Syaihan Syafiq's Blog, page 19

April 22, 2013

349: [siri ulasan buku] #32 - antologi cerpen klcc.

Aku sebagai salah seorang penulis yang menyumbang cerpen di dalam Antologi Cerpen FIXI ketiga ini mungkin sekali antara mereka yang paling lewat memiliki buku kecil berwarna ungu dengan kulit dihiasi lilin-lilin comel ini.




Apa-apapun, berikut merupakan ulasan serba ringkas untuk kesemua cerpen yang dimuatkan dalam naskah edisi terhad ini.




Mohon kepada sesiapa yang masih belum mendapatkannya boleh segera membelinya di Pesta Buku Antarabangsa 2013 nanti, khuatir ia habis kerana seperti 2 antologi FIXI yang terdahulu, KLCC hanya dicetak sebanyak 1,500 salinan sahaja.



1. Jangan Terjun - Nadia Khan

Aku seperti dapat merasakan ini merupakan suatu spin-off daripada novel Nadia Khan yang berjudul 'Kelabu' itu, mungkin sekali kerana nama-nama watak yang ditampilkan mirip benar dengan novelnya yang terdahulu. Cerita yang mudah: tentang cinta, pengharapan dan apa yang tidak pasti di masa akan datang.




2. Ground Zero - Khairul Nizam Khairani

Pertama kali membaca karya tulisan beliau lewat novel 'Gergasi' terbitan FIXI. Tiada yang istimewa sangat, naratif sisi idea cuplikan situasi sebenar 9/11. Namun begitu, aku suka laras bahasa yang digunakan. Penyudah yang sedikit menggigit, aku suka!




3. Mata - Shaz Johar

Bagaimana rasanya jika orang yang kau harapkan sebenarnya berkorban demi untuk kebahagiaan kau? Perit, bukan? Begitulah dengan kisah yang terpapar dalam 'Mata'. Salah satu cerpen kegemaran aku sebenarnya.




4. Nyawa - Raja Faisal

Kekal dengan identiti beliau, cerpen pasca-apokaliptik bahana global warming ini sangat-sangat imaginatif. Aku angkat topi kepada penulis kerana berjaya menggarap cerita sebagus ini. Asyik terbayang gabungan cerita 'Children of Men', '2012' dan 'Deep Impact'.




5. Ripuk - Hasrul Rizwan

Pertama kali membaca judulnya, aku garu kepala - tidak tahu maksudnya sehingga harus belek kamus. Nyata langgam bahasa sang penulis jauh sekali meninggalkan aku yang kerdil ini. Ceritanya mudah sahaja, tentang maruah, tentang penghormatan, tentang sejauh mana kau mahu memperjuangkan apa yang kau rasa betul sehingga kewarasan kau dijentik. Bijak.




6. Warisan - Julie Anne

Penulis berkali-kali memberi amaran kepada aku bahawa cerpennya ada berbaur seperti iklan Petronas sedikit. Aku tidak nafikan hal itu. Nama-nama watak menggenapkan elemen 1Malaysia, jalan cerita seperti iklan tahun baru Petronas. Namun yang pastinya berjaya buat aku seka air mata yang berkumpul di pelupuk (jujur!).




7. Dalam Tangan Papa - Adib Zaini

Cerpen yang bertunjangkan sukan gusti ini nyata menyuntik elemen sentimental dan kemanusiaan yang amat mendalam. Jukstaposisi antara berani kerana benar, atau akur kepada kehendak orang lain diadun dengan amat bijak sekali. Salah satu cerpen kegemaran aku dalam antologi ini.




8. Takdir - Hani Amira Suraya

Mengambil elemen saduran daripada filem 'Final Destination', cerpen ini biasa-biasa saja buat aku. Namun penyudahnya aku kira mencuba untuk lari dari acuan klise, bagus dan tersendiri.




9. Gadis dan Dua Menara - Faratira Aimiza

Klise dalam genius. Terbayang narator dalam novel 'The Lovely Bones'.




10. Empat - Mim Jamil

Reaksi aku usai membaca cerpen ini: "HUH? Eww, hedonisme tahap tinggi! Eh."




11. Kalau Lapar Cari Chomet - Syaihan Syafiq

Cerpen sendiri. Ada yang bertanya, apakah kisah ini bertunjangkan elemen LGBT, namun ingin saya jelaskan cerpen ini harus dibaca mengikut kefahaman dan latar peribadi pembaca itu sendiri. Tak semestinya watak Chomet dalam cerpen itu seorang homoseks. Dia mungkin juga seorang gadis, pondan atau janda. Saya karang cerpen ini dengan harapan pembaca sendiri yang membentuk dan memberikan pakaian kepada watak-watak dan kisah yang terpapar menurut pengalaman pembaca sendiri.




Apa-apapun, identiti sebenar Chomet itu biarlah rahsia. Khabarnya dia masih lagi bahagia bersama abangnya itu. =)




12. 2 Tiang, 1 Jambatan - Shafaza Zara Syed Yusof

Aku benci tweethandle @Zara_Syed ini kerana sekali lagi menyajikan cerpen yang benar-benar handal dari segi editorialnya. Tanpa membaca nama penulisnya aku sudah boleh jebak ini mesti cerpen Zara kerana teknik narrative splicing yang digunakan oleh beliau membuat pergerakan plot terasa laju dan menggigit, walaupun atas dasar cerita yang sebenarnya biasa-biasa sahaja. Salah satu cerpen kegemaranku, dan ingin sekali dilihat dikembangkan untuk dijadikan sebuah novella (atau drama bersiri?).




