Roslan Hamid's Blog, page 51

July 3, 2021

Zulkaedah 23, 1442: (Semarak Haji)...Kusaksikan Keajaiban Tanah Suci

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)


Alhamdulillah buku penulis ini kedapatan di sejumlah perpustakaan desa. Ini sinopsis buku itu di 

Perpustakaan Desa Kampung Pangkal Petai Dalam, Machang, Kelantan



Tajuk : Kusaksikan Keajaiban Tanah Suci

ISBN : 9789673610068Penulis : Roslan HamidBuku ini mengisahkan pengalaman kepergian penulis menunaikan ibadat haji di Mekah. Ia adalah memori yang mahu dikongsikan kerana ia begitu signifikan untuk dikenang.Sementelah di musim PKP seluruh dunia sekarang yang tidak membenarkan masyarakat dunia mengadakan ibadah haji kecuali rakyat tempatan dan yang dipilih.Oleh itu, buku ini sangatlah berjasa kerana orang ramai dapat menghayati perjuangan muslimin dan muslimat dalam menunaikan rukun Islam yang satu ini. Semoga dunia kembali kepada keadaan asal yang selamat.#perustakaandesazond03kelantan
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 03, 2021 09:28

Zulkaedah 23, 1442: Kusaksikan Keajaiban Tanah Suci

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)


Alhamdulillah buku penulis ini kedapatan di sejumlah perpustakaan desa. Ini sinopsis buku itu di 

Perpustakaan Desa Kampung Pangkal Petai Dalam, Machang, Kelantan



Tajuk : Kusaksikan Keajaiban Tanah Suci

ISBN : 9789673610068Penulis : Roslan HamidBuku ini mengisahkan pengalaman kepergian penulis menunaikan ibadat haji di Mekah. Ia adalah memori yang mahu dikongsikan kerana ia begitu signifikan untuk dikenang.Sementelah di musim PKP seluruh dunia sekarang yang tidak membenarkan masyarakat dunia mengadakan ibadah haji kecuali rakyat tempatan dan yang dipilih.Oleh itu, buku ini sangatlah berjasa kerana orang ramai dapat menghayati perjuangan muslimin dan muslimat dalam menunaikan rukun Islam yang satu ini. Semoga dunia kembali kepada keadaan asal yang selamat.#perustakaandesazond03kelantan
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 03, 2021 09:28

July 2, 2021

Zulkaedah 22, 1442: "Betul tu Bang, ikan perlukan basikal..."

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya ialah waktu ia sujud, oleh kerananya maka perbanyaklah doa ketika itu." (Sahih Muslim)


KIRA-KIRA 20 tahun lalu, antara buku terlaris di Amerika Syarikat (US bestseller) adalah 'The Surrendered Wife' (Isteri Yang Menyerah) karya Laura Doyle. Saya ada membuat komentar mengenai hal ini dalam salah satu artikel saya.  


Kinokuniya yang memasarkan buku ini mencatatkan: The Surrendered Wife : A Practical Guide for Finding Intimacy, Passion, and Peace with a Man [Paperback] by Doyle, Laura (pembaca boleh membuat pencarian di internet).


Mengenai sinopsis buku dicatatkan: "Explains how women can build a harmonious marriage by learning to trust their husbands, express their own needs while respecting their husband's choices, and giving up unnecessary control and responsibility." (Membicarakan bagaimana isteri boleh membina sebuah perkahwinan harmonis dengan belajar memberi kepercayaan kepada suami, meluahkan keperluan mereka di samping menghormati pilihan suami dan melepaskan kawalan dan tanggungjawab tidak diperlukan).


Sebagai buku terlaris di Amerika apatah lagi membicarakan sebuah isu kontroversial, tentulah ada banyak pihak memberi komentar. The Observer ada mencatatkan: "So a fish does need a bicycle'...according to a new US bestseller, there's only one way to keep Mr Right - just don't tell him when he's wrong."


(Menurut buku terlaris di Amerika (ketika itu), hanya ada satu cara untuk mengekalkan kasih sayang suami anda - jangan tegur jika dia membuat kesilapan. Suami anda mungkin berkata seekor ikan itu memerlukan sebuah basikal dan sekalipun kenyataan itu 'betul-betul bangang' (bodoh = tolol)). anda sebagai isteri mengiyakan atau diamlah sahaja).


Buku dengan cetakan pertama habis 100,000 naskhah dalam masa singkat, menceritakan detik cemas Laura apabila mendapati suaminya, John, 'membuang tabiat' - menghabiskan banyak masa menonton televisyen bagi mengelak daripada bercakap dengan beliau.


Laura mula 'muhasabah' diri, dan mendapati pasangan paling bahagia di wilayah kediaman beliau di California adalah membabitkan si isteri yang paling patuh kepada suaminya.


Beliau bertekad untuk menjaga lidahnya, sentiasa bersopan, bermuka manis, menyediakan makanan, menuangkan minuman, menghormati, malah memandikan (bukankah ada diriwayatkan Nabi Muhammad s.a.w. dan isteri baginda. Aisyah, pernah mandi bersama) serta membiarkan John membuat keputusan - persis seorang suami tradisional.


Hasilnya?


Laura tersangat berjaya sehingga ramai isteri datang 'berguru' dengan beliau menyebabkan dia terpaksa menganjurkan seminar mengenai 'penemuannya' itu.


Jelaslah seorang suami (lelaki) tak kira di Barat atau Timur mendambakan isteri yang dapat membelai tetapi tidak mengawal kehidupannya. Pakar berkata, kepatuhan seorang isteri adalah kunci kejayaan sesebuah rumah tangga. 


