Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 6
Sampai kita ke Cheritera ke 6.
Alhamdulillah, nampaknya ada peluang cerah Takdir 3 disempurnakan sebelum penghujung Disember.
Mohon doa para pembaca.
Zaman sekarang ni, tak tahu berapa ramai yang singgah ke website ini, baca semua benda ni.
Semoga Allah merahmati mereka yang masih melawat dan menikmati karya-karya din sini.
Cheritera 6
Malam itu angin sepoi-sepoi bahasa, bertiup menyapa wajah Angkasa, yang santai di tepi jendela rumahnya. Sekali sekala dia memandang keluar, melihat ke arah Masjid Al-Haram yang boleh dilihat walau jarak antara bangunan mulia itu dengan rumahnya sekitar dua ratus depa. Di Tanah Suci ini tiada bangunan yang setinggi Masjid Al-Haram, dan kebanyakan rumah hanya setingkat sahaja. Boleh dikatakan bangunan terbesar selepas Masjid Al-Haram kini ialah istana Ruh Faizan, yang hanya sekitar empat kali ganda besarnya dari rumah Angkasa, itupun kerana hendak memberi ruang jika ada tetamu dari kalangan kaum gergasi datang menghadap di istana itu.
Pandangan Angkasa kemudian jatuh pada mushaf Kitab Langit pada telapak tangan kanannya. Dia melihat ayat-ayat yang tertera, dan membacanya dengan perlahan, namun suaranya mendayu merdu dibawa angin. Malam menjadi sayu dengan iringan suaranya membaca ayat-ayat suci itu.
Hampir sahaja kitab ini pupus dek kerana ketiadaan cetakannya, juga sikitnya para penghafalnya. Tetapi nyata Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Diaturkan Fathi Auni mempunyai salinan yang terakhir. Dititipkan kepada Angkasa sebagai bekal perjalanan, dan akhirnya kini ia dicetak dengan meluas selepas Tanah Suci berjaya terus kukuh berdiri selepas kepungan Jeneral-jeneral Utopia dahulu. Kini para penghafal Kitab Langit semakin bertambah dari hari ke hari, dan wilayah-wilayah yang dikuasai ummat Islam sudah mula membuka banyak akademi serta menggerakkan pelbagai lagi inisiatif agar penghafal Kitab Langit ini terus meningkat.
“Namun yang terpenting, bukan sekadar menghafal dan membacanya.” Suara Kiai Suci singgah pada benak Angkasa. Bacaannya diteruskan, namun sebak mula bertamu di dada. Bingkai matanya mula berkaca, tulisan pada helaian mushaf itu tidak lagi kelihatan, diganti dengan bayangan bapanya.
“Yang terpenting ialah mengaplikasikan apa yang disampaikan olehNya.” Kiai Suci mengangkat telunjuk ke atas.
“Bapa, apakah Yang Maha Segala-galanya itu berada di atas kita?” Angkasa bertanya, ingin tahu. Lembaran mushaf ditutup cermat. Spontan bapa angkatnya itu tertawa.
“Angkasa, tahukah bahawa ada orang bergaduh membahaskan di manakah Allah? Hingga mereka menafikan keimanan pihak yang berbeza dengan mereka? Hingga ke satu tahap, membawa kepada pembunuhan sesama muslim dan persengketaan serta perpecahan yang tiada kesudahannya?”
Angkasa menggeleng.
“Mereka adalah yang sekadar membaca tulisan yang tertera pada mushaf ini, tetapi tidak benar-benar mengerti apa isinya. Mereka bergaduh berpanjangan akan perkara yang Tuhan tidak suruh perjuangkan, hingga melupakan apa yang Allah suruh mereka jaga, yakni ukhuwwah sesama mereka. Hingga mereka meninggalkan akhlak dan kesantunan yang dituntut, hanya kerana hendak membuktikan pendapat mereka yang paling benar, dan yang lain silap belaka.”
“Jadi bapa, Allah itu di mana?” Angkasa mengerutkan dahi. Dia yang masih baru dalam memahami Agama Langit ini sedikit tidak mengerti dengan apa yang bapanya bangkitkan.
Bapanya tersenyum. “Jika kamu benar-benar tahu Allah itu ada di mana, apa yang kamu boleh lakukan?”
Angkasa diam. Ya tak ya juga.
