Corat-Coret Hati: Seronok Yang Sebenar, Rehat Yang Hakiki.

http://aquasixio.deviantart.com/art/E...
Semenjak berlakunya kes kematian di Future Music Festival Asia 2014, maka isu parti liar mula mendapat tempat di minda rakyat Malaysia. Pendedahan demi pendedahan terhadap pelbagai lagi ‘event’ yang lebih kurang serupa, berlaku selepas itu. Terdapat beberapa pihak yang menggerakkan masyarakat untuk bersuara, membantah dan berusaha membatalkan pesta-pesta sedemikian rupa.
Sudah ramai yang menuding jari kepada pihak-pihak berkuasa, dan tidak kurang juga yang memarahi generasi muda yang suka melibatkan diri dengan perkara sedemikian rupa. Tetapi artikel ini bukanlah bertindak untuk mengecam atau memarahi sesiapa.
Coretan ini sekadar ingin membawa kita semua, menelusuri akan makna keseronokan yang sebenar, serta apa itu rehat yang hakiki.
“Apa kaitannya?”
Mahu Berlibur
Rata-rata komen yang saya lihat di alam maya, apabila ada yang cuba memberikan teguran, kritikan atau komentar berkait majlis-majlis seperti FMFA atau Pool Party, mereka berkata bahawa ianya hanya untuk berhibur, melepaskan tekanan, seronok-seronok, dan sebagainya. Ada yang merasakan pula bahawa itulah dia ‘rekreasi’ orang muda, dan ada pula yang menganggap bahawa mereka sepatutnya bebas untuk ‘mencuba’ untuk lebih kenal dunia.
Pendek kata, semuanya untuk membuat diri sendiri lebih gembira, lebih senang hati. Dirasakan di tempat-tempat dan majlis-majlis sedemikian, tekanan hidup yang mempunyai tanggungjawab dan urusan akan dapat dilepaskan ke tepi. Rehat.
Memang, kalau bukan dengan pergi ke majlis-majlis sedemikian pun, tidak sedikit anak-anak muda yang memandang ‘rehat’, ‘lepas tekanan’, ‘berseronok’ itu adalah dengan maraton movie/drama berbelas-belas(atau berpuluh-puluh) episod, bermain ‘game’ berjam-jam lamanya, atau tidur dan tidak berbuat apa-apa yang bermanfaat. Itu semua dianggap sebagai pelepas tekanan, satu perkara yang ‘merehatkan’, dan paling penting – seronok, menyenangkan.
Namun apakah benar? Atau ia hanya sekadar sebuah ‘ilusi’ yang diada-adakan?
Atau sebenarnya itu semua tidak pun memberikan kepuasan, memenuhi matlamat dan memberikan kebaikan kepada kehidupan?
Gurauan Seorang Rakan
Saya mempunyai seorang kenalan dari Indonesia. Himawan namanya. Semasa belajar di Irbid, Jordan, Himawan yang asalnya merupakan pelajar dari Syria, singgah ke tempat pengajian saya. Dia berniat untuk menukar pengajian dari Syria ke Jordan kerana masalah urusan di Syria(ketika itu masih belum perang). Justeru Himawan tinggal berdekatan dengan saya, dan mengikuti program-program usrah, serta jaulah yang digerakkan oleh saya dan rakan-rakan sepanjang keberadaannya.
Himawan sendiri hakikatnya adalah anak muda yang komited dengan urusan dakwah dan tarbiyah. Bahasanya kemas, dan peribadinya walau kelihatan sedikit keanak-anakan, mempunyai kematangan yang hebat.
Satu masa, dia bergurau dengan bertanya:
“Hilal, bagaimana enta berehat?”
“Tidur, main game, tengok movie ke begitu.” Saya jawab, jujur.
Himawan tertawa dan berkata: “Bagaimana boleh begitu? Sesungguhnya orang-orang beriman itu rehatnya adalah dengan membaca Al-Quran, Solat dan zikir.”
Saya terdiam sebentar. Kemudian Himawan menyambung tawanya. “Gurau aja sih.” Sambil menepuk saya.