13. Penjaga - Dayang Noor

Usai membaca cerpen kak Dayang aku tidak boleh tidak membayangkan Victoria Secret's Angels. Gabungan saifai, realisme dan teknologi masa hadapan menjadikan garapan cerpen ini antara yang paling tidak terduga. Syabas!




14. Izzaq - Faizal Sulaiman

Nyatanya penulis novel 'Sumbat' ini bangkit dari kritikan yang aku berikan lewat cerpen beliau yang terdahulu di dalam 'Antologi Cerpen BOLA'. Izzaq menampilkan kisah *spoiler* dilema seorang suicide bomber antara menyudahkan misinya atau membatalkan sahaja niat memperjuangkan fahamannya itu. Genius!




15. Serikandi Malaysia - Arif Zulkifli

Aku kira cerpen ini paling terlalu mencuba. Ceritanya bagus, cuma aku kira terkadang terlalu terikat dalam ruang-lingkup klise hubungan ayah-anak yang diikat agak longgar. Mungkin kalau dikemaskan dari segi naratif kerana terasa seperti ditulis agak terburu-buru. Namun begitu, ini merupakan satu cerpen yang bagus. Lain dari yang lain.




16. Koc Lampau Capai Cakerawala - Azura Mustafa

Satu lagi cerpen yang menggunakan akronim KLCC seperti cerpen aku. Cerpen saifai ini sepertinya suatu tempelakan halus kepada situasi politik yang sedang dialami oleh negara kita ketika ini. Itu apa yang aku rasalah.




17. Nek Som, KLCC dan Kucing Bernama Zorg - Azrin Fauzi

Kau tak boleh tulis cerpen dengan tajuk yang lebih panjang lagi ke, Azrin? Apa-apapun aku tergelak sendiri membaca keletah kucing bernama Zorq yang mampu berkata-kata, Nek Som yang seorang penggemar tulisan karya A. Samad Said, dan elemen saifai yang digarap dengan baik sekali.




18. Jemput Makan - Zulaikha Sizarifalina Ali

Mulanya aku fikir *spoiler* ini kisah seorang pengamal kanibalisma. Rupanya aku tertipu. Celaka! Syabas buat Siz atas cerpen yang baik seperti ini.




19. Gerbang Neraka - Ridhwan Saidi 

Aku agak kecewa sebenarnya dengan nukilan penulis kegemaranku kali ini. Gabungan elemen psikedelik, ketuhanan, absurdism dalam cerpen ini nyata meninggalkan aku dengan menggaru kepala dan meletakkan buku berwarna ungu ini ke samping kerana tidak begitu memahami cerpen yang dipaparkan. Ah, mungkin aku tidak se-deep penulisnya barangkali.




***




Apa yang pasti, usai membaca Antologi Cerpen KLCC ini, pastinya ramai antara kalian yang bakal melihat bangunan pencakar langit mercu tanda Kuala Lumpur itu dari perspektif yang berlainan, mungkin sekali lewat kaca mata berona ungu!




=)





 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 22, 2013 01:45

April 7, 2013

April 4, 2013

346: "Kau tak sempat beli KOPI dan BOLA sebab sudah sold out? Jangan sepak bontot sendiri dan dapatkan KLCC dengan segera!" BISIK anak kucing comel itu kepada kau.





Rasanya dah ramai yang tahu tentang antologi edisi khas ketiga FIXI iaitu KLCC yang bakal dilancarkan secara rasminya pada 17 April nanti. Aku tengok kat twitter dengan facebook pun dah ramai yang cakap dah pra-pesan, ada yang dah habis baca dan ulas di Goodreads.




Alhamdulillah, salah satu cerpen aku turut termuat dalam antologi ni, jadinya bertambah-tambahlah resume koleksi karya aku yang dah diterbitkan; dimulakan dengan BISIK, selepas itu koleksi cerpen KOPI, antologi cerpen BOLA, koleksi cerpen UNTUK SEPARA TUHAN (yang ini bawah terbitan Buku Hitam Press) dan yang terkini, semestinya KLCC.




Nah, senarai penuh barisan penulis dalam antologi edisi khas yang hanya dicetak 1,500 naskah ini:





1. Jangan Terjun : Nadia Khan

2. Ground Zero : Khairul Nizam Khairani

3. Mata : Shaz Johar

4. Ripuk :  Hazrul Rizwan

5. Nyawa : Raja Faisal

6. Warisan : Julie Anne

7. Dalam Tangan Papa : Adib Zaini

8. Takdir : Hani Amira Suraya

9. Gadis dan Dua Menara : Faratira Aimiza

10. 2 Tiang 1 Jambatan: Shafaza Zara Syed Yusof

11. Empat: Mim Jamil

12. Kalau Lapar Cari Chomet : Syaihan Syafiq

13. Serikandi Malaysia : Arif Zulkifli

14. Izzaq : Faizal Sulaiman

15. Penjaga : Dayang Noor

16. Jemput Makan : Zulaikha Sizarifalina Ali

17. Gerbang Neraka : Ridhwan Saidi

18. Nek Som, KLCC dan Kucing Bernama Zorg : Azrin Fauzi

19. Koc Lampu Capai Cakerawala: Azura Mustafa





Melihat kepada line-up kali ini, aku bersyukur sebab dapat bersama-sama dengan mereka yang aku kira jauh lebih handal menulis berbanding aku. Terasa kerdil benar berdiri sebaris dengan nama besar seperti Nadia Khan, Khairul Nizam Khairani, Shaz Johar, Hazrul Rizwan, Raja Faisal, Julie Anne, Adib Zaini, Shafaza Zara Syed Yusof (yang ini paling aku gerun sebenarnya), Faizal Sulaiman, Dayang Noor (my personal idol) dan semestinya Ridhwan Saidi. Penulis-penulis lain pun tak kurang hebatnya dan aku memang tak sabar mahu ketemu yang lain-lain masa pelancaran antologi ni nanti.