Bagaimanapun Laura memberi ingatan keras bahawa 'penyerahan' hanya perlu diberikan kepada 'lelaki baik'. "Jangan sesekali 'menyerah' kepada lelaki yang mendera kamu dan anak kamu secara fizikal, terbabit dalam penagihan bahan bahaya ataupun yang tidak setia," tulis Laura.


Buku Laura secara jelas menyatakan seorang isteri atau suami perlu menyatakan kasih sayangnya pada masa itu juga, Jangan tunggu lama-lama, sehingga suami atau isteri sudah melarikan diri atau sudah tiada di dunia lagi (mati), baharu mahu menyata atau membuktikan kasih sayang.


Kita tinggalkan kisah Laura dengan pendekatan 'buat-buat bodoh' seorang isteri (wanita) itu sebentar, untuk membicarakan secebis bab rumah tangga dalam Islam.  Apakah rahsia perkahwinan sehingga boleh berkekalan ke akhir hayat? Seorang ustaz berkata Allah SWT kurniakan mawaddah dan rahmah kepada pasangan suami isteri. Apakah mawaddah dan rahmah itu?


Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah SWT berfirman, yang maksudnya: "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir."


Perkara yang membolehkan perempuan dan lelaki bercampur jika sudah suka sama suka adalah nikah. Selepas itu buatlah apa yang kamu mahu. Kasih sayang pada waktu muda inilah (bergetah kata orang sekarang) namanya mawaddah.


Mawaddah ini termasuklah keinginan seks yang membolehkan kesinambungan kepada zuriat manusia. Kasih dan sayang dan seks menjadi agenda; semuanya indah sebab kedua-duanya masih muda, masih bergetah.


Namun manusia daripada muda menjadi tua. Daripada wajah dan 'body' yang 'solid', anggota badan sudah mulai kendur. Yang perempuan lagi cepat proses penuaannya.  Jadi pada usia tua ini, apakah yang dapat menyelamatkan rumah tangga pasangan tadi. Itulah rahmah, kasih sayang peringkat tertinggi yang tidak mengenal lagi batasan fizikal. 


Allah Taala telah bukakan perasaan belas kasihan antara satu sama lain, antara suami dan isteri. Betapa Pemurahnya Yang Maha Kuasa, dikurniakannya manusia itu mawaddah dan rahmah. Cinta yang meluap-luap dengan iringan nafsu ketika muda, bertukar kepada rahmah, kemuncak cinta dan kasih sayang suami isteri yang berpegang teguh kepada janji untuk sama-sama mendapatkan syurga-Nya. Bukankah itu cita-cita setiap manusia beriman? Yakinilah hanya iman dapat menyelamatkan sesebuah rumah tangga hingga ke janah..


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 02, 2021 16:09

July 1, 2021

Zulkaedah 21, 1442: Dosa kepada ibu bapa dibayar 'tunai'...(U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)


DENGAN melihat Kaabah saja seseorang itu sudah mendapat pahala...dia akan diganjari oleh Allah SWT. Ini kerana Allah SWT menjanjikan rahmat kepada orang tawaf, solat dan memandang Kaabah.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud Allah SWT menurunkan 120 rahmat setiap hari, diturunkan kepada Kaabah 60 rahmat untuk orang tawaf, 40 rahmat untuk solat dan 20 rahmat untuk orang memandangnya.


Ya, tanpa berbuat apa-apa, hanya memandang Kaabah saja sudah meraih keuntungan besar, namun persoalannya di tanah air selepas menunaikan haji terutama bagi golongan 'veteran' yang sudah pencen, adakah peluang bagi kita untuk menatap Kaabah secara 'live' terutama pada pandemik Covid-19 bagi mendapat kelebihan ini. Gambar Kaabah yang digantung di dinding atau dalam siaran televisyen bolehlah kita lihat, tetapi apakah itu berpahala?


Namun ada amalan lain 'kalau tengok saja (selain Kaabah) sudah dapat pahala' yang boleh diusahakan semua orang berdasarkan sebuah hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat wajah ibu bapa, melihat al-Quran dan melihat lautan." (Riwayat Abu Nuaim)


Apa yang ingin ditekankan di sini adalah tawaran untuk mendapat pahala dengan melihat ibu bapa kita seperti ditazkirahkan seorang ustaz dalam satu majlis yang penulis ikuti baru-baru ini.


Katanya, ibu bapa terutama yang sudah terlalu tua benar-benar berharap anak-anak di perantauan menjengok mereka terutama pada hari kebesaran Islam. Tetapi mungkin tak boleh masa Covid-19 ini.


Bagi mengukur hati budi seorang anak katanya, adakah si anak yang menelefon 'orang tua' bagi bertanya khabar atau si ibu dan bapa yang 'menyibuk' menelefon anak dan cucu.


Kalau si ibu yang 'menyibuk' menelefon si anak tetapi tidak bagi si anak, membayangkan si anak sudah mula melupakan ibu bapanya.


Menjelang lebaran misalnya, mungkin si ibu akan bertanya, balik tak raya nanti (dahululah) yang mungkin akan dijawab oleh si anak; "Mak saya sibuk ni (sibuk apa selepas pencen?), tak dapat balik, mungkin raya tahun depan kot!"


Jawapan ini, kata sang ustaz, akan membuat hati seorang ibu luruh, bagi orang tua yang cukup sensitif dia sudah dapat rasakan 'mungkin ini Ramadan dan Aidilfitrinya yang terakhir'.


Ingat, kata sang ustaz, jika inilah jawapan yang kita beri, dikhuatiri 20 atau 30 tahun nanti, anak kita pula akan memberi jawapan yang sama kepada kita.


