Rejuvenasi Hati: Pendosa Yang Diberikan Peluang

[image error]


 


Saban hari kita bangun dari tidur, apakah yang pertama mengetuk minda kita?


Adakah kita memandangnya sekadar sebagai ‘satu hari lagi’. Atau kita melihatnya sebagai satu perkara yang sangat berharga?


Kita semua maklum yang mati boleh datang bila-bila masa sahaja, dan kita semua makruf bahawa kita ada banyak kesilapan dan dosa. Adakah kita pernah rasa lega dibangunkan oleh Allah SWT pada hari yang baru, kemudian berazam untuk melaksanakan yang terbaik pada hari yang baru itu, tanda syukur dan menghargai peluang yang dikurniakan oleh Allah SWT?


Atau kita sekadar ‘take it for granted’?



Peluang – Mahal


Pernahkah kita menyelak Al-Quran dan kemudian kita membaca ayat ini:


  “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” Surah As-Sajdah ayat 12.


Mengapa mereka berteriak sedemikian rupa?


Kerana sudah tertutupnya peluang buat mereka. Telah tiadanya belas ihsan daripada Allah SWT buat mereka. Telah hilang segala kasih dan sayang daripada Allah SWT buat mereka. Tertutuplah segala pintu taubat dan keampunan. Kerana itu mereka berkeadaan sedemikian rupa.


Saat itu, barulah kita akan terasa mahalnya peluang. Bak kata orang, kita akan rasa besarnya nikmat sihat, hanya ketika sakit. Begitulah kita akan benar-benar merasakan besarnya nikmat peluang, hanya apabila Allah SWT telah menariknya daripada kita.


Peluang, mahal. Kita pastinya tidak mahu menjadi orang yang berteriak di akhirat kelak itu. Yang dipaparkan neraka kepadanya, sedang di dunia dia buat tidak tahu apabila ada yang menasihatinya. Yang akan berhadapan dengan kemurkaan Allah SWT pada hari para rasul pun memohon perlindungan daripada kemurkaanNya, kerana dasyatnya hari itu.


Maka bagaimana kita menghargai peluang yang Allah SWT sedang berikan pada kita sekarang?


 


Peluang-peluang yang kita buang


Setiap hari kita bangun dengan dosa-dosa semalam yang kita tidak pernah usahakan untuk meminta ampun, perbetulkan, atau bertaubat. Hari baru diberikan kepada kita, sebagai peluang, untuk melaksanakan yang lebih baik dari semalam, untuk melaksanakan perubahan dari buruk kepada baik, untuk membetulkan kesilapan, untuk meminta keampunan.


Tetapi kita buat tidak endah. Kita anggap biasa sahaja. Bahkan ada kalangan kita memulakan hari barunya dengan meninggalkan Solat Subuh. Hadiah daripada Allah, dibalas pertamanya dengan menderhakaiNya lagi. Astaghfirullah.


Namun Allah SWT Maha Pengasih dan Penyayang. Terus menerus Dia masih memberikan peluang. Membangkitkan kita lagi pada hari yang baru. Memanjangkan lagi umur kita. Sampai satu tahap, dibenarkan kita merasai Ramadhan, memasuki bulan mulia yang penuh dengan peluang keampunan dan gandaan pahala.


Tidak cukup dengan itu, sayangnya Allah SWT kepada kita, kadangkala Dia hantarkan kepada kita orang-orang yang menyampaikan teguran, nasihat, pengajaran.


Masih kita abaikannya. Masih kita tidak memohon ampun. Masih kita sambil lewa dengan kehidupan. Masih kita rasa ‘biasa’. Tidak sedikit pun kita rasa itu semua ialah peluang untuk berubah, panggilan Allah SWT untuk kita memulakan sebuah perjalanan untuk berubah menjadi yang lebih baik.


Hamba jenis apakah kita?


 


Seorang pendosa yang menghargai peluang


Kita sepatutnya perasan akan kasih Allah SWT ini. Bukan sahaja Dia memberikan kita nasihat dan pengajaran dari pelbagai arah, tetapi Allah SWT memanjangkan nyawa kita untuk kita mampu mengambilnya sebagai peluang berubah.


Kita tidak tahu bila kita akan mati. Bila peluang ini akan tertutup. Kita bahkan tak dapat menjamin apakah kita boleh membaca artikel ini sehingga tamat, sebelum nyawa kita ditarik oleh Allah SWT.


