Corat-Coret Hati: Belajar daripada Yunus

YunusAS

http://www.ummah.com/forum/showthread...


 


Antara kisah Anbiya’ yang sangat menyentuh hati saya ialah Kisah Nabi Yunus AS. Sering menjadi inspirasi dan dorongan, serta pengajaran buat diri saya, dan saya kira ianya amat bermakna juga untuk masyarakat umumnya.


Yang membuatkan saya tertarik untuk mendalami kisah Nabi Yunus AS tidak lain tidak bukan ialah ceramah Sheikh Khalid Yasin, seorang pendakwah di eropah, yang lantang dan hebat, di dalam sebuah video di YouTube bertajuk – Oh Muslim! Reform Yourself – Beliau menukilkan kisah Yunus AS, dan sekaligus membuatkan saya banyak membaca berkait peristiwa Yunus AS.


Pada artikel ini, saya mengajak rakan-rakan pembaca dan diri saya, untuk belajar daripada Yunus AS.



Yunus Ibn Matta Alaihissalam


Nabi Yunus, atau namanya Yunus Ibn Matta, adalah seorang utusan Allah SWT yang diutuskan untuk menyampaikan ajaranNya kepada penduduk di Ninawa.


“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakub dan anak cucunya, Isa, Ayub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.” Surah An-Nisa’ ayat 163.


“dan Ismail, Ilyasa, Yunus dan Lut. Masing-masingnya Kami lebihkan derajatnya di atas umat (di masanya)” Surah Al-An’am ayat 86.


Al-Quran tidak terlalu banyak menceritakan kisah Nabi Yunus sebagaimana Al-Quran menceritakan kisah Nabi Ibrahim atau Nabi Musa AS. Namun Yunus AS ada kisah yang sangat signifikan buat panduan para pendakwah, juga ummat Rasulullah SAW. Pada dua tempat di dalam Al-Quran, pada dua surah yang berbeza, Allah SWT mengisahkan perihal Nabi Yunus secara lebih terperinci dalam beberapa ayat yang pendek.


“Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak. Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar. Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih. (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).” Surah As-Saffat ayat 139-148


Kisah ini didetailkan lagi di dalam Surah Al-Anbiya’:


“Dan (ingatlah kisah) Zun Nun(gelaran buat Nabi Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: Bahwa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).” Surah Al-Anbiya’ ayat 87-88.


 


Melihat Kepada Diri Sendiri


Antara pengajaran utama di dalam Sirah Nabi Yunus AS, yang menjadikan ianya sangat signifkan, penting, hingga Allah SWT merakamkannya di dalam Al-Quran buat ummat Rasulullah SAW, juga buat nasihat dan peniup semangat kepada Rasulullah SAW sendiri dalam menggerakkan dakwah baginda, ialah tidak mudah mengalah dan berputus asa.


Nabi Yunus AS digambarkan telah meninggalkan urusan dakwah terhadap kaumnya, dalam keadaan marah. Jika Nabi Yunus AS meninggalkan kaumnya kerana Allah SWT mengarahkannya sebagaimana arahan Allah kepada Nabi Nuh dan Nabi Lut contohnya, pastinya Allah tidak menghukum Nabi Yunus AS kemudiannya. Tetapi dalam kes Nabi Yunus, jelas bahawa kemarahannya telah membuatkan dia meninggalkan kaumnya dalam keadaan tergesa-gesa, sebelum mendapat perintah Allah SWT. Yakni, sebelum sempurna tugasannya. Ini adalah sebuah kesilapan, yang patut diambil pengajaran.


Namun kisah ini tidak berhenti di situ, Allah mahu mendidik pula bagaimana kita perlu bersikap apabila kita telah melakukan kesilapan. Makanya Nabi Yunus, tatkala dibuang dari kapal yang dinaikinya untuk meninggalkan kaumnya kerana kapal itu telah penuh dan hampir karam, Nabi Yunus tidak pula menyalahkan orang kapal yang mencampaknya(dia dicampak selepas namanya naik berikutan undian yang dilakukan beberapa kali). Pada ketika itu, Nabi Yunus sudah sedar akan kesilapannya, dan tahu ianya adalah hukuman daripada Allah SWT kepadanya. Nabi Yunus kemudiannya ditelan oleh ikan paus.


Apabila ditelan, Nabi Yunus tidak menunggu lama, lantas bertaubat kepada Allah SWT. Sedikit pun dia tidak menyalahkan Allah SWT, menuding jari kepada kaumnya, atau berdendam dengan orang yang mencampaknya ke laut. Apa yang dia lihat ialah, kesilapan dirinya sendiri. Kerana itu, doanya adalah sebagaimana yang tercatat di dalam Al-Quran - Bahwa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim. Benar-benar merasakan bahawa dirinya yang telah bersalah.


Tidak menghentikan kisah itu di situ, Allah SWT menunjukkan pula bagaimana balasan Allah SWT kepada orang-orang yang ‘sedar diri’, yang ‘bertaubat’, yang berusaha ‘memperbaiki diri’ dengan menggambarkan kepada kita datangnya bantuan kepada Nabi Yunus AS. Kedatangan bantuan diceritakan oleh Allah SWT dalam keadaan pantas, dalam keadaan tidak bertangguh. Habis sahaja ayat berkait doa keinsafan Nabi Yunus, terus Allah SWT firmankan: Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman. Allah SWT juga sempat mengingatkan kita, apakah akibatnya jika tidak kembali kepada Allah, tidak bersegera menginsafi diri apabila tahu bahawa kita sedang bersalah, di dalam firmanNya - Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.


