Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 8


Cheritera 8.


Perang bermula.


Enjoy!


:)


 



Cheritera 8


 


Beberapa kilometer dari pintu besar Amara, ratusan ribu khemah dibangunkan. Panji-panji berwarna hitam berkibar di sekitar kawasan khemah-khemah tersebut. Malam yang sepatutnya pekat dengan kegelapan, diterangi dengan unggun api di sana sini. Bersama-sama bulan yang terang, bintang-bintang menghiasi langit malam dengan begitu indah sekali.


“Macam bukan nak berperang esok.” Arnav bersuara.


Ashoka di sebelahnya terangguk-angguk.


Mereka berdua memanaskan tubuh dengan duduk berhadapan dengan unggun api, berdekatan khemah tempat mereka bermalam. Baru sahaja usai menunaikan solat malam, memohon kekuatan dan pertolongan Allah SWT. Tambahan, mereka dijadualkan mempunyai…


“Semua sudah ada di sini?” Mughirah Syu’bah tiba bersama-sama Angkasa, Aizan Fahmi, Izrayel, Khalid Al-Walid dan Waqqas Qadri.


Belum sempat Arnav menjawab, kelihatan End muncul bersama-sama Armon, dan dua lagi pahlawan. Makhluk genetik, seorang berwajah rusa dan mempunyai tanduk sepertinya, dan seorang lagi bertubuh sasa, mempunyai wajah badak. “Ini Nusna dan Tartir, panglima Duarte bersama-samaku.” Tanpa ditanya, Armon segera memperkenalkan, menunjuk satu persatu menurut urutan.


Tiba-tiba, bunyi seperti benda besar jatuh, kedengaran. Bukan sekali, tetapi berkali-kali, dalam keadaan yang sekata. Muncul Que Ron bersama-sama tiga panglima gergasinya.


“Eber, Yunja dan Sumka.” Ketiga-tiga mereka memperkenalkan diri.


Datang serentak dengan pahlawan kaum gergasi ialah Ezzen. Dia membawa empat pahlawannya. “Shaktiy, Erzo, Ghazu, dan Montvu. Mereka adalah panglima-panglimaku di Uftzi.”


Angkasa mengangguk. Pernah bertemu dengan pahlawan-pahlawan yang diperkenalkan oleh Que Ron dan Ezzen, semasa peristiwa di Uftzi sebelum ini.


“Assalamu’alaikum.” Dan salam itu dijawab oleh semua serentak. Bila dilihat, panglima-panglima dari Bumi Barokah telah sampai ke tempat perkumpulan.


Hudzaifah Yamani, Talhah Ubaidillah, Toriq Ziyad dan Yahya Waseem.


“Kenalkan, ini Daksha dan Chitraksh.” Arnav menunjuk kepada kedua-dua orang itu, yang semenjak tadi duduk bersama dia dan Arnav di sini. Mereka kemudiannya berjabat salam sesama mereka.


Selepas itu, kebanyakan mereka berdiri semula mengelilingi ungun api, ada yang duduk, dan kaum gergasi di barisan terakhir, berdiri mengelilingi semuanya seperti dinding raksasa.


Mughirah Syu’bah kelihatan sudah bersedia untuk menjadi nakhoda kepada pelayaran yang amat merbahaya ini. Dia ditugaskan oleh semua wilayah untuk menjadi ketua strategi, menjaga koordinasi dalam peperangan yang melibatkan pelbagai jenis tentera ini.


“Saya mulakan dengan menyatakan rasa hormat saya kepada senior-senior semua, terima kasih kerana semuanya sudi untuk berkorban dengan hadir menyumbang kekuatan pada peperangan ini.” Syu’bah menundukkan sedikit kepalanya. Tiada siapa dapat menafikan kesantunan seorang Mughirah Syu’bah. Ramai yang mengkaguminya bukan semata-mata kerana dia genius, tetapi kerana kegeniusannya tidak merosakkan akhlaknya.


“Di sini saya nyatakan juga awal-awal, bahawa peratus kemenangan kita dengan keadaan terkini ini, hanyalah 10 peratus sahaja.” Nyata Syu’bah, sambil riak wajahnya kekal tenang bersama senyuman.


