Rahman.
“Abang-abang anak didik Coach Saiful ini merasakan bahawa bola tampar boleh menjadi karier mereka. Maka mereka berusaha di sini. Duduk di bawah seliaan Coach Saiful kita.” Kemudian wajahnya beralih kepada pelajar-pelajar MATRI. “Antum pula anak-anak didik ana, masih sekolah menengah. Mungkin bola tampar bukan karier pilihan antum. Tak mengapa. Yang penting, apa pun karier antum, pastikan ianya menyumbang manfaat untuk Islam. Pastikan antum menjadi duta Islam dalam segenap kehidupan antum.”
“Aduh, punya la sebulan lebih ni kita berusrah dan bertadarus dengan Coach Saiful. Tetapi hari ini juga la macam baru nak tersedar.” Dzakir menepuk-nepuk kepalanya.
“Dah engkau buat muka sepuluh sen aja sebelum ini. Nak tunjuk bengang.” Fei Hung yang berada di belakang sekali, menolak Dzakir di hadapannya. Dzakir terkehadapan sedikit, sambil tertawa.
Namun yang terasa dengan kata-kata Dzakir ialah Fatih.
Semua teguran, penyampaian yang baru didengarinya kini terasa ditujukan kepada dia seorang. Walaupun dia tahu Coach Saiful dan Ustaz Mahadzir ini tidak memaksudkan sedemikian. Pengajaran adalah untuk semua.
Perlahan-lahan Fatih memandang kepada Malik dan Omar yang berada sejajar dengan barisannya.
“Weh Malik.”
Malik segera menoleh ke arah Fatih. Terkejut disapa sedemikian.
“Kau untung ada warden macam ini.” Fatih memberitahu.
Malik sedikit terpana dengan respon Fatih, namun kemudian segera mengukir senyuman.
“Coach, takkan nak biar Fatih dan kumpulannya bersikap kurang ajar macam itu? Coach pun tengok macam mana sikap mereka dengan kami.” Malik geram. Meluah perasaan bengangnya kepada Saiful Rahman.
Saiful Rahman tersenyum. “Mereka itu orang baik sebenarnya Malik. Tetapi mereka dapat tarbiyah di Amerika Syarikat. Kalau kamu lihat mereka sebelum mereka bertemu dengan ana, kamu akan menghargai mereka yang hari ini.”
Malik mendengus. Sukar nak menerima alasan itu. Kerana padanya, Fatih dan kumpulannya telah dididik oleh Coach Saiful. Maka sepatutnya mereka tidak bersikap sedemikian rupa.
“Apa yang ana boleh belajar dari apa yang berlaku sekarang ini, yakni ketiadaan Ridhwan, Farhan, Zulkarnain dan Ihsan, juga pertembungan antara blok kamu dan blok Fatih ialah, bukan semua benda akan berlaku dalam keadaan mengikut kehendak kita.” Saiful meneruskan perkongsiannya.
“Tetapi…” Malik macam masih tidak berpuas hati.
“Macam itu jugalah kamu. Kamu mengharap orang yang sudah mengikut tarbiyah, maka hendaklah dia kekal baik sebagaimana kala dia mendapat tarbiyah. Tetapi kamu juga tahu berapa ramai pelajar MATRI yang bagus-bagus kala di sekolah, namun bila keluar melawan arus kehidupan sebenar, mereka tumbang dan larut menjadi sebahagian daripada mereka.”
Malik terdiam.
“Sekurang-kurangnya Fatih dan rakan-rakan menyahut panggilan ana. Dan yang sedang meninggalkan ana sekarang ialah pelajar MATRI.” Saiful menepuk-nepuk bahu Malik.
Malik tidak mampu berkata apa-apa.
“Jangan berhenti berharap Malik. Doakan Fatih dan rakan-rakannya, doakan sahabat-sahabat MATRI enta.
“Coach, coach tak berhenti berharap?”
Saiful Rahman tersengih. Menggeleng.
Malik terus tersenyum mengingatkan itu semua.
Jangan berhenti berharap.
******
Petang itu, pelajar MATRI sudah pulang. Saiful mempelawa mereka tinggal lagi semalam. Namun Ustaz Mahadzir menolak, menyatakan bahawa pelajar-pelajarnnya tidak boleh meninggalkan sekolah terlalu lama, kerana sekarang masih waktu persekolahan.
Saiful Rahman dan seluruh pemainnya menghantar Ustaz Mahadzir dan pemain-pemain MATRI ke stesen bas.
“Terima kasih banyak Ustaz.” Fatih memeluk erat Ustaz Mahadzir.
Ustaz Mahadzir membalas, dengan dakapan yang erat juga. “Kamu ni pemain hebat. Moga hebatlah juga dalaman itu seperti luarannya.” Sempat Ustaz Mahadzir menepuk dada Fatih.
Tersentuh sungguh Fatih ketika itu. Kalau dia tidak mengawal dirinya, kemungkinan dia menangis di situ juga.
“Saiful.” Saiful Rahman didekati Ustaz Mahadzir.
“Ya Ustaz.”
“Ana akan usaha bantu Zulkarnain untuk enta.”
Saiful tersenyum. Ustaz Mahadzir didakap erat. “Terima kasih Ustaz.”
Mereka menghantar bas yang membawa Ustaz Mahadzir dan pasukannya pergi dengan pandangan mata.
“Ha, baru antum tahu macam mana Ustaz Mahadzir tu.” Saiful memaut leher Dzakir dan Akram dengan kedua-dua belah tangannya. Mesra.
“Cool la Ustaz Mahadzir tu Coach.” Dzakir angkat ibu jari.
“Bila kita akan ziarah MATRI coach?” Akram bertanya spontan.
Saiful tersenyum. Memandang dia kepada Fatih, Malik, Omar, Leon, Abhiraj dan Fei Hung.
“InsyaAllah, nanti, sebelum VNRC. Kamu semua kena tunjukkan yang kamu ada peningkatan.”
“Baik coach!” Pemain-pemain lain semua menyahut dengan semangat.
Mereka bergerak keluar dari stesen bas bersama-sama.
“Ah, sebelum ana terlupa.” Semua memandang Saiful Rahman.
“InsyaAllah malam ini tiada latihan. Antum rehat. Tetapi sebelum pulang ke asrama, semua kena ke dewan, ambil seorang sebiji bola.”
Semua yang ada sedikit terkejut. Coach dah mula nak melatih mereka dengan bola? Akhirnya!
“Semua wajib jaga bola masing-masing. Ambil marker, tulis nama pada bola, dan bawa bola pergi ke mana-mana kecuali tandas. Faham?” Saiful memandang satu persatu wajah anak-anak buahnya.
“Faham coach!” Semua mengangkat tangan. Semangat.
Saiful tersenyum puas.
Tidak rugi untuk tidak berhenti berharap. Allah bersama orang-orang yang percaya.
******
Faiz melangkah dengan langkahan yang agak segera. Dia sudah terlewat. Sesak di Kuala Lumpur kadang tidak dapat dijangka. Seperti hari ini, malam juga tetap ada kesesakan jalan raya.
