Syed Ahmad Fathi's Blog, page 10

November 25, 2022

Lalang di Lautan Pilihanraya

Saya kelakar setiap kali mendengar orang mengatakan pilihanraya kali ini adalah mother of all election. Seolah-olah mereka tidak pernah melihat ke belakang. Setiap kali pilihanraya ia diulang, mother of all election, sehingga ia hilang makna dan kesan. Pemilihan kali ini (PRU-15) nampak hambar. Mungkin kerana tiada isu sentral atau kontroversi besar seperti 1MDB. Yang beria hanya ahli politik, calon dan page troll, rakyat lain sepertinya tak ambil pusing. Saya melihat ini adalah perkembangan positif, sekurang-kurangnya jika angin politik bertiup hambar tak adalah bergema tanggapan-tanggapan bahawa masyarakat kita sedang menghadapi polarisasi.

Dahulu ada orang beranggapan bahawa jika kita menuju dual-party system, negara kita akan menjadi lebih stabil. Saya tidak berapa setuju dengan dual-party system, bukan kerana persoalan kestabilan, tetapi bagi saya jika kita menyempitkan ruang demokrasi kepada hanya dua pilihan ini berlawanan dengan falsafah demokrasi yang menggalakkan pemilihan. Bagi saya jika kita ada lebih banyak pilihan kita lebih demokratik. Hari ini kita melihat lanskap politik telah berubah dengan lebih drastik. Tiada lagi penguasaan satu parti yang bersifat hegemonik, tiada lagi unsur binari dan dualistik, tetapi kita punya pilihan yang meriah. Banyak muka-muka baharu. Pastinya kemeriahan ini tidak menjamin kestabilan, kerana itu bukan objek demokrasi. Objek demokrasi adalah kebebasan memilih.

Mungkin bagi sesetengah orang, sifat tidak ambil pusing rakyat akan pemilihan kali ini menggambarkan pudarnya kepercayaan rakyat pada politik. Namun ia tidak harus bersifat begitu pesimistik. Mungkin juga rakyat sudah matang dan mereka sedar politik itu bukan sekadar pilihanraya, calon, atau parti. Tapi yang lebih penting adalah polisi yang pro-rakyat. Apa juga baju yang dipakai pemimpin tidaklah begitu penting. Bagus juga kita tidak berhiruk pikuk soal pilihanraya ini. Tidak perlu berbalah. Tiba masa nanti kita pangkahlah mengikut cita rasa masing masing. Atau rosakkan sahaja undi. Undi rosak juga adalah sebahagian dari undi, kita mengundi untuk tidak memilih.

Zaman Post-Idealisme

Kalau kita meninjau dekad-dekad yang lalu, baik di zaman 70-an, 80-an, dan 90-an, kita melihat zaman ini merupakan zaman idealisme. Zaman dimana banyak perubahan digerakkan idea-idea baharu. Jika dalam politik dunia, kita melihat adanya pergolakan yang serius yang berlaku antara kem neo-liberal melawan gerakan kiri. Zaman ini melihatkan kelahiran pelbagai jenis parti, ia adalah zaman revolusi. Dikotomi yang sering kita baca pada zaman ini adalah perlawanan antara kapitalisma menentang sosialisma dan komunisma (kanan vs kiri).

Namun hari ini kita melihat pertentangan ideologi ini hampir tidak ada. Di negara kita, pertandingan antara kiri melawan kanan ini tidak wujud dalam arena politik. Ia mungkin ada di dalam penulisan, artikel, buku dan sebagainya, namun ini tidak diterjemah dalam dunia siyasah. Mengapa? Antara sebab yang disebutkan oleh ahli sejarah Perry Anderson adalah kesilapan gerakan kiri dalam memahami gerakan kanan seperti kapitalisma. Kapitalisma boleh berubah dan adapt dengan zaman baharu. Menjadikan apa yang diserang gerakan kiri semakin tidak relevan. Oleh itu kita lihat parti-parti dan gerakan kiri ini mati perlahan-lahan secara organik tanpa tekanan.[1]

Begitu juga kita lihat dalam gerakan-gerakan Islam, ada antaranya yang gagal mengambil kira perubahan zaman ke dalam retorik perjuangan mereka. Oleh itu mereka sentiasa akan menyerang perkara yang tidak ada sehingga mereka menjadi tidak relevan.

Di Malaysia secara khusus, kita melihat dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihanraya Umum Ke-14 menyaksikan cairnya unsur-unsur dualistik dan binari dalam politik tempatan. Ia menampakkan kecacatan serius dalam praxis perjuangan, suatu dimensi yang berbeza dari dimensi oratori dan retorik. Begitu juga dengan bergabungnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ke dalam kerajaan baharu selepas runtuhnya PH yang mentadbir selama 22 bulan. Segala retorik-retorik dan slogan yang dilaungkan selama ini ternyata tidak berjaya dibuktikan dengan polisi yang praktikal.

Sebab itu saya merasakan kita sekarang berada di zaman post-idealisme dan pilihanraya kali ini bukan lagi pilihanraya idea kerana segalanya telah terpampang di depan mata bahawa idea-idea ini tidak berjaya diterjemahkan ke lapangan. Inilah antara sebab saya memberi nama buku saya Lalang di Lautan Ideologi, kerana kepercayaan saya pada mana-mana ideologi telah cair dan tidak lagi berakar.[2]

Saya juga merasakan ideologi seringkali menghilangkan objektiviti. Seperti yang dikatakan oleh Gabor Mate, seorang doktor dan juga penulis. Menurut Mate ideologi itu fitrahnya memasukkan dan menapis keluar. Ia menjadikan manusia itu melihat apa yang sesuai dengan ideologinya dan mengetepikan yang lain. Oleh itu seseorang itu mempunyai blindspot. Saya berpendapat, jika seseorang itu mahu menjadi orang akademik dan objektif, maka dia perlu melepaskan dirinya dari sebarang ideologi.[3]

Fitrah Manusia Untuk Berpecah

Ramai orang melihat bahawa perpecahan itu merupakan sesuatu masalah. Melayu dikatakan bermasalah kerana berpecah kepada pelbagai parti. Saya merasakan pernyataan seperti ini ada sedikit kebenaran tetapi bukanlah keseluruhan kebenaran. Hakikatnya manusia itu diciptakan secara individu. Kita diberikan oleh Allah, Tuhan sekalian alam, fikiran dan perasaan masing-masing. Walaupun masyarakat mempunyai kesan yang besar kepada individu, ini tetap tidak dapat merobohkan individualiti yang memisahkan antara satu manusia dan manusia lain.

Menurut E. H. Carr, apabila lahir sahaja seorang manusia ke muka bumi, dunia akan berkerja untuk membentuknya dan mengubahnya dari organisma biologi kepada sebuah unit sosial. Manusia dibentuk oleh masyarakat dimana dia dilahirkan, dia mewarisi bahasa dan budaya masyarakatnya.[4] Usaha membentuk mana-mana organisasi, baik politik, sosial, ekonomi, atau apa sahaja, adalah usaha untuk mencairkan sedikit individualiti untuk membentuk sebuah unit yang baharu. Bagi saya usaha ini mustahil akan berjaya seratus peratus.

Jadi sebenarnya perpecahan itu adalah satu fitrah, ia adalah satu proses yang berlaku apabila gagalnya usaha untuk mencairkan identiti individu ke dalam sebuah acuan hegemonik yang sama. Sebab itu kita melihat perpecahan ini berlaku dimana-mana dan di setiap masa dalam sejarah. Kerana manusia tidak akan berjaya memadamkan individualiti mereka. Oleh itu saya melihat perpecahan, atau anarkisme itu merupakan fitrah manusia. Penciptaan manusia secara individual itu mewujudkan perasaan penolakan terhadap hierarki dan pemerintahan.

Mencari Masalah Perjuangan

Jika kita mengatakan bahawa kita berada di zaman yang bukan lagi memperjuangkan idea, kerana idea-idea ini semuanya telah diuji dan terbukti tidak dapat berdiri sendiri. Dan jika kita mengatakan bahawa perpecahan itu satu fitrah. Adakah bermaksud kita harus bersikap individualistik dan tidak bergabung dengan mana-mana perjuangan?

Jika ditanyakan kepada saya, apa masalah yang ada di dalam negara ini yang seharusnya diangkat, bagi saya ada dua perkara. Pertama yang berbentuk material. Kedua adalah yang berbentuk abstrak. Perkara material yang harus kita perjuangkan pada pandangan saya adalah keperluan material bagi rakyat biasa untuk hidup. Perkara asas ini adalah perkara pertama yang perlu diselesaikan. Memastikan setiap rakyat di negara ini mempunyai nasi untuk disuap ke mulut, atap untuk berteduh, dan keselamatan untuk membesarkan keluarga. Termasuk dalam hal ini adalah soal pendidikan. Memastikan tiada anak-anak yang tercicir dari sekolah kerana faktor kewangan.

Kedua adalah pembentukan satu identiti nasional. Ini mungkin agak cliché namun saya merasakan ia penting kerana ia dapat mengurangkan ketegangan antara kaum dan mewujudkan masyarakat yang lebih egalitarian dan saksama. Ia tidak boleh bersifat drastik dan radikal kerana ia akan dimusuhi, ia perlu bersifat gradual dan organik. Tetapi usaha ke arahnya mesti ada. Jika tidak kita tidak akan dapat memecahkan prasangka antara kita.

Kesimpulan

Oleh itu bagi saya, dalam pilihanraya ini, pilihan kita mestilah orang-orang yang mempunyai dua agenda ini. Dia mestilah menyelesaikan persoalan material rakyat. Kerana tiada guna ideologi dan falsafah yang melangit andai rakyat mati kebuluran. Ideologi tidak mengenyangkan perut bayi-bayi yang dahagakan susu. Kemudian harus ada kesedaran, kesediaan, dan perancangan untuk bergerak kepada sebuah identiti nasional untuk membolehkan negara ini bergerak mengharungi cabaran seterusnya.

Sesi Soal-jawab

Ada pandangan yang mengatakan bahawa gerakan Islam telah sampai ke syilingnya, dan sekarang kita berada di zaman post-Islamisme yang mementingkan maqasid. Adakah perkara ini bagus atau tidak?

Saya merasakan bahawa perubahan itu akan terjadi sama ada kita suka atau tidak. Islam memang sentiasa berubah sepanjang zaman kerana itu sifatnya, sifatnya yang akan sentiasa sesuai sepanjang zaman. Sama ada perubahan itu digelar post-Islamisme atau apa sahaja bagi saya itu sekadar semantik. Contoh yang saya gemar akan hal ini adalah fatwa-fatwa Yusuf Qardhawi yang sering kali mendahului zaman. Pada mulanya disifatkan sebagai pandangan minoriti, namun banyak yang akhirnya diterima oleh majlis-majlis fatwa seluruh dunia.[5]

Apakah pandangan anda tentang matlamat politik gerakan haraki yang diasaskan Imam Hassan Al-Banna?

Setiap gerakan Islam mempunyai ijtihad masing-masing tentang apa yang perlu dibangunkan dalam umat. Ada yang melihat pada pembangunan jiwa, ekonomi, dan politik. Masing-masing sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain dan tidak boleh dianggap berlawanan. Masing-masing mempunyai hujah masing-masing. Jadi saya merasakan perjuangan untuk kuasa itu tidaklah salah, kerana ada pandangan yang melihat tanpa kuasa orang Islam akan ditindas. Dalam politik global hari ini kita melihat bagaimana might makes right, inilah yang memberi Amerika Syarikat kuasa hegemoni. Jadi tidaklah salah jika kita mahu membina semula kekuasaaan agar kita boleh mempertahankan diri.

Apakah bentuk identiti nasional untuk negara ini? Bagaimana ia mampu disesuaikan dengan semua termasuk Sabah dan Sarawak?

Saya berpandangan perkara yang paling mudah untuk dijadikan asas kepada identiti nasional adalah bahasa. Berbeza dengan agama, kita boleh menguasai dan mempunyai lebih dari satu bahasa.

Ada yang berpandangan kita perlu utamakan pendidikan berbanding kuasa. Namun tak semua orang mampu mendapat akses pada pendidikan.