Semua yang hadir diam.


“Tetapi kita juga tidak akan membiarkan Kiai-kiai diperapa-apakan bukan?” Syu’bah mendepangkan sedikit tangannya.


Semua yang hadir terangguk-angguk.


“Maka kita ambil risiko ini. Apa yang saya yakin ialah, kemenangan bukan bergantung kepada jangkaan dan aturan strategi saya, juga apa yang terbentang di hadapan mata kita. Tetapi kemenangan itu adalah anugerah Allah SWT, dan Allah SWT mengurniakan kepada sesiapa sahaja yang Dia sukai. Dia boleh memberikannya kepada Sang Asura walaupun Sang Asura menderhakaiNya. Tetapi ingatlah yang Allah SWT mencintai orang yang mentaatiNya, maka jangan kita hilang kepercayaan kepadaNya. Sesungguhnya Dia tidak sesekali akan memungkiri janjiNya. Maka di sini kita, bersama-sama, datang untuk berusaha dengan apa yang kita ada. Keputusannya, kita serah kepada Allah SWT.” Mukaddimah yang panjang daripada Syu’bah, seakan-akan meletakkan asas pada penyampaiannya dan apa yang bakal dia bentangkan.


“Baik, strategi asal untuk Angkasa dan Aizan Fahmi melaksanakan misi rahsia mereka, berjalan seperti biasa. Cuma nampaknya kita terlalu awal berbanding jadual. Bagaimana keadaan di Uftzi? Apakah usaha penurunan Uftzi sudah berjalan wahai Tuanku Ezzen yang dimuliakan?” Mughirah memandang Ezzen.


Ezzen menghela nafas. Dahinya berkerut. “Berjalan itu sudah, namun kami masih berhadapan dengan masalah untuk menurunkannya. Para saintis kami masih lagi belum menjumpai caranya.”


Mughirah Syu’bah diam sebentar.


“Bagaimana Syu’bah? Jika Uftzi tidak dapat diturunkan, apakah perlu diteruskan juga misi rahsia aku dan Angkasa ini?” Dapat dirasai nada kerisauan daripada Aizan Fahmi.


Syu’bah masih diam.


Semua yang ada mula ada yang bersembang sesama sendiri. Resah. Masing-masing cuba mencari idea dan jalan untuk berhadapan dengan situasi ini.


“Tuanku Ezzen yang amat saya muliakan.” Syu’bah membuka suara, membuatkan yang lain semuanya berhenti berbicara sesama sendiri dan fokus kembali kepadanya.


“Sila arahkan seluruh rakyat Uftzi untuk berpindah ke Brynhildur sesegera mungkin. Saya berikan masa tiga hari.” Mughirah Syu’bah mengangkat jari telunjuk, jari tengah dan jari manisnya bersama-sama.


“Tetapi…” Ezzen seperti merasakan yang tiga hari tidak sempat untuk perkara itu berlaku. Penduduk Uftzi bukannya sedikit.


“Tuanku,” Syu’bah memotong bicara Ezzen dengan pantas. Ezzen sedikit terkejut.


“Tolong.” Syu’bah memandang tepat mata Ezzen, kali ini dengan pandangan yang serius. Membuatkan bulu roma semua yang ada naik serta merta.


“Sudah tiada cara lain nampaknya.” Ezzen mengangguk. Segera dia mengangkat tangannya dan merapatkan telapanya pada mulut. Telapak tangannya bercahaya.


“Uftzi, kerahkan semua rakyat untuk berpindah ke Brynhildur. Mulakan sekarang juga.” Dia bersuara, sambil ditatapi semua yang ada.


Teknologi di Uftzi membenarkan mereka untuk berhubung dengan mudah. Namun atas nasihat dan pandangan Mughirah Syu’bah, teknologi ini tidak dipindahkan ke wilayah-wilayah yang lain.


