Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 7



Cheritera 7 pula.


Suasana semakin hangat!


Terima kasih kepada yang setia mengikuti siri ini, semenjak buku pertama lagi.


InsyaAllah saya akan siarkan secara online hingga ke Cheritera 10.


Saya merancang cerita Takdir 3 ini akan tamat antara Cheritera 20 ke 23 insyaAllah.


Nak baca lebih dari Cheritera 10? Kena kumpul duit beli Novel ini bila diterbitkan nanti, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015, di PWTC, pada penghujung April 2015 atau awal Mei 2015.


:)



Cheritera 7


 


Suasana rumahnya sepi. Angkasa memandang sekeliling, teratur kemas rumah itu atas kerajinan isterinya. Dia, kebanyakan masa berada di luar. Mesyuarat, berlatih, memperdalam ilmu agama, beribadah di Masjid Al-Haram, semenjak awal Subuh hingga ke petang. Tidak sedikit hari yang dia pulang lewat di tengah malam.


Tiga bulan mendirikan rumahtangga, memang terasa sangat sebentar.


Kini dia perlu keluar kembali. Menyahut semboyan perang.


Angkasa mengeluarkan dirinya dari lamunan, dan meneruskan usahanya untuk mempersiapkan diri. Dia sedang memperkemaskan zirah perangnya. Sedang dia cuba membetulkan bahagian pinggang, tangannya disentuh oleh isterinya. Sekadar melepaskan senyuman kepadanya, Puteri Maisarah membantu mengetatkan ikatan zirah pada bahagian pinggangnya.


Dia mengambil peluang itu mengucup dahi isterinya. Sepenuh cinta. Tindakan itu kemudiannya disusuli dengan dakapan erat daripada Puteri Maisarah.


“Maafkan dinda kerana tidak dapat mengikuti kanda ke medan.” Hiba.


Angkasa merehatkan dagunya pada atas kepala isterinya.


“Jangan begitu. Berehatlah di rumah, untuk anak kita.” Dia menggosok lembut belakang tubuh isterinya.


Puteri Maisarah telah dimaklumkan bahawa dia tidak dibenarkan pergi ke medan perang bersama pasukan perubatan kerana sedang mengandung. Berita itu sangat menyedihkan dirinya, namun untuk Angkasa, dia lega sebenarnya. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu risaukan keselamatan isteri dan anaknya di medan perang.


Dakapan Puteri Maisarah semakin erat. Angkasa dapat merasakan yang air mata sedang mengalir pada pipi isterinya. Tubuh Puteri Maisarah sedikit bergetar. Menahan sedu.


“Jalan ini memerlukan pengorbanan wahai isteriku.” Angkasa terus menggosok lembut belakang tubuh isterinya. Sekali sekala dia menepuk-nepuk. Matanya sendiri mula berkaca.


“Ianya tidak dibentangi dengan permaidani merah, tetapi dipenuhi dengan duri-duri nan terpacak. Haji baru sahaja berlalu, dan padanya kita belajar pengorbanan Ibrahim, Hajar dan Ismail. Allah menguji Ibrahim dengan ujian yang tidaklah kelihatan dasyat, tetapi sebenarnya tersangatlah berat, yakni menyembelih anaknya sendiri. Kita tidak diuji sedemikian wahai dindaku yang tercinta.” Angkasa bersuara selembut mungkin.


Puteri Maisarah terangguk-angguk.


“Meninggalkan Ismail dan Hajar, dan kembali untuk menyembelih Ismail adalah pengorbanan seorang Ibrahim. Meninggalkan dinda dan anak kita di sini, untuk berhadapan dengan Sang Asura dan berusaha memenagi peperangan ini, adalah pengorbanan seorang Angkasa Sakti. InsyaAllah.” Angkasa mengucup dahi isterinya, kali ini lama dia melekapkan bibirnya itu. Kemudian perlahan-lahan dia melepaskan, pelukan direnggangkan. Kedua-dua tangannya melandas kemas pada kedua-dua bahu Puteri Maisarah.


Mata isterinya yang sembab itu ditatap.


