Hilal Asyraf's Blog, page 20
August 14, 2017
Apakah Doa Kita Didengari?
Berdoa itu adalah tanda ubudiah kita kepada Allah s.w.t.
Bila kita berdoa, kita pasti harap doa kita didengari dan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
Namun, bagaimana kita dapat menjadikan doa kita ini didengari dan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.?
Pastilah kita tidak tahu akan hal itu kerana itu hanya di bawah kekuasaan Allah s.w.t.
Tetapi, sekurang-kurangnya kita boleh memilih kemungkinan-kemungkinan paling dekat yang boleh menyampaikan kita kepada termakbul dan didengarinya doa kita.
Iaitulah dengan kita meneladani kebijakan doa yang diajar dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta teliti memilih waktu-waktu yang diajarkan oleh Nabi s.a.w.
Kebijakan Doa dan Pemilihan Waktu
a. Semasa dan Selepas melakukan ketaatan dan beramal kebaikan
Di dalam surah Al-Baqarah, Allah mencontohkan hal ini melalui kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail ketika mereka membangunkan Baitullah Al-Haram.
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah itu, sambal keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkau yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [2:127]
Cuba lihat ayat-ayat seterusnya selepas ayat ini di dalam Al-Quran, kita akan dapati Nabi Ibrahim a.s. terus-terusan berdoa memohon dari Allah s.w.t. untuk zuriatnya.
Beginilah kita boleh ambil pedoman iaitulah setelah kita melakukan kebaikan dan ketaatan, ia adalah waktu yang sangat baik. Sebab itu, jadikan hidup kita sentiasa dalam kebaikan dan ketaatan, InsyaAllah, kita akan punya banyak stesyen-stesyen untuk sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t.
b. Berdoa untuk saudara kalian
Bila kita berdoa, jangan hanya fikir kepentingan diri sendiri saja. Doakan orang lain juga. Ini dicontohkan oleh Nabi s.a.w. dalam sebuah hadith:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُوْ لأَِخِيْهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلاَّ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوْكِلُ بِهِ آمِيْنَ وَلَكَ بِمِثْلِ
“Tidaklah seorang muslim berdoa untuk saudaranya yang tidak berada di hadapannya, melainkan malaikat yang ditugaskan kepadanya berkata : “Amin, dan bagimu seperti yang kau doakan”. [HR Muslim]
Maka bila kita mahukan syurga, jangan difikir doa untuk sendiri sahaja kerana kalau doa untuk sendiri sahaja, kemungkinannya itu jauh. Tetapi kalau kita doakan untuk orang lain, untuk saudara kita yang lain, malaikat pula tolong mendoakan yang sama untuk kita.
Malaikat itu hamba Allah yang sentiasa taat. Mendoakan kita pula. Apakah kita tidak mahu demikian? Pastilah dibanding doa kita yang banyak dosa ini dengan doa malaikat untuk kita itu, ada kedudukan yang lebih baik yang tidak wajar kita lepaskan peluang itu.
c. Tiga Golongan Yang Doanya Tidak Ditolak
Anda mungkin boleh atau termasuk di antara golongan yang disebutkan dalam hadith ini.
“Tiga golongan yang tidak ditolak doanya. Doa orang tua terhadap anaknya. Doa orang yang sedang berpuasa dan doa orang yang bermusafir.” [HR Baihaqi]
Dalam riwayat yang lain, disebutkan golongan yang lain adalah orang yang teraniaya.
Sekiranya anda ada anak, doakanlah untuk anak-anak anda.
Atau anda boleh latih diri berpuasa sunat dan manfaatkan hari anda untuk berdoa terutama ketika berbuka puasa.
Dan bila bermusafir, jangan hanya seronok berjalan saja. Manfaatkannya juga untuk berdoa, dengan syarat musafir itu adalah musafir untuk tujuan kebaikan.
d. Menyebut Asma’ (Nama-nama) Allah Sesuai Dengan Apa Yang Kita Doakan
Kita boleh pelajari hal ini lewat doa Sayyidul Istighfar (penghulu istighfar) yang diajar oleh Nabi s.a.w.
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي ، لا إِلَه إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَني وأَنَا عَبْدُكَ ، وأَنَا على عهْدِكَ ووعْدِكَ ما اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ ما صنَعْتُ ، أَبوءُ لَكَ بِنِعْمتِكَ علَيَ ، وأَبُوءُ بذَنْبي فَاغْفِرْ لي ، فَإِنَّهُ لا يغْفِرُ الذُّنُوبِ إِلاَّ أَنْتَ
“Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah selain Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku menetapi perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku.
Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Sebab tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau.” [HR Bukhari]
Doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. ini selain kita boleh ambil faedah maknanya sebagai penghulu kepada segala istighfar, kita juga boleh belajar bagaimana Nabi memulakan doa ini iaitulah dengan menyebut, memuji dan mengagungkan Allah s.w.t. melalui asma’-Nya, kekuasaan-Nya disertai dengan ketundukan dan rasa hina diri kita di depan Allah azza wajalla.
Barulah selepas itu datangnya permohonan dan permintaan atas apa yang kita inginkan.
Ada banyak asma’ Allah yang kita boleh ketahui melalui Al-Quran. Allah Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Wadud, Al-‘Alim, Al-Hakim, Al-Wahhab, Ar-Razzaq, Al-Quddus dan pelbagai lagi. Sebutlah asma’ Allah di dalam doa sesuai dengan apa yang kita doakan.
e. Bertaubat Dan Banyak Beristighfar Sebelum Meminta Apapun
Barangkali dengan banyaknya dosa boleh menghalang terijabahnya doa. Kita mungkin banyak lalai, banyak dosa kepada Allah s.w.t. Sebab itu, bila kita ingin meminta sesuatu, mulakanlah dengan mengakui kesalahan diri yang banyak, kelalaian yang tidak kunjung henti, kemudian rendahkan ego kita untuk meminta ampun dari Allah s.w.t. atas segala dosa-dosa kita.
Kadangkala kerana dosa dan kita tidak rendah hati mahu mengakuinya, doa tidak terangkat dan didengari. Mulakanlah doa kita dengan istighfar dan taubat kepada Allah s.w.t.
Penutup : Berdoa Meski Belum Terkabul
Berdoalah kepada Allah s.w.t. tanpa jemu.
Walaupun ada hajat yang belum terpenuhi.
Walaupun ada permintaan yang belum terkabulkan.
Walaupun ada harapan yang belum diijabahkan.
Kerana berdoa itu sendiri adalah tanda ibadah kita kepada Allah s.w.t.
Meski apa yang kita doakan itu belumlah mesti diberikan semuanya, tetapi sekurang-kurangnya kita telah membuktikan kesungguhan kita dalam peribadatan kepada Allah s.w.t.
Jangan khuatir kalau belum terijabah doa. Kerana terijabahnya doa adalah kerja Allah s.w.t.
Khuatirlah kalau kita tidak lagi berdoa.
Kata seorang ulama’ : Sesungguhnya diharamkan berdoa lebih aku risaukan atas diriku dari belum sampainya waktu ijabah.
Kerana bila kita tidak lagi berdoa, itu barangkali ada petanda kita sedang jauh dari Allah.
August 13, 2017
Angan-Angan
“Argh! Kurang ajar betul cerita ni!”
Bentak Khairil sambil menghentak mejanya. Dia lantas mencapai tetikus berhampiran komputer ribanya lalu membuka laman sosial miliknya. Seketika, dia merengus marah, hingga papan kekunci komputer ribanya menjadi mangsa amarahnya dilepaskan.
“Kau ni kenapa?”
Teman sebilik Khairil, Nazri bertanya. Hairan melihat teman sebiliknya itu mengamuk tidak tentu pasal.
“Mana aku tak mengamuk, Nazri. Filem-filem sekarang ni banyak yang tak bermoral, tak cukup dengan tu, banyak pula dakyah ideologi bahaya dimasukkan dalam filem-filem zaman sekarang ni,” rungut Khairil.
“Cerita apa kau tengok?”
“Ni… cerita American Sniper arahan Clint Eastwood yang keluar baru-baru ni. Kurang ajar betul. Kononnya American sniper ni hero dunia, selamatkan dunia dari teroris. Huh, dasar hipokrit! Ini semua projek Islamofobia yang Amerika rancang untuk menjatuhkan Islam!” berkobar-kobar Khairil menceritakan. Nazri mendengarkan sahaja luahan sahabatnya itu.
“Bukan tu je. Filem Dracula Untold arahan Gary Shore tu lagilah, siap diubah sejarah sampai menunjukkan yang Kerajaan Turki Uthmaniyah kerajaan yang kejam dan Sultan Muhammad Al-Fateh tu gila kuasa. Sedangkan Vlad itu hakikatnya lebih kejam,” bersungguh Khairil menceritakan.
Nazri masih setia mendengarkan kata-kata Khairil. Buku bertajuk Bagaimana Mengubah Dunia yang dibacanya diletaknya ke tepi dahulu. Ada ketika Nazri mengangguk, mengiyakan juga apa yang dikatakan Khairil ada benarnya.
“Betul tu, memang banyak filem-filem yang menghina Islam dan mencetuskan Islamofobia hari ini. Malangnya filem-filem yang betul-betul menegakkan nilai-nilai Islam itu kurang. Kalau ada pun, kebanyakannya seputar cerita cinta atau jalan ceritanya masih belum kukuh untuk diketengahkan ke tahap internasional,” balas Nazri.
“Hah, itulah dia. Masalah umat Islam hari ni. Malaysia terutamanya. Bukan mahu buat filem bagus-bagus, filem yang menghina Islam lagi adalah! Tak ada beza pun dengan filem hollywood. Nak tengok pun sakit mata, sebab banyak adegan pelakon perempuan yang seksi,” laju Khairil memberi komentar.
