Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 9

 


Sudah sampai ke Cheritera 9.


Bagaimana setakat ini?


Mohon komen untuk penambah baikan. :)


InsyaAllah Cheritera 10 adalah yang terakhir untuk siaran online. Mohon doa dan sokongan, moga saya istiqomah dapat menyiapkan karya ini sebelum penghujung Disember 2014. InsyaAllah Takdir 3 akan berakhir pada bab ke 20 atau 22, bersama epilog.


Terima kasih atas sokongan selama ini.


Enjoy!



Cheritera 9


 


Izrayel maju ke hadapan walaupun kudanya telah jatuh menyembah bumi. Ditebak berkali-kali oleh Pertapa Arjuna. Dengan lariannya yang pantas lagi tangkas, panah-panah Kiai Hutan tidak dapat menghinggapi dirinya. Sebentar sahaja dia sudah berada betul-betul di hadapan guru Ashoka itu.


Izrayel menghunus pedang sumbingnya, dan bilah senjatanya terus hendak mencapai bahagian lengan Pertapa Arjuna. Izrayel mahu Kiai Hutan itu tidak lagi boleh memanah.


Namun tindakan Izrayel itu dihentikan serta merta oleh Kiai Laut dan Panglima Terasing dengan senjata masing-masing. Pertapa Arjuna mengambil peluang ini dengan berundur dan mengarahkan senjatanya kepada Izrayel. Semuanya berlaku dengan tersangat pantas. Izrayel mahu berundur, tetapi dia tahu jika Kiai Hutan melepaskan panahnya, dia sudah terlambat untuk mengelak ketika itu.


Pada saat ini, kawasan itu ditekan dengan aura yang sangat dasyat secara tiba-tiba. Sebelum Pertapa Arjuna melepaskan panah, End muncul dari atas. Dia telah melompat dari tunggangannya, untuk mempercepatkan dirinya sampai menyelamatkan Izrayel. Tombak Tiga matanya dibenamkan ke tanah, antara Panglima Terasing dan Kiai Laut.


Tempat itu terus merekah, dan bongkah-bongkah tanah terangkat. Panglima Terasing dan Kiai Laut tersisih, masing-masing ke kiri dan ke kanan. Pertapa Arjuna melepaskan juga serangannya, namun bongkah tanah yang terangkat telah menghalang haluan senjatanya.


Mantel End berkibar. Masa seperti bergerak dengan sangat perlahan.


End ingin mempersembahkan kekuatannya yang jarang-jarang dipamerkan.


“Huh!” Auranya dilepaskan. Semua yang berada di medan perang dapat merasakan kekuatan yang dasyat itu. Tanpa membazirkan masa, End terus memukul bongkah-bongkah tanah yang sedang terangkat di sekeliling menggunakan senjatanya.


Bongkah-bongkah itu pecah, menghasilkan peluruh tanah yang menembah bertubi-tubi ke arah Kiai Hutan, Kiai Langit dan Kiai Laut. Kucar-kacir ketiga-tiga kiai itu mempertahankan diri.


“Terima kasih.” Izrayel telah kembali berdiri, dan kini berdiri di sebalah End.


End mengangguk.


“Apakah mereka ini masih boleh diselamatkan?” Izrayel bertanya.


End menjungkit bahu tanda tidak tahu.


“Kita cuba pengsankan mereka sahaja terlebih dahulu. Kemungkinan, bila teknologi dihapuskan, apa yang Sang Asura telah lakukan kepada mereka ini akan terhenti.” Izrayel memberikan cadangan.


End mengangguk lagi. Setuju.


“Bersedia.” Izrayel mengingatkan, apabila melihat ketiga-tiga Kiai tadi telah bangkit, dan kini disertai pula dengan Kiai Api dan Kiai Alam. Semuanya berwajah bengis dan mata mereka kini berwarna hitam semuanya.


Angkasa dari kejauhan melihat Izrayel dan End dikelilingi para Kiai. Dia dan Aizan Fahmi mencuba sedaya upaya untuk mara membantu dengan segera.