“Kamu lihat, itulah sia-sianya perbalahan tadi. Orang mendalami agama untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam, sebaliknya mereka pergi mengaji agama untuk mencambah perbalahan. Dan perbalahan seperti itu melemahkan. Menyebabkan ummat ini dalam kesesatan. Mereka menyangka mereka sedang memperjuangkan sesuatu, tetapi sebenarnya mereka sekadar memenangkan syaitan yang sukakan perbalahan dan perpecahan. Angkasa, jangan habiskan hidupmu dengan kesia-siaan. Jelaslah dalam segala tindakan, dan pastikan apa yang kamu usahakan, adalah perkara yang membawa manfaat. Bukan mudarat.” Rambut Angkasa diramas lembut. Dengan sebelah tangan yang lain, bapanya membuka semula mushaf pada tangan Angkasa.
“Sambung.”
Dia pun menyambung bacaannya.
“Kanda?”
Suara lembut Puteri Maisarah menarik Angkasa keluar dari memori silamnya. Segera dia menyeka air matanya, dan matanya yang sembab itu ditalakan pada isterinya. Perasan isterinya tidak bertudung, Angkasa lekas menutup jendela. Puteri Maisarah terjaga dari lena, dengan selimut masih lekat pada bahu. Mungkin kehairanan kerana dia tidak berada di atas katil, dan tidak pula bersolat malam berdekatan tempat itu.
“Kenapa?” Puteri Maisarah mendekati, tangan yang mulus itu menyentuh pipi suaminya.
Angkasa mengukir senyum. Menutup mushaf. Diletakkan pada jendela, kemudian menarik tangan Puteri Maisarah, mendudukkan isterinya itu pada pangkuannya. Kerusi rehat bergerak sedikit.
“Teringatkan arwah bapa.” Terasa benar kesedihannya, lebih-lebih lagi apabila dia sedar yang bapa angkatnya itu tidak lagi menunggu di rumah mereka. Menurut End, bapanya telah meninggal dunia kerana ajalnya telah tiba sebaik sahaja pemergian Angkasa. Sepertinya tugas terakhir bapanya yang diaturkan oleh Allah SWT adalah membesarkannya menjadi harapan dunia.
Puteri Maisarah cuba mengait memori kala dia masih kanak-kanak. Dia pernah bersemuka dengan Kiai Suci. Dia ingat lagi kesantunan yang tinggi oleh Kiai itu apabila berhadapan dengan ayahandanya. Tidak hairan mengapa Angkasa yang tinggal lama bersama Kiai itu, sebak bila teringat akannya.
“Banyak perkara yang tidak berapa kanda fahami, nasihat-nasihatnya, pesan dan tegurannya, sepanjang hidup bersamanya. Namun bila sudah lama mengembara, bertemu dengan pelbagai orang, melihat pelbagai suasana, melalui pelbagai peristiwa, benar-benar melihat dunia, terasa benar segala katanya.”
“Dia mestilah bapa yang baik ya? Seperti Ayahanda.” Puteri Maisarah merehatkan kepalanya pada dada Angkasa. Angkasa mengucup ubun-ubun isterinya. Benar, Ruh Faizan mertuanya itu, persis akhlak bapanya.
“Janganlah bersedih kanda. Bukankah Allah telah menganugerahkan dirimu keluarga?” Puteri Maisarah menekapkan telapak tangannya pada pipi suaminya. Mata mereka bertentang.
“Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, kemudian engkau diberikan perlindungan?” Teringat dia akan ayat Surah Dhuha ayat 6 itu. Terasa benar ayat itu pada dirinya kini.
Dia sudah beristeri, punya mertua yang sangat baik, dan bakal mempunyai zuriat. Pantas tangannya mengusap perut Puteri Maisarah. Senyuman terukir indah pada bibir kedua-dua mereka.
“Terima kasih dinda.” Dikucup dahi isterinya itu.
Tiba-tiba pintu rumah mereka diketuk. Dan ketukan itu kedengaran cemas. Siapakah yang menjengah di tengah malam ini?
Puteri Maisarah bingkas bangkit bersama suaminya, dan dia pergi ke belakang, melindungi dirinya di balik tabir. Angkasa merapati pintu, dan membukanya.
Kelihatan Aizan Fahmi berdiri di hadapan rumahnya, dengan wajah beriak tidak enak.
“Aizan, mengapa?” Angkasa menjabat tangan iparnya. “Seperti dikejar jin sahaja.”
“Rombongan Bumi Barakah, Chinmayi, Uftzi dan Brynhildur telah diserang. Khabarnya Panglima Terasing, Pertapa Arjuna, dan Kiai Laut telah ditangkap oleh Kerajaan Utopia. Kita juga tidak dapat menghubungi Kiai Api dan Kiai Alam yang bergerak ke Amara.”