“Sama ada Angkasa Sakti ini akan pulang bertemu Rabbnya, atau masih diberi peluang untuk pulang meneruskan hidup sebagai hambaNya bersama keluarganya, adalah sesuatu yang belum kita pasti. Namun yang kita yakin, kedua-duanya adalah baik, dan tugas kita adalah berusaha.”


Puteri Maisarah perlahan-lahan mengukir senyuman. Walaupun agak terganggu sedikit dengan tangisannya. Dia kemudian menyeka air matanya.


“Kerana ini kita bercinta bukan?” Suaranya bergetar.


Air mata Angkasa mula tumpah.


“Kerana ini kita bercinta.” Angkasa menyeka mutiara pada pipinya itu, mengambil pedang warisan bapanya, yang tersarung kemas dengan sarung yang baru, ditempa khas oleh Ezakiel.


Perlahan dia melangkah ke luar rumah, diiringi isterinya hingga ke daun pintu. Dia tunduk menyarung but perangnya. Kemudian bila sudah sempurna, dia berpaling mendakap puteri Maisarah. Isterinya itu dikucup dengan penuh cinta.


“Doakan kanda. Dan doakan semuanya.” Bibir mereka merenggang.


Puteri Maisarah hanya mampu mengangguk, air matanya tumpah semula.


Angkasa mula bergerak ke tempat perkumpulan tentera Tanah Suci di perkarangan Kaabah. Mereka akan berkumpul di situ, sebelum bergerak keluar ke perbatasan, menuju Amara. Hari ini adalah harinya.


Di tengah perjalanan, Angkasa disapa oleh masyarakat di sini dan sana.


Semuanya memancurkan doa dan pengharapan.


Mengiringi langkah perjuangan.


Dan tidak sedikit yang mengikutinya.


 


******


 


Suasana di Duarte memang terkenal jauh berbeza dari kesemua tempat yang ada di atas dunia ini, kecuali Uftzi, semenjak zaman pemerintahan Sang Asura lagi. Ketika tempat lain mengalami kemunduran, atau kemajuannya terbantut dek gaya pemerintahan yang dijalankan oleh peguasa masing-masing, Duarte terus megah sebagai kotaraya yang makmur.


Kadar jenayah di sini teramat rendah, rakyatnya pula tersangat santun, dan punya nilai etika yang sangat tinggi. Duarte juga adalah satu-satunya wilayah yang sifar kemiskinan. Pendek kata, rakyat Duarte adalah rakyat yang paling bertuah.


Apabila khabar bahawa pemerintahnya, End Less, keluar dari Kerajaan Utopia dan memeluk Agama Langit, suasana di Duarte kaget sebentar. Pandangan-pandangan yang negatif terhadap Agama Langit sebelum itu, membuatkan penduduk mereka menganggap kemakmuran dan keamanan yang mereka kecapi bakal berakhir. Mereka merasakan End Less telah dirasuk dan sebagainya.


Bahkan ada yang sudah mula melarikan diri, berpindah ke Ethan yang ketika itu masih di bawah pemerintahan O Zero.


Namun apabila End balik, tiada perubahan yang berlaku terhadap keadaan di Duarte, kecuali End telah mengarahkan pembinaan sebuah masjid. Sekitar sebulan selepas kepulangan End, masjid itu telah siap, dan End adalah satu-satunya yang solat di sana, sedang tiada yang solat bersamanya kerana tiada rakyat atau tenteranya yang memeluk Agama Langit ketika itu.


Tetapi istiqomahnya End dengan agama barunya, dan perubahan yang berlaku kepada dirinya sendiri – yakni tidak lagi sekadar memasung diri di dalam istananya serta tidak bergaul dengan orang ramai – membuatkan masyarakat di Duarte jadi tersentuh.


Pemerintah mereka menjadi ramah, dengan caranya yang tersendiri. End masih merupakan seorang yang sangat sukar membuka bicara, tetapi sekurang-kurangnya kini dia tidak lagi bertopeng menyembunyikan wajah, dan sering meronda-ronda ke seluruh pelusuk Duarte, melihat keadaan rakyat. Bersalaman dan mengangkat tangan kepada mereka, jika ada kemalangan atau bencana tak diduga, End akan turun membantu. Sambil itu terus menerus End menunaikan ibadahnya di Masjid.


Sepanjang waktu itu, tiada sekalipun End menyeru rakyatnya untuk mengikuti agamanya, dan tiada sekalipun dia memaksa.