“Bukan masalah seksi sahaja, Khairil,” Nazri membalas. Belum sempat Nazri menyambung, Khairil memintas terlebih dahulu.
“Memang, kalau boleh dicerita, sampai esok pun tak habis. Huh. Drama kat tv sekarang lagi mengarut. Kalau boleh semua cerita hendak letak ‘suamiku’ sekian sekian. Suamiku itulah, inilah, eishhh… aku dengar pun menyampah,” Khairil merengus kasar. Dia menggeleng-geleng, naik pening kepalanya memikirkan kebejatan industri perfileman hari ini.
“Kalau kau nak tahu, orang Kristian ada hasilkan satu filem tentang kepercayaan mereka pada Jesus. Nama filem tu tak silap aku, Passion For Christ. Cerita tentang bagaimana Jesus menurut kepercayaan mereka, menebus dosa umat sejagat,” cerita Nazri.
Terbuntang mata Khairil mendengarnya.
“Kau biar betul? Ish… dahsyat betul dakyah mereka sekarang. Apa yang pembikin-pembikin filem Islam di Malaysia ni buat?” bentak Khairil.
“Mana kau tengok filem tu?” Khairil sejurus bertanya.
“Masa aku pergi program Friendly Comparative Religion anjuran Islamic Information & Services Foundation, diorang buat tour setiap universiti. Filem tu ada dibedah semasa program,” cerita Nazri.
Khairil terangguk-angguk mendengarkannya.
“Aku rasa dunia perfileman kena diubah. Bermula di Malaysia ini,” ujar Nazri.
“Aku setuju. Patutnya penggiat-penggiat filem di Malaysia ni kena kerah usaha untuk lawan diorang yang mahu menjatuhkan Islam. Bukan buat filem bukan-bukan, lepastu ada unsur tidak bermoral untuk generasi akan datang,” tambah Khairil.
“Ya, aku percaya sekarang kita perlu aturkan langkah untuk mula mengubah dunia perfileman, sekaligus mengorak langkah mengubah dunia,” kali ini Nazri bersuara, semangat. Khairil pula terpinga sebentar melihat reaksi Nazri.
“Jap… kita?” Khairil bingung. Dia hampir tergelak.
“Yalah, kitalah. Siapa lagi?” Nazri membalas. Keningnya berkerut melihat Khairil. Tadi bukan main cakap berapi.
“Pffftt… kau ni gila agaknya. Kita ni bukan penggiat filem. Nak ubah apanya,” Khairil membalas sinis. Dia menggeleng kepala, kemudian mengalihkan perhatiannya pada skrin komputer riba miliknya.
Tercengang sebentar Nazri.
“Kau ni… nak ubah dunia perfileman tak semesti setiap orang kena jadi penggiat filem. Kau misalannya, pelajar jurusan agama, boleh menyumbang idea dan menasihati penggiat-penggiat filem ciri-ciri filem patuh syariah, atau menulis skrip yang membawa manusia kepada Islam misalannya, atau boleh saja jadi tukang sponsor,” jelas Nazri.
Khairil kembali memusingkan badannya pada Nazri.
“Kau fikir dunia perfileman ni senang sesenang macam tu ke nak diubah?” Khairil menduga. Nazri mengeluh.
“Iyalah, sebab itu aku sedang berjinak-jinak dalam bidang perfileman ni, buat video dan short film. Kalau kita boleh team up untuk menjayakan agenda mengubah dunia perfileman ni, kan osem?” Nazri bercerita dengan bersungguh-sungguh.
Khairil menggeleng-gelengkan kepala.
“Haih… Nazri, Nazri. Kau ingat dunia perfileman ni senang ke untuk diubah? Payah! Kena ada perancangan rapi. Persediaan yang teliti. Nak buat filem untuk mengubah dunia, nak tonjolkan Islam kepada dunia, bukan boleh main belasah je! Kena tuntut ilmu perfileman. Kalau kau setakat buat video dakwah macam video-video dakwah biasa kat youtube tu, aku pun boleh. Cuba kau tengok filem-filem dakwah yang Indonesia hasilkan, tu semua kerana diorang pakar, diorang ada ilmu untuk buat filem bagus-bagus!” Khairil mengingatkan, nadanya bersungguh mahu Nazri tahu bahawa dunia perfileman ini bukanlah medan yang senang untuk diubah.
“Betul tu, aku setuju. Tapi, kau tak mahu ke ubah dunia perfileman ni, Khairil?” soal Nazri.
“Kalau aku ada ilmu perfileman, ada alatan yang cukup semua, kalau ikutkan hati memang aku nak, Nazri,” balas Khairil.
Nazri tersenyum.
“Kalau macam tu, jom kita sama-sama pergi program ni!” Nazri bingkas mencapai smartphone miliknya, mencari sesuatu.
“Program apa?” Khairil terpinga-pinga.
“Ini,” Nazri menunjukkan sesuatu dari skrin smartphone miliknya.
“Program Bengkel Asas Perfileman anjuran Pertubuhan Belia Harmoni. Diorang sediakan modul pengajaran asas pembikinan filem hingga ke praktikal untuk menghasilkan filem. Siap jemput Tuan Zabidi penulis skrip terkenal tanahair sebagai tenaga pengajar. Amacam? Jom?” wajah Nazri bersinar-sinar.
Berkerut dahi Khairil melihat poster tersebut.
“Aku sibuklah hujung minggu, nak buat assignment. Kau pergilah dengan orang lain,” balas Khairil. Dia kemudian berkalih pada skrin komputer ribanya.
Nazri yang mendengarnya berasa sedikit terkilan. Dia hanya merenung Khairil dari belakang. Dilihatnya Khairil begitu asyik menekan-nekan papan kekunci, menulis status yang akan di-post pada wall akaun facebooknya.
Nazri menggeleng-geleng. Dia membiarkan Khairil, kemudian mencari nombor seseorang. Panggilan dibuat.
“Assalamualaikum, saya ingin daftar ke Bengkel Asas Perfileman, masih ada kekosongan ke?”
Nazri nekad.
Dia harus keluar dari angan-angannya selama ini.
TAMAT
Kenapa Biarkan Rumah Anda Jadi Kubur?
Bagi kebanyakan orang, rumah adalah kediaman untuk mendapatkan perlindungan, tempat berteduh dari cuaca yang pelbagai, tempat rehat dan tempat tidur.
Tetapi, bagi seorang muslim, sebuah rumah itu lebih besar maknanya dari itu.
Kita dapati hari ini banyak rumah yang bermasalah. Berlaku sumbang mahram dalam rumah. Setiap hari berlaku pergaduhan dan perselisihan faham yang tak pernah sudah antara ahli keluarga tambah di antara suami isteri. Anak-anak ingkar dan benci kepada ibu ayah.
Dan pelbagai lagi kekacauan yang berlaku di dalam rumah muslim. Akibatnya, rumah tidak lagi benar-benar menjadi tempat perlindungan dan tempat mencari ketenangan untuk diri.
Benar, kita tak nafikan ada faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan berlakunya masalah ini. Namun, alangkah baiknya kalau kita dapat perbaiki salah satu faktor utama ini, iaitulah faktor rumah yang tidak ‘ada’ Allah di dalamnya.
Apa Yang Kita Isi Dalam Rumah Kita?
Sesetengah kita mungkin tidak begitu ambil berat apa yang diisi di dalam rumahnya. Maksud saya, pengisian aktiviti yang kita buat bersama ahli keluarga atau orang rumah kita.
Rumah hanya dijadikan tempat balik tidur, makan minum, rehat, menonton televisyen dan itu sahaja.
Rumah kita hanya jadi rumah yang mampu berteduh fizikal, tetapi jiwa dan hati tidak mampu berteduh di dalamnya. Kita mungkin temui kemahuan fizikal di rumah kita, tetapi kita tidak temui kepuasan dan kebahagiaan jiwa di dalamnya.
Balik rumah, bergaduh.
Balik rumah, masam muka.
Balik rumah, serba serbi rasa tak kena.
Barangkali kita perlu muhasabah semula, apa yang kita isi dalam rumah kita?
Jadikan Rumahmu Sebagai Mihrab Ubudiah
Saat Bani Israil diuji kesempitan dan ketakutan dalam peribadatan kepada Alllah, mereka datang mengadu kepada Nabi Musa a.s. Mereka bimbang jika solat mereka dilihat oleh Firaun, lalu mereka akan dihukum.
Maka Allah s.w.t. berkata kepada mereka : “Dan jadikanlah rumah kalian (tempat solat) menghadap kiblat serta dirikanlah solat.” [Yunus : 87]
Allah s.w.t. memerintahkan mereka agar menjadikan rumah mereka sebagai tempat beribadat dan di situ dapat menghilangkan rasa takut dalam diri mereka serta mereka dapat meneruskan ubudiah kepada Allah s.w.t.
Al-Maududi dalam Tafhimul Quran membawa satu ibrah lain dari ayat ini iaitulah Allah s.w.t. seakan-akan mahu mereka menjadikan rumah mereka sebagai pusat perkumpulan orang agar spirit berjemaah dan berkumpulan itu dapat terus dibangunkan melalui solat berjemaah di rumah-rumah mereka.
Demikianlah bagaimana kesan kekuatan sebuah isi rumah itu apabila bukan hanya batu-bata saja dibangunkan, bukan hanya dekorasi cantik saja yang menjadi perhatian, tetapi ia dijadikan sebagai stesyen ibadah dan mihrab ubudiah kepada Allah azza wajalla.
Apakah rumah kita menjadi pusat untuk jiwa-jiwa ahli keluarga kita balik mencari ketenangan hakikinya dari Allah s.w.t.? Apakah rumah kita menjadi pusat untuk anak-anak kita menemukan makna kekuatan imannya?