“Untuk menghadapi Sang Asura, kita akan menghapuskan semua teknologi. Jika teknologi di Uftzi disebarkan, ia akan membantutkan kehidupan seharian dan kekuatan perang kita nanti bila perancangan itu dilaksanakan. Uftzi sendiri sudah patut bersiap untuk hidup tanpa teknologi-teknologi canggih di sana.” Pesan Mughirah Syu’bah dalam mesyuarat mereka yang awal, selepas Angkasa berkongsikan maklumat yang diperolehi daripada hologram Angkasa Sakti yang ditemuinya semasa di Uftzi.


“Baik, penduduk Uftzi sudah mula melakukan evakuasi.” Ezzen melaporkan. Walaupun dia adalah pemerintah dan pahlawan ternama, dia tidak kisah menuruti arahan Syu’bah tanpa banyak bicara. Ketegasan Syu’bah tidak dipersoalkan.


Kerana di medan, dia adalah askar, dan Syu’bah telah diamanahkan mengetuainya. Sebagai askar yang baik, dia akan menuruti perintah ketuanya, selagi mana ianya baik buat semua.


“Dalam tiga hari ini…”


Syu’bah menyambung pembentangannya. Semua menumpukan perhatian.


Angkasa mengambil peluang itu memandang semua. Kemudian pandangannya terhenti pada Aizan Fahmi. Wajah iparnya buat Angkasa menjadi rindu kepada isterinya. Iras itu ada.


Angkasa menepuk bahu Aizan. Ipar merangkap sahabatnya itu membalas dengan memandang.


“Kita akan buat yang terbaik.”


Terkoyak senyuman pada bibir Aizan.


“InsyaAllah, pasti.” Dia mengangkat sedikit Tombak Naganya.


Angkasa mengukir senyum.


 


******


 


Masjid Al-Haram malam itu penuh. Seperti haji sedang berlaku lagi. Tetapi Haji telah berlalu. Yang sedang berlangsung kini adalah munajat besar-besaran yang dianjurkan oleh pemerintah.


Ruh Faizan sendiri mengetuai solat malam dan aktiviti-aktiviti ibadat seperti doa dan zikir. Sambil orang ramai ada yang bertawaf mengelilingi Kaabah. Kebiasaannya, hanya solat fardhu sahaja orang berhenti bertawaf. Pada waktu-waktu lain, tawaf diteruskan seperti biasa walaupun ada majlis. Melainkan majlis seperti perbarisan tentera seperti baru-baru ini.


Puteri Maisarah antara yang hadir malam itu.


Ayahandanya telah mengumumkan pada Subuh pagi tadi bahawa, bermula hari ini, setiap malam akan diadakan munajat besar-besaran di Masjid Al-Haram. Dijemput seluruh rakyat untuk hadir. Hinggalah peperangan tamat dan tentera semuanya pulang ke rumah.


“Mereka berperang di tengah medan, kita berjuang dari sini.” Pesan Ruh Faizan semasa kuliah selepas Subuh.


Puteri Maisarah terkenangkan saat itu, apabila seorang makhluk genetik, bangkit dari jemaah yang mendengar kuliah, mengemukakan satu soalan:


“Tuanku Ruh Faizan, bukankah tentera kita sangat ramai sekarang. Gabungan daripada Tanah Suci, Bumi Barakah, Uftzi, Brynhildur, Midori, Duarte, bukankah kita sudah sangat perkasa dan kuat? Mengapa kita perlu bermunajat seperti orang yang lemah?”


Dan ketika itu dari bahagian perempuan, Puteri Maisarah dapat melihat senyuman ayahandanya.


“Wahai saudaraku,” Makhluk genetik tadi telah duduk semula. “Dahulu, semasa Utusan Langit telah berjaya membuka Kota Makkah, tidak lama selepas itu berlaku satu peperangan bernama Hunain. Buat pertama kali dalam sejarah Islam ketika itu, tentera mereka melebihi tentera musuh. Pasukan pimpinan Utusan Langit Terakhir maju dengan 12,000 tentera. Maka ada dari kalangan mereka yang merasakan kekuatan itu cukup untuk menumbangkan musuh mereka. Tetapi kerana sikap bongkak itu, Allah uji tentera pimpinan Utusan Langit dengan serangan hendap dari musuh, dan barisan mereka menjadi kucar-kacir.”