Peringatan awal: khabarnya antologi ini sedang ligat dipesan di atas talian. Jadinya jangan ulangi tragedi gagal mendapatkan KOPI dan BOLA (yang kini sudahpun sold-out) dan dapatkan KLCC dengan segera.




Ini halaman pertama cerpen aku, loosely inspired daripada kisah benar yang terjadi kat salah seorang kenalan aku masa aku belajar kat UiTM Kedah dulu.








Apa yang menariknya kali ni adalah pelancaran KLCC ni akan dibuat di Stor DBP pada 17 April nanti. Tengok kat bawah ni utk details lebih lanjut.









Insya-Allah aku akan turun beri sokongan kepada pelancaran antologi ini dan juga persembahan teater tersebut. Cuma aku sedikit gusar sebab ia mula jam 8.30 malam, hendak pergi tak ada masalah, hendak balik ke UKM tu yang masalah sedikit. (melainkan kalau ada sesiapa yang sudi tumpangkan... hihi...)




Tiket untuk menonton tak mahalpun, cuma RM25. Khabarnya ramai penulis KLCC yang akan turun (termasuklah aku, mungkin).




Aku mahu pakai warna ungu, cocok dengan warna kulit antologi buku ini. Hiks.




Jadi, jumpa di sana nanti, ya?




=)





 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 04, 2013 23:00

April 3, 2013

345: [siri sekadar cuci mata] #20 - kenapa babak ni tak ada dalam filem g.i. joe yang baru tu? KENAPA??!!

Baru-baru ini aku berpeluang menonton G.I. Joe: Retaliation lakonan abam-abam sasa The Rock, Channing Tatum dan D.J. Cotrona.




Cerita boleh tahan, merapu-rapik, tembak-tembak, bergocoh tak kira lokasi dan jalan cerita yang... ehnn... lets just say aku terlelap juga beberapa minit tengah-tengah filem ini.




Yang pastinya, kecewa bila aku dapat tahu babak 'ini' (lihat gambar bawah) dipotong gara-gara dengan alasan penerbitnya berpendapat babak ini "gagal menterjermahkan persahabatan antara kedua-dua watak Channing Tatum dan The Rock.




Wadefarts?!






REALLY??!!





















 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 03, 2013 09:00

April 2, 2013

344: syukur, dia sudah selamat pulang.



itu saja lafaz aku dari kejauhan.

semoga dia baik-baik saja.






 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 02, 2013 12:05

April 1, 2013

343: dua puluh hal yang semua penulis patut tahu tentang naratif penceritaan.




Baiklah. 



*teguk kopi*



Memandangkan aku berasa agak akademik dan ala-ala ilmiah hari ini, mari kita belajar serba-sedikit tentang naratif penceritaan dalam sesebuah penulisan fiksyen.



Mana-mana yang rasa entri kali ini agak berat sila beredar cepat, sebab aku rasa entri ini agak panjang sebenarnya.



Kau telah diberi amaran.



Seperti yang sedia maklum, naratif adalah suatu susunan kejadian yang dilaporkan (atau dipersembahkan) sama ada mengikut kronologi kejadian itu berlaku ataupun tidak. Info selebihnya sila gugel sendiri sebab ini bukan kuliah Kesusasteraan 101.



*ehem*



1. Ketahui 'suara' naratif kau

Benda pertama yang kau patut tahu ketika kau tulis sesuatu cerita ialah, siapa yang menceritakan cerita ini? Adakah watak kau yang bernama Mahmud itu menceritakan dalam suaranya sendiri? Atau ada suara lain yang mempersembahkan cerita si Mahmud ini kepada dia? Atau adakah kisah si Mahmud ini diceritakan oleh beberapa watak sampingan iaitu rakan sekelas Mahmud yang sebenarnya dalam diam mahu tangkap dia dan tambat budak busuk itu ke sebuah dahan dan bogelkan dia? Atau adakan kerusi kayu dengan penyadar sumbing yang Mahmud si gemuk busuk itu duduk ceritakan dan laporkan apa yang dia buat saban hari di sekolah?



Sebenarnya, boleh saja kau tulis sesebuah cerita tanpa 'suara' naratif ini, tapi sewajarnya kau patut tahu secara automatik 'suara' naratif kau pada pengakhiran perenggan pertama cerpen/novel/trilogi/saga yang kau sedang tulis itu, atau kau bakal tulis suatu cerpen merapu-rapik macam orang tengah high LSD tulis dan sekaligus akan membuat pembaca rasa menyampah (sebab obviously tak faham apa yang kau tulis) dan koyak cerpen/novel/trilogi/saga yang kau tulis dengan gigih itu.