Rumah Yang Bagaikan Kuburan
Dengar dan baca hadith ini betul-betul :
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Janganlah jadikan rumah kalian seperti kuburan karena syaitan itu lari dari rumah yang di dalamnya dibacakan surat Al Baqarah.” (HR. Muslim no. 1860)
Rumah yang tidak dibacakan Al-Quran itu umpama kubur !
Yakni, tempat orang-orang mati. Tiada cahaya. Gelap. Suram. Rasa sempit.
Sebab itu, hidupkanlah rumah kita dengan ibadah. Dengan solat. Dengan Al-Quran. Dengan zikir. Semua itu akan menerangi rumah kita, menerangi jiwa-jiwa orang yang mendiami rumah.
Jangan kita isi dengan muzik. Jangan isi dengan movie sahaja. Jangan asyik dengan menonton televisyen sahaja.
Sampai-sampai kita tak peduli apakah anak isteri kita solat, apakah ahli keluarga kita boleh membaca Al-Quran, apakah hari-hari yang telah berlalu dalam hidup keluarga kita diredhai oleh Allah. Kita tak ambil kisah ke mana langkah kaki anak isteri kita keluar. Siapa yang mereka bawa masuk ke rumah. Ke rumah siapa mereka pergi.
Jangan demikian. Bila terjadi demikian, segeralah ubah dan perbaiki. Jika kita biarkan, jiwa-jiwa yang mendiami rumah itu boleh mati, jauh dari Tuhan dan pelbagai masalah kekeluargaan boleh timbul.
Penutup : Ajak Ahli Keluarga Bersama
Latih ahli keluarga untuk solat berjemaah bersama. InsyaAllah, lebih mudah untuk kita pantau anak-anak kita berbanding kita sekadar tanya dia solat atau belum.
Luangkan masa dalam sehari untuk duduk membaca Al-Quran bersama anak-anak. Ambil masa sama ada selepas Maghrib atau selepas Isya. Sekejap pun jadi. Asalkan anak-anak memahami dan sedar usaha ibu ayahnya dalam mendekatkan mereka dengan Al-Quran.
Ibu ayah jangan hanya pandai menyuruh. Duduk dan buatlah bersama anak-anak. Ini kadangkala, ibu ayah nak anak-anak jadi hafiz, tetapi ibu ayah tak jaga solat. Ibu ayah pun tak baca Al-Quran. Ibu ayah perlu jadi contoh untuk anak-anak.
Ajaklah ahli keluarga kita bersama dalam menghidupkan spirit ketaatan kepada Allah di dalam rumah. Jadikan rumah sebagai mihrab ubudiah, InsyaAllah syaitan pun susah nak menghasut dan mendekati ahli rumah.
Jangan biarkan rumah kita jadi sarang maksiat apalagi kuburan yang tidak disinari cahaya Al-Quran. Jadikan rumah kita mihrab ubudiah, InsyaAllah, Allah bantu kita dan keluarga kita temui makna bahagia di dunia dan akhirat.
August 12, 2017
Iman Di Hujung Tanduk
Beriman di waktu tenang dan lapang itu mungkin mudah bagi kebanyakan kita.
Ya. Di waktu senang, tiada bolak-balik atau apa-apa kegoncangan, di waktu solat boleh dilakukan dengan aman, bekerja tidak ada masalah, gaji banyak, mungkin ramai yang boleh dakwa dirinya benar-benar beriman kepada Allah s.w.t.
Cuba sesekali kita diuji dengan ujian dan musibah, di situ akan terlihatnya sebesar mana timbangan iman yang ada dalam diri kita.
Beriman Bila Diberi Kesenangan dan Kenikmatan
Bila hidup ada serba serbi semuanya, mungkin mudah untuk klaim diri sebagai seorang beriman.
Boleh belajar dan bekerja dengan baik.
Rumah pun elok dan besar.
Kereta ada, mewah pula.
Makan minum serba mencukupi bahkan lebih.
Boleh pergi umrah banyak kali.
Kita mungkin mudah dan senang untuk melakukan ibadah dalam keadaan hidup yang demikian, Alhamdulillah.
Tetapi iman ini sesuatu yang mahal. Sesuatu yang mahal tidak akan diperolehi melainkan kita benar-benar teruji kelayakan kita mendapatkannya.
Demikian Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut :
“Apakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji?”
Emas hanya akan jadi bernilai dan dapat dijual dengan harga yang tinggi apabila ditempa dan melalui proses dalam api yang tersangat tinggi suhunya.
Rumah hanya dapat didiami setelah melalui proses memasang pasak, menyusun batu bata, menyimen, mengecat dan hinggalah akhir proses yang menjadikan rumah itu sebuah rumah.
Iman itu lebih mahal dan iman yang berkualiti itu terhasil dengan melalui proses. Dan proses itu sudah pastinya berlangsung sepanjang hidup.
Kalau kita hanya duduk selesa setelah menikmati nikmat iman, tidak berbuat apa-apa, mungkin tidak terasa begitu berharga nikmat iman yang ada. Cuba kita duduk dengan orang yang baru masuk Islam, kita akan sedar betapa berharga sungguh nikmat iman ini.
Dan nikmat iman ini, kalau tidak dijaga, kalau kita tidak beramal atasnya, ia boleh hilang. Dan kalau ia hilang dari diri kita, belum tentu kita akan mendapatkannya semula. Duit hilang, mungkin kita boleh cari lain. Tetapi iman belum tentu kerana iman adalah anugerah Allah s.w.t.
Iman Di Hujung Tanduk
Ada satu peribahasa Melayu berbunyi ‘telur di hujung tanduk’ yang bermaksud berada dalam keadaan yang genting dan bahaya.
Demikianlah, Allah s.w.t. ibaratkan dalam Al-Quran bahawa di kalangan manusia itu imannya hanya berbasis di atas satu ‘huruf’ saja. Yakni, imannya berada di hujung tanduk.
Bila-bila masa saja, ia boleh jatuh dan kalau ia jatuh mungkin tak akan kembali lagi.
“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap…” Allah sebut dalam surah Al-Haj ayat 11.
Siapa mereka ini?
Allah sambung lagi, “… iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hati dalam keadaan itu…”
Itu kalau beroleh kesenangan. Kalau beroleh sebaliknya?
“…dan kalau ia ditimpa ujian, berbaliklah ia semula (kepada kekufuran)…”
Mereka ini kata Allah s.w.t., “…. rugilah ia akan dunia dan akhirat. Itulah kerugian yang terang nyata.” [Al-Haj: 11]
Cuba kita renungkan hidup kita. Pasti dalam hidup kita, kita ada berdepan dengan ujian, fitnah, kesukaran dan musibah. Di situasi-situasi sedemikian, bagaimanakah respon kita?
Melatahkah? Marahkah dengan Allah?
Bersabarkah? Maki hamun dan mengeji-ngejikah?
Respon kita terhadap ujian itu sedikit sebanyak boleh menjadi indikator iman kita.
Ya, memang tidak mudah ketika ujian datang menyinggah dalam hidup. Tidak ada siapa yang kata mudah. Dan memang masing-masing merasai perit ujian yang berbeza-beza.
Tetapi ingatlah, Yang memberikan ujian itu adalah Allah s.w.t. Dan kalau Dia berikan ujian kepada kita, pastinya bukan bersahaja, tetapi pastilah bersebab. Dan di antara banyak sebab itu adalah Dia ingin kita memperkuatkan iman kita agar tidak berada di hujung tanduk.
Kerana kalau iman kita di kedudukan sedemikian, kita bila-bila masa saja boleh berbalik kepada kekufuran dan kita akan kerugian bukan sahaja dunia, bahkan dunia dan akhirat.
Penutup : Jangan Menjadi Hamba Kepada Keinginan Diri, Jadilah Hamba Allah
Dalam ayat surah Al-Haj ini, Allah s.w.t. menyebutkan golongan yang imannya ini di batas antara Islam dan kufur kerana mereka mengambil Islam ini hanya untuk kepentingan dan keinginan diri mereka.
Iaitulah kalau keinginan mereka terpenuhi, maka mereka klaim diri beriman kepada Allah.
Tetapi kalau berlaku sebaliknya, mereka mula menyalahkan Tuhan, mengatakan Tuhan itu zalim, Tuhan itu, Tuhan ini, Islam itu, Islam ini.
Sebab itulah, kita perlu belajar meluruskan dan memperbaiki makna perhambaan kita. Jangan kita hambakan diri kepada keinginan diri kerana keinginan diri kita sentiasa tidak pernah puas.
Bila kita beriman kepada Allah s.w.t., kita harus tundukkan keinginan diri kepada keinginan Allah s.w.t. Bukan keinginan Allah s.w.t. yang kena ikut keinginan kita. Bukan Islam yang kena ikut acuan keinginan kita.
Tetapi kitalah yang perlu belajar menundukkan keinginan diri kepada keinginan Allah s.w.t.
Bila kita belajar menundukkan diri kepada Allah dengan sebenarnya, kita akan sedar bahawa tidaklah semua yang kita inginkan dalam hidup ini sentiasa dapat terpenuhi.
Tetapi kita akan sentiasa bersyukur bahawa masih memiliki Allah dalam hidup itu jauh lebih besar dari terpenuhi segala yang kita inginkan.
August 5, 2017
Kebaikan Yang Membiak
Ada sesuatu yang meneguhkan hati-hati orang beriman ketika terus konsisten melakukan kebaikan.
Kadangkala, kebaikan tak berbalas langsung dengan kebaikan. Nabi menyebut 1 berbalas 10, tetapi sukarnya meyakini 10 itu kerana kita barangkali tidak dapat melihat dengan mata kasar kita sendiri bagaimana 1 itu berkembang biak.
Masakan tidak, yang selalu dialami, beri 1 menjadikan kita hilang 1.