Namun masuk sahaja minggu kedua selepas masjid di bina, rakyat tiba-tiba memenuhi masjid, menanti kedatangan End untuk solat maghrib. Suasana ketika itu sangat mengharukan.


“Tuanku, bagaimana kami mahu mengikuti tuanku?”


Dan untuk End, tiada momen yang lebih indah di dalam hidupnya daripada momen itu.


Hari ini dia melihat suasana yang lebih kurang serupa. Di dataran hadapan istananya, berbaris tenteranya memenuhi kawasan itu. Dan perbarisan tentera yang saban kali diadakan sebelum Duarte menyerang Tanah Suci sebelum keislamannya, tidak dihadiri oleh seorang pun rakyat jelata. Tetapi hari ini, pada bangunan-bangunan sekitar istananya, juga di jalanan sekitar bangunan kebesarannya itu, rakyat Duarte dari pelbagai bangsa, kaum dan jenis datang seakan mahu menghantar dengan penuh hormat dia dan tenteranya.


“Tuanku,” Armon, orang kepercayaannya, yang kini dia amanahkan sebagai penjaga Ethan, datang menyapa dengan nada berbisik. “Semuanya telah siap tuanku. Kita boleh berangkat.”


End mengangguk perlahan. Melihat apa yang terbentang di hadapan matanya.


Pejam. Seakan cuba menyemadikan semua itu di dalam jiwanya.


Kemudian dia membuka semula matanya.


“Armon,” Dia bersuara perlahan.


“Ya Tuanku?” Armon yang baru sahaja hendak beransur, kerana sangkanya End akan terus bergerak – kerana itu kebiasaannya – segera berpaling semula.


“Berikan aku pembesar suara.”


“Eh?” Terkejut Armon. Namun dia tidak bertanya dua kali, segera dicapainya pembesar suara yang biasa dia gunakan untuk urusan rasmi. Kerana selama ini, dialah yang akan menggunakan pembesar suara mewakili pemerintah, dek End yang sering membisu sahaja.


“Assalamu’alaikum.” Suara End yang sangat jarang didengari ramai, kini bergema ke seluruh kawasan istananya dan sekitar. Menyebabkan semua yang ada teruja, dan rakyat yang berkumpul semakin ramai.


“Hari ini kita akan keluar dan aku berdoa ini adalah kali terakhir kita keluar untuk berperang.” End meluncurkan bicara.


Bicara pendeknya mendapat sambutan yang sangat menggemparkan.


“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Tenteranya menyahut, begitu juga rakyat jelata.


“Dahulu kita bersama mereka, dan kita telah melakukan pelbagai dosa serta kesalahan. Kita sangka kita punya kekuatan dan kemegahan, tetapi kita tersilap. Bila kita bersama Agama Langit ini, kita mengerti bahawa hidup ini bukan untuk kepuasan diri. Hidup ini adalah untuk memberikan manfaat, melindungi orang lain, dan menjadi rahmat kepada sekalian alam. Kita bahagia dengan kepercayaan baru kita. Agama Langit buat kita hidup. Dan rakan-rakan lama kita ingin menghapuskan kebahagiaan ini, apakah kita akan membenarkannya?” End meninggikan suara. Tiada siapa yang pernah melihat End bersemangat sedemikian rupa.


“Tidak, sesekali tidak!” Tenteranya menjerit jawab.


“Maka marilah bersamaku, kita bergerak sama ada menuju ke syurga dengan kematian kita, atau hidup menyebarkan bahagia dengan kemenangan kita. Takbir!” End melaung sambil mengacung tombak tiga mata yang sentiasa kemas di tangannya. Auranya ditingkatkan dan hampir sahaja tempat dia berdiri roboh kerana tingginya aura yang dilepaskan.


“Allahuakbar!” Semua mengacung senjata, rakyat yang hadir semua mengangkat tangan.


End meletakkan pembesar suara. Berpaling dan bergerak. Armon setia mengiringinya.


“Tuanku akan bertarung sepenuh kuasa?” Armon bertanya.


“Berhadapan dengan Asura? Sepenuh kuasa pun belum tentu dapat menumbangkannya.” End mengukir senyuman buat pembantu setianya itu.