Berkerut dahi Angkasa menerima berita itu. “Bagaimana dengan ahli-ahli rombongan, dan para pahlawan yang ada?”
“Kebanyakannya terselamat dan tidak sedikit yang cedera juga.” Aizan bernada risau yang teramat. Angkasa cuba mengimbangi keadaan itu dengan memaparkan ketenangan, walaupun jiwanya sendiri tidak henti-henti mendoakan kebaikan daripada Allah SWT.
“Mengapa baru sekarang berita ini sampai?” Angkasa kehairanan. Sudah hampir masuk dua minggu selepas semua rombongan itu meninggalkan Tanah Suci.
“Uftzi baru menghantar burung helwi melaporkan. Mereka menghantarnya sebaik sahaja sampai.”
“Bermakna perkara ini telah berlaku seminggu yang lalu.” Angkasa menjangka. Dia mengambil kira perjalanan rombongan-rombongan tersebut, jaraknya antara Tanah Suci, juga masa yang perlu diambil untuk Burung Helwi sampai dari Uftzi ke mari.
“Ayahanda menyeru kita semua untuk hadir ke bilik mesyuarat sekarang juga.” Aizan menyatakan tujuan sebenar dia ke rumah Angkasa.
“Baik. Kita terus pergi.” Angkasa tidak perlu menukar baju, dia dalam keadaan yang sesuai kerana sebelum membaca Kitab Langit tadi, dia telah mandi untuk menunaikan solat malam. Pakaiannya bukan pakaian tidur.
Dia berpaling sebentar memandang Puteri Maisarah. Isterinya itu berwajah risau, namun faham yang Angkasa perlu pergi dengan segera. Selepas berbalas salam, Angkasa terus bergerak mengikuti Aizan.
“Mengapa para kiai sahaja menjadi sasaran Sang Asura?”
Terdetik persoalan itu pada benaknya.
*****
“Tuanku, kita perlu segera bertindak, aku risau jika guruku diperapa-apakan.” Ashoka bersuara gusar. Dia berdiri, mundar mandir, tidak seperti yang lain di bilik mesyuarat.
Raja Ali mengurut janggutnya, memerhati peta dunia dan kemudian memandang panglima-panglimanya. Di meja mesyuarat itu, selain Ashoka yang sedang kegelisahan, ada Arnav anak murid merangkap anak angkatnya, dan dua panglima baru menggantikan Aedan dan Asmita, bernama Daksha yang berambut putih bersama kulit sedikit gelap dan Chitraksh yang tinggi lampai berbanding semua.
“Bertenang Ashok. Kita tidak boleh gopoh. Musuh memang suka kita terburu-buru.” Arnav mencuit sahabatnya apabila Ashok bergerak dekat dengannya.
Ashoka menepis kuisan itu dan mendengus. Dia tidak dapat bertenang. Risau gurunya diperapa-apakan.
“Bagaimana guru? Jika mengikut rancangan Mughirah Syu’bah dari Tanah Suci, strategi kita ialah menyerang Tanah Sejuk dengan ketumbukan tentera dari semua wilayah sebulan lagi. Jika kita menggerakkan tentera kita sekarang, pertama tidak pasti apakah yang lain akan mengikuti kerana tiadanya persediaan. Dan jika kita ambil kira kemungkinan yang pertama itu, maka keduanya kita tidak boleh menyerang Tanah Sejuk.” Arnav memandang tepat kepada Pemerintah Chinmayi itu.
Raja Ali masih berdiam diri. Menunggu punya risiko, terus bergerak juga punya risiko. Kedua-duanya tidak kecil.
“Saya mencadangkan agar kita menyerang Amara tuanku.” Daksha bersuara. Garau, dan sedikit bergema. Semua kini tertumpu kepadanya.
“Mengikut kekuatan yang kita ada, juga keadaan semasa, menyerang Amara adalah strategi yang terbaik. Pergi terus ke Tanah Sejuk sekadar menempah maut, namun kita boleh mencuba dengan menyerang Amara. Kita gertak mereka untuk melepaskan Pertapa Arjuna dan kiai-kiai yang lain, atau mereka akan berhadapan dengan tentera terhebat kita. Kita juga boleh mengajak Brynhildur dan Uftzi untuk berkerjasama, Kiai Laut turut ditawan, dan mereka paling hampir dengan kita.” Daksha membentangkan pandangannya.