Tetapi, di atas jalan iman, ia memberi makna berbeza, bahawa memberi 1 beerti kita telah menambahkan 10 nilai ke atas diri kita, bahkan mungkin lebih. Kita tidak melihatnya dengan mata kasar, tetapi kita melihatnya dengan mata hati.
1 berkembang 10, ia boleh jadi sebuah ganjaran langsung, ia boleh jadi sebuah kebaikan yang membiak menumbuhkan lebih banyak kebaikan, ia boleh jadi penutup kepada pintu-pintu kecenderungan kepada maksiat.
Mengimani Dengan Penuh Keikhlasan
Al-Bukhari menulis Sohihnya dalam keadaan yang tidak mudah. Di saat kereta berair-cond belum tercipta, di saat belum ada teknologi seperti gadjet mahupun internet di zamannya, maka berkelana menempuh panas sejuk padang pasir serta bersusah payah adalah jalan untuk sampai kepada tujuan menulis kitab sohihnya itu.
Sesungguhnya ummat berhutang kepada usaha keras al-Bukhari, yang hari ini dengan usahanya itu, kita menikmati kemudahan mencari hadis-hadis sohih dalam Sohihnya. Kita mungkin tidak perlu menghadapi lagi kesusahan semisal Al-Bukhari yang harus pergi bermusafir bertemu orang-orang yang memiliki hadith sohih di pelbagai tempat, tinggal hanya membuka kitab dan mencari sahaja.
Di mata kasar, kita barangkali melihat ganjaran kebaikan al-bukhari itu telah menyebabkan ummat mempunyai rujukan hadis yang kukuh sebagai sumber syariah. Itu sahaja sudah besar. Namun ada yang lebih besar dari itu, iaitu kelahiran silsilah ulama’-ulama’ hadis yang turut juga menjejak langkah semisal Al-Bukhari dalam mengumpul dan membukukan hadis, tinggal lagi berbeza dari segi manhaj.
Satu kebaikan yang Bukhari lakukan, telah membiakkan kebaikan-kebaikan yang berantai. Dari dirinya, lahir beberapa orang imam besar dalam bidang hadis yang bukan sekadar imam, bahkan kitab-kitab sunan mereka menjadi rujukan utama ummat.
Itu semua tidak datang dengan bersahaja tanpa keyakinan dan amal. Usaha Al-Bukhari untuk mengumpulkan hadis-hadis ini bukanlah hal yang mudah, namun itu tidak mematahkan kesungguhannya dalam meneruskan usahanya.
Akhirnya, 1 kebaikan, bukan sekadar berbalik ganjaran kepada dirinya, tetapi menumbuhkan kebaikan-kebaikan yang lain.
Kelahiran Generasi Solahuddin
Dr Majid Irsan Kilani menulis di dalam bukunya, Hakaza Zoharo Jil Solahuddin Wa Hakaza Adatil Quds (Begini Terlahirnya Generasi Solahuddin Dan Beginilah Kembalinya Al-Quds) tentang kelahiran generasi keluarga Ayyubiyah yang hebat seperti Imaduddin Zanki, Nuruddin Zanki dan Solahuddin Ayyubi.
Ia bukan kelahiran hasil pentarbiyahan setahun 2 tahun.
Tetapi ia adalah proses panjang yang bermula sejak zaman Al-Ghazali lagi.
Ia adalah kebaikan yang membiak.
Al-Ghazali adalah ulama’ besar di zamannya. Dikenali dengan kehebatannya dalam Usul Fiqh melalui kitabnya Al-Mustasfa, juga kitab falsafah dan jawab balasnya ke atas falsafah melalui kitab Maqasid Falasifah dan Tahafut Al-Falasifah. Ketika Al-Ghazali mengajar di madrasah An-Nizhamiah yang merupakan sebuah madrasah waqaf di bawah kerajaan Nizam Mulk pada ketika itu, berlaku pertembungan yang sangat dahsyat antara mazhab-mazhab yang ada. Antara 2 mazhab besar ketika itu yang terlibat dalam pertembungan ini adalah mazhab Syafie Asyairah dan Hanabilah Ahlul Hadis.
Pertembungan yang berlaku sehingga menyebabkan berlaku peristiwa berdarah sesama mereka ini telah menyebabkan suasana beragama menjadi keruh. Orang memasuki madrasah untuk belajar agama, bukan lagi kerana ikhlas ingin memperbaiki diri, tetapi kerana ingin mencari dalil untuk menewaskan mazhab yang satu lagi, atau mencari posisi-posisi dalam kerajaan.
Itu belum dikira rakyat yang memang berada dalam suasana kesusahan pada ketika itu sehingga diriwayatkan ada yang kebuluran lalu memakan daging saudaranya sendiri.
Al-Ghazali pada ketika itu telah mengambil untuk beruzlah, mengasingkan dirinya ke Syam. Beliau mahu keluar dari kerosakan yang ada itu buat sementara waktu untuk membersihkan hatinya, untuk membersihkan jiwanya dari keinginan-keinginan rosak yang kuat mempengaruhi suasana di Baghdad ketika itu.
Lama Al-Ghazali beruzlah. Dalam tempoh beruzlah, beliau hanyalah seorang tukang sapu yang tidak mahu dikenali orang.
Pulang dari beruzlah, sekitar hampir 10 tahun, maka terhasillah karya agungnya Ihya’ Ulumuddin. Karya itu telah tersebar luas ke serata dunia, dibaca oleh ramai orang. Bahkan, Al-Ghazali sendiri telah menubuhkan madrasahnya sendiri sepulang dari uzlahnya itu untuk beliau mulakan sendiri sistem pendidikan yang lebih baik, yang jauh dari taasub mazhab, sikap ghuluw dan melampau sesetengah pengikut mazhab dan masalah-masalah lain.
Jalan beliau ini telah diikuti oleh banyak gerakan-gerakan dakwah berbentuk tariqah selepas itu, yang akhirnya menghasilkan jundi hebat semisal Nuruddin Zanki dan Solahuddin Al-Ayyubi. Kehidupan mereka sendiri banyak dipengaruhi oleh unsur kezuhudan hasil dari pembawaan suasana pendidikan yang dibawa oleh jalan Al-Ghazali ini.
Berapa ratus tahun lamanya, barulah muncul Solahuddin selepas Al-Ghazali. Namun, kebaikan yang mendasar dari keikhlasan dan keyakinan di atas jalan iman, ia membuahkan hasil yang berkembang biak, tidak hanya terhad untuk diri kita semata-mata hasilnya.
Penutup : Melabur Sekarang
Barangkali tidak ramai dapat melihat hal ini.
Namun para ulama’ kita telah menunjukkan hasil pelaburan mereka dalam hal ini kepada kita.
Untuk melabur, perlu ambil risikonya, sakit peritnya. No pain no gain.
Meskipun hasil pelaburan kita mungkin tidak dapat kita nikmati sendiri di zaman kita, namun sebenarnya ia adalah satu kebaikan yang besar apabila generasi selepas kita zaman-berzaman terus menerus dapat menikmatinya.
Yakin dengan Allah s.w.t. Yakin yang Allah tidak pernah mensia-siakan amal kebaikan kita.
Beramallah dengan ikhlas kerana Allah di jalan Allah.
July 28, 2017
Kerna Kamu Istimewa
Aku sekadar memerhati anak kecil itu dari jauh. Terkekek-kekek dia ketawa sambil merangkak di atas rumput halaman rumah. Sudah jenuh aku mengajaknya untuk berdiri sebentar tadi, tak mahu segala tanah-tanah melekat pada baju dan badannya. Gusar di fikiranku hanya satu, “Payah nanti nak suruh budak ni ganti baju lain. Haih”.
.
Mari aku perkenalkan.
Anak kecil itu namanya Firdaus,
dan usianya hampir mencecah 6 tahun.
.
.
Dia anak istimewa. Tidak sama dengan kanak-kanak normal yang lain. Pada usia 6 tahun, kanak-kanak normal kebiasaannya sudah petah berbicara dan laju mengira tambah tolak darab dan bahagi, tapi berlainan sekali untuk Firdaus.
Tutur katanya akan terhenti pada 4 patah perkataan saja paling maksimum. One, Two, Three, Four, itu saja nombor yang mampu dibilangnya. Percakapannya malah sering berulang-ulang dan agak sukar difahami. Untuk memastikan anak ini dapat menyampaikan hasrat atau perasaannya, dia dilatih untuk melakonkan ekspresi muka yang bersesuaian. Maklum saja, dia tak petah berbicara.
Dari segi tingkah lakunya juga, sukar untuk dijangka. Dia seperti hidup di alam nya sendiri. Bertindak sesuka hati. Kadang soal keselamatan diri juga masih belum mampu dinilai anak itu. Kadang mungkin jiran tetangga menyangka rumah mereka seperti tidak mengalu-alukan tetamu. Berkunci setiap masa. Bukan begitu. Akan tetapi dibimbangi dia akan keluar rumah tanpa disedari dan langsung menghilang. Bukan soal, dia sengaja hendak lari rumah, tapi kerna dia sendiri tidak mengerti segala tindak perbuatannya.
.
.
Itu serba sedikit tentang anak Autistik itu. Banyak lagi general criteria yang lain. Cuma, biar aku khabarkan sekali lagi. Dia anak istimewa. Jadi sudah pasti ada kelebihannya tersendiri yang dibawa bersama dirinya sekaligus untuk dikongsi bersama mereka yang menjaganya dengan penuh kasih.
==================================================
“Tut tut tut”. Notifikasi menandakan mesej Whatsapp masuk.
Daripada Kak Aisar. Lekas aku buka pesanan daripadanya.
“Salam Natrah. Kak Aisar nak tanya ni. Awak confirm kan nak babysit anak akak 3 orang dari XX/Y haribulan sampai XX/Y haribulan?”