Saya berpandangan pendidikan bukanlah apa yang kita dapat di sekolah dan universiti sahaja. Tidak dinafikan pendidikan formal itu penting dalam mengabsahkan ilmu kita. tetapi ini tidak bermakna orang yang tidak berijazah itu tidak berilmu. Jadi bagi saya pendidikan itu tetap yang utama, sama ada kita berkuasa atau tidak ia perlu berjalan. Kita perlu mendidik dan juga dididik. Pendidikan akan sentiasa wujud dalam kehidupan jika kita mahu belajar. Ia adalah proses sepanjang hayat. Dan hari ini teknologi telah mendemokrasikan pendidikan. Banyak syarahan-syarahan akademik yang lebih berkualiti dapat kita dengari di Youtube berbanding dewan kuliah universiti. Jadi saya kira walaupun akses pendidikan formal itu terbatas, akses kepada pendidikan sebenar tiada batasan, batasannya hanya keinginan dan usaha.

[1] Conversations with History: Perry Anderson. Video diterbitkan oleh University of California Television (UCTV) pada 01 Februari 2008. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=jjTKsRfVM9Q

[2] Syed Ahmad Fathi. Lalang di Lautan Ideologi. Cukong Press, 2022.

[3] A conversation with Gabor Maté and Ilan Pappé. Exeter Institute of Arab and Islamic Studies, 18 Mac 2022. (Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=mVT4WY-IzZ4&t=3526s , lihat minit 14:50)

[4] E. H. Carr. What is History? Penguin Books, 1964. Hlm. 31

[5] The Life, Legacy, and Thought of Shaykh Dr. Youssef al Qaradawi. Kuliah oleh Dr. Yasir Qadhi. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=QBJaA6SAk_E

Lalang-di-Lautan-PilihanrayaDownload

The post Lalang di Lautan Pilihanraya appeared first on The Independent Insight.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 25, 2022 06:23

November 22, 2022

Siri Syarahan Susastera 6: Pendekatan Falsafah dan Pemikiran di dalam Teks Melayu Klasik

Tulisan ini merupakan laporan hasil syarahan bersama Dato Baharuddin Ahmad yang bertajuk Pendekatan Falsafah dan Pemikiran di dalam Teks Melayu Klasik pada 21 Ogos 2022.

Dalam bidang sastera Melayu klasik kita akan mendapati kesukaran untuk memberi takrifan yang tepat kepada falsafah dan pemikiran. Hal ini kerana, sebahagian sarjana menilai karya sastera Melayu klasik dengan menggunapakai kaca mata sastera Barat moden. Sastera Melayu klasik hanya dinilai sebagai sebuah hiburan dan tak lebih hanya untuk membesarkan sesebuah kerajaan Melayu lama semata-mata. Akibatnya kita akan terlepas untuk memberi perhatian kepada peri penting makna sastera, tujuan sastera dan juga hubungan sastera dengan masyarakat.

Sebuah persoalan yang harus ditanyakan semasa menilai sastera klasik adalah mengapa orang zaman lampau menulis tentang sesuatu perkara yang tidak realistik. A.Teeuw, Ismail Hussin dan Taib Osman antara sarjana yang cuba menilai sastera Melayu klasik, namun mereka tidak menemukan pendekatan yang lurus tentang bagaimana menilai sastera klasik, apakah falsafah pemikiran di sebalik sastera dan mengapa ciri-ciri penulisan sastera klasik tidak bersifat realistik. Pusat-pusat pengajian tinggi ketika ini banyak menggunakan pendekatan moden terhadap sastera klasik. Hasilnya, perspektif yang dikemukakan oleh sarjana tersebut tidak selari dengan perspektif yang sewajarnya yang harus diletakkan ke atas sastera klasik.

Berbanding dengan beberapa buah negara lain seperti Turki dan Iran yang menghidupkan sastera klasik dalam kalangan masyarakat. Kita perhatikan bagaimana syair-syair Rumi, Yunus Emre dan Mahmud Shabistari dicetak semula malah sebahagiannya ditayangkan secara umum di jalanan. Mereka memberikan penilaian yang tinggi terhadap sastera klasik kerana sistem spiritual dan tasawuf hidup dalam kalangan masyarakat setempat.

Dalam menilai sastera Melayu klasik, fokus banyak diberikan kepada makna kehidupan, mengapa kita dihidupkan, dari mana kita datang dan ke mana kita akan kembali. Masyarakat tradisi melihat dan mengambil perhatian terhadap semua konsep utama kehidupan yang terdapat dalam sastera seperti masa, ruang, sejarah, bahasa, musik, seni bina dan lain-lain yang mana semuanya dilihat dari perspektif yang berbeza dengan apa yang kita lihat sekarang ini. Perkara inilah yang ditampilkan dalam sastera klasik berbanding sastera moden yang dilihat kurang mengangkat makna kehidupan.

Memang benar, sastera dan juga aktiviti kesenian yang lain bertujuan untuk hiburan. Tanpa hiburan, manusia tidak akan tertarik untuk melihat dan mendengar sesuatu perkara. Hiburan adalah sebuah keindahan untuk dinikmati. Walaubagaimana pun, sastera juga berperanan dalam pembangunan sesebuah negara. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Ramai yang menyangka bahawa tiang utama untuk membangunkan sesebuah negara adalah politik dan ekonomi dan menafikan peranan sastera.

Perkara ini kurang tepat. Seperti mana jatuh bangun sesebuah negara bergantung kepada perubahan keadaan politik dan ekonomi, begitu juga kebergantungannya kepada sastera. Sastera sesungguhnya memberi perubahan kepada diri insan yang membacanya. Maksud perubahan di sini adalah perubahan tentang diri manusia daripada kedudukan kefahaman manusia tentang dirinya yang rendah kepada yang lebih tinggi. Hanya diri insan yang mempunyai nilai budi yang tinggi sahaja yang dapat melahirkan masyarakat yang tinggi akhlaknya seterusnya memacu kepada ketamadunan sesebuah negara. Justeru, kita tidak menafikan sama sekali elemen hiburan yang terdapat dalam sastera tetapi yang lebih penting adalah elemen diri manusia dan perjuangan manusia dalam kehidupan.

Dalam sastera moden pula banyak menekankan sifat-sifat individualistik yang hanya menumpukan kepada kebijakan sang penulis bagi melahirkan karya-karya yang memukau. Berbeza dengan sastera klasik yang tidak hanya menghidangkan keindahan bahasa kepada manusia, tetapi juga merupakan sebuah pancaran daripada Zat yang paling tinggi ke atas manusia agar mereka mengetahui tujuan akhir kehidupan iaitu mengenal Tuhan.

Seperti mana kehidupan luaran atau zahir yang sentiasa berubah, begitu juga sastera tradisional yang sentiasa membawa perubahan dalam diri manusia dari sudut makna dan hieraki kehidupan. Disebabkan perkara ini, fahaman dan definisi tentang manusia dan kehidupan, semuanya terkandung dalam karya-karya sastera dan dijelmakan dalam kehidupan manusia. Tambahan dari itu, sastera klasik juga tidak terlepas daripada menyentuh persoalan tentang kosmologi. Antara kitab yang membahas tentang kosmologi adalah seperti kitab Qisas al-Anbiya’, Hikayat Nur Muhammad, Taj al-‘Arus, Taj al-Salatin, Hikayat Kejadian Tujuh Petala Langit dan Kitab al-Akhirah.

Hakikatnya, sastera klasik harus dibaca oleh semua golongan kerana bacaan seperti ini dapat mengembalikan diri kita kepada satu pemikiran yang memberi fokus terhadap pencarian makna diri dan perjuangan spiritual. Dalam sastera klasik juga, manusia sentiasa diingatkan tentang asal-usul dirinya kerana perbincangan tentang diri sendiri adalah wacana yang paling penting sekali dalam sesebuah kehidupan.

Segalanya akan kembali kepada agama termasuklah sastera klasik. Tanpa agama, boleh jadi orang Eropah akan terus-menerus berperang. Namun melalui agama, terdapat kewaspadaan dalam diri manusia daripada terus-menerus membunuh berjuta-juta lagi nyawa yang tidak berdosa. Agama merupakan dinding dan pelindung kepada tindak-tanduk manusia. Agama mesti ada dalam sesebuah masyarakat dan untuk ada dalam masyarakat, sastera menjadi jalan yang terbaik untuk menyampaikan agama. Makanya kita harus menilai sastera klasik secara berterusan.

Berbicara tentang karya Hamzah Fansuri pula, kita akan mendapati terdapat nilai-nilai intelektual, universal, diri individu dan rasional. Namun kita tidak boleh mengatakan bahawa karya beliau tergolong dalam karya sastera moden kerana ciri-ciri sastera klasik menebal dalam karya-karya beliau. Bagaimana pula dengan Abdullah Munsyi? Apakah karya-karya beliau tergolong dalam sastera klasik atau moden? Bagi menjawab persoalan ini, jika kita melihat dari segi jurnal, ia boleh dikategorikan sebagai klasik kerana memakai judul ‘Hikayat’ dan ‘Kisah’. Begitu juga dari sudut bahasa penulisannya yang masih dalam kategori klasik. Tetapi dari segi pemikiran, beliau telah memasukkan pemikiran moden.

Kerana itulah Abdullah Munsyi dipuji oleh segolongan sarjana Barat kerana beliau telah berjaya keluar dari satu zaman dan memasuki ke satu zaman yang baharu. Satu rombakan telah berlaku dalam dunia sastera Melayu apabila memasuki zaman moden. Mana-mana ayat yang tidak memberi makna dan bersifat pengulangan akan dipadamkan dari sastera Melayu moden. Perkara ini diakui sendiri oleh Winstedt dengan mengatakan bahawa karya-karya klasik Melayu banyak membicarakan perkara-perkara yang tidak masuk akal.

Jika ditanya apakah karya Abdullah Munsyi setanding dengan karya Hamzah Fansuri? Jawabnya Tidak. Abdullah Munsyi bukan seorang teolog. Beliau seorang pengkritik sosial dan kritikan yang beliau berikan terhadap masyarakat Melayu agak berlapik. Beliau tidak bermaksud untuk menghina orang Melayu tetapi bertujuan membuka fikiran orang Melayu. Kerana itulah beliau jarang sekali menghasilkan karya-karya berunsur kesufian seperti Hamzah Fansuri. Hamzah merupakan seorang yang luas ilmu pengetahuannya dan mendalami beberapa bidang seperti fiqh, akidah dan tasawuf disamping mendalami aspek-aspek miskital dalam Islam. Walaupun Abdullah Munsyi tidak mendalami bidang tasawuf, beliau juga ada memuji dan meminati karya-karya klasik yang berunsur kesufian seperti Taj Salatin dan Kalilah wa Dimnah. Abdullah Munsyi juga tidak bercakap secara konseptual kerana jurnal yang dibawa beliau lebih kepada bentuk novel walaupun dinamakan hikayat.

Sebelum kemunculan karya-karya Hamzah, pemikiran agama telah lama memasuki ke dalam kesusasteraan Melayu terutamanya pada zaman Hindu Buddha. Kehebatan bangsa Melayu itu bukan hanya berkisar tentang DNA atau asal-usulnya sahaja. Jika kita hanya menitikberatkan fasal DNA semata-mata, ia tidak membawa apa-apa makna. Perkara yang bernilai dalam mengangkat identiti Melayu adalah dengan mengangkat budaya, pemikiran, fahaman, bahasa, dan sastera Melayu. Pemikiran orang-orang Melayu itu dapat dijelmakan dalam penulisan sastera mereka.

Kesimpulannya, karya-karya sastera Melayu klasik yang dikatakan sebahagian sarjana tidak mengandung apa-apa makna dan tidak bersifat rasional, sesungguhnya menyimpang 1001 nilai-nilai falsafah dan kebudayaan orang Melayu. Melalui sasteralah orang-orang Melayu menyampaikan ajaran agama dan nilai-nilai murni dengan susunan kata yang indah dan manis kerana hanya dengan keindahan yang mampu memikat hati pendengar dan pembaca untuk menghargai sesuatu karya.

