30 Hari Mencari Tuhan: Menyedari Kewujudan Allah SWT
Dalam kita bergerak mengharungi kehidupan ini, memang mudah untuk kita lalai dan alpa, hingga terlupa kepada perkara-perkara yang penting. Hanyut dan membuatkan kita larut, hingga kadang kita kira hidup ini sekadar hidup, dan selepas mati tidak akan ada apa-apa yang menanti kita.
Islam kita kadang hanya Islam warisan, yang diwarisi dari keturunan, datangnya bukan kerana kita bertemu dengan kebenaran, tetapi kerana ikut-ikutan. Akhirnya Islam kita adalah Islam yang rapuh, berdiri atas sentimen dan bukannya kefahaman. Kita mudah berfikir bahawa bila kita telah melaksanakan solat, puasa di bulan Ramadhan, berzakat dan bila ada kemampuan melaksanakan haji, maka lengkaplah Islam kita.
Sebenarnya Islam bukan itu sahaja. Islam adalah penyerahan diri kita secara total, kepada Allah SWT, sepanjang masa. Mengapa? Kerana Allah SWT itu wujudnya sentiasa. Dia tidak hanya muncul kala waktu-waktu ibadah ritual. Dia bukannya hanya menjadi Tuhan kala kita melaksanakan ibadah khusus.
Allah bukan satu mekanisme kepercayaan, yang kita cari hanya kala kita susah. Allah bukan semata-mata tempat mengadu dan bergantung harap. Namun disebabkan kita tidak terdidik untuk menyedari kewujudan Allah SWT dalam erti kata yang sebenar, kita rasa Dia itu seperti lip-lap-lip-lap sahaja dalam kehidupan kita, lantas kehidupan kita sendiri kadang seperti tidak berTuhan, walau Islam terpampang pada kad pengenalan.
Merenung sebentar pada kesempurnaan alam
Alam ini kompleks. Penuh dengan pelbagai sistem dan aturan. Yang semuanya berjalan dengan amat berseni sekali. Hamka dalam bukunya Studi Islam menyatakan bahawa jika alam ini tidak teratur, nescaya tidak akan wujud ilmu-ilmu yang bercambah darinya.
“Bertambah lanjut hasil penyelidikan manusia, yang hasilnya itu dinamai ‘ilmu pengetahuan’ atau Sains, bertambah banyak hasil dalil-dalil ilmiyah yang mengagumkan dalam alam ini, bertambahlah orang yang berilmu itu takjub dan kagum: Alangkah sempurnanya!
Oleh kerana di segala segi an sudutnya terdapat ilmu, itulah sebabnya dia bernama Alam. Kalau tidak teraturnya yang sempurna itu, tidaklah akan ada ilmu. Ilmu Falak tidaklah akan timbul kalau perjalanan matahari tidak teratur. Dan kalau ilmu tidak ada, kerana alam tidak teratur, nescaya filsafatpun tidak ada di dunia ini. Alam kelihatan bergerak terus menurutui undang-undang yang tentu dan pasti. Dan peraturan itu sesuai dengan jalan akal kita. Kalau tidak sesuai dengan akal, maka adanya akal pun menjadi suatu yang mustahil.
Yang paling mengkagumkan dalam gerak alam itu ialah adanya satu kekuatan yang menghubungkan satu bahagian alam dengan bahagian yang lain. Ini nampak pada yang sekecil-kecilnya, sampai kepada yang sebesar-besarnya.”
Dan kemudian Hamka memberikan contoh yang pada saya sangat dekat dengan kita, sekaligus menyentak jiwa akan betapa teraturnya alam ini.
“Anak baru lahir belum bergigi, sedia susu yang akan diminumnya. Baru beransur tumbuh giginya, ada pisang yang lunak, sesuai dengan gigi yang beransur tumbuh. Dan gigi yang lebih kuat sekarang, makanan yang lebih keras pun ada. Dalam peredaran matahari timbul giliran siang dan malam. Hidup dan perhitungan umur manusiapun adalah pergantian siang dan malam. Siang dia bekerja, malam dia istirihat. Dari peredaran bulan, timbul pasang naik dan pasang turun.”
Melihat kepada semua itu, bahkan saya yakin antara kita ada ilmu yang lebih lagi untuk menggambarkan kesempurnaan alam dan segala isinya ini, kita sepatutnya sedar itu semua takkan mampu bergerak sendiri dengan keteraturan yang begitu berseni. Pastilah ada satu kekuasaan terbesar, yang menguasai segalanya, yang telah mencipta dan mengaturkan segalanya.
Itulah dia Allah SWT.
“Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya (wahai umat manusia) dan pada hari umat manusia itu kembali kepadaNya, maka Dia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu.” Surah An-Nur ayat 64.
“Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dialah jua Yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” Surah Luqman ayat 26.
“Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturanNya.” Surah Ar-Rum ayat 26
“Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya; Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni (dosa hamba-hambaNya).” Surah Sad ayat 66.
“Dan Maha Tinggilah Kebesaran Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dan Dialah jua yang mengetahui tentang (masa datangnya) hari kiamat dan kepadanyalah kamu semua akan dikembalikan.” Surah Az-Zukhruf ayat 85.
