PANTUN: Wawasan Dulu Terserlah Sudah
SMAHADZIR
Warisan seni zaman berzaman,Gurindam seloka perahan minda;Pantun ini bukan kecaman,Sekadar jenaka gurauan senda.
Gurindam seloka perahan minda,Ilham berkejaran tatkala sabar;Sekadar jenaka gurauan senda,Tersisip sindiran sebagai iktibar.
Ilham berkejaran tatkala sabar,Tenang bersemadi dalam nubari;Tersisip sindiran sebagai iktibar,Menilai peribadi dan maruah diri.
Tenang bersemadi dalam nubari,Harmoni terasa dipuput bayu;Menilai peribadi dan maruah diri,Suatu bangsa bernama Melayu.
Harmoni terasa dipuput bayu,Laksana dihias kencana saduran;Suatu bangsa bernama Melayu,Yang dikias pelbagai gelaran.
Laksana dihias kencana saduran,Pinggir pedaka pahlawan sakti;Yang dikias pelbagai gelaran,Tersayat luka memedihkan hati.
Pinggir pedaka pahlawan sakti,Sundang berbalut dari Semarang;Tersayat luka memedihkan hati,Kekal berparut sampai sekarang.
Sundang berbalut dari Semarang,Buat sandaran di anjung seri;Kekal berparut sampai sekarang,Jadi cabaran mengubah diri.
Buat sandaran di anjung seri,Umbut tepus di dalam talam;Jadi cabaran mengubah diri,Supaya terhapus gelaran silam.
Umbut tepus di dalam talam,Berbunga ungu keliling berukir;Supaya terhapus gelaran silam,Kononnya dungu macam Pak Pandir.
Berbunga ungu keliling berukir,Di tiang seri mengadap pintu;Kononnya dungu macam Pak Pandir,Tugas diberi jadi tak tentu.
Di tiang seri mengadap pintu,Bingkai kayu berjurai renda;Tugas diberi jadi tak tentu,Kiasan Melayu tidak berminda.
Bingkai kayu berjurai renda,Membelai tiara di puncak semayam;Kiasan Melayu tidak berminda,Sekadar juara bersabung ayam.
Membelai tiara di puncak semayam,Duduk bersila di bantal hiasan;Sekadar juara bersabung ayam,Pak Kaduk pula jadi kiasan.
Duduk bersila di bantal hiasan,Sambil berborak meraga cindai;Pak Kaduk pula jadi kiasan,Menang sorak kampung tergadai.
Sambil berborak meraga cindai,Kain sentung berbunga melati;Menang sorak kampung tergadai,Mengharapkan untung jadi realiti.
Kain sentung berbunga melati,Di atas rakit dikebas bajingan;Mengharapkan untung jadi realiti,Usaha sedikit lebih berangan.
Di atas rakit dikebas bajingan,Musim panen hujan menimpa;Usaha sedikit lebih berangan,Umpama Mat Jenin di puncak kelapa.
Musim panen hujan menimpa,Ganas mendatang beriring ribut;Umpama Mat Jenin di puncak kelapa,Jatuh terlentang nyawa tercabut.
Ganas mendatang beriring ribut,Hiba merenung malinja mengurai;Jatuh terlentang nyawa tercabut,Impian menggunung hancur berderai.
Hiba merenung malinja mengurai,Hampa padi berguni sarat;Impian menggunung hancur berderai,Hidup jadi tambah melarat.
Hampa padi berguni sarat,Serunai mendayu di senja hari;Hidup jadi tambah melarat,Bangsa Melayu di tanah sendiri.
Serunai mendayu di senja hari,Daun bayam gugur bertapuk;Bangsa Melayu di tanah sendiri,Laksana ayam mati di kepuk.
Daun bayam gugur bertapuk,Pohon pedada tumbuh di pongsu;Laksana ayam mati di kepuk,Selagi minda jumud dan lesu.
Pohon pedada tumbuh di pongsu,Anak haruan beremut di kolong;Selagi minda jumud dan lesu,Warna kemajuan berlorek bolong.
Anak haruan beremut di kolong,Menjadi mangsa toman betina;Warna kemajuan berlorek bolong,Martabat bangsa dipandang hina.
