Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 10

189564


 


Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT. Dapat juga saya muat naik Cheritera 10.


Seminggu lewat dari yang dijanjikan. Sebenarnya saya pergi bercuti bersama keluarga.


Maka, siaran secara online Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir tamat di sini.


Jangan lupa, doakan agar saya dapat menyempurnakan Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir ini, agar ianya dapat menemui para pembaca pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, yang bakal berlangsung hujung April 2015.


Nantikan ya.


Mohon doa dan sokongan.


Terima kasih!


:)



Enjoy!


 



Cheritera 10


 


Hening subuh menyarung tenang pada seluruh penduduk Tanah Suci, terutama mereka yang kini baru usai mendengar kalam-kalam peringatan daripada Ruh Faizan. Masjid Al-Haram penuh dengan manusia, semuanya tidak meninggalkan tempat masing-masing kala munajat malam tadi. Bersungguh-sungguh mendoakan kemenangan kepada mereka yang beriman.


Ruh Faizan kini bergerak meninggalkan Masjid Al-Haram, menuju ke istananya. Dia perlu pula menyantuni hal ehwal rakyat dan kebajikan Tanah Suci. Mengiringinya ialah Tuk Akram. Sebentar dia teringat penyampaiannya tadi.


“Aku dengar kekuatan Sang Asura adalah 10 kali ganda kekuatan Izrayel dan End. Berdasarkan laporan terkini juga, dengarnya kekuatan jeneral-jeneral Utopia telah dipertingkatkan ke satu tahap yang tidak diketahui oleh kita. Maka bolehlah kita katakan bahawa kekuatan mereka lebih tinggi daripada kita.” Semua yang ada sekadar memandang kepadanya. Ada yang berkerut dahi. Mungkin risau kekalahan menyapa tentera yang mewakili mereka di Amara sana.


                “Tetapi ketahuilah bahawa Allah SWT itu jugalah yang Maha Kuat, dan Dia akan memenangkan mereka yang dikehendakiNya, menewaskan mereka yang dikehendakiNya. Maka percayalah bahawa Dia akan memberikan kemenangan kepada kita kali ini. Jika bergantung kepada kekuatan diri sendiri, memang secara fitrahnya kita akan tewas, tetapi jika bergantung kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa dan tidak akan terkalahkan.”


                 Kedengaran takbir di sana sini sekitar Masjid Al-Haram menyahut penyampaiannya itu.


Dan memang itu keyakinannya. Yakin kepada janji-janji Allah SWT yang telah menawarkan kemenangan kepada mereka yang mengangkat panji-panjiNya. Janji-janji Allah SWT bahawa Dia tidak akan menzalimi hamba-hambaNya yang berusaha.


“Dan sesungguhnya Dia tidak sesekali memungkiri janjiNya.” Terpacul ayat itu pada bibir Ruh Faizan, membuatkan Tuk Akram memandang kepadanya.


“Terfikirkan merekakah?” Lembut Kiai Awan itu bertanya.


“Sentiasa.”


Kiai Awan terangguk-angguk. Dirinya juga risaukan rakan-rakan Kiainya. Entah apa yang berlaku kepada mereka. Dia tidak tahu, memandangkan belum ada lagi khabar berita dari medan perang yang sampai kepada mereka.


“Bagaimana agaknya jika mereka tewas? Kemungkinan itu sentiasa ada bukan?” Tiba-tiba Ruh Faizan melontar soalan.


Tuk Akram tersenyum. “Apa telah hilang keyakinan yang engkau tanamkan kepada rakyatmu tadi Ruh Faizan?”


Ruh Faizan tertawa kecil. Bukan, bukan dia hilang keyakinan. “Aku sekadar bertanya agar aku dapat bersedia. Jika tentera kita tewas, ya, ia menyedihkan. Tetapi akan aku anggap ianya ujian daripada Allah SWT. Bukannya Dia meninggalkan kita.”


Senyuman Tuk Akram melebar. “Selayaknya orang yang beriman itu begitu. Sentiasa positif.” Sambil menapak, sambil bersembang. Istana Ruh Faizan semakin hampir.