Armon terdiam.


 


******


 


Di sisi Kaabah, kelihatan sebuah pelantar utuh berdiri. Sama tingginya dengan Rumah Lagenda itu. Hari ini, pada ketika ini, tiada yang bertawaf mengelilingi kiub hitam itu. Perkarangan Kaabah yang telah diluaskan itu penuh dengan barisan tentera Tanah Suci, mengelilingi rumah Allah itu.


Rakyat jelata pula tidak sedikit yang memenuhi tingkatan Masjid Al-Haram, bersama para jemaah lain yang hadir dari seluruh dunia untuk beribadah di sini. Namun ketika ini, semuanya fokus kepada barisan tentera Tanah Suci yang tegak berdiri, membentuk berbaris-baris bulatan. Dan semua mata tertumpu kepada pemerintah Tanah Suci, Ruh Faizan, yang sedang melangkah satu persatu menaiki anak tangga, mendaki ke pelantar di sisi Kaabah.


Berdiri di sisi Ruh Faizan ialah Izrayel Junjaki, yang kini telah menjadi Ketua Panglima Tanah Suci, dek kerana Aizan Fahmi menolak untuk menyandang posisi tersebut. Aizan Fahmi, orang nombor dua di medan perang sebagai pemimpin keseluruhan Tentera dari Tanah Suci. Mughirah Syu’bah, yang merupakan ketua strategi. Waqqas Ali Qadri, yang mengetuai pasukan pemanah Tanah Suci. Khalid Al-Walid, yang mengetuai pasukan penggempur. Angkasa Sakti, yang dalam peperangan kali ini akan menjadi kunci kepada kemenangan. Ada bersama mereka juga ialah Tuk Akram, yang tidak akan turun ke medan perang, tinggal di Tanah Suci untuk membantu urusan Ruh Faizan.


“Assalamu’alaikum para pejuang yang kukasihi.”


Semua mendongak sedikit, untuk memandang pemimpin yang berkaliber itu.


“Jika aku masih muda belia dan tidak dibebani urusan memimpin negeri ini, akan aku turun ke medan perang bersama kalian. Tetapi aku akan menghantar kalian ke perbatasan, moga debu yang terhasil dari tunggangan dan derap kaki kalian akan melekat pada tubuhku, dan menjadi saham serta pembela buat diriku bila aku berdiri di hadapan Allah kelak.”


Suasana senyap dan sunyi. Semua fokus, termasuk para jemaah yang ada di Masjid Al-Haram.


“Kiai-kiai kita telah ditangkap, dan berita itu memberikan tamparan hebat buat masyarakat kita. Tetapi ketahuilah bahawa, Utusan Langit Terakhir di medan Uhud pernah disangka terbunuh. Awalnya itu melemahkan para sahabatnya. Tetapi kemudian salah seorang dari mereka berteriak: Jika Rasulullah telah mati syahid, kita tunggu apa lagi, mari syahid bersama baginda!”


Ketika ini air mata Ruh Faizan tumpah.


“Dan tidaklah para kiai itu lebih mulia daripada Utusan Langit Terakhir. Ketika Utusan Langit Terakhir benar-benar wafat di hujung usianya, ada antara para sahabatnya yang sangat bersedih. Umar Al-Khattab, Khalifah kedua, keluar mengembar pedang dan memberi amaran akan memancung kepala mereka yang menyatakan Rasulullah telah wafat, kerana tidak mampu menerima berita itu. Tetapi Abu Bakr menaiki mimbar dan membacakan ayat 144 dari Surah Ali Imran: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul. Telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, kamu berpaling? Dan sesiapa yang berpaling maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.


Suasana tiba-tiba menjadi sebak dan hiba. Ada tentera yang sudah mula mengalirkan air mata dan begitu juga para jemaah, ada yang menangis teresak-esak. Terkenangkan suasana kewafatan Rasulullah SAW. Ruh Faizan sendiri suaranya bergetar, dan menahan air matanya dari mengalir.