Menjadi mangsa toman betina,Sembunyi segera tindakan bijak;Martabat bangsa dipandang hina,Maruah negara turut dipijak.
Sembunyi segera tindakan bijak,Di lubang tanah bawah jerami;Maruah negara turut dipijak,Ini pernah kita alami.
Di lubang tanah bawah jerami,Tunjang ara akar berbulu;Ini pernah kita alami,Sewaktu negara dijajah dahulu.
Tunjang ara akar berbulu,Tempat panggu syaitan dan pari;Sewaktu negara dijajah dahulu,Minda dibelenggu kebebasan digari.
Tempat panggu syaitan dan pari,Tepi teratak subur menerung;Minda dibelenggu kebebasan digari,Macam katak di bawah tempurung.
Tepi teratak subur menerung,Burung perling mati digodam;Macam katak di bawah tempurung,Dunia sekeliling bagai terpadam.
Burung perling mati digodam,Pelatuk nanar di kayu beluti;Dunia sekeliling bagai terpadam,Mentari bersinar tak membawa erti.
Pelatuk nanar di kayu beluti,Suara sang balam bersahut manja;Mentari bersinar tak membawa erti,Siang dan malam sama sahaja.
Suara sang balam bersahut manja,Unggas bergegas mencari makan;Siang dan malam sama sahaja,Semakin cergas penjajah menekan.
Unggas bergegas mencari makan,Batang tembusu dibuat tuas;Semakin cergas penjajah menekan,Doktrin palsu disebar meluas.
Batang tembusu dibuat tuas,Perdu pulasan di pinggir tubir;Doktrin palsu disebar meluas,Bersalut manisan terukir di bibir.
Perdu pulasan di pinggir tubir,Dihubub bayu ranting terkulai;Bersalut manisan terukir di bibir,Supaya Melayu menjadi longlai.
Dihubub bayu ranting terkulai,Jatuh menujah hujung batasan;Supaya Melayu menjadi longlai,Hasrat menjajah terus-terusan.
Jatuh menujah hujung batasan,Congkak kayu jadi kurnia;Hasrat menjajah terus-terusan,Biar Melayu hilang di dunia.
Congkak kayu jadi kurnia,Wira perkasa beradu sama;Biar Melayu hilang di dunia,Lenyap bangsa lenyaplah agama.
Wira perkasa beradu sama,Terima padah di tangan arjuna;Lenyap bangsa lenyaplah agama,Tertegak sudah hasrat rencana.
Terima padah di tangan arjuna,Lalu berbalah menunjuk sasa;Tertegak sudah hasrat rencana,Tetapi Allah lebih berkuasa.
Lalu berbalah menunjuk sasa,Panas baran dada terbakar;Tetapi Allah lebih berkuasa,Rahmat kesedaran disubur mekar.
Panas baran dada terbakar,Tiup tetuang panjang berjela;Rahmat kesedaran disubur mekar,Bangun berjuang menuntut bela.
Tiup tetuang panjang berjela,Mengusik rusa di belantara nyaman;Bangun berjuang menuntut bela,Membebas nusa dari cengkaman.
Mengusik rusa di belantara nyaman,Bagai rentaka meluah letusan;Membebas nusa dari cengkaman,Hidup merdeka sebagai insan.
Bagai rentaka meluah letusan,Tubuh rengsa menggigil segala;Hidup merdeka sebagai insan,Maruah bangsa ditegakkan semula.
Tubuh rengsa menggigil segala,Murup aroma gerbak setanggi;Maruah bangsa ditegakkan semula,Martabat agama dijulang tinggi.
Murup aroma gerbak setanggi,Segar terasa menghapus duka;Martabat agama dijulang tinggi,Negara dan bangsa perlu merdeka.
Segar terasa menghapus duka,Berarak keluang di bawah mega;Negara dan bangsa perlu merdeka,Peranan pejuang amat berharga.
Berarak keluang di bawah mega,Buah semangka sajian enak;Peranan pejuang amat berharga,Hasrat merdeka dipohon lunak.
Buah semangka sajian enak,Menjalar melata di atas para;Hasrat merdeka dipohon lunak,Menjulang senjata bukanlah cara.