Ayahandanya diam sebentar, dan suasana ketika itu menjadi sangat hening. Tidak lama kemudian, kisah itu disambung.


“Itu adalah teguran Allah SWT kepada sikap yang sedemikian rupa. Turun ayat memperingatkan akan peristiwa ini. Surah At-Taubah ayat 25-26: Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai, maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun. Dan bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Dia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran), dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.


Puteri Maisarah dapat melihat ketika itu para jemaah di sekitarnya terangguk-angguk. Mula terasa yang kemenangan itu sebenar-benarnya hanya datang daripada Allah SWT. Bukan daripada manusian tertentu, bukan pada angka tertentu, bukan pada kelebihan material.


“Saudaraku sekalian, kerana itu, marilah bersamaku, kita bermunajat dan memohon pertolongan buat saudara-saudara kita yang berjuang di medan sana. Kita berdoa agar Allah sudi memberikan kemenangan kepada mereka, sekaligus mengurniakan keamanan kepada dunia yang sudah terlalu lama dicemari dengan kerosakan ini.”


Dan pada malam ini, seruan ringkas dan perkongsian ringan itu, menarik selautan manusia membuatkan Masjid Al-Haram ibarat dilanda banjir. Bukan dengan air, tetapi dengan tubuh-tubuh yang mengharapkan kepada bantuan dan kasih sayang Allah SWT. Keadaan di Masjid Al-Haram menjadi sendat. Namun semua yang ada tabah istiqomah melaksanakan munajat.


Puteri Maisarah berteleku sendirian di tengah-tengah lautan jemaah.


Hatinya tidak henti-henti berdoa akan keselamatan Angkasa.


Sekali-sekala diusap perutnya.


“Doakan ayahmu wahai anakku.”


Lembut dia berbisik.


Sayu.


 


 


******


 


Matahari sudah mula menunjukkan dirinya. Namun kabus subuh masih belum hilang. Tentera Agama Langit sudah siap berbaris dan bilangan mereka sangat ramai. Sekitar 500,000 semuanya, hasil gabungan dari Tanah Suci, Bumi Barakah, Duarte, Midori atau Neo-Chinmayi, Brynhildur dan Uftz. Panji-panji berkibar megah dan bersama mereka ialah senjata seperti meriam dan manjanik.


Kelihatan Izrayel sedang menunggang kuda, memeriksa barisan bersama End.


Pada masa yang sama, dapat dilihat sekumpulan penunggang kuda bergerak menuju pintu gerbang Amara. Bendera berwarna hijau dikibarkan oleh mereka, sebagai tanda bahawa mereka adalah utusan yang dihantar sebelum peperangan berlangsung. Ini adalah kebiasaan, kerana ada kemungkinan selepas lawan melihat kekuatan yang ada dan membandingkan untung rugi jika peperangan berlangsung, maka dia ingin berdamai dan membatalkan perang.


Sekumpulan penunggang itu ialah Mughirah Syu’bah, Angkasa, Aizan Fahmi dan Armon.


Mereka berhenti di hadapan gerbang besar Amara yang terkatup rapat.


“Kami mahu bertemu dengan Long Berk, Pemerintah Amara!” Aizan Fahmi melaung.


Tiba-tiba gerbang besar itu terkuak. Keluar seorang gergasi. Dia melangkah dan berhenti di hadapan mereka berempat.


“Di manakah Jeneral Long Berk?” Mughirah Syu’bah bertanya dengan penuh hemah. Namun gergasi itu tetap berwajah bengis dan sedikit pun tidak terkesan dengan kemesraan Syu’bah.


“Tuanku berkata, yang sampah tidak akan dapat memberikannya apa-apa, melainkan setelah dikitar semula.” Gergasi itu bersuara. Nadanya angkuh, seperti menterjemahkan nada Long Berk yang menitipkan mesej tersebut.