"Biasanya dosa kepada ibu bapa, Allah Taala akan bayar 'cash' di dunia ini. Sebelum pembalasan di akhirat apa saja perbuatan kurang baik kita kepada ibu bapa akan ditunjukkan balasannya di dunia lagi," tegasnya.


Mungkin jika anaknya tertangguh-tangguh untuk balik, hanya dua batu nesan kaku saja yang dapat ditatapnya. Menatap tanah perkuburan sudah pasti tidak sama dengan menatap wajah tua ibunya yang Allah SWT sudah sediakan pahala seperti yang termaktub dalam hadis.


Memang jauh bezanya menatap wajah si ibu atau ayah berbanding batu nesan mereka. Seorang sahabat saya bercerita balik kampung tidak bererti lagi bagi dirinya selepas kedua-dua orang tuanya meninggal dunia. 


"Balik kampung pun buat apa, rumah saudara mara yang ada takkan sama dengan rumah mak bapak kita sendiri," katanya.


Oleh itu bagi mereka yang masih ada ayah bonda atau salah seorang daripadanya, baliklah, kata sang ustaz. "Jengoklah mereka, peluklah mereka selagi mereka masih ada. 


"Rebutlah kesempatan ketika mereka masih hidup kerana ramai anak-anak yang meraung menangis menyesal perbuatan mereka selepas orang tua sudah tiada," katanya.


Beliau berkata berbaktilah bersungguh-sungguh tatkala ibu bapa masih ada. Gunakan segala kesempatan sementara mereka hidup.


Namun bagi yang sudah kehilangan ibu bapa, mereka juga boleh berbakti dengan menjadi anak salih yang sentiasa mendoakan kedua-duanya, melakukan kebaikan seperti bersedekah atas nama mereka, mengeratkan siratulrahim sesama anggota keluarga serta berbuat baik kepada sahabat mereka, kata ustaz.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 01, 2021 16:19

June 30, 2021

Zulkaedah 20, 1442: Kian ramai 'jiwa kacau'...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


SEKARANG ini semakin ramai orang mengalami sakit jiwa. Ramai rakyat kini menderita 'jiwa kacau' - persoalannya apakah penyebab perkembangan menakutkan ini?


Menurut Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah di Perlis, Dr Ruzita Jamaluddin penyakit mental dijangka menjadi kedua tertinggi dihidapi rakyat Malaysia selepas penyakit jantung apatah sekarang ketika pandemik Covid-19.


Beliau berkata laporan statistik mengenai penyakit itu sangat membimbangkan kerana pada 2008, sejumlah 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan.


"Malah jumlah itu terus meningkat di mana sebanyak 2,000 kes baharu schizophrenia dilaporkan setiap tahun. Lebih membimbangkan jumlah ini berkemungkinan tidak menggambarkan bilangan sebenar.


"Masalah ini bertambah rumit apabila kurangnya pengetahuan berkaitan bahaya penyakit ini dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai memilih tidak mendapatkan rawatan atau hanya merawat secara tradisional," katanya.


Menurutnya, masalah kemurungan dipercayai menjadi punca utama kepada penyakit mental dan kebelakangan ini, media melaporkan banyak kes bunuh diri, mencederakan diri atau orang lain.


“Kemurungan kronik yang antaranya disebabkan tekanan hidup boleh menyebabkan pesakit mengalami halusinasi dan keinginan mencedera atau membunuh diri, sekiranya tidak dirawat segera," katanya.


Ya, tekanan hidup seperti keadaan ekonomi rumah tangga yang tak stabil membawa kepada pelbagai masalah. Ada laporan menyebut hal ini menyumbang kepada jumlah penceraian suami isteri yang tinggi - lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai antara 2011-2015. 


Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun 2016. Berdasarkan statistik itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam (6) kes bagi setiap jam!


Dari segi ekonomi kenapa suami isteri bercerai? Ada suami tidak mampu atau kurang memberi nafkhah menyebabkan berlaku 'perang rumah tangga'.Kemudian ada keluarga dihimpit hutang keliling pinggang - terdapat laporan menyebut ada suami membunuh diri disebabkan masalah ini.


Masalah ekonomi bukan menghimpit orang berkeluarga tetapi juga orang bujang. Misalnya anak muda yang hendak berkahwin, mereka perlukan puluhan ribu ringgit untuk melunaskan hal-hal seperti wang hantaran dan kenduri perkahwinan (dululah) sedangkan sekarang ini ramai muda-mudi hatta graduan pun tiada kerja.


Ketidakmampuan rakyat dari segi ekonomi ini sebahagiannya disebabkan tata kelola negara yang bermasalah; kenaikan harga barangan keperluan 'angkara' pengenaan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan, kenaikan harga minyak dan tambang pengangkutan awam.


Demikian rakyat begitu 'stress' (termasuk perlu melakukan dua atau tiga kerja)...hal ini menyumbangkan kepada sakit jiwa dan bagi yang gagal mengawalnya akan memasuki senarai ratusan ribu pesakit psikiatri sekarang ini. Sungguh membimbangkan penyakit 'jiwa kacau' ini akan berada di kedudukan kedua selepas penyakit jantung pada 2020!


Dari segi keagamaan pula, bagaimana menghadapi ancaman 'jiwa kacau' ini? Minda perlu direhatkan dan salah satu caranya adalah melalui solat. Sepotong ayat Quran bermaksud: “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah (berjiwa kacau) lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia berkeluh kesah. Apabila ia mendapat kebaikan, ia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang tetap mengerjakan solatnya.” (Al-Ma’ārij 19-22)


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 30, 2021 16:30

June 29, 2021

Zulkaedah 19, 1442: Pemimpin; usah zalimi diri sendiri...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Demi masa sesungguh manusia itu dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. (Al-Asr 1-4)



BIJAK pandai berkata rasa hati, sikap, perancangan, pelan tindakan dan akhirnya tindakan seseorang apabila melihat sesuatu menggambarkan dirinya yang sebenar. Ambil contoh mudah laut; bagaimana cara seseorang itu melihat anugerah alam (Allah SWT) ini?


