.: dalam satu rasa [9] :.

RASYAD mengelip-ngelipkan matanya beberapa kali, sebelum kembali menumpahkan pandangan ke arah jalan raya. Jalan di situ agak gelap dan samar kerana jarak yang agak jauh antara satu tiang lampu jalan dengan lampu jalan lain. Keluhan lega terhambur keluar dari ruang dada. Lega kerana segala kerja yang dipertanggungjawab oleh papa kepadanya sudah diselesaikan. Sudah langsai!

Alhamdulillah, projek usahasama syarikat yang dimiliki oleh papa, Astana Holdings, dengan Kampung Setanggi akhirnya diterima baik oleh ketua kampung itu, Haji Ithnin. Memang pada awalnya dia sangsi dengan kebolehan dan kemampuannya mengendalikan tugas yang papa berikan kepadanya itu.

Masakan tidak, dua staf papa yang lebih senior dan jauh lebih berpengalaman telah dihantar ke Kampung Setanggi untuk membincangkan projek hotel kos sederhana dan calet yang dirancang oleh Astana Holdings, yang mahu dibina di pesisiran pantai Kampung Setanggi yang memang terkenal dengan keindahannya. Ia untuk tujuan mengkomersilkan Kampung Setanggi kepada pelancong di dalam mahupun luar negara. Demi menyahut seruan Tahun Melawat Malaysia yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.

Mujur Haji Ithnin tidak menghalaunya sebagaimana yang dilakukan kepada Mustapha dan Ramli sebelum ini, yang dihantar oleh papa sebagai wakil Astana Holdings beberapa bulan yang lalu. Syukur kerana Haji Ithnin menerima kehadirannya dengan tangan yang terbuka, hati yang lapang. Malah dia merasakan Haji Ithnin dan lelaki yang diceritakan oleh Mustapha dan Ramli kepadanya adalah dua lelaki yang berbeza. Sedang hakikatnya mereka orang yang serupa. Tapi dengannnya… entahlah.

Alasan lelaki itu, dia menghormatinya dan menerima baik setiap kata mahupun cadangannya. Bukan menolak bulat-bulat. Itulah yang dikatakan oleh Haji Ithnin apabila dia menyoal lelaki itu kenapa kehadirannya diterima dengan baik sedang Mustapha dan Ramli tidak.

Apa maksud Haji Ithnin dengan kata-kata itu, Rasyad sendiri tidak tahu. Yang penting, kerjanya sudah selesai dan sekarang dia sudah boleh pulang ke KL semula. Mampu memenuhi kemahuan mama, yang semenjak dua minggu menanti kepulangannya. Semenjak hari pertama dia berada di Kampung Setanggi lagi. Pasti mama menanti dengan air mata dan kerisauan, walaupun tiada keperluan untuk kedua-duanya. Maklumlah, dia anak tunggal papa dan mama. Dialah racun buat mama, dia juga penawar untuk mama. Dialah segala-galanya buat mama.

“Bila Rasyad nak balik ni? Mama dah rindu sangat. Papa tu bukan nak faham, asyik suruh mama sabar aje. Baliklah cepat-cepat, Rasyad, mama rindukan Rasyad.”

Masih melekat kemas setiap bait kata mama dalam kotak fikirannya. Malah syahdu tangisan mama seolah-olah menerpa pelupuk telinga. Senyuman kecil menyentuh sepasang bibir Rasyad. Sedih mama macamnya sedih seniwati air mata pun ada.

“Mama, mama… tak habis-habis nak letak Rasyad bawah ketiak mama. Nak Rasyad dekat dengan mama saja,” ucap Rasyad perlahan. Sempat pula menggeleng-geleng mengenangkan sikap mama yang tidak berubah semenjak dia kecil hinggalah usianya kini menjangkau 24 tahun.

Saat itulah sekujur tubuh kelihatan berlari laju ke hadapan keretanya. Meluru tiba-tiba.

Mujur mata Rasyad masih cekap menangkap batang tubuh itu walaupun gelap malam sedikit menyukarkan. Kakinya cepat-cepat menekan pedal brek. Batang tubuh itu pula kelihatan tergamam apabila kereta Rasyad berhenti tiba-tiba. Beku di hadapan keretanya. Cahaya lampu keretanya memberi peluang kepada Rasyad untuk melihat dengan jelas wajah gadis di hadapannya.

Gadis? Pada jam 4.00 pagi lebih begini?

Bingkas Rasyad keluar dari perut kereta seraya mendapatkan gadis yang masih beku di tempatnya.

“Awak dah gila ke? Tak nampak kereta saya? Mujur saya tak langgar awak tau!” ucap Rasyad, tiba-tiba geram. Seram sejuk tubuhnya memikirkan kemungkinan yang satu itu. Malah rasa marah menerpa apabila gadis itu kelihatan tidak langsung menyedari hakikat yang itu.