“Jika mereka tewas, pastinya wilayah-wilayah lain akan menjadi mangsa terlebih dahulu dan akhirnya Tanah Suci. Ketika itu, kita akan bertahan sehingga ke akhirnya. Menang itu ada tiga. Menang di dunia, atau menang di akhirat, dan yang ketiganya ialah menang di atas kedua-duanya. Jika kita tidak menang di atas dunia, tidak mengapa, asalkan kita telah bersungguh-sungguh berusaha dengan jujur dan amanah. Menang di akhirat jualah yang kita dambakan sebenarnya, kerana itulah dia tempat kita pulang akhirnya.”


Ruh Faizan seperti didodoi oleh sang ibu apabila Tuk Akram memberikannya jawapan yang sedemikian. “Hidup mulia, atau mati sebagai syuhada’ ya.”


Tuk Akram sekadar tersenyum. Utuh keyakinannya, hingga kematian bukan menjadi musuh. Jelas buatnya bahawa dunia ini seluruhnya adalah ujian. Sebuah ujian yang perlu dimenangi untuk pembuktian keimanan.


“Tidak hairanlah masyhur kata-kata bahawa sahabat yang baik itu, ialah sahabat yang bila kita bersamanya, dia mampu mengingatkan kita kepada Allah SWT. Terima kasih Tuk Akram, kerana sudi menjadi guru dan sahabatku.” Rendah diri Ruh Faizan bersuara, sambil melangkah masuk ke istananya.


“Sungguh, kewujudanmu juga memberikan kekuatan untuk diriku yang lemah ini Ruh Faizan.” Tuk Akram membalas.


“Assalamu’alaikum.” Satu suara menyapa dari dalam Istana, membuatkan Ruh Faizan dan Tuk Akram sedikit terkejut. Biasanya kala mentari belum betul-betul naik, tiada siapa yang datang ke Istana untuk apa-apa urusan. Ahli keluarga Ruh Faizan juga tiada di dalam Istana, Angkasa dan Aizan pergi berperang manakala Maisarah berada di rumahnya.


Mereka berdua melangkah segera ke ruang menghadap, dan melihat satu lembaga sedang bersila di hadapan kerusi yang selalu diduduki Ruh Faizan.


“Wa’alaikumussalam.” Lambat mereka berdua menjawab, mahu memastikan terlebih dahulu siapa gerangannya lembaga itu. Dan tegang pada wajah mereka kendur, apabila lembaga itu bangun dan keluar dan menunjukkan diri.


“Kanda Sunyi!” Tuk Akram terus menerpa, memeluk pemilik tubuh.


“Kiai Sunyi, di manakah engkau selama ini?” Ruh Faizan mendekati, menyentuh bahu Kiai paling misteri itu. Namun Kiai Sunyi tidak memberikan respon.


“Kami sangat memerlukan bantuanmu Kiai Sunyi. Kiai-kiai yang lain…”


“Sesungguhnya aku tahu akan hal itu wahai Ruh Faizan. Dan ketahuilah bahawa bantuan yang engkau perlukan hanyalah daripada Allah SWT.” Mata Kiai Sunyi tajam memandang kepada Ruh Faizan.


Tersentap Ruh Faizan mendengar jawapan itu.


“Aku ini hanya ibarat Khidir kepada Musa. Aku tidak bergerak melainkan dengan apa yang Allah aturkan untukku. Bukan tugasku untuk memenangkan kamu, tetapi tugasku hanya untuk memberikan tunjuk ajar.”


“Jadi kanda, apa pengajaran yang kanda mahu sampaikan, hingga kanda muncul di sini pada ketika ini?” Tuk Akran sopan berbahasa.


“Aku datang hanya untuk mengingatkan Surah Al-Fath ayat 1-10.” Kiai Sunyi bergerak keluar dari Istana. Dan dia memberikan isyarat agar dia tidak diekori apabila Ruh Faizan dan Kiai Awan mahu mengiringinya. Menyebabkan kedua-dua mereka berhenti, sekadar menghantar Kiai Sunyi dengan pandangan mata.


“Saat-saat genting. Mereka di medan teruji dengan apa yang mereka lihat. Kamu di sini, teruji dengan apa yang kamu tidak nampak.”


Sebaik sahaja Kiai Sunyi melepasi daun pintu Istana, dia terus menghilang. Seperti ditiup angin.


“Surah Al-Fath ayat 1-10?” Ruh Faizan cuba mengulang ingat ayat tersebut.


Tuk Akram tiba-tiba mengalirkan air mata.


“Kenapa? Kenapa?” Ruh Faizan sedikit menggelabah.


Pagi itu penuh misteri.