Dia pergi kini telah sampai ke Bangunan Amir&Co. Bangunan yang merupakan pusat penyelidikan teknologi terkini di Malaysia. Kepunyaan salah seorang rakan Pakcik Abdul Majid. Namanya Amir Muiz. Dengar kata tidak lama lagi beliau akan dikurniakan gelaran Dato’ oleh Yang DiPertuan Agong kerana sumbangannya pada teknologi Malaysia.
“Encik ada urusan apa?” Pengawal yang menjaga pintu hadapan menghadang perjalanannya. Faiz baru perasan kewujudan pengawal tersebut.
“Dia ini bersama saya, insyaAllah.” Satu suara menyapa dari belakang pengawal tersebut. Kelihatan Pakcik Abdul Majid baru keluar dari pintu masuk.
“Baik, maafkan saya.” Pengawal bergerak ke tepi, dan menghulurkan salam menjabat tangan Faiz.
“Tak mengapa, tak mengapa.” Faiz menundukkan kepalanya sedikit, sebagai tanda hormat, sebelum mengikuti Pakcik Abdul Majid masuk ke dalam Bangunan Amir&Co. Dengar kata dalam beberapa tahun lagi bangunan ini akan berpindah ke sebuah bandar yang baru dibina, Kotaraya Angsana. Sebuah menara, bernama Menara Iman sedang dalam proses pembinaan, dan Amir&Co akan berpindah ke sana.
Kotaraya Angsana itu adalah projek mega Malaysia yang dibangunkan oleh 10 orang anak melayu muslim. Salah seorangnya ialah Pakcik Abdul Majid, yang menjadi penasihat dalam bagaimana menjadikan Kotaraya Angsana sebagai pusat untuk sukan yang membawa syiar Islam tumbuh subur.
Malam ini, merupakan malam yang bersejarah buat Faiz. Pertama kali dia akan bertemu dengan lagi sembilan rakan Pakcik Abdul Majid secara privasi. Sebelum ini bukan tidak pernah bertemu. Selalu sahaja di dalam program-program NGO INSANI, sebuah NGO Kebajikan yang ada di Malaysia ini, diselia oleh salah seorang dari 10 rakan Pakcik Abdul Majid juga.
Namun tidak pernah dia mempunyai peluang merapati mereka untuk membincangkan perkara-perkara sulit yang berlaku di negara ini, seperti hari ini.
Lif yang dinaiki mereka sedang membawa mereka ke tingkat paling atas sekali.
“Pakcik Abdul Majid. Mengapa malam ini saya dipanggil?”
“Semua orang kena membawa pewarisnya malam ini.”
“Huh?” Pewaris? Faiz tidak faham. Pakcik Abdul Majid ada beberapa orang anak lelaki. Mengapa dia yang dibawanya ke mari?
“Kamu ingin bertanya fasal anak-anak lelaki pakcik?”
“Ah, ya.” Tak sangka Pakcik Abdul Majid dapat menyangka apa yang terdapat di dalam jiwanya.
“Yang ini bukan berkenaan harta. Yang ini berkenaan perjuangan. Dan untuk pakcik, kau ialah anak sulung pakcik di atas medan ini.” Pakcik Abdul Majid memegang erat bahu Faiz.
Faiz sedikit terkejut dengan apa yang dikatakan oleh Pakcik Abdul Majid. Namun dirasakan bahawa pertemuan malam ini nyata sangat penting.
Lif yang mereka naiki terhenti. Pintu lif terbuka. Mereka berdua keluar beriringan darinya. Kelihatan ramai sudah menanti kehadiran mereka.
“Assalamu’alaikum. Maafkan saya sebab lambat.” Faiz menundukkan sedikit kepalanya.
“Tidak mengapa.” Terus ada yang menyambutnya, menepuk bahunya mesra dan menghulurkan salam.
Faiz mengangkat wajahnya. Kemudian matanya membesar.
“Ah,”
Lelaki di hadapannya tersenyum bersinar. “Faiz. Lama kita tidak berjumpa.”
“Tengku Saifullah.” Terus didakapnya lelaki di hadapannya. Sempat sekelas dengannya semasa di tingkatan lima di MATRI dahulu.
“Aku datang menemani bapaku, Tengku Muhammad.”
“Ah. Tetapi kenapa tak pernah jumpa semasa program INSANI?” Faiz kehairanan.
“Aku sibuk di Johor. Menguruskan Kompleks Tuju Penyayang.”
Faiz ada pernah mendengar berkenaan projek rumah anak-anak yatim dan terbiar bernama Kompleks Tuju Penyayang itu.
“MasyaAllah, tak sangka jumpa kita di sini ya.” Terus Tengku Saifullah membawa Faiz mendekati yang lain-lain.
Pakcik Abdul Majid sudah bersama rakan-rakannya.
“Jemput duduk semua.” Seorang lelaki, kelihatan agak berusia dengan janggut dan misainya yang mula memutih. Faiz kenal dengannya. Dia ialah Abdullah Shamsuddin. Pengasas NGO INSANI dan merupakan Ketua Eksekutif Kolej Tarbiyah Dakwah di Kelantan.
Faiz memandang sekeliling. Dia dapat melihat rakan-rakan Pakcik Abdul Majid yang lain. Kanan Abdullah Shamsuddin ialah Uncle Amir Muiz, seterusnya ialah Pakcik Tengku Muhammad, sebelahnya pula ialah Dato’ Waqiyuddin, seterusnya Uncle Ya’kub, di sebelahnya ialah Dr Omari, kemudian Pakcik Aminuddin Yasser, Pakcik Abdul Majid, di sebelahnya ialah Pakcik Jaafar Yamani dan akhir sekali ialah Pakcik Amir Ar-Rasyid.
Mereka ini semua hadir ditemani ‘pewaris’, yang tiada seorang pun dikenali oleh Faiz, kecuali Tengku Saifullah.
Abdullah Shamsuddin memulakan bicara dengan basmalah, memuji Allah dan berselawat ke atas rasulNya, mendoakan semua muslimin dan muslimat, kemudian beristighfar kepada Allah, seterusnya barulah dia memulakan isu yang ingin dibincangkannya.
“Ana mendapat maklumat bahawa Ryuken sudah bergerak dengan lebih berani. Selepas Homuradama tewas di Johor baru-baru ini, mereka telah menghidupkan sebuah lagi proksi mereka di Malaysia, dengan nama Syaitan Bertopeng.”
Faiz agak terkejut dengan apa yang didengarinya. Homuradama ialah Kumpulan Kongsi Gelap yang popular baru-baru ini di media massa. Cabang kongsi gelap dari Jepun yang ingin meluaskan jajahan yakuza mereka ke Tanah Melayu.
“Kini di Malaysia kecoh dengan pembunuhan beberapa orang guru di Malaysia. Setelah kajian dilaksanakan, kita melihat bahawa semua yang ditembak itu mempunyai kaitan. Mereka ialah guru-guru yang ditugaskan menggubal silibus mata pelajaran hari ini ke arah yang lebih ketuhanan dan mendekati suasana masyarakat majmuk di negara ini.”