“Wassalam, kak. InshaAllah jadi J” , balasku ringkas.
“Ok. Thanks Natrah.”
“No problem, kak. Apa nama anak-anak akak tu?”
“Nurul, Firdaus and Fahiem.”
“Ok, akak. Noted. Dah kenal nama sebelum berjumpa, senang sikit nanti nak ambil hati diorang, ye tak? Hehe. Nak-nak lagi saya ni kekok sikit bila dengan budak-budak.”
“No worries, sebab yang sulung tu dah besar sikit. Cuma akak nak beritahu awal-awal, yang anak kedua akak Firdaus tu ada Austisme. Tapi inshaAllah, dia Ok once you get to know him. And usually his big sister and little brother knows what he wants.”
“Oh, alright akak. InshaAllah saya cuba yang terbaik. See you soon”
==================================================
“Kring kring kring”, loceng rumah berbunyi.
Dalam fikiranku, itu pasti kak Aisar yang baru pulang dari tempat kerja. Aku bingkas bangun untuk membuka pintu yang berkunci.
“Assalamualaikum. Ok ke Natrah first day jaga budak-budak?”, soal kak Aisar sebaik melangkah masuk ke dalam rumah.
“Waalaikumusssalam akak. Alhamdulillah, Ok je”, sambil tersengih aku jawab. Padahal dalam hati, Allahu penat dia boleh tahan akak..
“Firdaus Ok? Ada mengamuk tak tadi?”
“Haha”, aku tergelak sendiri, riak tanya kak Aisar seperti memang menjadi kebiasaan untuk si Firdaus mengamuk.
“Ada la sikit tadi. Dia mengamuk sebab tak nak ganti baju yang kotor main tanah, haha.” Aku mengakhiri laporan harian dengan tawa kecil. Acah cool je tu.
“Biasa lah tu dia. Kalau pagi-pagi nak dapatkan dia pakai baju pun, mahu setengah jam lepas mengamuk, baru settled. Kalau ada hari yang tak kena, lagi lah macam-macam nak melayan ragam dia haha”, respon kak Aisar, sambil tergelak.
“Oh haha itulah kan. Jujurnya, saya memang kagum dengan akak and parents lain yang ada anak macam Firdaus. Memang superb and tabah habis! Takpe akak, InshaAllah banyak pahalanya”, aku tersenyum memberikan jawapan seraya mengingatkan kak Aisar akan ganjaran besar yang bakal diraih oleh setiap orang tua atau penjaga yang bersabar memelihara seorang anak syurga. Niat di hatiku sekurang-kurangnya dapat menghadirkan rasa gembira di dalam hati seorang ibu di hadapanku ini.
Tapi jauh di sudut hatiku, aku memang kagum dengan golongan ibu bapa seperti mereka. Sekurang-kurangnya aku hanya babysit Firdaus dan adik-beradiknya untuk satu tempoh yang singkat, tapi golongan ibu bapa yang memilih untuk terus menjaga satu amanah dan anugerah Tuhan yang istimewa ini pasti berdepan dengan pelbagai lagi cabaran untuk satu tempoh yang lama, malahan ada yang seumur hidup. Belum dikira lagi tanggungjawab-tanggungjawab hidup yang lain.
“Ye Natrah. Bila kita jaga anak macam Firdaus tu, banyak pahala dapat, banyak juga dosa yang dibuat”, respon kak Aisar perlahan sambil menghadiahkan aku satu senyuman kelat. Ah sudah! Aku tersentak mendengarnya. Sukar aku tafsirkan maksud daripada kata-katanya.
==================================================
Hari ini sudah masuk hari ke-5 aku di sini menjaga anak-anak kak Aisar. Jujurnya, memang penat dan bertingkat-tingkat level kesabaran yang harus aku tempuhi. Jika di hari-hari terawal aku masih mampu bersikap lembut menghadapi segala karenah budak-budak terutama sekali Firdaus, kini aku mula meragui tahap kesabaranku sendiri.
Terkadang, bila ada kesalahan yang dilakukannya secara berulang, mulalah darah terasa menyirap naik ke muka dan tangan laju memberi sedas cubitan. Sampai-sampai terzahir riak ketakutan di wajah Firdaus kerana seringkali dimarahi. Aku juga tidak mengerti dengan diri sendiri. Setiap kali pasti terbit rasa penyesalan yang menggunung di dalam diri kerana gagal mengawal perasaan amarah sendiri. Tidak sepatutnya aku melayani dia sedemikian. Apatah lagi, berdasarkan pemerhatianku, anak istimewa ini tidak mengerti bahawa perbuatan yang dilakukannya itu salah.
Bukan soal dia tidak layak menerima hukuman apabila melakukan kesalahan. Bahkan, anak ini masih perlu dididik dengan ketegasan apabila perlu, sepertimana anak-anak lain. Persoalan yang lebih utama di sini, atas dasar apakah aku menghukum mereka? Wajarnya, aku sebagai seorang yang dewasa dan bergelar mukallaf mampu untuk membezakan tindakanku, sama ada sekadar menurut perasaan geram atau bertujuan mendidik. Jika bertujuan mendidik, pasti boleh dipamerkan dengan lebih berhikmah.
Bersambung cerita. Kau tahu bagaimana rasa kekesalanku semakin meninggi? Apabila di kemudian hari aku menghampiri Firdaus meminta sebuah ‘huggies’, dia tanpa teragak-agak memelukku seakan-akan memori dimarahi dan dicubit sebentar tadi tidak pernah wujud di dalam kamus otaknya. Ah, kolam hatiku terus pecah. Maafkan kakak, dik.
.
.
Pada akhirnya aku menyedari bahawa inilah hikmahnya kenapa Allah menghantar aku untuk menjaganya. Terima kasih Allah atas didikanMu. Ampunkan pula kami yang sering berbuat silap, wahai Tuhan Yang Maha Mengampuni. Kurniakan kami hati yang terus diisi dengan nilai-nilai mahmudah. Amin.
Tamat.
==================================================
Cerita atas dikongsikan bertujuan mengajak pembaca untuk kita sama-sama memberi sokongan padu kepada golongan individu tersebut dan ahli keluarganya. Hakikatnya, banyak cabaran yang perlu ditangani oleh setiap penjaga dalam menguruskan anak autisme ini. Memetik kata-kata Pengerusi Persatuan Autism Kebangsaan Malaysia (NASOM), “Kadang kala, masyarakat kita tidak dapat membezakan di antara kanak-kanak autisme dan kanak-kanak normal. Hal ini kerap berlaku apabila penghidap autisme yang mengamuk di kawasan terbuka dipandang serong oleh masyarakat, lalu menghakimi ibu bapa mereka tidak pandai menjaga anak.”
Ayuhlah jua kita zahirkan rasa empati kepada individu-individu tersebut yang memiliki keperluan khusus. Ajarkan anak-anak supaya tidak meminggirkan teman-teman mereka yang autistik kerana mereka layak untuk mendapat tempat di dalam masyarakat selain berhak membangun dalam suasana yang positif.
Kepada ibu bapa bagi anak-anak istimewa, teruslah melangkah dengan yakin. Sesungguhnya Allah yang Maha Pengasih sudah pasti tidak pernah dan tidak sekali-kali akan menzalimi hamba-hambaNya. Dia tidak menguji hambaNya melebihi kemampuan mereka dan sudah pasti Allah jualah yang mempunyai sebaik-baik pengetahuan tentang keupayaan hambaNya. Teruskan bersabar, berikhtiar dan bertawakal kepadaNya di sepanjang hari-hari yang dilalui. Berimanlah dengan pertolongan Allah melalui firmanNya,
“…Dan Kami berkewajiban menolong orang-orang yang beriman”. (Ar-Rum; 47)
“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”. (Al-Baqarah; 153)
Ketahuilah, pada anak kalian itu terlihat tanda kekuasaan Allah Azzawajalla dan terbukti pula kekerdilan kita di sisiNya. Semoga ujian ini menjadikan hubungan kita dengan yang Maha Khaliq menjadi lebih rapat melalui interaksi bersama si anak. InshaAllah mereka jua lah yang akan menjadi passport untuk anda segera melangkah ke syurga kelak. J
Nota: Segala nama watak di dalam cerita di atas adalah sekadar ciptaan dan tidak berkaitan dengan mana-mana pihak.
July 21, 2017
Cerpen: Sebelum Aku Mati
Terkesima.
Itu reaksinya sebaik sahaja mendapat berita yang tidak disangka-sangka daripada doktornya.
Dia datang ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, memandangkan batuk-batuknya tidak hilang selepas beberapa minggu. Walaupun tidak terlalu teruk, namun batuk-batuk itu membuatkannya tidak selesa.
Selepas pemeriksaan, doktor yang bertugas memeriksanya berkerut seribu. Dia ditinggalkan sebentar sebelum dipanggil semula ke bilik pemeriksaan.
“Harap Encik Faiq dapat bersabar mendengar berita ini.”
Dadanya berdegup kencang.
“Encik disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4…”
Selepas itu dunia menjadi sunyi. Sunyi sesunyinya. Matanya membesar, tetapi dia tidak mendengar apa-apa bunyi. Mulut doktor di hadapannya kelihatan bergerak-gerak, namun satu butir bicara pun tidak singgah ke telinganya.
Dunianya seakan-akan runtuh.
“Berapa lama masa yang masih saya ada?” Dia membuka suara, memecah kesepian diri.
Dia dapat melihat bibir doktor itu berhenti bergerak. Menarik nafas, seakan cuba hendak memberitahunya dalam keadaan yang tidak membuatkan dia terkejut, rasa berputus harap.
“Dari beberapa minggu, hingga beberapa bulan lagi.”
Telinganya berdesing. Kata-kata doktor yang selanjutnya tidak lagi didengari. Tubuhnya bergetar. Matanya mula ditakungi air, yang kemudiannya tumpah menuruni pipi. Jantungnya berdegup kencang.