“Ketahuilah bahawa kiai-kiai itu hanyalah manusia, dan kemenangan bukan ada pada mereka. Telah wafat Utusan Langit Terakhir ribuan tahun yang lalu dan kita masih di sini memikul Agama Langit, meneruskan perjuangan baginda. Kerana kita bukan menyembah Utusan Langit, dan pastinya bukan para Kiai. Tuhan kita hanyalah Allah, dan Allah itu abadi tidak akan sesekali mati, jauh sekali terbunuh!” Ruh Faizan melaung.


“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!” Bersahut-sahutan takbir kedengaran, menggegak gempita keadaan, muncul dari barisan para tentera, juga di tingkat-tingkat Masjid Al-Haram daripada para jemaah.


“Ada yang pernah mampir kepadaku dengan soalan. Bagaimana jika Allah memang mentakdirkan kita untuk kalah?” Ruh Faizan menyambung. Sorak sorai orang ramai mula surut. Memberi ruang suara pemimpin itu sampai kepada semua.


“Aku nyatakan kepadanya, bagaimana dia tahu Allah mentakdirkan kita untuk kalah? Apakah Allah memberitahunya?”


“Dia menjawab dengan soalan juga: Apakah Allah SWT memberitahu bahawa Dia akan mentakdirkan kita menang?”


Ruh Faizan menghela nafas. Membasahkan tekak. Semua seperti ternanti ucapan yang seterusnya.


“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan.” Ayat ke-55 Surah An-Nur itu dibaca dengan lantang bersama maknanya.


“Ya, Allah telah memberitahu bahawa Dia akan memberikan kita kemenangan. Tinggal kita tidak tahu bila. Apakah kita akan berhenti berjuang, hanya kerana kita ada kemungkinan tewas pada peperangan kali ini atau setelah digegarkan dengan kehilangan para Kiai? Tidak sama sekali! Kerana Allah SWT itu tidak akan sesekali memungkiri janjiNya, maka kita tidak akan sesekali berhenti daripada berusaha!”


Masjid Al-Haram kembali bergegar dengan teriakan takbir daripada para tentera dan juga para jemaah.


Ruh Faizan kemudian menutup ucapannya dengan doa dan pengharapan, semua mengaminkan dengan penuh rasa syahdu, namun terasa seperti ada kekuatan baru yang menyusup diri masing-masing.


Angkasa mencuri pandang mertuanya semasa semua khusyuk berdoa.


Air matanya menitis lagi, kali ini bukan kerana rasa sedih dan hiba seperti saat dia meninggalkan isterinya. Kali ini air matanya adalah air mata gembira.


Ucapan mertuanya, telah melengkapkan persiapannya untuk peperangan ini.


Usai doa, Izrayel mengambil alih pentas.


Dia mengangkat pedangnya, mengacunya ke langit.


“Hidup mulia, atau mati sebagai syuhada’!” Izrayel melaung sekuat hatinya, dan sengaja dia lepaskan auranya sepenuh kuasa, hingga orang ramai dapat melihat auranya secara jelas. Angin menderu-deru di sekitar pelantar tempat Izrayel dan yang lain-lain berdiri. Angkasa antara yang terpukul dengan aura tersebut, tersenyum dan menggelengkan kepala.


Izrayel melompat turun, dan membelah barisan para tentera, mendahului semua keluar dari Masjid Al-Haram, bergerak menuju ke perbatasan. Ruh Faizan, Angkasa dan yang lain-lain pula turun melalui tangga, bergerak bersama barisan tentera yang lain, yang mula satu persatu keluar dari masjid yang mulia itu.


Gendang perang kedengaran dipalu dengan penuh semangat.


Orang ramai mengiringi pemergian pasukan Tentera Tanah Suci dengan laungan takbir.


Angkasa menaiki tunggangannya, di sebelah Izrayel. Mata mereka bertentangan.


“Menunjuk.” Angkasa menyakat.


Izrayel tertawa.


“Aku baca, di zaman Utusan Langit, ada seorang sahabatnya bernama Abu Dujanah, telah mengambil pedang dari tangan baginda, seterusnya mengikat kepalanya dengan selembar kain merah. Kemudian dia berjalan dengan gaya yang angkuh. Rasulullah berkata yang cara berjalan seperti itu dimurkai Allah, kecuali di tempat seperti ini – yakni medan peperangan.” Izrayel berkongsi.


Senyuman Angkasa melebar.


“Jadi, di mana lembaran kain merah kau?”