“Mereka sudah tak teragak-agak untuk membunuh ya?” Dato’ Waqiyuddin bersuara.
“Kerana itu ana memanggil antum datang bersama pewaris. Nampaknya Syaitan Bertopeng sebagai proksi Ryuken di Malaysia, tidak akan berdiam diri dengan segala usaha untuk mengembangkan Islam sebagai cara hidup di negara ini. Jika mereka melihat atau mengetahui pihak-pihak yang mampu untuk mengubah lanskap kehidupan negara ini, mereka tidak teragak-agak untuk menghapuskan mereka.”
Jantung Faiz berdegup sedikit kencang. Dia seakan sedang berada di medan perang.
“Semua kita di sini sedang berusaha ke arah itu, ke arah membawa Islam sebagai cara hidup buat masyarakat ini. Menjadikan Islam bukan lagi sebagai agama ritual, tetapi juga gaya hidup untuk rakyat di negara ini. Melaui massa, teknologi, sukan, hiburan dan semua cabang kita ceburi. Maka ketahuilah bahawa kemungkinan besar kita akan berhadapan dengan mereka ini.” Abdullah Shamsuddin memberikan pesan yang amat tegas.
“Pakcik,” Faiz berbisik dengan Pakcik Abdul Majid yang duduk di hadapannya.
“Ya?” Pakcik Abdul Majid mencondongkan tubuhnya ke belakang sedikit.
“Rurouni tu, yang pakcik beritahu bahawa mereka dinaungi kongsi gelap, apakah mereka dinaungi kumpulan merbahaya ini?”
Pakcik Abdul Majid mengangguk.
“Sebab itu pakcik pesan dahulu, berhati-hati.”
Faiz menelan air liur. Allah.
“Ana percaya bahawa mereka ini bersembunyi di sebalik beberapa syarikat yang ‘legal’ di Malaysia ini. Antara yang dikenal pasti ialah Kasai International.” Amir Muiz pula bangun memberikan pembentangan.
Dan itu membuatkan segala kerisauan Faiz menjadi nyata. Benar-benar Rurouni itu merupakan sebahagian daripada Ryuken.
Meneruskan langkahan mereka, benar-benar seperti menjolok sarang tebuan.
Ketika ini, Pakcik Abdul Majid mencondongkan kembali tubuhnya ke belakang. “Faiz,”
“Ya pakcik?” Faiz membawa tubuhnya ke hadapan sedikit.
“Sekarang baru kau tahu apa maknanya perjuangan.” Pakcik Abdul Majid tersenyum dan Faiz dapat melihat sebahagian ukiran manis itu dari belakang.
Faiz tersengih.
Allahuakbar.
December 2, 2013
Untuk Kita Pendosa – Di Mana Boleh Dicari Kekuatan, Kebahagiaan, dan Ketenangan?
Manusia ini, kehidupannya bukan sentiasa berada di atas. Kehidupan manusia, kembarnya adalah ujian. Akan tiba masanya, manusia akan diuji dari arah yang tidak terjangka. Kadangkala, ujian datang dalam keadaan manusia tidak bersedia.
Ketika ini, manusia akan mula terkapai-kapai. Mencari sesuatu yang dinamakan kekuatan. Mula hendak mendapatkan sesuatu yang bernama kebahagiaan. Cuba menggapai sesuatu yang dipanggil ketenangan. Tetapi, di mana?
Di mana hendak dicari semua itu?
Soalan itu, adalah antara soalan panas bagi seorang manusia.
Cari dari sumbernya
Siapakah yang menyisipkan kekuatan? Siapakah yang memberikan kebahagiaan? Siapakah yang menyusupkan ketenangan?
Siapa?
Allah. Jawapan saya hanya satu itu, dan tiada lain.
Allah SWT berfirman:
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah At-Tawbah ayat 40.
Ketika Rasululla SAW, hanya bersama Abu Bakr RA, dikejar dan diburu oleh kaum musyrik Quraiys, hampir dijumpai pula di dalam Gua Tsur, Allah telah menurunkan ketenangan kepada hati mereka berdua. Lihat, betapa berkuasanya Allah. Pada saat mereka sangat tersepit, ketenangan daripada Allah mampu menghilangkan segala resah gelisah.
“Tiadalah kemenangan(pertolongan) itu, selain dari sisi Allah…” Surah Al-Anfal ayat 10.
Itu adalah janji Allah SWT. Kenapa Allah SWT boleh berjanji sedemikian rupa? Kerana Dia adalah pemegang kekuatan. Pada Allah ada qudrah. Dan Dia berhak membantu sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Siapakah yang pernah meminta kepada-Nya kekuatan?
“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam)” Surah Asy-Syarh ayat 1-2.
Allah. Akhirnya, Allah jugalah sumber kepada semua yang dikehendaki oleh kita tadi. Kekuatan, ketenangan, kebahagiaan, semuanya adalah daripada Allah. Allah yang memberikannya, Allah yang menariknya semula.
Siapakah antara kita yang bergerak ke arah-Nya?
Hubungan kita dengan Allah SWT
Ada orang, masa dia susah sahaja baru dia ingat kepada Allah SWT. Masa dia ada sesuatu hajat, baru dia mencari Allah SWT. Semasa dia kaya, semasa dia berharta, semasa dia bahagia, semasa dia senang hati, dia lupa pada Allah SWT, malah bongkak kepada-Nya.
Siapakah antara kita yang berusaha menjaga hubungannya dengan Allah SWT? Atau sebenarnya kita ini, langsung tidak merasakan keterikatan kita dengan Allah SWT? Adakah kita hanya nampak, Allah itu di masjid sahaja? Adakah di masjid sahaja baru kita sibuk menjaga hubungan kita dengan Allah? Bagaimana di pejabat? Bagaimana di sekolah? Bagaimana di tempat anda berada sekarang? Adakah anda merasai keterikatan anda dengan Allah SWT?
Hubungan dengan Allah SWT ini, adalah hubungan yang unik. Hal ini kerana, kita berhubung dengan Allah yang ghaib dari pandangan kita. Tetapi untuk manusia yang beriman, dia akan sentiasa merasakan bahawa Allah SWT itu amat dekat dengan-Nya.
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,” Surah Qaaf ayat 16.
Hatta, yang kita bisikkan di dalam hati pun, Allah mengetahuinya.
Apakah pantas semasa bekerja kita memutuskan hubungan kita dengan-Nya? Apakah pantas semasa belajar, kita memutuskan hubungan kita dengan-Nya? Sebab itu, bagi mereka yang menghubungkan dirinya dengan Allah setiap masa, mereka akan serius dalam pekerjaan mereka. Mereka tidak akan sengaja curi tulang, tidak akan korup, tidak akan pecah amanah, tidak akan melakukan perkara-perkara yang Allah larang sepanjang pekerjaan mereka.
Mereka berusaha, menjaga segala apa yang Allah perintahkan sebaik mungkin setiap masa.