Menjalar melata di atas para,Tanah Rompin subur dibajak;Menjulang senjata bukanlah cara,Minda pemimpin teruji bijak.
Tanah Rompin subur dibajak,Sungguh serasi ditanam nangka;Minda pemimpin teruji bijak,Secara diplomasi kita merdeka.
Sungguh serasi ditanam nangka;Disulam betik bergilir-gilir;Secara diplomasi kita merdeka,Tanpa setitik darah mengalir.
Disulam betik bergilir-gilir,Buluh disayat pagar dicegat;Tanpa setitik darah mengalir,Kesejahteraan rakyat tidak tergugat.
Buluh disayat pagar dicegat,Monyet dan kera dapat dihalang;Kesejahteraan rakyat tidak tergugat,Kemakmuran negara dapat dijulang.
Monyet dan kera dapat dihalang,Pagar disangga kanan dan kiri;Kemakmuran negara dapat dijulang,Ekonomi warga tegak berdiri.
Pagar disangga kanan dan kiri,Kukuh menampan walau ditabrak;Ekonomi warga tegak berdiri,Itu harapan paling semarak.
Kukuh menampan walau ditabrak,Siap siaga bertindak segera;Itu harapan paling semarak,Diganggu juga petualang negara.
Siap siaga bertindak segera,Awas sentiasa di pohon cenderai;Diganggu juga petualang negara,Paduan bangsa mahu diburai.
Awas sentiasa di pohon cenderai,Biar tersanggat haluan musuh;Paduan bangsa mahu diburai,Harmoni tergugat memarak rusuh.
Biar tersanggat haluan musuh,Banir tolang tempat menembak;Harmoni tergugat memarak rusuh,Berjaya dihalang dari merebak.
Banir tolang tempat menembak,Bidik dituju mencari mangsa;Berjaya dihalang dari merebak,Wawasan maju jadi selesa.
Bidik dituju mencari mangsa,Tersengkang suara mati diragu;Wawasan maju jadi selesa,Pembangunan negara tidak terganggu.
Tersengkang suara mati diragu,Dibebat rami humban ke paya;Pembangunan negara tidak terganggu,Dasar ekonomi baru berjaya.
Dibebat rami humban ke paya,Haiwan mencecap rezeki di baruh;Dasar ekonomi baru berjaya,Nikmat dikecap rakyat seluruh.
Haiwan mencecap rezeki di baruh,Tempat rimbunan pohon selepat;Nikmat dikecap rakyat seluruh,Jurang kemiskinan berjaya dirapat.
Tempat rimbunan pohon selepat,Limau kedangsa dahan berduri;Jurang kemiskinan berjaya dirapat,Martabat bangsa mula berdiri.
Limau kedangsa dahan berduri,Berkulit kasar seimbas puru;Martabat bangsa mula berdiri,Hasil dasar ekonomi baru.
Berkulit kasar seimbas puru,Dibarut lampin nampak beruas;Hasil dasar ekonomi baru,Gagasan pemimpin berminda luas.
Dibarut lampin nampak beruas,Dibawa senteri keluar kawasan;Gagasan pemimpin berminda luas,Negara industri jadi wawasan.
Dibawa senteri keluar kawasan,Bertemu fakir hidup sengsara;Negara industri jadi wawasan,Penswastaan diukir membina negara.
Bertemu fakir hidup sengsara,Tanah bendang tumbuh berembang;Penswastaan diukir membina negara,Pelbagai bidang maju berkembang.
Tanah bendang tumbuh berembang,Petani kempunan harum setanggi;Pelbagai bidang maju berkembang,Sektor pembangunan menjulang tinggi.
Petani kempunan harum setanggi,Atur kembara ke tepian sumur;Sektor pembangunan menjulang tinggi,Ekonomi negara subur dan makmur.
Atur kembara ke tepian sumur,Menjinjing raga meredah pagi;Ekonomi negara subur dan makmur,Projek mega berteknologi tinggi.
Menjinjing raga meredah pagi,Rasa merengsa menyusur tanjung;Projek mega berteknologi tinggi,Kemampuan bangsa terus disanjung.