Berdiri di pantai (lokasi) yang sama, seorang pencinta alam (seperti pelukis) mungkin merenung jauh ke laut, dia melihat keindahan pemandangan sang suria terbenam di ufuk barat lantas memuji Yang Maha Pencipta; seorang pengkritik mungkin tidak merenung jauh ke laut sebalik melihat di pantai dan berkata, "alangkah kotornya pantai ini...penuh dengan barangan buangan!"


Seorang kaki pancing apabila melihat laut, mungkin akan berkata, "sekarang musim banyak ikan, besok aku akan turun ke laut"; seorang penyelam mutiara atau pencari harta karun berbisik, "laut sekarang tenang, besok aku akan menyelam..."; seorang 'jurutera minyak' mungkin berbisik, "esok aku akan berangkat ke pelantar minyak...selamat tinggal wahai anak isteriku" manakala seorang penakluk berkata kepada tenteranya, "di sebarang laut ini ada wilayah untuk kita tawan."


Demikian juga pemimpin; apabila melihat 'kuasa di tangannya' ada yang berbisik; "hah ini peluang untuk aku mencurah bakti pada rakyat"; ada yang berkata-kata dalam hatinya, "inilah peluang untuk aku mendapatkan rumah besar, kereta besar dan segala yang besar"; ada yang berkata, "inilah peluang untuk aku balas dendam serta memadamkan rekod jenayahku (tutup kejahatan)" dan yang beriman pula berkata-kata, "kuasa ini amanah Allah, aku akan gunakan untuk berbakti kepada-Nya."


Bercakap mengenai kuasa ini, adalah lumrah untuk yang berkuasa 'menindas' yang kurang berkuasa. Perhatikan bahawa di pejabat bos mendera pekerja, apabila balik rumah si pekerja melepaskan geram kepada isteri, si isteri pula memarahi anak, si anak pula menendang kucing dan kucing pula membalas dendam dengan 'mempermain-mainkan' tikus.


Demikianlah adat permainan dunia, yang kuat menindas yang lemah, yang lemah menindas yang lebih lemah dan yang lebih lemah menindas yang terlalu lemah. Adalah lumrah orang berkuasa menindas orang tidak berkuasa dan orang kaya menindas orang miskin. 


Dalam rumahtangga, ada ibu bapa yang mendera si anak, sehingga ada kes menyebabkan kematian si anak. Anak yang tidak mengerti apa-apa, dicucuh dengan puntung rokok, disimbah air panas dan aneka penderaan lain. Ada pula suami mendera isteri dan yang lebih takjub, ada isteri mendera suami. 


Di peringkat antarabangsa pula, negara berkuasa dan kaya menindas negara miskin. Tidak menghairankan jika ada negara berkuasa 'membuli' negara lemah. Dan bukanlah sesuatu yang luar biasa jika negara berkuasa dan kaya berpadu tenaga untuk terus berkuasa. 


Demikianlah manusia dan tamadunnya berpaksi kepada hukum rimba. Dunia bukan tempat hisab (amal baik dan jahat akan dihitung di akhirat), jadi selalulah berlaku ketidakadilan. Yang berkuasa selalunya terlepas manakala yang lemah dizalimi tetapi ingatlah bahawa hidup adalah ibarat roda - sekejap kita berada di atas dan sebentar lagi kita berada di bawah. Kalau kamu berkuasa hari ini, esok sedar-sedar saja awak 'tidak ada apa-apa lagi'. 


Kuasanya sebenarnya tidak berada di tangan seseorang atau sesuatu pihak buat selama-lamanya. Semuanya akan berakhir, hakikatnya kuasa di tangan seseorang atau pihak hanya sebentar saja. 


Seorang manusia itu tidak sentiasa akan kuat dan berkuasa. Yang muda akan tua, yang berkuasa akan lemah - semuanya menuju kemusnahan. Yang kuat dan berkuasa tadi akan menerima pembalasan masing-masing.


Orang yang mendera anaknya ketika si anak masih kecil, akan didera pula pada masa tuanya. Mungkin yang mendera itu si anaknya sendiri. 


Pemimpin yang melakukan kezaliman lambat-laun akan menerima pembalasannya. Ramai pemimpin ternama dan berkuasa dunia mati dalam keadaan penuh penghinaan. Pada zaman purba, nama-nama seperti Firaun, Hamman dan Qarun dicatatkan dalam al-Quran. 


Pada zaman moden ini, ramai pemimpin gah, mengakhiri kehidupan penuh penghinaan. Antaranya diktator Ferdinand Marcos, Idi Amin dan Shah Reza Pahlavi.  Muammar Gaddafi (Libya), Saddam Hussein (Iraq) serta Suharto (Indonesia) semuanya tersungkur penuh kehinaan. 


Tetapi insan dizalimi mati penuh penghormatan. Nama mereka terus subur, seolah-olah masih hidup di kalangan insan. Antara yang mencatat sejarah sedemikian ialah Syed Qutb, Hassan al-Banna, Hamka dan Maududdi. 


Ada peribahasa berbunyi, apa yang ditanam itulah yang akan dituai. Jika kezaliman yang ditanam, kezalimanlah yang akan diterimanya, jika kasih sayang ditanam, kasih sayanglah yang akan dituai. 


Sehubungan itu, diingatkan pada diri sendiri dan pembaca sekalian supaya muhasabah diri. Usahlah asyik menuduh orang lain zalim, sedangkan kita menzalimi diri sendiri - selepas mati tidak mungkin kita dihidupkan semula untuk menebus dosa kezaliman kita. 


