Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 2 – Cinta
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Takdir 3 telah berjaya disambung. Kini masuk ke Cheritera 2. Saya telah membuat keputusan untuk meneruskan karya ini dengan menjadikan ‘point of view’ Angkasa sebagai penyampai cerita kepada Angkasa. Memandangkan ini karya terakhir dalam trilogi Takdir, saya mahu perjalanannya lebih mendapat sentuhan peribadi watak utamanya. Di sini juga saya mampu memberikan lebih fokus, berbanding terlalu banyak situasi dalam masa yang sama.
InsyaAllah selepas sekitar sebulan lebih saya tidak menyambung karya ini – isteri saya bersalin selepas saya menyiapkan bab pertama tempoh hari – saya berhajat untuk berdisiplin dan lebih giat menghasilkan karya ini secara bersiri. Target saya, 2 bab seminggu, paling kurang satu bab seminggu. Apa yang penting, saya menetapkan yang Takdir 3 akan mempunyai sekitar 25 buah bab, dan saya akan siarkan secara online sebanyak 15 buah bab.
Harapan saya, sepanjang karya ini berjalan, saya mohon kritikan membina dan teguran daripada rakan-rakan pembaca.
Ini penting agar karya ini dapat menjadi yang terbaik kala ianya dicetak dan disebarkan ke seluruh Malaysia nanti insyaAllah. Mohon doa dan sokongan.
Okay, enjoy!
Melangkah pulang dari medan latihan dengan penuh kepenatan hari ini. End dan Izrayel benar-benar membuatkan aku membanting segala kekuatan yang ada. Pedang warisan bapa menjadi tongkat untuk menyokong tubuhku agar dapat terus melangkah. Peluh masih tidak berhenti mencucur jatuh.
Kedua-dua tuk guruku itu pula menyambung latihan mereka berdua. Hajatnya mahu hingga ke Maghrib. Aku minta izin untuk pulang ke rumah dengan lebih awal selepas latihanku selesai. Kami telah berlatih semenjak pagi lagi. Hanya berhenti ketika sarapan, makan tengahari dan waktu-waktu solat.
Selepas pulang dari peperangan di Madori, aku dikurniakan rumah di Tanah Suci. Tidak jauh dari Masjidil Haram. Bahkan untuk lebih cepat sampai ke rumah dari medan latihan, aku perlu merentas Masjid yang mulia tersebut, melalui hadapan Kaabah, untuk sampai ke rumahku yang hanya berada sekitar 1 kilometer daripadanya.
Semua penduduk Tanah Suci yang aku jumpai sepanjang perjalanan, melemparkan senyuman. Yang jauh, melambai tangan. Aku hanya mampu membalas dengan senyuman. Mereka juga nampak seperti memahami keletihanku, tiada yang menghulurkan tangan untuk bersalaman. Cuma ada beberapa pemuda yang menepuk bahuku, tanda sokongan.
Mereka ini adalah manusia-manusia yang baik.
Bukan malaikat, tetapi mungkin kehidupan di bumi yang sentiasa diancam, membuatkan kebergantungan mereka tinggi dengan Allah SWT. Akhirnya peribadi mereka terbentuk mulia, dan mereka adalah antara manusia paling positif yang pernah aku temui sepanjang kehidupanku.
Aku masuk ke Masjidil Haram. Bergerak melepas tiang-tiang di tingkat bawah hingga kepalaku kembali dimamah mentari, melihat Rumah Hitam yang agung. Tidak pernah bosan aku menatapnya, dan tidak pernah rasa jemu untuk aku berlindung di bawah bayangannya. Aku tahu kiub itu bukan Tuhan, tetapi padanya aku seakan dapat melihat semangatnya Utusan Langit Ibrahim AS yang diarahkan membinanya.
Dari bacaanku, Utusan Langit Ibrahim telah membinanya, dan diperintahkan menyeru orang ramai melawati Kaabah untuk beribadah. Namun ketika itu tempat ini hanya sebuah tanah gersang, dan Ibrahim AS bukannya mempunyai teknologi yang hebat untuk suaranya benar-benar sampai ke seluruh pelusuk dunia.
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.” Surah Al-Hajj ayat 27-29.
Namun jika diperhatikan, hingga ke hari ini, walaupun selepas Sang Asura mencengkam dunia, orang masih datang dan memenuhi kawasan ini menunaikan umrah, Haji dan beribadah di sekitarnya. Bermakna Allah SWT yang berkuasa ke atas hasil, sedang manusia perlu berusaha sehabis baik melaksanakan apa yang dipertanggungjawab Allah ke atasnya.