Raja Ali terangguk-angguk. Ashoka berhenti dari mundar-mandirnya.
“Nampaknya…” Raja Ali mula membuka suara. “…Itu sahaja jalan yang kita ada. Apakah kita serius hendak meneruskan usaha ini?”
“Serius tuanku!” Ashoka pantas menyahut.
“Chitraksh, pagi esok selepas Subuh, kirimkan burung helwi ke semua wilayah rakan kita, dan sampaikan perancangan ini. Kita akan bergerak tiga hari lagi, bersama atau tidak bersama mereka.” Raja Ali membuat keputusan.
Arnav menghela nafas. Dia memandang Ashoka. Lantas dia bangun dari duduknya, dan menggosok lembut belakang tubuh sahabatnya itu.
“Banyakkan berdoa Ashok.”
Ashoka mengangguk. Dua penumbuknya dikepal erat.
******
Berita penangkapan kiai-kiai telah tersebar meluas ke seluruh pelusuk wilayah-wilayah ummat Islam. Keresahan dan kegelisahan mula menghinggapi kebanyakan orang, kerana para kiai boleh dianggap antara yang menjadi harapan serta kunci kemenangan pada peperangan yang bakal menjelang. Kini apabila mereka ditangkap, kebanyakan rakyat membuat dua kesimpulan pantas.
Pertama, kekuatan musuh telah tertingkat hingga mampu menangkap para kiai.
Kedua, harapan kemenangan menjadi tipis kerana pasukan ummat Islam kehilangan para kiai, satu-satunya kumpulan manusia yang pergi ke Tanah Sejuk menentang Kerajaan Utopia dan pulang semula hidup-hidup.
Ramai yang menganggap bahawa kini keadaan telah berubah, peratus untuk Kerajaan Utopia memenangi peperangan ini dirasakan telah meningkat dengan banyak.
Angkasa mendengar perbualan orang ramai di sini dan sana, sepanjang dua hari selepas berita ini tersebar. Di masjid, di pasar, di jalan-jalan, semua kelihatan cemas dengan perkembangan terkini.
Angkasa duduk berteleku menghadap Kaabah. Entah mengapa, kawasan ini seperti tidak terganggu dengan itu semua. Manusia, makhluk genetik, bahkan ada satu-dua gergasi yang khusyuk bertawaf mengelilingi Kaabah, juga ada yang beribadah di sekitar perkarangannya, seakan-akan berita penangkapan para kiai tidak menganggu mereka.
Angkasa tunduk kemudiannya.
Dari mesyuarat dua hari lepas, Mughirah Syu’bah menyatakan yang kemungkinan besar penangkapan para Kiai mempunyai dua sebab. Pertama, kekuatan Utopia tidak cukup kuat untuk menyerang mereka secara terus, lantas serangan hendap digunakan, dan hanya fokus kepada penangkapan para kiai. Kedua, penangkapan para kiai bertujuan untuk mengkucar-kacirkan barisan orang-orang Islam.
“Mereka tidak menculik Kiai Awan pula?” Waqqas bernada hairan. Semua memandang kepada Tuk Akram.
“Mungkin kerana aku terlalu tua. Aku paling berusia dan paling lemah antara yang masih ada.” Tuk Akram menjawab. Riak wajahnya memaparkan kerisauan. Namun jelas dia cuba bertenang.
“Bagaimana dengan Kiai Sunyi?” Khalid Al-Walid membangkitkan perihal kiai nan misteri itu.
Tuk Akram menggeleng. Tanda tiada apa-apa berita berkenaannya.
“Ah, bila semuanya sudah dalam keadaan yang baik-baik, Allah menguji pula begini.” Aizan memuncungkan mulutnya.
“Anakanda, jangan begitu. Allah sentiasa menguji kita. Ujian hanya terhenti bila kita mati nanti wahai anakku.” Ruh Faizan menegur.
“Syu’bah, bagaimana perancangan kita dengan keadaan terkini ini?” Izrayel cuba membawa ahli mesyuarat kembali fokus kepada pembentangan Syu’bah.
Syu’bah yang biasanya ceria, kini menghela nafas dan wajahnya sedikit mendung.
“Apa-apa perubahan dari perancangan asal, akan mengurangkan peratus kemenangan kepada sepuluh peratus sahaja.” Jujur dia menjawab.
Bilik mesyuarat senyap seketika.