Semuanya untuk mendapatkan kebaikan daripada Allah SWT.
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah. – sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.” Surah Asy-Syuara ayat 30-31.
Saya mendekati Allah, tetapi kenapa tidak bahagia?
Ini soalan yang popular. Ya, ada kalangan kita yang mendekati Allah, tetapi tetap tidak bahagia. Hidup tetap sukar. Malah, masih terasa sempit dan tidak tenang.
Adakah ini bermakna, mendekati Allah SWT itu tidak memberikan apa-apa?
Saya hanya tersenyum. Sudah Allah SWT katakan tadi, segala keburukan itu daripada diri manusia sendiri.
Cuba lihat semula, tidak tenang itu kenapa. Tidak bahagia itu kenapa. Tidak rasa mempunyai kekuatan itu kenapa. Walaupun sudah mendekati Allah, semua itu tidak datang kenapa? Antara sebab paling besar adalah:
“Kita mendekati Allah SWT, meminta kepada-Nya, pada masa yang sama kita mendekati apa yang dimurkai-Nya, dan mencintai pula kemungkaran itu.”
Di sinilah punca, penghalang kepada kebahagiaan kita, kekuatan kita, ketenangan kita. Dosa ibaarat bintik hitam yang melekat di dalam hati. Semakin banyak dosa, semakin banyak bintik hitam. Akhirnya, hati gelap dan keras. Kita mendekati Allah, tetapi kita mencintai kemaksiatan. Kita tidak membuang punca keresahan kita, kita tidak membuang punca kelemahan kita, kita tidak membuang punca kegelisahan kita, macam mana hendak mencapai kekuatan, ketenangan dan kebahagiaan?
Kita perlu lihat semula.
Adalah mustahil menggabungkan dua cinta ini dalam satu masa.
Cinta kepada Allah, dan cinta kepada kemurkaan-Nya.
Penutup: Puncanya, kita menjauhi-Nya
Hairan apabila kita melihat kembali kehidupan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang miskin, dan serba kekurangan seperti Bilal bin Rabah RH, Abu Hurairah RH, hatta Rasulullah SAW sendiri, tetapi mereka semua bahagia dan penuh dengan ketenangan. Tiada sahabat Rasulullah rumahnya banglo macam rumah kebanyakan kita. Rasulullah SAW sendiri tidur di atas pelepah tamar sehingga berbirat belakang tubuhnya. Kita paling kurang pun akan tidur di atas tilam.
Tetapi mereka bahagia. Bahagia. Mereka kuat. Sangat kuat. Mereka tenang. Menenangkan pula sesiapa yang melihat mereka.
Kenapa?
Mereka mendekati Allah SWT. Kerana mereka beriman dengan Allah SWT.
“Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.” Surah Al-Anfal ayat 64.
Ya, Allah sudah cukup untuk mereka.
Saya teringat dahulu, orang selalu baca: “Hasbi rabbi jallallah, ma fi qalbi ghairullah” yang maksudnya, “Cukuplah untuk aku Tuhanku Allah yang agung, tiada di dalam kalbuku melainkan Allah” Di mana agaknya pembumian kata-kata ini dalam kehidupan kita hari ini?
Apa punca kelemahan kita? Apa punca kegelisahan kita? Apa punca keresahan kita?
Kita menjauhi Allah SWT. Lihatlah, apabila manusia tidak mengambil Islam, apa yang berlaku kepada dunia? Huru-hara.
Kenapa manusia tidak memerhatikan ini?
Kenapa kita, tidak memerhatikan perkara ini?
Dunia ini, bukan terpagar dalam alam materialistik sahaja.
November 30, 2013
Untuk Kita Pendosa – Sejenak Kita ‘Menziarahi’ NerakaNya.
Neraka. Kita memohon kepada Allah SWT agar Dia tidak menghumbankan kita ke dalamnya. Kita memohon kepada Allah SWT agar kita langsung tidak akan disentuhinya. Sesungguhnya itulah seburuk-buruk tempat yang ada, dan sedasyat-dasyat seksa.
Bagi mereka yang berdosa, bermaksiat kepada Allah SWT, ingkar kepadaNya, tidak mahu menuruti perintahNya, dan tidak pula bertaubat, menyesal, berusaha untuk berubah, maka neraka adalah jawapannya.
“Adapaun orang-orang kafir dan mereka yang mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu adalah dari kalangan ahli neraka. Mereka kekal di dalamnya.” Surah Al-Baqarah ayat 39.
“Dan apabila dikatakan kepadanya: bertaqwalah kepada Allah, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah(bagi mereka) neraka jahanam. Dan sungguh neraka jahanam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.” Surah Al-Baqarah ayat 206.
Mati, permulaan ke sana.
Ramai yang berfoya-foya dan alpa di atas dunia. Rasa bahawa esok senantiasa ada. Maka ditangguh-tangguhkan taubat. Maka dilambat-lambatkan usaha melakukan kebaikan. Terlupa bahawa akan ada satu hari di mana, makhluk bernama maut datang memberikan sapaan.
“Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah Sakaratulmaut membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!” Surah Qaf ayat 19.
Dan bila mati, dalam keadaan berdosa, maka ke manakah kita?
“Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekal lah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.” Surah An-Nisa’ ayat 14.
Tidakkah kita menyedari?
Neraka, tempat mereka yang gagal.
Tahukah dengan apa Allah SWT mendefinisikan kejayaan?
Allah SWT di dalam ayat 185 Surah Ali-Imran ada berfirman:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.
Perhatikan ayat yang telah saya gariskan itu.
Jelas di sisi Allah SWT, masuk ke dalam syurga dan diselamatkan daripada neraka adalah kejayaan yang sebenarnya.
Semestinya, masuk ke dalam neraka, dan tidak dapat menjejaki syurga adalah kegagalan yang sebenarnya.
Sesungguhnya mereka yang memasuki neraka, adalah mereka yang tertipu, dialpakan dengan kesenangan dunia. Tidakkah kita memerhatikan wahai pendosa?
Kedasyatan Neraka Allah SWT
Tiadalah yang lebih layak menceritakan, menggambarkan kedasyatan neraka ini, melainkan Tuan Kepada Neraka itu sendiri. Maka marilah kita sama-sama, membuka hati kita, membaca sebahagian daripada apa yang saya mampu nukilkan daripada Al-Quran, Kalam Allah SWT, berkenaan kedasyatan neraka.
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah An-Nisa’ ayat 56.
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” Surah An-Nisa’ ayat 145.
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka mempunyai segala yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka menjadikannya penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya tebusan itu tidak akan diterima dari mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.” Surah Al-Maidah ayat 36-37.
“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).” Surah Al-An’am ayat 70.
“Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar. (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.” Surah Al-Anfal 50-51.
“Sesungguhnya pokok Zaqqum, (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka. Kemudian curahkanlah di atas kepalanya – azab seksa – dari air panas yang menggelegak. (Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat(perlian terhadap mereka). (Kemudian dikatakan kepada ahli neraka umumnya): Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!” Surah Ad-Dukhan ayat 43-50.