 


******


 


Subuh sepatutnya indah bagi mereka yang bangun awal untuk beribadah. Bagi mereka yang tidak beriman pun, Subuh atau pagi sering menjadi waktu menyegarkan diri.


Namun bagi mereka yang kini berada di medan perang, keindahan Subuh itu telah tercalar. Yang indah buat mereka hanya ketika menunaikan Solat Subuh, seakan-akan itu adalah solat yang terakhir buat mereka.


“Bagaimana keadaanmu wahai sahabatku?” Arnav terus mencampakkan dirinya di sebelah Ashoka yang kini sedang berlindung di balik batuan besar yang dihasilkan oleh pasukan mereka.


“Ini apa? Melarikan diri?” Ashoka menyakat.


Arnav tertawa. Sebentar dia melihat dari balik batuan. Menggeleng. “Langsung tiada rehat. Mereka terus menyerang tanpa henti semenjak peperangan bermula.”


Ashoka mengangguk. Dia bangkit dan melepaskan panahnya. Tiga makhluk genetik aneh menjadi mangsa panahannya. Tidak cukup dengan itu, panah-panah itu meletup, memastikan kematian sasarannya. Kemudian dia kembali ke posisi bertahan.


“Tentera kita nampaknya semakin berkurangan.” Ashoka memberikan komentar. Matanya kini memandang ke arah perkhemahan Tentera Agama Langit. Ramai yang sedang dirawat, dan tidak kurang juga mayat-mayat yang terkafan.


“Mereka pula seperti tidak berkurangan.” Arnav sekali lagi cuba memerhatikan keadaan medan perang.


Makhluk genetik aneh yang keluar terus menerus dari tanah itu seperti mata air yang terbit dari celah batu. Tidak berhenti. Menyebabkan mereka tidak berpeluang untuk masuk melalui gerbang yang telah diruntuhkan oleh End sebelum ini. Tambah pula, di kawasan itu tentera Amara berkumpul bertahan. Tentera perempuh pimpinan Khalid Al-Walid juga tidak dapat sampai ke kawasan tersebut dek halangan makhluk-makhluk genetik nan aneh itu.


Akhirnya hari pertama tidak membuahkan apa-apa hasil yang besar, kecuali mereka berjaya menyelamatkan Kiai-Kiai yang ditawan.


Kini pasukan yang diketuai oleh Que Ron dan Ezzen sedang membina benteng dari batuan-batuan, untuk benar-benar memberikan perlindungan kepada perkhemahan mereka. Tidak mahu makhluk genetik aneh itu terlepas masuk ke sini, hingga memusnahkan pertahanan terakhir mereka. Ashoka pula memandu para pemanah untuk menghujani medan perang dengan serangan mereka. Semua tentera yang lain dipanggil semula untuk berlindung dan berehat semenjak Subuh tadi.


Tiba-tiba mata Arnav perasan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.


Segera tangannya mencuit bahu Ashoka.


“Kenapa?” Ashoka kehairanan. Namun Arnav tidak menjawab soalannya, hanya fokus kepada apa yang sedang dilihat. Membuatkan Ashoka terpaksa bangkit dan melihat.


Matanya sendiri terbeliak.


“Macam mana…”


 


******


 


Suasana Subuh di Amara tidak sesejuk di tempat-tempat lain. Ditambah dengan suasana perang, keadaan sentiasa terasa hangat. Namun mereka juga tidak seperti orang yang bangkit untuk Subuh seperti hari yang lain. Kerana mereka tidak tidur semalaman dek peperangan yang tidak berhenti.


“Mengantuk budak?” Izrayel menolak tubuh Angkasa.


Angkasa tertawa kecil, tetapi tidak memandang Izrayel. “Seperti tidak biasa pula.”


Izrayel tersenyum. Memandang kepada End yang sedang berteleku sunyi, bersama Tombak Tiga Mata yang setia direhatkan pada bahu.


“Semasa dikepung dengan seluruh tentera Utopia dahulu, kami juga tidak tidur berhari-hari.” Aizan yang berada di sisi Angkasa berkongsi.


“Perang buat kita kental.” Angkasa menambah.


Aizan pula tertawa. “Ya, aku terus rindu saat-saat aman kita enam bulan kebelakangan ini.”


Mereka berempat dipanggil oleh Syu’bah untuk berkumpul. Di hadapan mereka kini ialah tubuh para Kiai yang telah diselamatkan. Kiai Api, Kiai Langit, Kiai Hutan, Kiai Laut dan Kiai Alam.