Selama ini dia bukan tidak pernah mendengar tazkirah berkenaan kematian, dia bukan tidak tahu mati itu wujud, bahkan dia sendiri sudah punya beberapa ahli keluarga, rakan dan kenalan yang meninggal dunia.
Namun entah mengapa, kali ini, seakan baru pertama kali dia merasai kebenarannya.
Aku akan mati!
Jerit hatinya.
*****
Faiq pulang ke rumah pada petang itu, mengenangkan hidupnya yang singkat dikhabarkan doktor.
Dia membaringkan dirinya di atas sofa pejabat. Dia termenung panjang sambil melihat kipas siling yang seolah-olah memperli kehidupannya.
“Sia-sia aku hidup macam bilah-bilah kipas ini, saling berkejaran tetapi tidak pernah mencapai antara satu sama lain. Apa gunanya mempunyai rumah besar, kereta mewah dan duit banyak tetapi hidup singkat.” bisik hatinya.
Kehidupannya terimbas. Faiq merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Sangat berjaya, sehingga pada usianya mencecah 30-an, dia sudah mencapai status jutawan dengan keuntungan bersih perniagaannya melebihi RM10 juta setahun. Kini dia sudah berusia 35 tahun. Masih muda, dan ramai penganalisa ekonomi menyatakan bahawa dia ialah individu yang mampu memberikan impak kepada ekonomi negara jika dapat meneruskan langkah.
Itu yang dikejarinya. Berada di puncak.
Namun untuk sampai ke puncak, hatta sampai ke tempatnya hari ini, dia telah melakukan pelbagai kesalahan. Faiq menghela nafas panjang. Terkenangkan kesilapan-kesilapan lalu. Berat.
Dia memalingkan matanya ke arah tempat lain. Lalu dia terpandang potret keluarganya tergantung di dinding ruang tamunya.
“Sarah,” bisik hatinya dalam keadaan penuh sebak.
Dia menatap gambar potretnya bersama seorang wanita bertudung berusia 20-an yang sedang mengendong anak lelakinya berusia 8 bulan pada masa itu. Gambar itu di ambil semasa hari raya pertama mereka bersama. Mereka memakai baju raya bertemakan merah jambu, warna kesukaan isterinya – Sarah.
Bibirnya dikemam. Seperti menimbang-nimbang sesuatu, sebelum dia menggerakkan tubuhnya ke meja dan mengangkat telefon.
“Alissa, gantikan saya dengan Dato’ Farid untuk semua program dan mesyuarat yang saya terlibat minggu ini dan minggu depan.”
Dia mendengar pertanyaan daripada setiausahanya itu. Sedang matanya lekat pada gambar Sarah.
“Saya nak kena selesaikan urusan penting.” Dia menjawab.
Kemudian telefon diletakkan. Faiq terus bergerak keluar.
*******
Dia memerhatikan sahaja dari dalam kenderaannya di perkarangan sekolah itu. Sekolah Menengah Islam. Terletak jauh dari rumahnya dan tempat dia bekerja di Kuala Lumpur. Perjalanannya membawanya ke Pulai Pinang. Untuk dia berada di sini, bertemu dengan seseorang.
Faiq menanti sesuatu. Sekali sekala, batuk menyelangi penantiannya.
Loceng sekolah berdering kuat, dan kemudian kelihatan para pelajar berpusu-pusu keluar. Faiq masih menanti. Kemudian matanya membesar. Terus dia keluar dari kenderaannya. Bergerak melawan arus pelajar-pelajar yang mula berjalan menuju ke bas masing-masing yang setia menanti di perkarangan sekolah sebagaimana kenderaannya.
Sampailah dia berdiri di hadapan seorang remaja, yang dia sangat pasti baru berusia 15 tahun. Jiwanya spontan sebak menatap wajah remaja itu.
“Em, pakcik? Kenapa?” Remaja itu menyapa. Segera Faiq menyeka air mata yang hampir mahu tumpah. Menggeleng.
“Tengah tunggu siapa?” Faiq bertanya, tidak menjawab persoalan remaja tersebut.
“Tengah tunggu Mama.” Remaja itu menjawab sambil bangkit. Apakah ‘Mama’nya telah sampai? Faiq menoleh ke belakang melihat luar perkarangan sekolah. Tidak.
Tiba-tiba tangan Faiq hangat, segera dia kembali menoleh ke hadapan. Rupa-rupanya remaja itu mencapai tangan dan bersalaman dengannya. “Pakcik duduklah dulu. Tunggu anak ke?” Sopan.
Kalbu Faiq dipagut sayu. Mengangguk. Segera dia mengambil tempat di sisi remaja tersebut. Mereka sama-sama duduk di bangku kantin, yang menghadap perkarangan sekolah.
Faiq batuk.
“Pakcik tidak sihat ya? Sakit apa?” Remaja itu bertanya mesra, tambah punya nada belas.
Faiq menggeleng. “Habuk.” Berbohong.
“Anak ni, namanya siapa?”
“Saya Faris.” Faiq sudah mengetahui sebenarnya. Dia yang menamakan anak itu. “Pakcik?”
“Faiq.”
“Ah, sama nama dengan bapa saya. Tetapi dia dah lama tak ada. Dah meninggal dunia semasa saya berusia 5 tahun. Saya pun sudah lupa wajahnya bagaimana.” Monyok wajah remaja itu. Hati Faiq disentap. Mungkin itulah cerita yang diceritakan oleh Sarah kepada anak mereka ini. “Mama tak ada simpan gambar atau apa-apa maklumat berkenaan dia, selain namanya sahaja. Itu pun sebab saya kena daftar kad pengenalan. Mama kata, Mama terlalu berduka dengan kehilangan Bapa.”
Faiq memejamkan mata. Perit mendengar luahan hati Faris. Ternyata Sarah sangat terluka dengan perpisahan mereka. Yang disebabkan oleh dirinya, yang mahu kekal dengan cara hidup yang merosakkan, jauh dari prinsip agama dan moral yang dipegang tinggi oleh Sarah.
Akhirnya dia di sini. Kembali sebagai orang yang kalah.
Pesan dan nasihat Sarah dahulu dibalas dengan hinaan, tengkingan, pukulan. Sarah budak kampung, Sarah ortodok, Sarah kuno, entah berapa banyak lagi makian yang dilemparkannya kepada wanita solehah itu, yang hanya mahu melihat hidupnya bahagia bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat sana. Namun dia mabuk mengejar status, kekayaan, dan pengaruh.
Faiq batuk lagi.
Dia ingin menerusan perbualan dengan Faris, anak yang telah ditinggalkannya 10 tahun yang lepas, tetapi sebaik sahaja dia hendak membuka mulutnya…
“Faris!” Suara seorang wanita membelah suasana. Faiq melihat Faris terus bangkit dan bergerak meninggalkannya. “Mama!” Remaja itu melaung.
Dada Faiq berdebar sambil pandangannya mengekori pergerakan Faris.
“Faiq?” Namanya pula disebut.
Matanya mula berlecak.
“Sarah.” Dia menyebut nama wanita bertudung labuh di hadapannya.
Faris terpinga-pinga.
=====================================================
Cerpen ini belum tamat. Akan disambung.
July 17, 2017
Kepimpinan Yang Efektif
“Kepimpinan itu bermaksud membuka potensi orang lain untuk menjadi lebih baik.”
(Bill Bradley)
Hari Sabtu, tepat pada pukul 10 malam.
Kami sekeluarga baru sahaja habis makan malam di sebuah restoran. Selesai sahaja makan malam, kami bertolak pulang. Semasa di dalam kereta, aku sedang memikirkan sesuatu. Ada satu perkara yang ligat berpusing di fikiranku.
Hmm, kepimpinan. Apakah itu kepimpinan?
“Kepimpinan ialah keupayaan memimpin melalui teladan.”
(Kamus Dewan Edisi Keempat)
Satu definisi yang sangat mendalam maknanya!
Dan bagi kami, ianya juga adalah satu amanah tanda kepercayaan yang juga hadir dengan ucapan takziah oleh Pengetua kolej kami, Sir Zahid kepada kami. Belum setahun pun aku menyertai Jawatankuasa Perwakilan Kolej ini, namun perkataan 10 huruf itu banyak kali singgah di fikiranku dan seakan-akan masih belum mampu terjawab.
Uniknya kepimpinan ini, seakan-akan gula terhadap semut. Ramai yang mengejarnya. Ramai yang mahukannya. Seakan-akan ianya indah dan manis. Namun, adakah tindakan yang dipilih itu tepat?
Aku tidak tahu. Tapi bagiku yang pasti, kalau hanya mempunyai poster yang cantik disunting untuk setiap posisi dengan gambar berkot hitam beserta tali leher dan tidak diiringi dengan sumbangan terhadap pelajar serta kebajikan pelajar yang sering tertangguh, itu bukan definisi kepimpinan yang tepat. Bukan poster yang dilantik. Tetapi, kita yang terpilih. Kita yang memimpin.
Bukan itu sahaja.
Uniknya kepimpinan ini, ia juga satu perkara yang banyak dielakkan oleh kita. Ketika pemilihan ketua kelas, dicalonnya sahabat-sahabat supaya kita tidak dipilih. Kalau penghulu program, juga terus dicalon nama orang lain agar kita tidak terbeban dengan tugas mengejutkan sahabat-sahabat lain dan memastikan mereka berada di tempat program tepat pada masa yang ditetapkan. Kalau perjumpaan persatuan pula, terus dicalonkan beberapa nama sahabat untuk mengisi kekosongan jawatan pimpinan kerana khuatir diri tidak dapat melaksanakan tanggungjawab diberikan.