Kisah ini menjadi penyejuk hatiku. Penguat semangat atas perjuanganku.
Yang juga kelihatan mustahil.
Namun janjiNya tidak termungkir. Itu kepercayaan aku.
Tugas aku adalah berusaha.
Usaha, usaha dan usaha. Hingga sudah tiada ruang lagi untuk aku berusaha. Hingga aku mati. Ketika itulah aku berhenti.
“Baca betul-betul, ulang semula.” Tiba-tiba suara mulus itu kedengaran, seusai aku sempurna merentasi Kaabah yang mulia.
Suara tadi diikuti dengan suara anak kecil membaca Al-Quran. Tersangkut-sangkut, namun dibantu oleh pemilik suara yang lembut tadi, untuk ayat itu dapat dibaca sehingga habis.
Aku menoleh.
Puteri Maisarah, sedang bersandar pada salah satu tiang, dikelilingi anak-anak yang sedang belajar untuk membaca dan memahami Al-Quran bersamanya. Dia tidak perasan dengan kehadiranku. Aku pula seperti terpaku melihat suasana itu.
Dia khusyuk mengajar anak-anak muridnya. Aku memerhati.
Tiba-tiba terkenang pertemuan aku dengannya di alam yang tidak dapat aku pastikan alam apa. Aku tidak tahu apa hubungan kami hingga dipertemukan di alam itu. Dia perempuan muslimah pertama, yang aku temui selepas duduk di bawah didikan bapa.
Dan aku tidak menafikan, hatiku tertarik kepadanya.
Jauh di dalam hatiku, memang ada hajat untuk menjadikannya sebagai isteri.
Tetapi memandangkan peperangan besar yang semakin hampir, dan tiada kepastian akan pengakhiran diriku nanti, aku memendamkan sahaja hajat itu. Walaupun Izrayel, dan Aizan Fahmi sendiri, banyak menyakatku akan hal ini.
Aku dapat perasan, yang Puteri Maisarah juga berkenan dengan diriku. Ah, mungkin juga aku perasan sendiri.
Aku membuat keputusan untuk terus melangkah. Waktu maghrib semakin hampir, aku mahu membersihkan diri.
“Eh, itukan Abang Angkasa!” Suara itu disahut dengan jeritan kegembiraan kanak-kanak. Aku menoleh, rupanya anak-anak murid Puteri Maisarah sedang menghadap ke arahku. Begitu juga dengan guru mereka.
Buat wajahku terasa seperti tersimbah sos. Panas. Namun aku lemparkan senyuman, niat asalnya untuk meraikan anak-anak yang seperti sedang teruja melihat diriku.
Tiba-tiba aku perasan yang Puteri Maisarah menunduk. Ah, apakah dia ingat aku sedang melemparkan senyuman kepadanya? Alahai. Malunya aku!
“Bila kami besar, kami mahu jadi seperti Abang Angkasa!” Salah seorang dari kanak-kanak itu bangun. Bersemangat.
“Aku pun, aku pun!” Kedengaran kanak-kanak yang lain bersuara. Seperti cemburu melihat keberanian kawan mereka yang sedang berdiri. Aku tertawa kecil. Mereka masih kecil, berumur bawah 10 tahun, namun sudah bersemangat begitu sekali.
Generasi baru. Membawa harapan yang besar untuk masa hadapan.
“Kami perempuan, kami nak jadi macam Cikgu Maisarah.” Ada suara halus kedengaran. Pelajar perempuan yang ada pula bersuara.
Aku dapat melihat Puteri Maisarah seperti merah wajahnya. Dia seperti terdiam, dan tidak pula memberikan respon kepada anak-anak muridnya. Dia seperti menanti aku untuk menyatakan sesuatu. Aku perlu bercakapkah?
“Adik-adik yang Abang kasihi, jika mahu jadi macam Abang dan Cikgu kamu ini, kenalah rajin belajar Al-Quran ya. Al-Quran itu suluhan hidup, di dalamnya ada prinsip dan pegangan kita. Dari sanalah kita dapat membina peribadi yang kuat, seterusnya mampu menyumbang untuk Islam, insyaAllah.” Aku melontarkan sedikit kata-kata semangat, sambil cuba memaparkan wajah paling manis menafikan kepenatan diri, agar dapat menginspirasikan anak-anak di hadapanku ini.