Walaupun ketika itu Himawan menyatakan bahawa dia bergurau, saya kira ada kebenaran di sebalik bicaranya. Saya rasa terpukul dan banyak kali sebenarnya terfikir akan apa yang diguraukan beliau. Itu baru saya jawab ‘tidur,main game, tengok movie’, bagaimana pula kalau saya jawab pergi ke majlis seperti FMFA?
Saya lihat, sebenarnya, keseronokan dan kerehatan itu bergantung kepada kefahaman seseorang berkait apa itu sebenarnya keseronokan dan kerehatan. Akhirnya, seronok dan rehat itu sebenarnya bergantung kepada apa yang kita faham, bukan apa yang kita buat.
Seronok dengan amal kebaikan, terasa rehat dengan ibadah
Sepanjang saya berada dalam dunia dakwah dan tarbiyah, saya telah bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Yang bagus, yang baik, yang buruk, yang entah apa-apa. Saya akan fokuskan kepada yang bagus dan baik. Mereka ini, kalau dihitung ‘rehat’(mengikut definisi biasa) mereka, sangatlah sedikit. Tidur mereka, pendek dek kerana qiyamullail. Saban minggu, isnin dan khamis mereka akan berpuasa sunat. Kalau yang bekerja dengan sistem, selain komited dengan kerja, habis kerja mereka akan komited pula dengan urusan organisas dakwah seperti usrah, pergi mesyuarat, tamrin dan sebagainya. Semasa orang lain cuti sekolah, bercuti bersama anak-anak, mereka sibuk menguruskan program-program untuk masyarakat.
Namun bila ditanya, apakah perasaan mereka apabila hidup sedemikian rupa? Mereka menjawab: “Seronok. Puas.”
Ini kerana kefahaman mereka terhadap makna seronok dan kepuasan itu berbeza dengan kebanyakan orang. Mereka melihat pada kerja-kerja yang diredhai Allah itulah wujudnya keseronokan. Seronok kerana masa mereka tidak terbazir. Puas apabila usia mereka digunakan untuk perkara yang bermanfaat.
Selari dengan firman Allah SWT tatkala Allah mendefinisikan apakah itu ‘kemenangan’.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali Imran ayat 185.
Allah SWT tidak mendefinisikan kemenangan dengan kekayaan, rumah besar, kereta besar, pangkat tinggi dan sebagainya. Allah mendefinisikan kemenangan yang sebenar adalah apabila seseorang itu dapat memasuki syurga dan diselamatkan dari neraka. Masakan seseorang tidak seronok apabila kehidupannya berjaya dimanfaatkan untuk mencapai kemenangan yang hakiki itu? Justeru keseronokan yang dirasainya juga pastilah keseronokan yang hakiki.
Begitu jugalah dengan rehat.
Bila ditanya berkait rehat, mereka menjawab: “Rehat adalah di dalam kubur.” Mati dilihat sebagai rehat, manakala di dunia benar-benar adalah untuk beramal. Bukanlah mereka ini langsung tidak bercanda dengan keluarga, atau tidak tidur. Namun mereka tidak membazirkan terlalu banyak masa dengannya. Cukup seadanya. Kemudian mereka bersungguh-sungguh di medan amal, menjadi muslim-mukmin yang sebenar. Bahkan berhibur(dengan hiburan yang syara’) bersama keluarga, rakan-rakan dan tidur itu juga hakikatnya adalah sebahagian dari tanggungjawab muslim-mukmin.
Amat sinonim kefahaman ‘rehat adalah di dalam kubur’ dengan kefahaman di dalam Islam bahawa dunia adalah ladang untuk beramal, dan akhirat nanti adalah masa untuk menuainya. Maka memanglah ketika dunia ini masanya untuk berusaha, berpenat lelah, agar di akhirat sana kita dapat rehat yang kita dambakan, yakni di syurga sana.
Ada pula apabila ditanya akan rehat, mereka menjawab: “Rehat itu dengan ibadah.”
Dan ianya amat selari dengan seruan Rasulullah SAW kepada Bilal, meminta beliau melaungkan azan, di dalam sebuah hadith: “Rehatkanlah kami dengan solat wahai Bilal.” Hadith Riwayat Ahmad.