Taklifan-taklifan seperti inilah yang menyedarkan kita bahawa, pemimpin itu bukanlah sekadar duduk di atas kerusi sambil memantau pergerakan orang yang dipimpin, tetapi turut turun bergerak dan berusaha menjadi teladan terhadap yang dipimpin.
Kemudian, timbul persoalan baru.
Bagaimana pula dengan kepimpinan efektif? Bagaimanakah cara untuk mempraktiskannya?
Samsung Galaxy J7 di poket kananku segera diambil. Aku ambil keputusan untuk merujuk jawapan ini kepada Whatsapp Group Presiden-Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej Universiti kami. Selaku junior yang masih bertatih dan merangkak, aku kagum dengan figura-figura ini. Kepimpinan mereka banyak mendidik dan membimbing aku.
Setelah mengambil masa menyusun ayat, aku mula menaip. Jariku pantas digerakkan di atas skrin.
“Assalamualaikum abang dan kakak. Hehe, nak tanya pendapat sikit boleh?”
“Waalaikumusalam. Silakan An, cuma akak akan jawab bila dah sampai kolej nanti.” Balas Kak Adila, Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej Khadijah pada waktu itu.
“Waalaikumusalam, silakan.” Balas Abang Hasan, Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej Umar pada waktu itu pula.
“Hmmm”
“Pada pandangan abang dan kakak semua, apakah yang dimaksudkan dengan kepimpinan yang efektif?” Aku mula bertanya.
Dilihat status semua senior sedang pantas menaip.
“Apa kesan yang dapat kat ahli. Banyak itu lah efektifnya kita memimpin.” Balas Abang Hasan, ringkas namun padat.
Aku mengangguk perlahan di hadapan skrin.
“Bagi akak, efektifnya kepimipinan kita apabila tugasan dapat dijalankan dan ahli merasa bahagia serta sayang terhadap kita. Maksudnya kita ni tegas sampai kerja siap. Tapi dalam masa yang sama, kita tetap ada hubungan yang baik dengan ahli kita, tiada rasa tidak puas hati atau apa-apa perasaan negatif. Bagi pandangan akak lah, hehe.” Balas Kak Ainul, mantan Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej Zainab yang juga sedang berada di luar negara pada waktu itu pula.
“Betul juga.” Aku bermonolog. Tersenyum sendirian.
“Kena panjang huraian ni, An. Tengah malam sikit akak balas.” Balas Kak Adila pula.
“Baik kak, terima kasih! Terima kasih juga abang dan kakak yang sudi berkongsi pandangan!” Aku menjawab.
Keesokan harinya, Ahad. Tepat pada pukul 10 pagi.
Di dalam bilik, aku sedang menyiapkan barang-barang untuk dibawa pulang ke asrama. Baju-baju yang dilipat rapi diletakkan di tepi beg sementara buku-buku yang dibawa pulang ke rumah telah pun disusun kemas di dalam beg untuk dibawa pulang ke kolej.
Ding! Ding! Ding! Whatsapp berbunyi.
Mesej-mesej baru itu terus dibuka. Mesej itu dari Kak Adila.
Panjang. Penuh dengan hikmah dalam setiap bicara.
“Salam An. Maaf lambat balas. Semalam ada 2 kes kecemasan di kolej. Pukul 4 pagi baru selesai, alhamdulillah. Jadi tak sempat nak jawab soalan An semalam.
Kepimpinan yang efektif. Hm. Berat soalan ni. Tapi In Sha Allah akak cuba terangkan melalui perspektif akak.
Bagi akak, pucuk pangkal kita dalam apa-apa hubungan sebelum kita pergi konteks lebih besar kepada kebajikan pelajar dan program-program yang perlu dilaksanakan ialah kemantapan ukhuwah sesama ahli. Sebab itu asas. Sebagai seorang pemimpin, ya, amanah kita terhadap semua penghuni kolej. Kelak di akhirat, kita ada bahagian-bahagian yang perlu kita jawab.
Tapi sebelum tu, jaga dulu kebajikan ahli organisasi kita. Bayangkan bila kita masuk dalam satu organisasi, kita tidak tahu apa-apa. Kita perlu bimbingan dari orang-orang yang lebih berpengalaman. Dalam tempoh tu, memang banyak ujian, suka duka nak hadapi sama-sama. Tapi dari apa yang akak dapat lihat, melalui asas pemantapan ikatan antara sesama kami ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej Khadijah waktu mula-mula masuk dulu, memang sangat penting. Penting untuk kita buat anak buah kita gembira bekerja sama-sama dengan kita. Gembira itu dari konteks apabila kita boleh lihat mereka bersungguh-sungguh buat program.
Walaupun kadang-kadang ada tarikh bertindih, kertas kerja tak diterima, tapi masih sanggup susah payah datang berjumpa, rujuk dan sebagainya untuk pastikan program dapat berjalan dengan lancar. Waktu mesyuarat, tanya pendapat semua orang tentang macam mana nak jadikan aktiviti mereka lebih menarik. Dari situ, kita boleh tengok semua saling membantu biro masing-masing. Kemudian, apabila mereka bersaing secara sihat. Mereka tetap datang walaupun program itu dijalankan oleh biro lain sebagai sokongan dan bukan saling menjatuhkan, malah naik seiring sama-sama.
Kemudian, setiap kali berjumpa di mana-mana pula akan saling bertegur sapa dengan kita. Kita pula siap kenalkan kepada kawan-kawan kita ini adik kita. Atau ini kakak aku.
Pokok pangkalnya yang pertama ialah hubungan dengan Allah. Bila tiap kali kita bermesyuarat, jangan terus zapp masuk agenda pertama. Sebaliknya, peruntukkan masa lebih kurang dalam 30 minit sebelum mesyuarat bermula untuk berkongsi tazkirah. Bagi semua peluang untuk berkongsi ilmu. Jangan asyik orang yang sama dan ketua-ketua sahaja bagi pengisian. Kita bina sekali kemahiran anak-anak buah kita. Dan biasanya, kita buat secara spontan. Sebab bila spontan, kita boleh tengok mereka punya kebolehan untuk uruskan sesuatu dalam keadaan tidak bersedia. Kemudian, kita tanya masalah-masalah yang mereka hadapi. Macam mana semua, okay ke? Minggu lepas tengok cerita apa? Benda-benda kecil macam ni mungkin nampak enteng, tapi besar maknanya. Kita pun akan rasa gembira untuk bekerja bersama.
Itu asaslah, An. Lagi satu An, pemimpin ni mempunyai gaya yang berbeza bergantung kepada personaliti diri juga kan? Tetapi selagi masih berpaksikan keutuhan agama, buat semata-mata demi reda Allah, In Sha Allah, efektif lah sebuah pimpinan tu.”
Aku hadam satu persatu mutiara-mutiara kata yang dihantar oleh Kak Adila.
Yup, kini aku sedar kepimpinan itu bukan sekadar mengangkat pedang atau meniup semboyan dari jauh dan mengarahkan pasukan mara ke hadapan untuk terus ditinggalkan dalam medan pertempuran. Ianya lebih dari itu. Lebih dari sekadar memberi arahan. Lebih dari sekadar berdiri megah dengan kedudukan.
Contoh yang sangat realistik sudahpun disediakan olehNya. Rasulullah S.A.W, Khalifah Ar-Rasyidin, Khalifah Umar Abd Aziz, Sultan Salahuddin al Ayubi, dan Sultan Muhammad Al- Fateh serta banyak lagi contoh-contoh yang telah terbukti kepimpinannya dalam sejarah. Bukan sahaja satu pasukan atau pun organisasi, malah satu negara, satu empayar, satu legasi dan satu umat telahpun dipimpin dengan cemerlang dan efektif!
“Baik akak, terima kasih banyak-banyak! Banyak saya dapat belajar hari ni! Hehe.” Aku membalas.
“Sama-sama An. Belajar tu ilmunya kita nak bawa sampai ke liang lahad nanti. Jadi jangan kita pernah rasa lelah. Belajar dan terus menyampaikan ilmu kepada anak-anak buah kita. In Sha Allah, akak pun banyak lagi perlu belajar. Hehe.” Kak Adila membalas lagi.
Aku tersenyum sendirian. Kini, aku faham, betapa luasnya definisi sebuah kepimpinan yang efektif.
Sebelum ini definisi kepimpinan aku mungkin hanya terhad kepada perancangan strategik, mesyuarat dan pelaksanaan program. Rupanya tidak! Ianya lebih menyeluruh. Lebih dari itu. Ianya juga mengenai hubungan dan ikatan dalam pasukan. Saling menjaga dan membina kualiti kepercayaan. Saling memelihara erti sebuah hubungan. Sesama ahli dan hubungan dengan Tuhan.
Dan pada waktu itu, apabila fokus kita diletakkan untuk pasukan, diri kita menjadi penting untuk pasukan, kan? Penting untuk membina dan menggerakkan pasukan ke hadapan. Penting untuk membentuk kepimpinan yang efektif. Kerana fokus kita bukan lagi jawatan dan kedudukan. Kata hukama, “Apabila kita berhenti memikirkan diri kita sebagai orang penting, maka kita dengan sendirinya menjadi penting kepada orang lain.”
Ya, kepimpinan yang dimaksudkan ini tidak lagi memerlukan kot-kot hitam dan tali leher berjenama, tapi memerlukan kesanggupan kita. Kesanggupan untuk meletakkan fokus kepada semua dan bukan hanya terhadap diri kita. Kesanggupan untuk berada ketika diperlukan. Kesanggupan untuk saling berkongsi kualiti kepercayaan. Kesanggupan untuk bergerak bersama sebagai satu pasukan. Kesanggupan untuk saling menerima. Kesanggupan untuk menanggung risiko dan mencapai kejayaan secara bersama-sama. Kesanggupan untuk terus bersama berpaksikan keutuhan agama.