Angin keamanan dan ketenangan seperti mula diragut. Kini gendang perang seakan dipukul bertalu-talu. Terasa semakin dekat harinya untuk munculnya keputusan terakhir, sama ada cahaya bakal menyelimuti dunia, atau kegelapan yang bakal mencengkamnya.
“Anak muda, engkau melihat Kaabah seperti Rasulullah ada di sisinya.” Suara itu membawa Angkasa kembali ke alam realiti. Dia melihat ke kiri, Kiai Awan sedang melandaskan punggungnya ke atas sejadah yang terbentang di seluruh kawasan keliling Kaabah.
“Bagaimana agaknya ya jika Rasulullah masih ada bersama kita sekarang?” Angkasa tersenyum. Pandangannya kembali kepada Kaabah dan orang ramai yang beribadah di sekitarnya.
“Baginda akan bermesyuarat dengan para sahabatnya, dan memilih jalan yang terbaik berdasarkan wahyu daripada Allah.”
“Pasti indah zaman di mana wahyu belum lagi terputus.” Angkasa meluah. “Apa-apa hal, boleh dirujuk terus kepada Allah SWT. Bahkan, boleh minta Rasullah terus mendoakan kemenangan.”
Tuk Akram tertawa.
Angkasa mengerutkan dahi. “Mengapa Tuk tertawa?”
“Salah tanggapanmu itu Angkasa.”
Kiai Awan kemudian bersuara: “Daripada Abdullah Khabbab bin Art RA berkata: kami telah mengadu kepada Rasulullah SAW yang mana pada ketika baginda sedang berselimut dengan selendang di bawah naungan Kaabah, lalu kami pun berkata: Tidakkah kamu akan menolong kami, tidakkah kamu akan berdoa untuk kami(supaya dipercepatkan kemenangan Islam)? Maka Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya ada seorang lelaki sebelum kamu telah dibawa dan ditimbus dalam tanah, kemudian dibawakan gergaji serta diletakkan di atas kepalanya lalu terbelah menjadi dua, (kemudian)ada yang disikat dengan sikat besi sehingga tercabut daging daripada tulangnya, namun hal itu tidak membuatkan mereka berpaling daripada agama ini. Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan(agama)ini sehingga orang yang menaiki kenderaan daripada San’a ke Hadramaut tidak akan takut melainkan kepada Allah dan tidak sesekali dia akan takut serigala akan menerkam kambingnya(pada ketika itu).Tetapi kamu semua(wahai Khabbab) termasuk daripada golongan yang tergopoh-gapah.”
Angkasa terdiam. Suasana antara dirinya dan Kiai Awan terisi dengan suara orang-orang yang beribadah di sekeliling mereka.
“Rasulullah berdoa untuk kemenangan, sebagaimana kita semua berdoa. Kemenangan tetap tidak terus muncul ketika itu juga. Jikalah doa Rasulullah terus dimakbulkan Allah, sudah pasti kemenangan datang pada tahun pertama dakwah baginda, bukan pada tahun-tahun akhir sebelum kematiannya.” Tuk Akram menyambung.
Angkasa rasa terpukul.
“Sebagaia kata Ruh Faizan dalam mesyuarat tempoh hari, kita akan terus diuji dan diuji. Dengan kesukaran, dan ada masanya kesenangan itu sendiri sebuah ujian. Keimanan kita saban hari diletakkan dalam ujian. Persoalannya apakah kita akan mampu menyelamatkan diri dari ujian-ujian itu semua?” Kiai Awan mengangkat sebelah keningnya.
Perlahan, tangannya digerakkan menyentuh lutut Angkasa di sisinya.
“Sekarang, ujian itu sedang berjalan juga.”
Angkasa menghela nafas. Mengangguk.
“Kadang, datangnya ujian sebegini untuk kita semua bermuhasabah.” Tuk Akram meneruskan bicaranya lagi.
“Orang biasa melihat golongan Kiai seperti golongan sakti. Sedangkan kelebihan kami semuanya hasil daripada anugerah Allah SWT. Tidak sedikit pun kami mempunyai hak ke atas semua kelebihan yang dikaruniaNya pada kami. Namun sedikit demi sedikit, manusia mula mendewakan kami, dan mungkin inilah dia aturan Allah SWT, untuk menyelamatkan manusia dari menjadikan kami pula sebagai ‘tuhan’.” Tuk Akram cuba menghurai hikmah di sebalik apa yang berlaku.