Izrayel mengangkat helmet perangnya, dan menunjukkan yang rambutnya kemas tersembunyi di balik kain merah. Kain itu terikat kemas dari dahi, ke belakang kepalanya.


“Wahai Abu Dujanah, jika begitu, ayuh.” Angkasa berseloroh.


Izrayel kembali mengenakan helmet perangnya, dan menepuk tunggangannya.


Mereka mula bergerak ke perbatasan.


 


******


 


“Hei, di mana candamu Ashok?” Arnav menyapa memecah sunyi perjalanan mereka.


Ashoka menghela nafas, dan wajah ditala kepada sahabatnya itu.


“Bagaimana aku mahu bercanda Arnav? Aku risaukan keadaan guruku.” Selepas menjawab, Ashoka mengambil masa sebentar memandang seluruh bala tentera Chinmayi di belakang mereka. Ada yang berkuda, ada yang berjalan kaki. Namun satu persamaannya, semuanya merupakan pemanah. Itu identiti warga Chinmayi. Warga Midori yang asal pula semuanya bukan perwira dan pahlawan. Khabarnya, tentera Rafael sebelum ini datang daripada Amara. Saki bakinya telah habis ditewaskan pada peperangan yang lepas. Yang tertawan pula, tidak mahu lagi meneruskan pekerjaan sebagai tentera.


“Ashok.”


Ashoka kembali menatap wajah Arnav.


“Pertapa Arjuna berada di dalam jagaan Allah SWT. Jagaan apakah yang lebih baik dari jagaanNya?”


Ashoka jadi kelu. Benar.


“Dan kita pun bukan tidak berbuat apa-apa. Kita sedang dalam perjalanan menyelamatkannya. Namun tergesa-gesa adalah kesukaan syaitan. Ini pun sebenarnya kita sudah dalam keadaan yang agak gopoh. Perancangan asal bukan begini.”


Ashoka terangguk-angguk. Ah, sungguh mudah dia menjadi hamba yang tidak bersyukur.


“Dan jika ditakdirkan mereka telah tiada…” Arnav berhenti sebentar, mahu melihat reaksi Ashoka. Namun sahabatnya itu kelihatan sudah mampu bertenang, ayat itu tidak membuatkan dia marah atau agresif. “…mereka pulang kepada Allah SWT. Maka apa yang lebih baik dari pulang kepada pangkuan Yang Maha Mencintai?”


Ayat itu membuatkan bibir Ashoka koyak dengan senyuman, walaupun wajahnya masih terpapar kerisauan.


“Takdir. Dalam keadaan ini, aku rasa indahnya takdir itu adalah pada tidak tahunya kita akan ketetapannya.” Ashoka bersuara.


Giliran Arnav berdiam, memberikan ruang sahabatnya meneruskan kata.


“Kerana jika kita sudah tahu takdir kita, pasti kita tidak akan berusaha bersungguh-sungguh bukan? Tetapi kerana kita tidak tahu, maka kita cuba yang terbaik. Berusaha sebaik mungkin untuk mencapai yang terbaik. Dan indahnya Islam, kita dididik bahawa yang terbaik adalah perancangan Allah SWT. Maka apabila kita tidak dapat mencapai apa yang kita rasakan terbaik itu, kita faham bahawa Allah sedang merancang sesuatu yang lebih baik buat kita.”


Arnav tersenyum lebar. Ashoka seperti memberikan penyampaian kepada diri sendiri, dan Arnav mendapat manfaatnya.


“Begitulah anak murid seorang Kiai, dan seorang pahlawan.” Arnav mendekatkan tunggangannya dengan tunggangan Ashoka, kemudian menumbuk lembut bahu sahabatnya itu.


Mereka kemudiannya fokus pada perjalanan.


Mereka dijangka akan bertembung dengan rombongan daripada Uftzi dan Brynhildur pada hujung hari ini. Bersama-sama, mereka akan pergi membina khemah di perbatasan Amara, menanti untuk disertai wilayah-wilayah yang lain.


Perkumpulan tentera terbesar yang pernah wujud pada bahagian Agama Langit, semenjak Sang Asura menumbangkan Kesatuan Lima Kerajaan pada era yang lepas.