Angkasa menghela nafas. Armon sekadar menyilang tangan. Peluang terakhir untuk menghentikan peperangan dan melakukan negosiasi tidak berhasil nampaknya. Peperangan tidak dapat dielakkan.


“Sampaikan kepada Jeneral Long Berk, yang kami tidak akan berhenti sekadar di Amara sahaja. Selepas Amara, kami akan mara ke Tanah Sejuk pula.” Mughirah Syu’bah memberikan amaran, namun wajahnya masih beriak tenang dan senyumannya masih tidak luput.


Gergasi itu tertawa. Kuat. Hingga membingitkan telinga mereka berempat. Namun tiada seorang pun menutup telinga. Sedikit pun tidak mahu mempaparkan kelemahan.


“Kamu akan terkejut melihat apa yang kami sediakan untuk kamu. Jangan bermimpi hendak ke Tanah Sejuk. Kamu semua akan dimusnahkan di sini.” Gergasi itu berpaling. Bergerak meninggalkan Syu’bah dan yang lain-lain.


“Pulanglah, gali kubur masing-masing di sana. Kenali namaku – Gunggir. Aku akan hapuskan kamu semua tanpa Tuanku Long Berk menggerakkan walau jari kelingkingnya.” Pintu gerbang Amara tertutup semula.


Syu’bah memandang rakan-rakannya.


Angkasa menggeleng. “Maka pergilah peluang terakhir untuk mengelak peperangan.”


“Sekurang-kurangnya kita sudah berusaha.” Aizan memujuk. Lebih kepada memujuk dirinya sendiri.


Mereka berempat menggerakkan tunggangan masing-masing, berpatah balik ke tempat tentera mereka berkumpul.


 


******


 


Long Berk sekadar memandang sahaja keempat-empat pahlawan Agama Langit itu beredar. Dia berdiri di menara istananya, dari kejauhan melihat semua itu. Sang Asura ada memberikan kepadanya satu misi yang aneh. Dia sendiri terkejut dengan misi tersebut. Namun sebagai orang paling kanan untuk Sang Asura, dia patuh tanpa bertanya lebih lanjut.


Rafael dan Valdis akan berurusan di medan perang.


Tambahan, kekuatannya bukan hanya ada pada mereka berdua sahaja.


Sang Asura telah menghantarkan buatnya hadiah yang tidak ternilai.


Dia yakin, tentera Agama Langit akan haru biru dengan kejutan tersebut.


“Hei hei hei Long Berk, kenapa aku tak boleh bawa Naga turun ke medan perang kali ini?” Suara Rafael memotong monolog Long Berk, membuatkan dia mendengus tanda tidak suka diterjah sedemikian rupa.


Long Berk berpaling. Matanya tajam memandang Rafael. Dia memang tidak pernah suka dengan rakannya yang seorang ini. Padanya, Rafael adalah seorang yang tidak serius dan itu adalah punca kekalahannya.


“Engkau yakin akan dapat tewaskan mereka hari ini?” Long Berk menyindir.


Tawa Rafael terhenti. Wajah serigalanya mencuka, tegang menentang pandangan menyinga Long Berk.


“Celaka kau Long Berk.” Dia menyumpah.


Valdis buat mimik muka tak berkuasa nak melayan pergaduhan yang sering tercetus antara dua perwira itu.


“Aku mahu, sampah-sampah ini dihapuskan hari ini. Ini hari terakhir mereka menyangka yang mereka ada peluang untuk memusnahkan kita. Aku sudah tidak boleh menerima lagi malu yang diberikan oleh mereka kepada kita semenjak kebelakangan ini.” Long Berk meninggikan suara.


“Yalah Long Berk. Kau tak perlu tunjuk berkuasa sangat di sini.” Valdis akhirnya bersuara. Bengang dengan sikap Long Berk yang amat angkuh. Tetapi jauh di dalam hatinya, Valdis mengakui yang Long Berk adalah yang terhebat di antara mereka.


“Pergi!” Long Berk menghayun tangan, memberikan isyarat agar dua rakannya itu mula bergerak.