“Bapa pernah berkongsi akan ketaksuban masyarakat kepada golongan alim agama. Tidak kurang juga golongan alim agama yang sendiri mengambil peluang dari ketaksuban masyarakat terhadapnya. Agama dijual dengan harga yang murah, dan mereka lemas dalam pujaan pengikut mereka. Seterusnya menghasilkan pertengkaran yang tiada hentinya, perbalahan yang seterusnya membuahkan perpecahan.” Angkasa memecah kebisuan dirinya.
Tuk Akram terangguk-angguk. Bila Angkasa menyebut ‘bapa’, segera dia terkenangkan Kiai Suci, yang selama ini memimpin dia dan rakan-rakan. Itulah dia orangnya yang menjadi pelawan arus pada sikap para agamawan di zaman kejatuhan spritual ummat. Agamawan yang akhirnya menjadi antara penyebab lahirnya makhluk bernama Sang Asura.
“Tugas engkau wahai Angkasa, untuk membuktikan bahawa kekuatan yang sebenar itu datang daripada Allah SWT, dan kemenangan boleh datang daripada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Bukan daripada golongan Kiai semata-mata.” Bahu Angkasa ditepuk lembut.
“Tuk Akram rasa, apa yang terjadi kepada para kiai itu?” Mata Angkasa tepat melandas pada raut wajah yang berkedut tetapi bercahaya itu.
Tuk Akram tersenyum, namun wajahnya terpancar kerisauan.
“Apa sahaja yang berlaku, aku yakin ada hikmah daripadaNya.” Wajahnya ditalakan tepat ke arah Kaabah. Namun bukan Kaabah yang dia sangkutkan harapannya. Kiai Awan sedang menggantung harapannya kepada Tuan Punya Kaabah.
Angkasa kemudiannya turut memandang ke arah yang sama.
“Angkasa!” Satu suara membuatkan pandangan Angkasa tidak sempat berehat pada Rumah Lagenda, terus lehernya berpusing membawa matanya melihat belakang, arah suara tadi datang.
Aizan Fahmi berlari anak merapati. “Di sini kau rupanya.” Panglima Tanah Suci yang juga anak lelaki tunggal Ruh Faizan itu kemudiannya berhenti di hadapan Angkasa dan menongkat tubuhnya dengan kedua-dua tangan memegang kemas lututnya.
“Mengapa?”
“Kita baru mendapat berita dari Chinmayi, mereka akan keluar menggempur Amara esok.”
“Esok?” Nampaknya peperangan sampai lebih awal.
“Syu’bah telah menyatakan persetujuan untuk kita bergerak menyerang Amara, sebagai tekanan agar Kerajaan Utopia melepaskan para Kiai. Kita perlu bersiap sekarang, dan esok kita akan keluar, agar di tengah perjalanan kita semua boleh bergabung.” Aizan Fahmi membetulkan postur tubuhnya. Dia berdiri kini.
“Kita semua?”
“Ya, telah sampai juga berita bahawa wilayah-wilayah lain bersetuju dengan perancangan ini. Bermakna perancangan asal menggempur Tanah Sejuk, bertukar menjadi menggempur Amara.”
Angkasa pun bangun. Seruan perjuangan nampaknya telah menyapa diri. Dia memandang Tuk Akram yang masih kemas bersila. Seakan meminta kata-kata sebelum dia berangkat pergi bersama Aizan Fahmi.
“Allah itu, Angkasa, Dia tidak sesekali memungkiri janjiNya. Tugas kita ialah percaya.” Kiai Awan itu faham akan kehendak Angkasa.
Bicara ringkas itu membuatkan jiwa Angkasa menjadi kenyang. Bukan dia tidak tahu itu semua, namun bila ada yang mengingatkan, itu membuatkan ianya lebih terpahat dalam jiwanya.
“Ayuh Angkasa.” Aizan Fahmi melangkah.
“Ayuh.” Angkasa mengikuti abang iparnya itu.
******
Balai menghadap itu seperti kebiasaannya, kosong. Bunyi yang ada hanyalah tiupan angin, yang datang daripada luar, dek huru-haranya cuaca di Tanah Sejuk ini. Sekali-sekala dapat didengari bunyi makhluk-makhluk aneh yang sangat tidak menyenangkan pendengarnya.
Keadaan itu kini ditambah dengan bunyi gema yang terhasil dari pertembungan telapak but perang seorang pahlwan gagah, dengan lantai balai menghadap. Mantel merahnya menyapu permukaan lantai, membuntuti langkahnya.