Mereka terangguk-angguk.
“Balik rumah?” Puteri Maisarah tiba-tiba bersuara.
Buat aku sedikit tersentak.
Komunikasi kami sangat terhad sebelum-sebelum ini. Agak janggal untuk kami berbicara bersama.
Aku mengangguk.
“Pergi dulu.” Aku mengangkat tangan kiri, melambai sedikit kepada semua.
Puteri Maisarah mengangguk balas. Anak-anak muridnya melambai. Dan aku melangkah, masih dalam keadaan payah, bertongkatkan pedang warisan bapa.
“Cikgu, kesian dengan Abang Angkasa. Berlatih sampai macam gitu. Cikgu kahwinlah dengan dia, boleh tolong.” Kedengaran petah anak murid lelakinya bersuara. Jiwa aku seperti terenjat elektrik apabila cadangan itu lewat ke cuping telingaku.
“Betul, betul.” Anak-anak murid lain bersuara.
Mahu sahaja aku hentikan langkahan, dan menoleh untuk melihat reaksi Puteri Maisarah.
Tetapi aku malu. Aku tidak berpaling.
Bergerak terus pulang ke rumah.
Aku dapat merasai betapa hatiku seperti sedang menari-nari. Mungkin inilah dia cinta. Aku benar-benar suka kepadanya. Dan sebenarnya aku tidak boleh memendam lama agar jiwa aku tidak terganggu. Aku perlu meluahkannya, perlu buat tindakan agar ini semua tidak sekadar menjadi angan-angan yang akhirnya merosakkan perjuangan.
Tetapi akhirnya aku tidak melakukan apa-apa.
Aku risau jika dia menerima aku pun, kalau selepas tiga bulan dia menjadi janda, di manakah bahagianya?
******
Hari ini latihan hanya sampai ke tengahari. Selepas Zuhur, aku menemani Izrayel menghantar End yang akan pulang ke Duarte. Bersamanya, kami bergerak ke sempadan Tanah Suci.
“Terima kasih atas segala tunjuk ajar.” Aku menepuk bahu End. Di belakang kami adalah benteng pertahanan Tanah Suci. Kami sedang berdiri di atas jambatan yang menjadi perantara Tanah Suci dengan tanah di luar sempadannya, yang dipisahkan dengan parit besar.
Dia sekadar tersenyum. End menalakan wajahnya kepada Izrayel. Tanpa suara, Izrayel mengangguk seakan-akan End usai memberitahunya sesuatu. Izrayel menepuk bahuku pula.
“Aku akan jaga budak ini dengan baik, dan meneruskan latihannya.”
Kemudian Izrayel menepuk bahu End. Kami seperti sedang membentuk segi tiga apabila saling bersentuhan begitu.
“Dan engkau sahabatku, akan datang lagi bukan?”
“InsyaAllah.” Sepatah End menjawab.
“Sebagai rakan seperjuangan semenjak zaman menjadi Jeneral Utopia, aku amat gembira dengan kehadiran engkau di sini End. Sebelum peperangan besar, lawatlah lagi ke mari.”
“Kenapa kita tak lawat End?” Aku mencelah.
“Kau kena berlatih lebih banyak budak, bukan melancong.” Izrayel menumbuk lembut dadaku.
Aku mencebik. Sempat lagi menyakat. End tersenyum sahaja. Dia menepuk-nepuk bahu Izrayel, memeluk sahabatnya itu, dan kemudian dia mendakap diriku.
Tanpa bersuara, dia naik ke atas tunggangannya. Dia nampak gagah benar di atas kuda putih miliknya itu. Diiringi empat pengawal yang juga datang bersamanya sebelum ini, End mengangkat tangan sebagai lambaian selamat tinggal.
“Assalamu’alaikum.” Dia bersuara.
“Waalaikumussalam.” Aku dan Izrayel serentak menjawab.
End pun pergi bersama para pengawalnya, dan aku menghantarnya dengan pandangan, hingga dia hilang di balik debu pasir di medan yang amat luas di hadapanku ini.
“Janganlah nangis.” Bahuku ditumbuk Izrayel secara mengejut. Pantas tumbukannya, hingga aku tidak sempat mengelak atau menampannya.
“Aku mana menangis!” Aku menghayunkan penumbukku, namun Izrayel sudah menunduk. Refleksinya tinggi.