Valdis dan Rafael berpaling dan terus melangkah keluar dari mahligai Long Berk.


“Long Berk itu, aku akan tunjukkan pada dia siapa aku.” Rafael mengepal erat kedua-dua penumbuknya.


“Fokus Rafael. Kali ini, kita tidak boleh tewas lagi.” Valdis mengingatkan.


Mereka berdua hampir sahaja kehilangan nyawa masing-masing pada pertempuran yang lalu. Kalau bukan hasil pertolongan Sang Asura menggunakan teknologi silam untuk menyelamatkan mereka, Rafael dan Valdis akan tinggal sejarah sahaja seperti mana O Zero.


“Engkau tidak yakin dengan kekuatan kita yang baru ini Valdis? Baru-baru ini bukankah kita telah mempersembahkan kekuatan kita dan mereka tidak dapat menandinginya?” Rafael angkuh.


“Ya, ketika itu mereka sedikit dan perlu menjaga rakyat biasa yang ada bersama mereka.”


Rafael mendengus. Tidak gemas dengan Valdis yang seakan cuba menyatakan bahawa dirinya tidak sehebat mana.


“Dan engkau Rafael, ada Naga bersamamu ketika itu.” Tambah Valdis, lagi merendahkan Rafael.


“Diamlah Valdis. Aku akan buktikan kepada engkau juga kali ini!” Rafael melolong.


Valdis menggeleng.


Malas melayan.


Mereka berdua kemudiannya menyegerakan langkah bergerak ke medan peperangan.


 


******


 


Matahari kini berada pada jarak dua penggalah. Barisan tentera Agama Langit kelihatan kebanyakannya menunaikan solat dhuha. Tetapi tiada yang meninggalkan barisan. Mereka solat di barisan masing-masing. Mereka keluar berperang dengan siap berwudhu’.


Selepas semuanya kelihatan sudah bersiap sedia, Izrayel mara ke hadapan di atas tunggangan. Di sisinya End. Kedua-duanya berzirah perang. Bagi yang melihat mereka, sekali pandang sudah dapat menjangka bahawa kedua-duanya adalah pahlawan yang sangat hebat.


“Saudara-saudaraku.” Izrayel melaung. Dia meningkatkan auranya, dan memadukan aura tersebut dengan suaranya, membuatkan ia bergema ke seluruh barisan, ibarat menggunakan pembesar suara.


“Telah sampai kita kepada hari ini. Allah SWT telah mengurniakan buat kita angka yang ramai. Namun ketahuilah bahawa angka-angka ini tidak ada maknanya di sisi Allah SWT, sekiranya kita tidak benar-benar menyangkutkan keyakinan kita bahawa kekuatan dan kemenangan itu adalah milik mutlah buatNya.”


Semua tekun mendengar.


“Aku dahulu telah membunuh ramai orang mengikut hawa nafsuku, hinggalah aku disentuh cahaya Agama Langit ini. Hari ini aku berhadapan dengan kerajaan yang dahulunya pernah aku pimpin tenteranya. Ketahuilah yang membuatkan kita berbeza dengan mereka adalah keimanan kita. Maka melangkahlah dengan nama Allah, hayunkan senjatamu dengan nama Allah. Cukuplah Allah sebagai pelindung kita pada hari ini.”


“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Laungan Izrayel bersahut. Gema takbir seakan mengetuk pintu langit.


“Cukuplah kita berbicara, hari ini kepada Allah kita serahkan segalanya. Kita telah berdoa dan bermunajat, dan tidak pernah sekali kita meninggalkan tawakkal. Maka dengan nama Allah…” Izrayel memposisikan kudanya menghadap ke gerbang Amara.


Semua berada di posisi masing-masing.


“…Serang!” Izrayel mengacung senjatanya ke arah gerbang tersebut.


Dan tentera Agama Langit pun bergerak maju. Selangkah demi selangkah. Peperangan secara rasminya bermula.


“Pemanah!” Ashoka melaung dari atas tunggangannya.