“Long Berk, sudah mahu pulang?” Sang Asura yang kekal di atas singgah sananya, bersuara.
Long Berk mengangguk. Dia ingin pulang ke Amara. Tidak menjadi kesukaran buatnya, kerana Istana Hitam ini dilengkapi alat yang boleh membawanya ke sana sekelip mata. Teknologi tinggalan manusia. Alat ini berada di hadapan singgahsana Sang Asura.
“Nampaknya makhluk-makhluk aneh itu semakin banyak dihasilkan.” Long Berk memandang sekeliling. Tidak kelihatan makhluk-makhluk itu, tetapi dia dapat merasai kehadiran mereka. Banyak.
“Mereka akan menjadi tentera kita. Memandangkan kita tinggal tentera engkau sahaja sekarang. Kejayaan baru-baru ini juga menjadi petanda yang mereka adalah hasil yang terbaik.” Sang Asura menjawab malas. Sebelah tangannya menongkat pipi.
“Dengarnya mereka akan menyerang Amara. Mereka telah termakan umpan kita.” Long Berk menukar topik.
Sang Asura tertawa. Dan tawanya sengaja dibesarkan. Auranya sedikit sebanyak terlepas dalam tawanya itu, menyebabkan keadaan di situ bergegar.
Long Berk tidak memberikan apa-apa reaksi. Dia melangkah mendekati singgahsana.
“Aku pergi dahulu, tuanku.” Long Berk memijak ruang khas di hadapan singgahsana, kemudian melutut. Tidak lama kemudian, cahaya muncul membaluti seluruh tubuhnya, dan seterusnya dia hilang dari balai menghadap itu.
Tawa Sang Asura terhenti.
Sang Asura mendengus. Sebenci mana pun dia dengan manusia, ironinya, teknologi buatan mereka adalah apa yang memudahkan kebanyakan urusannya.
“Engkau pasti sedang menggigil ketakutan bukan?” Dia berbicara seorang diri.
Sang Asura sering merasakan dirinya berbicara dengan Tuhan. Dengan Allah secara khususnya. Dan dia mempunyai perasaan itu bukan sebagai seorang hamba, tetapi memandang dirinya sebagai pencabar kepada Tuhan orang Islam itu. Orang-orang yang padanya telah menjemput kesengsaraan kepada dunia ini. Kini orang-orang itu bangkit semula, kembali mempunyai kekuatan, menumbangkan beberapa wilayahnya, bahkan berjaya menghasut orang-orangnya. Sesuatu yang tidak dapat dia terima.
“Keluar.” Sang Asura berteriak.
Ketika itu juga, balai menghadap bergema dengan derapan langkah yang terhasil dari kehadiran beberapa tetamu. Lima orang tetamu secara tepatnya.
“Kamu sudah bersedia?” Sang Asura memandang tetamu-tetamunya.
Kiai Langit, Kiai Laut, Kiai Api, Kiai Alam, dan Kiai Hutan, ibarat robot, kemudiannya melutut.
Mereka kini lengkap berpakaian perang seragam. Mata mereka berwarna hitam. Semua menundukkan kepala kepada Sang Asura.
Sang Asura tersengih. Kedua-dua penumbuknya dikepal kuat.
“Engkau akan tewas. Kali ini, pasti.”
==================================
YouthACE 2015Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE) adalah program tahunan anjuran LangitIlahi. YouthACE 2015 adalah yang kedua dijalankan, selepas YouthACE 2014.Tema YouthACE 2015 ialah “Belia & Masa Depan.”
Tarikh: 25hb & 26hb April 2015
Tempat: sekitar Kuala Lumpur/Selangor(akan dimaklumkan selewat-lewatnya penghujung Januari 2015)Pendaftaran YouthACE 2015 sudah boleh dilakukan dihttp://youthace.langitilahi.com/
Harga asal: RM180
Harga Promosi Gelombang Pertama(valid hingga 31hb Disember 2014 sahaja):
*RM100
*Harga istimewa(rahsia) – jika datang secara rombongan(minimum 30 orang). Sila hubungi Saudara Muhaimin Misran – 0135041501 atau Saudari Nadiah Mohamad – 01132535975 untuk mendapatkan harga istimewa ini.
Bermula 1hb Januari 2015, kami akan mulakan Harga Promosi Gelombang Kedua, dengan harga RM120 seorang.
Maka jangan lepaskan peluang untuk dapatkan harga terendah. Ayuh!