The post Siri Syarahan Susastera 6: Pendekatan Falsafah dan Pemikiran di dalam Teks Melayu Klasik appeared first on The Independent Insight.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 22, 2022 06:57

Mencerna Persoalan-Persoalan Pembelajaran dan Pendidikan

Buku bertajuk Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah tulisan Sadiq Salihoddin ini merupakan buku ke-4 pilihan saya untuk dibaca dari timbunan buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.1 Saya sebenarnya teruja untuk membaca buku ini kerana ia menyentuh satu topik yang begitu dekat dengan hati saya, iaitu “belajar sepanjang hayat”. Bagi saya secara peribadi, proses belajar itu merupakan satu proses yang menyeronokkan, bahkan ia merupakan objek yang menjadikan hidup saya terasa “hidup”. Malah jika diberikan rezeki umur, saya mahu menjadi pelajar sepanjang hayat.

Namun tulisan ini bukanlah omelan saya perihal “saya suka belajar”, tetapi pencernaan saya terhadap makalah tulisan Sadiq, jadi elok saya pulang ke dalam topik ini. Dalam ulasan ini saya akan sentuh beberapa perbahasan Sadiq yang saya kira menarik untuk dikongsi dan dihuraikan, kemudian saya akan utarakan beberapa kritikan sebelum membuat kesimpulan dan beransur pulang.

Diskusi Falsafah Belajar

Buku ini dimulakan dengan pembentangan perihal falsafah belajar. (12) Belajar merupakan suatu kebolehan asasi manusia, malah ia adalah satu kebolehan yang kritikal untuk survival seorang manusia. Dengan upaya belajar, seorang bayi dapat menguasai skil-skil asas kehidupan seperti mengunyah makanan dan berjalan. Kemudian dia terus belajar, dia belajar untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya. Belajar memegang, merasa, dan berkomunikasi. Semua ini dilakukan tanpa perlunya bayi tersebut ke sekolah. Oleh itu dapat kita fahami bahawa upaya belajar itu telah tertanam dalam diri kita sejak lahir, tanpa perlu apa-apa bantuan formal. Manusia itu memang secara fitrahnya dilahirkan sebagai makhluk yang belajar.

Oleh kerana manusia memang merupakan seorang pelajar secara fitrahnya, kita melihat bagaimana anak-anak kecil begitu cepat belajar. Mereka meresapkan apa yang ada di sekeliling mereka tanpa perlu diberitahu. Dia belajar dari persekitarannya, belajar dengan cara meniru. Mereka akan belajar dengan apa yang mereka lihat dan dengar jauh lebih banyak dari apa yang “diajarkan” kepada mereka. Selepas itu bermulalah pembelajaran secara formal, apabila anak-anak kecil ini memasuki tadika dan sekolah.

Mengkritik Institusi Pendidikan

Saya kira banyak kritikan Sadiq dihalakan kepada institusi pendidikan formal, bukan kepada proses pembelajaran. Antaranya adalah sikap institusi pendidikan dalam membenarkan pelajar melakukan kesilapan. Sama ada kesilapan itu dianggap sebagai satu metod untuk manusia belajar, atau menganggap kesilapan itu sebagai satu kegagalan. (17) Saya kira kesilapan ini juga merupakan fitrah insani. Tiada manusia yang dapat lari darinya. Oleh itu, penting bagi guru atau pendidik untuk memberi ruang kepada pelajarnya melakukan kesilapan dan belajar darinya. Namun saya kira “membenarkan” disini bukanlah maksudnya menggalakkan atau membiarkan sahaja pelajar melakukan kesilapan, tetapi melihatnya sebagai proses pembelajaran dan tidak berputus asa pada pelajar-pelajar yang melakukan kesilapan. Ini bagi saya sangat penting. Membenarkan pelajar melakukan kesilapan juga bukanlah bererti melepaskan mereka tanpa hukuman, namun hukuman yang diberikan perlulah mengambil kira bahawa ia adalah untuk mengajar, bukan untuk memalukan atau melepaskan amarah. Dalam masa yang sama, ada juga kesilapan yang sepatutnya tidak dikenakan sebarang hukuman. Apa yang penting, ada hukuman atau tidak, pelajar perlulah belajar dari kesilapannya.

Ilmu Sebagai Manfaat Sosial

Dalam membahaskan ilmu-ilmu yang perlu dipelajari oleh pelajar, Sadiq memetik tulisan John Dewey yang menyatakan bahawa ilmu yang diajarkan perlulah mempunyai manfaat sosial. (22) Dalam kata lain, ilmu tersebut boleh digunakan oleh pelajar tersebut dalam kehidupan dan interaksinya bersama masyarakat. Sadiq memberi contoh ilmu sastera dan bahasa, ia seharusnya menjadi satu ilmu yang praktikal. Digunakan dalam memberi ceramah dan khutbah misalnya. Jika ia digunakan dan dipraktikkan, ini akan menjadikan ceramah dan khutbah lebih menarik dan sampai mesejnya kepada pendengar. Jika tidak, ia hanya menjadi ilmu untuk lulus periksa, manakala orang yang mendengar khutbah dan ceramah akan tidur.

Walaupun apa yang diutarakan Sadiq ini saya kira ada benarnya. Namun saya kira belajar bahasa dan sastera sahaja tidak cukup untuk melahirkan penceramah dan pengkhutbah yang baik. Kerana pengucapan awam ini adalah skil yang memerlukan latihan, ia tidak boleh dipelajari dengan hanya mempelajari sastera dan bahasa sahaja. Ceramah dan khutbah yang menarik bukan sahaja menggunakan kekuatan bahasa, ia juga perlu menggunakan variasi tona suara, bahasa badan, dan juga kemahiran mengenali audiens.

Apakah matlamat pendidikan?

Dalam membentangkan matlamat bagi pendidikan, Sadiq memetik buah fikir Jean Piaget dan menulis bahawa “matlamat utama pendidikan itu adalah untuk buat benda baharu”. (27) Saya tidak berapa bersetuju dengan hal ini. Ya, kita memerlukan perkara-perkara baharu dalam hidup. Tapi saya kira itu bukan matlamat pendidikan, tidak semua perkara yang lama itu tidak bagus, malah kebenaran itu tidak bergantung kepada masa, sama ada lama atau baharu. Kita tidak boleh samakan perkara baharu dengan kebaikan atau kebenaran. Jika satu kebenaran itu telah lama dijumpai dan dibuktikan, tidaklah bermakna tugas kita hari ini untuk mencari kebenaran yang lebih baharu.

Bagi saya matlamat pendidikan adalah untuk manusia mengenal dirinya, seterusnya mengenali alam sekelilingnya. Pendidikan haruslah bermatlamatkan kebenaran, seorang yang terdidik perlu bersedia mengikuti kebenaran berdasarkan bukti-bukti yang dipelajarinya. Pendidikan juga harus melahirkan pelajar yang jujur, yang bersedia mengikuti bukti-bukti yang ada untuk sampai kepada kebenaran. Bukan memanipulasi bukti untuk memilih kebenaran. Bukan juga memilih bukti-bukti yang dia mahu sahaja untuk disesuaikan dengan pemikirannya. Sebaliknya jika bukti itu mencabar pemikirannya yang sedia ada, dia harus bersedia menukar posisinya. Bagi saya inilah pendidikan, iaitu kesediaan kita mengubah pandangan seiring dengan bukti-bukti yang baharu.

Wacana Kritis Dalam Pendidikan

Antara elemen yang penting yang perlu ada dalam diri pelajar adalah sifat kritis. Sadiq menulis bahawa pemikiran yang kritis akan menghasilkan lebih banyak pembaharuan. (31) Saya bersetuju dengan pernyataan ini. Bagi saya, kritikan-kritikan yang lahir dalam perdebatan ilmiah itu sangat banyak melahirkan keilmuan yang baharu. Kritikan Edward Said terhadap penulisan cendiakawan Barat yang menulis perihal Timur misalnya, ia melahirkan cabang ilmu baharu yang mengkaji sifat-sifat penulisan Barat terhadap subjek Timur.2 Bidang kajian yang disebut sebagai post-colonialism ini mengkaji hubungan kuasa dengan subjek kajian mereka, bagaimana penguasaan itu mempengaruhi penulisan perihal sesuatu subjek.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan Sadiq bahawa kita perlu berani membuka ruang wacana kritis kerana dengan pembukaan ruang ini kita dapat meninjau idea yang lebih bermacam dan rencam. Kerencaman ini akan melahirkan sudut pandang yang pelbagai, memberi kita pandangan yang lebih menyeluruh terhadap sesuatu subjek. Ini penting agar kita dapat melihat sesuatu secara keseluruhan. Jika kita menyempitkan ruang penglihatan kita, kita hanya akan melihat sesuatu dari hanya satu sudut, pandangan kita tentulah tidak kaya dan kita tidak dapat memahami sesuatu masalah dengan terperinci.

Metodologi Pembelajaran

Saya berpandangan, dalam memberi solusi kepada masalah pendidikan, kita harus berhati-hati dari membuat generalisasi. Contohnya Sadiq ada membawakan pemikiran Paulo Freire dan mencadangkan bahawa metodologi dialog digunakan di dalam kelas, dengan guru menjadi fasilitator, bukan sebagai “tuan yang tidak boleh dicabar dan dibangkang”. (33) Saya kira hal ini praktikal dilakukan jika pelajar mempunyai sedikit pengetahuan dalam sesuatu subjek. Atau sesuatu subjek itu bersifat topikal yang memungkinkan ia dibincangkan.

Namun jika subjek itu bersifat pengenalan, yang para pelajar langsung tidak mengetahuinya, maka dalam hal ini tugas guru adalah menyampaikannya, dan pelajar perlu menerimanya. Contohnya jika pelajar itu baharu hendak mengenali ABC, bagaimana guru mahu berdialog dengan pelajar yang masih tidak mengenali huruf ini? Bagaimana jika pelajar itu sendiri masih belum mampu berdialog? Jadi saya kira ada keperluan pembelajaran itu bersifat didaktik dan hafalan selagi ia sesuai dengan keperluannya. Jika pelajar itu sudah sampai ke tahap mampu berdialog dan berbincang, maka pada ketika itu metod dialog sesuai digunakan. Tugas guru saya kira adalah menggunakan kaedah yang paling sesuai, yang menepati tahap dan kemampuan pelajarnya. Sebab itu tugas guru yang pertama adalah untuk mengenali muridnya, selepas itu barulah dia dapat menggunakan metod yang sesuai.

Hal ini ada juga disentuh oleh Sadiq, iaitu akan keperluan seorang pendidik memahami level pelajar. (52) Seorang guru harus sedar kemampuan pelajar, agar pendekatan yang digunakan sesuai dengan tahap penyerapan pelajar. Saya kira ini adalah sebab mengapa sesetengah sekolah mengasingkan pelajar mengikut kemampuan, ada pelajar kelas depan dan belakang. Walaupun mungkin kadangkala ia menjadi satu stigma, bahawa pelajar kelas belakang dianggap tidak pandai. Saya kira ia lahir dari keperluan yang praktikal, agar guru dapat menggunakan kaedah pengajaran yang berbeza untuk murid di tahap yang berbeza. Jika kita campurkan semua pelajar dan guna satu pendekatan, kita akan dikatakan menzalimi kemampuan pelajar yang lambat penyerapannya. Jika kita asingkan ikut kemampuan, kita dikatakan mencipta kasta dalam pendidikan. Oleh itu saya kira kita perlu berhati-hati juga dalam memberi kritikan dan membuat timbang tara dari sudut praktikaliti. Kita perlu sedar apa yang kita mahu capai.