2. Tahu beza perspektif pandangan pertama (first-person point of view) dengan perspektif pandangan orang ketiga (third person POV)

Baiklah. Kau dah siap tulis perenggan pertama tentang kisah Mahmud si gemuk busuk kuat kentut itu. Untuk memudahkan kau, first-person POV ini selalunya menggunakan kata ganti nama pertama, iaitu "saya" atau "aku". Contohnya; (Aku masuk kedai buku tu dan nampak Mahmud si gemuk kuat kentut itu. Aku tendang bontot dia laju-laju sampai dia terjatuh. Aku tengok dia tak nangis tapi bangun dan kejar aku sambil koyak baju dan seluarnya macam The Incredible Hulk). Third-person POV pulak bila kau guna kata ganti nama ketiga macam "dia", "mereka", "Mahmud". Contohnya; (Dia kejar budak kurus kering itu dengan kelajuan 100 kilometer sejam. Tak semena-mena, dia ditahan polis trafik yang membuat road-block di tengah-tengah koridor yang menuju ke kantin sekolah).



3. Ada juga perspektif pandangan orang kedua (second-person POV)

Yang ini menggunakan kata ganti nama "kau". Pada hemat aku, menggunakan 'suara' second-person POV ni bijak, tapi agak susah hendak ceritakan sebenarnya. Susah nak terangkan, kau kena cuba tulis sendiri baru kau tahu betapa susahnya nak tulis naratif dalam POV ni. Contohnya; (Kau rasa perlahan-lahan badan kau mengembang, baju kemeja putih dengan seluar biru sekolah kau mula tetas. Kulit kau bertukar jadi hijau!)



4. Antara menonton dengan melaluinya adalah dua hal yang amat berbeza.

Kau pernah tonton wayang? Tengok drama Korea kat laptop? Ah, membaca sebenarnya sama saja pengalaman macam menonton filem, cuma durasinya (kalau novellah maksud aku) jauh lebih panjang daripada sejam empat puluh minit yang kau bazirkan ulang tengok Winter Sonata lepas tu nangis sorang-sorang kat dalam bilik. 



Third-person POV ni kau kena anggap macam sebiji kamera yang tergantung ala-ala pakcik crew kamera yang ikut watak kau ke mana saja dia pergi dan melaporkan apa yang watak kau tengah buat. Kadang-kadang pakcik crew kamera ni penat jadinya dia berhenti rehat kat bangku sekejap tapi masih usyar rapat kat watak tu dari jauh, kadang-kadang dia suka zoom dekat-dekat sampai nak masuk dalam lubang hidung si Mahmud tu. Dalam erti kata lain, macam menonton.



First-person POV pulak macam kau bagi kamera tu kat salah seorang watak dalam cerita tu, (contohnya si Mahmud) atau kau sumbat je kamera tu dalam lubang hidung si Mahmud tu dan rakam apa yang si Mahmud tu nampak. Dalam erti kata lain, si Mahmud tu sendiri yang jadi pakcik kamera yang bertanggungjawab merakam dan melaporkan apa yang dia lalui. Faham? Oh, second-person POV pun sama jugak macam first-person POV cuma kali ni kamera tu kau jolok masuk dalam mata kau sendiri dan kau tekan punat merah yang rakam apa yang kau nampak dan lalui. Yay!



5. Berapa banyak yang patut pembaca 'patut' tahu.

Persoalan ini agak tricky tapi mustahak sebenarnya. Kau sebagai penulis patut hadkan berapa banyak yang patut pembaca kau tahu tentang sesuatu perkara yang berlaku dalam naratif kau. Sebagai contoh, first-person POV, pembaca hanya didedahkan oleh apa yang Mahmud si gemuk busuk tu fikirkan, rasa pedas nasi goreng yang dia telan tu, sakit hatinya bila Julia tolak pelawaan dia untuk tengok wayang bersama. Tapi kalau third-person POV, pembaca boleh tahu buah fikiran semua watak yang tengah kejar Mahmud yang mencuri rambutan kat dusun Pakcik Dollah yang fidofilia itu. Atau kau, sebagai penulis, langsung tak dedahkan buah fikiran mana-mana watak yang tengah belasah Mahmud separuh mati, tapi sekadar melaporkan ala-ala Karam Singh Walia untuk TV3.





6. Anggap pembaca macam tengah mengendap kau menulis - gaya objektif

Gaya objektif ni boleh diibaratkan macam kau letak dua-tiga ekor anak kucing dalam kotak kasut, lepas tu kau ajak pembaca kau jenguk tengok keletah anak kucing tu sambil kau duduk bersimpuh kat sebelah dan ceritakan yang Tommy Hilfiger yang bertompok tu tengah mengiau, Coco Chanel yang warna oren tu tengah jilat tapak tangannya, Miuchia Prada yang warna hitam legam tu selamba kodok kencing kat satu sudut dalam kotak kasut tu.



7. Pembaca seorang psikik, otak dia 'bercantum' secara telepatik dengan salah satu watak - gaya subjektif

Kau bagi alat kawalan jauh kamera yang kau jolok dalam hidung si Mahmud tu kat pembaca kau dan biar pembaca kau 'rasa' apa yang Mahmud tu rasa. Lebih mesra gittew sebab pembaca boleh 'nikmati' apa yang Mahmud rasa secara intelektual, emosi dan rasa kecewa bila Julia yang hot gila tu suka hati je reject offer si Mahmud nak tengok wayang sebab Julia tu sebenarnya seorang lesbian (eh, macam kenal je...)