Adakah itu sebenarnya yang kita mahukan?
Apakah berbaloi kesenangan sebentar kita di dunia, diganti dengan kehidupan sedemikian rupa yang kekal abadi pula?
Tidak bukan?
Maka apakah tindakan kita terhadap dosa-dosa kita?
Sudah sampai di sana, tidak akan sesekali kembali.
Janganlah kita menyangka, apabila kita nanti telah melihat neraka Allah SWT, telah melihat apa yang tersedia buat kita, maka kita boleh meminta kepada Allah SWT untuk kembali ke dunia beramal soleh. Sesekali jangan. Kerana itu tidak akan terjadi.
Allah SWT telah berpesan di dalam firmanNya:
“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” Surah As-Sajdah ayat 12.
Tetapi apakah gunanya pada hari itu?
Bila sudah berada di dalam neraka, mustahil akan ada peluang kembali ke dunia.
Penutup: Tetapi Kita Masih Hidup Bukan?
Dasyat neraka. Teringat kita akan dosa-dosa kita. Terasa terbeban dengan dosa yang akan mengheret kita ke sana. Rasa sesak dada kita. Rasa berat kepala kita. Seakan-akan kita telah menjadi sebahagian daripada ahli neraka itu sendiri.
Tetapi kita teringat,
Kita masih hidup.
Ini bukti rahmat Allah SWT buat kita.
Maka megapa tidak kita gunakan kehidupan kita ini, untuk membersihkan dosa-dosa kita? Bertaubat atas kesalahan-kesalahan kita? Mengapa kita mesti memilih untuk terus alpa, lalai dan leka?
Marilah sama-sama kita bergerak mencuci dosa-dosa kita, dengan melakukan kebaikan-kebaikan dan meninggalkan kejahatan-kejahatan.
Agar tiada apa yang mampu menyeret kita ke neraka Allah SWT.
Ayuh!
Himmah : ‘Orang Besar Segera’
Ramai orang bercita-cita menjadi orang-orang besar. Tetapi kadangkala mereka silap mendefinisikan siapakah itu orang-orang besar?
Apakah orang-orang besar itu adalah orang yang bergaji tinggi, berkedudukan hebat, berpangkat besar, berpakaian kot hitam tuxedo, rumahnya besar, memiliki pemandu keretanya sendiri, pergi ke mana-mana disambut orang, katanya ditepuk-tepuk oleh orang biarpun salah, apakah itu orang-orang besar yang sebenarnya?
Kerana selalu ada di minda kebanyakan orang bahawa begitulah cirinya orang-orang besar, maka ada sebilangan menggunakan jalan mudah untuk sampai ke situ. Akhirnya, putaran kebodohan akan saban zaman berulang. Biarlah yang naik itu pandir sekalipun, baik di kedudukan-kedudukan atasan seperti pembesar, menteri, CEO syarikat dan apa-apa jua yang dikatakan sebagai orang-orang besar itu asalkan ada habuan kaya raya dan berpangkat tinggi. Biar tak pandai mengurus ummat, asalkan bisa punya jawatan dan pangkat hebat.
Pak Gus Mus, seorang penyair masyhur Indonesia, menyindir sikap begini dalam syairnya yang sangat menarik :
“Ingat, jangan sampai jadi orang kecil,
Orang kecil kalau ikhlas diperas,
Jika diam ditikam,
Jika protes dikentes,
Jika usil dibedil.
Orang kecil bila jujur ditipu,
Jika menipu jujur,
Jika bekerja diganggu,
Jika menggangu dikerjakan.
Lebih baik jadi orang besar,
Bahagianya selalu besar,
Orang besar jujur tak jujur makmur,
Benar tak benar dibenarkan,
Zalim tak zalim dibiarkan.
Orang besar boleh bicara semahunya,
Orang kecil paling jauh dibicarakannya saja.
Orang kecil jujur dibilang tolol,
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurang ajar,
orang besar kurang ajar dibilang berani.
Orang kecil mempertahankan hak disebut pembikin onar,
Orang besar merampas hak disebut pendekar.”
Nabi Dan Para Sahabat Adalah Orang Besar Dunia Juga
Kalau tafsiran orang besar adalah begitu dalam minda kita, maka Nabi s.a.w. dan para sahabat bukanlah dari kalangan itu.
Aneh. Sedangkan dunia mengiktiraf Nabi s.a.w. sebagai pemimpin yang paling berjaya, hatta dunia Barat juga. Mustahil Nabi bukanlah orang besar. Mustahil para sahabat yang telah menjadi tapak kepada pengasasan tamadun Islam yang beratus tahun lamanya itu orang kecil.
Hanya orang besar bisa membentuk tamadun. Hanya orang besar yang mampu membina empayar yang bertahan lamanya beberapa abad.
Itulah kesilapan dalam meletakkan neraca orang kecil orang besar.
Nabi s.a.w. orang besar, tetapi pernah berlapar mengikat batu di perutnya kerana tidak memiliki apa-apa makanan. Seorang pemimpin besar pernah tidak punya apa-apa makanan? Ajaib benar kalau itu berlaku kepada kita hari ini, bukan?
Abu Bakar as-siddiq, orang besar selepas Rasul s.a.w., juga bukanlah orang yang berbangga-bangga atas harta yang dimilikinya, bahkan pernah dalam perang bersama Rasul s.a.w., beliau menginfakkan semua hartanya tanpa ada keraguan atau rasa resah dalam jiwanya.
Umar Al-Khattab, orang besar juga. Khalifah Islam yang zamannya Islam berkembang ke pelbagai pelusuk alam. Daerah Islam mula meluas. Perkembangan ijtihad dan fiqh-fiqh baru mula diperlukan. Tetapi saat dibawa pembesar Parsi datang bertemu dengannya, Umar hanya tidur berlapikkan tangan di bawah pohon kurma tanpa ada pengawal yang menjaganya, dengan pakaian yang sederhana cuma. Umar orang besar, tetapi mana katil empuknya? Mana pemandu dan pengawalnya? Mana segala kekayaan dan hartanya?
Tidak ada. Kerana kecil besarnya mereka bukanlah ditentukan oleh itu semua.
Kita hari ini merasa besar dengan semua itu, tetapi sebenarnya kita ini kecil sahaja. Harta banyak, ada pangkat, ada nama, tetapi kita bukanlah orang yang besar sebenarnya.
Yang Sepatutnya Menentukan Besar Kecil
Orang yang ditentukan besar kecilnya kerana harta, pangkat, kedudukan dan nama tidak akan bertahan lama.
Hari ini mungkin dia dikenali orang dan dihargai kerana semua itu yang dimilikinya.
Esok ketika dia tidak lagi memiliki apa-apa, mungkin tiada siapa lagi yang mengenali dirinya.
Biarlah yang menentukan besar kecil kita itu adalah iman dan kemampuan diri kita, ilmu serta bakti kita dalam masyarakat.