Apa akan berlaku kiranya dia melanggar gadis ini tadi? Mungkin dia tidak memandu terlalu laju namun dengan kelajuan tadi gadis itu mungkin tercedera kiranya dia tidak sempat menekan brek tepat pada waktunya. Kemungkinan yang satu itu buat wajah Rasyad pucat, tiada darah.

Rasyad kembali menumpahkan mata ke arah gadis di sisinya. Jika boleh dia mahu memuntahkan rasa geram dan marahnya atas tindakan bodoh gadis itu. Geram kerana menakutkannya begitu dan marah kerana gadis itu tidak memikirkan apa yang berlaku kiranya keretanya bertembung dengan tubuh genit itu. Bahawa tubuh itu mungkin saja terperosok di bawah keretanya andai dia tidak cekap menekan brek tadi!



Gadis itu punya rambut keriting yang lebat dan hitam warnanya, tapi sangat kusut. Malah pajama tidur yang dipakainya juga kelihatan tidak terurus. Pendek kata gadis itu nampak serabai, serba tidak kena. Kenapa keadaan gadis ini begini? Apa pula yang sebabkan dia berlari kencang seperti tadi? Seolah-olah sedang larikan diri daripada sesuatu. Sesuatu atau seseorang?

Rasyad terasa nafasnya tersekat apabila gadis itu tiba-tiba memaling muka, menentang paras wajahnya. Muka gadis itu basah dengan air mata yang masih bersisa pada pipi. Hiba wajah itu jelas tersua. Pandangannya? Ya, itulah yang menggamit Rasyad untuk menentang sepasang mata itu.

Mengapa pandangan itu seolah-olah mahu menyalahkan dia? Seolah-olah dia yang bersalah dalam kejadian seketika tadi. Renungan itu buat rasa geram kembali menggelupur dalam hati Rasyad. Turut diserbu perasaan marah. Marah kerana gadis itu menyalahkannya sedangkan kerana kepantasan dialah gadis itu terselamat daripada bertembung dengan keretanya lalu cedera. Tidakkah kau sedar, wahai gadis?

“Kenapa tak langgar saya?! Kenapa?!”

Soalan lantang yang dihadiahkan oleh gadis itu buat Rasyad terperanjat besar. Bukan kerana kelangsingan suaranya atau kelantangan katanya. Sebaliknya soalan yang dihadiahkan oleh gadis itu sendiri. Kenapa tak langgar dia?

“Apa?!” Terkebil-kebil Rasyad melihat gadis di hadapannya. Manalah tahu dia tersalah dengar. Tiba-tiba dia punya masalah pendengaran.

“Kenapa tak langgar saya?! Kenapa tak langgar?! Saya dah tak nak hidup, saya tak nak hidup lagi! Saya nak mati! Kenapa tak langgar?!”

Kali ini bukan sahaja gadis itu bertempik kuat kepada Rasyad, malah mula memukul kuat dada Rasyad. Bertubi-tubi, sehinggakan Rasyad terdorong ke belakang kerana sama sekali tidak menyangka si gadis akan bertindak demikian. Terkejut tau!

“What the hell…? Stop this at once! Stop it!” Rasyad cuba paut tangan gadis itu. Mujur berjaya. Kalau tidak, sah dadanya biru kerana lebam. Boleh tahan juga penangan tangan kecil itu.

“Kenapa…? Kenapa…?”

Sekali lagi Rasyad terperanjat. Gadis itu mula teresak halus lalu perlahan-lahan jatuh ke atas jalan. Kerana tangan Rasyad masih memaut lengan gadis itu, dia turut ditarik sama. Turut terduduk di atas jalan yang tidak bertar itu.

“Saya nak mati. Saya cuma nak mati. Kenapa biar saya terus hidup? Saya dah tak ada apa-apa. Tak ada guna lagi saya terus hidup macam ni. Dah tak ada gunanya… tak ada…”

Tangisan gadis itu mendayu. Cukup hiba. Malah Rasyad mampu menangkap sesuatu yang sama sekali tidak terjangkau oleh fikirannya melalui bait kata gadis itu. Gadis ini sebetulnya mahu bunuh diri. Ya, bunuh diri! Sekiranya Rasyad lewat menekan pedal brek tadi, tentu niat gadis ini sudah termakbul. Mungkin dia telah membantu gadis ini dalam usahanya—membunuh diri.

Ya Allah, bunuh diri?

*****

SENTAK! Rasyad tersedar mendadak. Tubuhnya tegak, matanya terbuka luas terus. Kisah silam itu memberinya satu kejun yang mendinginkan tubuh. Kisah lalu itu menghantarnya satu beku yang mensejukkan badan. Sungguh, sudah terlalu lama memori itu dipendam dalam minda dan hati paling dalam, sudut paling sukar dia selongkar.

Jadi, mengapa malam ini ia datang menyapa?

“Fa… Fa kat mana, sayang?”
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 20, 2012 03:33
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.