8. Gaya Omniscient (aku tak tahu perkataan ni dalam BM apa) - pembaca macam tuhan yang tengah usyar rapat dari atas.

Gaya ni aku perhatikan menjadi pilihan banyak penulis kat luar sana; Stephen King salah satu daripadanya. Tak cukup dengan alat kawalan jauh kamera dalam hidung si Mahmud, pembaca disajikan dengan remote kepada semua watak yang tengah beraksi, jadi pembaca boleh rasa secara majmuk apa yang watak-watak dalam cerita tu tengah lalui, sebijik macam tuhan.



9. Perspektif orang ketiga terbatas.

Perspektif orang ketiga terbatas dinamakan sebegitu sebab had apa yang 'diketahui' oleh orang ketiga itu dibatasi oleh sesuatu batasan yang ditetapkan oleh penulis, selalunya dihadkan kepada hanya satu watak tunggal, berbanding dengan lambakan remote control dalam gaya omniscient kat atas. Gaya perspektif orang ketiga terbatas ni selalunya diaplikasikan kepada hanya satu watak dalam kolektif naratif cerita yang penulis tengah karang untuk timbulkan unsur 'rapat' dan intimasi dengan pembaca.



Contohnya, ambil senario orang kampung tengah kejar Mahmud yang tengah melarikan diri dengan seikat rambutan tadi. Julia, gadis kampung yang dikhuatiri seorang lesbian tu usyar dari jauh je kejadian kejar-mengejar tu, dia boleh je join sekaki, sadung kaki si Mahmud gemuk busuk tu, tapi dia memilih untuk tidak sebab dia nak tengok apa yang orang kampung buat kat Mahmud lepas tu. Adakah Julia keluarkan iPhone dan rakam sebab nak simpan video, atau tengok live, terpulang kepada banyak masa informasi yang penulis hendak pembaca (baca: Julia) tahu dan buat. Faham?



10. Gaya episodik - kuasa 'melihat' berubah-ubah ikut watak dalam cerita.

Kalau korang dah pernah baca novel Hilang karya kak Dayang Noor, kau akan perasan yang setiap bab berselang, POV naratifnya bertukar dari seorang lelaki kepada seorang lelaki kepada satu lagi watak, sebelum POV-nya kembali kepada watak lelaki tadi.



Semacam kau silih-tukar remote control antara kamera Mahmud dengan Julia. Lebih menarik sebenarnya sebab pembaca ada variasi keintiman (ok, sedikit lain macam ayat ni).



11. Padangan orang pertama subjektif - sisi dalam first-person POV.

POV jenis ini yang paling umum dalam banyak-banyak jenis pandangan orang pertama. Sebabnya, ia membenarkan pembaca tahu setahu-tahunya tentang watak yang satu ini, seolah-olah pembaca berada dalam otak watak utama tersebut, menyebabkan thrill dan tahap keterujaan pembacaan agak tinggi sebenarnya. Ini adalah jenis POV yang aku cuba adaptasi dalam novel sulung aku iatu 'Bisik'. Dalam erti kata lain, pandangan orang pertama subjektif ni tak lain macam sang penulis benar-benar menjiwai watak utama dalam penceritaannya itu, lengkap dengan memakai busana dan gestur tubuh sang watak tersebut tatkala dia sedang menaip cerita tersebut.



12. Teknik penceritaan objektif.

Pernah baca surat khabar atau manuskrip teater? Nah, teknik penceritaan ini sama macam itulah. Teknik penceritaan objektif menyingkirkan semua perincian terhadap perasaan dan gelodak jiwa yang dilalui oleh watak-watak dalam naskah dan hanya menceritakan apa yang dilihat. Sisi perincian emosi watak adalah tertakluk kepada interpretasi pembaca itu sendiri. Sebenarnya, ia juga tertakluk kepada penulis itu juga - berapa banyak yang dia (selaku penulis) mahu simpan dan biarkan atas tafsiran pembaca itu sendiri. Semakin  naratif itu bersifat objektif, semakin tinggilah beban tafsiran pembaca.



13. Teknik pandangan pertama omniscient

Macam huraian #8 tadi, gaya penceritaan omniscient ni menganggap pembaca macam tuhan, dia tahu semua yang berlaku, cuma naratif ayatnya dalam ayat pandangan orang pertama. Setakat ini aku hanya perasan teknik ini wujud dalam dua novel iaitu The Lovely Bones dan


14. Narator sisi pandangan orang pertama yang pelbagai.

Ada juga novel yang aku baca punya banyak first-person POV. Bab pertama diceritakan dari mata Mahmud, bab kedua dari Julia, bab ketiga dari Pak Dollah. Apa yang pasti, setiap satu 'suara' naratif ini harus boleh dibezakan dengan mudah oleh pembaca.



15. Jadi, mana satu POV yang paling popular?



Pada hemat aku, naratif yang paling popular dan diguna oleh kebanyakan penulis adalah first-person subjective dan juga third-person limited. Pandangan orang pertama lazimnya menjadi pilihan di kalangan novel remaja kerana ia memberi ruang keintiman yang cukup-cukup makan kepada pembaca untuk memancing pembaca terus membaca dan habiskan novel tersebut.



16. Saya mahu novel say ditulis dalam perspektif pandangan pertama, dan kemudian dalam bab berselang ditukar dengan pandanga orang ketiga, boleh tak?