Tiba-tiba, tanah antara mereka terbongkah. Keluar daripada tanah itu makhluk-makhluk genetik aneh yang sebelum ini mengiringi Valdis dan Rafael mensabotaj rombongan haji. Namun kini bilangan makhluk tersebut terlalu banyak.


“Inikah makhluk yang dimaksudkan?” Angkasa pertama kali melihat makhluk tersebut.


“Kita perlu pancung kepala mereka!” Aizan melaung. Maklumat telah dikongsi oleh panglima-panglima yang pernah berhadapan dengan makhluk ini.


Kemaraan mereka terbantut. Makhluk-makhluk aneh menerobos masuk ke barisan tentera Agama Langit, tambah mengkucar-kacirkan keadaan.


“Angkasa, biar kami berdua berhadapan dengan para Kiai. Kalian fokus menentang tentera Amara!” Izrayel melaung, apabila melihat fokus Angkasa lebih tertumpu kepada dia dan End yang sedang bergelut dengan Kiai-kiai.


Angkasa sayup-sayup dapat mendengar laungan itu. Lantas memusatkan seluruh perhatiannya pada makhluk-makhluk aneh.


Aizan Fahmi kelihatan tangkas memanipulasikan Tombak Naganya. Beberapa makhluk aneh itu sudah berjaya dipancungnya. Namun bilangan mereka masih terlalu banyak.


Angkasa mempraktikkan seni bela dirinya. Pedang warisan bapa dihayun dengan penuh kekuatan. Makhluk-makhluk aneh yang rakus mengerumuninya mula terpukul ke belakang. Angkasa melepaskan auranya. Pedang warisan bapanya mula tersalut dengan tenaga. Terus dia menebas musuh-musuhnya. Sebentar sahaja, puluhan makhluk aneh itu telah tercincang.


“Mereka ini seperti mayat hidup.” Angkasa memerhati.


Ada yang terpotong tangan, ada yang terputus kaki, bahkan ada yang tubuh sudah bergayut mahu jatuh dari pinggang, tetapi makhluk-makhluk aneh itu masih bergerak untuk mendapatkannya. Bahagian leher mereka pula sangat liat untuk dicantas, walau aura telah menyelimuti senjata.


“Makhluk apa ini?” Aizan Fahmi berundur dan merehatkan belakang tubuhnya pada belakang tubuh Angkasa.


“Bagaimana agaknya Sang Asura mencipta makhluk sebegini? Apa yang telah terkorban untuk semua ini? Sudah pastinya dia tidak menciptakan ini semua dari tanah liat.” Angkasa mula merasa jijik dengan sikap Sang Asura.


Dia dapat merasakan, yang makhluk-makhluk ini dicipta daripada mayat-mayat berdasarkan baunya yang sangat menusuk hidung, dan langsung tidak merasakan kesakitan.


Kini dia dan Aizan dikelilingi makhluk-makhluk tersebut. Walaupun telah banyak tumbang, mereka tidak kelihatan berkurang.


“Bagaimana mahu bertahan tiga hari begini?” Aizan Fahmi memandang iparnya. Tersengih.


Angkasa memaniskan muka.


“Waargh!” Tiga orang gergasi dari barisan tentera Agama Langit datang memukul makhluk-makhluk tersebut dan memecahkan kepungan terhadap Angkasa dan Aizan. Pada masa yang sama, mereka turut dipanjat makhluk-makhluk aneh itu, digigit di sini dan sana.


“Terima kasih.” Angkasa bersuara sambil menepuk betis pahlawah gergasi yang mampir mendekatinya.


“Panglima Syu’bah telah memberikan arahan baru, merombak formasi peperangan. Kaum gergasi mesti menjadi perisai kepada pahlawan-pahlawan lain di medan perang, bagi menghadapi makhluk-makhluk aneh ini. Pasukan pemanah sudah diarahkan berundur, mereka akan menembak dari jauh kerana jarak dekat akan membuatkan mereka mudah dimamah musuh.” Gergasi itu memberitahu.


Aizan Fahmi tersenyum. “Syu’bah itu, memang pantas sungguh menilai situasi.”


“Jika begitu, ayuh rakan-rakan. Kita tumbangkan sebanyak mungkin makhluk-makhluk yang membantutkan kemaraan kita ini.” Angkasa bersemangat.