Iman itu kekal tahan lama sampailah di depan Tuhan. Yang akan menjadi pandu arah untuk kita terus jujur atau tidak ketika mendapat jawatan-jawatan besar, harta yang banyak adalah iman kita. Hilang iman, binasalah kita.
Kalau memang kita bukanlah orang yang berkemampuan dan berkelayakan untuk memegang tampuk-tampuk penting dalam pemerintahan, atau mendapat harta yang banyak, atau memegang pangkat-pangkat, maka sebaiknya kita tidak memegangnya.
Abu Dzar pernah meminta jawatan kepada Nabi s.a.w., tetapi kemudian Nabi justeru membalasnya :
“Sesungguhnya kamu lemah (tak mampu) sedangkan jawatan itu adalah amanah.”
Ilmu dan bakti itu harganya khazanah yang kekal berzaman.
Sehingga sekarang orang masih menceritakan perihal akhlak dan peribadi Rasul s.a.w. kerana itu adalah contoh terhebat yang tidak akan dapat dipadam dalam rantaian sejarah. Sehingga sekarang orang masih meriwayatkan kisah-kisah bakti dan budi yang hebat di kalangan para sahabat.
Mereka telah tiada, tetapi kisah-kisah mereka terus mengalir dalam darah dan semangat ummat.
Sebab itu, harta, nama, pangkat dan apa jua yang berbentuk duniawi ini mungkinlah mendapat puji puja manusia di atas dunia, namun ilmu, budi dan bakti yang memang terbukti lebih memikat hati manusia kekal sampai selepas mati.
Penutup : Orang Besar Segera Ramai, Tetapi Jadi Beban Kepada Masyarakat
Hari ini ramai ‘orang besar segera’.
Mahu cepat naik ke kedudukan tinggi, mahu cepat kaya, mahu nama dikenali dan masyhur, tetapi diri sendiri tidak berkemampuan, tidak punya apa yang bisa diberi kepada masyarakat.
Umpama makanan segera, mengenyangkan untuk seketika tetapi membahayakan.
Begitulah orang besar segera. Mengisi ruang kekosongan tetapi membebankan masyarakat.
Keputusannya meletakkan masyarakat dalam bahaya, bicaranya selalu pakai perasaan tak pakai akal, diharapkan agar dapat memimpin dan membantu masyarakat, tetapi dengan kehadirannya membuatkan masyarakat merasa lebih resah dan keliru.
Persiapkanlah diri kita sebaiknya. Masyarakat kita tidak perlukan orang besar segera ini.
Masyarakat kita benar-benar perlukan orang besar, yang berjiwa besar, dengan akal dan pertimbangan yang benar serta penuh pula sabar untuk tidak menghalau masyarakatnya sendiri yang dirasakan berbeza pendapat dengan dirinya.
Bercita-citalah menjadi orang besar semisal para sahabat Nabi s.a.w. Dunia yang dimiliki tidak menggelapkan mata kepala dan mata hati mereka sebaliknya mereka pula yang mengawal dunia di bawah tangan-tangan mereka.
Kita bukanlah orang besar kalau kita dikawal oleh dunia sehingga menutup segala sikap jujur dan baik kita, membutakan mata akal dan hati kita daripada melihat kebenaran.
Fotografi: Kenanglah nikmat-nikmat itu
| Ad Deir the Monastery | Petra, Jordan |
( Sony Alpha Nex-5N | f8 | 1/400 | ISO100 )
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu (kaum Thamud) khalifah-khalifah sesudah kaum ‘Aad, dan ditempatkan kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenanglah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi“.
Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang beriman di antara mereka: “Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutus dari Tuhannya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya”.
Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya”.
Maka, mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka kepada perintah Tuhan mereka sambil berkata: “Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah).
Maka, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu mereka menjadi mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.”
( Al-A’raf 7: 74-78 )
Kenanglah nikmat-nikmat itu.
November 29, 2013
Untuk Kita Pendosa – Hari-Hari Seakan Kamu Tiada Harapan.
Ada waktu, kita akan merasa bahawa diri kita sangat tersepit. Susah teramat sangat. Seakan hilang segala harapan. Seakan lenyap segala ruang penyelesaian.
Jauh di dalam lubuk hati kita, kita akan rasa kecewa teramat sangat. Rasa ditinggalkan. Rasa diasingkan. Keseorangan dalam masalah yang menimpa tanpa ada sesiapa yang mampu menghulurkan bantuan. Kadangkala, ia adalah masalah peribadi yang kita malu untuk kongsikan.
Akhirnya mula timbul dalam jiwa kita satu perkataan:
PUTUS ASA. Kita rasa segalanya sudah tidak berguna. Segala usaha sudah tidak bermakna. Maka kita pun bergerak mengikut arus kerosakan untuk ‘self destruct’. Jadilah apa hendak jadi. Kita sudah tidak peduli. Kerana tiada siapa yang hiraukan kita.
Tetapi kita silap.
Allah SWT itu tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Nya.
Allah SWT hiraukan kita.
Hingga sampai ke benteng kesabaran
Tujuan ujian adalah untuk menguji. Sebab itu namanya adalah ujian. Jika ujian itu datang dalam keadaan mudah dilangkau, tidak dinamakan ianya ujian. Ujian semestinya menggegarkan, menggoyahkan, meragut ketenteraman dan menghilangkan kesenangan.
Dalam keadaan ini Allah ingin melihat sejauh manakah keyakinan kita kepada-Nya.
Yang Allah mahu daripada ujian adalah pembuktian kita terhadap keimanan kita.
Saya sering mengulang ayat 2 dari Surah Al-Ankabut:
“Apakah manusia itu mengira, bahawa mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?”
Sebab itu, adakah kita mengira, kita akan masuk syurga Allah dengan lenggang kangkung tanpa diuji dengan ujian yang hebat? Kadangkala seakan kita tertolak ke pinggir gaung. Hanya menunggu masa sahaja untuk jatuh walaupun telah berusaha bertahan.
Kita bertanya-tanya, kenapa kita diuji sedemikian rupa?
Ketahuilah, itu hakikatnya adalah tapisan kita ke syurga Allah SWT.
“Apakah kamu mengira, kamu akan dimasukkan ke dalam syurga, selagi belum tiba kepada kamu ujian yang telah didatangkan kepada orang-orang sebelum kamu? Mereka diuji dengan kepapaan dan serangan penyakit serta digoncangkan. Sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman dengannya: Bilakah pertolongan Allah(hendak sampai)?…” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Iya. Diuji sehingga ke pinggiran gaung. Sehingga tergoncang keimanan mereka. Allah nak bantu atau tidak ini? Tetapi mereka itu memilih untuk terus percaya. Apakah jawapan Allah pada akhir ayat itu?
“…(ketahuilah) sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Kenapa kamu tidak memandang kepada Musa?
Nabi Musa AS menunjukkan kepada kita contoh tertinggi dalam pergantungan kepada Allah SWT. Dia yang diarahkan oleh Allah SWT untuk membawa seluruh Bani Israel melarikan diri dari Firaun di tengah malam, telah dihalakan oleh Allah SWT ke lautan.