Kepada pemimpin, koreksilah (cermin-cerminlah) diri - apatah aku ini zalim dan apakah nanti akan mengakhiri hidup seperti Muammar Gaddafi atau Saddam Hussein? Tolonglah, jangan 'syok sendiri' dengan kepimpinan kita kononnya dapat mensejahteraan rakyat sedangkan rakyat sudah meluat. Pergilah (berundur) sebelum rakyat memaksa awak pergi!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 29, 2021 16:25

June 28, 2021

Zulkaedah 18, 1442: Mayat dikambus dalam kubur itu adalah aku...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Orang yang menyakiti lelaki dan perempuan yang beriman dengan perbuatan yang tidak mereka lakukan maka sesungguhnya mereka memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata." (Maksud Ayat 58 Surah Al-Ahzab)


KES kematian Covid-19 terus meningkat. Sudah lebih 5,000 orang. Kepada yang sudah kembali ke rahmatullah, kita doakan agar roh mereka ditempatkan di kalangan orang beriman, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas mereka; kita yang masih bernafas ini insya-Allah tetap akan menyusuli mereka; hanya masa akan menentukan.


Kematian adalah iktibar terbaik bagi mereka yang hidup. Namun kebanyakan orang gagal mendapat pengajaran sebaliknya meratapi nasib diri sendiri dalam mereka meneruskan kesinambungan hidup selepas orang disayangi meninggal dunia.


Kerap ketika menatap laporan dalam akhbar berhubung sesuatu kematian, ada saya terbaca sahabat dan waris si mati meluahkan keluhan seperti “selepas ini tiada lagi kawan untuk bergurau” atau “bagaimana nasib saya selepas ini.”


Bagi ahli sufi, keadaan seperti ini menunjukkan bahawa kecenderungan seseorang manusia itu sentiasa memikirkan hal dirinya hatta sekalipun ketika mengenang saudara atau sahabatnya yang sudah meninggal dunia dan disemadikan. Jarang benar orang memikirkan apa sebenar dilalui oleh waris, sahabat dan saudara kita yang sudah meninggalkan itu di samping melaksanakan apa yang boleh dilakukan bagi membantu rohnya di alam sana.


Cuba kita salami kisah ahli sufi Hasan Al-Basri dan anak perempuan ini selepas dia kematian bapanya. Budak ini tidak mengeluh akan nasib dirinya selepas ditinggalkan (seperti bagaimana nasib saya selepas ini) sebaliknya mengenang nasib orang tuanya.


Hasan Al-Basri suatu ketika sedang duduk di depan rumahnya dan berlalulah iring-iringan jenazah di depan beliau. Di bawah keranda jenazah tersebut, ada seorang budak perempuan dengan rambut tidak tersisir. Kanak-kanak itu menangis. Hasan kemudian berdiri dan mengikuti rombongan jenazah itu. Budak itu berkata, ”wahai ayah, tidak bertemu lagi suatu hari seperti hari ini sepanjang usiaku.”


Hasan menjawab perkataan budak itu dengan berkata. ”Ayahmu tidak akan bertemu lagi pada hari lain seperti pada hari ini.”


Selepas melaksanakan solat jenazah , Hasan pulang. Esoknya Hasan duduk di depan rumahnya dan lewatlah budak itu sambil menangis hendak berziarah ke makam ayahnya. Hasan berkata, ”Sesungguhnya budak ini adalah orang yang diberi hikmah, maka saya akan mengikutinya.”


Ketika budak itu sampai ke makam ayahnya, Hasan segera bersembunyi di bawah pohon berduri. Budak itu memeluk makam ayahnya sehingga pipinya sampai menyentuh tanah. Dia itu berkata,” Wahai ayah, bagaimana engkau bermalam di dalam kubur yang gelap dan sendirian tanpa lampu dan teman? Wahai ayah, pada malam kemarin aku memberikan lampu untukmu, lalu siapa memberikan lampu untukmu tadi malam?


“Wahai ayah, pada malam kemarin aku yang memberikan tikar untukmu, lalu siapa yang memberikan tikar untukmu tadi malam? Wahai ayah, pada malam kelmarin aku yang memicit tangan dan kakimu,lalu siapa yang memicitmu tadi malam? Wahai ayah, pada malam kemarin aku yang memberimu minum, lalu siapakah yang memberimu minum tadi malam? Wahai ayah pada malam kemarin aku yang menyelimuti tubuhmu, lantas siapakah yang menyelimuti tadi malam? Wahai ayah pada kelmarin malam aku yang mengambilkan makanan jika engkau lapar padamu, lalu siapa yang mengambilkan makanan untukmu tadi malam?”


Hasan menangis dan mendekati budak itu sambil berkata,”Jangan engkau mengatakan demikian tetapi katakanlah,”Wahai ayah, kukafani engkau dengan sebaik-baik kain pembungkus, apakah engkau tetap memakai atau telah lepas daripadamu?”


“Wahai ayah,aku letakkan engkau di dalam kubur dalam keadaan utuh, apakah tubuhmu masih utuh atau sudah dimakan ulat? Wahai ayah,setiap orang akan ditanya di dalam kuburnya, apakah engkau bisa menjawabnya atau tidak?”


“Wahai ayah, kubur dapat menjadi luas atau sempit, apakah kuburmu menjadi luas atau sempit? Wahai ayah, kain kafan di dalam kubur diganti Allah dengan kafan syurga atau kafan neraka?”


“Wahai ayah, kuburan akan memeluk atau menghimpit penghuninya, lalu apakah engkau dipeluk atau dihimpit kubur? Wahai ayah, di kubur tiap orang akan menyesal kerana kejelekan amalnya atau sedikitnya kebaikan amalnya, apakah engkau menyesali kejelekan amalmu atau kurangnya kebaikan amalmu?”