 


******


 


Ashoka memimpin pasukan pemanah yang telah selamat berundur ke barisan belakang. Kini dia berdiri di atas satu lagi menara kayu yang didirikan. Ada beberapa menara kayu di sini, yang Mughirah Syu’bah arahkan bina untuk para pemanah jika mereka berada di barisan belakang.


Pakar strategi dan genius medan perang itu nyata telah mempunyai banyak perancangan lain jika perancangan asalnya tidak menjadi.


“Tembak!” Ashoka melaung.


Pasukan pemanah mula menghujani medan peperangan dengan anak-anak panah. Mereka tahu yang mereka tidak akan boleh terus membunuh makhluk-makhluk aneh itu, kerana leher mereka mesti putus untuk benar-benar mati. Tetapi mereka boleh membantu memudahkan tugas pahlawan-pahlawan di medan perang dengan menganggu pergerakan makhluk-makhluk aneh tersebut.


Panah-panah meluncur tepat pada anggota badan makhluk-makhluk yang rakus, menyebabkan gerak langkah mereka menjadi tempang, memberikan peluang pahlawan-pahlawan di medan perang untuk lebih mudah memancung leher mereka.


“Apakah engkau tidak mahu berehat Ashoka?” Waqqas yang berdiri di sisi Ashoka kini risau dengan keadaan pemanah genius Chinmayi itu.


Ashoka tidak pantas menjawab kerisauan Waqqas. Matanya tajam melayang ke arah Izrayel dan End yang sedang bertarung dengan Kiai-kiai, termasuk gurunya – Pertapa Arjuna.


“Masakan aku boleh berehat Waqqas. Aku tidak akan meninggalkan guruku.” Ashoka meletakkan tiga panah pada busurnya. Menarik tali panahnya dengan cermat. Matanya tajam ditetapkan pada sasaran.


“Wa ma romaita idz romaita walakinnallaha roma.” Dia membaca.


Kemudian busur itu dilepaskan talinya.


Tiga anak panah meluncur laju, melangkaui medan peperangan. Dari barisan belakang, ia terbang menuju ke hadapan gerbang Amara. Dan hampir sahaja hinggap pada batang tubuh Pertapa Arjuna, jika Kiai Hutan itu tidak pantas melakukan serangan balas pada saat-saat akhir. Pertapa Arjuna telah menyedari kehadiran tiga anak panah daripada Ashoka itu, dan sepantas mungkin melepaskan tiga anak panah semula. Panah mereka bertembung, dan pecah di tengah udara. Serpihan kayu dan bilah mata anak panah bertabur berdekatan dengan Pertapa Arjuna.


Waqqas menghela nafas. Dia nampak serangan Ashoka tidak berjaya.


“Jangan mengeluh terlebih dahulu Waqqas.” Ashoka bersuara.


Waqqas kembali memerhati.


Pertapa Arjuna baru perasan. Serpihan-serpihan tadi bersalut aura.


“Bom.” Ucap Ashoka.


Letupan pun berlaku.


Pertapa Arjuna terpelanting menghentam gerbang Amara. Izrayel dan End yang berada tidak jauh dari situ sempat menyaksikan apa yang berlaku. Mereka tidak apa-apa, kerana Pertapa Arjuna memang menjauhi mereka sebelum ini untuk memudahkan dia menebak mereka berdua dengan panahnya.


“Ashoka dari Chinmayi.” Izrayel mengerling. Jauh. Dia sendiri hampir sahaja tidak dapat melihat Ashoka dari tempat dia bertarung. Tetapi Ashoka dapat menebak panah dengan tepat dari barisan belakang. Namun itulah kehebatan pemanah genius itu.


“End, cuba lihat Pertapa Arjuna. Jika dia sudah tidak sedarkan diri, bawa dia kepada pahlawan terdekat untuk dihantar ke kem kita.”