Tidak lama kemudian, Mughirah Syu’bah datang, diiringi Hudzaifah Yamani, Shaktiy dan Chitraksh.


“Assalamu’alaikum.” Syu’bah melontar salam seiring ketibaannya.


Angkasa, Aizan dan Izrayel spontan bangun sambil menjawab salam. Hormat kepada Syu’bah sebagai ketua strategi peperangan ini. Lembut Izrayel mahu menyentuh bahu End, yang sepertinya sedang terlelap. Tetapi belum sempat tangan Izrayel hinggap pada bahu rakannya itu, End telah bangun.


“Bagaimana?” Angkasa bertanya.


Syu’bah setia dengan wajah bersahaja, namun suaranya bernada serius. “Semalaman kita berusaha, hingga kini masih tidak dapat mencari cara untuk mematikan kawalan yang diletakkan Sang Asura kepada mereka berlima.” Hudzaifah Yamani dan Chitraksh dilihat mengangguk.


“Pakar teknologi dari Uftzi juga tidak dapat berbuat apa-apa.” Shaktiy melaporkan.


Aizan menghela nafas. “La hawla wala quwwata illa billah.”


“Namun mereka nampaknya berada dalam keadaan yang baik. Cuma ada kecederaan sedikit di sini dan sana, akibat pertarungan mereka dengan Izrayel dan End.”


“Bukan mudah bertarung untuk tidak membunuh, di medan perang.” Izrayel bersuara.


Semua mengangguk. Mengakui kebenaran kata-kata Izrayel. Tambah pula bila musuh mengasak garang.


“Tetapi mujur juga para Kiai ini tidak mengeluarkan sepenuh kuasa mereka.”


Semua yang ada memandang Izrayel. “Apa maksud Senior Izrayel?” Mughirah Syu’bah cuba mendapatkan kepastian.


“Mereka kelihatannya tidak mempunyai kuasa yang menakjubkan, yang seringkali mereka persembahkan kala mereka bertarung. Kiai Api contohnya, aku tidak melihat tiang-tiang api yang sering menjadi ‘identiti’ serangannya. Kiai Laut, aku tidak nampak pun bebola air yang sering dikeluarkannya kala bertempur.”


Mendengar cerita Izrayel, Angkasa jadi teringat akan sesuatu.


“Wah…”


                Dia benar-benar tidak percaya. Tempat lapang itu tiba-tiba dihiasi dengan bukit kecil. Kiai Bumi di sisinya tersenyum sahaja.


                “Adakah ini apa yang kita boleh capai jika kita fokus kepada aura, dan mengalirkannya pada objek-objek lain? Kita mampu mengawal objek tersebut?”


                Kiai Bumi menggeleng. “Secara teorinya, benar. Namun untuk manusia biasa, makhluk biasa mampu menghasilkan tenaga sebegini rupa, ianya mustahil.”


                “Jadi, bagaimana Tuk Fathan boleh mengusahakannya?”


                “Kerana ini bukan aku yang mengusahakannya.”


                “Eh?” Pening.


                “Kami para Kiai, ada kelebihan masing-masing. Ada kiai digelar Kiai Laut, dia punya keistimewaan dengan air. Apabila dia menyalurkan auranya, air akan bereaksi lebih terhadapnya. Maka dia boleh menghasilkan, contohnya, bebola air di udara, memerangkap musuh d dalamnya.”


                Angkasa terdiam takjub.


                “Namun, itu bukan datang daripadanya. Kuasa itu hanya dengan izin Allah SWT semata-mata. Dia, hanya mengusahakannya sahaja. Tanpa izin Allah, ia tidak akan berlaku.”


                “Ah, jika begitu semua perlu dengan izin Allah Tuk Fathan.”


                Tuk Fathan tertawa. “Mudah katanya, kamu, tanpa keajaiban, dengan aura yang ada pada diri kamu hasil cip yang ditanam pada diri manusia ketika zaman silam, boleh menumpukan aura untuk membelah orihalcoln. Itu, biasa. Bukan keajaiban. Namun untuk keajaiban seperti ini…” Tuk Fathan menunjukkan bukit kecil yang dihasilkan auranya. “Hanya Allah SWT yang mampu merealitikannya.”