“Janganlah berperang di atas jambatan ini. Jika roboh, sukar diganti.” Satu suara menghentikan gurauan kami berdua.
Aku memandang kembali ke arah pintu besar sempadan Tanah Suci yang terbuka. Aizan Fahmi sedang bergerak ke arah kami berdua.
Aku mengukir senyuman lebar. Lama kami tidak bersua muka.
“Apa khabar?” Dia melemparkan soalan dengan wajah yang mesra. Aku tidak sempat menjawabnya, dan tubuh kami sudah berdakapan erat.
“Ah, kau sembanglah dengan adik ipar engkau ni. Aku mahu berehat di kedai makan berdekatan.” Izrayel menepuk belakang tubuh Aizan. Sempat lagi dia menyakat diriku. Ingin aku menjerit geram dengan ulahnya. Namun tidak aku nafikan, hatiku banyak terhibur dengan gelagat Izrayel.
Aizan menggeleng kepala dengan senyuman yang kekal pada bibirnya. Dia memandang Izrayel yang bergerak masuk kembali ke Tanah Suci.
“Kuat betul dia menyakat engkau. Pantang ada peluang.” Aizan tertawa.
“Abaikan dia.” Aku menjawab. Akhirnya tertawa sama.
Kami berjalan bersama-sama. Bertukar cerita. Aizan berkongsi akan rutin kawalannya di sempadan Tanah Suci. Bagaimana berita-berita dari pelbagai wilayah, tiba dengan perkongsian daripada para pedagang dan mereka yang berhijrah ke Tanah Suci. Aizan nampak gembira dengan perkembangan yang kelihatannya positif.
Aku pula berkongsi akan latihanku bersama Izrayel, yang kadangkala dibantu oleh End. Dan bagaimana latihan itu semakin hari semakin berat dan ketat.
“Jadi, apakah engkau telah bersedia?” Aizan bertanya.
Aku mengangkat bahu. “Sejujurnya, aku sendiri tidak pasti. Tetapi bila tiba masanya, aku tidak akan lari. Aku akan berjuang dengan segala kekuatanku.”
“Alhamdulillah. Berhadapan dengan Sang Asura, Long Berk, yang sudah kita maklum kedasyatan kekuatan mereka, sampai bila pun kita akan rasa tidak mampu. Tetapi akhirnya kita akui bahawa kemenangan tidak datang semata-mata daripada usaha kita. Ianya adalah milik Allah SWT. Maka dalam berusaha, jangan putuskan tawakkal kita kepadaNya.” Aizan memberikan peringatan.
Benar.
Akhirnya Allah SWT yang memberikan kemenangan.
Kami duduk di salah satu kedai makan yang terdapat di perbatasan ini. Tempat ini makmur dengan pelbagai perniagaan, kerana orang luar ramai masuk melalui tempat ini. Bukan sahaja dari kalangan manusia, tetapi juga makhluk genetik dan kaum gergasi. Dan namun mereka masih tidak ramai di sini. Mungkin mengambil banyak masa untuk mampu benar-benar hidup bersama dengan manusia.
“Bila engkau akan tamat tugas di perbatasan?” Aku bertanya selepas usai meminta minuman yang dikehendaki. Tidak perasan pula Izrayel ada di kedai ini. Mungkin di kedai lain.
“InsyaAllah hujung bulan ini. Kemudian, Khalid akan menggantikan aku.”
“Kalau ada engkau, seronoklah berlatih.”
Aizan tersenyum. “Kau ni patut kahwinlah. Kenapa tunggu lebih lama?”
Aku diam. Aku memandang Aizan yang kini sudah tersenyum nakal.
“Engkau tahu aku berkenan dengan Maisarah?”
“Hah” Dia menepuk meja. Membuatkan semua pelanggan yang ada menoleh ke arah kami. Suasana jadi diam sebentar. “Aku dah agak dah!” Aizan meninggikan suara, kegembiraan.
Aku tersengih aja, sambil memandang sekeliling, wajah minta maaf kerana seperti telah menganggu orang ramai. Aizan masih fokus kepada diriku.
Aku menghela nafas.
“Tak rasa bermasalahkah kalau aku dan dia bernikah, dan kemudian dia menjadi janda?”
Aizan mengerutkan dahi. “Kenapa kau cakap begitu?”
“Bukankah kita akan bertempur dengan Sang Asura tidak lama lagi.”
“Jadi?”
“Kita tidak tahu apa pengakhiran kita.”