End tidak banyak bicara. Kiai Alam yang sedang menyerangnya dengan golok kembar, ditepis. Mantelnya dilepaskan, menyelimuti Kiai itu, menghalang penglihatannya. Ketika ini, End melibas belakang Tombak Tiga Matanya. Kiai itu berguling beberapa depa menjauhi dirinya. End kemudiannya tunduk, mengelak serangan Kiai Laut dari belakang. Dia tenang memutarkan tombak tiga matanya, dan menusuk tongkat Kiai Laut ke bumi. Kiai Laut cuba menarik senjatanya semula, namun End telah membenamkan senjatanya rapat hingga tongkat Kiai Laut tidak boleh digerakkan lagi. Kiai Laut tidak keruan, marah dan mula menyerang End dengan tangannya.


End perasan sesuatu yang aneh. Namun dia kekal bersahaja.


Keanehan itu adalah peluangnya.


‘               Ketika Kiai Laut mahu menjamah wajaynya dengan beberapa tumbukan, End melepaskan Tombak Tiga Matanya, dan menepis tumbukan-tumbukan itu dengan sebelah tangannya. Pada saat peluang muncul, End terus melepaskan satu tumbukan padu pada dada Kiai Laut. Kiai itu terpelanting ke belakang, dan terguling-guling beberapa ketika.


Segera End berlari meninggalkan medan pertarungan itu, dan pergi ke pintu gerbang Amara. Dia menyentuh leher Kiai Hutan untuk memeriksa nadinya. Masih hidup. Terus diangkat Kiai itu pada bahunya. Namun End tidak pergi begitu sahaja. Dia menatap terlebih dahulu pintu gerbang Amara di hadapannya.


Auranya dikumpul. Semuanya dipusatkan pada tangan kanannya. Tubuh End bergegar, dan begitulah juga tanah tempat dia berdiri. Kekuatan yang dikumpulkan amat dasyat sekali.


“Hah!” End melepaskan satu tumbukan yang amat kuat pada pintu gerbang Amara itu.


Membuatkannya meletus pecah ketika itu juga.


Perbuatannya itu menarik perhatian tentera Agama Langit, dan mengundang kejutan kepada tentera-tentera Amara yang berlindung di balik tembok.


End kini kelihatan sedang berdiri keseorangan, bersama Pertapa Arjuna yang pengsan pada bahunya, menghadap barisan tentera Amara yang selama ini tersembunyi di balik gerbang.


Long Berk tiada di situ.


Dengan bersahaja, End berpaling.


“Jangan ingat kami lepaskan engkau begitu sahaja End!” Gunggir yang berada di barisan hadapan, mara mengejar End yang melangkah pergi. Dia membawa tukul gergasi sebagai senjatanya. Bumi bergegar seiring langkahan Gunggir. Tukul gergasi dihayun untuk membunuh End.


End mengangkat tangan kanannya. Hanya dengan sebelah lengan, dia menahan serangan Gunggir. Tanah tempat dia berdiri meretak, dan telapak kakinya sedikit terbenam, namun End langsung tidak tercedera, jauh sekali mengerang kesakitan. Pertapa Arjuna pula kemas pada bahunya, langsung tidak terusik.


Mata Gunggir terbelalak.


“Beritahu Long Berk, yang aku mahu dia turun ke medan.” End bersuara. Matanya tajam memaku Gunggir. Gunggir masih terjeda, tidak percaya. End terus mempertingkatkan auranya.


Tukul itu ditolak ke tepi dengan kuat, membuatkan Gunggir hilang kawalan kerana terikut dengan hayunan tukulnya. Ketika ini End melompat tinggi, dan rusuk Gunggir menjadi habuan penumbuknya.


Gergasi angkuh dari Amara itu terdorong ke belakang, kembali ke belakang tembok Amara, melanggar barisan tentera yang bersedia di situ.


End mendarat kembali ke tanah, dan segera berlari ke arah yang berlawanan. Dia perlu menghantar Pertapa Arjuna kepada rakan sepasukan yang boleh membawa Kiai Hutan itu ke kem untuk rawatan.


Ketika ini, tentera Amara mula keluar dari pertahanan mereka.


Syu’bah dari kejauhan melihat perkembangan tersebut.


Kemudian dia mengangkat tangan. Kelihatan manjanik dan meriam kini disasarkan pada kawasan pintu gerbang Amara.


Tangannya dijatuhkan.