Perasaan Ingin Tahu Sebagai Enjin Pembelajaran

Antara perkara menarik yang disentuh oleh Sadiq dalam membahaskan persoalan-persoalan pembelajaran dan pendidikan bagi saya adalah perasaan ingin tahu dalam diri manusia atau curiousity. Menurut beliau hal ini merupakan motivasi bagi manusia untuk mengingati satu perkara dalam usahanya memproses informasi. (68) Dalam kata lain, jika kita curious akan sesuatu perkara, kita akan cuba mencarinya dan kemungkinan besar kita akan lebih mampu mengingatinya berbanding satu informasi yang tidak menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri kita. Bagi saya, perasaan ingin tahu ini sememangnya merupakan motivasi besar dalam diri manusia. Kata Carl Sagan, manusia itu memang dilahirkan sebagai wanderer, fitrah kita memang ingin tahu dan ingin memahami, sebab itu manusia meneroka alam, cuba memahami rahsia-rahsianya.3

Juga perbahasan yang menarik yang diketengahkan oleh Sadiq adalah perihal gred. Dimana beliau menulis:

“Orang boleh bersaing gred, tetapi orang tidak boleh bersaing belajar. Tidak ada persaingan dalam pembelajaran. Pendidikan itu bukan suatu perlumbaan.” (90)

Saya kira quote ini sangat menarik dan benar. Pembelajaran adalah satu perjalanan untuk kita nikmati, ia bukan satu perlumbaan. Jika kita belajar untuk menikmati ilmu, kita akan menjumpai kebahagiaan dalam perjalanan kita. Menikmati ilmu pengetahuan dan juga menajamkan akal fikiran kita. Sebaliknya jika ia dijadikan perlawanan dan perlumbaan, kenikmatan itu akan hilang, ia akan menjadi satu aktiviti yang kering dari nilai-nilai yang membahagiakan. Pencarian ilmu adalah upaya manusia mengenali diri dan alam, semakin dalam pencariannya, semakin dia sedar bahawa saujana ilmu itu semakin luas terbuka untuknya dan semakin menarik untuk diterokai. 

Pembangunan Karakter, Etika, dan Moral

Perkara akhir yang saya ingin sentuh, yang saya rasakan menarik adalah apa yang dibahaskan Sadiq sebagai “pembangunan karakter”. Menurut beliau pencapaian-pencapaian akademik boleh dicapai dengan cara yang tidak jujur, tetapi pembentukan karakter seseorang tidak dapat dicapai dengan cara yang tidak jujur. (111) Dalam kata lain, seseorang itu tidak dapat menipu akan perihal karakternya. Oleh itu bagi Sadiq, pendidikan juga harus mengambil kira persoalan pembangunan moral, etika, dan akhlak manusia.

Saya masih ingat perbahasan yang ditulis oleh Francis Fukuyama ketika membahaskan kemajuan material dan budaya German. Beliau menulis bagaimana German merupakan satu negara bangsa yang begitu maju dalam bidang perindustrian, sangat tinggi kedudukannya dalam bidang falsafah dan kebudayaan. Namun kemajuan material dan budaya ini melahirkan satu kuasa Fasis yang kejam dan rasis. Oleh itu menurut Fukuyama, pembangunan material dan budaya perlu diiringi dengan pembangunan moral dan etika.4

Disebabkan itu dalam pendidikan Islam ditekankan soal adab dan akhlak, dan perkara ini tidak boleh dipisahkan dengan keimanan. Dengan berimannya manusia terhadap dosa, pahala dan hari pembalasan, manusia akan berlaku jujur dalam kehidupan walaupun tidak dilihat manusia. Ini merupakan karakter yang penting dalam pendidikan manusia. Seperti yang dibahaskan Sadiq dalam persoalan karakternya, jika ia tidak dibangunkan, kita akan melahirkan manusia yang cerdik menipu.

Kritikan Terhadap Buku

Saya sudah membahaskan beberapa perkara yang saya dapati menarik dari buku yang ditulis oleh Sadiq Salihoddin ini. Ada beberapa bahagian yang saya sertakan kritikan ringan, agar isinya boleh diperbaiki. Saya ingin menjurus fokus saya seterusnya pada kritikan terhadap buku ini.

Bagi saya, walaupun buku ini mengangkat tema yang begitu dekat dengan hati saya, saya dapati banyak perbahasannya tidak dihuraikan dengan begitu lumat. Sepertinya, Sadiq menyentuh beberapa persoalan, kemudian meninggalkannya dengan soalan-soalan retorik. Saya sedar, bukan semua kritikan itu dapat diberi solusi, kerana mungkin objek yang ingin diketengahkan adalah perbincangan terhadap suatu masalah. Tetapi saya kira, paling kurang, diberikan alternatif-alternatif yang mungkin boleh menjadi solusi, walaupun penulis tidak mengambil mana-mana posisi dalam alternatif yang dicadangkan. Bagi saya ini lebih memuaskan berbanding meninggalkan pembaca dengan soalan-soalan retorika.

Tetapi mungkin juga ini merupakan stail Sadiq dalam menulis. Mungkin ia dapat diterima oleh sebahagian pembaca, namun saya secara peribadi agak terganggu dengan gaya penulisan sebegini. Seolah-olah penulis pun tidak dapat mengenggam subjeknya dengan kejap dan hanya melontar-lontar soalan. Walaubagaimanapun, keberanian Sadiq untuk mengetengahkan isu-isu yang penting ini sudah melayakkan beliau untuk dipuji, cuma kritik saya adalah perihal cara perbahasannya, yang saya kira tidak begitu holistik dalam membincangkan sesuatu tajuk.

Kritik saya yang terakhir adalah buku ini tidak mempunyai ISBN. Sayang sekali buku yang bagus seperti ini tidak didaftarkan dan dikatalogkan. Harapan saya penerbit dapat mendaftarkannya agar ia tersimpan sebagai khazanah literasi untuk membentuk akal bangsa bagi generasi seterusnya.

Kesimpulan

Buku ini saya kira mengangkat satu topik yang malar segar. Isu-isu pendidikan dan pembelajaran bagi saya merupakan isu yang akan senantiasa sahaja relevan. Dan setiap zaman ia wajar disemak dan diulang fikir, agar pendidikan itu bersesuaian dengan keadaan zamannya dan mampu melahirkan generasi yang dapat menyelesaikan masalah yang mendesak di zamannya, bukan menyelak-nyelak persoalan retorik yang sudah ketinggalan zaman. Wajar juga menurut kira saya, timbul wacana-wacana yang agresif, kerana jika kritikan yang diberi longlai sahaja mungkin ia tidak mendapat perhatian sewajarnya. Bagi saya buku ini sedikit sebanyak mengisi wacana yang lompong dalam masyarakat kita hari ini perihal pembelajaran dan pendidikan, untuk itu saya ucapkan tahniah pada Sadiq Salihoddin.

Mencerna-Persoalan-Persoalan-Pembelajaran-dan-PendidikanDownload

Rujukan:

Sadiq Salihoddin. Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah. Republik Buku, 2022.Edward W. Said. Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Penguin Books, 1991.Carl Sagan, Ann druyan. Pale Blue Dot: A Vision of the Human Future in Space. Ballantine Books, 1997.Francis Fukuyama. The End of History and the Last Man. Free Press, 2006.

Nota:

Bagi memudahkan rujukan, setiap isi yang disentuh dan dihuraikan dalam penulisan ini disertakan dengan nombor mukasurat dalam kurungan dari naskah buku asal. Versi yang dirujuk adalah buku yang bertajuk Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah. Karangan Sadiq Salihoddin. Terbitan Republik Buku, Mei 2022.

The post Mencerna Persoalan-Persoalan Pembelajaran dan Pendidikan appeared first on The Independent Insight.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 22, 2022 06:25

Menganalisa Makna-Makna Prosa Dalam Puisi ‘Merenung Matahari Mac’ Karya Petak Daud

Apabila helaian yang ke enam itu,

tergantung kukuh di dahan ragu,

apakah kau masih mengingatkan,

ia akan terus selamanya begitu? (49)

Saya merasakan saya membaca dan menghabiskan buku ini pada matahari yang salah. Mungkin terlalu awal atau lambat, kerana yang ada kini hanya matahari November ketika Malaysia dilanda Pilihanraya Ke-15. Tetapi pada matahari ini juga signifikan, seperti madah sajak Petak Daud perihal keguguran kuasa. Apa pun kuasa itu, sekukuh mana pun ia, apabila sejarah bertiup, ia akan gugur juga dari dahan ragunya. Dahulu mungkin saya minat bersorak, namun usia semakin lama membuatkan saya semakin agnostik perihal politik. Mungkin begitu lebih mengamankan, bak kata orang Kedah, I don’t have a dog in this fight. Wallahualam, saya ingin menulis perihal buku puisi bukan politik.

Sebelum itu, saya pun tidak tahu sebenarnya sama ada puisi itu boleh diulas atau tidak. Kerana ia bersifat bebas, tambahan lagi puisi moden, bukan sahaja tidak terikat pada undang-undang dari segi bentuk dan gaya bahasa, maknanya juga bebas. Tapi bagi saya, kebebasan itu harus juga dipanjangkan, bukan pada pemuisi yang menulis, tetapi juga kepada pembaca yang membaca. Seperti yang dikatakan Ehrman, akhirnya pembacalah yang akan memberikan makna kepada teks.[1]

Naskah ini bagi saya melankolik, banyak bait-baitnya menggambarkan perasaan terbuang dalam percintaan. Namun ada juga tema-tema lain, menyentuh hal ketuhanan, alam, keluarga, kuasa, dan sejarah. Sebenarnya ketika membaca naskah ini, minda saya terlalu cergas, berlari ke sana ke mari, jadi sukar untuk memaksanya duduk dan berfikir, sering sahaja apabila ditangkap, ia lari semula. Perlu bermain kejar-kejar untuk fokus. Namun akhirnya ada juga beberapa bait yang maknanya sangkut di kepala saya. Maka saya mahu memetik beberapa.

baju mu mahal sekali.

Berbanding tubuh badan ku;

disarung-sarungkan apa pun,

yang jelas dan nyata,

hanyalah dosa. (22)

Entah kenapa bait ini sangat saya minati. Mungkin kerana ada elemen muhasabah dan introspeksi diri. Tentang bagaimana dosa-dosa yang kita kumpul sebagai manusia, tidak dapat kita tanggalkan dengan jubah-jubah yang mahal. Mungkin juga pada nadanya, yang menyanggah faktor-faktor harta, dalam memberikan ketenangan dan kejernihan hati, dalam usaha memadam segala kegelisahan dosa.

Duri di kaki ibu,

tercucuk di kaki saya.

Jika ibu lebih sakit,

saya tak kisah sakit sedikit. (23)

Melihat orang yang kita sayang sakit, kadang membuatkan kita tertanya, oh Tuhan, berikanlah kesakitan itu padaku sedikit. Mungkin itu lebih dekat dengan makna cinta, bahawa kita mahu berkongsi bukan sekadar suka, tetapi juga kesakitan. Jika boleh, dengan segala upaya, kita mahu mereka tidak merasa sakit, tidak merasa sedih. Walaupun mustahil, tetapi kitakan boleh berharap? Harapan itu percuma. Kita pasti berusaha menghilangkan kesakitan orang yang kita sayang, apatah lagi jika orang itu kita sebut sebagai ibu. Ada juga sebuah puisi dimana penulis memohon agar Tuhan memanjangkan masa, agar dia dapat terus menatap, wajah seorang ibu. (41)

Saya juga mendapati banyak sekali sajak yang ditulis Petak perihal hujan. Sebagai seorang yang pluviophile, saya merasakan tema-tema alam ini sememangnya menyamankan jiwa. Ada sesuatu yang ada pada hujan yang bisa membuatkan jiwa manusia terasa aman, terasa rindu dan ingin bernostalgia. Saya kira, penyajak, penyair, pemuisi, begitu banyak sekali yang menyukai hujan, kerana itu ia sering menjadi tema-tema penulisan mereka.

Aku seperti pernah merasa,

perasaan yang serupa.

Lagu ini,

lirik ini;

yang mengembalikan kau,

di dalam rangkulan gurau. (48)

Rangkap ini berbekas dihati saya kerana saya juga sering menghadapi perasaan yang sama. Saya juga pernah menulis puisi yang bertajuk Muzika tatkala ada lagu yang masuk ke dalam telinga meresapkan perasaan ingin bernostalgia.[2] Membuahkan perasaan-perasaan silam yang saya sendiri sudah terlupa. Kadang-kadang ia berjaya memutikkan bahagia dan gembira dalam hati secara semulajadi. Walaupun mungkin kesannya hanya sebentar, namun sebentar sebenarnya sudah cukup untuk bahagia.

Mungkin sejarah yang banyak,

lunak ataupun tidak,

akan memberikan perancangan,

sebuah rapian yang kemas,

dan cerdas,

kepada ilham,

yang karam. (80)

Sebagai pelajar sejarah, ini mungkin bait puisi kegemaran saya. Pertama ia memberikan gambaran sifat sejarah yang tepat. Kadang ada orang yang mahukan sejarah itu bersifat inklusif, tetapi ini bertentangan dengan kebebasan dan keobjektifan sejarah. Sejarah itu untuk dipelajari, baik atau buruknya, seadanya berdasarkan bukti-bukti yang ada. Ia bukan ditulis untuk menyedapkan telinga atau membahagiakan jiwa. Kadangkala membaca sejarah membuatkan kita sedih, kecewa, marah, ada juga tikanya ia membangun rasa bersemangat. Ia perlu kita terima keseluruhannya.