“Wahai ayah, engkau benar-benar telah tiada, engkau tidak akan dapat bertemu lagi denganku sampai hari kiamat. Ya Allah ,janganlah Engkau menghalang-halangi keinginanku untuk bertemu dengan ayahku pada hari kiamat.”


Setelah kejadian itu, pulanglah Hasan beserta budak tersebut ke rumah mereka.


Jadi apakah iktibar kisah budak perempuan dan Hasan Basri dan kecenderungan kita untuk meratapi nasib diri sendiri selepas ditinggalkan orang tersayang? Sebenarnya kita sendiri bertanggungjawab terhadap diri sendiri.


Allah SWT berfirman dalam Ayat 46 Surah Al-Fussilat yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan amal salih maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barangsiapa berbuat jahat maka (dosanya) atas dirinya sendiri dan sekali-kali tidaklah Tuhanmu menganiaya hamba-Nya.”


Jadi beramal salih dan buatlah kebajikan sekuat mungkin, janganlah berharap untuk orang bertahlil akan diri kita selepas kematian kita kerana hakikatnya kebanyakan orang sibuk akan nasib diri masing-masing walaupun baru sebentar saja diri kita dikuburkan!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 28, 2021 16:31

June 27, 2021

Zulkaedah 17, 1442: Take time...(U)

In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful; blessings and peace be upon Prophet Muhammad s.a.w. 

Reflection

O ye who believe! Retalation is prescribed for you in the matter of the murdered; the freeman for the freeman, and the slave for the slave, and the female for the female. And for him who is forgiven somewhat by his (injured) brother, prosecution according to usage and payment unto him in kindness. This is an alleviation and a mercy from your Lord. He who transgresseth after this will have a painfull doom. (Al-Baqarah, 178) 


YOU never can tell what type of impact you may make on another's life by your actions or lack of it. Others too influenced us a lot; but factors that melt our hearts do not necessary be involving human beings but almost anything including functions, encounters, books and magazines. 


One day while visiting a relative who was admitted to a ward in Melaka Hospital, I came across a pamphlet with these soothing and inspirational words. Please read them slowly, taking your own sweet time to absorb the words into your heart and mind. 


Take Time 

Take time to think...it is the source of power,

Take time to play...it is secret of perpetual youth,

Take time to read...it is fountain of wisdom, 

Take time to pray...it is the greatest power on earth, 

Take time to love and be loved...it is God-given privilege, 

Take time to be friendly...it is the road to happiness, 

Take time to laugh...it is the music of the soul,

Take time to give...it is short a day to be selfish, 

Take time to work...it is the price of success, 

Take time to do charity...it is the key to heaven.


The key word here is ‘take time’. Don’t rush to do things just to complete it. Once I read I lovely article in a local daily entitled ‘How to live a simple and peaceful life’ in which the writer noted that in our daily lives, we often rush through tasks, trying to get them done, trying to finish as much as we can each day, speeding along to our next destination, and then leaving so that we can go to another one. 


At the end of the day, we realize what madness this all is. We often become exhausted and stressed out from the grind and the chaos and the business of the day. We don’t have time for what’s important to us, for what we really want to be doing, for spending time with loved ones, for doing things we are passionate about. 


It doesn’t have to be that way. It is possible to live a simple life, one where you enjoy each activity, where you‘re present in everything (or most things) you do, where you are content rather than rushing to finish things, writes the well-being guru. 


The guru also suggested that we slow down (take time as mentioned in the pamphlet I found at the hospital) and enjoy every task. Whatever you are doing, whether it’s a work task, eating, brushing your teeth, cooking dinner, driving to work; slow down. Enjoy whatever you are doing by paying attention, instead of thinking about other things. Be in the moment. 


Be in the moment and being present – this advise was also given by an ‘ustaz’ (religious teacher) who teaches in a ‘masjid’ near my house on how to concentrate when one is performing his/her ‘solat’ (prayers). 


Often during ‘solat’ our minds would stray, our bodies would be on our prayers mats perhaps in a row of congregators in ‘masjid’, but we would be thinking about worldly things such as our activities before ‘solat’ or plans to execute after performing the 'solat'. 


If this thing often happens to us, then we have to practice being present. One way to do it is to enjoy our tasks including performing ‘solat’. It is during ‘solat’ we have the opportunity to meet the King of Kings (Allah SWT). Isn’t it a pleasure to us if a king invites us to his palace to meet him in person? 



 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2021 09:28

June 26, 2021

Zulkaedah 16, 1442: Tanam lalang tak mungkin tumbuh padi...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


ANTARA DUA PANTUN INI, MANA LEBIH TEPAT?

1. 

Puas sudah kutanam padi,

Nenas juga ditanam orang;

Puas sudah kutanam budi,

Emas juga dipandang orang.

2.

Puas sudah kutanam padi,

Lalang juga memenuhi ladang,
Puas sudah kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.


SEORANG pembaca memberikan jawapan

Nun di akhirat menjadi taruhan,
Tempat kita merdeka selamanya,
Budi dan emas hanyalah ujian,
Tanda keadilan Yang Maha Kaya.


PADA usia 'tak berapa muda' ini, saya cuba bergaul dengan sebanyak mungkin golongan - daripada jemaah tabligh sehinggalah golongan geladangan termasuk pengemis di jalanan. Sungguh tidak mudah membuang rasa ego; sukar sekali untuk duduk-duduk bersama-sama golongan fukara ini yang amat dikasihi Rasulullah s.a.w.