Terus tentera-tentera melepaskan manjanik dan meriam. Bola besi yang mengandungi bahan letupan melayang membelah langit, turun tepat pada gerombolan tentera Amara yang sedang melangkah keluar. Letupan yang kuat berlaku, barisan tentera Amara pecah, dan tidak sedikit yang terpelanting di sana sini akibat letupan tersebut.


Izrayel masih bergelut dengan Kiai Langit dan Kiai Api. Dia tahu tempat pertempurannya akan dihujani meriam sebentar lagi, memandangkan serangan jarak jauh telah mula menghentam kawasan pintu gerbang Amara. Dia tidak boleh lama di sini, dan dia pun tidak boleh meninggalkan Kiai-kiai.


“Maafkan aku.” Izrayel mendesis.


Auranya ditingkatkan pada tahap yang tinggi. Dia ada satu pencak yang boleh digunakan dalam masa yang tersangat singkat. Pencah ini sangat berbisa, dan dahulu dia suka menggunakannya untuk menarik nyawa orang lain.


Panglima Terasing menghayun pedangnya ke arah Izrayel yang sedang mengambil masa mempertingkatkan tenaga. Kiai Api juga cuba mengambil peluang ini. Tiba-tiba suasana menjadi tersangat perlahan. Izrayel dapat melihat pergerakan kedua-duanya dengan sangat jelas. Sambil itu matanya turut melandas pada Kiai Laut dan Kiai Alam yang telah bangkit.


Pedang sumbingnya dimasukkan semula ke dalam sarung yang tersemat kemas di dalam pinggang.


Kemudian sekelip mata dia menghilang. Panglima Terasing dan Kiai Api hanya menjamah angin. Izrayel muncul secara mengejut di hadapan Kiai Alam. Satu tumbukan yang tersangat deras mendarat pada wajah Kiai tersebut, dan Izrayel terus menyepak Kiai itu ke tengah medan.


Belum sempat Kiai-kiai yang lain berbuat apa-apa, Izrayel telah muncul di hadapan Kiai Laut dengan memegang Tombak Tiga Mata End dan tongkat milik Kiai itu. Batang kedua-dua senjata itu menghentam keras rusuk Kiai Laut, menyebabkan Kiai itu terpelanting ke arah yang ditujui Kiai Alam tadi. Izrayel pantas melempar dua senjata pada tangannya, dan kedua-duanya terpacak berdekatan Kiai Laut.


Kiai Api dan Panglima Terasing sedar akan kedasyatan pencak yang sedang dipraktikkan oleh End kini. Segera mereka berdua merapatkan belakang tubuh, untuk mengurangkan ruang serangan Izrayel.


Namun tanpa disangka-sangka, Izrayel muncul di sisi kanan mereka, dan kedua-dua belah tangannya menangkap wajah Kiai Langit dan Kiai Api, sekaligus menghentakkan kedua-duanya. Belum sempat Kiai Langit dan Kiai Api terjelepuk jatuh ke tanah, Izrayel segera mengangkat mereka berdua pada kedua-dua bahunya. Kemudian berlari pantas menjauhi kawasan tembok Amara.


Izrayel kemudiannya berhenti di tempat Kiai Laut dan Kiai Alam terbaring. Dia menjatuhkan Kiai Langit dan Kiai Api di situ. Dirinya termengah-mengah. Pencak itu benar-benar memakan banyak tenaganya. Dan dia sebenarnya tidak lagi gemar menggunakannya, kerana pencak itu tujuannya untuk membunuh lawan dalam sekelip mata. Menggunakan pencak itu untuk tujuan bukan pembunuhan, akan menjadikan dirinya sukar dikawal, dan ia akan merosakkan tubuh badannya.


Izrayel kemudiannya terbatuk-batuk, dan darah mula tersembur keluar pada mulutnya.


Izrayel menggeleng. “Ah, sangat tidak kisahkan diri.”


Dan bila dia mengangkat wajahnya, makhluk-makhluk aneh mula mahu menerkam ke arahnya. Dia tidak sempat menghunuskan senjata.


Ketika ini, kepala makhluk-makhluk aneh itu tercerai dari tubuh masing-masing. Darah bersemburan ke udara, sebahagiannya membasahi zirah Izrayel sendiri.