Kedua rangkap “memberikan perancangan…kepada ilham”, rangkap ini mungkin agak argumentatif dalam sejarah. Pemaknaan bahawa sejarah mampu mengajar kita sesuatu untuk digunakan di masa hadapan. Seolah sejarah boleh berulang. Namun ada juga pendapat yang merasakan setiap peristiwa sejarah itu unik, tidak ada pattern dalam sejarah, masing-masing punya hujah yang tersendiri. Manapun yang benar, ulasan saya bukan perihal argumen sejarah, tetapi kekuatan puisi ini yang berjaya invoke perbahasan ini.

Kesimpulan

Kesimpulannya, saya merasakan naskah ini sangat menyegarkan. Sesuai diselitkan ditengah-tengah pembacaan yang berat untuk meregangkan kembali urat-urat otak. Membaca puisi juga bagi saya merupakan latihan untuk kita cuba memberikan satu fokus, pada aksara-aksara di depan mata. Kerana tanpa fokus, perenungan tidak akan dapat kita lakukan. Dan tanpa renungan tiada makna yang bisa kita tafsirkan. Puisi yang baik bagi saya adalah yang mampu mengusik hati, bahasanya mudah tetapi maknanya dalam, meresap jauh ke dalam jiwa kita walaupun naskahnya telah kita lama hadam.

Nota

Bagi memudahkan rujukan, setiap bait puisi yang disentuh dan dihuraikan dalam penulisan ini disertakan dengan nombor mukasurat dalam kurungan dari naskah buku asal. Versi yang dirujuk adalah buku yang bertajuk Merenung Matahari Mac. Puisi oleh Petak Daud. Terbitan Selut Press, 2017

Menganalisa-Makna-Makna-Prosa-Dalam-Puisi-Merenung-Matahari-Mac-Karya-Petak-DaudDownload

[1] Bart D. Ehrman. Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. HarperOne, 2005. Lihat halaman 216-218.

[2] Syed Ahmad Fathi. Muzika. Meniti Jambatan Masa, 22 September 2022. Pautan: https://bersamakepuncak.blogspot.com/2022/09/muzika.html

The post Menganalisa Makna-Makna Prosa Dalam Puisi ‘Merenung Matahari Mac’ Karya Petak Daud appeared first on The Independent Insight.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 22, 2022 06:16

October 31, 2022

Pedagogi Cinta Wira-wirawati Sukadidik

(Ulasan antologi ‘Mendidik Untuk Bahagia’)

Oleh : Izzuddin Khalis

Tulisan ini mungkin sedikit panjang atau overwritten bagi sebahagian pembaca. Kerana sepanjang saya membaca buku ini, kerap kali muncul berbagai persoalan tertentu di dalam benak fikir saya. Ia memaksa saya untuk merenung dan berfikir lama untuk memprosesnya. Jadi, penulisan saya ini mungkin tidak hanya terbatas kepada ulasan saya terhadap buku ini, tetapi turut menyentuh isu-isu dan persoalan tertentu yang berkait dengan intipati-intipati yang terkandung di dalamnya.

Tanggal 9 Disember tahun yang lalu, buku Mendidik Untuk Bahagia yang saya pesan dari senior merangkap penyusun dan penyunting bagi naskhah ini, Syed Ahmad Fathi, telah sampai ke tangan saya. Malangnya, sepanjang baki-baki hari penghujung tahun lalu, di atas kesibukan untuk melangsaikan tugasan-tugasan universiti yang tertangguh, saya hanya sempat membelek-belek naskhah ini di samping menghirup bau harum helaian-helaian kertas yang baru sahaja dicetak ini.

Alhamdulillah, pada awal Januari tahun ini dengan izin Allah, saya punya sedikit ruang untuk meluangkan masa-masa kosong untuk diisikan dengan bacaan-bacaan santai (leisure reading) sebagai terapi dan escapism buat diri setelah penat lelah minggu-minggu beraktivisma menyantuni mangsa-mangsa banjir di Hulu Langat dan waktu selebihnya bersengkang mata menatap skrin bagi menghabiskan assignment. Setelah menamatkan ‘Stigma’, sebuah novel fiksyen karangan Muharikah yang telah saya tulis resensinya (boleh dibaca di laman sesawang kalamkehidupan.home.blog) beberapa hari yang lalu, terus saya mencapai naskhah ini untuk meneruskan pembacaan saya.

Antologi Mendidik Untuk Bahagia ini, seperti yang dijelaskan oleh penyunting di dalam pengenalan buku ini, merupakan kumpulan tulisan, pengalaman, kisah, juga perkongsian perasaan para sukarelawan pendidikan SukaDidik. Bagi yang belum mengenali apa itu SukaDidik, ia adalah sebuah projek sukarelawan pendidikan yang dianjurkan oleh Biro Sukarelawan Pendidikan Persatuan Lepasan Matri (PLM) bagi pelajar-pelajar Marhalah Khassah (Tingkatan 6) dari Ma’had at-Tarbiyah al-Islamiyah (MATRI). Sepanjang setahun setengah mereka di MATRI, mereka perlu melalui dan lulus kesemua modul-modul Turuq Tadris (teknik-teknik mengajar) atau juga dikenali sebagai Latihan Asas Mendidik (LAM) yang merangkumi kelas-kelas teori dan amali bagi melayakkan mereka untuk dihantar sebagai sukarelawan pendidikan ke beberapa kawasan terpencil di Sabah seperti Lahad Datu dan Semporna, ataupun ke Satun (Thailand), Pulau Tuba (Langkawi) dan juga beberapa tempat lain mengikut permintaan dan keadaan tertentu setiap kali pasukan SukaDidik dihantar. 

Jika di Sabah, kebanyakan sukarelawan SukaDidik akan ditempatkan di cawangan-cawangan Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang ada di sana. PPMI yang ditubuhkan pada 16 September 2011 merupakan sebuah pusat pendidikan alternatif yang menyasarkan anak-anak etnik minoriti (khususnya Bajau Laut atau Palauh) dan miskin luar bandar Sabah yang terpinggir daripada program pembangunan aliran arus perdana negara. Uniknya PPMI ini, ia ditubuhkan dan dibina oleh komuniti setempat bahkan dioperasikan oleh mereka sendiri dengan bimbingan sebuah NGO yang dikenali sebagai HALUAN yang turut melibatkan badan serta agensi kerajaan.  Antara cawangan PPMI yang telah ditubuhkan di Sabah adalah seperti di Kg. Tagupi Laut, Kg. Simuning, Kg. Hidayat (Semporna) dan banyak lagi yang tidak dapat saya sebutkan disini. Jika para pembaca ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan hal-hal yang telah disebutkan di atas, saya menyarankan anda untuk mendapatkan naskhah antologi ini dari media sosial SukaDidik.

Sejujurnya, saya amat mencemburui barisan penulis yang terlibat dengan penghasilan buku ini kerana saya tidak berpeluang untuk berkongsi pengalaman dengan mereka walaupun pernah menjejakkan kaki dan melihat sendiri anak-anak Sabah ini pada tahun 2015 sewaktu bertugas sebagai seorang jurufoto “tidak bertauliah” ketika mengiringi delegasi sebuah NGO tempatan. Tambahan pula, seperti mereka, saya turut melalui susur galur pendidikan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Marhalah Khassah, MATRI. Bahkan, sebahagian daripada mereka adalah segenerasi dengan saya ketika di MATRI. Tetapi sepanjang saya bergelar “budak Khassah” selama kurang lebih setahun setengah, saya belum cukup “tercerah” untuk menyedari betapa pentingnya sebuah proses untuk melayakkan diri menjadi seorang pendidik ummat. Saya akui sepanjang menuntut di MATRI, saya tidak dapat memberi komitmen yang baik ketika mengikuti pengajian Turuq Tadris. Tak dapat dinafikan ada ketika saya ponteng kelas oleh kerana guru kami, Ustaz Yazib bin Noh memberi kelonggaran kepada para pelajar untuk tidak menghadirkan diri ke kelasnya jika tidak berminat. Alhasilnya, saya tidak layak untuk mengikuti pasukan Sukadidik pada tahun tersebut. Maka, pesanan ikhlas dan tulus dari saya buat generasi Khassah hari ini dan yang akan datang agar tidak mengulangi kenaifan dan kesilapan yang sama.

Sejurus membaca kisah-kisah yang terkandung di dalam buku ini, saya seakan-akan dibawa mengembara bersama mereka di dalam menyantuni warga-warga tercicir dari pendidikan mainstream tanah air. Saya percaya penamaan judul buku ini sendiri sudah cukup untuk merumuskan perasaan yang boleh dikongsi bersama oleh penulis mahupun pembaca. “Bahagia”.

Bagi anak-anak bandar dan yang bernasib baik (privileged), mungkin rata-ratanya mengagumi watak-watak fiksi dari filem-filem atau animasi-animasi kegemaran mereka dan menganggapnya sebagai wira, idol, hero dan heroine bagi kehidupan mereka. Sebahagian daripada mereka mungkin meminati fiksi-fiksi dari Timur seperti Anime, mungkin karakter-karakter seperti Luffy (One Piece), Eren (Attack on Titan), Tanjiro (Demon Slayer) dan Saitama (One Punch Man) dan ada juga yang turut menggemari fiksi-fiksi barat seperti watak-watak dari Marvel Studios dan DC Comics. 

Tetapi saya yakin, bagi anak-anak yang kurang bernasib baik ini pula, watak-watak relawan SukaDidik inilah yang menjadi wira dan wirawati mereka. Wajah-wajah inilah yang pernah hadir di dalam hidup mereka lalu mendidik, membimbing serta membebaskan mereka daripada peri peritnya kejahilan kepada nikmatnya berpendidikan. Istimewanya mereka, wira dan wirawati anak-anak ini wujud di dunia nyata. Mereka secara langsung dapat merasai sentuhan, kasih sayang, teguran, bebelan dan segala interaksi yang menghidupkan bersama wira-wira mereka. Berbanding dengan kita di sini, kita sejak dari kecil diasuh dan dibesarkan dengan wira-wira fiksi dan animasi yang pada hakikatnya tidak pun wujud di alam realiti (yang mungkin menginspirasikan, tetapi tidak dapat menghidupkan). Naif kan kita?

Setelah menyelami kisah-kisah mereka, saya percaya para sukarelawan ini tidak sekadar “sukadidik”, tetapi mereka adalah pasukan “cintadidik”. Mereka tidak mendidik hanya sebatas “suka-suka”, bahkan mereka mendidik dengan penuh rasa cinta. Dari rasa cinta inilah, muncul pengorbanan dan iltizam (kesungguhan luar biasa). Biar terpaksa meninggalkan keluarga tercinta, terpisah dan terasing dari kehidupan kota yang selesa, hidup di dalam keadaan yang serba kurang, sumber bekalan air bersih yang terhad, tempat menetap yang sering diceroboh kera, pagi dan petang berulang-alik ke perigi malah perlu bekerja serta mendidik di dalam suasana dhaif dan kurang kondusif. Kesemua cabaran ini telah menjadi rutin yang perlu mereka harungi sepanjang di sana. Betapa besarnya nilai cinta mereka kepada anak-anak tercicir ini yang telah mereka terjemahkan dengan beramal (bekerja) di medan realiti. Penulisan mereka bukanlah manifestasi yang berupa madah-madah kosong dan retorik semata. Penulisan mereka ini dibayar dengan harga pengalaman, titik peluh dan pengorbanan yang tidak boleh ditafsirkan lewat kata-kata.