Pada waktu itu, fokus organisasi juga telah beralih terhadap pembangunan ahli-ahlinya.
Pada waktu itu, kepimpinan akan menjadi lebih efektif, yang tidak sekadar nampak hebat dan gah di atas poster-poster yang berwarna!
Pada waktu itu juga, kepimpinan tidak memerlukan lagi jawatan mahupun sesi, kerana kepimpinan itu telah pun diiktiraf sebagai kualiti dan kewibawaan peribadi!
Aku tersenyum lagi.
“Abang.”
Aku tersentak apabila ayahku menyentuh lembut bahuku dari belakang.
“Kenapa termenung senyum sendiri ni? Teringat siapa tu? Dah siap ke belum?” Ayahku bertanya.
“Hehe, saja senyum, sudah abah.” Aku membalas lembut.
“Jom, kita makan dulu lepas tu baru abah hantar balik ke kolej, okay?” Ayahku memberi cadangan.
“Baik, abah!” Aku mengangguk laju. Pakaian-pakaian segera disusun dan dimasukkan ke dalam beg.
Beg aku segera diambil dan langkah kami terus disusun meninggalkan bilikku.
Jawapan kini sudah ditemui.
Sekarang wahai pemimpin, ianya bergantung kepada diri kita sendiri untuk memaknai jawapan ini dan menentukan destinasi kepimpinan yang kita ingini!
Syukur aku dapat berkenalan dengan individu-individu ini. Terima kasih!
Samsung Galaxy J7 ku terus dimasukkan ke dalam poket seluarku.
Mutiara-mutiara ini akan aku terus simpan.
“Kepimpinan lebih banyak dipraktiskan melalui tingkahlaku dan akhlak berbanding perkataan.”
(Harold S. Geneen)
July 13, 2017
Cinta : Benih Kesungguhan
Dari jauh aku memerhati gelagat Mak Cik Ainon. Perlahan-lahan dia menyelak helaian mukasurat yang akan dibacakan di hadapanku. Surah Al-Kauthar.
Jelas kesungguhan yang terpancar pada kedut wajah ibu tua itu.
Mak Cik Ainon adalah antara pelajar yang sangat aku kagumi. Seorang ibu tua yang bukan sahaja cintakan ilmu, bahkan dia antara anak muridku yang benar-benar mempamerkan perintah yang terkandung dalam surah al-Asr. Mempunyai disipilin yang begitu tinggi berkaitan soal masa. Masakan tidak, 20 minit sebelum kelas bermula, sosok wanita itu pasti sudah terpacak di dalam kelas.
“ Ustaz Mak Cik ulang balik ye surah ni. Tak lancar lagi”.
“ Boleh je Mak Cik “. Aku sekadar tersenyum.
Satu persatu perkataan disebut. Kadangkala, ibu-ibu yang duduk berhampiran dengan Mak Cik Ainon turut sama membantunya. Dia sedikit pun tidak berasa kekok. Meski mak cik Ainon sudah menjangkau usia separuh abad, kegigihan dan semangatnya dalam menuntut ilmu mungkin saja mengatasi usaha anak muda sepertiku.
Jujur aku akui, meskipun mak cik Ainon sedikit ketinggalan berbanding teman-teman sepengajian yang lain terutama dari segi kelancaran dan sebutan huruf , namun mak cik sedikit pun tidak pernah mempamerkan simptom-simptom penyakit “putus asa”. Bahkan perkara tersebut menjadi pemangkin untuknya terus menapak ke hadapan tanpa memilih untuk terus terjatuh.
“ Ustaz cuba cek bacaan mak cik. Ada silap lagi tak ?” Mak Cik memulakan bacaan.
“ Alhamdulilah. Baik baacaan mak cik. Insyallah, kalau mak cik latih dan sentiasa lazimi baca al-quran, bacaan mak cik akan bertambah baik. Macam malam ni“.
Kata-kata tadi berhasil mengukir senyuman pada ulas bibir Mak Cik Ainon.
“ Terima kasih Ustaz “
**********
Ada seperkara penting yang aku pelajari daripada seorang mak cik Ainon. Iaitulah perihal cinta.
Tentang soal cinta lewat kesungguhannya terhadap ilmu. Betapa cinta itu menurutku, adalah benteng yang mampu menutup segenap ruang dari ditembusi rasa sakit yang meranapkan. Sakit yang mampu mematikan api keazaman dan kesungguhan. Soal cinta yang benar-benar tertanam di dalam hati, sehinggakan rasa penyerahan terhadap ketertewasan itu bahkan tidak wujud lagi.
Benih-benih cinta harus mulai tertanam di dalam diri. Pada apapun yang dihajati, asal ia dimulakan dengan rasa cinta, di hujungnya pasti tidak akan berakhir dengan kekecewaan. Dengan cinta, kita akan bermati-matian mengejar apa yang dimpikan.
Seperti Mak Cik Ainon yang sentiasa mendidik hatinya dengan kecintaan terhadap ilmu. Sehingga hari demi hari, yang mulai tumbuh dari benih cinta dalam hatinya adalah batang pohon kesungguhan yang sentiasa memberi teguh pada dirinya. Yang semakin utuh sehingga dirinya tidak terdaya ditumbangkan angin kekecewaan dan kekalahan.
Untuk seseorang seperti Mak Cik Ainon yang sentiasa inginkan peningkatan dan kebaikan dalam dirinya, pastinya dia memillih untuk tidak berputus asa. Kerana yang mendorongnya untuk menjadi seperti itu adalah berkat rasa CINTA-nya terhadap ilmu.
Benar. Kita harus sentiasa mendidik jiwa dengan rasa cinta. Dalam apapun hal yang kita kerjakan. Dan untuk seorang hamba yang hidup berTuhan, paling tidak cinta itu harus selamanya diabadikan kepada yang Maha Kuasa. Kerna dari Cinta itulah, lahirnya sebuah kesungguhan.
“ Terima Kasih mak cik Ainon. Atas ilmu yang diberikan lewat kesungguhan yang mak cik pamerkan” . Bisik suara kecilku.
July 11, 2017
La Taqnatu Min Rahmatillah
Sedang aku asyik menyemak bacaan al-quran dari Opah Aisyah ( salah seorang anak murid aku, antara yang paling senior umurnya ), seorang lelaki yang usianya aku kira dalam lingkungan 50-an masuk ke kelas. Pakaiannya agak lusuh dan dirinya juga agak tidak terurus.
Murid baruku. Pak Cik Edy namanya. Aku sendiri tidak tahu apakah “Edy” tersebut sekadar nama panggilan atau memang nama sebenarnya.
“ Nak panggil pak cik apa?”
“ Tak kesahlah,panggi Pak Cik Edy pon takpe”.
Kata ibu-ibu di sini, mungkin juga kerana wajahnya mirip penyanyi “Edy” zaman 80-an dahulu. Aku sekadar tersenyum.
“Pak Cik nak baca surah apa ?”. Aku memulakan pertanyaan
“ Surah pendek-pendek boleh tak?”. Tukas Pak Cik Edy
“ Juz Amma boleh ?”
Pak Cik sekadar mengangguk. Bacaan dimulakan.
“ Mashallah”. Bisik hati kecilku. Bacaan Pak Cik Edy sangat merdu. Bahkan hukum tajwidnya sangat dijaga rapi. Sebutannya juga cukup jelas. Lenggok bacaanya mirip bacaan iman-imam Mekkah yang sering aku dengarkan di corong radio.
5 surah pendek ( surah ad-dhuha hingga surah al-Qadr ) berjaya dibaca. Dan entah mengapa, dengan bacaan yang sebegitu baik, Pak Cik Edy tetap juga hadir ke kelas Al-Quran.
Namun ada sesuatu yang menganggu fikiranku. Selama Pak Cik Edy mengalungkan bacaan al-quran, dia dilihat seperti sedang menahan sesuatu. Dari gerak tubuhnya, dia seolah sedang memaksa dirinya. Dia semacam gelisah. Namun, dia tetap gigih meneruskan bacaan sehingga selesai kelima-lima surah tersebut.
“ Ustaz, dia ni dulu bekas penagih dadah?”. Suara kecil Mak Cik Ina hinggap ke telingaku. Mujur waktu itu pak cik Edy sudah pulang.
Aku tersentak seketika.
“ Tapi dia dah berubah ustaz, sejak dia balik dari pusat serenti, dia dah banyak berubah. Banyak berkhidmat dekat surau ni”
Pantas sahaja tingkah laku Pak Cik Edy sedikit aneh sewaktu dia memperdengarkan baacan al-quran kepadaku. Dia pasti sedang berperang dengan keiginan dirinya.
“Subhanallah”. Kalimat yang terlintas di fikiranku.
Seorang bekas penagih dadah yang juga punya kerinduan buat sang Pencipta. Lewat masa silamnya, yang mungkin sahaja waktu itu hidayah masih belum ditemukan. Dan ternyata rahmat Tuhan itu maha luas.
Tentang siapapun diri kita ? Bagaimana hinanya masa lalu kita? Tetap rahmat Tuhan itu menjangkaui besarnya dosa yang kita lakukan.
Kesedihan lewat kegagalan kita dalam kehidupan, bukanlah alasan untuk kita tidak kembali ke pangkuan Illahi. Bahkan Tuhan sering menanti pengharapan seorang hamba kepada-Nya.
Dan selama mana nikmat kehidupan masih terpinjam, terus bangkitlah dari kebobrokan masa silam. Cahaya itu tak akan selamanya kita temukan andai kita tetap memilih gelita.
Mungkin saja kisah Pak Cik Edy ini antara satu dari berjuta bukti dan tanda, bahawa kasih dan rahmat Tuhan itu masih belum terhenti.
Seperti mana Tuhan telah berjanji dan kita meyakini.
Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Surah Az-Zumar , ayat 53 )