Namun pilihan Nabi Yunus AS adalah bertaubat, dan anugerah Allah SWT kepada baginda Yunus AS tidak terhenti sekadar selamat dari mati di dalam perut Ikan Paus. Allah SWT memberikan pula hidayah kepada kaumnya. Bahkan memuji Kaum Yunus AS di dalam Al-Quran, terabadi hingga hari ini untuk kita membacanya.


“Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu), beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu.” Surah Yunus ayat 98.


Kaum yang asalnya bakal diazab Allah SWT kerana menolak ajakan utusanNya, beriman dan bertaubat, lantas Allah SWT anugerahkan mereka kesenangan dan menarik semula azabnya yang bakal diturunkan. Hadiah besar dan sebuah penghormatan kepada Nabi Yunus AS.


Serta pengajaran yang amat besar buat kita semua.


 


Belajar daripada Yunus dan Kaumnya


Apa yang kita boleh pelajari?


Pelbagai perkara. Terutama dalam bab melihat keadaan diri dan ummat hari ini. Rata-rata hari ini mengeluh dengan keadaan ummah yang ditindas, dianiayai. Lihat sahaja bagaimana Morsi dijatuhkan, isu Rohingya, kejadian Mavi Marmara, Gaza dan Palestin yang tidak berkesudahan, Iraq dan Afghanistan yang sehingga kini masih tidak aman, dan Syria yang semakin hari semakin membarah, juga beberapa tempat lain lagi.


Kita menyalahkan konspirasi, Amerika Syarikat, Yahudi, Nasara, Syaitan, Dajjal, Freemason, Illuminati, Orang Kafir dan pelbagai pihak lain berkenaan apa yang berlaku. Namun kita lihat semula keadaan ummat ini, bagaimana sikap penganut-penganut agama Islam sebelum ini semua berlaku. Apakah ummat yang taat dan patuh kepada Allah SWT? Bagaimana pula sikapnya pemimpin-pemimpin yang dinamakan sebagai ‘pemimpin negara Islam’, bagaimana sikap mereka? Apakah mereka merupakan pemimpin yang menegakkan hukum Allah SWT di atas bumi pimpinan mereka? Jika ya, berapa ramai?


Kita muhasabah pula diri kita sebagai individu. Bagaimana hidup kita? Apakah kita gigih menjadi hamba Allah SWT yang soleh dan muslih(baik dan membaikkan orang lain?), adakah kita menentang kemungkaran, membawa pencerahan, mempersembahkan Islam yang sebenar dalam kehidupan kita? Bagaimana?


Keberjayaan Rasulullah SAW dan para sahabat, juga para kepimpinan Islam yang terdahulu, bukanlah semata-mata dengan berkata sekian halal, sekian haram, itu benar, ini batil. Tetapi adalah dengan mempersembahkannya secara nyata di dalam kehidupan masing-masing. Pembumian Islam dalam bentuk yang realistik. Namun bagaimana kita hari ini? Kebanyakannya tidak habis-habis sekadar retorik. Muhasabah buat diri saya juga.


Sebagaimana kata Sheikh Khalid Yasin, kita(ummat Islam) hakikatnya sedang berada di dalam perut ikan paus sebagaimana Yunus AS. Kita kematian di dalamnya. Kita dihakis dengan sistem jahiliyyah yang telah memerangkap dan memenangi kita. Mengapa kita berada di dalam perut ikan paus ini? Sebagaimana Nabi Yunus AS yang meninggalkan kaumnya, kita berada dalam keadaan ini adalah kerana sikap kita sendiri yang meninggalkan perintah Allah SWT.


Kita ada pilihan, sama ada hendak ‘sedar diri’ sebagaimana Nabi Yunus AS, atau hendak mengabaikannya. Pilihan pertama akan membawa kita kepada penyudahan sebagaimana penyudahan Nabi Yunus AS, yakni Allah akan keluarkan kita dari keadaan ini, dan memenangkan perjuangan kita. Pilihan kedua akan membawa kepada ketewasan, kehinaan dan kekalahan, sebagaimana janji Allah yang jika Nabi Yunus tidak bertaubat, maka Allah akan biarkan Nabi Yunus di dalam perut ikan paus.


Tidakkah kita belajar?


 


Penutup: Perbaiki Diri, Ajak Orang Lain.


Perubahan takkan berlaku sekelip mata. Perubahan memakan masa. Jika kita tidak memilih untuk mula berubah sekarang, entah bila baru kita akan berjaya. Dan kita pula, kalau sudah berubah pun, takkan sesekali sempurna. Sebab itu bijaknya almarhum Mustapha Masyur apabila mengingatkan kita dengan ayat: “Perbaikilah diri kamu, dan ajak orang lain.”


Memperbaiki diri sambil mengajak orang lain memperbaiki diri disebut beriringan, menandakan ianya perlu bergerak bersama-sama. Kerana kalau kita menanti diri sempurna, entah bila ianya akan berlaku, dan tak terajaklah pula orang lain. Sekadar menjadi ‘soleh’(baik) sahaja, tanpa berjaya menjadi ‘muslih’(pembaik). Itu tidak cukup untuk mengislah ummah yang rosak dan sakit ini.


Justeru belajarlah kita daripada Yunus AS. Baginda menyalahkan diri baginda, menginsafi kesilapan baginda, bertaubat. Begitulah kita perlu menginsafi keadaan kita hari ini, muhasabah kembali bagaimana kehidupan kita, dan mula bergerak ke arah memperbaiki keadaan kita, dan ummah kita.


Bahwa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.


Amiiin.


 


The post Corat-Coret Hati: Belajar daripada Yunus appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 18, 2014 03:30
No comments have been added yet.