Jika para ulama’ dahulu, mereka bermusafir dan merantau untuk mencari guru untuk bertalaqqi dan menuntut ilmu’, mereka ini pula berkelana untuk mendidik dan menyampaikan ‘ilmu kepada anak-anak terpinggir yang dahagakan pendidikan dan perhatian. Persis seperti penceritaan yang sering digambarkan oleh novelis Indonesia, Andrea Hirata di dalam karya-karyanya, khususnya novel “Guru Aini”. Jika watak utama di dalam novel tersebut, Desi Istiqomah, bermusafir jauh meninggalkan ibu, ayah dan tempat tinggalnya demi mencurah bakti dan ilmu kepada anak-anak kampungan dengan idealisme “matematik”nya. Mereka ini pula menyasarkan objektif yang lebih besar, iaitu membawa visi pendidikan asasi manusia, iaitu untuk membaca, menulis dan mengira, seiring dengan menyemaikan pendidikan agama. Memetik sepotong ayat yang diungkapkan oleh Guru Desi, “Seseorang tidak patut mendapat penghargaan kerana melakukan pekerjaan yang memang kewajipannya, seorang guru harusnya berbuat lebih daripada sekadar mendidik.”

Kerana itu saya berpandangan bahawa, kesanggupan generasi muda watan ini untuk menempuh getir dan perih dengan merantau jauh demi kemaslahatan pendidikan anak-anak bangsa yang tercicir, seiring dengan keghairahan dan tekad anak-anak tercicir ini untuk menuntut ilmu sedaya upaya mereka; telah menjadi bukti bahawa pribumi tanah ini tidak malas! Hanya elitis yang Eurosentris dan bersikap apologetik terhadap kolonialisme sahaja yang masih terkurung di dalam naratif “pribumi malas” itu. 

Suka saya untuk membawa para pembaca menaakuli pemikiran seorang intelektual pendidikan yang berasal dari Brazil, Paulo Freire yang terkandung di dalam magnum opusnya, Pedagogy of The Oppressed (Pendidikan Kaum Tertindas). Freire bukanlah seorang aristokrat yang datang dari keluarga borjuis yang hidup serba senang dan selesa. Cukuplah untuk digambarkan kehidupannya ketika kecil tidak lebih dari sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bahkan, beliau membesar di sebuah perkampungan yang dihuni oleh masyarakat yang miskin, tersisih dan terabai kebajikan mereka, khususnya dalam soal pendidikan. Maka, dengan pengalaman dan pemerhatian secara empiris Freire terhadap masyarakat yang menjadi sebahagian dari hidupnya, dia merasakan bahawa perlunya kepada sebuah anjakan paradigma yang radikal bagi mereformasi sistem pendidikan sedia ada kepada sebuah pedagogi pendidikan yang membebaskan.

Bagi Freire, sebuah proses pendidikan itu tidak boleh terjadi secara autoritarian. Beliau memberi perumpamaan pendidikan yang autoritarian ini adalah seperti proses transaksi perbankan. Pemindahan ilmu dari seorang pendidik (guru) kepada yang dididik (pelajar) tidak seharusnya berlaku seperti proses pemindahan wang dari suatu akaun bank yang berisi kepada akaun bank lain yang tidak berisi. Jika pendidikan difahami dengan cara ini, maka ia akan menisbahkan guru sebagai pihak yang cerdik dan berkuasa manakala pelajar pula sebagai pihak yang bodoh dan lemah. Dikotomi “cerdik” dan “bodoh” inilah yang akan membuka ruang kepada pendidik untuk bersikap autoritarian dan dominan sejurus memaksa pelajar untuk menerima bulat-bulat serta menjadi tukang angguk terhadap segala ilmu dan pandangan gurunya tanpa banyak soal. Sami’na wa atho’na

Matlamat pendidikan menurut Freire, seharusnya berakhir dengan terbentuknya sebuah masyarakat yang mempunyai kesedaran kritikal (critical conciousness). Daripada kesedaran itu, mereka mampu mengeluarkan diri mereka daripada ketidakadilan secara mandiri. Oleh itu, proses pendidikan yang autoritarian tidak terpakai buat kaum tertindas bagi mencapai matlamat ini. Kerana ia akan membuka ruang penindasan yang akan terus berlaku secara sistemik, menggagalkan matlamat pendidikan serta melumpuhkan emansipasi (kebebasan) sejagat. 

Jadi apakah jalan keluar kita daripada pedagogi yang menindas ini?

Dialog, tambah Freire, adalah jalan keluar bagi mengatasi permasalahan pedagogi yang autoritarian ini. Kata beliau, “through dialogue, the teacher of the students and the students of the teacher cease to exist and a new term emerges: teacher-student with students-teachers…. [T]he teacher is no longer merely the one who teachers, but one who is himself taught in dialogue with the students, who in their turn while being taught also teach”. “Dialog” di sini bukanlah bermaksud kebiasaan orang-orang ternama berbahas dan beretorik di pentas wacana. Tetapi, dialog yang dimaksudkan oleh Freire ialah interaksi antara pendidik dan pelajar yang bebas dari sebarang elemen hierarki dan autoriti. Guru mahupun anak murid, kedua-dua posisi tersebut menggalas amanah kemanusiaan yang sama, iaitu saling mempelajari antara satu sama yang lain. Bukan hanya si pelajar yang harus belajar, tetapi si guru pun turut sama belajar dari anak didiknya. Oleh yang demikian, saya melihat bahawa hakikat menjadi sukarelawan pendidikan sangat berkait rapat dengan deskripsi pedagogi yang Freire bawakan.

Khulasahnya, saya berterima kasih kepada para sukarelawan SukaDidik yang telah berani untuk berkarya biarpun mungkin ada dari kalangan mereka baru kali pertama menulis. Saya percaya dengan penerbitan naskhah antologi ini, mereka tidak sekadar berjaya mendidik anak-anak bangsa yang tersisih dari arus perdana, mereka juga telah berjaya menyedarkan masyarakat awam yang lainnya tentang ketidakadilan sosial yang masih berlaku hingga ke hari ini. Seperti yang telah ditegaskan oleh penyunting di dalam antologi ini, “Penulisan yang jujur sebenarnya adalah penulisan yang paling berharga, paling mudah berjaya untuk masuk ke dalam hati-hati manusia…nasihat yang telah kita tinta ini akan lebih bernafas panjang.”

Tamat.

The post Pedagogi Cinta Wira-wirawati Sukadidik appeared first on The Independent Insight.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 31, 2022 09:15

October 15, 2022

Tan Sri A. Samad Ismail dan Dunia Kewartawanan

Tan Sri A. Samad Ismail bukan sahaja dikenali sebagai seorang wartawan malah beliau juga merupakan seorang ahli politik yang bermain di belakang tabir dan juga perancang utama dalam gerakan-gerakan menentangan penjajah. Disamping itu, beliau merupakan pembimbing dan pencetus dalam perjuangan Bahasa Melayu sejak tahun 40-an lagi.

Kerjaya Pak samad sebagai wartawan bermula sejak berumur 16 tahun lagi. Beliau yang berkelulusan Victoria Scholl tidak tunggu lama untuk menyinar kerana mendapat didikan terus dari Bapa Kewartawanan Melayu, Abdul Rahim Kajai. Didikan yang diberikan oleh Rahim Kajai amat keras dan perangai tersebut telah diwarisi oleh Pak Samad sendiri secara langsung.

Semasa zaman penjajahan British, pihak pemerintah banyak membuat sekatan terhadap gerak-geri penulis. Maka tidak semua laporan boleh ditulis dalam bentuk fakta dan esei. Akhirnya, laporan tersebut harus diolah dan ditulis dalam bentuk penulisan kreatif. Para penulis pada ketika itu banyak menceburkan diri dalam bidang penulisan kreatif bagi meniupkan semangat api nasionalisme. Penulisan kreatif yang cuba ditampilkan oleh Pak Samad berbeza dengan gaya yang ditampil oleh penulis lain seperti A. Samad Said atau Arena Wati. Bahasanya bersifat kewartawanan dan kurang terdapat unsur-unsur berbunga.

Sepanjang penglibatannya bersama Utusan Melayu, Pak Samad tidak banyak berkonflik dengan pihak akhbar kerana Utusan Melayu pada masa itu ditubuhkan oleh dana-dana orang Melayu sendiri dan perjuangan yang dibawa dalam utusan Melayu adalah perjuangan orang Melayu. Jika diimbau kembali, wartawan pada masa dahulu bukan sahaja berperanan sebagai seorang wartawan semata-mata, malah lebih dari itu. Mereka juga diangkat sebagai pejuang kebangsaan kerana peranan mereka menyemarakkan api kemerdekaan di dalam penulisan mereka.

Mengutip pandangan Ku Semam berkaitan soal kebebasan media dan akhbar, beliau berpandangan bahawa tidak ada yang dinamakan sebagai kebebasan mutlak kerana yang ada hanyalah tanggungjawab wartawan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Beliau menambah bahawa wartawan bukan sahaja sebagai pelapor, tetapi mereka inilah yang membentuk pemikiran rakyat. Dikeranakan kualiti wartawan yang ada pada masa sekarang, masyarakat merasakan mereka tidak memerlukan wartawan kerana maklumat-maklumat semasa boleh dicapai tanpa penglibatan wartawan.

Namun apabila menyingkap tentang kebebasan media, tangan-tangan politikus memainkan peranan penting dalam membungkam kreativiti dan keberanian wartawan terutamanya pasca kemerdekaan sehingga kini. Utusan Melayu yang pada suatu ketika dahulu lantang bersuara mengangkat suara-suara orang Melayu, kini terpaksa tunduk kepada kehendak ahli politik.

Sepanjang hayat Pak Samad, beliau kurang terlibat dengan mana-mana parti politik. Jika ada sekalipun adalah peranan beliau bersama Lee Kuan Yew ketika menubuh People Action Party (PAP). Namun akhirnya, beliau memisahkan diri dari PAP kerana kedua-duanya mempunyai tujuan mereka masing-masing. Kerana takutkan pengaruh dan kebijaksanaan dari Pak Samad, presiden Singapura telah mencari helah untuk mengasingkan Pak Samad ke Indonesia dan berkhidmat sebagai koresponden. Tidak cukup dengan itu sahaja, beliau juga pernah dipenjara sebanyak dua kali semasa zaman pemerintahan British. Selain itu, beliau pernah menjawat jawatan Ketua UMNO cawangan Singapura tetapi hanya untuk beberapa tahun sahaja.

Semasa pendudukan Jepun, Pak Samad meneruskan kerjayanya sebagai wartawan bersama Berita Malay yang menjadi lidah rasmi pemerintah Jepun pada masa itu. Namun ia tidak bermaksud yang Pak Samad bersekongkol dengan pihak Jepun melainkan hanyalah sebuah wadah atau jalan bagi menyampaikan ideologinya kepada masyarakat untuk mengangkat perjuangan orang Melayu. Dalam hal ini, beliau membuat keputusan untuk memilih mudharat yang lebih kecil berbanding bekerjasama dengan British. Disamping itu kesan buruk yang dibawa oleh British lebih besar berbanding Jepun

Sepanjang kerjaya, beliau banyak memperjuangkan hak-hak orang Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan orang Melayu. Antaranya seperti penglibatan beliau dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, PENA dan ASAS 50. Pak Samad juga berperanan besar dalam menggilap bakat-bakat penulis muda dalam bidang kewartawanan yang kelak menggantikan kedudukan beliau sebagai ketua pengarang dan editor.

Pada tahun 1961 telah terjadi suatu peristiwa hitam dalam sejarah Utusan Melayu apabila sebuah mogok telah tercetus yang dipimpin oleh Usman Awang selama 90 hari. Tujuan mogok ini adalah bagi menentang campur tangan orang politik dalam dunia editorial surat khabar. Campur tangan daripada ahli politik adalah perlu bagi menghalang berita-berita yang tidak enak berkaitan politik tanah air sampai kepada masyarakat.

Selain terlibat dengan Utusan Melayu, beliau juga pernah bergabung dengan New Straits Times Malaya dengan sebuah identiti yang terpisah daripada New Straits Times di Singapura. Pak samad ada menulis sebanyak 11 novel antaranya adalah Ingin Jadi Pujangga yang melakarkan seluruh kehidupannya, Patah Sayap Terbang Jua yang menerangkan tentang perjuangan wartawan pada zaman Inggeris serta Kail Panjang Sejengkal yang mengisahkan tentang perjuangan mengangkat bahasa Melayu.