Tak ada masalah. Itu tulisan kau pulak. Tapi harus diingatkan, menukar POV secara bergilir dalam sesebuah manuskrip bakal menjadi sangat-sangat rumit kalau ia tidak ditulis dengan berhati-hati. Mungkin kau punya logik yang tersendiri mengapa kau mahu persepektif berselang begitu makanya terserahnya. Asalkan ada sebab kau buat begitu. Adakah teknik persepektif berselang itu kerana kau mahu buat segmentasi episod (baca: imbas kembali, imbas ke hadapan) atau kau sekadar mahu sesuatu yang maha kompleks seperti membaca novel ini. Terserah.



17. Harus konsisten, harus jelas.

Pilihlah mana POV sekalipun, yang penting dua hal ini MESTI ada. Harus konsisten, harus jelas.



18. Anggap pembaca macam boneka dan POV itu seperti tali-tali yang mengawal boneka itu.

Jujurnya tugas seorang pencerita (baca: penulis) bukanlah menjadi 'rakan' kepada pembaca. Sebaliknya pencerita ini hanya menjalankan tugasnya mencerita, tidak lebih dari itu. Ini adalah kerana sebanyak mana informasi yang pembaca tahu atau peroleh dari pembacaannya itu benar-benar bergantung kepada si pencerita. Kurangkan penceritaan, maka kuranglah apa yang pembaca tahu. Lebihkan penceritaan, maka banyaklah yang pembaca akan tahu. Kadang-kadang wujud juga pencerita yang berselindung di sebalik naratif yang tidak berguna, menceritakan perihal yang 'bohong' belaka kepada pembaca, hanya untuk didedahkan oleh satu lagi naratif baru di hujung naskah yang memberitahu bahawa pencerita pertama yang sepanjang novel setebal 1368 halaman itu telah menipu pembaca hidup-hidup dengan kisah pembohongan yang didedahkan oleh pencerita kedua pada halaman 1366, iaitu di halaman epilog. Rupa-rupanya si pencerita pertama tu orang gila yang sedang bercerita kepada pembaca. Genius, bukan?



19. Perbezaan perspektif boleh timbulkan unsur ketegangan.

Pandangan orang ketiga membenarkan pelbagai watak dalam naskah untuk sedar akan perincian dan kejadian yang berlaku dalam satu-satu bab, pembaca juga sedia-maklum akan hal ini. Pandanga orang ketiga omniscient pula membenarkan pembaca tahu lebih banyak tentang kejadian yang diceritakan.



Bezakan senario ini:

Orang kampung tidak tahu akan apa yang setiap satu daripada mereka fikirkan, tapi kau (pembaca) tahu, jadinya kau (pembaca) tahu yang Julia sebenarnya merancang untuk menculik Mahmud dan menjual ginjalnya kepada pasaran gelap, dan Mahmud tidak tahu tentang hal ini.



Dengan senario ini:

Mahmud berasa sangat cuak dan curiga apabila melihat Julia mula membuat beberapa siri panggilan telefon. Disusuli oleh perbualan yang tidak begitu jelas kerana Julia dikerumuni orang kampung. Mahmud hampiri Julia, cuba untuk menguping perbualan telefon itu, hanya untuk disepak-terajang oleh Julia. Sah, Mahmud syak mesti ada sesuatu yang tidak kena pada Julia.



Nampak beza naratif antara kedua-dua senario di atas? *sengih*



20. Kalau tidak pasti, padam dan tulis semula.

Ini hal habis akhir yang aku sering amalkan. Aku akui, dua-tiga bab awal manuskrip Bisik ditulis dalam POV orang ketiga omniscient. Masuk bab keempat, aku rasa 'suara' Mikael itu sebenarnya lagi 'dekat' dengan aku berbanding dengan yang lain-lain. Makanya aku rombak semula, tulis balik dalam POV Mikael. Nah, hasilnya banyak pembaca aku yang datang dan bilang mereka suka akan naratif aku sebegitu. *sengih lagi*










1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 01, 2013 10:20

March 26, 2013

342: apa yang aku sebagai seorang penulis kurang gaji buat untuk menulis.

Rasanya aku bukanlah orang yang paling ampuh untuk berbicara tentang aspek penulisan kerana aku sendiri akui yang karya-karya aku yang (alhamdulillah) setakat ini telah tersiar teramatlah sedikit sehingga boleh dibilang dengan sebelah tangan sahaja jumlahnya. Namun ada yang datang kepadaku dan bertanyakan tentang bagaimana aku selaku seorang penulis menjalani proses menzahirkan apa yang terbenam di dalam otak ke dalam ruang sempit segi empat bercetak bernama kertas yang ditatap dan dibaca oleh khalayak umum.




Baiklah. Membebel panjang tidak berguna, mari kita teruskan membaca.




Seperti yang kita sedia maklum, menulis cerpen (atau novel) memerlukan naratif dan penggerak kepada naratif itu merupakan watak-watak yang bermain di dalam suatu susunan plot yang menceritakan apa yang watak itu lalui, buat dan sebagainya. Tidak perlulah aku ceritakan tentang pelbagai jenis naratif atau point of view (orang pertama serba tahu, orang pertama terbatas, orang ketiga serba tahu, orang ketiga terbatas, dll), watak (protagonis, antagonis, watak sipi, dll) dan pelbagai jenis gaya menyusun plot (in medias res, secara kronologikal, imbas muka, imbas ke hadapan, dll) kerana aku anggap pembaca yang membaca entri ini sekurang-kurangnya sudah tahu serba sedikit tentang ini semua. Kalaupun tidak tahu, mohon digugel dan baca sendiri.