Suatu hari ketika satu majlis ‘bayan’ jemaah tabligh, terdengar ungkapan ini yang begitu mengesankan hati saya. Kata si penyampai, kalau kita tanam lalang tak mungkin tumbuh padi; tetapi kalau kita tanam padi, insya-Allah lalang (menerung) akan tumbuh.


Apa yang dimaksudkannya, jika kita mengejar dunia (menanam lalang) tidak mungkin kita dapat hasil akhirat (padi) tetapi jika kita menanam benih akhirat (padi), insya-Allah kedua-duanya kita dapat. Malah dunia (lalang) akan tetap mengikut si pengejar akhirat.


Pengalaman saya ketika bertawaf di Kaabah, bacaan paling kerap kedengaran di kalangan jemaah adalah ‘Rabbana atina fiddunya hasanah, wafil akhirati hasana, waqina azabannar’ yang bermaksud “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat; dan peliharalah kami daripada seksa neraka.” (Surah Al-Baqarah, ayat 201)


Ya, koreksilah diri kita, marilah kita sama-sama berusaha mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat. Namun apa yang dapat disaksikan hari ini sebahagian besar manusia jadi pengejar dunia dan jarang benar memikirkan bahagian (saham) mereka di akhirat.


Marilah kita melihat contoh-contoh mudah dalam kehidupan bagi membuktikan kita ghairah mengejar dunia dan mengabaikan akhirat. Sebagai orang media, saya mengambil akhbar sebagai contoh. Dalam dunia penerbitan (termasuklah persuratkhabaran), malah dunia bisnes amnya, matlamat utama adalah untuk mendapat keuntungan – lagi besar lagi baik.


Sumber utama pendapatan akhbar adalah daripada jumlah jualan dan iklan. Bagi menarik pembaca (melariskan akhbar), antara kaedahnya adalah menyiarkan laporan sensasi dan penyiaran gambar artis terlondeh sana sini. Bagi iklan pula, penerbit jarang memikirkan soal haram, yang penting wang masuk. Jadi tidak hairanlah jika iklan perjudian seperti empat nombor ekor terus disiarkan akhbar. Akhbar laris, penerbit, peneraju dan wartawan berasa mereka berada di puncak dunia.


Demikian juga kisahnya dalam dunia penerbitan filem. Bagi memikat orang ramai menonton, diselitkan adegan ranjang dan artis-artis menonjolkan susuk tubuh masing-masing. Sebahagian besar daripada adegan dan aksi itu tidak perlu pun, ia hanya mahu dijadikan gimik atau daya tarikan semata-mata.


Jadi di sini, dapat dilihat betapa pihak-pihak berkaitan berlumba-lumba berusaha untuk mendapatkan bahagian mereka di dunia. Benar mereka boleh mendapatkan bahagian mereka di dunia seperti keuntungan besar seperti yang diidam-idamkan, tetapi bagaimana pula bahagian mereka di akhirat kelak?


Sebenarnya bahagian mereka di dunia itu pun menjadi sia-sia jika rezeki yang diperolehi tiada kebarakahan Allah SWT. Tidakkah kita insaf bahawa ada orang berpendapatan RM10,000 sebulan masih berkeluh kesah mereka tidak cukup wang sedangkan orang bergaji RM2,000 dapat membereskan urusan keluarga mereka dengan baik. Malah dapat menyimpan dan menunaikan haji.


Bagi insan yang sedar akan dosa dan pahala atas setiap apa yang mereka kerjakan; usaha mereka dapat dijadikan modal dalam meraih keuntungannya di akhirat nanti. Misalnya seorang penulis yang berdakwah melalui penanya, mengajak orang membuat kebajikan; selain wang upah didapatinya, balasan pahala juga menantinya di akhirat nanti.


Seseorang yang menulis artikel lucah atau fitnah atau seorang jurugambar mengambil gambar artis separuh bogel juga akan mendapat ganjaran di dunia dan akhirat; di dunia dalam bentuk wang ringgit juga (tetapi tanyalah sama duit itu barakah atau tidak) manakala di akhirat nanti balasan seksa yang tidak terhingga azabnya. Ini kerana dia telah menjual agamanya (melanggar hukam-hakam agama) semata-mata untuk mendapatkan sedikit keuntungan di dunia.


Orang yang melakukan maksiat membabitkan dirinya sendiri seperti melihat filem lucah tentunya tidak sama dosanya dengan si tukang pembuat dan penyebarnya. Demikian juga pengikut dan pemimpin – si pemimpin adalah lebih berdosa kerana telah menyesatkan begitu banyak orang.


Sama seperti pemimpin yang menyesatkan ribuan atau jutaan pengikut, orang media yang menjadi tukang fitnah atau penyebar gambar lucah juga akan menanggung dosa teramat berat kerana sebaran mereka menjangkaui ratusan ribu malah jutaan pembaca.


Jika sebuah akhbar dicetak 350,000 naskhah sehari, kemungkinan jumlah pembacanya 1,000,000 orang; jadi cuba bayangkan dosa yang terpaksa ditanggung jika 2,000,000 biji mata terjojol menatap gambar lucah yang mereka siarkan!


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 26, 2021 09:03

June 25, 2021

Zulkaedah 15, 1442: Jangan 'bisa' buat program tapi 'bisa' laksanakannya...(U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. 


Renungan


"Apabila kamu musafir di bumi ini, maka tidak merupakan dosa atas kamu mengqasar solat jika kamu takut akan fitnah orang-orang kafir." (Maksud ayat 101 Surah An-Nisa')



JAKARTA, malah hampir seluruh pulau Jawa panas membahang. Musim kemarau melanda bahagian Indonesia ini (artikel ditulis Oktober, 2014). Menurut imam sebuah 'musholla' (surau) di Bandung yang baru penulis kenali, Pak Rom, tiada hujan lebat di kawasannya sejak Aidilfitri lalu. Subhanallah, sudah tiga bulan. Sawah bendang sudah gersang, bukan saja manusia menderita, binatang pun kegelisahan malah mati.