Pada waktu Subuh, mereka tersedar bahawa mereka telah tersesat bila berada di hadapan laut. Di belakang mereka ketika itu Firaun dan bala tenteranya. Mereka tersepit. Melihat keadaan ini, Bani Israel hilang kepercayaan kepada Allah dan Nabi Musa. Kalangan mereka ada yang hendak menyerah diri, ada yang memaki Musa.
“Setelah kedua-dua kumpulan itu melihat sesama mereka, berkatalah orang-orang Musa: Sesungguhnya kita akan ditawan!” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 61.
Ya. Berada di hadapan laut tanpa boleh merentasinya. Di belakang pula Firaun yang siap untuk menebas kepala mereka.
Tetapi apakah reaksi Musa ketika situasi ini berlaku?
“Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 62.
Sesekali tidak! Sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk!
Inilah dia Musa AS. Telah tersepit di antara lautan dan Firaun yang mengganas. Tidak pula dia berkata: “Ya Allah, kenapalah Kau buat aku macam ini? Kau suruh aku bawa kaum aku keluar, tapi Kau halakan aku ke laut. Kenapa?”
Tidak. Dia tidak berkata begitu. Dia memilih untuk terus meyakini. Apakah balasan kepercayaannya terhadap Allah itu?
“Lalu Kami(Allah) wahyukan kepada Musa: Pukullah tongkatmu itu. Setelah dipukul, maka terbelahlah laut…” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 63.
Lihat. Lihat. Lihat wahai orang-orang yang hendak berputus asa.
Apakah di hadapanmu laut dan di belakangmu Firaun yang ingin membunuhmu?
Sentiasa masih ada harapan. Allah bersama-sama kita memberikan petunjuk. Tinggal kita sahaja tidak meyakini-Nya.
Penutup: Bergantung dengan-Nya tiada kecewa.
Ujian adalah lumrah. Baik diuji dengan bencana, atau diuji dengan dosa yang tidak mampu ditinggalkan. Atau sekalipun diuji dengan kesenangan yang melemaskan.
Jangan berputus asa. Jangan berputus asa untuk melakukan perubahan. Jangan putus asa untuk terus melakukan kebaikan. Jangan putus asa untuk menjadi manusia yang baik. Jangan berputus asa untuk meninggalkan keburukan. Usaha dan usaha lagi.
Yakin kepada Allah SWT. Berputus asa samalah dengan kita tidak lagi meyakini-Nya. Sebab itu, Allah amat membenci mereka yang berputus asa. Rahmat Allah sudah sangat luas. Justeru di manakah ruang kita hendak berputus asa kepada-Nya?
Kita langsung tiada alasan untuk berputus asa hakikatnya.
Walau terdorong ke pinggir gaung, kita tetap terus yakin kepada-Nya.
Yang terdorong hingga ke pinggir gaung itu sendiri adalah satu ujian.
Maka percayalah.
“Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 62.
Komik: Bekerja
Bekerjalah. Beramallah.
Maka keajaiban akan menyapa dari arah tak terduga.
Mulailah.
Kerana dalam keberanian memulai itulah letaknya kemudahan.
Bukan soal punya dan tak punya.
Mampu atau tak mampu.
Miskim atau kaya.
Kita bekerja, kita beramal.
Kerana bekerja dan beramal adalah bentuk kesyukuran yang terindah.
“Bekerjalah kalian, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang mukmin akan melihat amal-amal kalian itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada apa yang telah kamu kerjakan.” (AQ At-Taubah: 105)
Mahfuzhat masyur itu begitu menggugah.
“bekerjalah untuk duniamu”
dekimian dikatakan;
“Seolah engkau akan hidup abadi.
Dan beramallah untuk akhiratmu,
seakan engkau akan mati esok hari.”
Beramallah, bekerjalah.
Maka Allah, Rasul dan org-org beriman akan melihat amal kita dengan senyum dan bahagia….
[Petikan dari buku Dalam Dekapan Ukhuwah: Salim A. Fillah]
Ya Allah, kuatkan kami dengan Islam.
Ya Allah, kuatkan Islam dengan kami.
Mari menjadi hamba!
Komik: Husnuzzon
English Column: Your Birthday, Your Day
“Beyond your birthday”
Picture by http://skreened.com/ (click here for image link)
English Column: Your Birthday, Your Day
Long long time ago, during my high school days, we were always reminded that, once in a while we need to self-introspect ourselves. The term used was Musahabah.
The concept similar to muhasabah is very much found in other places under different names. Like the “postmortem” after a surgery or after a program. Like “The Annual General Meeting” AGM of an association to restructure their organizational chart and almanac. Like the “Family Day” of a company and “Retreat” of a training consultancy.
The notion is the same or almost the same, to reconstruct, reconfigure, to learn from past mistakes, to energize, to refresh, to reflect and etc.
Self-introspection can be made a daily basis or a yearly basis, depends on how frequent it is needed. The failure to do so might distort our vision and mission in life, it might slower our pace, it might make us handicap.
Sometimes when it rains, even though how busy you are, you stop for a while to inhale the crisp and clean cool breeze just to clear your mind up for a second. These couple of seconds energizes your inner strength and enabling you to finish the job at hand.
Life is a mirror. When we look at life, we see ourselves.
My Yearly Muhasabah
I like to celebrate my birthday on my own. My birthday date is hidden from my Facebook profile. I dislike people writing on my timeline happy birthday.
To hope for people to give me birthday wishes or presents or birthday cakes with a cherry on top and lighted candles is not my priority.
If they want to do so, I’d just welcome them. If they don’t want to, I have nothing against them.
To me, my birthday is my day. I usually go to somewhere exclusive and treat myself something special I rarely get. Like going to Secret Recipe and eat several slices of “Chocolate Indulgence” or to Subway and eat two foot-long sub of the day or go to the movie cinema alone and watch any movie on air.
I only get to eat at exclusive restaurants usually when a friend wants to treat me. That’s why I have to save money for my birthday alone.
My birthday is my muhasabah. A time when I jot down my life accomplishments, how far have I progressed?
Have I done my best to be the best?
From what I have achieved so far in life, have I really gone all out?
Have I improved from last time’s birthday? Or am I still at the same level?
Have I really maximized my potential, my resources to reach my target in life?
Have my reading, my knowledge improved?
These are the questions I always ask myself each time I celebrate my birthday.
What have you achieved in the 24 years of your life?
I know it is not much.
I haven’t finished my bachelor’s degree. I haven’t published any books. I haven’t gotten married. I have no children.
But there are some achievements worth sharing. As a free style poetry performer, my greatest accomplishment was to perform on stage my poem “Bring that Peace, Break the Siege” during the Malam Puisi Gaza II on May 6th 2011 at Rumah PENA.
I was the only performer who performed a poem in English. After I performed, the great national poet, A. Samad Said performed his poem.
My dream one day is to perform Spoken Word Poetry at TED talks. That is a long way ahead. Right now, Alhamdulillah, people have invited me to perform poetry here and there.
One day, I will write publish a compilation of my poems and it’ll replace the existing English literature for schools.