                “Sebab itu Angkasa. Kalau kamu bertemu dengan Kiai-kiai yang lain dan melihat mereka mempamerkan kehandalan mereka, ketahuilah itu semua datang daripada Allah SWT, tidak sesekali daripada kami yang hina ini.”


Angkasa berkongsikan kenangan itu pada semua yang hadir.


“Allah SWT benar-benar mahu mendidik kita bahawa, segala kekuatan itu adalah daripadaNya.” Izrayel menjemput keinsafan.


“Kiai-Kiai bukan makhluk sakti. Mereka adalah manusia seperti kita yang Allah kurniakan karamah. Karamah itu pula bukannya milik mereka, tetapi mutlaknya milik Allah SWT. Mereka hanya mulia kerana Allah memuliakan mereka.” Aizan menambah.


“Dan apabila Sang Asura menguasai mereka, Sang Asura tidak mampu menghasilkan apa yang Allah hasilkan buat mereka. Subhanallah.” Chitraksh bersuara.


Satu kejadian yang nyata memberikan pencerahan buat mereka. Kuasa yang sebenar-benarnya hanyalah milik Allah SWT. Tiada yang sakti melainkan Dia.


“Jadi apa tindakan kita seterusnya?” Angkasa bertanya.


“Berdasarkan kajian yang kita buat sepanjang malam tadi, hasil dari tangkapan beberapa makhluk aneh di medan perang, kita dapati mereka itu juga punya sangkut paut dengan teknologi yang dipunyai oleh Sang Asura.” Mughirah Syu’bah membentang. Dia memang tidak turun ke medan perang kali ini, fokusnya adalah di perkhemahan mereka, mengatur strategi dan serang balas. Ada pasukan khas bersama dengannya untuk hal ini.


“Bermakna…” Aizan memandang Angkasa.


“Ya senior Aizan yang dikasihi, bermakna misi kita perlu diteruskan.”


“Bukankah misi kita untuk menyelamatkan Para Kiai sudah berjaya?” Izrayel bertanya. “Kita juga semakin diasak hebat oleh makhluk-makhluk ini. Sebaiknya kita berundur dan membina kekuatan semula. Boleh kita kemudiannya terus ke Tanah Sejuk, kembali ke rancangan asal.”


End semenjak tadi diam. Dia memang tidak akan bersuara selagi dirasakan tidak perlu.


Mughirah Syu’bah memandang kepada Izrayel. Senyumannya melebar. Wajahnya cerah. “Senior Izrayel yang amat saya hormati. Jika kita berundur, tiada jaminan mereka tidak akan terus mengasak kita. Kita akan terus kerugian nyawa sepanjang pengunduran itu berlaku, bahkan mungkin ditewaskan.” Sopan suaranya.


“Maka kita teruskan. Cumanya kita perlu pantas. Saya yakin jika misi Angkasa ini berjaya, makhluk genetik aneh ini semua akan mati dan kita akan mempunyai kelebihan dari angka tenaga untuk menawan Amara. Sekaligus melumpuhkan kekuatan Sang Asura.”


“Kami di Uftzi sedang menyegerakan orang ramai keluar dari Uftzi. Memandangkan kami juga nampaknya bersetuju dengan idea Panglima Syu’bah.” Shaktiy sebagai wakil penduduk Uftzi bersuara. Hudzaifah Yamani dan Chitraksh tidak bersuara, sekadar mengangguk bersama.


“Assalamu’alaikum!” Seorang tentera, termengah-mengah, nampak dia baru berlari laju untuk sampai ke tempat mereka berkumpul.


“Ada apa?” Hudzaifah Yamani bertanya.


“Pintu gerbang yang dirobohkan oleh Jeneral End semalam, sudah elok seperti sedia kala!”


Mughirah Syu’bah sedikit terkejut, namun yang lain-lain, kecuali End dan Izrayel, memang langsung tidak menyangka perkara sedemikian boleh terjadi.


“Mustahil mereka mampu membaik pulih gerbang sebesar itu dalam semalaman sahaja. Tambah pula saat peperangan berlangsung!” Aizan musykil.


“Ada kemungkinan juga pintu gerbang itu membaiki dirinya sendiri.” Shaktiy bersuara.


“Ianya tidak mustahil. Mirip teknologi di Uftzi.” Shaktiy melontar komentar, apabila melihat Angkasa, Aizan, Syu’bah, Hudzaifah dan Chitraksh fokus kepadanya.