Izrayel perasan Tombak Tiga Mata telah tiada pada tempatnya.


Tersenyum.


End tiba. “Tunjuk hebat ya?” Izrayel menyakat. End tidak membalas apa-apa. Sekadar terus berjalan mendekatinya.


Kemudian Izrayel memandang para Kiai yang sedang pengsan tidak sedarkan diri. Dia perasan sesuatu semasa bertempur dengan mereka tadi.


“Engkau juga sedar?” End bersuara.


Izrayel memandang End.


Mengangguk.


Kiai-Kiai itu dilihat langsung tidak menggunakan kuasa mereka. Mereka ada aura, dan seni persilatan masing-masing, juga teknik pedang, golok, tongkat dan panah yang mereka kuasai. Tetapi, kuasa-kuasa yang menakjubkan, yang sering dipersembahkan para Kiai di medan pertarungan, tidak langsung dipraktikkan sepanjang dia dan End menghadapi mereka tadi.


Mengapa?


“Ah, kita tidak boleh bazirkan masa. Bawa mereka ke kem kita. Ayuh End.” Izrayel segera memikul Kiai Alam dan Kiai Langit. End pula memikul Kiai Laut dan Kiai Api.


Mereka bergerak menjauhi medan perang, kembali ke kawasan perkhemahan.


 


******


 


“Bila kita boleh keluar ni?” Rafael tidak sabar. Dia mahu terus menerjah ke medan peperangan. Dia geram melihat keadaan yang seperti sedang seri kini. Dia juga rasa marah kerana rancangan yang melibatkan para Kiai, kelihatannya seperti tidak berapa berjaya.


Dia sendiri hairan mengapa para Kiai itu seperti tidak mengeluarkan sepenuh kuasa. Sedangkan mereka telah dikuasai oleh Sang Asura. Sepatutnya barisan Kiai itu sahaja sudah mampu memusnahkan sekurang-kurangnya 3/10 barisan tentera Agama Langit.


“Ah, mungkin Izrayel dan End terlalu kuat buat mereka.” Rafael menjawab persoalan di benaknya.


Kemudian dia memandang seekor beruang gergasi putih yang berada di sisinya.


“Tak ada Naga, engkau pun bolehlah ya? Hihihi.” Rafael menepuk-nepuk beruang gergasi itu. Dia bakal menunggang binatang itu apabila turun ke medan nanti. Bersamanya, ada hampir 100,000 tentera yang dibekalkan oleh Long Berk.


Tetapi dia telah mendapat arahan untuk tidak bertindak selagi senja hari kedua belum tiba.


Sekarang senja hari pertama sudah sampai. Matahari sudah mula terbenam. Namun keadaan di medan perang tidak menunjukkan tanda-tanda rehat.


Pasukan pimpinan Rafael bersembunyi agak jauh dari medan peperangan. Dia berada di timur, manakala Valdis yang memimpin sekitar 50,000 tentera, berada di barat. Kedua-dua mereka ditugaskan untuk memberikan kejutan kepada barisan tentera Agama Langit, apabila pasukan itu merasakan bahawa kemenangan telah dicapai.


Makhluk-makhluk aneh pula hanya untuk melewatkan dan memenatkan tentera Agama Langit. Bila mereka mara ke hadapan bukan dalam keadaan yang terbaik, lebih mudahlah mereka untuk dihapuskan dengan serangan mengejut dari belakang. Tidak kira berapa ramainya mereka sekalipun.


Tentera yang ditempatkan di tembok Amara sedikit sahaja sebenarnya. Sekadar untuk mengabui mata penyerang akan kekuatan sebenar Amara.


“Ah, aku kena bersabar juga nampaknya. Bukan kerana aku takut dengan Si Long Berk jahanam itu. Tetapi aku risau diapa-apakan oleh Tuanku Asura.” Getus hati Rafael.


“Yang penting, esok adalah hari kemenangan kami.” Dia seperti berjanji.


Tewasnya dia dan kejatuhan Midori di tangan musuh memang mencalarkan maruahnya.


Dia akan membayar kekalahan itu semula esok.


Nantikan!


The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 9 appeared first on Langit Ilahi.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 18, 2014 04:44
No comments have been added yet.