With my profession as a writer-cum-poetry performer, I feel blessed to be able to help my fellow IIUM colleagues on their respective researches.
Last Semester
An IIUM student approached me to ask for my permission to translate my short stories into Arabic. Alhamdulillah she got one of highest marks in class.
A group of IIUM Bachelor of Arabic students once asked for my permission to translate my poem “A Gift for me” into Malay and Arabic. They had to perform it in class in three languages: Malay, English and Arabic. The lecturer’s comment on the poem was “ajib”.
This Semester
Last week, a group of Psychology students approached me to be part of their study on the perception of people on Street Dakwah.
Improve
I know a friend who has written 25 books and he is the same age of me. He usually shares with his audience whenever he’s delivering a talk:
“I aimed to write one book one year. But my plan failed, I manage to write five books a year.”
“I aimed to get married at the age of 26 but I failed. I got married at the age of 23.”
“I aimed to finish my studies in 2013, but I finished it in 2012.”
Despite our ‘busy’ life schedule, there are many instances where we are actually free but we tend to waste it with something unproductive. Then after some time, we will regret by not utilizing the time we had with a more beneficial.
“Every year on your birthday, you get a chance to start new” – Sammy Hagar.
A year is 356 days. That is equivalent to 8, 544 hours. Imagine if we carefully manage all the abundant hours we have in a year, we will not feel ashamed when our next birthday comes.
November 28, 2013
Untuk Kita Pendosa – Asas-asas Menghidupkan Hati.
Menghidupkan hati. Tidak semudah menghidupkan api pakai pemetik api. Semestinya hendak menghidupkan hati, memerlukan usaha dan pengorbanan.
Hati adalah milik Allah SWT, kematian hati adalah satu perkara yang menakutkan bagi insan yang bergerak mencari keredhaan Allah SWT dalam kehidupannya.
Mungkin ramai tercari-cari, bagaimana hendak melepaskan diri dari lubang dosa, seterusnya membawa diri ke tingkatan yang lebih baik.
Saya punya beberapa langkah sebagai resepi.
Sekadar berkongsi.
Semoga ini memberikan kekuatan kepada yang mencari keredhaan Ilahi.
Perkara asas, jangan tinggal.
Resepi utama dalam menghidupkan hati adalah, menjaga perkara-perkara asas. Di dalam rutin seharian kita sebagai manusia yang beriman, apakah perkara asas?
1. Solat Fardhu.
2. Membaca Al-Quran.
Dua perkara ini, jangan sesekali tinggalkan.
Di dalam seharian, solat fardhu adalah prioriti. Memang kita boleh solat sehingga akhir waktu, tetapi apabila kita me’manja’kan diri kita dengan me’ringan’kan urusan terpenting kita dengan Allah SWT, maka di situ syaitan akan menyusup.
Percantikkan solat fardhu kita. Solat dengan tertib, cuba tingkatkan kualitinya dengan khusyuk, dan rasailah kenikmatan dalam segenap pergerakannya. Jangan laju-lajukan, jangan cepat-cepatkan. Biarkan solat itu flow sendiri, dan kita yang mengikutinya.
Berkenaan dengan Al-Quran. Al-Quran adalah Kalam Allah, mukjizat kepada ummat. Di dalamnya ada penawar-penawar hati, bahkan lenggok aturannya sahaja sudah boleh mendamaikan jiwa.
Maka tetapkanlah dalam sehari, waktu untuk membacanya. Paling kurang dua muka surat sehari. Maka jika anda istqomah, dalam dua minggu anda sudah boleh menamatkan satu juzu’. Ansur maju.
Solat dan Al-Quran, kedua-duanya datang dari langit.
Ia makanan UTAMA kepada roh kita, yang juga berasal dari langit nan tinggi.
Satu lagi perkara penting jangan sekali ditinggalkan ~ senjata insan.
Biasanya, manusia memandang remeh akan hal yang satu ini.
Apakah dia?
Doa.
Ya. Mahu tidak mahu, sekiranya kita mahu menghidupkan jiwa kita, menyalurkan kekuatan ke dalam hati kita, hendaklah kita istiqomah dalam berdoa kepada Allah SWT. Jangan ditinggalkan sesekali. Bahkan buat berkali-kali. Paling kurang setiap kali lepas solat, berdoalah.
Tidak kisah dalam bahasa apa pun. Mintalah kepada Allah.
Sesungguhnya meminta, adalah tanda kerendahan hati kita kepadaNya.
Mengadu kepada Allah akan kelemahan diri. Minta kepada Allah segala apa yang dihajati. Kemudian mendoakan sesiapa yang tersayang di dalam kehidupan ini.
Berikan tambahan-tambahan yang ringan.
Ibarat benteng pertahanan. Sekiranya hendak bertahan lebih lama, perlulah bentengnya lebih tebal. Di dalam dunia yang serba mengasak ini, tiga perkara tadi semata-mata tidak cukup.
Berikanlah tambahan-tambahan yang ringan. Contoh mudah: Solat sunat Dhuha, dan dua rakaat sebelum tidur untuk memohon ampun kepada Allah dan menyuarakan hajat diri kepadaNya.
Perkara lain adalah sedekah. Mungkin boleh disiplinkan diri, menderma seminggu RM1 dan sebagainya.
Begitulah. Ringan-ringan.
Booster dalam menghidupakn hati.
Sesungguhnya, kambing yang keluar dari kumpulannya akan lebih mudah dibaham serigala. Manusia yang bersendiri, lebih mudah sujud kepada berhala. Berhala apa? Berhala nafsu dan dunia.
Maka ini saranan saya yang teramat saya tekankan. Luangkanlah masa duduk bersama orang yang soleh. Carilah rakan-rakan yang baik, yang apabila kamu bersamanya, dia membawa kamu kepada Allah SWT. Banyakkan waktu bersama mereka. Banyakkan perkongsian dengan mereka. Jika ada program-program yang mereka anjurkan, usahakan diri untuk sertai.
Ini akan menambah kekuatan hati, dan memperkuatkan perlindungan di sekeliling diri.
Penutup: InsyaAllah, sekiranya dilazimi, kita akan terasa seperti dilindungi.
Itu adalah perkara-perkara basic. Asas dalam menjaga kesihatan jiwa dan menghidupkan hati. Dalam apa jua peringkat umur, perkara-perkara inilah yang perlu diperhati.
Mulakan dengan yang pertama saya ceritakan tadi. Kemudian tambah dan tambah. Perlahan-lahan.
Sekiranya anda gandingkan artikel ini, dengan artikel Cara Efektif Meninggalkan Dosa, maka anda akan dapat memerhatikan Sinerginya. Percayalah. Usaha meninggalkan dosa semata-mata, tidak akan membawa anda ke mana-mana.
Tetapi anda akan mendapat tolakan luar biasa, apabila anda meninggalkan dosa, pada masa yang sama anda berusaha melaksanakan perkara-perkara di atas ini.
Sekiranya semua perkara asas ini anda lazimi, pastinya anda akan terasa seperti dilindungi.