“Inilah dia teknologi tinggalan silam. Di Istana Sejuk, Sang Asura mempunyai teknologi ini. Tetapi kami tidak sangka pula teknologi ini ada di Amara.” Izrayel bersuara.


End yang semenjak tadi tiada reaksi, mengangguk.


“Jadi bagaimana kita mahu menyusup ke dalam Amara? Ruang yang End buka sudah terkatup semula. Dan teknologi ini menandakan yang kita tidak akan mampu merobohkan tembok mereka. Kita tidak akan dapat maju ke hadapan.” Angkasa kerisauan.


Syu’bah diam seketika. Semua senyap memberikan ruang pakar strategi berfikir.


“Kita teruskan misi asal. Namun kali ini, saya mahu senior Angkasa, Senior Aizan, menyelinap di tengah medan perang, mendaki tembok yang jauh dari perhatian peperangan. Kami di medan perang akan mengasak di pintu gerbang, agar seluruh tenaga Amara tertumpu di sana. Kita masih tidak melihat Jeneral Rafael dan Jeneral Valdis, pada perkiraan saya, mereka akan menyerang hendap kita di saat genting. Maka tugas kami menarik perhatian semua itu, agar Senior Angkasa dan Senior Aizan dapat menyelinap masuk ke Amara dengan mudah.”


Semua yang ada mengangguk. Bersetuju dengan rancangan Syu’bah.


“Ayuh, bergerak. Dengan nama Allah.” Syu’bah berpaling. Dia mahu kembali ke posisinya untuk melihat medan perang.


Semua yang ada di situ bergerak.


“Sudah bersedia kah? Semalam itu hanya senaman pemanas badan sahaja.” Izrayel menyakat Angkasa.


Angkasa tersenyum. “Sentiasa bersedia. Tunjukkan kepadaku persembahan terbaik, orang tua!”


Izrayel tertawa. “Engkau akan menyaksikannya, budak!”


Mereka bergerak menuju ke medan perang.


 


******


 


Dia sekadar memandang sahaja skrin-skrin yang sedang mempaparkan keadaan di Amara. Semenjak pertempuran bermula, dia memerhatikan semuanya dengan khusyuk dan teliti.


Melihat strategi yang diatur untuk para Kiai tidak berhasil, dia sebenarnya tertampar. Namun dia menyembunyikan rasa marahnya akan peristiwa itu, agar tidak dilihat lemah oleh jeneral-jeneralnya, yang kini sedang menanti arahan yang seterusnya.


“Bagaimana Tuanku Asura?” Long Berk yang kini sedang terpampang pada salah satu skrin bertanya. Dia telah diarahkan untuk menanti di satu tempat yang khusus, menggalas misi rahsia yang hanya dia dan Sang Asura sahaja mengetahuinya.


“Engkau telah berjumpa dengan apa yang aku nyatakan?”


“Ya, sudah.”


“Maka benarlah jangkaan aku yang ianya wujud di situ. Pertahankan tempat itu, dengan segala apa yang engkau ada. Serahkan medan pertempuran kepada Rafael dan Valdis. Apa pun yang terjadi, jangan sesekali engkau tinggalkan tempat itu, Long Berk.”


“Menjunjung perintah Tuanku!” Skrin itu terpadam.


Kini digantikan dengan Rafael dan Valdis, yang mana skrin itu dibelah dua memberikan ruang kepada kedua-duanya yang berada di tempat berbeza.


“Tuanku?” Valdis bertanya lembut. Dia sedar yang kini dirinya diperhatikan Sang Asura dari Tanah Sejuk.


“Tunggu sehingga mereka mahu bergerak merempuh pintu gerbang. Ketika itu kamu berdua, serang dari belakang.”


“Baik tuanku. Hihihi.” Rafael menyahut senang. Masa untuk dia turun sudah semakin hampir.


Sang Asura mematikan skrin yang mempaparkan jeneral-jeneralnya. Dia kini fokus pada beberapa skrin yang menunjukkan keadaan terkini di medan perang. Dia melihat End dan Izrayel mula mempraktikkan kehebatan masing-masing, untuk ‘mencuci’ medan perang dari makhluk-makhluk genetik aneh ciptaannya.


Sang Asura mendengus. Penumbuknya dikepal.


“Aku akan memberikan mereka kejutan demi kejutan.”


Dia seperti berjanji.


Kepada dirinya sendiri.


The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 10 appeared first on Langit Ilahi.

2 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 30, 2014 23:54
No comments have been added yet.