Ku Seman turut menambah bahawa wartawan seharusnya berada pada kedudukan yang keempat selepas kehakiman, undang-undang dan legislatif. Hal ini bermakna wartawan seharusnya memberikan laporan kepada rakyat tentang apa yang dilakukan oleh pemerintah. Wartawan mesti berpihak. Tidak ada istilah wartawan yang neutral dan yang dimaksudkan dengan berpihak itu adalah wartawan harus berpihak kepada kebenaran. Wartwan juga adalah pemikir dan pejuang. Memetik kata-kata A.Samad Said dalam karya Hujan Pagi, “wartawan yang makan gaji terpaksa makan hati”. Begitulah yang dapat diungkapkan tentang perjuangan yang harus ditempuhi oleh seorang wartawan.

*Tulisan ini adalah wawancara bersama dengan Ku Seman.

The post Tan Sri A. Samad Ismail dan Dunia Kewartawanan appeared first on The Independent Insight.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 15, 2022 20:16

Peri-Makna dan Kepentingan Sastera di Alam Melayu

Sastera yang sepatutunya kita kenali pada hari ini tidak seharusnya dipandang sebagai suatu bidang picisan dan terpinggir. Jika kita lihat dalam bidang pengajian Melayu, ramai diantara mereka merupakan pengkritik sastera moden dan bukannya dalam kalangan pengkritik sastera tradisional atau klasik. Hakikatnya sebahagian pengkritik sastera klasik juga tidak memahami apa yang dikatakan sebagai sastera klasik. Mereka menganggap bahawa sastera klasik hanyalah sebagai satu pemikiran yang bersifat sosial, keakuan, keheroan dan satria sehingga sebahagian mereka memahami sastera klasik ini hanya menceritakan tentang watak hero masa lampau sehingga mereka lupa bahawa sastera klasik sebenarnya bertujuan menceritakan tentang diri manusia keseluruhannya. Selain kalimah kesusasteraan, ia juga dikenali sebagai persuratan oleh sebahagian sarjana. Fungsi persuratan adalah untuk menyingkap perkara-perkara yang tersirat terutamanya berkaitan dengan rahsia kejadian dan kewujudan alam.

Mengambil contoh dari tradisi ajaran Hindu atau Buddha kita akan dapati tujuan sastera adalah untuk memahami diri manusia dan alam sehingga diri manusia mampu untuk mencapai ke alam yang tertinggi iaitu kebebasan jiwa. Hal ini kerana persoalan yang paling besar yang selalu bermain dalam kehidupan manusia adalah persoalan tentang tujuan hidup. Ini menjadi bukti ketidakpisahan antara sastera dan agama. Dalam agama Hindu ada tiga unsur yang ditekankan iaitu sastera, sutra dan yoga. Sastera merupakan manifestasi luaran yang menceritakan tentang kejadian yang berlaku secara zahir. Sutra pula adalah jalan untuk mencapai ke alam yang tertinggi manakala yoga pula adalah dialektika dan pengalaman dalaman atau batin. Dari sini kita membuat satu kesimpulan ringkas bahawa sastera itu merupakan manifestasi daripada kata-kata yang menggambarkan segala perkara yang berlaku di dalam diri manusia.

Berbalik kepada tradisi Islam, di dalam Al-Quran ada disebutkan bahawa para nabi diutuskan kepada sesebuah bangsa menggunakan bahasa mereka sendiri. Di sini kita juga harus bersetuju bahawa mana mungkin seorang nabi atau rasul yang membawa peringatan dari Tuhan, menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh bangsa tersebut. Walaupun bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa itu berbeza-beza, namun mesej yang hendak disampaikan adalah sama iaitu mesej kesatuan dan pengakuan tentang keesaan Tuhan. Dalam dunia sastera Melayu klasik ramai ulama Melayu tradisional membicarakan tentang ke’satu’an dengan menggunapakai istilah ‘ada’, ‘wujud’, atau ‘ma hiya’. Kesemua ini bertujuan untuk membawa pembaca mengenal Yang Satu.

Apabila munculnya zaman revolusi perindustrian atau zaman permodenan di Barat, kita dapati hampir semua perkara di dunia ini mesti dibuktikan secara objektif menggunapakai kaedah demonstrasi atau eksperimen. Kita tidaklah menafikan penggunaan kaedah-kaedah tersebut untuk mengetahui sesuatu kebenaran. Namun kita harus sedar bahawa di sisi lain, kita mempunyai satu lagi kaedah yang dipanggil sebagai pengalaman rohani atau ilham untuk mengenali diri. Masyarakat klasik pada zaman dahulu mengenali diri mereka dengan menggunapakai kaedah ini. Hal ini penting berdasarkan sebuah ungkapan, “Barangsiapa yang tidak mengenali diri sendiri, dia tidak mengenali Tuhannya”. Ini terbukti jika kita perhati dari zaman Hamzah Fansuri sehingga ke zaman Amir Hamzah, semuanya menceritakan tentang pengalaman diri dengan Tuhan atau perkara-perkara yang berkaitan dengan tasawauf.

Tambahan lagi, sastera sepatutnya memainkan peranan sebagai pembicara tentang diri manusia, makna diri dan kehidupan diri manusia. Sastera bukanlah berperanan membicarakan tentang perkara seharian. Apa yang paling penting untuk disentuh adalah tragedi dan bukannya komedi kerana melalui tragedi kita boleh melihat apa yang menentukan nasib manusia. Tragedi bukanlah sesuatu yang baik tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditempuhi oleh setiap insan. Ia satu kepahitan yang mesti ditelan. Setiap kesakitan yang kita rasakan dalam kehidupan adalah kerana kita tidak mengetahui secara jelas tentang apa tujuan kita dihidupkan. Kita letih mencari makna sebenar dalam hidup ini.

Selain itu, mitologi, legenda dan epik adalah sesuatu yang tidak asing dalam dunia penulisan sastera. Keseriusan untuk memahami nilai kehidupan hanya boleh dicapai melalui epik, tidak melalui drama. Drama hanya mengungkap kehidupan seharian. Epik pula menceritakan tentang makna kewujudan manusia. Apabila sastera atau epik dipinggirkan, maka dunia menghadapi keruntuhan nilai kemanusiaan. Semuanya bermula pada kurun ke-18 apabila manusia mula menyibukkan diri dalam revolusi perindustrian. Manusia sudah mula lupa bahawa sastera merupakan sumber dan makanan kepada jiwa. Akhirnya manusia hanya sempat membaca cerpen yang ditulis secara ringkas dan diterbitkan secara mingguan dalam akhbar dan seterusnya meninggalkan membaca hikayat atau epik. Kesannya, kesusasteraan hanya menceritakan kejadian yang berlaku dalam masyarakat yang bersifat luaran, berbanding kejadian yang berlaku dalam diri manusia. Sebenarnya, mereka berkehendak untuk menafikan tasawuf.

Namun begitu, pada setiap kejatuhan diri manusia pasti ada perjuangan untuk bangkit semula. Tetapi yang sebenar-benar perjuangan adalah perjuangan membangunkan diri dan bukannya membangunkan masyarakat. Masyarakat dengan sendirinya akan terbangun bila diri sendiri sudah siap bangun. Berdasarkan ajaran agama dan falsafah timur masa lampau, nilai individu adalah lebih penting berbanding dengan nilai masyarakat. Contohnya seperti penyaksian diri kita terhadap Ketuhanan yang maha esa yang mana semuanya itu berbalik kepada diri sendiri atau individu bukannya masyarakat. Masyarakat tidak bersaksi kepada Allah tetapi diri sendirilah yang bersaksi kepada Allah sebagai Tuhan. Perkara ini juga terdapat dalam tradisi Hindu yang dikenali sebagai Atman Brahman iaitu ‘that the individual soul is the same as the universal soul’.

Sastera merupakan sebuah tradisi keagamaan. Hampir kesemua penulis sastera di alam melayu menceritakan tentang tasawuf, makna diri, makna kejadian dan juga roh. Mereka mencari makna hakikat kehidupan disamping sebagai kerjaya. Realiti sastera sufi itu bertingkat-tingkat. Daripada sastra kepada sutra seterusnya naik kepada yoga. Begitu juga ilmu pengetahuan yang lain wujud secara bertingkat-tingkat kerana setiap ilmu pengetahuan itu berkembang. Jika diteliti, tidak ada pemisahan antara alam Melayu dengan alam yang lain seperti alam Parsi dan Arab. Semuanya adalah dikelompokkan dalam alam Islam. Maka, apabila membicarakan tentang sastera Iran atau Parsi, ia juga menunjukkan sastera Melayu.

Menyingkap sejarah kesusasteraan di alam Melayu pada masa lampau, kitab seperti Nur Muhammad dibaca secara umum oleh masyarakat tempatan pada masa itu kerana mereka percaya kepada kewujudan para nabi yang membawa cahaya kepada manusia. Di samping itu, Al-Quran juga menukilkan tentang cahaya dalam penciptaan langit dan bumi. Sungguh menarik jika kita tinjau perkataan literature. Ia mempunyai hubungan dengan perkataan light, lighter, lit yakni yang membawa maksud pencahayaan. Jadi literature itu sendiri adalah yang membawa cahaya kepada kehidupan manusia seterusnya yang memberi kebahagiaan dalam kehidupan. Membaca sastera itu adalah jalan untuk mencapai kebahagiaan. Maka dalam mencari kebahagiaan haruslah memakai jalan yang mendekatkan diri dengan Tuhan kerana itulah yang dikatakan sebenar-benar bahagia.

Termasuklah hikayat di alam melayu, jika diteliti secara mendalam, kita akan dapati semuanya menceritakan tentang kehidupan manusia di muka bumi dan jalan untuk kembali kepada Tuhan. Tapi ramai yang salah faham dan menganggap hikayat sebagai sesuatu yang tidak bermakna dan bersalahan dengan realiti kejadian dan hanya menganggap sebagai hiburan semata-mata. Kita ambil Hikayat Bayam Budiman sebagai contoh yang menceritakan tentang maksud cinta sejati dan kesetiaan yang mesti dijaga dan bukannya tunduk kepada desakan nafsu. Begitu juga dengan hikayat yang lain seperti Hikayat Pandawa Lima dan Hang Tuah lima bersaudara yang memberi gambaran tentang lima pancaindera yang terdapat pada diri manusia. Ini menjadi bukti bahawa hikayat bukanlah semata-mata hiburan bahkan terkandung di dalamnya ajaran agama dan nilai falsafah.

Sebagai penutup, penulisan sastera klasik seharusnya dipandang sebagai sesuatu yang memberi nilai tambah dan harus diangkat ke taraf yang selayaknya berdasarkan kepada peranan dan sumbangan yang telah diberikan dalam membentuk jiwa manusia yang manusiawi. Sastera klasik tidak harus dipandang sepi tetapi perlu diperluaskan kajiannya agar generasi pada masa akan datang tidak ketandusan nilai-nilai akhlak yang baik.

*Tulisan ini merupakan catatan diskusi bersama Baharuddin Ahmad.

The post Peri-Makna dan Kepentingan Sastera di Alam Melayu appeared first on The Independent Insight.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 15, 2022 19:59

August 31, 2022

R. Kalimuthu Setia Bersama Tunku Abdul Rahman

Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi

Disaat kita memperkatakan berkaitan Hari Kemerdekaan Negara yang disambut setiap tahun pada 31 Ogos, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat individu mahupun kumpulan selain daripada Tunku Abdul Rahman yang turut memberikan sumbangan terhadap hari yang bersejarah ini. Walaupun nama-nama mereka tidak besar dan tidak diabadikan dalam mana-mana buku sejarah, namun mereka juga beperanan penting di belakang Tunku Abdul Rahman.

Salah seorang dari mereka ialah bekas pemandu peribadi Tunku iaitu, R. Kalimuthu. Beliau yang lebih dikenali sebagai Muthu telah berkhidmat lebih 50 tahun dengan perdana menteri pertama. Beliau mula bertugas sebagai pemandu rasmi kepada Tunku pada tahun 1957 dan memperolehi pendapatan tetap sekitar RM400 sebulan.

Sebelum itu, Muthu hanya bekerja sebagai pemandu kenderaan secara sambilan sewaktu Tunku bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia di Kuala Lumpur pada tahun 1948.

Dalam satu temubual bersama Muthu pada tahun 2010 (ketika itu beliau berusia awal 85 tahun) beliau memaklumkan “Saya rasa bangga kerana pada malam 30 Ogos 1957 (sehari sebelum 31 Ogos) sayalah yang memandu kenderaan untuk membawa Tunku dan keluarga ke Padang Kelab Selangor (sekarang dikenali sebagai Dataran Merdeka) untuk majlis menurunkan bendera Union Jack sebagai tanda rasmi bahawa negara ini bebas dari dijajah.”