Sedekah air - solusi darurat kekeringan -  demikian ditulis pada sebuah iklan besar akhbar Republika (Khamis, 23 Oktober) merayu orang ramai membantu 'rawan pangan' (mangsa kemarau). Wakil Gabenor Gorontalo, salah sebuah kawasan dilanda 'paceklik' (kemarau), dipetik sebagai berkata: "Pemerintah harus segera berbuat untuk meminimalkan dampak kekeringan, karena yang kena dampak adalah rakyat."


Iklan itu yang memetik hadis bermaksud: "Saad bin Ubadah r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w., 'wahai Rasulullah sedekah apa paling utama yang mana Rasulullah s.a.w. menjawab, 'memberi air' (sahih Abu Daud), organisasi sukarela ACT (Aksi Cepat Tanggap) dengan slogan 'Alirkan Bahagia' itu menyatakan: "Hampir 2 juta liter air bersih telah bahagiakan lebih dari 50,000 jiwa yang menderita akibat kekeringan di pelosok Indonesia.


"Posko darurat ACT di 20 provinsi terus mengirim suplai (supply) air bersih guna memenuhi kebutuhan hidup saudara sebangsa. Terima kasih atas kedermawanan anda. Bersama, kita alirkan bahagia melepas duka dahaga mereka."


Ya, ketika bencana kemarau melanda pulau Jawa, kuasa 'kepresidenan' Indonesia berpindah tangan daripada Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) kepada 'si tukang kayu' Joko Widowo (Jokowi) dan timbalannya (disebut wakil Presiden), Jusuf Kalla (JK). 


'Tim' (pasukan) Jokowi-JK membawa harapan kepada jutaan rakyat Indonesia. Namun benarkah begitu? Akhbar Indonesia malah di mimbar masjid pun, keras sekali kritikan mereka kepada presiden dan 'tim'nya. "Para pemimpin yang baru terpilih...jangan hanya bisa membuat program kerja baru...tapi bisa melaksanakannya," demikian 'laung' sebuah tulisan dalam akhbar Pikiran Rakyat pada 23 Oktober.


Jokowi yang memilih 34 kementerian untuk menjalankan pemerintahan lima tahun ke depan dengan melantik 18 menteri profesional dan 16 profesional parti, juga diingatkan dengan nasihat keras: "Kami butuh pemimpin jujur berpengalaman."


Sebuah kartun di ruangan Opini, Kompas tanggal 23 Oktober, menggambarkan Jokowi sedang memegang cangkul sedangkan Jusuf menolak kereta sorong dengan perkataan besar; BEKERJA, BEKERJA, BEKERJA. Ya Jokowi-JK bekerja keraslah untuk kemakmuran dan masa depan Indonesia yang kini dilanda pelbagai masalah domestik seperti kemarau panjang di pulau Jawa dan antarabangsa seperti tenaga kerja yang bertebaran di seluruh pelosok dunia termasuk di Malaysia.


Apapun belum 'tempoh berbulan madunya bermula' Jokowi  telah merencanakan pelbagai program baharu yang 'menggembarkan' sesetengah pihak di Indonesia; satu daripadanya 'tol laut'. Ini adalah sesuatu yang baharu sehingga pihak berkenaan 'melaung': "Konsep tol laut perlu diperjelas sehingga bisa segera diambil perencanaan pembangunan" dan "yang dimaksudkan tol laut itu apa?"


Ada pihak 'menginterpretasikan' tol laut sebagai projek mega perbaikan jalur transportasi laut; menghubungkan satu pulau dengan pulau lain dengan memperbanyak jumlah armada kapal dan perbaikan pelabuhan "yang bagi tujuan itu membutuhkan anggaran diperkirakan sebagai Rp 2,000 trilion!


Ya, bagi sesetengah pihak 'sungguh dahsyat' projek Jokowi itu; tetapi bagi rakyat 'biasa' Indonesia yang ditemui berkata, "ya daripada dulu sampai sekarang, pemimpin bisa menjanjikan program, banyak projek dijanjikan tetapi bagaimana pelaksanaannya?" Ya mereka mahu melihat hasilnya (iaitu perubahan kehidupan kepada yang lebih baik) dan inilah 'dibutuhkan' jutaan rakyat 'biasa' Indonesia.


Berbual dengan orang kebanyakan Indonesia, mereka menceritakan hal yang sama 'dari dulu sampai sekarang' - "pemimpin berubah tetapi rakyat tetap susah. 


Tetapi bukankah Jokowi itu seorang yang 'merakyat' (prihatin atau ambil tahu masalah orang kebanyakan misalnya ketika beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Solo)? Jawab seorang; "Merakyat, merakyat juga...kita kena tunggu untuk lihat hasilnya."


Seorang lagi berkata; "Ya pemimpin memang begitu. Belum jadi pemimpin pandai berjanji, sudah jadi pemimpin dia sudah ke mana..."


Malah seorang khatib dalam khutbah Jumaatnya keras berkata; "memang Jokowi itu seorang Muslim, tetapi 'tim'nya dipenuhi Muslim liberal, Muslim sosialis malah Muslim komunis...demikianlah betapa 'keras' dan 'bebas' arena sosial di Indonesia termasuk media massa dan pada perjumpaan ramai mengkritik kepimpinan negara termasuk Bapak Presiden sendiri!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 25, 2021 16:10

Roslan Hamid's Blog

Roslan Hamid
Roslan Hamid isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Hamid's blog with rss.