“Tahu pun tak tahu. Jadi kenapa engkau kata dia akan jadi janda?”
“Aku hanya fikirkan yang terburuk, bersedia untuk menghadapinya.”
“Itu adalah cara fikir yang tidak patut!”
Aku diam. Memandang Aizan Fahmi yang entah kenapa agak bersemangat membicarakan hal ini. Seperti dia pula yang mahu berkahwin.
“Kita sepatutnya positif.”
“Aku tahu itu, tetapi aku fikirkan juga keadaan Maisarah.”
“Kau fikir kalau Sang Asura menang, akan ada lagi kehidupan selepas itu?” Aizan menajamkan padangannya.
Aku terdiam lagi.
“Aku kongsi dengan engkau satu cerita. Seorang pemuda bernama Handzalah di zaman Utusan Langit Terakhir. Dia menikahi seorang perempuan, dan kemudian selepas bersama isterinya, ada seruan jihad. Dia pergi tanpa sempat mandi junub. Dia syahid di medan itu, dan tubuhnya dimandikan oleh para malaikat.”
“Allahuakbar.” Aku seperti teringat akan kisah itu, terdapat dalam lembaran-lembaran hadith yang disimpan oleh Bapa.
“Zaman itu juga bukan zaman yang amat aman. Rasulullah dan para sahabat baginda berhadapan dengan kemungkinan peperangan dari masa ke semasa. Tetapi mereka tetap bernikah. Tanpa memberikan alasan apakah nanti jika berperang, isteri mereka menjadi janda.” Bersemangat Aizan memberikan penerangan.
Aku terangguk-angguk.
“Adindaku itu menanti dirimu wahai Angkasa. Tidakkah engkau sedar mengapa dia menghadiahkan engkau permata warisan bonda kami berdua?”
Aku sedar. Sebab itu aku menjangka Puteri Maisarah ada perasaan juga terhadapku. Namun, ianya juga boleh digambarkan sebagai hadiah terima kasih kerana membantu menyelamatkan Aizan tidak lama sebelum itu. Aku risau bertepuk sebelah tangan sahaja.
Permata itu pula telah hancur, kerana ia telah menyelamatkan diriku dari ditebas musuh.
“Minuman tuan.” Pemuda yang menjadi pelayan kedai datang bersama talam minuman yang ditempah sebelum ini.
Dalam masa pemuda itu meletakkan cawan minuman kami, aku menatap wajah Aizan, yang setia memakukan pandangannya kepadaku. Seperti menunggu jawapan.
“Aku akan usahakan sesuatu selepas pulang dari perbatasan ini.”
“Alhamdulillah!” Aizan seperti menarik nafas lega. Terus diambilnya air yang ditempahnya, dan minum dengan wajah gembira.
Aku tersengih.
Mungkin telah tiba masanya untuk meninggalkan galau di dalam hati, dan melangkah dengan penuh yakin bersama tawakkal kepada Ilahi.
Tanganku menggapai cawan, dan minum dengan rasa tenang.
Saat diri rasa kelam kabut dengan peperangan yang bakal mendatang, Allah SWT kurniakan aku orang-orang yang positif seperti End, seperti Aizan untuk kekal tenteram.
Alhamdulillah.
*****
“Kenapa tiba-tiba mahu menghadap Tuanku?” Izrayel bertanya.
“Kau tekalah.” Aku menyakatnya. Memang resmi kami berdua suka bergurau senda.
Izrayel mencebik. “Ah, aku sudah tahu.”
“Kiai boleh membaca hati?” Aku menyakatnya lagi.
“Lagi sekali kau sakat aku sebagai Kiai, nampak ni?” Izrayel mengangkat pedang sumbing berbalut kain kasa miliknya.
Aku tertawa. Aku senang bergurau dengannya. Sedikit sebanyak, ia menghilangkan bayangan ‘Pendekar Pendosa’ miliknya yang menjadi titik pertemuan kami berdua. Izrayel kini tidak seperti dahulu. Kemas, rambutnya panjang tetapi terikat, wajahnya tidak lagi comot, suka berpakaian serba putih, dan kini sudah memakai selipar jerami. Walaupun hingga kini dia masih enggan mengasah pedang sumbingnya, atau memilih pedang yang lain.
“Aku tidak mahu mengasah pedang ini, sebenarnya kerana dahulu aku berfikir, jika pedang ini sumbing dan tumpul, ianya tidak akan mampu mencederakan orang lain.”