 


*****


 


Angin bertiup kencang di Amara. Seakan membawa khabar bahawa sesuatu yang besar bakal merempuh Wilayah itu.


Amara tidak terlalu besar, jauh sekali maju. Amara terkenal dengan kawasan gunung berapi, dan di Amara tedapat gunung berapi terbesar di dunia, bernama Toa. Itu boleh dikatakan sebagai mercu tanda Amara. Pusat pemerintahan Long Berk berada di kaki gunung berapi tersebut, dan istananya megah sekali walaupun rakyat di sini ramainya miskin.


Long Berk memang pemerintah yang tidak kisahkan rakyatnya. Dan semua rakyat diwajibkan membayar cukai, sedang kerajaannya tidak menjaga kebajikan mereka. Bagi yang ingkar, akan dibunuh serta merta. Begitu juga jika ada yang menganut Agama Langit. Para pendakwah tidak berani masuk ke Amara, dan kebanyakan pendakwah pun hanya pergi pada perkampungan yang wujud di perbatasan sahaja. Apabila ada yang memeluk Islam, mereka akan dinasihatkan melarikan diri sama ada ke Brynhildur.


Long Berk menatap suasana senja dari luar mahligainya.


Dia tahu yang gabungan tentera dari seluruh wilayah Agama Langit akan berkampung di hadapan pintu besar Amara, untuk memberikan tekanan agar dilepaskan para Kiai. Dia telah mendapat pengisytiharan perang daripada wakil Midori, atau kini digelar Neo-Chinmayi, yang mana utusan pembawa berita itu telah selamat meninggalkan dunia ini melalui tangannya.


Long Berk tiba-tiba rasa teruja.


Sebelum ini, Utopia yang bergabung memberikan tekanan kepada Tanah Suci.


Kini keadaan sudah terbalik.


Long Berk tertawa. Makin lama makin kuat.


“Bagus. Lebih mudah aku hapuskan semuanya sekaligus!” Long Berk menggenggam penghadang tempat tangannya direhatkan, hingga pecah.


Kemudian perlahan-lahan bahagian yang rosak itu kembali terbina semula.


Long Berk tersenyum lebar, kemudian mengaum bongkak.


Dia sudah bersiap sedia berhadapan dengan seluruh ketumbukan Agama Langit.


Baginya, Sang Asura adalah pemenang terakhir dalam peperangan ini.


 


==================================


1957707_886013578100140_4428239793563905008_o


YouthACE 2015Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE) adalah program tahunan anjuran LangitIlahi. YouthACE 2015 adalah yang kedua dijalankan, selepas YouthACE 2014.Tema YouthACE 2015 ialah “Belia & Masa Depan.”

Tarikh: 25hb & 26hb April 2015

Tempat: sekitar Kuala Lumpur/Selangor(akan dimaklumkan selewat-lewatnya penghujung Januari 2015)Pendaftaran YouthACE 2015 sudah boleh dilakukan dihttp://youthace.langitilahi.com/

Harga asal: RM180

Harga Promosi Gelombang Pertama(valid hingga 31hb Disember 2014 sahaja):


*RM100

*Harga istimewa(rahsia) – jika datang secara rombongan(minimum 30 orang). Sila hubungi Saudara Muhaimin Misran – 0135041501 atau Saudari Nadiah Mohamad – 01132535975 untuk mendapatkan harga istimewa ini.


Bermula 1hb Januari 2015, kami akan mulakan Harga Promosi Gelombang Kedua, dengan harga RM120 seorang.


Maka jangan lepaskan peluang untuk dapatkan harga terendah. Ayuh!


—————————

Tentatif

—————————


MC sepanjang program – Aiman Azlan


HARI PERTAMA -


08.00AM – Pendaftaran

09.30AM – Slot 1: Ucaptama Pengarah YouthACE 2015 – Belia & Masa Hadapan


10.00AM – Rehat


10.30AM – Slot 2: Belia & Survivalnya di Masa Depan – Zul Fikri Zamir


11.30AM – Slot 3: Belia Kritis Melalui Tindakan – Saudari Azila Aziz Telekung Project


12.30AM – Persembahan Daripada Pelajar-pelajar Khalifah Model School Secondary(KMSS)