Rasulullah SAW sendiri banyak diriwayatkan bahawa baginda, dalam kepelbagaian tanggungjawab dan urusan di siang hari, sering bangun dan berqiyamullail di tengah malam hingga bengkak kakinya. Kelihatan bahawasanya, orang-orang yang menjawab bahawa rehat itu adalah ibadah, telah mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh, qudwah hassanah, buat kehidupan mereka.
Begitulah kefahaman mereka, dan kita sendiri perlu bertanya, yang mana satu seronok & rehat yang Allah redha, sebagaimana yang telah diberitahu di dalam Al-Quran dan hadith, dan yang mana satu seronok & rehat yang Allah murka, juga sebagaimana yang telah diberitahu di dalam Al-Quran dan Hadith?
Allah SWT semasa berbicara berkait kerugian, Allah berfirman bahawa semua, ulangan – SEMUA manusia berada dalam kerugian. Dikecualikan kerugian itu untuk orang-orang yang mempunyai beberapa ciri. Firman Allah SWT:
“Demi masa, sesungguhnya semua manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran.” Surah Al-’Asr ayat 1-3.
Adakah kita seronok dan merasa rehat dengan ‘kerugian’?
Seronok Dan Rasa Rehat Dengan Perkara Yang Allah Murka?
Allah SWT melarang hamba-hambaNya mendekati zina, mendedahkan aurat, bercampur lelaki dan perempuan tanpa batasan syara’, melarang juga pengambilan arak dan perkara-perkara yang memudaratkan. Firman Allah SWT:
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan, dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” Surah Al-Baqarah ayat 195.
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Surah Al-Israa’ ayat 32.
“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 30-31.
Justeru bagaimana kita boleh merasakan kerehatan, bahkan merasa seronok dengan perkara yang Allah larang dan murka? Adakah keimanan kita tidak bergetar?
Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang beriman akan melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula akan melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.” Hadith riwayat Bukhari.
Jika kita boleh merasakan rehat dan tenang, seronok dan senang dengan melakukan perkara-perkara yang Allah murkai dan larangi, kita sepatutnya bertanya – bagaimanakah sebenarnya keadaan iman kita?
Satu ayat yang masyhur sering memberikan peringatan kepada diri saya: “Iman itu bukan sekadar angan-angan dan bukan sekadar kata-kata, tetapi ianya adalah apa yang tersemat kemas di dalam hati, dan DIBUKTIKAN DENGAN AMAL.”
Penutup: Mencari Keseronokan Yang Sebenar dan Rehat Yang Hakiki
Marilah kita bermuhasabah dan menilai semula keadaan kita. Bukanlah saya nak kata haram langsung hiburan. Namun ada batasnya. Tidak sesekali kita boleh melanggar batas syariat Allah SWT semata-mata dengan alasan mahukan kerehatan dan keseronokan.
Carilah kelazatan dalam mentaati Allah SWT, rasailah betapa bertuahnya diri kita apabila dikasihiNya, dan tanamkanlah rasa resah serta gelisah apabial menderhakaiNya. Dan lihatlah dunia ini hanya tempat sementara, untuk kita membanting tulang beramal, hidup dalam ketaatan mentaatiNya. Di akhirat jualah tempat yang paling seronok, paling merehatkan sekiranya kita berjaya mendapatkan syurgaNya. Bagaimana hendak mendapatkan syurgaNya? Dengan mendapatkan rahmat Allah SWT. Bagaimana mahu Allah merahmati kita? Dengan menjemput kasih dan cintaNya melalui usaha kita dalam mentaatiNya.
Sama-samalah kita bermuhasabah, menilai, koreksi keadaan kita.
Apakah berbaloi mati di majlis-majlis yang penuh dengan perkara yang dimurkaiNya?
Jika iman kita masih wujud, masih bergetar, tanyalah pada diri kita, dengan keadaan apa kita hendak menemuiNya di akhirat sana?
Muhasabah.
The post Corat-Coret Hati: Seronok Yang Sebenar, Rehat Yang Hakiki. appeared first on Langit Ilahi.