“Namun auraku sahaja sudah amat tajam. Sumbingnya pedang ini tidak membantu aku, melainkan sekadar tambah mengingatkan kepada diriku betapa ramainya lawan serta orang yang tidak berdosa, tumbang pada bilahnya.”
“Aku sekadar mahu mengingatkan diriku, bahawa aku dahulu seorang yang tersesat dalam kehidupannya. Tahu kebenaran, tetapi tidak mahu pergi kepadanya. Hinggalah aku dibukakan hati apabila datangnya engkau di guaku itu.”
Itu antara apa yang dia luahkan kepadaku. Izrayel kini sudah kuanggap seperti abangku sendiri. Kadangkala bagai seorang ayah, kerana dia juga sudah agak berusia. Aku menghormatinya, dan sentiasa memandang tinggi kepadanya.
Dia terus menerus menafikan dirinya sebagai Kiai, tetapi aku yakin, walaupun para Kiai yang lain tidak pernah memberitahu secara terang dan jelas, Izrayel sebenarnya sudah menjadi sebahagian dari kalangan mereka.
Tetapi menggelarnya sebagai Kiai Izrayel, sudah pasti janggal rasanya.
Aku tertawa sendiri dengan lamunanku itu.
“Hah, gelak sendiri. Apa engkau sudah mereng kerana latihan berat kita berhari-hari?” Izrayel menyiku diriku. Aku memandangnya, dan sisa tawa masih wujud pada wajahku.
“Sekadar terfikir betapa ‘Kiai Izrayel’ amat tidak sesuai untuk disebut.”
Bibir Izrayel pecah dengan tawa kecil secara spontan. Mungkin dia juga terasa itu perkara yang lucu. “Baru kau tahu.” Kami berdua tertawa sama.
“Assalamu’alaikum.” Suara penuh karisma itu kedengaran di belakang kami. Pintu masuk balai menghadap kelihatan sudah terkuak buka. Ruh Faizan sedang melangkah mendekati kami berdua. Aku dapat melihat dia diiringi oleh Puteri Maisarah.
Aku dan Izrayel menjawab serentak salam, sambil hatiku memperbanyakkan selawat dan doa agar Allah SWT menetapkan diriku untuk membuat keputusan yang besar pada malam ini.
“Kamu berdua sudah solat?” Ruh Faizan bertanya lembut, sambil melangkah ke tempat duduknya yang tidak jauh dari kami. Puteri Maisarah duduk sopan di sisi tempat duduk Ayahandanya. Tidaklah boleh dinamakan singgahsana, kerana ianya terlalu sederhana, namun itulah tempatnya Ruh Faizan sebagai pemerintah Tanah Suci duduk jika ada rakyat mahu menghadapnya secara rasmi. Tetapi tidaklah Ruh Faizan ini janggal untuk bertemu rakyat di jalanan. Kami semua mengenalinya sebagai seorang raja yang merendah diri.
“Sudah tuanku. Kami melakukan jama’ taqdim tadi di perbatasan, kemudian bergerak terus ke mari dan sampai ketika rakyat di sini menunaikan Isya’.”
Ruh Faizan terangguk-angguk mendengar jawapan Izrayel.
“Ada hajat apa kamu berdua ingin bertemu denganku pada waktu ini.” Ruh Faizan bertanya lembut dengan senyuman menghiasi bibirnya.
Izrayel menolak tubuhku ke hadapan dengan senjatanya. “Dia yang mahu bertemu Tuanku, saya hanya menemani sahaja.” Aku sempat menoleh wajah Izrayel, yang sudah tersengih. Aku fikir, Aizan telah memberitahu Izrayel akan hajatku sebelum kami bertolak tadi.
Aku memandang Ruh Faizan, kemudian aku talakan pandanganku kepada Puteri Maisarah. Puteri itu terus menundukkan mata. Sempat mata kami bertaut sebentar tadi, tanda dia telah memerhatikanku semenjak tadi. Aku perhatikan keadaan sekeliling, pegawai-pegawai istana yang ada. Sempat pandanganku menjilati jendela, yang memaparkan keadaan luar yang gelap namun berhias bintang.
Aku memandang kembali kepada Ruh Faizan. Menarik nafas yang dalam.
“Tuanku, saya berhajat untuk menikahi anakanda tuanku, Puteri Maisarah.”
Yakin.
The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 2 – Cinta appeared first on Langit Ilahi.