Para pemanah dari Chinmayi dan Tanah Suci mara mendahului yang lain-lain. Mereka hendak melepaskan panah-panah ke arah tembok Amara, untuk menyerang para pengawal yang berada di atasnya.


“Nanti, nanti!” Ashoka tiba-tiba menarik semula arahan tersebut. Waqqas yang menjadi orang keduanya pada peperangan ini terkejut. “Mengapa?”


“Tengok!” Ashoka menunjuk. Semua yang ada cuba memastikan apa yang dipandang oleh Ashoka, kerana mata mereka tidak setajam mata si pemanah genius Chinmayi itu.


“Ah.” Terkejut.


Dan terus barisan tentera Agama Langit jadi terbantut pergerakannya.


Kelihatan Kiai Langit, Kiai Alam, Kiai Api, Kiai Laut,dan Kiai Hutan sedang melangkah keluar dari pintu gerbang Amara.


“Apakah mereka dibebaskan?” Ashoka memandang Arnav yang tidak jauh daripadanya.


Tiba-tiba,


“Ashok!” Arnav menjerit.


Ashoka jatuh dari tunggangannya. Bahunya ditebak panah.


Dan yang melancarkannya ialah Pertapa Arjuna.


“Apa maknanya ini?” Semua yang ada mengerutkan dahi.


“Mereka telah dikuasai musuh!” Izrayel melaung apabila menyedari apa yang sedang berlaku.


“Hah?” Barisan Agama Langit mula kucar-kacir dengan kecelaruan.


Mughirah Syu’bah yang bertugas untuk memerhatikan gerak geri peperangan dari menara kayu yang terletak di kem, hilang wajah ceria dan mesranya. Dia memang tidak menjangka sedikit pun perkara ini. Tetapi pada masa sekarang, tiada apa boleh dilakukan.


“Teruskan serangan!” Syu’bah melaung sambil memberikan isyarat agar Izrayel terus mara. Izrayel tanpa banyak bicara, terus mara bersama tunggangannya.


Namun tentera pimpinannya kelam kabut kerana masing-masing rasa tidak kena hendak memerangi para kiai.


Angkasa mengetap geram. Tidak sangka sampai begini keji sekali taktik Sang Asura.


“Patutlah dia menculik para kiai. Untuk dipergunakan.” Aizan Fahmi di sisi Angkasa marah.


“Guru…” Ashoka mengerang kesakitan. Arnav sudah berada di sisinya, memangku.


“Macam mana Ashok?”


“Sakit hatiku lebih parah.” Kelihatan air mata mengalir pada pipi Ashoka.


“Kita datang menyelamatkan mereka, tetapi rupa-rupanya mereka sudah menjadi senjata musuh. Apakah kita masih dapat menyelamatkan mereka?”


Arnav memandang ke arah Izrayel yang sedang mengelak panahan-panahan Pertapa Arjuna sambil terus mara. Berdekatan Izrayel ialah End. Namun hanya kedua-dua mereka yang maju ke hadapan. Seluruh tentera Agama Langit telah menghentikan langkah. Ada yang mula bertelagah akan patut atau tidak patut mereka menyerang para Kiai. Arahan Syu’bah tidak dihiraukan.


Kucar-kacir jadinya.


Angkasa memandang Aizan.


Aizan seperti memahami iparnya.


“Mara!” Mereka berdua menuruti Izrayel dan End. Laju memacu tunggangan mereka.


Melihat Angkasa Sakti bergerak ke hadapan, para tentera mula ada yang mengikuti.


“Kita sayang Panglima Terasing, dan hanya dengan berhadapan dengannya, baru kita tahu apakah dia boleh diselamatkan atau tidak!” Hudzaifah Yamani melaung. Barisannya mula bergerak.


Ezzen memandang Que Ron.


“Bergerak Ezzen, aku bersamamu. Kita akan lihat sama ada Kiai Laut masih boleh diselamatkan atau tidak.” Dan mereka pun bergerak.


Tentera Agama Langit perlahan-lahan mula bergerak kembali.


Awal-awal sudah diuji!


The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 8 appeared first on Langit Ilahi.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 17, 2014 08:19
No comments have been added yet.