Maka kita patut menghargai peluang yang Allah SWT sedang berikan kepada kita sekarang. Yang telah Dia berikan kepada kita sebelum ini dan kita abaikannya. Hargailah.


Bagaimana hendak menghargai?


Mulalah dengan muhasabah diri. Mengakui dosa-dosa yang kita lakukan itu sebagai sebuah kesalahan dan kesilapan. Hendaklah berazam untuk mencucinya, memperbetulkannya, memohon ampun ke atasnya. Kemudian susunlah perancangan, strategi, jadual, target untuk meninggalkannya.


Mulalah, bergerak selangkah demi selangkah.


Tunjukkan kepada Allah betapa kita amat menghargai peluang demi peluang yang Dia berikan kepada kita.


“Sempat ke jadi sempurna? Kata mati tak tahu bila.” Mungkin ada suara sinis berkata sebegitu rupa.


Ya, kita memang takkan sempat menjadi sempurna. Tetapi apabila kita mengorak langkah, dan bergerak menghargai peluang yang Allah beri dengan melaksanakan perubahan, di sana akan mulalah terbukanya rahmat Allah SWT kepada kita. Kita mungkin takkan sempat dan takkan jadi sempurna, tetapi kita telah berusaha. Kalau kita mati pun, kita akan mati dalam keadaan kita berusaha.


Dan bukankah itu jauh lebih baik, dari terus menerus mengabaikan peluang dan menderhakai Allah SWT?


 


Keluar dari kebiasaan hari-hari baru


Kita berubah.


jIka sebelum ini hari baru sekadar ‘satu lagi hari’, kita ubah. Saban hari kita lihat sebagai satu lagi hadiah daripada Allah SWT. Kita mulakannya dengan berazam dan berdoa agar hari ini lebih baik dari semalam, dan apa sahaja kesilapan serta kekurangan semalam, akan kita usahakan untuk menampungnya hari ini. Dan sebelum tidur, kita akan bertaubat kepada Allah, memohon ampun kepadaNya, dan berharap agar kalau esok diteruskan hidup, kita mampu menjadi lebih baik. Jika kehidupan kita tamat pada malam itu, kita harapkan ia tamat dalam keadaan yang baik.


Hidup kita akan berubah insyaAllah.


Hari-hari akan kelihatan segar, kerana setiap hari kita bahagiab dengan pemberian hadiah daripada Allah SWT. Kita akan hargai hadiah tersebut, mengisi hari baru dengan perkara –perkara yang bermanfaat. Dan percayalah, apabila kita bersyukur dalam erti kata yang sebenar(yakni bukan syukur sekadar cakap Alhamdulillah, tetapi membuktikannya dengan amal), Allah akan menunaikan janjiNya untuk menambah nikmat dalam kehidupan kita.


  “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” Surah Ibrahim ayat 7.


Tetapi pastilah ini semua takkan terus berlaku.


Ia memerlukan kita untuk melakukan langkah mula. Berubah.


Menghargai peluang.


 


Jangan sampai tertutupnya pintu peluang


Orang kata, kalau dah tahu kita ni berdosa, kenalah sedar diri tu berdosa. Jangan buat dek sahaja.


Begitulah kita ini. Menyedari kita berdosa, dan masih lagi diberikan peluang demi peluang oleh Allah SWT, sepatutnya menjadikan kita malu sendiri.


Malu itulah yang kemudiannya akan membuatkan kita rasa kita perlu memperbaiki diri. Dari sanalah kita akan mula merancang, set target, menyusun strategi, untuk mencuci dosa kita dan menjadi yang lebih baik.


Sedarlah. Muhasabah diri. Kemudian mulakanlah langkahan.


Jangan sampai tertutupnya pintu peluang. Kita pun tidak tahu bila akan tertutupnya pintu itu. Jangan bongkak. Jangan rasa ianya lama dan lambat lagi.


Pintu itu akan tertutup, moga-moga kita sempat menghargai peluang sementara ianya masih terbuka buat kita, untuk melaksanakan perubahan yang sebenar-benarnya.


The post Rejuvenasi Hati: Pendosa Yang Diberikan Peluang appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 28, 2014 21:53
No comments have been added yet.