01.00PM – Rehat


02.00PM – Slot 4: Forum – Belia Penggerak Islah Masa Hadapan


Panel 1: Saudara Muhammad bin Zahid

Panel 2: Saudara Jufitri Joha

Panel 3: Saudari Amnani Akhili


04.00PM – Persembahan dan Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)


04.30PM – Rehat


05.30PM – Slot 5: Mencari Makna Diri Sebagai Belia – Ustaz Hasrizal Abdul Jamil


06.30PM – Persembahan & Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)


07.00PM – Rehat


08.00PM – Tayangan Perdana – Filem arahan Qawiem Khairi


09.15PM – Sesi LangitIlahi

- Pembentangan pencapaian & aktiviti LangitIlahi oleh Hilal Asyraf

- Pelancaran karya-karya Tim LangitIlahi

- Pelancaran Apps oleh Ammar Amran of LangitIlahi


10.00PM – Persembahan Daripada Mirwana

10.30PM – Bersurai


HARI KEDUA –


08.00AM – Slot 6: Pentas Belia


09.00AM – Rehat


09.30AM – Slot 7: Mendepani Masa Hadapan Dengan Ilmu – Ustazah Fatimah Syarhah


10.30AM – Slot 8: Forum – Belia & Peranan Terhadap Negara

Moderator: Saudara Hafizul Faiz

Panel 1 – Wan Ahmad Faysal

Panel 2 – Dr Maszlee Malik


12.30PM – Slot 9 – Muhasabah Belia: Peranan Besar Mencorak Masa Hadapan – Hilal Asyraf


01.30PM – Kesimpulan oleh MC & Bersurai


——————————-

Pertandingan

——————————-


YouthACE juga membuka medan untuk mencungkil bakat dan potensi terpendam para belia. Maka dianjurkan pertandingan, dengan tawaran hadiah berupa wang dan piala Anugerah Belia(YouthAwards) untuk mereka yang memenangi tempat pertama bagi setiap kategori.


Kategori yang dipertandingkan ialah:


InstaVlog

Penulisan Cerpen

Penulisan Artikel

Filem Pendek

Poster

Foto

Spoken Words

Essay

Nasyid

Komik


Semua syarat-syarat bagi menyertai pertandingan ini termaktub di link berikut:

http://youthace.langitilahi.com/awards/


——————————-

Peluang Tajaan

——————————-


Kami mengalu-alukan pihak yang ingin memberikan tajaan atau bekerjasama dengan kami dalam menjayakan YouthACE 2015 ini.


Sila hubungi terus kami di email program@langitilahi.com jika berminat untuk menawarkan tajaan atau kerjasama.


——————————————–


Walaupun program ini bakal berlangsung pada 25 & 26hb April 2015, kami membuka pendaftaran awal kerana kami berhajat untuk mempunyai masa yang panjang mempromosikan program ini. Hal ini kerana, untuk YouthACE 2015, kami mensasarkan sekurang-kurangnya 3000 orang peserta.


Kami harapkan juga bantuan promosi daripada orang ramai kerana kami tidak mempunyai ‘cable’ dan kewangan yang cukup untuk mempromosikan YouthACE 2015 ini di media-media arus perdana.


YouthACE 2014 telah mendapat sambutan dan respon yang baik, maka kami berhajat untuk meneruskan kepositifan itu pada YouthACE 2015. Hajat kami agar YouthACE mampu menjadi wadah perkumpulan yang bermanfaat buat belia, sebagai alternatif kepada pelbagai perkumpulan yang lain, yang wujud di negara kita.


Suasana YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=F-EnY8Ou6P4


Komen peserta YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=O-3DtmBeKyo


Bagi yang pernah hadir YouthACE 2014 dan berminat untuk menghadiri YouthACE 2015, jangan ragu-ragu untuk segera mendaftar!


Jom bersama kami!


Belia Mencorak Masa Hadapan!


The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 7 appeared first on Langit Ilahi.

1 like ·   •  1 comment  •  flag
Share on Twitter
Published on December 16, 2014 04:01
Comments Showing 1-1 of 1 (1 new)    post a comment »
dateUp arrow    newest »

message 1: by Gobokairina (new)

Gobokairina Phewittt...tak saba nak tunggu edisi penuh!


back to top