Rasa merengsa menyusur tanjung,Pedih lidah mengunyah kuinin;Kemampuan bangsa terus disanjung,Hilang sudah gelaran Mat Jenin.
Pedih lidah mengunyah kuinin,Buah senduduk dikenyap-kenyap;Hilang sudah gelaran Mat Jenin,Nama Pak Kaduk turut melenyap.
Buah senduduk dikenyap-kenyap,Pasang lamunan ceria tergambar;Nama Pak Kaduk turut melenyap,Di hadang bangunan Menara Berkembar.
Pasang lamunan ceria tergambar,Kasih ditagih gadis pingitan;Di hadang bangunan Menara Berkembar,Putrajaya canggih jadi sebutan.
Kasih ditagih gadis pingitan,Cinta tercalar angkara janji;Putrajaya canggih jadi sebutan,LRT menjalar turut dipuji.
Cinta tercalar angkara janji,Tengah segara derita disimbah;LRT menjalar turut dipuji,Bukti negara mampu berubah.
Tengah segara derita disimbah,Gelombang gigih meredah gagah;Bukti negara mampu berubah,MSC canggih tersergam megah.
Gelombang gigih meredah gagah,Pantai selamat angin menderu;MSC canggih tersergam megah,Teknologi maklumat di alaf baru.
Pantai selamat angin menderu,Ikan ketuka disambar undan;Teknologi maklumat di alaf baru,Langit terbuka tiada sempadan.
Ikan ketuka disambar undan,Laut membiru tersarat rahsia;Langit terbuka tiada sempadan,Cabaran baru warga Malaysia.
Laut membiru tersarat rahsia,Jadi idaman pengutip batu;Cabaran baru warga Malaysia,Akal dan iman jadi penentu.
Jadi idaman pengutip batu,Tatapan tamu di tengah beranda;Akal dan iman jadi penentu,Menyaring ilmu ke dalam dada.
Tatapan tamu di tengah beranda,Cantik digerudi bersulam kencana;Menyaring ilmu ke dalam dada,Supaya jadi bangsa berguna.
Cantik digerudi bersulam kencana,Arca gagak kemas dibaji;Supaya jadi bangsa berguna,Martabat tegak maruah terpuji.
Arca gagak kemas dibaji,Tinggi lampai beriak berang;Martabat tegak maruah terpuji,Seperti dicapai Melayu sekarang.
Tinggi lampai beriak berang,Jalan mendada hati berkobar;Seperti dicapai Melayu sekarang,Bangsa berminda tabah dicabar.
Jalan mendada hati berkobar,Tidak tertahan dendam ditebus;Bangsa berminda tabah dicabar,Segala cemuhan sudah terhapus.
Tidak tertahan dendam ditebus,Musuh diburu sampai ke baruh;Segala cemuhan sudah terhapus,Melayu baru berpandangan jauh.
Musuh diburu sampai ke baruh,Memohon ehsan seikhlas hati;Melayu baru berpandangan jauh,Semua wawasan jadi realiti.
Memohon ehsan seikhlas hati,Mandi di sumur tidak berbaju;Semua wawasan jadi realiti,Rakyat makmur negara maju.
Mandi di sumur tidak berbaju,Tidak tertahan sejuk membeku;Rakyat makmur negara maju,Amanah saham membuka pintu.
Tidak tertahan sejuk membeku,Pandangan kabur ceria menghilang;Amanah saham membuka pintu,Banyak melabur esok gemilang.
Pandangan kabur ceria menghilang,Daun setampin nampak meyongyat;Banyak melabur esok gemilang,Wawasan pemimpin terhadap rakyat.
Daun setampin nampak meyongyat,Ditampar bayu menujah-nujah;Wawasan pemimpin terhadap rakyat,Bangsa Melayu berubah wajah.
Ditampar bayu menujah-nujah,Mendung sirna disingkap suria,Mudik ke hulu membawa madah;Taraf hina ke puncak mulia,
Wawasan dahulu terserlah sudah.
Published on July 19, 2013 15:36
No comments have been added yet.
Syed Mahadzir Syed Ibrahim's Blog
- Syed Mahadzir Syed Ibrahim's profile
- 9 followers
Syed Mahadzir Syed Ibrahim isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