Dia Bukan Tuhan Hanya Semasa Ibadah
Allah bukanlah Tuhan yang hanya wujudnya pada waktu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’. Allah SWT bukan Tuhan hanya pada bulan Ramadhan. Allah SWT juga bukan hanya Tuhan di Makkah dan Madinah.
Dia adalah pemilik semesta alam, dan segala apa yang ada di dalamnya adalah berada di bawah kekuasaanNya. Dia tidak lalai dan leka, tidak mengantuk dan tidur, tidak penat dan letih. Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Melihat, Maha Berkuasa Atas Segala-galanya.
Adakah kita tahu hakikat sebenar kebesaran Allah SWT?
Bayangkan alam semesta yang luas ini, termasuklah kawasan-kawasan angkasa lepas yang masih tidak dapat dicapai oleh manusia. Bandingkan saiz itu semua berbanding kita manusia. Pastilah kita seperti kuman sahaja. Dan ketahuilah bahawasanya Allah SWT itu lebih besar dari semuanya!
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Surah Ali Imran ayat 29.
Atas segala sesuatu. Ya. Besarnya Allah SWT, dan Allah SWT yang Maha Besar itulah yang kita perlu rasai kewujudannya sepanjang masa, setiap ketika.
Menyedari perkara ini, kita akan melihat mengapa menjadi seorang muslim itu bukan perkara bermusim dan bukan kerana keturunan. Muslim dalam erti kata sebenarnya ialah ‘orang yang menyerahkan dirinya’. Bila kita menjadi muslim, kita telah menyerahkan diri kita kepada kekuasaan Allah SWT. Mengapa kita menyerahkan diri kepada Allah SWT? Kerana Dia pemilik semesta alam ini.
Pemilik alam yang serba teratur ini, Dia yang sama jugalah menjanjikan syurga dan neraka, pembalasan di hari akhirat. PersembahanNya kepada kita akan kesempurnaan alam ini, telah membuatkan kita beriman bahawa Dia yang sama juga mampu merealitikan akhirat yang belum kita lihati.
Akhirnya kita tunduk. Bukan atas sebab lain, tetapi kerana telah menyedari kewujudanNya, dan merasa hanya akan selamat apabila tunduk mentaatiNya.
Muraqabatullah
Kefahaman dan kesedaran akan kewujudan Allah SWT inilah akan melahirkan sikap muraqabatullah, atau merapat dengan Allah SWT. Sekaligus membuatkan kita lebih komited dalam menjadi seorang muslim yang baik. Muslim yang baik adalah manusia yang baik, kerana Allah SWT tidak akan mengaturkan sesuatu yang tidak bermanfaat dan sia-sia.
Menghadirkan sikap muraqabatullah, akan membuatkan kita memastikan segala tindakan kita adalah sesuatu yang diredhaiNya. Kita tidak akan membazirkan masa dengan perkara yang merosakkan, apatah lagi terfikir untuk mengajak orang lain melaksanakan kerosakan.
Bila kita melihat seorang muslim atau muslimah yang soleh atau solehah, kita pasti tertanya-tanya apakah mekanisme yang boleh membuatkan mereka kekal sedemikian rupa. Tidak, mereka bukan malaikat, dan tidaklah mereka tidak jatuh langsung. Namun apa yang kita perhatikan itu adalah hasil dari istiqomah, yang mana bila mereka jatuh, mereka akan segera bangkit semula. Kalau mereka jatuh berkali-kali, mereka tidak akan putus asa untuk naik semula.
Kerana mereka sedar Allah itu wujud dan dekat dengan diri mereka. Mereka menyedari bahawa Allah SWT senantiasa memerhatikan mereka, dan mereka beriman bahawa nanti mereka akan berdiri di hadapan Allah SWT, mengharapkan redha dan rahmatNya.
Maka mereka berusaha menjaga diri mereka sebaik mungkin. Dan kalau mereka tergelincir, mereka akan segera naik semula.
Semuanya kerana mereka benar-benar merasai kewujudan Allah SWT.
Tetapi kalau Allah SWT itu kita rasakan hanya wujud di dalam solat, kala majlis bacaan Al-Quran, kala di Masjid atau tempat-tempat suci, atau pada bulan yang mulia seperti Ramadhan, semata-mata, memanglah kita akan terdorong untuk melaksanakan pelbagai onar dan angkara.
Yalah, Allah ‘tiada’ semasa kita bermaksiat.
Persoalannya, apakah benar Dia tiada?
Atau kita yang tidak benar-benar merasai kewujudanNya.
Pasti malu ya, berbuat maksiat dan ingkar saat pemilik alam semesta sedang memerhati dan menilai kita. Kemudian esoknya Dia menyambung lagi kehidupan kita, tidak pula menamatkannya, untuk memberikan kita peluang bertaubat, tetapi kita lemparkan peluang itu dan masih lagi melakukan dosa tanpa segan silu.
Ya. Kehidupan apakah itu?
Marilah sama-sama kita keluar daripadanya. Rasailah kewujudan Allah SWT. Lihatlah ke dalam diri kita, ke alam semesta, dan rasailah kerdilnya diri ini.
Moga Allah SWT mengampunkan kita.
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Menyedari Kewujudan Allah SWT appeared first on Langit Ilahi.