—————————
Tentatif
—————————
MC sepanjang program – Aiman Azlan
HARI PERTAMA -
08.00AM – Pendaftaran
09.30AM – Slot 1: Ucaptama Pengarah YouthACE 2015 – Belia & Masa Hadapan
10.00AM – Rehat
10.30AM – Slot 2: Belia & Survivalnya di Masa Depan – Zul Fikri Zamir
11.30AM – Slot 3: Belia Kritis Melalui Tindakan – Saudari Azila Aziz Telekung Project
12.30AM – Persembahan Daripada Pelajar-pelajar Khalifah Model School Secondary(KMSS)
01.00PM – Rehat
02.00PM – Slot 4: Forum – Belia Penggerak Islah Masa Hadapan
Panel 1: Saudara Muhammad bin Zahid
Panel 2: Saudara Jufitri Joha
Panel 3: Saudari Amnani Akhili
04.00PM – Persembahan dan Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)
04.30PM – Rehat
05.30PM – Slot 5: Mencari Makna Diri Sebagai Belia – Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
06.30PM – Persembahan & Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)
07.00PM – Rehat
08.00PM – Tayangan Perdana – Filem arahan Qawiem Khairi
09.15PM – Sesi LangitIlahi
- Pembentangan pencapaian & aktiviti LangitIlahi oleh Hilal Asyraf
- Pelancaran karya-karya Tim LangitIlahi
- Pelancaran Apps oleh Ammar Amran of LangitIlahi
10.00PM – Persembahan Daripada Mirwana
10.30PM – Bersurai
HARI KEDUA –
08.00AM – Slot 6: Pentas Belia
09.00AM – Rehat
09.30AM – Slot 7: Mendepani Masa Hadapan Dengan Ilmu – Ustazah Fatimah Syarhah
10.30AM – Slot 8: Forum – Belia & Peranan Terhadap Negara
Moderator: Saudara Hafizul Faiz
Panel 1 – Wan Ahmad Faysal
Panel 2 – Dr Maszlee Malik
12.30PM – Slot 9 – Muhasabah Belia: Peranan Besar Mencorak Masa Hadapan – Hilal Asyraf
01.30PM – Kesimpulan oleh MC & Bersurai
——————————-
Pertandingan
——————————-
YouthACE juga membuka medan untuk mencungkil bakat dan potensi terpendam para belia. Maka dianjurkan pertandingan, dengan tawaran hadiah berupa wang dan piala Anugerah Belia(YouthAwards) untuk mereka yang memenangi tempat pertama bagi setiap kategori.
Kategori yang dipertandingkan ialah:
InstaVlog
Penulisan Cerpen
Penulisan Artikel
Filem Pendek
Poster
Foto
Spoken Words
Essay
Nasyid
Komik
Semua syarat-syarat bagi menyertai pertandingan ini termaktub di link berikut:
http://youthace.langitilahi.com/awards/
——————————-
Peluang Tajaan
——————————-
Kami mengalu-alukan pihak yang ingin memberikan tajaan atau bekerjasama dengan kami dalam menjayakan YouthACE 2015 ini.
Sila hubungi terus kami di email program@langitilahi.com jika berminat untuk menawarkan tajaan atau kerjasama.
——————————————–
Walaupun program ini bakal berlangsung pada 25 & 26hb April 2015, kami membuka pendaftaran awal kerana kami berhajat untuk mempunyai masa yang panjang mempromosikan program ini. Hal ini kerana, untuk YouthACE 2015, kami mensasarkan sekurang-kurangnya 3000 orang peserta.
Kami harapkan juga bantuan promosi daripada orang ramai kerana kami tidak mempunyai ‘cable’ dan kewangan yang cukup untuk mempromosikan YouthACE 2015 ini di media-media arus perdana.
YouthACE 2014 telah mendapat sambutan dan respon yang baik, maka kami berhajat untuk meneruskan kepositifan itu pada YouthACE 2015. Hajat kami agar YouthACE mampu menjadi wadah perkumpulan yang bermanfaat buat belia, sebagai alternatif kepada pelbagai perkumpulan yang lain, yang wujud di negara kita.
Suasana YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=F-EnY8Ou6P4
Komen peserta YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=O-3DtmBeKyo
Bagi yang pernah hadir YouthACE 2014 dan berminat untuk menghadiri YouthACE 2015, jangan ragu-ragu untuk segera mendaftar!
Jom bersama kami!
Belia Mencorak Masa Hadapan!
The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 6 appeared first on Langit Ilahi.