=)




Pertama sekali, bekas pensyarahku ketika di peringkat ijazah sarjana muda dulu pernah berkata yang seorang penulis lazimnya mengalami proses berbentuk seperti segitiga. 




Di bahagian puncaknya, dinamakan sebagai "Menulis apa yang anda sedia ada tahu" .





















Di tengah-tengahnya pula "Menulis tentang apa yang watak anda tahu dan mahu tahu" .




























Dan akhir sekali di penghujung dasar segitiga itu wujudnya "Menulis tentang apa yang anda dan watak anda mahu pembaca tahu"




Sehingga kini aku rasa apa yang bekas pensyarah aku kisahkan ini ada betulnya dan sangat efektif bagi aku untuk menjadikan sebuah cerita yang menarik. Mari kita lihat ketiga-tiga fasa ini dengan lebih terperinci.




1. Menulis apa yang anda sedia ada tahu

Sebelum mula membuka Microsoft Word (atau apa-apa perisian menulis yang kau guna untuk menulis) selalulah ingat bahawa sebaiknya ambil satu aspek yang anda sedia ada tahu dan mulakan kembangkan aspek itu.






Aku ambil satu contoh. Rasanya semua orang pastinya kenal akan John Grisham, novelis prolifik yang terkenal dengan novel cereka fiksyennya yang berjudul 'The Firm'. Beliau merupakan seorang peguam yang berjaya sebelum menempah nama sebagai seorang penulis terkenal bergenre legal thriller di mana novel beliau terjual dan diulang-cetak beratus-ratus juta salinan ke serata dunia.




Nampak apa yang aku cuba sampaikan?




Seorang peguam, menulis novel yang berkait-rapat dengan hal-ehwal perundangan, yang sememangnya menjadi makanan rujinya. Ini adalah kerana dengan bermula dengan idea atau aspek yang penulis itu sendiri sudah selesa dan sedia maklum, idea sokongan dan jalan cerita dengan sendirinya akan secara 'magisnya' akan mengalir keluar dari otak dan dipindahkan ke jari-jemari yang menaip di papan kekunci.




Bayangkan John Grisham, seorang peguam yang mempunyai pengalaman berbelas-belas tahun dalam bidang perundangan mahu menulis sesuatu tentang amat asing baginya, sebagai contoh tentang navigasi pelayaran. Semestinya belum sempat dia mahu kembangkan idea itu dia sendiri akan menemui jalan buntu kerana banyak hal tentang aspek pelayaran laut yang dia tidak tahu.




2. Menulis tentang apa yang watak anda tahu dan mahu tahu

Apabila sudah mendapat idea atau konsep tentang apa yang mahu ditulis, mula bentukkan suatu perkisahan daripada konsep tersebut. Aku ambil contoh novel sulung aku, BISIK. Watak utamanya, Mikael, seorang graduan UKM yang tinggal di Bangi, menepati hampir kesemua aspek yang aku sendiri lalui. Aku sendiri seorang graduan UKM, tinggal sudah lebih empat tahun di Bangi; makanya latar tempat watak yang aku bentukkan ini dengan mudah sahaja aku visualisasikan dan terjemahkan ke dalam ayat-ayat di dalam novel tersebut. Begitu juga dengan tempat-tempat lain yang Mikael kunjungi dan naiki di dalam novel itu, hampir kesemuanya aku sendiri pernah aku lalui.




Seterusnya, kembangkan lagi perincian watak yang ada itu dengan memasukkan apa yang watak itu tahu dan apa yang dia mahu tahu. Anggap watak yang sedang kau bentukkan itu sebagai sebiji balang kosong yang boleh diisi dengan apa jua jenis cecair atau pepejal yang kau mahu. Aku visualisasikan Mikael itu seorang graduan, tinggal di kawasan Bangi, bekerja sebagai seorang penulis, punya beberapa kawan (watak sokongan, yang aku bangunkan berdasarkan intipati dan perwatakan beberapa individu di sekelilingku yang aku kenal).




Nah, wataknya sudah mulai 'terisi' dan apa yang tinggal hanyalah ditiupkan 'rohnya' saja. Bagi aku, aku hanya akan letakkan watak yang aku bangunkan ini kepada suatu situasi yang biarkan dia dengan bebasnya berinteraksi dan berbuat semahunya di dalam situasi yang aku bentukkan itu.




Faham? *bunyi cengkerik*




Mikael, seorang penulis yang baru sahaja memulakan kariernya, dilanda tragedi aneh apabila dia menyaksikan teman serumahnya jatuh dari balkoni dan mati di tempat kejadian. Apa yang berlaku seterusnya? Apa yang Mikael, penulis muda itu bakal lakukan?




Aku biarkan Mikael ini 'berinteraksi' dengan situasi yang aku bangunkan tersebut. Dia tahu yang kedai serbaneka 7-Eleven ada menyediakan papan kenyataan yang menyediakan iklan rumah atau bilik sewa. Nah, selebihnya aku biarkan Mikael meneruskan langkahnya yang berikut. Jujur aku katakan sebenarnya penceritaan dalam BISIK itu awalnya langsung tidak seperti apa naskah akhir yang dicetak dan dijual sebagai novel yang (terima kasih!) dibeli dan dihayati oleh anda semua. Awalnya, aku andaikan Mikael akan berbuat ini, ini dan ini... Nah, apabila aku biarkan dia berinteraksi dan bersosial dengan latar tempat, masa dan apa yang berlaku ke atasnya, lain pula yang jadi.