“Saya masih dapat membayangkan dimana ribuan rakyat pelbagai lapisan masyarakat dan umur berada di sekitar Padang Kelab Selangor itu dan mereka bersorak gembira sebaik sahaja melihat ketibaan kenderaan yang membawa Tunku” ujar Kalimuthu sambil tersenyum.

Esoknya pula, pada sebelah pagi, Muthu sekali lagi memandu kenderaan rasmi untuk membawa Tunku ke Stadium Merdeka. Tunku kelihatan segak memakai baju melayu serba lengkap dan berjabat salam dengan semua tetamu kenamaan selain kerabat-kerabat diraja.

Setiap kali apabila berpeluang menonton di televisyen program ulangsiar sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu, Muthu menyatakan beliau akan menangis kerana teringat kenangan lama semasa bekerja dahulu selain dapat menyaksikan peristiwa bersejarah negara.

Muthu juga tidak melupakan kenangan dimana pernah bertugas menjadi pemandu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak jika Tunku Abdul Rahman ke luar negara atau bercuti panjang.

Berdasarkan pengalaman berkhidmat dengan Tunku selama lebih 50 tahun itu, Muthu banyak mempelajari berkaitan adat istiadat masyarakat Melayu terutama tentang adat istiadat diraja Kedah. Selepas bersara secara rasmi pada tahun 1982, Muthu masih bertugas secara sambilan sehingga Tunku Abdul Rahman mangkat pada Disember 1990. Kemudian tugas sebagai pemandu kepada keluarga Almarhum Tunku diambil alih oleh anaknya, K. Markandran.

Satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Kalimuthu adalah pada tahun 1982 semasa beliau dapat menyelamatkan Almarhum Tunku Abdul Rahman dari terjatuh terlentang di atas beberapa batu kerikil di tepi pantai berdekatan rumah rehat milik keluarga diraja itu di Pantai Batu Feringghi. Ujar Kalimuthu “Masa itu hanya saya dengan Almarhum Tunku sedang berjalan sambil menikmati suasana angin petang dan apabila Tunku secara tiba-tiba tergelincir lalu hampir jatuh tapi nasib baik saya dapat menyambar tangan Almarhum” jelasnya.

Tambah Kalimuthu, sepanjang perkkhidmatannya, beliau sangat menghormati Almarhum Tunku yang disifatkan sebagai seorang negarawan ulung dan meskipun rutin hariannya yang agak sibuk dengan pelbagai urusan rasmi negara, Almarhum Tunku tetap mencari masa untuk bersama dengan keluarga atau bermain golf.

“Almarhum Tunku juga dilihat sebagai seorang majikan yang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan para pekerjanya. Saya antara insan bertuah kerana dapat berdamping dengan Almarhum. Semua kenangan itu akan sentiasa tersemat dalam memori saya” ujar Kalimuthu.

Menurut laporan dari sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris bertarikh 25 November 2013, R. Kalimuthu telah meninggal dunia pada 24 November 2012 pada usia 87 tahun kerana sakit tua. Semoga jasa-jasa yang dicurahkan oleh Kalimuthu dan orang-orang sepertinya tidak dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-65.

Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di stesen televisyen RTM sebagai Penyunting Berita TV, Penerbit Berita TV, Editor dan Wartawan.

The post R. Kalimuthu Setia Bersama Tunku Abdul Rahman appeared first on The Independent Insight.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 31, 2022 01:54

R. Kalimuthu Setia Bersama Tengku Abdul Rahman

Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi

Disaat kita memperkatakan berkaitan Hari Kemerdekaan Negara yang disambut setiap tahun pada 31 Ogos, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat individu mahupun kumpulan selain daripada Tunku Abdul Rahman yang turut memberikan sumbangan terhadap hari yang bersejarah ini. Walaupun nama-nama mereka tidak besar dan tidak diabadikan dalam mana-mana buku sejarah, namun mereka juga beperanan penting di belakang Tunku Abdul Rahman.

Salah seorang dari mereka ialah bekas pemandu peribadi Tunku iaitu, R. Kalimuthu. Beliau yang lebih dikenali sebagai Muthu telah berkhidmat lebih 50 tahun dengan perdana menteri pertama. Beliau mula bertugas sebagai pemandu rasmi kepada Tunku pada tahun 1957 dan memperolehi pendapatan tetap sekitar RM400 sebulan.

Sebelum itu, Muthu hanya bekerja sebagai pemandu kenderaan secara sambilan sewaktu Tunku bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia di Kuala Lumpur pada tahun 1948.

Dalam satu temubual bersama Muthu pada tahun 2010 (ketika itu beliau berusia awal 85 tahun) beliau memaklumkan “Saya rasa bangga kerana pada malam 30 Ogos 1957 (sehari sebelum 31 Ogos) sayalah yang memandu kenderaan untuk membawa Tunku dan keluarga ke Padang Kelab Selangor (sekarang dikenali sebagai Dataran Merdeka) untuk majlis menurunkan bendera Union Jack sebagai tanda rasmi bahawa negara ini bebas dari dijajah.”

“Saya masih dapat membayangkan dimana ribuan rakyat pelbagai lapisan masyarakat dan umur berada di sekitar Padang Kelab Selangor itu dan mereka bersorak gembira sebaik sahaja melihat ketibaan kenderaan yang membawa Tunku” ujar Kalimuthu sambil tersenyum.

Esoknya pula, pada sebelah pagi, Muthu sekali lagi memandu kenderaan rasmi untuk membawa Tunku ke Stadium Merdeka. Tunku kelihatan segak memakai baju melayu serba lengkap dan berjabat salam dengan semua tetamu kenamaan selain kerabat-kerabat diraja.

Setiap kali apabila berpeluang menonton di televisyen program ulangsiar sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu, Muthu menyatakan beliau akan menangis kerana teringat kenangan lama semasa bekerja dahulu selain dapat menyaksikan peristiwa bersejarah negara.

Muthu juga tidak melupakan kenangan dimana pernah bertugas menjadi pemandu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak jika Tunku Abdul Rahman ke luar negara atau bercuti panjang.

Berdasarkan pengalaman berkhidmat dengan Tunku selama lebih 50 tahun itu, Muthu banyak mempelajari berkaitan adat istiadat masyarakat Melayu terutama tentang adat istiadat diraja Kedah. Selepas bersara secara rasmi pada tahun 1982, Muthu masih bertugas secara sambilan sehingga Tunku Abdul Rahman mangkat pada Disember 1990. Kemudian tugas sebagai pemandu kepada keluarga Almarhum Tunku diambil alih oleh anaknya, K. Markandran.

Satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Kalimuthu adalah pada tahun 1982 semasa beliau dapat menyelamatkan Almarhum Tunku Abdul Rahman dari terjatuh terlentang di atas beberapa batu kerikil di tepi pantai berdekatan rumah rehat milik keluarga diraja itu di Pantai Batu Feringghi. Ujar Kalimuthu “Masa itu hanya saya dengan Almarhum Tunku sedang berjalan sambil menikmati suasana angin petang dan apabila Tunku secara tiba-tiba tergelincir lalu hampir jatuh tapi nasib baik saya dapat menyambar tangan Almarhum” jelasnya.

Tambah Kalimuthu, sepanjang perkkhidmatannya, beliau sangat menghormati Almarhum Tunku yang disifatkan sebagai seorang negarawan ulung dan meskipun rutin hariannya yang agak sibuk dengan pelbagai urusan rasmi negara, Almarhum Tunku tetap mencari masa untuk bersama dengan keluarga atau bermain golf.

“Almarhum Tunku juga dilihat sebagai seorang majikan yang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan para pekerjanya. Saya antara insan bertuah kerana dapat berdamping dengan Almarhum. Semua kenangan itu akan sentiasa tersemat dalam memori saya” ujar Kalimuthu.

Menurut laporan dari sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris bertarikh 25 November 2013, R. Kalimuthu telah meninggal dunia pada 24 November 2012 pada usia 87 tahun kerana sakit tua. Semoga jasa-jasa yang dicurahkan oleh Kalimuthu dan orang-orang sepertinya tidak dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-65.

Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di stesen televisyen RTM sebagai Penyunting Berita TV, Penerbit Berita TV, Editor dan Wartawan.

The post R. Kalimuthu Setia Bersama Tengku Abdul Rahman appeared first on The Independent Insight.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 31, 2022 01:54

Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Kini Berusia Lebih 100 Tahun

Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi

Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di Kuala Lumpur yang kini berusia lebih 100 tahun bukan sahaja menceritakan pelbagai kisah bagaimana Malaysia menelusuri gelombang sebelum tercapainya kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, malah turut menyimpan kisah-kisah menarik berkaitan Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Bangunan yang terletak diatas bukit di Jalan Dato Onn (dahulu dikenali sebagai Brockman Road) dibina diatas tanah seluas kira-kira 2.8 hektar, siap dibina pada tahun 1888 dan menjadi kediaman rasmi Pegawai Residen Selangor sehingga tahun 1955 selain menempatkan Pejabat Pentadbiran British.

Bangunan dua tingkat ini dibina dengan struktur batu serta kemasan lantai marmar selain lantai kayu di tingkat atas dengan melibatkan kos sekitar RM150,739 (AS$36,000 nilai wang pada waktu itu).

Bangunan ini yang dahulunya dikenali sebagai Residensi, pernah menjadi kediaman rasmi Tunku dari tahun 1956 hingga awal tahun 70-an. Bangunan ini kekal utuh dengan reka bentuk dan struktur asalnya dan kebanyakan perabut dan hiasan yang terdapat di dalam Residensi ini adalah milik Almarhum Tunku Abdul Rahman dan keluarga semasa beliau menjadi perdana menteri.

Rumah ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri zaman kolonial. Pada tahun 1992, kerajaan, melalui Arkib Negara Malaysia telah melakukan beberapa penambahbaikan terhadap bangunan tersebut dan proses penambahbaikan ini siap sepenuhnya pada tahun 1994 dan dinamakan sebagai Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, bagi memperingati jasa serta sumbangan Almarhum Tunku kepada negara. Bangunan tersebut kini mempamerkan himpunan koleksi peribadi Bapa Kemerdekaan itu selain artifak dokumentasi perjalanan kemerdekaan Malaya untuk tatapan umum.

Di dalam Memorial ini, pengunjung berpeluang untuk melihat meja Mesyuarat Kabinet yang digunakan oleh Almarhum Tunku semasa mempengerusikan Mesyuarat Kabinet yang pertama pada tahun 1956 yang dahulu ditempatkan di Bangunan Parlimen.

Perasmian Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 10 November 1994. Antara barangan lain yang turut dipamerkan secara kekal di dalam memorial ini ialah foto-foto peribadi Almarhum Tunku serta keluarga, hadiah, pakaian, perabut, keratan-keratan akhbar serta kereta jenama Cardillac Fleetwood 1956.

Memorial ini merangkumi tiga bangunan iaitu bangunan Residensi sebagai bangunan utama, dan dua bangunan Blok-A dan Blok-B yang meliputi gedung simpanan, auditorium serta ruang pejabat bagi kakitangan Arkib Negara.

Dalam bangunan Residensi, selain terdapat bilik tetamu yang menempatkan perabut antik, terdapat juga beberapa bilik yang dinamakan Bilik Cairo, Bilik Makan, Bilik Rehat, Bilik Menunggu, Bilik Tidur Utama dan Bilik Tidur Keluarga.

Sudah pasti para pengunjung akan tertarik untuk melihat sendiri Bilik Makan Utama yang diguna khas bagi meraikan para tetamu kenamaan dari dalam dan luar negara serta lengkap dengan dekorasi lampu lama dan set pinggan mangkuk antik.

Secara keseluruhannya, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi simbol kegigihan perjuangan Almarhum Tunku bersama rakan-rakan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya melalui kerjasama dengan pelbagai parti politik serta rundingan dengan pihak British.

Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di RTM sebagai Penyunting Berita TV, Penerbit Berita TV, Wartawan dan Editor.

The post Bangunan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Kini Berusia Lebih 100 Tahun appeared first on The Independent Insight.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 31, 2022 01:32