Bagi aku, dengan membenarkan watak yang dibangunkan tadi berinteraksi dengan latar tempat, masa dan apa yang berlaku di sekelilingnya, secara tidak langsung aku memberikan kebebasan kepada watak itu untuk meneroka dan menjalani hidupnya secara lebih realis.




Sama prinsipnya seperti permainan video The Sims.









Kau sediakan latar tempat, masa dan segala macam yang sewajarnya, dan kau 'campak' watak kau ke dalamnya dan perhatikan apa interaksi yang bakal dia lakukan. Secara creepy-nya watak kau itu (dalam kes akulah!) akan mulai 'hidup' dengan sendirinya dan menjalani kehidupan di dalam dunia yang kau bangunkan itu.




Nah, secara tidak langsung kau akan mula menulis tentang apa yang watak kau mahu tahu.




3. Menulis tentang apa yang anda dan watak anda mahu pembaca tahu

Selepas membangunkan watak berdasarkan ciri-ciri dan perihalan yang kau tahu, letakkannya di dalam latar tempat, masa dan berinteraksi secara automatisnya di dalam dunia ciptaan kau itu, langkah seterusnya akan menjadi amat mudah sekali.




Apa yang pada penghujungnya mahu kau capai, watak kau lalui dan pembaca kau dapat tahu hasil daripada membaca cerita yang kau tulis ini.




Untuk "kebaikan" mereka yang masih lagi belum mendapatkan dan membaca BISIK, aku enggan membuat spoiler di sini. Namun, apa yang aku boleh cakap ialah, pada penghujung cerita ini, aku mahu pembaca tahu yang Mikael itu sebenarnya......... ha, isilah sendiri.




***




Nah, tiga fasa yang aku lalui untuk menulis yang aku sendiri amalkan dan sehingga kini alhamdulillah membuahkan hasil penulisan yang aku kira baik, walaupun pada hemat aku, masih terlalu banyak lagi perkara yang aku mahu pelajari tentang teknik-teknik menulis yang baik.




Aku harap dengan huraian entri ini maka serba-sedikit terjawablah soalan ramai orang yang bertanya apakah proses yang aku lalui dalam menghasilkan sebuah karya fiksyen.




Sekian, terima kasih.




=)





 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 26, 2013 22:30

March 25, 2013

341: tak apalah. aku baik-baik saja.




untuk kamu yang di kejauhan.

mungkin inilah yang terbaik.

terima kasih untuk segalanya.





 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 25, 2013 22:30

340: [siri certot] #07 - makcik aminah si tukang cuci asrama.

Ini sebenarnya percubaanku untuk kontes ASRAMA

Tak menang. 

Tak apalah. 

Rasanya certot aku ini bukan sedap mana pun.




=)




*


Nama makcik Aminah Talib. Makcik dah lama kerja sini, berbelas tahun. Kalau nak diikutkan, makcik tak berapa suka kerja makcik, tapi nak buat macam mana, makcik bukannya belajar tinggi macam budak-budak yang tinggal kat sini. Makcik kerja tukang cuci asrama je kat sin, itu je yang makcik tahu buat.


Apa yang makcik tak faham ialah macam mana budak-budak yang tinggal kat asrama ASPURA dua blok ni betul-betul mencabar kesabaran dan iltizam makcik untuk kerja bersungguh-sungguh. Dia orang ni betul-betul menjengkelkan makcik. Tak faham betul, dia orang ni macam tak ada adab sivik langsung! Cuba kamu tengok tandas ni; tahi bersepah-sepah, air kencing merata-rata. Susah sangat ke nak tarik pam dan pancutkan air kasi bersih sikit supaya orang lain selesa nak kongsi tandas ni? Kat singki tu, macam tak reti nak cucur air lepas dia orang ni bercukur atau buang kahak. Jijik sungguh!

Hari Jumaat lepas makcik tak berapa sihat, jadi makcik tak datang bersihkan asrama. Hujung minggu makcik tak kerja jadi Isnin berikutnya bila datang, tong sampah sebelah dengan bilik air tu dah penuh pepak dengan segala macam sampah sarap, siap melimpah-limpah dan berkumpul kat lantai. Terpaksalah makcik kutip pakai tangan, masukkan dalam plastik sampah, ikat kemas-kemas dan usung satu-satu bungkusan sampah tu ke tempat kutipan sampah kat belakang blok.

Tapi yang pastinya makcik kasihan kat Senah yang minggu lepas kena bersihkan blok ASPURI kat seberang padang sekolah sana. Jenuh dia nak uruskan tandas-tandas tersumbat gara-gara ada budak bodoh yang campakkan tuala wanita kat dalam lubang jamban tu. Apa punya banganglah budak-budak ni.

Minggu ni giliran makcik bersihkan blok ASPURI pulak. Makcik baru je usung baldi yang berisi segala kloroks, berus penyental dan segulung paip getah bila –

“Aaaahhhh!!!”

- alah, dah kenapa budak perempuan berkemban tu lari lintang-pukang? Tak pernah nampak makcik tukang cuci tak ada kepala ke?





 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 25, 2013 11:27